You are currently browsing the category archive for the ‘pakatan rakyat’ category.

Salam Palestin,

Saya terlewat dua hari. Baru sekejap tadi jengok Malaysian Insider cari berita pasal Prof Dr Abdul Aziz Bari kritik Yang Berhormat Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang untuk ke sekian kalinya.

Tapi dah ada tiga berita rupanya. Kelmari dulu beliau kritik lalu semalam dikritik pula oleh para pemimpin PAS dan hari ini beliau datang lagi mempertahankan kritikannya itu. Ini saya tulis ini kira himpun yang tiga-tiga tu jadi satu.

Terima kasih Prof Aziz kerana kritik. Tahniah Dewan Pemuda PAS Wilayah kerana ‘mengamuk’ dan terima kasih sekali lagi kepada Prof Aziz kerana melarang mereka yang muda-muda itu daripada mengamuk. Antara pantang larang orang-orang akademik ialah tidak boleh mengamuk. Mengamuk tanda tidak akademik dan ilmuan. Nasib baik mereka dah habis belajar di universiti. Jika tidak Prof Aziz akan anggap mereka mahasiswa yang tidak akademik dan berilmu.

Di universiti sekarang, yang terlebih mengamuk ialah kumpulan pro pembangkang. Adapun mahasiswa yang pro kerajaan mereka tidak buat perangai mengamuk. Mereka pada sisi pandang Prof Aziz Bari adalah lebih akademik dan ilmuan. Inilah masalah pembangkang, asyik melahirkan penyokong yang mudah mengamuk. Tak puas hati sikit mengamuk. Dikritik sikit, mengamuk. Mengkritik pun mengamuk.

Tapi saya pula ucap tahniah pada rakan-rakan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Bukan hanya kerana mempertahankan balik presiden mereka, tapi kerana mereka dianggap pengamuk oleh Prof Aziz. Saya tak fikir mereka rasa mereka sedang mengamuk semasa tindakan mempertahan itu berlaku. Hanya apabila Prof Aziz kata jangan mengamuk, baru mereka sedar tindakan mereka adalah amukan kepada Prof Aziz di mata Prof Aziz sendiri.

Jadi tindakan mereka cukup berkesan sehingga dianggap satu amukan oleh seorang bertaraf ilmuan dan akademik. Itu bukan calang-calang. Jadi saya fikir kena ucap tahniah kepada rakan-rakan saya itu. Saya sendiri memang tak boleh mengamuk dah. Dah dua hari terlewat. Mengamuk bukan boleh buat-buat, apatah main tangguh-tangguh.

Untuk pengetahuan, baru- baru ini saya tengok di TV ramai orang mengamuk di Mesir dan Tunisia. Hasilnya tumbanglah kedua-dua kerajaan yang sedia ada. Dengar kata, kerajaan tersebut sebelum itu tak suka rakyatnya mengamuk, malah menyekatnya. Nampaknya, mengamuk ini tidak disukai oleh orang-orang akademik seperti Prof Aziz Bari dan kerajaan yang zalim seperti Husni Mubarak.

Tetapi di sisi orang-orang berilmu di medan kehidupan dan perjuangan, oleh kerana sifat amuk itu berakar semulajadi dan tabie sifatnya, apatah di kalangan orang-orang Melayu mengikut kata orang putih, mereka telah menjadikannya satu aset penting memacu perjuangan dan kejayaan. Di Mesir tadi contohnya, amukan rakyat marhaen dan anak-anak muda itu telah disusun dan ditarsyidkan dengan sempurna oleh orang-orang berilmu yang berbakti di medan kehidupan dan perjuangan. Dikatakan, para ulama banyak memainkan peranan besar mengurus kerja-kerja tarsyid terhadap amukan rakyat tersebut sehingga membuahkan hasil yang diinginkan oleh semua termasuk Prof Aziz sendiri, iaitu kemenangan menumbangkan kezaliman. Para ulama tersebut walau bagaimanapun, sepertilah tuan guru presiden, biasanya dianggap lembap, kurang strategi dan terlalu ukhrawi dan kurang duniawi.

Mungkin kerana itulah saya gembira dengan ‘amukan’ pemuda Wilayah itu. Ini kerana mereka mengamuk mempertahankan ulama. Oleh kerana ulama ini kerja besarnya adalah tarsyid dan mengurus kebangkitan umat, maka saya yakin pemuda Wilayah, bahkan seluruh pemuda PAS akan sentiasalah amukan mereka itu terurus dengan baik kerana sentiasa diurus para ulama yang dipertanggung jawab oleh Allah untuk mengurus umat Islam sampai bila-bila selagi tak kiamat.

Tapi, Prof Aziz Bari tak boleh mengamuk. Pertama beliau tak suka orang mengamuk, maka mana boleh dia memgamuk? Kedua, jika beliau mengamuk tak ada ulama atau sesiapa pun boleh uruskan dia. Lihat saja dua tahun lepas, beliau telah mengamuk dan amukannya tak henti-henti sehingga datang mursyidul am PAS mengarahkan sebuah muktamar tergempar parti PAS untuk ‘menyelesaikan’ amukan Prof Aziz itu. Susah habis segala orang bila amukan tiada tarsyid berlaku.

Mungkin Prof Aziz Bari tak merasa pun dia mengamuk pada masa itu, tetapi saya dan ramai melihat dia telah mengamuk. Samalah seperti Prof Aziz anggap pemuda PAS Wilayah mengamuk hari ini sedangkan mereka tak rasa pun mereka sedang mengamuk.

Untuk pengetahuan, orang mengamuk secara umumnya memang tak sedar dia mengamuk. Kita hanya boleh melarang orang mengamuk selama mana kita sendiri tidak dalam dunia amukan.

Kemudian, Prof Aziz Bari nampaknya begitu bersyukur PAS kalah di Beting Maro, Sarawak dalam pilihan raya negeri itu baru-baru ini. Agak lama beliau tidak memiliki peluru buat membedil tuan guru presiden. Bayangkan jika PAS menang, peluru itu pasti bertukar menjadi peluru plastik. Prof Aziz akan bungkam atau jika dia mahu menembak juga dia akan berkata, sepatutnya PAS menang di dua atau tiga kerusi yang ditandinginya atau PAS sepatutnya bertanding di seluruh DUN majoriti Islam! Ha, keplastikan sangat peluru itukan. Maka mari bersyukur PAS kalah di Beting Maro..

Kemudian, Prof nampaknya terus mengagumi dan meratapi pemergian almarhum Dato Fadhil Nor. Seolah-olah beliau berkata, oh, kalaulah almarhum masih hidup, bla bla..

Saya pula lain. Bagi saya nasib baik beliau telah pergi menemui kekasihnya yang hakiki itu. Kerana ‘jikalah’ beliau hidup, siapa pula akan memimpin Pakatan Rakyat? Fadhil Nor atau Anwar? Saya naik bimbang pula bahawa Prof Aziz pada masa itu akan menghentam Anwar pula semacam RPK lakukan atau mencincang lumat almarhum Dato Fadhil Nor sambil berkata, “Kamu ni menyusahkan, sepatutnya kamu telah mati 10 tahun lepas lagi.” Bahasa orang mengamuk mana boleh agak?

Jadi, bagi saya, ketiadaan almarhum yang telah dipilih awal oleh Allah itu adalah kebaikan untuk semua. DSAI selesa memimpin PR dan Prof Aziz pula selesa melibas sana sini, wassana wassini.

Akhirnya, bagi saya, presiden PAS adalah liabiti jika;

Pertama, jika beliaulah yang telah mengumumkan Baru Bian sebagai bakal Ketua Menteri Sarawak dalam PRN Sarawak baru-baru ini yang telah menyebabkab PBB memperolehi undi swing Melayu Melanau Islam di sana dengan mudah dan percuma yang menyebabkan PAS apatah PKR sendiri kehilangan banyak undi.

Kedua, jika beliaulah yang mendesak MB Kelantan agar mengekalkan
larangan premis jualan untuk judi loteri yang mencetuskan kemarahan DAP, MCA, kaki judi dan sebahagian non muslim lelaki (wanita mana suka suami berjudi?).

Ketiga, jika beliau tidak suka Prof Aziz Bari mengkritiknya.

Jika tidak, maka tidaklah. Jadi, nasihat saya, teruslah mengkritik dan teruslah mengamuk. Kedua-duanya adalah bukan liabiliti buat PAS dan para ulama rabbani.

Advertisement

Salam Kamunting,

Ada dua isu politik menarik yang perlu diberi perhatian hari ini. Pertama, usaha terkini PAS menaik tarafkan Kelab Penyokong PAS ( KPP ) yang menghimpunkan masyarakat bukan Islam yang menyokong perjuangan PAS yang ditubuhkan sekitar lima tahun lalu menjadi sebuah sayap parti secara rasmi.

Perkembangan terbaru kini seakan mengesahkan bahawa PAS telah betul – betul bersedia menerima perubahan besar dalam struktur dan binaan partinya. Mungkin kerana ianya tampak akan memberikan impak yang agak besar, maka ia telah mengambil masa yang agak lama untuk diputuskan.

Kedua, usaha menjadikan Pakatan Rakyat ( PR ) sebagai sebuah pakatan politik berdaftar sebagaimana BN. Cadangan ini menerima reaksi positif daripada pelbagai pihak termasuk daripada kalangan golongan ulamak dalam PAS yang sering dilihat lambat atau lebih tepat, terlalu berhati – hati.

Walaupun cadangan ini masih baru berbanding cadangan menjadikan KPP sebagai sayap rasmi PAS, kesan positifnya pasti akan menjadi pemangkin kepada usaha – usaha seterusnya untuk menjadikannya sebuah kenyataan.  

Secara ringkas, saya akan kemukakan beberapa kesan yang akan melonjakkan PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang berjaya insya Allah, hari ini dan akan datang.

1) Membuka lembaran lebih luas untuk PAS melumati fiqh kedudukan non muslim di dalam sebuah masyarakat Islam yang terlaksana di dalamnya nilai – nilai murni dan sejati Islam.

Anda sedang melihat bagaimana langkah pertama, iaitu menjadikan KPP sebagai sebahagian binaan PAS telah agak memakan masa. Ia berpunca daripada perbincangan hukum yang diteroka secara lebih mendalam berbanding sebelumnya. Mungkin langkah – langkah seterusnya akan berjalan lebih laju dan meyakinkan. Ini memaksa para bijak pandai dan sarjana Islam untuk bertungkus lumus memecahkan isu – isu tertunda yang mesti disegerakan jawabannya. Ini baik untuk kemajuan Islam dalam negara.

2) Memecahkan tembok yang memisahkan PAS daripada masyarakat non muslim. BN membina tembok ini atas dua perkara. Pertama, mengelakkan PAS daripada mendapat tempat di kalangan masyarakat non muslim, seterusnya meminggirkan PAS daripada arus perdana. Kedua, tradisi politik perkauman dalam BN dan negara telah menjadikan PAS yang memperjuangkan Islam dan tanpa identiti kaum gagal mendapat tempat di hati non muslim.

Dengan wujudnya sayap non muslim di dalam tubuh PAS tidak lama lagi, tembok pemisah yang telah mula runtuh secara perlahan melalui ‘engagement’ dengan non muslim semenjak dulu lagi akan segera ranap dan mencetuskan fenomena politik baru yang semakin menarik dan menguntungkan rakyat Malaysia.

3) Meruntuhkan ideologi kebangsaan dan perkauman yang menerasi kemerdekaan dan demokrasi negara secara lebih berkesan. BN dengan kekuatannya sebagai penguasa negara telah berjaya menanam ideologi salah ini sehingga menjadi darah daging yang sukar dibuang daripada jiwa rakyat dan negara. Usaha PAS memahamkan rakyat, samada Islam atau bukan Islam bahawa ideologi tersebut akan merosakkan negara tampak begitu sukar, bahkan PAS pula dituduh punca perpecahan.

Dengan wujudnya sayap rasmi non muslim dalam parti PAS, ia sudah pasti akan menjadi senjata utuh untuk menolak sistem politik warisan penjajah barat tersebut, lalu sistem yang lebih adil akan mula dibentuk. Penerimaan kaum non muslim terhadap Islam dan sistemnya adalah jawaban dan jaminan benarnya seruan rakyat ke arah sistem hidup yang lebih adil dan saksama dilaksanakan di dalam negara kita yang berwajah majmuk.    

Runtuhnya ideologi kebangsaan bermaksud runtuhnya UMNO dan sekutunya.

4) Gerakan dakwah Islamiyah menjadi lebih terbuka dan berkesan. Salah satu faktor utama yang melambatkan suara dakwah Islam adalah wujudnya sekatan yang menghalang manusia mendengar dan memahami Islam daripada sumbernya yang sebenar dan asli. Justeru agama menyifatkan sekatan itu sebagai sebahagian daripada ‘fitnah’ yang lebih besar dan dahsyat daripada membunuh. Manusia tanpa iman adalah mati.

Sayap non muslim dalam PAS bukan bererti non muslim dimestikan masuk usrah dan mendengar sebagaimana ahli PAS mendengar Islam, tetapi ia bererti tiada lagi halangan untuk mereka mendengar, memahami, bahkan menerima Islam sebagai cara hidup di dunia ini.

Maka wujudlah suasana yang segar di dalam penyebaran Islam di dalam negara. Tiada paksaan daripada PAS dan tiada sekatan daripada BN.

5) PAS bukan lagi dianggap milik orang Melayu. PAS adalah milik semua kaum yang menerima Islam sebagai cara hidup, samada mereka menganutinya sebagai ugama atau tidak.

Persepsi bahawa PAS adalah milik Melayu begitu sukar dihilangkan walaupun PAS telah lama menerima keahlian daripada semua kaum atas sifatnya sebagai parti agama, bukan kaum. Tetapi oleh kerana PAS masih tidak membuka keahliaannya kepada bukan Islam, maka persepsi PAS adalah Melayu terus kekal sehingga begitu sukar untuk dinafikan walaupun setelah terbentuknya Kelab Penyokong PAS  ( KPP ) yang telah menerima semua keahlian tanpa mengira kaum, agama dan warna. 

Dengan terbentuknya sayap bukan Islam dalam PAS, ia dengan sendirinya mengubah persepsi masyarakat negara yang berbilang kaum terhadap PAS. PAS akan lebih mudah didekati dan difahami.

6) Membuktikan keadilan, keterbukaan dan kesejagatan Islam. Ia adalah tiga ‘aset’ penting bagi sesebuah parti politik untuk bertapak di dalam dunia demokrasi liberal hari ini. Dengan persembahan dan penayangan Islam yang lemah dalam kehidupan, PAS sentiasa berdepan dengan cabaran membuktikan keadilan, keterbukaan dan kesejagatannya untuk memimpin negara. Selagi pembuktian praktikal kekal lemah, selama itulah PAS berada di dalam igauan cabaran tersebut.

Pembentukan Pakatan Rakyat yan berdaftar dan penerimaan sayap bukan Islam untuk menjadi sebahagian binaan parti PAS pasti menjadi bukti yang kukuh dan cukup signifikan terhadap keterbukaan dan kesejagatan PAS yang akan menarik sokongan seluruh lapisan rakyat kepada PAS.    

7) PAS diterima sebagai parti perpaduan. Isu utama negara kita adalah perpaduan kaum. Perpaduan rakyat yang majmuk adalah faktor besar kesejahteraan ekonomi negara. Justeru parti – parti politik negara terdesak sekali untuk membuktikan diri masing – masing sebagai peneraju perpaduan negara.

Walaupun PAS telah banyak membuktikan dalam sejarah dan politik semasa bahawa mereka adalah sebuah parti yang menyeru kepada perpaduan kaum, kelahiran sayap bukan Islam sebagai organ penting parti dan gabungan parti PAS dalam Pakatan politik berdaftar pastinya mempunyai impak yang terlalu besar ke arah penerimaan seluruh rakyat terhadap wibawa dan kesungguhan PAS memperteguhkan perpduan kaum. PAS akan dilihat paling mampu memberi jaminan keselamatan dan perpaduan.

 8) Memudahkan usaha menyelesaikan pergeseran di dalam Pakatan Rakyat. Ia adalah keuntungan semasa yang terlalu dibutuhkan. Sesuatu pergeseran dalam apa jua bentuk memerlukan medium perdamaian yang berwibawa yang boleh mencetuskan sikap saling mempercayai dan toleransi di antara kumpulan yag bertelagah.   

Samada pembentukan Pakatan Rakyat yang berdaftar atau pun sayap rasmi bukan Islam dalam PAS, kedua – duanya pasti menjadi pemudah cara yang akan membantu merapatkan jurang di antara parti – parti pakatan pembangkang ke arah merealisasikan kemenangan yang diimpikan.

9) Melenyapkan ketakutan terhadap tuduhan kaitan PAS dengan kumpulan pengganas. PAS pernah dicop sebagai agen dan dikaitkan dengan rangkaian keganasan antarabangsa. Walaupun ianya terbukti salah dan bersifat tuduhan liar, tetapi sifat PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang mempunyai rangkaian antarabangsa yang sesetengahnya dikaitkan dengan keganasan seperti HAMAS menjadikan PAS terus berdepan kemungkinan dicop sekali lagi sebagai pengganas.

Wujudnya keahlian dan sayap bukan Islam dalam PAS akan menjadi benteng utama menolak dakwaan yang tidak berasas itu. Apatah jika PAS mempunyai wakil bukan Islamnya di parlimen nanti. 

10) Idea dan sumbangan PAS kepada negara menjadi lebih gagah. Tidak dapat dinafikan betapa besarnya peranan bukan Islam di dalam memajukan negara terutama di dalam bidang ekonomi, politik, pembangunan dan lain – lain. Walaupun sering dinafikan peranannya, parti politik pembangkang sering menyumbang idea dan pendapat yang akhirnya diterima pakai oleh pemerintah dan negara.

Wujudnya sumbangan, buah fikiran dan kepakaran yang baru dan bernas daripada orang – orang Cina, India dan lain – lain bangsa di dalam PAS pasti akan menaikkan imej PAS di mata rakyat sebagai parti yang sentiasa bersedia menghadapi cabaran daripada semua sudut.   

11) Jaringan antara bangsa PAS menjadi lebih luas. Jika sebelum ini PAS hanya dikenali dan diraikan oleh gerakan dan  parti Islam di peringkat antara bangsa dan oleh negara – negara Islam sahaja, maka kewujudan sayap bukan Islam di dalam PAS pastinya akan melebar luaskan jaringan antarabangsanya kepada parti – parti dan negara – negara bukan Islam juga.

Ini akan membuka laluan lebih besar kepada PAS  untuk memainkan peranan politik yang penting  di peringkat antara bangsa.

12) PAS layak menerajui negara. Inilah impian semua parti politik. Yang paling bagus dan meyakinkan, itulah yang paling layak menerajui negara.

Cabaran politik baru yang diharungi dengan berani oleh PAS hari ini sudah pasti akan memberikan kesan positif ke arah PAS yang lebih ideal dan diterima.  Walau bagaimana pun, kesan – kesan positif di atas hanyalah akan diperolehi jika persekitarannya juga adalah positif. Justeru PAS mestilah juga memugar dan memelihara persekitarannya yang baik dan kondusif.

Jika sebaliknya, paling tidak, kita gagal memetik buah yang diimpikan. Saya akan menukilkan beberapa cabaran yang perlu dilepasi di dalam tulisan akan datang, insya Allah.

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Jun 2023
I S R K J S A
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
2627282930  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa