You are currently browsing the monthly archive for November 2011.
Salam Palestin,
Kerajaan BN yang hari ini boleh dikira sebagai kerajaan UMNO sahaja, sedang berusaha meluluskan rang undang-undang Perhimpunan Aman yang dianggap oleh pihak pemerintah sebagai satu perubahan dan pembaikan dalam sistem demokrasi negara sebagaimana yang dijanjikan oleh mereka sebelum ini menjelang pilihan raya umum akan datang.
Ia bertujuan membenarkan komitmen kerajaan UMNO yang semakin lemah di hadapan kemaraan rakyat yang semakin menghayati hak mereka untuk lebih bebas sebelum ini, untuk melakukan pemulihan terhadap sistem demokrasi negara yang dianggap paling lemah di rantau ini. Ia juga tanpa sembunyi lagi diharap menjadi umpan yang lumayan untuk memperolehi semula sokongan rakyat terhadap mereka dalam pilihan raya umum akan datang yang tarikhnya masih kekal terkurung dalam jeriji demokrasi purba ala UMNO itu.
Malangnya, sebaik dibacakan di parlimen dan dibentangkan, rang undang-undang tersebut terus dikecam hebat oleh pihak pembangkang yang menjadi penuntut utama demokrasi negara yang lebih bebas dan telus. Malah, lebih menarik untuk diperhatikan, terbaru pihak pembangkang telah menempelak pihak kerajaan memerintah dengan menganggap RUU Perhimpunan Aman itu jauh di belakang undang-undang yang sama yang diluluskan oleh kerajaan tentera Myanmar yang masih mencari-cari rentak baru memulihkan demokrasi negara mereka yang telah lama hilang.
Walaupun Perdana Menteri cuba menafikan kecaman pembangkang dan bertegas bahawa ia adalah satu penambahbaikan dengan mempromosikan hak berhimpun secara aman tanpa permit polis dan hanya mengenakan hukuman denda tanpa penjara jika disabit kesalahan, ia tetap ditolak kerana syarat-syarat lain yang ketat dan sememangnya bermaksud menghalang perhimpunan rakyat daripada menjadi satu kebebasan yang diimpikan.
Antara yang jelas ialah keperluan notis 30 hari yang langsung dilihat tidak perlu selain cuba memayahkan dan seperti memberi masa kepada pemerintah untuk bertindak mengurangkan impak dan tekanan perhimpunan tersebut ke atas mereka. Dalam dunia moden yang begitu cepat dan sempurna maklumatnya, tempoh 3 hari sebenarnya sudah cukup kerana kedua-dua pihak -pemprotes dan pihak yang diprotes- boleh melakukan persiapan sewajarnya menghadapi perhimpunan tersebut. Ia hanyalah perhimpunan aman, bukan cerita rusuhan dan revolusi rakyat.
Antaranya juga adalah denda yang mencecah puluhan ribu ringgit dan larangan untuk penyertaan kanak-kanak dalam perhimpunan. Ia seperti mencabut hak mereka sebagai rakyat yang berhak untuk turut bersuara jika hak mereka dicabuli. Adakah hak manusia bermula daripada usia dewasa dan akil baligh? Dengan erti, jika sekolah mereka diroboh tanpa alasan yang benar, mereka tiada hak membantah dan mesti menerima hakikat bahawa mereka hanyalah hamba yang belum diberi kunci kebebasan?
Paling menarik untuk diketengahkan, RUU Perhimpunan Aman tersebut menutup terus pintu untuk perarakan aman di jalan-jalan raya. Ertinya dalam konteks semasa, tiada lagi perhimpunan BERSIH 3 dan seterusnya. Pihak pembangkang selepas ini jika mahu berhimpun secara besar-besaran, tiada lagi peluang untuk memasuki Kuala Lumpur kerana ia dipenuhi ‘buffer zone’ 50 meter di serata tempat. Dua perhimpunan BERSIH sebelum ini, telah dianggap begitu bersejarah di dalam mempromosikan hak rakyat untuk bebas, hak parti pembangkang untuk melalui pilihanraya yang adil dan telus, selain mendedahkan kerajaan BN sebagai kerajaan yang pincang, bebal, lemah dan ketinggalan di dalam menghidupkan demokrasi dan kebebasan untuk rakyat.
PAS sebagai sebuah parti Islam dan komponen penting di dalam Pakatan Rakyat seawalnya membantah RUU baru ini yang dilihat tidak lebih sekadar menukar pakaian lama yang buruk dengan pakaian baru yang lebih cantik dan mampu menutup kerosakan sebenar yang menimpakan sistem demokrasi purba negara yang cuba dipertahankan oleh kerajaan BN demi menyelamatkan mereka daripada kalah dan dijatuhkan oleh rakyat yang mara dengan impian baru bagi mewujudkan kerajaan baru yang lebih adil dan saksama.
PAS mempertegaskan hak rakyat untuk bebas menentukan masa depan mereka tanpa dipaksa oleh pemerintah dengan ugutan dan ketakutan. Islam dan negara Islam mempertegaskan bahawa kekuasaan adalah milik rakyat dan mereka mesti diberi segala hak dan kebebasan untuk menentukan hala tuju negara. Tanpa kebebasan, segala hak kemanusian anugerah Allah yang mencipta manusia akan terbantut dan hilang. Justeru seruan kepada kebebasan hakikatnya adalah seruan kepada keadilan Islam dan inti penting sebuah negara Islam.
Penentangan PAS terhadap RUU baru ini dan segala undang-undang yang tidak adil dan mengongkong rakyat adalah satu komitmen yang jelas untuk membawa negara kepada cara hidup baru yang lebih adil dan terbuka untuk seluruh rakyat. Ia juga menolak dakwaan PAS sebagai parti yang bersifat asabiah dan perkauman Melayu yang sempit, bahkan PAS semakin berjaya menghapuskan mitos kelayakan UMNO untuk terus memimpin bangsa Melayu.
Hari ini dan akan datang sedang menyaksikan orang-orang Melayu semakin bersatu untuk menolak UMNO ke tepi. Kerajaan UMNO hari ini hakikatnya adalah sebuah kerajaan Melayu terpinggir dan keseorangan. UMNO telah tua dan ajalnya tidak perlu dihitung lagi. Jika anda masih ada rasa belas, bercakaplah dengan mereka pasal taubat dan kubur. Untuk urusan dunia yang lebih gemilang, mari bersama rakyat yang berjiwa merdeka, muslim dan bukan muslim.
Salam Palestin,
Seorang muslim adalah pemilik sebuah taman yang indah. Dia menikmati kehidupan di dunia ini walaupun di hadapannya adalah cubaan dan ujian hidup yang penuh rencam dan ragam. Dia menikmati kehidupan kerana dia sedang berada di sebuah taman indah yang penuh tenang dan harmoni.
Taman itu adalah taman iman. Ia terbina tanpa sedar di dalam diri orang yang beriman. Ia pastinya tidak boleh dilihat dengan mata kasar atau dipegang dengan tangan. Tetapi ia tetap menjadi sebuah taman yang memenuhi maksud pembinaan sebuah taman ia mencetuskan kesegaran dan menikmati keindahan dalam kehidupaan dan saat ketikanya menjadi tempat berlindung daripada hiruk pikuk kekacauan dan kebengitan hidup. Tidakkah sebuah taman yang dibina secantiknya di dunia ini kadang-kadang tidak pun membahagiakan pemiliknya? Dia memilikinya tetapi hidupnya sendiri penuh kesedihan dan kesengsaraan. Dia berjalan-jalan di tamannya itu, tetapi dia tidak pernah gembira dan menikmati segala isi taman yang dibina secantiknya itu.
Ertinya sebuah taman yang indah hanyalah berfungsi apabila ia mampu membuang kesengsaraan di dalam hati, bukan sekadar membeliakkan mata dengan keindahan dan kesegarannya itu. Jika tidak, semua taman itu tidak ubah seperti sebuah hospital yang gagal membuang sebarang penyakit walaupun
diisi peralatan perubatan yang canggih dan hebat.
Semuanya kerana kehidupan ini bermula dari hati yang berada di dalam jantung yang dipagari jasad diri seorang manusia.
Hati itulah enjin yang menggerak dan menjana kehidupan
lahiriyah manusia. Di dalamnya manusia mengisi maklumat dan
pegangan kehidupan lalu terciptalah sebuah pandangan hidup
yang akhirnya membina sebuah laluan hidup yang akan
dilaluinya sepanjang masa.
Laluan itulah yang membina taman buat orang yang beriman. Dia berjalan di dunia zahir ini, tetapi hakikatnya dia
berjalan di dalam taman miliknya sendiri di dalam dirinya.
Walau susah dan walau sukarnya kehidupan zahirnya, dia tidak pun kecewa dan berputus asa kerana tamannya tak pernah
terjejas dan rosak oleh ancaman dan ujian lahiriah yang
ditempuhinya. Tiada siapa pun akan mengganggu dan merosakkan tamannya itu.
Kita mungkin sukar menggambarkannya atau memahami hakikat wujudnya taman dalam diri sendiri. Kita biasa berbicara
mengenai iman di dalam dada, tetapi kita jarang memahami
atau melihat hakikat bahawa iman itu sebenarnya juga adalah
sebuah taman. Sebabnya mungkin kita jarang berusaha
mentamsilkan atau menjasadkan sesuatu yang batiniyah dan
metafizikal sifatnya. Sesuatu yang tidak nampak akan lebih
difahami jika kita mampu membina sebuah perummaan dengan
sesuatu yang lahir dan boleh dilihat. Pernahkah anda
mendengar Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam telah
mengumpamakan agama Islam adalah ibarat sepohon tamar?
Lihat, dengan mencongak kelebihan dan sifat pohon tamar,
kita akan melihat bagaimana agama Islam itu terbina dan
memberi kemanfaatan kepada manusia.
Begini, agar kita lebih memahami, di akhirat nanti orang-orang yang beriman dijanjikan Allah dengan sebuah taman yang luas dan serba indah. Namanya syurga. Mengapa janji syurga? Mengapa persembahan iman yang luhur daripada kita di dunia
ini tidak diganti dan diganjari dengan iman yang lebih luhur
dan lebih agung? Tidakkah iman itulah yang paling mulia dan
berguna? Atau iman di dunia diganjari dengan hidup semula di
dunia ini yang lebih baik sebagaimana kepercayaan beberapa
ugama lain di dunia ini? Mengapa kita diganjari dengan
sebuah taman yang indah jika baik amalan kita dan jika buruk
amalan di dunia, kita ditakutkan dengan pembalasan sebuah
kawah api yang besar iaitu neraka?
Jawabannya adalah kerana iman itu sebenarnya adalah taman yang kita bina di dunia. Taman dibalas taman kerana ia adalah iman yang dibalas iman. Justeru di akhirat nanti tiada ganjaran paling tepat yang layak diterima oleh manusia beriman selain sebuah taman yang dibina Allah untuk mereka. Kita hanya perlu masuk dan menikmatinya sepuas-puasnya sebagai sebuah pembalasan yang hebat dan sempurna.
Begitulah balasan. Kita bina di dunia, lalu Allah membina untuk kita di akhirat nanti. Kita membina iman di dunia yang kewujudannya tidak dilihat, lalu balasannya di akhirat nanti adalah iman yang boleh dilihat dan dinikmati secara zahir.
Pahala dan dosa tidak boleh dilihat di dunia, tetapi di akhirat nanti pahala dan dosa boleh dilihat, diukur dan ditimbang. Malaikat dan iblis tidak boleh dilihat di dunia, tetapi di akhirat nanti mereka boleh dilihat semudah dan seterang-terangnya. Yang ghaibiyat di dunia hari ini adalah yang nyata, masyhudah dan tersaksi di akhirat nanti.
Begitulah juga rupanya kufur dan syirik. Ia tidak dilihat
fizikalnya di dunia sedangkan hakikatnya dizahirkan di
akhirat nanti sebagai sebuah kawah api yang membakar yang
penuh sengsara.
Apabila kita memahami ini, maka tiba masanya kita melihat dan memasuki taman iman yang kita sebagai seorang yang beriman telah binanya di dalam diri kita. Dan hakikatnya, kita sedang berlari-lari di sekelilingnya menikmati apa yang telah kita bina itu. Apakah isi-isi atau tanam-tanaman yang telah kita sirami dan hiasi taman kita itu semoga kita mampu terus menjaganya, memugarinya dan menyuburkannya sentiasa untuk dinikmati kesegaran dan ketenangannya sepanjang hayat. Saya akan melorongkan anda untuk melihat beberapa sudut taman yang begitu menonjol.
Pertama, ilmu pengetahuan. Islam mengagungkan ilmu dan memuliakan orang yang berilmu. Kemudian, Islam menyuruh umatnya meneroka sehingga mencapai ilmu hakikat sesuatu. Ini kerana ketenangan jiwa hakikatnya bermula daripada ilmu dan maklumat yang hakiki dan benar yang diperolehi oleh manusia.
Ilmu itu makanan untuk diri manusia dan kewujudannya. Tanpa ilmu manusia bertukar menjadi haiwan yang akan merosakkan kehidupan sendiri dan muka bumi. Islam datang dengan dua pakej di atas iaitu mengagungkan ilmu dan menyeru kepada ilmu yang hakiki, benar dan bermanfaat. Ia keistimewaan yang tiada dimiliki oleh seluruh ajaran dan ugama manusia di dunia ini.
Bangsa Eropah walaupun kaya dengan ilmu, tetapi mereka gagal membina satu disiplin yang tinggi untuk memisahkan ilmu yang salah daripada yang benar. Akhirnya, dengan berpegang dan membina pandangan berdasarkan ilmu yang salah, mereka akan dilanda pelbagai persoalan yang tak terjawab di samping kekeliruan yang memeningkan. Sebagai contoh, walaupun mereka percaya kepada ketuhanan ‘trinity’, tetapi ilmu, kajian dan logika yang mendalam semakin mengelirukan mereka sendiri di dalam meyakini kebenaran pegangan mereka sendiri. Kesannya, mereka berpegang pada kepercayaan yang gagal dinikmati keseronokannya dan dirasai ketenangannya.
Islam dan iman yang dibina di atas ilmu yang benar adalah sebaliknya. Semakin didasari lautan ilmunya, semakin digali kedalamannya, semakin bersinar-sinarlah mutiara kebenaran dan semakin teguhlah kepercayaan yang dibina itu. Akhirnya orang-orang yang beriman seolah-olah sedang menari-nari di taman diri yang begitu indah dan mengasyikkan.
Kedua, mengenali Allah. Ini adalah kemuncak pembudayaan menuntut ilmu dan mengagungkannya yang disarankan oleh agama Islam. Manusia akan mencapai kemanisan hidup apabila dia, melalui pencarian ilmu dan penerokaan terhadap alam dan kewujudan, akhirnya menemui permulaan segala sesuatu yang tiada apa lagi sebelumnya dan pengakhiran segala sesuatu yang tiada apa lagi selepasnya. Dia menemui Allah sebagai
pencetus kewujudan dan penciptanya. Sudah pasti ia adalah
penemuan dan pengenalan terhadap ghaibiyyat yang nyata dan
hebat yang tidak mungkin ditemui kecuali dengan petunjuk dan
suluhan hidayat tuhan yang maha berkuasa itu.
Allah adalah hakikat kewujudan. Mengenali dan mengingatiNya adalah sumber ketenangan dan kebahagiaan. Memiliki ilmu mengenali Allah adalah bagai permata kehidupan tiada nilai taranya. Apatah, semakin diburu ilmu, semakin pula dilihat dan dikenali Allah yang maha penuh dengan rahsia kebesaran, keagungan dan kekuasaan. Apabila seorang muslim menggerakkan otaknya untuk bekerja dan berfikir, dia akan menikmati saat-saat itu kerana dia seolah-olah semakin menghampirkan dirinya kepada Allah yang menciptakannya.
Begitulah orang-orang yang beriman. Mengenali Allah ibarat suasana segar yang menyelubungi taman hatinya sehingga dia sentiasa menikmati kehidupan di luar tanpa menghiraukan hiruk pikuk kehidupan lahiriyah yang memenatkan.
Ketiga, al Quran. Inilah taman yang indah. Inilah sumur yang jernih dan inilah sumber ilmu dan ilham kehidupan yang menghiburkan. Al Quran adalah perkhabaran langit ibarat hujan yang turun lalu menghijaukan muka bumi dengan kesegaran dan kesuburan. Orang-orang yang beriman akan berebutan datang kepadanya untuk mengambil segala isi dan panduan buat memenuhkan kehidupan mereka dengan dendangan ilmu hakiki dan bermanfaat.
Carilah di dunia ini yang seumpama al Quran atau sebahagian daripadanya atau walaupun sekadar satu ayat daripadanya untuk ditandingi kehebatan, kebenaran, keindahan dan kesesuaiannya untuk mengangkat kehidupan manusia. Jawabannya adalah mustahil walaupun ia terus dicabar, ditohmah dan diserang dari pelbagai sudut oleh musuh yang memusuhinya. Mengapa? Ya, kerana al Quranlah sebuah kitab langit yang tiada syak lagi pada ketulenannya daripada Allah. Ia dibuktikan secara ilmiah sebagai kitab yang kekal asli dan disaksikan penjagaan langsung oleh Allah ke atasnya lalu meninggalkan kitab-kitab langit lain yang sudah pun diterima hakikat penyelewengan dan pemalsuan ke atasnya oleh tangan-tangan manusia oleh dunia ilmiah dan para akademia.
Keempat, al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. Baginda adalah nabi dan qudwah kehidupan. Baginda adalah tafsiran al Quran yang hidup berjalan di muka bumi mengajar dan memandu manusia membina, menikmati dan mensyukuri kehidupan anugerah Ilahi. Baginda adalah bagai gedung akhlak dan budi pekerti mulia yang membekalkan pakaian indah buat membaluti tubuh manusia dengan nilai-nilai kemanusiaan yang menakjubkan yang mengangkat martabat kemanusia di alam malaikat dan samawi.
Rasulullah adalah idola kehidupan orang-orang beriman. Mereka tidak pernah buntu dan kandas menaiki tangga kemulian dek baginda yang sentiasa memberi dorongan dan galakan sepanjang masa, di saat senang dan susah, luas dan sempit, juga saat mudah dan sukar. Carilah seorang insan yang seumpama baginda dan sesempurnanya yang diikuti segenap gerak dan langkahnya menuju kesempurnaan diri. Sudah pasti kita tidak akan menemuinya.
Kelima, amal yang soleh. Seorang muslim sentiasa subur dan lebat dengan daunan, bungaan dan buah-buahan yang sentiasa menggamit kecintaan dan hiburan. Dia akan sentiasa bersemangat untuk beribadah dan berkhidmat melakukan
kebajikan dan kesenangan kepada manusia. Dia memahami diri sebagai seorang khalifah Allah yang mesti berbakti kepada Allah dan makhlukNya. Justeru dia menikmati kehidupan berbakti dan beramal soleh.
Allah memperkenalkan dan menunjuki orang-orang beriman dengan amal dan ketaatan. Solatnya tersemat kekhusyukan, zakatnya menebar kasih sayang, pergerakan dan langkahnya dinanti-nantikan kebaikannya dan jihadnya menghunus keberanian dan keyakinan sejati.
Demikianlah sebuah jaulah dan santai di taman hati seorang muslim yang beriman kepada Allah. Ia sebuah taman rahsia yang gagal ditembusi unsur yang jahat dan kotor. Sebuah taman larangan yang dikhususkan buat pemiliknya yang inginkan sebuah kehidupan bahagia dan membahagiakan
kehidupan itu sendiri. Taman-taman milik para mukminin ini
akhirnya akan diterjemahkan dengan pembalasan yang sempurna
di akhirat nanti oleh Allah dengan sebuah syurga yang indah
seluas langit dan bumi.
Justeru bersegeralah kita menuju keampunan Allah dan syurganya itu yang disiapkan untuk orang-orang yang bertaqwa kepadaNya. Semoga Allah menunjuki kita di liku-liku kehidupan yang sukar ini. Amin.
(Artikel ini adalah untuk kolum ‘Menuju Akhirat’, majalah Fardu Ain.)
Salam Palestin,
Apabila salah seorang daripada kami, rakan-rakan di dalam Dewan Pemuda PAS Malaysia, menyentuh mengenai teguran Dr Mohd Asri Zainul Abidin agar kami jangan tiru Taliban ketika merujuk kepada desakan Dewan Pemuda PAS agar kerajaan menghalang konsert seorang ikon gay dunia yang akan berlangsung di negara kita tidak lama lagi, salah seorang daripada kami menjawab secara berseloroh, tapi penuh makna bagi saya.
“Asri sedang berusaha gigih mengikis gelaran ‘Wahabiyah’ yang banyak membantutkan pengaruhnya daripada melebar di dalam masyarakat. Beliau tidak mahu gelaran yang menjadi bebanan itu terus menghantui usaha pemasakan pemikiran tajdidnya yang dikira terbaik untuk mengubah bangsa Melayu ke tahap memahami Islam yang lebih komprehensif dan progresif.”
“Aku fikir dengan melabel pemuda PAS yang kebanyakan mereka adalah seusia dan seangkatan dengannya dalam pengajian dulu – termasuk ketua pemuda PAS – sebagai Taliban, maka masyarakat yang sering melihatnya sebagai ‘keras’ akan terpesona dan melihat betapa Asri telah banyak berubah dan kendur.” Begitu sahabat saya itu berkonklusi.
Taliban dan Wahabi dalam masyarakat kita sering digambarkan sebagai watak-watak keras yang sukar diterima dalam masyarakat kita. Taliban dengan watak janggut panjang dan serban besarnya dan wahabi dengan watak jubah Saudianya. Kebetulan pula, ketua pemuda PAS suka berserban dan serbannya pula lebih besar daripada serban Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Tok Guru Haji Abdul Hadi. Ketalibanannya sedikit di belakang rakannya, ustaz Norazli Taliban.
Saya terkekeh-kekeh mendengar seloroh sahabat saya. “Gua tak ikut enta la,” jawab saya, enggan terheret jauh kepada perkara yang saya tak fikir Dr Asri akan ke situ pula semasa memberi komen terhadap pemuda PAS.
Tetapi, ia adalah satu isu yang melanda gerakan dakwah di dalam negara kita. Satu anjakan yang menarik apabila pemikiran wasathiyah atau sederhana mula menyerap masuk ke dalam gerakan dakwah atas usaha pelbagai pihak di medan dakwah. Ia seperti menjadi perlumbaan sesama sendiri untuk menjadi juara wasathiyah, seperti telah terbina satu keyakinan bahawa wasathiyah adalah ‘mazhab’ Islam terbaik untuk zaman kebangkitan Islam ini. Mana-mana yang ketinggalan dan terpencil daripada perlumbaan ini, maka ia bukan pejuang Islam. Begitu dahsyatnya ‘kegilaan’ kepada dakwah wasathiyah yang semakin bertapak dan berjaya di timur tengah hari ini, termasuk di dalam dunia politik baru di sana.
Saya mungkin salah seorang yang dihinggapi pemikiran ini. Saya, sepertilah orang lain, peminat tegar Dr Yusuf Qaradhawi dan pemikiran wasathiyahnya. Setahun dua ini, saya tergilakan pula buku-buku Dr Muhammad ‘Imarah dari Mesir. Tiga hari lepas, semasa makan tengahari bersama mantan mursyid am Ikhwan Muslimin Mesir, Syeikh Muhammad Mahdi ‘Akif, saya sempat memohon pandangannya mengenai Dr Muhammad ‘Imarah. Syeikh memuji melangit beliau dan menganggapnya sebagai seorang penulis Islam yang agung di negara Mesir. Saya begitu gembira kerana dengan itu, tak perlulah lagi saya risau dan terpaksa mengikis buang pemikirannya yang mula mengalir masuk ke otak hijau saya ini jika ia adalah pemikiran relatif taliban atau Wahabiah!
Dr Asri pula mestilah lebih wasathiah daripada saya. Saya hijau putih dan dia pula aneka warna dan mestilah aneka warna itu lebih menarik. Itu belum lagi dikira gelaran akademiknya, apatah pengaruhnya yang besar di dalam masyarakat. Beliau pernah suatu ketika menjadi ‘Mawi’ dalam dunia dakwah sebelum kini diambil alih secara lebih dahsyat oleh ikon baru anak muda, ustaz Azhar Edrus yang lebih versatil.
Ketika orang lain sudah berada di langit biru, saya baru bertatih- tatih jadi pelakon tambahan! Adduh, gua ikut enta, bro! Penangan Ahmad Idham punya ‘Hantu Bonceng’ telah membantu membuka pintu baru kepada gerak kerja dakwah Dewan Pemuda PAS untuk berlumba memaut anak muda kita menuju kehidupan berugama yang lebih bermakna. Ahmad Idham kini adalah kawan saya. Siapa mampu menduga kerja tuhan, bro!?
Apapun, kemabukan dakwah wasathiyah di sebalik kebaikannya, telah mencetuskan wabak baru dalam dunia dakwah iaitu keterlampauan dalam berwasathiyah. Dulu Islam Liberal adalah nama senjata baru untuk gerakan memalsukan Islam di zaman moden, tetapi kini, saya, sepertilah yang lain, mula merasai liberalisasi wasathiyah yang bahaya.
Saya namakannya, liberalisasi dakwah wasathiyah. Saya tak pasti, adakah saya akan mengulasnya nanti secara mendalam. Saya lebih suka jika Dr Asri memulakannya, kecuali ianya tidak penting di sisinya. Apalah pemuda PAS, hantu bonceng pun ambil kira!
Dr Asri, saya sering memujinya di hadapan pemuda PAS. Setengahnya sampai berkerut, mengapa saya memujinya sedangkan mereka mahu saya menghentamnya. Saya jawab, buat apa hentam orang yang bantu saya hentam umno? Tumpukan pada musuh yang pasti.
Sekadar nasihat, Dr Asri patut lebih cermat. Mengkritik itu bagus buat orang berilmu. Kritiklah kerana semua orang tahu anda ahli dalam kritik. Tetapi bila melabel, khususnya buat kawan, pilihlah label yang tidak menyakitkan. Saya fikir anda menghafal al Hujurat. Jangan fikir orang Taliban tak marah bila anda menghina mereka sebagaimana jangan orang memikir anda tak marah dilabel buruk sebagai Wahabiah. Jika anda di depan saya, saya terus bagi penumbuk di mulut, biar pecah berdarah gusi itu. Sebelum anda mengesatnya, saya akan berkata, “Inilah cara Taliban berterima kasih!”
Mengkritik adalah kebebasan dan hak orang berilmu. Membebel pula adalah senjata orang perempuan. Dari kecil ibu saya mendidik saya dengan membebel. Ayah hanya mendehem. Bebel dan dehem membina saya dan kita semua. Jika Asri mahu mengkritik, itu haknya yang disukai ahli ilmu. Tetapi Asri kadang-kadang membebel. Geli geman juga saya mahu serius menasihatinya agar elakkan membebel. Jangan diambil senjata perempuan. Tak manis orang lelaki digelar pembebel.
Saya belum menulis mengenai isu konsert gay antarabangsa itu. Jika sempat saya akan segera menulisnya, insya Allah. Saya sokong kerajaan mesti menghalangnya. Pemuda PAS bukan hanya mahu menghalang anak muda Islam daripada pergi ke Genting. Itu kecil la Bro Asri. Pemuda PAS mahu menghalang kerajaan daripada membawa masuk budaya gay terlaknat itu. Ini baru pemuda PAS!
Komen Terbaru