You are currently browsing the monthly archive for Ogos 2007.

Salam Kamunting,

Saya melihat Pak Lah melaung kalimah merdeka 7 kali tadi, sebaik jarum jam melepasi angka 12. Saya juga melihat Khairi menaikkan Jalur Gemilang dengan lagak patriotik sekali. Saya melihat kegembiraan pada raut wajah mereka yang bersama di Dataran Merdeka. Gembira kita semua menyambut 50 tahun kemerdekaan negara.

Biarlah saya berterus terang saja. Gembira kita adalah kerana kita terlupa dan alpa terhadap beberapa kenyataan:

Mana sebenarnya?

Kita merdeka daripada penjajah baratkah (!!) atau kita merdeka daripada Allah (??) atau kita merdeka daripada kedua – duanya sekali (??)

Merdeka daripada penjajah (!!) adalah dengan menghalaunya keluar dari negara kita. Merdeka daripada Allah (??) adalah dengan menolak ketuananNya dan kekuasaanNya ke atas kita. Jadi, mana sebenarnya??

Kita tetap isytihar merdeka juga walaupun kita masih memakai undang – undang penjajah itu. Jika begitu, tidakkah kita lagi – lagilah merdeka daripada Allah (??) kerana kita tak pakai pun lagi undang – undang Al Quran??

Adakah kita marah penjajah kerana mereka menjajah agama kita, lalu kita berjuang demi kemerdekaan atau kita marah mereka kerana kita sendiri mahu menjajah ugama kita, lalu kita berjuang demi kemerdekaan??

Mana satu sebenar – benar penjajah?? Sebelum merdeka, penjajah gagal memurtadkan Melayu daripada Islam. Selepas merdeka (!!), penjajah tabik kerana kita berjaya memudahkan pemurtadan Melayu daripada Islam. Kita mahu merdeka daripada ugamakah atau merdeka daripada penjajah??

Sekali lagi, dunia sekular bencikan Allah mengurus negara mereka. Allah untuk hati, peribadi dan masjid. Adapun masyarakat, negara dan segala sektor kehidupan, ia adalah untuk ahli politik pemerintah daripada kalangan manusia juga. Allah uruskan langit dan akhirat, manakala manusia uruskan bumi dan dunia.

Malaysia hari ini, apa bezanya dengan Tanah Melayu hari itu?

– Adakah Melayu lebih mencengkam kuasa politiknya hari ini? Tidak!

– Adakah Melayu lebih selamat agamanya hari ini? Tidak!

– Adakah Melayu lebih berdaulat bahasanya hari ini? Tidak!

– Adakah Melayu semakin teguh kuasa ekonominya hari ini? Tidak!

– Adakah Melayu lebih luhur budi pekertinya hari ini? Tidak?

Tidakkah kuasa kita telah lama terhakis di Singapura dan Pulau Pinang? Kini Johor pula disua ke mulut singa itu!

Tidakkah agama kita telah begitu rapuh di jiwa anak Melayu? Tiada lagi kegerunan musuh di zaman Natrah berbanding zaman Lina Joy hari ini!

Tidakkah Bahasa Melayu namanya telah ditukar? ( mungkin tidak sezalim penukaran Islam kepada Islam Hadhari ). Inilah maksud ‘terhakis’. Bahasa adalah tiang seri binaan sejarah bangsa. Kita menjualnya demi mencari restu bangsa lain!

Menangislah wahai pejuang bahasa walaupun tangisanmu bak suara sang murai yang menyibuk di damai pagi. Air mata itu sekurang – kurangnya menyejukkan suasana tatkala anak cucu kita mengebumikan bahasa Melayu suatu hari nanti.

Tidakkah kerajaan Umno telah buntu mencari formula baru selepas mereka sendiri menghaprakkan Dasar Ekonomi Baru dengan adegan – adegan rasuah dan salah guna kuasa yang mengaibkan bangsa dan agama?

Yakinlah, WPI adalah kubur besar untuk DEB, bahkan kubur untuk Melayu Johor! Ini budi kita sampai cucu cicit terakhir. Menang sorak kampung tergadai!

Tidakkah anak muda remaja kita hari ini adalah barah negara? Dadah, arak, zina, rogol, hiburan melampau, lucah, rempit dan hidup derhaka!! Jika mereka terlepas daripada musuh itu, mereka tidak juga akan terlepas dari musuh yang lebih gila iaitu Umno. Umno memburu mereka dengan akta – akta yang membunuh semangat, keberanian dan jati diri anak muda untuk hidup merdeka sepenuhnya sebagai hamba Allah.

Merdeka sebagai hamba Allah yang mutlak. Tiada sekutu bagiNya.

50 tahun kemerdekaan negara adalah gegak gempita sambutan keluar daripada kegelapan kepada gerbang kegelapan yang lebih pekat. Inilah sambutan gila – gila Umno untuk mencipta bangsa Melayu yang gila – gila!

Mari belajar memerdekakan diri daripada Umno di bulan Ramadhan yang penuh berkat.

Salam Kamunting,

Ayahanda saya adalah seorang wakil rakyat. Sejak dulu lagi iaitu semenjak sebelum saya dilahirkan ke dunia. Seingat saya, ayahanda sentiasa menang kecuali sekali. Itu, sekarang dah jadi menteri besar pula di negeri Kelantan Darul Naim.

Daripada ramai orang yang tak yakin dengan tok guru berserban ni mampu dan boleh kekal lama di kerusi itu, ayahanda terus duduk dan tak tahu bilalah nak bangun dari kerusi itu sebab ramai pula dah yang tak mahu beliau bangun dari kerusi tu hari ini. Rasanya baru – baru ni heboh pasal cadangan nak suruh tok guru ini tolong jadi menteri besar negeri Johor sebab hanya beliau boleh selesaikan masalah jenayah di sana. Kelakar betul.. Nampak sangat Umno ni hampas tak berguna di mata Melayu dan Cina juga.

Begitu, maka tak tahulah saya bila ayahanda akan turun dari kerusi itu, sedang dia selalu ulang nak berhenti sebab tahap kesihatannya dah tak seperti dulu. Hanya yang menguatkan cekalnya adalah Umno yang ditentangnya itu bermula dari denyut nadi dan hela nafasnya. Lawan Umno sampai akhir.. sampai Umno taubat.

Dulu saya sokong beliau berhenti. Sekarang pun. Begitu pandangan saya bila berbincang dengannya. Beliau setuju sajalah. Tapi bila orang tahu saya sokong, ada pula yang kata saya mahu ayahanda berhenti sebab saya mahu lekas jadi wakil rakyat pula! Kelakar betul.. Nampak sangat kelakar politik saya ni.

Hah, apa? Aku nak jadi wakil rakyat?

Ya, ramai juga kawan – kawan saya yang mahu begitu. Saya pula langsung tiada nak ucap terima kasih buat mereka. Terima kasih saya adalah buat mereka yang tak suka saya jadi wakil rakyat. Sebabnya, kehendak mereka kena dengan kehendak saya. Tanpa prejudis dan tanpa syak. Makanya, saya tak boleh sebutlah saya sokong ayahanda berhenti. Nanti saya dikata nak cepat jadi wakil rakyat ganti ayahanda pula. Tak terima kasih saya. Maka kenalah saya sembunyikan itu dalam hati saya ni.

Ini kira tulisan hatilah, bukan tulisan tangan.

Mengapa saya mahu ayahanda berhenti dan mengapa pula saya tak bernafsu nak jadi tok wakil seumur hidup saya kalau boleh, itu biarlah tidak ditanya eloknya. Saya pernah beberapa bulan lepas meminta kebenaran ayahanda untuk menulis dalam akhbar Harakah atas tajuk ‘ siapa pengganti menteri besar Kelantan’. Beliau setuju sangat dan nampak ceria sekali. Ayahanda suka mendorong saya menulis. Tapi saya pula setiap kali bismiLlah nak tulis, setiap kali itulah saya terus shadaqaLlah. Takut pula saya rupa – rupanya..

Ha, anda tahu susahnya anak menteri besar ni nak bersuara pasal politik – politik nih, apatah nak hentam hantam lebih – lebih. Bagi saya daripada jadi wakil rakyat, baik jadi kaya. Kaya, kaya, kaya. Kaya hati, kaya harta dan kaya budi. Semua tu tak perlu jadi tok wakil.

Ayahanda Menteri Besar. Saya yang jadi anakandanya ini pula adalah ahli majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam ( MPKB-BRI ). Dah 6 tahun. Tahun ni disuruh pula jadi Ketua Ahli Majlis. Dengan jawatan saya ni, Umno selalu juga berhujah bahawa Nik Aziz juga main kroni macam Umno.  Lantik anaknya sendiri. Ha, kata dulang paku serpih..

Sapa nak jawab? Belajarlah jawab. Biar semakin tajam pedang dan semakin tepat bidikan anda.

Habis masa dah.. saya sambung lagi.

(sambung..)

Sebagai ahli majlis yang peranannya seakan wakil rakyat juga bagi sebuah kerajaan tempatan, saya belajar banyak perkara. Daripada mengasuh, mengasah, mengasak dan mengasih diri dengan sifat – sifat terpuji apabila diberi seberkas kuasa sehinggalah saya mengenal dan mendepani gelagat lapisan manusia yang rencam sekali ragamnya, saya seperti disapa dan kadang – kadang diseret kuat ke dunia politik secara praktikal. Saya bagai dipaksa mengenal musuh sebaik mengenal kawan.

Betul sekali nasihat agung utusan langit itu.. Sayangi temanmu seadanya, kelak mungkin akan jadi musuhmu. Benci musuhmu seadanya, kelak mungkin akan jadi temanmu.

Orang politik yang pintar saya fikir cukup mengenal kelebihan dan kelemahan manusia. Mereka menguasainya dan melaksanakan agenda politik dengan baik sekali. Habuannya besar sekali. Mereka menguasai manusia dengan hati jantung mereka sekali hatta ke atas mereka yang hebat ilmu pengetahuannya. Semuanya dengan kuasa

Kuasa itu Allah empunyanya. Dia Maha Kuasa. Kerana kuasa, Dialah tuhan yang disembah. Mana boleh jadi tuhan kalau tak ada kuasa. Ayah Pin pun kena dakwa ada kuasa, barulah orang sembah dia. Muka macam orang tak mandi pun orang sembah juga. Sebabnya, kuasa. Bezanya, Allah juga memiliki segala maha yang lain yang menyempurnakan ketuhananNya. Maha suci Allah.

Manusia dikurniakan kuasa demi memudahkannya mentadbir dunia. Dengan kuasa mereka menjadi mudah melaksanakan perintah Allah dalam menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.  Tetapi manusia memahami sebaliknya. Mereka menggunakan kuasa sebagai alat menjamu nafsu serakah terhadap keduniaan. Lihatlah akhirnya, dunia ini panas dan sentiasa dalam kegawatan kerana perebutan kuasa antara manusia. Berebut kerana melayani kehendak nafsu yang sentiasa membuak mengejar keseronokan duniawi tanpa batas. 

Kuasa adalah amanah. Ia bukan peluang dan ia bukan habuan yang digilai.

Inilah politik. Politik adalah cara mengurus kuasa yang dikurnia ke atas orang yang dikuasai. RasuluLlah diutus untuk mengurus kuasa di dunia selaras dengan kehendak Allah dan baginda mengajarkan manusia untuk mengurus kuasa. Tetapi siapakah yang mengambil pengajaran utusan langit ini? Politik hanya dua. Pertama, politik RasuluLlah dan kedua, politik selainnya. Politik selainnya adalah duniawi dan tertolak. Sebabnya ialah kerana ia diurus tanpa petunjuk Allah yang mengurniakan manusia dengan kuasa yang hebat.

Maksud saya di sini, kita samada orang Umno atau Pas atau siapa pun,  apabila diberi kuasa, tiadalah berguna kuasa kita selain bala yang akan menimpa. Ini kecualilah kita benar – benar memahami politik Islam yang diajar oleh RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Jika tidak, kita mungkin bercakap apa yang kita tak buat atau memang tak terbuat pun.

Maka, kita mesti terus belajar dan menguasai politik Islam. Jika tidak, tiadalah tertunai tugas kita mengurus dunia sebagai seorang khalifah.

Salam Kamunting,

Mereka berkata musuh nombor 1 negara adalah dadah. Saya berkata tidak! Musuh nombor 1 negara adalah Umno, kemudian Umno, kemudian Umno. Selepas itu dadah.

Dahulu, mereka berkata musuh nombor 1 negara adalah komunis. Saya berkata ya! Musuh nombor 1 negara adalah komunis. Kemudian Umno. Kemudian Umno. Selepas itu dadah.

Sebelum itu lagi, mereka berkata musuh nombor 1 negara adalah penjajah. Saya berkata ya! Musuh nombor 1 negara adalah penjajah. Kemudian Komunis. Kemudian Umno. Selepas itu dadah.

Mereka tidak menamakan Umno sebagai musuh sebab merekalah pendukung Umno dahulu, kini dan mereka mahu mendukungnya selama – lamanya. Tanpa rasa malu, bersalah dan mengharap petunjuk Allah. Jadi, mereka mahu menjulang Umno dan mahu memaksa kita turut menyanjung Umno setidak – tidaknya. Hasilnya, ramai antara kita terbabas. Ramai antara kita setuju dadah adalah musuh nombor 1 negara.

Saya akan terus berkata tidak! Musuh Malaysia nombor 1 adalah Umno. Sampai bila? Sampai lahir kumpulan atau elemen yang lebih jahat daripada Umno.

Benar, penjajah adalah musuh kita nombor 1 sebelum merdeka. Mereka menjajah ugama kita sebelum menjajah kita. Mereka memporak perandakan urusan ugama kita tetapi mereka menyusun sebaiknya baka yang akan terus merosakkan ugama kita selepas mereka pergi, iaitu Umno.

Para pejuang kemerdekaan kita julangkan. Semua kita menjulang mereka semua. Tetapi Umno tidak mahu menjulang para ulama yang berada di saf hadapan menghalau penjajah. Mereka menafikannya dalam buku sejarah yang mereka ajarkan kepada anak – anak kita. Sebabnya, para ulama menolak kerelaan Umno untuk melaksanakan kemahuan penjajah untuk terus menjajah ugama selepas merdeka.

Benar, komunis adalah musuh nombor 1 negara sebaik selepas kemerdekaan. Mereka juga adalah penjajah luar yang mahu menjajah ugama kita dan kita juga. Mereka berentap dengan penjajah daripada tentera salibiyyah itu tetapi tidak menang. Akhirnya mereka mengintai peluang sebaik saja lawan mereka itu diberambuskan.

Angkatan tentera kita mengepalai perjuangan memerangi keganasan komunis. Akhirnya komunis mengaku kalah. Kita semua angkat tabik kepada angkatan tentera kita yang begitu berani berkorban untuk ugama, nusa dan bangsa.

Tetapi Umno terus buat lawak bodoh. Mereka ambil batu dan besi. Dengannya mereka dirikan sebuah tugu dengan ukiran askar kita yang berjuang. Mereka namakannya tugu negara! Tujuannya mereka nak sembah batu itu. Mereka kalungkan bunga pada hari pahlawan di batu yang mereka bina itu.

Itu syirik yang jelas. Ulama yang sokong Umno pun memfatwakan syirik. Hukum yang terlalu mudah untuk difatwakan. Menghadap tunduk pada batu dengan persembahan seperti Abu Jahal buat zaman jahiliyyah Mekah dulu.

Saya mahu saja ketawa pada perbuatan Umno ini. Tetapi bodohlah saya ketawa sebab ramai mana rakyat Malaysia yang dah lali dengan amalan khurafat ini lalu mereka turut berdosa dengan tuhan mereka. Lagi pun Pak Lah pasti marah saya ketawakan perbuatannya itu.

Firaun marah pada para tukang sihirnya kerana keluar fatwa Nabi Musa betul dan Firaun dan amalannya adalah salah. Mereka Firaun paksa bertaubat, tetapi mereka enggan lalu dihukum bunuh. Saya fikir Pak Lah pun marah sebab ulama Umno juga keluarkan fatwa yang menyusahkan beliau tanpa rujuk kepadanya dulu. Bezanya Pak Lah buat ‘dont know’ dan buat sadin saja. Nasib baik. Jika tidak kena ISAlah ulama Umno. Pak Lah tak serupa Firaun. Firaun imamul kaafirinil Badawiyyin sedangkan Pak Lah imamul islamiyyinil Hadhariyyin. Tak sama tetapi semacam.

( Kerana Pak Lah jenis pekak badak ( mengambil kata – kata YB Dato Husam Musa ), marilah kita laungkan untuk ahli – ahli Umno bahawa, ” Itu Syirik! Itu syirik! Itu syirik!” Moga mereka malu dan berlepas diri daripada tindakan ketua mereka itu)

Benar, dadah adalah musuh negara. Anak – anak muda ramai mana yang mati atau dah jadi ‘mayat hidup’ kerananya. Habis harapan negara itu direncatkannya satu demi satu. Porak peranda habis institusi keluarga kerananya. Jenayah meningkat dengan cepat sekali dan hampir pasti dadahlah penyebab utamanya. Pening kepala habis semua jentera kerajaan dan swasta yang ada kerananya. Ramai yang kerajaan hukum gantung sampai mati kerana mengedar dadah, ramai lagi yang maut kerana hisap dadah.

Benar itu. Tetapi menjadikannya musuh utama negara hari ini adalah salah dan terlalu salah. Itu hukum main – main. Hukum yang dibuat – buat. Tujuannya untuk menutup kewujudan musuh yang lebih utama dan lebih bahaya. Tujuannya untuk memalingkan rakyat daripada melihat kenyataan dan kebenaran. Ia sama seperti menghentam ‘Namewee’ itu sampai tenggelam habis pengkhianat negara lain yang lebih dahsyat yang memusnahkan kemeriahan rakyat dalam menyempurnakan sambutan 50 tahun kemerdekaan negara.

Umnolah musuh nombor 1 negara. Kemudian Umno. Kemudian Umno. Selepas itu dadah. Tanyalah, kenapa? Hah, senang saya nak jawab.

Sebabnya, dadah bukanlah musuh nombor 1 Islam. Dadah adalah seperti arak hukumnya. Arak adalah haram. Ia musuh Islam dan orang Islam, bahkan musuh manusia seluruhnya. Tetapi ia tidak mengambil tempat pertama. Begitu arak, begitulah dadah.

Musuh nombor 1 Islam adalah syirik dan pejuang syirik.

Syirik dalam erti menyekutukan Allah dengan makhluknya. Menyembah berhala adalah syirik sekali pun penyembahnya mendakwa menjadikannya perantara di antaranya dengan Allah. Maha suci Allah. Allah tidak pekak, tidak buta dan tidak kikir untuk mendengar rintihan hambanya di bumi walau hambanya dipalit sejuta dosa.

Menyamakan Al Quran, apatah menolaknya dalam mengurus kehidupan manusia adalah syirik. Al Quran adalah kalam Allah. Kata – kata Allah tak sama dengan kata – kata makhluknya. Arahan Allah tak sama dengan arahan makhluknya. Al Quran adalah perlembagaan hidup muslim. Itu sepakat yang tiada syaknya dan tiada ragunya.

Menolak Al Quran adalah menolak Allah jua. Siapakah kepala halian yang menolak Al Quran sebagai perlembagaan negara selain Umno? Kerana Umno, bukan hanya penagih dadah, bahkan kita seluruhnya dipaksa hidup dalam dunia yang bukan dunia kita. Dunia syirik yang asing dalam aqidah seorang muslim.

Sesudah Umno menolak Al Quran, Mereka turut menentang pendukung Al Quran. Para pendakwah dan pejuang Islam disempitkan laluan hidupnya. Kaki dan tangan mereka diikat. Suara mereka disekat. Hari ini mereka berusaha memblock blog para pejuang kebenaran di alam siber.

Kesannya bukan hanya penagih dadah, bahkan rakyat seluruhnya jadi buta daripada melihat kebenaran. Buta kerana dibutakan. Kemudian mereka dilalikan pula dengan keseronokan dan hiburan yang menjijikkan. Lebih jijik daripada budak kecil menjamu ayam peliharaannya dengan najis sendiri!

Sesudah Umno menentang pendukung Islam, mereka berusaha menafsir Islam secara nafsu sendiri yang terlarang. Mereka menjaja Islam Hadhari. Sebelumnya mereka mereka – reka kepalsuan sebagai kebenaran. Mereka mencipta kekeliruan sehingga amalan haram menjadi halal. Yang wajib menjadi harus, bahkan haram pula! Amalan  sunnah diremehkan manakala amalan bidaah dan khurafat dipertahankan bahkan dijaja semahunya.

Kesannya, bukan hanya penagih dadah, bahkan rakyat seluruhnya keliru di antara kebenaran dengan kebatilan. Rakyat akhirnya redha dengan Islam tafsiran Umno. Jenayah ‘politik suku ugama suku’ diterima rakyat sebagai isu politik semata – mata yang tiada kaitan dengan akidah.

Dadah mencabut nyawa dan membunuh akal. Umno pula mencabut akidah dan membunuh ugama.

Mengapa anak – anak muda, terutama daripada bangsa Melayu mengambil dadah? Pastinya bukan kerana dadah sukakan Melayu dan tidak sukakan Cina dan India. Dadah dicari dan ia tidak mencari mangsanya. Sebabnya ialah kerana mangsa terlalu lemah jiwanya sehingga sangup menggadai nyawa demi mencari sedikit ketenangan yang palsu. Soalnya, lemah jiwa dan putus asa itu sifat dan keperibadian muslimkah? Adakah penganut ugama selain Islam lebih tenang dan lebih gagah jiwa mereka berbanding seorang muslim? Pastinya tidak. Ketenangan adalah pada memiliki kebenaran. Selain Islam, semuanya palsu.

Tetapi mengapa lain pula jadinya anak – anak muda Melayu ini? Ke mana melayangnya ugama mereka? Ugama adalah pegangan yang memerlukan kekuatan untuk bertapak di jiwa manusia. Kerana itu, RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam didatangkan untuk membina kekuatan ugama. RasuluLlah pula membina kemuncak kekuatan dengan menuntut kekuasaan di dunia. Dengan Madinah sebagai benteng kekuatan, akhirnya ugama menjadi gagah di hati dan di bumi ini. Apabila kekuatan membenteng ugama, penganut Islam menjadi gagah dan bersedia memimpin dan mendukung kebenaran di dunia.

Di mana pemimpin negara hari ini di dalam melindungi ugama anak – anak muda yang menjadi harapan ugama, nusa dan bangsa? Di mana pemimpin Umno yang memimpin negara sudah 50 tahun di dalam membenteng ugama di dada rakyatnya? Mengapa anak – anak muda muslim ini begitu gian sekali mencari dadah macam lalat gian mengerumuni tahi?

Anda mahu menyalahkan ibu bapa? Ah, betapa ramai saya melihat ibu bapa daripada pelbagai golongan yang anak – anak mereka terkena najis dadah ini datang kepada ayahanda saya dalam teriak tangis memohon pertolongan untuk membebaskan anak mereka daripada kekejaman yang memerangkap ini. Ya, mereka mungkin boleh disalahkan dek ilmu pendidikan anak – anak yang kurang dan cetek, tetapi adakah mereka meredhai apatah mencipta segala kerosakan sistem hidup yang terbina di negara ini?

Tangisan ibu bapa ini mungkin sahaja sudah terlewat, tetapi pernahkah anda melihat pemimpin Umno yang memimpin negara menangis melihat rakyatnya dan bangsanya sendiri terkena penangan dadah ini? Pernahkah? Tidak, mereka hanya menunjuk statistik yang tak pun memberi apa – apa selain ketakutan dan kebingungan kepada kita?

Susah sangatkah menyelesaikan masalah dadah ini? Seolah – olah ugama kita terlalu naif dan lemah untuk menyelesaikan masalah dadah. Ia seperti di luar capaian ugama kita. Begitukah? Pastinya tidak.

Dulu, RasuluLlah mengambil masa 20 tahun untuk membuang arak dalam kehidupan muslim. Itu arak yang lebih susah berbanding dadah! Kalau dadah, lagi – lagilah mudah membuangnya. Bahayanya jelas berbanding arak. Ia lebih ditakuti berbanding arak. Bahayanya mudah difahami dan diinsafi berbanding arak.

Kerajaan Taliban yang memerintah Afghanistan untuk beberapa tahun sahaja sudah berjaya mengeluarkan negara mereka daripada menjadi pengeluar dan pembekal dadah. Apabila Amerika menjajah kembali, tanaman dadah itu kembali subur. Inilah Islam. Islam yang dimusuhi Umno. Islam musuh nombor 1 Umno dan Umno musuh nombor 1 Islam di negara ini.

Itu baru Taliban yang pelaksanaan Islamnya dilihat keras dan lemah siasah syar’ieyyahnya. Bayangkan pula jika golongan Islam yang lebih baik daripada mereka menyelesaikan segala isu yang melanda umat ini.

Jangan kita terpedaya dengan khurafat bahawa dadah sukar diperangi. Demi tuhan yang menciptakan dadah, ia mudah diperangi oleh Islam. Umnolah yang menyusahkan kita memeranginya. Mereka mendakwa memerangi dadah tetapi merekalah yang mencambahkan budaya hidup anak muda untuk terus mencintai dadah.

Berikan ruang untuk Islam memerintah. Berikan Pas dan kumpulan Islam lain memerintah, nescaya dalam 10 tahun rakyat Malaysia bebas ketagihan arak dan dalam lima tahun sahaja, statistik pengambilan dadah secara salah akan jatuh merudum!

Saya telah melihat beberapa kumpulan NGO Islam merawati penagih dadah dan mereka berjaya. Musuh mereka bukan dadah. Musuh mereka ialah sistem sosial yang dibina Umno yang melemahkan jiwa mereka untuk mencari dadah seperti lalat mengejar tahi.

Memerangi dadah bukan dengan membina pusat pemulihan di seluruh negara. Ia bukan dengan merawati tetapi dengan mencegahnya. Itulah yang kosong dan hampas dalam penyelesaian cara Umno! Anda melihat kesungguhan kerajaan Kelantan membina sistem sosial berdasarkan Islam, tetapi anda lihatlah betapa kekuasaan yang kecil itu dirempuh hebat oleh kekuasaan Umno yang lebih kuat dan terlalu besar makarnya.

Apa yang kita perangi itulah yang dicambahkan Umno. Apa yang Islam perangi itulah yang dipertahankan Umno. Berikan Umno memerintah 10 tahun lagi dan lihatlah keruntuhan demi keruntuhan dalam pembinaan bangsa Melayu yang kita sayangi.

Katakanlah, aku bersaksi di ambang 50 tahun kemerdekaan negara, Umnolah musuh nombor 1 negara. Aku memerangi Umno sampai Umno bertaubat dan memilih jalan yang lurus.

Keanjalan siasah syar’iyyah dan kesediaannya untuk berkembang

Ibnul Qayyim berkata lagi, ” Maksud di sini adalah bahawa contoh – contoh di atas ( rujuk siri 4 ) adalah merupakan siasah juz’ie / khas yang berdasarkan maslahat / kepentingan. Ia berubah dengan berubahnya masa. Sesetengah ulama menganggapnya sebagai syariat umum ( bukan juz’ie ) yang lazim/mesti ke atas umat sehinggalah hari qiamat. Masing – masing memiliki keuzuran ( ketika berijtihad ) dan ganjaran. Barang siapa berijtihad demi mentaati Allah dan rasulNya, maka dia sedang berlegar di antara satu atau dua pahala.”

” Hukum – hukum politik tadi dan banyak lagi sebenarnya adalah ta’wil/tafsir kepada Al Quran dan Sunnah. Cuma khilafnya adalah pada menentukan samada ia adalah syariat umum yang tidak akan berubah dengan perubahan zaman ataupun ia adalah siasah juz’iyyah yang berdasarkan maslahat yang mungkin saja berubah berdasarkan perubahan zaman dan tempat.” Tamat

Tidak syak lagi contoh – contoh di atas adalah siasah juz’iyyah yang merujuk kepada tuntutan semasa. Apabila masa berubah atau tempat bertukar atau keadaan berkembang, maka hukum lama mestilah dinilai balik dalam situasi baru. Ia mungkin saja berubah. Tidak harus kekal jumud di atas hukum lama yang mungkin memudaratkan ummah.

Hakikatnya manusia berupaya mengubah hukum apabila cukup di hadapannya ilmu dan kehendak, apatah di zaman kini yang penuh kekuasaan dan keupayaan.

Jelas apa yang ditegaskan Ibnul Qayyim ( mazhab Hambali ) berkenaan denda dengan harta dalam hukum takzir adalah bertentangan dengan pendapat mazhab lain. Tetapi bersandarkan dalil – dalil yang dikemukakan, jelas ialah yang rajih / lebih kuat.

Kekhilafan antara mazhab dan para fuqaha’ adalah keluasan dan rahmat kepada ummah, khususnya di medan siasah. Kekhilafan tersebut bukan beerti kita berhak memilih apa yang berkenan dan terpesona di hati tanpa timbangan syar’ie. Ini salah dan mengikut hawa nafsu semata – mata. Perbendaharaan yang besar ini sebenarnya membuka peluang kepada kita untuk memilih, menilai dan mentarjihkan di antara pendapat fiqhiyyah demi menunaikan maqasid / matlamat syar’iyyah dan kepentingan manusia yang deminya syariat diturunkan.

Ulasan umum mengenai maksud siasah di sisi fuqaha’

Apa yang kami sebut di atas adalah merupakan pandangan para fuqaha’ di dalam takrif siasah dan maksudnya yang menunjukkan wujud perluasan dan penyempitan di dalam pandangan mereka.

Tetapi jika kita melihat siasah daripada sudut kandungannya iaitu perkara yang berkaitan menguruskan perihal rakyat, menunaikan amanah dan hak mereka, kita akan dapati para fuqaha telah membincangkannya dengan cukup panjang lebar. Sebahagiannya terdapat dalam kitab besar fiqh di dalam tajuk – tajuk yang khusus seperti bab amanah, qadha’ ( hukuman ), hudud, jihad dan sebagainya. Manakala sebahagiannya ditulis lebih khusus di dalam kitab – kitab yang langsung membicarakan perihal hukum, politik, pentadbiran, harta dan sebagainya. Antaranya:

1 ) Al Ahkam As Sulthaniyyah oleh Abul Hasan Al Mawardi Asy Syafi’e. 2 ) Tajuk sama oleh Abu Ya’la Al Farra’ Al Hambali. 3 ) Ghiyatsul Umam oleh Imamul Haramain Al Juwaini Asy Syafi’e 4 ) As Siasah Asy Syar’ieyyah oleh Ibnu Taimiyyah Al Hambali 5 ) At Turuq Al Hukmiyyah oleh Ibnul Qayyim 6 ) Lain – lain.

Ada juga kitab – kitab yang ditulis berkaitan pengurusan harta sahaja. Antaranya:

1 ) Al Kharaj oleh Abu Yusuf, sahabat besar Abu Hanifah. Ia dikarang khusus untuk Khalifah Harun Ar Rasyid di dalam pengurusan harta negaranya. 2 ) Tajuk sama oleh Yahya ibn Adam 3 ) Al Amwal oleh Abu Ubaid Al Qasim bin Salam. Ia merupakan kitab terbesar yang dikarang mengenai harta di dalam Islam. 4 ) Lain – lain.

Ada juga perihal siasah yang ditulis di dalam kitab – kitab aqidah dan ilmu kalam. Para ulama Sunnah terpaksa menulis perihal Imamah/kepimpinan dan syarat – syaratnya di dalam kitab aqidah memandangkan ulama Syiah menganggap imamah sebagai sebahagian soal aqidah.

Kerana itu para ulama Sunnah terpaksa membincangkannya demi membetulkan kefahaman yang bertentangan itu. Mereka tidak mensyaratkan imamah itu mesti daripada kalangan Ahlil Bait sekalipun kebanyakan mereka mensyaratkan mesti daripada keturunan Quraisy. Juga imam hendaklah dipilih daripada kalangan ummah dan mereka tidak sunyi daripada melakukan kesilapan.

Ada juga ulama yang membincangkan perihal politik di dalam kitab tasawwuf seperti Al Ghazali di dalam kitabnya yang masyhur, Ihya’ Ulumiddin.

Antara tulisannya dalam ( kitabul ilmi ) daripada kitab tersebut ialah mengenai kaitan antara alim faqih dengan ahli politik. Beliau menjadikan fiqh sebagai ilmu kehidupan/dunia dan mengatakan jikalah manusia menguruskan urusan dunia mereka dengan adil, maka pasti tiada lagi pertelagahan dan menganggurlah para fuqaha’. Tetapi mereka mengurusnya dengan nafsu syahwat, lalu berlakulah pertelagahan sesama mereka. Dari situ mereka memerlukah sultan/pemerintah yang dapat mentadbir urus mereka. Para pemerintah ini pula memerlukan undang – undang untuk menegakkan keadilan. Maka para fuqaha’ diperlukan.

Katanya, ” Orang faqih ialah orang yang alim dengan undang – undang politik dan jalan saksama di antara manusia apabila mereka bertelagah berdasar hukum nafsu mereka. Dia menjadi guru dan penasihat sultan di dalam mengurus dan menjaga rakyat agar urusan duniawi mereka menjadi betul apabila mereka istiqamah dengan undang – undang tersebut. Demi sesungguhnya politik berkait dengan agama juga tetapi bukan secara terus bahkan dengan perantaraan dunia. sesungguhnya dunia adalah ladang akhirat. Dan tiadalah sempurna ugama kecuali dengan dunia. Kerajaan dan ugama adalah saudara kembar. Agama itu asal manakala sultan / pemerintah adalah penjaganya. Sesuatu tanpa asal adalah kosong manakala sesuatu tanpa penjaga adalah sia – sia. Tidak sempurna kerajaan dan pengawasan tanpa raja yang memerintah. Dan jalan mengawasi di dalam memutuskan pertelagahan adalah dengan fiqh.”

Salam Kamunting,

Masuk dunia internet ni, bagi saya lebih bagai seekor tupai berbanding seekor burung. Sekali lompat kita hinggap di KL. Lompat lagi, masuk dunia EPL ( kenapa la Micheal Owen asyik cedera? ). Lompat lagi, jumpa Syeikh Qardhawi kat Doha sana. Tersalah stunt, masuk kawasan hitam. Aduh..  Nak relaks – relaks, loncat saja ke laman nasyid Islami, us tantawi, us zaharudin, muhtar suhaili, waejo, roslan sms, albazrah, binti muhammad, kaset79 dan..

Jika nak buat adjustment, kecek kecek la dengan Tok Mudin.. 🙂

Jika berani sangat, lompat la dengan Pembebel ke Taiwan! Mana ‘Namewee’? Aku nak makannn..

Agaknya, kerana asyik lompat – lompat ni lah, Cincai terjunam lalu terpaut laman saya ni.. nikabduh.wordpress.com. Cincai asyik sangat bermain di julai atas, tiba – tiba di sentap pembebel agaknya, terus terpelanting menjunam. Bila kejap berpaut di laman jalan yang lurus ni, dia buka mata.. Hah, semua melalak! Gwen Stefani melalak! Namewee melalak! Pas kadang – kadang melalak juga!  

( Aduh, kerana ku kata Gwen melalak, Cincai kata ayahandaku pun melalak juga! aduhai berdosakah aku? )

Assalamu alaikum CINCAI!

Saya seronok sekali anda membaca dan memberi komen. Sup gear box lagi untuk kali ke dua. 2 bulan lepas ada yang minta saya letak jawatan semua jawatan parti di Kelantan. kronisme katanya. Itu sup gearbox pertama. 

Saya tidaklah mahu bersegera menjawab komen anda itu. Hanya jikalah anda tahu beza di antara dua neraca, pasti anda tidak menyamakan di antara keduanya.

Cuba – cubalah berjalan di jalan yang lurus ini, kerana anda juga sukakan jalan yang lurus seperti saya. Saya seperti anda. Lurus adalah pada Al Quran. Lurus adalah pada sirah Nabi sallallahu alaihi wasallam. Sesiapapun berhak.

Al Quran berkata:  “… Dan sesiapa yang membersihkan dirinya, maka ia melakukan pembersihan untuk dirinya sendiri. Dan kepada Allah jualah tempat kembali. Dan tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang celik. dan tidaklah sama gelap gelita dengan cahaya yang terang benderang. Dan tidaklah sama suasana teduh dengan panas yang teramat. Dan ( demikianlah juga ) tidaklah sama orang – orang yang hidup dengan orang – orang yang mati.. ”  Fathir: 18 – 22

Moga CINCAI datang lagi. Tempat jatuh lagi dikenang…

Mereka menghukum ‘Namewee’ seperti komunis.. Anak muda yang membenci lalu meluahkan kebenciannya secara bodoh..

Mereka menanti ‘Gwen Stefani’ seperti bidadari.. Bangkai busuk Amerika yang melalak lalu disuruh melalak di Malaysia..

Saya hanya ingin bertanya, di antara ‘Namewee’ dan ‘mereka’ ini, siapa lebih jahat menghina dan menjahanamkan rakyat Malaysia?..

Hah, jawablah..

Seorang anak muda, dalam wajah mudanya yang diusik keluh kesah menuju ke arah saya. Tepat saya melihatnya, dia terus bertanya, “Ustaz masuk internetkah?” Tanpa fikir untuk meneka itu ini, saya terus jawab, ” Ya.” Dia melihat saya dalam anak matanya yang lebih tajam, lantas menyoal lagi, ” Ustaz pasti melihat gambar – gambar lucahkan?”

Saya tersentak. Darah seperti dibuka kepala paipnya untuk segera menerjah ke muka. Gelabah adalah penyakit saya masa kecil, masa saya kecut perut takut jika disoal oleh guru -guru, sebelum terubat sedikit selepas latih amali bertazkirah dalam usrah. Saya tarik nafas, agar darah panas itu menyejuk sedikit. Angin lawan api. Saya hembus balik. Air lawan api.

Bila selesa sedikit, saya lantas jawab, ” Tidak!” Anak muda itu seperti terkejut. Tandanya kelihatan pada matanya yang membulat dan keningnya sedikit terangkat. Mulutnya memacul kalimat, ” Yakah?”

Saya melihatnya. Kemudian saya melihatnya lagi. Bila saya rasa telah menguasainya, saya memegang bahunya. Tidak, saya menyentuhnya saja hanya untuk dia merasakan kehadiran saya di hadapannya, lalu dia memberi perhatian kedua selepas dia menguasai yang pertama.

Saya berkata, ” Kamu tiada beradab!” Anak muda itu tersentak. Kepalanya mundur ke belakang, tidak tubuhnya. Dia yang telah saya ikat itu bagai tergamam dan ketakutan. “Kenapa ustaz?” Ah, saya tahu dia cukup menghormati saya. Anak muda ini cukup beradab, cuma sedikit mentah. Budak – budak, getus hati saya di sambar ego. Begitulah manusia bila telah menang. Ego tak sudah – sudah. Penyakit Melayu Umno!

Saya menarik tangannya sambil mendorongnya duduk. Betul – betul menghadap saya. ” Mari saya ajarkan kamu.” Selepas dia kembali selesa dengan saya sebagai pembimbingnya, gurunya, saya memulakan.

“Apa kamu dapat jika saya jawab, ya atau saya jawab tidak tadi?”

” Sejak bila kamu diajar untuk bertanya dosa orang lain?”

” Jika kamu rasa malu membuka pekung di dada sendiri, tidakkah aib dan salah kamu meminta orang lain membuka pekung mereka juga?”

Saya lalu mengajarnya bagaimana menanggung beban dosa dan maksiat, seperti diajar RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.

Setiap kita melakukan dosa. Dosa daripada perlakuan maksiat dan munkar yang bermacam – macam. Dosa dari hati yang lalai, lidah yang menjarah, panca indera yang melanggar dan merempit, bahkan sikap dan akhlak kita yang jengkil. Kita berdosa kerana kita adalah manusia. Setiap manusia mesti berdosa. Jika tidak kerana dimaksumkan oleh Allah, para anbiya’ juga berdosa. Mereka juga manusia.

Tetapi dosa adalah penyakit yang menyerang manusia. Kerananya manusia menjadi lemah dan mati. Ia mesti dibuang sesegeranya sebelum ia menjalar dan merebak lalu mencetus penyakit yang lebih parah. Ia kuman yang sesetengahnya boleh membunuh.

Dosa juga adalah keaiban dan kehinaan. Ia mesti ditutup. Ia mesti tidak didedahkan. Apabila ia terdedah atau didedahkan, ia akan merendahkan kedudukan tuannya di mata manusia yang beriman, apatah di mata manusia yang berpenyakit yang seronok penyakitnya menjangkiti orang lain pula. Dia mungkin kehilangan thiqah dan kepercayaan orang lain kepadanya.

Kerana itu dosa mestilah dijauhi dan dielakkan. Jika berlaku dosa, ia mesti dibuang sesegeranya. Jika ada dosa, ia mesti ditutup dan disembunyikan daripada pandangan manusia seluruhnya.

Jauhilah dosa dengan sifat taqwa. Hilangkanlah dosa dengan taubat. Sembunyikanlah dosa dengan sitrah / penutup.

Maka tanamkanlah dan bajailah sifat taqwa, nescaya kita tidak mudah berdosa kerana taqwa mendorong kita membenci dosa dan menyukai ketaatan.

Segeralah bertaubat dan beristigfar. Ia bagai angin kuat yang menggugurkan dedaun kering dari rantingnya. Ia lalu memucukkan daunan yang lebih segar dan menghijau.

Tutuplah dosa diri dengan tidak melakukannya secara terang – terangan dan bisukanlah lidahmu daripada menceritakan dosa dan aib yang engkau lakukan secara sendirian.

Bersyukurlah kerana dikurniakan taqwa yang terlalu didamba orang beriman. Bersyukurlah kerana dimudahkan bertaubat daripada dosa yang mengeraskan hati dan jiwa. Bersyukurlah kerana disembunyikan dosa diri daripada pengetahuan manusia.

Besarnya kasih sayang Allah kepada kita kerana betapa banyaknya dosa kita ditutupNya daripada penglihatan manusia.

Bodohnya kita apabila mendedahkan dosa dan aib yang telah ditutupi Allah dengan sitrahNya kepada manusia.

Apabila Allah ingin menghukum hambanya di dunia, didedahkan keaibannya dan perlakuan jahatnya kepada seluruh manusia, lalu runtuhlah segala maruah diri yang dibina.

Murkanya Allah pada manusia yang membuka aibnya sendiri selepas ditutupiNya.

Tidak sama dosa terang – terangan dengan dosa yang dilakukan secara sembunyi.

Doa RasuluLlah, “Tuhanku, ampunilah dosa kami, tutuplah keaiban kami dan janganlah dibiar musuh kami memperlekehkan kami.”

Begitulah saya menyudahi tazkirah khas pada anak muda itu. Dia khusyu’ sekali mendengarnya. Mungkin melebihi saya sendiri.

Dia bangun sambil mengucap terima kasih. Saya senyum dan berkata, “Saya juga berterima kasih kepada kamu.” Dia berkata, ” Kenapa ustaz?”

Saya menjawab, ” Kerana soalanmu itu mengajar saya betapa besarNya limpah kasih Allah pada kita semua.”

Betullah kata – kata ulama, jikalah dosa itu berbau, nescaya ku tak mampu keluar rumah kerana malu busuk tubuhku dikesani orang kerana dosa – dosaku…

Tahukah anda kegelapan yang menakutkan? Ya, apabila kita bangun di tengah malam yang gelap gelita, kita mengangkat tangan untuk melihatnya, tetapi kita langsung tidak dapat melihatnya, sedang ia betul – betul dipacak di hadapan kedua – dua anak mata kita!

Tahukah anda kegelapan paling memuncak yang paling menakutkan? Ya, bayangkan, di malam yang gelap pekat, anda hanyut di tengah lautan yang luas, di bawahnya adalah kegelapan dalam yang berlapis – lapis, di permukaannya pula kegelapan gelombang menghempas gelombang  yang berlapis – lapis dan di atasnya juga adalah kegelapan awan pekat yang berlapis – lapis. Anda mengangkat tangan, lalu anda cuba melihatnya. Anda hanya mampu melihat sebuah kegelapan raksasa seolah – olah anda kudung tanpa tangan!

Anda memerlukan cahaya berlapis – lapis pula untuk melihat kembali tangan anda itu.

Itulah bayangan anasir kegelapan yang bertindih – tindih yang menahan cahaya mentari menerobos mata hitam kita. Anasir yang saling membantu membutakan anda!  

Lihat Al Quran, surah An Nur: 40.  Rasakan kegawatannya dan kegerunannya!

Dunia ini adalah gelap. Saksikan alam semesta ini. Kita seolah – olah hidup tercampak di sebutir pasir yang halus di tengah – tengah lautan bebintang tanpa penghujung yang dilihat. Lautan semesta diwarna hitam gelap yang menakutkan.

Cahaya yang ada hanyalah bagai bintik – bintik halus ( bebintang )yang bertebaran yang tidak memberi sebarang makna untuk memecah kegelapan.

Dunia yang gelap.

Kedamaian dan ketenangan pada melihatnya adalah hanya kerana bintik – bintik bercahaya itulah. Jika tidak, di mana keindahan alam semesta? Semuanya gelap..

Begitu dunia ini, begitulah dunia hati.. Dunia manusia.

Manusia bangun tidurnya, gerak kakunya dan hidup matinya adalah pada  sekeping hati ( baca jantung ) yang berdegup – degup di dada itulah. Baik buruk manusia tergadai pada sihat sakit hati itu.

Hari ini kita adalah manusia yang dipandang. Dulu kita adalah segumpal darah yang  tergantung di rahim ibu. Sebelumnya kita adalah satu daripada jutaan sel halus yang merawak – rawak datang tanpa hak memilih takdir dan ketentuan.

Masa itu, di mana tangan, kaki, mata, telinga dan mulut? Hah? Di mana hati dan jantung?

Kemudian, dari mana sel yang menakjubkan ini? Tiba – tiba ia datang lalu terjun ke alam semesta yang luas terbentang. Maka, maka apa pula tujuannya? Peranannya?

Kita datang dari kawasan liputan yang diwarna kejahilan. Tak tahu. Tak tahu apa – apa. Apa itu apa?

Kejahilan adalah kegelapan.

Kita datang dari lubuk yang gelap, tercampak di dunia yang gelap. Kehidupan yang diwarna kejahilan.

Apabila si jahil berkata, “aku tahu”, maka itulah lapisan kegelapan demi kegelapan demi kegelapan.

Oh, di mana bintik – bintik cahaya itu? Bebintang bercahaya itu? Di mana kedamaian dan ketenangan di kehidupan ini?

Perhatikan. Kita di bumi mendongak ke langit. Lihatlah kegelapan yang melebar di seluruh ufuk. Tidak! Mata kita segera teralih pada bintik – bintik cahaya bintang – bintang yang bergemerlapan. Ah, sunguh indah cahaya itu. Kita ingin sesegeranya terbang menuju cahaya yang indah itu.

Perhatikan pula. Malaikat di langit menunduk ke dunia. Gelap. Lihatlah, aduhai malaikat pada kegelapan di seluruh ufuk. Tidak! Mata malaikat segera teralih pada bintik – bintik cahaya di muka bumi. Ah, ada cahaya. Ia segera terbang menerpa. Apakah gerangan cahaya itu?

Ia adalah masjid Allah yang tersergam di seluruh pelusuk bumi. Malaikat segera melebar sayap mendekati. Ah, ada cahaya lagi! Apa?

Ia adalah manusia mukmin yang tengah beribadat bersujud pada tuhan bersaf – saf. Malaikat terus mendekati melabuh sayapnya. Ah, ada cahaya lagi! Apa?

Ia adalah hati yang bersinar – sinar dengan ayat – ayat Allah yang di baca siang dan malam.

Itulah cahaya yang ada. Ada di dunia ini. Selepasnya adalah kegelapan.

Lihat Al Quran, surahAn Nur: 35,36,37,38. Rasakan kemanisan dan kegirangannya!

Cahaya adalah Al Quran, mukmin dan masjid. Jadilah penghayat Al Quran, pemakmur masjid dan teman orang yang beriman. Kita dalam cahaya. Cahaya atas cahaya. Tamat.

Belum tamat!

Selamat datang Gwen stefani!

Cahayailah kami dengan cahayamu..

Pentasmu masjid kami..

Gemilangkan kemerdekaan negara kami dengan lenggok sopan tubuh gebumu..

Merdekakan kami daripada sifat malu yang membelenggu..

Sertailah kami maju, bebas dan merdeka..

dengan Islam Hadhari!!

Laungkan untuk anak cucu kami…

” Hadhari! Hadhari! Hadhari! ”

Nyanyikanlah..

Ahhh, jika anda merasa celaka dengan bait – bait di atas..

makanya,,

anda adalah penderhaka pada Pak Lah!

Kerana itulah ucapan Pak Lah.. dalam getaran suara cahaya kegelapannya.

   

Salam Kamunting,

Enam tahun lepas, ketika saya masih menjawat sebagai mudir/pengetua Madrasah Darul Anuar ( kini Maahad Darul Anuar ) di Pulau Melaka, pusat pengajian ugama yang diasaskan arwah datuk saya, Tokku Nik Mat Alim, Nik Adli, kekanda saya adalah guru yang turut sama mendidik anak – anak murid yang kini kebanyakannya dah pun keluar universiti atau masih menuntut.

Beliau ditangkap dan ditahan di bawah Akta ISA pada tahun itulah. Samalah Seperti seluruh keluarga mangsa ISA yang lain, kami sekeluarga merasa cukup tertekan. Tetapi, Allah menukarnya secepat yang Dia mahu. Nik Adli  segera menjadi idola kebanggaan kami.

Jika anda menziarahinya di neraka binaan Umno itu ( sebelum Allah tunjukkan neraka buat mereka ), anda pasti disergap rasa kagum dengan kekentalannya, ketenangannya dan kepahlawanannya hidup mengabdi diri pada tuhannya selama lima tahun di situ. Kami melihatnya dan merasainya secar live sesudah kami membaca cerita – cerita para pejuang yang diuji dengan ujian yang sepertinya.

Ayahanda kami sudah tua. Apabila anaknya yang banyak mewarisi keperibadiannya itu ditahan, dia banyak sekali menangis membiar air matanya mengalir, lagi – lagilah di mihrab tempat bersujud mengabdi diri pada tuhannya di malam hari itu. Dia cukup tahu, anaknya adalah mangsa percaturan politik kotor musuh untuk melemahkannya dan memburukkan reputasinya sebagai seorang ketua pejuang Islam di negara ini. Tubuhnya gagal dicalar, lalu anaknya yang ini menjadi mangsa. Pasti ayahanda cukup tahu ini. 

Bonda kami, oh, bayangkan bagaimana terhirisnya hati seorang ibu yang dipaksa  mengutip kembali saat – saat indah masa melahirkan dan membesarkan anaknya daripada kecilnya.  

( Kalaulah Tun Mahathir dan Pak Lah sempat merasai kehangatan air mata itu di dunia ini sebelum merasai bahananya di akhirat, itulah yang terbaik buat mereka. Jikalah ada Jeanne yang memberitahu.. )

Selepas penahanannya beberapa hari, saya menulis mengenainya dengan hati yang gundah. Saya membelanya sepertilah saya mahu membela para mujahidin di Afghanistan yang hidup di medan perjuangan yang cercaan dan fitnah umat sendiri mengatasi hujanan peluru musuh. Saya hanya mengedarkannya kepada ahli jamaah di masjid kami. Beberapa orang teman menangis membaca tulisan itu.

Kini saya berusaha mencarinya, tetapi gagal. Saya acap menyimpan di tempat yang akhirnya tersimpan dari capaian saya sendiri! 

Tahun lepas, ketika Israel mula menyerang Lubnan, saat Nik Adli hampir genap lima tahun penahanannya, saya menulis lagi. Saya hantar kepada Harakah dan Harakah segera menerbitkannya.

Kekanda saya akhirnya dibebaskan dari kem tahanan Kamunting selepas lima tahun merengkok. Beliau dan sahabat – sahabatnya juga. Kini beliau di tahan tahanan terhad di rumah. Alhamdulillah, Allah memakbulkan doa semua.

Sempena hampir genap enam tahun ditahan, dengan harapan semoga beliau dan sahabat – sahabatnya bebas sepenuhnya ( minta dengan Allah, bukan Pak Lah ), saya lampirkan kembali tulisan itu di blog ini. Ini yang ori, berbanding yang disiarkan Harakah yang telah digunting – gunting. Semoga bermanfaat untuk bacaan semua. Ya, salam Kamunting…

( Terima kasih untuk dhuat79 yang menghadiahkan untuk saya sebuah lagunya yang cukup bagus melalui email dua malam lepas. Semuanya luahan kebencian terhadap kezaliman ISA. ‘ Di manakah Abi?’  Nak? Mintalah dengannya.. Rasanya, free.. )

 

Nik Adli, keluarga dan ISA

 

          Sudikah saudara pembaca budiman meluang sedikit masa untuk bersama Nik Adli, kekanda saya yang masih terperangkap di Kamunting sana. Maaflah, tumpuan dan diri kita hari ini memang patut dihulurkan ke Lubnan, atau lebih jelas lagi, ke bumi Palestin.

          Saya pun keliru juga untuk menulis pasal dan perihal kami sekeluarga pada saat ummat Islam sedunia berada pada tahap segenting ini. Maha guru Dr Yusuf Al Qardhawi berkata, jihad di Lubnan, apatah di bumi Palestin adalah sesuci – suci jihad di muka bumi hari ini. Nilainya tinggi disisi agama, di sisi Allah. Usah berkira pasal Hizbullah itu Syiah. Mereka adalah ahli Kalimah Syahadah, seperti kita, berdepan dengan sebesar – besar jentera kalimah kufur di muka bumi.

          Tsunami dulu telah mengubah peta muka bumi. Peperangan di Lubnan hari ini akan mengubah peta wajah kehidupan manusia di bumi. Khabaran awalan daripada Nabi agung, sallallahu alaihi wasallam perihal ummatnya hari ini sentiasa diikat dengan peristiwa – peristiwa pertembungan di bumi Syam di antara tentera muslimin yang memikul kebenaran dan keadilan dengan bangsa Yahudi yang memikul panji kerosakan di muka bumi. Apalah sangat cerita Kamunting saat ini.

           Kalaulah tidak kerana masa rakyat Malaysia masih ada untuk dikosongkan buat mendengar penjelasan Siti pasal bakal suaminya, atau Khairi pasal bukan Mayanya, atau Pak Lah pasal menantunya, atau Tun Mahathir pasal duka nestapanya, atau macam – macam pasal lagi, sudah pasti saya tidak suka untuk bercakap juga pasal Nik Adli dan rakan – rakannya yang terkurung sejak sekian lama di Kamunting itu.

           September ini genap lima tahun abang saya itu menghuni kediaman yang dibina pemerintah Melayu Malaysia buat menahan rakyatnya yang jahat – jahat yang ditakuti menular kejahatannya di dalam masyarakat. Nik Adli atau sesiapa sahaja yang berada di kediaman ini yang dihukum sebagai jahat tadi akan menikmati dua nyawa. Satu nyawa kurniaan Penciptanya untuk hidup di dunia ini. Kedua, nyawa kurniaan Menteri Dalam Negeri untuk dia meneruskan kehidupan di Kem Kamunting.

           Bezanya, bila nyawa kurniaan tuhan ditambah disambung, tiada insan yang tak gembira menyambutnya. Ada yang buat majlis baca doa panjang umur, ada upacara tiup meniup lilin.  Raya puja umur pun ada juga. Adapun bila nyawa kurniaan menteri tadi disambung, ia disusuli dengan titisan air mata kesedihan yang teramat sangat oleh seluruh yang menanti nyawa itu tak disambung.

           Tapi, seperti halnya Raja Namrud dan Firaun di zaman dulu – dulu, menteri ini jadi seronok dapat jadi seperti Tuhan, kalau pun tak jadi Tuhan, untuk memberi dan menarik nyawa rakyatnya yang jahat – jahat ini.

               Nik Adli dan rakan – rakannya ditahan di bawah ISA atas tuduhan menjadi pengganas di bumi Malaysia. Dalam ISA, tuduhan adalah bukti yang kukuh. Mahkamah tidak diperlukan. Cukup dengan siasatan SB. SB adalah malaikat yang tak pernah dibolosi kekurangan fakta. Menteri Dalam Negeri yang bertakhta di arasynya hanya menunggu para SBnya berterbangan ke puncak membentang bukti – bukti yang takkan silap, lalu disahkannya. 2 tahun kau ke neraka Kamunting!

           Tuduhan juga menyebut bahawa sekolah – sekolah agama, pondok – pondok pengajian Islam yang dibina dan dibajai ilmu para tok guru di kampung  telah menjadi sarang merekrut bakal pengganas dan militan agama. Penglibatan mereka di dalam jihad Afghanistan menentang kuasa Rusia yang kufur juga ibarat menyimbah minyak ke api yang sedang marak. Kerana bahaya ini, Nik Adli dan lebih 20 rakan – rakannya ditahan bersama kumpulan pengganas ugama yang lain di bawah ISA.

            Tak lama selepas itu, peperangan dilancar ke atas seluruh sekolah ugama rakyat. Tun Dr Mahathir, lagak Yahudi mengebom Lubnan, akhirnya berjaya memaksa kebanyakan sekolah – sekolah ugama tunduk kepada tuntutan pemerintah. Yang berkeras kehabisan bekalan makanan lalu rebah tersadai tanpa guru dan murid. Kalaulah beliau mampu, pasti dipikul usung sekolah – sekolah ugama ini ke Kamunting sama. Kalaulah kuasa nabi Sulaiman alaihis salam dicalit sedikit kepada mereka, itulah jadinya!

            Hebatnya kuasa! Kuasa mencipta bukti dan kuasa jua menolak bukti. Kuasa adalah kebenaran. Kebenaran yang menentang kuasa adalah kezaliman. Bila semua tunduk pada kuasa, itulah keadilan!

            Inilah manifestasi ISA. Pemerintah memeliharanya seperti sang bomoh memelihara dan menjamu jin iblisnya. Mimiknya, pemerintah ibarat si ‘syarifah’ itulah, bersandar pada kuasa jin iblis itu untuk memakan mangsanya.

            ISA menghukum dan memangsa dalam kesamaran. Pertuduhan tanpa pembuktian. Mana dacing/mahkamah? Persaksian tanpa kelayakan. Mana jejeknya pembohongan dan akhlak yang buruk? Penghukuman tanpa keahlian. Mana hakim? Menterikah?? Undang – undang tanpa peri kemanusiaan. Mana hak membela diri? Mana segala hak pemberian Allah??

            Allah menurunkan segala bukti dan keterangan, bersamanya al kitab dan al mizan            ( kaedah – kaedah yang mengukur kebenaran dan kebatilan ), bahkan diturunkan jua besi yang tumpat lagi keras itu agar manusia berdiri tegak dengan keadilan. Besi bukan buat merajakan kuasa seperti perbuatan Yahudi ke atas Palestin dan Lubnan, bahkan besi adalah kuasa yang memaksa Yahudi tunduk pada keadilan. Keadilan adalah raja. Keadilan adalah Allah.

            Saya adinda Nik Adli. Entah apa, saya selalu disapa sebagai kekandanya. Kalangan adik beradik beliau layak untuk tidak dikenali. Seorang yang pendiam. Tak petah untuk berkuliah di masjid walaupun beliau berilmu. Hobinya hobi kampungan, macam ayahanda. Berkebun, berternak. Hobi hebat masa kecilnya membuat bedil peluru bebola basikal atau panah besi ciptaan sendiri? Tak silap kami namakannya bedil teracak?? Hah, ini boleh jadi bukti militan ni! Saya selalu ikutnya menembak ikan di sawah.

            Masa kecil dia agak susah untuk lancar membaca Al Quran. Balik dari Pakistan, bacaannya menjadi. Seronok jika beliau menjadi imam mengganti ayahanda di masjid. Entah askar Taliban mana menjadikannya lancar dan merdu membaca al Quran. Mungkin ada dalam maklumat SB, malaikat Islam Hadhari.

            Masa di Pakistan, beliau terlibat dalam jihad Afghanistan bersama ratusan pelajar Malaysia yang lain. Mereka ke medan semasa cuti semester pengajian. Jihad suci membebaskan Negara Afghanistan dari kuasa komunis masa itu telah mendekatkannya kepada Tuhannya. Beliau mengimpikan mati syahid di jalan Allah. Bonda di Malaysia asyik menangis pasal anakandanya yang ini.

            Beliau mengutusi saya di India memohon saya mendoakan agar beliau syahid di medan. Saya yang turut mengikuti perkembangan jihad melalui majalah – majalah jihad yang terbatas turut teruja dengan impiannya. Saya mendoakan beliau Mati!! Berkali – kali tapi tak mati – mati jua. Saya tahu apa untung saya dan kami sekeluarga di akhirat kelak kalau kekanda saya yang  ini pergi dulu bersama para syuhada’ perjuangan. Syafaat di padang mahsyar.. Ingat Ibrahim Libya! 

            Rupanya, di sisi  Allah ada skrip yang berbeza untuk beliau. Bahawa musuh Islam itu satu walau apa ugama dan ideologi mereka, Nik Adli yang mengacu senapang ke arah komunis akhirnya ditangkap atas kehendak dan telunjuk  Amerika oleh kerajaan negaranya sendiri atas nama memerangi keganasan global.

            Selepas 5 tahun pulang belajar dari Pakistan untuk sepenuh masa menabur bakti menjadi guru ugama di sekolah ugama di Pulau Melaka, beliau bersama rakan – rakannya ditangkap dalam operasi gila – gila kerajaan Malaysia dan diISAkan. Kini beliau cukup 5 tahun dalam tahanan. Anak – anaknya yang dipisahkan daripadanya oleh kerakusan nafsu pemerintah kini telah memasuki alam persekolahan.

            Kesedihan adalah ujian Allah. Ia bertandang selepas kegembiraan berundur. Ia berundur apabila kegembiraan kembali lagi. Mungkin Ayahanda bonda berpaut pada degup  sabar Nabi Allah Yaacob menanti pelepasan Allah dalam mengalun rindu terhadap anaknya Yusuf alaihimassalam. Mungkin isterinya pula bersandar pada kenangan silam rindu Hawa terpisah sementara daripada hilai ketawa Adam alaihimassalam semasa diturunkan ke muka bumi.

            Anak – anaknya, siapakah yang dapat meneka jiwa anak – anak kecil apabila melihat sepupu sepupu mereka  bergelak ketawa dengan ayah – ayah masing – masing, sedang mereka hanya mampu melihat ayah mereka di jaringan besi yang memisahkan kasih daripada belaian, hilai tawa daripada pelukan?

            Saya, juga adik beradik yang lain memilih untuk berkata, kekandaku, kau adalah pahlawan dalam keluarga. Mengingatimu adalah ibarat mengasah tajam senjata memerangi kezaliman yang pasti lebur. Mereka telah salah dan menzalimimu sedangkan kau belum pernah dibuktikan bersalah. Mereka berdosa sebelum dan selepas. Sabarlah, kesabaran itu adalah kunci yang membuka. Apabila tali semakin tegang, ia berakhir dengan putus! Kau pun bebas. Bukankah sinar fajar itu sentiasa dekat? 

            Memerangi ISA adalah jihad yang tiada taranya di bumi kita. Memeranginya adalah seperti memerangi kerakusan Yahudi di bumi Palestin juga. Kerana ISA Islam ditekan sehingga melukut di kaki pemerintah. Pejuangnya dan seluruh pejuang keadilan dianiayai. Rakyat menjadi takut dan bacul. Ruh jihad Islami dipadamkan. Yang tinggal hanyalah ummat yang hanya tahu merintih dan hidup berangan – angan.

            Tuhanku, bebaskan Nik Adli dan rakan – rakannya sebagaimana Engkau melepaskan beburung terbang bebas diruangMu. Tuhanku, sematkan kesabaran didadanya sebagaimana Engkau permudahkannya untuk para kekasihMu. Tuhanku, hancurkan ISA dan pendukungnya sebagaimana engkau hancurkan musuh – musuhmu sehancurnya.

           

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Ogos 2007
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa