You are currently browsing the category archive for the ‘puasa’ category.

Salam Kamunting,

Saya, juga seluruh warga DPP Pengkalan Chepa nak ucapkan selamat hari raya eidul fitri buat seluruh umat Islam, khususnya para pembaca budiman, tak kiralah lelaki dan perempuan, tua dan muda, uda dan dara. Semoga kegembiraan kita adalah kerana kejayaan kita mengisi Ramadhan dengan ibadah, taat dan taqwa kepada Allah. Semoga kegembiraan kita adalah pancaran rasa syukur di atas hidayat yang dikurniaiNya ta’ala.

Semoga kegembiraan kita dikongsi bersama oleh orang – orang yang lemah, miskin dan dizalimi daripada kalangan umat Islam seluruh dunia. Apalah manfaatnya bergembira dalam hambatan amanah yang tak tertunai. Semoga zakat fitrah yang kita tunaikan dengan ikhlas menjadi penyebab kerdil yang mencetuskan kegembiraan di jiwa mereka pada pagi hari raya dan hari – hari mendatang selepasnya.

Semoga kita didampingi al Quran selepas kita telah berusaha untuk mendampinginya sepanjang masa di bulan Ramadhan. Al Quran adalah sumber kekayaan, kekuatan dan kegembiraan bagi jiwa yang benar – benar kembali.

Semoga kita diberkati Lailatul Qadr yang diburu setiap yang beriman kepada Allah dan rasulNya. Semoga Allah memberkati masa kita di dunia ini. Kita adalah masa dan masa adalah kehidupan.

Semoga kita gembira selama – lamanya, dalam susah dan senang juga sempit dan lapang. Semoga Allah mengampuni dosa umat Islam seluruhnya. Amin.

Selamat Hari Raya Eidil Fitri. Maaf zahir dan batin.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar.   

Jemput ke rumah ayahanda di rumah terbuka di kediaman kami di Pulau melaka pada hari raya pertama.

Silakanlah..

Advertisement

Salam Kamunting,

1)

Kita memasuki fasa kedua bulan Ramadhan, fasa maghfirah. Allah mengeratnya kepada 3 bahagian agar kita merasa mudah dan tidak sukar menyempurnakan 30 hari berlapar dan bersabar di bulan penuh keberkatan ini. Permulaan setiap fasa akan memberikan nafas dan kesegaran untuk terus maju mengejar hikmah dan janji al Rabbul Jalil.

Ramadhan adalah sekolah orientasi intensif. Ia menyuci dosa dan noda setahun, sebagaimana tugasnya solat lima waktu, solat jumaat, umrah antara umrah dan juga ibadat haji yang menyucikan dosa di antara mereka. Manusia adalah makhluk yang berdosa dan disuruh membersihkan dosa untuk hidup suci dan tenang dengan kelebihan kurniaanNya.

Apabila tubuh menjadi suci, ia melonjakkan ruh ke langit dan ke atas unsur maddi dan jasmaniah. Ia akan memburu kehidupan malaikat yang berebut – rebut mendamba diri menyembah tuhan. Di bulan Ramadhan, pendambanya akan menjauhi perbuatan – perbuatan bersifat nafsu, duniawi dan haiwani. 

Oleh kerana penyucian diri diikat dengan kawalan terhadap keinginan nafsu dan gelojaknya, maka puasa diikat pula dengan kesabaran. Puasa adalah sabar. Justeru RasuluLlah menggelar Ramadhan sebagai ‘bulan sabar’. Agama adalah sabar melakukan ketaatan dan sabar menahan diri daripada maksiat. Hakikatnya, sabar adalah senjata segala senjata di dalam menempa kejayaan hidup.

Puasa mendorong kita merasakan nikmat yang dilupakan. Nikmat sihat, segar, kenyang dan kaya. Lapar mengubah haluan berfikir pada kebiasaan. Kebiasaan itu melupakan dan mengalpakan kita daripada kewajiban dan kebenaranMengingati nikmat melahirkan syukur. Syukur adalah buah ranum tuaian taqwa. Di hujung Ramadhan dan di awal malam Syawwal dan di paginya juga, kita dikerah untuk bertakbir membesarkan Allah. Tujuannya, la’allakum tasykurun – moga kamu menjadi hambaNya yang bersyukur!

Hamba yang bersyukur, yang lahir daripada sifat taqwa akan tahu dan bersedia untuk hidup berbakti sesama manusia. Penyucian diri berakhir dengan kesungguhan untuk hidup berbakti sesama insan.

Sekarang anda melihat bagaimana mudahnya puasa mengubah kita, bahkan mengubah kehidupan masyarakat Islam!

Justeru anda bayangkan jika ditiadakan ibadah puasa!? Maksudnya, jika kita mengabaikan ibadah puasa!? Apabila kita kehilangan hikmah, kita dipalang akibat!

2)

Semalam kita menyambut hari kemerdekaan negara ke 52. Moleknya, ia jatuh di bulan Ramadhan. Lawanya, ia jatuh pada 10 Ramadhan. 10 Ramadhan adalah tarikh bersejarah umat Islam/Arab mengalahkan Israel dalam perang moden menentang Yahudi, penceroboh kemanusiaan. Jika kita mahu bersandar pada tuah dan syukur, kita ikatkan ketiga – tiga nikmat itu, – merdeka, Ramadhan dan kemenangan Islam – lalu kita berkata, MERDEKA!

Sesungguhnya kita mahu bebas dengan Islam daripada penjajahan nafsu dan musuh!

Merdeka adalah nikmat tak terperi. Ketika negara melaungkan kemerdekaan 52 tahun yang lepas, betapa banyaknya air mata yang menitis kegembiraan. Kisah – kisah duka penjajahan bangsa asing sememangnya cukup menjadikan hati kita anak merdeka menjadi lembut dan insaf. 

Hari Kemerdekaan negara adalah sah untuk dirayakan. Allah mengingatkan Bani Israel dengan nikmat kemerdekaan daripada cengkaman Firaun dan kerajaannya yang zalim. Lihat al Baqarah:49.

Apabila RasuluLlah melihat Bani Israel berpuasa pada hari mereka mengingati pembebasan Allah terhadap mereka daripada buruan Firaun yang ditenggelamkan dalam lautan yang dalam, Baginda turut berpuasa dan menyaran umatnya berpuasa dan berkata, kita lebih layak mengingati sejarah itu daripada mereka!

Yahudi berpuasa demi itu, tetapi mereka lupa betapa merekalah yang mengkufuri nikmat itu apabila merekalah yang mula – mula menyembah lembu selepas pembebasan itu, sebaik ditinggalkan Musa alaihissalam selama 40 hari untuk menemui tuhannya!

Mensyukuri kemerdekaan, awal dan akhirnya adalah mentauhidkan Allah, bukan berdegar – degar dengan laungan kemerdekaan dengan mensyirikkanNya dengan sesuatu daripada makhlukNya.

Sekularisme adalah lembu yang disembah hari ini. Jauhilah syirik! Jangan jadi Bani Israel!

3)

Malam 31 Ogos baru – baru ini saya dijemput untuk menyambut detik 12 malam di Dataran Shah Alam. Saya menjadi panel forum bersama YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Ustaz Riduan Mohd Nor. Forum diselangi dengan persembahan muzik dan nyanyi – nyanyian oleh bekas Band Rock Abang Man Jack entah apa…

Saya agak terpaku juga sebab ia suasana baru dengan approach baru dan sensasi juga dengan audien terdiri daripada anak – anak muda ‘couple’ yang agak ramai yang datang ke dataran untuk ‘bergalak’ sebagaimana zaman UMNO dulu – dulu. Ucapan saya agak telor pelat juga, macam berjalan di atas titian rumah air di Sabah dan Serawak. Hah, sukar sekali pak!

Peliknya, selepas forum dan sambutan tamat, beberapa anak muda ‘couple’ datang kepada saya untuk bergambar! Mereka nampak gembira pula. Saya pula yang tersengih – sengih beri possing, takut – takut masuk majalah Mangga!  Harap – harap menjadilah dan ada kesanlah progaram yang bagus untuk mendekati mereka itu.

Tahniah pemuda Shah Alam. Well done..

Selamat bertamu di rehal al Quran!

Salam Kamunting,

Dia mencipta dan Dia memilih. Dia bebas dengan kehendak dan mahuNya. DiciptaNya langit dan bumi, lalu dilayarkan lewat  samudera masa dalam 12 bulan yang berulang – ulang. DipilihNya 4 daripadanya, lalu dinobatkan kemuliaannya sebagai bulan – bulan yang haram (mulia). Itulah pilihanNya sedari alam tercipta di tangan dan mahuNya.

Ramadhan adalah daripada 12 tetapi bukan daripada 4 yang terpilih oleh mahuNya itu. Ia terpinggir dari arus kemuliaan tetapi ia tiada gusar! Ia menanti dalam sabar dan rindu. Ia merindu dalam cinta dan tasbih. Saatnya nabi agung terutus, saatnya umat agung terbangkit, ia akan menari dan bersuka ria dalam malam tiada terperi.

Di malamnya, satu daripada 30, dari lapis langit ketujuh tersaksilah pada sekelian alam kejadian janji agung yang terkota oleh al Rabbul Jalil. Turun berjejeranlah dan berbanjar – banjarlah para malaikat Allah didepani ‘al Ruuh’   beralunan lunak tasbih dan tahmid, memuji dan memuja pada meraikan dan merayakan turunnya sebuah janji agung daripada empunya semesta alam, Rabbul alamiin.  

Malam itu al Quran turun. Turunlah dari kota Lauh Mahfuz, dari utuh Ummil Kitab, dari sisi arasyNya yang agung. Turunlah ke lapis terbawah daripada langit yang terhias oleh jutaan bintik – bintik bintang bercahaya berkerdipan bagai lampu – lampu neon di majlis perajaan.

Ia malam penuh berkat. Diberkati dan memberkati. Malam Lailatul Qadr. Malam setanding seribu bulan, sejangkau 80 tahun hayat insani. Berimanlah, beramallah di malam terkota janji ganjaran seribu bulan dalam iman dan amal! Bertempiklah, bertakbirlah, manikam janji yang tidak terperi..

Satu malam yang memberkati 30 malam disekelilingnya. Malam – malam Ramadhan yang penuh keberkatan. Dia bertandang kepada kita, tetapi kitalah tetamunya, bukan dia tetamu kita. Dia menjamu dan kita dijamu sepuas – puasnya.

Al Quran turun dari langit diiring Jibril ‘alaihissalam menuju insan teragung, Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam di gua Hira’, gua tauhid dan kebenaran. Bacalah wahai Muhammad, dengan nama Tuhanmu..

Kita di bumi. Al Quran di langit. Ramadhan menarik langit ke bawah dan menolak bumi ke atas. Ramadhan adalah medan masa kita dan al Quran berjabat. Berpeganglah pada tali al Quran sekuat – kuatnya agar kita tidak jatuh ke bumi, ke lembah palsu dan plastik! Atau, al Quran diangkat langit dek tiada yang mengendahinya.

Kallaa!  Tidak sesekali tidak! Inilah umat Muhammad. Tercipta untuk terpilih oleh mahu Empunya alam. Terpilih untuk menjadi pemegang amanah kalamNya yang suci dan yang agung hingga dunia digoncang  janji dan ajal tuannya. Selagi umat Muhammad, selagi itulah al Quran dibaca, ditadabbur dan dilunaskan dalam medan amal dan perjuangan. Dalam hidup dan kehidupan..

Allah, Allah, Allah.. Aku tersyahdu menghirup al QuranMu. Jadikan aku hambaMu. Kerana aku hambaMu.

Selamat berkunjung ke qaryah Ramadhan. Kampung masa yang kudus dan khusyu’ diterangi juntaian neon ayat – ayatNya yang memancar menerangi dunia yang kelam dan gelap.

 

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Mac 2023
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa