You are currently browsing the category archive for the ‘ISA’ category.

Salam Kamunting,

Dia bertanya dalam bingung, “Bila ISA akan dimansuhkan?” Saya menjawab, menambah bingungnya, “Bila tiada lagi soalan ini daripada orang seperti kamu.” Dia jadi bengang pula dengan jawaban saya, lantas saya segera menyudahkan jawaban saya, “Kamu kena tanya, bila lagi nak turun buat demo anti ISA?”

Saya harap jawaban ringkas itu difahaminya. Dia tak bengap macam puak pro ISA yang bingung, bengang dan bengap itu. Dia kawan saya dan kawan saya semuanya anti ISA, hatta yang masih duduk dalam UMNO dan masih simpati pada UMNO. Kawan yang asyik nak tengok wujudnya kerajaan perpaduan UMNO-PAS yang telah diharamkan sebutannya dalam PAS kerana ianya bukan daripada idea PAS pun.

Yang akan memansuhkan ISA adalah rakyat. Jika Dato Seri Najib Tun Razak memansuhkannya, maka ia pastinya adalah atas tekanan dan kehendak rakyat. UMNO tidak mungkin memansuhkan ISA. Tidak mungkin! Tak percaya, tanyalah yang nampak cerdik sikit dalam UMNO seperti Zahid Hamidi. Dia akan jawab mustahil. Itu yang nampak cerdik. Janganlah tanya pada yang bodoh – bodoh daripada kalangan mereka, kelak hati anda akan sakit tak pasal – pasal. Mereka akan jawab, demi Allah, dengan darah, nyawa dan jiwa raga, ISA kami akan pertahankan.

UMNO tak akan cerdik sehinggalah rakyat menjadikannya cerdik. Kerja UMNO adalah membodohkan rakyat. Ia perjuangan bersilang. Samada rakyat jadi bodoh kerana UMNO atau UMNO jadi cerdik kerana rakyat. Jika UMNO tak mahu jadi cerdik juga di zaman rakyat dah jadi cerdik bijaksana ini, UMNO akan tumbang. Esok lusa, UMNO pasti tumbang.

Jangan tanya bila UMNO nak tumbang? Tanya, bila nak turun lagi buat demo? Itulah soalan rakyat yang dah cerdik dan tak dimakan bodoh UMNO!

Demontrasi, atau tunjuk perasaan atau turun beramai – ramai di jalan raya di sisi pemerintah adalah menyusahkan awam, merugikan negara dan kerja sia – sia buat diri sendiri. Hatta di Iran sekalipun, demontrasi adalah menakutkan pemerintah.

Sebabnya hanya satu. Demontrasi cukup menekan dan paling berkesan menekan dalam damai dan aman. Kerajaan yang memerintah akan tertekan. Sesiapapun tak suka ditekan, apatah jika mereka ditekan di atas kesalahan yang mereka lakukan. Lantaran itu, kerja pemerintah adalah memburukkan pandangan rakyat terhadap demontrasi, menghalangnya dan menggagalkannya sekalipun ia terpaksa dibayar nyawa dan darah.

Dengan apa yang kerajaan kita dah lakukan untuk mengekang penglibatan rakyat dalam demontrasi, ia sudah cukup untuk menghalang rakyat menyertainya. Siapa berani nak bertempur dengan polis dan FRU yang siap dengan tukul dan kapak, juga air kencing penzalim yang disembur ke atas rakyat sampai muntah – muntah jadinya? Sedang syarat penyertaan dalam demontrasi adalah tanpa membawa apa – apa senjata kecuali tangan kosong untuk mempertahankan diri jika dikerjakan tukul dan kapak itu?  

Tetapi malang bagi kerajaan! Sial buat kerajaan bila melihat rakyat dah semakin berani. Mereka keluar di jalan – jalan raya dengan hanya berbekalkan secubit garam dan sedikit air buat menahan diri dari sesak nafas, muntah – muntah dan tersungkur di hadapan penzalim. Malanglah buat kerajaan kerana kebanyakan mereka adalah anak – anak muda berpendidikan tinggi, wanita – wanita berjiwa jantan dan orang – orang tua yang berjiwa muda.

