You are currently browsing the monthly archive for Julai 2012.

Utusan Malaysia online:

IPOH 26 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, walaupun Barisan Nasional (BN) tidak menggunakan label Islam namun parti itu tidak akan mengabaikan amanah meletakkan perjuangan agama di tahap paling tinggi selari dengan matlamat menegakkan maqasid syariah.

Sambil menyelar golongan tertentu yang sanggup menyempitkan agama demi kepentingan politik, Perdana Menteri berkata, BN tetap mempertahankan asas-asas maqasid syariah termasuk dalam soal memelihara agama, akal dan keturunan.

“Itulah panduan induk kita sebagai sebuah parti. Kita berpandu kepada maqasid syariah yang berkehendakkan kita menjaga agama, soal ilmu, begitu juga akal, keturunan dan ekonomi.

Ulasan saya:

A)

1) Wara’nya Dato Seri bulan puasa ni sehingga tak nak guna nama dan label Islam untuk angkat ugama Islam tinggi-tinggi.

2) Allah secara jelas di dalam al Quran mengungkit nikmatNya menamakan kita dan umat terdahulu sebagai muslim. Nama Islam dan muslim adalah nikmat yang sayugia diungkapkan secara terang. Kenapa nak angkat ugama tinggi-tinggi, tak guna nama dan label? Hikmat cap apa ni?

3) Allah secara jelas membesarkan mereka yang membesarkan lambang dan syiar Islam dengan menegaskan mereka memiliki sifat taqwa di dalam dada. Apasal pula nak sembunyikan label dan nama Islam saat nak angkat ugama tinggi-tinggi ni? Takut riya’ ke?

4) Riya’ adalah usaha menonjolkan diri sendiri sebagai baik dan hebat. Adakah nak guna nama dan label Islam untuk angkat ugama juga adalah riya’. Ni nak kena ulama umno tulis dan syarah kitab baru ni..

5) Bukankah mengangkat sesuatu kebaikan atas nama ugama adalah satu promosi dan dakwah kepada Islam dan untuk Islam. Macamana orang non muslim terutamanya, nak tahu kebesaran Islam jika kita buat kebaikan dan capai maqasid syariah, tapi nak sebut dan guna nama dan label Islam? Ish, pelik dakwah jenis ni..

6) Kenyataan PM adalah wasilah dakwah yang baru. Maqasid tanpa label dan nama. Ulama umno kena bincang. Saya mencadangkan..

B)

1) Maqasid syariah (ilmu mengenal matlamat pensyariatan hukum ugama) adalah ilmu yang ditimba dan dikeluarkan dari al Quran dan sunnah. Ia bukan ciptaan luar daripada keduannya yang bertujuan menyaingi keduanya itu.

2) Semua isi al Quran dan al Sunnah adalah tafsiran dan gambaran hidup kepada maqasid syariah. Ia kerana itu, mesti beriringan dan tidak boleh bercanggahan. Jika berlaku, maqasid adalah terbatal..

3) Saat PM menyebutkan bahawa BN menegakkan maqasid syariah, maka ia bermaksud menegakkan al Quran dan al sunnah. Jika tidak, maka ia bermaksud PM beranggapan bahawa maqasid dan al Quran adalah berbeza. Ia pastinya teruk!

4) Jika salah satu contoh Qurani maqasid menjaga akal ialah pengharaman arak, apa yang BN buat untuk pengharaman arak di Malaysia, khususnya untuk umat Islam?

5) Jika salah satu contoh Qurani maqasid menjaga keturunan ialah pengharaman zina, apakah yang BN buat untuk menghalang jalan-jalan menuju zina, sedangkan kesannya seperti anak luar nikah dan lain-lain terus menakutkan?

6) Jika salah satu contoh Qurani menjaga maqasid harta ialah pengharaman riba, betulkah rakyat muslim di negara kita bebas dari riba hatta ketika berurusan dengan berkaitan kerajaan sekalipun?

7) Jika salah satu contoh Qurani menjaga ugama ialah menolak menerima Islam separuh-separuh, apa yang BN buat untuk menghalau pemikiran sekularisme, sedang merekalah penjunjung sekular tahap ketagih??

8) Jika, jika, jika.. Apa sebenarnya yang PM faham tentang maqasid syariah ni??

8) Ini macam mahu hilang dahaga tanpa minum air. Mahu masin tanpa garam dan seterusnya..

9) PM, katakan saja jika mahu letak Islam di tempat tertinggi, katakan saja, ‘Kita akan tegakkan al Quran dan al sunnah seluruhnya..”

Katakan saja PMku dengan berani! Lakukan, dan jangan takut. Seluruh umat Ramadhan di belakang kamu..

Atau, jangan bohong! kurus kering puasa tu nanti..

komentar di atas adalah copy paste dari FB saya..

Tazkirah Ramadhan 30 saat (7)

Bulan Ramadhan bulan al Quran 2

Ya, walaupun al Quran ditolak oleh kebanyakan manusia yang bermula daripada keluarga Rasulullah صلى الله عليه وسلم sendiri di kota Makkah pada peringkat awalnya, Allah tetap dengan rahmat dan kasih sayangNya ke atas umat baginda. Allah telah memilih segolongan manusia untuk menerima, mencintai dan menjunjung al Quran al karim. 

Golongan itu adalah mereka yang memiliki sifat taqwa di dalam hatinya atau digelar al muttaqin.

الم .ذلك الكتاب لا ريب فيه .هدى للمتقين

Maksudnya; “Itulah al kitab (al Quran) yang tiada ragu-ragu padanya (ia daripada Allah) yang menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa.” – al Baqarah;1-3

Golongan inilah yang bermula daripada para sahabat baginda sendiri رضوان الله عليهم telah menjadikan al Quran sebagai petunjuk kehidupan. Mereka telah membina diri, keluarga, masyarakat bahkan tamadun kemanusiaan dengan mengambil isi dan inspirasi al Quran.

Justeru, khulasahnya, tiadalah persediaan dan bekalan terbaik untuk menyambut al Quran dan menerimanya sebagai teman kehidupan selain memiliki sifat taqwa. Dengan sifat yang mulia ini, al Quran akan menerima dirinya untuk bertakhta di dalam dirinya. Beruntunglah mereka yang diterima al Quran sebagai temannya.

Apabila anda memahami ini, maka lihatlah bagaimana Allah, selain menerangkan kebesaran dan peranan al Quran, Dia juga menunjuki kita bagaimana untuk memperolehi nikmat berdampingan dengan al Quran dan menjadi kekasih al Quran. Ia adalah dengan memiliki sifat taqwa. 

Bagaimana memiliki sifat mulia ini? Bukankah ia suatu yang sukar dan memerlukan mujahadah yang besar dan istiqamah yang tinggi?

Ya, tetapi Allah telah memudahkannya dengan memperkenalkan satu kaedah yang mampu dilaksanakan oleh setiap manusia. Kaedah itu adalah dengan ibadah berpuasa yang memuncak dengan kefardhuannya di sepanjang bulan Ramadhan. Setahun sekali sebagai satu riadah intensif yang akan mencambah sifat taqwa secara cepat dan paling berkesan.

Puasa adalah pengekangan terhadap kekuasaan nafsu ke atas diri manusia dan pendidikan terhadap nafsu agar tidak melampaui batasan iman. Ia hakikatnya adalah menjadi penghalang besar manusia menuju Allah dan menyembahNya. Apabila nafsu dibiarkan menguasai tubuh, maka ruh dan taqwanya akan tenggelam dan terlindung. Kerana itulah manusia akhirnya gagal memahami keagungan al Quran al karim.

Maka di bulan Ramadahan yang mulia ini, terhasillah satu pembinaan yang hebat dan satu perayaan yang cukup membahgiakan.

Perhatikan, Ramadhan dimuliakan kerana penurunan al Quran di dalamnya. Kemudian disyariatkan ibadah puasa di dalamnya agar bercambahlah sifat taqwa di dalam diri manusia. Taqwa pula adalah satu-satunya cara untuk mendampingi al Quran dan menjadi temannya. Maka terhasillah di bulan yang mulia ini satu perayaan buat kekasih al Quran.

Berjayalah orang-orang yang mengambil al Quran sebagai sumber utama kehidupan mereka. Selamat menjunjung al Quran di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Tazkirah Ramadhan 30 saat (6)

Bulan Ramadhan bulan al Quran

Allah, saat memfardhukan ke atas hambaNya puasa di bulan Ramadhan, terus saja memahamkan mereka akan kelebihan bulan tersebut. Bulan Ramadhan dipilih untuk menjadi sebuah taman iman buat para hambaNya kerana ia mengandungi satu peristiwa besar yang tidak sayugia dilupakan dan dialpakan oleh setiap yang beriman. 

Peristiwa itu adalah penurunan kurniaan nikmat Allah yang paling agung iaitu al Quran sebagai petunjuk ke atas seluruh manusia yang dipenuhi keterangan-keterangan yang jelas yang mengandungi hidayat dan pembeza kebenaran daripada kebatilan.

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدىً لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ .

Maksudnya: “Bulan Ramadhan adalah bulan diturunkan padanya al Quran, menjadi petujuk buat manusia dan dipenuhi keterangan-keterangan yang jelas daripada petunjuk dan al furqan (pemisah kebenaran daripada kebatilan). – al Baqarah: 185

Nikmat Allah ke atas manusia tidak terkira. Samada manusia itu bersyukur di atas nikmatNya itu atau sebaliknya, Allah dengam sifat rahmanNya itu terus menebarkan  kasih sayangNya ke atas seluruh makhlukNya di dunia ini, sebelum mengkhususkannya hanya untuk mereka yang beriman sahaja di akhirat nanti. Adapun orang-orang yang kufur, nikmat dan rahmatNya akan terhenti di dunia sahaja.

Bagaimana nikmat itu terhenti dan putus? Dan bagaimana pula nikmat itu terus bersambungan sehingga ke akhirat? Ya, ia tergadai dan terikat dengan nikmat al Quran tersebut. Barang siapa yang beriman dengan al Quran dan hidup berpetunjukkan al Quran, maka al Quran hadir di sisinya saat ia kembali ke alam baqa’. Al Quran menjadi pelindung dan hujah buatnya menagih kasih sayang dan rahmat Allah di sana nanti. 

Adapun sebaliknya ke atas mereka yang kufur, segala nikmat di dunia akan terhenti sebaik kematian menyentapnya nanti. Tanpa al Quran disisinya nanti, segala-galanya adalah kegelapan dan malapetaka buatnya di akhirat nanti. Saat itu, tiada lagi erti segala nikmat yang diperolehinya di dunia dulu. Ia seperti kosong yang penuh tipudaya syaitan.

Justeru sayugialah nikmat penurunan al Quran sebagai petunjuk menuju akhirat itu tidak dilupai oleh manusia. Ia mesti disyukuri dengan sesungguhnya. 

Malangnya manusia, kebanyakan mereka tidak mensyukuri nikamt al Quran, malah mereka menolaknya dan melemparkannya ke belakang mereka. 

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا

Maksudnya: “Dan berkata al Rasul;Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah meninggakan al Quran.” – al Furqan:30

Saat manusia menolak kehadiran nikmat teragung ini, siapakah kalangan hambaNya yang menyambut al Quran dengan penuh kegembiraaan dan kesungguhan?

bersambung..

Tazkirah Ramadhan 30 saat (5) 

Ibadah puasa difardhukan oleh Allah dengan matlamat yang cukup penting bagi setiap insan yang beriman kepada Allah iaitu untuk memperoleh taqwa. 

Taqwa adalah sifat hati yang dengannya, seseorang mukmin memiliki pengenalan, kemampuan dan kekuatan untuk mengelak diri daripada terperangkap dengan godaan dunia yang melalaikan. Dengan sifat tersebut, ia mampu membezakan baik daripada buruk dan berupaya menjauhi perkara yang haram dan melalaikan.

Bagaimana ibadah puasa membibitkan dan mencetuskan sifat taqwa? Mari perhatikan keadaan berikut yang akan membantu orang yang berpuasa;

1) Orang yang berpuasa sanggup meninggalkan kebiasaan hariannya seperti makan, minum, jima’ dan kalam yang melalaikan semata-mata kerana ingin bertaqarrub kepada Allah. Ini adalah dorongan ketaqwaan. Ia melakukannya kerana Allah, bukan kerana menjaga kesihatan, diet, adat dan apa-apa tujuan selain ibadah.

2) Orang yang berpuasa sentiasa melatih dirinya bermuraqabah (merasai kehadiran Allah yang melihatnya) sepanjang masa dengan mengharapkan pahala (ihtisab) daripadaNya. Sifat dan amalan muraqabah adalah jalan terdekat menghimpunkan hati yang terpecah-pecah dengan sifat taqwa.

3) Orang yang berpuasa akan menyukarkan laluan syaitan memasuki tubuhnya. Syaitan berkuasa, dengan izin Allah, menyelinap ke segenap urat anak Adam untuk meracuni dan memperdayakannya. Dengan puasa, laluan menjadi sempit dan sukar. Sementelahan, dengan syaitan iblis diikat di bulan Ramadhan yang mulia ini, pengaruh sinar akal dan ruh akan membenihkan dan mencambahkan sifat taqwa di dalam diri orang yang berpuasa.

4) Orang yang berpuasa akan terdorong untuk menambahkan amal taat yang lain. Ini berlaku disebabkan semangat yang tinggi untuk memperkasakan kesan ibadah puasanya agar diterima Allah. Ibadah taat seperti membaca al Quran, berzikir, solat yang lebih khusyu’ dan berkebajikan sesama muslim adalah antara pemangkin menuju ketaqwaan.

5) Orang yang berada dan murah rezeki, melalui ibadah puasanya, akan merasai keperitan lapar dan dahaga yang merajai kehidupan orang-orang miskin. Ia membibitkan rasa insaf dan perihatin untuk membantu setiap insan dalam kesusahan. Mencintai orang-orang miskin dan amalan kebajikan sesama makhluk Allah adalah antara sifat orang-orang yang bertaqwa.

Begitulah amalan puasa yang begitu berkesan membibitkan sifat taqwa di dalam diri kita. Justeru sayugialah, demi puasa yang dimakbul oleh Allah dan tidak tersia-sia, kita menjernihkan keikhlasan dengan putih berseri dan memalarkan amalan kita dengan kehijauan penuh berseri.

Salam menuju Lailatul Qadr..

Tazkirah Ramadhan 30 saat (4)

Matlamat puasa

Imam al Ghazali di dalam kitab Ihya’ Ulumiddin (1/212) mengulas mengenai ibadah puasa melalui uslubnya yang istimewa. Beliau berkata;

“Matlamat ibadah puasa adalah berakhlak dengan salah satu daripada akhlak Allah ‘azza wajalla, iaitu kekuatan dan kekentalan (الصمدية) dan menuruti para malaikat Allah dalam mengekang diri sedaya upaya daripada nafsu syahwat. Sesungguhnya mereka itu disuci bersihkan daripada nafsu syahwat.

Manusia pula martabatnya di atas martabat haiwan dek kemampuannya melalui sinar akalnya untuk memecahkan nafsu syahwatnya itu. Tetapi dia di bawah martabat para malaikat dek nafsu syahwat yang menguasainya dan dia diuji oleh Allah untuk bermujahadah menguasai nafsunya itu. 

Setiap kali manusia tewas dan tenggelam di dalam kubang nafsu syahwatnya, maka dia telah jatuh ke lembah kehinaan yang paling bawah dan bersama-sama di dalam kebuasan binatang. Tetapi setiap kali dia berupaya mengekang nafsunya itu, maka dia telah naik ke atas ke tingkatan paling tinggi dan bersama di ufuk para malaikat Allah.”

Imam Ibnu al Qayyim pula di dalam kitabnya, Zaad al Ma’ad ( 1/152) pula menambah; 

“Dan matlamat ibadah puasa adalah menahan diri daripada nafsu, mengikatnya daripada melakukan perkara-perkara kebiasaan dirinya dan membetulkan kekuatan tenaga syahwatnya. Ini agar dia lebih bersedia untuk mara menuntut perkara yang akan menjadi kemuncak kebahagian dan kenikmatan dirinya, serta siap sedia menerima sifat-sifat yang akan menjadikannya bersih untuk kehidupan abadinya. 

Lapar dan dahaga melalui ibadah itu akan memecahkan ketajaman nafsunya dan mengingatkannya dengan jiwa-jiwa yang kelaparan daripada kalangan orang-orang miskin. Ia juga akan menyempitkan laluan buat syaitan menguasai diri hamba Allah dengan menyempitkan laluan makanan dan minuman, di samping menyekat kekuatan anggota jasadiah dari bebas bergerak secara tabi’inya yang boleh memudaratkan dirinya dalam kehidupan dunia dan tempat kembalinya nanti. 

Puasanya itu akan dapat menenangkan setiap anggota tubuhnya dan setiap kekuatan dalam tubuhnya daripada keinginan yang melampau. Ia memegang pada tali kekangnya. Puasa menjadi tali kekang bagi orang yang bertaqwa, perisai bagi tentera mujahadah dan satu latihan bagi golongan al abrar dan al muqarrabin ( yang rapat hubungannya dengan Allah).”

Penjelasan oleh dua ulama agung Islam di atas cukup menggambarkan kebesaran pensyariatan ibadah puasa ke atas umat Islam di bulan Ramadhan.

Selamat berjaya menjalani ibadah rukun yang agung ini dengan sempurna. Semoga Allah meredhai kita dengan kurniaan sifat taqwa dan iman.

Tazkirah Ramadhan 30 saat (3)

Justeru Allah tunjukkan kekuatan sebenar nabi Adam عليه السلام kepada para malaikatNya melalui penggunaan akal yang disiapkan untuk menuju ke alam atas, alam malakut dan kesucian melalui kecintaan dan kedambaan kepada ilmu dan makrifat. Akhirnya para malaikat sedar dan akur dengan kelebihan kurniaan Allah kepada nabi Adam.

Manusia bukan malaikat kerana kekangan nafsu yang menariknya ke alam tanah dan haiwan. Manusia juga bukan seperti haiwan kerana ruh dan akalnya sentiasa melonjakkannya untuk menikmati kemuliaan dan kemanisan makrifat alam atas yang lebih indah. 

Berlaku pertarungan di dalam tubuh manusia, sesuatu yang tidak berlaku ke atas para malaikat dan juga haiwan. Saatnya, manusia menemui kenikmatan, kemanisan dan kemuliaan hidup dengan ruh sehingga mencetuskan segolongan yang menindas jasad dan menyiksanya dengan melaparkan diri, memenjarakannya daripada nikmat jasadiah dan melarikan diri ke hutan demi mencapai tahap kemalaikatan. Lahir dunia kependetaan yang terputus daripada kehidupan duniawi.

Dari sudut yang berlawanan pula, bahkan lebih mendominasi, manusia menjunam ke bawah, berkubang di longkang nafsu kehaiwanan dan kesyahwatan melampau sehingga melintasi garis kebinatangan. Mereka saling berbunuhan sesama sendiri, menindas yang lemah dan melakukan kerosakan di bumi melalui variasi pelbagai cetusan nafsu serakah kebinatangan yang tidak terkawal lagi.

Di sinilah pertolongan Allah datang melalui perutusan al rasul yang memperkenalkan kaedah pemulihan diri yang paling hebat yang menepati kehendak dan kelayakan manusia sebagai seorang makhluk bergelar khalifahNya yang unik. 

Ia adalah ibadah puasa. Ia kemudiannya tambah memuncak dengan pensyariatan kefardhuan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia. 

Lapar adalah senjata mendidik nafsu agar beriringan dengan ruh untuk memakmurkan kehidupan. Manusia, setinggi mana keupayaannya melonjak ke atas, dia tidak boleh menjadi malaikat kerana tugasnya adalah berbeza. Manusia adalah khalifah Allah yang memikul amanah besar di muka bumi. Manusia mesti membumi.

Manusia juga tidak boleh berpusing di daerah bumi dan kehaiwanan sehingga lupa peranannya beribadah kepada Allah dan menyertai gerombolan kemuliaan dan kesuciaan makhluk Allah di alam malakut.

Melalui ibadah puasa yang terpimpin oleh disiplin ugama yang khas, manusia akhirnya menemui kebahagiaan sebenar yang dicari-cari dalam kehidupannya.

Selamat menjalani ibadah puasa di bulan mulia ini.

Tazkirah Ramadhan 30 saat (2)

Bulan Ramadhan penuh isi dan anugerah kurniaan Allah. Antara yang paling agung adalah ibadah berpuasa yang menjadi rukun dan tiang ugama Islam. 

Kebesaran ibadah puasa begitu jelas sehingga kita sering memanggil bulan Ramadhan itu sebagai bulan puasa, sehinggakan pula, ia kadang-kadang menjejaskan peluang kita untuk melihat kelebihan isi-isi lain di bulan Ramadhan yang juga besar rahsianya.

Bagaimanakah ibadah puasa itu dipilih Allah sebagai rukun ugama yang wajib kita sempurnakan? Apakah hikmah tersembunyi sehingga ia menyamai ibadah solat dan haji yang begitu jelas bentuk dan cara perlaksanaan kedua-duanya di dalam menunjukkan rasa ketaatan dan ketundukan kepada Allah yang tertera pada sujud, ruku’, tawaf, sa’ie dan seumpamanya? Bukankah puasa itu lapar dan lapar itu meletihkan, manakala letih itu mencambahkan rasa malas dan enggan? Bukankah rasa malas itu mendorong untuk meninggalkan ibadah?

Itulah zahirnya. Sebabnya adalah kerana kita melihat dari sisi yang senget dan serong.

Para ulama kita memperincikan hikmat yang pelbagai berdasarkan kefahaman dari pengajaran al Quran dan sunnah al Rasul صلى الله عليه وسلم, juga pengalaman menakjubkan hasil ibadah puasa yang dilaksanakan. Satu penjelasan yang menarik adalah;

Pelbagai makhluk Allah diciptakan hanyalah samada bercirikan sifat atasan, kelangitan dan kemalaikatan atau ia bercirikan sifat bawahan, ketanahan dan kehaiwanan. Apabila Allah memulakan penciptaan manusia melalui penciptaan nabi Adam عليه السلام, maka ia adalah penciptaan yang unik dan yang pertama kali!

Nabi Adam memiliki ciri langit dan ciri tanah. Ciri malaikat dan ciri haiwan. Ia adalah gabungan unsur ruh dari kehidupan di langit dan unsur jasad daripada tanah dari kehidupan di bumi. Ruh memiliki ciri-ciri ketinggian dan sifat-sifat ketuhanan. Ia mendambakan ibadah, kesucian, kemuliaan, kekuatan, keamanan dan kerahmatan. Manakala jasad pula memiliki ciri-ciri lemah dan kenafsuan. Ia mendambakan keseronokan menggali kenikmatan di bumi, mengisi nafau perut, nafsu serakah seks dan paling meruncing, ketamakan dan kekuasaan di muka bumi.

Keunikan inilah yang gagal difahami oleh para malaikat saat Allah memperkenalkan ciri kejadian makhluk baru yang akan memegang amanah kekhalifahan di muka bumi. Malaikat melihat Adam sebagai memiliki sifat-sifat gelora kebinatangan yang suka membunuh dan merosakkan kehidupan. Ia terlupa kelebihan dimiliki Adam yang terserlah pada makhluk langit bernama ruh.

Bagaimana Adam dan zuriatnya memikul amanah agung ini? 

Bersambung..

Tazkirah Ramadhan 30 saat (1)

Umat Islam memulakan sambutan hangat malam pertama bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dengan akur dan patuh kepada larangan baginda nabi صلى الله عليه وسلم daripada berpuasa pada hari terakhir bulan Syaaban. 

Ertinya, hendaklah puasa sunat di bulan Syaaban tidak bersambungan ke awal Ramadhan, bahkan wajib dipisahkan walau satu hari di antara dua puasa yang berlainan darjat itu. Mari meneliti kecantikan larangan baginda:

1) Agar diketahui oleh setiap yang beriman bahawa antara perkara sunat dan fardhu itu adalah jarak yang tak terukur, berpisahan antara kedua-duanya sehinggakan mereka dapat merasa dan mengesan betapa besarnya ibadah fardhu puasa di bulan Ramadhan. Ia tidak sama kesan, pahala dan kemanisannya berbanding puasa sunat.

2) Agar jumlah sempurna hari Ramadhan (29 atau 30) itu diketahui dan dilaksanakan sesempurnanya tanpa keliru dan samar. Apabila Allah telah menentukan masaNya yang tetap, maka pengurangan atau penambahan oleh manusia adalah tanda enggan, ingkar dan mempermainkan hak Allah. Justeru selang sehari antara dua jenis puasa yang berlainan itu adalah tanda ketaatan untuk tetap dan berhemnti pada setiap kalimah dan ayat Allah yang berfirman ke atas hambaNya.

3) Agar termeteri satu keseragaman yang indah di antara larangan berpuasa di hujung Syaaban dengan penantian anak bulan Ramadhan dengan larangan puasa di hari raya ‘Eidul Fitri, iaitu sebaik sempurna jumlah hari bulan Ramadhan dengan kehadiran anak bulan Syawaal. Maka semakin jelaslah kekuatan dan kemuliaan bulan Ramadhan yang diangkat tinggi darjatnya oleh Allah berbanding bulan-bulan yang lain.

4) Agar menjadi latihan buat setiap yang beriman agar tidak melampau di dalam beribadah sehingga melintasi garis sunnah al Rasul صلى الله عليه وسلم. Baginda sentiasa memantau dan menegur kesungguhan para sahabatnya di dalam mencari ridha Allah agar berpegang pada sunnah baginda dan tidak mencipta kependitaan yang direka-reka yang tidak pun difardhukan ke atas mereka. Larangan puasa pada ‘hari syak’ di hujung Syaaban dengan itu, adalah juga selari dengan larangan berpuasa sepanjang masa melebihi ibadah puasa terbaik oleh nabi Daud alaihissalam.

5) Agar ibadah bersahur dan berbuka pada 1 Ramadhan adalah paling manis, seindah ‘malam pertama’.

Selamat menyambut malam pertama Ramadhan dengan penuh rasa syukur dan taubat. 

Tuhanku, terimalah taubat dan kembaliku kepadaMu..

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Julai 2012
I S R K J S A
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa