You are currently browsing the category archive for the ‘hari raya’ category.

Salam Palestin,

Jikalah musim haji itu hanya menjadi milik jutaan para bakal haji, milik para hujjaj yang kini sedang mara menuju kaabah, baituLlah al haram untuk menyempurnakan manasik al haj beberapa hari lagi itu, maka apa perlu kita menyambut hari raya haji?

Apa erti hari raya haji atau eid al adhha kalau tidak kerana musim haji juga adalah milik kita, milik bilionan umat Islam di seluruh dunia jua? 

Haji milik mereka, khususnya pemilik haji yang mabrur. Adapun musim haji, ia adalah milik semua. Allah jadikannya untuk semua hamba – hambaNya yang mencariNya di dunia yang gelap dan kelam ini.

Musim haji bukan sekadar saat cahaya yang memancar – mancar dari kaabah, atau suara memanggil – manggil dari tanah al haram, bahkan ia bagai lorong terhampar permaidani daripada jaluran warna – warna pelangi yang bersinar buat perjalanan indah seluruh umat Islam menuju Allah yang esa.

Rasainya sekarang, kerana ia telah pun bermula semenjak 1 Zulhijjah lagi, dan ia akan terus bersinar sehinggalah 10 Zulhijjah. 10 hari yang sempurna. Itulah sebaik – baik hari dalam setahun. Itulah gandingan 10 malam terakhir di bulan Ramadhan, sebaik – baik malam dalam setahun. Kecapilah kesyahduannya hari ini sebagaimana anda sering rasainya di malam – malam hujung Ramdhan al mubarak.

Maksud hadis sahih riwayat asy syaikhan daripada Ibni Abbas,sabda RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam; “Tiada satu hari pun yang segala amalan soleh di dalamnya lebih disukai Allah lebih daripada amalan soleh yang dikerjakan di dalam hari – hari 10 ini ( iaitu 10 hari pertama Zulhijjah ). Lalu baginda ditanya; Sehinggakan berjihad wahai RasulaLlah? Baginda mejawab; Ya, walaupun berjihad, kecualilah seorang lelaki yang keluar dari rumahnya dengan diri dan hartanya ke medan, lalu beliau tidak lagi pulang ( mati syahid ).”

Allah menghadiahkan kita dengan perayaan kedua iaitu eid al adhha atau hari raya korban bersempena dengan peristiwa agung pengorbanan besar yang ditunjukkan datuk kita nabi Ibrahim demi menggapai semi cinta Allah yang murni. Peristiwa ini adalah antara manasik haji akhir para hujjaj di kota Makkah yang dilaksanakan sebagai mengingati apa yang telah dilakukan oleh datuk kita itu. Allah lalu memperkenankannya untuk diingati oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia agar cerita pengorbanan demi menagih cinta tuhan itu terus hidup di dalam sanubari umat Islam.

Pipi si anak tersayang disembam ke bumi lalu pisau diangkat sambil leher dilurut demi melaksanakan upacara penyembelihan agung! Lalu Allah berseru, “Wahai Ibrahim, sungguh engkau telah membenarkan mimpimu itu..”   Allah menerima cinta Ibrahim, lalu “Dan kami menebusnya dengan sembelihan (kibasy) yang agung.” – Ash shaaffaat; 22-27

Mengingati cerita agung ini tidak akan sempurna sehinggalah kita membongkar kisah datuk kita nabi Ibrahim alaihissalam yang memulakan sejarah kota Makkah. Jika anda melihat dan memerhati manasik al haj, anda tidak mungkin mampu menghayatinya sehinggalah anda memahami sejarah perjuangan datuk kita itu.

Datuk kita, sepertilah nabi kita, Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam adalah ikutan yang sempurna;

Maksud firman Allah; Sesungguhnya untuk kamu pada Ibrahim dan mereka yang bersamanya adalah menjadi ikutan yang baik..” – al Mumtahanah;4

Demikian ringkasan yang harus kita hayati daripada pensyariatan ibadah haji. Janganlah kita menduga bahawa perihal haji itu hanya milik para bakal haji sahaja. Bahkan Allah tidak pernah mengabaikan keindahannya buat seluruh hambanya yang beriman untuk mengecapi kemanisannya.

Bersama menyelongkar hikmat haji, bersama menghidup 10 hari di bulan Zulhijjah dengan amalan – amalan solehah dan Selamat Hari Raya Haji al mubarak.

 

Advertisement

Salam Kamunting,

Datuk kita, Ibrahim ‘alaihissalam adalah seorang rasul. Baginda diutuskan ke bumi oleh Allah taala ribuan tahun yang lampau, satu jarak masa yang panjang yang penuh teka teki dalam mengenal sejarah ketamadunan manusia. Pengkisahan al Quran tentang datuk kita ini begitu banyak membantu pengkaji sejarah mengenali perjalanan kehidupan dan tamadun manusia sebelum dan selepasnya.

Salah satu mukjizat al Quran adalah sejarahnya yang benar, hidup dan sarat pedoman.

Bukanlah perjalanan datuk kita itu sealkisah dengan perjalanan sejarah cucunya Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Nabi Ibrahim sampai wafatnya hidup tanpa penyokong yang ramai. Berbeza sekali dengan cucunya yang agung, nabi kita yang mana di Hajjat al wada’ di hujung hayatnya telah berjaya untuk bersama lebih 100 ribu sahabatnya yang bersiap siaga menggempur demi dakwah dan perjuangannya.

Datuk kita pernah membisikkan pada isteri kecintaannya bahawa tiada di dunia yang menyembah Allah yang esa hari ini selain hanya mereka berdua! Ah, bagaimana mampu dibayangkan kemuliaan datuk kita ini apabila Allah memilih mereka berdua untuk bercerita mengenai manusia seluruhnya pada masa itu. Inilah seorang insan yang berjalan di bumi dan Allah hanya memerhatikannya tanpa jutaan manusia yang lain. 

Jutaan manusia adalah buih dan sampah yang hanyut dan hilang, sedang datuk kitalah yang kekal dan berguna untuk menyambung hayat manusiawi. Syirik adalah kebatilan yang sifatnya adalah lenyap tanpa kesan. Tauhidlah yang kekal berguna buat kehidupan manusiawi.

Allah menguji datuk kita dengan pelbagai ujian dan Allah meluluskannya dengan izin dan kekuatanNya jua. Dalam hidup tanpa pengikut dan pendukung yang ramai, baginda dilantik oleh Allah menjadi imam kepada seluruh manusia.

Baginda diuji untuk mendepani ayahnya, pengukir dan penjual patung berhala. Baginda diuji untuk berhadapan dengan raja Namrud yang maha zalim. Baginda juga dicampakkan ke lubang api yang besar. Pelbagai ujian melanda baginda sehinggalah ia memuncak dengan sebuah pengorbanan yang tak terfikir oleh kita apabila Allah menuntutnya menyembelih anak kecintaannya sendiri, Ismail alaihis salam.

Baginda tanpa ragu dan syak telah melaksanakannya dengan jayanya. Datuk kita adalah hamba Allah yang agung.

Allah sentiasa memuji datuk kita dengan puji – pujian yang menghangatkan iman di dada untuk kita terus mencontohinya. Allah berfirman:

“Sesungguhnya untuk kamu adalah contoh yang baik pada diri nabi Ibrahim dan orang – orang bersamanya ketika mana mereka berkata kepada kaum mereka, sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah. Kami kufur terhadap kamu dan nyatalah perseteruan dan kebencian di antara kami dan kamu..” –  al ayat (al Mumtahanah:4).

Banyak – banyak pedoman daripada datuk kita Ibrahim alaihissalam, pernyataan tauhidlah yang paling utama. Sesungguhnya semua cerita mengenai Ibrahim adalah pedoman yang akan menyuluhi hidup kita.

Ibadah haji adalah kefardhuan yang dikaitkan dengan sejarah agung datuk kita. Di musim haji, para jemaah haji akan diajak mengenang pengorbanan hebat datuk kita. Sementara kita di tanah air tidak dibenarkan selain untuk bersama mengingati datuk kita juga. Hari raya korban adalah kisah Ibrahim alaihissalam yang berjaya melepasi ujian agung tuhannya.

Jika anda mengikuti sirah datuk kita, kita akan menemui beberapa pedoman yang hebat, antaranya:

1) Berani 2) Sentiasa mencari kebenaran 3) berkata benar 4) tidak menghiraukan hiruk pikuk kata nista dan persepsi buruk manusia 5) sabar 6) bertaubat 7) tidak mengharap pujian manusia.

Hari ini adalah hari terakhir kita berhari raya korban. Marilah bersama mendukung ajaran nabi Ibrahim alaihissalam.

Jangan takut berkata benar. Jangan hirau persepsi manusia. Jangan takut kehilangan jika berganti kebenaran. Sentiasa mengajak manusia menginsafi kebenaran dan menikmati manisnya.

Jika anda ditanya, tak takut kalahkah? Jawablah, Islam adalah kemenangan. Jika Islam, ia takkan kalah!

Salam Kamunting,

Saya, juga seluruh warga DPP Pengkalan Chepa nak ucapkan selamat hari raya eidul fitri buat seluruh umat Islam, khususnya para pembaca budiman, tak kiralah lelaki dan perempuan, tua dan muda, uda dan dara. Semoga kegembiraan kita adalah kerana kejayaan kita mengisi Ramadhan dengan ibadah, taat dan taqwa kepada Allah. Semoga kegembiraan kita adalah pancaran rasa syukur di atas hidayat yang dikurniaiNya ta’ala.

Semoga kegembiraan kita dikongsi bersama oleh orang – orang yang lemah, miskin dan dizalimi daripada kalangan umat Islam seluruh dunia. Apalah manfaatnya bergembira dalam hambatan amanah yang tak tertunai. Semoga zakat fitrah yang kita tunaikan dengan ikhlas menjadi penyebab kerdil yang mencetuskan kegembiraan di jiwa mereka pada pagi hari raya dan hari – hari mendatang selepasnya.

Semoga kita didampingi al Quran selepas kita telah berusaha untuk mendampinginya sepanjang masa di bulan Ramadhan. Al Quran adalah sumber kekayaan, kekuatan dan kegembiraan bagi jiwa yang benar – benar kembali.

Semoga kita diberkati Lailatul Qadr yang diburu setiap yang beriman kepada Allah dan rasulNya. Semoga Allah memberkati masa kita di dunia ini. Kita adalah masa dan masa adalah kehidupan.

Semoga kita gembira selama – lamanya, dalam susah dan senang juga sempit dan lapang. Semoga Allah mengampuni dosa umat Islam seluruhnya. Amin.

Selamat Hari Raya Eidil Fitri. Maaf zahir dan batin.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar.   

Jemput ke rumah ayahanda di rumah terbuka di kediaman kami di Pulau melaka pada hari raya pertama.

Silakanlah..

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Mac 2023
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa