You are currently browsing the monthly archive for Oktober 2007.
Salam Kamunting,
Saya tidak fikir ada bloggers dan peminatnya yang asyik berlayar di internet hari ini boleh tidak tahu mengenai gerakan massa ke perhimpunan 100 ribu rakyat bagi menuntut hak mereka yang tertangguh sejak 50 tahun lepas. Hampir semua bloggers politik dan sosial telah menulis dan memberi isyarat mengenainya. Saya juga tidak fikir rakyat di luar yang perihatin politik dan keadilan masih alpa dan tidak sedar mengenai ajakan ke perhimpunan tersebut.
Apa yang saya fikir hari ini ialah apakah yang bermain di kepala setiap kita? Nak menyertai atau tidak? Perlukah perhimpunan itu atau tidak? Berhikmahkah perhimpunan itu atau tidak? Siapa untung? Pas atau Bersih atau siapa? Wajibkah atau sunat atau makruh atau habis masa? Ada kesankah atau sia – sia sahaja? Di Kelantan, seperti biasa, demontrasi masih dalam perdebatan, sesuai atau tidak? Di luar Kelantan pula, saya tidak fikir perbezaannya daripada Kelantan.
Saya tidak mahu memanjang untuk menjawab persoalan – persoalan tersebut. Saya hanya ingin mengambil dari masa dan hari – hari yang masih berbaki sebelum 10 November nanti untuk turut menyeru, atau dalam bahasa lebih gagah, mendakwah rakyat Malaysia seluruhnya menyertai perhimpunan tersebut. Ia adalah perhimpunan yang memerlukan jumlah kehadiran yang ramai dan penuh kesungguhan.
Biar sejarah memahat nama kita sebagai rakyat yang turut hadir dalam perhimpunan besar bersejarah yang menuntut keadilan dan kebebasan untuk semua rakyat di Malaysia. Rakyat pembangkang masih terjajah oleh pemerintah yang hanya memerdekakan penyokongnya sahaja. 50 tahun kita merdeka daripada penjajah, 50 tahun itu jugalah kita dijajah untuk kali kedua. Daripada kegelapan menuju kegelapan juga. Apa erti kita boleh berpada atau berseronok?
Bayangkan, jika pilihanraya benar – benar bersih, tiada rakyat yang akan kecewa dengan kerajaan kerana itulah apa yang mereka pilih. Ahli syurga puas hati di tingkat mana mereka mendiami dan ahli neraka puas hati di lembah mana mereka disumbat. Itulah yang mereka pilih.
Isi demokrasi ialah hak rakyat. Kita menuntut hak itu dalam batas demokrasi dan kita telah bersedia lama dengan batas kebebasan dalam Islam. Umno tak payah ajar dan tak payah tunjuk. Kerana hak inilah kita menerima demokrasi dengan sebaiknya dalam hidup kita menuju kesempurnaan menuntut kehidupan di bawah panji hukum Ilahi.
Rakyat Terengganu adalah gambaran yang penuh emosi dengan ketidak puasan. Hak, suara dan kemenangan mereka dirampas semudahnya oleh pilihan raya bohong dan memalukan. Pemimpinnya hidup dalam hipokrit dan berdendam terhadap rakyat.
Inilah namanya penjara dan gari yang mendekam rakyat dalam kesempitan dan penindasan. Usaha rakyat untuk maju dan bebas dalam kehidupan mereka mudah saja dinodai dan diragut oleh sistem asas demokrasi yang pincang dan cacat.
Mari kita sama – sama untuk tidak menguzur diri daripada menyertai perhimpunan ini. Bahkan mari kita sama – sama untuk tidak menguzur diri daripada turut mendakwah keluarga, sahabat dan taulan untuk turut serta. Saya mahu anak – anak saya yang masih kecil itu tahu dan berbangga untuk mengingati kehadiran ayahandanya dalam perhimpunan yang bakal memahat sejarah negara itu. Sejarah kemerdekaan kedua dan sebenar selepas kemerdekaan 50 tahun lepas.
Allah memberkati usaha besar ini demi kebebasan penuh yang dikurniakanNya.
Salam Kamunting,
Bahagian dua ( Bahagian 1 dan 2 disiarkan dalam Harakah terbaru, 1-15 November 2007 )
2) Bahawa mengundi di dalam pilihan raya adalah kewajiban ugama.
Islam, sebagaimana isi dan pengajarannya mestilah bersumberkan Al Quran dan hadis, maka begitulah jalan dan dakwah ke arah pelaksanaannya. Syurga adalah milik Allah dan begitulah jua jalan menuju syurga. Jalan yang dibina sendiri untuk merentas ke syurga adalah jalan sesat dan menuju neraka jua.
Manusia dari dulu sampai kini menguasai tampuk kekuasaan melalui dua cara iaitu secara keras atau secara aman. Ia samada melalui rampasan, penaklukan, peperangan dan pembunuhan, atau melalui perlantikan, penyerahan dan wasiat secara aman. Justeru Islam menggariskan jalan dan wasilah menuju tampuk kekuasaan. Ia samada secara keras iaitu jihad dengan senjata atau secara lembut dan berhikmah iaitu melalui dakwah lisan, pena dan sebagainya yang selain kekerasan bersenjata dan peperangan.
Keras adalah ketika menghadapi musuh yang memusuhi Islam daripada kalangan kuffar atau pemberontak Islam dalam negara. Ia samada golongan kafir yang memerangi dari dalam negara sendiri atau dari luar yang ingin menjajah negara Islam atau golongan pemberontak Islam bersenjata yang memberontak ke atas negara Islam.
Adapun golongan kafir yang menjanjikan keamanan untuk orang Islam di negaranya atau golongan munafikin atau penguasa Islam yang zalim terhadap rakyatnya, maka Islam melarang menggunakan kekerasan bersenjata untuk menentang dan memberontak. Bahkan ia hendaklah melalui dakwah dengan lisan, berhikmah dan bersenjatakan kesabaran yang tinggi menanti pelepasan dan kemenangan.
Malaysia adalah negara umat Islam yang diperintah oleh umat Islam dengan perlembagaan dan sistem sekular yang memisahkan ugama daripada pemerintahan. Ia menerima undang – undang barat dan menolak hukum Al Quran. Adalah jelas pemerintah negara telah memerintah secara zalim dengan melarang rakyatnya hidup di bawah panji – panji hukum Islam dan pengajarannya. Apabila pemerintah daripada kalangan umat Islam ini turut menindas dan menzalimi para pendakwah dan pejuang Islam dengan pembunuhan, pemenjaraan dan sebagainya, maka kezalimannya menjadi semakin bertambah – tambah.
Apakah daya dan kekuatan untuk melawan dan mempertahankan diri? Daripada ketetapan hukum di atas, jelas peperangan dan jihad bersenjata adalah salah dan terlarang oleh ugama. Begitulah ugama telah melindungi umat Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam daripada fitnah sesama sendiri. Justeru tukarannya adalah perjuangan dakwah secara lisan, pena, hikmah dan kesabaran.
Maka, dalam dunia demokrasi celupan barat yang diamalkan di negara ini, ruang kebebasan bersuara, berpendapat dan memilih hendaklah digunakan sepenuhnya untuk dakwah bil lisan ( lidah ), al Qalam ( pena ), al hikmah ( kebijaksanaan ) dan sebarang sekatan dan halangan di hadapan hendaklah diatasi dengan hikmah dan kesabaran.
Adalah bagai matahari yang terang – benderang bahawa kemuncak kepada kebebasan dan ruang yang diberikan dalam sistem demokrasi negara untuk menuju tampuk politik dan pemerintahan Islam ( telah dihuraikan kewajibannya di atas ) ialah hak untuk menyertai dan memilih di dalam pilihan raya. Pilihan raya adalah jalan dan alat yang dibuka dan dibenarkan untuk menuju tampuk kekuasaan politik dan tiada jalan lain selainnya.
Ia bermaksud jika anda berceramah 360 hari setahun di setiap masjid dan ceruk rantau, tetapi anda tidak mengundi untuk apa yang anda ceramahkan dalam pilihan raya yang diadakan, maka sampai bila pun perlembagaan dan sistem politik yang ada tidak akan melorongkan anda ke tampuk pemerintahan. Ia bermaksud jika anda melakukan kebajikan dan kebaktian, membelanjakan harta dan melakukan kerja – kerja sosial serta turut menentang kemungkaran, rasuah, mengubati gejala sosial dan sebagainya 360 hari setahun demi kesejahteraan rakyat, tetapi anda tidak mengundi dan menyertai pilihan raya yang adakan, maka sampai bila pun anda tidak akan mampu menyampaikan Islam ke tampuk pemerintahan.
Oleh kerana Islam wajib memerintah dan tiada cara ke tampuk pemerintahan selain melalui proses pilihan raya, maka adalah wajib hukumnya secara syar’ie, mengundi dan menyertai pilihan raya.
Melalui kefahaman yang disebatikan ini, anda dapat mengandaikan bagaimana ahli dan penyokong Pas telah didoktrinkan dengan kefahaman yang tinggi mengenai nilai undi dan pilihan raya. Ia adalah satu hukum syar’ie bahawa mengundi di dalam pilihan raya adalah wajib dan berdosa mengabaikannya dalam konteks negara kita.
Bayangkan jika yang keluar mengundi adalah mereka yang fasik dan melakukan dosa besar. Bayangkan jika yang keluar mengundi adalah penentang hukum Allah dan pejuangnya. Bayangkan jika yang mengundi adalah orang bukan Islam. Mereka semua keluar mengundi sedangkan anda tidak. Kepada merekakah anda serahkan negara dan masa depan agama anda?
Pendoktrinan hukum kewajiban mengundi ini oleh Pas ke atas ahli dan penyokongnya telah melahirkan sekumpulan rakyat yang begitu mahir, tekun dan tegar penglibatannya di dalam pilihan raya. Pas mendahului kerajaan di dalam menyeru rakyat menyertai pilihan raya. Jentera Pas mengatasi jentera kerajaan, apatah Umno di dalam kesungguhan melaksanakan pendaftaran pemilih sepanjang masa.
Oleh kerana tulisan ini bertumpu kepada menjelaskan sumber kekuatan Pas dalam melangsungkan survivalnya melalui pendoktrinan hukum, saya tidak berhasrat menjawab beberapa kekeliruan yang diwujudkan untuk menafikan kewajiban menyertai pilihan raya oleh sesetengan pihak.
Salam Kamunting,
Artikel saya ini memanjang sehingga 4 siri. Bagus juga jika anda tidak keberatan memberi komentar. Saya berharap dapat melihat dari ruang pandang yang lebih luas agar kupasan saya mudah difahami. Pilihan raya dah dekat ni. Miqat dah dekat, pakai dan niat ihram cepat – cepat.
Bahagian pertama: ( Bahagian 1 dan 2 disiarkan dalam Harakah terbaru, 1-15 November 2007 )
Pas adalah sebuah badan politik berdaftar di dalam negara kita yang bergerak cergas memahamkan rakyat mengenai politik Islam. Keistimewaan ini telah meletakkan Pas sebagai sebuah parti yang dilihat tidak akan mati dan berkubur. Hayatnya pada pandangan Islamnya dan matinya adalah apabila ia meninggalkan Islam.
Dalam pengajaran Islam pula, yang kekal hanyalah kebenaran atau al haq, manakala kebatilan tidak akan kekal. Sebabnya al haq adalah daripada Allah dan Allah kekal selama – lamanya, manakala kebatilan adalah daripada syaitan dan sekutunya dan semuanya tidak kekal dan bersifat sementara walaupun kelihatan gagah dan hebat.
Oleh kerana Islam datang daripada Allah, maka Islam adalah al haq atau kebenaran. Apabila Allah hanya mengiktiraf agama Islam sahaja sebagai ugama di sisinya, maka semua ugama, ideologi dan fahaman selain Islam adalah kebatilan kerana ia bukan daripada Allah. Maka Islam bersifat kekal manakala selainnya adalah bersifat sementara yang menunggu keruntuhan.
Daripada kejelasan tadi, Pas yang bergerak di dalam masyarakat dengan menyeru kepada Islam dan pemakaiannya di dalam seluruh aspek kehidupan memiliki tahap keyakinan yang tinggi dan ampuh bahawa mereka akan mencapai kemenangan dan akan memegang tampuk pemerintahan negara pada masanya dan tidak akan kalah kecuali ianya hanya bersifat sementara. Bagi Pas, belum menang adalah sunnah perjuangan, manakala kalah adalah sekadar perjalanan menunggu kejatuhan dan kematian kebatilan yang pasti dan mesti berlaku.
Ini adalah keyakinan yang hebat. Ia adalah kekuatan yang sukar dilumpuhkan kerana ia tegak daripada keyakinan yang bersumberkan Islam dan kebenaran. Pakatan Barisan Nasional yang diketuai parti Umno yang telah memerintah negara dan tak pernah kalah semenjak negara mencapai kemerdekaan 50 tahun lepas telah melihat dan menjadikan Pas sebagai musuh utamanya yang cukup menggerunkan. Dalam tempoh itu, dengan pelbagai senjata dan jentera kekuasaan yang digunakan oleh mereka untuk menghancurkan Pas secara jahat dan rakus, mereka sepatutnya telah menguburkan Pas dalam lubang yang dalam dan kelam, tetapi mereka gagal dan mereka telah pun berputus asa selain terpaksa menerima Pas sebagai kekuatan yang sangat bersedia untuk mencabar kekuasaan mereka, seterusnya menguburkan mereka pula.
Bagaimana Pas membina kekuatannya adalah menjadi perkara pokok yang perlu dilihat dan diteroka jika anda cuba berusaha memahami dan mendalami kejayaan Pas untuk terus kekal di persada politik negara ketika parti – parti politik pembangkang lain, terutama parti – parti politik Melayu terus tersembam tumbang satu persatu atau tidak diyakini kekekalan dan kekuatannya untuk menghadapi tekanan dan kezaliman Umno yang memerintah negara secara tidak demokratik.
Memahami kekuatan yang mengakar umbi dalam Pas sejak sekian lama akan banyak membantu anda untuk memahami falsafah dan hala tuju perjuangan Pas dalam kancah politik negara, bahkan akan memanjangkan ufuk minda di dalam memahami erti perjuangan Islam yang sedang meriah berkembang di seluruh dunia.
Saya melalui tulisan ini akan hanya menengahkan kepada anda satu kekuatan yang besar dan jitu yang telah ditanam dan dicernakan oleh Pas dengan jayanya di dalam memastikan kelangsungannya sebagai parti yang akan terus hidup segar di dalam kancah perjuangan politik negara yang sukar dan penuh kebobrokan ini.
Ia adalah satu perintah dan hukum bersifat syar’ie dan aqli yang diterap sedalamnya di dalam hati sanubari kalangan ahli dan para penyokong Pas bahawa mengundi Pas adalah wajib hukumnya di sisi agama. Wajib agama bererti tak mungkin ditinggalkan dan bukan bersifat pilihan dan main – main. Ia bererti Pas mesti diundi, mesti didukung, dengan terpaksa dan dengan sesungguhnya. Ia bererti, di sisi agama, adalah salah untuk tidak mengundi Pas dan amat bersalah jika mengundi parti yang menentang Pas.
Dengan pengarahan berdaya hukum agama ini, ahli Pas mencerap kefahaman yang jitu bahawa perjuangan politik Pas adalah perjuangan ugama yang merupakan sambungan rantaian perjuangan suci dan bersifat samawi yang telah dibawa oleh Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam dan para rasul sebelumnya.
Bagaimana pula Pas memberi pengajaran ini daripada sudut hujjah dan dalil sehingga masyarakat Islam telah menerimanya sebagai satu hukum yang benar dan tanpa pilihan? Saya menjemput anda meneliti ringkasan penghujahan berikut:
1) Bahawa memilih Islam dalam politik bernegara adalah wajib.
Islam adalah ugama yang bersifat syumul dan menyeluruh. Maka Islam perlulah diterima secara menyeluruh sebagaimana asalnya. Menerima, mengamal dan menyeru kepada Islam yang bersifat juz’ie, terpecah – pecah dan terhad adalah ditolak bahkan satu jenayah berat di sisi Allah yang menjanjikan kehinaan di dunia dan azab yang pedih pada hari akhirat. Ini kerana ia secara langsung merosakkan kesempurnaan ugama dan melorong ke arah terjadinya fitnah dan salah faham terhadap agama Allah.
Justeru umat Islam wajib menerima Islam di dalam setiap sektor kehidupan di dalam membina syakhsiah diri sebagai seorang hamba Allah yang taat. Oleh kerana kehidupan seorang hamba Allah itu tersirat di dalam kejayaannya melaksanakan peranannya sebagai khalifah Allah yang menjaga muka bumi ini daripada kerosakan dan penderhakaan, maka sektor politik adalah antara sudut yang paling menyerlah yang disentuh oleh Islam.
Melalui Al Quran, Allah menengahkan kisah – kisah pertentangan para anbiya’ dengan penguasa dan ketua negara masa itu. Begitulah kisah rasul – rasul Ulul ‘Azmi menghadapi kekuatan Namrud, Firaun dan selainnya. Begitulah juga payah jerih perjuangan RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Baginda menolak tawaran kompromi oleh penguasa Mekah masa itu untuk bernegara dengan pakatan sistem jahiliyyah dan Islam, terpaksa berhijrah ke Madinah, melancarkan jihad, mematahkan pakatan jahat politik tentera Ahzab, memasuki kembali Mekah dengan panji kemenangan politik dan terus – menerus sampai wafatnya mengagendakan perluasan dan pembukaan Islam di seluruh Tanah Arab dan luarnya.
Maka jelaslah betapa Islam datang untuk memerintah dan bernegara bahkan menyatukan politik manusiawi. Dengan kejelasan inilah Pas menggerakkan kefahaman di kalangan rakyat tentang hakikat politik Islam yang wajib diterima dalam kehidupan bernegara secara agresif dan berterusan.
Melalui kefahaman hukum yang bersebati ini, anda pasti dapat merasakan bagaimana para ahli dan penyokong Pas telah didoktrinkan dengan kefahaman politik yang tinggi. Ia adalah satu hukum agama bahawa berpolitik adalah wajib dan memilih Islam untuk politik dan pemerintahan adalah wajib jua.
Pendoktrinan hukum ugama ini telah berjaya melahirkan rakyat yang tegar acuan politik Islamnya. Ia juga meninggalkan Umno jauh ke belakang di dalam memahamkan rakyat dengan kewajiban berpolitik. Politik Umno adalah bersifat duniawi, sekular, merebut peluang dan sekadar satu kerjaya.
Justeru lahirlah dalam Pas ahli dan penyokong yang istiqamah, tekun memahami politik, tidak mudah berpaling tadah, bahkan hidup matinya adalah untuk cita – cita politik Islam. Maka, bagaimana boleh dibayangkan ajal dan kubur untuk Pas?
Luruskan saf
Luruskan hati
Luruskan langkah
Luruskan..
Kita sudah di laluannya
Jalan yang lurus
……………
Nik Mohamad Abduh
5 Syawwal 1428
Salam Kamunting,
Selamat hari raya ‘Iidil Fitri. Maaf zahir dan batin. Jika boleh, untuk 2 bulan akan datang saya nak terus ucapkan selamat hari raya ‘Iidil Adha pula dan maaf zahir dan batin juga.
Banyak sangat yang menarik tentang hari raya yang kita rayakan di negara kita ini, bercampur aduk antara ugama dan adat, suruhan dan larangan serta baik dan buruk. Saya fikir eloklah untuk saya yang sudah kekenyangan dengan macam – macam makanan dan kueh raya yang dah disumbat buang dalam perut ni memulakan hidup pasca raya ni dengan dua tiga perkara sebagai iktibar buat tatapan dan renungan bersama.
Anda mungkin tengah mencongak bila nak raya puasa enam pula. Saya pula tengah fikir bila pula nak mula qadha puasa Ramadhan yang ditinggalkan dek keuzuran baru – baru ni. Rasa macam ambil resmi orang perempuan pula. Lepas raya, qadha. Anda pula lepas raya, raya lagi. Orang KL dengar khabar, rayanya sampai lebih sebulan! Banyak sungguh duit orang KL. Bersungguhnya nak mohon maaf zahir dan batin, sampai seminggu cuti pun tak genap.
Teruk sangat ke orang kat sana bertengkar, berebut kaut rezeki sampai tak sempat nak solat sampai sebulan bermaafan? He he.. Suka hatilah. ‘Iidul Fitri ini raya ugama, bukan raya mak bapak kita buat macam sambut merdeka tu. Kena kita buat, Allah terima. Tak kena, nah, lantak kamulah nak raya jenis dan pesen manapun..
‘Iid ertinya kembali dan ulang. Fitri ertinya fitrahlah. Semulajadi. Adha pula maknanya korban. Korban lembu?! Allah memaksudkan setiap tahun kita raikan sambutan ulang tahun yang kembali. Ramadhan dan Syawwal berulang – ulang datang dan pergi. Begitulah Zulhijjah dan musim haji di Mekah.
Sambut apa sebenarnya? Sambut kembalinya diri kepada fitrah. Fitrah yang mengenal Allah dan bersyukur kepadanya. Sambut kembalinya ingatan kepada sejarah pengorbanan hamba demi cinta tuhannya sehingga sanggup menyembelih anaknya ( Nabi Ibrahim dan Ismail ) demi cinta tuhan. Fitrah cinta tuhan kembali dengan puasa 30 hari sepanjang Ramadhan. Hebatnya isi Ramadhan! Kemudian kembali lagi ingatan buat perjalanan di dunia yang mendesak dengan hidup berkorban demi sebuah cinta abadi di dunia dan akhirat.
Nampakkah erti raya jenis ugama yang Allah mahukan? Nampak tak bezanya dengan raya jenis yang kita hidupkan di tempat kita? Sesetengah kita.
Bacalah Al Quran, ayat – ayat kefardhuan puasa dalam surah Al Baqarah. Selepas sempurna bilangan Ramadhan, Allah menyuruh kita bertakbir. “Dan hendaklah kamu semua membesarkan Allah ( bertakbir ) atas sebab hidayat yang diberikanNya kepada kamu dan semoga jadi orang yang bersyukur.”
Mana rayanya? Raya itu pada takbir itulah. Allah tidak menyebut, ‘berayalah kamu,’ sebaliknya, ‘bertakbirlah kamu!’ RasuluLlah menamakannya sebagai raya, sedang Allah mengisytiharkan raya dalam Islam itu dengan menyebut isi dan maksud tertinggi sebuah perayaan dalam Islam.
Rayakan kedua – dua ‘iid itu dengan membesarkan Allah melalui laungan dan ulangan zikir takbir pada malam dan siang hari raya. Rasakan kebesaran Allah yang menunjuki dan menjadikan kita insan yang mengenang jasa dan budi dalam kehidupan yang penuh keliru ini. Isi utama raya ialah takbir Allahu Akbar!! Bukanlah isi raya sebenar hanya pada kueh muih dan ketupat rendang, atau mercun dan bunga api, atau hiburan dan riang ria, atau rumah terbuka dan ziarah keluarga dan taulan, atau balik kampung dan salam maaf zahir dan batin.
Perhatikan di sudut mana kita letakkan takbir raya dan Allah pada hari raya. Kemudian bandingkan betapa kita mendahulukan apa yang saya sebut tadi dalam raya kita. Takbir hanya sekadar di masjid sementara jam 9 pagi saf penuh, lalu kita solat dan mendengar khutbah. Habis langkah sembah itu, caulah kita salam, salam, salam… maaf, maaf, maaf makan, makan, makan…dan sumbat, sumbat,sumbat! Paling haru, make up tebal – tebal untuk ziarah kubur. Ziarah mak bapa, tapi jangan sampai teringatkan mati! Susah nak beraya sakan.
‘Allahu Akbar’ hilang sehilang – hilangnya. Pada azan lima waktu ada takbir, tapi apa erti selain panggilan masuk waktu solat, bukan panggilan untuk mendirikan solat dan kembali pada Allah.
Jika anda perhatikan pada budaya yang kita hidupkan dalam sambutan raya kita ini, ia lebih mendekati bidaah yang ditambah – tambah berbanding sunnah dan kehendak ugama. Kita mungkin tidak mudah menolaknya sebab ia telah membudaya dalam masyarakat dan sanak keluarga. Hanya jika kita seorang yang menginsafi, khusyu’ dan ingin kembali, maka kita akan mampu menukar gaya dn rentak raya kita pada diri, keluarga dan sekitar.
Harapkan kerajaan hadhari memperelokkan, hah, tunggulah bulan aduhai pungguk!
‘Allahu Akbar’ ada dua kumpulan yang suka melaungkannya. Pertama, persatuan tok – tok bilallah. Kedua, persatuan orang – orang Pas! Dilema tok bilal ialah siapalah nak mari sembahyang ni? Dilema orang – orang Pas ialah bilalah Umno nak takutkan Allah?!
Ada orang jadi pekak serta merta bila dengar azan. Bila azan habis, serta merta suara syaitan pun dia boleh dengar. Ada orang jadi semakin keras hatinya bila dengar takbir dilaung beramai – ramai. Bila dengar ‘ hidup Melayu ‘, huh, terlonjak – lonjak riang bagai.. ( hah, bagai apa? Bubuh sendiri. )
Isteri saya, masa hari penamaan calon pilihan raya kecil DUN di Pengkalan Pasir tahun lepas, masa lalu – lalu dekat kumpulan Umno yang tengah berbalas – balas tembakan dengan kumpulan Pas dengan slogan ‘hidup Melayu’nya dan dikir barat, telah terdengar seorang budak puteri Umno bersungut pada kawan sebelahnya, ” Eh, malulah aku, orang Pas dok takbir dan baca zikir ( wahdah ), kita pula dok melalak berdikir!”
Hah, kalau jumpa budak perempuan ni, rasa berkenan di hati nak ambil buat nombor dua aku. He, he. Kesian Puteri Umno. Kecil – kecil lagi dah diajak untuk sesat – sesat bersama bapak – bapak tua.
Jom, pancing puteri Umno! Keh keh ( Lawak hari raya )
Begitulah hati manusia yang keras hatinya. Kalimah ‘ Allahu akbar ‘ yang sinonim dengan kehangatan beriman pada tuhan yang maha agung itu telah menjadi kalimah yang dibenci. Jika terpaksa menyebutnya, seperti pada hari raya, mereka menukarnya pada rentak dak maknanya sekali. Lagukan kalimah itu mendayu – dayu, kenangkanlah keluarga yang jauh di kampung! Laa, itulah makna Allahu akbar di sisi Umno!
Lepas raya haji nanti atau sebelumnya juga ( pendapat semasa ahli nujum politik yang dah semakin pudar ), akan ada pilihan raya umum pula. Kalimah takbir dan laungan membesarkan nama Allah akan beralih dari masjid ke jalan – jalan raya seluruh negara pada hari penamaan calon. Pelaungnya adalah orang – orang Pas. Pembencinya adalah orang – orang Umno.
Jika anda berkata, sama saja orang Pas dan orang Umno, alangkah buruknya penghakiman anda. Antara kelebihan manusia kurniaan Allah selain bebas memilih adalah kebijasanaan membezakan antara yang tak sama. Antara hak dan batil.
Gunalah otak kalau tak nak guna akal!
Salam Kamunting dan salam Ramadhan,
Semoga Allah merahmati kita di bulan Ramadhan. Semoga kita memperolehi bahagian yang besar daripada kelebihan Lailatul Qadar yang dijanjikanNya. Semoga kita diberi kesempatan untuk menikmati kemenangan menyempurnakan ibadah kepadaNya di bulan yang mulia ini bersama orang – orang yang dikurniakan kemenangan olehNya.
Hari Raya Idil Fitri bakal menjelang dengan persiapan sesempurnanya oleh setiap kita. Ia adalah hari kemenangan untuk setiap kita yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan menyempurnakan segala tuntutannya. Kita disyara’kan bertakbir di pagi raya atas hidayah yang dikurnia tuhan, kemudahan dan menjadikan kita daripada kalangan hambanya yang bersyukur ( Maksud Al Baqarah:185).
Betulkah semua kita telah mencapai kemenangan? Kalau dilihat dan diukur pada persiapan dan kegembiraan semua orang di pagi raya, maka jawabnya ya. Tetapi Allah menetapkan bahawa kemenangan adalah untuk hambanya yang dipilihNya sendiri, bukan daripada gambaran senyum tawa yang terukir di setiap wajah yang bertakbir pada pagi raya.
Ertinya kita bergembira menyambut kemenangan yang belum lagi diisytiharkan dan dimaklumkan oleh penganjur sebenar iaitu Allah, tuhan yang menunjuki. Tiada salahnya tindakan kita tersebut kerana begitulah sunnah yang berjalan. Sah dan tidak sah adalah hukum di dunia, tetapi perkiraan sebenar adalah pada kemaqbulan di sisi Allah. Tiada yang tahu kecualiNya. Berkata seorang tokoh sufi, ” Janganlah kamu terhibur dan tertipu dengan banyaknya ketaatan yang kamu lakukan. Sesungguhnya ‘ibrah ( perkiraan ) adalah pada maqbulnya amalan kamu di sisi Allah.”
Maka, dalam ibadah dan doa kita, jelaslah erti kalimah ‘semoga’. Semoga Allah memaqbulkan.
Yang pasti daripada tujuan bertakbir di pagi raya sebagaimana disebut di dalam ayat di atas adalah bahawa kemenangan adalah kerana mendapat hidayat dan menjadi hambanya yang bersyukur. Mudahnya Allah memberi isyarat kepada hambanya yang beriman. Isyarat apa? Bahawa mereka yang terus terpesong hidupnya daripada hidayat dan terus mengingkari Islam, mereka itulah orang – orang yang menyambut kemenangan yang palsu di pagi raya. Kemenangan yang diumum sendiri! Macam seorang diktator mengumum kemenangannya dalam sebuah pilihan raya kotor.
Di negara kita, yang terus hidup tanpa hidayah dan tanpa syukur sejak berpuluh tahun – walau puasa berpuluh tahun juga – adalah Umno. Maka, bergembiralah jika anda bukan ahli Umno! Takbirlah kuat – kuat di pagi raya! Jika anda ahli Umno, keluar Umno pada pagi raya adalah jawaban.
Itu jika anda mahukan kemenangan sebenar. Keluar Umno adalah hidayat dan syukur. Jika tidak, dulu, kini dan selama – lamalah kalian dalam kesesatan/Umno.
Sebelum kita melangkah kaki pada pagi Syawwal, eloklah kita tafakkur melihat kekalutan yang menafikan erti sebuah kelurusan hidup di dunia ini:
1) Adik Nurin Jazlin
Negara kita menangis kerananya. Adik kita ini telah kembali kepada penciptanya dan pencintanya jua. Dia gembira di sana di sisi tuhannya dan kita pula akan terus menangis. Kenapa? Kerana adik kita ini bukan yang pertama dan bukan pula yang terakhir. Kenapa? Kerana pembunuh kejam itu bukan seorang. Ia adalah beribu – ribu dan di mana – mana di setiap ceruk. Ia mungkin ada di Kelantan juga!
Negara kita sakit. Sakit yang tenat. Negara kita rosak. Rosak yang teruk. Ia sedang membenihkan benih dan melahirkan kelahiran yang teruk dan tenat sekali jiwanya. Ia akan terus membunuh dan membunuh dengan kejam.
Tanyalah kenapa ia membenih dan melahirkan pembunuh? Biar saya jawab segirang dan sekuat saya bertakbir pada pagi raya. Kerana ayahnya dan ibunya yang melahirkan adalah Umno. Umno yang sakit dan Umno yang rosak. Umno tanpa hidayat tuhan. Masukkan ini dalam kocek anda dan ganyangkannya di pagi raya dengan kuat – kuat bertakbir di masjid pada pagi raya. Semoga anda faham tanpa diselang syak dan ragu.
2) Tun Ahmad Fairuz dan VK Lingam
Negara kita bergelap menuju wawasan yang sememangnya dibina di tepi jurang dalam yang menggerunkan. Kita ketakutan nanti terhumban ke dalamnya. Semuanya kerana isu kehakiman yang telah patah tiang dacingnya. Bagaimana kita mahu menimbang, mengukur dan menghukum tanpa tiang mizan yang kukuh?
Bagaimana kita mahu tegak jika telah patah tulang belakang? Bagaimana keluarga mahu bahagia jika si ayah telah terhoyong – hayang kemabukan? Bagaimana bangunan mahu gah tersergam jika asasnya telah terhakis? Bagaimana negara mahu makmur saksama jika badan kehakiman telah runtuh.
Negara, asas binanya pada hukum dan undang – undang. Negara kita, dahlah hukumnya adalah bersumber thaghut dan syaitan tanpa Allah yang menunjuki, para penjaga dan pengawalnya pula adalah penjudi dan kaki broker murahan.
Tanyalah lagi kenapa jadi begini? Biar saya jawab segirang dan sekuat saya bertakbir pada pagi raya. Kerana Umnolah yang memasang gari dan merogol badan kehakiman. Ia membiarkannya diperkosa oleh siapa – siapa saja yang berminat menodainya. Bayangkan nama Pak Lah dikaitkan dalam pita itu?
Anak dirogol! CCTV membuktikan perogol adalah bapa sendiri. Mampus.
3) Dr Syeikh Muszaphar Shukor dan Capt Dr Faiz Khaleed
Selamatlah kalian berdua dalam penerokaan dunia yang hebat dan pada puncaknya. Rakyat Malaysia berbangga dengan kamu berdua. Allahlah yang membenarkan dan memberi cabaran kepada penerokaan kamu sebelum kerajaan kita. Lihatlah kebesaranNya di angkasa sana. Tiada sesuatu kecuali Allahlah pencipta dan penekunnya. Maha suci Allah yang membawa hambaNya ke lapis langit ke tujuh dalam satu malam yang penuh kebesaran.
Habis duit kami berpuluh juta untuk kamu berdua!! Tapi, adakah kami marah dan berang? Tidak dan sama sekali tidak! Jika tak cukup, biar kami tambah seringgit demi seringgit dari kocek kami yang dah lusuh dan tembus ini.
Habis berpuluh juta bukan bererti membazir. Membazir ertinya saudara syaitan. Adakah terbang ke angkasa adalah saudara syaitan? Tidak.
Membazir ertinya Umno. Adakah Umno saudara syaitan jadinya? Ya.
Adakah anda masih ragu – ragu bahawa Umno sedang membazir, menjarah dan merompak wang negara? Allah menunjuki anda di bulan Ramadhan. Pintalah keterangan dan hidayat daripadaNya.
4) Adik Tee Hui Yee
Negara tersentuh dengan rasa simpati yang mendalam kerananya. Walaupun berlainan bangsa dan ugama, nyawa adalah sama mahal harga dan nilainya. Allah menyebut, menghidup satu nyawa adalah seolah – olah menghidupkan manusia semuanya. Membunuh satu nyawa adalah seolah – olah membunuh semua manusia. Tiada beza dan tiada tinggi dan rendah sesama yang bergelar insan. Selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah hidayat tuhan akan bertandang dan pergi jua. Setiap kita nilainya adalah pada hembusan nafas kita yang terakhir. Laa ilaaha ilLallaahu..
Semoga kebesaran kisah yang terpapar secara live itu memberi kesedaran yang sukar dilupakan. Berkasih sayanglah sesama kita dan berkorbanlah demi kasih sayang.
Malangnya, Umno terus menggunakan peluru hidup untuk memberitahu bahawa kamu rakyat tiada bernilai dan tiada sebarang erti sehinggalah kamu adalah Umno! Barua Yahudi di bumi Malaysia tercinta!
5 ) Politik kampus
Saya sempat ditanya ayahanda pasal keputusan pilihan raya kampus baru – baru ini. Saya menjawab yang saya pasti sedangkan hati saya bagai terusik juga dengan pertanyaanya. Ayahanda yang dah tua pun masih ambil tahu cerita budak – budak U? Hujung perbualan beliau memberi patinya. Katanya, ” Biarkan Umno terus main jahat. Mudah sikit anak – anak mahasiswa faham betapa Umno itu jahat sokmo.”
Maka, selamat berjuanglah kamu wahai adik – adikku di kampus. Belajarlah untuk sebuah perjuangan yang masih panjang dan banyak onak dan durinya. Bergeraklah mencipta kemenangan abadi dengan Islam sebagai tuah kehidupan.
Terima kasih kepada Pas yang perihatin dengan politik kampus.
Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri. Maaf zahir dan batin. JEMPUT KE RUMAH TERBUKA PADA HARI RAYA PERTAMA DI PULAU MELAKA.
ALLAAHU AKBAR WA LILLAAHIL HAMD.
Politik di sisi para hukama’ ( ahli falsafah )
Sebagaimana para ulama Islam – fuqaha’, usuliyyin, mutakallimin – memberi perhatian kepada perihal siasah, begitu juga para ahli falsafah Islam. Mereka seperti Abi Nasr Al Farabi ( 339H ) yang digelar sebagai guru kedua ( al Muallim ath thani ) selepas Aristotle dalam dunia falsafah. Beliau telah menghasilkan beberapa buku yang masyhur, antaranya Risalah as Siasah dan Al Fusul al Madaniyyah. Sesetengah pengkaji menggelar beliau sebagai ‘ bapa falsafah politik Islam ‘ kerana perbincangannya yang meluas dalam hal politik.
Selepas beliau, datang pula Abu Ali Ibnu Sina ( 428H ), ahli falsafah agung yang terkesan dengan pemikiran Al Farabi. Cumanya beliau tidak memberi tumpuan khusus dalam isu politik sebagaimana juga perihalnya dalam tajuk – tajuk lain. Perbincangannya tentang politik banyak merata lewat bukunya yang masyhur, Asy Syifa’. Menurut beliau, politik ialah pentadbiran yang elok dan pembaikian kerosakan ( husnu at tadbir wa islah al fasad ). Beliau berpendapat para pemerintahlah yang lebih patut menekuninya walaupun politik tidak hanya berlegar di kalangan pemegang kekuasaan sahaja, bahkan meliputi semua orang walau apa kedudukannya dalam masyarakat.
Apa pun, ahli falsafah dalam kelompok ini lebih melihat daripada pandangan falsafah aqliyyah yang menerima kesan daripada falsafah Yunani. Kita tidak mendapati mereka memiliki thaqafah Islamiyyah yang mengikat mereka dengan usul dan sumber syariah Islamiyyah.
Itu melainkan seorang ahli falsafah Islam yang terbilang iaitu Abil Walid Ibn Rusd Al Hafid ( 595H ). Beliau ketika mengupas persoalan politik, akan berpegang dan bertolak daripada sumber syariah yang menandakan keistimewaannya menghimpunkan antara syariah dan falsafah.
Politik di sisi ahli falsafah akhlak
Wujud segolongan ahli hikmat ( falsafah ) yang cukup hebat dalam pandangan falsafahnya tetapi bergabung dengan pandangan syariat Islam sekalipun turut terkesan dengan falsafah Yunani. Saya sebutkan dua antara mereka:
Pertama, ahli falsafah akhlak terkenal iaitu Maskawaih atau kadang – kadang digelar Ibnu Maskawaih yang melalui kitab falsafah akhlaknya, Tahzibul Akhlaq wa Tathirul A’raq, kami melihatnya bersumberkan agama Islam seperti katanya mengenai kerajaan:
( Dan orang yang menjalankan tugas sunnah ini dan tugas – tugas syara’ yang lain sehingga tidak hilang daripada kedudukan asalnya adalah al imam. Kerja imam adalah kerja seorang raja. Orang – orang terdahulu tidak menamakan seseorang itu sebagai raja melainkan orang yang menjaga ugama dan bersedia melaksanakan martabat, arahan dan larangannya. Adapun orang yang mengelak daripada menjaganya, dia hanya dinamakan penjarah (mutaghallib ) yang tiada keahlian untuk diberi nama raja/pemerintah ( al malik ). Ini adalah kerana agama merupakan undang – undang ilahi yang mendorong manusia dengan pilihan sendiri ke arah kebahagiaan yang tinggi. Raja adalah penjaga undang – undang ilahi ini yang menjaga manusia. )
Kedua ialah al Imam al Hasan bin Muhammad bin Al Mufaddal yang dikenali sebagai Ar Raghib bin Al Ashfahani, pengarang kitab ‘ mufradaatul Quran ‘ dan diiktiraf kelebihannya di dalam ulum Al Quran. Beliau lebih dekat kepada agama berbanding falsafah sekalipun terpengaruh juga dengan pemikiran falsafah asal. Beliau adalah ahli falsafah ugama.
Beliau telah menyentuh perihal politik di dalam bukunya yang unik, ‘Az zari’ah ila makarim asy syariah’ sebuah kitab mengenai falsafah akhlak. Katanya, ( Dan siasah terbahagi dua. Pertama, siasah individu terhadap dirinya, tubuh badannya dan yang berkaitannya. Kedua, siasahnya terhadap orang lain dan masyarakatnya. Orang yang tidak layak mentadbir ( siasah ) dirinya tidak layak juga mentadbir orang lain. Kerana itu Allah mencela orang mencalonkan dirinya sendiri untuk mentadbir orang lain, lalu dia menyuruh kepada perkara makruf dan mencegah daripada perkara munkar, sedangkan dirinya sendiri tidak terdidik ke arah itu. Maksud firman Allah ” Adakah kamu menyuruh manusia melakukan kebajikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri walhal kamu membaca Al Kitab? Apakah kamu tidak berakal?” Al Baqarah:44 )
( Maka dikatakan ( mauquf daripada Umar ), ” Tuntutlah ilmu/tafaqquhlah sebelum kamu memimpin/dilantik untuk memimpin” sebagai peringatan bahawa kamu tidak layak memimpin sebelum kamu mengetahui ilmu hukum ( fiqh ) dan juga siasah umum. Juga kerana antara pentadbir dan yang ditadbir ( rakyat ) adalah umpama bayang dan empunya bayang. Adalah mustahil bayang lurus sedang empunya bayang adalah bengkok. Bagaimana rakyat memperoleh petunjuk sedang pemerintah sendiri sesat? Maksud firman Allah ” Wahai orang yang beriman, janganlah sesekali kamu mengikuti jejak – jejak syaitan. Barang siapa yang mengikuti jejak – jejak syaitan maka sesungguhnya syaitan menyeru kepada kejahatan dan munkar.” ( An Nur:26 ) Dia menegaskan bahawa adalah mustahil, dalam keadaan mengikut syaitan, seseorang boleh menyeru kecuali kepada kejahatan dan munkar juga. )
Politik di sisi ahli falsafah sosial, Ibni Khaldun
Sayugia di sini kami menengahkan pandangan seorang ahli falsafah sosial, bahkan hakikatnya, beliaulah pengasas ilmu sosial, sebagai mana dinyatakan di dalam buku muqaddimahnya, iaitu Abdul Rahman Ibnu Khaldun (808H). kenyataannya itu adalah mengenai kesan ugama di kalangan orang Arab di dalam membina sebuah kerajaan dan meneguhkannya, sedangkan pandangannya terhadap orang arab agak buruk, juga pandangannya bahawa orang Arab dekat kepada sifat buas berbanding kemajuan dan hadharah. Pun begitu beliau tetap menegaskan bahawa orang Arab tidak memperolehi sebuah kerajaan kecuali atas sifat ugama, iaitu nubuwwah dan wilayah Allah ataupun secara keseluruhannya adalah kerana kesan ugama yang besar.
Katanya, ( Sebabnya adalah kerana mereka dengan sebab sifat liar mereka itu menjadikan mereka satu umat yang cukup payah untuk saling tunduk sesama mereka dengan sebab kebengisan dan kebencian, jauh himmah dan saling merebut kuasa. Maka sukar sekali ditemui penyatuan hati mereka.
Apabila datang ugama dengan nubuwwah (kenabian) dan wilayah Allah, ia mencabut sifat buruk itu dari diri mereka. Hilanglah sifat takabbur dan berebut kuasa. Dengan itu menjadi mudahlah ketundukan dan penyatuan mereka. Semua itu disebabkan ajaran ugama yang menolak sifat bengis dan benci, dengki dan saling berebut… )
Ibnu Khaldun juga menulis satu fasal khas yang menegaskan bahawa dakwah diniyyah telah menambahkan lagi kekuatan negara ke atas kekuatan asabiyyah yangs sedia ada. Katanya, ( Sebabnya – sebagaimana telah disebut – adalah kerana acuan ugama tersebut telah menghilangkan sifat suka berebut dan saling berdengki yang wujud di kalangan ahli asabiyyah, lalu melorongkan tujuan kepada kebenaran. Apabila terjadi pencerahan itu pada diri mereka, maka tiada lagi penghalang kerana arah tuju adalah satu dan tuntutan adalah sama di antara mereka. Golongan kuffar masa itu pula yang turut merebut kerajaan – sekalipun mereka lebih ramai -, tujuan mereka terpecah – pecah dalm kebatilan. Mereka takut mati. Maka mereka tidak terlawan umat Islam sekalipun mereka lebih ramai. Mereka kalah dan dipercepatkan lagi kekalahan itu dengan sebab kemewahan hidup mereka sebagaimana kami telah sebutkan sebelum ini.
Ini sebagaimana terjadi dalam kemenangan – kemenangan ( futuhaat ) yang dicapai di awal Islam. Jumlah tentera Islam di dalam perang Al Qadisiyah dan Yarmuk adalah sekitar 30,000 lebih dalm setiap satunya. Manakala jumlah tentera Parsi di Al qadisiyyah adalah lebih 120,000 orang dan tentera Hercules di Yarmuk pula adalah 400,000 orang ( menurut Al Waqidi ). Umat Arab tidak kalah dengan jumlah besar itu bahkan mereka mengalahkan musuh dalam peperangan tersebut. )
Ibnu Khaldun memberi tumpuan kepada perihal siasah semasa – tidak sebagaimana Plato dan Al Farabi – dan beliau berusaha menyelongkar hukum semulajadi ( sunnah alam ) yang menghukum umat dan masyarakat seluruhnya. Beliau adalah bapa ‘ pemangunan politik’ ataupun disebut ilmu sosio politik. Beliau, dengan pengiktirafan orang barat sendiri adalah oarang pertama yang menulis mengenai ilmu ini.
Salam Kamunting dan salam Ramadhan,
Kekanda saya, Nik Adli bebas daripada kongkongan ISA, akta bawaan otak bawah tempurung pemimpin Umno yang menjarah negara dengan buas dan menjengkilkan. Terbanglah engkau kekandaku bagai burung yang dilepaskan dari sangkarnya yang menjerat. Allah membebaskan kau dan rakan – rakan selepas 6 tahun dicakar kuku besi pemerintah zalim yang memusuhi tuhannya sendiri. Firaun adalah pusaka syaitan untuk manusia syaitan!
Nikmatilah rasa cakaran itu. Ia adalah nikmat senang selepas susah, luas selepas sempit dan bahagia selepas derita. Ia nikmat duniawi sebelum engkau menuntutnya seegomu di akhirat nanti daripada penjarah yang menjarahmu. Aku bangga menjadi adindamu dan rakan kepada rakan – rakanmu. Engkau betul – betul anak ayah!
Beliau mengkhabarkan berita gembira ini semasa saya di katil di hospital 10 hari lepas. Ah, susah senang beriringan! Selambanya wajah beliau dan tanpa riak dendam yang berkesumat. Itulah Nik Adli jika anda bertanya, siapa Nik Adli? ISA tanpa parut yang ditakuti, bahkan menjadi kebanggaan yang sukar diterjemahkan kecuali melalui pancaran iman yang sungguh jernih kilasannya.
Pergi mampus ISA dengan noda dan dosa yang membusuk bersama Umno dan penghuninya! Aku mendoakan dan seluruh manusia yang bukan Umno mendoakan kesejahteraan untuk mangsa tahanan ISA yang masih merengkok mendekam di sebalik jeriji kezaliman thaghut. Semoga Allah membahagiakan kalian dengan iman dan taqwa yang terbekal dalam dulang emas buat kalian.
Tuhanku, gantikan suami yang terkurung, bapa yang tergari dengan Engkaulah sebagai Wali isteri dan anak – anak yang menanti di pagi Syawwal. Bahagiakan mereka dengan janjimu untuk suami dan mereka sendiri. Hodohkan wajah mereka yang menyokong ISA walaupun mereka bergelar ulama yang meleret – leret bintang dan pangkat duniawinya. Merekalah seburuk – buruk wajah yang layak dipandang seburuknya. Merekalah fitnah sebelum datang fitnah dajjal!
Anda tahukah betapa ISA memunahkan ceria hidup sebuah kebebasan pemberian Allah untuk manusia di bumi Malaysia ini? Anda tahukah betapa ISA menjahanamkan rasa bahagia dan sukacita kurniaan tuhan terhadap insan yang memilih untuk menjunjung perjuangan menegakkan kebenaran? Anda tahukah betapa ISA menghiris dan merentap hati seluruh keluarga mangsa yang dipisahkan sehinanya lewat jeriji besi kesombongan dan takabbur yang melampau daripada suami dan bapa yang mendekam lama membilang hari perhitungan? Anda tahukah betapa ISA membunuh izzah dan jati diri umat Islam seluruhnya? Anda tahukah betapa ISA memburukkan nama agama Islam di mata masyarakat bukan Islam? Anda tahukah betapa meredhai akta zalim ini adalah kecelakaan bertimpa – timpa ke atas negara tercinta ini?
Apa anda tahu tentang ISA jika anda masih rasa segar dan tiada rasa simpati jika disebut rasa gundah dan rasa belas terhadap si ibu yang menyambut lembaran Syawwal sedang si anak menarik baju si ibu bertanyakan, “Ummi, bila abi mahu pulang? Mengapa abi dipenjarakan?” Lalu si ibu dalam gerimis air mata mengusap kepala anak dan terus menipu dan menipu demi mencurah secangkir rasa syahdu dan ceria di wajah permata suaminya di pagi raya yang tempang.
Bergalaklah kamu wahai Pak Lah dan kuncu – kuncumu yang keras mengering jiwa dan hati mereka dan bergelak ketawalah di pagi rayamu dengan juadah yang kosong daripada keberkatan dan kebaikan. Allah dan para malaikatnya mendodoikan kalimat – kalimat kesejahteraan buat hambanya yang teraniaya. Teraniaya oleh keegoanmu yang terlarang dan terlaknat!
Pada bulan yang mulia ini, muliakan diri kita dengan menjadi pejuang yang menjeritkan kalimah – kalimah yang mengecam ISA dan mencacinya. Laungkan kebencian terhadap ISA di mana – mana sampai si pekak badak menjadi sembuh dek mendengarnya dengan kejelasan buat pertama kali.
Khabarkan isteri anda saat anda bersenggama di katil empuk tenggelam dalam dunia keseronokan bahawa ISA akan menjahanamkan senggama kita. Biar senggama kalian menjadi sejuk dan beku dihujani tempias kebencian yang meluap terhadap ISA. Ceritakan pada anak – anak anda bahawa ISA akan menghalang mereka menaiki kereta bersama ayah dan ibu untuk sebuah riang ria cuti – cuti Malaysia. Biar meluap -meluap kemarahan dan ketakutan mereka.
Ajarkan mereka membenci Umno sebagaimana bencinya mereka dicampak ke dalam api yang panas. Kemudian suruh mereka khabarkan kepada kawan – kawan mereka akan kejahatan dan kezaliman ISA dan Umno. Suruh anak – anak menyuruh kawan – kawan mereka memberitahu ayah – ayah mereka kejahatan ISA sampai malu ayah – ayah mereka yang masih ceria dan bahagia di sebalik kesempitan hidup keluaraga mangsa ISA.
Semoga Allah melipat gandakan amalan mereka yang dizalimi. Bersamalah membela mangsa kezaliman dan berbahagialah kerana menjadi pejuang menentang kezaliman. Allah bersama pejuang.
Salam Kamunting dan salam Ramadhan,
Mana boleh i’tikaf di hospital! I’tikaf di masjid. RasuluLlah beri’tikaf di hujung Ramadhan ini di masjidnya sampai kewafatannya. Selepasnya para isteri baginda ummahatul mukminin menyambung amalan i’tikaf yang menjadi tanda kebesaran ibadat i’tikaf di bulan Ramadhan. I’tikaf bererti memotong hubungan dengan manusia dan kehidupan duniawi untuk mengarah kepada Allah dan akhirat sepenuhnya. Jika mampu, 24 jam sehari dan afdhalnya sepanjang 10 terakhir Ramadhan.
Tetapi saya beri’tikaf di hospital. Malam ni saya menulis di tepi isteri saya yang terlantar dah 2 hari di hospital pakar Perdana. Demam dan sakit kepalanya dah dekat seminggu. Alahai, awal Ramadhan saya masuk hospital dan isteri saya sepenuhnya bersama saya meringan kesakitan diri. Ini di akhir Ramadhan dia pula masuk hospital. Agaknya dah terpanah tajuk artikel saya sebelum ini, ‘susah senang beriringan’!
Kawan saya berseloroh, suami masuk hospital, layaklah isteri teman – temankan. Isteri masuk hospital, takkan suami nak jadi isteri pula? Saya jawab selamba, i’tikaf di hospital lebih afdhal untuk saya tahun ini. Betulkah?
Terima kasih Al Bazrah yang mendoakan untuk kesabaran saya. Kalaulah begitu di sisi Allah, oh alangkah beruntungnya menjadi muslim yang baik. Pahala mengalir dan terus mengalir menyejukkan kehidupan dan dagangnya di dunia. Harapnya saya menumpang tuah isteri saya pula. Tiada balasan ihsan selain ihsan juga. Tetapi betapa kerdilnya rasa diri menghadap jasa seorang wanita bergelar isteri.
Apa malunya saya mengkhabarkan betapa saya sering menangis menatap wajah isteri saat memerhatinya tidur melepas lelah berjasa pada saya, suami yang sering ketinggalan. Allah menyayangi wanita. Merekalah penghias utama syurga tuhan di akhirat. Merekalah huurun ‘iin dan ‘ainul mardiyyah’.
Dewan Pemuda Pas Pusat melalui Lajnah Tarbiyyahnya ( saya pengerusinya ) mengarahkan pemuda Pas kawasan menghidupkan malam 27 Ramadhan secara beramai – ramai dengan ibadat i’tikaf di sebuah masjid terpilih di setiap kawasan. Saya mengimpikan banyak kawasan yang akan melaksanakannya walaupun ada kesukaran kerana asingnya ibadat i’tikaf di kalangan kita di Malaysia.
Untuk menghadapi Umno yang menjadi musuh Islam nombor wahid di negara kita dalm pilihan raya akan datang, setiap pejuang Islam dengan pemuda di saf depan mestilah kukuh ikatannya dengan tali Allah. Allah memberi kemenangan dan pejuang menantinya dalam medan perang yang meruncing dan menggila dengan makar dan tipu daya musuh. ( Am abramuu amran fa inna mubrimuun. Wa makaruu makran wa makarna makra. Wa makaruu wa makaraLlaah waLlaahu khairul maakirin. Dengan keinsafan bahawa sesetengah ulama melarang sebutan Al Quran dieja dalam tulisan selain bahasanya yang asal, Arabiyyah.)
Sekurang – kurangnya, i’tikaf mencari Lailatul Qadr menemukan kita dengan keinsafan yang hebat. Tiada i’tikaf untuk pejuang Umno. Usahlah beri’tikaf dalam salah beri’tiqad (berakidah)!
Dalam kehidupan yang serba mencabar dan mengelirukan ini, semua orang perlukan kekuatan untuk menghadapinya. Layanilah apa – apa yang menguatkan diri dan jangan disepahkan ia di perjalanan ini. Keinsafan adalah antara kekuatan. Ia datang tiba – tiba dan jika kita tidak menyapanya dengan mulia, ia akan berlalu dan kita diharamkan daripada kebaikannya. Alangkah ruginya. Kesakitan mendatangkan keinsafan yang menyejukkan jiwa. Kepanasan yang memberi erti dan memasak sebuah kesejukan dan kedinginan dalam diri.
Mahu sahaja saya menyuruh ayahanda menjenguk Tun Mahathir di IJN membisikkan sesuatu yang mengusik jiwa Tun untuk menginsafi kehidupan duniawinya. Jasanya banyak untuk negara. Janganlah kebaikannya itu direntap keburukan perbuatannya di dunia ini di akhirat nanti. Jikalah Tun bertaubat kepada tuhannya atas kekasarannya terhadap Islam, maka Allahlah sebaik – baik pelindungnya di akhirat kelak. Kezaliman mahal sungguh bayarannya. Hanya Allah menjadi penebus.
Tun, masuklah Pas. Itulah sebaik – baik perisytiharan untuk rakyat yang lemah dan teraniaya! Tun telah menolak Islam Hadhari. Itu perisytiharan yang baik tetapi tanpa kejelasan yang menginsafkan!
Antara kekuatan adalah keazaman. Ia lahir daripada keinsafan yang menyapa. Ia juga lahir daripada pelbagai kejadian yang berlaku ke atas diri dan persekitaran, pengalaman yang terhimpun, sejarah yang kembali bernafas dan pelbagai kesan yang menyentuh diri.
Pada penghujung bulan yang mulia ini, kita dibuka mata dan telinga, minda dan hati untuk melihat daripada dalam kehidupan yang berlalu. Terasa kekesalan atas peluang kehidupan yang terbiar dan terabai sedang diri masih gagah untuk menyambarnya. Mak lahirlah keazaman baru bagai si kecil ceria ke sekolah bila diberi pakai baju putih baru dan kasut yang baru.
Keazaman memancar daripada rasa taqwa yang memuncak di bulan Ramadhan. Tiada antara kita selain memahat azam memukul gendang untuk terus hidup dengan Islam sepanjang hayat. Terasa alangkah segarnya jika Syawalku, Muharramku dan seluruh bulan menjadi seperti Ramadhan. Maka, layanilah keazaman itu dengan sebaik – baiknya. Perbaikilah jadual kehidupan kita dalam upaya dan daya diri yang mampu dan padankan ia dengan arahan dan pengajaran Al Quran.
“Tuhanku, perbaikilah untukku ugamaku yang mengawasi urusan hidupku, perbaikilah jua untukku duniaku yang menjadi medan kehidupanku dan perbaikilah untukku akhiratku yang menjadi tempat kembaliku.” RasuluLlah mengajar kita sebuah doa yang menyeluruh dalam hela nafas sebuah keazaman.
Hari ini biarlah lebih baik dari semalam dan esok biarlah lebih baik daripada hari ini. Hiduplah seolah – olah engkau dijangkau umur 1000 tahun dan bersiaplah untuk kematian seolah – olah ia sedia menjemputmu esok hari.
Ringan – ringankan bebanan hari esok dengan hikmat – hikmat dan santunan yang memancar – mancar daripada kalam nabawi dan para ulama yang menunjuki jalan RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.
Azam di bulan Ramadhan adalah kekuatan yang benar. Mari bersama meneguhkannya demi pemburuan sebuah kehidupan yang diredhai.
Salam Kamunting dan salam Ramadhan,
Tiada khilaf bahawa 10 malam terakhir bulan Ramadhan adalah masa kemuncak ibadat puasa Ramadhan yang difardhukan. Ertinya ibadah puasa bukan hanya sekadar puasa di siang hari, malah menghidupkan malamnya juga menjadi keutamaan yang ditekankan.
Khilafnya hanya pada malam apakah Lailatul Qadr itu? Mengelak khilaf adalah dengan menghidupkan keseluruhan malam 10 terakhir itu. Ibadah utama amalan RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam ialah i’tikaf di masjid 24 jam sepanjang tempoh tersebut. I’tikaf adalah satu amalan sunnah yang ditinggalkan.
Bergeraklah kita dan jangan bertangguh lagi. Malam 21 dan seterusnya adalah masa emas tahun ini. Sekali lagi, masa emas tahun ini, 1428H. Semoga Allah merahmati, mengampuni dan membebaskan kita daripada azabnya di hari akhirat kelak.
Anda lihatlah setelah 20 hari umat Islam berpuasa, kehidupan berubah. Tiada siapa boleh mengubah cara hidup dan gaya hidup kita semudah Ramadhan mengubahnya. Kerajaan berhabisan puluhan juta untuk menghentikan tabiat merokok rakyatnya, tetapi gagal sama sekali tanpa syak! Adapun Ramadhan, ia mengubahnya sekelip mata! Jika anda berkata itu hanya di siang hari sahaja, malamnya terul berkepol – kepol asap, saya kata, ya. Tetapi itulah puasa. Bayangkan pula jika arahan agama melarang merokok di bulan puasa sampai ke malam juga, adakah seorang muslim boleh terus merokok di malamnya? Jawabnya tidak! Sebab? Mereka takut batal puasa. Mengapa? Mereka takut neraka.
Saya telah katakan sebelum ini ( Lihat artikel Umno, bukan dadah ), masyarakat muslim mudah sahaja berubah kepada kebaikan kerana ugama mereka mampu mengubah mereka. Masyarakat muslim di negara kita boleh meninggalkan dadah semudahnya. Ia tidak akan jadi satu gejala yang menakutkan seperti hari ini. Hanya yang menyusahkan ialah kerajaan yang membawa penyelesaian cara otak beku pemimpin Umno, bukan cara Islam yang mengenengahkan erti hidup dosa pahala kepada umatnya.
Jika rokok boleh dihentikan, apatah dadah yang lebih difahami bahayanya. Jika arak boleh dibuang ( zaman Madinah ), apatah lagi dadah yang lebih difahami bahayanya.
Bulan puasa kita dan masyarakat berubah kepada mencintai Islam dan amalannya. Solat lima waktu lebih terjaga. Solat – solat sunat mudah sahaja disempurnakan. Membaca Al Quran menjadi amalan. Mendengar tazkirah menjadi budaya yang menyegarkan. Masjid dipenuhi. Makan sekeluarga di rumah diamalkan. Suasana hidup berjiran diraikan. Bangun awal menjadi biasa. Lepak menjadi kurang. Umpat – mengumpat, cela – mencela dan kata – mengata diawasi dan dijauhi. Semua ini sukar dicari rentaknya sebelum Ramadhan tetapi menjadi mudah semasa Ramadhan.
Apa yang kita dapat simpulkan? Mari kita melihat beberapa kesimpulan yang nyata daripadanya. Pertama, Islam memperkenalkan cara hidup yang praktikal dan mudah. Jika ada ketaqwaan dan keazaman, kita boleh hidup sepanjang masa sebagaimana cara kita hidup di bulan ini. Kita buang puasa sepanjang hari dan kita gantikannya dengan puasa – puasa sunat pada hari – hari tertentu. Selepas itu ikutlah jadual solat lima waktu dan kita hiaskan hari – hari dengan jadual menghadiri tazkirah ( membaca buku – buku ugama juga) dan membaca Al Quran. Yang penting, kita hidup dalam dunia beragama. Hidup diapit halal dan haram, pahala dan dosa, cinta dan marah kerana Allah dan sentiasa mengimpikan kehidupan mulia di akhirat.
Kedua, betapa hebatnya sentuhan Al Quran. Mendengar ayat – ayat Al Quran, apatah membacanya sendiri, sementelahan memahaminya akan memberi kesan yang hebat kepada perubahan diri. Sepanjang Ramadhan, kita mendengar ayat – ayat Al Quran diperdengarkan. Kita menikmatinya dalam solat tarawih di masjid. Kita juga melihat kelompok jamaah bertadarus di masjid setiap waktu. Keluarga kita membacanya di rumah. Manakala tv dan radio juga menjadi ‘soleh dan wara’ dengan memperdengarkan bacaan Al Quran daripada para qurra’ yang mengasyikkan merdu suaranya. Semua ini mengesankan. Allah merahmati kita apabila telinga kita dan mata kita terpelihara dan condong untuk menikmati ayat – ayatnya, apatah memahami dan mengamalkannya.
Sentuhlah Al Quran. Itu ibadat tangan. Ribainya kerana peha dan kaki kita ingin turut menjamahnya dengan rasa cinta. Dakapinya di dada anda dan khusyu’kan rasa manis dan cinta di sanubari. Ciuminya, kucupinya dan lakukan apa saja untuk tubuh anda melahirkan rasa cinta dan sayang pada Al Quran. Sesungguhnya Al Quran akan menjemput kita segirangnya menuju syurga. Semuanya kerana tubuh kita berpalut dengan rasa cinta padanya. Kita hanya berpaut pada Al Quran di dunia ini. Tanpanya, putuslah dunia dari langit yang tinggi itu.
Ketiga, Erti taqwa yang sebenar terserlah di bulan Ramadhan. Kemanisan yang dirasai di bulan Ramadhan adalah isi sebuah taqwa. Taqwa adalah dendangan Ramadhan yang menjanjikannya. Anda tidak mampu mengukur taqwa di dada sendiri apatah manusia ramai. Tetapi anda merasainya di dalam diri dan ia segera tercerna di dalam amalan zahir. Itulah taqwa. Rasa takut yang benar dan dibenarkan oleh perbuatan. Anda takut duri, anda mengelaknya, bukan membiarkan tubuh dicarikinya.
Maksudnya, taqwa tidak boleh diserlahkan dengan kata – kata dan dakwaan. Jika tidak, manusia Umnolah paling bertaqwa di Malaysia ini. Mereka memiliki segala kekuatan zahir yang bermacam -macam untuk mendakwa taqwa di tubuh dan bibir, sedang merekalah pembohong, pendusta dan musuh Al Quran dan taqwa sendiri! Malang bagi mereka, taqwa menolak mereka ke tepi atau menjauhi mereka, lalu zahir dan keluarlah perbuatan – perbuatan buruk daripada anggota tubuh mereka. kezaliman dan pendustaan adalah cara hidup yang bersebati dalam Umno.
Keempat, Jamaah adalah kekuatan. Rakan yang baik adalah kekuatan. Bersama adalah kekuatan. Anda diburu dan dimangsakan jika anda suka berseorangan. Islam adalah untuk ramai dan ia mengajak kepada keramaian. Ia menolak menyendiri, keakuan, tiada peduli dan penting diri. Kita jadi mulia dan rasa dekat dengan ugama di bulan Ramadhan adalah dengan dengan bantuan umat Islam yang turut turun bersama dan keluar bersama. Seronok ke masjid kerana ramainya ke masjid. Seronok puasa kerana semuanya puasa. Seronok cari Lailatul Qadr kerana semua bercakap pasal 10 malam terakhir. Malah, seronok nak raya sebab semua dan tempah baju dan kueh raya!!
Bayangkan jika ia bermula daripada kerajaan yang memerintah. Islam bermula daripada mereka. Tidakkah rakyat akan turut serta sesenangnya? Kerajaan adalah keramaian. Bila mereka melaksanakan Islam, rakyat akan segera bersama semudahnya.
Tetapi itu kesimpulan yang ternafi di negara kita. Rakyat membunuh kerana kerajaan beramai – ramai menbunuh! Rakyat rasuah kerana kerajaan bermaharaja lela makan rasuah. Rakyat berakhlak buruk kerana kerajaan beramai – ramai menampilkan akhlak buruk. Beramai – ramai melakukan kejahatan adalah dakwah ke arah kejahatan yang praktikal dan mujarab. Begitulah sebaliknya.
Jadi, kenapa ramai yang masih degil menolak dan mengenepikan Islam sebagai cara hidup? Jawabnya, kerajaan beramai – ramai menolak Islam. Yakinilah ini di bulan mulia ini..
Kelima, Kenyang dan kekayaan adalah lebih menjauhi diri daripada Islam berbanding lapar dan kesempitan. Benar, kesempitan hidup dan kefaqiran boleh meruntun kepada kekufuran, tetapi benarkah kekayaan pula meruntun kepada Islam dan iman? Atau meruntun kepada kepada taqwa? jawabannya tidak, bahkan puasa difardhukan demi menginsafkan si kaya agar berhenti kenyang dan rasakan kelebihan berlapar seperti halnya si faqir miskin. Harinya si miskin mengimpikan kekayaan tetapi di bulan Ramadhan Allah mahukan si kaya mengimpikan apa yang si miskin perolehi iaitu taqwa dan rasa berpada ( qana’ah ).
Tiada sebarang kefardhuan daripada Allah dengan tujuan si miskin jadi kaya. Kerana itu si miskin tidak wajib membayar zakat dan tidak wajib pula ke Mekah. Jika sebaliknya, pasti Allah memestikan kita berusaha jadi kaya atau mesti kaya sampai mampu bayar zakat dan naik haji!
Islam tidak menyekat kekayaan, bahkan menggalakkannya, tetapi peringatan tentang bahaya kekayaan mengatasi peringatan terhadap kemiskinan.
Wahai orang kaya, kamu miskin dan faqir di sisi Allah. Bukan, wahai orang miskin, kayalah kamu.
Maksudnya, Islam tidak memandang umat Islam dengan kekayaan ekonomi dan harta melebihi kekayaan taqwa dalam diri. Miskin yang mencipta taqwa jauh lebih baik daripada kekayaan yang menyekat taqwa. Jadi, jika anda dijemput untuk jihad ekonomi ( pastinya jemputan Umno di tempat pertama ), tanyalah dulu, adakan anda sudah berjihad ( mujahadah ) membina taqwa di dalam diri agar ekonomi kita menjadi kekuatan yang benar, bukan pemusnah.
Itulah serangkai kesimpulan perjalanan yang menyeronokkan sepanjang Ramadhan ini. Allah mengurniakan perasaan yang hebat di dalam jiwa umat Islam terhadap Islam. Kesannya mereka bertambah yakin kebenaran Islam. Umno sendiri tidak mampu meninggalkan Islam kerana mereka yakin Islam betul dan tiada yang betul selain Islam. Isunya, sanggupkah mereka hidup dan mati untuk Islam?
Itulah beza puasa orang Pas dan orang Umno. Pas bersedia dan Umno terus dan selama – lamanya ( sebagaimana azam mereka ) tidak bersedia untuk Islam. Allah menunjuki kita semua.
Komen Terbaru