You are currently browsing the tag archive for the ‘tazkirah’ tag.

Tazkirah Ramadhan 30 saat (11)

Sepuluh Akhir Ramadhan 2

7) Allah merahmati manusia. Diciptakannya untuk mencapai kemuncak kemuliaan, bukan menghumbankannya ke lembah hina. Bukankah ditunjukkan kehebatan Adam alaihissalam di hadapan para malaikat, lalu disuruh bersujud kepadanya tanda penghormatan kepada makhluknya yang terbaik? Justeru rahmat Allah ke atas manusia hadir sepanjang masa, apatah saat manusia mencari-cari dan kelemasan.

8) Ada malaikat yang sentiasa berdoa demi kebahagiaan manusia, bahkan membantu mereka menempuh kesusahan dengan izin tuhannya. Kemudian ada insan maksum yang dihantar tuhan ke pelusuk mana manusia tinggal. Mereka para nabi  رضوان الله عليهم yang sering diperteguhkan dengan rakan-rakan, bahkan paling jitu, dengan kitab-ktab langit yang suci yang tak tersentuh kekotoran dan tangan iblis. Jalan lurus terbentang jelas dan hidayat tuhan memancar terang, manakala pintu taubat ibarat bunga-bunga taman yang menggamit keindahan dan keterujaan.

9) Dia berfirman saat Adam عليه السلام  diturunkan ke bumi; “Maka jika sekiranya datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka barang siapa yang mengikut petunjukKu, tiadalah lagi ketakutan menimpa ke atas mereka dan tiadalah mereka itu bersedih lagi.” – al Baqarah: 38. Itu janji tuhan. Maka pertarungan menentang iblis, nafsu, kejahatan dan pendukungnya di bumi ini bukanlah keseorangan dan terbiar bagai menanti ketewasan dan penyesalan. 

10) Kemuliaan manusia adalah pada pancaran akalnya. Akal bersinar dengan pengaruh ilmu yang diperolehinya. Sebagaimana ilmu bawahan duniawi menyinarkan laluan hidup duniawi dan membina tamadun agung di dunia, begitulah ilmu atas dan akhirat mencerahkan laluan menuju kehidupan akhirat. Nabi adalah bapa ilmu dan hikmat, manakala al Quran adalah ilmu dan hikmat juga. Justeru al Quran adalah kurniaan atas dan langit yang paling penting menyuluh manusia memasuki kubur. Begitulah nabi yang membaca dan mensyarah al Quran dan al hikmah.

11) Difardhukan ibadah solat 5 waktu sebagai pencegah tarikan nafsu melakukan kejahatan. Dengan solat, ingatan kepada Allah dan akhirat kekal di dalam hati. Manusia solat akan berhenti melakukan kejahatan atau jika terlanjur, penyesalan dan ketakutan meliputi diri, lalu beristighfar dan memohon taubat. Begitu seluruh rukun yang lima. Ia mendidik hati dengan kemuliaan dan cinta kepada kerahmatan dan ketinggian.

12) Janganlah lupa ibadah puasa! Terkhusus ia untuk pertarungan menentang dan seterusnya mendidik nafsu agar boleh diurus dengan baik. Nafsu dilemahkan dengan kelaparan bernizam dan bersistem 30 hari berturutan. Ia tempoh terhangat meredakan asakan nafsu dan pengembalian ruh ke medan penguasaan terhadap diri setiap mukmin.

13) Al Quran turun di bulan Ramadhan membantu ruh dengan suluhan akal yang murni dengan ajaran al Quran yan penuh hidayat dan hikmat. Justeru penantian lailatul qadr adalah kesungguhan memuncak bagi hambaNya yang beriman.

Selamat memburu malam lailatul qadr yang agung. Semoga Allah merahmati sampai ke syurgaNya. Aamin..

Advertisement

Tazkirah Ramadhan 30 saat (10)

10 Akhir Ramadhan

1) Di dunia ini, semua makhluk adalah daripada tanah. Tanah adalah unsur yang mengumpulkan sifat-sifat nafsu dan keserakahan. Ia terserlah jelas dalam cara hidup haiwan. Kerana itu kita biasa menamakannya nafsu kebinatangan. 

2) Manusia juga dicipta daripada tanah. Maka sifat-sifat kebinatangan dikandung tubuhnya. Manusia menjadi jahat kerana nafsunya. Dan manusia bertambah jahat, bahkan sehingga lebih buruk daripada binatang kerana mereka memiliki kurniaan akal yang tiada pada binatang. Dengan akal yang dibiar mengikut kehendak nafsu, manusia bervariasi melakukan kerosakan dan kejahatan sehingga tak tergambar dalam kehidupan haiwan di hutan.

3) Sebelum kurniaan akal, binaan manusia berbeza daripada binatang dan semua kejadian di bumi dengan unsur kedua, iaitu unsur ruh. Ruh bukan dari bumi, bahkan dari langit, hidup bersama para malaikat menyembah tuhan di langit. Malaikat Jibril diberi nama al Ruh al Amin, sebagai satu pengenalan kepada hakikat kehidupan makhluk tuhan di langit. Ruh memiliki sifat-sifat ketinggian dan memburu kemuliaan.

4) Dengan ruh, manusia membina dan membaiki diri. Ia mengenal tuhan seasal tanah airnya di langit, sebelum dihantar ke bumi, ke sangkar tanah manusiawi. Ia akan melonjak mencari kemuliaan, bermimpi untuk menyembah tuhan sebagaimana malaikat Allah. Bahkan, dengan akal yang memandu dengan ilmu kurniaan Allah, manusia mampu melonjak dan terbang di medan ubudiyah mengatasi kehebatan para malaikat Allah. Justeru perlumbaan manusia di medan ruhani menuju tuhan amat terbuka dan dipenuhi contoh-contoh dan al mathal al a’la yang hebat. 

5) Justeru pertembungan tidak dapat dielakkan. Nafsu dan ruh saling tarik menarik. Manusia acap tersadung, bahkan rebah di jalan mencari hakikat kehidupan. Ia adalah hikmat penciptaan manusia. Manusia diuji agar memenangi perlawanan agung sepanjang zaman. Perlawanan yang menjadi tunjang ciptaan langit dan bumi oleh Allah tuhan pencipta.

6) Nafsu lebih terkedepan memenangi pertembungan ini. Antara sebabnya, gelanggang adalah bumi dan tanah. Nafsu daripada tanah. Maka ia memiliki sebab-sebab penguasaan yang lebih baik. Ia seperti menjadi tuan rumah sebuah pertarungan. Godaan-godaan dunia begitu mendominasi berbanding godaan akhirat yang sukar dikesan. Maka keghairahan nafsu di dunia ini begitu sukar dibendung kecuali ruh memiliki  kekuatan dan bukaan baru yang mampu melonjakkannya dan melepaskannya dari pengaruh dan kekangan nafsu.

Bagaimana ruh manusia memenangi perlawanan ini?

Bersambung..

Tazkirah Ramadhan 30 saat (9) 

Dua Kerosakan Umat Hari Ini (2)

Kerosakan pemikiran umat Islam yang telah memesongkan cara berfikir mereka tersebut telah meruntun kepada kerosakan seterusnya yang lebih parah iaitu;

Kedua, kerosakan akhlak umat Islam.

Islam bukan sekadar akidah dan pemikiran yang hanya tertanam di dalam diri tanpa membina dan dan mewarnai kehidupan manusia di alam nyata. Malah, binaan akidah dan pemikirannya adalah dengan tujuan mengarah dan menyusun kehidupan manusia.

RasuluLlah menerima wahyu, membacanya dan membina generasi awal selama 
lebih 20 tahun. Tempoh lama itu, walaupun dengan kehendak Allah ia boleh dipendekkan semahuNya, adalah dengan satu hikmat besar iaitu sebagai satu penyediaan qudwah dari rasulNya itu untuk umat manusia sehingga kiamat. Baginda berada di atas singgahsana akhlak yang tinggi dengan sifat-sifat kemuliaan yang perlu digapai dan ditiru oleh umatnya.

Adalah pelik dan sukar dibayangkan, umat yang bernabikan manusia qudwah, tiba-tiba menonjolkan wajah kehidupan yang begitu buruk akhlaknya. Tetapi itulah hakikat yang terlihat daripada kehidupan umat Islam hari ini. 

Daripada pemerintah negara umat Islam yang terkedepan dengan isu-isu pembaziran wang negara, salah guna kuasa, rasuah, penindasan dan pengkhianatan sampailah di peringkat rakyat bawahan dengan isu-isu kekotoran, dadah, zina dan sebagainya, adalah begitu jelas ia telah menjadi kerosakan besar yang agak kritikal.

Mengapa? Ya, ia adalah kesan kerosakan yang pertama iaitu kerosakan pemikiran umat Islam yang bertunas daripada akidah mereka yang telah longgar dan goyang.

Kerana itu, umat Islam terpinga-pinga dan teragak-agak untuk mengambil penyelesaian cara Islam di dalam menangani isu dan masalah masyarakat. Ia pastinya berpunca dari keyakinan bahawa Islam bukanlah satu penyelesaian untuk penyakit-penyakit di zaman moden hari ini.

Setelah kita memahami dua kerosakan besar ini, kita mestilah dapat mengagak betapa sukarnya mengubati kedua-dua penyakit umat ini.

Ia memerlukan kesabaran dan kerahmatan yang tinggi, ilmu dan kebijaksanaan yang tinggi serta usaha dan jihad yang tinggi juga. Para pendakwah dan pejuang di medan islah masyarakat perlulah memiliki sifat-sifat tersebut demi menjayakan misi besar membina umat Islam yang baru dan berjaya.

Di antara faktor yang begitu membantu ialah melakukan kerja dakwah dan islah secara berjamaah dan saling bekerja sama di samping mengelak pertembungan dan kekhilafan yang tidak diperlukan. Juga, saling menyokong usaha baik walaupun bukan daripada usaha kumpulan kita. 

Tazkirah ringkas ini adalah sebagai sentuhan agar kita saling bertafakur di bulan Ramadhan yang mulia ini. Selamat menempuh 10 terakhir Ramadhan dengan penuh kejayaan..

Dua Kerosakan Umat Hari Ini

Tazkirah Ramadhan 30 saat (8)

Ada dua kerosakan besar yang menimpa ke atas masyarakat Islam hari ini. Kerosakan ini secara jelas berpunca daripada tempoh lama ratusan tahun umat Islam berada di dalam kepungan penjajahan barat ke atas dunia Islam yang secara fizikalnya, telah berakhir dengan perisytiharan kemerdekaan oleh negara-negara umat Islam tersebut. 

Tetapi kemerdekaan fizikal itu bukanlah mengubati segala penyakit yang telah menjalar ke segenap urat nadi umat. Ia memerlukan tempoh yang tidak pendek untuk para pengislah (muslih) daripada kalangan pejuang umat untuk membaik pulih kerosakan tersebut. Dua kerosakan besar yang mengundang pelbagai masalah umat itu ialah:

Pertama, kerosakan pemikiran umat Islam. 

Islam membina pemikiran atau ideologi Islam. Pemikiran Islam lahir secara begitu mendasar daripada akidah Islam yang terbina daripada keimanan terhadap Allah, kitab dan rasulNya. Akidah yang bertunjangkan kepercayaan kepada perkara-perkara ghaib, hidup sesudah mati dan hari pembalasan itu telah membentuk pemikiran hidup umat Islam yang suci, sempurna dan membangunkan kehidupan sebenar manusiawi.

Apabila berlaku penjajahan ratusan tahun barat ke atas umat Islam yang saat itu, telah dilalaikan oleh kebendaan dan kezaliman para penguasa, mereka berusaha untuk menukar dan memurtadkan umat Islam. Tetapi akidah tauhid begitu bersebati di dalam jiwa dan nadi umat Islam. Mereka gagal di situ tetapi tidak di dalam memastikan umat Islam lemah selama-lamanya. 

Justeru mereka begitu bersedia melancarkan serangan pemikiran (الغزو الفكري) yang merosakkan pandangan umat Islam terhadap kehidupan, malah terhadap ugama mereka sendiri.

Akhirnya, dalam tempoh beberapa kurun, mereka mampu melahirkan generasi umat Islam yang tidak lagi membangunkan pemikiran mereka berasaskan akidah yang suci. Lahir kerosakan pemikiran yang dahsyat seperti;

1) Islam adalah ugama akhirat dan memberi manfaat untuk akhirat sahaja. Urusan dunia adalah milik ilmu akal yang menolak akidah Islam yang dilihat menolak logik akal dan ilmu manusia yang sentiasa berkembang.

2) Islam tidak mencampuri urusan politik dan pemerintahan. Sebarang usaha mempolitikkan Islam atau mengIslamkan persada politik dianggap satu jenayah terhadap kesucian ugama. Islam terlalu suci untuk bicara soal hiruk-pikuk politik yang kotor.

3) Hukum-hakam di dalam al Quran tidak lagi sesuai kerana begitu ketinggalan zaman. Jika dilaksanakan, ia adalah fitnah terhadap ugama dan kezaliman terhadap manusia moden. 

4) Demi kemajuan, umat Islam mestilah menerima cara barat yang telah maju dan moden sekali kehidupan mereka walaupun umat Islam terpaksa mengorbankan nilai-nilai murni agama dan kehidupan umat Islam sendiri. Itu adalah bayaran terhadap sebuah kehidupan yang lebih baik dan mampu menyaingi barat.

5) Pendidikan jasmani dan kemajuannya lebih penting daripada pendidikan rohani dan kemajuannya. Apa-apa bentuk ibadah dan riadhah rohani dikira salah dan perlu ditinggalkan jika ia bertentangan dengan logik akal dan kemajuan fizikal.

Itu adalah contoh kerosakan pemikiran umat Islam hari ini yang secara jelas telah menolak Islam sebagai sebuah ugama kehidupan di dunia dan akhirat, rohani dan jasmani, hari ini dan akan datang, malah satu-satunya agama yang sempurna dan menyeluruh.

bersambung..

Tazkirah Ramadhan 30 saat (7)

Bulan Ramadhan bulan al Quran 2

Ya, walaupun al Quran ditolak oleh kebanyakan manusia yang bermula daripada keluarga Rasulullah صلى الله عليه وسلم sendiri di kota Makkah pada peringkat awalnya, Allah tetap dengan rahmat dan kasih sayangNya ke atas umat baginda. Allah telah memilih segolongan manusia untuk menerima, mencintai dan menjunjung al Quran al karim. 

Golongan itu adalah mereka yang memiliki sifat taqwa di dalam hatinya atau digelar al muttaqin.

الم .ذلك الكتاب لا ريب فيه .هدى للمتقين

Maksudnya; “Itulah al kitab (al Quran) yang tiada ragu-ragu padanya (ia daripada Allah) yang menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa.” – al Baqarah;1-3

Golongan inilah yang bermula daripada para sahabat baginda sendiri رضوان الله عليهم telah menjadikan al Quran sebagai petunjuk kehidupan. Mereka telah membina diri, keluarga, masyarakat bahkan tamadun kemanusiaan dengan mengambil isi dan inspirasi al Quran.

Justeru, khulasahnya, tiadalah persediaan dan bekalan terbaik untuk menyambut al Quran dan menerimanya sebagai teman kehidupan selain memiliki sifat taqwa. Dengan sifat yang mulia ini, al Quran akan menerima dirinya untuk bertakhta di dalam dirinya. Beruntunglah mereka yang diterima al Quran sebagai temannya.

Apabila anda memahami ini, maka lihatlah bagaimana Allah, selain menerangkan kebesaran dan peranan al Quran, Dia juga menunjuki kita bagaimana untuk memperolehi nikmat berdampingan dengan al Quran dan menjadi kekasih al Quran. Ia adalah dengan memiliki sifat taqwa. 

Bagaimana memiliki sifat mulia ini? Bukankah ia suatu yang sukar dan memerlukan mujahadah yang besar dan istiqamah yang tinggi?

Ya, tetapi Allah telah memudahkannya dengan memperkenalkan satu kaedah yang mampu dilaksanakan oleh setiap manusia. Kaedah itu adalah dengan ibadah berpuasa yang memuncak dengan kefardhuannya di sepanjang bulan Ramadhan. Setahun sekali sebagai satu riadah intensif yang akan mencambah sifat taqwa secara cepat dan paling berkesan.

Puasa adalah pengekangan terhadap kekuasaan nafsu ke atas diri manusia dan pendidikan terhadap nafsu agar tidak melampaui batasan iman. Ia hakikatnya adalah menjadi penghalang besar manusia menuju Allah dan menyembahNya. Apabila nafsu dibiarkan menguasai tubuh, maka ruh dan taqwanya akan tenggelam dan terlindung. Kerana itulah manusia akhirnya gagal memahami keagungan al Quran al karim.

Maka di bulan Ramadahan yang mulia ini, terhasillah satu pembinaan yang hebat dan satu perayaan yang cukup membahgiakan.

Perhatikan, Ramadhan dimuliakan kerana penurunan al Quran di dalamnya. Kemudian disyariatkan ibadah puasa di dalamnya agar bercambahlah sifat taqwa di dalam diri manusia. Taqwa pula adalah satu-satunya cara untuk mendampingi al Quran dan menjadi temannya. Maka terhasillah di bulan yang mulia ini satu perayaan buat kekasih al Quran.

Berjayalah orang-orang yang mengambil al Quran sebagai sumber utama kehidupan mereka. Selamat menjunjung al Quran di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Tazkirah Ramadhan 30 saat (6)

Bulan Ramadhan bulan al Quran

Allah, saat memfardhukan ke atas hambaNya puasa di bulan Ramadhan, terus saja memahamkan mereka akan kelebihan bulan tersebut. Bulan Ramadhan dipilih untuk menjadi sebuah taman iman buat para hambaNya kerana ia mengandungi satu peristiwa besar yang tidak sayugia dilupakan dan dialpakan oleh setiap yang beriman. 

Peristiwa itu adalah penurunan kurniaan nikmat Allah yang paling agung iaitu al Quran sebagai petunjuk ke atas seluruh manusia yang dipenuhi keterangan-keterangan yang jelas yang mengandungi hidayat dan pembeza kebenaran daripada kebatilan.

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدىً لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ .

Maksudnya: “Bulan Ramadhan adalah bulan diturunkan padanya al Quran, menjadi petujuk buat manusia dan dipenuhi keterangan-keterangan yang jelas daripada petunjuk dan al furqan (pemisah kebenaran daripada kebatilan). – al Baqarah: 185

Nikmat Allah ke atas manusia tidak terkira. Samada manusia itu bersyukur di atas nikmatNya itu atau sebaliknya, Allah dengam sifat rahmanNya itu terus menebarkan  kasih sayangNya ke atas seluruh makhlukNya di dunia ini, sebelum mengkhususkannya hanya untuk mereka yang beriman sahaja di akhirat nanti. Adapun orang-orang yang kufur, nikmat dan rahmatNya akan terhenti di dunia sahaja.

Bagaimana nikmat itu terhenti dan putus? Dan bagaimana pula nikmat itu terus bersambungan sehingga ke akhirat? Ya, ia tergadai dan terikat dengan nikmat al Quran tersebut. Barang siapa yang beriman dengan al Quran dan hidup berpetunjukkan al Quran, maka al Quran hadir di sisinya saat ia kembali ke alam baqa’. Al Quran menjadi pelindung dan hujah buatnya menagih kasih sayang dan rahmat Allah di sana nanti. 

Adapun sebaliknya ke atas mereka yang kufur, segala nikmat di dunia akan terhenti sebaik kematian menyentapnya nanti. Tanpa al Quran disisinya nanti, segala-galanya adalah kegelapan dan malapetaka buatnya di akhirat nanti. Saat itu, tiada lagi erti segala nikmat yang diperolehinya di dunia dulu. Ia seperti kosong yang penuh tipudaya syaitan.

Justeru sayugialah nikmat penurunan al Quran sebagai petunjuk menuju akhirat itu tidak dilupai oleh manusia. Ia mesti disyukuri dengan sesungguhnya. 

Malangnya manusia, kebanyakan mereka tidak mensyukuri nikamt al Quran, malah mereka menolaknya dan melemparkannya ke belakang mereka. 

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا

Maksudnya: “Dan berkata al Rasul;Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah meninggakan al Quran.” – al Furqan:30

Saat manusia menolak kehadiran nikmat teragung ini, siapakah kalangan hambaNya yang menyambut al Quran dengan penuh kegembiraaan dan kesungguhan?

bersambung..

Tazkirah Ramadhan 30 saat (5) 

Ibadah puasa difardhukan oleh Allah dengan matlamat yang cukup penting bagi setiap insan yang beriman kepada Allah iaitu untuk memperoleh taqwa. 

Taqwa adalah sifat hati yang dengannya, seseorang mukmin memiliki pengenalan, kemampuan dan kekuatan untuk mengelak diri daripada terperangkap dengan godaan dunia yang melalaikan. Dengan sifat tersebut, ia mampu membezakan baik daripada buruk dan berupaya menjauhi perkara yang haram dan melalaikan.

Bagaimana ibadah puasa membibitkan dan mencetuskan sifat taqwa? Mari perhatikan keadaan berikut yang akan membantu orang yang berpuasa;

1) Orang yang berpuasa sanggup meninggalkan kebiasaan hariannya seperti makan, minum, jima’ dan kalam yang melalaikan semata-mata kerana ingin bertaqarrub kepada Allah. Ini adalah dorongan ketaqwaan. Ia melakukannya kerana Allah, bukan kerana menjaga kesihatan, diet, adat dan apa-apa tujuan selain ibadah.

2) Orang yang berpuasa sentiasa melatih dirinya bermuraqabah (merasai kehadiran Allah yang melihatnya) sepanjang masa dengan mengharapkan pahala (ihtisab) daripadaNya. Sifat dan amalan muraqabah adalah jalan terdekat menghimpunkan hati yang terpecah-pecah dengan sifat taqwa.

3) Orang yang berpuasa akan menyukarkan laluan syaitan memasuki tubuhnya. Syaitan berkuasa, dengan izin Allah, menyelinap ke segenap urat anak Adam untuk meracuni dan memperdayakannya. Dengan puasa, laluan menjadi sempit dan sukar. Sementelahan, dengan syaitan iblis diikat di bulan Ramadhan yang mulia ini, pengaruh sinar akal dan ruh akan membenihkan dan mencambahkan sifat taqwa di dalam diri orang yang berpuasa.

4) Orang yang berpuasa akan terdorong untuk menambahkan amal taat yang lain. Ini berlaku disebabkan semangat yang tinggi untuk memperkasakan kesan ibadah puasanya agar diterima Allah. Ibadah taat seperti membaca al Quran, berzikir, solat yang lebih khusyu’ dan berkebajikan sesama muslim adalah antara pemangkin menuju ketaqwaan.

5) Orang yang berada dan murah rezeki, melalui ibadah puasanya, akan merasai keperitan lapar dan dahaga yang merajai kehidupan orang-orang miskin. Ia membibitkan rasa insaf dan perihatin untuk membantu setiap insan dalam kesusahan. Mencintai orang-orang miskin dan amalan kebajikan sesama makhluk Allah adalah antara sifat orang-orang yang bertaqwa.

Begitulah amalan puasa yang begitu berkesan membibitkan sifat taqwa di dalam diri kita. Justeru sayugialah, demi puasa yang dimakbul oleh Allah dan tidak tersia-sia, kita menjernihkan keikhlasan dengan putih berseri dan memalarkan amalan kita dengan kehijauan penuh berseri.

Salam menuju Lailatul Qadr..

Tazkirah Ramadhan 30 saat (4)

Matlamat puasa

Imam al Ghazali di dalam kitab Ihya’ Ulumiddin (1/212) mengulas mengenai ibadah puasa melalui uslubnya yang istimewa. Beliau berkata;

“Matlamat ibadah puasa adalah berakhlak dengan salah satu daripada akhlak Allah ‘azza wajalla, iaitu kekuatan dan kekentalan (الصمدية) dan menuruti para malaikat Allah dalam mengekang diri sedaya upaya daripada nafsu syahwat. Sesungguhnya mereka itu disuci bersihkan daripada nafsu syahwat.

Manusia pula martabatnya di atas martabat haiwan dek kemampuannya melalui sinar akalnya untuk memecahkan nafsu syahwatnya itu. Tetapi dia di bawah martabat para malaikat dek nafsu syahwat yang menguasainya dan dia diuji oleh Allah untuk bermujahadah menguasai nafsunya itu. 

Setiap kali manusia tewas dan tenggelam di dalam kubang nafsu syahwatnya, maka dia telah jatuh ke lembah kehinaan yang paling bawah dan bersama-sama di dalam kebuasan binatang. Tetapi setiap kali dia berupaya mengekang nafsunya itu, maka dia telah naik ke atas ke tingkatan paling tinggi dan bersama di ufuk para malaikat Allah.”

Imam Ibnu al Qayyim pula di dalam kitabnya, Zaad al Ma’ad ( 1/152) pula menambah; 

“Dan matlamat ibadah puasa adalah menahan diri daripada nafsu, mengikatnya daripada melakukan perkara-perkara kebiasaan dirinya dan membetulkan kekuatan tenaga syahwatnya. Ini agar dia lebih bersedia untuk mara menuntut perkara yang akan menjadi kemuncak kebahagian dan kenikmatan dirinya, serta siap sedia menerima sifat-sifat yang akan menjadikannya bersih untuk kehidupan abadinya. 

Lapar dan dahaga melalui ibadah itu akan memecahkan ketajaman nafsunya dan mengingatkannya dengan jiwa-jiwa yang kelaparan daripada kalangan orang-orang miskin. Ia juga akan menyempitkan laluan buat syaitan menguasai diri hamba Allah dengan menyempitkan laluan makanan dan minuman, di samping menyekat kekuatan anggota jasadiah dari bebas bergerak secara tabi’inya yang boleh memudaratkan dirinya dalam kehidupan dunia dan tempat kembalinya nanti. 

Puasanya itu akan dapat menenangkan setiap anggota tubuhnya dan setiap kekuatan dalam tubuhnya daripada keinginan yang melampau. Ia memegang pada tali kekangnya. Puasa menjadi tali kekang bagi orang yang bertaqwa, perisai bagi tentera mujahadah dan satu latihan bagi golongan al abrar dan al muqarrabin ( yang rapat hubungannya dengan Allah).”

Penjelasan oleh dua ulama agung Islam di atas cukup menggambarkan kebesaran pensyariatan ibadah puasa ke atas umat Islam di bulan Ramadhan.

Selamat berjaya menjalani ibadah rukun yang agung ini dengan sempurna. Semoga Allah meredhai kita dengan kurniaan sifat taqwa dan iman.

Tazkirah Ramadhan 30 saat (3)

Justeru Allah tunjukkan kekuatan sebenar nabi Adam عليه السلام kepada para malaikatNya melalui penggunaan akal yang disiapkan untuk menuju ke alam atas, alam malakut dan kesucian melalui kecintaan dan kedambaan kepada ilmu dan makrifat. Akhirnya para malaikat sedar dan akur dengan kelebihan kurniaan Allah kepada nabi Adam.

Manusia bukan malaikat kerana kekangan nafsu yang menariknya ke alam tanah dan haiwan. Manusia juga bukan seperti haiwan kerana ruh dan akalnya sentiasa melonjakkannya untuk menikmati kemuliaan dan kemanisan makrifat alam atas yang lebih indah. 

Berlaku pertarungan di dalam tubuh manusia, sesuatu yang tidak berlaku ke atas para malaikat dan juga haiwan. Saatnya, manusia menemui kenikmatan, kemanisan dan kemuliaan hidup dengan ruh sehingga mencetuskan segolongan yang menindas jasad dan menyiksanya dengan melaparkan diri, memenjarakannya daripada nikmat jasadiah dan melarikan diri ke hutan demi mencapai tahap kemalaikatan. Lahir dunia kependetaan yang terputus daripada kehidupan duniawi.

Dari sudut yang berlawanan pula, bahkan lebih mendominasi, manusia menjunam ke bawah, berkubang di longkang nafsu kehaiwanan dan kesyahwatan melampau sehingga melintasi garis kebinatangan. Mereka saling berbunuhan sesama sendiri, menindas yang lemah dan melakukan kerosakan di bumi melalui variasi pelbagai cetusan nafsu serakah kebinatangan yang tidak terkawal lagi.

Di sinilah pertolongan Allah datang melalui perutusan al rasul yang memperkenalkan kaedah pemulihan diri yang paling hebat yang menepati kehendak dan kelayakan manusia sebagai seorang makhluk bergelar khalifahNya yang unik. 

Ia adalah ibadah puasa. Ia kemudiannya tambah memuncak dengan pensyariatan kefardhuan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia. 

Lapar adalah senjata mendidik nafsu agar beriringan dengan ruh untuk memakmurkan kehidupan. Manusia, setinggi mana keupayaannya melonjak ke atas, dia tidak boleh menjadi malaikat kerana tugasnya adalah berbeza. Manusia adalah khalifah Allah yang memikul amanah besar di muka bumi. Manusia mesti membumi.

Manusia juga tidak boleh berpusing di daerah bumi dan kehaiwanan sehingga lupa peranannya beribadah kepada Allah dan menyertai gerombolan kemuliaan dan kesuciaan makhluk Allah di alam malakut.

Melalui ibadah puasa yang terpimpin oleh disiplin ugama yang khas, manusia akhirnya menemui kebahagiaan sebenar yang dicari-cari dalam kehidupannya.

Selamat menjalani ibadah puasa di bulan mulia ini.

Tazkirah Ramadhan 30 saat (2)

Bulan Ramadhan penuh isi dan anugerah kurniaan Allah. Antara yang paling agung adalah ibadah berpuasa yang menjadi rukun dan tiang ugama Islam. 

Kebesaran ibadah puasa begitu jelas sehingga kita sering memanggil bulan Ramadhan itu sebagai bulan puasa, sehinggakan pula, ia kadang-kadang menjejaskan peluang kita untuk melihat kelebihan isi-isi lain di bulan Ramadhan yang juga besar rahsianya.

Bagaimanakah ibadah puasa itu dipilih Allah sebagai rukun ugama yang wajib kita sempurnakan? Apakah hikmah tersembunyi sehingga ia menyamai ibadah solat dan haji yang begitu jelas bentuk dan cara perlaksanaan kedua-duanya di dalam menunjukkan rasa ketaatan dan ketundukan kepada Allah yang tertera pada sujud, ruku’, tawaf, sa’ie dan seumpamanya? Bukankah puasa itu lapar dan lapar itu meletihkan, manakala letih itu mencambahkan rasa malas dan enggan? Bukankah rasa malas itu mendorong untuk meninggalkan ibadah?

Itulah zahirnya. Sebabnya adalah kerana kita melihat dari sisi yang senget dan serong.

Para ulama kita memperincikan hikmat yang pelbagai berdasarkan kefahaman dari pengajaran al Quran dan sunnah al Rasul صلى الله عليه وسلم, juga pengalaman menakjubkan hasil ibadah puasa yang dilaksanakan. Satu penjelasan yang menarik adalah;

Pelbagai makhluk Allah diciptakan hanyalah samada bercirikan sifat atasan, kelangitan dan kemalaikatan atau ia bercirikan sifat bawahan, ketanahan dan kehaiwanan. Apabila Allah memulakan penciptaan manusia melalui penciptaan nabi Adam عليه السلام, maka ia adalah penciptaan yang unik dan yang pertama kali!

Nabi Adam memiliki ciri langit dan ciri tanah. Ciri malaikat dan ciri haiwan. Ia adalah gabungan unsur ruh dari kehidupan di langit dan unsur jasad daripada tanah dari kehidupan di bumi. Ruh memiliki ciri-ciri ketinggian dan sifat-sifat ketuhanan. Ia mendambakan ibadah, kesucian, kemuliaan, kekuatan, keamanan dan kerahmatan. Manakala jasad pula memiliki ciri-ciri lemah dan kenafsuan. Ia mendambakan keseronokan menggali kenikmatan di bumi, mengisi nafau perut, nafsu serakah seks dan paling meruncing, ketamakan dan kekuasaan di muka bumi.

Keunikan inilah yang gagal difahami oleh para malaikat saat Allah memperkenalkan ciri kejadian makhluk baru yang akan memegang amanah kekhalifahan di muka bumi. Malaikat melihat Adam sebagai memiliki sifat-sifat gelora kebinatangan yang suka membunuh dan merosakkan kehidupan. Ia terlupa kelebihan dimiliki Adam yang terserlah pada makhluk langit bernama ruh.

Bagaimana Adam dan zuriatnya memikul amanah agung ini? 

Bersambung..

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Jun 2023
I S R K J S A
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
2627282930  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa