You are currently browsing the category archive for the ‘kelahiran’ category.
Salam Kamunting,
AlhamduliLlah, saya telah dikurniakan cahaya mata yang kelapan beberapa hari yang lepas. Tiada selepas Allah yang maha agung selain isteri sayalah tempat saya menghambur rasa dan kata syukur di atas pengorbanan dan kemulusannya menghiasi mahligai kehidupan kami dengan anak – anak yang menyejukkan mata.
Nik Sana Imani adalah anak perempuan kami yang ketiga. Saya terpaksa tundakan majlis jamuan aqiqah dan berpada dulu dengan sunnah bercukur yang disempurnakan oleh ayahanda Tuan Guru di Klinik al Nisa’, Kota Bharu. Bayi comel kami terpaksa diletakkan balik di bawah jagaan doktor selepas dilihat demam kuning dan alhamduliLlah, kini sembuh sepenuhnya.
Anak – anak adalah penghias kebahagiaan dan kehidupan. Mereka adalah anugerah dan mereka juga adalah ujian. Selepas iman dan perjuangan yang istiqamah di dunia ini, nabi – nabi dikurniakan dengan zuriat yang solehah dan menjadi talian hayat yang paling gagah buat menyambung perjuangan tauhid.
Pada musim haji yang sedang menyinsing ini, kita mengingati sejarah agung nabi Ibrahim dan penyambung perjuangannya, nabi Ismail alaihimassalam. Kedua – dua mereka adalah cerita anugerah dan cerita ujian yang agung dalam memahami sunnah Allah terhadap hamba – hambaNya.
Janganlah lupa menoleh kepada orang yang tidak mungkin dilupakan, seorang ibu yang kental, Siti Hajar yang agung. Ceritanya menjadikan cerita kedua – duanya hidup dan bernafas sepanjang zaman untuk menjadi pedoman dan cahaya buat setiap mahligai muslim yang terbina.
Terima kasih buat isteri tersayang. Pengorbananmu menghijau rimbun kehidupanku. Tiada wajah seikhlas wajahmu.
Buat anak – anak tersayang, kamulah perhiasan menyinari istana bahagia. Kamulah sebenar – benar cahaya mata ayah dan ibu yang menyejukkan jiwa dan sanubari. Semoga kamu diciptakan untuk menjadi ahli syurga Allah yang kekal abadi.
Anak – anak kami; Nik Ahmad Shah Waliyullah, Nik Mus’ab ‘Umairi, Nik Nurana Nazeehah, Nik Izzuddin Qassam, Nik Zati Maisuri, Nik Abdul Mun’im, Nik Ahmad Saif Mudzaffar dan Nik Sana Imani.
Selamat datang adik Sana
Wajah ibu mawar menguntum
Tangismu seindah kicauan burung
Wajah ayah secantik ibu
Dengarlah azan sambutlah iqamah
Abangmu biarlah jadi pak imam
Tidurlah lena di awal malam
Kakakmu asyik mahu ketawa
Marilah kita menghias bersama
Rumah kita bertandang bahagia
Komen Terbaru