Prestasi PAS Kelantan dalam PRU13
PAS menang di Kelantan adalah sebagaimana jangkaan awal. Kekalahan dengan tambahan kerusi kepada BN juga sudah dijangka. Tetapi PAS gagal dalam usaha mengurangkan jumlah kerusi dimenangi BN kurang daripada 10 kerusi.
PAS memenangi kerusi bandar, kerusi maju ilmu (kecuali Kok Lanas yang memiliki undi pos tentera yang besar di Kelantan), undi Cina dan yang paling ketara, undi anak muda dan perantauan. PAS memperolehi majoriti besar yang ketara di Parlimen Kota Bharu, Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa, 3 kawasan yang padat, maju dan berpelajaran.
Aura TGNA adalah antara faktor utama yang boleh difahami dengan mudah. Faktor penindasan oleh Putrajaya terhadap Kelantan juga menjadi antara faktor utama selain persembahan pentadbiran kerajaan negeri yang berjaya mengurangkan kesilapan dan kesalahan walaupun berhadapan beberapa cabaran yang agak rumit.
Kekalahan dengan tambahan beberapa kerusi kepada BN adalah faktor bersifat tempatan. Di daerah selatan dan hulu seperti Gua Musang dan Jeli, PAS masih gagal memecah kebuntuan dengan kalah di semua kerusi DUN dan parlimen. Masyarakat di sana masih kurang pendedahan media baru yang menjadi senjata utama PAS memasuki setiap rumah. BN terus berjaya memerap pemikiran rakyat untuk kekal menyokong mereka.
Persembahan calon atau wakil rakyat terdahulu adalah juga menjadi faktor utama. Rakyat menunjukkan protes mudah dengan tidak mengundi calon tersebut atau parti sendiri. Ia tindak balas yang menjadi budaya politik rakyat Kelantan. Yang mengurangkan keketaraannya adalah kefahaman umat Islam Kelantan yang jelas dan sebati bahawa parti Islam perlu dijunjung dan parti sekular mesti ditolak.
PKR kurang menyengat di Kelantan. Rakyat Kelantan hanya mengenal PAS dan BN. Kefahaman lama dan selesa ini gagal diubah walaupun rakyat Kelantan menerima kehadiran PKR dan DSAI dalam politik tanah air. Kelantan adalah cerita Islam lawan sekularisme. Hijau atau biru tua. PKR kalah di semua 3 kerusi parlimen dan hanya menang di 1 kerusi DUN.
Faktor yang kekal adalah penipuan dan manipulasi undi oleh BN. Undi pos, politik wang, ugut dan kelemahan SPR terus menjadi senjata BN memenangi undi secara khianat.
PAS Kelantan perlu kekal membangun bersama Islam dalam memajukan negeri Kelantan. Ketelusan perlu ditambah baik. Ada beberapa aspek pentadbiran dan pengurusan yang lebih baik di negeri Selangor dan Pulau Pinang yang perlu ditiru dan dipelajari. Kejayaan memenangi PRU selama 6 penggal berturut-turut (double hatrict) mungkin boleh melemahkan, jika tiada islah yang ketara.
Dengan kepimpinan baru menggantikan TGNA, pembaharuan mesti dilakukan dalam beberapa aspek yang acap ditegur dan dikritik agar parti tidak lagi terlalu bergantung kepada aura tuan guru untuk kekal diterima rakyat Kelantan yang berani dan dinamik.
Wakil-wakil rakyat (saya juga) perlu kerap diberi peringatan dan teguran di dalam menunaikan kerja dan amanah parti dan rakyat. Pemilihan calon PRU perlu diteliti dan ditimbang sebaiknya demi mengurangkan kesilapan.
Adalah baik jika PAS bertanding di semua kerusi parlimen di Kelantan demi menjamin pertambahan kerusi PAS dan PR dalam PRU akan datang. Baik juga untuk peringkat DUN walaupun keperluannya tidak begitu meruncing. PKR masih boleh berperanan di dalam pentadbiran negeri Kelantan.
Masyarakat perlu didekati dengan ilmu, kemudian khidmat dan kemudiannya adalah bantuan kewangan. Ia kaedah mengekalkan sokongan yang padu dan kekal, bukan longgar dan sementara sifatnya.
Semoga PAS Kelantan kekal menerajui perubahan dan kemaraan rakyat ke Putrajaya demi Malaysia baru yang lebih bebas dan adil.
Ini adalah pandangan awal saya. Semoga bermanfaat.
4 comments
Comments feed for this article
Mei 20, 2013 pada 9:50 am
Muhammad Ghazali (@GhazaliIbrahim)
Sangat Setuju dengan pandangan Ustaz.
Mei 22, 2013 pada 8:06 am
Nik Mohd Asyikin bin Nik Mat
Bagaimanakah rakyat Kelantan amnya dan penduduk Parlimen Pasir Mas khasnya ingin menghubungi YB-YB mereka? Sudahkah ada laman-laman web tertentu yang membolehkan rakyat berhubung secara interaktif untuk bersoal-jawab dan memberi cadangan/teguran secara terus dan terbuka seumpama forum atau debat yang membina agar memantapkan lagi pentadbiran kerajaan secara keseluruhan.
Kita mesti berubah dan bersikap terbuka untuk menerima teguran untuk mempertahankan kerajaan yang sedia ada.
Sekian, terima kasih.
Mei 24, 2013 pada 6:08 pm
ahlee bin ahtan
NAK KENA SAMAN RM 50 juta ni FITNAH BN…Faktor yang kekal adalah penipuan dan manipulasi undi oleh BN. Undi pos, politik wang, ugut dan kelemahan SPR terus menjadi senjata BN memenangi undi secara khianat.
Mei 26, 2013 pada 12:08 pm
Mohamad4627
Ahli politik Kelantan tidak bersedia utk bersama dgn sebahagian besar generasi muda Malaysia utk menuntut pembaharuan dlm sistem PRU yg jelas pincang. Ketidaksediaan ini disebabkan oleh rasa dikhianati oleh politikus PKR sewaktu pemilihan calon PRU semakin membarah dlm sanubari politikus PAS.
Generasi muda M’sia sememangnya dpt menghidu bau busuk “pengkhianatan” ini. Pengkhianatan ke atas aspirasi generasi muda oleh kononnya satu golongan yg mengangkat diri mereka sebagai “pemimpin Agong” dan satu lagi golongan yg mengangkat diri mereka sebagai “ulamak Agong”.
PAS jelas gagal dlm membimbing anak muda M’sia. Malahan tiada seorang pemimpin pemuda PAS yg memimpin saf generasi anak muda M’sia. PAS cuma berminat membimbing anak muda PAS. Noktah!!
Dimanakah Ketua Pemuda PAS yg ghairah utk bersaing dengan ketua SAMM selepas PRU. Beradalah di depan anak muda, tunjukkan kekuatan jentera yg kerap dibangga. Anak muda M’sia dahagakan perubahan, datanglah ke depan tonjolkan “kekuatan”. Janganlah pulak PAS sendiri tak tahu dan tak yakin dgn “kekuatan” yg ada pada mereka.