You are currently browsing the category archive for the ‘umno’ category.
Salam Palestin,
Saya baru siap merumikan kata pengantar oleh ayahanda Tuan Guru kepada kitab tafsir surah al Hujuraat karangan Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang. Kini ia dalam proses untuk diulang cetak dengan kata pengantar tersebut yang saya kira akan menambahkan lagi kekuatan kitab tafsir tersebut.
Ayahanda menulisnya dalam tulisan Jawi. Sememangnya saya tak pernah melihat tulisannya dalam bahasa Rumi. Samada Jawi atau bahasa Arabiah. Saya pula jarang menulis tangan kecuali dalam tulisan Rumi. Anda tahukan, semuanya kerana sistem pendidikan yang saya ( anda juga ) dan ayahanda telah lalui adalah berbeza. Masa saya mula bertatih menulis, tulisan Jawi telah dijahanamkan kehadirannya dalam sistem pendidikan kebangsaan oleh UMNO.
Ia dihidupkan untuk dimatikan saja. Diarsenikkan. Tetapi, ia tidak mati kerana ramai pencintanya yang telah dan akan terus mempertahankannya. Tulisan jawi adalah jiwa bangsa Muslim. Oleh kerana UMNO tiada mempertaruhkan diri untuk Islam, maka dalam pemerintahan UMNO, tulisan Jawi terus dipinggirkan dan jika ia mati, dibakar api dengan dikerat – kerat tulangnya adalah lebih baik daripada dikebumikan.
Saya yakin tulisan Jawi akan kembali unggul menyuburkan dan menyejukkan iklim negara yang panas dan berjerebu. Kerajaan Negeri Kelantan telah berusaha menghidupkan penggunaan tulisan Jawi di dalam penguat kuasaan majlis perbandaran dan acara rasmi. Diawalnya, ia kelihatan sukar, tetapi selepas beberapa lama, syarikat – syarikat besar seperti perbankan dan komunikasi mula akur dan mula seronok untuk bersama kerajaan negeri memperkasakan tulisan Jawi.
Anda boleh melihatnya sebaik berkunjung ke bandar Kota Bharu. Saya juga yakin, dengan anugerah Allah melalui pertabalan Tuanku Sultan yang baru yang berjiwa agama, muda dan perkasa kepada negeri Kelantan dan rakyatnya, tulisan Jawi akan terus memacu menuju martabatnya. Memacu ke depan bersama Islam meninggalkan UMNO yang semakin lemah, tanpa arah dan keseorangan.
Ayahanda agak jarang menulis panjang. Dia pernah menulis dan tulisannya dicetak dan dibukukan. Artikelnya acap diterbitkan lewat majalah – majalah ugama. Tetapi itu dulu, di alam mudanya selepas pulang menuntut ilmu di luar negara. Tetapi, mungkin kesibukannya memenuh masa dengan program kuliah ugama, ceramah dan pidato selepas itu telah menjarakkannya daripada dunia penulisan.
Pun begitu, ayahanda kekal sebagai ulat buku. Saya tidak tahu jika ada sehebat ayahanda yang telah mencecah umur 80an yang begitu ketagih membaca. Mungkin ada, tapi saya tidak tahu. Hari ini, jika saya khatam satu buku, mungkin ayahanda telah habiskan 5 buah buku. Sungguh menakjubkan.
Lebih menarik, bingkisan pengajaran yang menarik dan penuh isi oleh ayahanda telah meruntun beberapa orang muridnya yang mahir menulis untuk mula memindahkan ucapannya kepada tulisan yang dibaca. Sekitar 20 tahun lepas, beberapa buku dilancarkan hasil kerja keras anak – anak muridnya yang telah memindahkan koleksi ucapannya daripada kaset – kaset ceramah.
Buku – buku tersebut telah mendapat sambutan hangat daripada segenap lapisan masyarakat.
Kini, Allah terus membekalkan ayahanada dengan pembantu – pembantunya yang hebat. Bukan hanya pemindahan ucapan dan pidatonya, bahkan ayahanda mula ada sesi khas bersama pembantunya melontarkan idea – ideanya yang luas, lalu disalin dan dikarang menjadi artikel yang bagai tulisannya sendiri. Anda mungkin kerap membacanya di dalam akhbar Harakah dan portal maya.
Saya kira ia bermula semasa saudara Haji Anual Bakri Haron menjadi setiausaha politik ayahanda. Selain beliau adalah Ustaz Mohd saiba Yaacob, Hj Wan Nik Yosof dan Ustaz Haji Ahmad Fadhli Shaari. Kesemua adalah pembantu ayahanda di pejabat Menteri Besar.
Dalam era media baru terkini, ‘facebook’ ayahanda telah mendapat sambutan yang cukup hangat terutama di kalangan belia remaja pencinta perjuangan Islam dan keadilan.
Kerana itu, apabila saya ajukan permohonan Dewan Pemuda PAS agar ayahanda menulis sedikit aluan sebagai kata pengantar kepada tafsir surah al Hujuraat karangan Tuan Guru dato Seri Haji Abdul Hadi Awang untuk dipersembahkan di ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS peringkat Kebangsaan di Rusila pada 1 hingga 3 Oktober 2010 nanti, beliau sanggup tetapi kelihatan agak gusar untuk menyiapkannya.
Saya memintanya menulis sendiri walau sedikit. Selepas beberapa kali bertanya, akhirnya ayahanda menghulurkan saya 4 helai kertas yang sarat tulisannya dalam Jawi. Saya pastinya teruja dengan kesediaannya meluang masa untuk menulis agak panjang. Ketika menyerahkannya, dia berkata, “Baca sendirilah”, seolah – olah meminta saya meneliti dan membaiki kekurangan.
Sambil menulis kembali dalam tulisan Rumi untuk cetakan, saya meneliti isi yang dituangkan ayahanda. Ah, sungguh klasik tulisannya, begitu ‘stylo’ isinya. Saya membiarkan tulisan itu kekal 99% dan anda akan menikmatinya sebagaimana saya, jikapun anda tidak dapat menikmati keindahan khat jawi ayahanda.
Anda mungkin terhenti seketika untuk memahami, tetapi anda pasti telahpun mengecapi kepuasan ketika berusaha memahaminya. Keasyikan itu sungguh menghentikan nafas, bahkan matahari pun terpaku menikmati mukjizat nabawiyyah.
Ayahanda cuba melakarkan kehidupan ini sebagai anugerah Yang Maha Esa yang sungguh agung yang mesti dibalas sebagai ‘mengenang budi’. Rasa budi itulah menghasilkan akhlak dalam kehidupan manusia. Surah al Hujuraat sarat dengan pengajaran Allah agar manusia hidup berbudi dan berakhlak.
Tulisnya, “Supaya tidak terus meraba – raba, Allah dengan limpah kurniaNya mengutus para anbiya’ alaihimus salam sejak zaman – berzaman. Dan terakhir ialah nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Di antara tajuk utama yang ditekan oleh para anbiya’ ialah akhlak; Berbudi kepada pihak yang berbudi. Disebut dalam bahasa ugama; Syukur nikmat.”
Kemudian ayahanda merumuskan, “Mengenang budi atau berakhlak mulia adalah sesuatu yang terlalu sukar dilaksana manusia. Mengenang budi bermakna terpaksa korbankan kepentingan diri untuk kebahagiaan orang lain. Sedangkan naluri tamak, mementing diri adalah watak semula jadi manusia sejak alam kebudak – budakan lagi. Abang biasalah bertegang dengan adik – beradik. Kawan sebelah rumah biasa lihat ibu bapa bertegang sesama jiran. Bahkan kerajaan selalu berperang sesama kerajaan. Rakyat menjadi mangsa dan budi akhlak yang kena pijak.”
Ayahanda tidak lupa memperkenalkan pengarang Tafsir al Hujuraat. Tulisnya, ” Al fadhil Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah di antara ulama turun padang. Beliau berguru di universiti – universiti tanah haram dan di timur tengah.”
Kemudian ayahanda memuji kesungguhan pengarang yang telah berusaha mengubati penyakit yang menimpa umat Islam. Katanya, ” Beliau mengkaji punca rohani manusia berpenyakit syirik. Mengapa orang Islam sendiri ketepikan surat kiriman Allah kepada manusia ( al Quran al Karim ) lalu terpedaya dengan pemikiran manusia. Manusia adalah manusia. Ilmu manusia macam orang kampung mahu baiki komputer rosak. Makin rosak dan jahanam!”
Saya menikmati pujian ulama ke atas ulama yang seperjuangan di dalam jihad menegakkan ugama Islam yang syumul di Malaysia. Ia nikmat yang menjadikan saya membenci sesiapa yang cuba mengeruhkan hubungan sesama ulama demi cita – cita politik dan peribadi yang tohor dan gelojoh.
Semoga Allah menjirus kita dengan limpah rahmat bernaung di bawah kepimpinan ulama dan ahli al Quran.
Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang akan bersama pemuda PAS selama 3 hari dalam program Ijtima nanti. Bersamalah kita menadah dan khatam kitab tafsir karangan beliau nanti.
Anda boleh mula mendapatkan buku cetakan terbaru tafsir tersebut dalam program ijtima perdana di kampung Rusila nanti, insya Allah.
Salam Palestin,
Itu soalannya yang segera terpacul dari mulutnya sebaik saya menghubunginya kembali selepas beberapa kali saya missed call panggilannya semalam. Saya kaget sekejap kerana pada telahan saya dia pasti akan terus bertanya pasal sumbangan yang saya janjikan beberapa minggu lepas untuk misi ke Gaza awal Ogos nanti.
Saya hanya bersedia dengan jawaban untuk itu, bagaimana nak bermadah dan berhelah, saya belumpun buka mulut untuk cari derma dan sumbangan untuk misi jihad itu, sedang hari untuk kumpulan pejuang Palestin Malaysia di bawah kelolaan Cikgu Abdul Hamid Teras Melayu bertolak itu sudah semakin dekat. Tapi lain pula yang Ustaz Norazli Musa Taliban Qandahari terjahkan ke lubang telinga saya. Dia tanpa lapik berlapik bertanya, “Anta sokong perpaduan dengan UMNOkah?”
Saya sengaja melambat – lambatkan permainan, mengacah – ngacah mencari peluang untuk tidak menjawab dalam kaget dan terkejut. “Sapa kata?”, saya buat – buat tak tahu. “Itu ada masuk akhbar, ada orang bagitahu.” Jawabnya. Lagi saya putar, menggelicik, “Anta dah di Gaza ko?” Ko adalah ke dalam bahasa Melayu bersurat. Saya memang payah sebut ke. Bila acu cuba tra sebut ke, terasa macam berlakon drama tv pulak. Keras dan terasa letar di lidah bila sebut kalimah semudah itu. Huh, memang sah penangan budu, kata ore Kelate yang tak jemu – jemu mempromosi kehebatan budu, nama dan rasanya sekali yang sungguh menjelirakan.
Dua hari lepas seorang kawan saya bagitahu bahawa ada Mat Saleh hubungi rakannya nak import budu ke Eropah dengan syarat ia dikilangkan di kilang bertaraf HACCP! Budu Kelantan lebih sedap dari budu bilis Jepun, katanya. Saya lalu dengan segera terfikir, mungkinkah budu ‘dikuarantin’ HACCP nanti akan mengubah ko kepada ke?
“Belum lagi. Dah dekat dah. Hah, Macam mana, dapat tak sumbangan? Hah, betulkah anta sokong perpaduan?” Hah, tengok, tengok. Dia dah keliru dengan acahan saya. Masanya saya merembat ke arah gol!
“Percayalah akhbar tu..” Goolll!
Saya lihat tiga akhbar yang ada di hadapan saya yang menyiarkan pandangan dan jawaban saya terhadap soalan para wartawan yang menyerbu saya sebaik selesai menyerbu ayah saya sebaik selesai upacara perasmian restoran makanan segera Radix Fried Chicken ( RFC ) cawangan Kubang Kerian baru – baru ini. Seorang kawan menelifon saya sebaik membaca liputan. “Mereka siar hok demo, tapi berita RFC tak masuk pulak. Katanya mereka marahkan RFC sebab tak jamu mereka ayam goreng masa tu. Hanya bagi air! Mereka boikot RFC!” Leter kawan saya. Huh, dulu KFC. Sekarang RFC pun nak kena boikot juga ko ( ke )?
Saya lihat Utusan. Baik saja. Lihat Sinar, panjang juga ulasannya. Baik saja. Tengok Berita. Hah, ‘Anak Nik Aziz Sokong Perpaduan UMNO PAS’! Saya baca isinya. Lebih kurang Utusan dan Sinar. Hanya tajuk yang betul – betul karut.
Seperti biasa, saya bermula dengan enggan. Tanya saja ayah. Diakan ada, jawaban dia lebih bagus. Jawaban dia jawaban saya. Itulah bahasa saya dengan rakan wartawan. Tetapi makin dienggan, makinlah mereka mengasak. Akhirnya kenalah saya jawab juga. Begitulah kehidupan, memberi dan menerima.
Saya pernah bertanya ayah saya, bolehkah saya bertemu Najib, atau Pak Lah, atau Tun Mahathir atau siapa saja yang besar – besar? Dia jawab, kenapa tidak boleh? Saya kata, nanti orang marah? Dia kata, kenapa takut orang? Saya kata, mereka lihat itu sensitif? Dia kata, maklumkan dulu pada ketua. Saya kata, pada ayah? Dia kata, tak perlu. Cukup maklum pada ketua pemuda.
Maksudnya, elakkan kekeliruan. Adapun berjumpa, bermuqabalah, bermesra, bertegang leher atau berbincang, cacat dan tohorlah pemikiran politik jika asyik menahan dan menegah diri dari bertemu sesiapapun.
Itulah inti yang saya tipkan untuk rakan wartawan. Itulah tip dari sumber segar al Quran.
Cuma, yang menghalang saya bertemu mereka ialah; Satu, saya tiada apa – apa. Siapalah saya dibanding mereka. Dua, saya bukan ahli Parlimen. Jikalah saya ahli Parlimen, akan saya terkam bilik Najib!
Salam Palestin,
Wujudnya ulama yang menyokong kerajaan sekular yang beragama Islam bukanlah suatu yang pelik dan baru. Sejak aliran pemeritahan sekular di negara umat Islam pasca penjajahan barat ke atas negara Islam bertapak, golongan ulama penyokong inilah yang banyak membantu ke arah ketahanan dan penerusan aliran ini sehingga hari ini, walau pun wujud faktor – faktor lain yang mungkin lebih besar.
Di negara – negara Arab, kebangkitan perjuangan ke arah Islam yang syumul yang dipelopori oleh gerakan al Ikhwan al Muslimun dan jamaah – jamaah Islam yang lain banyak direncat kemajuannya oleh fatwa, hukum, pandangan dan penentangan daripada segolongan ulama yang terus menyokong pemerintahan sekular di negara mereka.
Mereka menjadi sebab besar kekeliruan umat dan rakyat di dalam memahami perjuangan Islam, bahkan di dalam memahami agama Islam yang benar dan asli.
Sebelum rakyat tewas, ulama ini telah tewas lebih awal. Mereka gagal berperanan kerana mereka sendiri memiliki tubuh yang cacat dan terencat di sana sini. Era penjajahan yang panjang mewariskan Islam yang semakin terpinggir daripada arus depan dan atas. Pengajaran dan pendidikan Islam yang merupakan nadi kekuatan umat telah menjadi mangsa serangan musuh yang dirancang rapi untuk dirosakkan sehingga ke akar umbinya.
Maka lahirlah di muka depan umat sebuah Islam dalam maknanya yang tidak asli, layu dan jauh daripada pejuang dan pendukungnya yang benar. Inilah Islam yang didokong oleh ulama jenis tadi dan merekalah yang mendodoinya sehingga para pemerintah sekular muslim menjadikan mereka sebagai tongkat yang memeberi mereka kekuatan untuk terus menjadi penguasa yang batil ke atas umat Islam sehingga kini.
Mereka ini cukup untuk digolongkan dalam dua aliran;
Pertama, aliran nifaq dan penipu yang hidup untuk dunia. Inilah golongan yang menjual agama dengan kehidupan dunia. Apabila didesak dan ditanya mengapa mereka sanggup membelakangi kebenaran, mereka tidak segan untuk menjawab bahawa kami hanya mahu cari makan, kami mahu keselesaan sebagaimana orang lain, kami memilih untuk menjauhi pertembungan dan kemudharatan dan kami sudah diberi kedudukan baik untuk menyebarkan Islam (Islam yang cacat)!
Ulama al su’. Ulama jahat. Inilah nama yang dilabelkan ugama ke atas golongan ulama jenis ini yang sering diperingatkan oleh Allah dan rasulNya sallaLlahu alaihi wasallam dengan azab yan pedih daripada sisi Allah kerana menyembunyikan kebenaran dan meredhai kemungkaran di hadapan mereka.
Kedua, aliran lemah dan jahil mengenai perjuangan Islam dan dakwah. Dalam denyut dan nada yang ikhlas untuk ugama, mereka menyeru kepada Islam sedangkan mereka sebenarnya memimpin dan menunjuk kepada kesamaran dan kekeliruan. Ia bermula daripada kefahaman mereka sendiri terhadap Islam, dakwah dan perjuangan yang cetek dan lemah.
Mereka mengenali Islam dan mempelajarinya di luar lingkungan praktikal perjuangan, sedang ugama ini mestilah difahami dan dihidupkan di dalam dunianya, acuannya yang ditetapkan Allah. Acuan Allah.
Aliran kedua ini bukanlah seburuk aliran pertama yang telah rosak keikhlasan dan telah membesar kerakusan mereka terhadap habuan duniawi yang diterima. Aliran ini walau bagaimanapun adalah penyakit yang perlu dirawati dan rawatannya adalah rumit kerana ia melibatkan kumpulan pemuka ugama yang kepada merekalah tergadai kepercayaan umat dan ke atas merekalah tanggung jawab memimpin umat ini.
Sekarang saya perturunkan beberapa inti dan persoalan, yang menjadikan aliran ini terus gagal untuk bersama dalam kelompok perjuangan Islam yang syumul yang berjalan di atas sunnah al Rasul yang jelas dan terang benderang;
1) Perihal sekularisme: Aliran ini walaupun memahami bahaya sekularisme tetapi masih meladeninya dan menganggap ia bukan bahana besar umat dan boleh diubati dengan mudah melalui nasihat dan teguran terhadap pemerintah. Justeru mereka kekal mendukung pemerintah sekular dengan harapan mampu mengislamkan mereka.
Sebaliknya, aliran perjuangan Islam memutuskan bahawa sekularisme adalah punca utama kejatuhan umat Islam dan ia menjadi senjata ampuh musuh untuk menghancurkan tamadun Islam dan umatnya. Justeru gerakan Islam melihat bahawa kebangkitan Islam dan kemajuannya tidak mungkin tercapai sehinggalah faham sekularisme ini dicabut dari akar umbinya dengan menukar pemerintahan negara kepada pemerintah Islam yang tulen dan syumul.
2) Perihal faham kebangsaan: Aliran ini melihat semangat kebangsaan adalah tidak bertentangan dengan Islam. Melayu adalah Islam dan Islam adalah Melayu. Maka kedua – duanya berkepentingan bersama. Justeru apabila pemerintah menjadikan kebangsaan sebagai dasar pemerintahan, mereka mempertahankannya dan melihatnya sebagai kemenangan untuk Islam.
Sebaliknya, aliran perjuangan Islam yang syumul melihat faham nasionalisme adalah umpan penjajah yang dilepaskan ke seluruh dunia Islam untuk menjauhkan mereka daripada Islam yang bersifat sejagat dan juga untuk memecah – belahkan kesatuan umat Islam sedunia agar menjadi lumpuh dan kekal tewas selama – lamanya. Justeru memerangi fahaman ini dengan menukarkannya dengan fahaman Islam yang menyeluruh, sejagat dan sederhana di sisi perjuangan Islam adalah kewajiban yang mesti dilaksanakan. Oleh kerana pemerintahan semasa umat mendukung dan membenih fahaman ini, maka mereka wajar ditukar dengan pemerintahan Islam yang sebenar.
3) Perihal teguran dan jihad terhadap pemerintah: Aliran ini melihat pemerintahan umat Islam hari ini mestilah ditaati sebagaimana arahan Allah dan rasulNya. Sebarang perlanggaran terhadap ugama seperti kezaliman, rasuah dan sebagainya hendaklah diselesaikan melalui nasihat dan teguran yang tidak menjejaskan tiang pemerintahan. Gerakan menjatuh dan menukar pemerintahan dengan apa cara sekalipun adalah bertentangan dengan Islam dan disifatkan sebagai penderhakaan terhadap ugama.
Sebaliknya, aliran perjuangan Islam melihat bahawa pemerintahan Islam yang zalim dan keluar daripada tuntutan agama berhak dan mesti ditukar jika mereka terus dan enggan berubah. Kesalahan hanya berlaku jika usaha itu membawa kepada pertumpahan darah yang disengajakan seperti menghalakan senjata ke arah pemerintah. Islam mengharamkan pertumpahan darah sesama ummat syahadah.
Dalam konteks sistem demokrasi negara, jatuh bangun pemerintahan adalah tanpa pertumpahan darah, bahkan hanya melalui undi dan suara majoriti. Justeru menukar kerajaan zalim seperti kerajaan negara Malaysia yang sekular dan penuh penjarahan terhadap hak rakyat adalah jihad yang syar’ie dan wajib.
4) Perihal dakwah dan perjuangan Islam: Aliran ini menafsirkan kalimah ‘hikmah’ dalam berdakwah dengan tafsiran yang berbeza dengan aliran perjuangan Islam. Mereka dilihat lebih memilih jalan kompromi demi menjaga hati pemerintah dan demi memperolehi tempat dan jawatan yang mengekalkan mereka dalam enjin pemerintahan. Bagi mereka, kekal dalam kerajaan dan mengelak pertembungan dengan mereka adalah hikmah besar untuk kebaikan Islam.
Ini di sisi aliran perjuangan Islam adalah tafsiran yang mencacatkan pengertian hikmah dan perlaksanaannya. Di sinilah kedua – dua aliran tersebut bertembung.
5) Perihal jamaah Islam: Aliran ini melihat bahawa jamaah Islam adalah setiap umat yang menyeru kepada al makruf dan menegah kemungkaran walaupun mereka tidak terikat dengan mana – mana kumpulan Islam yang terikat dengan peraturan dan syarat jama’ie. Justeru keperluan untuk menyokong atau mendukung jamaah – jamaah Islam adalah tidak perlu selagi mereka berkerja untuk Islam juga. Taat kepada pemerintah adalah kerana pemerintah adalah jamaah Islam juga.
Sebaliknya, aliran perjuangan Islam terlalu mementingkan kewujudan jamaah Islam yang dilengkapi peraturan, ciri, syarat dan visi perjuangan yang membawa umat Islam yang hanyut tanpa khilafah yang menaungi mereka hari ini ke arah kehidupan Islami yang tunduk dan wala’ kepada pemimpin Islam di dalam jamaah sehinggalah kelahiran khilafah yang baru. Kesempurnaan Islam adalah pada mengikat diri pada jamaah Islam yang syumul.
Inilah 5 inti dan isu terpilih yang memisahkan dan membezakan ulama aliran ini dengan aliran perjuangan Islam yang dipelopori gerakan – gerakan Islam di serata dunia. Ia bermula dan berpunca daripada kefahaman yang berbeza terhadap Islam dan tuntutannya selain perbezaan pada kedalaman dan keluasan lingkaran praktikal Islami yang dilalui oleh kedua – dua aliran tersebut.
Tan Sri Hj Harussani Hj Zakaria mewakili golongan ini. Beliau aliran kedua daripada aliran ulama yang sentiasa memberikan ketaatan dan mendukung pemerintahan sedia ada walaupun beliau tahu betapa sekularnya pemerintahan kerajaan Malaysia.
Di Mesir misalnya, anda akan sentiasa menemui ulama jenis ini dengan ilmu dan sumbangan yang tidak kecil dan tidak boleh diketepikan untuk kemajuan Islam, tetapi mereka sering menjadi penghalang kepada gerakan Islam yang syumul di dalam membina keyakinan dan kefahaman terhadap ummah ke arah kemenangan Islam yang diimpikan.
Beliau bukan aliran pertama yang jelas kerosakan dan kejahatannya. Tumpukan senjata tajam anda pada ulama UMNO yang mengangguk dan sujud pada ketua mereka di dalam UMNO walaupun sampai mengharuskan judi, rasuah dan kezaliman yang berleluasa.
Gagal membezakan di antara dua aliran inilah yang akhirnya mencetuskan kata nista, hukuman dan terjahan yang salah dan tidak boleh diterima akibatnya. Islam sentiasa diawasi oleh ilmu, disiplin, adab dan hak yang mesti dijaga dan diraikan. Jika tidak, perjuangan Islam akan sentiasa dimasuki unsur yang akan mencemari sifatnya yang qudwah dan sederhana.
Selepas anda memahami pada tahap ini, anda boleh dengan mudah untuk memahami mengapa orang yang turut menyumbang kepada kemajuan Islam di Malaysia seperti Tan Sri Hj Harussani Hj Zakaria dan seumpamanya sering berbeza dengan aliran perjuangan Islam dalam beberapa isu pokok seperti;
1- Pendiriannya untuk menyokong rampasan kuasa di Perak.
2- Sikapnya untuk melihat perpaduan Melayu tanpa syarat di antara PAS dan UMNO.
3- Ketegasannya dalam beberapa isu yang menyentuh pemerintah dan kekendurannya di dalam beberapa isu yang lain.
4- Kejelasannya di dalam menganggap kesultanan mesti ditaati kerana peranannya sebagai ulul amri minkum.
5- Sikapnya yang lebih meraikan kerajaan pusat walaupun melihat kebaikan pemerintahan Islam di Kelantan dan negeri – negeri Pakatan Rakyat.
6- Ketakutannya terhadap terhapusnya Islam dengan terhapusnya ketuanan Melayu ( Melayu adalah UMNO dan UMNO adalah Melayu. PAS? )
Teruskanlah dengan isu – isu lain yang akan sentiasa lahir. Anda akan melihat perbezaan pendapat yang mengelirukan umat Islam melalui pandangan ulama seperti beliau yang akan menyanggah pandangan perjuangan Islam.
Sudah pasti, kefahaman Islam yang jelas daripada tafsiran dan pengajaran ulama Islam yang muktabar yang menyeru kepada Islam yang syumul akan menolak pandangan aliran kedua ulama kerajaan di atas yang berpunca daripada kecetekan memahami Islam dan tuntutan semasanya.
Tan Sri Hj Harussani mestilah diingatkan dengan kesilapannya, memasuki ruang yang bukan dalam bidang dan kepakarannya yang telah menjebakkan beliau ke dalam kancah pertentangan yang merosakkan reputasinya sebagai ulama yang pernah cemerlang dan dihormati kerana ketegasannya dalam isu – isu tertentu walaupun tidak disenangi pemerintah.
Beliau harus malu untuk memikul tanggung jawab yang telah mengelirukan umat Islam yang di luar kemampuannya, selain mengheret perdebatan sesama ulama dan umat Islam yang tidak perlu ke arah pembinaan sebuah negara yang lebih baik.
PAS ada hak yang jelas dalam politik Islam. Ia lahir sejak sebelum merdeka dalam dunia politik tanah air. Berikan laluan untuk PAS mendapat sokongan umat tanpa menambahkan kekeliruan yang menguntungkan musuh perjuangan. Inilah bahasa saya untuk Tan Sri. WaLlahu a’lam.
Salam Palestin,
UMNO kata PAS sesat dan PAS kata UMNO sesat. Kerana saling sesat – menyesatkan maka mereka saling bercakaran walaupun sebab utama percakaran bukanlah kerana tindakan saling lempar – melempar itu, tetapi kerana dasar perjuangan mereka yang berbeza. Maksudnya, jika tak saling menuduh, tak sesat – menyesatkan pun mereka akan tetap bercakaran juga kerana percanggahan ideologi itu.
Dari dulu lagi PAS kata UMNO sesat dan dari dulu yang sama tempohnya juga UMNO kata PAS sesat. Tak tahulah bila nak berhenti. Memang bila dah sesat, memang susah nak sampai ke penghujung, apatah bila dah saling sesat – menyesatkan, lagi – lagilah susah nak ketemu hujung habisnya. Hari ini saya tak kisah pun jika mendengar orang PAS kata UMNO sesat dan begitulah jika saya dengar UMNO kata PAS sesat juga. Sebabnya, dah kalih, dah lama sangat dengar cerita saling sesat – menyesatkan ini.
Sesat maknanya salah, menyeleweng dan tak betulnya dasar atau matlamat atau cara atau tindakan seseorang itu. Maka orang yang menyesatkan itu mestilah menerangkan maksudnya itu agar difahami. Tak masuk Islam adalah sesat, tak solat pun sesat dan solat tak ikut tertib rukun pun sesat, tetapi ia adalah sesat yang berbeza. Yang pertama sesat kufur, yang kedua sesat jenis fasiq dan yang ketiga pula sesat kerana tak ikut cara nabi, maka tak sah solatnya. Solatnya jadi sesat juga. Maksudnya, sipenuduh sesat itu kenalah menerangkan maksudnya itu agar difahami dan tak jadi sesat pula orang kerana tersalah faham maksudnya itu.
Maksudnya, si penyesat atau si penuduh itu perlulah bertanggung jawab. Mesti, kerana jika tidak, sesatnya itu akan kembali pula kepadanya kerana dia telah menyebabkan orang jadi sesat kerana tersalah faham maksudnya itu, selain kemungkinan dia sesat kerana tuduhan menyesatkan yang sememangnya tidak betul.
Macam fatwa Wilayah Persekutuan yang menyesatkan ESQ. Jika betul, bagus sangatlah fatwa itu. Selamatlah ramai orang daripada jerat ESQ yang tersohor sangat namanya itu saat ini sehingga telah ada kumpulan alumni dan generasi ESQ pula katanya. Tetapi, jika fatwa itu menambahkan kekeliruan dan kekeliruan itu gagal dijelaskan sebaik – baiknya oleh pihak berkenaan yang mahu mengekalkan fatwanya itu, maka fatwa itu pula jadi sesat. Menyesatkan yang tak sesat adalah sesat.
Apabila UMNO menuduh PAS sebagai sesat, maka ia adalah tuduhan yang berat. Ia mungkin bermaksud PAS menganut ajaran ugama Islam yang menyeleweng dasar, matlamat dan kefahamannya. Ia juga mungkin bermaksud sesat kerana tindakannya yang dilihat tidak islamik dan tidak ikut sunnah. Macam PAS berkerja sama dengan DAP dan menolak UMNO, bagi sesetengah pihak agak keterlaluan dan jauh daripada hujah ugama dan sunnah nabi. Kedua – dua kemungkinan maksud tadi telah meletakkan tuduhan tersebut begitu berbahaya kerana ia adalah hukuman agama yang besar ke atas ahli PAS dan penyokongnya.
Malangnya, tuduhan UMNO selalunya tidak diiringi dengan penjelasan yang nyata, apatah ia jauh daripada ruang untuk didebatkan atau dimuzakarahkan secara terbuka dan berani. Hanya tuduhan meliar yang entah ke mana hinggapnya.
Juga, apabila PAS menuduh UMNO pula sesat, maka ia pun satu tuduhan yang berat juga, sama berat dengan tuduhan oleh UMNO tadi. Ia mempunyai kemungkinan maksud yang sama juga yang begitu berbahaya kerana ia adalah hukuman agama yang keras sekali.
Tetapi, anda dengan jelas menyaksikan kelainan yang begitu membezakan PAS daipada UMNO.
Jika UMNO tidak bertanggung jawab di atas tuduhannya itu dengan mengelak penjelasan atau muzakarah atau debat untuk menilai kebenaran tuduhan mereka, PAS pula adalah sebaliknya. Setelah menuduh UMNO sebagai sesat, palsu, batil, salah, menyeleweng, fasiq, zalim dan sebagainya, PAS tampil untuk menjelaskan dan bersedia bersemuka dengan apa cara sekalipun asalkan tuduhannya itu diikuti pula dengan penjelasan yang difahami sebaiknya oleh orang yang memerlukan kefahaman dan kejelasan.
Tuan Guru Dato Hj Nik Abdul Aziz biasa saja melontarkan peluru yang panas – panas ke atas UMNO dan semua tahu bahawa ia bertujuan menimbulkan polemik dan kepanasan yang akan memaksa semua untuk memohon penjelasan beliau. Adakah anda melihat beliau senyap, bersembunyi dan enggan menjawab dan mengulas lagi? Tidakkan?
Sebelah UMNO pula, macam contoh terdekat, Dato’ Shafei Afdal yang menuduh PAS sebagai sesat, ke mana beliau apabila rakyat meminta penjelasan? Muka depan HARAKAH segera menuntut penjelasan, hujah dan bukti daripadanya dan UMNO juga, tetapi tiada apa – apa selain kesepian dan senyap.
Dan perkara yang sama berlaku apabila tuduhan – tuduhan terhadap PAS oleh pemimpin UMNO dilontarkan, ia tidak lebih selain tuduhan tanpa tanggung jawab dan penjelasan yang menenangkan.
Dari sudut ini, anda tahu bahawa UMNO ketika menuduh PAS sesat, ia gagal membuktikan bahawa tuduhan itu adalah betul, bahkan ia kekal sebagai tuduhan yang bersifat fitnah dan jahat.
Oleh kerana saya begitu faham dengan tuduhan PAS terhadap UMNO sejak dulu, sejak kecil saya lagi sehingga sudah menjadi kalih dengan isu sesat – menyesat ini bahawa UMNO adalah parti sesat, maka saya begitu mudah untuk menjelaskan maksud ‘tuduhan’ PAS tersebut. Saya perturunkan di sini agar anda dapat melihat isi penting pertuduhan yang ingin sangat PAS perjelaskan kepada rakyat, samada ahli PAS atau ahli UMNO agar semua rakyat memahami kedudukan pertelagahan UMNO – PAS. Kemudian saya akan jelaskan pula mengapa PAS konsisten pula memerangi UMNO.
Pertama, UMNO sesat dari sudut dasar. PAS konsisten berhujah bahawa dasar kebangsaan atau nasionalisme adalah sesat, salah dan terseleweng daripada ugama. Oleh kerana UMNO secara jelas menjadikan kebangsaan sebagai dasarnya, maka UMNO sesat dan menyesatkan rakyat Malaysia. Bagi PAS, dasar parti hendaklah Islam. Islam tulen sebagaimana di bawa RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.
Tuduhan ini berat. Kerana berat, maka PAS mengambil tanggung jawab penuh untuk menjelaskan, memuzakarahkan, mendebatkan dan mensyarahkannya bila – bila masa demi mengabsahkan tuduhannya itu.
Kedua, UMNO sesat dari sudut matlamat. PAS konsisten berhujah bahawa membina negara demokrasi sekular yang menjadi matlamat UMNO adalah sesat, salah dan menyeleweng daripada ugama. Maka UMNO sesat dan menyesatkan rakyat Malaysia. Bagi PAS, matlamat hendaklah Islam juga dan matlamat Islam adalah menegakkan khilafah dengan membina sebuah negara Islam. Islam yang tulen sebagaimana di bawa RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.
Tuduhan ini berat. Kerana berat, maka PAS mengambil tanggung jawab penuh untuk menjelaskan, memuzakarahkan, mendebatkan dan mensyarahkannya bila – bila masa demi mengabsahkan tuduhannya itu.
Ketiga, UMNO sesat dari sudut wasilah dan cara membangunkan negara. Menghalalkan riba, arak, judi, pergaulan bebas dan mengharamkan hukum hudud misalnya adalah gambaran cara dan wasilah UMNO menyusun, membentuk dan menyelesaikan masalah negara yang jelas keluar daripada pengajaran ugama dan sunnah nabi sallaLlahu alaihi wasallam. Ini tidak termasuk kezaliman dan rasuah yang berleluasa yang tidak diizinkan ugama.
Kesemuanya berat – berat belaka. Ia jika betul, maka UMNO betul – betul sesat dan mesti ditentang dan diperbetulkan. Jika terbukti salah dan hanya tuduhan tanpa asas, PAS pulalah yang sesat barat kerana menyesatkan yang tak sesat.
Justeru anda tahu bahawa kesediaan PAS memuzakarahkannya adalah bukti pertanggung jawaban PAS atau tuduhannya itu. Itu adalah persaksian yang sungguh gagah dan berani. Hujah adalah kemenangan dan mukjizat.
Tuduh – menuduh sesama umat Islam adalah memilukan, memalukan dan merugikan. Jadi, mengapakah PAS yang mendakwa sebagai parti Islam terus membuat tuduhan terhadap UMNO. Mengapa tidak dibiarkan UMNO sahaja yang menuduh dan memfitnah?
Ya, jawabannya adalah kerana amar makruf nahi munkar. Senyap melihat kemungkaran adalah satu dosa yang akibatnya telah diperlihatkan Allah kepada kita atas apa yang berlaku ke atas Bani Israel yang tidak mencegah kemungkaran sesama mereka.
Metodologi dakwah adalh pelbagai. Selain dakwah secara berlembut adalah hikmah, serangan keras RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam terhadap akidah kaum musyrikin dan perbuatan mereka yang menimbulkan kemarahan mereka juga adalah satu hikmah.
Kemarahan akan menyebabkan orang menjadi agresif. Ia juga menyebabkan manusia kembali untuk berfikir dan menilai kesalahan diri. UMNO telah lama agresif terhadap PAS. UMNO juga kadang kala kembali berfikir mengapa PAS konsisten dalam perjuangannya menentang UMNO dan idologinya. Itulah harapan kita untuk UMNO yang bergelumang dalm sesatnya itu.
Tulisan ini bermaksud menjelaskan beza PAS daripada UMNO sesudah mereka saling tuduh – menuduh.
Salam Palestin,
Saya bertuah kerana dapat turut sama menyertai perhimpunan kempen anti judi – semua jenis judi – bersama ribuan rakyat Malaysia terutama anak – anak muda di perkarangan Masjid Negara petang semalam anjuran Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) yang disertai oleh lebih 60 NGO dan parti – parti politik negara.
Hampir 10 orang pimpinan diketuai cikgu Mohd Azmi Abdul Hamid, selaku pengerusi GMJ dan ustaz Nasrudin Hasan Tantawi, ketua pemuda PAS Pusat telah memberikan ucapan penuh semangat yang menggambarkan kehendak dan rasa hati rakyat Malaysia pelbagai kaum dan ugama yang mahukan kerajaan bertegas mengharamkan industri judi yang telah merencatkan, malah menjahanamkan pembangunan negara dan keharmoniannya.
Antara yang menyentuh hati saya ialah ucapan ringkas saudara Suhaizan Kaiat, setiausaha GMJ yang menyifatkan perhimpunan tersebut adalah impian yang ditunggu – tunggu oleh para isteri dan anak – anak yang menjadi mangsa pukulan, belasahan dan deraan para suami dan ayah yang ketagihan judi yang menjadikan mereka sebagai mangsa melepaskan kekecewaan dan kegilaan berjudi.
Judi adalah najis. Najis adalah tahi, tegas Ustaz Norazli Taliban yang mengikat katanya dengan ayat al Quran yang menamakan arak, judi dan semua aktiviti menikam nasib sebagai najis yang menjadi lubang besar tempat syaitan berkubang. Adalah memalukan kita umat Islam yang terpaksa melancarkan kempen khas dan bersungguh – sungguh semata – mata untuk mengajak rakyat, apa lagi kerajaan sendiri daripada bermain – main dengan tahi. Kerajaan yang menganjurkan dan membenarkan judi adalah kerajaan tahi!
Semua tahu bahawa selain judi, dadah, arak, zina dan riba juga adalah aktiviti yang menjahanamkan negara dan masyarakat. Tiada siapa yang enggan mengakuinya kecuali dia adalah bebal, degil dan iblisi otak dan akalnya. Kerajaan kita turut mengakui hakikat ini. Malangnya hanya tindakan yang memisahkan mereka daripada kehendak dan kemahuan rakyat yang lebih ikhlas dan tekad.
Dadah dan arak merosakkan akal. Judi dan riba merosakkan harta, manakala zina merosakkan keturunan dan maruah manusia. Daripadanya nyawa, malah ugama akan melayang. Agama Islam diturunkan dengan hukum syariah yang berperanan untuk menjaga kemaslahatan ugama, nyawa, akal, harta, maruah dan keturunan. Syariah Islam menjadikan segala aktiviti buruk di atas sebagai kepala – kepala maksiat yang berperanan besar meruntuhkan kemanusian dan ugama.
Tetapi, anda harus bertanya, mengapa kerajaan hanya mampu mengisytiharkan dadah sebagai najis? Kemudian mengisytiharkannya sebagai musuh nombor 1 negara ini?
Tidakkah arak juga membunuh sebagaimana dadah? Begitu juga judi, zina dan riba. Kemalangan dan kematian di jalan raya berkait rapat dengan pengambilan alkohol? Bunuh diri disebabkan gagal berjudi? Bunuh bayi disebabkan zina? Pembunuhan tragis oleh along disebabkan riba yang bertambunan?? Tidakkah semua itu adalah isu dan gejala buruk yang sedang menghantui negara yang sukar dibendung?
Mengapa kerajaan hanya membeliak mata melihat dadah, tetapi memejam rapat dan membuta terhadap arak, judi, zina dan riba?
Mari menilai dan meneliti 3 faktor di bawah, lalu anda akan tahu mengapa rantaian nifaq dan sifat talam dua muka sedang membelit penyelesaian penuh pembohongan oleh kerajaan kita;
Pertama, kerana dadah telah dinafikan daripada menjadi hasil mahsul negara oleh masyarakat antarabangsa. Seluruh dunia menerima bahawa aktiviti dadah besar – besaran mampu mencabar dan memporak perandakan kerajaan yang memerintah, bukan akan membantu menguatkannya.
Justeru mengharamkan dadah adalah untuk menyelamatkan pemerintah semasa di peringkat yang pertama berbanding untuk menyelamatkan rakyat. Hanya slogan yang dipilih bahawa ia adalah musuh nombor 1 rakyat, walaupun hakikatnya ia adalah musuh nombor 1 pemerintah semasa!
Sama seperti komunis dulu. Ia dicanang sebagai musuh rakyat. Benar, tetapi yang lebih benar, ia adalah musuh pemerintah semasa yang takut digulingkan. Maka komunis dicincang sehancurnya. Kerajaan selamat daripada komunis, manakala rakyat kekal tidak selamat di bawah kerajaan yang semakin berkuku besi.
Samalah juga halnya Pakatan Rakyat yang sedang mendekati Putra jaya hari ini. Ia cuba dijadikan musuh utama rakyat, kalaulah mereka mampu. Malangnya rakyat semakin bersama Pakatan Rakyat. Mereka gagal meyakinkan rakyat. Justeru kuku mereka mula menumpul dan sukar sekali diasah menjadi tajam.
Adapun arak, judi, zina dan riba maka ia adalah sebaliknya. Hasil mahsulnyanya adalah sah dan diterima masyarakat antarabangsa hari ini kerana begitulah dorongan seluruh kerajaan dunia yang memerintah. Kehasilannya tidak menggugat negara malah dengannya mereka menjajah ranyat dan mencandui mereka agar lalai dan bergantung kepada kerajaan yang memerintah.
Kotornya industri arak, zina, judi dan riba sedikitpun tidak mampu dikekang. Mengapa? Kerana kerajaan sendiri yang menjaga dan menyuburkannya. Jika begitu, bagaimana suara kecil rakyat yang sedar dan insaf mampu didengari?
Kedua, kerana dadah bukan makanan dan kebanggaan orang – orang kaya, ternama dan pencatur politik di dalam negara. Dadah adalah makanan orang yang putus asa, malas dan paling melata di kalangan golongan miskin. Bahkan ia adalah senjata untuk membunuh rakyat.
Adapun arak, riba, judi dan perempuan, ia adalah lambang kebanggaan, prestij, kebesaran dan kedudukan golongan ternama dan VIP dunia. Lihat saja arak yang mahal – mahal terhidang di majlis – majlis keegoan. Apatah wanita – wanita penjamu nafsu serakah golongan atasan. Industri judi dikuasai golonga kaya dan berhati binatang manakala riba terus melata mengangkat golongan kapitalis memeras dan memerah peluh dan air mata rakyat marhain.
Justeru bagaimana anda boleh membayangkan kerajaan mampu membendung dan menyekat industri buruk ini sedang mereka terpaksa berdepan golongan kaya yang telah mengangkat mereka untuk menaiki takhta pemerintahan. Atau lebih sinis, bagaimana dibayangkan kerajaan mampu mengharamkan industri buruk ini sedang mereka terpaksa melawan kehendak mereka sendiri?
Tidakkah kerajaan seluruh dunia hari ini adalah kerajaaan syirik yang menyembah nafsu dan manusia sendiri?
Paling menakjubkan adalah faktor yang ketiga! Dadah tiada dalam al Quran sedangkan judi, arak, riba dan zina disebut terang – terangan di dalamnya. Apa yang tidak disebut di dalam al Quran, ia menjadi begitu penting dan besar! Apa yang disebut secara jelas di dalamnya, maka ia menjadi tidak penting pula!
Bayangkan bagaimana apabila manusia bermain di kubang syaitan, mereka dibutakan, dipekakkan dan dibengangkan daripada melihat al Quran walaupun mereka membacanya. Nah, anda lihat kerajaan kita menamakan dadah sebagai najis sedang Allah menamakan arak dan judi sebagai najis. Arak masih menjadi minuman hidangan kerajaan di dalam penerbangan MAS untuk rakyatnya! Sungguh menyayatkan..
Lihat bagaimana syaitan iblis menterbalikkan kefahaman hamba – hambanya untuk terus membelakangi al Quran.
Ingat, hanya manusia yang beriman akan kekal beriman bahawa apa yang besar di sisi Allah maka besarlah ia di sisi mereka. Begitulah sebaliknya.
Setelah anda memahami fakta di atas bahawa penyelesaian yang dicari untuk menyekat industri dan budaya berjudi ( juga arak, zina dan riba ) adalah buntu, bersifat nifaq, olok – olok dan hanyalah tarik tali kerajaan untuk mengabui mata rakyat sedangkan mereka tidak dapat tidak kecuali mempertahankannya demi survival mereka sendiri, sekarang mari saya tunjukkan anda kepada sesuatu yang lebih mengakar dan mendasar dalam memahami kemelut penyelesaian di atas. Hasilnya anda akan melihat satu penyelesaian yang tuntas dan berisi sekali.
Senjata utama syaitan adalah putus asa. Apabila putus asa menerobos masuk ke dalam jiwa anak Adam, maka syaitan akan berpesta sakan kerana dengannya segala kejahatan akan menerpa masuk dan memunahkan iman.
Bunuh diri adalah kemuncak putus asa. Manusia dimomok dirinya adalah sial, hina dan tiada lagi harga dan nilai, lalu ia membunuh diri sendiri. Bunuh diri adalah semudah cara syaitan menghantar manusia ke lubang neraka dan kemurkaan Allah. Bagaimana Allah boleh memaafkan orang yang langsung tidak mengerti penciptaan agung dan hebatNya terhadap makhluk bernama mausia?
Putus asa seterusnya adalah putus asa terhadap rahmat Allah. Syaitan mendorong manusia untuk merasai kedagangan diri dan jauhnya mereka daripada Allah dan rahmatNya. Lalu hilang daripada mereka kehadiran rahmat, taubat, keampunan dan cinta Allah. Hasilnya mereka putus asa untuk kembali kepada Allah.
Terbentanglah sebab – sebab remeh dan memalukan yang disusun untuk menjadi alasan untuk tidak kembali kepada Allah.
Tanya mereka, mengapa enggan masuk Islam? Perhatikan jawaban mereka; 1) Tak boleh makan babi, sedangkan Allah hidangkan mereka ribuan lagi yang boleh dimakan! 2) Enggan bertudung, sedangkan bertudung hanyalah pakaian tambahan terhadap apa yang mereka telah pakai! Bukan kelambu, saji, bakul dan kesusahan yang perlu dipikul tanggung! 3) Payah solat 5 waktu, sedangkan mereka masih ada 23 jam lagi untuk meneruskan kehidupan dan banyak lagi kepayahan yang lebih besar yang sanggup pula mereka lakukan. 4) Umat Islam sendiri pemalas dan jahat, sedangkan kejahatan mereka itu takkan mampu mengambus kebaikan dan tuah syahadah yang dia lafazkan. Juga, kejahatan wujud di mana – mana di dunia ini, bukan hanya berlegar di kalangan umat Islam sahaja. Juga, mengapa memandang kepada keburukan jelata, sedang Islam dipenuhi contoh – contoh penganutnya yang berakhlak mulia melampaui keajaiban di kalangan ulama dan ilmuannya!
Setelah anda memahami penyakit putus asa sepintas di atas, mari saya tunjukkan bagaimana tindakan, atau katakan penyelesaian yang dicanangkan kerajaan Malaysia untuk membendung kejahatan judi, juga zina, arak dan riba hanya bersifat syaitani yang menghulurkan talian putus asa di hati sanubari pemerintah hari ini.
Mereka hilang keyakinan dan putus asa untuk mengharamkan barah – barah tersebut kerana takut: 1) Hilang punca pendapatan. 2) Hilang sokongan dunia kuffar. 3) Hilang kekuatan diri dan sokongan orang – orang kaya. 4) Dianggap tidak bertamadun. 5) Dilabel fundamentalis atau pengganas.
Itulah otak dan idea syaitan! Tidakkah Allah menjanjikan kekayaanyang melimpah ruah buat penegak amar makruf nahi mungkar? Tidakkah Allah menjanjikan sokonganNya sendiri dan juga sokongan orang – orang mukmin yang setia? Tidakkah dengan bersam Allah diri menjadi kuat manakala orang – orang miskin pula akan menjadi bala tentera yang setia membela? Tidakkah Islamlah yang memperkenalkan dunia ini dengan tamadun baru yang bersih, indah dan harmoni? Dan tidakkah menjadi agamawan itu indah dan menjadi impian setiap manusia beriman?
Ertinya syaitan menguasai suasana dan menjerat pemerintah untuk takut bertindak melalui terhakisnya keyakinan untuk kembali kepada Allah dan rahmatNya.
Sebenarnya selain dadah, arak, judi, riba dan zina dikira sebagai barah negara, anda perlu faham bahawa pemerintah juga adalah barah negara. Virus bawaannya adalah jenis HIV yang merosakkan sistem kekuatan diri umat Islam yang menjadikan mereka putus asa dengan rahmat Allah.
Tulisan ini berhasrat untuk memahamkan anda bahawa musuh utama kita adalah sifat putus asa. Oleh kerana pemerintah itulah yang menjaja penyelesaian yang diuntai tali putus asa, maka pemerintahlah musuh utama negara. Oleh kerana pemerintah itu UMNO, maka UMNOlah musuh utama negara.
Ia bermaksud musuh nombor 1 negara adalah UMNO. Bukan dadah, bukan arak, bukan jud dan bukan riba. Itu semua hanyalah kerosakan daripada sel – sel kanser yang telah rosak kromosom dan DNAnya. UMNOlah penyebabnya yang mencetus suasana kotor yang merosakkan sel – sel sihat kehidupan rakyat Malaysia.
Ketika kempen anti judi dilancarkan oleh GMJ, haruslah difahamkan hakikat bahawa ianya adalah peperangan yang besar melawan establishment yang tidak mungkin berjaya kecuali jika ianya digerakkan bermula dengan menggegar umbinya yang didalang pemerintahan UMNO.
Salam Palestin,
Jika tak ada ulama masuk UMNO, maka;
1) 100% UMNO adalah buruk. Bagaimana boleh dibayangkan sebuah kumpulan besar masyarakat Islam boleh wujud tanpa tokoh ugama yang mendukung dan menasihati? Mustafa Kamal Ataturk pun perlukan sokongan ulama untuk menjayakan misi kumpulannya. Jadi, tak mungkin UMNO tak ada ulama. UMNO mesti cari ulama. Jika sebaliknya, dulu lagi UMNO dah berkubur.
2) Di manakah ulama jahat ( ulama al su’ ) hendak bersarang? Dalam PAS tak mungkin sebab PAS berjuang untuk Islam yang benar sedang mereka adalah ulama palsu dengan cita – cita palsu. Berseorangan juga tak mungkin sebab ulama jenis ini lahir kerana kepentingan duaniawi yang ditagih. Berseorangan hanya menghalangnya mendapat habuan tesebut. Menubuhkan jamaah sendiri juga tidak mungkin sebab ulama jahat tak boleh bersatu sesama mereka kerana kepentingan diri yang saling bercanggahan, apatah untuk menyatukan masyarakat. Jadi, wujud UMNO yang berkuasa adalah tuah dan syurga buat ulama jenis ini.
3) Susahlah umat Islam untuk mengenali ulama akhirat yang sebenar sebab tanpa perpecahan antara dua golongan ulama ini, sukarlah pengecaman, pengenalan dan pengasingan berlaku. Islam adalah al furqan, datang untuk membelah dan mengasingkan kebaikan daripada kejahatan. Jadi kewujudan ulama jahat dalam kumpulan jahat adalah sunnatuLlah. Begitulah sebaliknya.
4) Hilanglah bisa ulama dalam PAS. Putih zahir di tepi hitam! Orang baik zahir dengan zahirnya orang jahat. Dizahirkan kehebatan dan keabdian Musa alaihissalam dengan dizahirkan kebebalan dan keangkuhan Firaun. Ibrahim vs Namrud. Begitulah dihidupkan watak yang bertentangan sebgai pengenalan. Justeru anda tak nampak bisa ulama PAS sehinggalah anda melihat ‘bisa’ ulama UMNO. Jadi demi wibawa ulama PAS, mestilah dihantar ulama untuk masuk UMNO. Jika UMNO gagal menggoda mereka, banyak syaitan iblis akan datang membantu..
5) Siapa nak mempertahankan kezaliman UMNO dengan fatwa – fatawa yang boleh mengelirukan umat Islam sehingga terus melihat kezaliman sebagai keadilan, lalu mereka menyokongnya? Tun mahathir, siapa nak amin fatwanya menghalalkan judi?! Paling tidak, bila ulama UMNO senyap, orang akan kata judi itu harus sebab kita ini masyarakat majmuk. Misalnya itulah. Jadi, demi kekeliruan umat yang mesti dikekalkan demi kelangsungan kerajaan zalim UMNO, ulama muda atau tua mesti ada dalam UMNO. Tak boleh tak ada. Jika tak ada, dulu lagi UMNO dah tak ada. Tak ada maknanya mati. Mati dalam bahasa kasar disebut mampus! Anda boleh pilih mana satu yang berkenan..
5 sebab yang saya paparkan di atas adalah sebagai menjelaskan betapa kemasukan ulama dalam UMNO bukan satu perkara yang pelik. Bahkan ia adalah keperluan perjalanan sunnah Allah agar pengenalan, pengasingan dan pemisahan terus berlaku dalam ujianNya ke atas umat manusia.
Yang anda perlu tahu sangat ialah ilmu dan taqwa ulama. Ilmu dan taqwa adalah hujah para ulama, bukan buih mulut, harta, kedudukan dan wajah.
Yang anda perlu tahu ialah ulama umat Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam tak mungkin bersatu di dlam kegelapan dan kezaliman. Jika majoriti ulama menyokong UMNO, ia adalah satu hujjah UMNO adalah benar. Jika 40 ulama masuk UMNO manakala baki 40000 kekal dlaam perjuangan Islam, itu adalah hujjah UMNO adalah karut dan sesat.
Katakan, 40000 itu adalah ulama warisan umat Muhammad, manakala 40 itu adalah ulama warisan Yahudi. Persetan ulama Yahudi dalam umat Muhammad. Teruskan perjuangan dengan kepimpinan ulama yang bertaqwa..
Di dalam Islam, binaan kepercayaan batin di dada seorang muslim terhadap sesuatu adalah lebih penting dan didahulukan daripada perlakuan zahirnya terhadap kepercayaan tersebut. Justeru iman lebih penting daripada Islam sekalipun tiada mungkin wujud iman tanpa rukun Islam yang pertama, iaitu pengakuan zahir lidah dengan syahadah la ilaha illaLlah.
Seseorang itu tetap muslim ( kerana syahadahnya )sekalipun dia tidak solat atau meminum arak sekiranya dia masih mengimani kewajiban solat dan keharaman arak ke atasnya. Kecacatan pada Islamnya itu ( kerana meninggalkan kewajiban ) menjadikannya bukan seorang yang beriman dengan sebenar – benar iman. Iman belum memasuki dan tetap dadanya.
Dia cacat Islam dan iman. Dia seorang yang fasiq. Orang fasiq boleh dikenali secara mudah kerana ia berkaitan perlakuan zahirnya.
Tetapi segalanya bubar dan runtuh apabila dia tidak percaya dan mengimani kewajiban solat ke atasnya sekalipun dia bersolat lima waktu. Begitulah juga, samada dia minum arak atau tidak, Islam dan imannya gugur dan hancur apabila dia meyakini dan percaya tiada pengharaman arak ke atas dirinya.
Jika dia berterus terang terhadap keingkarannya itu dengan lidahnya, maka dia telah murtad lalu menjadi kufur. Hukuman zahir ke atas si murtad berjalan ke atasnya. Jika dia menyembunyikannya, maka dia adalah munafik peringkat utama, iaitu munafik aqidah yang akan menjahanamkannya di sisi Allah yang maha mengetahui segala – galanya.
Tiada beza di sisi Allah bagi orang yang ingkar di dalam dadanya samada dia melakukan kewajiban solat atau tidak. Begitu juga amalan – amalan yang lain. Adapun di sisi manusia, ia berbeza disebabkan mereka lemah dan gagal mengetahui erihal hati dan batin.
Orang munafiq sukar dikenali kerana ia berkaitan kepercayaan di dadanya yang bersifat batin.
Tiada hukuman di dunia ke atas sifat nifaq sehinggalah si munafiq itu melakukan kesalahan dan jenayah zahir sebagaimana muslim yang lain.
Justeru walaupun kemunafikan lebih bebas menjalar di dalam masyarakat muslim dengan tertangguhnya hukuman duniawi ke atas gejala buruk batinnya berbanding perlakuan fasiq yang nyata dan mengundang hukuman duniawi, tetapi nifaq yang merosakkan iman di dada itu adalah lebih bahaya dan menakutkan untuk kehidupan masyarakat Islam di dunia dan diri sendiri di akhirat nanti.
Penjelasan ini akan dilihat secara lebih jelas jika sekiranya kita hidup di dalam sebuah Negara Islam. Adapun di dalam negara Malaysia yang menolak hukum – hukum ugama hari ini, kita mungkin sukar memahami kebahayaan nifaq berbanding kefasiqan.
Lihat saja YB Dato Bung Mukhtar yang dihukum dengan hukuman oleh mahkamah syariah kerana masalah pendaftaran perkahwinan keduanya sedangkan kesalahan zina, bersekedudukan dan pergaulan bebaslah yang sepatutnya mesti diutamakan hukumannya kerana ia adalah maksiat yang nyata.
Hasilnya, daripada kahwin dua yang begitu susah tatacaranya dan mengaibkan secara rasmi, lebih baik menyimpan 10 perempuan simpanan.
Begitulah apabila ugama Islam ditampal – tampal untuk memperindahkan sistem dan undang – undang sekular yang saling bertentangan di antara keduanya. Islam menjadi kelihatan hodoh dan zalim di mata manusia dek dipaksa menerima kehendak nafsu dan kemunaqian dalam beragama.
Allah secara jelas menolak kecuali Islam ini hendaklah diambil dan dipakai terima secara menyeluruh. Apabila Allah berkata tidak, maka tiada yang menjadi apabila kataNya dilanggar.
Begitulah UMNO dan itulah UMNO, dulu sehinggalah kini.
Apabila isu judi bola sepak yang baru dilesenkan, disahkan dan dihalalkan oleh kerajaan BN mula panas dan kini menjadi isu utama di negara kita hari ini, kita sebenarnya tidak boleh ketinggalan untuk mengenali da memahami beberapa perkara penting yang menjadi binaan kukuh di dalam kehidupan Islami umat ini.
Saya ingin berkongsi dengan anda untuk membuat penilaian ke atas perkara – perkara berikut:
1) Di mana letaknya Islam ketika para pemimpin UMNO menghalalkan judi yang terbaru ini?
Adakah mereka menerima pengharaman Islam terhadap judi tetapi tetap menghalalkannya? Atau, mereka sebenarnya telah ingkar terhadap pengharaman itu di dalam hati lalu menghalalkannya?
Dengan kes – kes pelesenan judi yang tak pernah lekang daripada perlakuan UMNO yang terus menghalalkannya dari dulu sehingga kini dan tiada langsung usaha ke arah menghapuskannya secara total, hampir – hampir kelihatan bahawa para pemimpin besar UMNO seolah – olah beriman dan yakin bahawa judi adalah halal dan mesti dihalalkan permainannya, pendapatannya dan kesannya juga.
Jika ini, maka jelas ia adalah perang terhadap Allah dan hukumnya. Jika ini, iman UMNO adalah tertanggal, runtuh dan kosong. UMNO dengan itu adalah sekularis totok setotok watak Kamal Ataturk, bapa sekular Turki lampau dan partinya.
Tetapi, jika dilihat kepada watak UMNO daripada sisi terbalik yang bercakap mengenai ugama Islam dan kepentingannya, juga perlaksanaan projek – projek ke arah kemajuan Islam dan juga kelantangan beberapa pemimpinnya yang turut menolak judi dan penghalalannya, maka adalah salah untuk membenarkan telahan bahawa UMNO sebenarnya telah menolak pengharaman judi oleh ugama.
Jika begitu, UMNO dihinggap penyakit nifaq yang jelas. Ia telah menghalalkan judi berkali – kali dan tidak pernah berhenti menghalalkannya. Tetapi ia menutup keberanian dan kejalangannya ke atas agama itu dengan kempen – kempen ke arah kehidupan Islami yang sihat, malah menghidupkan sebahagian syiarnya yang agung seperti pembinaan masjid, pusat pengajian Islam, Tabung Haji dan sebagainya.
Inilah nifaq yang tulen. Ini lidah bercabang yang terhina di dalam beragama. Kita menjadi semakin hampir untuk membenarkan hukuman ini.
Tetapi jika anda masih keliru dan enggan menerima penghukuman nifaq ke atas UMNO disebabkan kekeliruan dan kesamaran yang masih menghantui, maka tiada lagi buat UMNO selain kefasiqan yang nyata.
Fasiq kerana ia secara terang – terang menghalalkan apa yang diharamkan Allah secara terang – terang juga. Hanya yang menyelamatkan UMNO adalah soal hati dan batinnya yang sukar dibaca dan sering berubah – ubah di antara patuh dan ingkar.
Fasiq adalah keluar daripada ketaatan secara nyata. Menghalalkan judi dengan melesenkannya sebagai perniagaan untuk mengaut keuntungan adalah keluar daripada ketaatan kepada Allah yang nyata.
Jika anda tetap keliru menghukum UMNO sebagai fasiq dalam kes ini, maka anda sebenarnya keliru terhadap iman di dada anda sendiri. Adakah anda seorang yang beriman kepada Allah?
Seorang muslim tidak mungkin keliru untuk berperang bagi pihak Allah. Saya adalah daripadanya dengan izin dan rahmatNya. Semoga anda juga.
2) Apakah sikap dan pendirian kita di dalam isu ini sebagai seorang muslim?
Jika anda ridha dengan penghalalan judi, maka anda keluar daripada garisan iman dan iman anda tercabut daripada dada. Ini hukum yang pasti. Ridha adalah soal hati. Hanya Allah, kemudian anda yang mengetahui hati anda. Dan, semoga Allah menjauhi kita daripada perbuatan menghalalkan apa yang diharamkan Allah.
Jika anda tidak ridha dengan penghalalan judi oleh UMNO, anda adalah seorang muslim. Tetapi anda bukan lagi seorang yang beriman sehinggalah anda menentang kejahatan UMNO itu dengan kekuatan tangan atau lidah. Itu syarat iman yang benar. Ciri iman adalah menentang kemungkaran dengan tenaga yang ada sebagaimana ianya adalah menyuruh kepada kemakrufan dengan segala hikmah.
Jika anda lemah, maka lawannya dengan hati dengan membenci UMNO. Membenci UMNO adalah iman! Tetapi itulah selemah – lemah iman sebagaimana itulah persabdaan junjungan nabi sallaLlahu alaihi wasallam. Sudikah anda kembali kepada Allah dengan membawa iman yang lemah dan longlai dek takut menyebelahi Allah secara nyata untuk menentang kezaliman UMNO?
Justeru lawanlah UMNO dan kemungkarannya. Lawan dengan tangan jika itu tuntutannya. Atau dengan lidah kerana itulah tuntutan penentangan dalam masyarakat muslim. Kedua – duanya mestilah disertakan dengan kebencian yang nyata terhadap UMNO dan kejalangannya.
Itulah keseronokan beriman pada tahapnya yang benar.
UMNO? UMNO begitulah hukum ke atas mereka sehinggalah mereka menarik balik lesen judi tersebut dan kembali kepada Islam dan pengajarannya yang mesti diimani dan ditaati. Tetapi sayugia diingatkan bahawa UMNO adalah penuh dengan perlanggaran terhadap hukum – hukum Allah dan pengajaranNya. Selepas berpisah daripada judi, UMNO mestilah berpisah daripada kemungkaran ugama yang lain. Di situ UMNO pun berubah.
Orang UMNO? Demi iman, wajib ke atas orang – orang UMNO membantah secara nyata kerana jika sebaliknya kekeliruan akan terus menyelubungi iman mereka. Mereka dengan demikian, seolah – olah menyokong dan meredhainya. Jika mereka diam, iman mereka sentiasa di dalam kabut fitnah. Menjadi penyokong UMNO pun satu hal, apatah apabila diam terhadap kemungkaran tuannya yang nyata.
3) Bagaimana dengan ulama yang mendiam diri?
Merekalah syaitan bisu! Mana ada syaitan yang bisu? Ya, tiada syaitan bisu selain mereka. Mereka adalah manusia syaitani. Mereka bukan pewaris ulama umat nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, tetapi mereka adalah warisan ulama Yahudi dan Nasrani yang menyelewengkan ugama mereka yang benar.
Ulama yang diam di saat umat memerlukan sikap dan kata – kata mereka, itulah seburuk – buruk orang alim di dunia ini.
Jika anda menemui mereka, jauhi mereka kerana neraka lebih dekat kepada mereka berbanding kita orang awam. Jika anda menjauhi mereka, yakinlah anda sedang mendekati ulama yang benar. Tiada ulama yang benar kecuali berani berkata benar dalam semua perkara yang dalam ilmu dan pengetahuan mereka.
Jika anda bergurukan ulama yang benar dan berani, anda akan turut menjadi benar dan berani dalam iman. Itulah sebaik – baik tuah dalam kehidupan ini.
4) Adakah UMNO adalah sebuah harapan untuk umat Islam?
Tanyalah iman di dada. Tepuk dan tanya. Bagi saya, jika seratus doktor berusaha mengubati UMNO hari ini, mereka memerlukan seribu doktor pula untuk mengubati mereka pula akibat terkena jangkitan penyakit UMNO!
Seorang mufti yang sentiasa pelik dan ajaib dalam negara kita pernah menyarankan supaya pengidap jangkitan AIDS hendaklah diasingkan ke sebuah pulau yang terasing agar masyarakat menjadi selamat daripada jangkitan mereka.
Sila anda jawab soalan ini; Bezakan di antara UMNO dan AIDS?
Jika anda gagal menemui perbezaan, sila hantar UMNO ke pulau tersebut. Jika sebaliknya, marilah bersama menghapuskan nyamuk aedes!
Umat Islam tidak memerlukan UMNO untuk keagungan Islam dan kegemilangan mereka.
Salam Kamunting,
Pilihan raya kecil Hulu Selangor meninggalkan satu polemik yang terus dipanjangkan sehingga hari ini iaitu perihal berpolitik di dalam masjid, boleh atau tidak? Halal atau haram?
Apabila pihak istana yang menjadi payung kepada ugama di negara kita turut campur tangan, ianya mestilah dipandang serius supaya satu ketetapan bersama dipersetujui oleh parti – parti politik yang terlibat dengan masjid dan ugama Islam. Jika tidak, ia akan mencipta suasana muram dan keluh kesah di kalangan masyarakat Islam yang masjid adalah tumpuan kehidupan beragama mereka.
Mungkin untuk mencapai itu adalah susah dan sukar kerana perbezaan politik yang ketara di antara dua parti utama umat Islam iaitu PAS dan UMNO. Tetapi demi keharmonian masjid sebagai tempat ibadah dan penyatuan, usaha perlu digandakan oleh pihak di atas dan hasilnya pasti ada pada tahap dan masanya.
Jauhnya beza golongan Sunni dan Syiah tidak menghalang usaha taqrib yang cuba mendekatkan di antara mereka. Ia sukar tetapi wacana itu mesti wujud dan diteruskan demi hujjah dan keterangan sesama umat Islam.
Saya yakin berdasarkan titah Sultan Selangor bahawa larangan itu bermaksud suasana cerca – mencerca, tuduh – menuduh dan tuding – menuding terhadap individu ahli politik di dalam masjid yang boleh mencetuskan rasa kurang senang dan perpecahan di kalangan anggota jamaah masjid. Oleh kerana ia melibatkan isu – isu politik dan kepartian, maka wujudlah larangan berpolitik di dalam masjid.
Saya kira ia larangan kepada keadaan yang khas dan semacam itulah arahan yang datang dari hampir seluruh istana di Malaysia termasuk Istana Kelantan. Keadaan yang khas adalah apabila ianya membabitkan serangan terhadap individu dan parti – parti politik.
Politik adalah daripada Islam. Pertama, kerana Islam adalah menyeluruh pengajarannya. Maka adalah terlalu dangkal memisahkan politik daripada agama sedang ia adalah meliputi sebahagian besar kehidupan mnusia. Kedua, politik bermaksud, pada faham yang paling awal, pengurusan kuasa. Kuasa di rumah sampailah negara dan masyarakat antarabangsa. Maka adalah terlalu pelik jika Islam dipisahkan daripada kuasa kerana ugama tiada mungkin dapat ditegakkan tanpa kuasa. Ketiga, politiklah yang menggerakkan kewajiban agung umat iaitu berjihad di jalan Allah. Ia dimulakan oleh pemerintah atau imam. Bagaimana dibayangkan imam dan pemerintah tanpa kuasa dan politik?
Banyak lagi sebab dan kerana..
Jika begitulah pentingnya politik di dalam Islam dan jika begitu mudah sekali kita mengenali kepentingan masjid di dalam Islam, maka bagaimana kita boleh membayangkan satu suasana kehidupan Islami yang memisahkan di antara masjid dan politik?
Anda berhak bertanya mufti kerajaa negeri Perak, mengapa ketika kita telah sama – sama bersetuju memecat selipar di tangga sebelum mamasuki masjid, dia pula turut memecat politik ditangga masjid kerana baginya politik sekotor selipar?
Anda berhak bertanya beliau yang merupakan mufti pengharam politik yang paling banyak bercakap politik itu, mengapa beliau mengamalkan Islam yang begitu sukar itu untuk difahami, malah memalukan sekali memahami Islam seperti itu?
Anda berhak bertanya kerana kesukaran itulah yang memecah – belahkan umat itu memahami Islam yang benar dan asli. Tidakkah beliau sedar bahawa senjata utama barat semenjak ratusan tahun dulu untuk memecah – belahkan kesatuan umat adalah dengan menyebarkan faham politik suku ugama suku?
Begitu contoh dan gambaran bagaimana jika larangan berpolitik di dalam masjid difahami secara yang salah, maka ia akan menambahkan parah dan kesakitan yang menimpa umat hari ini.
Kita membiarkan media cetak dan elektronik dikuasai tentera iblis menyebarkan faham sekular mereka dalam saat kita turut mengharamkan masjid milik kita daripada bercakap, bahkan mesti diam dan membisu!
Tidak mungkin inilah fahaman istana yang menjadi payung agama dan negara.
Tetapi inilah fahaman UMNO yang cuba menggunakan dan berselindung di sebalik istana.
PAS dan UMNO, di sinilah garis pemisahan yang menyusahkan di antara mereka. PAS menegakkan asas beragama manakala UMNO bermatian meruntuhkan asas dan membina di atasnya tiang kepalsuan dan kekhurafatan.
Politik tak sama dengan parti. Ibrahim Ali berpolitik dan masuk parlimen tanpa perlukan parti. Tetapi sebuah kekuatan politik takkan berlaku tanpa sebuah kesatuan parti yang menggerak dan menjayakan matlamat perjuangannya. Sekadar melompat meniru katak, tiadalah nilainya dalam membela umat dan agama.
Saya menyeru kepada dua;
1) Memahamkan UMNO bahawa memisahkan politik daripada ugama adalah haram. Begitulah memisahkan masjid daripada politik.
2) Memahamkan segelintir para ustaz dan pejuang PAS bahawa mencerca, menuduh dan menyerang individu di dalam masjid adalah tidak beradab, tidak berhikmah dan tiada untungnya untuk perjuangan. Dakwah tanpa hikmah ibarat hidangan nasi tanpa lauk. Hasilnya, tutuplah kedai makan anda. Takkan datang pengunjung.
Istana boleh memainkan peranan yang maha mulia ini.
Masjid adalah syiar kesatuan umat menuju Allah. Takkan sampai kepada Allah ahli masjid yang salah memahami pengajaran ugamanya. Ajaran UMNO takkan menyampaikan rakyat Malaysia kepada ridha Allah.
Salam Kamunting,
1)
Saya menyegerakan penjelasan ini lebih awal daripada niat asal saya untuk menangguhkannya selang beberapa hari lagi. Bagi seorang blogger, adalah sayugia dan menarik untuk memerhatikan tindak balas daripada para pembaca dan masyarakat di luar terhadap apa yang dilontarkannya.
Saya tahu tulisan saya akan masuk akhbar dan menghangatkan dunia blog dan politik. Justeru apabila ia benar – benar terjadi, saya memerlukan sedikit masa untuk melihat, mengukur dan memutuskan sesuatu yang akan lebih mencorakkan apa yang saya inginkan daripada tulisan asal saya. Saya akan gagal jika arus luar menghanyutkan dan memesongkan saya daripada tempat tuju saya.
Saya tidak suka berbicara mengenai arus. Saya tidak beriman dengan arus kerana saya dilarang beriman dengan arus. Kuasa rakyat, Makkal Sakti atau apa nama yang bersifat arus, itu bukan makanan kegemaran saya.
Saya akan berbicara tentang sesuatu yang mencipta arus itu. Saya akan berbicara mengenai angin. Anginlah yang mencipta arus dan gelombang. Saya tidak beriman dengan angin juga. Tetapi saya akan meredah mencari punca angin. Di situ saya menemui apa yang saya inginkan.
Saya menemui Allah. Allah mencipta angin dan Allahlah yang mengarahkan angin mencipta arus dan gelombang. Allahlah tuhan saya. Saya beriman dengan Allah yang satu. Dalam gelombang jenis mana pun, saya mahu tenang. Allahlah sumber ketenangan saya dan seluruh pembaca yang inginkan ketenangan yang benar dan abadi.
Justeru saya tidak akan fana dan luluh dalam gelombang kuasa rakyat atau kemarahan dan ridha rakyat. Rakyat hanyalah mainan pemimpin. Pemimpin adalah angin. Pemimpinlah yang mencetuskan kuasa rakyat dan mengemudi halanya. Dalam kebangunan dan kejatuhan sesebuah negara, pemimpin digunakan Allah untuk menentukan kejayaan dan kehancurannya.
Allah mengarahkan pemuka – pemuka negara melakukan kebaikan dan keadilan. Jika mereka melakukannya, Allah perteguhkan negara tersebut dengan keadilan dan keamanan. Jika pemuka – pemuka itu engkar, malah melakukan kefasiqan dan kezaliman, Allah pasti menghancurkan negara itu sehancurnya. Ia berpindah dari gelap menuju gelap atau lebih gelap lagi.
Saya bercakap mengenai pemimpin. Rakyat perlukan pemimpin yang benar dan jujur. Kemudian dia mesti berani dan amanah. Jika seorang pemimpin mencetuskan arus, maka arus itu biarlah benar, berguna dan dinikmati hasilnya.
Semalam saya dihubungi ayahanda dari Kota suci Makkah. Saya tengah menulis pasal bola sepak dan tahniah saya pada pasukan Kelantan dan Selangor yang telah menyajikan permainan yang bagus dalam perlawanan akhir piala FA.
Saya pastinya tersentak. Saya tahu saja apa isinya perbualan nanti. AlhamduliLlah, ia mengesankan walaupun perbualan hanyalah sekitar dua tiga minit. Saya gembira dihubungi kerana saya dapat menjelaskan beberapa perkara yang saya fikir perlu.
Ayahanda menegur dan meminta saya tulis lagi agar kekeliruan dipadamkan. Jangan tinggalkan kekeruhan bertapak lama. Saya kata ya, saya akan tulis dan segera tulis sebagaimana ayahanda mahu.
Pastinya tulisan kedua ini lebih ringan bebanannya. Saya dapat lampu hijau daripada ayahanda. Sebelumnya, saya hanya memohon lampu hijau daripada Allah. Anda akan lihat bagaimana ketenangan mengalir dalam tulisan saya. Saya lebih yakin.
Selang beberapa jam, belum pun saya mula menulis, saya diberitahu bahawa sekumpulan insan sedang bergembira kerana hal Nik Abduh telah selesai. Ayahandanya telah mengarahnya berhenti buat cerita! Saya tersentak lagi. Wah, ada insan yang begitu teliti pekerjaannya sehingga dia tahu isi perbualan saya dengan ayahanda!
Sekarang anda tahu betapa saya sedang menempuh jalan yang sukar. Anda tahu saya perlukan keberanian yang sudah lama saya pohon daripada Tuhan saya. Betapa saya sering menangis memohon keberanian daripada Allah. Mengapa saya harus mendiam diri, takut dan dilanda kecewa sendirian? Dalam blog ini, saya sering menyeru agar jangan bersedih, berani kerana benar dan pelbagai dorongan ugama, tetapi saya sendiri kelu dan bisu di hadapan kebenaran yang mesti saya sampaikan kepada ayahanda. Saya melukut di hadapan pembohongan dan pemalsuan yang dipaksakan ke atas orang yang saya kasihi.
Sehingga saya tiba – tiba diberikan keberanian itu. Ia melanda – landa datang. Allah memperkenalkan saya jalan dan masanya. Saya kenal diri saya. Saya mampu mengesan, dengan izinNya bahawa sesuatu itu daripada nafsu atau daripada suluhan taufikNya. Ini untuk saya dan diri saya. Justeru saya mulakan dengan nama Allah. Anda pun telah membacanya.
AlhamduliLlah, dalam seketika sahaja saya dihujani tahniah. Ia tidaklah mengujakan saya sehinggalah saya menerima ucapa terima kasih daripada seorang yang saya sayangi. Dia guru saya dan guru ratusan ribu ahli PAS seluruh negara. Saya bertanya adakah saya telah mengganggu dan merosakkan jamaah? Jawabannya tidak. Ia dinikmati oleh mereka yang cintakan keharmonian dan para ulama yang saya maksudkan daripada tulisan saya.
Akhirnya, keberanian turut melanda mereka yang faham tetapi takut dan bersimpati daripada kalangan guru dan sahabat saya. Mereka berjanji untuk turut bersama. Saya bersyukur kerana saya sedang mencetuskan keberanian untuk semua. Kekuatan saya bertambah – tambah dan Allah memberikan saya ketenangan yang saya perlukan saat ini.
Anda bacalah komentar para penjengok blog ini. Ia berbaur antara puji dan keji. Inilah suara rakyat. Inilah suara yang saya mahukan setiap pemimpin bersimpati dan bertanggung jawab ke atas mereka. Mereka memuji dan mencela dalam arus yang diciptakan ke atas mereka. Justeru arus mestilah benar agar mereka tiada tertipu oleh pemimpin.
Sekarang masanya saya menjelaskan..
2)
Saya dengan sengajanya memilih perkataan ‘pembantu – pembantu ayahanda’ dan menjadikannya umum. Saya tembak terus kerana saya mahu semua orang kena. Semua mereka yang merasakan masing – masing adalah pembantu ayahanda. Saya mahu mereka bertanya, adakah aku yang dimaksudkan?
Pastinya mereka yang tidak pernah bercakap dan menyumbang idea kepada ayahanda mengenai isu – isu politik yang saya maksudkan akan merasakan mereka terkeluar. Keluarlah anda. Sesungguhnya Allah membalas pekerjaan anda dengan kebaikan yang melimpah daripadaNya.
Saya kenal kebanyakan pembantu ayahanda. Mereka inilah kaki dan tangan ayahanda yang telah banyak menyumbang dan berkorban. Daripada Abang Lah pemandu ayahanda yang telah berkhidmat sedari saya kecil sehinggalah YB Dato Ahmad Yaacob, Timbalan Menteri Besar Kelantan, ada ratusan pembantu ayahanda samada di pejabat PAS Kelantan, di pejabat SUK dan di luarnya.
Saya hormati mereka dan saya tabik mereka. Kerja dan bantuan mereka mengatasi saya. Saya hanyalah seorang anak yang menjadi pembantu dalam soal – soal kekeluargaan. Ayahanda pernah meminta saya menjadi Setiausaha Akhbarnya. Saya mohon derhaka. Ayahanda pernah bertanya tahun lepas, di kawasan mana saya mahu bertanding? Saya mohon derhaka. Ayahanda pernah meminta saya menjadi Pegawai Peribadi di DUNnya. Saya mohon derhaka. Ayahanda akur kerana dia tahu maksud dan bebanannya ke atas saya.
Saya mahu kekal sebagai pembantu di rumah. Saya meyakini kekuatan para pembantu ayahanda di luar. Saya tidak banyak masuk campur walaupun kadang – kala bonda bersungut mengenai beberapa pembantu yang dilihat gagal berperanan.
Kepada mereka saya doakan kesejahteraan di dunia dan akhirat.
Adapun maksud saya adalah para pembantu yang membantu dalam isu politik. Mereka ramai, mungkin berpuluh – puluh. Semua mereka adalah benar dan betul. Kerana jasa merekalah ayahanda jadi perkasa dalam dunia politik Islam dan tanah air.
Pekerjaan bodoh hanyalah satu. Dan atas pekerjaan yang satu inilah saya menyerang dengan panas. Apabila anda memuji saya, ia tak pun meredakan kemarahan saya. Apabila anda memaki saya, ia tak pun memarakkan kemarahan saya. Saya kekal panas sehinggalah ayahanda dibebaskan daripada kerja – kerja bohong, bodoh dan jahat ini.
Ayahanda adalah ayah saya. Darah dan dagingnya mengalir di tubuh saya. Jika anda berjutaan memerangi saya, anda tak akan mampu memisahkan di antara darah dan daging kami. Saya mempertahankan ayahanda sebagaimana saya mempertahankan saya.
Saya enggan melihat kepanasan ayahanda disebabkan pembohongan dan pemalsuan. Saya enggan melihat mendung di langit perjuangan Islam. Saya enggan melihat kekecewaan daripada hukuman yang salah dan palsu.
3)
Yang menghubungkan kita dengan langit adalah al Quran dan al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. Apabila baginda wafat, para ulama adalah pewaris. Ulama mewarisi ilmu, iman dan taqwa. Itulah legasi kenabian. Al Quran adalah punca ilmu yang benar. Ia dijaga kekuasaannya sehingga qiamat. Allah mempersiapkan para ulama dengan ilmu, iman dan taqwa demi kelangsungan perjuangan menegakkan kekuasaan al Quran ke atas manusia.
Ulama adalah cahaya yang menyinari kehidupan. Ketika PAS kesakitan, Allah mencetuskan idea kepimpinan ulama. Ia memberkati kebangkitan PAS. Allah bekalkan kita dengan para ulama yang menerajui dan menyatukan kekuatan.
Jika anda ingin berubah, berubahlah dalam kesatuan yang telah dibina para ulama. Jika anda ingin pembaharuan, bergeraklah bersama mereka.
Jangan tukarkan makanan dari langit dengan bawang putih dan bawang merah semata – mata anda sudah jemu dengan makanan syurga. Jangan tiru Bani Israel!
Ulama menyatukan kita sedang sesetengah anda memecahkan di antara ulama. Inilah kerja bodoh! Pemberi komen bernama MuhaiminSulam kata, tukarkan bodoh kepada jahat!
Saya memaksudkan mereka ini dan saya memaksudkan kerja seperti ini. Saya tidak memaksudkan kerja mereka yang lain walaupun ada lagi yang lain.
Saya menulis kerana ia sedang mengancam kesatuan dan ketenangan. Bukan saya, bahkan semua merasa tidak tenteram. Saya menyerang dipuncanya agar anda tahu puncanya. Apabila anda menguasai puncanya anda akan kembali dengan ketenangan dan kekuatan.
4)
Saya nukilkan perbualan saya dan ayahanda pasal idea Unity Government dan Pakatan Rakyat. Saya kemukakan titik persamaan dan perbezaan. Jawaban ayahanda adalah di sebalik yang anda perolehi di luar. Saya kata ayahanda menerima hujah keharusan itu.
Saya tak kata ayahanda dah setuju dibentuk kerajaan bersama BN. Saya tak tanya pun adakah dia setuju atau tidak. Itu tidak penting. Ia tidak mengganggu apa yang saya mahukan daripada jawabannya itu.
Anda dan surat khabar hanya mentafsirnya. Jika anda mahu tafsiran terbaik, tanya dia sendiri. Saya tidak memerlukan jawaban itu.
Ingat, saya bukan mendodoi Unity Government di sini. Nak berhujah, cari di tempat lain. Saya hanya mahu anda faham mengapa wujud percanggahan di antara sebelum dan selepas pertemuan itu? Mengapa sejuk sesudah panas? Saya memberitahu anda sebabnya. Sebabnya adalah pekerjaan bodoh itu.
Kerja bodoh bukan menolak Unity Government. Kerja bodoh ialah memahamkan maksudnya dengan maksud yang tak benar dengan tujuan yang tak benar di sisi ugama.
Jika anda mahu lawan, cukup anda buktikan bahawa saya telah berbohong tentang kewujudan kerja bodoh itu. Jika anda sangsi, usah percaya dan usah bohongi. Saya menulis kepada pembaca di blog saya yang yakin bahawa saya tidak berbohong. Kepada mereka saya mahu memberikan rasa tenang dan yakin.
Saya juga menulis untuk disampaikan kepada pembantu – pembantu itu agar bertaubat. Kerja kamu itu sia – sia di sisi tuhan walau kamu digilai manusia dan haiwan pun.
Kemudian saya tambahkan perencah. Wujud mereka ( pembantu ) yang berang sesudah ayahanda tersenyum lebar di JKR 10 selepas pertemuan di antara anggota Majlis Syura. Mereka gagal memisahkan di antara ulama.
Jika anda mahu lawan, cukup anda buktikan saya bohong. Tidak wujud keberangan itu. Jika tidak, anda melibas pedang di angin, lalu mendakwa tubuh saya telah putus seribu.
Saya perhatikan seni hujahan anda. Tumpul dan rapuh. Saya jentik, terbang bagai abu di hujung rokok. Sila datang kepada saya di luar, mari bersabung. Saya tunjukkan anda seni berhujah yang digemari agama dan malaikat.
5)
Saya berpegang sebagai mana ahli PAS berpegang. Pakatan Rakyat adalah sebaik – sebaik temuan dan alternatif hari ini. Tulisan saya sebelum ini menyokong DSAI sebagai peneraju jika ianya disepakati. Hujah agama membenarkan. Tulisan saya sebelum ini menolak pakatan dengan BN, apatah masuk BN. Sehingga BN bersetuju untuk berubah, hukum agama mengambil tempat.
Saya menyeru kepada pembukaan. Jangan tutup apa yang Allah mahu ianya terbuka. Anda akan bernafas lebih lega dan harmoni. Anda akan lebih gagah melangkah.
Ini siasah syar’ieyah. Dua tuan guru ini adalah pakar ilmu ini. Apabila mereka bertelagah saya tak rimas pun. Saya tahu mereka akan bertemu dan bersetuju. Saya diberitahu TGHH dinasihat untuk tidak berjumpa ayahanda ketika panasnya, tetapi beliau enggan. Beliau tahu ayahanda akan reda. Reda dan ridha dengan temuan ilmu dan hujah. Itulah yang berlaku.
Tetapi, kerja – kerja bodoh mengambil tempat. Mereka inilah batu api. Batu api inilah satu kerja dosa besar yang merosakkan jamaah dan ummah. Atas kerja bodoh inilah saya doakan Allah membalas mereka di dunia agar mereka kembali sedar dan bertaubah.
Itu hikmah Allah membalas di dunia. Anda alim, ingat ayat itu. Anda jahil, tanya orang alim. Jangan meracau tak tentu pasal marahkan saya menamakan sesetengah manusia sebagai ulama ‘mi celup’. Apa tak adakah di dunia ini orang jahil yang mengaku alim?
Macam peniaga makanan kesihatan dalam MLM. Habis kursus sebulan pasal produk, mereka keluar bersyarah macam seorang doktor. Anda marahkah jika saya namakan mereka doktor ‘mi celup’?
Saya belajar ugama. Maka saya tahu saya bukan taraf ulama. Saya tahulah siapa ulama yang benar dan palsu. Saya ada neracanya mengenal kaca dan permata. Kerana itu saya mempertahankan ulama yang saya kenali dan akui ilmu, iman dan taqwa mereka.
Mereka di hadapan anda. Menyayangi ulama adalah iman. Memusuhi ulama adalah perang terhadap Allah. Ingat al hadis itu. Justeru jangan mencetuskan kebencian dan kerenggangan di antara awam dan ulama, apatah memecahkan saf para ulama.
Jangan lupa blog saya. Doakan saya terus mampu menulis demi perjuangan meruntuhkan kekuasaan BN durjana.
Salam Kamunting,
Berkata Ibnu Khaldun, “Apabila sesebuah negara telah mencapai umur tua, ia tidak akan bangkit lagi.”
Kata – kata pemikir besar Islam ini mudah difahami. Tua adalah sakit yang tiada ubatnya. Ia bererti tiada lagi di hadapan selain ajal yang menutup segala harapan. Ia melanda manusia, haiwan, pokok tumbuhan dan semua makhluk tuhan.
Dunia ini pun sudah cukup tua. Ia seperti wanita tua bongkok sebagaimana digambarkan kepada al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam pada malam Isra’ dan Mikraj. Sampai masanya dunia ini akan mati. Kiamat adalah kematian bagi dunia ini sebagaimana disebut bahawa kematian setiap diri adalah kiamat kecil untuknya.
Tua mengakibatkan lemah jasmani, bahkan rohaninya juga. Ia tidak mampu lagi sebagaimana kudrat masa mudanya. Apabila ia lemah, penyakit datang dengan mudah dan susah pula dirawati. Ia akan menarik kematian dengan lebih segera.
Justeru kebangunan sesebuah negara dan keruntuhannya diikat oleh hukum alam ( sunnah Allah ) ini. Ia akan terhenti pada umur tuanya. Jika tiada faktor awal lain melandanya, maka ia akan diasak oleh faktor umurnya. Tiada negara yang berjaya dalam tamadunnya kecuali ia akan berakhir juga dengan sebab ketuaannya.
Ibnu Khaldun semasa menulis dan memutuskan kaedah dan sunnah ini sudah pasti melihat dengan jelas sejarah ketamadunan manusia yang terdahulu. Jika anda membaca dan memahami al Quran, terdapat beberapa lagi faktor atau sunnah tuhan yang menyentuh mengenai kejayaan dan kegagalan tamadun manusia.
Pada menetapkan sunnahNya, Allah menegaskan, ” Dan engkau tidak akan dapati sebarang penukaran lagi terhadap sunnah Allah dan engkau tidak akan dapati sebarang perubahan lagi terhadap sunnah Allah.” ( Fathir:43)
Negara kita selepas merdeka, melalui sistem demokrasi barat, telah diterajui oleh pemerintahan Barisan Nasional yang diketuai UMNO. Kini, ia telah mencapai umur lebih 50 tahun. Jika dikira umur sebuah tamadun, ia masih terlalu muda. Tetapi dalam sistem demokrasi hari ini yang memberi kuasa dan kebebasan kepada rakyat untuk melantik dan menukar parti yang memerintah, maka pemerintahan BN dikira sudah cukup tua.
Ia sudah lemah dan tak bermaya lagi.
Anda boleh melihat di dunia hari ini, dalam tempoh 50 tahun, negara – negara yang mengamalkan demokrasi telah mengalami pertukaran dan perubahan kerajaan lebih daripada sekali. Bermula di Amerika, England, India sehinggalah ke negara – negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Jepun, sesetengah perubahan yang berlaku adalah kerana faktor ketuaan yang mengakibatkan kelemahan dalam pemerintahan.
Kerana itu, pendapat ramai penganalisis politik negara yang melihat faktor UMNO dan BN yang telah mencapai umur tua sebagai petanda kejatuhan UMNO dan kerajaan BN bukanlah suatu telahan yang kosong atau sekadar analisis murahan.
Selepas UMNO dilihat memuncak di zaman Tun Mahathir, kemudian mula lemah di hujung pemerintahannya, ia berusaha untuk bangkit di zaman Pak Lah. Kejutan kebangkitan berlaku. Tetapi ia sekadar untuk beberapa tempoh yang pendek sekali. Ia sekadar panadol penahan sakit. Ia diasak oleh penyakit yang mula berakar di zaman Tun Mahathir. Pak Lah yang gagal sering dilihat dan dijadikan mangsa oleh UMNO dan Tun Mahathir sendiri seolah – olah beliau mampu membaiki dan membina kembali apa yang dulu diruntuhkannya sendiri.
Hari ini, apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan UMNO dengan laungan perubahan menyeluruh dalam parti kebangsaan itu, ramai yang memberi harapan untuk kebangkitan UMNO kembali. Setiap presiden baru tuahnya pasti ada.
Untuk mengamati benar atau batilnya harapan itu, anda perlulah dahulu melihat dan memerhatikan benar atau batilnya dakwaan bahawa UMNO memang telah disumpah sunnah ‘tua’.
Saya cuba gariskan beberapa fenomena yang mungkin mencetus jawaban yang mujarab untuk memastikan kebenaran dakwaan bahawa UMNO telah tua dan tiada ubat untuknya lagi. Saya adalah anatara yang beriman dengan dakwaan ini.
1) Saya tiada jawaban untuk mengeluarkan UMNO daripada dimamah faktor yang telah menumbangkan rakan – rakannya daripada kalangan pemerintahan tua negara – negara jiran Malaysia. Satu – satunya negara terdekat yang masih selamat ialah Singapura. Adakah anda melihat UMNO sehebat parti pemerintah negara itu?
2) Saya tiada keyakinan langsung untuk mengatakan Datuk Seri Najib mampu membawa perubahan besar dalam UMNO. Pertama, beliau sendiri dipalit dakwaan buruk yang sukar dibersihkan. Mr dirty menggantikan Mr clean. Bolehkah saya meyakini bahawa pakaian kotor adalah lebih memikat berbanding pakaian bersih?
Kedua, UMNO terlalu memerlukan perubahan besar. Perubahan kecil – kecilan, singgul – singgulan, tempel – tempelan adalah membazirkan masa, wang dan harapan. Jiwa kecil Datuk Seri Najib tidak mungkin melakukan yang besar dalam pelan perubahan canangannya.
3) Rasuah adalah barah yang membunuh. Ia membunuh negara sebagaimana dadah membunuh manusia. Saya melihat pelan membasmi rasuah dalam UMNO lebih teruk daripada pelan membasmi dadah dalam negara. Jika UMNO sendiri membawa virus rasuah, bagaimana ia mampu menyelamatkan negara daripada rasuah?
Bagi saya, UMNO sedang membunuh diri. PAS tidak akan sempat membunuh UMNO.
4) Saya tidak melihat pelapis dalam UMNO yang dikagumi. UMNO meninggalkan generasi lemah yang ditakuti masa depannya. Bapa yang meninggalkan anak – anak yang lemah pasti menyaksikan kematian keturunannya. Pertikaian dan kejayaan kumpulan yang dipalit rasuah dalam sayap pemuda UMNO baru – baru ini adalah menakutkan. Adakah anda mampu menyalahi saya di dalam tidak meletakkan harapan kepada generasi pelapis UMNO?
5) Rakyat telah dihidangkan dengan alternatif pemerintahan baru oleh Pakatan Rakyat. Bahkan, cara hidup tawaran Islam yang terbukti berjaya oleh PAS. Rakyat kini boleh menilai dan membezakan. Penutup mata telah dirungkai dan cahaya di hadapan sudah cukup terang.
Adakah anda boleh memberi keyakinan bahawa Kelantan adalah gagal? Anda perlu tahu bahawa tiada yang lebih berani menghukum kegagalan politik melebihi rakyat Kelantan. Mengapa mereka tidak menghukum PAS di Kelantan?
Lima fenomena yang saya sebutkan di atas cukup untuk menjadi sandaran di dalam menentukan kebenaran bahawa UMNO telah mencapai umur tua yang tidak akan menyaksikan kebangkitan lagi. Anda bolehlah merenung lama. Tiada cela berfikir lama untuk masa depan negara. Itu ibadah yang besar.
Ia adalah sebagaimana kata Maulana Abul Hasan Ali an Nadawi dalam komentarnya terhadap hikmah Ibnu Khaldun di atas, ” Justeru tiada lagi faedah di dalam menghabiskan masa dan tenaga untuk mengislah dan menguatkan negara ‘tua’ itu. Sayugia sekali disediakan satu kumpulan yang mampu melakukan inqilab Islami, lalu membentuk sebuah negara Islam yang baru di atas asas agama dan ilmu yang baru.” ( Rujuk kata pengantar oleh Sayyid Sabiq untuk buku ‘HujjatuLlah al Balighah’ oleh al Imam al Dahlawy )
Mengislah UMNO adalah membuang masa menghabis tenaga. Semoga rakyat tahu. Semoga rakyat berani berubah.
Komen Terbaru