You are currently browsing the monthly archive for Januari 2008.
Salam Kamunting,
Mungkin sudah jenuh saudara Slasher dan para pembaca juga menunggu jawaban yang saya janjikan ke atas komennya terhadap saya dan tulisan saya, ‘mengapa mengundi PAS adalah wajib?’ Saya memohon maaf atas kelewatan meluangkan masa untuk menulisnya. Kadang – kadang mood cukup berkuasa mengalih tumpuan dan menentukan masa kita sendiri.
Begitulah saya, hajat di hati mahu menulisnya selepas raya haji dulu, tetapi hanya hari ini saya bersinis dengan mood itu dan berkata, inilah masanya!
Elok sekali anda mengulangi dan membaca balik komen beliau itu. Saya salinkannya di sini:
Saya tersangat hairan melihat tulisan seumpama ini terhasil daripada seorang yang relatifnya muda dan mempunyai pemikiran terbuka. Saya bertambah hairan apaabila dikaitakan Islam kepada perkara-perkara yang tiada kaitan dengan agama.
Kita tentu sangat tahu, sistem politik demokrasi bukan daripada ajaran Rasulullah SAW. Kita semua masih ingat Tuan Guru Hj Hadi mengatakan ’siapa kata politik suku, agama suku’ boleh membatalkan Islam. Sudah tentu perkara yang sedemikian asas dalam Islam akan terdapat cara-cara yang khusus bagi Islam. sudah tentu sudah banyak ulama-ulama silam menulis tentang sistem politik Islam. Dan sudah tentu politik Islam, yang disandarkan kepada wahyu dan sunnah akan berbeza dengan sistem-sistem politik rekaan manusia jahiliyyah semada menggunakan nama demokrasi, kominisme atau lainnya. Sebagai orang yang pernah belajar agama , Nik Abduh tahu siapa yang menganggap demokrasi adalah sistem poltik Islam, dia telah meragui kesempurnaan dan kesucian ajaran Islam. Seakan dalam politik, Islam perlu menumpang sistem jahiliah untuk melaksanakan syariatnya. Seakan Allah memperlonggarkan kaedah kita bersiyasah asalkan kita dapat berkuasa.! Atau orang ini menganggap sistem yang manusia reka itu setanding dengan sistem yang Allah dan rasul-Nya ajarkan . Ini adalah bala’ yang tersangat besar kepada Islam.
Sekiranya kita dapat berpakat, bahawa Islam datang dengan segala kesempurnaan, yakni syariatnya, jalan ke arah melaksanakan syariatnya dan perlaksanaan syariat itu sendiri. Seumpama tidak mungkin kita mampu bermain bola sepak dengan selesa di padang ragbi dan menggunakan bola ragbi!
Sekiranya kita boleh bermuafakat yang penglibatan dalam demokrasi adalah ’strategi’ dan ijtihad kita untuk memperkasakan dakwah Islamiyyah, maka tentu kita tidak begitu berani untuk mengatakan ‘mengundi PAS adalah wajib’ dalam Islam. sudah tentu kita akan melihat kenapa akhir ini Ikhwan, umpamanya. beriya-iya mahu bergiat dalam politiknya di atas pentas ‘civil party’ dan bukan religious party’. Lihatlah kenyataan dalam web-site resmi Ikhwan.
Adalah lebih bermanafaat bagi Nik Abduh memperingatkan kita semua tentang perlunya mereka yang terlibat dalam kegiataan politik untuk tidak mengadaikan agama, menggunakan isu agama untuk memenangi pilihanraya. Kerana memang terdapat ceramah demi ceramah diadakan untuk memenangkan parti sendiri, bukankah itu termasuk menggunakan agama untuk tujuan dunia? Suatu perbuatan yang terkutuk
Selepas menang pilinraya, dengan dakyah ‘mengundi PAS adalah wajib’, wakil-wakil rakyat PAS yang menerima gaji atas nama ‘kewajiban’ itu seakan-akan tidak ada sebarang taklif ke atas rakyat . Apalah bezanya kawasan yang PAS menang dengan kawasan yang PAS kalah dari segi aktiviti agama yang diatur oleh wakil-wakil rakyat PAS?. Apakah tidak haram rakyat yang berpegang ‘mengundi PAS itu wajib’ dibiarkan tanpa perancangan bagaimana ingin memperbaiki kehidupan dunia dan kesedaran agama secara konsisten dan ikhlas (tanpa menumpu kepada musim dekat pilihanraya). Bagaimana pula apabila anak beranak wakil rakyat PAS yang mendapat peluang makan gaji atas dasar ‘kewajiban’ itu juga mendapat habuan, walaupun mereka bukanlah orang yang terbaik untuk jawatan itu.
Nik Abduh juga agaknya perlu membina kekuatan diri sendiri, bukan bersandar kepada ayahanda. Nik Abduh perlu jujur dan sanggup berdepan dengan Allah dengan membuat perumpamaan yang Saiyyidina Zaid dan Saiyyidina Usamah dengan Rasulullah SAW seumapama Pak Jak dan anaknya . Bacalah kenapa Rasulullah SAW begitu sayang kepadsa Zaid, bacalah bagaimana usamah terpilih untuk mengetuai perang melawan tentera Rom. Apakah sumbangan Pak Jak dan anaknya kepada ayahanda Nik Abduh dan Islam?. Apakah boleh disamakan kasih-sayang seorang Rasul yang maksum kepada sahabat-sahabat yang yang setia kepada Islam, yang sanggup berkorban apa saja demi Islam, tidak meminta apa-apa ganjaran yang berbentuk duniawi dengan seorang taukeh balak dan anaknya yang juga ahli perniagaan kepada seorang Menteri Besar, yang berkebetulan boleh meluluskan kawasan balak kepada sesiapa yang diperkenankannya.
Kalaulah ini dikatakan politik, sekadar untuk mendapat kuasa dan mempennya. Islam tiada kena-mengena dengan aktiviti memburuk-burukkan orang lain walaupun berada di dalam separti, Islam tiada mengajar kita untuk lobi-melobi untuk mendapat kedudukan demi kedudukan. Islam tidak mengajar kita untuk bermuka-muka , tanpa sebarang integriti , hanya sekadar mengatakan ‘dengki orang PAS’ pun mendapat pahala! Islam tidak mengajar kita untuk menuduh orang lain walaupun tuduhan kita itu tidak memenuhi piawai syara’. atau tanpa mengambil kira maruah orang lain dan kebenaran tuduhan yang kita lemparkan……
Sekadar ingin berkongsi rasa dengan Nik Abduh yang banyak ‘mewarisi’ perjuangan ayahanda, sebagaimana yang diharapkan oleh Gemuluh Abang din Kubur Maras
Saudara Slasher,
Anda tahu bahawa saya adalah ahli PAS. Melaluinya saya bersama ahli – ahli yang lain berjuang menegakkan ketuanan Islam di bumi Malaysia ini. Tak kiralah samada anda mengiktiraf PAS atau tidak, saya dengan itu adalah terikat dengan kehendak dan kerelaan sendiri untuk patuh dengan ketetapan yang ditentukan oleh PAS sebagai sebuah parti Islam, dalam bahasa sistem demokrasi negara, atau sebuah gerakan Islam, dalam istilah thaqafah dan politik Islam hari ini, atau sebuah jamaah muslimin dalam bahasa Baginda sallaLlahu alaihi wasallam.
Ini kerana saya beriman, melalui hujah – hujah ugama bahawa kekal berjamaah adalah wajib. Manakala syarat yang wajib ke arah menggapai kemenangan Islam yang dijanji Tuhan adalah melalui pembentukan dan penyempurnaan sebuah jamaah muslimah yag unggul yang akan menggerakkan dan menyatukan kekuatan ummah dengan pengajaran agama yang betul.
Saya dengan itu hendaklah bercakap mengenai PAS dalam bahasa yang dibenarkan oleh parti. Saya samada memperkasakan keputusan dan pendirian parti atau memberi pandangan dan teguran yang membangunkan parti dan menjulangnya.
Kewajiban mengundi PAS adalah keputusan dan pendirian parti. Saya memperkasakannya dengan mengolah dan menyusun hujjah agar lebih mudah difahami.
Andai saya gagah, saya menggagahkan parti dan jamaah. Andai saya lemah, parti dan jamaah pasti menggagahkan saya.
Jangan anda melagakan saya dengan pimpinan parti seperti nukilan anda dengan kenyataan TG Haji Abdul Hadi Awang. Anda hanya mengandai untk berhujjah. Andaian tidak meneguh atau meruntuh kebenaran. Saya jelaskan nanti.
Kemudian, fahami betul – betul, saya dengan mengatakan mengundi PAS adalah wajib, sama sekali tidak bermaksud menjadi ahli PAS adalah wajib! Mengundi PAS tidak sama dengan menyertai PAS sebagai ahli.
Jangan terkeliru di sini sehingga merosakkan makna yang saya maksudkan.
Selepas menjelaskan dahulu kekeliruan anda dalam 4 simpulan yang anda kemukakan, saya akan cuba berkomentar mengikut susun ayat komentar anda. Semoga ini lebih menjelaskan.
I
Anda menegur balas saya di dalam 4 perkara:
1) Hujah mengundi PAS adalah wajib mengandungi keakuran bahawa demokrasi barat adalah daripada sistem politik Islam. Ini adalah ragu – ragu dengan Islam dan kesempurnaannya.
2) Hujah mengundi PAS adalah wajib adalah tersasar dan salah kerana penyertaan dalam demokrasi hanya bersifat ijtihad dan strategi untuk memperkasa dakwah Islamiyyah.
3) Menyeru saya di sebalik bersibuk dengan mewajibkan mengundi PAS, agar menumpukan kepada seruan melarang ahli politik daripada menggadai agama dan menggunakan isu agama demi kuasa dan kemenangan dalam pilihan raya.
4) Menyeru saya berteguh pada kekuatan sendiri, bukan bersandar kepada kekuatan ayahanda Tuan Guru.
Dua yang terakhir hanyalah ajakan dan saranan, sedangkan dua yang pertama itulah hujah ke atas tulisan saya. Bagaimanapun saya berhajat menjelaskan kesemuanya juga.
Saudara Slasher,
Ya, sistem demokrasi barat hari ini adalah bukan daripada Islam. Asas kesalahan mereka ialah rakyat menjadi tuhan ke atas rakyat. Melaluinya kuasa dan hukum berlegar sesama manusia. Tiada Allah untuk menentukan dan menguat kuasakan.
Tetapi di dalam Islam ada demokrasi. Demokrasi Islam yang dihidupkan dalam pelaksanaan sistem syura. Syura adalah sistem yang menjulang kekuasaan Tuhan dan kebebasan hambaNya mengurus kehidupan dalam ruang kuasaNya.
Oleh kerana demokrasi barat turut menjadikan syura sebagai sebahagian isi sistemnya, sebahagian ulama kita menegaskan bagaimana sistem demokrasi barat adalah satu sistem jahiliyah dan bukan Islam yang paling mendekati Islam. Dalam dunia jahiliyah hari ini, tiada sistem yang lebih baik dan diterima umum berbanding demokrasi barat itu.
Apapun, kerosakan asas demokrasi barat menyebabkan Islam menolak pelaksanaannya dalam masyarakat Islam. Ia hendaklah sistem syura yang tulen sebagaimana ajaran al Rasul.
Justeru pengasingan di antara isi yang bertepatan dengan Islam dan bertentangan adalah peduli dan concern para ulama demi menyelamatkan umat Islam ketika dipaksa untuk hidup dalam dunia yang bukan dunianya hari ini.
Adakah menyertai demokrasi berpilihan raya bererti menumpang sistem jahiliyah untuk menegakkan Islam? Lalu, demi memperoleh kuasa dan politik, kita melonggarkan apa yan disempitkan oleh Allah?
Saya bertanya anda, di mana salahnya? Adakah menumpang, mengguna, meniru, menempel dan mengenderai sistem jahiliyah adalah salah seluruhnya?
Bagaimana komen anda jika sistem jahiliyah itu meniru Islam? Tidakkah barat bangkit dan maju kerana sumbangan pemikiran dan tamadun Islam sebelumnya, lalu sukarlah mereka memisahkan diri secara total daripada menerima tempias kesempurnaan Islam di dalam membina sistem kehidupan?
Adakah anda tersepit ( atau menyempitkan diri ) di dalam keyakinan dan iman bahawa sistem jahiliyah itu adalah haram semuanya? Sebelum anda berkata ya atau tidak, saya mudahkan anda dengan contoh terang berikut dan buatlah kesimpulan.
1) Dalam mempertahan kuasa politik dan survival kerajaan Islam Madinah, sistem pertahanan menggunakan parit telah diterima pakai oleh RasuluLlah ketika berhadapan tentangan sengit Barisan Nasional Arab jahiliyah dalam peperangan Khandak/Ahzab. Sistem pertahanan parit bukanlah daripada Islam sebelumnya dan bukan juga daripada Arab pun. Ia daripada sistem pertahanan kerajaan Majusi penyembah api dari negara Parsi yang disarankan oleh Salman al Farisi. Tidakkah ini bererti RasuluLlah menumpang, meniru, mengguna, menempel dan mengenderai sistem ciptaan jahiliyah?
Tidakkah ini bermaksud demi mempertahan dan memperolehi kuasa, RasuluLlah menumpang sistem jahiliyyah?
2) Semasa di Makkah, Baginda telah melarang Abu Zar al Ghifari daripada mengisytiharkan pengislamannya secara terang – terangan di Kota Makkah. Tidakkah ini satu keakuran dan ketundukan kepada sistem tirani jahiliyyah masa itu yang menolak Islam. Tidakkah ini bererti meninggalkan ajaran sendiri yang mendorong ke arah berterangan dengan Islam?
Dua contoh di atas menemukan kita dengan mudah sekali dengan kesimpulan bahawa tiada apapun dengan hal – hal jahiliyah selama mana ianya tidak bertentangan dengan Islam. Apa haramnya menggali dan berlindung dengan kekuatan parit? Apa salahnya menyembunyikan keislaman demi menyelamatkan diri dan ugama daripada belenggu kezaliman dan kejahatan?
Apa salahnya memilih pemimpin sendiri? Apa salahnya mengundi bermai – ramai bersama bukan Islam juga untuk memilih pemimpin yang terbaik untuk memimpin negara? Apa salahnya menyeru supaya dipilih pemimpin yang cintakan Islam? Apa salahnya menyeru agar dinyahkan pemimpin yang jahat – jahat ( macam Chua Soi Lek, Samy Vellu, Nazri Aziz dan Rafidah Aziz selepas Pak Lah ) dengan tidak mengundi mereka?
Inilah isi pilihan raya yang berjalan walaupun penuh ketempangan dan pencabulan. Adakah dengan menerima sistem sebegini bererti kita telah menerima demokrasi barat sepenuhnya, lalu melayakkan kita untuk menerima kutukan kerana akur dengan ketidak sempurnaan Islam?
Adakah dengan semata – mata berurusan dengan bank adalah keakuran dengan sistem ribawi yang menjadi inti keharaman sistem kewangan konvensional hari ini, sedangkan urusan kita itu tidaklah melibatkan riba?
Slasher,
1) Kita hidup dalam sistem jahiliyah secara terpaksa. Maka kita terpaksa bermain dan berurusan dengan sistem ini, bukan menolaknya lalu kita hidup tergantung – gantung dan terumbang – ambing tanpa sumbangan untuk membaiki atau mengubahnya.
RasuluLlah dalam hari – hari awal dakwahnya terpaksa hidup dalam sistem Abu Jahal dan jahiliyahnya. Baginda terpaksa bermain dan berurusan dengan sistem ini demi melayakkan dakwahnya berada di tengah – tengah medan. Kerana begitu liat menyelit dan amat tenang meriak dan mengalir dalam kesukaran itulah, jahiliyah menjadi rimas dan gusar sekali dengan kekuatan Islam.
Anda tidak boleh berterangan dalam politik tanpa parti politik. Ambil saja nasib Al Arqam. Ia damai lama sekali sehinggalah urusan politik dicampuri. Kerajaan bertindak dan Al Arqam tersungkur semudahnya. Bayangkan jika mereka adalah parti politik. Tentunya lebih sukar musuh menjamah.
Berpolitik tanpa parti politik di Malaysia adalah membunuh diri. Berpolitik melalui parti politik adalah serangan yang mampu membunuh.
Kita menyerang dan menang di Kelantan dan mereka pula menyerang dan menang di Terengganu.
Sekali lagi, apabila menggali parit sebagai strategi diputuskan, kewajiban menggali parit adalah pasti, walaupun ia strategi ciptaan tamadun jahiliyah Majusi.
Apa bezanya dengan kewajiban mengundi demi mempertahankan Islam? Tidakkah ia seperti khandak/parit?
Mungkin persekitaran perbalahan perihal keabsahan bergerak dalam sistem demokrasi barat hari ini adalah lebih luas. Saya tidak bermaksud melangsaikannya seluruhnya. Ia sekadar menjawab sebuah komen yang menjengah.
2) Anda mempertikaikan hukuman wajib mengundi yang saya hujahkan dengan alasan itu adalah ijtihad. Ia bukan lahir daripada nas qat’ie ( begitu?). Kemudian ia adalah sekadar strategi untuk memperkasa dakwah Islam.
Saya mengomel untuk anda, bukan mengaum, daripada ilmu mana lahir bingkasan hujah sebegini?
Adakah dengan sebab ianya satu ijtihad, maka tiadalah hukum wajib dikenakan? Maknanya, setinggi – tinggi ijtihad hukumnya sunat, kemudian harus, kemudian makruh. Selepas itu ijtihad tidak boleh mengenakan hukum haram. Wajib dan haram tiada dalam ijtihad.
Sekali lagi ‘ana bertanya ente’, ilmu mana?!
Saya mudahkan dengan contoh. Jika begitu, salahlah Imam asy Syafi’ie mewajibkan bacaan al Fatihah ke atas semua pendiri solat sebab itu adalah hanya satu ijtihad yang dicanggah sama sekali dalam mazhab Hanafi.
Maksud saya, anda harus belajar apa itu ijtihad, antara keluasan dan kesempitannya. Saya malas mengulas panjang.
Kemudian, adakah dengan sebab ianya satu strategi, maka ianya tidak boleh menjadi wajib?
Hah, ini lagi ‘anjaib’! Jika begitu tak payahlah pemain bola ikut arahan coach sebab itu hanyalah strategi. Yang wajib hanyalah ikut arahan referi. Ayuh, kita lawan bola jika begitu.
Jika begitu, tak wajiblah gali parit. Itu hanya strategi memperkasa dakwah. Entah, saya pun keliru dengan arah anda. Laluan apa yang anda pilih ini untuk berhujah?
Slasher,
Anda sepatutnya menghujah balas dengan menolak keutuhan hujah – hujah saya itu. Daripada hujah – hujah itulah saya memperoleh hukum wajib. Daripada hujah – hujahlah, bacaan al Fatihah menjadi wajib ke atas makmum. Daripada hujah – hujahlah, bacaan al Fatihah tidak wajib ke atas makmum. Masing – masing berijtihad. Yang memilih wajib, maka wajiblah. Yang memilih sebaliknya, sebaliknyalah.
Adakah apabila PAS berpendirian mengundi PAS adalah wajib, maka wajiblah diterima?
Saya berkata ya, sehinggalah anda mampu mendatangkan dalil dan hujah yang menggoyangkan dan melemahkan hujah saya itu. Ini ijtihad ulama PAS dan mereka memberi hujahnya. Sebahagian besarnya adalah apa yang saya tuliskan.
Yang tiada pada penghujahan saya ialah bagaimana saya membawa dan menggunakan nas – nas dan kaedah – kaedah fiqhiyyah yang menghasilkan hukum. Saya semasa menulis, sekadar berniat untuk meringkaskannya sebagai bacaan umum yang bertujuan memudahkan, bukan mendetailkan. Sementelahan, tulisan saya itu bertujuan menyatakan sebab utama PAS terus hidup di sebalik tumbangnya satu – persatu parti politik Melayu pembangkang.
Ini hukum ijtihad berdasarkan dalil di hadapan. Ia berhak ditolak, tetapi dengan dalil jua, bukan kerana ianya hanyalah satu ijtihad, seperti yang anda dakwa dan selekehkan penghujahan saya. Andalah yang selekeh dalam berhujah, Slasher.
1) Hujahkan bahawa menyertai pilihan raya di Malaysia adalah tidak wajib. Atau,
2) Buktikan bahawa selain PAS, ada lagi parti politik yang bercita – cita menegakkan ketuanan Islam. Atau,
3) Buktikan bahawa PAS bukanlah memperjuangkan Islam yang syumul. Atau,
4) Buktikan UMNO yang sekular masih berhak memimpin dan tak wajib ditolak dalam pilihan raya.
5) Buktikan PAS hilang kelayakan memimpin dan menyatukan umat Islam di Malaysia.
6) Buktikan paksaan dan tekanan yang diterima yang memaksa untuk tidak mengundi PAS.
7) Buktikan PAS gagal sekali ( bukan sekadar tidak sempurna ) dan menipu di Kelantan.
Buktikan. Di situ tiada cacat dan tiada celanya anda menolak hujah saya, seterusnya duduklah di rumah dan biarkan rakyat bukan Islam memilih untuk menentukan pemimpin mereka dan pemimpin kita juga. Kita serahkan pada mereka urusan kita!
Berceramahlah. Mengajarlah. Menulislah. Berpesanlah. Keluarlah. Berekonomilah. Berkebajikanlah. Berbuatlah untuk Islam. Kemudian tunggulah pemerintahan Islam menjelma dengan pertolongan Allah.
Jahiliyahkan pilihan raya dan demokrasi. Sucikan akidah dengan kesempurnaan Islam tanpa perlu menumpang al hikmah dari dunia musuh. Kita sudah ada agama yang sempurna.
Hujahkan begitu dan tinggalkan hujah saya. Semoga anda diberkati Allah.
3) Saya lihat, apabila anda mengajak saya untuk lebih menumpukan kepada pembersihan dalaman PAS yang anda sifatkan dikotori dengan kempen – kempen politik yang mempergunakan ugama demi kuasa dan politik, maka anda samada begitu membenci dunia politik dan kuasa atau anda begitu pesimis dengan pemimpin – pemimpin PAS yang berdegar – degar suara mereka dengan jeritan Islam dan keadilan pemerintahan. Anda melihat kegagalan dan menafikan keikhlasan mereka.
Anda memohon saya lebih menumpukan dakwah saya ke situ, bukan asyik memaksa orang mengundi PAS dengan hukum WAJIB.
Saya harap itulah telahan saya yang adil terhadap anda.
Slasher,
Jika anda membenci politik dan kuasa dan anda tidak berminat bergelumang dengannya, maka ketahuilah bahawa orang yang paling berminat dengan politik dan kuasa dan bergelumang dengannya di antara kita adalah RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam dan para nabi ulul azmi. Merekalah qudwah teragung PAS.
Untuk anda, carilah qudwah anda. Anda sama sekali tidak menemuinya daripada mereka. Hujahkan kepada saya jika anda menemuinya. Ini jika anda membosani dunia politik yang kotor itu.
Jika pula anda sebaliknya membenci dan pesimis sekali dengan pemimpin – pemimpin PAS yang anda sifatkan gagal dan tidak menunaikan amanah itu, maka ketahuilah bahawa anda menghukum PAS pada tempat yang tersasar, atau anda sebenarnya menzalimi PAS dengan penghakiman itu.
Anda seperti menolak seorang ulama kerana anda melihat dia pernah memarahi muridnya dengan bahasa celupar, atau memarahi isterinya di khalayak, atau melihatnya makan dan minum berdiri, atau melihatnya ketawa berdekah – dekah sehingga nampak pangkal kerongkongnya, atau anda melihatnya tidak khusyu’ dalam solatnya.
Anda menolaknya sebagai seorang ulama kerana keburukan akhlaknya, di sebalik keluasan ilmunya. Adakah anda untung sekali dengan hukuman itu?
Begitulah PAS. Ia ibarat satu tubuh. Di sebalik kecacatannya dalam akhlak oleh segelintir ( atau katalah sebahagian ) pendukungnya, ia adalah sebuah jamaah yang sejahtera pada akidahnya, teguh pada iltizamnya, betul pada ibadahnya dan yakin pada janji Tuhannya.
Anda tidak akan mampu sampai kiamat menyaksikan kesempurnaan diri atau jamaah. Ia adalah peningkatan ilmu, iman dan amal sampai mati. Mati itulah tahap kesempurnaannya.
Kesempurnaan adalah pada ar Rasul. Selepasnya adalah perlumbaan menuju kesempurnaan yang disudahkan dengan kematian.
Selagi akidah adalah betul dan amal adalah berterusan, di situlah kesempurnaan yang dicari.
Maksud saya, anda tidak boleh menolak PAS atau pesimis dengannya atas sebab – sebab akhlak.
Mengapa anda tidak boleh bergembira dengan pemimpin – pemimpin PAS yang lain yang berakhlak, berilmu dan berjuang dengan penuh istiqamah. Adakah mereka masih gagal menceriakan hati anda?
Sempurnanya cita rasa anda, Slasher. Sukar sekali mendapat markah anda sedang saya dan anda mengharapkan markah yang murah – murah daripada Allah.
4) Adapun seruan anda agar saya berteguh pada kekuatan sendiri dan tidak bersandar pada ayahanda, saya dalam terima kasih sekadar bertanya, bagaimana caranya?
Adakah anda meminta saya keluar daripada jawatan -jawatan saya dalam PAS? Atau Ketua Whip Ahli Majlis MPKB-BRI? Atau pengetua Maahad Tahfiz Nikmatillah? Atau menukilkan kata – kata ayahanda saya semasa berceramah? Atau memperolehi habuan kewangan daripadanya?
Adakah anda melihat saya sedang mencanak di serambi kenamaan kerana ayahanda saya?
Slasher,
Demi tuhan, sayalah yang tidak ceria ayahanda terus memegang jawatan MB. Jika tidak kerana keyakinannya bahawa jawatan itu masih tetap amanah yang terbeban ke atasnya, pasti dia menerima pandangan saya untuk berhenti daripada jadi MB Kelantan.
Demi tuhan, sayalah yang sedang merayu – rayu kepadanya agar tidak mencalonkan saya dalam pilihan raya selepas beliau tampak bersetuju dengan pandangan sebahagian sahabat yang mencadangkan saya bertanding.
Demi tuhan, sayalah yang paling tidak selesa untuk menjadi Ketua Whip MPKB-BRI. Kalaulah tidak salah untuk ditolak, saya pasti menolaknya.
Demi tuhan, sayalah yang paling keliru dan malu untuk menggantikan ayahanda berkuliah perdana di pagi Jumaat di pejabat PAS.
Beritahu saya bagaimana caranya lagi? Jika ianya bermanfaat untuk menjernihkan hati anda dan hati – hati mereka yang keliru dengan saya.
Sebenarnya, dengan permintaan anda itu, saya jadi membenci diri saya sendiri.
II
1) Anda kata, saya hairan dikaitkan Islam dengan hal – hal yang tiada kaitan dengan ugama. Saya tanya, apakah hal – hal yang tiada kaitan dengan ugama? Setahu saya semuanya berkaitan dengan ugama. Babi, anjing, tahi, Firaun, Namrud, nyamuk, saya, anda, ayahanda, Pak Lah dan semuanya ada kaitan dengan ugama.
2) Ya, kita terpaksa bermain bola sepak di padang ragbi dan dengan bola ragbi. Itu saja pilihan. Jika tidak, kita kalah percuma kerana tak main atau langsung tak layak kerana menolak sistem bahlol itu. Pilihan anda? Tunggu mereka tukar ke padang bola?
3) Terima kasih kerana membawa Ikhwan Muslimin dalam berhujah. Sejuk hati saya. Begini, anda tahu ijtihad dan fatwa berubah mengikut masa, tempat, uruf, tambahan ilmu dan lagi? Jika begitu, tidakkah anda tahu keadaan politik di sana? Ia tak samakan? Ringkasnya, anda kena tahu bahawa ijtihad Ikhwan dalam berpilihan raya adalah boleh berbeza dengan ijtihad ulama PAS. Inilah ijtihad!
4) Anda berkata, apa beza aktiviti agama kawasan wakil rakyat yang dimenangi PAS berbanding UMNO? Saya kata sama saja. Apa perlu kita membezakan sebab kita telah menang di Kelantan, bukan kawasan – kawasan tertentu. Yang anda lihat itulah yang PAS buat. Jika anda tak puas hati, itu hak anda. Jika anda kata, tiada beza di antara aktiviti PAS dan UMNO, saya kata anda buta! Sekali lagi, anda buta dan semoga Allah mencelikkan anda.
5) Pasal anak pemimpin PAS dapat makan gaji dalam kerajaan sedangkan mereka bukanlah yang terbaik, saya kata, adakah salah dan haram anak pemimpin PAS/wakil rakyat makan gaji kerajaan? Dari mana anda dapat hukum ini? Semasa pemerintahan Sayyidina ‘Uthman radiaLlahu anhu, tidakkah jelas bagaimana beliau memanfaatkan ketulusan ahli keluarganya berkhidmat untuk beliau. Kalau salah, ah, salahlah sunnah khulafa’ rasyidin tersebut. Kemudian, andaian bahawa mereka bukanlah yang terbaik, itu terlalu relatifkan? Adakah penjawat awam hari ini terbaik pada tempat masing – masing? Tidakkan?
Saya tidak membela semberono. Berbahaslah dengan hukum yang jelas, bukan andaian yang menggadai ugama dan maruah diri. Jangan menzalimi mereka dengan kemarahan sebegitu. Tiada pahalanya berbuat begitu.
Tanya ayahanda jika anda mahu, mengapa ayahanda terus cekal bertahan menempatkan menantunya di kerusi panas di Perbadanan Menteri Besar? Adakah dia berkeras kerana sayangkan menantu tanpa pedulikan hukum hakam?
6) Anda murka sekali apabila saya mengumpamakan kasih sayang ayahanda kepada Roshaimi, anak Abang Jak ( Razak Abas ) seumpama sayangnya RasuluLlah pada Usamah, anak Zaid radiaLlahu anhuma sehingga meminta saya bersedia menjawab di hadapan Allah kerana menyamakan cinta nabi terhadap dua beranak itu dengan cinta ayahanda terhadap ‘tauke’ balak anak beranak itu. Anda mempertikai jasa mereka untuk Islam. Anda meminta saya membaca buku sirah. ( Untuk pengetahuan bersama, saudara Slasher merujuk kepada tulisan saya dalam blog ‘kelate’ lain untuk mengkritik kredibiliti tulisan saya di sini )
Slasher,
Ya, RasuluLlah menyayangi Usamah sekurang – kurangnya kerana dua perkara. Pertama, kehebatan Usamah sendiri. Kedua, Usamah itu anak Zaid, maula kesayangannya juga. Anda membaca ini, Slasher?
Anda tahu bagaimana sayangnya RasuluLlah kepada sahabat handai Siti Khatijah radiaLlahu anha? Kerana sayangnya baginda pada Khadijahkan? Anda tahu bagaimana sayangnya Baginda pada Aisyah radiaLlahu anhakan? Kerana dia anak sahabat agungnyakan, selain dia adalah isterinya?
Anda belajarkah bab ‘attasybih’? Bahawa sudah cukup tasybih itu berlaku jika musyabbah itu memiliki satu sifat musyabbah bihi, tak perlu semuanya? Kemudian, bila pula ada larangan kita membuat tasybih dengan ar Rasul? Tidakkah kita mendoakan cintaNya kepada kita sebagaimana cintaNya kepada Baginda?
Saya kira anda tak belajar, lalu anda menyondol macam babi hutan yang menerkam saya tanpa ilmu, mempersoal jasa orang pada Islam, mempersoal halal haram rezeki orang dan mempersoal keikhlasan orang. Anda rasa seronok sangatkah berbuat begitu?
Dari awal sehingga akhir, komen anda didominasi kejahilan dalam berhujah. Apalah nak saya kata selain meminta anda terus belajar. Saya bersama anda belajar dan belajar.
Salam Kamunting,
Hijratur Rasul sallaLlahu alaihi wasallam adalah satu peristiwa penting di dalam perjalanan dakwah baginda untuk kita memahami sunnah kemenangan Islam yang dijanjikan Allah kepada hambaNya di muka bumi. Hijrah adalah merupakan perisytiharan kemenangan Islam yang pertama selepas menempuh kesusahan dan kesempitan bertahun – tahun di Kota Makkah.
Hijrah al Rasul tersebut dengan secara rasmi telah membina dan membentuk sebuah jamaah muslimah yang tersusun. Semasa di Makkah, para sahabat hanyalah individu – individu bersyakhsiah tinggi yang belum dibentuk dan disusun padu dalam jamaah muslimah yang mantap.
Jamaah muslimah yang terbina di Madinah itulah yang akhirnya membentuk sebuah daulah Islamiyyah yang memacu ke arah kemenangan Islam yag lebih gemilang selepas itu.
Sunnah yang jelas adalah kemenangan Islam mestilah melalui proses kesempurnaan berjamaah. Lihat, jika sebaliknya, tidakkah boleh sahaja kemenangan itu dicapai melalui kekuatan baginda sendiri sebagai seorang al Rasul yang pasti dibekal pertolongan dan kemenangan?
Tetapi baginda seperti ‘dipaksa’ untuk membina jamaah yang membentuk barisan kekuatan sebelum mengecap janji kemenangan itu.
Juga, jika sebaliknya, tidakkah boleh sahaja kemenangan itu dicapai di Makkah dengan al Rasul terus – menerus menarik dan menambah sejumlah lagi individu yang berkaliber untuk menerima Islam, seterusnya memberontak atau merancang proses kemenangan tanpa perlu berhijrah?
Tetapi baginda seperti ‘dipaksa’ berhijrah demi pembinaan sebuah jamaah muslimah yang lebih tersusun dan penuh bersedia untuk kemenangan yang dijanjikan.
Begitulah sunnah yang pasti, bahawa tiada kemenangan agung untuk dikecap kecuali sesudah penyempurnaan sebuah jamaah muslimah yang tersedia untuk memikul beban perjuangan menuju kemenangan.
Sunnah Allah untuk hambanya adalah bersebab, atau berhikmah, atau berkebenaran ( bil haq ).
Kemenangan Islam bererti kesanggupan bersama menjunjung kebenaran walau apa keadaan sekalipun. Ia sukar sekali di dunia ini dengan barisan tentera kebatilan yang begitu ramai dan bersedia sepenuhnya untuk membantah dan menghalang.
Tiada yang sanggup memikul bebanan ini kecuali individu – individu yang dibentuk secara istimewa untuk menerima bebanan itu, seterusnya ia dibentuk menjadi barisan yang kukuh dan padu untuk seiring sejalan menuju medan perjuangan.
Individu itu adalah individu hizbuLlah dan jamaah itu adalah juga jamaah bergelar hizbuLlah. Allah menggariskannya di dalam Al Quran.
Sesudah anda mampu memahami ini secara sepintas seperti di atas, maka anda kenalah akur dan insaf bahawa menganggotai jamaah muslimah dan seterusnya memfana’kan diri dalam sistem berjamaah adalah syarat utama untuk anda bergelar pejuang Islam yang benar dan sejati.
Jika di sana ada sedikit keuzuran yan diterima, anda setidak – tidaknya kenalah menghormati dan memandang tinggi individu yang intima’ dan bergabung di dalam jamaah muslimah.
Biarkan dulu soal jamaah PAS atau selainnya. Yang penting, ianya sebuah jamaah muslimah yang dibentuk secara benar untuk memenuhi cita – cita atau sunnah sebuah kemenangan Islam yang dijanjikan.
Ia samada anda menganggotai jamaah muslimah secara benarnya, atau anda menghormati dan menyanjung mereka yang menganggotainya secara uzurnya jika di sana dibenar sebuah keuzuran.
Berjamaah bukanlah senang. Ia susah, bahkan susah sekali. Jika anda tidak memiliki sifat – sifat jama’ie dalam diri, anda akan dikeluarkan atau terpelanting keluar. Ketika itu, anda harus sedar anda tidak pun memiliki sifat asas milik pejuang Islam yang tulen.
Anda adalah penonton yang duduk di bangku penonton. Jika anda bersorak untuk pasukan anda, anda terpujilah. Jika anda bersumpah seranah, mengeji dan mengecam pasuan anda, anda bukanlah seorang penonton yang setia dan pro. Anda gagal di bangku sesudah anda gagal untuk dibawa masuk ke padang.
Susah berjamaah? Ya!
And perlu patuh dan akur pada arahan ketua anda. Taat pada pemimpin walaupun dia tidaklah, kadang – kadang lebih baik daripada anda. Anda perlu akur sahaja bahawa hujjah anda mungkin ditolak, kadang – kadang sementah – mentahnya, sedang anda begitu yakin dengan kekuatan hujah anda itu. Anda harus berlapang dada. Anda perlu menerima nasihat sebelum anda beria – ia untuk menasihati orang lain.
Anda mesti sabar kerenah sahabat. Samada anda tidak sempurna atau mereka. Malah anda tidak boleh mudah merajuk atau putus asa dan putus angin. Anda mesti ‘cool‘ dan ‘relaks’ sungguh. Apatah jika di sana wujud penyakit dengki – mendengki, fitnah – memfitnah, adu domba, bodek – membodek dan segala sifat buruk yang terlarang di dalam jamaah dan masyarakat muslim.
Anda mungkin seorang yang berdisiplin, tetapi anda belum tentu boleh didisiplinkan oleh orang lain. Anda mungkin seorang yang taat pada Allah, tetapi anda belum tentu seorang yang taat kepada manusia yang anda disuruh Allah untuk taat kepadanya.
Ramai yang tidak masuk jamaah kerana tidak mahu terikat. Ini kelemahan, bukan kelebihan dan bukan satu hak. Jika ia satu kelebihan, ayuh kita memacu perjuangan ini sendiri – sendiri. Aku tak kacau engkau dan engkau tak kacau aku. Jika pula ia satu hak, ayuh kita bergerak bebas berjuang sendiri – sendiri. Ikut aku aku, ikut engkau engkau. Sendiri mahu ingat!
Beginikah makna sebuah medan perjuangan yang sengit yang didambakan kemenangan?
Tidak semua kita mampu menguasai akhlak jamaah yang mulia dan hebat ini. Jadi, tidakkah betul sekali saya mengatakan, berjamaah itu sukar sekali.
Jika anda mengimpikan kemenangan Islam, malah keredhaan Allah, sedang anda bukan ahli jamaah muslimah, maka berilah laluan buat jamaah Islam, atau gerakan Islam, atau parti Islam untuk membina dirinya.
Jikalah anda asyik mengkritik, bahkan kadang – kadang menyamakan antara jentera kejahatan dan kebaikan, antara kefasikan dan ketaqwaan, maka sebaiknyalah anda perlu malu pada diri sendiri. Anda sendiri gagal di sepak mula perjuangan. Langkah sembah yang songsang untuk mengisi episod sebuah perjuangan.
Anda berkata dan mendakwa anda menyumbang untuk kemenangan Islam. Saya bertanya, anda adalah ikatan batu -bata di bahagian mana dalam jentera perjuangan Islam? Jika anda di bahagian tamu atau dapur, saya ucapkan tahniah. Jika anda di bahagian tandas atau longkang, saya ucapkan tahniah. Anda sesungguhnya sebahagian sebuah jamaah muslimah.
Jika anda bukanlah batu – bata dalam sebuah jamaah, berhentilah menghina dan mengjengkeli jamaah muslimah. Malulah pada diri sendiri. Anda bukan tentera kemenangan di sisi Allah.
Anda kena ingat, jamaah muslimah yang dibentuk untuk kemenangan itu tidaklah perlu sempurna seawalnya, tetapi ia mesti disempurnakan di akhirnya. Di akhir itulah kemenangan datang tanpa diduga. Kemenangan adalah daripada Allah. Allah mengurniakannya setelah Dia mengukur kesempurnaan sebuah jamaah hizbuLlah.
Allah mampu memberi kemenangan untuk RasulNya tanpa memenatkan kekasihNya itu. Tetapi itulah hakikat sunnah sebuah kemenangan. Jamaah muslimah mesti dibina. Pembinaannya mesti sempurna. Kesempurnaan memerlukan masa.
Peristiwa hijratur Rasul mengungkapkan selembar sunnah dan adat berjuang di jalan Allah.
Di Muharram al haram ini, fahamilah ini sebagai bekalan di perjalanan menuju kemenangan.
Kemenangan, walau tidak hari ini, UMNO tetap mesti dihancurkan.
Baca juga jawaban saya di sini .
Salam Kamunting,
Baginda adalah al Rasul, Muhammad sallaLlahu alaihi wa sallam, utusan Allah sebagai rahmat ke atas sekelian alam.
Mari bersama saya, saya tuliskan untuk anda perihal peribadi seorang insan yang telah pun kita pilih seawal kita menyemat simpulan akidah di benak sanubari sebagai tempah tumpah segala rasa cinta dan sayang, rasa kagum dan hebat, serta rasa mulia dan megah daripada kita ke atasnya.
Mari bersama saya, kita hangatkan rasa maksyuk kita itu pada menjejak sirahnya yang agung yang berkilauan bagai satu jalur lurus yang putih bercahaya di malam yang serba kelam dan gelita.
Ia adalah jalan lurus yang dilengkapi batu – batu tanda yang meransang kekuatan dan menyemat keyakinan setiap musafir di perjalanan. Berhentilah di situ buat membina kekuatan dan memahat keyakinan.
Adakah anda ingin bertanya, mengapa jalan baginda sehebat itu? Ketahuilah, kerana ia adalah jalan turapan Allah. Dialah Sang Pencipta langit dan bumi yang menyudahkan kesempurnaan ciptaanNya itu dengan turapan istimewa jalan yang menjadi jejak bertapak sirah utusanNya yang dipilihNya itu.
Adakah anda yakin untuk menemui jejak perjalanan seorang insan, atau sejumlah insan di bumi ini yang sempurna dan hebat sesempurna dan sehebat jejak perjalanan insan pilihan Allah ini? Tiada bukan!?
Ketahuilah, sirah yang terhidang ini adalah untuk kita. Apabila kita berjalan dan kalanya kita singgah untuk berehat dan berteduh di batu – batu tanda di sepanjang jalannya, kita pasti sampai ke destinasi. Perjalanan kita di dunia ini menjadi penuh bermakna. Di situ kita menemui makna kehidupan sebenar.
Hijratur Rasul adalah batu tanda terbesar. Ia berada di tengah – tengah. Ia berada di puncak sebuah perjalanan hidup, lalu ia menyinari dan mengukur seluruh perjalanan yang telah dan bakal ditempuh yang akhirnya menukar segala persepsi dan tanggapan menjadi sebuah keyakinan dan harapan yang memuncak.
Hijrah adalah bagai pencahayaan sebuah fajar pagi yang memecah kelam perjalanan awal malam yang keras dan menakutkan. Hijrah adalah kemenangan sebelum kemenangan. Tiadalah sejenak di fajar selain sekadar menanti kehadiran sinar mentari kemenangan.
Hijrah membelah al Quran. Allah membelahnya kepada Makkiyyah dan Madaniyyah. Hijrah membelah para sahabat. Allah membelahnya kepada Muhajirin dan Ansar. Hijrah membelah keadaan. Allah membelahnya di antara kesempitan dan keluasan. Hijrah membelah dakwah. Allah membelahnya antara arahan bersenjatakan kesabaran di medan mujahadah sebelumnya dan bersenjatakan pedang di medan jihad selepasnya.
Hijrah itu membina masjid. Ia membina persaudaraan. Ia membina kesatuan. Ia membina pangkalan dakwah. Ia membina kekuatan dan keberanian. Ia membina kebebasan. Ia membina kekuasaan dan pemerintahan. Ia membina sistem kehidupan. Ia membina sebuah negara Islam.
Perhatikan bagaimana hijrah bertindak menyempurnakan Islam yang bagai tertangguh di kota Makkah berbelas tahun. Walaupun ia tertangguh melalui hikmatNya yang Maha Bijaksana, ia perlu berakhir dengan kesempurnaan. Hijrah itulah pintu ke arah penyempurnaan sebuah agama keridhaanNya.
Islam boleh sempurna di Mekah. Allah berkuasa. Tetapi Dia memilih menyempurnakannya selepas gerbang hijrah dilintasi oleh al Rasul dan seluruh sahabatnya yang setia.
Tidakkah belahan antara surah – surah Makkiyyah dan Madaniyyah itu telah menyemarakkan kejelasan para ulama di dalam memahami isi al Quran dan aplikasinya di dalam hukum dan petunjuk? Tidakkah belahan antara Muhajirin dan Ansar telah membongkar kelebihan dan keistimewaan para sahabat yang sentiasa berjuang mengejar kesempurnaan akhlak dan ilmu?
Tidakkah dengan bertambahnya kekuatan muslimin selepas hijrah dengan sisipan senjata kesabaran di tangan kiri dan hunusan senjata pedang di tangan kanan telah menjadikan Islam mula digeruni dan Islam mula mengacah dan mencabar?
Sesudah terbinanya masjid, pangkalan dakwah, persaudaraan dan kesatuan Islami yang melangkau bangsa dan negara, keberanian, kekuatan, kekuasaan dan kerajaan selepas penghijrahan itu, maka sempurnalah Islam untuk dilihat secara praktikal sebagai sebuah sistem kehidupan manusiawi. Jika ianya sekadar Makkah dan tanpa hijrah, bagaimana Islam mampu dilihat sebagai sebuah sistem kehidupan?
Hijrah mesti difahami tuntutannya secara tepat. Janganlah ia dicacatkan dengan ketakutan dan keasyikan untuk terus hidup di ruang keselesaan.
Hijrah adalah perjuangan. Dalam dunia perjuangan, barulah ia mudah difahami dan dilayani.
Sayyidina Umar radhiaLlahu anhu adalah sahabat yang tajam sekali kefahamannya tentang hijrah. Lihatlah, keberaniaan bagaimana beliau mengambil tarikh dan peristiwa hijratur Rasul sebagai sepak mula kalendar Islami. Tahun Islam bermula pada tahun nabi berhijrah. Sebelumnya adalah tanpa kalendar Islami. Beliau bagai menyapu dan membuang 13 tahun dakwah kenabian di Makkah, bahkan lebih 50 tahun hayat baginda yang penuh suci.
Tidakkah ini keberanian yang di luar biasa? Atau tidakkah ini lahir daripada kefahaman yang hebat? Ya, beliau mahukan umat Islam memahami bahawa:
1) Hijrah adalah terlalu agung hikmahnya untuk dihayati dan diteladani.
2) Islam adalah kemenangan dan kekuatan. Begitulah hendaknya Islam di dunia ini. Selagi ia kalah, ia bukanlah Islam untuk diredhai. Ia mesti ditukar kepada kemenangan. Islam yang kalah adalah Islam yang tidak diiktiraf.
3) Hijrah adalah amalan yang berterusan. Setiap hari di sisi Umar adalah hijriyyah. Setiap hari adalah ajakan untuk beranjak. Meninggalkan maksiat dan murka tuhan dan terus menangga kepada kelebihan dan kemuliaan.
Hari ini, dunia Islam menyambut awal Muharram dengan menghayati peristiwa hijrah. Mereka memuji Sayydina Umar tetapi mereka tidak memahami Sayyidina Umar. Mereka memuji RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam dan memujanya, tetapi mereka tidak memahami RasuluLlah.
Umat Islam sedar mereka kalah dan dalam kehinaan hari ini. Tetapi mereka meredhai kekalahan dengan meredhai kehidupan dalam kekalahan tanpa rasa tanggung jawab untuk berubah dan berhijrah. Apabila mereka mengingati hijrah, mereka sekadar mengingati sejarah, bukan meneladani hijrah.
Itulah umat Islam hari ini.
Jika kita ingin mereka berubah, kitalah yang harus menjadi umat hijrah. Kita memulakan. Setiap hari adalah hijriyyah. Setiap hari adalah hijrah. Itulah pesan Umar al Faruq.
Salam Kamunting,
Tanggal 1 Muharram 1429 Hijriah bersamaan 10 Januari 2008 adalah hari yang akan kekal memahat sejarah yang menjadi kebanggaan kepada umat Islam di Kelantan, khususnya ahli – ahli PAS Kawasan Pengkalan Chepa.
Tarikh keramat awal Muharram yang dimuliakan Allah itu telah menjadi saksi kepada sempurnanya usaha lebih 10 tahun PAS Pengkalan Chepa untuk memiliki bangunan sendiri sebagai pusat operasinya yang pastinya akan memacu usaha dakwah mengajak umat Islam kembali hidup bernaung di bawah pemerintahan Islam yang berdaulat di muka bumi.
Paling menarik dan membanggakan, bangunan 4 tingkat Kompleks Purnama milik PAS Pengkalan Chepa itu telah dengan jayanya disempurnakan perasmiannya oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.
Kesudian Baginda YTM mencemar duli untuk merasmikan kompleks yang akan menempatkan lot – lot kedai dan pusat khidmat rakyat di tingkat bawahnya, serta rumah tetamu, dewan serba guna dan pejabat pentadbiran di bahagian atas itu pastinya telah menambahkan inspirasi dan semangat yang tinggi para pendakwah di jalan Allah untuk meningkatkan usaha menyebarkan kefahaman Islam yang benar dan melaksanakan program – program kebajikan kepada masyarakat setempat.
Ia adalah pengiktirafan paling hebat terhadap usaha dakwah yang ditunggu – tunggu, diimpi – impikankan dan diharapkan tuahnya oleh seluruh umat Islam Kelantan daripada istana pemerintahan yang menjadi payung agama Islam dan kebanggaan rakyat.
Daulat Tuanku.
Ilham pembinaan bangunan Kompleks Purnama ini sebenarnya telah mula dicetuskan oleh al Marhum YB Hj Abdullah bin Hj Arsyad ( ayahanda kepada YB Ustaz Hj Mohd Amar, YDP PAS Pengkalan Chepa ) pada awal 90an yang saat itu beliau adalah YDP PAS Kawasan Pengkalan Chepa. Ia bermula selepas itu dengan pelancaran skim jualan lot – lot tanah waqaf oleh YAB ayahanda Tuan Guru Dato Menteri Besar Kelantan melalui pembelian sebidang tanah milik PKINK di Jalan Pengkalan Chepa ( berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ) yang bernilai RM 70 ribu.
Selepas bertahun – tahun sumbangan derma diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat daripada kalangan umat Islam dan bukan Islam juga , akhirnya pembinaan bangunan dimulakan dengan mengadakan majlis pecah tanah yang juga telah disempurnakan oleh YAB ayahanda Tuan Guru Dato Menteri Besar Kelantan pada tahun 2001. Pembinaan hanya bermula pada tahun 2005 selepas tertangguh agak lama kerana memberi laluan kepada pembinaan bangunan Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan ( PUTIK ) yang juga terletak di Kawasan Pengkalan Chepa.
Semoga Allah memberkati segala usaha murni umat Islam yang telah berusaha bersungguh – sungguh dengan menyumbang segala yang terdaya untuk menyiapkan bangunan Kompleks Purnama yang merupakan yang tercantik daripada kalangannya.
Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa kini memiliki ruang pejabatnya sendiri. Lebih luas, lebih ceria, cantik dan bergaya sekali. Ah, seronoknya!
Terima kasih umat Islam.
Ayuh, membangun bersama Islam! Allahu Akbar wa liLlahil hamd.
( Untuk gambar – gambar sempena perasmian, sila klik di sini. )
Salam Kamunting,
Orang kata blog saya teruk. Bukan apa, sebab tak ada gambar langsung. Apa orang kata, sekeping gambar lebih bermakna daripada 1000 kata – kata ( begitukah ayatnya? tolong betulkan )? Blog kena ada gambar, barulah cemerlang, gemilang dan terbilang! Blog saya ni, skema sangat, kata seorang peminat setia dalam komentarnya.
Saya tersengih – sengih mencari jawaban. Jawab auta pun tak apa, tapi tak ketemuan juga. Hakikatnya betullah kata mereka. Kata orang dan manusia itu. Sebab saya pun suka baca blog yang ada gambar – gambar gembo – gembo. 🙂 Ada gambar tuan punya blog yang cun melecun dan aktivitinya yang merencam – rencam. Ada gambar keluarga yang bahagia – bahagia sekali sampai nampak macam tak pernah balah laki bininya, tak pernah bengang dan bangang mendidik anak – anak yang buas macam harimau ( Jangan kata kera, nanti jadi macam Khairi J )
Ada juga gambar yang begitu meninggal kesan di hati. Suka, terpesona, teruja, terkesima, marah, benci, kecewa dan rasa bangang. Yang tak reti dosa, taruk gambar serbuk penaik sting..
Begitulah hakikat. Tapi saya tetap tak masukkan gambar dalam blog saya. Bukan tak boleh dan bukan tak mahu, tapi saya tak rajin untuk itu. Suka bergambar tapi tak rajin cuci gambar. Itu saja. Saya fikir ini bukan perangai saya sorang diri.
Jadi ko cerita, sahabat saya dalam pemuda Pengkalan Chepa, saudara Ruzely Abdullah beri kesanggupan untuk buat blog khas bagi pemuda PAS Pengkalan Chepa. Saya sungguh gembiralah sebab ia dapatlah memberi jawaban yang lebih baik buat saya. Tak elokkan saya jawab, malas nak taruk gambar..
Bila orang dan manusia tanya, Mana gambarnya? Saya jawab nii, http://pemudapc.blogspot.com .
Anda bolehlah jenguk dan silau kelih ke sana. Ada cerita perihal dan aktiviti kami di Pengkalan Chepa, kubu PAS terkuat di dunia seantero. Blog ini juga turut memuatkan aktiviti wakil rakyatnya yang hebat – hebat. Pertama ayahanda YAB Tuan Guru ( Chempaka ), YB Ustaz Mohd Amar Abdullah( Panchor ), YB Dato Husam Musa ( Kijang ) dan Dato Hj Abdul Halim Abdul Rahman ( Pengkalan Chepa ). Mereka semua adalah pendekar!
Gambar saya mestilah ada. Jika nampak hensem, pastinya di luar lebih hensem. Tak terkata… 🙂 ( 😦 )
Salam Kamunting,
Saya telah selesai melakukan intisari terhadap bab pertama daripada buku asy Syaikh Doktor Yusuf al Qaradhawi, Agama dan Politik ( ad din wa as siasah ) yang saya bahagikan kepada 7 siri. Saya melakukannya berdikit – dikit hasil pembacaan dan ruang masa lapang saya itu selama 5 bulan juga lamanya.
Walaupun kadang – kadang agak sukar juga untuk memilih isi – isi yang terpenting daripada buku yang penuh berisi itu, ianya tetap memberikan keseronokan tersendiri kepada saya. Ia menjadi kejap di ingatan saya dan semakin padu kefahaman saya mengenai politik.
Bab pertama daripada 5 bab itu adalah berkisar pengenalan terhadap makna agama dan politik di sisi ulama dan cendekiawan, muslim dan bukan muslim. Penyelongkaran terhadap penggunaan istilah ugama, juga politik khususnya oleh ulama terdahulu telah mencetus rasa kesegaran tersendiri di dalam usaha penggiat politik untuk memahami dengan tekun apa yang termakna di dalam medan siasah cara Islam yang diistilahkan sebagai as siasah asy syar’ieyyah ( politik syara’/Islam ).
Inilah permulaan yang diperlukan oleh setiap kita sebagai muslim yang dibebankan dengan tugas khilafah oleh Sang Pencipta yang mahukan kita mentadbir dunia ini mengikut kehendakNya dan melarang kita membiarkan musuhNya yang menderhaka untuk terus bermaharaja lela merosakkan dunia ini dengan hukum – hakam thaghut dan jahiliyah.
Apa yang menarik adalah kejelasan maksud politik di sisi ulama lampau yang memperjelaskan maksud sebenar daripada sejarah RasuluLLah dan para khulafa’ selepasnya. Politik adalah usaha dan tindakan yang dengannya manusia menjadi dekat kepada kebaikan dan jauh daripada kejahatan. Manusia sentiasa berselisih sesama sendiri demi merebut kebaikan. Perselisihan mencetus penghakiman. Penghakiman yang memberi kebaikan adalah Islam walaupun daripada mana datangnya. Penghakiman yang baik itu pula sukar sekali diperolehi kerana kekurangan semula jadi manusia untuk mengenal kebaikan yang menyeluruh kecuali apabila ia merujuk kepada tuhannya.
Di sinilah datang politik Islam memurnikan medan politik yang penuh kekacauan. Politik adalah ruang dan medan yang tak pernah kosong. Ia sentiasa penuh bahkan bersesakan dengan para pendekarnya. Semuanya karut kecuali pendekar Islam yang bersumberkan politik cara Islam.
Ertinya, hendaklah setiap kita memahami politik dan menjadi penekunnya, bukan sekadar pemerhati dan penonton. Politik membekalkan sejuta kebaikan dan keadilan kepada kehidupan manusia seluruhnya. Islam adalah ugama kebaikan dan keadilan.
Anda juga, melalui nukilan hadis al Rasul, athar dan kata – kata para sahabat, juga tulisan ulama lampau yang dipilih oleh Dr Yusuf al Qaradhawi akan mendapati betapa dekatnya perihal politik dan kehidupan dalam kotak pemikiran dan medan kerja mereka. Anda tak akan merasa terasing dan sendirian lagi di medan politik. Susah senang di medan penuh fitnah ini adalah juga susah senang yang telah lama mereka lalui dengan jayanya. Kita hanyalah penjejak jejak salaf.
Saya menyarankan pembaca yang budiman untuk tidak ketinggalan mengikuti siri – siri seterusnya. Sampai masanya asy Syaikh Doktor Yusuf akan menyapa kewujudan parti – parti politik Islam di seluruh dunia Islam hari ini, termasuk sebutannya mengenai kewujudan parti Islam di tanah air kita, Malaysia. Ia adalah satu hak umat Islam, katanya.
Seperti harapan yang saya sebut di awal usaha ini dulu, siri – siri ini adalah menjadi nilai tambah untuk blog saya ini. Saya harap kekurangan saya dibaiki dan disejukkan dengan isi – isi bernas yang dipetik daripada buku asy Syaikh tersebut.
Untuk bermula dari awal, sila klik kategori ‘buku’. Selamat membaca. Tiada rugi pada mengulangnya.
Komen Terbaru