You are currently browsing the monthly archive for Julai 2008.

Salam Kamunting,

“Hidangkanku secangkir kopi panas.” Begitu isteri saya memahami bahasa hati saya apakala saya memintanya secawan kopi. Ia mesti panas sepanasya.

Bila ia dihidangkan sempurna di atas meja tempat saya membaca, atau menulis, atau mungkin nanti saat saya menonton pasukan premier leaugue saya, Newcastle United menentang Manchester United Ogos ini, jemari saya akan menyentuh perlahan cawan itu dan merasai keperitan panasnya. Jika panas, ia segera menyelinap ke dalam diri menerpa selera di lubuk dalam lalu membukanya. Sebelum lidah bertarung mengurai kepanasan air kopi itu, diri saya telah pun menikmatinya dengan rasa segar membangkit selera.

Jika tidak, saya akan memanggil isteri saya kembali. Bila dia berpusing balik, saya mencebik dan menyengetkan kepala saya. Dia mengetap bibir dan mendengus kemarahan, kadang – kadang melepaskan senjata perempuannya, membebel – bebel entah apa. Ah, saya menikmati telatah seorang isteri yang solehah. Marah itu bukan benci. Marah itu tanda sayang. Marah reda beriring keredhaan. Redha datang bila faham. Isteri saya cukup memahami saya.

Kopi tak panas itu jadi habuannya. Kebetulan ratu permaisuri saya ni suka minum kopi suam. Marah pun reda dan saya menikmati tegukan akhir kopi panas sepanasnya itu pada suhunya yang sudah suam atau langsung dah sejuk.

Aku harap Newcastle aku tak kalah pada Manchester pada perlawanan pembukaan nanti. Aku minat Owen budak baik itu. Sumbat Owen, jangan tak sumbat.

Tetapi sesetengah manusia tak memahami saya.

Bila saya kemukakan nas dan sirah serta praktikal gerakan Islam menghadamkan politik damai dalam perjuangan menuju keredhaanNya, teman yang menghujah saya itu membalas, yalah, nas itu satu hal. Tapi UMNO ni bla bla bla. Taring kemarahan saya segera menyeringai. Kalau tidak kerana saya cepat memacak tanda bodoh jahil di atas kepalanya, pasti saya ketuk kepalanya dengan cawan kopi panas di depan saya lalu berkata, ” Bodoh lebih baik daripada degil. Kamu ni degil.” Kawan saya ini hanya jahil.

Bolehkah anda menghujah nas dengan perkiraan dan jenis strategi bebal otak anda? Saya bacakan nas dan menghurainya, anda pun berkata, “Yang Allah kata tu ye lah. Tapi bla bla bala..”  Apa kita diajar beradab begitu di depan Allah? Lihat al Hujurat:1-2.

Hujah nas mesti didepani nas juga. Samada anda datangkan nas lain atau anda mentafsir nas yang sama dalam kerangka ilmu tafsir dan takwil yang dibenarkan. Anda tak boleh menolaknya dengan hujah bengal bingal otak anda. Salah, lemah dan tak beradab namanya di sisi agama.     

Jangan jadi sesat seperti segolongan manusia yang melayan ayat al Quran yang memuji kebesaran para sahabat ar Rasul sallaLlhu alaihi wasallam dengan tafsiran dan takwilan sesat demi semata – mata nak menegakkan bahawa kebenaran dan kebesaran hanya milik Ali karramaLlahu wajhahu dan ahlil Bait sahaja, bukan untuk seluruh para sahabat.

Allah menyuruh kita berdamai bila musuh miring untuk berdamai. Abaikan dulu soal tipu daya. Allah bersama kita menolong kita. Jika Pak Lah nak tipu, tipulah. Allah takkan bersama Pak Lah pun. Apa takut? Bila Pak Lah tipu, Allah tipu Pak Lah. Tipah tertipu, Pak Lah lagi tertipu.

Berdamai! Kamu takut? Allah bersama. Dia tunjukkan jalan untuk mengelak daripada ditipu atau, jika Dia benarkan tipu daya berlaku, Dia sendiri ambil risiko tipu daripada kita. Bila dia ambil, sekali lipat Allah pukul balik musuh yang menipu.

Allah tidak membebankan kita dengan risiko rugi ditipu. Allah bebankan kita dengan keberanian untuk berdamai.

Ingat, berani untuk berdamai!

Sesetengah anda takut untuk berdamai. Allah telah menjawabnya. Anda mesti berani untuk berdamai. Allah mahu dan sukakan perdamaian.

Muzakarah itu damai. Muqabalah itu damai. Ia berbeza pada bezanya dan ia sama pada samanya.

Anda melihat balah dua ulama pada sisi pandang balah PAS-UMNO. Ah, langit dan bumi antara keduanya. Mereka menjunjung al Quran sedang yang satu lagi, satunya menjunjung, satu lagi memijak! Samakah?

Sekarang, ayahanda telah kata, tiada beza antara kami. Pertemuan dibenarkan.. Ya, mereka orang politik. Takkan nak bincang matematik. Mereka bincang politik. Politik itu kehidupan. Politik itu dunia dan akhirat.

Sesetengah anda merancang untuk berhimpun di pejabat agung menyatakan sokongan pada tok guru. Apa, kamu ingat menyayangi tok guru adalah dengan membenci tok guru yang lain. Kamu ingat menyayangi Ali adalah dengan membenci Umar. Bodoh..

Perang berjalan, manakala damai, berikan jalan untuknya.

Isteriku, hidangkanku secangkir kopi panas. Aku mahu terus berperang. Damai itu hanya rehat mengesat hanyir darah yang mengalir..

Salam Kamunting,

Ramai datang bertanya saya mengenai rundingan PAS-UMNO. Saya jadi laku untuk disoal sebab saya sendiri telah menulis di laman ini mengenainya. Saya menyokong, sedang yang bertanya itu pelbagai. Ada yang datang bertanya sambil membawa kalungan tahniah, ada yang membawa selambak kekeliruan dan yang betul – betul berang dan marah, belum datang lagi walaupun ada yang memang betul – betul berang dan marah dengan tulisan saya.

Bila saya jawab, harapan saya ia menenangkan mereka. Itulah harapan daripada sebuah jawaban. Tapi, siapalah saya untuk menenangkan semua, sedang persoalannya adalah besar. Ia isu terbaru politik semasa walaupun ia bukanlah baru dalam politik Malaysia, apatah politik Islam.

Saya rasa elok untuk dikongsi beberapa persoalan dan jawaban yang merungkai.

1) Bila Islam akan berdaulat di Malaysia dan bagaimana?

Jawaban saya: Bila itu janji Allah. Bila Allah berjanji maka janjiNya adalah benar dan dekat. Dunia ini terlalu dekat dan akhirat itu tidak jauh. Cukuplah bagi seorang mukmin itu sebuah keyakinan yang terpaku di hatinya. Keyakinanlah asas segala pergerakan dan natijahnya.

Bagaimana? Ia berlaku dengan sunnah Allah dan jadualNya. Islam itu milikNya dan kita hanya menikmati perjalanannya. Apabila Allah menghendaki, dijadikan hambaNya yang beriman itu tersedia dengan kekuatan yang cukup, kualiti dan kuantiti, lalu tercetuslah kemenangan yang di nanti.

Kualiti itu mendahului. Ia bermaksud taqwa, ikhlas dan menjadikan ar Rasul sebagai ikutan ( mutaba’at ul Rasul ). Kemudiannya adalah kuantiti. Dihijrahkan ar Rasul sallaLlahu alaihi wasallam demi menyempurnakan tuntutan bilangan yang diperlukan untuk sebuah kemenangan Islam. Dulu satu mampu menewaskan sepuluh. Adapun untuk ummat Nabi akhir zaman, ia memerlukan satu jumlah yang lebih baik ( Rujuk al Anfal:64-65 ).

Bagaimana di Malaysia? Ia sama. Sunnah Allah berjalan. Dalam bicara konteks demokrasi pilihan raya hari ini, Islam akan berdaulat dengan penyempurnaan tuntutan sunnahNya jua.

Kita perlukan undi kualiti. Setiap kita ada satu undi. Tetapi undi seorang ‘Carburator Dung’ untuk PAS tak sama dengan undi seorang tuan guru. Undi tuan guru mengaut ribuan undi pengikutnya. Itulah undi kualiti. Jikalah kita pemilik undi kualiti..

Maka tiadalah jalan untuk perjuangan ini tanpa kehadiran para ulama yang bertaqwa.

Kemudian, kita perlukan undi umat Islam yang ramai. Islam didaulatkan oleh umatnya jua. Tiada dalam sunnah Allah golongan bukan Islam menjadi pendukung kemenangan sebelum umat Islam sendiri. Mereka sekadar membantu. Sesetengah mereka yang dibuka pintu hatinya oleh Allah. Allah memegang hati setiap manusia.

Bangsa Melayulah yang akan memenangkan Islam di Malaysia jika ianya hari ini. Melayu adalah kekuatan Islam. Yang akan memenangkan Islam di Malaysia adalah Melayu PAS, Melayu UMNO dan semua Melayu. Kemudiannya adalah undi muslim bukan Melayu. Undi mereka mungkin lebih berkualiti tetapi bukan pada kuantitinya.

Kemudiannya pula adalah undi bukan Islam. Beberapa individu bukan Islam ( musyrikin ) membantu RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam di dalam perjuangan baginda. Di dalam negara kita, akan ada sekelompok bukan Islam yang terpesona dengan Islam dan kecewa dengan sistem lain yang akan membantu Islam. Ramaikah? Mungkin, tetapi ia tak mungkin diimpikan daripada mereka melebihi harapan kepada umat Melayu Islam sendiri.

Gobala mungkin ya, tetapi belum lagi Tian Chua, apatah Xavier Fernandes.

Di Kelantan, Islam tidak menang kecuali sesudah Melayu UMNO dan Melayu atas pagar beralih kepada PAS. Samada mereka mendaftar sebagai ahli PAS atau Allah memaut hati mereka untuk mengundi PAS. Jadilah PAS menang dalam demokrasi berpilihan raya.

Justeru, kemenangan Islam adalah melalui gerakan Islam yang dipimpin ulama ( kualiti ) dengan sokongan bangsa Melayu seramainya.

Jika anda memahami ini, maka anda akan faham mengapa orang UMNO begitu bernilai untuk PAS demi kemenangan Islam.

Jika anda memahami ini, maka anda akan faham bagaimana mendekati UMNO adalah tuntutan yang tidak akan berubah dan pudar.

Jika anda memahami ini, anda akan faham betapa berusaha memecahkan tembok keras UMNO yang memagari dan menutup orangnya daripada didekati adalah tuntutan sepanjang masa.

Jika anda sudah faham, fahamilah bahawa berunding dengan UMNO yang telah membuka pintu itu adalah peluang keemasan untuk memperkenalkan Islam kepada ahli UMNO yang telah lama dikongkong  pemikiran mereka.

Saya mengupas dalam konteks kita di dalam sistem demokrasi hari ini. Allah lebih tahu bila dan bagaimana sebenarnya. 1% adalah usaha, 99% adalah tawakkal. Sekelumit kecil daripada kita. Itupun kerana Allah inginkan untuk kebaikan kita. Seagungnya adalah penyerahan segala daya dan upaya kepada Allah jua. Itulah akidah kita para pejuang.

2) Tidakkah UMNO itu ditakuti kejahatan mereka dan disempadani tipu daya dan makar mereka? Apa lagi yang diharapkan daripada mereka selepas mereka sendiri menetang Islam mendahului DAP sendiri?

Jawaban saya: Ya, sejarah kejahatan UMNO siapa boleh mengubahnya? Tipu daya adalah sebahagian kejahatan. Tetapi, adakah penyelesaiannya adalah dengan hanya menjauhinya? Sedang anda memerlukan orang UMNO untuk didekati. Memanggil dari jauh tidak sama dengan memanggil dari dekat. Dari dekat anda mudah didengari dan mudah dikenali.

Adakah kita ini buruk sehingga dijauhi sesudah dikenali atau kita pasti didampingi sesudah dikenali kebaikan kita?

Kemudian, adakah kita sudah begitu lemah untuk berhadapan tipu daya mereka? Mengaku kalah sentiasa selepas perit ditipu berkali – kali. Adakah kita lemah atau bilakah pula kita akan gagah? Tidakkah kita sendiri yang berkata dan berbangga bahawa kitalah lebih kuat hari ini?

UMNO jahat kerana mereka berkuasa. DAP sudah pun tunjuk belang sebelum mereka berkuasa. Mereka tidak pernah menerima sistem Islam. Hanya wujud beberapa individu yang tampak bersedia menerima. Apa beza dengan UMNO? Anda yakin mereka lebih baik? Yakin? Atau itu hanya satu telahan daripada jutaan. Anda kata UMNO sudah terbukti. Saya kata, DAP sudah terbukti. Adakah anda menunggu bukti sesudah mereka berkuasa?

Kemudian, sudahkah anda membaca dan memahami ayat ini ( al Anfal:61-62 ) sejelasnya sebelum anda bermati – matian bertempik – tempik menolak rundingan dan menganggap bodoh terhadap penerima rundingan ( sebagaimana ucapan seorang pemimpin di PUTIK ) ?

Mari saya tuliskan maksudnya: “Dan jika sekiranya mereka ( musuh ) condong untuk berdamai, maka condonglah kamu kepadanya ( terimalah perdamaian ) dan bertawakkallah kepada Allah. sesungguhnya Dialah tuhan yang maha mendengar dan maha menegtahui. Dan jika mereka mahu menipu dayamu, maka cukuplah Allah untukmu ( sebagai pelindung ). Dialah tuhan yang memperkukuhkan engkau dengan pertolonganNya dan dengan orang – orang yang beriman.”

Lebih cemerlang jika anda memahami bagaimana ayat ini menyusul selepas ayat ke 60 dan disusuli ayat 63. Di situ ada keindahan sungguh. Belajar berilmu dan jangan asyik membodohkan orang. Nanti kamu diperbodohkan.

Ayat di atas mudah difahami maksudnya. Tetapi anda akan lebih jelas jika menelaah tafsirnya. Cari dan baca sendirilah. Saya malas nak tulis panjang – panjang.

Kemudian pula, sudahkah anda meneliti dan fana dengan fiqh perjanjian Hudaibiyah di antara ar Rasul dan kaumnya yang musyrikin di Makkah? Jelaskah di kotak faham anda bagaimana demi perdamaian dan keluhuran, ar Rasul memilih penangguhan 10 tahun ( atas kertas perjanjian ) memasuki Kota Makkah dengan kemenangan daripada memilih kemungkinan kemenangan keesokannya melalui serangan dan libasan pedangnya yang perkasa ke atas kota pembukaan itu?

Cerita panjang Hudaibiyah bacalah sendiri. Ada masa saya akan ulas, insya Allah. Sekarang saya malas.

Kita hanya tahu politik perang dengan UMNO. RasuluLlah tahu berperang dan tahu berdamai dengan UMNO Makkah. Baginda mengajar kita politik.

Adakah anda tak nak belajar politik damai sesudah anda mahir politik perang? Nak tak nak? Hah..?

Atau, jika anda mahu menjenguk ke Palestin hari ini, maka di sana ada pelajaran.

Israel itu zalim dan terzalim. Ia membunuh dan membakar. Antara senjatanya, perjanjian damai. PLO seribu kali terperangkap dalam perdamaian. Kemudian datang HAMAS yang lebih baik sebagai pengganti demi perjuangan yang lebih suci.

Adakah HAMAS berkata, NO for peace with Israel?  Tidakkan? HAMAS terlibat dengan pertemuan, rundingan dan gencatan senjata dengan Yahudi itu. Bezanya, HAMAS lebih sedia dan lebih cemerlang berbanding PLO dan Fatah sebelumnya. HAMAS pun ditipu, tetapi Israel mengaku HAMAS semakin kuat.

Begitu politik damai!

PAS dan HAMAS, pada perjanjian Hudaibiyah itu adalah ikutan yang baik buat semua pejuang Islam.

Saya tidak akan kata PAS pasti bertambah kuat selepas berdamai dengan UMNO. Saya hanya akan kata, PAS mungkin akan bertambah kuat. Pandai – pandailah pemimpin kita bawa diri. Struktur parti PAS gagah untuk membuat keputusan. Saya yakini.

UMNO tidak akan rugi jika PAS kuat. UMNO hanya rugi jika mereka semakin jauh daripada Islam. PAS untuk semua. PAS untuk UMNO dan PAS untuk bukan Islam juga.

3) Bagaimana dengan PKR? Tidakkah kita diangap pengkhianat? Kita pengkhianat rakyat?

Saya yakin PKR tidak akan dipinggirkan. Salah besar jika PAS meminggirkan PKR. Tetapi salah lebih besar jika PKR meminggirkan Islam. Jika PKR meminggirkan kepentingan Islam, PKRlah yang mengkhianati PAS.

Saya hanya tahu bahawa PAS berkerja sama dengan PKR sesudah wujud persefahaman bahawa PKR, jika diberi kuasa bersama, mereka akan memberi ruang lebih selesa untuk Islam dan menyekat usaha – usaha membantutkan laluan kepada Islam. Itulah yang saya tahu dan itulah yang anda kena tahu kerana itulah siasah syar’ieyah pada segala maksudnya ( maqasid ).

Selepas pilihan raya yang menyaksikan segenggam kuasa telah diberi dan PKR diberi mandat untuk terus memburu kuasa, PAS menuntut satu penegasan semula atas jaminan sebelumnya.

Apakah jaminan untuk Islam yang lebih baik jika bersama PKR? UMNO sudah datang dengan tawaran baru yang tidak pernah dicadangkannya sebelum ini. UMNO datang begitu sebab mereka lemah dan mereka mengaku kita kuat hari ini. Saya yakin tawaran UMNO menggiurkan. Di dalamnya ada madu. Di dalamnya ada racun juga.

PAS perlu mengukur pada pengukur Allah. PAS hanya setia pada satu iaitu Islam. Selagi Islam, PAS tidak akan khianat pada rakyat. Ini, kecualilah rakyat lari daripada Islam. Maka jangan kata PAS khianat. Yang khianat ialah rakyat.

Politik tiada hukum selain siasah syar’ieyah. Siasah syar’ieyah bergerak bagai air yang mengalir. Di mana Islam dijunjung, di situlah ia bertakhta.

Jangan hidup dalam teka teki kehidupan. Teka teki membingungkan. Hiduplah pada yang pasti. Tiada yang pasti selain Islam. 

4) Adakah PAS akan bergabung dengan BN?

Dua yang saya tahu dan dua yang saya tak tahu.

Yang saya tahu ialah pertemuan telah berlaku. Mungkinkah akan wujud persefahaman, saya tak tahu.

Yang saya tahu ialah tiada pernah wujud usaha bergabung dengan BN. Ia jauh sekali dari tuntutan siasah syar’iyah hari ini. Mungkinkah ia berlaku, saya tak tahu.

Saya harapkan persefahaman berlaku demi Islam. Saya tak harapkan penggabungan berlaku. Saya tak nampak baiknya berbanding hodohnya.

5) Tidakkah ahli PAS akan marah jika perdamaian PAS – UMNO berlaku? Bagaimana jika rakyat marah, apatah bukan Islam? 

Adakah anda boleh bayangkan ahli PAS akan marah pada pemimpinnya? PAS bergerak dalam kerangka sebuah gerakan Islam. Ia hidup dengan kekuatan sendiri yang tiada dalam parti politik lain. Dengan jaminan seorang ketua dan syura yang ditaati, adalah sukar dibayangkan ahli bangkit melawan.

Marah itu mungkin berlaku. Marah itu tanda sayang. Marah itu akan reda bila datang keredhaan.

Ya, rakyat mungkin marah sesetengahnya. Tapi ia akan diganti dengan yang lain. Rakyat adalah sokongan yang ditagih, tetapi dalam politik ia seperti angin. Ia datang dan ia berlalu. Yang tetap hanyalah daripada yang memahami perjuangan.

Begitulah bukan Islam. Dalam sejarah politik Malaysia, PAS bukan pengkhianat bangsa dan negara, apatah agama.

Salam Kamunting,

Sempena kedatangan bulan Rajab yang mulia, saya terjemahkan satu artikel khas oleh asy Syeikh al Qaradhawi berkaitannya. Semoga manfaatnya besar kepada para pembaca blog ini. Saya juga dengan penuh rendah diri memberikan sedikit komentar untuk lebih menjelaskan. Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, blog saya bukanlah blog fiqh Islami. Sekadar melayan rasa perlu. Untuk permasalahan fiqh, rujuklah ke laman yang lebih pakar dan khusus.

Adakah Rajab bulan Allah?

Benarkah bulan Rajab adalah bulan Allah sebagaimana didendangkan di dalam ceramah dan khutbah Jumaat oleh sesetengah pendakwah bahawa ianya dinukilkan daripada hadis nabawy yang berbunyi, ” Rajab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku.”? Apakah hukum meriwayatkan dan menyebarkan hadis yang tidak benar daripada ar Rasul sallaLlahu alaihi wasallam?

Asy Syeikh Dr Yusuf al Qaradhawi menjawab:

Tiada satu pun nas berkenaan bulan Rajab kecuali yang menjelaskan kemuliaannya sebagai salah satu daripada 4 bulan yang haram ( al asyhur ul hurum ) sebagaimana di dalam Al Quran ( at Taubah: 36 ) iaitu Rajab, Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram. Bulan – bulan haram adalah penuh kelebihan.

Tiada satu pun Tihadis yang sahih warid daripada RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam yang menyatakan kelebihan bulan Rajab secara khusus kecuali satu hadis yang hasan: Bahawa RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam paling banyak berpuasa di bulan Syaaban. Lalu baginda ditanya mengenainya. Baginda menjawab, ” Ia ( Syaaban )adalah bulan di antara Rajab dan Ramadhan yang dilalaikan oleh manusia ( kelebihannya ).”

Maka, difahami daripada sabda itu bahawa bulan Rajab mengandungi kelebihan yang telah jelas diingati berbanding Syaaban.

Adapun hadis, ” Rajab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan ummatku.”, maka ia  adalah satu hadis yang munkar ( tak dikenali )dan dhoif jiddan ( terlalu lemah ), bahkan kebanyakan ulama hadis menyifatkannya sebagai sebuah hadis maudhu’ ( palsu ).

Tiada harganya daripada sudut ilmiah mahupun ugama.

Demikianlah segala hadis yang diriwayatkan berkaitan bulan Rajab bahawa sesiapa yang solat sekian maka untuknya sekian dan siapa beristighfar ( di bulan Rajab ) sekali maka untuknya sekian, maka itu semua adalah melampau – lampau dan pembohongan ke atas ar Rasul.

Antara tanda nyatanya pendustaan dalam hadis – hadis tersebut ialah wujudnya perihal kelebihan atau ancaman azab yang melampaui batas. Para ulama berkata, sesungguhnya janji manis dengan pahala yang besar atas amalan baik yang kecil dan janji buruk dengan azab yang pedih atas amalan dosa yang kecil adalah antara tanda bahawa ianya adalah hadis yang dusta dan palsu.

Ini sebagaimana dendangan periwayatan palsu bahawa baginda bersabda, “Sesuap yang dimasukkan ke dalam perut orang yang lapar adalah lebih baik daripada membina seribu buah masjid.”

Hadis – hadis yang diriwayatkan mengenai kelebihan bulan Rajab adalah daripada kategori ini. Adalah menjadi kewajiban ulama untuk menyedari kepalsuan hadis – hadis sebegini dan mengingatkan manusia daripadanya.

Telah warid ( datang ) daripada baginda, ” Barang siapa yang meriwayatkan satu hadis yang dia tahu kebohongannya, maka dia termasuk daripada kalangan yang berbohong juga.”

Tetapi biasanya seseorang itu tidak tahu bahawa dia sedang meriwayatkan hadis yang palsu. Justeru adalah menjadi kewajibannya untuk tahu dan mengambil hadis – hadis daripada sumbernya yang betul.

Di sana terdapat kitab – kitab hadis yang muktamad ( dipegang ) dan terdapat kitab – kitab yang khusus menyatakan mengenai hadis – hadis yang lemah dan palsu seperti‘al Maqasid al Hasanah’ oleh as Sakhawi, ‘Tamyiz al Thayyib min al Khabith lima yaduru ‘ala alsinati an nas min al hadith’ oleh Ibn ad Diba’, ‘Kasyf al khafa wa al ilbas..’ oleh al ‘Ajluni dan banyak lagi yang sayugia diketahui oleh para khatib dan penceramah ugama.

Mereka mesti menekuninya sehingga tidak lagi meriwayatkan kecuali hadis – hadis yang dipercayai kesahihannya. Hadis – hadis palsu ini sebenarnya adalah antara penyakit yang meracuni thaqafah Islamiah kita umat Islam. Ia tersebar melalui lidah para penceramah, buku – buku dan cakapan awam sedangkan ia adalah dusta dan anasir perosak dalam agama kita. 

Adalah sayugia kita menyucikan dan menjernihkan thaqafah Islamiah kita daripda hadis – hadis jenis ini.

Terjemahan dari laman http://www.qaradawi.net

 

Komentar: 

Telah datang bulan Rajab yang mulia. Menggandakan ibadah di bulan ini adalah digalakkan. Kelebihannya adalah kerana ia termasuk daripada 4 bulan yang haram ( dimuliakan Allah ) sebagaimana disebut di dalam Al Quran. Ia mulia sejak terciptanya langit dan bumi lagi.

Ibadah puasa di bulan ini adalah digalakkan. Ia menjadi muqaddimah kepada sambutan kedatangan Ramadhan al Mubarak. Ia menjadikan kita lebih bersedia untuk menyambut juadah pahala dan rahmat pengampuan  tuhan yang lebih besar di bulan tersebut.

Berpuasalah pada hari – hari terpilih seperti Isnin dan khamis dan teruskan sehingga Ramadhan. Tambahkan bacaan Al Quran dan ibadah – ibadah lain. Insya Allah, keselesaan akan lebih terasa di bulan Ramadhan nanti.

Di negara kita, penyebaran hadis – hadis yang palsu dan dusta masih banyak berlaku termasuk hadis – hadis berkaitan kelebihan Rajab. Ia mungkin tanpa disedari disebabkan kejahilan dan kurangnya pendedahan pengajian ilmu hadis di kalangan penceramah ugama. Apapun, ia tetap satu kesalahan besar jika dipandang ringan. Asy Syeikh al Qaradhawi memberi peringatan yang jelas akan bahaya ini dan mencadangkan penyelesaiannya. Justeru setiap kita mesti ambil cakna terutama para ilmuan ugama.

Ayuh, bersegeralah melakukan ketaatan dan kebajikan di bulan mulia ini. Hayatilah juga peristiwa al isra’ wa al mi’raj.

Baca juga: Hukum bertepuk tangan

Salam Kamunting,

Saya suka sesuatu yang jelas. Jelas adalah jalan dakwah kepada Allah. Berlapik – lapik sampai orang jadi tak faham, keliru dan rasa tertipu pula bukan jenis dakwah yang bil hikmah namanya. Dalam Al Quran, Allah namakannya ‘ala bashirah  ( dengan keinsafan bahawa firmanNya tak dibenar dieja dengan rumi ) yang membawa maksud jelas. Di atas kejelasan yang nyata. Begitulah dakwah paling berhikmah.

Bila saya menulis, tiba – tiba ada yang tak faham, saya pun jadi keliru. Aku tak jelas ke atau pembaca tak jelas. Bila saya baca balik apa yang saya tulis, sah saya jelas dan memang sesetengah pembaca tak jelas. Bukan kerana mereka juga, tapi kerana saya memang menulis dalam menggigil. Hati saya menggigil, bukan tubuh saya. Menggigil kerana takut tak hormat pimpinan. Akhirnya saya menulis penuh hati – hati. Akhirnya tak pelik ada yang kurang faham dan tak jelas.

Berhikmah memang susah. Cuma kebanyakan kita perasan berhikmah dan suka kritik itu ini sebagai tak berhikmah. Belum pun menyatakan hikmahnya, caranya mengkritik pun dah tak berhikmah. Allah berfirman, ” Barang siapa dikurniai HIKMAH, maka sesungguhnya dia telah dikurniai kebaikan yang banyak.”

Jadi, perhati dulu sebelum kritik. Memerhati itu hikmah.

Anda tak boleh baca maksud saya? Ah, tiba – tiba tuan presiden boleh baca maksud saya.

Oh, tidak. Saya telah membaca maksud tuan presiden. Tahniah tuan presiden! Maksud presiden adalah maksud saya. Jika anda tak faham dan keliru apa yang saya tulis, fahami sahaja komentar tuan presiden. Apa yang Tok Guru Hj hadi sebut dalam temuramahnya dengan wartawan Harakah, itulah yang menerangkan apa yang saya maksudkan dalam tulisan saya, ‘ apa alternatif PAS? ‘. 

Indahnya jelas. Jelas adalah hikmah. Jelas menyapu dan mencuci kekaburan dan sarap sampah.

Tulisan saya bermaksud buka dan jangan tutup. Buka semua yang boleh dibuka dan jangan tutup tanpa sebab.

Tapi bila saya kata perbincangan dengan UMNO hendaklah dibuka, sesetengah anda memahami lewat komentar anda bahawa saya menyeru ditutup perbincangan dengan PR. Laa, buat apa buka bilah pintu kiri dengan menutup bilah pintu kanan? Cerahnya jadi samalah. Saya mahu yang lebih cerah. Buka dua – dua. Udara jadi lebih segar untuk PAS. Tidakkah kata – kata Dato presiden begitu menyegarkan? Macam menghirup udara bersih nyaman di tanah tinggi Lojing!

Saya tulis, kita mengharapkan kerajaan baru yang lebih adil dan lebih baik terbentuk. Itu harapan semua kita. Kerajaan UMNO-BN adalah sudah tua dan korup sudah. Tetapi, saya mengharapkan kekuatan PAS dijelmakan melalui jaminan Islam difahami dalam PR secara jelas.

Islam adalah mentaliti dan otak orang PAS. Orang PAS ni, sikit – sikit Islam, sikit – sikit Islam. Biar orang kata begitu kerana itulah kita dan itulah yang nabi kita mahu daripada kita umatnya sallaLlahu alaihi wasallam.

Langsung ke tak langsung, wujud usaha meminggirkan PAS dari tempatnya yang layak. Saya mengingatkan kerana saya tahu dan mendenyuti rasa itu. Seperti kata tuan pesiden, ” Orang PAS bukan bodoh!”

Saya harap pemimpin PAS sedar bahawa ulama membaca dalam hati – hati. Ulama alim dan tahu politik akhirat. Sesiapa yang alim politik akhirat dia akan lebih alim politik duniawi daripada ahli politik duniawi. Dunia ini penuh syaitan iblis yang menipu daya. Tiada yang lebih mengenali syaitan iblis selain ulama akhirat. Bukan ulama jenis Masyitah dan sapa lagi?

PAS adalah untuk akhirat manusia. Tiada kehidupan selain akhirat. Kuasa adalah racun berbisa. Jangan pegang kuasa kecuali anda adalah seorang lelaki akhirat! Pencinta akhirat, bukan pencinta wanita! No Altantuya no rosmah rosmah..

Teruskan usaha mewujudkan persefahaman antara komponen dalam PR. Oleh kerana PKR mendahului, saya ingatkan bahawa PAS jangan leka kerana PAS adalah harapan lebih baik umat Islam, bahkan harapan bukan Islam juga. PAS mesti bersedia dengan alternatif sendiri dan mencadangkannya demi kebaikan Islam dan negara.

UMNO adalah parti umat Islam. Mereka Ahlus Sunnah. UMNO pula bukan jenis Ahlus Sunnah. Ahlus Sunnah apa menolak al Quran dan Hadis yang menjadi syarat utama mazhab Ahlus Sunnah. Jadi, tugas PAS menyeru ahli UMNO keluar UMNO masuk PAS. Buat apa Ahlus Sunnah duduk dalam kerangka ‘Ahlus Sesat’?

Ahli UMNO adalah sasaran dakwah yang utama selepas diri sendiri dalam PAS. Jika ditutup perbincangan, bagaimana mendekati mereka? Nak berceramah dari PUTIK? Itu menjauhi namanya, bukan mendekati. Suara kita memanggil jauh dari PUTIK sebab UMNO tak izin kita mendekati mereka sebelum ini.

Hari ini, saat mereka terdesak dan ketakutan, mereka menjemput kita berbincang pasal macam – macam. Pasal Melayu, pasal Islam dan pasal apa lagi? Tiba – tiba kita tutup. Ah UMNO, bila terhantuk baru tengadah. Ya, begitulah manusia. Dihantuk tuhan supaya mereka sedar diri. Anda kata, UMNO penuh tipu daya. Saya kata, ambil firmanNya, ” Dan jika kiranya mereka condong ke arah perdamaian, maka condonglah kamu juga ke arah itu dan bertawakkallah kepada Allah..”.

Allah lebih tahu musuh tak datang menuntut perdamaian kecuali ketika susah. Saat itu mereka datang dengan segala kemungkinan strategi menyusun kekuatan. Allah mahu kita buka! Buka untuk perdamaian jika mereka mahu. Kamu takut? Allah kata, bertawakkallah kepadaKu.

Ah, orang PAS bukan bodoh untuk bergabung lagi dalam BN. NO for dipatuk kali kedua. Perjanjian Hudaibiyah, adakah RasuluLlah masuk BN Mekah untuk berdamai?

Berbincang, berdamai dan berkerja sama itu luas. Ia jalan Allah. Allah sukakan perdamaian antara manusia. Pimpinan PAS lebih cerdik daripada UMNO. Kerana itu mereka pilih PAS, bukan UMNO. Memilih UMNO itulah bodoh dan kebodohan. Jahil dan kejahilan.

Perjanjian damai agung pertama dalam sirah nabawiyyah itu membuka jalan yang lebih luas untuk ar Rasul mengembangkan dakwahnya ke serata alam.

Dengarlah, jika hubungan PAS-UMNO tidak lagi tegang, ia pasti membuahkan hasil lebih baik. Saya yakin umat Islam di Malaysia dalam semua sektor kehidupan akan gembira dan tabik kepada keterbukaan PAS.

PAS tak rugi dan UMNO tak rugi. Dengan demikian, umat Islam beroleh keuntungan.

Adakah perbincangan ini akan meminggirkan PR? Bagaimana dengan PKR dan DAP sebagai kawan semasa susah dulu?

Saya kata, buka perbincangan. Di sana pasti ada temuan yang belum ditemui. Jika dunia politik menjadi lebih sihat, siapa yang akan rugi? Tiada dalam PR komponen yang mahu berjuang dalam sistem demokrasi kotor sebagai mana hari ini.

Politik adalah kehidupan. Kehidupan dipenuhi tipu daya dan kezaliman. Apa pelik dunia politik penuh  tipu daya dan kezaliman. Kita terpaksa mendepaninya kerana kita adalah sama. YANG ADA HANYALAH KEHIDUPAN. Biar kita hidup suci. Suci dalm debu.

Mengingati Isra Mikraj di bulan Rajab, RasuluLlah dibelah dadanya, lalu dibuang debu – bebu duniawi demi dilancarkan perjalanan agung baginda merentas alam duniawi menuju alam malakut yang suci tanpa debu.

Demikian, politik ar Rasul adalah kesucian. PAS memandu kepada politik ISlam yang suci, dengan izinNya.

Salam Kamunting,

Sekarang, apa yang anda fikir mengenai Pakatan Rakyat, masa depannya sesudah kejadian ‘dah dijangka’ oleh sesetengah pihak yang telah mencemarkan program himpunan sejuta rakyat di Kelana Jaya itu?

Saya hadir bersama rombongan daripada pemuda PAS Pengkalan Chepa. Kami sampai jam 12 tengahari dan balik jam 2.30 petang. Belum sempat buka pintu kereta, dua orang berbaju merah ‘PROTES’ yang saya tak kenali terus protes lewat cermin kereta.

“Kami nak balik. Ramai yang dah angkat kaki. Macam karnival minyak naik.” Keluh mereka, menyesal dengan perjalanan program yang diprotes ramai, terutama daripada penyokong PAS.

Dari luar stadium saya memerhati. Bila kawan – kawan ajak balik, saya akur. Tubuh dan hati saya tak kepingin untuk masuk stadium. Saya rasa serba lemah. Sepatutnya saya kena kuat hari itu seperti orang lain.

Antara orang yang lebih kuat sedikit ialah Ustaz Riduan Mohd Nor. Tapi kuatnya macam orang lemah juga sebab biasanya dia mesti terlalu kuat untuk program sebegini. Dia nampak terkial – kial mencari rentak jihadnya di luar stadium. Tak masuk line. Akhirnya, kami keluar bedal nasi arab kat Jalan Ampang.

Selepas menghantar beliau balik ‘berehat’ seketika di rumahnya di Gombak, kami terus pulang. Dalam perjalanan, saya menghubungi kawan – kawan yang lain. Huh, semuanya mendahului saya, balik lebih awal lagi. Paling teruk, Ustaz Norazli Taliban. Belum saya sampai, beliau dah cau..

Sekarang, apa anda fikir mengenai Pakatan Rakyat?

Saya rasalah, kita semua sedang membaja tanda soal dalam kepala masing – masing. Adakah hari esok untuk Pakatan Rakyat? Cerahkah hari esok untuk Pakatan Rakyat?

Semasa saya memerhati dari luar stadium, sesuatu yang telah lama membengkak di jiwa saya semacam pecah hari itu. Ia menjadi bengkak kerana saya lama menahan dan menyembunyikannya. Mahu cakap, tapi tak tercakap. Mahu tulis, tapi tak tertulis.

Semuanya kerana saya mahu berhikmah dalam berdakwah. Saya fikir, hikmah adalah pada menahan dan menyembunyikannya.   

Kejadian protes terhadap ‘PROTES’ di sebelah petang hari itu memuncak di hati saya. Saya baru tadi melihat rakaman kejadian tersebut di ‘YouTube’. Dalam kecoh dan baling – membaling itu, saya dengar laungan takbir dengan jelas. Tiba – tiba air mata saya bertakung di kelopak. Saya tahu mereka marah kerana Allah. Mereka marah kerana agama mereka dicabar dari tempat yang tinggi. Dari atas pentas yang dibina untuk protes kezaliman dan keangkuhan.

Anda mahu berfikir pasal hikmah dalam berdakwah? Sebelum anda merumus, saya yakin pahala telah mencurah – curah untuk mereka itu. Yakin pada janji tuhan saya.

Selepas pilihan raya lepas, beberapa pemimpin PAS mencanang amaran kepada mana – mana individu atau kumpulan dalam parti agar menjauhi perbincangan dengan UMNO untuk berkerja sama atau membentuk pakatan antara PAS-UMNO. Paling berat, mereka mungkin dipecat!

Alasan utama, kita jangan mengkhianati rakyat. Rakyat mahu kita tumbangkan UMNO-BN dan pemerintahannya. Berkerja sama dengan UMNO adalah jenayah terhadap kehendak rakyat. Atau, bagi sesetengahnya, kehendak dan hukum ugama juga!

Semua akur nampaknya. Saya pun akur. Tetapi, rupanya ia membengkak di hati. Akhirnya, di luar stadium di Kelana Jaya hari itu ia pecah. Pecah saja, taklah meletup. Bila pecah, baru saya sedar, sebenarnya saya tidak akur, atau hanya akur dalam terpaksa. Dipaksa oleh rasa hikmah dalam berdakwah.

Begini, saya tuliskan untuk anda. Kemudian, anda fikirlah sendiri. Sendiri fikir, kalau anda jenis pemalas untuk bincang – bincang. Apa jawaban yang anda mampu berikan?

1) Betulkah perbincangan dengan UMNO perlu ditutup? Mudahnya, UMNO adalah musuh Islam. Adakah kita dilarang berbincang dengan musuh?

2) Adakah berbincang dengan UMNO hanya bererti masuk BN? Maka ia jadi haram dan dipatuk kali kedua dari lubang yang sama?  Tak mungkinkah perbincangan PAS-UMNO berlaku tanpa perlu PAS masuk BN?

3) Betulkah membelakangi kehendak rakyat adalah mengkhianati rakyat?

4) Antara strategi mengumpan musuh untuk melompat parti dan strategi memperkukuh kekuatan Pakatan Rakyat mana lebih penting sebenarnya? Anda dapat segera ketika anda lemah atau anda dapat lewat tetapi dalam gagah, mana lebih perlu diutamakan?

5) Kedudukan Islam dalam Pakatan Rakyat. Betulkah telah lumat dibincangkan? Atau, kita bincang kemudian selepas Pakatan Rakyat ambil alih kuasa melalui aksi lompat? 

Untuk yang pertama, anda akan berhadapan dengan keizinan Allah untuk berbincang dan berdamai dengan musuh ketika mereka datang melukut dalam lemah. Anda akan ditanya, mengapa menutup apa yang dibuka oleh Allah?

Jika anda lemah memahami maksud izinNya itu, jangan mudah menghukum orang sebagai khianat!

Untuk yang kedua, bagaimana jika perbincangan PAS-UMNO menghasilkan natijah yang lebih menguntungkan Islam dan dakwahnya berbanding tawaran untuk Islam dalam Pakatan Rakyat? Anda akan ditanya, Mana lebih menyelerakan iman, Islam atau Pakatan Rakyat?

Jika anda fikir tawaran PR untuk Islam ‘confirm’ lebih baik dari tawaran lawannya, anda pasti kena fikirkan kembali, sebab jaminan untuk Islam didalamnya adalah ‘belum jelas’ hebatnya, sementara tawaran dari UMNO untuk Islam belum pun diusahakan lagi lantaran ditutup terus perbincangannya.. 

Jika anda kata, UMNO sah penipu, anda akan ditanya, adakah penipu mesti menipu selamanya dan adakah Pakatan Rakyat belum pun menipu sesama sendiri?

Untuk yang ketiga, anda akan ditanya, adakah mengkhianati rakyat bererti mengkhianati ugama? Adakah PAS akan membuat pilihan yang lebih bodoh daripada rakyat? Dulu PAS bebas berkeputusan. Adakah kini PAS membiar diri diikat rakyat dan kehendaknya.

Anda akan ditanya, PAS untuk Allah atau PAS untuk rakyat. Yang pertama adalah demokrasi cara Islam, manakala yang kedua adalah demokrasi barat jahiliyyah. Adakah PAS kembali kabur?

Rakyat kena akuri PAS atau PAS kena akuri rakyat? PAS penjulang kebenaran atau rakyat penjulangnya?

Untuk yang keempat, anda akan berhadapan kata – kata hikmat Melayu ini, yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Pakatan Rakyat ‘confirm’ dapat lima negeri dan ‘confirm’ belum memiliki Malaysia.

Anda akan diasak dengan pertanyaan, adakah 5 negeri ini dijamin kekal dan stabil selama – lamanya sehingga anda jadi beriya – iya menanti – nanti kerajaan menanti Pakatan Rakyat? Adakah sejarah di Terengganu tak mungkin berulang lagi? Adakah negeri – negeri Pakatan Rakyat hari ini telah lebih gagah daripada negeri Terengganu hari itu?

Untuk soalan kelima, anda akan ditanya, tidakkah Islam dalam kerajaan menanti telah tercermin dalm kerajaan Pakatan Rakyat hari ini? Jika begitu, nampaknya perjalanan masih jauh.

Jika masih jauh, bererti ia masih belum boleh selesai dengan mudah. Perjuangn Islam terus berjalan tanpa hujung masa yang pasti lagi. Jika begitu, mengapa meminggir musuh yang tak pun dipinggir oleh ar Rasul sallaLlahu alaihi wasallam pada hari perjanjian Hudaibiyah itu?

Saya lakarkan 5 persoalan dan klunya yang perlu diperhatikan.

Adakah anda fikir saya menyalahi kepimpinan PAS?

Saya kata tidak! Jika ayahanda menolak PAS menyertai BN, saya yang pertama menyokongnya. UMNO masuk PAS, ya.

Persoalan saya adalah fundamental. PAS perlu sentiasa gagah dengan kebenaran. Kebenaran adalah jamaah walau kita berseorangan. Kebatilan adalah dagang walaupun dikerumuni sejuta manusia.

Mengkhianati rakyat hanya berlaku jika PAS meninggalkan Islam. Selagi PAS bergerak dengan Islam, pengkhianatan tak mungkin berlaku walau ditinggal rakyat seluruhnya dan PAS terpaksa menunggu seratus tahun lagi untuk mendapat sokongan rakyat semula.

Perbincangan dan perdamaian adalah jalan Islam. Menutupnya atas sangkaan adalah jahil.

Kita mengimpikan kerajaan baru yang lebih baik terbentuk. Tetapi kerajaan baru 5 negeri sedia ada perlu mantap persefahamannya. Tempoh bulan madu sentiasa manis, tetapi masanya akan berakhir jua. Saat itu, ujian getir adalah lumrah walau tidak didamba kehadirannya.

Usaha mengail, mengumpan dan membuat galah melompat adalah daripada PKR. PAS mengekori seolah – olahnya. Jika berjaya, ya. Jika gagal, PAS perlu tunjukkan alternatifnya pula. Bukankah PAS adalah alternatif untuk tamadun manusiawi seluruhnya?

Bersediakah PAS dengan alternatif lebih baik?

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Julai 2008
I S R K J S A
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa