You are currently browsing the category archive for the ‘fiqh islami’ category.

Ketika saya sedang menulis catatan ini, saya baru menerima sms tersebarnya video sundal yang dikaitkan dengan seorang pemimpin besar politik tanah air di dalam internet. Kemudian sms demi sms menghujani saya terutama daripada kawan-kawan yang meminta pandangan dan ‘fatwa’ segera demi menghilangkan keluh kesah dan kekeliruan.

Saya komen ringkas, orang mukmin jangan sebar jika pun rasa percaya. Jika palsu, kita selamat daripada dosa menyebarkan fitnah. Jika benar, kita selamat daripada menyelak maksiat tertutup. Kemudian saya menambah, jika Allah murka, Dia buka aib dan dosa tersembunyi kita pula. Apa rasa jika kita pula diaibkan secara terbuka?

Politik negara kita semakin hari semakin kotor. Ahli politik seperti enggan berubah kepada politik yang lebih baik dan lebih bertamadun. Mereka seperti tidak kisah bahawa politik kotor akan menghumban negara kepada bala dan kerosakan yang lebih besar. Di antara politik kotor yang dilihat secara nyata ialah usaha membunuh karier politik lawan dengan fitnah yang memalukan dan menjatuhkan maruah. Fitnah adalah menyebarkan yang tidak benar atau belum disahkan kebenarannya.

Lebih menyayatkan, ia sehingga menyentuh soal-soal yang jawabannya telah dinyatakan secara jelas oleh al Quran. Pun begitu, sebahagian mereka enggan menerima. Apabila diberi nasihat dan teguran, mereka berusaha menghasilkan deretan hujah yang menggambarkan seolah-olah merekalah penyelamat negara daripada kerosakan. Tentunya mereka sedang dilamun cinta iblis kerana sedang menghujah kekuasaan al Quran dan merasakan mereka lebih benar dan lebih tahu hukum Allah daripada Allah sendiri.

Ketahuilah bahawa dosa dan pahala adalah milik Allah. Dia yang menulis dan Dialah yang membalasnya nanti. Kita tidak pun pernah dan akan tahu berapakah jumlah dosa dan pahala kita sekarang. Sebabnya, ia melibatkan syarat keikhlasan yang duduknya di dalam hati. Seribu tahun kita bersolat tidak bererti semuanya berpahala, bahkan ia diikat keikhlasan diri. Walaupun seribu kali kita mengaku ikhlas, seribu kalilah dakwaan kita itu tidak terpakai. Hak menentukan keikhlasan adalah milik Allah semutlaknya.

Kerana itu Allah tidak pernah menuntut agar kita menulis pahala dan menganugerahi seseorang kerana pahala yang dilakukannya. Begitulah kita juga tidak dituntut menulis dosa dan menghukum seseorang kerana dosanya. Bagaimanakah kita layak dan berhak menganugerahi atau membalas jahat seseorang yang berpahala atau berdosa sedangkan kita sendiri gagal mengesan dan melihat keikhlasan, pahala dan dosa diri sendiri? Maka dosa dan pahala adalah milik Allah semutlaknya. Nanti, Dialah tuhan yang akan membalasnya dengan nikmat atau azabNya di akhirat nanti.

Apa yang kita ada di hadapan ialah kebaikan dan kejahatan yang dilihat. Atau keadilan dan kezaliman yang berlaku di dunia ini. Di sinilah penganugerahan baik dan pembalasan buruk dituntut oleh Allah daripada manusia. Kita dituntut untuk menganugerahi kebaikan dan keadilan yang dilakukan manusia setimpalnya. Begitulah kita juga dituntut membalas keburukan dan kezaliman yang dilakukan manusia setimpalnya. Kebaikan, keadilan, keburukan dan kezaliman adalah suatu yang zahir dan dilihat oleh manusia. Ia tidak memerlukan syarat keikhlasan untuk membalasnya, baik atau buruk.

Adakah seorang pekerja dipotong gajinya kerana mengajar tidak ikhlas? Tidak bukan? Mereka digaji kerana kebaikan mereka menuruti perintah yang diarahkan. Juga, mereka dihukum kerana perlanggaran terhadap amanah yang diberikan. Itulah yang kita harus fahami daripada asas syariat bahawa pembalasan sesama manusia hendaklah diukur pada zahirnya, bukan batinnya. Manusia apabila memasuki ruang batin, mereka akan mendakwa dan menghukum di dalam kekeliruan, kesamaran dan kepalsuan.

Maksiat peribadi yang tersembunyi adalah perbuatan yang melibatkan dosa, bukan kezaliman sesama manusia. Maka ia adalah hak Allah dan kita sama sekali dilarang menghukumnya. Zina, minum arak, tidak solat dan sepertinya adalah dosa peribadi yang tidak menzalimi orang lain. Maka Allahlah yang akan mengadilinya. Tetapi jika zina bertukar kepada rogol, atau mabuk arak sehingga mengganggu ketenteraman awam, atau tidak solat secara terbuka yang memalukan, melukakan dan menyebarkan kefasikan di dalam masyarakat Islam, maka ia telah bertukar bukan hanya sekadar maksiat peribadi, bahkan ia telah mencetuskan kezaliman di dalam masyarakat. Saat itulah, Allah menuntut kita bertindak memadamkan kezaliman dan fitnah tersebut.

Begitulah kesalahan lain yang lebih jelas kezalimannya terhadap sesama manusia samada ianya ikhlas atau tidak, tertutup atau terbuka seperti menipu, mencuri, merompak, merasuah, membunuh dan memfitnah. Bayangkan pula jika ianya melibatkan jutaan manusia seperti merompak wang rakyat, merasuah jutaan ringgit dan memfitnah pemimpin rakyat yang membawa kesan buruk yang lebih besar.

Mereka bertanya, jika begitu bagaimana kita mampu menyekat budaya zina yang kian menular di dalam masyarakat? Tidakkah zina biasanya tersembunyi? Ya, selagi ianya tertutup, ia kekal jangan dibuka bongkar. Budaya zina hari ini pula telah melewati batasan keperibadian dan kesembunyian. Ia telah merebak ke ruang terbuka melalui kejelekan muqaddimahnya dan akibat buruknya. Pergaulan bebas begitu ketara, berpacaran dan berpelukan di khalayak ramai begitu terbuka dan akhirnya jenuhlah anak luar nikah, pembunuhan terhadap bayi dan pengguguran kandungan luar nikah.

Membasmi budaya ini bukanlah dengan cara menyerbu dan mengintai orang berzina, tetapi dengan nasihat dan dakwah, juga dengan menutup, menghalang dan mengawasi lokasi-lokasi yang menjadi punca berleluasanya aktiviti terkutuk itu. Jika zina tertutup itu telah diketahui di luar kerana ada yang melaporkannya, atau tempat itu telah terkenal dengan aktiviti tidak bermoral, maka adalah hak bagi pihak berkuasa untuk bertindak memadamkannya samada menangkap, mengawasi atau menutupnya terus. Zina tersebut telah melangkaui sempadan kesembunyian kepada kezaliman terhadap masyarakat. Sebuah masyarakat Islam yang bersih akan terganggu dengan mengetahui dan mendengar maksiat yang berlaku di sekitarnya tanpa tindakan menutupnya.

Mereka bertanya lagi, bagaimana jika ia melibatkan pemimpin yang kejahatannya walaupun bersifat peribadi adalah penipuan dan pengkhianatan terhadap rakyat? Saya menjawab, ya, ia kekal peribadi. Semua kita adalah pemimpin terhadap anak buah masing-masing. Jika maksiat peribadi pemimpin harus dibezakan, maka izinkanlah anak-anak kita sendiri mengintai maksiat kita kerana kita telah mengkhianati mereka. Mahukah?

Mereka enggan berhenti daripada bertanya, video telah tersebar dan ditontonkan secara terbuka. Tidakkah itu telah menjadi maksiat terbuka yang mesti dihukum? Saya menjawab, orang yang sedang melakukan maksiat terbuka itu adalah penontonnya, apatah penyebarnya. Adapun pelaku didalamnya, ia kekal maksiat tertutup yang telah pun berlalu penulisan dosanya oleh Allah. Mungkin juga dia telah pun bertaubat semasa anda menonton video tersebut. Anda menghukumnya sedang Allah telah memaafkannya. Alangkah tuhannya anda!

Kemudian, orang mukmin sudah cukup dirinya sendiri menjadi saksi. Orang mukmin itu amanah sifatnya selama mana tiada kecalaran di dalam rekod zahirnya. Tetapi, pada peringkat tuduhan zina, Allah menuntut empat saksi untuk membenarkannya. Tidakkah anda melihat betapa di antara hikmah yang nyata adalah kerana Allah sendiri enggan maksiat hambanya yang bersembunyi itu disebarkan oleh sesiapapun, apatah dengan tujuan menjatuhkan maruahnya. Adakah saat kita menuduh orang berdosa, kita tidak pernah pun berbuat dosa?

Ah, jikalah tidak kerana kelebihan Allah dan rahmat kasih sayangNya ke atas kita, maka tiadalah siapa pun di antara kita mampu menjadi bersih dan dilihat bersih selama-lamanya. Tetapi Allahlah yang membersih kita dengan menjauhkan kita daripada dosa dan menutupi dosa yang telah kita lakukan.

Apabila anda memahami fiqh dan kehikmatan ini, maka anda akan dapat melihat sejalur hikmah mengapa mengumpat, mengadu domba dan menjaga tepi kain orang adalah diharamkan dan dosa kesalahannya adalah besar di sisi Allah. Mengumpat dan seumpamanya, walaupun jika benar sekalipun adalah terlarang kerana ia banyak melintasi garis peribadi yang tak pun menjejaskan awam.

Itu jika benar, apatah jika ianya adalah satu fitnah! Rakaman video hanyalah fitnah! Seratus kamera yang merakam sekali pun, ia bukan galang ganti seorang mukmin apatah empat orang mukmin yang dituntut oleh Allah. Tidakkah satu kepastian yang nyata bahawa orang mukmin yang amanah tidak akan melakukan perbuatan merakam video perbuatan maksiat tertutup tersebut?! Jadi, bagaimana dibenarkan penghukuman zina oleh saksi fasik dengan bahan bukti tertolak?

Mereka terus tidak berpuas hati kerana fitnah sedang melanda negara, lalu ia memakan dan memamah apa saja yang mampu dimakannya samada kayu atau besi. Mereka bertanya lagi, bagaimana jika video itu benar sebenar-benarnya dan asli seasli-aslinya? Tidakkah dengan tidak mempercayai atau tidak bertindak ke atasnya maka terdedahlah kita dengan penipuan dan pengkhianatan yang menanti jika pemimpin itu naik? Saya menarik nafas kewaspadaan dan kesabaran. Saya berkata, mari saya ajarkan kamu satu sunnah Allah di muka bumi bagaimana Allah menjatuhkan dan menaikkan seseorang hambaNya.

Apabila Allah ingin menjatuhkan seorang yang zalim, maka dihantarnya orang mukmin atau orang jahat untuk memeranginya. Jika Allah menghantar orang jahat, maka ia akan memeranginya dengan cara yang jahat juga. Maka itulah seburuk-buruk kesudahan. Tidakkah anda melihat Saddam yang zalim itu dibunuh oleh Amerika yang lebih jahat daripadanya. Maka alangkah buruknya kesudahan ke atas rakyatnya!

Jika Allah menghantar orang yang baik, maka ia tidak akan memeranginya kecuali secara yang diizinkan syarak. Maka itulah sebaik-baik akibat. Tidakkah Mekah yang paling zalim ahlinya itu dibebaskan oleh hamba Allah yang paling baik, lalu alangkah baik akibatnya juga. Lihat juga Mesir, pemimpin yang baik-baik memimpin rakyat melakukan perubahan, lalu semakin baiklah Mesir dan rakyatnya.

Maka ketahuilah, di negara kita, jika kita menginginkan kelebihan dan kebaikan yang lebih baik untuk masa depan negara, bergeraklah sebagai orang baik dan hendaklah terpimpin oleh orang yang baik-baik. Ulama adalah orang yang terpercaya di sisi Allah. Mereka telah menasihati agar jangan mempercayai fitnah. Rakaman video yang begitu terdedah kepada pengaburan dan pemalsuan hanyalah akan mengundang fitnah lebih besar jika diterima. Maka jangan menghukum pemimpin dengan fitnah yang terlarang oleh syarak.

Maka, orang mukmin tidak boleh menyebarkan sekali pun rasa percaya. Jika ianya nyata palsu, kita selamat daripada dosa menyebarkan fitnah. Jika ianya benar pula, kita selamat daripada menyelak maksiat tertutup. Jika Allah murka, Dia buka aib dan dosa tersembunyi kita pula. Apa rasa jika kita pula diaibkan secara terbuka? Justeru jauhilah politik kotor yang mengundang bala tuhan.

(Artikel adalah untuk kolum ‘Agama Dan Kehidupan’ akhbar Siasah)

Salam Kamunting,

PAS menyertai pilihan raya dan aktif bergerak dalam sistem demokrasi barat acuan Malaysia hari ini dengan dua matlamat besar. Pertama adalah dengan matlamat islah atau memperbaiki kehidupan rakyat melalui islah politik dan pemerintahan terutamanya. Kedua adalah dengan matlamat menukar pemerintahan sedia ada dengan kerajaan baru yang lebih baik.

Matlamat yang kedua pula akan terhenti secara langsung jika matlamat pertama tercapai. Matlamat pertama dikira tercapai apabila pemerintahan sedia ada, seperti BN hari, telah secara jelas menunjukkan kesediaan dan keazaman untuk melakukan keadilan yang dituntut dan membuktikannya melalui gerakan islah ke arah itu.

Oleh kerana PAS memperjuangkan ketuanan Islam ( HakimiyyatuLlah ) secara mutlak dan murni, maka maksud keadilan itu hendak ditafsirkan secara Islam sebagaimana pengajaran junjungan besar Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Keadilan dalam Islam hanya berlaku dengan mengembalikan hak kekuasaan dan pemerintahan duniawi ini kepada Allah, tuhan pemilik semesta alam.

Justeru kerajaan BN hari ini dikira absah apabila ia bersedia menerima Islam sebagai cara hidup untuk negara Malaysia. Saat itu, tiada hujjah lagi untuk PAS dan semua umat Islam untuk meruntuhkan dan menukarkannya dengan kerajaan yang baru walaupun dengan alasan membentuk kerajaan ‘Islam’ alternatif yang lebih baik.

Dalam Islam, ketaatan kepada pemerintahan Islam adalah sesuatu yang besar. Ia di tempat ketiga selepas ketaatan kepada Allah dan al Rasul. Sebarang usaha menumbangkannya adalah jenayah besar yang dicela, bahkan berhak mendapat hukuman berat.

Jika matlamat pertama itu gagal dicapai iaitu apabila berlaku keingkaran berterusan daripada pemerintah sedia ada untuk berubah, bahkan berterusan melakukan kezaliman ke atas rakyat dan memuncak dengan penolakan terhadap sistem Islam sebagai cara hidup, maka matlamat kedua mestilah diteruskan. Kerajaan sedia ada tiada keabsahan untuk kekal memerintah umat Islam yang dimestikan untuk tunduk kepada kekuasaan sistem Islam yang diredhai Allah.

Ia adalah jihad dan perjuangan yang sah dan fardhu walaupun terpaksa menempuh kesukaran dan halangan serta menuntut pengorbanan ke atas nyawa, harta dan segenap kepunyaan. Perjuangan adalah tuntutan agama manakala ujian adalah sunnah Allah ke atasnya.

Di atas landasan inilah PAS bergerak. Ia jatuh bangun sebagai sebuah parti politik dan berjuang di medan politik yang luas capaiannya dalam sistem demokrasi negara. PAS tidak memilih untuk menjadi sebuah pertubuhan NGO yang agak sempit laluan dan capaiannya.

PAS melalui muqabalah dan muzakarah dengan pemerintah BN hari ini konsisten menawarkan penyelesaian yang lebih mudah. BN mesti bergerak ke arah islah diri yang dituntut agama. PAS pasti menghulur tangan. Tiada cela. Apa yang ada hanyalah pujian daripada syara’.

Tetapi BN yang diterajui UMNO hari ini, walau dalam cedera dan parah tetap konsisten di dalam memelihara kezaliman dan menternak dan memugarinya. Usah kata Islam, nak jaga demokrasi tajaan sendiri pun tak mampu ( meminjam kata ayahanda ). Muqabalah walaupun tiada hujungnya, tetapi ia telah berjaya menjulang Islam di dalam menegakkan hujahnya di hadapan kezaliman dan pemukanya.

Allah menyeru kepada muqabalah di antara Musa alaihissalam dengan Firaun laknatuLlah. Hasilnya adalah penentangan Firaun yang bertambah – tambah. Hasil yang diredhaiNya adalah tertegaknya hujah Musa di hadapan Firaun sebelum kehancurannya.

Justeru PAS mengekalkan arah perjuangannya menuju kedua – dua matlamat tersebut. Ia samada BN yang diterajui UMNO menerima dakwah Islam dan PAS, lalu PAS menghulur tangan ‘baiah’nya dan membangun bersama, atau BN diruntuhkan pemerintahannya dan dicabut kekuasaannya melalui sistem demokrasi negara yang menerima pemindahan kuasa secara aman dan saksama.   

Lebih 50 tahun PAS berjuang, adakah PAS telah memperolehi kemenangan? Adakah kekuasaan sementara dan terhad di Terengganu dan terbaru di Perak adalah kemenangan yang dimaksudkan? Atau ianya satu kekalahan yang menandakan kesalahan PAS di dalam berjuang? Atau adakah itu hukuman Allah kerana bersekongkol dengan DAP yang bukan Islam ideologinya? Kemudian adakah PAS sanggup menggadai prinsip agama demi kekuasaan?

Jika anda membaca dan mendengar perbahasan semasa, anda akan dipukul atau terpukul dengan persoalan – persoalan yang bersifat ‘tasykik‘ yang mencetuskan keraguan di medan perjuangan. Lebih pilu dan menyayatkan apabila ianya ditimbulkan oleh mereka yang turut menggelarkan diri sebagai pejuang Islam atau pengamat perjuangan Islam.

Salam Kamunting,

Biar saya jelaskan sedikit perihal perbincangan mengenai keahlian bukan Islam dalam PAS. Ada pertanyaan yang acap juga masuk di ruang komentar dan rasanya saya belum menyentuhnya sebagai satu jawaban yang melunaskan harapan mereka yang mengharap.

Anda tahu bahawa isu ini telah agak lama dicari jawabannya dan anda juga tahu betapa para ulama dalam PAS tidaklah segera menjawabnya, apatah dengan jawaban yang satu tanpa selisih dan khilaf. Justeru anda bolehlah menyimpulkan bahawa ia adalah isu yang agak sukar diselesaikan oleh para ulama tersebut, lalu perbincangan mengenainya agak memakan masa.

Janganlah pula anda mengira ini tanda ulama lembap dan tiada peka. Perlahan – lahan itu daripada agama manakala gelojoh itu daripada syaitan. Sesuatu hukum itu adalah berdasarkan gambaran yang diperolehi. Isu pengkid cepat diselesaikan manakala isu yoga, kita terpaksa menunggu lebih lama daripada Majlis Fatwa Kebangsaan.

Tetapi, memang sesetengah ulama agak lembap. Sama seperti sesetengah anda, agak gelojoh.

Islam datang sebagai rahmat untuk sekelian alam. Justeru Islam melata ke setiap sektor manusia, kemanusiaan dan kehidupan seluruhnya dengan jawaban, penyelesaian dan alternatif.

Ia menjelaskan hubungan di antara manusia dengan tuhannya, manusia sesama manusia dan manusia dengan makhluk tuhan seluruhnya. Ia membaiki urusan ugama, urusan dunia dan urusan akhirat.

Ia secara mutlak menawarkan kebahagiaan untuk manusia di dunia dan akhirat. Jika manusia menolak akhirat, Islam tetap menawarkan untuknya kebahagiaan di dunia sahaja. Jika ia mahukan akhirat, maka untuknya akhirat bersekali dengan dunia juga.

Jika mereka tidak menerima Islam atau dipanggil kafir, maka Islam menerima kesaksian dan kemahuan itu tanpa paksaan apa – apa ke atas mereka. Pengiktirafan Islam terhadap anutan manusia selain Islam sebagai hak duniawi adalah salah satu cabang ruang kebahagiaan duniawi yang dicanangkan oleh Islam.

Anda tidak akan melihat timbang rasa sebegini unik di dalam ugama lain selain Islam, sedangkan Islam adalah agama yang cukup keras mengatakan semua adalah batil kecuali Islam. Hampir semua agama hari ini, kecuali Islam, didorong oleh tekanan semasa untuk mengatakan semua agama adalah sama dan betul. Lihat betapa kerasnya kesaksian Islam tetapi betapa jugalah tolerannya Islam.

Jika begitu, kedudukan orang bukan Islam diberi ruang yang luas perbincangan mengenainya oleh ugama. Islam tidak mungkin hanya membincangkan dan meluaskan perbincangan perihal kebahagiaan kehidupan duniawi dan ukhrawi muslim sahaja tanpa membincangkan juga perihal kebahagian kehidupan duniawi bukan Islam.

Kebahagian manusia adalah pada mendapatkan haknya. Kemuncak haknya adalah keadilan dan kebebasan.

Isi dan intipati ajaran Islam adalah memperkenalkan dan memberikan hak kepada empunya hak. Yang dizalimi akan diadili Islam. Jika tidak disempurnakan keadilan itu di dunia, keadilan tuhan menunggunya di akhirat. Yang bekerja akan dibalas setimpal pekerjaannya. Jika tidak disempurnakan pembalasan itu di dunia, pembalasan tuhan menunggunya di akhirat nanti.

Begitu intipati ugama menjawab, menyelesai dan memberi alternatif. Siapakah yang terlebih baik penghakimannya selain Allah, buat mereka yang berakal?

Justeru setiap manusia memiliki hak yang sama kerana mereka sama sebagai manusia. Tetapi oleh kerana persembahan mereka adalah berbeza, maka hak mereka juga menjadi berbeza di antara mereka.

Muslim dan bukan muslim adalah sama sebagai manusia. Tetapi mereka tidak sama selamanya kerana persembahan mereka adalah berbeza. Dua bersaudara adalah sama sebagai seorang anak, tetapi mereka menjadi berbeza di sisi ibu bapanya berdasarkan persembahan masing – masing.

Justeru muslim dan bukan muslim memiliki hak bersama sebagaimana masing – masing mereka memiliki hak yang tersendiri.

Islam bertugas menyempurnakan hak semuanya.

Perbincangan kita di sini adalah perihal bagaimanakah Islam memelihara hak apabila muslim berhubung dengan bukan muslim dalam kehidupan. Anda tahu dengan mudah sedari awal bahawa Islam tidak pernah memerintahkan setiap muslim mestilah dipindahkan ke timur manakala setiap bukan muslim mestilah dinyahkan ke barat, lalu saling bedil membedillah di antara mereka.

Di bumi mana muslim berpijak, disitulah bukan muslim menjunjung langitnya. Kecuali di tanah suci/haram kota Mekah. Allah telah menyucikan  tanah itu daripada najis kekufuran selepas kebangkitan baginda sallaLlahu alaihi wasallam. Orang bukan Islam memikul najis itu. Justeru mereka dilarang memasukinya.

Kitab – kitab fiqh Islami ‘memulakan’ perbincangan perihal muamalah antara mulim-non muslim dengan menjelaskan asas hubungan di antara kedua – duanya, adakah ianya diasaskan atas hubungan damai dan kasih sayang atau ianya adalah hubungan perang dan permusuhan. 

Berlaku khilaf dan perselisihan. Tetapi ia jelas bahawa ianya berlaku demi memudahkan penyampaian hak  masing – masing dilaksanakan.

Kemudian perbincangan fiqh Islami tersebut memanjang – manjang di dalam segenap lapangan dan hal seperti kekeluargaan, kejiranan, perniagaan, sosial, kehakiman sehinggalah ia memuncak di dalam perihal hubungan pada masa damai dan perang antara kedua – duanya.

Perihal keahlian bukan Islam di dalam PAS, bagi saya, adalah termasuk dalam fasal perbincangan para ulama kita mengenai hak memohon pertolongan daripada bukan muslim di dalam sesuatu perkara. Boleh atau tidak boleh. Jika boleh, kenapa? Jika tak boleh, kenapa? Boleh itu di bahagian mana dan yang tak boleh itu di bahagian mana? Boleh yang bagaimana dan tak boleh yang bagaimana? Bila dah meleret, meleretlah pula khilaf dan tempat sadungnya.

Oleh kerana nama PAS tiada dalam kitab fiqh dan jenis bukan Islam di Malaysia pun tiadalah diperincikan keadaannya di dalamnya, maka ulama kita pastinya akan mencermati perincian mengenai kedua – duanya sebelum mengaplikasikan sumber dan hukum qias ke atasnya.

Penggunaan kaedah qias di dalam menentukan hukum terhadap isu – isu semasa dan setempat adalah terdesak demi menghidupkan dalil – dalil yang berselerakan di dalam kitab – kitab fiqh Islami sepanjang zaman. Ilmu qias adalah payah dan lebih payah adalah mengaplikasikannya dalam menentukan hukum sesuatu. Ia adalah sebahagian daripada hikmat. Barangsiapa dikurniai hikmat, sesungguhnya dia telah dikurniai kebaikan yang melimpah – ruah.

( Justeru janganlah anda bermudahan mendakwa tahu seperti sesetengah kita yang mengqiaskan perjanjian dalam Pakatan Rakyat dengan/atas perjanjian Hudaibiah di zaman RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Bagaimana boleh disamakan PKR/DAP yang telah menerima untuk berdamai dengan PAS, dengan golongan musyrikin Mekah yang menentang Islam? Perjanjian yang dilakukan al Rasul dengan kafir yang tidak menentangnya adalah tidak sama dengan perjanjian baginda dengan kafir yang menentangnya. Bahkan, muqabalah PAS-UMNO adalah lebih mirip perjanjian Hudaibiah. Perhatikan.)

Kemudian, adakah keahlian dalam PAS bermaksud keahlian kepada sebuah gerakan Islam atau ianya adalah bermaksud keahlian di dalam sebuah parti politik Islam dalam konteks sistem demokrasi negara, itu adalah perbincangan yang tidak pula akan menamatkan dengan mudah persoalan hak – hak yang telah dipertegaskan boleh atau tidak bolehnya bukan Islam mengambil atau menerima sesuatu peranan di dalam membantu perjuangan Islam menegakkan Islam dan kebenaran.

Yang penting, orang bukan Islam memiliki hak untuk turut bersama menegakkan kebenaran, bahkan menegakkan Islam juga. Mereka berhak untuk menolak kezaliman dan memilih Islam sebagai jalan memperolehi keadilan dan kesaksamaan. Berikan kepada mereka hak mereka seluas ianya diluaskan oleh Islam.

Jika keahlian bukan Islam dibenarkan di dalam PAS, anda akan melihat persamaan dan perbezaan di antara ahli muslim dan ahli bukan muslim adalah berdasarkan hak masing – masing yang telah diperincikan hukumnya oleh para ulama kita. Perselisihan adalah keluasan jika ianya digunakan pada tempat dan masanya dengan tepat.   

Yang penting, hari ini PAS telah meneroka sesuatu tidak diterokainya secara serius dahulu. Ia didesak oleh tuntutan semasa yang memerlukan kebijaksanaan menghukum dan melepaskannya di medan yang akan memperjudikan masa depannya yang namakan sebagai ‘usaha’ di sepanjang iman dengan ‘tawakkal’ kepada pemilik perjuangan ini.

Semoga PAS terus gagah memacu perjuangan sucinya.

Salam Kamunting,

1- Cerita olok – olok tanpa ubah suai:

Suatu hari di pagi raya di rumah terbuka MB Kelantan..

“Tok guru, HINDRAF datang ramai sekali bising – bising di luar.” royat seorang jong kako.

“Oo, biarkan mereka masuk. Raya pun buat demo juga ko?” Tanya tok guru.

“Mereka laungkan ‘Bebaskan Nik Adli dari ISA’. Mereka buat replika besar Tok Guru dan Nik Adli sekali.” Sampuk budak Unit Amal di sebelah.

“Oh, terima kasih atas sokongan mereka. Ini baru betul, bising – bising di pagi raya. Mereka nak bertakbir pun boleh saja.” jawab Tok Guru ceria sekali sambil bergerak nak menyambut HINDRAF.

“Ayah, replika tu?” Aku tersengih – sengih tanya pandangan. Tak dak pulak replika aku.. blogger..

“Mereka Hindu. Budaya mereka begitu. Tak tengok ke masa belajar kat India dulu?” Jawab ayah, selamba rock je.

“Replika ayah tu? Besar tu!” aku memuncung mulut ala ‘carburator dung’..

“Duh bagi tahu mereka dekat balik nanti, replika tu tak payah dipacak – pacak kat mana – mana. Islam tak suka cara tu. Kalau mereka tanya kenapa, jawab, orang Melayu Islam tak boleh berlebih – lebih buat semacam patung. Kalau mereka tanya lagi kenapa, jawab, balik tanya Gobalalah. Gobala tahu jawaban tu.  Dia tahu banyak pasal Islam sebab dia dah lama kenal PAS.” Ayah bersyarah. Suruh aku pulak..

“Jangan bagi mereka terasa hati. Banyak duit mereka habis tu nak tunjuk simpati pada kita, AlhamduliLlah” Tambah ayahku mengajar berhikmah. Nasib baik, aku nak rembat je.. Aku sokong 3M. 2M pun sokong.. apatah 2TG!

( jawaban ayah aku tu sebenarnya jawaban aku la. Nama lagi cerita olok – olok. )  

2) Cerita benar dengan ubah suai:

Suatu hari di pagi raya di rumah terbuka PM Malaysia:

“Datuk Seri, HINDRAF datang ramai sekali menjerit – jerit bising – bising di luar. Bangang betul!” Kata seorang tuke kipah.

“Haa, HINDRAF? Tak pa laa. Pak Lah bagi masuk. Aduh, nak apa lagi? Samy Velu dah aku pecat dah..? Mata Pak Lah tercelik luas – luas tanda sedar, tak tidur.

“Mereka laungkan ‘Bebaskan HINDRAF dari ISA’. Mereka junjung replika besar Anwar dan Azizah.” Sampuk mek puteri UMNO di sebelah tuke kipah.

“Mengapa sungguh tak beradab sekali HINDRAF ini. Pembangkang memang tak jaga sopan santun budaya rakyat Malaysia!”

“Guna ISA tu yang lagi tak beradab!” Tiba – tiba tersembur peluru nyaring dari belakang. “Opss, Zaid Ibrahim kata, bukan saya.” Muhyidin Yasin menutup mulut, tersasul pulak. Pecah dahh..

“Tengok tu, dengan Najib pun mereka tak bersalam. Huh, Anwar dah jadi patung dipuja – puja pula. Ini bukan budaya kita! Dah lah gitu, membazirkan wang saja” Jampuk Ali Rustam sambil menyinsing lengan melihat jam tangan baru. Rosmah bagi.. Harga taklah sampai sejuta pun.. 

“Aa aaa, ini haram li zaatihi nih! Yang sembah tugu negara tu haram li ghairihi saja. Niat baik tak apa laa.” Seorang ahli Majlis Ulama UMNO mengeluarkan fatwa pertama selepas dilantik semalam!

Moral cerita: Buat baik dibalas baik, buruk dibalas buruk. Demontrasi adalah isi demokrasi. ISA adalah jenayah rimba. Hapuskan ISA. Jangan jadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Hormati budaya sesama kita. UMNO mabuk lautan lupa daratan.  Ulama UMNO adalah terompah kayu. Elak perpecahan sesama sendiri. Bersatu teguh bercerai roboh. Islam adalah penyelesaian. Sentiasa mencari jalan hikmah. Replika besar manusia hendaklah dijauhi demi menutup jalan syirik. Sokong komen Dato Presiden. Sokong nasihat Dr Asri. Tahniah Unit Amal!

( Malam ni free sikit. Asah bakat berkarat. Skrip ni lulus tak untuk IKIM.FM? )

Salam Ramadhan,

Kewajiban semasa kita di bulan Ramadhan ini selain ibadah puasa adalah zakat fitrah. Ia diwajibkan ke atas setiap muslim, samada lelaki atau perempuan, kecil atau besar, merdeka atau hamba, kaya atau miskin. Ia zakat kepala ( individu ) dan bukan zakat harta yang mensyaratkan cukup nisab.

Zakat fitrah wajib ke atas setiap insan muslim yang hidup saat tenggelamnya matahari akhir hari bulan Ramadhan, memasuki bulan Syawal ( malam hari raya ). Ketua keluarga mestilah melaksanakannya atas diri dan anak buah di bawah tanggungannya. Terkecuali adalah si fakir yang tidak mampu menyediakan makanan untuk dirinya sendiri pada hari raya tersebut.  

Ia mesti dilaksanakan bermula malam raya sehinggalah sebelum solat Hari Raya eidil Fitri keesokannya. Ia harus juga dilaksanakan lebih awal sepanjang bulan Ramadhan. Melaksanakannya selepas solat raya akan menghilangkan pahala dan keberkatan zakat fitrah. Melewatkan pelaksanaannya sehingga terbenam matahari hari lebaran itu adalah berdosa. Zakat fitrah tidak akan luput sehinggalah ianya dilaksanakan.

Kadar zakat adalah segantang makanan asasi setempat ( seperti beras ) atau senilainya dengan wang. Oleh kerana keperluan hari raya orang faqir miskin adalah pelbagai sepertilah kita, maka sesetengah ulama hari ini melihat melaksanakannya dengan nilai wang adalah lebih baik.

RasuluLlah menetapkan kewajiban dengan timbangan makanan atas dua faktor ( menurut ulamak ): Pertama, masa itu matawang adalah sukar dan bukan medium utama jual beli masyarakat Arab. Kedua, Nilai wang tidak tetap. Ia mungkin berbeza – beza mengikut masa, tempat dan suasana, sedangkan timbangan makanan adalah tetap. Secupak hari itu mengeyangkan sejumlah yang sama hari ini.

Hikmat diwajibkan zakat fitrah:

Hadis riwayat Abu Daud daripada Ibni Abbas radiaLlahu anhu, dia berkata: RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam telah memfardhukan zakat fitrah sempena bulan Ramadhan demi penyucian terhadap orang yang berpuasa di atas perbuatan lalai dan buruk yang dilakukan sepanjang puasa, juga demi memberi makan kepada golongan miskin. Barang siapa menunaikankannya sebelum solat ( Eidil Fitri ), maka ia adalah zakat yang maqbul. Barang siapa yang menunaikannya selepas itu, maka ia adalah sedekah ( tiada lagi pahala zakat fitrah walaupun terlaksana kewajiban itu ).

Syeikh Dr Yusuf al Qaradhawi berkata:

Sesungguhnya orang yang berpuasa tidak boleh lari daripada mencampur adukkan puasanya dengan perkara – perkara yang lalai dan buruk seperti perbualan kosong dan bohong yang dia ucapkan atau dengarinya, atau melihat pada perkara yang tidak diharuskan untuknya, atau lain – lain seumpamanya.

Allah taala pula menghendaki agar orang yang berpuasa itu hidup dalam keadaan yang bersih sekali. Tiada lalai dan tiada dosa. Dia menghendaki sebuah kehidupan di bulan Ramadhan seolah – olah sebuah kehidupan di syurga yang disegerakan untuk manusia di dunia ini. Apabila dihina atau diperangi, maka dia tidak boleh membalas cercaan dengan cercaan juga, atau keburukan dengan keburukan, bahkan hendaklah dia membalas keburukan itu dengan kebaikan dan dia berkata, ” Sesungguhnya saya tengah berpuasa. Sesungguhnya saya tengah berpuasa.”

Inilah dia kehidupan orang yang berpuasa dengan puasanya. Bukanlah puasa itu hanya dengan menahan diri daripada makan dan minum. Bahkan ia menahan diri daripada kelalaian dan keburukan, kebisingan dan kejahilan, kebodohan dan kenistaan, kepalsuan dan kebatilan.

Inilah yang Allah tuntut daripada mereka yang berpuasa. Tetapi, siapakah antara kita yang berpuasa yang mampu sampai ke martabat tersebut? 

Sesungguhnya orang yang berpuasa selalu sahaja bercakap lalai dan acap kali dia bercakap nista dan bodoh. Justeru datanglah kefardhuan zakat fitrah di hujung Ramadhan demi membersihkan orang yang berpuasa daripada kemungkinan apa yang akan mengeruhkan kejernihan dan campur baur puasanya itu dengan kekotoran tadi.    

Telah diriwayatkan dalam satu hadis: ” Puasa di bulan Ramadhan itu tergantung di antara langit dan bumi, tidak diangkat ke langit kecuali ditunaikan zakat fitrah.”

Maksud tergantung itu adalah bahawa penerimaan Allah terhadap puasa itu tidak sempurna. Ia tidak sempurna sehinggalah dilaksanakan zakat fitrah tersebut. Dari satu sudut ia membersihkan orang yang berpuasa dan dari sudut yang lain ia memberi kenyang kepada golongan miskin.

RasuluLlah telah bersabda dalam hadis yang lain, ” Cukupkan mereka daripada meminta – minta pada hari raya tersebut.” Jangan dibiarkan si miskin walau seteruk mana faqirnya, sebesar mana keperluannya untuk menghulurkan tangannya meminta – minta pada hari lebaran, hari kegembiraan dan keseronokan.

Wajib ke atas kaum muslimin untuk turut menyertakan golongan miskin bersama – sama bergembira di hari raya tersebut. Justeru zakat fitrah diwajibkan. Ia memberikan golongan faqir sebelum mereka meminta, sebelum dia menjatuhkan air mukanya dan sebelum dia menghulurkan tangannya ( sumber: laman web www.qaradawi.net. )

Islam agama persaudaraan:

Allah suka mengembirakan kita dengan pengampunanNya ke atas kesalahan dan kekurangan yang kita lakukan sepanjang ibadah di bulan mulia ini. Justeru kita dituntut untuk mengembirakan fakir miskin dengan menampung kekurangan mereka demi kegembiraan bersama di hari lebaran.

Apabila anda melihat kewajiban dan hikmat pensyariatan zakat fitrah di atas, jelas sekali untuk kita memahami bahawa Islam adalah ugama persaudaraan antara manusia. Ia telah sedia lama wujud sebelum datangnya seruan – seruan dan slogan – slogan yag sama daripada barat atau timur hari ini.

Ini, apatah anda akan terus meneroka kehebatan Islam berbicara pasal kesamaan dan pembelaan terhadap golongan marhain di bawah dalam setiap serunya. Mereka adalah seperti kita jua.

Jadi, mengapa harus kita memperkecilkan ugama sendiri dengan mendewakan ketinggian ideologi munusiawi yang penuh kepincanagan untuk menyusun cara hidup kita?  

Salam Kamunting,

Sempena kedatangan bulan Rajab yang mulia, saya terjemahkan satu artikel khas oleh asy Syeikh al Qaradhawi berkaitannya. Semoga manfaatnya besar kepada para pembaca blog ini. Saya juga dengan penuh rendah diri memberikan sedikit komentar untuk lebih menjelaskan. Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, blog saya bukanlah blog fiqh Islami. Sekadar melayan rasa perlu. Untuk permasalahan fiqh, rujuklah ke laman yang lebih pakar dan khusus.

Adakah Rajab bulan Allah?

Benarkah bulan Rajab adalah bulan Allah sebagaimana didendangkan di dalam ceramah dan khutbah Jumaat oleh sesetengah pendakwah bahawa ianya dinukilkan daripada hadis nabawy yang berbunyi, ” Rajab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku.”? Apakah hukum meriwayatkan dan menyebarkan hadis yang tidak benar daripada ar Rasul sallaLlahu alaihi wasallam?

Asy Syeikh Dr Yusuf al Qaradhawi menjawab:

Tiada satu pun nas berkenaan bulan Rajab kecuali yang menjelaskan kemuliaannya sebagai salah satu daripada 4 bulan yang haram ( al asyhur ul hurum ) sebagaimana di dalam Al Quran ( at Taubah: 36 ) iaitu Rajab, Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram. Bulan – bulan haram adalah penuh kelebihan.

Tiada satu pun Tihadis yang sahih warid daripada RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam yang menyatakan kelebihan bulan Rajab secara khusus kecuali satu hadis yang hasan: Bahawa RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam paling banyak berpuasa di bulan Syaaban. Lalu baginda ditanya mengenainya. Baginda menjawab, ” Ia ( Syaaban )adalah bulan di antara Rajab dan Ramadhan yang dilalaikan oleh manusia ( kelebihannya ).”

Maka, difahami daripada sabda itu bahawa bulan Rajab mengandungi kelebihan yang telah jelas diingati berbanding Syaaban.

Adapun hadis, ” Rajab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan ummatku.”, maka ia  adalah satu hadis yang munkar ( tak dikenali )dan dhoif jiddan ( terlalu lemah ), bahkan kebanyakan ulama hadis menyifatkannya sebagai sebuah hadis maudhu’ ( palsu ).

Tiada harganya daripada sudut ilmiah mahupun ugama.

Demikianlah segala hadis yang diriwayatkan berkaitan bulan Rajab bahawa sesiapa yang solat sekian maka untuknya sekian dan siapa beristighfar ( di bulan Rajab ) sekali maka untuknya sekian, maka itu semua adalah melampau – lampau dan pembohongan ke atas ar Rasul.

Antara tanda nyatanya pendustaan dalam hadis – hadis tersebut ialah wujudnya perihal kelebihan atau ancaman azab yang melampaui batas. Para ulama berkata, sesungguhnya janji manis dengan pahala yang besar atas amalan baik yang kecil dan janji buruk dengan azab yang pedih atas amalan dosa yang kecil adalah antara tanda bahawa ianya adalah hadis yang dusta dan palsu.

Ini sebagaimana dendangan periwayatan palsu bahawa baginda bersabda, “Sesuap yang dimasukkan ke dalam perut orang yang lapar adalah lebih baik daripada membina seribu buah masjid.”

Hadis – hadis yang diriwayatkan mengenai kelebihan bulan Rajab adalah daripada kategori ini. Adalah menjadi kewajiban ulama untuk menyedari kepalsuan hadis – hadis sebegini dan mengingatkan manusia daripadanya.

Telah warid ( datang ) daripada baginda, ” Barang siapa yang meriwayatkan satu hadis yang dia tahu kebohongannya, maka dia termasuk daripada kalangan yang berbohong juga.”

Tetapi biasanya seseorang itu tidak tahu bahawa dia sedang meriwayatkan hadis yang palsu. Justeru adalah menjadi kewajibannya untuk tahu dan mengambil hadis – hadis daripada sumbernya yang betul.

Di sana terdapat kitab – kitab hadis yang muktamad ( dipegang ) dan terdapat kitab – kitab yang khusus menyatakan mengenai hadis – hadis yang lemah dan palsu seperti‘al Maqasid al Hasanah’ oleh as Sakhawi, ‘Tamyiz al Thayyib min al Khabith lima yaduru ‘ala alsinati an nas min al hadith’ oleh Ibn ad Diba’, ‘Kasyf al khafa wa al ilbas..’ oleh al ‘Ajluni dan banyak lagi yang sayugia diketahui oleh para khatib dan penceramah ugama.

Mereka mesti menekuninya sehingga tidak lagi meriwayatkan kecuali hadis – hadis yang dipercayai kesahihannya. Hadis – hadis palsu ini sebenarnya adalah antara penyakit yang meracuni thaqafah Islamiah kita umat Islam. Ia tersebar melalui lidah para penceramah, buku – buku dan cakapan awam sedangkan ia adalah dusta dan anasir perosak dalam agama kita. 

Adalah sayugia kita menyucikan dan menjernihkan thaqafah Islamiah kita daripda hadis – hadis jenis ini.

Terjemahan dari laman http://www.qaradawi.net

 

Komentar: 

Telah datang bulan Rajab yang mulia. Menggandakan ibadah di bulan ini adalah digalakkan. Kelebihannya adalah kerana ia termasuk daripada 4 bulan yang haram ( dimuliakan Allah ) sebagaimana disebut di dalam Al Quran. Ia mulia sejak terciptanya langit dan bumi lagi.

Ibadah puasa di bulan ini adalah digalakkan. Ia menjadi muqaddimah kepada sambutan kedatangan Ramadhan al Mubarak. Ia menjadikan kita lebih bersedia untuk menyambut juadah pahala dan rahmat pengampuan  tuhan yang lebih besar di bulan tersebut.

Berpuasalah pada hari – hari terpilih seperti Isnin dan khamis dan teruskan sehingga Ramadhan. Tambahkan bacaan Al Quran dan ibadah – ibadah lain. Insya Allah, keselesaan akan lebih terasa di bulan Ramadhan nanti.

Di negara kita, penyebaran hadis – hadis yang palsu dan dusta masih banyak berlaku termasuk hadis – hadis berkaitan kelebihan Rajab. Ia mungkin tanpa disedari disebabkan kejahilan dan kurangnya pendedahan pengajian ilmu hadis di kalangan penceramah ugama. Apapun, ia tetap satu kesalahan besar jika dipandang ringan. Asy Syeikh al Qaradhawi memberi peringatan yang jelas akan bahaya ini dan mencadangkan penyelesaiannya. Justeru setiap kita mesti ambil cakna terutama para ilmuan ugama.

Ayuh, bersegeralah melakukan ketaatan dan kebajikan di bulan mulia ini. Hayatilah juga peristiwa al isra’ wa al mi’raj.

Baca juga: Hukum bertepuk tangan

Salam Kamunting,

Rasanya elok juga saya menyertai rakan – rakan daripada kalangan ustaz yang banyak menulis mengenai pendapat – pendapat ulama’ muktabar dalam hukum fiqh Islami bagi membantu dan mendekatkan khalayak pembaca mencapai jawaban dalam hukum agama mengenai sesuatu masalah.

Bezanya laman saya ini bukan laman fiqh Islami sebagai terasnya. Juga, saya sekadar menterjemahkan pendapat ulama’ sepenuhnya tanpa membuat perbandingan dan mengemukakan pendapat sendiri. Cuma, hukum itu adalah pilihan saya. Juga, saya pilih sesuatu isu berdasarkan apa yang saya fikir sesuai untuk umum mengetahuinya.

Maaflah ya, saya tidak bersedia untuk menjadikan laman ini sebagai ruang soal jawab fiqh hukum. Jadi, jangan tanya persoalan hukum jika anda merasa kecewa kalau saya tidak menjawabnya segera. Saya pilih apa yang sesuai untuk dijawab bergantung kesesuaian dan keluasan masa yang ada. Rujuklah ruangan soal jawab ugama yang lebih luas dan terkenal.  

Hukum fiqh penuh perbezaan pendapat. Jadi, pendapat pilihan saya ini janganlah menjadi medan pertikaian yang tak perlu. Nak bahas juga, bincang di tempat lain. Saya menghormati semua pendapat yang bertentangan.

Oleh kerana saya terlalu terkesan dengan ketokohan Asy Syaikh Al Qardhawi dan kekuatan ijtihadnya, saya mungkin banyak menterjemahkan pendapat beliau. Berbeza dengan cara saya dalam muzakarah buku ‘ugama dan politik’ karangan beliau yang lebih berbentuk intipati dan ringkasan, saya terjemahkan sepenuhnya tulisan beliau. Ini kerana hukum fiqh berbentuk istidlal dan pendalilan yang amat terperinci dan halus. Saya bimbang ringkasan saya menjauhkan, tidak mendekatkan.

Cuma, saya mungkin membuat ulasan sendiri sekadar perlu di akhirnya. Semoga ada manfaatnya di neraca amal di akhirat nanti. WaLlahu a’lam.

Saya mulakan dengan hukum bertepuk tangan, bersorak dan bersiul. 

Hukum bertepuk tangan, bersorak dan bersiul

Tepuk tangan:

Memukul dengan kedua – dua belah tangan yang menghasilkan bunyi yang didengari. Apabila diulang ia boleh menghasilkan bunyi yang tersusun. Dalam bidalan ada disebut, sebelah tangan tak menghasil tepukan ( Bertepuk sebelah tangan ).

Manusia bertepuk tangan dengan beberapa tujuan:

1) Memberi peringatan seperti apabila ingin memasuki rumah seseorang atau ingin mengingatkan tuan rumah atau ahlinya mengenai kehadirannya, lalu dia menepuk tangan.

Inilah yang warid dan datang dalam hadis yang membenarkan wanita yang menjadi makmum dalam solat jamaah ketika mahu mengingatkan imam yang tersalah untuk menepuk kedua tangannya dari belakang saf agar imam sedar dan kembali membetulkan.

Dalam Hadis sahih, ” Barang siapa yang ingin membaiki kesalahan dalam solat hendaklah dia bertasbih ( dengan berkata ‘subhanaLlah‘ ). Sesungguhnya apabila dia berkata demikian, imam akan berpaling kepadanya ( memberi perhatian ). Dan sesungguhnya bertepuk tangan itu adalah khusus untuk wanita.”- Hadis muttafaqun ‘alaihi ( Al Bukhari dan Muslim ) daripada Sahl Ibn Saad sebagaimana dalam Al Lu’lu’ Wal Marjan (243).

Dalam Hadis lain, ” Bertasbih adalah untuk lelaki, manakala bertepuk adalah untuk wanita.”. – Hadis muttafaqun ‘alaihi ( Al Bukhari dan Muslim ) daripada Abi Hurairah sebagaimana dalam Al Lu’lu’ Wal Marjan (1204). Maksudnya, ketika dalam solat.

2) Melahir kegembiraan seperti memukul dengan bantuan kompang atau alatan lain dengan alunan yang tersusun yang menghasilkan bunyi yang berimbang sebagaimana kita saksikan dalam lagu – lagu negara Teluk dan sebagainya.

3) Memuji dan memandang baik terhadap sesuatu perkara sebagaimana kita saksikan para penonton memberi tepukan tangan untuk penyair selepas mendeklamasikan sajak dan syairnya, atau  tepukan untuk pemidato yang berjaya menyentuh emosi khalayak pendengar sehingga sebaik saja mereka menyudahkan ucapan, dewan terus bergema dengan tepukan dan sorakan puji – pujian daripada para hadirin.   

4) Beribadah. Inilah yang telah dilakukan oleh golongan Arab Quraisy jahiliyyah dan seumpamanya dalam ibadah mereka di Masjidil Haram dengan bersorak dan bersiul. Dan Itulah perbuatan yang diingkari oleh Al Quran di dalam firman Allah yang bermaksud :   ” Tiadalah solat/ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ dan tashdiah. ”  Al Anfal: 35.

Al Qurtubi berkata:  Berkata Ibnu Abbas: Masyarakat Quraisy jahiliyyah melakukan tawaf di Masjidil Haram dengan bertelanjang, bertepukan dan bersiulan. Pada pandangan mereka ia merupakan satu ibadat. Muka’ bererti bersiul, manakala tashdiah bererti bertepuk tangan. Itulah pandangan Mujahid, As Suddi dan Ibnu Umar.

Daripada Qatadah: Muka’ bererti bertepuk dengan tangan, manakala tashdiah bererti bertempik dan bersorak ( ini berbeza dengan pandangan oleh Mujahid tadi ).

Untuk tujuan yang pertama tadi, ia jelas harusnya di sisi syar’. Tiada siapa pun yang membantah. Untuk tujuan yang keempat juga jelas sekali pengharaman dan tegahan ke atasnya kerana ia merupakan pensyariatan ibadah yang tidak pernah diizinkan oleh Allah.

Hukum ini juga diterima pakai ke atas sesetengah golongan ahli sufi yang melakukan perbuatan tadi dalam amalan mereka. Ini seperti kata Al Qurtubi: Ini adalah jawaban ke atas golongan yang jahil daripada golongan sufi yang menari dan bertepuk dalam ibadah mereka. Ia adalah perkara mungkar yang ditolak oleh mereka yang berakal yang bersih daripada kekarutan itu. Pelakunya telah menyerupai/ tasyabbuh dengan perbuatan ibadah kaum musyrikin di Masjidil Haram.

Kami telah sebut pendapat Al ‘Izz Ibnu Abdus Salam dalam bicara hukum menari sekejap tadi ( dalam bukunya – pent ).

Hukum bertepuk dengan tujuan melahir kegembiraan dan memuji.

Berbaki dua perkara iaitu tujuan kedua dan ketiga perbuatan bertepukan seperti yang kami huraikan tadi iaitu dengan tujuan melahirkan kegembiraan dan keseronokan, juga untuk  melahirkan rasa kagum dan memandang baik terhadap sesuatu perkara. Apakah hukum syar’ie dan apakah pendapat fiqh semasa mengenainya?

Hakikatnya, saya tidak menemui sebarang dalil yang muhkam dan kata putus daripada Al Quran dan As Sunnah mengenai pengharaman dan tegahan ke atas kedua – keduanya.

Mungkin sesetengah pendapat mengambil dalil daripada ayat  dari ayat 35 Surah Al Anfal tadi yang bermaksud: ” Tiadalah solat / ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ dan tashdiah.” 

Tetapi ini adalah pengambilan dalil yang bukan pada tempatnya. Ini kerana ayat tersebut adalah tertuju kepada mereka yang melakukan ibadat dengan cara bertepuk sedangkan di sini tujuannya lain yang tiada pengertian ibadah di dalamnya.

Mungkin juga sesetengahnya mengambil dalil daripada Hadis Nabi sallaLlahu alihi wasallam yang bermaksud: ” Sesungguhnya tepukan itu hanyalah untuk wanita.” Sudah nyata larangan lelaki menyerupai wanita. RasuluLlah sendiri telah melaknati lelaki yang menyerupai wanita.

Tetapi adalah jelas dan maklum bahawa hadis tadi warid dan datang khusus mengenai bertepuk di dalam solat. Maka ia tidak boleh menjadi dalil untuk menegah lelaki daripada bertepuk di luar solat. Inilah yang disebut oleh Al Imam Ibnu Hajar Al Haitami. Beliau juga menyebut bahawa larangan menyerupai wanita itu adalah pada perkara yang memang khusus untuk wanita   ( seperti jenis pakaian, perhiasan dan seumpamanya – pent ) . Adapun bertepuk, ia bukan perkara khusus wanita sahaja.

Kata beliau: “Dan saya  nyatakan di dalam Syarhul Irsyad bahawa ianya makruh… Yang paling sahih dalam perkara ini, ianya halal dan harus.”

Berbaki satu hujah iaitu  perbuatan bertepuk adalah amalan bukan islamik. Ia adalah amalan orang barat yang telah dibawa masuk ke dalam masyarakat Islam. Kita dilarang menyerupai orang – orang bukan Islam.

Jawabannya: Sesungguhnya kita dilarang menyerupai mereka di dalam perkara – perkara khusus ugama mereka dan cara ibadat mereka. Adapun perihal duniawi, maka tiada sebarang larangan untuk kita meniru mereka apabila ia bebas daripada larangan syara’ atau kerosakan yang ditegah syara’.

Asy Syaikh Dr Yusuf Al Qaradhawi.

Terjemahan petikan daripada kitab ‘ Fiqhul Lahwi Wat Tarwiih’.

………………………………

Komentar:  Saya lebih cenderung untuk menggalakkan hadirin menunjukkan kegembiraan dalam majlis – majlis tertentu dengan cara bertepuk tangan. Antaranya majlis anak – anak PASTI terutama hari penyampaian hadiah dan sukan PASTI. Tepukan memberi ransangan yang baik untuk membina jati diri anak – anak. Saya selalu menyaksikan kejayaan anak – anak tanpa diiringi suasana senyap tanpa tepukan. Sungguh memilukan! 

Antaranya, majlis tertentu yang dihadiri khalayak umum termasuk bukan Islam. Ini lebih mengisyaratkan kemudahan dan kemesraan. Jika kita hanya tersenyum ketika mereka bertepuk, ia memberi isyarat perbezaan pada ciri – ciri muslim yang tidak perlu.

Adapun majlis ugama dan politik Islam, laungan takbir tiada penggantinya. Pas melaksanakannya dengan penuh pujian. AlhamduliLlah.

Jadi, jangan segan bersorak, bertepuk dan bertakbir pada himpunan rakyat 100 ribu nanti!! WaLlahu a’lam.

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Mei 2024
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa