You are currently browsing the tag archive for the ‘taqwa’ tag.

Tazkirah Ramadhan 30 saat (7)

Bulan Ramadhan bulan al Quran 2

Ya, walaupun al Quran ditolak oleh kebanyakan manusia yang bermula daripada keluarga Rasulullah صلى الله عليه وسلم sendiri di kota Makkah pada peringkat awalnya, Allah tetap dengan rahmat dan kasih sayangNya ke atas umat baginda. Allah telah memilih segolongan manusia untuk menerima, mencintai dan menjunjung al Quran al karim. 

Golongan itu adalah mereka yang memiliki sifat taqwa di dalam hatinya atau digelar al muttaqin.

الم .ذلك الكتاب لا ريب فيه .هدى للمتقين

Maksudnya; “Itulah al kitab (al Quran) yang tiada ragu-ragu padanya (ia daripada Allah) yang menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa.” – al Baqarah;1-3

Golongan inilah yang bermula daripada para sahabat baginda sendiri رضوان الله عليهم telah menjadikan al Quran sebagai petunjuk kehidupan. Mereka telah membina diri, keluarga, masyarakat bahkan tamadun kemanusiaan dengan mengambil isi dan inspirasi al Quran.

Justeru, khulasahnya, tiadalah persediaan dan bekalan terbaik untuk menyambut al Quran dan menerimanya sebagai teman kehidupan selain memiliki sifat taqwa. Dengan sifat yang mulia ini, al Quran akan menerima dirinya untuk bertakhta di dalam dirinya. Beruntunglah mereka yang diterima al Quran sebagai temannya.

Apabila anda memahami ini, maka lihatlah bagaimana Allah, selain menerangkan kebesaran dan peranan al Quran, Dia juga menunjuki kita bagaimana untuk memperolehi nikmat berdampingan dengan al Quran dan menjadi kekasih al Quran. Ia adalah dengan memiliki sifat taqwa. 

Bagaimana memiliki sifat mulia ini? Bukankah ia suatu yang sukar dan memerlukan mujahadah yang besar dan istiqamah yang tinggi?

Ya, tetapi Allah telah memudahkannya dengan memperkenalkan satu kaedah yang mampu dilaksanakan oleh setiap manusia. Kaedah itu adalah dengan ibadah berpuasa yang memuncak dengan kefardhuannya di sepanjang bulan Ramadhan. Setahun sekali sebagai satu riadah intensif yang akan mencambah sifat taqwa secara cepat dan paling berkesan.

Puasa adalah pengekangan terhadap kekuasaan nafsu ke atas diri manusia dan pendidikan terhadap nafsu agar tidak melampaui batasan iman. Ia hakikatnya adalah menjadi penghalang besar manusia menuju Allah dan menyembahNya. Apabila nafsu dibiarkan menguasai tubuh, maka ruh dan taqwanya akan tenggelam dan terlindung. Kerana itulah manusia akhirnya gagal memahami keagungan al Quran al karim.

Maka di bulan Ramadahan yang mulia ini, terhasillah satu pembinaan yang hebat dan satu perayaan yang cukup membahgiakan.

Perhatikan, Ramadhan dimuliakan kerana penurunan al Quran di dalamnya. Kemudian disyariatkan ibadah puasa di dalamnya agar bercambahlah sifat taqwa di dalam diri manusia. Taqwa pula adalah satu-satunya cara untuk mendampingi al Quran dan menjadi temannya. Maka terhasillah di bulan yang mulia ini satu perayaan buat kekasih al Quran.

Berjayalah orang-orang yang mengambil al Quran sebagai sumber utama kehidupan mereka. Selamat menjunjung al Quran di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Tazkirah Ramadhan 30 saat (5) 

Ibadah puasa difardhukan oleh Allah dengan matlamat yang cukup penting bagi setiap insan yang beriman kepada Allah iaitu untuk memperoleh taqwa. 

Taqwa adalah sifat hati yang dengannya, seseorang mukmin memiliki pengenalan, kemampuan dan kekuatan untuk mengelak diri daripada terperangkap dengan godaan dunia yang melalaikan. Dengan sifat tersebut, ia mampu membezakan baik daripada buruk dan berupaya menjauhi perkara yang haram dan melalaikan.

Bagaimana ibadah puasa membibitkan dan mencetuskan sifat taqwa? Mari perhatikan keadaan berikut yang akan membantu orang yang berpuasa;

1) Orang yang berpuasa sanggup meninggalkan kebiasaan hariannya seperti makan, minum, jima’ dan kalam yang melalaikan semata-mata kerana ingin bertaqarrub kepada Allah. Ini adalah dorongan ketaqwaan. Ia melakukannya kerana Allah, bukan kerana menjaga kesihatan, diet, adat dan apa-apa tujuan selain ibadah.

2) Orang yang berpuasa sentiasa melatih dirinya bermuraqabah (merasai kehadiran Allah yang melihatnya) sepanjang masa dengan mengharapkan pahala (ihtisab) daripadaNya. Sifat dan amalan muraqabah adalah jalan terdekat menghimpunkan hati yang terpecah-pecah dengan sifat taqwa.

3) Orang yang berpuasa akan menyukarkan laluan syaitan memasuki tubuhnya. Syaitan berkuasa, dengan izin Allah, menyelinap ke segenap urat anak Adam untuk meracuni dan memperdayakannya. Dengan puasa, laluan menjadi sempit dan sukar. Sementelahan, dengan syaitan iblis diikat di bulan Ramadhan yang mulia ini, pengaruh sinar akal dan ruh akan membenihkan dan mencambahkan sifat taqwa di dalam diri orang yang berpuasa.

4) Orang yang berpuasa akan terdorong untuk menambahkan amal taat yang lain. Ini berlaku disebabkan semangat yang tinggi untuk memperkasakan kesan ibadah puasanya agar diterima Allah. Ibadah taat seperti membaca al Quran, berzikir, solat yang lebih khusyu’ dan berkebajikan sesama muslim adalah antara pemangkin menuju ketaqwaan.

5) Orang yang berada dan murah rezeki, melalui ibadah puasanya, akan merasai keperitan lapar dan dahaga yang merajai kehidupan orang-orang miskin. Ia membibitkan rasa insaf dan perihatin untuk membantu setiap insan dalam kesusahan. Mencintai orang-orang miskin dan amalan kebajikan sesama makhluk Allah adalah antara sifat orang-orang yang bertaqwa.

Begitulah amalan puasa yang begitu berkesan membibitkan sifat taqwa di dalam diri kita. Justeru sayugialah, demi puasa yang dimakbul oleh Allah dan tidak tersia-sia, kita menjernihkan keikhlasan dengan putih berseri dan memalarkan amalan kita dengan kehijauan penuh berseri.

Salam menuju Lailatul Qadr..

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Mei 2024
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa