You are currently browsing the category archive for the ‘haji’ category.
i)
Pada pertengahan bulan Mac 2011 baru-baru ini, saya telah berlepas ke tanah suci Mekah dan telah selamat mengerjakan ibadah umrah bersama rombongan program Umrah Tarbawi anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat yang diketuai Ketua Pemudanya, Ustaz Nasrudin bin Hassan Tantawi. Seperti biasa, rombongan kami juga telah menziarahi masjid nabawi di tanah suci Madinah. Program selama dua minggu yang disertai oleh hampir enam puluh orang peserta itu telah mencapai matlamat dan kejayaan sebagaimana dirancangkan.
Ibadah sunat umrah adalah ibarat kembar kepada ibadah haji yang difardhukan ke atas setiap muslim. Ia samalah seperti kembarnya ibadat solat sunat kepada kefardhuan solat lima waktu atau ibadah bersedekah kepada kefardhuan ibadah zakat atau ibadah puasa sunat kepada kefardhuan puasa di bulan Ramadhan. Kesemuanya menambahkan kehangatan setiap muslim untuk melaksanakan ibadah rukun-rukun Islam yang lima itu dengan penuh adab dan khusyu’.
Seperti ibadah haji, ibadah umrah memestikan seorang muslim itu berangkat ke tanah suci menuju kaabah, rumah pertama yang dibina untuk ibadah kepada Allah. Dia mestilah berniat ihram dengan kaum lelaki hanya memakai kain putih tanpa jahitan, tidak melakukan beberapa pantang larang tertentu, tawaf di kaabah, saie di antara bukit Safa dan Marwah seterusnya menyudahkan ibadah unik itu dengan melakukan tahallul dengan menggunting atau mencukur rambutnya.
Allah menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang melaksanakan ibadah umrah. Ia menghapuskan dosa-dosa lepas selain ia begitu kuat dan kudus untuk membersih dan membina kembali hati dan iman setiap muslim dengan semangat untuk mengubah diri kepada lebih baik sekembalinya ke tanah air.
Pensyariatan ibadah haji dan umrah adalah penuh dengan hikmah ketuhanan. Melalui ibadah ini, umat Islam akan dipancarkan secara langsung dengan sejarah umat tauhid yang memanjang daripada kisah penerokaan awal nabi Ibrahim ribuan tahun yang lalu serta isteri dan anak kecilnya alaihimussalam ke atas bumi Mekah. Perjuangan besar baginda menegakkan tauhid dan menolak ketuhanan berhala dan syirik yang telah banyak menyesatkan umat manusia sepanjang zaman akan membuka minda dan menambat hati setiap muslim untuk menginsafi dan mensyukuri kelebihan menjadi seorang muslim yang benar.
Samada di Mekah atau Madinah, iman setiap muslim menjadi bertambah hangat apabila melihat kesan sejarah peninggalan sirah al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam yang menjadi rasul terakhir dari langit yang menyahut doa tertangguh ribuan tahun nabi Ibrahim agar zuriatnya diselamatkan Allah melalui perutusan seorang rasul agung yang akan menyinari alam dengan risalah tauhid dan iman. Seorang peserta umrah memberitahu saya, sepanjang berada di Masjidil Haram, beliau telah sempat menghabiskan buku sirah ‘Fiqhul Harakah’ karangan Tuan Guru Dato Haji Abdul Hadi Awang. Beliau menjelaskan betapa terkesannya dirinya apabila mampu merasa-rasakan kehadiran RasuluLlah melalui kisah-kisah sirah baginda yang dipaparkan melalui buku tersebut.
Di antara kelebihan lain yang paling dirasai oleh pengunjung BaitiLlah al Haram yang datang dari seluruh pelusuk dunia ialah suasana kesatuan umat Islam yang diikat kukuh oleh kesatuan tauhid dan kiblat. Penghayatan terhadap kelebihan ini sebenarnya mampu menjadi pemangkin yang paling berkesan untuk umat Islam melangkah lebih gagah di dalam membina kembali kekuatan mereka yang telah hilang dek kealpaan sendiri.
Begitulah seimbas hikmah pensyariatan ibadah haji dan umrah. Allah memaksa kita meninggalkan tanah air, keluarga dan kesibukan diri menjalani kehidupan duniawi untuk mengosongkan masa sepenuhnya berteleku di depan kaabah menghitung kembali kehidupan yang penuh cubaan dan cabaran yang mungkin menghijab kita daripada melihat kehidupan lebih baik yang telah dijanjikan Allah untuk umat terbaik ini.
ii)
Rombongan kami disebabkan kelewatan mendapatkan visa umrah telah terpaksa menukar jadual penerbangan dan terpaksa melalui Bangkok dan Kaherah sebelum masuk ke Jeddah. Ia agak memenatkan dan saya sendiri disapa demam dek kejutan udara sejuk walaupun hanya sepuluh jam berada di Kaherah.
Dunia arab sedang melalui tempo perubahan politik yang begitu tegang dan panas. Perubahan demi perubahan yang sedang mengasak hari ini melalui kebangkitan rakyat menentang pemerintah mereka nampaknya akan menjadi petanda ke arah kehidupan dan kemajuan tamadun arab dan Islam yang lebih baik. Sebelum ini, negara-negara arab dilihat begitu beku, lemah dan degil sehingga umat Islam seluruh dunia gagal memberikan keyakinan dan harapan kepada mereka untuk memimpin kebangkitan.
Semasa singgah di Mesir walaupun sekejap, sekilas mendengar perbualan rakyatnya daripada pekerja-pekerja di lapangan terbang Kaherah sehinggalah peniaga kedai kopi di tepi masjid Husain di sebelah universiti al Azhar, saya dapat mengagak betapa rakyat Mesir yang terkenal berani telah menjadi semakin berani dan yakin. Beban puluhan tahun ditutup mata dan telinga dan ditekup mulut nampaknya gagal menjadikan hamba pemerintahan kuku besi kebangsaan arab sebagaimana Firaun berjaya memperhambakan Bani Israel di dalam sejarah Mesir kuno melalui tekanan dan penindasan yang berterusan.
Saluran-saluran tv negara arab dan akhbarnya pula nampaknya berlumba-lumba untuk menjadi jaguh kepada perubahan yang berlaku. Mereka 24 jam melaporkan segala perkembangan politik terutamanya di Libya, Yaman, Bahrain dan terbaru di Syria. Malah, mereka seperti menjadi pendorong kuat kepada apa-apa saja perubahan tsunami politik yang sedang melanda dunia arab sekarang.
Negara Arab Saudi kelihatannya berjaya mengawal kemarahan rakyatnya daripada merebak walaupun berlaku perhimpunan kecil menuntut perubahan. Walaupun begitu, Raja Abdullah nampaknya berusaha keras meredakan penularan kebangkitan rakyat di dunia arab dengan melakukan beberapa pembaharuan ekonomi dan politik. Ia mungkin bersifat kosmetik, tetapi sepertilah di negara kita Malaysia, negara Arab Saudi yang lebih mengecapi keharmonian dan kestabilan ekonomi berbanding negara-negara arab lain mungkin selamat untuk tempoh tertentu daripada ancaman kebangkitan rakyat.
Perubahan didorong oleh tindak balas terhadap kezaliman yang melampau dan berterusan. Seperti kata hukama kita, pemerintahan itu boleh kekal bersama kekufuran, tetapi ia tidak mungkin kekal bersama kezaliman. Negara-negara barat yang kufur lebih menikmati kestabilan dalam politiknya kerana keadilan yang diusahakan mereka. Tetapi mereka juga akan rebah suatu hari nanti kerana pastinya tiada kezaliman yang lebih besar selain menolak ketuanan Allah di muka bumi ini. Kerana itu, kita umat Islam diutuskan untuk membawa keadilan sejati dan benar dan kita dijanjikan kemenangan yang sejati.
Salam Palestin,
Selepas menunaikan solat Zuhur tadi yang dihidupkan pula selepasnya dengan iringan kesyahduan takbir raya haji oleh para jamaah solat yang terus menghangatkan diri dengan imbauan jauh ke kota Makkah, tempat ayahanda bonda dan seluruh para hujjaj dari seluruh dunia sedang menyempurnakan manasik al haj pada tahun ini, saya, sementara menunggu isteri menyiapkan hidangan khas ‘colek perut muda’ daging korban kami yang saya ambil sebahagiannya untuk santapan sekeluarga, sementara bakinya yang banyak itu kami agih – agihkan pula kepada kerabat dan jiran tetangga sebagaimana ianya menjadi amalan dan ajaran ayahanda semenjak dulu, saya buka dulu laptop dan terus saja ke blog saya. Saya terfikir untuk menulis sedikit menenai ibadah haji, sambungan kepada apa yang telah saya tulis sebelumnya.
Saya tersapa satu komen menarik tapi agak ‘nakal’ daripada seorang pembaca yang memperkenalkan diri sebagai ‘pelepahpalas’ mengenai ibadah haji dan ianya berkaitan ibadah haji yang ditunaikan oleh ayahanda sebagai seorang menteri besar yang dikatakan berbelanja besar untuk ke sana sedangkan ayahanda sering digemburkan oleh massa sebagai seorang menteri besar yang sungguh sederhana kehidupannya, sesuai dengan pengajaran Islam.
‘Pelepahpalas’ menjadi begitu sangsi dan hampir – hampir menuduh ayahanda sebagai hipokrit, menipu daya rakyat terutama golongan miskin. Sebelum saya mengulas, elok saya mudahkan anda dengan memindahkan komen tersebut di sini agar lebih difahami isi dan maksudnya;
Salam tuan.
Tuan lebih maklum tentang kewajipan menunaikan Rukun Islam kelima ini. Namun apa yang saya ingin perkatakan di sini ialah bagaimana ‘wajah’ sebenar pemimpin Islam yang berpura-pura bersederhana, berjimat cermat, hanya melakukan perkara yang sangat berfaedah dan menitiskan ‘air mata’ demi memperjuangkan Islam sebenar dan melawan parti yang dianggap sekular olehnya.
Berapakah kos sebenar bagi melaksanakan ‘Haji’ seorang MB di sebuah negeri yang paling betul melaksanakan gaya kepimpinan seorang Nabi ini?
Bukankah jumlah itu boleh membiayai 5 orang Islam atau lebih melengkapkan kesemua lima rukun Islam tersebut? Inilah yang dikatakan cakap tidak serupa bikin.
Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda bahawa : “Aku bimbang ke atas kamu orang-orang yang lebih dahsyat dari dajjal”, bila ditanya siapakah mereka itu? jawab baginda, “Ulama Sukk”
Dalam sebuah hadis yang lain: “Sesungguhnya perumpamaan orang munafiq yang membaca Quran adalah sebagai pohon kemangi, baunya wangi tetapi rasanya adalah pahit”. Maksud hadis ini iaitu sesiapa yang berpura-pura adalah walaupun luaran begitu cantik, tetapi dalamnya adalah begitu jijik dan kotor, berwaspadalah terhadap orang-orang yang berpura-pura tahu, tetapi sebenarnya apa yang keluar dari mulutnya adalah cakap kosong sahaja.
Sesungguhnya Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus. Firman Allah dalam surah Al-A’raf ayat 175: “..dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang Kami berikan keterangan-keterangan Kami kepadanya, lalu dibuangkannya. Sebab itu mereka didatangi oleh syaitan, dan syaitan itu termasuk dalam golongan yang sesat”
Sebagai seorang penulis di laman blog, saya akan cuba mengikuti disiplin yang diminati ramai iaitu hak untuk mengkritik atau memuji penulis blog itu dengan apa cara dan ragam sekalipun. Maka saya biasanya melepaskan saja apa saja kritikan pedas walaupun sebahagiannya agak dangkal dan jauh tersasar tanpa nilai dan makna yang bermanfaat. Paling tidak, seluruh pembaca akan membuat penilaian sendiri terhadap kritikan tersebut dan ia pastinya akan membantu untuk mengukur nilai dan manfaat inti yang saya tulis pula. Warna putih tak terukur dengan baik sinar benderangnya sehinggalah wujud hitam di sebelahnya. Semakin pekat hitam itu semakin teranglah putih itu.
Walau bagaimanapun, saya berat hati, lalu terpaksa menapis dua jenis komentar yang agak ‘malang’ penulisnya. Pertama, kalimat maki hamun yang terlalu menjijikkan. Kedua, perlekehan dan penghinaan melampau terhadap ayahanda. Yang pertama itu biasanya menjadi pilihan para bloger lain insaf dan adil. Yang kedua pula, ianya khas sebagai disiplin saya sendiri. Saya tidak fikir saya akan dilihat menghormati dan berlaku ihsan terhadap kedua – dua orang tua saya jika saya membenarkan tindakan kurang ajar itu. Justeru saya akan memilih untuk dilihat oleh Allah, rasulNya dan orang – orang beriman sebagai anak yang soleh dan berlaku ihsan terhadap kedua – dua ibu bapa saya, walaupun saya dilihat tidak adil dan penakut oleh mereka yang menyerang secara kasar tersebut.
Adapun ‘pelepahpalas’, bahasanya bagus tanpa kalimah jijik dan tujuannya juga jelas tanpa selindung. Beliau melihat ayahanda sebagai seorang MB yang bohong, berpura – pura dan cakap tak serupa bikin. Daripada mengeluarkan bahasa yang keras dan tak bermoral, beliau memilih untuk mengambil beberapa petikan ayat al Quran dan hadis al nabawy daripada sumber utama Islam itu untuk lebih dilihat benar pada dakwaannya, berani pada serangannya dan gagah pula pada sandarannya.
Kerana itu, saya akan jadikan komentarnya itu sebagai laluan yang memudahkan perjalanan kepada maksud yang saya ingin tuliskan iaitu maksud kesederhanaan dalam Islam. Ianya tidaklah menyeluruh, tetapi ia membantu memahamkan anda kepada beberapa pandangan yang disalah fahamkan oleh tidak sedikit daripada kalangan kita.
Sekarang saya akan kemukakan beberapa soalan berkaitan dan tanpa jawapan terus daripada saya, anda akan mengesan jawaban itu sendiri dan ianya adalah menjadi jawaban saya.
1) Sekitar masjid al haram hari ini sedang mengalami pembangunan pesat dengan tumbuhnya bangunan dan sistem yan lebih canggih dan moden. Bangunan – bangunan hotel mewah dan mencakar langit menempati bahagian yang paling dekat dengan masjid di segenap sudut. Keluasan dulu yang boleh memuatkan satu katil kini telah boleh memuatkan berpuluh – puluh katil disebabkan pembinaan bangunan yang bertingkat – tingkat. Pergerakan para hujjah akan menjadi semakin mudah dengan sistem pengangkutan yang dimodenkan.
Kesannya, kita tidak lagi boleh berbelanja murah jika berhasrat menginap di tepi masjid yang akan memudahkan dan mendekatkan perjalanan kita ke masjid.
Petama, Adakah anda melihat tindakan kerajaan Arab Saudi ini adalah salah? Adakah anda melihat bahawa sepatutnya bangunan – bangunan hotel murah dan sederhana diletakkan paling dekat, manakala hotel – hotel mewah diletakkan jauh di belakang? Dalam erti orang – orang yang berbelanja lebih tak sepatutnya diberi keselesaan?
Kedua, adakah pihak hotel mewah tersebut mengkhususkan hotel mereka untuk golongan VIP dan kaya raya sahaja, ataupun sesiapa pun berhak asalkan mereka membayar lebih? Adakah anda pula, samada miskin atau kaya dikira membazir, salah atau tidak afdhal jika anda memilih untuk membayar lebih demi mendapatkan kemudahan yang lebih baik berbading yang lain?
Ketiga, adakah seorang pemimpin kerajaan yang pergerakan mereka dikawal oleh protokol rasmi dikira salah dan kurang afdhal jika mereka terus berada dalam kawalan protokol semasa melaksanakan haji, sedangkan ianya tidaklah mengganggu orang ramai? Adakah protokol kerajaan itu adalah salah atau kurang afdhal untuk seorang pemimpin Islam yang benar dan wara’. Juga, adakah berbelanja lebih oleh seorang pemimpin Islam adalah salah atau kurang afdhal?
Kemudian, sila lihat persoalan berikut pula.
Pertama, apakah ukuran bersederhana dalam Islam? Apakah ukuran itu mesti sama untuk segenap lapisan masyarakat? Adakah masyarakat Islam bermaksud sebuah masyarakat yang tiada miskin dan kaya, pemimpin di atas dan rakyat di bawah? Adakah ia bermaksud tiada lagi kelas biasa, VIP dan VVIP?
Kedua, adakah salah jika seorang yang kaya atau seorang guru atau seorang pemimpin menerima sumbangan anak buahnya sebagai tanda ihsan dan kasih sayang? Adakah sedekah atau hadiah itu kemuliaan jika diberikan kepada si miskin sahaja?
2) Selepas anda meneka jawaban kepada persoalan – persoalan yang saya lontarkan di atas, mari kita perhatikan beberapa perkara yang akan lebih menjelaskan maksud kesederhanaan.
Pertama, pada dekad ini, perbincangn dalam fiqh dan isu ibadah haji tidak lagi berkisar bagaimana untuk mendakwah dan menggalakkan umat Islam melaksanakan kefardhuan ibadah haji sebagaimana masa – masa terdahulu, bahkan perbincangan para ulama kini banyak ditumpukan dan dikerah untuk memikirkan bagaimana memudahkan urusan perlaksanaan ibadah haji sehinggalah kepada persoalan hak kerajaan untuk menyekat atau menghadkan jumlah para hujjaj yang sentiasa meningkat sepanjang tahun.
Jumlah para hujjaj yang terlalu ramai dan penuh sesak boleh mengakibatkan musibah besar seperti kegagalan menyempurnakan rukun haji, kemalangan nyawa atau kecederaan, perbalahan sesama para jamaah haji dan lain – lain lagi yang perlu dielakkan. Justeru sebagai contoh, kerajaan Arab Saudi selain telah menghadkan jumlah jamaah haji dari negara – negara luar, mereka juga telah menahan rakyat mereka sendiri daripada mengerjakan ibadat haji pada setiap tahun, bahkan mengikut sumber, mereka hanya diberi kebenaran mengerjakan haji setiap 5 tahun sahaja.
Tanpa menolak beberapa perkara yang dilihat sebagai kegagalan negara tersebut menguruskan perjalanan haji dengan baik seperti gagal mengawal peningkatan kadar perbelanjaan yang begitu ketara setiap tahun, kita terpaksa menerima hakikat bahawa kemudahan – kemudahan khas ( bukan awam ) yang ditawarkan terpaksa dibayar dengan kewangan yang lebih.
Ini termasuk penginapan yang lebih selesa dan makanan yang lebih baik selain yang lebih penting, kedudukan penginapan yang lebih dekat dengan masjidil haram.
Kedua, selepas Islam membenar, bahkan menggalakkan umatnya untuk mencari kekayaan demi mengejar kelebihan duniawi, apatah ukhrawi melalui kekayaan tersebut, para ulama temporari sepakat bahawa hajat umat Islam hari ini kepada kekayaan material adalah begitu mendesak walaupun ianya adalah mustahil lebih penting daripada hajat besar umat Islam kepada iman dan taqwa yang teguh kepada tuhannya.
Lebih memudahkan kefahaman, lihat bagaimana Allah menjadikan hampir seluruh negara yang didiami majoriti umat Islam memiliki sumber kekayaan semulajadi yang menjadi rebutan dunia kufur juga. Adakah anda boleh mengandaikan bahawa sumber kekayaan itu adalah untuk dimiliki Amerika dan sekutunya, Israel? Bahkan, ia adalah untuk umat Islam yang digalakkan untuk membekal diri demi kebangunan Islam dengan kekayaan iman di dada dan kekayaan material di tangan.
Kemudian, siapakah yang paling berhak mengecapi kekayaan yang anda miliki sendiri secara halal itu?
Ya, pengajaran ugama secara jelas menegaskan bahawa andalah di tempat pertama sebelum ianya adalah menjadi hak mereka yang di bawah tanggungan anda seperti ahli keluarga dan kerabat terdekat, kemudian ianya adalah milik golongan miskin yang dijamin hak mereka oleh ugama ke atas orang – orang kaya di dalam masyarakat Islam, apatah kerajaan yang memerintah.
Dalam konteks kesederhanaan yang diwajibkan oleh ugama, adalah perlu anda fahami bahawa ianya tetap berjalan dan terpakai ke atas semua pihak, samada perbelanjaan untuk anda sendiri atau untuk orang miskin. Adakah anda dibenarkan oleh ugama untuk memewahkan seorang miskin yang apabila ia memiliki lebihan, ia akan gunakannya untuk membeli dadah, atau berfoya – foya atau sekurang – kurangnya menambah jumlah rokok yang disedut untuk membunuh dirinya itu?
Anda sedang semakin memahami maksud kesederhanaan dalam kehidupan beragama.
Ketiga, pemerhatian terhadap sirah nabawiyah walaupun secara sepintas dan tanpa ketekunan pun sudah cukup menemukan kita dengan idea protokol terhadap pemimpin dan kenamaan negara. RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam tidak menghalang protokol, bahkan kebenarannya boleh difahami sebagai satu hak untuk para pemimpin dan kenamaan.
Tidakkah kita dihalang mendahului RasuluLLah dalam ucapan, tindakan dan apa – apa keputusan ( Lihat surah al Hujuraat )? Siapakah pengapit yang mengelilingi RasuluLlah ketika dalam majlis bertetamu, musafir dan terutamanya ketika keluar berjihad? Adakah semua berhak? Atau wujud lantikan yang diadakah secara mudah atau ketat?
Protokol atau kerasmian adakah hak. Ia dibenarkan demi kelancaran dan kemudahan. Ia bukan daripada awal dan akhir sebagai satu tanda kemewahan dan kesombongan.
Kesederhanaan? Ya, ia terus terpakai di dalam protokol. Ia bermaksud tidak terlalu longgar yang menyusahkan dan tidak terlalu ketat yang menyusahkan juga. Cubalah anda fahami dengan sebaiknya.
Pengalaman saya sebagai anak seorang yang bertaraf VIP mengajar saya betapa protokol yang tepat akan memberi hasil yang padat dan penuh. Ia menguntung masa ayahanda tuan guru, fikirannya, kesihatannya, pergerakannya dan turut membatu dan menguntungkan majlis dan orang ramai juga.
Jikalah ayahanda meninggalkan protokolnya sebagai seorang MB dan hanya mengekalkan protokol ringannya sebagai seorang tok guru yang mudah didekati, anda akan menyaksikan negeri Kelantan sedang memiliki seorang menteri besar, bahkan negeri Kelantan yang cacamerba dan kelam kabut!
Sesetengah penyokong PAS atau yang mendakwa murid kanan tok guru agak kurang memahami atau menolak hak protokol ayahanda. Mereka ini biasanya akan mencetuskan masalah dan menjengkelkan sekali. Tiada apa yang menguntungkan pun.
Setelah anda memperolehi gambaran sepintas yang mengarah kepada maksud kesederhanaan melalui isu haji, kekayaan dan protokol yang saya lontarkan, maka bolehlah anda memahami bahawa kesederhanaan itu janganlah ditafsirkan kecuali melalui garisan dan disiplin yang telah ditetapkan oleh agama itu sendiri.
Jangan sesekali menafsirkannya sekehendak yang anda faham.
Berbelanjalah pada kadar mana yang anda suka untuk ke Mekah. Selama mana ianya daripada sumber yang halal, tidak menyusahkan orang lain seperti melewatkan bayaran hutang, bertujuan memudahkan urusan ibadat dan tanpa rasa sombong dan besar diri, maka ianya adalah dalam konteks kesederhanaan yang dibenarkan. Samada anda kaya, lalu anda tidaklah perlu bersusah payah mengumpul perbelanjaan, atau anda seorang yang tidak kaya, lalu anda terpaksa bersusah payah untuk menyediakan perbelanjaan tersebut, anda tetap mendapat ganjaran membelanjakan harta pada jalan yang benar dan diredhai Allah.
Dua tahun lepas saya dan isteri menunaikan haji. Saya mengambil pakej murah sekitar 10 ribu ringgit lebih. Saya terpaksa terpisah daripada isteri. Tinggal 6 orang dalam bilik yang sempit. Berkongsi 2 bilik air dengan puluhan jamaah haji. Berhadapan masalah orang – orang tua yang sering uzur dan kerenah orang jahil yang menyusahkan dan menjijikkan ( kencing berdiri dalam bilik air sampai memercik ke dinding! Aduss! ). Ianya pengalaman yang cukup berguna dan menginsafkan, sesuai dengan matlamat haji.
Tetapi hari ini, saya dan isteri berhasrat jika diberi kemudahan lagi, saya akan ke Mekah mengerjakan haji dengan pakej yang lebih baik dan tentunya, mahal. Adakah saya telah keluar daripada maksud kesederhanaan?
Berbelanja lebih untuk kehidupan yang lebih selesa adalah kesederhanaan walaupun anda terpaksa berhutang kerananya. Jika anda memilih untuk berada ditahap yang lebih rendah dan bersedia untuk menanggung sedikit kesusahan selain mengelak berhutang, maka ia adalah hak anda dan anda diganjari pahala sekiranya ia membantu iman anda dan keluarga anda.
Bagaimana pula jika kehidupan anda gagal dihayati isteri dan anak – anak? Anda mampu tetapi kedekut berbelanja untuk keperluan isteri, rumah, apatah pendidikan anak – anak yang terlalu memerlukan perbelanjaan yang lebih di negara kita yang zalim pemerintahannya ini? Adakah anda boleh beralasan untuk hidup sederhana?
Anda juga telah keluar daripada garis kesederhanaan jika anda berbelanja untuk berseronok berlebihan dan menonjol – nonjolkan kekayaan anda pula. Fahami ini, seseorang yang memiliki 2 buah kereta adalah lebih sederhana kehidupannya berbanding jika dia memiliki 2 buah televisyen dalam rumahnya semata – mata untuk menonjolkan kemewahan berhias.
Sederhana ialah tidak kedekut dan tidak pula boros. Tidak hina diri dan tidak pula sombong. Tidak malas berkerja dan tidaklah pula sampai hilang siang dan malam kerana kerja.
Kesederhanaan ukurannya berbeza – beza mengikut kedudukan dalam kehidupan. Tidakkah Allahlah yang menciptakan tingkatan – tingkatan dalam kehidupan agar manusia saling guna – mengguna, bantu – membantu dan saling memerlukan di antara mereka?
Buat saudara ‘pelepahpalas’ secara khusus, adakah anda rasa tepat untuk mengukur kebenaran dan keikhlasan ayahanda dalam perjuangannya hanya dengan mengukur tambang dan perbelanjaan hajinya yang mahal? Sehingga dengannya anda mendakwa ayahanda telah hipokrit, berpura – pura dan memperolokkan ugama?
Sedarkah anda bahawa hujahan anda ini tidak lebih sekadar memudahkan orang lain mengukur tahap kekuatan anda secara mudah dan naif?
Atau, jika anda terus tidak berganjak selain mempertahankan persoalan dan hujah yang anda kemukakan, maka adakah anda bermaksud seorang menteri besar tidak boleh berbelanja lebih untuk hajinya, malah mestilah menggunakan pakej awam? Dengannya, seorang menteri besar itu haramlah atasnya dihiasi protokol yang memerlukan perbelanjaan lebih atau tinggal di penginapan mewah dan lebih baik di kota Mekah? Atau, adakah anda melihat bahawa haram ke atas sebuah kerajaan Islam menyediakan kemudahan dan berbelanja lebih untuk keselesaan seorang ketuanya?
Anda jikalah begini anda yang sebenar, ia tidak lebih selain mendorong saya untuk menyarankan anda agar terus belajar untuk lebih memahami agama Islam dan pengajarannya yang adil dan saksama. Dengan itu, selamatlah umat ini daripada pemetik ayat – ayat al Quran dan al hadis dan meletakkannya pada tempat yang salah dan mungkar jua.
Dengan umur ayahanda mencecah 80 tahun, kesihatan badan yang agak lemah, suasana musim haji yang memenatkan, tempoh mengerjakan ibadah haji yang sudah lama beliau tangguhkan, berebutnya para nak buahnya untuk menajanya di samping tahap keselamatan sebagai seorang VIP yang sentiasa diburu dan dikerumun kawan dan lawan, juga sebagai jemputan penuh kemuliaan daripada Tuanku al Sultan Kelantan untuk bersama baginda menunaikan ibadah haji, saya tidak mampu mengandaikan hotel mewah di tepi kaabah itu selain disediakan Allah untuk hambaNya yang seperti ayahanda.
Semoga Allah mengurniai ayahanda bonda dan seluruh jamaah haji dengan haji yang mabrur..
Salam Palestin,
Jikalah musim haji itu hanya menjadi milik jutaan para bakal haji, milik para hujjaj yang kini sedang mara menuju kaabah, baituLlah al haram untuk menyempurnakan manasik al haj beberapa hari lagi itu, maka apa perlu kita menyambut hari raya haji?
Apa erti hari raya haji atau eid al adhha kalau tidak kerana musim haji juga adalah milik kita, milik bilionan umat Islam di seluruh dunia jua?
Haji milik mereka, khususnya pemilik haji yang mabrur. Adapun musim haji, ia adalah milik semua. Allah jadikannya untuk semua hamba – hambaNya yang mencariNya di dunia yang gelap dan kelam ini.
Musim haji bukan sekadar saat cahaya yang memancar – mancar dari kaabah, atau suara memanggil – manggil dari tanah al haram, bahkan ia bagai lorong terhampar permaidani daripada jaluran warna – warna pelangi yang bersinar buat perjalanan indah seluruh umat Islam menuju Allah yang esa.
Rasainya sekarang, kerana ia telah pun bermula semenjak 1 Zulhijjah lagi, dan ia akan terus bersinar sehinggalah 10 Zulhijjah. 10 hari yang sempurna. Itulah sebaik – baik hari dalam setahun. Itulah gandingan 10 malam terakhir di bulan Ramadhan, sebaik – baik malam dalam setahun. Kecapilah kesyahduannya hari ini sebagaimana anda sering rasainya di malam – malam hujung Ramdhan al mubarak.
Maksud hadis sahih riwayat asy syaikhan daripada Ibni Abbas,sabda RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam; “Tiada satu hari pun yang segala amalan soleh di dalamnya lebih disukai Allah lebih daripada amalan soleh yang dikerjakan di dalam hari – hari 10 ini ( iaitu 10 hari pertama Zulhijjah ). Lalu baginda ditanya; Sehinggakan berjihad wahai RasulaLlah? Baginda mejawab; Ya, walaupun berjihad, kecualilah seorang lelaki yang keluar dari rumahnya dengan diri dan hartanya ke medan, lalu beliau tidak lagi pulang ( mati syahid ).”
Allah menghadiahkan kita dengan perayaan kedua iaitu eid al adhha atau hari raya korban bersempena dengan peristiwa agung pengorbanan besar yang ditunjukkan datuk kita nabi Ibrahim demi menggapai semi cinta Allah yang murni. Peristiwa ini adalah antara manasik haji akhir para hujjaj di kota Makkah yang dilaksanakan sebagai mengingati apa yang telah dilakukan oleh datuk kita itu. Allah lalu memperkenankannya untuk diingati oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia agar cerita pengorbanan demi menagih cinta tuhan itu terus hidup di dalam sanubari umat Islam.
Pipi si anak tersayang disembam ke bumi lalu pisau diangkat sambil leher dilurut demi melaksanakan upacara penyembelihan agung! Lalu Allah berseru, “Wahai Ibrahim, sungguh engkau telah membenarkan mimpimu itu..” Allah menerima cinta Ibrahim, lalu “Dan kami menebusnya dengan sembelihan (kibasy) yang agung.” – Ash shaaffaat; 22-27
Mengingati cerita agung ini tidak akan sempurna sehinggalah kita membongkar kisah datuk kita nabi Ibrahim alaihissalam yang memulakan sejarah kota Makkah. Jika anda melihat dan memerhati manasik al haj, anda tidak mungkin mampu menghayatinya sehinggalah anda memahami sejarah perjuangan datuk kita itu.
Datuk kita, sepertilah nabi kita, Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam adalah ikutan yang sempurna;
Maksud firman Allah; Sesungguhnya untuk kamu pada Ibrahim dan mereka yang bersamanya adalah menjadi ikutan yang baik..” – al Mumtahanah;4
Demikian ringkasan yang harus kita hayati daripada pensyariatan ibadah haji. Janganlah kita menduga bahawa perihal haji itu hanya milik para bakal haji sahaja. Bahkan Allah tidak pernah mengabaikan keindahannya buat seluruh hambanya yang beriman untuk mengecapi kemanisannya.
Bersama menyelongkar hikmat haji, bersama menghidup 10 hari di bulan Zulhijjah dengan amalan – amalan solehah dan Selamat Hari Raya Haji al mubarak.
Salam Kamunting,
Datuk kita, Ibrahim ‘alaihissalam adalah seorang rasul. Baginda diutuskan ke bumi oleh Allah taala ribuan tahun yang lampau, satu jarak masa yang panjang yang penuh teka teki dalam mengenal sejarah ketamadunan manusia. Pengkisahan al Quran tentang datuk kita ini begitu banyak membantu pengkaji sejarah mengenali perjalanan kehidupan dan tamadun manusia sebelum dan selepasnya.
Salah satu mukjizat al Quran adalah sejarahnya yang benar, hidup dan sarat pedoman.
Bukanlah perjalanan datuk kita itu sealkisah dengan perjalanan sejarah cucunya Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Nabi Ibrahim sampai wafatnya hidup tanpa penyokong yang ramai. Berbeza sekali dengan cucunya yang agung, nabi kita yang mana di Hajjat al wada’ di hujung hayatnya telah berjaya untuk bersama lebih 100 ribu sahabatnya yang bersiap siaga menggempur demi dakwah dan perjuangannya.
Datuk kita pernah membisikkan pada isteri kecintaannya bahawa tiada di dunia yang menyembah Allah yang esa hari ini selain hanya mereka berdua! Ah, bagaimana mampu dibayangkan kemuliaan datuk kita ini apabila Allah memilih mereka berdua untuk bercerita mengenai manusia seluruhnya pada masa itu. Inilah seorang insan yang berjalan di bumi dan Allah hanya memerhatikannya tanpa jutaan manusia yang lain.
Jutaan manusia adalah buih dan sampah yang hanyut dan hilang, sedang datuk kitalah yang kekal dan berguna untuk menyambung hayat manusiawi. Syirik adalah kebatilan yang sifatnya adalah lenyap tanpa kesan. Tauhidlah yang kekal berguna buat kehidupan manusiawi.
Allah menguji datuk kita dengan pelbagai ujian dan Allah meluluskannya dengan izin dan kekuatanNya jua. Dalam hidup tanpa pengikut dan pendukung yang ramai, baginda dilantik oleh Allah menjadi imam kepada seluruh manusia.
Baginda diuji untuk mendepani ayahnya, pengukir dan penjual patung berhala. Baginda diuji untuk berhadapan dengan raja Namrud yang maha zalim. Baginda juga dicampakkan ke lubang api yang besar. Pelbagai ujian melanda baginda sehinggalah ia memuncak dengan sebuah pengorbanan yang tak terfikir oleh kita apabila Allah menuntutnya menyembelih anak kecintaannya sendiri, Ismail alaihis salam.
Baginda tanpa ragu dan syak telah melaksanakannya dengan jayanya. Datuk kita adalah hamba Allah yang agung.
Allah sentiasa memuji datuk kita dengan puji – pujian yang menghangatkan iman di dada untuk kita terus mencontohinya. Allah berfirman:
“Sesungguhnya untuk kamu adalah contoh yang baik pada diri nabi Ibrahim dan orang – orang bersamanya ketika mana mereka berkata kepada kaum mereka, sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah. Kami kufur terhadap kamu dan nyatalah perseteruan dan kebencian di antara kami dan kamu..” – al ayat (al Mumtahanah:4).
Banyak – banyak pedoman daripada datuk kita Ibrahim alaihissalam, pernyataan tauhidlah yang paling utama. Sesungguhnya semua cerita mengenai Ibrahim adalah pedoman yang akan menyuluhi hidup kita.
Ibadah haji adalah kefardhuan yang dikaitkan dengan sejarah agung datuk kita. Di musim haji, para jemaah haji akan diajak mengenang pengorbanan hebat datuk kita. Sementara kita di tanah air tidak dibenarkan selain untuk bersama mengingati datuk kita juga. Hari raya korban adalah kisah Ibrahim alaihissalam yang berjaya melepasi ujian agung tuhannya.
Jika anda mengikuti sirah datuk kita, kita akan menemui beberapa pedoman yang hebat, antaranya:
1) Berani 2) Sentiasa mencari kebenaran 3) berkata benar 4) tidak menghiraukan hiruk pikuk kata nista dan persepsi buruk manusia 5) sabar 6) bertaubat 7) tidak mengharap pujian manusia.
Hari ini adalah hari terakhir kita berhari raya korban. Marilah bersama mendukung ajaran nabi Ibrahim alaihissalam.
Jangan takut berkata benar. Jangan hirau persepsi manusia. Jangan takut kehilangan jika berganti kebenaran. Sentiasa mengajak manusia menginsafi kebenaran dan menikmati manisnya.
Jika anda ditanya, tak takut kalahkah? Jawablah, Islam adalah kemenangan. Jika Islam, ia takkan kalah!
Salam Kamunting,
AlhamduliLlah, saya, isteri dan kakak sulung serta rombongan selamat tiba di tanah air daripada mengerjakan ibadah haji di kota suci Makkah beberapa hari yang lepas. Hati ini terasa sungguh gembira tak tergambar. Kami mengecapi sesuatu yang cukup bebeza sepanjang berada di bumi penuh barakah itu.
Semoga Allah mengurniakan kami dan seluruh para hujjah baitiLlah al haram tahun ini dengan haji yang mabrur dan diterimaNya sebagai bekal besar menemuiNya nanti.
Terima kasihlah kepada semua sahabat, terutama para penjenguk di blog saya ini yang turut menghulur doa untuk kami semua agar dipermudahkan Allah segala urusan semasa di sana. Hari – hari indah dan sejuk dengan belaian rahmat tuhan itu masih segar terasa di hati ini.
Alangkah hebatnya hadiah tuhan kepada hambaNya dengan kefardhuan mengerjakan haji di Makkah al Mukarramah.
Haji adalah rukun Islam. Ia adalah binaan teras kepada sebuah istana di dada kita yang mesti disempurnakan binaannya sebaik – baiknya. Tak kiralah di masa muda atau tua, apabila masanya tiba, kefardhuan itu telah tertulis, kita mestilah melangkah ke arah menyempurnakannya. Sempurna istana di dada ini, sempurnalah istana kita di syurgaNya nanti.
Haji berbeza daripada rukun – rukunIslam yang lain dalam banyak hal dan segi. Yang besarnya adalah ia memerlukan kos dan persiapan paling banyak. Kemudian ia adalah kefardhuan yang paling sukar dan memenatkan. Ia juga paling menagih pengorbanan dan kesabaran.
Itu cukup meresahkan rasa kikir di jiwa untuk melaksanakannya. Tetapi, dalam hanya beberapa hari kita melaluinya yang bermula dari hari tarwiyyah pada 8 Zulhijjah sehingga hari tasyriq terakhir pada 13 Zulhijjah, atau kemuncaknya ( pelaksanaan rukun haji ) pada 9 dan 10 Zulhijjah, iaitu pada hari wuquf di Arafah dan hari Haji Akbar keesokannya, segala rasa kikir dengan hijab duniawi itu bertukar menjadi keindahan yang sukar digambarkan. Tirai hijab diangkat sehingga jiwa ini terasa dekat dengan tuhan, terasa dekat dengan hari di mana kita pasti dikerah dan dihambat untuk menemuiNya di hari pembalasan agung tuhan nanti.
Haji adalah hari manusia dihidangkan dengan pelbagai manfaat duniawi dan ukhrawi, kemudian ia memuncak dengan zikir mengingati Allah di setiap detik di tanah haram itu. Jika kita memerhatikan segala bentuk pelaksanaan manasik haji itu, kita hampir pasti meyakini bahawa diam dan berfikir adalah ibadah yang hebat!
Samada anda memilih untuk diam sahaja ketika bertawaf mengelilingi kaabah, atau bersa’ie antara bukit Safa dan Marwah, atau duduk berteleku sendirian melihat kaabah tuhan dan maqam Ibrahim di sisinya, atau kita sekadar berlopongan memerhati ‘manusia’ dan ragamnya, semua itu meluluhkan hati anda bagai dipancur dengan semburan basah rahmahNya, lalu anda tak tertahan menahan air mata daripada mengalir membasahi kulit yang kering kontang dengan dosa dan noda kehidupan. Apabila lidah anda tergerak melantunkan kalimat ‘Allah’ dalam kedalaman makna memahami erti kehambaan dan ketuhanan, hilanglah hiruk pikiuk manusia di sekeliling. Anda memilih untuk tidak malu lagi menangis di hadapan tuhan seolah – olah anda di saat itu adalah anda dan tuhan anda.
Saya menikmati sekelumit saat – saat seperti itu. Saya yakin ia dinikmati oleh semua para hujjah yang dipilihNya. Kalaulah persediaan iman saya adalah lebih baik, pastinya saya akan lebih menikmatinya sebagaimana orang – orang besar Allah yang dipilih dan dikhususkanNya didunia ini.
Allahu akbar wa liLlahil hamd.
Tuhanku, dengan kayanya Engkau daripadaku dan dengan faqirnya diriku kepadaMu, ampunilah dosaku..
Setiap kefardhuan adalah penuh hikmah. Ia tersendiri dengan pelbagai hikmah. Setiap kita dibuka tirai menikmatinya mengikut kesiapan kita sendiri.
Kayakanlah diri anda dengan kekuatan dan kemampuan sehingga seruan nabi Ibrahim itu menusuk ke telinga dan jantung anda. Saat itu, anda akan berkata benar, labbaikaLlahumma labbaik..
Saya ingin lagi menulis.. Tetapi jari ini sudah penat dek lama berehat. Ia berkata, orang pun tak nak baca yang panjang – panjang. Betul juga auta jari ini..
****
Soalan: Tahukah anda amalan terbaik di Malaysia hari ini?
Jawaban: Bergerak ke Kuala Terengganu. ALLAHU AKBAR!
Komen Terbaru