You are currently browsing the category archive for the ‘pemuda’ category.

Salam Palestin,

Saya terlewat dua hari. Baru sekejap tadi jengok Malaysian Insider cari berita pasal Prof Dr Abdul Aziz Bari kritik Yang Berhormat Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang untuk ke sekian kalinya.

Tapi dah ada tiga berita rupanya. Kelmari dulu beliau kritik lalu semalam dikritik pula oleh para pemimpin PAS dan hari ini beliau datang lagi mempertahankan kritikannya itu. Ini saya tulis ini kira himpun yang tiga-tiga tu jadi satu.

Terima kasih Prof Aziz kerana kritik. Tahniah Dewan Pemuda PAS Wilayah kerana ‘mengamuk’ dan terima kasih sekali lagi kepada Prof Aziz kerana melarang mereka yang muda-muda itu daripada mengamuk. Antara pantang larang orang-orang akademik ialah tidak boleh mengamuk. Mengamuk tanda tidak akademik dan ilmuan. Nasib baik mereka dah habis belajar di universiti. Jika tidak Prof Aziz akan anggap mereka mahasiswa yang tidak akademik dan berilmu.

Di universiti sekarang, yang terlebih mengamuk ialah kumpulan pro pembangkang. Adapun mahasiswa yang pro kerajaan mereka tidak buat perangai mengamuk. Mereka pada sisi pandang Prof Aziz Bari adalah lebih akademik dan ilmuan. Inilah masalah pembangkang, asyik melahirkan penyokong yang mudah mengamuk. Tak puas hati sikit mengamuk. Dikritik sikit, mengamuk. Mengkritik pun mengamuk.

Tapi saya pula ucap tahniah pada rakan-rakan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Bukan hanya kerana mempertahankan balik presiden mereka, tapi kerana mereka dianggap pengamuk oleh Prof Aziz. Saya tak fikir mereka rasa mereka sedang mengamuk semasa tindakan mempertahan itu berlaku. Hanya apabila Prof Aziz kata jangan mengamuk, baru mereka sedar tindakan mereka adalah amukan kepada Prof Aziz di mata Prof Aziz sendiri.

Jadi tindakan mereka cukup berkesan sehingga dianggap satu amukan oleh seorang bertaraf ilmuan dan akademik. Itu bukan calang-calang. Jadi saya fikir kena ucap tahniah kepada rakan-rakan saya itu. Saya sendiri memang tak boleh mengamuk dah. Dah dua hari terlewat. Mengamuk bukan boleh buat-buat, apatah main tangguh-tangguh.

Untuk pengetahuan, baru- baru ini saya tengok di TV ramai orang mengamuk di Mesir dan Tunisia. Hasilnya tumbanglah kedua-dua kerajaan yang sedia ada. Dengar kata, kerajaan tersebut sebelum itu tak suka rakyatnya mengamuk, malah menyekatnya. Nampaknya, mengamuk ini tidak disukai oleh orang-orang akademik seperti Prof Aziz Bari dan kerajaan yang zalim seperti Husni Mubarak.

Tetapi di sisi orang-orang berilmu di medan kehidupan dan perjuangan, oleh kerana sifat amuk itu berakar semulajadi dan tabie sifatnya, apatah di kalangan orang-orang Melayu mengikut kata orang putih, mereka telah menjadikannya satu aset penting memacu perjuangan dan kejayaan. Di Mesir tadi contohnya, amukan rakyat marhaen dan anak-anak muda itu telah disusun dan ditarsyidkan dengan sempurna oleh orang-orang berilmu yang berbakti di medan kehidupan dan perjuangan. Dikatakan, para ulama banyak memainkan peranan besar mengurus kerja-kerja tarsyid terhadap amukan rakyat tersebut sehingga membuahkan hasil yang diinginkan oleh semua termasuk Prof Aziz sendiri, iaitu kemenangan menumbangkan kezaliman. Para ulama tersebut walau bagaimanapun, sepertilah tuan guru presiden, biasanya dianggap lembap, kurang strategi dan terlalu ukhrawi dan kurang duniawi.

Mungkin kerana itulah saya gembira dengan ‘amukan’ pemuda Wilayah itu. Ini kerana mereka mengamuk mempertahankan ulama. Oleh kerana ulama ini kerja besarnya adalah tarsyid dan mengurus kebangkitan umat, maka saya yakin pemuda Wilayah, bahkan seluruh pemuda PAS akan sentiasalah amukan mereka itu terurus dengan baik kerana sentiasa diurus para ulama yang dipertanggung jawab oleh Allah untuk mengurus umat Islam sampai bila-bila selagi tak kiamat.

Tapi, Prof Aziz Bari tak boleh mengamuk. Pertama beliau tak suka orang mengamuk, maka mana boleh dia memgamuk? Kedua, jika beliau mengamuk tak ada ulama atau sesiapa pun boleh uruskan dia. Lihat saja dua tahun lepas, beliau telah mengamuk dan amukannya tak henti-henti sehingga datang mursyidul am PAS mengarahkan sebuah muktamar tergempar parti PAS untuk ‘menyelesaikan’ amukan Prof Aziz itu. Susah habis segala orang bila amukan tiada tarsyid berlaku.

Mungkin Prof Aziz Bari tak merasa pun dia mengamuk pada masa itu, tetapi saya dan ramai melihat dia telah mengamuk. Samalah seperti Prof Aziz anggap pemuda PAS Wilayah mengamuk hari ini sedangkan mereka tak rasa pun mereka sedang mengamuk.

Untuk pengetahuan, orang mengamuk secara umumnya memang tak sedar dia mengamuk. Kita hanya boleh melarang orang mengamuk selama mana kita sendiri tidak dalam dunia amukan.

Kemudian, Prof Aziz Bari nampaknya begitu bersyukur PAS kalah di Beting Maro, Sarawak dalam pilihan raya negeri itu baru-baru ini. Agak lama beliau tidak memiliki peluru buat membedil tuan guru presiden. Bayangkan jika PAS menang, peluru itu pasti bertukar menjadi peluru plastik. Prof Aziz akan bungkam atau jika dia mahu menembak juga dia akan berkata, sepatutnya PAS menang di dua atau tiga kerusi yang ditandinginya atau PAS sepatutnya bertanding di seluruh DUN majoriti Islam! Ha, keplastikan sangat peluru itukan. Maka mari bersyukur PAS kalah di Beting Maro..

Kemudian, Prof nampaknya terus mengagumi dan meratapi pemergian almarhum Dato Fadhil Nor. Seolah-olah beliau berkata, oh, kalaulah almarhum masih hidup, bla bla..

Saya pula lain. Bagi saya nasib baik beliau telah pergi menemui kekasihnya yang hakiki itu. Kerana ‘jikalah’ beliau hidup, siapa pula akan memimpin Pakatan Rakyat? Fadhil Nor atau Anwar? Saya naik bimbang pula bahawa Prof Aziz pada masa itu akan menghentam Anwar pula semacam RPK lakukan atau mencincang lumat almarhum Dato Fadhil Nor sambil berkata, “Kamu ni menyusahkan, sepatutnya kamu telah mati 10 tahun lepas lagi.” Bahasa orang mengamuk mana boleh agak?

Jadi, bagi saya, ketiadaan almarhum yang telah dipilih awal oleh Allah itu adalah kebaikan untuk semua. DSAI selesa memimpin PR dan Prof Aziz pula selesa melibas sana sini, wassana wassini.

Akhirnya, bagi saya, presiden PAS adalah liabiti jika;

Pertama, jika beliaulah yang telah mengumumkan Baru Bian sebagai bakal Ketua Menteri Sarawak dalam PRN Sarawak baru-baru ini yang telah menyebabkab PBB memperolehi undi swing Melayu Melanau Islam di sana dengan mudah dan percuma yang menyebabkan PAS apatah PKR sendiri kehilangan banyak undi.

Kedua, jika beliaulah yang mendesak MB Kelantan agar mengekalkan
larangan premis jualan untuk judi loteri yang mencetuskan kemarahan DAP, MCA, kaki judi dan sebahagian non muslim lelaki (wanita mana suka suami berjudi?).

Ketiga, jika beliau tidak suka Prof Aziz Bari mengkritiknya.

Jika tidak, maka tidaklah. Jadi, nasihat saya, teruslah mengkritik dan teruslah mengamuk. Kedua-duanya adalah bukan liabiliti buat PAS dan para ulama rabbani.

Advertisement

Salam Palestin,

Akhbar Utusan Malaysia beberapa hari lepas melaporkan kajian oleh Jakim menunjukkan kadar keruntuhan rumah tangga rakyat Malaysia yang agak tinggi akibat perkahwinan yang tidak mampu bertahan lama dan terdedah kepada perceraian awal yang agak membimbangkan.

Kajian terakhir menunjukkan lebih 30% pasangan bercerai dalam tempoh 5 tahun pertama perkahwinan dan hampir 45% perceraian adalah berpunca daripada kegagalan pasangan melaksanakan tanggung jawab selain msalah akhlak, kewangan, seksual dan campur tangan orang ketiga.

Kita sudah pasti terpanar dengan hasil kajian yang ditunjukkan dan ia sungguh menyedihkan. Ia cukup untuk menggambarkan betapa perkahwinan yang diharapkan mampu mencetus pembaikan, ketenangan dan penyelesaian terbaik dan berkesan kepada isu – isu penyakit masyarakat dan negara rupa – rupanya masih ditahap yang lemah dan membimbangkan.

Tiada yang terlalu indah selain perkahwinan di antara dua mempelai yang menyatukan kehidupan manusia secara semulajadi dan fitrah. Ia sebahagian daripada agama dan pengajarannya. Islam menjadikan perkahwinan sebagai sebahagian dari jalan menyempurnakan ugama dan kehidupan seseorang muslim di dunia ini.

Kesempurnaan itu bermaksud pasangan yang berkahwin itu telah menyelamatkan diri masing – masing daripada fitnah dunia yang besar yang boleh memporak perandakan ugama dan kehidupannya, selain membantu masyarakat dan negara membina kehidupan yang aman dan harmoni melalui ikatan kekeluargaan yang akan saling mempercayai, bersatu dan berkerjasama di antara mereka.

Hampir – hampir pembinaan negara itu bermula daripada rumah tangga yang bahagia, bukan individu yang berjaya. Bagaimanakah boleh digambarkan kehebatan dan kejayaan individu tanpa kehadiran institusi kekeluargaan yang menyokongnya? 

Tetapi, apabila kita dikhabarkan dengan hasil kajian yang menunjukkan sebaliknya, bahawa perkahwinan juga turut mencetus kegawatan kepada negara, maka bagaimanakah kita mampu menerimanya dengan tenang dan tanpa kebimbangan.   

Perceraian diharuskan agama sebagai jalan keluar kepada perkahwinan yang gagal untuk diteruskan dan diharapkan kejayaannya. Tetapi apabila kadarnya menjadi begitu tinggi sehingga mencabar perkahwinan itu sendiri (sebanyak 135,136 perkahwinan didaftarkan pada 2009, manakala 27,116 kes perceraian pula direkodkan pada tahun yang sama), maka ia memberikan setidak – tidaknya dua gambaran yang agak menakutkan;

Pertama, perceraian itu sudah tidak lagi boleh dianggap sebagai jalan penyelesaian, bahkan telah mencipta perpecahan di dalam institusi masyarakat dan masa depan anak – anak yang muram dan gelap.  

Kedua, perkahwinan pula bukan lagi dilihat sesuatu yang jernih dan kebal untuk pembinaan kehidupan impian, bahkan ia bagai menempuh gelombang badai yang memeritkan atau perjudian yang ditakuti akibatnya.

Istana perkahwinan kelihatannya telah dicerobohi musuh yang akan meruntuhkannya dari dalam.  

Jika ini keadaannya, sesuatu yang besar mestilah dilakukan oleh semua pihak, terutama pihak kerajaan yang memiliki kekuatan yang mantap untuk mengatasinya, selain masyarakat sendiri yang berperanan wajib membaiki secara bersama.

Mengapa pasangan muda hari ini gagal mempertahankan kemanisan yang mereka dambakan sepanjang umur remaja mereka? Bukankah umur muda remajalah menjadi tanah subur untuk kalimat cinta memekar dan tumbuh? Justeru cinta itulah yang memimpin mereka untuk mengimpikan keindahan abadi dalam kehidupan duniawi ini sehingga sebahagiannya menjadi abdi kepada cinta jenis ini?

Saya ingin berkongsi pendapat, semoga setiap yang bertanggung jawab dapat meletakkan satu ukuran yang benar sebelum merumuskan tindakan yang tetap dengan menilai keutamaan dan menimbangkan di antara beberapa natijah yang penting. Dengannya gerak kerja akan lebih bekesan.

Perkahwinan bertindak menyempurnakan kecacatan individu. Ia begitu mengubah cara hidup seseorang. Ia meransang rasa tanggung jawab dalam kehidupan dan kesediaan untuk memikul tanggung jawab. Maka kehidupan akan menjadi lebih sempurna kerana kehidupan hanya bermakna apabila amanah dan tanggung jawab dilestarikan.

Tetapi apabila perkahwinan gagal berfungsi sebagai pelengkap kesempurnaan, kita patut melihat kepada beberapa faktor;

Pertama, institusi perkahwinan yang gagal difahami. Berkahwin bukan berkawan. Ia lebih daripada itu. Tetapi perhatikan, ramai pasangan muda sering memilih ini, “Kami berkahwin kerana kami rasa begitu serasi semasa berkawan.” Tahukah mereka bahawa keserasian semasa berkawan tak akan sama dengan keserasian perkahwinan.

Islam menolak pengenalan dan penilaian melalui persahabatan yang lama sebelum perkahwinan walaupun melalui ikatan pertunangan. Ia menghapuskan rasa hormat, malu dan saling mengharap di antara pasangan. Ia menerima dan menolak tanpa rasa tanggung jawab yang sebenar. Penilaian sebelum perkahwinan adalah lemah dan palsu lantas bergantung kepadanya pasti akan melemahkan dan menggagalkan harapan menggunung selepas perkahwinan. Pasangan akan saling tuduh – menuduh di atas janji dan pengenalan rapuh sebelum perkahwinan. 

Pengenalan sebenar institusi perkahwinan mestilah disertai tanggung jawab untuk membaiki dan membina. Ia hanya teguh setelah perkahwinan berlaku. Akad nikah diperkenalkan agama sebagai janji pertama dan ikatan yang kuat simpulannya. Ia mesti difahami setiap pasangan bahawa akad itu menuntut kita bersedia menerima kekurangan dan kelebihan masing – masing. Tiada tuduh – menuduh mungkir janji terhadap pengenalan lama yang terjadi sebelum perkahwinan.

Kesediaan menerima ‘seadanya’ pasangan masing – masing adalah kunci kepada pembinaan dan pembaikian mahligai perkahwinan. Sifat – sifat terpuji akan segera memekar dan sifa – sifat buruk segera terlerai satu demi satu. Berkenalan selepas perkahwinan adalah bagai satu proses mencantumkan dua denyut nadi, nyawa, tubuh, diri dan ruh menjadi satu. Ia satu seni dan sesuatu yang seni memerlukan penghayatan yang lebih dan lebih telitinya. Dalam setiap diri ada seni. Jelmakan kemuncak seni anda di sini selepas seni pada mengenal Allah dan raulNya.   

Bukanlah pengenalan pra perkahwinan itu buruk, tetapi keburukan adalah apabila perkahwinan digantungkan dan digadaikan kepadanya. Di situlah kerosakan dan keretakan mudah berlaku.

Sekarang perhatikan sebab – sebab perceraian yang melanda bagai api yang membakar di sebalik majlis perkahwinan yang meriah sekali. Ketika berlaku khilaf dan selisih di antara pasangan, di mana hilangnya rasa hormat, rasa malu dan rasa tanggung jawab masing – masing? Ya, ia telah hilang dalam seribu janji yang berlaku sebelum janji sebenar di saat lafaz akad nikah dimeteraikan.

Anak – anak muda hari ini gagal memahami hakikat dan makna perkahwinan. Mereka berbicara pasal keseronokan menimang nafsu sedang agama mengajar mereka untuk berseronok menimang tanggung jawab dan membina kesempurnaan hidup. 

Kedua, generasi baru yang lemah binaannya. Inilah faktornya. Kadar perceraian yang tinggi adalah petanda generasi anak muda yang lemah binaan tubuhnya. Ia bermula daripada kegagalan mereka membina diri. Kesannya tampak jelas pada cara mereka membina rumah tangga pula.

Hari ini kita berbicara secara serius mengenai modal insan. Mengapa? Bukan kerana kita tidak pernah sedar kepentingannya, tetapi kerana kita telah gagal membinanya semenjak sekian lama. Dan hari ini pun, saat kita berbicara lantang mengenainya, kita belum pun menemui caranya yang sebenar dan selamat kecuali mereka yang dikasihi Allah.

Sistem pendidikan kebangsaan negara kita masih terlalu lemah. Pemusatan kepada kekuatan jasmani yang dicapai melalui aspek – aspek lahiriah yang banyak melampaui kekuatan rohani yang seharusnya memimpin kekuatan lahiriah tadi. Asyik kita melihat kejayaan lahiriah kita membutakan kita daripada melihat kepunahan isi dan nurani dalam yang sentiasa menjadi pembunuh kejayaan zahiriah kita itu. 

Generasi muda harapan di menara gading sedang terlibat dalam jenayah, maksiat, budaya kuning dan syirik. Apatah lagilah jika dikira anak – anak muda yang terbantut pendidikan awal mereka lalu terbiar tanpa tangan tanggung jawab yang dihulur buat menyelamatkan mereka daripada kecundang dalam dunia jenayah, dadah, arak dan zina.

Ini kenyataan yang sedang kita hadapi secara bersama.

Setiap mereka telah dan akan mendirikan rumah tangga. Samada lelaki atau perempuan, anda boleh bayangkan betapa sukarnya kita memberi harapan untuk kejayaan mereka membina istana perkahwinan yang teguh.

Dalam tubuh mereka tiada agama yang lurus, iman yang sempurna, jiwa yag khusyu’ dan ilmu yang bermanfaat. Mereka berbekal segulung ijazah dan wang yang banyak untuk membina perkahwinan. Cukupkah itu untuk menimang anak dan tanggung jawab?

Di sini, harapan adalah sukar sehinggalah kita bersedia menerima perubahan besar di dalam sistem pendidikan dan segala sistem hidup yang menyempurnakan syakhsiyah diri anak – anak muda harapan bangsa. Daripada situ, kita pasti boleh kembali gembira untuk melihat ikatan perkahwinan yang menjanjikan kedamaian dalam kehidupan manusia, bukan membimbangi keretakan dan kehancuran rumah tangga.

Ketiga, Persekitaran yang lemah dan tidak membantu. Ia tambah menyukarkan apabila istana perkahwinan yang baru dibina berhadapan dengan persekitaran yang tidak membatu meneguhkannya. Perhatikan pada kehidupan ibu bapa, mertua dan keluarga sendiri yang lemah dengan mementingkan dan membanggakan status zahir dan meninggalkan ugama. Lihat persekitaran kawan – kawan yang berlumba dan menuntut penonjolan bermewah – mewah dalam membina rumah tangga dan lihatlah juga pada kehidupan umum hari ini yang begitu mengagungkan duniawi dan dosa.    

Dengan jiwa dan binaan diri yang lemah, persekitaran kehidupan yang kotor hari ini telah begitu merempuh istana perkahwinan yang dibina setiap hari di negara kita.

Jadi, ketika kita berbicara mengenai perkahwinan dan pembinaan rumah tangga kekal bahagia, kita akan dapati bahawa ianya memerlukan satu penyelesaian yang menyeluruh yang begitu menuntut kehadiran kekuatan dan kekuasaan untuk mengubah kebiasaan dan kelaziman yang telah berakar umbi dalam kehidupan. Keruntuhan rumah tangga yang baru saja dibina jelas memberi petunjuk bahawa arus jahat terlalu ganas untuk menjahanamkan perkahwinan baru untuk berakar umbi.

Tetapi menuntut pemerintah negara menyedari kesilapan dan kesalahan mereka tetap sukar. Pemerintah yan terlalu berkuasa seperti di negara kita terlalu ego dan sombong untuk mengakui kesilapan.

Justeru, selepas gandingan mendesak dan memburu kerajaan dimantapkan, hendaklah sentiasa ada jentera – jentera islah dan pembinaan dalam masyarakat seperti para ulama, madrasah, masjid dan pertubuhan – pertubuhan bukan kerajaan untuk memainkan peranan membina institusi keluarga yang bahagia dan diredhai Allah. 

Salam Palestin,

Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan program Ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS peringkat kebangsaan 2010 bermula 1 hingga 3 Oktober 2010 bertempat di kampung Rusila, Marang, Terengganu. Program tarbawi perdana yang julung kali diadakan sejak sekian lama ini dijangka akan dapat menghimpunkan ribuan jentera pemuda PAS dan pendukung gerakan Islam dari seluruh negara.

Program ijtima’ perdana ini adalah bermatlamat menggerakkan pemuda untuk memahami tanggung jawab membina kekuatan PAS melalui tarbiyah dan sistemnya yang jitu. Ia juga bersempena dengan pindaan perlembagaan PAS terbaru yang telah memberi ruang dan melibatkan jentera pemuda di peringkat kawasan ke dalam program kemuncak parti iaitu muktamar tahunan. Program ijtima’ akan membantu jentera kawasan di seluruh negara untuk memahami dan menilai peranan dan tanggung jawab masing – masing.

Melalui program 3 hari 2 malam ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia mensasarkan kehadiran sekurang – kurangnya 20 orang jentera pemuda setiap kawasan selain jenteranya di peringkat pusat dan negeri. Jangkaan kehadiran lebih 3000 orang jentera pemuda ini pula akan dihangatkan lagi dengan jemputan umum, terutamanya kepada seluruh pemuda PAS seluruh negara yang berminat untuk menyertainya.

Jemputan khas juga disasarkan kepada seluruh pelajar daripada universiti dalam dan luar negara. Tidak ketinggalan, kehadiran peserta daripada Dewan Muslimat, terutama daripada unit NISA’nya dijangka akan memperkasakan lagi program besar ini.

Justeru adalah dijangkakan, program yang akan melibatkan penyertaan hampir keseluruhan kepimpinan utama PAS ini mampu menghimpunkan lebih 5 ribu orang peserta dari seluruh negara.

Sehingga kini, hampir 20 orang pimpinan PAS telah menyatakan kesanggupan untuk bersama pemuda dalam program ijtima’ tersebut. Di antara kehadiran utama yang akan turun menyampaikan amanat dan wasiat tarbawiyah tersebut adalah al Mursyidul Am PAS, Presiden PAS, Timbalan dan Naib – Naib Presiden PAS, Ketua Dewan Ulama, Ketua Pemuda dan Ketua Dewan Muslimat PAS selain kepimpinan tarbiyah utama PAS seperti al fadhil Dato Dr Haron Din dan al fadhil Ustaz Dato Haji Yahya Othman.

Lebih memeriahkan, ijtima tarbawi ini dijangka menerima kunjungan tetamu daripada gerakan Islam daripada timur tengah.

Di antara agenda menarik yang telah disusun untuk memeriahkan dan mengoptimumkan hasil tarbawi melalui program ijtima’ ini adalah siri  kuliah talaqqi kitab Tafsir al Tibyan syarah surah al Hujuraat oleh pengarangnya sendiri iaitu Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang. Kitab tersebut yang kini dalam proses ulang cetak sempena program ijtima tersebut telah diberi kata pengantar oleh al fadhil Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat.

Selain itu, program forum, pembentangan, ceramah tarbawi perdana, solat dan bacaan al ma’thurat berjamaah dan lain – lain lagi dijangka akan memeriahkan lagi isi perhimpunan ala mukhayyam perdana tersebut.

Pengarah program ijtima’, Ustaz Haji Azman Shapawi dan Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia yang diberi tugas utama menjayakan program ini ingin merakamkan harapan kepada seluruh jentera pemuda di seluruh negara untuk memastikan kejayaan program ini dengan kehadiran penuh dan komitmen yang tinggi terhadapnya. Semoga Allah memberkati.

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Jun 2023
I S R K J S A
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
2627282930  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa