You are currently browsing the category archive for the ‘tarbiyyah’ category.

i)

Pada pertengahan bulan Mac 2011 baru-baru ini, saya telah berlepas ke tanah suci Mekah dan telah selamat mengerjakan ibadah umrah bersama rombongan program Umrah Tarbawi anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat yang diketuai Ketua Pemudanya, Ustaz Nasrudin bin Hassan Tantawi. Seperti biasa, rombongan kami juga telah menziarahi masjid nabawi di tanah suci Madinah. Program selama dua minggu yang disertai oleh hampir enam puluh orang peserta itu telah mencapai matlamat dan kejayaan sebagaimana dirancangkan.

Ibadah sunat umrah adalah ibarat kembar kepada ibadah haji yang difardhukan ke atas setiap muslim. Ia samalah seperti kembarnya ibadat solat sunat kepada kefardhuan solat lima waktu atau ibadah bersedekah kepada kefardhuan ibadah zakat atau ibadah puasa sunat kepada kefardhuan puasa di bulan Ramadhan. Kesemuanya menambahkan kehangatan setiap muslim untuk melaksanakan ibadah rukun-rukun Islam yang lima itu dengan penuh adab dan khusyu’.

Seperti ibadah haji, ibadah umrah memestikan seorang muslim itu berangkat ke tanah suci menuju kaabah, rumah pertama yang dibina untuk ibadah kepada Allah. Dia mestilah berniat ihram dengan kaum lelaki hanya memakai kain putih tanpa jahitan, tidak melakukan beberapa pantang larang tertentu, tawaf di kaabah, saie di antara bukit Safa dan Marwah seterusnya menyudahkan ibadah unik itu dengan melakukan tahallul dengan menggunting atau mencukur rambutnya.

Allah menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang melaksanakan ibadah umrah. Ia menghapuskan dosa-dosa lepas selain ia begitu kuat dan kudus untuk membersih dan membina kembali hati dan iman setiap muslim dengan semangat untuk mengubah diri kepada lebih baik sekembalinya ke tanah air.

Pensyariatan ibadah haji dan umrah adalah penuh dengan hikmah ketuhanan. Melalui ibadah ini, umat Islam akan dipancarkan secara langsung dengan sejarah umat tauhid yang memanjang daripada kisah penerokaan awal nabi Ibrahim ribuan tahun yang lalu serta isteri dan anak kecilnya alaihimussalam ke atas bumi Mekah. Perjuangan besar baginda menegakkan tauhid dan menolak ketuhanan berhala dan syirik yang telah banyak menyesatkan umat manusia sepanjang zaman akan membuka minda dan menambat hati setiap muslim untuk menginsafi dan mensyukuri kelebihan menjadi seorang muslim yang benar.

Samada di Mekah atau Madinah, iman setiap muslim menjadi bertambah hangat apabila melihat kesan sejarah peninggalan sirah al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam yang menjadi rasul terakhir dari langit yang menyahut doa tertangguh ribuan tahun nabi Ibrahim agar zuriatnya diselamatkan Allah melalui perutusan seorang rasul agung yang akan menyinari alam dengan risalah tauhid dan iman. Seorang peserta umrah memberitahu saya, sepanjang berada di Masjidil Haram, beliau telah sempat menghabiskan buku sirah ‘Fiqhul Harakah’ karangan Tuan Guru Dato Haji Abdul Hadi Awang. Beliau menjelaskan betapa terkesannya dirinya apabila mampu merasa-rasakan kehadiran RasuluLlah melalui kisah-kisah sirah baginda yang dipaparkan melalui buku tersebut.

Di antara kelebihan lain yang paling dirasai oleh pengunjung BaitiLlah al Haram yang datang dari seluruh pelusuk dunia ialah suasana kesatuan umat Islam yang diikat kukuh oleh kesatuan tauhid dan kiblat. Penghayatan terhadap kelebihan ini sebenarnya mampu menjadi pemangkin yang paling berkesan untuk umat Islam melangkah lebih gagah di dalam membina kembali kekuatan mereka yang telah hilang dek kealpaan sendiri.

Begitulah seimbas hikmah pensyariatan ibadah haji dan umrah. Allah memaksa kita meninggalkan tanah air, keluarga dan kesibukan diri menjalani kehidupan duniawi untuk mengosongkan masa sepenuhnya berteleku di depan kaabah menghitung kembali kehidupan yang penuh cubaan dan cabaran yang mungkin menghijab kita daripada melihat kehidupan lebih baik yang telah dijanjikan Allah untuk umat terbaik ini.

ii)

Rombongan kami disebabkan kelewatan mendapatkan visa umrah telah terpaksa menukar jadual penerbangan dan terpaksa melalui Bangkok dan Kaherah sebelum masuk ke Jeddah. Ia agak memenatkan dan saya sendiri disapa demam dek kejutan udara sejuk walaupun hanya sepuluh jam berada di Kaherah.

Dunia arab sedang melalui tempo perubahan politik yang begitu tegang dan panas. Perubahan demi perubahan yang sedang mengasak hari ini melalui kebangkitan rakyat menentang pemerintah mereka nampaknya akan menjadi petanda ke arah kehidupan dan kemajuan tamadun arab dan Islam yang lebih baik. Sebelum ini, negara-negara arab dilihat begitu beku, lemah dan degil sehingga umat Islam seluruh dunia gagal memberikan keyakinan dan harapan kepada mereka untuk memimpin kebangkitan.

Semasa singgah di Mesir walaupun sekejap, sekilas mendengar perbualan rakyatnya daripada pekerja-pekerja di lapangan terbang Kaherah sehinggalah peniaga kedai kopi di tepi masjid Husain di sebelah universiti al Azhar, saya dapat mengagak betapa rakyat Mesir yang terkenal berani telah menjadi semakin berani dan yakin. Beban puluhan tahun ditutup mata dan telinga dan ditekup mulut nampaknya gagal menjadikan hamba pemerintahan kuku besi kebangsaan arab sebagaimana Firaun berjaya memperhambakan Bani Israel di dalam sejarah Mesir kuno melalui tekanan dan penindasan yang berterusan. 

Saluran-saluran tv negara arab dan akhbarnya pula nampaknya berlumba-lumba untuk menjadi jaguh kepada perubahan yang berlaku. Mereka 24 jam melaporkan segala perkembangan politik terutamanya di Libya, Yaman, Bahrain dan terbaru di Syria. Malah, mereka seperti menjadi pendorong kuat kepada apa-apa saja perubahan tsunami politik yang sedang melanda dunia arab sekarang.

Negara Arab Saudi kelihatannya berjaya mengawal kemarahan rakyatnya daripada merebak walaupun berlaku perhimpunan kecil menuntut perubahan. Walaupun begitu, Raja Abdullah nampaknya berusaha keras meredakan penularan kebangkitan rakyat di dunia arab dengan melakukan beberapa pembaharuan ekonomi dan politik. Ia mungkin bersifat kosmetik, tetapi sepertilah di negara kita Malaysia, negara Arab Saudi yang lebih mengecapi keharmonian dan kestabilan ekonomi berbanding negara-negara arab lain mungkin selamat untuk tempoh tertentu daripada ancaman kebangkitan rakyat.

Perubahan didorong oleh tindak balas terhadap kezaliman yang melampau dan berterusan. Seperti kata hukama kita, pemerintahan itu boleh kekal bersama kekufuran, tetapi ia tidak mungkin kekal bersama kezaliman. Negara-negara barat yang kufur lebih menikmati kestabilan dalam politiknya kerana keadilan yang diusahakan mereka. Tetapi mereka juga akan rebah suatu hari nanti kerana pastinya tiada kezaliman yang lebih besar selain menolak ketuanan Allah di muka bumi ini. Kerana itu, kita umat Islam diutuskan untuk membawa keadilan sejati dan benar dan kita dijanjikan kemenangan yang sejati.

Advertisement

Salam Palestin,

Akhbar Utusan Malaysia beberapa hari lepas melaporkan kajian oleh Jakim menunjukkan kadar keruntuhan rumah tangga rakyat Malaysia yang agak tinggi akibat perkahwinan yang tidak mampu bertahan lama dan terdedah kepada perceraian awal yang agak membimbangkan.

Kajian terakhir menunjukkan lebih 30% pasangan bercerai dalam tempoh 5 tahun pertama perkahwinan dan hampir 45% perceraian adalah berpunca daripada kegagalan pasangan melaksanakan tanggung jawab selain msalah akhlak, kewangan, seksual dan campur tangan orang ketiga.

Kita sudah pasti terpanar dengan hasil kajian yang ditunjukkan dan ia sungguh menyedihkan. Ia cukup untuk menggambarkan betapa perkahwinan yang diharapkan mampu mencetus pembaikan, ketenangan dan penyelesaian terbaik dan berkesan kepada isu – isu penyakit masyarakat dan negara rupa – rupanya masih ditahap yang lemah dan membimbangkan.

Tiada yang terlalu indah selain perkahwinan di antara dua mempelai yang menyatukan kehidupan manusia secara semulajadi dan fitrah. Ia sebahagian daripada agama dan pengajarannya. Islam menjadikan perkahwinan sebagai sebahagian dari jalan menyempurnakan ugama dan kehidupan seseorang muslim di dunia ini.

Kesempurnaan itu bermaksud pasangan yang berkahwin itu telah menyelamatkan diri masing – masing daripada fitnah dunia yang besar yang boleh memporak perandakan ugama dan kehidupannya, selain membantu masyarakat dan negara membina kehidupan yang aman dan harmoni melalui ikatan kekeluargaan yang akan saling mempercayai, bersatu dan berkerjasama di antara mereka.

Hampir – hampir pembinaan negara itu bermula daripada rumah tangga yang bahagia, bukan individu yang berjaya. Bagaimanakah boleh digambarkan kehebatan dan kejayaan individu tanpa kehadiran institusi kekeluargaan yang menyokongnya? 

Tetapi, apabila kita dikhabarkan dengan hasil kajian yang menunjukkan sebaliknya, bahawa perkahwinan juga turut mencetus kegawatan kepada negara, maka bagaimanakah kita mampu menerimanya dengan tenang dan tanpa kebimbangan.   

Perceraian diharuskan agama sebagai jalan keluar kepada perkahwinan yang gagal untuk diteruskan dan diharapkan kejayaannya. Tetapi apabila kadarnya menjadi begitu tinggi sehingga mencabar perkahwinan itu sendiri (sebanyak 135,136 perkahwinan didaftarkan pada 2009, manakala 27,116 kes perceraian pula direkodkan pada tahun yang sama), maka ia memberikan setidak – tidaknya dua gambaran yang agak menakutkan;

Pertama, perceraian itu sudah tidak lagi boleh dianggap sebagai jalan penyelesaian, bahkan telah mencipta perpecahan di dalam institusi masyarakat dan masa depan anak – anak yang muram dan gelap.  

Kedua, perkahwinan pula bukan lagi dilihat sesuatu yang jernih dan kebal untuk pembinaan kehidupan impian, bahkan ia bagai menempuh gelombang badai yang memeritkan atau perjudian yang ditakuti akibatnya.

Istana perkahwinan kelihatannya telah dicerobohi musuh yang akan meruntuhkannya dari dalam.  

Jika ini keadaannya, sesuatu yang besar mestilah dilakukan oleh semua pihak, terutama pihak kerajaan yang memiliki kekuatan yang mantap untuk mengatasinya, selain masyarakat sendiri yang berperanan wajib membaiki secara bersama.

Mengapa pasangan muda hari ini gagal mempertahankan kemanisan yang mereka dambakan sepanjang umur remaja mereka? Bukankah umur muda remajalah menjadi tanah subur untuk kalimat cinta memekar dan tumbuh? Justeru cinta itulah yang memimpin mereka untuk mengimpikan keindahan abadi dalam kehidupan duniawi ini sehingga sebahagiannya menjadi abdi kepada cinta jenis ini?

Saya ingin berkongsi pendapat, semoga setiap yang bertanggung jawab dapat meletakkan satu ukuran yang benar sebelum merumuskan tindakan yang tetap dengan menilai keutamaan dan menimbangkan di antara beberapa natijah yang penting. Dengannya gerak kerja akan lebih bekesan.

Perkahwinan bertindak menyempurnakan kecacatan individu. Ia begitu mengubah cara hidup seseorang. Ia meransang rasa tanggung jawab dalam kehidupan dan kesediaan untuk memikul tanggung jawab. Maka kehidupan akan menjadi lebih sempurna kerana kehidupan hanya bermakna apabila amanah dan tanggung jawab dilestarikan.

Tetapi apabila perkahwinan gagal berfungsi sebagai pelengkap kesempurnaan, kita patut melihat kepada beberapa faktor;

Pertama, institusi perkahwinan yang gagal difahami. Berkahwin bukan berkawan. Ia lebih daripada itu. Tetapi perhatikan, ramai pasangan muda sering memilih ini, “Kami berkahwin kerana kami rasa begitu serasi semasa berkawan.” Tahukah mereka bahawa keserasian semasa berkawan tak akan sama dengan keserasian perkahwinan.

Islam menolak pengenalan dan penilaian melalui persahabatan yang lama sebelum perkahwinan walaupun melalui ikatan pertunangan. Ia menghapuskan rasa hormat, malu dan saling mengharap di antara pasangan. Ia menerima dan menolak tanpa rasa tanggung jawab yang sebenar. Penilaian sebelum perkahwinan adalah lemah dan palsu lantas bergantung kepadanya pasti akan melemahkan dan menggagalkan harapan menggunung selepas perkahwinan. Pasangan akan saling tuduh – menuduh di atas janji dan pengenalan rapuh sebelum perkahwinan. 

Pengenalan sebenar institusi perkahwinan mestilah disertai tanggung jawab untuk membaiki dan membina. Ia hanya teguh setelah perkahwinan berlaku. Akad nikah diperkenalkan agama sebagai janji pertama dan ikatan yang kuat simpulannya. Ia mesti difahami setiap pasangan bahawa akad itu menuntut kita bersedia menerima kekurangan dan kelebihan masing – masing. Tiada tuduh – menuduh mungkir janji terhadap pengenalan lama yang terjadi sebelum perkahwinan.

Kesediaan menerima ‘seadanya’ pasangan masing – masing adalah kunci kepada pembinaan dan pembaikian mahligai perkahwinan. Sifat – sifat terpuji akan segera memekar dan sifa – sifat buruk segera terlerai satu demi satu. Berkenalan selepas perkahwinan adalah bagai satu proses mencantumkan dua denyut nadi, nyawa, tubuh, diri dan ruh menjadi satu. Ia satu seni dan sesuatu yang seni memerlukan penghayatan yang lebih dan lebih telitinya. Dalam setiap diri ada seni. Jelmakan kemuncak seni anda di sini selepas seni pada mengenal Allah dan raulNya.   

Bukanlah pengenalan pra perkahwinan itu buruk, tetapi keburukan adalah apabila perkahwinan digantungkan dan digadaikan kepadanya. Di situlah kerosakan dan keretakan mudah berlaku.

Sekarang perhatikan sebab – sebab perceraian yang melanda bagai api yang membakar di sebalik majlis perkahwinan yang meriah sekali. Ketika berlaku khilaf dan selisih di antara pasangan, di mana hilangnya rasa hormat, rasa malu dan rasa tanggung jawab masing – masing? Ya, ia telah hilang dalam seribu janji yang berlaku sebelum janji sebenar di saat lafaz akad nikah dimeteraikan.

Anak – anak muda hari ini gagal memahami hakikat dan makna perkahwinan. Mereka berbicara pasal keseronokan menimang nafsu sedang agama mengajar mereka untuk berseronok menimang tanggung jawab dan membina kesempurnaan hidup. 

Kedua, generasi baru yang lemah binaannya. Inilah faktornya. Kadar perceraian yang tinggi adalah petanda generasi anak muda yang lemah binaan tubuhnya. Ia bermula daripada kegagalan mereka membina diri. Kesannya tampak jelas pada cara mereka membina rumah tangga pula.

Hari ini kita berbicara secara serius mengenai modal insan. Mengapa? Bukan kerana kita tidak pernah sedar kepentingannya, tetapi kerana kita telah gagal membinanya semenjak sekian lama. Dan hari ini pun, saat kita berbicara lantang mengenainya, kita belum pun menemui caranya yang sebenar dan selamat kecuali mereka yang dikasihi Allah.

Sistem pendidikan kebangsaan negara kita masih terlalu lemah. Pemusatan kepada kekuatan jasmani yang dicapai melalui aspek – aspek lahiriah yang banyak melampaui kekuatan rohani yang seharusnya memimpin kekuatan lahiriah tadi. Asyik kita melihat kejayaan lahiriah kita membutakan kita daripada melihat kepunahan isi dan nurani dalam yang sentiasa menjadi pembunuh kejayaan zahiriah kita itu. 

Generasi muda harapan di menara gading sedang terlibat dalam jenayah, maksiat, budaya kuning dan syirik. Apatah lagilah jika dikira anak – anak muda yang terbantut pendidikan awal mereka lalu terbiar tanpa tangan tanggung jawab yang dihulur buat menyelamatkan mereka daripada kecundang dalam dunia jenayah, dadah, arak dan zina.

Ini kenyataan yang sedang kita hadapi secara bersama.

Setiap mereka telah dan akan mendirikan rumah tangga. Samada lelaki atau perempuan, anda boleh bayangkan betapa sukarnya kita memberi harapan untuk kejayaan mereka membina istana perkahwinan yang teguh.

Dalam tubuh mereka tiada agama yang lurus, iman yang sempurna, jiwa yag khusyu’ dan ilmu yang bermanfaat. Mereka berbekal segulung ijazah dan wang yang banyak untuk membina perkahwinan. Cukupkah itu untuk menimang anak dan tanggung jawab?

Di sini, harapan adalah sukar sehinggalah kita bersedia menerima perubahan besar di dalam sistem pendidikan dan segala sistem hidup yang menyempurnakan syakhsiyah diri anak – anak muda harapan bangsa. Daripada situ, kita pasti boleh kembali gembira untuk melihat ikatan perkahwinan yang menjanjikan kedamaian dalam kehidupan manusia, bukan membimbangi keretakan dan kehancuran rumah tangga.

Ketiga, Persekitaran yang lemah dan tidak membantu. Ia tambah menyukarkan apabila istana perkahwinan yang baru dibina berhadapan dengan persekitaran yang tidak membatu meneguhkannya. Perhatikan pada kehidupan ibu bapa, mertua dan keluarga sendiri yang lemah dengan mementingkan dan membanggakan status zahir dan meninggalkan ugama. Lihat persekitaran kawan – kawan yang berlumba dan menuntut penonjolan bermewah – mewah dalam membina rumah tangga dan lihatlah juga pada kehidupan umum hari ini yang begitu mengagungkan duniawi dan dosa.    

Dengan jiwa dan binaan diri yang lemah, persekitaran kehidupan yang kotor hari ini telah begitu merempuh istana perkahwinan yang dibina setiap hari di negara kita.

Jadi, ketika kita berbicara mengenai perkahwinan dan pembinaan rumah tangga kekal bahagia, kita akan dapati bahawa ianya memerlukan satu penyelesaian yang menyeluruh yang begitu menuntut kehadiran kekuatan dan kekuasaan untuk mengubah kebiasaan dan kelaziman yang telah berakar umbi dalam kehidupan. Keruntuhan rumah tangga yang baru saja dibina jelas memberi petunjuk bahawa arus jahat terlalu ganas untuk menjahanamkan perkahwinan baru untuk berakar umbi.

Tetapi menuntut pemerintah negara menyedari kesilapan dan kesalahan mereka tetap sukar. Pemerintah yan terlalu berkuasa seperti di negara kita terlalu ego dan sombong untuk mengakui kesilapan.

Justeru, selepas gandingan mendesak dan memburu kerajaan dimantapkan, hendaklah sentiasa ada jentera – jentera islah dan pembinaan dalam masyarakat seperti para ulama, madrasah, masjid dan pertubuhan – pertubuhan bukan kerajaan untuk memainkan peranan membina institusi keluarga yang bahagia dan diredhai Allah. 

Salam Palestin,

Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan program Ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS peringkat kebangsaan 2010 bermula 1 hingga 3 Oktober 2010 bertempat di kampung Rusila, Marang, Terengganu. Program tarbawi perdana yang julung kali diadakan sejak sekian lama ini dijangka akan dapat menghimpunkan ribuan jentera pemuda PAS dan pendukung gerakan Islam dari seluruh negara.

Program ijtima’ perdana ini adalah bermatlamat menggerakkan pemuda untuk memahami tanggung jawab membina kekuatan PAS melalui tarbiyah dan sistemnya yang jitu. Ia juga bersempena dengan pindaan perlembagaan PAS terbaru yang telah memberi ruang dan melibatkan jentera pemuda di peringkat kawasan ke dalam program kemuncak parti iaitu muktamar tahunan. Program ijtima’ akan membantu jentera kawasan di seluruh negara untuk memahami dan menilai peranan dan tanggung jawab masing – masing.

Melalui program 3 hari 2 malam ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia mensasarkan kehadiran sekurang – kurangnya 20 orang jentera pemuda setiap kawasan selain jenteranya di peringkat pusat dan negeri. Jangkaan kehadiran lebih 3000 orang jentera pemuda ini pula akan dihangatkan lagi dengan jemputan umum, terutamanya kepada seluruh pemuda PAS seluruh negara yang berminat untuk menyertainya.

Jemputan khas juga disasarkan kepada seluruh pelajar daripada universiti dalam dan luar negara. Tidak ketinggalan, kehadiran peserta daripada Dewan Muslimat, terutama daripada unit NISA’nya dijangka akan memperkasakan lagi program besar ini.

Justeru adalah dijangkakan, program yang akan melibatkan penyertaan hampir keseluruhan kepimpinan utama PAS ini mampu menghimpunkan lebih 5 ribu orang peserta dari seluruh negara.

Sehingga kini, hampir 20 orang pimpinan PAS telah menyatakan kesanggupan untuk bersama pemuda dalam program ijtima’ tersebut. Di antara kehadiran utama yang akan turun menyampaikan amanat dan wasiat tarbawiyah tersebut adalah al Mursyidul Am PAS, Presiden PAS, Timbalan dan Naib – Naib Presiden PAS, Ketua Dewan Ulama, Ketua Pemuda dan Ketua Dewan Muslimat PAS selain kepimpinan tarbiyah utama PAS seperti al fadhil Dato Dr Haron Din dan al fadhil Ustaz Dato Haji Yahya Othman.

Lebih memeriahkan, ijtima tarbawi ini dijangka menerima kunjungan tetamu daripada gerakan Islam daripada timur tengah.

Di antara agenda menarik yang telah disusun untuk memeriahkan dan mengoptimumkan hasil tarbawi melalui program ijtima’ ini adalah siri  kuliah talaqqi kitab Tafsir al Tibyan syarah surah al Hujuraat oleh pengarangnya sendiri iaitu Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang. Kitab tersebut yang kini dalam proses ulang cetak sempena program ijtima tersebut telah diberi kata pengantar oleh al fadhil Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat.

Selain itu, program forum, pembentangan, ceramah tarbawi perdana, solat dan bacaan al ma’thurat berjamaah dan lain – lain lagi dijangka akan memeriahkan lagi isi perhimpunan ala mukhayyam perdana tersebut.

Pengarah program ijtima’, Ustaz Haji Azman Shapawi dan Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia yang diberi tugas utama menjayakan program ini ingin merakamkan harapan kepada seluruh jentera pemuda di seluruh negara untuk memastikan kejayaan program ini dengan kehadiran penuh dan komitmen yang tinggi terhadapnya. Semoga Allah memberkati.

Salam Palestin,

Saya baru siap merumikan kata pengantar oleh ayahanda Tuan Guru kepada kitab tafsir surah al Hujuraat karangan Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang. Kini ia dalam proses untuk diulang cetak dengan kata pengantar tersebut yang saya kira akan menambahkan lagi kekuatan kitab tafsir tersebut.

Ayahanda  menulisnya dalam tulisan Jawi. Sememangnya saya tak pernah melihat tulisannya dalam bahasa Rumi. Samada Jawi atau bahasa Arabiah. Saya pula jarang menulis tangan kecuali dalam tulisan Rumi. Anda tahukan, semuanya kerana sistem pendidikan yang saya ( anda juga ) dan ayahanda telah lalui adalah berbeza. Masa saya mula bertatih menulis, tulisan Jawi telah dijahanamkan kehadirannya dalam sistem pendidikan kebangsaan oleh UMNO.

Ia dihidupkan untuk dimatikan saja. Diarsenikkan. Tetapi, ia tidak mati kerana ramai pencintanya yang telah dan akan terus mempertahankannya. Tulisan jawi adalah jiwa bangsa Muslim. Oleh kerana UMNO tiada mempertaruhkan diri untuk Islam, maka dalam pemerintahan UMNO, tulisan Jawi terus dipinggirkan dan jika ia mati, dibakar api dengan dikerat – kerat tulangnya adalah lebih baik daripada dikebumikan.

Saya yakin tulisan Jawi akan kembali unggul menyuburkan dan menyejukkan iklim negara yang panas dan berjerebu. Kerajaan Negeri Kelantan telah berusaha menghidupkan penggunaan tulisan Jawi di dalam penguat kuasaan majlis perbandaran dan acara rasmi. Diawalnya, ia kelihatan sukar, tetapi selepas beberapa lama, syarikat – syarikat besar seperti perbankan dan komunikasi mula akur dan mula seronok untuk bersama kerajaan negeri memperkasakan tulisan Jawi.  

Anda boleh melihatnya sebaik berkunjung ke bandar Kota Bharu. Saya juga yakin, dengan anugerah Allah melalui pertabalan Tuanku Sultan yang baru yang berjiwa agama, muda dan perkasa kepada negeri Kelantan dan rakyatnya, tulisan Jawi akan terus memacu menuju martabatnya. Memacu ke depan bersama Islam meninggalkan UMNO yang semakin lemah, tanpa arah dan keseorangan.  

Ayahanda agak jarang menulis panjang. Dia pernah menulis dan tulisannya dicetak dan dibukukan. Artikelnya acap diterbitkan lewat majalah – majalah ugama. Tetapi itu dulu, di alam mudanya selepas pulang menuntut ilmu di luar negara. Tetapi, mungkin kesibukannya memenuh masa dengan program kuliah ugama, ceramah dan pidato selepas itu telah menjarakkannya daripada dunia penulisan.

Pun begitu, ayahanda kekal sebagai ulat buku. Saya tidak tahu jika ada sehebat ayahanda yang telah mencecah umur 80an yang begitu ketagih membaca. Mungkin ada, tapi saya tidak tahu. Hari ini, jika saya khatam satu buku, mungkin ayahanda telah habiskan 5 buah buku. Sungguh menakjubkan.

Lebih menarik, bingkisan pengajaran yang menarik dan penuh isi oleh ayahanda telah meruntun beberapa orang muridnya yang mahir menulis untuk mula memindahkan ucapannya kepada tulisan yang dibaca. Sekitar 20 tahun lepas, beberapa buku dilancarkan hasil kerja keras anak – anak muridnya yang telah memindahkan koleksi ucapannya daripada kaset – kaset ceramah.

Buku – buku tersebut telah mendapat sambutan hangat daripada segenap lapisan masyarakat.

Kini, Allah terus membekalkan ayahanada dengan pembantu – pembantunya yang hebat. Bukan hanya pemindahan ucapan dan pidatonya, bahkan ayahanda mula ada sesi khas bersama pembantunya melontarkan idea – ideanya yang luas, lalu disalin dan dikarang menjadi artikel yang bagai tulisannya sendiri. Anda mungkin kerap membacanya di dalam akhbar Harakah dan portal maya.

Saya kira ia bermula semasa saudara Haji Anual Bakri Haron menjadi setiausaha politik ayahanda. Selain beliau adalah Ustaz Mohd saiba Yaacob, Hj Wan Nik Yosof dan Ustaz Haji Ahmad Fadhli Shaari. Kesemua adalah pembantu ayahanda di pejabat Menteri Besar.    

Dalam era media baru terkini, ‘facebook’ ayahanda telah mendapat sambutan yang cukup hangat terutama di kalangan belia remaja pencinta perjuangan Islam dan keadilan.

Kerana itu, apabila saya ajukan permohonan Dewan Pemuda PAS agar ayahanda menulis sedikit aluan sebagai kata pengantar kepada tafsir surah al Hujuraat karangan Tuan Guru dato Seri Haji Abdul Hadi Awang untuk dipersembahkan di ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS peringkat Kebangsaan di Rusila pada 1 hingga 3 Oktober 2010 nanti, beliau sanggup tetapi kelihatan agak gusar untuk menyiapkannya.

Saya memintanya menulis sendiri walau sedikit. Selepas beberapa kali bertanya, akhirnya ayahanda menghulurkan saya 4 helai kertas yang sarat tulisannya dalam Jawi. Saya pastinya teruja dengan kesediaannya meluang masa untuk menulis agak panjang. Ketika menyerahkannya, dia berkata, “Baca sendirilah”, seolah – olah meminta saya meneliti dan membaiki kekurangan.

Sambil menulis kembali dalam tulisan Rumi untuk cetakan, saya meneliti isi yang dituangkan ayahanda. Ah, sungguh klasik tulisannya, begitu ‘stylo’ isinya. Saya membiarkan tulisan itu kekal 99% dan anda akan menikmatinya sebagaimana saya, jikapun anda tidak dapat menikmati keindahan khat jawi ayahanda.

Anda mungkin terhenti seketika untuk memahami, tetapi anda pasti telahpun mengecapi kepuasan ketika berusaha memahaminya. Keasyikan itu sungguh menghentikan nafas, bahkan matahari pun terpaku menikmati mukjizat nabawiyyah. 

Ayahanda cuba melakarkan kehidupan ini sebagai anugerah Yang Maha Esa yang sungguh agung yang mesti dibalas sebagai ‘mengenang budi’. Rasa budi itulah menghasilkan akhlak dalam kehidupan manusia. Surah al Hujuraat sarat dengan pengajaran Allah agar manusia hidup berbudi dan berakhlak.

Tulisnya, “Supaya tidak terus meraba – raba, Allah dengan limpah kurniaNya mengutus para anbiya’ alaihimus salam sejak zaman – berzaman. Dan terakhir ialah nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Di antara tajuk utama yang ditekan oleh para anbiya’ ialah akhlak; Berbudi kepada pihak yang berbudi. Disebut dalam bahasa ugama; Syukur nikmat.”

Kemudian ayahanda merumuskan, “Mengenang budi atau berakhlak mulia adalah sesuatu yang terlalu sukar dilaksana manusia. Mengenang budi bermakna terpaksa korbankan kepentingan diri untuk kebahagiaan orang lain. Sedangkan naluri tamak, mementing diri adalah watak semula jadi manusia sejak alam kebudak – budakan lagi. Abang biasalah bertegang dengan adik – beradik. Kawan sebelah rumah biasa lihat ibu bapa bertegang sesama jiran. Bahkan kerajaan selalu berperang sesama kerajaan. Rakyat menjadi mangsa dan budi akhlak yang kena pijak.”

Ayahanda tidak lupa memperkenalkan pengarang Tafsir al Hujuraat. Tulisnya, ” Al fadhil Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah di antara ulama turun padang. Beliau berguru di universiti – universiti tanah haram dan di timur tengah.”

Kemudian ayahanda memuji kesungguhan pengarang yang telah berusaha mengubati penyakit yang menimpa umat Islam. Katanya, ” Beliau mengkaji punca rohani manusia berpenyakit syirik. Mengapa orang Islam sendiri ketepikan surat kiriman Allah kepada manusia ( al Quran al Karim ) lalu terpedaya dengan pemikiran manusia. Manusia adalah manusia. Ilmu manusia macam orang kampung mahu baiki komputer rosak. Makin rosak dan jahanam!”

Saya menikmati pujian ulama ke atas ulama yang seperjuangan di dalam jihad menegakkan ugama Islam yang syumul di Malaysia. Ia nikmat yang menjadikan saya membenci sesiapa yang cuba mengeruhkan hubungan sesama ulama demi cita – cita politik dan peribadi yang tohor dan gelojoh.

Semoga Allah menjirus kita dengan limpah rahmat bernaung di bawah kepimpinan ulama dan ahli al Quran.

Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang akan bersama pemuda PAS selama 3 hari dalam program Ijtima nanti. Bersamalah kita menadah dan khatam kitab tafsir karangan beliau nanti.

Anda boleh mula mendapatkan buku cetakan terbaru tafsir tersebut dalam program ijtima perdana di kampung Rusila nanti, insya Allah.

Salam Kamunting,

Beberapa akhbar harian hari ini melaporkan bahawa Puteri UMNO Selangor telah membuat laporan polis mengenai kenyataan menghina yang dilakukan di dalam sebuh laman web sosial terhadap bekas ketua Puteri UMNO bahagian Ampang, Allahyarham Haslinda Zerain yang telah meninggal dunia akibat sakit jantung baru – baru ini.

Selepas menyokong tindakan membuat laporan polis tersebut, suka saya menitipkan beberapa perkara sebagai renungan bersama;

1) Tangung jawab dan amanah ketika menulis di laman internet. Menulis tak sama dengan berbual. Pahala dan dosa yang kita perolehi melalui penulisan takkan sama dengan yang kita perolehi dengan berbual. Akses kepadanya lebih ramai, lapangannya lebih rencam, ketahanannya lebih lama dan kesannya lebih mendalam. Justeru pahala dan dosa akan menjadi lebih besar.

Adanya kemudahan menulis di layar maya telah menarik jutaan peminat untuk menulis. Ia perkembangan yang bagus dan diraikan. Dengan menulis, kehidupan akan lebih cemerlang dan berjaya.

Tinggal lagi, belajarlah untuk menggunakan disiplin semasa menulis. Disiplin yang tinggi kerana pahala dan dosanya juga tinggi. Kejayaan beriringan dengan disiplin.

Maka, jangan memfitnah semasa menulis. Jangan menulis segala cerita orang kecuali yang benar dan bermanfaat untuk diketahui. Jangan menulis dengan kata – kata kesat. Jika ‘terpaksa’, hamburkannya ditempatnya. Biar mangsa itu terkambus sekali dengan kata – kata kesat itu.

Adakah si muslimah yang meninggal dunia dengan kalimah syahadah di dadanya berhak dikebumikan dengan kata – kata kotor? Agama kita, nabi kita tak pernah mengajar begitu.      

2) Menghormati si mati adalah hak kemanusiaan. Di depannya adalah Allah, tiada lagi selainNya. Itu adalah pengakhiran dan kesudahan sebuah kehidupan yang maha dahsyat dan menginsafkan! Apa lagi yang lebih menginsafkan selain mati? 

Apatah lagi jika dia saudara kita semuslim. Jika dia baik, pastikan kebaikannya bertambah – tambah dengan doa kita. Jika dia buruk, pastikan keburukannya diampuni dengan doa kita. Bukankah persaudaraan muslim itu suatu yang hak? Si mati telah tiada apa – apa selain tuhannya.

Jika tidak dapat tidak kerana kebencian yang meluap – luap, tutup mulut. Ikat jari atau potong saja daripada menulis yang hina dan membodohkan diri sendiri. Bagaimana jika anda menghina orang yan telah menikmati keampunan tuhan di kuburnya?

3) Menentang UMNO adalah tuntutan dakwah. Dakwah adalah tugas kerasulan. Wahyu yang mengganti al rasul yang telah pergi meninggalkan kita terus berkumandang berseru agar umat menolak pemikiran sekular dan syirik terhadap kedaulatan al Quran dan al Sunnah. UMNO, kerana terkurung di tempurung sekular, kita tentang dan kita dakwah. 

Dakwah ertinya menarik ke syurga, bukan menghumban umat ke neraka.

Ketika seorang daripada kita sudah di ambangnya, berdoalah untuknya, bukan menghina dan membencinya.

Di ambang kubur, PAS dan UMNO adalah sama. Di depan adalah syurga dan neraka. PAS berdakwah ke syurga dan menahan umat dari murka dan nerakaNya.  

4) Untuk Allahyarham Haslinda Zerain, bergembiralah kita jika Allah merahmati dan mengampuninya.. Ummati.. ummati..

Salam Kamunting,

Menjadi seorang muslim adalah bermaksud memasukkan diri ke dalam kerangka dan acuan Islam. Ia bermaksud anda beriman kepada Allah, tuhan yang esa lalu akur dan tunduk kepada pengajaran dan undang – undangNya.

Apabila anda kekal di dalam acuan itu, anda adalah seorang muslim yang sempurna. Jika sebaliknya, anda cacat dan kecacatan itu akan terus membesar dan bertambah mengikut tahap perlanggaran terhadap undang – undangNya. Jika berlaku keengkaran, ia bererti kekufuran dan keluar dari agama.

Menjadi seorang muslim bererti memasuki perlumbaan menuju kesempurnaan. Kesempurnaan adalah berusaha menjadikan diri semakin dekat dengan Allah yang esa dan memperolehi keridhaanNya.

Kesempurnaan dan taqarrub kepada Allah hanya berlaku apabila kita semakin mendekati sunnah RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Baginda adalah penunjuk jalan yang satu dan baginda adalah ikutan yang satu di dalam agama. Tiada siapa boleh berlumba di atas landasan selain landasan binaannya.

Kemuncak perlumbaan adalah apabila anda menjadi pejuang Islam yang ikhlas.

Ia bererti anda bukan hanya beriman dengan Islam, bahkan menyiapkan diri sebagai pejuang yang mendukung perjuangan menegakkan ugama Islam di dunia dan kehidupan ini. Itulah matlamat perutusan para anbiya’. Mereka membawa ugama dan memperjuangkannya demi mencapai taqarrub dan keridhanNya.

Islam di dunia ini mesti tegak berdiri ke atas seluruh agama dan ideologi yang lain. Justeru ia menuntut perjuangan dan para pejuangnya.

Menjadi seorang pejuang Islam bukanlah sekadar hanya menjadi seorang muslim biasa. Ia menuntut usaha besar menuju puncak tertinggi. Ia penuh kesukaran dan ia pastinya milik para pejuang yang bersedia menempuh kesukaran dengan jayanya.

Menjadi seorang pejuang bermaksud bersedia patuh kepada peraturan sebagai seorang tentera. Ia menuntut disiplin pada tahap tertinggi. Bagaimana boleh dibayangkan sebuah kemenangan yang dibarisi para tentera yang mempunyai disiplin yang lemah?

Justeru anda tahu bahawa bukanlah senang untuk menegakkan Islam di dunia ini. Menegakkan Islam bererti menundukkan seluruh kekuatan kufur yang merajai dunia hari ini.

Ia menuntut pejuang Islam untuk menguasai banyak perkara dan menggerakkannya dengan penuh disiplin. Pastinya, ia bukan dekat jaraknya, pendek masanya dan mudah caranya.

*****

PAS adalah wadah perjuangan Islam.

Di dalam PAS, pejuangnya dikaderkan seawalnya. Sebelum mencecah umur suku abad, ahli PAS yang dilatih dan ditarbiyah sebenarnya sudah melalui dan menguasai disiplin seorang pejuang. Apabila dia muncul di medan, sayugianya dia tidak kekok untuk berkenalan dengan selok belok dan ranjau di perjalanan dakwah. Itulah sebaik – baik persediaan untuk anak – anak muda yang berjuang.

Adapun jika seorang pejuang PAS itu terlepas daripada latihan dan tarbiyah di awal umurnya dan hanya bersama PAS selepas berlalu umur mudanya, dia akan tetap melalui perkaderan sebagai pejuang PAS. Ia tentunya tak sama dan dipisahkan oleh jumlah masa yang lebih terhad untuknya. Justeru modul dan disiplinnya adalah berbeza.

Anak muda pejuang adalah lebih berpeluang untuk lebih berjaya. Umur muda tiada galang ganti dengan umur tua.

Tetapi, disiplin adalah disiplin. Ia menuntut itiqamah dan konsistensi.

Saat itu, ia tidak menjamin umur muda berbanding umur tua. Orang lama dan baru adalah sama.

Justeru gejala kegelinciran dan kelayuan melanda tanpa mengenal usia dan tahap. Yang menjadi penyelamat hanyalah kekuatan diri untuk bertahan dan istiqamah dalam perjuangan. Para anak muda sayugia sekali diingatkan dengan fenomena ini agar mereka lebih bersedia untuk menangani ujian yang lebih getir dalam perjuangan. Jika tidak, mereka akan berhadapan kerugianyang tiada galang gantinya. Mereka terlucut gelaran ‘al mujahidun’ yang diimpikan setiap muslim yang mencintai al rasul dan perjuangannya. 

Beristiqamah dan berdisiplin juga adalah tanggung jawab dan amanah. Keretakan padanya, selain membawa padah pada diri sendiri juga akan menggoncang keutuhan jamaah dan perjuangan. Setiap kita mestilah berusaha mengelak daripada menjadi beban kepada jamaah. Semakin kita berada diatas, semakin besarlah kesan daripada perlakuan dan tindakan kita.

Pemimpin tertinggi mestilah memiliki ciri – ciri pejuang yang lebih bernilai berbanding pemimpin bawahan dan pejuang di bawah.

Secara mudah dan jelas, setiap kita mesti kagum dengan ringkasan yang dilumatkan oleh al ustaz Hasan al Banna di dalam rukun bai’ahnya yang sepuluh. Jika ahli PAS berpegang padanya nescaya parti PAS akan sentiasa unggul dan dihormati pada bila – bila masa.

Saya melihat suasana sukar hari ini banyak berpunca daripada kegagalan kita melumati kembali apa yang telah kita lumati seawal zaman awalan tarbiyah dulu. Kita disibukkan untuk berlumba merungkai bermacam masalah sedang kita sendiri adalah sebahagian daripada masalah.

Sebuah rumah tangga teguh bahagia kerana ketaatan kepada ketuanya, bukan kerana kegalakan mencari kebebasan bersuara di dalamnya.

Disiplin adalah patuh. Istiqamah adalah cekal.

Ayuh, patuh dan cekal berjuang!  

Salam Kamunting,

Setiap malam, setiap mukmin sedang meneka – neka dan mencari – cari malam yang agung itu. Ibu kita, Aishah  radhiaLlahu ‘anha sampai bertanyakan RasuluLLah sallallahu alaihi wasallam, apakah doa yang harus dibaca jika beliau merasa – rasakan kehadiran malam lailatul qadar itu. Baginda bersegera memberikan isteri kesayangannya itu dengan doa yang tinggi sekali nilai dan kesannya. Bacalah, “Tuhanku, sesungguhnya engkau maha pemaaf, engkau suka memaafkan, maka maafkanlah aku.”

Bagaimana jika kita saling menghadiahkan doa ini di antara kita suami isteri? Tidakkah hebat merasa – rasakan untuk meniru suasana hangat pemburuan malam agung ini dari rumah keluarga al Rasul?

Apabila masuk sepuluh malam terakhir, Baginda segera menghidupkan malamnya, membangkitkan ahli keluarganya dan mengilas kainnya ( bersungguh – sungguh ) demi memuncakkan perolehan ganjaran dan keberkatan malam agung itu.

Ayuhlah, masih ada masa untuk kita saling berlumba.. 

Jangan diabaikan ibadah iktikaf di masjid. Jangan ditinggalkan sesuatu yang agung daripada nabi kita. Ia untuk kita, jika kita ini solihin, mukminin, muttaqin atau kita mengimpikan gelaran syurgawi itu.

Jikalah kita terlalu sibuk, jangan lupa, seperti kata ayahanda, meniatkannya setiap kali kita masuk masjid untuk menunaikan solat lima waktu. Apabila kita meniatkannya, kita akan merasakan bahawa kita sedang memagari diri kita untuk Allah, tuhan yang maha sabar menanti kehadiran hambaNya. 

Ibadah yang paling berkesan adalah berfikir, bertafakkur, bertadabbur dan beribrah. Ia mengesankan sungguh. Tanpa tafakkur, kita tidak mampu bersyukur. Syukur hendaklah memuncak di malam Syawwal saat kita bertakbir membesarkan Allah ta’ala. Itu arahan al Quran.

Adalah Abu al Darda’ radhiaLlahu anhu seorang sahabi yang banyak beribadah dengan berfikir dan memerhatikan penciptaan Allah azza wajalla dan tanda – tanda kebesaranNya yang nyata. Beliau pernah berkata, “Bertafakkur sesaat adalah lebih baik daripada beribadah semalaman.”

Telah ditanya Ummu al Darda’, “Apakah sebaik – baik amal Abu al Darda’?” Beliau menjawab, “Bertafakkur dan beriktibar.” – (Kedua-duanya adalah riwayat Imam Ahmad dalam kitab al Zuhd).

Justeru, bersegeralah menikmati ibadah berfikir. Berfikir demi mensyukuri nikmatNya.

Basahi pipi untuk mengingati nikmat ini;

1) Kita dijadikan muslim seawal dilahirkan. Bayangkan sebaliknya, sebagaimana jiran kita orang Cina dan India yang berlainan ugama. Alangkah sukarnya hidayat! Alangkah mudahnya Islam kita!!

2) Kita dimudahkan dengan al Quran. Bayangkan sebaliknya, sebagaimana orang kafir. Atau sebagaimana golongan munafik yang masih bermain – main dan bersenda gurau dengan al Quran! Alangkah sukarnya khusyu’. Alangkah mudahnya kita dihadiahkan untuk membaca dan khusyu’ di hadapan al Quran.

3) Kita dilorongkan untuk memilih jalan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Bayangkan jika kita diseronokkan untuk menghina para sahabat yang disucikan hati mereka dengan al Quran! Atau, jika kita diobseskan dengan pandangan yang salah dalam memahami jihad, lalu kita membunuh sesama sendiri, atau mengkafirkan sesama sendiri. Alangkah malangnya hidup dalam Islam yang disesatkan kefahamannya. Alangkah beruntungnya kita didekati ulama yang suci dan sempurna ilmu dan fahamnya terhadap ugama.

Mari berpuasa, bertaqwa dan bersyukur dengan al Quran. Semoga Allah tidak mengharamkan kita dengan Lailatul Qadar.. Aamiin.

Salam Kamunting,

Perang pilihan raya di Manek Urai telah tamat dan PAS berjaya mengekalkan rentak kemenangan yang berterusan dalam siri pilihan raya kecil pasca PRU 12. Kemenangan tipis dengan majoriti hanya 65 undi adalah agak mendebarkan dan mengejutkan. PAS dan UMNO masing – masing terkejut.

Ia adalah kejutan yang boleh berlaku di mana – mana. Para sahabat al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam mengalaminya di medan Uhud dan di medan Hunain. Kejutan itu daripada Allah. Kita menjangkakan kemenangan selesa sehingga petang dan UMNO mengakuinya, tetapi Allah datang di hujung senja dengan kehendakNya. UMNO kalah kerana itulah kesudahan musuh Allah. Kita pula kalah dalam dan dengan strategi kita sendiri. Allah memenangkan agamaNya. Pastinya bukan kita!

Bagi seorang mukmin yang peka dan khusyu’, mengambil ibrah dan pengajaran adalah lebih jitu dan berguna daripada menikmati kemenangan. Kemenangan adalah anugerah dan hadiah, sedang ibrah adalah amanah dan tanggung jawab. Menang di dunia bukan bererti menang di akhirat, sedang mengambil ibrah di dunia pasti beroleh kemenangan di sana.

Uhud mengajar sahabat erti taat dan tidak gelojoh. Hunain mengajar mereka erti berani dan tidak ujub. Itulah yang utama. Daripada ibrah itulah para sahabat membina diri menjadi tentera Allah yang siap siaga memacu perjuangan dan dakwah.

Allah menghendaki kita mengambil ibrah dari Manek Urai melebihi kegelojohan kita untuk menikmati kemenangan darinya.

Saya harap post mortem terhadap keputusan pilihan raya N41 Manek Urai akan menghasilkan jawaban yang tepat demi mengekalkan kita dalam landasan perjuangan.

Faktor rohani hendaklah diutamakan. Itulah makna perjuangan Islam.

Perhatikan persoalan – persoalan berikut:

1) Mengapa begitu mudah pengundi culaan milik kita di Manek Urai menukar undi kepada BN sedangkan Manek Urai adalah kubu kita di selatan sejak dulu? Di mana nilai agama?

2) Mengapa kita bermudah dengan penceramah DAP, tetapi tidak sesama kita? Tidakkah sebelum ini kita mudah dengan DAP dan lebih mudah sesama kita, dan terbukti telah berjaya?

3) Mengapa perselisihan dalaman dihidupkan sepanjang kempen di Manek Urai sehingga media massa dan musuh seronok memainkannya. Itukah kematangan?

4) Kesatuan adalah syarat kemenangan. Adakah kita meraikannya?

5) Mengapa kita gagal membatasi leluasa politik wang UMNO sehingga pengundi tak pun terasa haram menjual undi mereka? Kita di Kelantan, kubu Islam. 

Strategi adalah penting. Tetapi ia bukan bandingan iman di dada. Iman menjadi lemah apabila penyakit hati melanda. Allah melihat hati kita sebelum strategi kita. Apabila iman lemah, tiada yang indah pada strategi. Justeru Allah menegur pada iman, bukan pada strategi.

Kepada anak – anak muda di medan perjuangan, juga di pusat – pusat pengajian, marilah belajar beribrah daripada kejadian hari ini agar kita mantap menyambung tali perjuangan masa depan. Moga kita lebih matang dan bersedia nanti.

PRK tak sama dengan PRU. PAS Kelantan biasanya kalah dalam PRK, tetapi tidak PRU. Kali ini kita menang sebagaimana di Pulai Chondong dulu. Saya yakin Abe Uji mampu memainkan peranan besar membina kembali keyakinan rakyat kepada PAS. Beliau calon yang betul untuk rakyat Manek Urai, insya Allah.

Semoga Kelantan terus membangun bersama Islam.

Salam Kamunting,

Tak kiralah samada pemimpin kita itu ulama atau profesional, yang penting dia bertaqwa. Jika taqwanya tercarik dengan sebab perlakuannya, kita pilih yang lain.

Pemimpin kita mesti bertaqwa. Mesti pula lebih taqwanya daripada kita pada andaian dan penelitian kita. Sebab, kita ini adalah umat taqwa. Taqwa adalah pencarian kita di dunia yang tertinggi. Taqwa adalah bekalan kita yang  satu – satunya ke akhirat nanti. Maka pemimpin kita hendaklah orang yang boleh menunjuki kita kepada taqwa.

Justeru pemimpin kita mestilah taqwanya lebih baik daripada kita. Suluhannya lebih tajam melihat ke depan, lalu pimpinan dan panduannya jadi mudah, tepat dan tak terpesong. Barulah kita jadi pengikut yang selamat, untung dan tak rugi.

Lihat ayat 74 surah al Furqan. Allah mengajar kita bagaimana memohon daripadaNya. Jika rajin, bacalah daripada ayat 63 sampai habis surah itu. Fahami bagaimana Tuhan kita merencana untuk kita hambaNya yang disayangiNya.

Kita diminta olehNya untuk memohon daripadaNya agar menjadi imam atau pemimpin kepada umat yang bertaqwa. Seawalnya adalah dikurniai isteri dan zuriat yang sejuk mata memandang dek taqwa yang menyelubungi kehidupan sekeluarga. Bolehkah dibayangkan perkenan Allah untuk doa suami yang buruk perangai untuk memiliki keluarga taqwa?

Itulah jenis pemimpin idaman kita. Dia memimpin di dunia untuk kehidupan kita di akhirat. Dalam Islam, memilih pemimpin tanpa taqwa, walaupun rencam kebolehannya, adalah kerugian. Kerugian yang besar.

Sebabnya, kita terlalu memerlukan pemimpin. Kita perlukan nabi yang memimpin. Sahabat nabi yang memimpin. Pewaris nabi yang memimpin. Kita buta tanpa pemimpin. Kita hari ini, begitulah manusia sejak dahulu kala lagi.

Adalah Bani Israel, pemimpin mereka adalah para nabi. Itu perkhabaran nabi kita untuk kita agar kita mengenali wibawa pemimpin. Kerana itu mereka telah menjadi bangsa pilihan. Apabila mereka membohongi dan membunuh para nabi, mereka dilaknat dan disumpah menjadi bangsa terkutuk.

Kemudian kita datang untuk menjadi bangsa pilihan pula. Kerana kita dipimpin oleh sebaik – baik nabi. Nabi penghulu segala nabi.

Nabi adalah bapa taqwa. Tiada nabi, tiadalah taqwa. Begitu sifat taqwa memuncak nilainya dalam kepimpinan Islam. Nabi mewariskan taqwa untuk kita meneruskan kepimpinan pilihan di dunia ini.

*******

Ya, taqwa. Mudah atau payah, kita kena cari pemimpin bertaqwa. kalau rasa pemimpin bertaqwa tak penting, tak payah baca surah al Furqan. Eloknya, tak payah baca al Quran langsung. Jenis tak lekat ajaran!

Ya, memang susah nak cari pemimpin bertaqwa. Sebabnya, taqwa itu memang susah nak dapat. Sebabnya kerana taqwa itu diperolehi hanya dengan ilmu. Ilmu pula hendaklah diiktiraf Allah sebagai ilmu yang berguna. Ilmu yang berguna ialah ilmu yang membawa kepada taqwa!

Yang bertaqwa hanyalah yang berilmu. Yang berilmu tanpa iman dan taqwa adalah tidak berilmu. Sekadar antah, disisih beras dan nasi.

Semua ilmu boleh memandu kepada taqwa. Ilmu adalah kurniaan agung daripada Allah kepada manusia.

Mereka kata, ulama ialah yang ilmu wahyunya adalah rasmi. Ada sijil. Mereka kata, profesional adalah yang ilmu akalnya adalah rasmi. Ada sijil. 

Jika begitu dipakai guna, maka samada pemimpin kita itu seorang ulama atau profesional, dia mampu untuk menjadi pemimpin bertaqwa. Sebab, samada ilmu itu naqli (wahyu) atau aqli (akal), ia boleh mencetus taqwa.

Kata saja begini, ulama apabila bertaqwa adalah profesional. Juga, profesional apabila bertaqwa adalah ulama. Titik temu adalah taqwa. Taqwa itu isi profesionalisme. Taqwa itu isi ulamaisme. Begitu tafsiran dan istilah ugama. 

Terbaru, ayahanda kata, jika Namrud itu profesional, dia pasti terima Ibrahim alaihissalam! Saya tambah, jika Obama itu profesional, dia pasti terima Islam!

Jika anda enggan memahami agama dengan tafsiran ugama, anda akan merapu – rapu dalam membuat kesimpulan. Jika anda  mengira si kafir adalah profesional, anda jahil. Ulama pun tidak, profesional pun tidak!

*******

Kemudian, mari saya bimbing anda kepada sesuatu yang lebih ke puncak.

Banyak – banyak ilmu, ilmu manakah yang terbaik dan terpilih?

Banyak – banyak ilmu, ilmu manakah merupakan kurniaanNya yang teragung?

Jawabannya adalah ilmu wahyu. Kenapa? Sebabnya ilmu wahyu adalah lebih cepat kepada  taqwa. Ia lebih cepat menuju Allah dan mengenaliNya.

Justeru para nabi dikurniai ilmu wahyu. Ia milik nabi tanpa kongsi. Ilmu wahyu mesti daripada nabi. Kemudian ia  dipindah milik kepada manusia yang dipilihNya untuk memperolehi kurniaan agungNya. Lihat asy Syura:52.

Nabi sallallaahu alaihi wasallam bersabda dalam hadis Sahih: “Barang siapa yang dikehendaki Allah dengan kebaikan (yang banyak dan agung), pasti Allah menjadikannya faqih dalam ugama.” Agama adalah wahyu.

Ilmu wahyu, nabilah juara di depan. Ilmu aqli, tak semestinya nabi menjuarai. Kerana itu nabi bersabda, “Kamu lebih tahu perihal urusan duniawi kamu,” saat para sahabat mengadu kebun tamar yang kurang mengeluarkan hasil apabila cadangan awal nabi dipraktiskan.

Justeru anda akan menemui seorang  miskin buta huruf di pedalaman jauh yang menangis di tengah malam kerana takutkan tuhannya. Dia tiada memiliki selain secubit ilmu wahyu yang diajar oleh guru ugama lepasan pondok ( yang tiada memiliki ilmu duniawi rasmi ) yang telah memperkenalkannya dengan tuhannya.

Tetapi anda boleh melihat seorang profesor di menara gading yang bertambunan sijil – sijil ilmu aqlinya, hari – hari kerjanya adalah menentang Allah dan rasulNya! Dia memiliki segalanya kecuali ilmu wahyu!

Setitik ilmu wahyu mungkin saja mencipta taqwa. Seluas lautan ilmu aqli pula tak mungkin mencipta taqwa kecuali selepas dititikkan dengan ilmu wahyu.   

Ilmu naqli ( wahyu ) tidak memerlukan ilmu aqli sedang ilmu aqli memerlukan ilmu naqli untuk menuju tuhan.

Ilmu aqli membimbing anda mengenali wujud tuhan yang satu. Ilmu naqli menyudahkannya dengan berkata, yang satu itu adalah Allah!

*******

Mari membaca dan memahami sebahagian surah Fathir yang menjadi rujukan perihal ilmu,ulama dan taqwa.

Ayat 27 dan 28, Allah mengarahkan kita mengkaji dan memerah akal untuk memahami kemukjizatan alam semesta ciptaanNya. Hasilnya adalah ilmu yang mencetus taqwa! ” Sesungguhnya hanya yang takut pada Allah adalah ulama ( ilmuan ).”

Tetapi perhatikan awal ayat, “Tidakkah kamu lihat bahawa Allah…”  Taqwa hanya terhasil apabila si pengkaji itu terlebih dahulu mengenal Allah. Jika tidak, dia pasti dalam kebingungan dan kehairanan sendirian tanpa jawaban melihat kehebatan alam semesta.

Anda mungkin mendengar bagaimana ramainya ahli sains barat dan timur  hanya memeluk Islam selepas mereka mengenali Allah daripada pembacaan al Quran atau diperkenalkan oleh ulama Islam! Sebelum itu, bukankah mereka buntu?

Lihat, titikan ilmu wahyu menjadikan segalanya adalah emas!

Jangan berhenti di ayat 28, sehinggalah anda melihat ayat berikutnya.

Lihat pula ayat berikutnya, dari ayat 29 hingga 32. Allah memperincikan perihal manusia yang bertaqwa.

Dalam 4 ayat ini, Allah menyebut ‘KitabuLlah‘ ( al Quran ) sebanyak 3 kali!

Selepas penegasan bahawa taqwa itu milik para ulama ( hatta ulama sains ), Allah mengembalikan kita kepada nikmat membaca dan memahami al Quran ( ayat 29 ). Kemudian, Allah mempertegaskan al Quran sebagai sumber kebenaran dan al haq ( ayat 31 ). Akhirnya Allah memberitahu kita kepada siapakah al Quran itu diwarisi daripada al Rasul ( ayat 32) dan siapakah yang terbaik daripada mereka. Mereka yang menjuarai berpegang dengan al Quran disifatkan sebagai telah memperolehi kurniaan yang agung!

Begitulah taqwa. Ia bermula dengan al Quran dan berakhir dengan al Quran. Ditengahnya adalah segala ilmu aqli dan naqli yang saling memperkenalkan kita dengan tuhan, lalu mencetus taqwa.

Selepas anda memahami ini, bolehlah anda memahami saya ketika saya sering mengajak anda menjadikan ulama al Quran sebagai pemimpin.

Saya bermaksud bahawa kepimpinan mestilah ditunjangi taqwa. Kemuncak taqwa adalah apabila anda memahami kitab Allah sepenuhnya. Anda mesti memahami bahasa Arabiah sebaiknya kerana al Quran diturunkan dalam bahasa Arabiah sepenuhnya. Sebahagian keindahan al Quran adalah pada memahami bahasa itu. Sebahagian lagi adalah pada memahami ilmunya yang khusus seperti ulum tafsir, ulum hadis (penafsir al Quran yang pertama selepas al quran sendiri ), fiqh dan usulnya, selain kemuncaknya, iaitu ilmu merawat hati yang sakit dan mensejahterakannya.

Tidakkah memimpin manusia adalah memimpin hatinya? Dunia ini hancur rosak selepas hati manusia rosak. Dunia ini sejahtera apabila hati manusia telah sejahtera.

Siapa anda untuk berani berkata ulama al Quran tidak boleh memimpin dalam iklim politik negara hari ini? Siapa anda untuk berani mempertikaikan imej dan watak ulama tradisional?

Seperti saya sebutkan di atas, jika anda melihat pemimpin anda telah tercarik sifat taqwanya dengan penyakit – penyakit hati seperti cintakan dunia, cintakan jawatan, bohong, dengki, politik wang, rasuah politik, politik cantas, memfitnah dan sebagainya, tukarlah saja pemimpin sedemikian jika ada yang lebih baik.

Jika tiada, malanglah kita. Berdoakan semoga Allah mengurniakan kita pemimpin yang baik – baik yang memandu kita menuju Allah.

Salam Kamunting  ( dedikasi khas buat mangsa dan ahli keluarga akta zalim ISA yang sedang merengkok di penjara Kem Kamunting. Semoga para pembaca tidak melupai mereka dengan doa dan pertolongan. Blog ini dimulakan semasa kekanda saya, Ustaz Nik Adli masih di sana  ),

 

Benar adalah sifat yang mulia. Lawannya, bohong adalah sifat yang keji. Membezakan benar daripada bohong adalah sebahagian matlamat Allah ke atas kehidupan manusia di dunia ini. Allah benar – benar mahu menyaksikan golongan yang benar terpisah daripada golongan yang bohong. Satu di syurga dan satu lagi di neraka. Lihat al Ankabut:3.

Benar bukan bermula di lidah, tetapi di hati. Justeru ia mendasari makna iman. Iman adalah pembenaran dengan hati. Apabila hati telah dikuasai kebenaran dan pembenaran ke atasnya, ia pasti dan mesti menguasai tubuh. Justeru lidahnya pun berkata benar dan seluruh anggota tubuhnya bertindak dan berkerja dengan benar tanpa bohong dan tipu.

Maka iman adalah benar sebagaimana benar adalah iman. Iman adalah pembenaran dengan hati, pengucapan dengan lidah dan berkerja dengan anggota badan. Begitulah gambaran betapa mulianya sifat benar.

Oleh kerana benar adalah iman, maka bohong adalah nifaq. Orang beriman adalah pembenar kepada kebenaran, manakala kafir, juga munafik adalah pembohong yang menidakkan kebenaran (Lihat al ankabut:11). Justeru sifat benar sebenarnya adalah pembeza di antara iman dan nifaq. Nyatalah betapa penting dan berharganya bersifat dengan sifat benar dalam kehidupan orang beriman.

Maka benar adalah amanah iman, manakala bohong adalah khianat terhadap iman. Itu maksud sabda al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam.

Mencapai darjat tertinggi sifat benar adalah sukar. Hati sentiasa benar. Ia menjadi saksi diri sendiri. Jika ia beriman dengan Allah maka benarlah hatinya dalam imannya itu. Bila ia kufur dan mensyirikkan Allah, maka benarlah hatinya dalam kufur dan syiriknya itu. Hatinya benar dalam menidakkan kebenaran daripada Allah.

Peperangan dan perjuangan sifat ini bermula apabila ia menuju lidah dan perbuatan. Jika lidahnya berkata sebagaimana hatinya, maka dia melonjakkan sifat benar di dalam dirinya. Kemudian jika perbuatannya juga adalah selaras pernyataan hatinya, maka ia sebenarnya telah mencapai darjat tertinggi sifat benar.

Kerana kebesaran bersifat benar, maka manusia paling mulia selepas para rasul, Abu Bakar telah menerima darjat kebesaran utama daripada Allah iaitu gelaran ‘as siddiq’.

Ia satu perjuangan dalam kehidupan setiap muslim yang wajib memelihara imannya sepanjang hidupnya. Betapa sukar berlidah benar, betapalah lagi sukarnya berkerja dan bertindak benar. Lidah bercabang, menanam tebu di bibir mulut dan talam dua muka adalah sebahagian rencah kekejian amalan yang merosakkan kehidupan manusia dek hilang dan terhakisnya sifat benar.

Bagaimana menuju puncak sifat benar yang sukar itu? Mari bersama kita menangga menujunya.

Pertama, benar terhadap musuh. Ia bererti anda mempertegaskan kebenaran dan iman anda dengan berterangan menolak musuh. Musuh adalah kufur, syirik dan mereka yang mendukungnya.

Anda mengucapkan  kalimah syahadah dengan berterangan. Anda mengeji kekufuran dan menjauhinya. anda menolak orang yang melawan Allah dan hukumNya. Anda menyeru manusia meninggalkan kekufuran dan kezaliman.

Ini adalah tanda sifat benar di dalam diri. Ia adalah tanda iman di dada. Jika anda gagal di sini, anda telah gagal di tahap yang pertama. Anda dikuasai sifat bohong dan nifaq. Anda mungkin telah menjadi munafiq. 

Anda berkata iman hanya di depan orang beriman, tetapi sebaliknya di hadapan orang kafir. Anda memilih untuk tidak memihak, di atas pagar apabila berlaku pertembungan di atara iman dan kufur. Anda meredhai perbuatan maksiat. Anda menyokong orang yang menolak hukum Allah.  Ini adalah tanda tiadanya sifat benar di dalam diri anda, bahkan sifat nifaq telah mengambil tempatnya.

Justeru orang yang benar imannya sentiasa menyokong perjuangan Islam yang di perjuangakan oleh PAS dan kumpulan Islam yang lain. Mereka pula menolak perjuangan sekular yang diperjuangakan oleh UMNO dan menentangnya habis – habisan. Adapun mereka yang dihinggapi nifaq, mereka menjadi sebaliknya. Mereka menentang perjuangan Islam dan mendukung perjuangan sekular.

Walaupun perisytiharan menentang musuh secara berterangan ini adalah hebat, tetapi ia adalah sifat benar di tahap pertama. Sifar benar di dalam diri yang disemai oleh iman menuntut anda menangga ke tahap yang lebih lagi.

Kedua, benar terhadap sesama muslim. Ia bererti anda berlaku benar di dalam menjaga amanah persaudaraan Islam. Menipu sesama muslim adalah khianat terhadap iman. Iman bererti anda aman dalam hubungan dengan Allah. Anda tidak memusuhi dan mengkhianati Allah. Kemudian iman bererti anda aman dalam hubungan sesama sendiri, sesama muslim. Anda tidak memusuhi dan mengkhianati muslim. 

Justeru benar terhadap sesama muslim adalah amanah iman. Membohongi mereka adalah khianat terhadap iman.

Anda dipercayai setiap muslim kerana kalimah iman dan perlakuan iman anda. Kepercayaan yang anda perolehi itu memudahkan anda untuk menipu dan bohong terhadap mereka. Jika anda menipu, kepercayaan mereka menutup penipuan anda. Justeru menipu kawan lebih mudah daripada menipu musuh yang sentiasa tidak mempercayai anda. Maka setiap muslim terlalu mudah terdedah dengan penipuan sesama sendiri.

Ini jika anda gagal di dalam memelihara iman. Anda khianat di dalam menjaga iman.

Sebaliknya, jika anda benar di dalam iman, anda akan bersifat benar. Anda berusaha untuk benar dan tidak menipu dan mengkhianati sesama sendiri, sesama kita, sesama muslim. Maka amanlah kehidupan masyarakat muslim apabila tersebarnya sifat benar dalam kehidupan Islami.

Seorang pemimpin, contohnya Menteri Besar atau wakil rakyat, diberi kepercayaan untuk memimpin rakyatnya kerana perakuan iman dan amanah yang lahir dari lidahnya. Maka dia mudah untuk menipu rakyatnya kerana dia memiliki perisai kepercayaan tersebut. Malangnya, betapa ramai pemimpin seperti ini yang membohongi rakyatnya dan mengkhianati amanah yang diberikan.

Lihatlah sukarnya benar sesama sendiri. Pemimpin menipu rakyat. Ketua menipu anak buah. Penjual menipu pembeli dan lain – lain. Semua ini kerana kepercayaan sesama sendiri yang telah dikhianati. Hilangnya sifar benar di jiwa muslim.

Adapun seorang muslim yang ingin menjaga imannya kekal bersih dan kukuh, maka dia terus bertahan dengan sifat benar di dalam muamalahnya sesama muslim. Dia boleh berbohong, tetapi sifat benarnya menghalangnya berbuat demikian. Dia berkhidmat dan menyumbang tenaga dan segenap kepunyaanya dengan iman yang dibenarkan oleh lidah dan perbuatannya.

Inilah darjat iman yang tinggi. Ia ditinggikan oleh sifat benarnya dalam kehidupan sesama muslim selepas dia telah benar di dalam menyatakan penolakannya terhadap kufur dan nifaq.

Jika anda orang PAS, perhatikan betapa gagah dan mudahnya anda melawan UMNO, tetapi betapa sukarnya anda untuk menjaga amanah dan kepercayaan sesama kita. Jika anda benar di dalam menjaga kepercayaan itu, bersyukurlah kepada Allah yang telah memahamkan dan melorongkan anda untuk menghayati makna iman. Jika sebaliknya, bersegeralah membaiki diri menuju kecemerlangan iman. Jika tidak, anda hanya mendahului musuh, tetapi ketinggalan jauh di belakang kawan sendiri. Jika musuh sempat, andalah mangsa mereka yang terawal.

Adapun tahap benar yang ketiga, maka ia adalah benar terhadap orang terdekat. Suami terhadap isteri dan begitulah sebaliknya. Ketua terhadap orang – orang kanannya dan begitulah sebaliknya. Mudahnya, pembantu yang benar.

Tiada yang paling patut saling mempercayai selain isteri atau suami. Apabila ikatan nikah bersimpul, kita saling bocor membocor, serah menyerah dan percaya mempercayai. Apabila berlaku pengkhianatan, maka ia adalah seburuk – buruk pengkhianatan. Tiada lagi makna kepercayaan dalam kehidupan insani.

Tetapi, dek kepercayaan yang tidak berbelah bagi, sifat bohong dan khianat mudah mengambil tempat. Betapa mudahnya menipu isteri atau suami. Perisai kepercayaan menutup kejahatan diri. Maka tunggulah sebuah tragedi kehancuran.

Sebaliknya, jika sifat benar menguntum di dalam hijauan iman, maka tersergamlah sebuah istana kehidupan yang cukup membahagiakan, bukan sekadar menghiasi tamannya, bahkan semerbaknya menggamit pengunjung yang tak akan hilang. Bahagia dan membahagiakan.

Itu, begitulah mereka yang bergelar pembantu. Kita tidak dilantik atau dipilih untuk menjadi pembantu kecuali kitalah orang yang paling dipercayainya. Rahsia di sisi orang bukan lagi rahsia di sisi kita para pembantu. Benar cerita pembantu, benarlah cerita yang dibantu. Bohong cerita kita, menjadi bohong dan rosaklah orang yang dibantu.

Dalam kehidupan Islami yang menuntut tumbuhnya nilai – nilai murni insani, sifat benar adalah baja yang paling menyuburkannya. Ia mesti lahir dalam kehidupan Islami kerana benar adalah iman. Iman tidak menumbuhkan kecuali sifat benar. Jika tidak, ia adalah iman yang berit dan terbantut tumbesarannya.

Jika anda membaca tulisan saya yang telah ‘mencetus kemarahan umum dan menggetus pujian khusus’ sebelum ini, anda dapat lihat dimanakah sasaran bedilan saya. Serangan saya adalah terarah, manakala serangan balas anda terlalu tersasar.

Orang yang kedudukannya tinggi sehingga diambil untuk menjadi pembantu kepada seorang yang mulia di sisi masyarakat seharusnya memiliki sifat benar ditahap ini. Bukar sekadar benar ketika melawan UMNO! Fahami ini jika anda ingin bertapak kejap di medan iman menuju Allah.

Sekarang mari menangga ke tahap tertinggi sifat benar.

Ia adalah benar terhadap diri sendiri. Buanglah manusia kafir jauh – jauh. Ketepikan rakyat dan keluarkanlah pembantu daripada sisi anda. Hilangkan semuanya dan biarkan anda berseorangan. Anda dan diri anda. Di situ anda segera rebah dan tiada upaya lagi. Upaya anda diragut Allah, tuhan yang menciptakan anda dan seluruh makhluk.

Benar terhadap diri sendiri bermaksud benar terhadap Allah di hadapan Allah.

Firman Allah, ” Wahai manusia, Kamu adalah para faqir kepada Allah, sedang Allahlah tuhan yang maha kaya dan terpuji.” Fathir:15

Di sini pencinta Allah menghisab dirinya. Mencari tempat dan masa untuk melarikan diri daripada makhluk lalu menuju Allah, Tuhan tempat tumpuan segala. Terus – terus mencela diri di hadapan tuhan atas penipuan terhadap dakwaan dan saksian iman di hati, lidah dan perbuatan. Menangisi diri kerana keterlanjuran dan kekurangan. Sujud menyembah memohon keampunan dan kebersihan diri.

Begitulah orang mukmin. Dia ingin benarnya itu diperakukan Allah, bukan manusia. Manusia menipu dan Allah tidak menipu dalam jaminan dan kalamNya.

Apabila kita berjaya mengekalkan diri dalam muhasabah, maka sifat benar akan diukur. Kita akan melihat dengan mata hati yang bersinar tahap iman dan benar kita terhadap Allah. Menipu Allah bererti menipu diri sendiri. Kita takkan mampu menipu Tuhan yang Maha Melihat, Maha Memerhati dan Maha Mengetahui.

Bersama kita meneroka kebenaran dan menjunjunginya.

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Mac 2023
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa