You are currently browsing the category archive for the ‘syura’ category.

Salam Kamunting,

Dewan Pemuda PAS Malaysia akan bermuktamar tahunannya hari ini dengan upacara perasmian akan bermula awal malam nanti di Markaz PAS Taman Melewar, Gombak. Ia adalah muktamar tahunannya buat kali yang ke 50.

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat bermuktamar kepada seluruh perwakilan, juga pemerhati dari seluruh negara yang mewakili Dewan Pemuda PAS negeri – negeri.

Muktamar adalah aplikasi sistem syura yang dianjurkan agama. Syura memberkati perjuangan Islam. Justeru kehadiran anda ke muktamar kali ini, khususnya para perwakilan adalah diberkati Tuhan. Insya Allah, perjuangan Islam akan terus maju ke hadapan membawa sinar kepada kehidupan manusia di dunia ini.

Agama Islam, tenteranya adalah pemuda.

Nabi kita, pembantu kanannya adalah pemuda.

Ashabul Kahfi, contoh sepanjang zaman itu adalah pemuda.

Pemuda adalah kekuatan.

Pemuda adalah peluang.

Pemuda adalah harapan.

Ini adalah penggal terakhir saya dalam Dewan Pemuda PAS Malaysia, insya Allah. Jika diizinkan Tuhan, 2 tahun terakhir ini saya ingin menyumbang yang terbaik daripada saya. Saya gembira di Dewan ini. Sahabat – sahabat di sini hebat – hebat belaka. Bising pun hebat. Senyap pun hebat.

Dewan Ulama PAS Kelantan telah pun mempelawa saya untuk menumpang pada tuah mereka. Saya jadi teruja juga. Dua – dua sayap ini, saya tak tahu, mana satu sayap kanan dan mana satu sayap kiri.

Harapnya berkawan dengan ulama tua adalah sehebat berkawan dengan ulama, profesional dan aktivis muda.

Salahudin pergi, Nasrudin mari.  

Selamat bermuktamar!

Salam Kamunting,

Saya terjenguk beberapa blog yang memberitakan perihal saya dihadapkan ke tribunal Dewan Ulama PAS Kelantan oleh BPPNK berkaitan artikel saya ‘kerja bodoh’ di blog ini. Ia menyatakan saya telah diarah menarik balik tulisan saya tersebut.

Walau pun rasa malas sangat nak nafikan fitnah ‘belawak biawak’ ini, saya terpaksa juga demi mengelak para penjenguk blog saya ini termakan racun tersebut.

Ya, saya telah dipanggil dan saya berharap untuk terus dipanggil lagi dan lagi. Saya telah ditegur sebagaimana lebih kurang ayahanda menegur saya. Saya juga telah menyatakan pendirian saya lebih daripada apa yang telah saya sampaikan kepada ayahanda kerana ianya adalah pertemuan lebih satu jam.

Saya tidak pernah diarah untuk menarik balik tulisan saya.

Samada anda telah dimamah fitnah itu atau sebaliknya, eloklah saya lorongkan anda ke jalan yang lebih lurus.

Pertama, sila ke berita BERNAMA semalam. Apa al Fadhil Al Ustaz Dato Mohamad Daud Iraqi, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat kata pasal pemilihan Presiden dan Timbalan Presiden.Klik di sini.

Kedua, ada masa, baca artikel saya yang saya tulis 8 bulan yang lepas. Rasanya ini adalah artikel paling berkait untuk memahami sebahagian hasrat saya di sini. Klik di sini.

Mudah – mudahan kita dimudahkan Allah untuk menjadi insan yang cintakan ilmu dan ulama.

Salam Kamunting,

Saya malas diwawancara. Sejak lama, setiap kali orang press datang minta, saya buat alasan. Paling mudah saya jawab, tanya ayahlah. Jawaban dia kira jawaban saya juga. Saya banyak mengecewakan mereka walaupun saya kecewa mengecewakan mereka. Susah..

Tapi baru – baru ni, entah ayat apa dia baca, budak Wasilah tu berjaya merempuh dinding yang saya bina. Saya terima untuk diwawancara. Bila soalan datang, saya jawab dan susah nak tapis – tapis lagi. Apa yang saya tak nak tulis dalam blog ni, akhirnya tersembul keluar dalam perangkap soalan itu. Tapi, bukan ada bahaya apa pun. Cuma saya hanya mahu orang dengar daripada saya sahaja, buka baca.

Bila saya baca, saya senyum seorang diri. Huh, nak kena belajar diwawancara pula..

Saya rasa isi jawaban itu bagus untuk anda tahu isi hati saya. Jadi, seluk kocek, RM2.50 untuk beli akhbar Mingguan Wasilah terbaru ( 2-8 Nov 2008 ). Selamat membaca.

Salam Kamunting,

Sudah bertahun – tahun soalan ini ditanya, kemudian dibangkitkan dan diungkitkan kembali kepada saya, juga kepada sesiapa saja. Hari ini soalan ini masih laku, relevan dan dinanti – nanti jawaban penyudahnya, walaupun dah berlonggok – longgok jawaban diberikan oleh saya, juga oleh semua yang ditanya.

Manusia itu suka sangat mengetahui apa yang mereka tak tahu. Kekadang sampai memaksa – maksa pula untuk mengetahui perihal masa depan, sedangkan dalam akidah mereka sebagai seorang yang beriman, tiadalah yang mengetahui yang di depan selain Allah jua.  

Saya agak, kerana suasana memaksa – maksa dengan soalan ‘bila? bila?’ inilah Datuk Sri Anwar Ibrahim memacak tarikh 16 September sebagai hari pembukaan Kota ‘Makkah’ Putra Jaya dengan pasti. Mesti berlaku. On track!

Jadinya, ramai manusia bergembira dengan penuh girang kerana mereka telah mengetahui masa depan secara pasti. Bila saya tanya, “Pastikah atau DSAI hanya memacak strategi?”  Ahli parlimen itu dengan serius menjawab, “Dia kata pasti!”

Saya terlopong. Di mana ‘insya Allah’ ? Dulu saya tulis, demokrasi Malaysia adalah demokrasi Pak Nujum. Rakyat dipaksa berteka – teki tarikh pilihan raya. Hari ini apa harus saya kata. Pembukaan 16 September yang pasti. Dah tak perlu bernujum lagi. Bolehkah saya namakan ini sebagai ‘politik Ayah Pin’?

Ketahuilah olehmu wahai rakyat Malaysia, DSAI telah berkata dengan hatinya, ‘insya Allah’! Hanya kamu yang bodoh sangat sampai terlupa berkata, ‘insya Allah’. Baguslah hikmat Allah menidakkan tarikh itu. Bagus untuk kamu dalam menjaga agama kamu bahawa masa depan itu milik Allah dan bahawa kemenangan Islam itu pasti tiba dalam jadualNya yang terpacak semenjak azali.

Berjuanglah dalam iman yang teguh bahawa kegelojohan itu bukan daripada disiplin dan hati budi seorang pejuang Islam. Berpautlah pada janji Allah yang lebih dekat, tenang dan pasti, bukan pada janji manusia yang jauh dan pasti mengecewakan kamu. Tidakkah Allah berkata, ” Bukankah waktu subuh itu sudah dekat?”

Bukankah subuh itu tiap – tiap hari? 16 September itu setahun sekali. Mana lebih dekat? Maha suci Allah daripada sebarang kekurangan..

Ayuh, mari pula bersama saya berteka – teki pasal masa depan, tetapi dalam irama, rentak dan lagu yang meneguh akidah, menambah ilmu dan menagih harapan daripada kurniaNya. Saya pernah meminta izin ayahanda untuk menulis dan menjawab cara saya. Ayahanda jawab, tulislah! 

Ia bukan soalan, bila ayahanda akan berhenti? Tetapi siapakah penggantinya ‘nanti’?

Anda mahu tahu juga bila? Saya jawab, ayahanda pun belum pasti bila. Masakan pula saya tahu. Masakan pula orang lain lebih tahu. Tidakkah ayahanda telah menyebut berkali – kali untuk berhenti, tetapi hanya Allah yang tahu masanya. Allah tuhan pemilik segala hikmat di sebalik kejadian di bumi dan di langit. Sesungguhnya Dialah di langit adalah tuhan dan di bumi adalah tuhan.

Adapun siapa penggantinya, saya berkata:

Dalam struktur parti, penggantinya sebagai Pesuruh Jaya atau Menteri Besar adalah Presiden PAS dengan persetujuan Jawatan Kuasa PAS Pusat dan perkenan Majlis Syura. Begitulah ayahanda semasa dilantik sebagai MB 18 tahun dulu dan sebagai Pesuruh Jaya PAS Kelantan 10 tahun sebelum itu lagi.

Begitu ayahanda, begitulah MB Kedah dan MB Perak. Bukan PAS negeri masing – masing yang memuktamadkan. Hak mereka adalah mencadangkan.

Adapun pengganti ayahanda sebagai ulama besar, maka ia adalah ulama juga. Ulama adalah pewaris nabi. Apabila ulama pergi dan Allah menghendaki kebaikan untuk hambaNya di bumi, maka digantikannnya dengan ulama juga. Apabila Allah tidak menghendaki sedemikian, maka digantikannya dengan yang bukan jenis ulama yang tiada taqwa dan teladan untuk ummah. Maka kehidupan ummah menjadi bertambah parah dan menuju kemunduran di dalam iman dan kehidupan. Wal ‘iyazu BiLlah.

Semoga Allah membekali kita dengan ulama yang lebih baik dan lebih alim. Semoga Allah menyelubungi kita rakyat Malaysia dengan limpahan rahmat dan kasih sayangNya yang tak terperi agungnya. 

Adapun pengganti ayahanda sebagai MB, Pesuruh Jaya dan ulama dari kaca mata tuntutan politik semasa, atau siasah syar’iyyah, atau siasah harakiyyah, maka mari kita panjangkan perbincangannya. Ia kelihatan sukar. Allahlah memudahkan segala kesukaran buat hambaNya. Justeru bersegeralah kepada Allah demi memperolehi kemudahan.

Menjadi pemimpin dalam Islam adalah menjadi pemimpin manusia menuju akhirat. Sebaik – baik pemimpin adalah pemimpin yang menjadikan akhirat sebagai kecintaan rakyatnya. Tiadalah mampu berbuat demikian selain pemilik sifat taqwa yang mengepalai sifat – sifat mulia menuju akhirat.

Oleh kerana ayahanda diterima rakyat Malaysia amnya, dan rakyat Kelantan khususnya sebagai pemimpin akhirat mereka, maka sebaik – baik pengganti adalah orang yang paling bertaqwa di kalangan pimpinan PAS.

Siapa? Taqwa itu di dada. Allah pasti mengilhamkannya ke dalam hati – hati hambaNya yang beriman, khususnya para ulama syura yang akan merestukan. Adakah anda seorang yan ragu – ragu dengan syura?   

Kemudian, menjadi pemimpin di dalam Islam adalah menjadi pemimpin manusia untuk mencintai kebaikan dan kebaktian di dunia. Dunia adalah ladang akhirat. Sebaik – baik pemimpin adalah pemimpin yang menjadi pendorong dan contoh terbaik manusia untuk berlumba – lumba mengejar kebajikan dan kebaktian.

Tiadalah mampu berbuat demikian selain pemilik sifat amanah. Amanah adalah kemuncak sifat mulia manusia dalam mengharungi kehidupan di dunia yang penuh pancaroba dan tipu daya.

Oleh kerana ayahanda diterima seluruh rakyat sebagai lambang pemimpin beramanah, maka sebaik – baik pengganti adalah orang yang  paling amanah di kalangan pemimpin PAS selepas ayahanda.

Siapa? Amanah adalah terjelma di dalam kehidupan. Maka menjadi kewajiban ke atas setiap pencadang, terutama Majlis Syura yang akan merestukan, untuk menilai dan memperhalusi setiap pemimpin PAS yang sedang berkhidmat dan berjuang bersama ayahanda di medan. Adakah anda bermalasan dan bermudahan untuk memilih yang terbaik untuk dunia dan akhirat anda?

Kemudian, menjadi pemimpin di dalam Islam adalah menjadi pemimpin gerakan dakwah Islamiyyah. Islam adalah dakwah dan jihad. Tanpa keduanya leburlah kekuasaan Islam di dunia ini dan berkuburlah iman di dada manusia. Tiadalah mampu berbuat demikian selain pemilik sifat benar dan tabligh. Dia benar pada zahirnya sebagaimana dia benar pada batinnya. Zahirnya tidak membohongi batinnya. Dia berjiwa dakwah dan tabligh. Jaga dan tidurnya adalah dakwah dan menyampaikan seruan Islam.

Oleh kerana ayahanda diterima rakyat Malaysia sebagai bapa gerakan dakwah masa kini, maka sebaik – baik pengganti adalah orang yang paling konsisten dan istiqamah di jalan dakwah kepada Allah. Istiqamah adalah petanda sifat benar.

Siapa? Ini lebih mudah dikenal berbanding kriteria sebelumnya. Hiduplah dalam dunia dakwah dan berkenalanlah dengan para pendakwah, anda pasti lebih tepat pilihan anda. Yang pasti Majlis Syura akan lebih bersedia untuk mengenali kerana mereka sendiri adalah para pendakwah terpilih dalam parti, insya Allah. 

Kemudian, menjadi pemimpin di dalam Islam adalah menjadi pemimpin yang mampu mendepani dan mempertahankan rakyatnya daripada keburukan dan kerosakan yang dicanang musuh agama. Islam adalah agama yang pasti diperangi jentera kufur di dunia ini. Oleh kerana kekufuran adalah lebih melata di bumi ini, maka permusuhan dan perancangan jahat terhadap Islam adalah keras dan bertimpa – timpa.

Tiadalah mampu berbuat demikian selain pemilik sifat gagah berani dan bijaksana. Inilah sifat utama pemimpin di medan pertempuran fizikal dan pemikiran juga.  

Oleh kerana ayahanda dikenali rakyat Malaysia dengan kebijaksanaan selain keberaniannya, maka sebaik – baik pengganti adalah orang yang paling bijaksana dan paling berani di kalangan pemimpin PAS.

Siapa? Ini lagi mudah dikenal bukan? Samada anda penakut atau pemberani, orang bijak berani selalu dikenali dan di depan.

Adapun yang terakhir, maka ketahuilah olehmu wahai rakyat Malaysia bahawa seorang pemimpin Islam adalah seorang yang yang menyatukan di antara jiwa rakyatnya dengan tali Allah . Kesatuan adalah benteng dan kekuatan yang paling ampuh. Kesatuan di dalam saf perjuangan pasti menghancurkan kekuatan musuh agama.

Paling penting, pemimpin tersebut mestilah mampu menyatukan di antara saf kepimpinan bersamanya sebelum mampu menyatukan rakyat di bawah Islam.

Tiadalah mampu berbuat demikian selain pemilik sifat lembut, kasih mesra dan disenangi selain jauh daripada sifat keras dan sombong.  

Oleh kerana ayahanda disenangi rakyat Malaysia, maka sebaik – baik pengganti adalah yang paling disenangi rakyat. Dengan kasih dan mesra rakyat akan berkasih sayang sesama mereka dan begitulah kesatuan dibina. 

Saya telah menjelaskan 5 kriteria penting kepimpinan Islam tanpa mengemukakan nas dan hujah daripada rujukan demi meringkaskan persembahan ini. Ada pun yang memerhatikan dengan teliti, maka cukuplah ketelitian itu sebagai hujah yang membenarkan kelima – lima kriteria tesebut. Ia penuh hujah di dalam al Quran dan Hadis, juga sejarah kepimpinan Islam.

Apabila saya pula bertanya anda, adakah anda telah mampu memilih seseorang sebagai pengganti ayahanda, saya pasti kebanyakan anda akan menjawab, ” Oh, alangkah sukarnya.”

Jawaban anda adalah betul. Betapa sukarnya memilih pemimpin. Sesetengah pemimpin adalah anugerah. Ia datang dengan tersedia untuk dipilih. Tetapi sebahagian besar adalah pilihan yang mesti diputuskan dengan ketelitian yang cukup halus.

Allah memudahkan segala urusan hambaNya yang beriman. Beriman, bertawakkal dan mengharapkanNya adalah penenang dan jawaban segala kesukaran.

Kelima – lima kriteria di atas yang saya ringkaskan itu adalah sangat jarang berkumpul pada satu tubuh. Kita diminta meneliti siapakah yang paling banyak terhimpun padanya sifat – sifat itu, lalu kita memilihnya untuk memimpin kita menuju akhirat dan kebaktian. Ketua hanya seorang, tidak boleh dua. Tuhan hanya satu. Jika ada dua tuhan, hancur leburlah langit dan bumi.

Janganlah sekali – kali anda berkata bahawa ayahanda mendahului dalam semua kriteria tersebut. Jangan sama sekali kerana anda telah menghukum diri anda sendiri untuk menjadikan anda lemah dan sering berputus asa. Dalam lima pemimpin terbaik yang saya teliti di Kelantan khususnya, ada sesetengahnya memiliki satu atau lebih kriteria yang mendahului ayahanda. WaLlahu a’lam.

Itulah keyakinan yang memberi kekuatan dan masa depan yang cerah untuk Islam. Allah pasti merahmati hambaNya yang mengharap. 

Kemudian, pada pandangan saya, kriteria kelima adalah pilihan pertama dan mesti diutamakan.

Ummah hari ini terlalu rapuh kesatuannya. Kita lahir daripada dunia penjajahan ratusan tahun barat yang menjadikan dan memastikan perpecahan ummah sebagai senjata dan racun yang mematikan kekuatan dan kebangkitan kita. Kita lahir dalam dunia sendiri yang tidak lagi mengenali erti kesatuan dan peri pentingnya membangun dan maju dengan kesatuan. Malah, semua kita hidup dalam kekeliruan untuk mencari jawaban ampuh membina kesatuan sebenar umat Islam – kecuali hambaNya yang dikasihaniNya -.

Alangkah bagusnya kita memiliki pemimpin yang berjaya menyatukan saf di antara kita. Dia disenangi majoriti besar kalaulah tidak semuanya. Dengan ikatan kesatuan yang berjaya dibentuk, akan lahirlah satu kepimpinan bersama yang memacu ke arah kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat rakyat jelata.

Ingat, kepimpinan bersama adalah pengganti ayahanda Tuan Guru.

Berdoalah kepada Allah. Itulah yang terbaik berbanding memacak tarikh atau nama menujum masa depan. Itu dalam ilmu Allah yang tiada kepastian selain dalam ilmuNya jua.

Adakah anda masih mahu bertanya, siapa?  

Sah, anda betul – betul ahli Pakatan Rakyat yang tegar. Saya pun mahu bertanya anda, siapa ya?

Salam Ramadhan,

Semasa saya mengunjungi ayahanda di hospital untuk memberitakan pemergian saya ke Mesir sebelum bulan Ramadhan baru – baru ini, saya sempat juga menyertai perbualan ayahanda dengan beberapa orang pelawat yang lain. Sangat biasa saya hanya menjadi pendengar yang tekun sahaja dan jarang mencelah kecuali apabila perlu, saat ayahanda berpaling ke arah saya seperti meminta pandangan daripada saya.

Apabila saya memberi pandangan di hadapannya, saya agak terlalu merendahkan suara sehingga saya sendiri rasa terkilan, bimbang ayahanda gagal memahami maksud saya. Ia mungkin suatu yang negatif dan dilihat tidak memberi manfaat apa – apa. Tetapi, sepanjang dididik sedari kecil di bawah tarbiyah Islamiyah, samada di rumah atau di sekolah, saya mendapatinya sebagai suatu terjemahan kepada adab – adab Islamiyah yang tinggi.

Ia bagi saya adalah penghayatan kepada sebuah kehidupan yang penuh sopan dan teladan yang dianjurkan Islam. Adab dan akhlak mulia adalah isi penting pengajaran dan kehidupan Islamiyah.

Pertama, saya kena memuliakannya sebagai seorang bapa. Ibu dan bapa adalah syarat memasuki ridha dan syurga tuhan. Ia menyentap nikmat perjuangan dan kehidupan jika dialpakan dan dipinggiri kepentingannya. Ayah dan ibu bukan untuk dipohon ampun dan dipeluk cium hanya di pagi raya, bahkan setiap pagi adalah hari raya untuk mereka daripada kita anak – anak. Kita perlu membahagiakan mereka di hadapan dan di belakang mereka. Biar kita menjadi syurga mereka di dunia ini sebelum mereka menjadi syurga kita.

Ibu bapa mana tidak gembira melihat kita tergagap – gagap rentak kita di hadapannya semata – mata kerana ingin menghormati, beradab dan menjaga tata santun kita di depannya. Biar mereka menikmati kita hari ini sebagaimana mereka menikmati kita semasa mereka mendidik kita semasa kecil dahulu. Perhatilah, merekakan terhibur melihat gelagat dan ngomelan cucu – cucu mereka, anak – anak kita itu. Biar sifat keanakan itu masih menjadi pakaian rasmi kita di hadapan mereka, biar besar mana nama kita di sisi masyarakat di luar sana.

Kedua, saya kena memuliakannya sebagai seorang ulama. Ayahanda adalah tok guru di sisi masyarakat. Ia terus memuncak sehingga masyarakat menobatkannya sebagai seorang Menteri Besar sebuah kerajaan negeri Islam. Kesultanan pula memuliakan penghormatan rakyat ke atasnya dengan menganugerahkannya pula gelaran kebesaran istana. Panjangnya nama ayahanda, Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz bin ( Tuan Guru ) Haji Nik Mat ( Alim ). 

Jika semua masyarakat berebut – rebut untuk memuliakannya, maka mestilah saya kena merebutinya di tempat yang pertama. Dia ayah saya sebelum dia adalah tok guru saya dan semua. Saya mesti memenangi perlumbaan ini di tempat yang pertama.

Ulama besar sungguh di sisi Islam. Ia menjadi besar kerana tiada lagi nabi hari ini. Tiada lagi utusan langsung dari langit atas sebagaimana zaman dahulu kala sebelum kedatangan rasul akhir zaman sallaLlahu alaihi wasallam. Zaman mana ada nabi, tiadalah ulama menjadi besar sebagaimana hari ini yang tiada lagi nabi.

Ulama itu pewaris para nabi. Nabi mewarisi ilmu langit. Kadar mana ilmu itu diwarisi ulama, kadar itulah darjat ulama menjadi tinggi. Oleh kerana nabi kita begitu diangkat ketinggiannya, maka para ulama pewaris pun turut mewarisi dan menerima tempias ketinggian itu. Ulama dijulang kerana nabi dijulang. Ulama dipalang pun kerana nabi dipalang jua.

Ulama mewarisi ilmu dan perjuangan para nabi. Bebanan ulama tak sama dengan bebanan kita orang biasa. Mereka mesti menjaga ugama. Mereka mesti menjaga dakwah. Mereka kena menarik kemaslahatan kepada ummah dan menolak kemudharatan daripada mereka.

Begitu ugama ini dijaga daripada kebatilan dan kerosakan. Ia mesti kekal sebagai ugama suci untuk dianuti jiwa yang mahukan kesucian di dunia ini.

Allahlah yang menjaga ugama ini. Ia mengarahkan malaikat Jibril memeliharanya sehingga terus diwahyukan dan diperolehi al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. Kemudian baton penjagaan itu dipegang oleh Nabi Muhammad sehinggalah kewafatannya. Kemudian ia diserahkan kepada para sahabat sebagai ulama dan pewaris pertama ugama ini. Mereka adalah para tuan guru pertama umat Muhammad sebelum kita.

Di sini berlaku lompang yang memisahkan antara dua rasul tuhan ( Jibril dan Muhammad ) dengan para sahabat ( ulama pertama ). Yang pertama disucikan daripada dosa dan kesalahan, sedang yang kedua kekal berhadapan dosa dan kesalahan.

Bagaimana agama ini dijaga oleh para pewaris yang tidak mewarisi kesucian dan ismah ( maksum )? Tidakkah ini mengakibatkan ugama juga akan terdedah kepada pemalsuan dan pemunahan?

Ia adalah persoalan yang besar dan pasti mencetus fitnah. Tetapi Allah yang maha bijaksana lebih mendahului persoalan itu dengan jawaban yang telah pun siap siaga disediakan.

Nabi Muhammad diarah untuk meladeni para sahabat yang akan mewarisi ugama ini daripadanya dengan menjadikan mereka ahli mesyuaratnya. Siapalah para sahabat yang penuh kekurangan untuk diambil timbang pandangan mereka di hadapan ar Rasul yang penuh maksum? Tidakkah cukup sudah segala jawaban jika ianya datang walaupun hanya dari seorang seperti ar Rasul? Apalah gunanya lagi pandangan para sahabat?

Namun begitulah Allah mempersiapkan jawaban buat mengisi kelompangan besar antara kedua – duanya. Betul, al Rasul cukup dengan wahyu dan Allah di sisinya untuk menjaga ugama tanpa pandangan dan jawaban para sahabat, tetapi begitulah amalan syura dihidupkan seawal zaman nabi masih di persada kehidupan buat memahamkan kita bahawa syura ulama adalah pewaris ugama ini.

Seorang nabi tidak diwarisi oleh seorang ulama. Seorang Muhammad yang menjaga ugama itu diwarisi ilmu ugama dan perjuangannya oleh sejumlah ulama yang membentuk syura yang muktabar.

Jumlah yang ramai itulah yang menjadi penyelamat sepanjang zaman kepada perjalananan ugama suci ini untuk terus kekal suci sampai kiamat.

Syura mesti daripada ulama yang mewarisi ilmu al Quran. Ia mesti dipilih oleh para ulama daripada kalangan mereka atau dengan keputusan mereka. Demikian ugama ini menjadi kebal untuk dibolosi anasir – anasir yang akan mencacatkan dan mengotorkan agama suci ini.

Agama bukan milik Ibnu Taimiyah atau Hasan al Banna atau Yusuf al Qaradhawi atau individu mana pun. Juga, ia bukan milik Abdul Aziz, atau Abdul Hadi atau Harun Din atau individu mana pun. Ia milik syura yang dikebalkan Allah dengan kekebalanNya. Himpunan ulama mencipta Ijma’ ulama. Ijma’ ulama adalah sumber ugama selepas Al Quran dan al Hadis. Begitu kita mesti memahamkan diri.

Betul, setiap ulama adalah bintang yang bercahaya. Anda menikmatinya saat langit malam itu cerah, aman dan sejahtera. Namun, apabila awan mula menggulung – gulung dan petir memanah – manah, anda kehilangan petunjuk bintang itu.

Begitulah, anda kehilangan individu ulama itu saat fitnah menyerang umat. Anda memerlukan petunjuk yang lebih jelas dan tepat. Itulah syura ulama yang pasti menunjuki.

Semasa saya menyertai perbualan ayahanda dengan beberapa pelawat lain di wad Hospital Pakar Perdana itu, seorang exco negeri memberitahu ayahanda bahawa semacam ada usaha untuk menukarkan kepimpinan ulama di dalam PAS dengan kepimpinan Islam. Ia merujuk kepada beberapa isu dalaman yang melanda PAS saat itu. Juga hari ini?

Ayahanda dengan wajah cerianya mencelah, ” Bagaimana mereka boleh memisahkan antara kepimpinan Islam dengan kepimpinan ulama?”

Anda tak rasa hebatkah dengan jawaban ayahanda ini? Jika begitu, anda betul – betul anak murid yang nakal! Atau beballah..

Saya terbawa – bawa hikmah ini sehingga mensyarahkannya kepada adik – adik seperjuangan di bumi Mesir. Dan sehingga sekarang saya akan menghidupkan hikmah ini.

Jika anda seorang doktor, anda diamanahkan menjaga kesihatan tubuh. Jika anda seorang arkitek dan engineer, anda diamanahkan menjaga kesihatan bangunan. Jika anda seorang ekonomis, jagalah kesihatan kocek.

Jika anda bukan seorang ulama, janganlah anda melangkah ulama untuk menjaga ugama dan dakwah ini. Kelak anda marah jika anda digelar anak tak beradab atau murid yang nakal.

Kita dalam PAS jangan jadi budak – budak nakal. Malu kita..

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Mei 2024
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa