You are currently browsing the category archive for the ‘blogger’ category.
Assalamu alaikum warahmatuLlah,
Ketika menulis entry terakhir, saya berhasrat untuk berehat sebulan dan kemudian kembali menulis dengan penuh kekuatan. Berehat memberi kita kekuatan berlainan berbanding kekuatan hasil kerja yang berterusan. Semakin lama anda di padang semakin lincah anda menguasai bola dan padang. Tetapi permainan biasanya berubah lebih baik di separuh masa selepas rehat. Anda memulih kesegaran dan anda mula melihat tahap kekuatan anda dan lawan secara lebih tepat. Pastinya jaringan di separuh masa itu adalah lebih bermakna.
Malangnya, di sebalik rasa lebih sedia untuk kembali menulis, saya pula bertangguh – tangguh dan bertangguh – tangguh itu memang penyakit yang merugikan. Saya menulis ini selepas hampir dua bulan berlalu dan rehat panjang pasti menumpulkan skil dan menumbuhkan rasa malas. Memang malas sungguh!
Saya terlepas menulis beberapa isu penting dan beberapa tazkirah yang saya fikir itulah masanya ianya dilayarkan ke paparan maya agar ia memberi kesan dan manfaat yang lebih baik. Saya pasti dikurniai pahala dan rahmat daripadaNya. Malang, ia tidak berlaku.
Tetapi rehat itu tetap satu kekuatan dan kekuatan jenis itu diperolehi hanya dengan apabila anda berehat. Mata anda melihat dan otak anda ligat memikirkan. Telinga anda mendengar dan hati anda giat merenung dan memerhati. Kemudian sesudah itu, anda seperti mahu segera wisel permainan dibunyikan. Anda mahu meluru dan memburu. Memburu jaringan dan kemenangan.
Malangnya, tiada wisel untuk saya di medan blog ini. Hanya penonton yang bertepuk menyokong atau menjuah membenci dari kerusi batu yang sejuk. Ia tidak cukup untuk membunuh parasit malas yang mula tumbuh di jemari saya ini. Hampir sebulan saya tak pun menjengok blog sendiri. Memang malas dan memang dahsyat malas itu.
Arrghh, bismiLlah..
Pergi kau malas! Aku nak kembali untuk lebih rajin..
Salam Kamunting,
Lebih 25 tahun kita dalam PAS hidup aman, selesa dan sentosa selepas hadirnya kepimpinan ulama. Sewajibnya kita mensyukurinya. Keselesaan kita itu telah banyak membantu kita untuk membantu masyarakat mengenali kita secara lebih dekat.
Adakah anda menjangkakan Allah tidak akan menguji kita dengan sesuatu yang menggugat kestabilan yang kita kecapi itu? Bahkan, ujian Allah tetap berlaku dan tiada siapa tahu dari daerah mana ujian itu datang. Yang pasti, ujian itu datang untuk menukar keamanan kepada perpecahan.
Dalam aman kita lena terbuai. Dalam kocakan kita sedar dan bersedia. Ertinya, ujian itu penuh hikmah. Allah menginginkan kita untuk tidak lena dan sentiasa berjaga – jaga. Siapa lena di dunia ini, dia tidak akan lena di akhirat nanti.
Semakin ujian itu sukar, semakin besarlah kesannya, baik ataupun buruk. Samada kita keluar daripadanya dengan seribu kebaikan atau jika sebaliknya, dengan seribu keburukan.
Pernahkah anda melihat atau mendengar mengenai perselisihan di antara dua kumpulan dalam agama yang mengelirukan sekali. Ditelan mati anak diluah mati ibu? Apatah di sebelah adalah Ali dan di sebelah lagi adalah Aisyah ( radiaLlahu anhuma ). Ia begitu sukar tetapi siapa dapat menjangka ujian Allah?
Yang penting anda mesti kena selamat. Duduk pada kedudukan yang selamat dan diredhaiNya.
Antaranya, 1) Anda mesti ikhlas 2) Anda mesti memohon pembabasan denganNya daripada keburukan fitnah itu 3) Anda mesti adil menilai 4) Anda mesti menjaga adab dengan Allah dan sesama makhluk 5) Anda mesti merujuk kepada sumber yang pertama 6) Anda mesti mendengar daripada semua dan mengambil yang terbaik 7 ) Anda mesti menapis daripada perkhabaran sang fasiq dan munafik 8 ) Anda mesti kepinginkan kesatuan, bukan perpecahan. 9 ) Anda jangan mengambil bahagian atau kacau daun tak tentu pasal 10) Anda jangan berkata dusta, mengejek dan menghuru harakan 11) Anda jangan nak jadi hero.
Diberitakan daripada sumber yang sahih bahawa al Ikhwanul Muslimin di Mesir juga ada kucah dan kacau hari ini. Antara sebabnya adalah dunia blog. Dunia blog hari ini adalah cukup tanpa adab seolah – olah ada lesen daripada ugama untuk tidak berakhlak dalam berblog!
Di mana – mana pun ujian mesti ada dan kena ada. Kerana Allah ada di mana – mana.
Saya melihat sesetengah ahli PAS cukup berani di dalam berblog. Malangnya, mereka hanya berani berbohong, memfitnah dan menyebar semua kata – kata manusia dan peristiwanya. Lebih malang, mereka tidak berani untuk berkata benar, apatah mengakuri pada yang benar.
Jika anda gian sangat nak menulis, menulislah yang kekal baik hingga ke lubang kubur. Yang memberkati anda dan kehidupan manusia.
Adapun isu EGM, saya yakin ianya akan selesai. Ia bukan balah orang jahil. Ia isu orang alim yang disayangi dan yang tidak ingin kecuali kebaikan untuk ummah. Justeru ia mungkin panas di awal, tetapi akan ada penyelesaian selepas ada persefahaman.
Yang payah nak selesai ialah balah orang jahil, payah nak faham apatah nak bersefahaman.
Yang saya takut ialah balah ini sengaja dipanjangkan selepas ianya disurutkan dan diredakan. Saya harap saya dan anda tidak terlibat walaupun saya tak mungkin boleh mengharapkan semua jangan terlibat.
Saya tinggalkan anda dengan sebuah ayat daripada Allah yang maha bijaksana. Hayatinya, ianya sungguh menenangkan.
“Tiadalah terjadi sebarang musibah di bumi dan tiada juga (terjadi) di dalam diri kamu sendiri kecuali ianya telah sedia termaktub di dalam kitab ( di sisi kami ) sebelum Kami lepaskannya. Sesungguhnya itu di sisi Allah adalah teramat mudah. Yang demikian adalah agar kamu tidak berduka cita di atas apa yang telah hilang daripadamu dan kamu tidak pula bersuka ria dengan apa yang kamu perolehi. Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan bermegah – megah.” al Hadid:22,23
Janganlah terlalu gundah dan janganlah terlalu bersuka ria.
Salam Kamunting,
Lama saya tak menulis. Semuanya kerana saya yakin baik saya tak menulis untuk sementara waktu. Hari ini saya fikir sudah masanya saya menulis lagi. Ombak besar sudah kurang memukul, tanda amaran tsunami sudah tiada kelihatan dan suasana kini sudah agak tenang. Bolehlah saya turun mandi..
Bulan ini masuklah tahun ketiga saya menulis di blog saya, ‘masanya memilih jalan yang lurus’. 2 tahun berlalu, blog ini naik dan turun. Naik kerana saya rajin menulis dan turun kerana saya malas menulis. Naik kerana saya menulis yang panas dan turun bila tulisan saya sejuk dan dingin.
Maknanya, pengunjung laman – laman blog sentiasa menagih blog yang sering diperbaharui dan sentiasa gian yang panas – panas. Dua – dua itu saya gagal. Ramai juga sahabat dan kenalan yang marah dan menegur. Itu tanda sayang dan tanda sokongan.
Ada juga yang tak sayang. Jika ada pilihan raya blog, mereka tidak akan undi blog saya. Saya mungkin senasib ‘Penarik Beca’ yang ramai peminat dan ramai juga musuh walaupun jumlah peminat dan musuhnya jauh lebih banyak berbanding saya. Bakaq Haq adalah antara pendorong utama yang menggesa saya menulis blog 2 tahun lepas.
Makanya, saya jaga dia sebagaimana dia jaga saya. Bahasa Bakaq Haq kata, thiqah dan wala’ tahap gaban!! He he..
Menulis adalah minat saya sedari awal. Ia hampir mati seketika semasa saya belajar di India. Saya hanya membaca dan tidak menulis sebab jumlah kami yang belajar di sana tak ramai. Semasa di Maahad Muhammadi dulu, saya sering menulis dalam makalah badan dakwah sekolah. Biasalah, mula – mula teragak – agak dengan tulisan sendiri, tapi bila kawan – kawan puji dan kata baik, saya jadi bersemangat.
Saya masih ingat seorang guru perempuan Bahasa Melayu di Tingkatan 6 yang memeriksa kertas karangan BM kami sekelas memuji tulisan saya. Dia kata tulisan saya adalah terbaik dan paling seronok dibaca. Cuma dia bagi markah rendah saja sebab tulisan saya lari tajuk dan tak pun masuk tajuk! Hu hu..
Hari ini anda tak perlulah puji saya untuk saya rajin menulis. Hentam pun saya tulis..
Puji adalah senjata utama membina keyakinan anak – anak. Pujilah anak – anak dan murid – murid anda. Paling tidak anda akan lihat hidung mereka jadi mancung, taklah kemek lepek kepek macam anda..
Blog telah mengembalikan dan menyuburkan kebolehan dan keinginan saya untuk menulis. Saya berhasrat menulis yang ringan – ringan yang memberi nasihat, menyeru kepada kebaikan dan menyintai kebenaran. Saya hanya ingin bersantai – santai dan rehat – rehat dalam tulisan saya. Itu hasrat awal saya dan begitulah jadinya himpunan tulisan awal saya.
Tetapi saya tidak lagi seperti yang saya sangkakan. Saya fikir saya mampu kekal seperti dulu, tetapi kehidupan memindahkan kita dari satu tempat ke tempat yang lain. Atau, kita terpaksa berpindah dari kehidupan lama kepada kehidupan yang baru.
Kehidupan penuh dengan tuntutan dan desakan. Ia dipenuhi paksaan demi kehidupan yang lebih benar. Dunia ini seperti filem. Palsu tetapi memberi pengajaran. Ada orang meminati filem dan ada orang menyunting pengajaran daripada filem itu. Anda tahu siapa yang beruntung daripada kalangan mereka.
Saya akhirnya diheret untuk menulis yang berat – berat juga. Bermula dengan menulis idea – idea yang agak sukar difahami anak – anak muda yang mula berjinak memahami kehidupan Islami, kemudian mula mengkritik dan menegur figura – figura dan tokoh – tokoh kehidupan sampailah akhirnya saya menembak dan melibas apa saja yang saya fikir perlu dilibas.
Membaca tulisan sendiri adalah seperti taaruf terhadap dalam diri yang sukar dijiwai sesiapa. Tulisan sendiri adalah kawan yang terlalu benar. Tulisan adalah lebih benar dari lidah dan anggota badan. Anda merasai kehebatan diri, juga kebodohan diri.
Begitulah saya setelah 2 tahun di dalam media baru ini. Saya menulis dan anda membaca saya sesudah membaca tulisan saya. AlhamduliLlah, penjengok laman saya semakin bertambah untuk memuji, mengkritik dan menghentam. Semoga semuanya mendapat pahala dari amal perbuatannya. Setidaknya pahala beristighfar daripada keterlanjuran menghentam dan menggodam, juga memuji dan memuja.
Hari ini blog ini dikunjungi oleh purata 1000 pengunjung sehari atau lebih. Selepas hampir sebulan tidak up date, masih ada lebih 500 pengunjung yang sudi dan tak jemu menjengoknya. Saya mohon maaf kerana mengganggu masa emas anda.
Terima kasih atas sokongan.
Komen Terbaru