You are currently browsing the monthly archive for September 2008.
Salam Ramadhan,
Kewajiban semasa kita di bulan Ramadhan ini selain ibadah puasa adalah zakat fitrah. Ia diwajibkan ke atas setiap muslim, samada lelaki atau perempuan, kecil atau besar, merdeka atau hamba, kaya atau miskin. Ia zakat kepala ( individu ) dan bukan zakat harta yang mensyaratkan cukup nisab.
Zakat fitrah wajib ke atas setiap insan muslim yang hidup saat tenggelamnya matahari akhir hari bulan Ramadhan, memasuki bulan Syawal ( malam hari raya ). Ketua keluarga mestilah melaksanakannya atas diri dan anak buah di bawah tanggungannya. Terkecuali adalah si fakir yang tidak mampu menyediakan makanan untuk dirinya sendiri pada hari raya tersebut.
Ia mesti dilaksanakan bermula malam raya sehinggalah sebelum solat Hari Raya eidil Fitri keesokannya. Ia harus juga dilaksanakan lebih awal sepanjang bulan Ramadhan. Melaksanakannya selepas solat raya akan menghilangkan pahala dan keberkatan zakat fitrah. Melewatkan pelaksanaannya sehingga terbenam matahari hari lebaran itu adalah berdosa. Zakat fitrah tidak akan luput sehinggalah ianya dilaksanakan.
Kadar zakat adalah segantang makanan asasi setempat ( seperti beras ) atau senilainya dengan wang. Oleh kerana keperluan hari raya orang faqir miskin adalah pelbagai sepertilah kita, maka sesetengah ulama hari ini melihat melaksanakannya dengan nilai wang adalah lebih baik.
RasuluLlah menetapkan kewajiban dengan timbangan makanan atas dua faktor ( menurut ulamak ): Pertama, masa itu matawang adalah sukar dan bukan medium utama jual beli masyarakat Arab. Kedua, Nilai wang tidak tetap. Ia mungkin berbeza – beza mengikut masa, tempat dan suasana, sedangkan timbangan makanan adalah tetap. Secupak hari itu mengeyangkan sejumlah yang sama hari ini.
Hikmat diwajibkan zakat fitrah:
Hadis riwayat Abu Daud daripada Ibni Abbas radiaLlahu anhu, dia berkata: RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam telah memfardhukan zakat fitrah sempena bulan Ramadhan demi penyucian terhadap orang yang berpuasa di atas perbuatan lalai dan buruk yang dilakukan sepanjang puasa, juga demi memberi makan kepada golongan miskin. Barang siapa menunaikankannya sebelum solat ( Eidil Fitri ), maka ia adalah zakat yang maqbul. Barang siapa yang menunaikannya selepas itu, maka ia adalah sedekah ( tiada lagi pahala zakat fitrah walaupun terlaksana kewajiban itu ).
Syeikh Dr Yusuf al Qaradhawi berkata:
Sesungguhnya orang yang berpuasa tidak boleh lari daripada mencampur adukkan puasanya dengan perkara – perkara yang lalai dan buruk seperti perbualan kosong dan bohong yang dia ucapkan atau dengarinya, atau melihat pada perkara yang tidak diharuskan untuknya, atau lain – lain seumpamanya.
Allah taala pula menghendaki agar orang yang berpuasa itu hidup dalam keadaan yang bersih sekali. Tiada lalai dan tiada dosa. Dia menghendaki sebuah kehidupan di bulan Ramadhan seolah – olah sebuah kehidupan di syurga yang disegerakan untuk manusia di dunia ini. Apabila dihina atau diperangi, maka dia tidak boleh membalas cercaan dengan cercaan juga, atau keburukan dengan keburukan, bahkan hendaklah dia membalas keburukan itu dengan kebaikan dan dia berkata, ” Sesungguhnya saya tengah berpuasa. Sesungguhnya saya tengah berpuasa.”
Inilah dia kehidupan orang yang berpuasa dengan puasanya. Bukanlah puasa itu hanya dengan menahan diri daripada makan dan minum. Bahkan ia menahan diri daripada kelalaian dan keburukan, kebisingan dan kejahilan, kebodohan dan kenistaan, kepalsuan dan kebatilan.
Inilah yang Allah tuntut daripada mereka yang berpuasa. Tetapi, siapakah antara kita yang berpuasa yang mampu sampai ke martabat tersebut?
Sesungguhnya orang yang berpuasa selalu sahaja bercakap lalai dan acap kali dia bercakap nista dan bodoh. Justeru datanglah kefardhuan zakat fitrah di hujung Ramadhan demi membersihkan orang yang berpuasa daripada kemungkinan apa yang akan mengeruhkan kejernihan dan campur baur puasanya itu dengan kekotoran tadi.
Telah diriwayatkan dalam satu hadis: ” Puasa di bulan Ramadhan itu tergantung di antara langit dan bumi, tidak diangkat ke langit kecuali ditunaikan zakat fitrah.”
Maksud tergantung itu adalah bahawa penerimaan Allah terhadap puasa itu tidak sempurna. Ia tidak sempurna sehinggalah dilaksanakan zakat fitrah tersebut. Dari satu sudut ia membersihkan orang yang berpuasa dan dari sudut yang lain ia memberi kenyang kepada golongan miskin.
RasuluLlah telah bersabda dalam hadis yang lain, ” Cukupkan mereka daripada meminta – minta pada hari raya tersebut.” Jangan dibiarkan si miskin walau seteruk mana faqirnya, sebesar mana keperluannya untuk menghulurkan tangannya meminta – minta pada hari lebaran, hari kegembiraan dan keseronokan.
Wajib ke atas kaum muslimin untuk turut menyertakan golongan miskin bersama – sama bergembira di hari raya tersebut. Justeru zakat fitrah diwajibkan. Ia memberikan golongan faqir sebelum mereka meminta, sebelum dia menjatuhkan air mukanya dan sebelum dia menghulurkan tangannya ( sumber: laman web www.qaradawi.net. )
Islam agama persaudaraan:
Allah suka mengembirakan kita dengan pengampunanNya ke atas kesalahan dan kekurangan yang kita lakukan sepanjang ibadah di bulan mulia ini. Justeru kita dituntut untuk mengembirakan fakir miskin dengan menampung kekurangan mereka demi kegembiraan bersama di hari lebaran.
Apabila anda melihat kewajiban dan hikmat pensyariatan zakat fitrah di atas, jelas sekali untuk kita memahami bahawa Islam adalah ugama persaudaraan antara manusia. Ia telah sedia lama wujud sebelum datangnya seruan – seruan dan slogan – slogan yag sama daripada barat atau timur hari ini.
Ini, apatah anda akan terus meneroka kehebatan Islam berbicara pasal kesamaan dan pembelaan terhadap golongan marhain di bawah dalam setiap serunya. Mereka adalah seperti kita jua.
Jadi, mengapa harus kita memperkecilkan ugama sendiri dengan mendewakan ketinggian ideologi munusiawi yang penuh kepincanagan untuk menyusun cara hidup kita?
Pada kesempatan ini, saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri kepada seluruh pembaca yang membaca dan memberi sokongan kepada saya untuk terus menulis di talian dakwah ini.
Semarakkan takbir di malam dan pagi raya, moga ia beralunan dengan rasa syukur dilimpahi hidayat Ramadhan.
Hiasilah diri dengan pakaian serba baru, moga ia menyegarkan diri dengan semangat taqwa tuaian Ramadhan.
Salinglah bermaafan sesama kita umat Islam, moga ia mencetus keharmonian dan kesatuan di antara umat Ramadhan.
Janganlah lupa melaksanakan kewajiban membayar fitrah, moga kita takkan lupa segala kesusahan dan kesempitan umat sendiri.
Janganlah lupa terhadap mereka yang terpenjara dan terpisah daripada keluarga di pagi raya demi mempertahan kebenaran dan kebebasan.
Bergembiralah dengan janji – janji Allah ke atas para pejuang kebenaran bahawa dunia ini milik hambaNya yang bertaqwa.
SELAMAT HARI RAYA EIDUL FITRI
Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz dan Farah binti Abdul Fatah.
Nik Ahmad Shah Waliyullah, Nik Mus’ab Umairi, Nik Nurana Nazeehah, Nik Izzuddin Qassam, Nik Zati Maisuri, Nik Abdul Mun’im dan Nik Ahmad Saif Mudzaffar.
Salam Ramadhan,
Semasa saya mengunjungi ayahanda di hospital untuk memberitakan pemergian saya ke Mesir sebelum bulan Ramadhan baru – baru ini, saya sempat juga menyertai perbualan ayahanda dengan beberapa orang pelawat yang lain. Sangat biasa saya hanya menjadi pendengar yang tekun sahaja dan jarang mencelah kecuali apabila perlu, saat ayahanda berpaling ke arah saya seperti meminta pandangan daripada saya.
Apabila saya memberi pandangan di hadapannya, saya agak terlalu merendahkan suara sehingga saya sendiri rasa terkilan, bimbang ayahanda gagal memahami maksud saya. Ia mungkin suatu yang negatif dan dilihat tidak memberi manfaat apa – apa. Tetapi, sepanjang dididik sedari kecil di bawah tarbiyah Islamiyah, samada di rumah atau di sekolah, saya mendapatinya sebagai suatu terjemahan kepada adab – adab Islamiyah yang tinggi.
Ia bagi saya adalah penghayatan kepada sebuah kehidupan yang penuh sopan dan teladan yang dianjurkan Islam. Adab dan akhlak mulia adalah isi penting pengajaran dan kehidupan Islamiyah.
Pertama, saya kena memuliakannya sebagai seorang bapa. Ibu dan bapa adalah syarat memasuki ridha dan syurga tuhan. Ia menyentap nikmat perjuangan dan kehidupan jika dialpakan dan dipinggiri kepentingannya. Ayah dan ibu bukan untuk dipohon ampun dan dipeluk cium hanya di pagi raya, bahkan setiap pagi adalah hari raya untuk mereka daripada kita anak – anak. Kita perlu membahagiakan mereka di hadapan dan di belakang mereka. Biar kita menjadi syurga mereka di dunia ini sebelum mereka menjadi syurga kita.
Ibu bapa mana tidak gembira melihat kita tergagap – gagap rentak kita di hadapannya semata – mata kerana ingin menghormati, beradab dan menjaga tata santun kita di depannya. Biar mereka menikmati kita hari ini sebagaimana mereka menikmati kita semasa mereka mendidik kita semasa kecil dahulu. Perhatilah, merekakan terhibur melihat gelagat dan ngomelan cucu – cucu mereka, anak – anak kita itu. Biar sifat keanakan itu masih menjadi pakaian rasmi kita di hadapan mereka, biar besar mana nama kita di sisi masyarakat di luar sana.
Kedua, saya kena memuliakannya sebagai seorang ulama. Ayahanda adalah tok guru di sisi masyarakat. Ia terus memuncak sehingga masyarakat menobatkannya sebagai seorang Menteri Besar sebuah kerajaan negeri Islam. Kesultanan pula memuliakan penghormatan rakyat ke atasnya dengan menganugerahkannya pula gelaran kebesaran istana. Panjangnya nama ayahanda, Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz bin ( Tuan Guru ) Haji Nik Mat ( Alim ).
Jika semua masyarakat berebut – rebut untuk memuliakannya, maka mestilah saya kena merebutinya di tempat yang pertama. Dia ayah saya sebelum dia adalah tok guru saya dan semua. Saya mesti memenangi perlumbaan ini di tempat yang pertama.
Ulama besar sungguh di sisi Islam. Ia menjadi besar kerana tiada lagi nabi hari ini. Tiada lagi utusan langsung dari langit atas sebagaimana zaman dahulu kala sebelum kedatangan rasul akhir zaman sallaLlahu alaihi wasallam. Zaman mana ada nabi, tiadalah ulama menjadi besar sebagaimana hari ini yang tiada lagi nabi.
Ulama itu pewaris para nabi. Nabi mewarisi ilmu langit. Kadar mana ilmu itu diwarisi ulama, kadar itulah darjat ulama menjadi tinggi. Oleh kerana nabi kita begitu diangkat ketinggiannya, maka para ulama pewaris pun turut mewarisi dan menerima tempias ketinggian itu. Ulama dijulang kerana nabi dijulang. Ulama dipalang pun kerana nabi dipalang jua.
Ulama mewarisi ilmu dan perjuangan para nabi. Bebanan ulama tak sama dengan bebanan kita orang biasa. Mereka mesti menjaga ugama. Mereka mesti menjaga dakwah. Mereka kena menarik kemaslahatan kepada ummah dan menolak kemudharatan daripada mereka.
Begitu ugama ini dijaga daripada kebatilan dan kerosakan. Ia mesti kekal sebagai ugama suci untuk dianuti jiwa yang mahukan kesucian di dunia ini.
Allahlah yang menjaga ugama ini. Ia mengarahkan malaikat Jibril memeliharanya sehingga terus diwahyukan dan diperolehi al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. Kemudian baton penjagaan itu dipegang oleh Nabi Muhammad sehinggalah kewafatannya. Kemudian ia diserahkan kepada para sahabat sebagai ulama dan pewaris pertama ugama ini. Mereka adalah para tuan guru pertama umat Muhammad sebelum kita.
Di sini berlaku lompang yang memisahkan antara dua rasul tuhan ( Jibril dan Muhammad ) dengan para sahabat ( ulama pertama ). Yang pertama disucikan daripada dosa dan kesalahan, sedang yang kedua kekal berhadapan dosa dan kesalahan.
Bagaimana agama ini dijaga oleh para pewaris yang tidak mewarisi kesucian dan ismah ( maksum )? Tidakkah ini mengakibatkan ugama juga akan terdedah kepada pemalsuan dan pemunahan?
Ia adalah persoalan yang besar dan pasti mencetus fitnah. Tetapi Allah yang maha bijaksana lebih mendahului persoalan itu dengan jawaban yang telah pun siap siaga disediakan.
Nabi Muhammad diarah untuk meladeni para sahabat yang akan mewarisi ugama ini daripadanya dengan menjadikan mereka ahli mesyuaratnya. Siapalah para sahabat yang penuh kekurangan untuk diambil timbang pandangan mereka di hadapan ar Rasul yang penuh maksum? Tidakkah cukup sudah segala jawaban jika ianya datang walaupun hanya dari seorang seperti ar Rasul? Apalah gunanya lagi pandangan para sahabat?
Namun begitulah Allah mempersiapkan jawaban buat mengisi kelompangan besar antara kedua – duanya. Betul, al Rasul cukup dengan wahyu dan Allah di sisinya untuk menjaga ugama tanpa pandangan dan jawaban para sahabat, tetapi begitulah amalan syura dihidupkan seawal zaman nabi masih di persada kehidupan buat memahamkan kita bahawa syura ulama adalah pewaris ugama ini.
Seorang nabi tidak diwarisi oleh seorang ulama. Seorang Muhammad yang menjaga ugama itu diwarisi ilmu ugama dan perjuangannya oleh sejumlah ulama yang membentuk syura yang muktabar.
Jumlah yang ramai itulah yang menjadi penyelamat sepanjang zaman kepada perjalananan ugama suci ini untuk terus kekal suci sampai kiamat.
Syura mesti daripada ulama yang mewarisi ilmu al Quran. Ia mesti dipilih oleh para ulama daripada kalangan mereka atau dengan keputusan mereka. Demikian ugama ini menjadi kebal untuk dibolosi anasir – anasir yang akan mencacatkan dan mengotorkan agama suci ini.
Agama bukan milik Ibnu Taimiyah atau Hasan al Banna atau Yusuf al Qaradhawi atau individu mana pun. Juga, ia bukan milik Abdul Aziz, atau Abdul Hadi atau Harun Din atau individu mana pun. Ia milik syura yang dikebalkan Allah dengan kekebalanNya. Himpunan ulama mencipta Ijma’ ulama. Ijma’ ulama adalah sumber ugama selepas Al Quran dan al Hadis. Begitu kita mesti memahamkan diri.
Betul, setiap ulama adalah bintang yang bercahaya. Anda menikmatinya saat langit malam itu cerah, aman dan sejahtera. Namun, apabila awan mula menggulung – gulung dan petir memanah – manah, anda kehilangan petunjuk bintang itu.
Begitulah, anda kehilangan individu ulama itu saat fitnah menyerang umat. Anda memerlukan petunjuk yang lebih jelas dan tepat. Itulah syura ulama yang pasti menunjuki.
Semasa saya menyertai perbualan ayahanda dengan beberapa pelawat lain di wad Hospital Pakar Perdana itu, seorang exco negeri memberitahu ayahanda bahawa semacam ada usaha untuk menukarkan kepimpinan ulama di dalam PAS dengan kepimpinan Islam. Ia merujuk kepada beberapa isu dalaman yang melanda PAS saat itu. Juga hari ini?
Ayahanda dengan wajah cerianya mencelah, ” Bagaimana mereka boleh memisahkan antara kepimpinan Islam dengan kepimpinan ulama?”
Anda tak rasa hebatkah dengan jawaban ayahanda ini? Jika begitu, anda betul – betul anak murid yang nakal! Atau beballah..
Saya terbawa – bawa hikmah ini sehingga mensyarahkannya kepada adik – adik seperjuangan di bumi Mesir. Dan sehingga sekarang saya akan menghidupkan hikmah ini.
Jika anda seorang doktor, anda diamanahkan menjaga kesihatan tubuh. Jika anda seorang arkitek dan engineer, anda diamanahkan menjaga kesihatan bangunan. Jika anda seorang ekonomis, jagalah kesihatan kocek.
Jika anda bukan seorang ulama, janganlah anda melangkah ulama untuk menjaga ugama dan dakwah ini. Kelak anda marah jika anda digelar anak tak beradab atau murid yang nakal.
Kita dalam PAS jangan jadi budak – budak nakal. Malu kita..
Salam Ramadhan,
1) Mujurlah ( AlhamduliLlah ) Allah menjadikan kemuncak Ramadhan di hujungnya. Jikalah pencarian Lailatul Qadr itu di sepuluh hari yang pertama, tiadalah lagi suara – suara syahdu munajat sang hamba di malam – malam akhir ini. Tiadalah antara kita yang mampu menyempurnakan 30 hari Ramadhan dengan sebaiknya. Hujung mestilah memuncak di dalam hayat seorang muslim.
“Tuhanku, jadikanlah sebaik – baik umurku adalah dihujungnya. Dan jadikanlah sebaik – baik amalku adalah dipenamatnya. Dan jadikanlah sebaik – baik hariku adalah hariku bertemuMu.” – doa al Rasul.
2) Betapalah hebatnya ( SubhanaLlah ) Tuhan yang mengurniakan Lailatul Qadr untuk umat Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Sungguh Allah Tuhan yang maha pemurah, menyayangi dan mengasihi. Sejahteralah sang hamba yang berlumba – lumba merebuti Lailtul Qadr. Berbahagialah dia dengan doa dan istighfar para malaikat yang merayakan kadatangan malam segala malam ini.
Bagaimana dibayangkan amalan 60 tahun mampu ditagan buat membeli syurga tuhan, sedang 60 tahun itu juga dilitupi dosa dan noda? Memuncaklah satu malam yang isinya diganda menjadi seribu bulan ( 83 tahun 4 bulan ) di sisi sang hamba yang faqir dan hina. Celakalah besarlah mereka yang lalai dan leka daripada menghidupkan malam – malam kemuncak di penghujung ini.
“Maka barang siapa yang diharamkan daripada mendapat Lailatul Qadr, sesungguhnya dia telah diharamkan daripada mendapat kebaikan seluruhnya.” – hadis al Rasul.
3) Alangkah agungnya ( Allahu akbar ) Tuhan yang bertitah dengan al QuranNya yang menyuluhi kehidupan, lalu terpancarlah sinar hidayat buat sang hamba yang terkapai – kapai dalam badai kehidupan duniawi yang kelam dan gulita. Kerana kitabMu Ramadhan menjadi penuh berkat. Kerana kitabMu umat menjadi penuh berkat dan kerana kitabMu kehidupan menjadi tidak sia – sia.
Berbahagialah sang hamba yang membina dan mencahayai hatinya dengan al Quran.
“Dan hendaklah kamu bertakbir ( di malam dan pagi Syawwal ) mengagungkan Allah di atas hidayatNya kepada kamu dan agar kamu menjadi hambaNya yang bersyukur.” – al Quran.
4) Ramadhan seluruhnya adalah perihal al Quran. Tiadalah erti Ramadhan buat mereka yang hidup tanpa petunjuk al Quran walaupun dia berpuasa sepenuhnya. Telah hilanglah hikmat Ramadhan daripada dirinya.
“Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al Quran, menjadi petunjuk buat manusia dan dipenuhi keterangan daripada petunjuk dan pemisah. Maka barangsiapa yang menyaksikan ( anak bulan ) Ramadhan, maka hendaklah dia berpuasa.” – al Quran
5) Selamat memburu Lailatul Qadr. Semoga kita dikasihi al Quran.
Salam Ramadhan,
Awal bulan Ramadhan ini, ayahanda memberi sebuah nilai yang cukup dalam sekali di dalam kuliah Ramadhannya. Ia melekat di jiwa saya sehingga saya langsung menjadikannya tema tazkirah yang saya masih tidak mahu meninggalkannya hingga ke saat ini ketika kita melangkah memasuki pertengahan Ramadhan.
Hikmat itu berbunyi, ini bulan Ramadhan, bukan bulan puasa.
Masyarakat kita memanggilnya bulan puasa. Hakikatnya, ia telah mengurangkan kekuatan penghayatan terhadap bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan bukan sekadar bulan puasa, bahkan ia adalah bulan yang penuh kelebihan yang sungguh gilang gemilang. Jadi, serulah ia dengan dengan nama bulan Ramadan, bukan bulan puasa.
Mari kita sejenak mengenal tuah dikunjungi bulan yang penuh berkat ini.
Bulan Ramadhan dipilih untuk umat nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam secara khusus. Sebelumnya, umat terdahulu mengenal kelebihan hanyalah milik bulan – bulan yang haram ( kemuliaan ) iaitu Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab ( lihat at Taubah: 36). Allah memuliakan bulan – bulan ini semenjak diciptakan langit dan bumi, lantas ia dikenali dan dijaga kemuliaannya oleh para nabi dan umat – umat terdahulu.
Tiada bulan Ramadhan yang dikenali kebesarannya sehinggalah perutusan junjungan besar al Rasul agung kita. Allah mengangkatnya dengan kedatangannya ke muka bumi di akhir zaman ini.
Ia bukanlah kerana kelahiran baginda adalah di bulan Ramadhan, atau kerana apa – apa kejadian bumi – bumian yang mungkin dijulang sejarah dan kebesarannya. Tidak, bahkan ia adalah kerana berlakunya satu kejadian gilang – gemilang di lapis langit atas. Ia adalah kejadian di alam ghaib yang kesannya adalah pencahayaan seluruh alam dunia yang kelam dan gelap. Kerananya dunia ini kembali brcahaya setelah lama kegelapan yang hampir membunuh kemanusiaan dan kehidupan.
Pada bulan Ramadhan al Quran diturunkan ( lihat al Baqarah: 185 ). Ia berlaku pada salah satu malamnya yang penuh gemilang. Allah menamakannya bulan yang penuh barakah ( Lailatim mubarakah. Rujuk ad Dukhaan:3 ) dan bulan yang penuh kemuliaan dan ketinggian ( Lailatul Qadr. Rujuk al Qadr:1 ).
Ia adalah beberapa ayat daripada wahyu pertama yang diturunkan kepada RasuliLlah sallaLlahu alaihi wasallam yang dibawa oleh Jibril alaihis salam di gua Hira’. Bumi diliputi cahayaNya dan Muhammad itu pun bergelar ar Rasul, utusan akhir Allah di muka bumi.
Atau, ia adalah kejadian ghaib yang diceritakan gambarannya secara hebat. Al Quran adalah kalam Allah yang induk. Ia tersimpan lama di Lauh Mahfuz, di Ummil Kitab di lapis langit ketujuh. Saatnya ar Rasul dipersiapkan untuk diutuskan ke muka bumi, Allah dengan hikmatNya yang maha agung mengarahkan perkenan turunnya Al Quran sekaligus 30 juzuk ke lapis langit dunia sebagai persiapan terakhir sebelum diturunkan kepada rasulNya secara berperingkat – peringkat ke dunia selama 23 tahun.
Justeru ia malam penuh keagungan. Bertolak daripada keagungan itu, Allah menjadikannya untuk diingati setiap tahun. Para malaikat diarah turun berbondongan mera’ikannya diketuai ar Ruh ( Jibril alaihis salam ). Ia malam dihuraikan, diputuskan dan ditentukan segala perkara yang besar – besar. Ia malam ditulis dan ditentukan kejadian dalam setahun, menepati segala yang tertulis lama di azali KitabNya yang pertama. Ia malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Allah menghendaki al Quran disyukuri kedatangannya oleh umat Muhammad. Ia nikmat yang tiada lagi yang lebih besar daripadanya. Tanpanya dunia ini adalah kecelakaan. Segala nikmat adalah celaka tanpanya. Harta, wanita, anak buah, pangkat, kedudukan dan segala kenikmatan adalah putus dan abtar. Ia berakhir dengan ajal yang menunggu. Ia kosong sebaik bertandang ke lubang kubur.
Hanya al Quran yang memberkati. Dengannya kekayaan dan kenikmatan menjadi bertambah dan melimpah ruah di lubang kubur dan di hari akhirat. Al Quran memberkati kehidupan dengan isinya yang penuh nilai dan padat. Ia menunjuki kerana ia adalah petunjuk. Ia menjelaskan kerana ia penuh dengan keterangan – keterangan dan kata putus. Al Quran adalah jawaban yang menjawab kehidupan yang penuh persoalan, tekaan, kebuntuan, kekeliruan dan kepenatan. Ia mencetus rasa sejuk dan nyaman. Ia menjadikan kehidupan penuh bahagia, sopan dan teladan.
Bersyukurlah dengan kedatangan al Kitab yang maha agung ini.
Bagaimana kita mensyukurinya? Adakah dengan membaca al Quran banyak – banyak? Atau mendirikan solat yang panjang – panjang bacaannya? Atau bersedekah dengan segala nikmat yang dikurniakan daripada harta, tenaga, ilmu dan segala – galanya? Ya, tetapi Allah maha berhikmah untuk memilih yang lebih baik daripada itu semua. Ia menetapkan satu ibadah khusus yang penuh hikmat dan kebesaran.
Dia berfirman: ” Maka barang siapa yang menyaksikan kedatangan ( anak bulan ) Ramadhan, maka hendaklah ia berpuasa.” Syukurilah kedatangan al Quran dengan melakukan ibadah puasa. Berlaparlah kamu di siang hari. Kekangi dirimu daripada berlaku dosa sepanjang hari di bulan Ramadhan. Sempurnakan puasamu 30 hari dan bertakbirlah kamu di malam kamu melihat kedatangan Syawal.
Apa kaitan al Quran dengan puasa? Tidakkah lapar itu meletihkan? Tidakkah membaca al Quran dalam keletihan adalah tidak mengkhusyu’kan? Tidakkah…
Ya, manusia sukar mengetahui dan menikmati hikmat berpuasa sehinggalah mereka mengerti hakikat diri sendiri ( meminjam kata Syeikh Yusuf al Qaradhawi ).
Mari memerhatikan dua perkara:
Pertama, al Quran diturunkan sebagai petunjuk untuk seluruh manusia ( hudan linnaas. Lihat al Baqarah: 185 ). Ia seperti turunnya hujan untuk dinikmati seluruh makhluk. Tiada manusia tidak mengerti hujan. Tetapi hampir semua manusia tidak mengerti al Quran dan wahyu. Mereka mengkhianati al Quran saat mereka menikmati hujan.
Justeru siapakah yang menikmati al Quran? Allah mempertegaskan satu golongan manusia yang mengambil al Quran sebagai petunjuk. Mereka adalah golongan yang bertaqwa kepadaNya ( hudan lil muttaqiin. Lihat al Baqarah:2 ).
Al Quran hanya milik golongan bertaqwa. Al Quran menggamit dan memburu golongan yang hatinya berdenyut dengan rasa takut, gerun, yakin, cinta, mengharap dan bertawakkal kepada Allah.
Syukurilah al Quran dengan mengisi dadamu dengan taqwa.
Taqwa itu sukar. Tiada jalan pintas menuju taqwa. Ia adalah istiqamah dan sabar untuk memperolehinya. Sukar, tetapi Allah tidak menghendaki kesukaran buat hambaNya. Allah menghendaki kemudahan untuk hambaNya. Taqwa itu sukar, tetapi Allah mempermudahkannya.
Berpuasalah. Anda akan menikmati rasa taqwa di dada ( Lihat al Baqarah: 183 ). Berpuasalah 30 hari sepanjang bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap daripadaNya. Kecapilah rasa taqwa.
Tiba – tiba al Quran mendatangi anda. Dia mencintai anda dan anda mencintainya.
Ramadhan adalah bulan al Quran sebelum ianya adalah bulan puasa. Ia mahal kerananya, bukan kerana puasa. Puasa hanyalah kenderaan menuju taqwa yang didamba al Quran.
Kedua, manusia berharga kerana unsur ruhnya. Dengannya ia terbang meninggi ke langit meninggalkan segala mahluk di bumi. Ia mencari kebahagiaan abadi di sisi tuhannya. Itulah keadaan mereka yang memahami.
Tetapi manusia sentiasa gagal memahami. Ia merajakan unsur tanah dalam penciptaannya. Ia melupai ruhnya. Lantas manusia menjadi seperti babi menyondol bumi mencari kekenyangan perut dan nafsu. Ia terpenjara di dalam bekas yang membaluti ruh samawinya. Justeru bagaimanakah menyedarkan diri dengan perlakuan kebinatangan ini?
Allah memberi jawaban terbaik. Kekanglah nafsumu dengan berpuasa. Nafsumu akan menjadi lemah dan letih. Ia menjadi longlai dalam ikatan kejapnya memenjara dirimu. Saat itu ruh menjadi gagah untuk mendongak keluar membawamu ke alam tinggi melepasi lumpur duniawi tempat nafsumu berkubang dan menggelomor.
Dengan berpuasa, anda sedang mensyukuri Allah yang menurunkan al Quran dengan sebaik – baik cara.
Sekarang anda sudah memahami kaitan di antara Ramadhan, al Quran, taqwa dan puasa. Selamat menghayati bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Semoga Allah menunjuki kita sepanjang masa.
( Untuk bersama menikmati Ramadhan di QARYAH RAMADHAN di Kota Bharu, sila ke http://pemudapc.blogspot.com/ )
Komen Terbaru