You are currently browsing the monthly archive for November 2007.

Salam Kamunting, 

 ( entry ini adalah jawaban saya yang  dipastekan dari ruang komen ‘ mengapa menundi Pas adalah wajib (3)’ ntuk Ichiro. Semoga mudah dicapai.  )

Ichiro,

Terima kasih kerana menjengok laman saya ini walaupun anda bukanlah peminat politik. Betullah, setiap yang kurang menekuni politik akan merasa keliru dan bosan dengan perihal politik apatah orang – orangnya. Penuh perbalahan dan perseteruan atau setidak – tidaknya salah – menyalah dan sindir – menyindir, sepertilah apa yang anda rasa melalui tulisan saya di atas dan siri – sirinya yang berkaitan.

Tetapi siapa pun tak mampu menafikan bahawa politik adalah unsur terbesar kehidupan ini. Tanpanya manusia hidup tanpa tamadun. Politik menentukan kelangsungan pembudayaan dan praktik ilmu dalam kehidupan. Politik seperti unsur air bagi kehidupan. Tanpanya kehidupan jadi kusam tanpa maya dan seri.

Lihat timbunan ilmu yang karam di khazanah menara gading dek polisi politik pemerintah yang memusuhi ilmu yang mereka jelikkan, sedang ia adalah kemuliaan. Lihat sampah sarap lampias nafsu kebinatangan yang membuntuti kehidupan manusia berlonggokan tanpa penyucian angkara dunia politik yang merelakannya. Pergaulan bebas, riba, rasuah, nepotism dan sebagainya adalah sampah yang membusuki kita, tetapi di mana kuasa untuk membantu kita?

Inilah kekejian politik yang sentiasa keji di sisi penjanggal politik seperti anda juga.

Ichiro,

Adapun kami, kami tidak keliru kerana kami hidup dengan memahami politik dan kami telah memilih sesuatu yang pasti dan haq dalam politik kehidupan. Jika anda memerhatikan, saya melalui tulisan saya di atas, saya sedang memisahkan antara politik Islam yang benar daripada politik Islam yang palsu yang berlambakan di dunia Islam yang tenggelam dan kelam hari ini. Anda tekuninya, anda akan memperolehi kejelasan pemisahan itu selepas anda keliru di awalnya seperti kandungan soalan – soalan anda itu.

Saya akan menjawab dalam kemudahan yang saya cuba semoga anda dan para pembaca mudah memahaminya, insya Allah.

Sebelum menjawab ketiga – tiga soalan anda, mari kita berkongsi perkara berikut.

1) Tiada yang lebih berharga di dunia ini selain memiliki hati yang bersih. Bersih hati bermula dengan mengenal Allah, tuhan pencipta. Tiada yang memperkenal Allah kepada manusia kecuali RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.

2) Mengenali Allah melorong kepada tunduk dan cinta kepadaNya. Maka terjadilah ibadah dan ketaatan sepenuhnya. Menjadi hamba sepenuhnya kepadaNya tanpa syirik dan sekutu.

3) Mengingkari perintahNya adalah lorong menuju kehancuran. Kehidupan di bayangi kepalsuan dan penipuan. manusia tertipu dalam sepanjang tempoh hidupnya kecuali yang beriman dan menurut kehendakNya.

Sekarang saya menjawab soalan anda:

1) Ya, kita bebas beribadat. Tetapi adakah anda bersetuju bahawa selepas bebas beribadah, maka kita juga bebas melaksanakan segala kewajiban suruhan dan laranganNya di negara kita ini? Bagaimana kewajiban lain dalam kehidupan? Kewajiban berhukum dengan hudud dalam jenayah? Kewajiaban bermuamalah tanpa riba? Kewajiban hijab dalam percampuran lelaki dan perempuan? Kewajiban ilmu agama di tempat pertama dalam dasar pendidikan negara?

Pas bukan berbeza dalam soal kebebasan beribadat, tetapi berbeza pada memahami Islam yang menyeluruh. Cinta dan Ketundukan yang total kepada kehendak dan hukum Allah di dalam Al Quran. Umno membelah – belahkan Islam mengikut nafsu tanpa panduan yang benar dari Al Quran.

Jika anda melihat Islam itu hanya pada rukunnya yang lima itu, maka salahnya pada anda sendiri kerana anda mengenali Islam yang tidak benar dan palsu. Islam adalah cara hidup. Cara hidupnya adalah isi Al Quran dan Al Hadis. Ia di masjid dan ia juga di parlimen.

Maksud firmanNya: ” Dan Dialah di langit adalah tuhan dan di bumi juga adalah tuhan.” Maka ke mana Umno mahu tuju selepas langit dan bumi?

Jika anda memahami Islam sebagaimana asalnya, maka kesilapan anda adalah pada melihat perselisihan Umno – Pas adalah pada lingkungan masjid dan pemakmurannya. Ini silap dan anda perlu terus menekuni dunia politik sebaiknya.

2) KL – KB sama? Begini, saya dan anda tak sama, tetapi saya dan anda juga adalah sama. Betulkan? Begitulah KL – KB. Biarkan yang sama kerana kesamaan bukan perbahasan di sini. Anda mahukan perbezaan yang membuktikan keberkesanan Pas.

Pertama, Pas mendakwa kesungguhannya mengamalkan Islam yang benar. Kewajiban pertama pemerintah ( sebagai mana dalam Al Quran ) adalah menyuruh rakyatnya solat lima waktu.

Anda pergi ke Masjid Muhammadi Kota Bharu? Saya hanya ingin memberitahu betapa orang dari luar Kelantan terpesona dengan jumlah ramai yang berjamaah di Masjid Muhammadi ( ah, pergilah ke masjid – masjid besar yang ramai penduduk sekitarnya di Kota Bharu ) hatta solat subh sekalipun.

Ini tidak berlaku di KL. Kemudian, risiklah jika anda mahu, anda akan mendapati mereka, majoritinya adalah penyokong dan pendukung Pas. kecintaan pada solat adalah lambang cinta pada Allah.

Ini indahnya Pas. Berpolitik demi mengajak manusia cinta pada Allah, bukan pada harta dan pangkat. Ini bukti dan Umno tidak mampu merampasnya. Rampaslah jika boleh dan jika mahu.. Mahukah Umno?

Kedua, bandingkan kajian solat lima waktu di antara pelajar menengah di bawah sistem pendidikan pusat dan pelajar menengah di bawah Yayasan Islam Kelantan. Jawabannya, Umno malu untuk membandingkannya apatah mengisytiharkannya. Tidakkah dunia remaja kita hari ini parah kerana mereka tidak lagi tahu untuk solat lima waktu? Inilah kesan dasar pendidikan sekular negara yang meminggiri ilmu ugama yang menjadi cahaya penyuluh kehidupan.

Ketiga, adakah anda yakin wanita muslimah di Kota Bharu pakaiannya sama dengan wanita muslimah di KL? Jika ya, sila bandingkan sekali lagi dan sekali lagi. Anda menyalahi tanggapan umum ( termasuk pelancong asing ) bahawa bandar Kota Bharu adalah bandar wanita yang bertudung. Nak pakai saudara atau masyarakat umum?

Anda melihat wanita dan lelaki yang pakaiannya menjolok mata? Ya, ia ada di Kota Bharu, tetapi;

1- Adakah ia suatu trend remaja Kota Bharu? Tidak!
2- Adakah ia hasil seruan Pas? tidak!
3- Adakah Majlis perbandaran MPKB-BRI tidak menanganinya? Tidak!

Mereka adalah mangsa dasar sosial negara ciptaan Umno yang buruk dan tanpa panduan Allah. Lihatlah apa yang Pas buat untuk memastikan mereka kembali kepada Islam.

Keempat, adakah pub dan pusat hiburan siang dan malam di KB sebagaimana ianya di KL? Adakah pusat judi yang berlesen di KB sebagai mana ianya di KL? Adakah berlambakan kedai – kedai menjual arak di KB sebagaimana ianya tanpa kawalan di KL? Namakan pusat pelacuran di KB sebagaimana ianya ditrade mark di KL? Adakah pesta – pesta hiburan melampau wujud di KB sebagaimana ianya galak di KL?

Anda harus tahu, inilah erti politikIslam yang diajar Allah dan RasulNya.
Ia membimbing sebagaimana ia memerintah ke jalan Allah.

Ingat juga, kuasa negeri jauh lebih kecil daripada kuasa pusat. Pas bergerak dalam kuasanya yang terhad.

3) Ya, ya, ya, kita akan disoal Allah perihal pegangan politik apa kita di dunia ini. Kita akan ditanya undi apa yang kita berikan pada setiap kali pilihan raya diadakan. Ditanya anda mengundi atau tidak. Ditanya anda benci atau suka pada kemaksiatan yang berleluasa. Ditanya apa peranan kita. Di tanya, ditanya dan ditanya.

Anda seperti lupa bahawa di akhirat nanti semua perkara di soal daripada sekecil – kecil sehinggalah sebesar besarnya. Semuanya diikuti pembalasan dan ganjaran. Semuanya demi keadilan dan kebenaran?Adakah anda lupa?

Itulah seburuk – buruk kelupaan!

Umno dan Pas adalah cerita besar! Cerita kebenaran dan kepalsuan. Apabila saya menulis di atas, saya hanya mahu meyakinkan betapa besarnya dosa memilih Umno yang menipu, menipu dan menipu demi survival untuk terus memerintah demi impian duniawi yang penuh kepalsuan.

Islam Hadhari adalah seburuk – buruk tawaran untuk rakyat anuti di Malaysia. Siapa pejuang yang berani menentangnya sebagai mana beraninya Pas?

Allah menunjuki kita semua ke jalanNya yang lurus. Amin.

Advertisement

Siasah di sisi cendekiawan barat

Kita akan sempurnakan perbincangan ini dengan turut membincangkan walaupun sedikit mengenai maksud politik di sisi cendekiawan barat yang sedang menguasai dunia kini, khususnya di era hegemoni Amerika yang juga semacam memaksakan ilmu dan tamadun mereka untuk dianuti oleh seluruh dunia. 

Kita tidak boleh mengabaikannya sekalipun kita menolak politik penjajahan dan tamadun penjajahan mereka. Kita beriman dengan kepelbagaian bangsa, ilmu, bahasa, ugama dan politik.

Mahu atau tidak,  kita terpaksa akur bahawa sebahagian besar pertubuhan, majlis dan muassasah ilmiah dan pemikiran kita masih terkesan dengan barat sebagai rujukan. Kita banyak mengambil daripada mereka dalam kajian kita tentang sosial, kemanusiaan terutamanya dalam kajian politik.

Kita tumpukan kepada pentakrifan politik di sisi mereka.

Sebenarnya takrif politik di sisi barat saling berbeza berdasarkan haluan dan sudut pandang masing – masing. Politik di sisi golongan liberal tak sama dengan lawannya. Politik di sisi kapitalis yang menjulang hak individu tak sama dengan golongan sosialis yang menumpu kepada hak – hak masyarakat. Begitulah perbezaan yang dilihat di kalangan golongan komunis, ekonomi bebas dan selainnya.

Juga perbezaan yang dapat dilihat di antara golongan ugama yang jumud yang menganggap usaha menolak penyakit dan wabak sebagai menolak takdir tuhan dan golongan perubatan yang menyeru kepada pembaikan kesihatan awam. Malah kumpulan yang masih berpegang dengan kemuliaan akhlak dan ugama yang menentang kebebasan mutlak dan menolak penularan gelaja seks bebas tentunya cukup berbeza pentakrifan mereka mengenai politik dengan golongan yang menghalalkan segala – galanya demi melampiaskan kehendak nafsu buas manusia sehingga menerima perkahwihan sejenis dan pergaulan bebas yang di tolak oleh seluruh ugama.  

Kami sebutkan di sini beberapa contoh:

1- Hans Murghantao (?) berkata: Politik adalah perbalahan demi merebut kekuatan dan kuasa.

2- Harold Laswil (?) berkata: Politik adalah kekuasaan dan penguasaan yang menentukan; Siapa menguasai apa? Bila? Dan bagaimana?

3- William Robson (?) berkata: Sesungguhnya ilmu siasah berteras kepada pengajian terhadap kekuasaan ke atas masyarakat, pengajian asas – asasnya, amalan praktiknya, tujuan dan natijahnya.

Semua takrif di atas berkisar mengenai kuasa dan kekuatan.

Jan Bari Dankan (?) mengupas dengan panjang lebar persoalan ‘apakah politik?’ dalam bukunya ‘Ilmu Politik’. Katanya, Penggunaan kalimah politik terbahagi dua iaitu penggunaan secara nau’ieyah dan bukan nau’ieyah ( tertentu dan bukan tertentu ). Bukan khas bermaksud penggunaan kalimah politik yang mudah ditukar dengan kalimah yang seerti dengannya. Contohnya:

1- Penggunaan kalimah politik dalam erti mengurus seperti politik (pengurusan) pengangkutan dan politik ( pengurusan) tenaga.

2- Penggunaan kalimah politik dalam erti strategi seperti politik (strategi) parti dan politik ( strategi ) kerajaan.

3- Penggunaan kalimah politik yang bermaksud penghinaan seperti berfikir secara yang kotor yang membawa kebencian. Ini biasanya dituju kepada seseorang untuk tujuan mencela perbuataannya seperti kata – kata ” Ini politiknya lah.”     

Inilah yang saya faham daripada Al Imam Muhammad Abduh di mana beliau dikatakan pernah berkata ” Saya berlindung dengan Allah daripada politik.” Tetapi saya kurang cerap tentang kesahihan kata – kata ini daripadanya.

Dankan menyatakan bahawa penggunaan kalimah politik secara nau’ieyah  pula hendaklah dibezakan antara politik dan perkara – perkara lain yang bercampur baur dengannya yang membawa erti yang berbeza seperti teknokrat, politik dan ekonomi dan politik dan akhlak.

Apapun, kalimah politik yang digunakan oleh barat adalah berkisar pada dua tujuan yang asas: Pertama, kekuatan dan penguasaan. Kedua, Kepentingan dan manfaat.

Pada pandangan Islam, tiada tegahan pada menuntut kekuatan tetapi hendaklah ia menjadi alat untuk mendukung kebenaran (al haq). Kekuatan bukan sebagai matlamat. Umat Islam selama – lamanya hendaklah bersama kekuatan kebenaran, bukan kebenaran kekuatan. Kekuatan apabila terpisah daripada kebenaran akan menjadi bahaya yang menggugat golongan yang lemah yang tiada upaya dan daya sebagaimana Allah Ta’ala menggambarkan kejahatan kaum ‘Aad dalam surah Fussilat:15 yang bermaksud:

” Adapun ‘Aad, mereka telah berlaku takabbur di muka bumi tanpa kebenaran. Mereka berkata, siapakah yang lebih kuat daripada kami? Tidakkah mereka lihat bahawa Allah yang menciptakan mereka itu lebih kuat daripada mereka? Dan mereka terus menentang ayat -ayat kami.”

Nabi Hud mengeluarkan mereka daripada kebejatan kekuatan dan menyeru kepada iltizam dengan kebenaran. Apabila mereka ingkar, Allah menghantar azabNya yang pedih.

Adapun kepentingan (maslahat), ia diterima pakai oleh syari’at Islam. Bahkan Allah tidak mensyari’atkan sesuatau hukum kecuali demi kepentingan hambaNya di dunia dan akhirat. Setiap masalah yang keluar daripada maslahat dan menuju kerosakan maka ia bukan daripada syari’at.

Al Maslahatul Mursalah iaitu sesuatu kepentingan yang tiada nas yang menerima atau menolaknya juga termasuk dalam salah satu daripada dalil – dalil syara’ yang diterima pakai, sebagaimana diterangkan oleh Imam Malik dan mazhab – mazhab lain juga.    

Tetapi maslahat yang mengikat politik di dalam Islam dan juga percakapan barat itu bukanlah bererti setiap apa yang memberi kelazatan kepada manusia atau bermaksud pengumpulan kepentingan secara peribadi tanpa menghiraukan kerugian orang lain dan melanggar susila dan santun.

Bahkan syara’ menjelaskan maslahat yang dimaksudkan dan mengikatnya dengan matlamat – matlamat syariat yang menjaga ugama, nyawa, akal, keturunan dan harta sebagaimana akan dijelaskan nanti dalam tajuk ‘nas dan maslahat’.

Salam Kamunting,

Siapa dapat menafikan bahawa Malaysia boleh menjadi negara kebajikan dalam masa terdekat. Malaysia bukan negara seperti Bangladesh, Laos dan Somalia. Malaysia Negara yang teramat kaya dengan pelbagai sumber anugerah bumi daripada Allah.

Hanya yang menafikan Malaysia hari ini sebagai negara kebajikan ialah kerakusan kepimpinannya dan kegilaan mereka merebut peluang untuk membolot kuasa dan harta sampai mereka alpa daripada tugas dan amanah. Maka berlakulah kelemahan dan kecurangan di mana – mana sektor  pentadbirannya.

Negara kebajikan adalah negara yang menjadikan rakyatnya sebagai buah hatinya. Rakyat marhaen diladeni sepertilah mereka juga tuan yang dihormati dan dikasihi. Ia tidaklah payah dan sukar. Untuk menjadi negara kebajikan tidak memerlukan wahyu langit turun mengarahkan lalu diikuti, atau nabi – nabi yang menyeru dan mengajar lalu difahami dan dikejar pahalanya.

Ketika dunia barat menolak kitab – kitab langit mereka, mereka tidak kekok dan tidak jauh daripada menjadi negara kebajikan yang cukup pantas, bahkan merekalah menjadi tempat rujuk dan contoh dalam pelbagai jenis dan aneka kebajikan kepada rakyatnya. Begitulah negara – negara kaya seperti Jepun dan Australia. Semuanya kerana kepimpinannya yang memerintah secara adil dan saksama untuk kepentingan seluruh rakyat.

Rasa ingin berkebajikan  adalah fitrah manusia. Manusia taksub sungguh untuk memperolehi kebaikan dalam kehidupan. Mereka akan bergembira dan bersukacita apabila dipuji dek kebaikan yang mereka kecapi. Salah satu kebaikan ialah menyumbang kebaikan kepada golongan yang memerlukan.

Hanya yang menutup fitrah yang bersih dan suci ini ialah sifat kikir, tamak, takbur, benci, dendam dan segala sifat buruk yang pastinya menutupi kelebihan modal insan dan wibawanya sebagai makhluk yang mulia.

Malaysia tidak mendapat gelaran sebagai negara kebajikan, bahkan digelar pula sebagai negara cukai yang melambangkan kekerasan dan kesempitan adalah kerana kepimpinannya yang memiliki sifat – sifat buruk tadi. Kikir, tamak, takbur, benci, dendam dan segala sifat – sifat buruk yang menutupi. Sebagaimana sifat buruk tersebut menjauhkan antara adik – beradik dan kaum kerabat, ia juga memisahkan antara pemerintah dan rakyatnya.

Bolehkah Malaysia bertukar dan masanya tiba – tiba menjadi dan bergelar negara kebajikan? Jawabannya boleh saja. Ada dua cara. Pertama, mereka meniru barat. Kedua, mereka meniru Islam. Yang pertama agak mudah sedang yang kedua agak payah. Mudah kerana sememanganya kiblat mereka adalah barat. Payah kerana sememangnya mereka segan untuk melutut di depan Allah dan memperakukan kehinaan mereka di hadapanNya yang maha agung.

Apapun kedua – kuanya adalah ransangan kuat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara kebajikan. Mengharapkan kesedaran sendiri daripada dalam kepimpinan negara adalah terlalu jauh. Kepimpinan negara kita mana ada jati diri dan integriti untuk tujuan itu?

Maka, samada ada tekanan atau dorongan dari negara – negara barat yang menjadi kiblat duniawi mereka atau daripada pengajaran Islam yang tersumbat sesak di kehitaman hati merekalah yang akan mengubah Malaysia ke arah impian murni ini. Kedua – kedua harapan ini nampaknya tdak mungkin berlaku dalam masa yang terdekat.

Tetapi ada fajar baru menyinsing di sebelah timur. Ia bukan keindahan pandangan senja di sebelah barat dan bukanlah kejernihan fitrah agama dari dalam hati yang tunduk. Sebaliknya ia berpunca dari negeri Kelantan, salah satu komponen persekutuan Malaysia yang sering terasing, terabai, tertinggal, diketepikan dan dianak tirikan.

Negeri Kelantan hampir diterima sebagai sebuah negeri dan wilayah kebajikan. Rakyatnya menikmati sentuhan lembut dan kasih sayang pemerintahnya. Ada rasa kasih dan ada rasa bahagia yang menyapa dan membelai – belai di jiwa rakyatnya untuk menyayangi dan menggetus rasa bangga terhadap pemerintah mereka.

Ia seperti menjadi pencetus kesedaran dan pengenalan kepada erti sebuah pemerintahan yang adil yang terbenam jauh dalam sejarah dan pengajaran kenabian atau terhidang di layar lipur lara pembikin filem dan cerita. Tanpa menyenaraikan bentuk dan genre kebajikan yang dicadangkan dan dilaksanakan kerajaan negeri Kelantan, umum mengetahui bahawa kepimpinan Kelantan yang mentadbir negeri hasil kemenangan parti Pas dalam medan siasah telah mengambil langkah ini bersumberkan Islam sebagai ad din atau cara hidup. Ia bukan dari dunia barat sebagai sumbernya walaupun ia tidak menolak barat sebagai model modul kebajikannya.

Kelantan bukanlah antara negeri yang kaya tetapi lebihan kewangan yang ada tidak segera tumpah kepada pemimpinnya, bahkan rakyatnyalah yang mengecapi dahulu apa yang tidak pernah dikecapi oleh rakyat Malaysia, sebuah negara kaya – raya. Bukan mengecapi harta dan kekayaan di tempat pertama, tetapi mengecapi kasih sayang, perihatin dan ketulusan seorang ketua.

Inilah tekanan yang menekan. Rakyat menekan. Pemerintah Malaysia tertekan. Negeri Kelantan galak berkebajikan. Apa cara sekalipun politik terus berpolimik. Pemerintah Malaysia mesti membebaskan diri daripada tekanan yang pasti mengundang kesusahan menghadapi pilihan raya yang membuka ruang untuk rakyat meluahkan perasaan dan pengharapan.

Mungkinkah Malaysia menukar status dan gelarannya daripada negara cukai kepada Negara kebajikan? Ia mungkin tidak mengambil pengajaran daripada ugama Islam kerana hati mereka yang teragak – agak dan penuh syak wasangka terhadap Islam. Ia juga sukar mengambil contoh daripada negara – negara barat kerana ia memerlukan komitmen tinggi termasuk mengubah landskap demokrasi dan sistem politik negara. Ia mungkin sukar sekali kerana jati diri dan integriti yang hangus menjadi hitam dek sifat – sifat buruk dan terkeji yang diwarisi daripada satu generasi ke generasi di dalam Umno dan sekutunya.

Tetapi ia mungkin terjadi. Malaysia boleh bila – bila masa bertukar menjadi negara kebajikan. Semuanya kerana Kelantan. Tekanan yang tinggi dari kerajaan Islam Kelantan yang membuktikan kemampuan untuk tegak sebagai negeri kebajikan walaupun ia bukanlah negeri yang kaya raya dengan pelbagai sumber, kemudahan dan kepakaran. Hanya ugama sebagai dorongan dan sumber.

Dengan sedikit kewarasan dan kecerdikan, Pak Lah mungkin mengambil sikap dan polisi yang terpaksa. ECER adalah permulaan dan isyarat. Jangan diketepikan kemungkinan rentetan bentuk kebajikan akan dirasai rakyat selepas ini dan sebelum pilihan raya atau selewat – lewat melalui manifesto pilihan raya terdekat. Ingat, Pak Lah mampu melakukannya melalui sedikit kewarasan dan dan kesedaran untuk survival pemerintahan. Malaysia negara yang kaya – raya. Ia bukan Bangladesh, Somalia dan Laos Kemboja.

Inilah jalan pilihan golongan munafikin dalam dunia pragmatik cemar dan kotor. Memberi untuk menipu dan mengongkong rakyat. Pastinya kerana tekanan politik untuk terus kekal mencanak di kerusi kuasa.

Inilah Islam Hadhari versi kedua. Jika beginilah mungkin berlaku, mampukah pembangkang mengubah persepsi rakyat yang begitu kelaparan dengan sentuhan kasih sayang pemerintah untuk tidak terus tertipu dengan sandiwara demi sandiwara demi menutup kegala kepincangan dan kejahatan mereka?

Perjuangan sentiasa sukar.  

Bahagian keempat 

5 ) Pas menerima sokongan terbesar umat Islam untuk memimpin dan menyatukan umat Islam yang berpecah belah.

Setelah Umno dipinggirkan secara hukum dan praktikal daripada menjadi harapan kepada cita – cita umat Islam untuk kembali kepada Islam, maka tiada lagi harapan dan pergantungan yang didambakan untuk kepimpinan, penyatuan dan kemenangan Islam selain parti Pas.

Pas telah memperolehi mandat yang ketara dengan sokongan dan dukungan, samada secara terang – terang atau sembunyi daripada umat Islam seluruh negara. Anda boleh membayangkan kenyataan ini dengan mengandaikan penyertaan semua gerakan Islam dan pertubuhan Islam sedia ada hari ini dalam pilihan raya, apakah sokongan yang mereka terima dari seluruh negara akan mengalahkan sokongan umat Islam terhadap Pas? Secara teori dan logiknya, tidak.

Ini tidak bermaksud menafikan peranan seluruh gerakan Islam lain dalam mendaulatkan Islam di dalam negara melalui medan masing – masing, tetapi ia membayangkan betapa rugi dan salahnya meminggirkan Pas sebagai gerakan utama yang berhak untuk mendapat sokongan seluruh gerakan dan umat Islam semua untuk memimpin ke arah penyatuan dan kemenangan Islam secara bersama.

Bergerak dalam gerakan Islam lain tidak bererti tidak boleh mengundi Pas atau menafikan hak mereka dalam amal Islami. Dengan persetujuan bersama bahawa penyatuan tidak mungkin berlaku tanpa kepimpinan yang kuat dan bersedia, maka tiada sebab untuk masih lagi menafikan peranan besar yang telah dimainkan oleh Pas dalam memimpin dan menyatukan umat Islam di Malaysia.

Justeru mengundi Pas yang telah membuktikan kekuatan dan wibawanya di persada umat adalah kewajiban ugama demi memudahkan proses penyatuan umat Islam. Jika tidak, jalan kea rah kesatuan akan bertambah buntu dengan percakaran sesama sendiri merebut ketuanan. Ia adalah salah dan tercela sekali.

6 )  Tiada tekanan dan paksaan untuk tidak mengundi Pas.

Menyeru kepada perkara makruf dan melarang daripada perkara yang mungkar adalah fardhu ain ke atas setiap umat Islam. Setiap muslim diarah untuk membina dan menjaga diri sendiri, ahli keluarga dan orang lain dengan pengajaran ugama. Itu adalah perkara besar yang difahami mudah dalam ugama Islam. Berani adalah iman manakala lemah dan takut adalah selemah – lemah iman.

Setiap kita di arah menggunakan tangan dan kekuatan diri untuk mencegah mungkar. Jika tidak mampu, gunakan lidah untuk mencegah dan menasihat. Jika tidak mampu dan ketakutan atau halangan tak terpikul, cegahlah dengan hati sendiri dengan kebencian dan tidak ridha. Itulah selemah – lemah iman. Walaupun sekadar bicara hati yang bisu, Allah masih menerima amalan orang Islam yang diselubungi ketakutan dan kelemahan kerana itu sifat semula jadi yang tidak mungkin dihilangkan sepenuhnya.

Wujudkah tekanan, paksaan dan ugutan dalam memberi undi?  Secara dasar dan teorinya tidak. Pilihan raya dan mengundi adalah tunjang sistem demokrasi. Kerajaan menyeru dan menggalakkan rakyatnya keluar mengundi dalam setiap pilihan raya. Peratusan keluar yang tinggi adalah lambang kejayaan sesebuah negara demokrasi. 

Undi adalah sulit. Sesiapa yang mengundi, hanya dia dan malaikat yang mengetahuinya selepas Allah. Segala kesusahan dan ketakutan dileraikan semasa di meja memangkah undi. Tiada pengawal yang memerhati, tiada kamera yang disuakan dan tiada tanda – tanda yang meragukan.

Justeru memilih dan mengundi perkara yang telah jelas wajibnya adalah wajib. Apatah lawannya adalah perkara mungkar. Pas wajib diundi manakala Umno wajib ditolak atas hujah – hujah yang telah disebutkan di atas.

Oleh kerana tiada lagi unsur paksaan dan ugutan yang mengundang ketakutan dan kelemahan, maka tiada sebab untuk meletakkan hukum tidak mengundi pada tahap selemah – lemah iman, bahkan tidak mengundi adalah tiada iman atau sememangnya ridha dengan kemungkaran yang ada. Itulah seburuk – buruk perbuatan.     

Oleh kerana tahap demokrasi dan pilihan raya di negara kita masih tempang dan penuh jenayah, hukum mungkin berubah jika wujud ketakutan dan paksaan seperti kes pengundian pos yang masih diamalkan sehingga kini.

7 )  Pas terbukti benar di dalam melaksanakan janji dan cita – citanya di Kelantan.  

Ini hujjah praktikal. Iman adalah perakuan di hati dan dibenarkan oleh amal anggota tubuh. Negara Islam adalah negara yang memperaku Islam sebagai perlembagaan negara dan dilaksanakan pengajarannya dalam kehidupan.  Inilah iman dan inilah pembezanya daripada nifaq dan munafikin.

Umno, walaupun kadang – kadang terpacul di mulut untuk melaksanakan Islam, bahkan turut mendakwa Malaysia sebagai sebuah negara Islam, tetapi sedikit keinsafan dan secalit taqwa sudah cukup untuk menolak dakwaan tersebut dengan sebab kerosakan, kezaliman dan pembohongan yang nyata dan terbuka yang dilakukan oleh para penguasa negara yang Umnolah penerajunya. Bahkan menerima cara hidup penuh celaru dalam negara hari ini sebagai Islami adalah penghinaan terhadap ajaran nabi Muhammad sallaLahu alaihi wasallam.

Pas adalah parti pembangkang. Ia selalu dihujjah ke tepi sebagai hanya beromongan dan pandai cakap sahaja. Cakap senang, suruh buat tahulah susahnya!! Itu hujah Umno yang sungguh laku suatu masa dulu.

Allah menginginkan kebaikan berterusan untuk Pas. Kini Pas memerintah negeri Kelantan dalam ruang kuasa terhad sebuah negeri dalam komponen persekutuan Malaysia. Pas juga pernah menguasai negeri Terengganu. Jika benar hujjah Umno di atas, maka inilah tali gantung buat Pas! Umno berhak membuktikan Pas hanya pandai beromongan dan cakap kosong.

Tetapi mampukah Umno membuktikan? Atau senjata dah makan tuan? Atau ludahan jatuh ke muka sendiri?

Tanpa pengenalan, apatah kupasan, jika anda masih ragu – ragu betapa Pas sudah membenarkan perakuan imannya dengan praktikal pelaksanaan Islam di Kelantan, cukuplah warga bukan Islam di Kelantan, bahkan di luar juga yang dibimbangi sangat ketakutan mereka jika Islam dilaksanakan di negara bermasyarakat  majmuk ini menjadi saksi buat anda atas apa yang Pas laksanakan di Kelantan.

Ribuan masyarakat Cina dan India bersedia menjadi saksi bahawa mereka mengenal keadilan Islam melalui kerajaan Pas yang memerintah Kelantan dan mereka cukup sedia untuk menerima Islam sebagai sistem politik yang menyusun kehidupan bersama.

Jika begitu, bayangkan pula penerimaan masyarakat Islam sendiri. Hari ini, Umno cukup bimbang untuk dibandingkan mereka dengan Pas dalam kesungguhan dan kesediaan melaksanakan Islam. Pas terus menangga dari satu tahap ke tahap yang seterusnya ke arah kesempurnaan. 

Anda telah melihat seberkas hujjah yang menjadikan Pas sebagai sebuah parti Islam yang wajib secara syar’ie disokong, didukung dan dipilih melalui undi dalam pilihan raya negara. Pas adalah untuk kedaulatan Islam dalam arena pemerintahan Negara. Ia bersendirian di medan politik untuk kemudahan seluruh umat Islam membuat pilihan. Ia melepasi kancah perselisihan antara jamaah – jamaah Islam dalam perjuangannya di medan politik.

Saya telah membentangkan satu kesimpulan yang ampuh bagaimana Pas terus boleh hidup di tengah – tengah tekanan kuat parti pemerintah yang terus menindas parti – parti pembangkang sehingga berkubur satu persatu tanpa batu nesan yang dikesan. Ia adalah pendoktrinan satu hukum yang mewajibkan umat Islam memilih Islam sebagai cara hidup bernegara, seterusnya mewajibkan mereka memilih Pas sebagai wadah yang  mampu dan matang untuk memimpin umat Islam di negara ini.

Kewajiban terpikul ini telah melahirkan pendukung dan pejuang Islam dalam Pas yang hidup matinya adalah bersama Pas demi cita – cita suci ini. Kehadiran mereka adalah sumber utama ketahanan parti Pas di medan perjuangan. Undilah Pas untuk kedaulatan Islam.

Salam Kamunting,

Saya terlalu ingin merakamkan ucapan tahniah yang hangat dan membara  untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah dengan beraninya turun ke jalan raya dalam perhimpunan seratus ribu anjuran BERSIH semalam.

Anda telah melakukannya dengan sempurna sekali. Anda telah menunjukkan kecintaan yang hebat kepada kebenaran dan kebebasan yang menjadi taruhan manusia untuk menuju kemuliaan sebagai insan pilihan. Kebenaran adalah agama dan kebebasan adalah pakaiannya. Kebatilan adalah syaitan dan perhambaan adalah pakaiannya. Jika anda mengabaikan kebenaran dan kebebasan, anda sedang menganut agama palsu yang memudaratkan anda di akhirat nanti.

Kita telah sama – sama rasai kemanisan berhimpun. Berhimpun itu memberi kekuatan hatta kepada kebatilan. Pak Lah dan pengikut – pengikutnya juga berhimpun untuk memberi kekuatan kepada kebatilan yang mereka anuti. Akhirnya mereka menjadi seronok dan gagah bergelumang dalam kezaliman yang mereka lakukan.

Pak Lah pantang dicabar di dalam menjunjung kebatilan. Menantunya pula seperti penganut ugama Yahudi jua dengan menuduh pejuang kebenaran adalah laksana binatang beruk terlepas ke jalan raya. Pastinya sang beruk lebih bahaya daripada mat rempit. Semestinya kita ini berbahaya buat mereka..

Tiada yang lebih bahaya bagi kebatilan selain kebenaran yang memburunya. Kitalah pemburu itu.

Rasailah kemanisan perhimpunan semalam. Ingatinya sebaiknya sebagai memori indah buat menghangat kehidupan ini dalam perjuangan yang berpanjangan. Jika anda dipukul, ditahan dan dihambat seperti beruk terlepas di jalan raya, rasakan bahawa nabi kita juga diperlakukan sedemikian juga. Seronoknya membayangkan kehebatan ini.

Anda sebenarnya, dengan turun ke jalan raya yang dikuasai ‘kerajaan polis’ itu sebenarnya telah mengubati penyakit yang membarah dijiwa anda iaitu sifat takut dan bimbang. Semalam anda telah mendengar suara keramat dari dalam lubuk jiwa anda yang dalam membisik – bisik dengan jelas, ” Jangan kamu takut dan jangan kamu ragu. Jangan kamu kecewa dan jangan kamu sedih. Sesungguhnya Allah bersama kamu.” Tidakkah kalian mendengarnya dari dalam lubuk jiwa kalian yang dalam semalam saat kalian berarak menuju puncak itu?

Semoga perjalanan menjadi semakin terang sekalipun masih jauh.

Saya tidak ingin menjemput anda untuk terus turun ke jalan raya lagi. Saya mengimpikan untuk semua impian yang lebih sempurna. Jadilah pejuang kebenaran dan kebebasan.

Jalan raya menjadi kecil dan terus mengecil di hadapan jalan yang lebih besar iaitu jalan jihad fi sabiliLlah. Cintailah Allah dan rasulNya.. Milikilah jalanNya yang satu itu.     

Salam Kamunting,

Bahagian ketiga

Setelah anda memahami bagaimana Pas berjaya meyakinkan ahli dan penyokongnya dengan dua hukum yang telah disebutkan di atas, iaitu kewajiban memilih Islam di dalam politik kenegaraan dan kewajiban menyertai pilihan raya untuk memilih kerajaan, maka Pas dengan penuh optimis menggerakkan segala kekuatannya untuk meledakkan satu hukum penyudah di dalam perjuangannya di arena politik Islam di dalam negara demokrasi sekular Malaysia ini iaitu kewajiban mengundi Pas di dalam pilihan raya demi memastikan kedaulatan dan ketuanan Islam sebagai  rujukan utama perundangan negara. Hanya parti Pas yang secara jelas tanpa selimut menuntut pembentukan sebuah Negara Islam.

Bagaimanakah Pas menampilkan hujahnya di dalam misi mengambil alih pemerintahan negara  bagi membenarkan keabsahan hukum dan fatwa tersebut seterusnya mengikat penyokongnya dengan kewajiban tersebut? Mari kita meneliti penghujahan berikut:

1 )  Pas satu – satunya gerakan Islam yang menyertai pilihan raya.  

Adalah jelas sepanjang sejarah pilihan raya di Malaysia, Pas kekal sebagai satu – satunya parti politik Islam yang berterusan menyertai pilihan raya untuk mendaulatkan Islam dalam negara. Walaupun tidak dinafikan kewujudan beberapa gerakan dan kumpulan Islam yang berjuang untuk menegakkan ketuanan Islam dalam negara, tetapi parti Paslah menjadi satu – satunya gerakan Islam yang menyertai pilihan raya secara langsung. 

Dengan medan yang kosong dan bebas daripada kekeliruan sesama sendiri, adalah jelas umat Islam yang diwajibkan menerima sistem dan perundangan  Islam dalam politik kenegaraan tiada lagi pilihan dan hak selain menyokong dan mengundi Pas dalam pilihan raya yang menjadi satu -satunya cara yang aman dan dibenarkan dalam sistem demokrasi hari ini.

2 )  Pas satu – satunya parti politik yang bercita – cita menegakkan negara Islam.

Selain bebasnya medan pilihan raya daripada kekalutan kekeliruan sesama gerakan Islam, ia juga menonjolkan Pas sebagai satu – satunya parti politik yang menjadikan pensyariatan Islam sebagai matlamat dan agenda utama politiknya. Apabila Pas bersendirian di medah siasah memperjuangkan Islam sebagai cara hidup, adalah jelas sokongan umat Islam mestilah diberikan kepada Pas demi memastikan kejayaannya di dalam pilihan raya, seterusnya menguasai tampuk pemerintahan dengan keadilan dan kesejagatan Islam.

Tidak mengundi bererti mengekalkan pemerintahan sekular sedia ada untuk terus mengekalkan penolakan terhadap Islam. Mengundi selain Pas yang sememangnya berjuang bukan untuk Islam pula juga memberi erti yang sama selain secara terbuka menolak sebuah gerakan yang tanpa syak berjuang untuk Islam.

Justeru mengundi Pas adalah menjadi kewajiban ugama yang tidak dapat ditolak lagi oleh isu – isu kecil seperti hak kebebasan memilih dalam pilihan raya, kecondongan kepada individu tertentu dan sebagainya.

3 )  Pas adalah sebuah parti dan gerakan Islam yang menyeru kepada kesyumulan Islam.

Syarat utama sebuah gerakan Islam ialah seruannya mestilah kepada Islam yang syumul dan menyeluruh. Memecahkan Islam kepada juzuk – juzuk kecil adalah satu jenayah agama. Memfokuskan amal Islami kepada aspek – aspek tertentu dengan mengabaikan hak dan tuntutan aspek – aspek baki adalah satu kepincangan dan kekurangan yang boleh mencetus fitnah dalam memahami Islam yang sebenar.

Pas melepasi garisan ini. Ia adalah sebuah gerakan yang menyeru kepada Islam yang sempurna dan menyeluruh. Apabila ia bergerak cergas di dalam politik negara, ia turut campur tangan  dan memiliki sentuhan Islami dalam segala aspek kehidupan. Apabila Pas, samada menyeru, menilai, mengukur atau memberi pandangan, maka ia mengambil kira semua aspek ugama tanpa mencacatkan wajah Islam dengan pandangan  yang tempang.

Pas memiliki individu yang pakar dan sepenuh masa di dalam dakwah ibadah dan masjid, ekonomi dan kewangan, sosial dan kebajikan marhaen, kehakiman dan perundangan, pendidikan dan motivasi, kesihatan dan kesejahteraan, budaya dan bahasa sebagaimana ia memiliki kepakaran sepenuhnya dalam gelanggang politik negara dan antarabangsa.

Justeru memilih Pas dalam pilihan raya adalah wajib kerana dakwahnya kepada Islam yang menyeluruh. Lawan Pas dalam pilihan raya, Umno pula bukan hanya sempit pandangannya terhadap Islam, malah telah bermain – main dan mempersendakan Islam dengan nama Islam Hadhari yang penuh fitnah dan kekeliruan kepada masyarakat.

4 )  Umno adalah parti kebangsaan sekular yang menolak Islam sebagai sumber hukum.

Lawan Pas dalam pilihan raya adalah Umno, sebuah parti yang ditubuhkan dengan bertunjang, bersandar dan berpayungkan dasar kebangsaan kemelayuan sekular yang menyimpang daripada tuntutan syara’. Sekularisme adalah musuh utama Islam selepas syaitan dan iblis. Sebagaimana dasar sekular yang memisahkan ugama daripada negara ditolak mentah oleh Islam, begitulah jua dasar nasionalisme yang menjadi kembarnya.

Adalah diketahui secara mudah dalam pengajaran ugama Islam bahawa berbangsa – bangsa adalah ciptaan Allah dengan tujuan saling mengenal dengan keistimewaan masing – masing dan saling menghormati demi kewajiban bersatu di bawah Islam sebagai wadah dan cara hidup. Berbangsa – bangsa adalah keindahan dan  keunikan yang membibit rasa hormat dan kasih sayang demi sebuah penyatuan padu umat manusia. 

Apabila Umno menjadikannya sebagai satu ideologi yang mengurung dan memisahkan antara bangsa – bangsa yang telah diikat teguh dengan kesatuan ugama dan kesemula jadian tadi, maka Umno dengan jelas bergerak menyimpang daripada tuntutan syara’. Tambahan pula, ideologi kebangsaan yang diagungkan itu adalah ciptaan barat yang dibawa ke dunia Islam demi memecahkan kesatuan yang telah lama dibina oleh kerajaan khilafah suatu masa dahulu. Kebangsaan adalah terlalu asing dan tertolak dalam sejarah Islam. Umno menerimanya daripada barat yang memusuhi Islam.

Inilah lawan Pas sepanjang pertembungan dalam pilihan raya. Ia adalah dua buah parti politik melayu Islam yang cukup berbeza dan bertentangan. Ia berlaku secara terpaksa atas sebab keingkaran satu kumpulan untuk menerima Islam, bahkan berkeras, malah berbangga dengan ideologi nasionalisme tersebut.

Justeru mengundi Pas adalah kewajiban ugama yang mesti ditunaikan. Mengundi Umno sebaliknya akan melangsungkan kesinambungan umat Islam hidup bernaung dalam dunia sekular terlarang.

Salam Kamunting,

Rasanya elok juga saya menyertai rakan – rakan daripada kalangan ustaz yang banyak menulis mengenai pendapat – pendapat ulama’ muktabar dalam hukum fiqh Islami bagi membantu dan mendekatkan khalayak pembaca mencapai jawaban dalam hukum agama mengenai sesuatu masalah.

Bezanya laman saya ini bukan laman fiqh Islami sebagai terasnya. Juga, saya sekadar menterjemahkan pendapat ulama’ sepenuhnya tanpa membuat perbandingan dan mengemukakan pendapat sendiri. Cuma, hukum itu adalah pilihan saya. Juga, saya pilih sesuatu isu berdasarkan apa yang saya fikir sesuai untuk umum mengetahuinya.

Maaflah ya, saya tidak bersedia untuk menjadikan laman ini sebagai ruang soal jawab fiqh hukum. Jadi, jangan tanya persoalan hukum jika anda merasa kecewa kalau saya tidak menjawabnya segera. Saya pilih apa yang sesuai untuk dijawab bergantung kesesuaian dan keluasan masa yang ada. Rujuklah ruangan soal jawab ugama yang lebih luas dan terkenal.  

Hukum fiqh penuh perbezaan pendapat. Jadi, pendapat pilihan saya ini janganlah menjadi medan pertikaian yang tak perlu. Nak bahas juga, bincang di tempat lain. Saya menghormati semua pendapat yang bertentangan.

Oleh kerana saya terlalu terkesan dengan ketokohan Asy Syaikh Al Qardhawi dan kekuatan ijtihadnya, saya mungkin banyak menterjemahkan pendapat beliau. Berbeza dengan cara saya dalam muzakarah buku ‘ugama dan politik’ karangan beliau yang lebih berbentuk intipati dan ringkasan, saya terjemahkan sepenuhnya tulisan beliau. Ini kerana hukum fiqh berbentuk istidlal dan pendalilan yang amat terperinci dan halus. Saya bimbang ringkasan saya menjauhkan, tidak mendekatkan.

Cuma, saya mungkin membuat ulasan sendiri sekadar perlu di akhirnya. Semoga ada manfaatnya di neraca amal di akhirat nanti. WaLlahu a’lam.

Saya mulakan dengan hukum bertepuk tangan, bersorak dan bersiul. 

Hukum bertepuk tangan, bersorak dan bersiul

Tepuk tangan:

Memukul dengan kedua – dua belah tangan yang menghasilkan bunyi yang didengari. Apabila diulang ia boleh menghasilkan bunyi yang tersusun. Dalam bidalan ada disebut, sebelah tangan tak menghasil tepukan ( Bertepuk sebelah tangan ).

Manusia bertepuk tangan dengan beberapa tujuan:

1) Memberi peringatan seperti apabila ingin memasuki rumah seseorang atau ingin mengingatkan tuan rumah atau ahlinya mengenai kehadirannya, lalu dia menepuk tangan.

Inilah yang warid dan datang dalam hadis yang membenarkan wanita yang menjadi makmum dalam solat jamaah ketika mahu mengingatkan imam yang tersalah untuk menepuk kedua tangannya dari belakang saf agar imam sedar dan kembali membetulkan.

Dalam Hadis sahih, ” Barang siapa yang ingin membaiki kesalahan dalam solat hendaklah dia bertasbih ( dengan berkata ‘subhanaLlah‘ ). Sesungguhnya apabila dia berkata demikian, imam akan berpaling kepadanya ( memberi perhatian ). Dan sesungguhnya bertepuk tangan itu adalah khusus untuk wanita.”- Hadis muttafaqun ‘alaihi ( Al Bukhari dan Muslim ) daripada Sahl Ibn Saad sebagaimana dalam Al Lu’lu’ Wal Marjan (243).

Dalam Hadis lain, ” Bertasbih adalah untuk lelaki, manakala bertepuk adalah untuk wanita.”. – Hadis muttafaqun ‘alaihi ( Al Bukhari dan Muslim ) daripada Abi Hurairah sebagaimana dalam Al Lu’lu’ Wal Marjan (1204). Maksudnya, ketika dalam solat.

2) Melahir kegembiraan seperti memukul dengan bantuan kompang atau alatan lain dengan alunan yang tersusun yang menghasilkan bunyi yang berimbang sebagaimana kita saksikan dalam lagu – lagu negara Teluk dan sebagainya.

3) Memuji dan memandang baik terhadap sesuatu perkara sebagaimana kita saksikan para penonton memberi tepukan tangan untuk penyair selepas mendeklamasikan sajak dan syairnya, atau  tepukan untuk pemidato yang berjaya menyentuh emosi khalayak pendengar sehingga sebaik saja mereka menyudahkan ucapan, dewan terus bergema dengan tepukan dan sorakan puji – pujian daripada para hadirin.   

4) Beribadah. Inilah yang telah dilakukan oleh golongan Arab Quraisy jahiliyyah dan seumpamanya dalam ibadah mereka di Masjidil Haram dengan bersorak dan bersiul. Dan Itulah perbuatan yang diingkari oleh Al Quran di dalam firman Allah yang bermaksud :   ” Tiadalah solat/ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ dan tashdiah. ”  Al Anfal: 35.

Al Qurtubi berkata:  Berkata Ibnu Abbas: Masyarakat Quraisy jahiliyyah melakukan tawaf di Masjidil Haram dengan bertelanjang, bertepukan dan bersiulan. Pada pandangan mereka ia merupakan satu ibadat. Muka’ bererti bersiul, manakala tashdiah bererti bertepuk tangan. Itulah pandangan Mujahid, As Suddi dan Ibnu Umar.

Daripada Qatadah: Muka’ bererti bertepuk dengan tangan, manakala tashdiah bererti bertempik dan bersorak ( ini berbeza dengan pandangan oleh Mujahid tadi ).

Untuk tujuan yang pertama tadi, ia jelas harusnya di sisi syar’. Tiada siapa pun yang membantah. Untuk tujuan yang keempat juga jelas sekali pengharaman dan tegahan ke atasnya kerana ia merupakan pensyariatan ibadah yang tidak pernah diizinkan oleh Allah.

Hukum ini juga diterima pakai ke atas sesetengah golongan ahli sufi yang melakukan perbuatan tadi dalam amalan mereka. Ini seperti kata Al Qurtubi: Ini adalah jawaban ke atas golongan yang jahil daripada golongan sufi yang menari dan bertepuk dalam ibadah mereka. Ia adalah perkara mungkar yang ditolak oleh mereka yang berakal yang bersih daripada kekarutan itu. Pelakunya telah menyerupai/ tasyabbuh dengan perbuatan ibadah kaum musyrikin di Masjidil Haram.

Kami telah sebut pendapat Al ‘Izz Ibnu Abdus Salam dalam bicara hukum menari sekejap tadi ( dalam bukunya – pent ).

Hukum bertepuk dengan tujuan melahir kegembiraan dan memuji.

Berbaki dua perkara iaitu tujuan kedua dan ketiga perbuatan bertepukan seperti yang kami huraikan tadi iaitu dengan tujuan melahirkan kegembiraan dan keseronokan, juga untuk  melahirkan rasa kagum dan memandang baik terhadap sesuatu perkara. Apakah hukum syar’ie dan apakah pendapat fiqh semasa mengenainya?

Hakikatnya, saya tidak menemui sebarang dalil yang muhkam dan kata putus daripada Al Quran dan As Sunnah mengenai pengharaman dan tegahan ke atas kedua – keduanya.

Mungkin sesetengah pendapat mengambil dalil daripada ayat  dari ayat 35 Surah Al Anfal tadi yang bermaksud: ” Tiadalah solat / ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ dan tashdiah.” 

Tetapi ini adalah pengambilan dalil yang bukan pada tempatnya. Ini kerana ayat tersebut adalah tertuju kepada mereka yang melakukan ibadat dengan cara bertepuk sedangkan di sini tujuannya lain yang tiada pengertian ibadah di dalamnya.

Mungkin juga sesetengahnya mengambil dalil daripada Hadis Nabi sallaLlahu alihi wasallam yang bermaksud: ” Sesungguhnya tepukan itu hanyalah untuk wanita.” Sudah nyata larangan lelaki menyerupai wanita. RasuluLlah sendiri telah melaknati lelaki yang menyerupai wanita.

Tetapi adalah jelas dan maklum bahawa hadis tadi warid dan datang khusus mengenai bertepuk di dalam solat. Maka ia tidak boleh menjadi dalil untuk menegah lelaki daripada bertepuk di luar solat. Inilah yang disebut oleh Al Imam Ibnu Hajar Al Haitami. Beliau juga menyebut bahawa larangan menyerupai wanita itu adalah pada perkara yang memang khusus untuk wanita   ( seperti jenis pakaian, perhiasan dan seumpamanya – pent ) . Adapun bertepuk, ia bukan perkara khusus wanita sahaja.

Kata beliau: “Dan saya  nyatakan di dalam Syarhul Irsyad bahawa ianya makruh… Yang paling sahih dalam perkara ini, ianya halal dan harus.”

Berbaki satu hujah iaitu  perbuatan bertepuk adalah amalan bukan islamik. Ia adalah amalan orang barat yang telah dibawa masuk ke dalam masyarakat Islam. Kita dilarang menyerupai orang – orang bukan Islam.

Jawabannya: Sesungguhnya kita dilarang menyerupai mereka di dalam perkara – perkara khusus ugama mereka dan cara ibadat mereka. Adapun perihal duniawi, maka tiada sebarang larangan untuk kita meniru mereka apabila ia bebas daripada larangan syara’ atau kerosakan yang ditegah syara’.

Asy Syaikh Dr Yusuf Al Qaradhawi.

Terjemahan petikan daripada kitab ‘ Fiqhul Lahwi Wat Tarwiih’.

………………………………

Komentar:  Saya lebih cenderung untuk menggalakkan hadirin menunjukkan kegembiraan dalam majlis – majlis tertentu dengan cara bertepuk tangan. Antaranya majlis anak – anak PASTI terutama hari penyampaian hadiah dan sukan PASTI. Tepukan memberi ransangan yang baik untuk membina jati diri anak – anak. Saya selalu menyaksikan kejayaan anak – anak tanpa diiringi suasana senyap tanpa tepukan. Sungguh memilukan! 

Antaranya, majlis tertentu yang dihadiri khalayak umum termasuk bukan Islam. Ini lebih mengisyaratkan kemudahan dan kemesraan. Jika kita hanya tersenyum ketika mereka bertepuk, ia memberi isyarat perbezaan pada ciri – ciri muslim yang tidak perlu.

Adapun majlis ugama dan politik Islam, laungan takbir tiada penggantinya. Pas melaksanakannya dengan penuh pujian. AlhamduliLlah.

Jadi, jangan segan bersorak, bertepuk dan bertakbir pada himpunan rakyat 100 ribu nanti!! WaLlahu a’lam.

Salam Kamunting,

Ingatkan Mawi yang mendahului, rupanya Amy Search dulu yang dapat saya kenali dan jumpa secara dekat. Ingatkan Mawi yang mendahului, rupanya Amy Search dulu yang lebih bersedia untuk mengubah cara hidup dunia seorang artis. Ingatkan Siti, isteri Amy Search dulu yang dah tetap kenakan tudung muslimat yang menambah kecantikan diri.

Haa, kira tersengih juga saya dapat beraya di rumah Amy Search di kediaman mewahnya di Damansara kali ini. Isk, glamour juga rasanya dapat bersalam dengan artis tersohor sampai nak juga bersohor dalam blog ni..  Sebab pun budak – budak remaja terlompat – lompat bila dapat jumpa dan bersalam dengan artis kesayangan mereka. Sesetengahnya terkinja – kinja macam beruk kena belacan. Seronok sangat rupa – rupanya..

Saya yang taklah minat Amy Search pun jadi seronok juga dapat bersalam dengan artis. Kalaulah aku ni artis, mesti melompat – lompat orang nak bersalam dengan aku.. he he

Selepas mesyuarat Dewan Pemuda Pas Pusat minggu lepas, kawan saya, Ustaz Norazli Musa Taliban mengajak saya untuk beraya di rumah Amy pada petang itu. Katanya, Amy dah dua kali sms supaya datang ke rumahnya. Bukan main eksen lagi beliau tunjukkan sms tu pada saya sambil mengusap – ngusap janggutnya yang panjang sampai ke bawah pusat itu. Hah, perasan lebih – lebih pula ustaz Taliban Qandahari Afghani ni.. Ingatkan saya, dia dulu yang perasan rupa – rupanya.

Kebetulan Ustaz Riduan Mohd Nor, AJK DPP Pusat juga buat rumah terbuka di rumahnya di Kampung Padang Balang, Gombak, kami dan sahabat yang lain ke rumah beliau dulu. Rupa – rupanya beliau pun berhajat untuk turut beraya di rumah Amy. Dia juga dapat sms selamat hari raya, siap dengan tazkirah versi sms pula daripada Amy. Tunjuk eksen, dia bacakan pula sms Amy pada murid – muridnya di St Victoria School. Terkejut beruklah mereka, ustaz kaki ceramah, kaki demontrasi dan kaki sup kaki ni pun boleh terima sms daripada artis pujaan mereka?!

Jadi, kami, juga saudara Khairul Faizi ( http://minda-kembara.blogspot.com – untuk gambar, sila ke laman beliau) dan saudara Suhaizan Kayat ( Ketua Penerangan DPPP )  pun bersama – sama ke rumah Amy. Jumpa Amy di rumahnya mengembirakan semua. Dia yang dah kenal awal Ustaz Norazli dan Ustaz Riduan yang pernah menziarahinya sebelum ini menyambut kami dengan ramah sekali. Kebetulan kumpulan Rabbani sedang menyempurnakan bacaan tahlil dan sekumpulan anak – anak dari asrama anak yatim juga turut hadir. Ramai juga rakan – rakan artisnya turut hadir walaupun dah lewat petang. Kami sempat berbual dan berkenalan walaupun tidak lama kerana kesibukannya melayan tetamu yang lain.Amy, seperti dilaporkan sebelum ini telah turut mengikut jejak sebahagian rakan artisnya yang telah kembali memilih jalan yang lurus. Jalan sebenar kembali kepada Allah, tuhan yang menganugerahkan segala bakat dan kebolehan kepada hambanya untuk memilih cara hidup masing – masing di muka bumi. Apabila hambanya tahu berterima kasih, sudah pasti dia akan memilih jalan yang lurus untuk bersyukur dan kembali kepada tuhannya. Jika tidak, digunakan bakat dan kebolehannya pada jalan kemurkaanNya.Kerana rahmatNya, peristiwa kembali dan taubat terus menyuburkan kehidupan manusia di bumi. Ada yang menemui setelah lama bergelap pekat dalam kehidupan tanpa syahadah. Ada yang kembali setelah lama hanyut terbuai mimpi. Ada yang kembali setelah lama bertangguh dan menanti – nanti. Semuanya kerana rahmat dan kasih sayangNya terhadap hamba – hambanNya.

Dulu tersohor kerana dijulang – julang iblis dan syaitan. Bila kembali, jadi tersohor juga dijulang para malaikat Allah.

Taubat artis cukup mengembirakan semua. Mereka adalah idola dalam masyarakat, terutama golongan remaja yang hidup alpa dan lalai. Artis, kebanyakannya memimpin mereka ke lembah yang lebih gelap. Apabila  mereka bertaubat, sudah pasti mereka akan bersungguh – sungguh menyempurnakan taubat mereka dengan kembali berdakwah di jalan Allah bersama para pendakwah yang lain.

Sudah pasti mereka lebih pakar untuk menguasai remaja yang begitu menggilai dan memuja mereka. Dunia dakwah menjadi semakin meriah.

Macamlah pemimpin Umno masuk Pas. Kebanyakannya kerana taubat yang benar. Macam Ustaz Hamid Derani di Kelantan yang telah masuk Pas beberapa bulan lepas. Hari ini beliau adalah penceramah top lepas Tok Guru. Katanya, beliau akan terus berceramah di tempat mana beliau berceramah masa dalam Umno dulu demi menyelamatkan orang yang disesatkannya dulu.

Kita doakan istiqamah untuk Amy Search dan kita jua. Menukar cara hidup memerlukan istiqamah dan keikhlasan yang tinggi. Ilmu adalah pemyelamat.

Saya sempat bersalam dengannya sebelum pulang. Beliau nampak seronok jumpa saya sebagaimana saya juga. Saya jemputnya ke rumah jika beliau ke Kelantan nanti. Beliau berbesar hati sangat untuk jumpa ayahanda Tuan Guru. Katanya, isterinya juga sering menyebut – nyebut untuk jumpa ayahanda.

Saya terserempak pula dengan Ustaz Badrul Amin, mentor taubatnya di Mekah yang kebetulan baru sampai. Ini pun ustaz reformasi yang hebat!

Jangan terkejut jumpa saya di Dataran Merdeka nanti dengan Amy di kanan saya dan Isabelllla di sebelah kiri!! Jom, reformasi bersama Amy Search!!

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

November 2007
I S R K J S A
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
2627282930  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa