You are currently browsing the monthly archive for Disember 2008.
Salam Kamunting,
Jika anda berniat mendermakan sebahagian daripada wang anda untuk Palestin, anda sebenarnya masih tak faham – faham isu Palestin. Palestin bukan soal derma dan sedekah. Palestin adalah jihad dan kewajiban. Tuhan kita berkata, berjihadlah dengan harta dan nyawa kamu..
Wang, bahkan nyawa setiap umat Islam adalah tagihan Allah untuk bumi yang disucikanNya itu. Tiada muslim yang tidak mengambil bahagian di dalam jihad Palestin sepanjang zaman kecuali tuahnya pasti direntap bumi suci itu di akhirat nanti.
Palestin adalah sebahagian ujian Allah ke atas umat nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Dari tiga bumi suciNya ( tanah haram ) itu, Allah memberi keamanan untuk Makkah dan Madinah, tetapi tidak untuk Palestin. Palestin sentiasa berdarah dan jika ia aman seketika atau lebih lama daripada itu, di sekelilingnya adalah penuh dengan komplot dan konspirasi musuh untuk merampas dan menghancurkannya kembali.
Ia menjadi rebutan sepanjang zaman untuk umat tiga agama langit yang memiliki kitab samawi masing – masing yang mendakwa sejarah pendudukan dan pemerintahan di situ. Jika tidak kerana Allah menghukum dan memutuskan bahawa bumi haramNya itu adalah milik hambaNya yang bertaqwa yang berada di atas jalanNya yang lurus, iaitu Islam, agama tauhid nabi Ibrahim al hanif alaihissalam, iaitu datuk kepada ketiga – tiga umat tersebut, maka tiadalah umat Islam memiliki hujjah mutlak untuk memilikinya.
Mencintai Palestin adalah tanda iman dan taqwa. Kita mesti mencintainya melebihi kecintaan kita kepada tanah air sendiri.
Roda zaman yang berpusing menentukan bahawa bangsa Yahudi telah berjaya merampas dan mendudukinya kini selepas perjuangan lama mereka untuk menguasainya semenjak ribuan tahun dahulu. Selepas mereka menguasainya, impian dan angan – angan mereka begitu memuncak bahawa merekalah anak – anak tuhan yang diberkati segala tindakan mereka.
Hanyalah yang menghantui keyakinan mereka adalah pengetahuan tersembunyi mereka bahawa Palestin ini sebenarnya dan kesudahannya adalah milik umat yang menjadi musuh nombor satu mereka. Mereka tahu Palestin adalah untuk umat Islam.
Hari ini, saat kita dan seluruh umat Islam cuba membina keyakinan dan azam baru di awal tahun baru hijrah, Palestin dibedil dan dibakar oleh Yahudi, musuh Allah, malaikat, manusia dan seluruh makhluk kecuali syaitan daripada kalangan jin dan manusia.
Negara Israel hari ini yang menghimpunkan bangsa Yahudi sedunia itu tahu bahawa mereka tidak boleh hidup dengan hidupnya Islam. Justeru harapan, azam, keyakinan dan masa depan umatnya harus sentiasa dilumpuhkan dan dipadamkan dengan apa jua senjata dan peralatan. Umat Islam mesti kekal putus asa, putus harapan dan putus hubungan dengan tuhannya.
Membunuh umat Islam adalah ibadah dan persembahan mereka kepada tuhan mereka yang mereka ciptakan sendiri.
Palestin ceritanya panjang dan akan terus memanjang sehingga kiamat. Bermula keamanan dunia adalah dengan amannya Palestin dan bermula kecelakaan dunia adalah dengan celakanya keadaan di bumi Palestin. Begitulah Allah menetapkan sunnahNya bahawa Palestin adalah ujian kehidupan manusiawi.
Anda mesti tahu dan mesti akur bahawa lecehnya pengetahuan anda tentang Palestin adalah petanda lecehnya anda di sisi perjuangan Islam.
Jangan harapkan negara – negara Arab untuk mengembalikan Palestin. Sehingga semalam pun, mereka tidak mampu menyapu dan membersihkan diri daripada tohmahan bahawa mereka adalah sebahagian konspirasi pengeboman di Genting Gaza. Mereka membisu seperti bisu anak dara yang melakukan zina. Negara Arab yang berzina dengan Israel! Ah, sejak bila mereka menerima kehadiran HAMAS? Apatah mengiktiraf mereka sebagai rakan hidup dan mati? Sedangkan mereka tahu bahawa HAMASlah nyawa dan nadi umat Islam Palestin hari ini.
Anda hanya perlu meneka, siapakah yang lebih takutkan HAMAS? Israel atau Arab nasionalis syirik itu sendiri?
Jangan pula mengharapkan negara kita. Negara kita tidak akan menyokong HAMAS sebab HAMAS adalah saudara PAS. Mengharap pemerintah negara bertindak untuk Islam di Palestin adalah seperti mengharapkan perempuan mandul melahirkan anak atau seperti mengharap lelaki yang telah dikasi untuk mensyahwati perempuan.
Dalam dunia yang penuh nifaq dan kekufuran, harapan adalah terletak di atas bahu sekelompok umat Islam yang berjuang untuk kembali kepada Islam yang sebenar. Harapan dan keyakinan masa depan adalah daripada umat yang bersedia menghidupkan kewajiban berjihad fi sabiliLlah.
Setiap kita mestilah mengambil bahagian melaksanakan kewajiban membebaskan bumi suci Palestin.
Jika 10,000 umat Islam di Malaysia menyimpan RM100.00 setahun untuk perjuangan membebaskan al Masjidil Aqsa daripada cengkaman zionis Yahudi, maka wakil pejuang Islam Palestin yang datang ke negara kita akan pulang ke medan jihad dengan RM1 juta dari rakannya di Malaysia.
RM1 juta itu banyak tetapi ia adalah terlalu kerdil di hadapan bilionan dolar yang dibelanjakan oleh Yahudi dan sekutu Amerikanya untuk menjajah tanah suci itu. RM1 juta itu banyak, tetapi ia adalah sedikit di banding 15 juta umat Islam di negara kita. Atas nama kewajiban ugama, umat Islam di Malaysia semestinya mengeluarkan puluhan juta ringgit untuk perjuangan suci ini.
Sekali lagi, usah mengharap dan berangan wang saku kerajaan nasionalis Melayu akan tumpah walau setitik ke Palestin. Jika ia menitik, ia akan jatuh ke anak mata buat mengaburi pandangan mata. Pemimpin nasionalis Melayu ini pula, bila masa mereka cukup duit? Mata mereka tidak melihat kecuali duit.
Allah tidak menerima RM100.00 yang kita keluarkan itu. Allah menerima taqwa di dada kita. Taqwa kitalah yang akan menggapai Tuhan dan ridhaNya. Ertinya, bukanlah RM1 juta yang perlu kita kumpulkan daripada 10,000 umat Islam di Malaysia, bahkan kita memerlukan sejumlah hambaNya yang bertaqwa yang berjuang di atas jalanNya yang benar. Apabila ada taqwa, adalah wang yang dikeluarkan atas nama kewajiban dan jihad.
100 orang kaya di negara kita yang bertaqwa sudah cukup untuk menghantar RM1 juta atau lebih ke Palestin. 1000 umat Islam daripada masyarakat bandar pertengahan yang bertaqwa sudah cukup untuk menghasilkan RM1 juta untuk Palestin.
Jika setiap kita bertekad untuk menggabungkan diri dalam 10,000 umat Islam negara yang tidur bangunnya adalah untuk Palestin dengan berazam menjadikan perjuangan membebaskan bumi suci itu sebagai sebahagian amal jihadnya di hadapan Allah di padang mahsyar kelak, pastinya kita mampu saja menghantar RM10 juta setiap tahun ke sana.
Ia adalah jumlah yang sedikit. Tetapi bayangkan betapa gembiranya rakyat Palestin, terutama para pejuangnya apabila mendengar jumlah wang sebanyak itu datang daripada saudara mereka di Malaysia yang menyokong perjuangan mereka. Bayangkan betapa roh jihad mereka akan semakin panas dan membara buat membakar Yahudi laknatuLlah itu.
Saya membubuh angka agar anda tahu bahawa Allah mengurniakan pahalanya dengan angka dan juga berat. Dua rakaat masing – masing di Masjid Nabawy, di Masjidil Haram dan di Masjidil Aqsa adalah bersamaan lebih ratusan ribu rakaat berbanding dua rakaat dan sujud anda di masjid Putra Jaya atau di balaisah di hadapan rumah anda.
Bukan negara – negara umat Islam yang hidup penuh dayus dan nifaq hari ini yang akan membebaskan bumi Palestin daripada penjajahan. Mereka adalah bagai buih – buih yang dilambung ombak tanpa perlu dihirau hitung berapa beratnya.
Sudikah setiap kita untuk mendaftar diri sebagai pejuang Islam untuk pembebasan Palestin? Jika anda sudi, isilah borang dengan tinta taqwa di dada anda.
Membebaskan diri daripada cengkaman pemerintahan nasionalis Melayu di negara kita juga adalah sebahagian perjuangan jangka panjang membebaskan bumi Palestin. Sudahkah anda membilang wang di saku untuk dihantar kepada pejuangan Islam di dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu?
Kata – kata ini adalah benar. Jangan ada yang mentakzibkannya..
Biarlah perancangan dan segala takhtitaat membebaskan bumi Palestin itu kita serahkan kepada pakarnya, terutama para pejuang di medan. Kita patut mengetahuinya. Yang lebih penting, kita laksanakan kewajiban kita sendiri. Berjihad dengan harta kita untuk Palestin atau dengan harta, nyawa dan segenap kepunyaan untuk membebaskan Malaysia daripada benteng yang memisahkan umat Islam daripada Islam yang sebenar. benteng itu perlu dirobohkan dan benteng itu adalah UMNO.
Apabila UMNO runtuh dan Islam kembali, Palestin adalah di mata negara Malaysia yang kaya, insya Allah.
Salam Kamunting,
AlhamduliLlah, saya, isteri dan kakak sulung serta rombongan selamat tiba di tanah air daripada mengerjakan ibadah haji di kota suci Makkah beberapa hari yang lepas. Hati ini terasa sungguh gembira tak tergambar. Kami mengecapi sesuatu yang cukup bebeza sepanjang berada di bumi penuh barakah itu.
Semoga Allah mengurniakan kami dan seluruh para hujjah baitiLlah al haram tahun ini dengan haji yang mabrur dan diterimaNya sebagai bekal besar menemuiNya nanti.
Terima kasihlah kepada semua sahabat, terutama para penjenguk di blog saya ini yang turut menghulur doa untuk kami semua agar dipermudahkan Allah segala urusan semasa di sana. Hari – hari indah dan sejuk dengan belaian rahmat tuhan itu masih segar terasa di hati ini.
Alangkah hebatnya hadiah tuhan kepada hambaNya dengan kefardhuan mengerjakan haji di Makkah al Mukarramah.
Haji adalah rukun Islam. Ia adalah binaan teras kepada sebuah istana di dada kita yang mesti disempurnakan binaannya sebaik – baiknya. Tak kiralah di masa muda atau tua, apabila masanya tiba, kefardhuan itu telah tertulis, kita mestilah melangkah ke arah menyempurnakannya. Sempurna istana di dada ini, sempurnalah istana kita di syurgaNya nanti.
Haji berbeza daripada rukun – rukunIslam yang lain dalam banyak hal dan segi. Yang besarnya adalah ia memerlukan kos dan persiapan paling banyak. Kemudian ia adalah kefardhuan yang paling sukar dan memenatkan. Ia juga paling menagih pengorbanan dan kesabaran.
Itu cukup meresahkan rasa kikir di jiwa untuk melaksanakannya. Tetapi, dalam hanya beberapa hari kita melaluinya yang bermula dari hari tarwiyyah pada 8 Zulhijjah sehingga hari tasyriq terakhir pada 13 Zulhijjah, atau kemuncaknya ( pelaksanaan rukun haji ) pada 9 dan 10 Zulhijjah, iaitu pada hari wuquf di Arafah dan hari Haji Akbar keesokannya, segala rasa kikir dengan hijab duniawi itu bertukar menjadi keindahan yang sukar digambarkan. Tirai hijab diangkat sehingga jiwa ini terasa dekat dengan tuhan, terasa dekat dengan hari di mana kita pasti dikerah dan dihambat untuk menemuiNya di hari pembalasan agung tuhan nanti.
Haji adalah hari manusia dihidangkan dengan pelbagai manfaat duniawi dan ukhrawi, kemudian ia memuncak dengan zikir mengingati Allah di setiap detik di tanah haram itu. Jika kita memerhatikan segala bentuk pelaksanaan manasik haji itu, kita hampir pasti meyakini bahawa diam dan berfikir adalah ibadah yang hebat!
Samada anda memilih untuk diam sahaja ketika bertawaf mengelilingi kaabah, atau bersa’ie antara bukit Safa dan Marwah, atau duduk berteleku sendirian melihat kaabah tuhan dan maqam Ibrahim di sisinya, atau kita sekadar berlopongan memerhati ‘manusia’ dan ragamnya, semua itu meluluhkan hati anda bagai dipancur dengan semburan basah rahmahNya, lalu anda tak tertahan menahan air mata daripada mengalir membasahi kulit yang kering kontang dengan dosa dan noda kehidupan. Apabila lidah anda tergerak melantunkan kalimat ‘Allah’ dalam kedalaman makna memahami erti kehambaan dan ketuhanan, hilanglah hiruk pikiuk manusia di sekeliling. Anda memilih untuk tidak malu lagi menangis di hadapan tuhan seolah – olah anda di saat itu adalah anda dan tuhan anda.
Saya menikmati sekelumit saat – saat seperti itu. Saya yakin ia dinikmati oleh semua para hujjah yang dipilihNya. Kalaulah persediaan iman saya adalah lebih baik, pastinya saya akan lebih menikmatinya sebagaimana orang – orang besar Allah yang dipilih dan dikhususkanNya didunia ini.
Allahu akbar wa liLlahil hamd.
Tuhanku, dengan kayanya Engkau daripadaku dan dengan faqirnya diriku kepadaMu, ampunilah dosaku..
Setiap kefardhuan adalah penuh hikmah. Ia tersendiri dengan pelbagai hikmah. Setiap kita dibuka tirai menikmatinya mengikut kesiapan kita sendiri.
Kayakanlah diri anda dengan kekuatan dan kemampuan sehingga seruan nabi Ibrahim itu menusuk ke telinga dan jantung anda. Saat itu, anda akan berkata benar, labbaikaLlahumma labbaik..
Saya ingin lagi menulis.. Tetapi jari ini sudah penat dek lama berehat. Ia berkata, orang pun tak nak baca yang panjang – panjang. Betul juga auta jari ini..
****
Soalan: Tahukah anda amalan terbaik di Malaysia hari ini?
Jawaban: Bergerak ke Kuala Terengganu. ALLAHU AKBAR!
Komen Terbaru