Apabila darah menjadi murah di hadapan hak dan maruah diri, kebenaran pasti di ambang kemenangan.

Jangan tanya bila? Tanya, bila lagi kita nak turun di jalan raya? Tanya, bila lagi nak demo anti ISA?

Ketika saya mundur ke belakang mengelak muntah dan rebah, saya masih melihat kelibat anak – anak muda yang tetap tegap, menari – nari dan melambai – lambai ke arah FRU yang menerkam bagai harimau terlepas sangkar. They love trouble!

Kenapa ini berlaku? Jawabnya satu. Rakyat sudah lama ditekan. Kini giliran pemerintah untuk ditekan. Mula – mula anda melihat tekan – menekan berlaku. Tetapi sunnah Allah akan mengambil tempat. Hari – hari itu adalah gilir – menggilir. Esok adalah giliran rakyat. Giliran kebenaran naik ke atas!

Jangan tanya bila? Nak jawaban juga, jawablah, esok. Besok!

Apabila kebenaran naik ceding, digilai dan dipuja, kebatilan akan lenyap dan hilang tanpa tunggul. Buih mana ada tunggul?

ISA adalah kebatilan dan lambang kebatilan pemerintah negara. Jika anda membilang – bilang kebaikan pemerintah hari ini, mari saya bilangkan untuk anda kebaikan Firaun!  

Pemerintah yang baik dan adil bukanlah yang membuat kebajikan, tetapi yang menolak kejahatan daripada rakyat. Anda menyelimuti bangkai dengan hamparan permaidani merah. Anda menaungi tanaman ganja dengan rimbunan jagung. Anda mungkin dikagumi, tetapi anda adalah Firaun rakyat!

ISA adalah bangkai jahiliyah. ISA adalah jerangkap samar buat kebenaran yang tersembol di hadapan rakyat. ISA adalah pedang terhunus buat memenggal kebenaran dan pejuangnya. Di dalamnya anda melihat orang – orang jahat seperti komunis, penyeludup dan pembunuh, tetapi mereka hanyalah benteng berguna buat pemerintah menutupi kebenaran yang dicekik dan dipancung. Di sebalik mereka adalah himpunan pejuang – pejuang kebenaran negara yang ditangkap tanpa bicara, tanpa hak mempertahankan diri dan tanpa tuduhan di mahkamah!

Hak kita adalah kebebasan. Kebebasan adalah hak kita semenjak kita dilahirkan ibu. Ibu kita tidak menebuk hidung kita untuk ditarik – tarik bagai kerbau di bendang. Ibu membebaskan kita keluar kerana ibu tahu kita bukan lembu. Kita adalah anak ibu yang tahu untuk pulang kepada ibu yang menyayangi dan membelai. Jika ibu sangsi, ibu memberi hak untuk kita mempertahan diri dihadapannya.

Sedari kecil kita menikmati kebebasan. Ketakutan hanyalah atas kesalahan sendiri terhadap ibu yang menyayangi. Mengapa pemerintah datang untuk menyentap kalung kebebasan ini daripada kita?

Mereka marahkan peragut sedang merekalah peragut rakyat! Mereka marahkan rogol sedang merekalah perogol rakyat! 

Mereka mendakwa dengan ISAlah negara aman. Dengan ISAlah Singapura aman. Dengan ISAlah Amerika belajar menggunakannya memburu pengganas al Qaeda. Mereka mendakwa tanpa ISAlah Thailand huru –  hara. Indonesia huru – hara dan dunia huru – hara.

Bangsatnya dakwaan dan jawaban mereka. Mereka beriman dengan slogan ‘matlamat menghalalkan cara’ yang dicipta jahiliyah dan Yahudi. Asalkan aman, buatlah undang – undang apa pun! Apakah mereka lupa bahawa Firaun juga mengamankan negaranya dengan cara ini? Bukan setakat aman, bahkan dia berjaya menunduk sujudkan rakyatnya. Itulah puncak keamanan.

Apabila manusia sujud pada tuhannya, disitulah hujung keamanan.

Adakah Musa alaihissalam diutuskan untuk membunuh keamanan? Ya, keamanan yang palsu. Adakah Muhammad sallallahu alaihi wasallam diutuskan untuk menghuru – harakan keharmonian sedia ada di Kota makkah? Ya, keharmonian yang palsu sama sekali.

Zahid Hamidi berkata, saya pernah ditahan ISA dan saya akur bahawa itu adalah hak kerajaan! Zahid yang bodoh!!

Pertama, dia akur dia buat salah. Hari ini pengacau ketenteraman negara inilah yang jadi menteri negara!

Kedua, jika dia yakin tak salah tetapi rela juga ditahan ISA, maka inilah hamba negara yang bacul. Lembu pun tahu mempertahankan diri bila diasak.

Ketiga, adakah Zahid menganggap semua tahanan ISA adalah penjenayah sepertinya sehingga tak perlu mempertahankan diri dan hak?

Keempat, adakah Zahid mahu semua tahanan ISA menjadikannya teladan, bahawa sabar itu kunci kemenangan sampai dapat jadi menteri? Atau redha itu kunci ketenangan sampai tak perlulah lawan pemerintah? Teladan adalah akur pada semua nafsu pemerintah walaupun kita benar?

Kelima, adakah Zahid mengira air mata anak – anak dan isteri tahanan adalah air mata kambing biri – biri, sia – sia dan tanpa simpati untuk dihulurkan?

Zahid, kau perlu ada mata, telinga dan hati yang hidup untuk mendegupi jantung rakyat yang dizalimi. Jika kau mahu hati yang hidup, hiduplah bersama mereka yang dizalimi, bukan bersama mereka yang zalim dan menzalimi.

Walau apapun berlaku di hadapan, ISA yang isinya adalah resepi lazat buat makanan penzalim negara, ia tetap akan tumbang dan hancur. Kebangkitan rakyat adalah kerana mereka terhimpit. ISA adalah lambang himpitan dan kesengsaraan pejuang rakyat.

Kebangkitan ini adalah kebaikan. Jika ianya ingin diberkati Allah, kebangkitan mestilah bersama Islam. PAS tugasnya inilah. Bangkit dan bangun bersama Islam!

Hidup hidup, hidup rakyat! Hancur hancur, hancur ISA!

Hidup hidup, hidup Islam! Hancur hancur, hancur BN!

( Harap Bang Mat tak sebut lagi, hidup Beng Hock! Ia slogan kurang berkesan dan tak manis. Kita diajar berkata, hidup Islam! bukan hidup Muhammad! Muhammad sallaLahu alaihi wasallam telah mati. Yang hidup tak mati adalah Islam.)

Advertisements

Salam Kamunting,

1- Cerita olok – olok tanpa ubah suai:

Suatu hari di pagi raya di rumah terbuka MB Kelantan..

“Tok guru, HINDRAF datang ramai sekali bising – bising di luar.” royat seorang jong kako.

“Oo, biarkan mereka masuk. Raya pun buat demo juga ko?” Tanya tok guru.

“Mereka laungkan ‘Bebaskan Nik Adli dari ISA’. Mereka buat replika besar Tok Guru dan Nik Adli sekali.” Sampuk budak Unit Amal di sebelah.

“Oh, terima kasih atas sokongan mereka. Ini baru betul, bising – bising di pagi raya. Mereka nak bertakbir pun boleh saja.” jawab Tok Guru ceria sekali sambil bergerak nak menyambut HINDRAF.

“Ayah, replika tu?” Aku tersengih – sengih tanya pandangan. Tak dak pulak replika aku.. blogger..

“Mereka Hindu. Budaya mereka begitu. Tak tengok ke masa belajar kat India dulu?” Jawab ayah, selamba rock je.

“Replika ayah tu? Besar tu!” aku memuncung mulut ala ‘carburator dung’..

“Duh bagi tahu mereka dekat balik nanti, replika tu tak payah dipacak – pacak kat mana – mana. Islam tak suka cara tu. Kalau mereka tanya kenapa, jawab, orang Melayu Islam tak boleh berlebih – lebih buat semacam patung. Kalau mereka tanya lagi kenapa, jawab, balik tanya Gobalalah. Gobala tahu jawaban tu.  Dia tahu banyak pasal Islam sebab dia dah lama kenal PAS.” Ayah bersyarah. Suruh aku pulak..

“Jangan bagi mereka terasa hati. Banyak duit mereka habis tu nak tunjuk simpati pada kita, AlhamduliLlah” Tambah ayahku mengajar berhikmah. Nasib baik, aku nak rembat je.. Aku sokong 3M. 2M pun sokong.. apatah 2TG!

( jawaban ayah aku tu sebenarnya jawaban aku la. Nama lagi cerita olok – olok. )  

2) Cerita benar dengan ubah suai:

Suatu hari di pagi raya di rumah terbuka PM Malaysia:

“Datuk Seri, HINDRAF datang ramai sekali menjerit – jerit bising – bising di luar. Bangang betul!” Kata seorang tuke kipah.

“Haa, HINDRAF? Tak pa laa. Pak Lah bagi masuk. Aduh, nak apa lagi? Samy Velu dah aku pecat dah..? Mata Pak Lah tercelik luas – luas tanda sedar, tak tidur.

“Mereka laungkan ‘Bebaskan HINDRAF dari ISA’. Mereka junjung replika besar Anwar dan Azizah.” Sampuk mek puteri UMNO di sebelah tuke kipah.

“Mengapa sungguh tak beradab sekali HINDRAF ini. Pembangkang memang tak jaga sopan santun budaya rakyat Malaysia!”

“Guna ISA tu yang lagi tak beradab!” Tiba – tiba tersembur peluru nyaring dari belakang. “Opss, Zaid Ibrahim kata, bukan saya.” Muhyidin Yasin menutup mulut, tersasul pulak. Pecah dahh..

“Tengok tu, dengan Najib pun mereka tak bersalam. Huh, Anwar dah jadi patung dipuja – puja pula. Ini bukan budaya kita! Dah lah gitu, membazirkan wang saja” Jampuk Ali Rustam sambil menyinsing lengan melihat jam tangan baru. Rosmah bagi.. Harga taklah sampai sejuta pun.. 

“Aa aaa, ini haram li zaatihi nih! Yang sembah tugu negara tu haram li ghairihi saja. Niat baik tak apa laa.” Seorang ahli Majlis Ulama UMNO mengeluarkan fatwa pertama selepas dilantik semalam!

Moral cerita: Buat baik dibalas baik, buruk dibalas buruk. Demontrasi adalah isi demokrasi. ISA adalah jenayah rimba. Hapuskan ISA. Jangan jadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Hormati budaya sesama kita. UMNO mabuk lautan lupa daratan.  Ulama UMNO adalah terompah kayu. Elak perpecahan sesama sendiri. Bersatu teguh bercerai roboh. Islam adalah penyelesaian. Sentiasa mencari jalan hikmah. Replika besar manusia hendaklah dijauhi demi menutup jalan syirik. Sokong komen Dato Presiden. Sokong nasihat Dr Asri. Tahniah Unit Amal!

( Malam ni free sikit. Asah bakat berkarat. Skrip ni lulus tak untuk IKIM.FM? )

Salam Kamunting,

Beberapa kali hati saya tergerak untuk menulis sedikit mengenai kedatangan bulan Zulhijjah yang mulia ini, tetapi keadaan tidak mengizinkan untuk saya segera menulis. Mungkin keadaan musim tengkujuh yang cuacanya agak meresahkan dengan andaian kejadian banjir yang pastinya menggamit kesusahan dan kekalutan yang bakal dialami oleh mangsa banjir di Kelantan dan di Pengkalan Chepa khususnya, telah memalingkan saya daripada melaksanakan hajat di hati ini. Tetapi akhirnya, Perdana Menteri Malaysia, Pak Lah telah ‘berjaya’ memalingkan wajah saya untuk kembali melaksanakan apa yang saya hajatkan itu.

Pak Lah melakukan kerja terkutuk di bulan Zulhijjah yang mulia. Akta rimba ISA mengaum dan mencakar lagi. Mangsanya kali ini adalah penganjur utama perhimpunan HINDRAF yang terdiri daripada masyarakat India rakyat Malaysia yang sedang menuntut keadilan di atas apa yang mereka sifatkan sebagai peminggiran secara halus rakyat berbangsa India di negara ini oleh kerajaan yang memerintah.

Bulan Zulhijjah adalah termasuk bulan – bulan mulia yang empat yang disebut oleh Allah taala di dalam Al Quran. Ia adalah bulan haram sebagaimana adanya tanah haram di bumi ini. Haram bererti kemuliaan dan kehormatan. Bulan – bulan haram adalah Muharram, Rajab, Zulqaedah dan Zulhijjah. Bulan Zulhijjah adalah kemuncaknya dengan kefardhuan ibadah haji di tanah haram Mekah.

Allah mengharamkan bulan – bulan yang empat ini seawal penciptaan langit dan bumi lagi ( lihat  At Taubah ayat 36 ). Ertinya tiada seorang nabi pun yang diutuskan kecuali mereka akan mengajarkan umat mereka tentang kemuliaan dan kehormatan bulan – bulan yang agung ini. Kerana itulah, di sebalik selaput kejahilan dan kelalaian yang panjang yang menyelubungi masyarakat jahiliyyah di Mekah di saat RasuluLlah sallaLlahu alaih wasallam diutuskan, bangsa Arab memuliakannya sungguh – sungguh dengan saling menghalang daripada melakukan kerosakan dan kezaliman.

Peristiwa bersejarah perjanjian Hudaibiyah yang mengubah landskap politik Islam di zaman kenabian di antara kerajaan Islam Madinah dan kerajaan musyrikin Mekah misalnya, termeterai adalah banyak diakibatkan oleh kesedaran mendalam kedua – dua pihak terhadap kesalahan dan kejelikan peperangan di bulan mulia itu, walaupun kaum musyrikin hampir – hampir sahaja melanggar peraturan zaman – berzaman itu kerana kebencian dan kemarahan yang meluap terhadap Islam. Jika tidak kerana ketakutan terhadap baiah agung para sahabat terhadap nabi mereka, sudah pasti mereka melanggarnya.

Begitulah kemuliaan bulan Zulhijjah yang mulia itu terus dihidupkan dengan kefardhuan ibadat Haji ke atas umat Islam. Ia sebagaimana jugalah dihidupkan kemuliaan bulan Ramadhan dengan kefardhuan ibadat puasa ke atas mereka. Ia adalah antara syiar – syiar besar ajaran Islam yang mesti diagungkan. Barang siapa mengagungkan syiar – syiar Allah, sesungguhnya itu adalah menjadi ketandaan sifat taqwa di dalam diri ( Lihat Al Haj ayat 32 ). Kerana itu, umat Islam disunatkan melakukan ibadat puasa di bulan ini sebagai tanda kemuliaan dan kesyukuran.

Jika kita mentelaah secara lebih mendalam akan hikmat pensyariatan hari raya Eidul Adha dan amalan – amalan ibadah haji di Mekah, ternyata ia dipenuhi dengan tuntutan ke arah pengorbanan, kesabaran dan cinta terhdap Allah tuhan yang mencipta, selain tuntutan ke arah kesatuan, muafakat dan kehormatan sesama umat manusia. Ia adalah nostalgia daripada cerita Nabi Ibrahim dan keluarganya alaihimus salam. Maka bulan Zulhijjah adalah terlalu tinggi kemuliaannya di sisi Allah.

Bulan Zulhijjah menggamit ingatan terhadap penghijrahan Nabi Ibrahim dan isterinya ke Mekah, kelahiran Nabi Ismail yang penuh tragis bersama ibunya Siti Hajar, kisah pembenaran cinta seorang nabi terpilih terhadap kekasihnya sang pencipta dengan penyembelihan anaknya sendiri yang masih kecil, pembinaan kaabah dan seruan agung untuk manusia mengimarahkan bumi tanah haram ini. Ia turut menggamit cerita kedatangan tentera Abrahah untuk meruntuhkan kaabah dan pertolongan Allah yang mengalahkan tipu daya musuh.

Tambahlah lagi dengan suasana kehadiran jutaan umat Islam yang berbondongan ke bumi haram di bulan yang haram ini yang pastinya mengingatkan mereka dengan sirah Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam yang penuh pengajaran dan panduan. Nostalgia ini pastinya menjadi hidup sekali dengan menghayati perjalanan perlaksaaan ibadat haji yang bagai memberi nafas yang menyegarkan untuk umat Islam mengingati sejarah agung tersebut. Amalan Tawaf, sa’ie, wukuf, melontar, mengorban binatang ternakan, bercukur dan menziarahi masjid Madinah cukup menyentuh hati setiap tetamu Allah di musim haji itu.  

Kita dituntut sekali memuliakan bulan ini. Kita umat yang sentiasa dituntut menjadi saksi kebenaran, keadilan dan kesederhanaan di bumi ini. Jika kita melakukan dengan penuh kesedaran dan ketaqwaan, sudah pasti orang – orang bukan Islam akan turut terkesan dengan suasana aman dan makmur di bulan ini.

Tetapi kita gagal melaksanakannya dalam kehidupan kita hari ini. Ibadat haji dan Hari Raya Korban tidak dimanfaatkan kesannya yang besar itu melalui pendedahan dan penghayatannya.

Apabila Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi bersuara dalam kenyataannya di dada akhbar bahawa beliau sama sekali tidak akan menyesal dan rasa bersalah jika beliau menanda tangani surat penahanan melalui akta rimba ISA, lalu dilaksanakan dan dikotakan janjinya itu selang beberapa hari, maka inilah perlanggaran terbuka terhadap kesucian dan kehormatan bulan yang mulia ini. Ia dilakukan dengan begitu hodoh sekali oleh orang pertama Malaysia ini yang pastinya begitu diharapkan sekali kebaikan dan kesungguhannya memelihara kesucian ugama Islam ini.

Inilah kemalangan dan tragedi yang merosakkan Islam di sisi masyarakat bukan Islam sementelahan pula penggunaan akta ini dilaksanakan ke atas penganut ugama Hindu yang sedang mengapikan kemarahan yang sepatutnya diredakan dengan penuh hikmah.

Islam dan PAS yang mendukungnya menolak ISA sepenuhnya. Ia lambang kezaliman dan wajah huduh undang – undang yang kering daripada keadilan dan keberkatan. Sejahat mana perbuatan manusia, Islam menuntut pembuktian sebelum penghakiman dibuat. Menteri adalah menteri, bukan turut menjadi hakim juga.

Pak Lah menghina lambang dan syiar Islam yang mesti diagungkan. Pak Lah adalah Perdana Menteri yang direntap sifat taqwa di dalam dirinya. Apa peliknya, nama Islam yang didatangkan dari langit lapis tujuh itu pun telah diubahnya. Apa peliknya? Apa peliknya?

( Selamat Hari Raya Korban untuk semua umat Islam. Semoga Allah mengampuni kita semua. Dan jangan lupa untuk turut melaksanakan ibadat korban. Besar sungguh pahalanya.)

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

September 2017
I S R K J S A
« Jun    
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
252627282930  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa