You are currently browsing the category archive for the ‘wa zakkir’ category.

Ketika saya sedang menulis catatan ini, saya baru menerima sms tersebarnya video sundal yang dikaitkan dengan seorang pemimpin besar politik tanah air di dalam internet. Kemudian sms demi sms menghujani saya terutama daripada kawan-kawan yang meminta pandangan dan ‘fatwa’ segera demi menghilangkan keluh kesah dan kekeliruan.

Saya komen ringkas, orang mukmin jangan sebar jika pun rasa percaya. Jika palsu, kita selamat daripada dosa menyebarkan fitnah. Jika benar, kita selamat daripada menyelak maksiat tertutup. Kemudian saya menambah, jika Allah murka, Dia buka aib dan dosa tersembunyi kita pula. Apa rasa jika kita pula diaibkan secara terbuka?

Politik negara kita semakin hari semakin kotor. Ahli politik seperti enggan berubah kepada politik yang lebih baik dan lebih bertamadun. Mereka seperti tidak kisah bahawa politik kotor akan menghumban negara kepada bala dan kerosakan yang lebih besar. Di antara politik kotor yang dilihat secara nyata ialah usaha membunuh karier politik lawan dengan fitnah yang memalukan dan menjatuhkan maruah. Fitnah adalah menyebarkan yang tidak benar atau belum disahkan kebenarannya.

Lebih menyayatkan, ia sehingga menyentuh soal-soal yang jawabannya telah dinyatakan secara jelas oleh al Quran. Pun begitu, sebahagian mereka enggan menerima. Apabila diberi nasihat dan teguran, mereka berusaha menghasilkan deretan hujah yang menggambarkan seolah-olah merekalah penyelamat negara daripada kerosakan. Tentunya mereka sedang dilamun cinta iblis kerana sedang menghujah kekuasaan al Quran dan merasakan mereka lebih benar dan lebih tahu hukum Allah daripada Allah sendiri.

Ketahuilah bahawa dosa dan pahala adalah milik Allah. Dia yang menulis dan Dialah yang membalasnya nanti. Kita tidak pun pernah dan akan tahu berapakah jumlah dosa dan pahala kita sekarang. Sebabnya, ia melibatkan syarat keikhlasan yang duduknya di dalam hati. Seribu tahun kita bersolat tidak bererti semuanya berpahala, bahkan ia diikat keikhlasan diri. Walaupun seribu kali kita mengaku ikhlas, seribu kalilah dakwaan kita itu tidak terpakai. Hak menentukan keikhlasan adalah milik Allah semutlaknya.

Kerana itu Allah tidak pernah menuntut agar kita menulis pahala dan menganugerahi seseorang kerana pahala yang dilakukannya. Begitulah kita juga tidak dituntut menulis dosa dan menghukum seseorang kerana dosanya. Bagaimanakah kita layak dan berhak menganugerahi atau membalas jahat seseorang yang berpahala atau berdosa sedangkan kita sendiri gagal mengesan dan melihat keikhlasan, pahala dan dosa diri sendiri? Maka dosa dan pahala adalah milik Allah semutlaknya. Nanti, Dialah tuhan yang akan membalasnya dengan nikmat atau azabNya di akhirat nanti.

Apa yang kita ada di hadapan ialah kebaikan dan kejahatan yang dilihat. Atau keadilan dan kezaliman yang berlaku di dunia ini. Di sinilah penganugerahan baik dan pembalasan buruk dituntut oleh Allah daripada manusia. Kita dituntut untuk menganugerahi kebaikan dan keadilan yang dilakukan manusia setimpalnya. Begitulah kita juga dituntut membalas keburukan dan kezaliman yang dilakukan manusia setimpalnya. Kebaikan, keadilan, keburukan dan kezaliman adalah suatu yang zahir dan dilihat oleh manusia. Ia tidak memerlukan syarat keikhlasan untuk membalasnya, baik atau buruk.

Adakah seorang pekerja dipotong gajinya kerana mengajar tidak ikhlas? Tidak bukan? Mereka digaji kerana kebaikan mereka menuruti perintah yang diarahkan. Juga, mereka dihukum kerana perlanggaran terhadap amanah yang diberikan. Itulah yang kita harus fahami daripada asas syariat bahawa pembalasan sesama manusia hendaklah diukur pada zahirnya, bukan batinnya. Manusia apabila memasuki ruang batin, mereka akan mendakwa dan menghukum di dalam kekeliruan, kesamaran dan kepalsuan.

Maksiat peribadi yang tersembunyi adalah perbuatan yang melibatkan dosa, bukan kezaliman sesama manusia. Maka ia adalah hak Allah dan kita sama sekali dilarang menghukumnya. Zina, minum arak, tidak solat dan sepertinya adalah dosa peribadi yang tidak menzalimi orang lain. Maka Allahlah yang akan mengadilinya. Tetapi jika zina bertukar kepada rogol, atau mabuk arak sehingga mengganggu ketenteraman awam, atau tidak solat secara terbuka yang memalukan, melukakan dan menyebarkan kefasikan di dalam masyarakat Islam, maka ia telah bertukar bukan hanya sekadar maksiat peribadi, bahkan ia telah mencetuskan kezaliman di dalam masyarakat. Saat itulah, Allah menuntut kita bertindak memadamkan kezaliman dan fitnah tersebut.

Begitulah kesalahan lain yang lebih jelas kezalimannya terhadap sesama manusia samada ianya ikhlas atau tidak, tertutup atau terbuka seperti menipu, mencuri, merompak, merasuah, membunuh dan memfitnah. Bayangkan pula jika ianya melibatkan jutaan manusia seperti merompak wang rakyat, merasuah jutaan ringgit dan memfitnah pemimpin rakyat yang membawa kesan buruk yang lebih besar.

Mereka bertanya, jika begitu bagaimana kita mampu menyekat budaya zina yang kian menular di dalam masyarakat? Tidakkah zina biasanya tersembunyi? Ya, selagi ianya tertutup, ia kekal jangan dibuka bongkar. Budaya zina hari ini pula telah melewati batasan keperibadian dan kesembunyian. Ia telah merebak ke ruang terbuka melalui kejelekan muqaddimahnya dan akibat buruknya. Pergaulan bebas begitu ketara, berpacaran dan berpelukan di khalayak ramai begitu terbuka dan akhirnya jenuhlah anak luar nikah, pembunuhan terhadap bayi dan pengguguran kandungan luar nikah.

Membasmi budaya ini bukanlah dengan cara menyerbu dan mengintai orang berzina, tetapi dengan nasihat dan dakwah, juga dengan menutup, menghalang dan mengawasi lokasi-lokasi yang menjadi punca berleluasanya aktiviti terkutuk itu. Jika zina tertutup itu telah diketahui di luar kerana ada yang melaporkannya, atau tempat itu telah terkenal dengan aktiviti tidak bermoral, maka adalah hak bagi pihak berkuasa untuk bertindak memadamkannya samada menangkap, mengawasi atau menutupnya terus. Zina tersebut telah melangkaui sempadan kesembunyian kepada kezaliman terhadap masyarakat. Sebuah masyarakat Islam yang bersih akan terganggu dengan mengetahui dan mendengar maksiat yang berlaku di sekitarnya tanpa tindakan menutupnya.

Mereka bertanya lagi, bagaimana jika ia melibatkan pemimpin yang kejahatannya walaupun bersifat peribadi adalah penipuan dan pengkhianatan terhadap rakyat? Saya menjawab, ya, ia kekal peribadi. Semua kita adalah pemimpin terhadap anak buah masing-masing. Jika maksiat peribadi pemimpin harus dibezakan, maka izinkanlah anak-anak kita sendiri mengintai maksiat kita kerana kita telah mengkhianati mereka. Mahukah?

Mereka enggan berhenti daripada bertanya, video telah tersebar dan ditontonkan secara terbuka. Tidakkah itu telah menjadi maksiat terbuka yang mesti dihukum? Saya menjawab, orang yang sedang melakukan maksiat terbuka itu adalah penontonnya, apatah penyebarnya. Adapun pelaku didalamnya, ia kekal maksiat tertutup yang telah pun berlalu penulisan dosanya oleh Allah. Mungkin juga dia telah pun bertaubat semasa anda menonton video tersebut. Anda menghukumnya sedang Allah telah memaafkannya. Alangkah tuhannya anda!

Kemudian, orang mukmin sudah cukup dirinya sendiri menjadi saksi. Orang mukmin itu amanah sifatnya selama mana tiada kecalaran di dalam rekod zahirnya. Tetapi, pada peringkat tuduhan zina, Allah menuntut empat saksi untuk membenarkannya. Tidakkah anda melihat betapa di antara hikmah yang nyata adalah kerana Allah sendiri enggan maksiat hambanya yang bersembunyi itu disebarkan oleh sesiapapun, apatah dengan tujuan menjatuhkan maruahnya. Adakah saat kita menuduh orang berdosa, kita tidak pernah pun berbuat dosa?

Ah, jikalah tidak kerana kelebihan Allah dan rahmat kasih sayangNya ke atas kita, maka tiadalah siapa pun di antara kita mampu menjadi bersih dan dilihat bersih selama-lamanya. Tetapi Allahlah yang membersih kita dengan menjauhkan kita daripada dosa dan menutupi dosa yang telah kita lakukan.

Apabila anda memahami fiqh dan kehikmatan ini, maka anda akan dapat melihat sejalur hikmah mengapa mengumpat, mengadu domba dan menjaga tepi kain orang adalah diharamkan dan dosa kesalahannya adalah besar di sisi Allah. Mengumpat dan seumpamanya, walaupun jika benar sekalipun adalah terlarang kerana ia banyak melintasi garis peribadi yang tak pun menjejaskan awam.

Itu jika benar, apatah jika ianya adalah satu fitnah! Rakaman video hanyalah fitnah! Seratus kamera yang merakam sekali pun, ia bukan galang ganti seorang mukmin apatah empat orang mukmin yang dituntut oleh Allah. Tidakkah satu kepastian yang nyata bahawa orang mukmin yang amanah tidak akan melakukan perbuatan merakam video perbuatan maksiat tertutup tersebut?! Jadi, bagaimana dibenarkan penghukuman zina oleh saksi fasik dengan bahan bukti tertolak?

Mereka terus tidak berpuas hati kerana fitnah sedang melanda negara, lalu ia memakan dan memamah apa saja yang mampu dimakannya samada kayu atau besi. Mereka bertanya lagi, bagaimana jika video itu benar sebenar-benarnya dan asli seasli-aslinya? Tidakkah dengan tidak mempercayai atau tidak bertindak ke atasnya maka terdedahlah kita dengan penipuan dan pengkhianatan yang menanti jika pemimpin itu naik? Saya menarik nafas kewaspadaan dan kesabaran. Saya berkata, mari saya ajarkan kamu satu sunnah Allah di muka bumi bagaimana Allah menjatuhkan dan menaikkan seseorang hambaNya.

Apabila Allah ingin menjatuhkan seorang yang zalim, maka dihantarnya orang mukmin atau orang jahat untuk memeranginya. Jika Allah menghantar orang jahat, maka ia akan memeranginya dengan cara yang jahat juga. Maka itulah seburuk-buruk kesudahan. Tidakkah anda melihat Saddam yang zalim itu dibunuh oleh Amerika yang lebih jahat daripadanya. Maka alangkah buruknya kesudahan ke atas rakyatnya!

Jika Allah menghantar orang yang baik, maka ia tidak akan memeranginya kecuali secara yang diizinkan syarak. Maka itulah sebaik-baik akibat. Tidakkah Mekah yang paling zalim ahlinya itu dibebaskan oleh hamba Allah yang paling baik, lalu alangkah baik akibatnya juga. Lihat juga Mesir, pemimpin yang baik-baik memimpin rakyat melakukan perubahan, lalu semakin baiklah Mesir dan rakyatnya.

Maka ketahuilah, di negara kita, jika kita menginginkan kelebihan dan kebaikan yang lebih baik untuk masa depan negara, bergeraklah sebagai orang baik dan hendaklah terpimpin oleh orang yang baik-baik. Ulama adalah orang yang terpercaya di sisi Allah. Mereka telah menasihati agar jangan mempercayai fitnah. Rakaman video yang begitu terdedah kepada pengaburan dan pemalsuan hanyalah akan mengundang fitnah lebih besar jika diterima. Maka jangan menghukum pemimpin dengan fitnah yang terlarang oleh syarak.

Maka, orang mukmin tidak boleh menyebarkan sekali pun rasa percaya. Jika ianya nyata palsu, kita selamat daripada dosa menyebarkan fitnah. Jika ianya benar pula, kita selamat daripada menyelak maksiat tertutup. Jika Allah murka, Dia buka aib dan dosa tersembunyi kita pula. Apa rasa jika kita pula diaibkan secara terbuka? Justeru jauhilah politik kotor yang mengundang bala tuhan.

(Artikel adalah untuk kolum ‘Agama Dan Kehidupan’ akhbar Siasah)

Advertisements

Salam Palestin,

Jika mereka bertanya saya, apakah yang paling manis sepanjang 8 tahun saya sebagai ahli majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI)? Saya akan menjawab, bersama menikmati usaha-usaha ke arah memantapkan perlaksanaan Islam di perbandaran Kota Bharu bersama para ahli majlis dan pegawai kerajaan di peringkat atasan dan bawahan yang begitu ikhlas, konsisten dan tanpa menghiraukan penat dan lelah.

Jika pula mereka bertanya saya, apakah yang paling pahit dan mengecewakan pula? Saya akan menjawab, ketika bungkam dan hilang kata-kata memerhati kerenah segelintir ahli majlis dan pegawai kerajaan juga, atas dan bawah yang begitu lunak cakapannya, lebat hujahnya dan bersimpang siur liatnya untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar!

Paling manis, bila saya turut menyumbang buah fikir dan turut menyertai perlaksanaan program dan projek yang baik dan berguna untuk warga MPKB dan rakyat Kelantan umumnya. Paling pahit, bila keengganan itu berlaku di depan saya dan saya mendapati diri saya kalah dan akur. Di tahun-tahun terakhir, ia begitu mendorong dan menekan saya untuk melepaskan jawatan lebih awal. Itu pastinya salah, tetapi itulah yang saya alami dan cuba memeranginya.

Akhirnya, tercipta juga satu sebab yang membolehkan saya
mengundur diri secara berhemat dan tanpa ditegur lagi. Saya masih mengharapkan daripadaNya agar tindakan saya itu tepat untuk saya dan agama saya.

Menyeru ke arah perlaksanaan syariat Islam yang syumul adalah perjuangan yang benar dan tiada yang benar selainnya di dunia ini. Melaksanakan tuntutan syariat yang dikandung kalimat mulia ‘amar makruf nahi mungkar’ juga adalah perjuangan yang benar dan kesukarannya sebenarnya bertambah-tambah pula.

Kala itu, yang berjaya adalah yang ikhlas hatinya, betul jalannya dan bersungguh kerjanya. Perjuangan Islam selalu songsang, tak menjadi rentak dan tarinya buat mereka yang terpasung kotak fikirnya daripada akidah yang benar, terpalit hatinya dengan lumpur duniawi dan tersadung kakinya daripada jalan yang lurus. Jika mereka sejahtera di situ, mereka masih tersisih sehinggalah mereka memacu dan memecut bersama para pejuang lain yang sentiasa segar dan istiqamah berlumba-lumba dan pintas-memintas menuju ridha Allah.

Islam adalah al Quran. al Quran adalah petunjuk dan nasihat. Jika ia tiada berkesan dan sememangnya sebahagian manusia keras dan buta hatinya daripada mendengar al Quran, maka al Quran memerlukan kuasa dan tongkat untuk menyuruh dan menghalang manusia. Apa-apa yang gagal dicabut dengan nasihat akan dicabut dengan kuasa.

Semasa baginda al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam di Kota Mekah selama 13 tahun memimpin dakwah dengan al Quran di tangannya, baginda mampu menarik sekitar 300 orang warga Mekah mendengar nasihat dan wasiat al Quran. Kemudian apabila baginda kembali memasuki Mekah 10 tahun kemudiannya, dengan al Quran di tangannya dan pedang juga di tangannya, baginda dengan tempoh yang terlalu segera telah berjaya menarik puluhan ribu rakyat kota Mekah dan sekitarnya untuk mendengar nasihat dan wasiat al Quran.

Pedang itu bukan buat memenggal leher seganasnya dan sejarahnya, tetapi cukuplah ia berisyarat, akulah teman setia al Quran. Demi tuhan, al Quran dan kuasa adalah bersaudara lagaknya. Bukankah kalam suci dan kuasa itu milik dan sifat Allah?

Justeru perjuangan membalut, menyeri dan menabal al Quran dengan tampuk kuasa adalah kerja nabi dan kerja perjuangan suci sepanjang zaman. Selagi Allah kekal hidup menjaga al Quran, selagi itulah al Quran ditawafi para pejuangnya yang kekal berjuang dan terbang syahid!

Janganlah Islam ini dikerjakan oleh mereka yang meletakkan kuasa di parlimen dan menyimpan al Quran di dalam almari, mengasingkannya daripada kehidupan sementara menunggu kehadiran majlis perarakan maulidur rasul.

Justeru ia perjuangan.

Kemudian, sesudah anda memiliki kuasa, maka mengurus kuasa adalah perjuangan juga. Ia fasa selepas fasa.

Zahirnya, kuasa pertama adalah apabila anda memiliki isteri, kemudian anak-anak. Jika mereka lari daripada nasihat al quran, anda masih memiliki kuasa. Dengan kuasa, anda mampu mengembalikan mereka ke jalan Allah. Itulah sesempurna Tindakan dalam mengurus kuasa.

Kemudian kehidupan melebar dan menjadi semakin melebar. Jika anda masih kekal berjuang memburu kuasa di Putra Jaya demi kecintaan mencantumkan al Quran dengan kuasa, maka anda telah pun memiliki selaras kuasa di Kelantan. Kecil tetapi besar. Sempit tetapi luas.

Marilah berdansa bersama kuasa dan al Quran. Kata al Quran, ajaklah rakyat Kelantan mendirikan solat lima waktu dan sembahlah Allah di rumah, di kedai, di kampung dan di bandar. Kemudian, carilah rezeki yang halal, tunaikanlah zakat dan bantulah orang-orang miskin dan lemah. Buatlah kebajikan, serulah kepada kebaikan dan cegahlah kemungkaran dan kemaksiatan.

Caranya? Nasihatlah dengan al Quran dan gunakan kuasa yang Allah kurniakan. Caranya? RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam adalah sebaik-baik ikutan. Hasilnya? Akan bertambah ramailah umat Muhammad terarah dan berada di jalan yang lurus dan diredhai Allah. Hasilnya? Akan kecewalah musuh-musuh tuhan daripada kalangan jin dan manusia. Itulah buah-buah manis tuaian perjuangan.

MPKB-BRI dengan kuasa sebuah kerajaan tempatan di bawah kerajaan negeri Kelantan telah melakukannya. Anda tidak akan mendapati perniagaan dan aktiviti terlarang agama di premis yang berdaftar dan diluluskan. Bahkan, wujud peraturan-peraturan kecil dan garis panduan yang berusaha menyekat sesuatu aktiviti yang secara mudah mendorong kepada keburukan dan haram.

Anda akan melihat kesungguhan MPKB-BRI memasuki medan kemasyarakatan demi menganjurkan kebajikan dan tolong-menolong yang memberi manfaat. Bahkan, agensi-agensi kerajaan negeri yang lain turut berganding bahu melibatkan diri memeriahkan usaha-usaha kebajikan yang dianjurkan ugama.

20 tahun adalah potret masa yang memisahkan Kelantan dan Kota Bharu daripada negeri-negeri lain dan perbandarannya yang begitu jauh ketinggalan. Pencapaian ini, adakah anda mahu menafikannya?

Sebelum anda menunjuki saya pusat-pusat pelacuran dan gambar-gambar bogel pelacur Kelantan, mari saya perkenalkan anda dengan apa yang anda telah ketahui.

Adakah bandar Madinah di zaman al Rasul bebas maksiat? Tidakkan? Bagaimana dunia ini bebas maksiat sedangkan dosa itu sentiasa melekat di badan, apatah di hati. Bukankah keimanan kita adalah bahawa hanya al Rasul sahaja yang maksum dan bebas dosa dengan izin tuhannya?

Bukankah nabi pernah melaksanakan hudud yang membawa erti telah berlaku maksiat zina di Madinah? Bukankah nabi pernah menyebut kepinginnya untuk membakar rumah-rumah yang kaum lelakinya tidak keluar untuk solat berjamaah bersama baginda yang bererti seruannya diingkari juga di Madinah? Bukankah nabi pernah mencela peniaga di pasarnya yang menipu dalam perniagaan?

Jika begitu, terlaksanakah atau berjayakah amar makruf dan nahi mungkar di Kota Madinah? Jangan berkata tidak! Sesungguhnya nabi dan zamannya adalah kemilau kehidupan yang memancar-mancar sebagai panduan sepanjang zaman.

Amar makruf bererti kebebasan melaksanakan kebaikan dan kemanfaatan yang disepakati bersama. Nahi mungkar bererti mencegah kemungkaran yang dilakukan secara terbuka dan dibenarkan. Kemungkaran mestilah dihimpit dan ditolak keluar sehingga ia tidak mengganggu masyarakat dengan kebusukannya.

Jika anda terpaksa menyamar dan bersusah payah menyelongkar, itu tandanya kemaksiatan telah terpinggir dan hidup ketakutan sehingga menyepi di ruang gelap.

Di Kuala Lumpur dan di bandar-bandar lain maksiat adalah halal dan haram. Terang dan cerah. Terbuka dan tertutup. senyap dan bising. Anda boleh memilih. Selera nafsu serakah adalah berbeza. Neraka seleranya berbeza juga.

Di Kota Bharu, tugas mengharamkan sarang dan pusat yang mudah mendorong aktiviti maksiat dan haram berjaya dilaksanakan pada kadar yang hampir sempurna. Lihatlah, betapa sukarnya menyimpulkan samada aktiviti karaoke, biliard, snoker, alatan syisya, tinju siam dan seumpamanya perlu dibuka atau disempitkan laluannya. Semuanya kerana kebimbangan dan wujud bukti penyalah gunaan yang membawa kepada aktiviti haram dan merosakkan.

Jika begitu, lebih-lebih lagilah pembanterasan terhadap aktiviti halal dan terbuka pelacuran, judi, arak dan sebagainya.

Tinggal lagi, bagaimana dengan aktiviti maksiat yang tidak berdaftar dan berlaku secara sembunyi dan haram di sisi undang-undang?

Anda usahlah berbangga kerana berjaya membuktikan Kelantan tidak bebas dan bersih maksiat selepas 20 tahun memerintah dengan nama Islam dengan mendedahkan pusat-pusat maksiat yang yang tak pernah pun diberi lesen itu.

PAS tak pernah pun menafikan kesungguhan kerajaan pusat memburu dadah, arak, judi dan pelacuran haram. Itu nahi mungkar yang disokong.

Apa yang PAS canggah adalah bagaimana kerajaan pusat boleh meluluskan pusat dan aktiviti yang mendorong maksiat dan kejahatan secara terbuka dan halal pula?

Mengapa kuasa dimandulkan? Tidakkah kuasa itu hak dan milik Allah yang dikurniakan kepada manusia untuk membantu al Quran di dalam kekuasaannya ke atas manusia agar mereka selamat dan sejahtera?

Jadi, jika kerajaan pusat yang memiliki kekuatan 100 kali ganda kuasa berbanding kerajaan Kelantan pun tak mampu mengisytiharkan kejayaan membanteras pelbagai aktiviti haram tersebut, maka bayangkanlah kesukaran kerajaan Kelantan juga.

Fahami ini jika anda seorang yang berakal, insaf dan takutkan murka Allah.

Sesudah anda memahami ini, ketahuilah kekuatan dan kuasa sebenar adalah pada diri sendiri. Kita menyebutnya sebagai sumber manusia. Atau modal insan. Dalam menyeru kemakrufan dan mencegah kemungkaran, keberkesanan terlalu bergantung kepada iman di dada dan dorongannya yang kuat untuk melaksanakan tugas dan amanah Allah ke atas hambaNya.

Jika saya dibenar bercakap lantang, saya akan lahirkan rasa bangga dengan rakan-rakan di MPKB yang begitu ikhlas dan bersungguh-sungguh melaksanakan misi kerajaan negeri untuk membangun bersama Islam.

Tetapi demi keadilan dan keinsafan, saya terkadang menjadi kecewa dan muak dengan segelintir warganya, ahli majlis dan pegawai MPKB yang tidak pun membantu kemeriahan berkerja, bahkan mengusutkan dan melambatkan kerja-kerja benar dan disukai Allah.

Paling menyayatkan, mereka berhujah semacam mereka ini pakar di dalam siasah syar’eiyah pula. Semoga Allah menemukan kita dengan penyelesaian.

Kawan saya, seorang doktor pulang dari ibadah haji beberapa bulan lepas. Bukan buah tamar dan kismis, tetapi sebuah buku dalam teks Arab telah dihadiahkan kepada saya tulisan seorang ulama terkenal, Doktor Salman al Audah bertajuk ‘Terima Kasih Wahai Musuhku’.

Isinya tentu menarik. Saya masih belum membacanya kerana dalam telaah beberapa kitab lain.

Terima kasih sahabatku. Terima kasih juga wahai musuhku. Tak kiralah syeikh-syeikh Firaun yang telah tumbang di Mesir itu atau syeh-syeh Quraish yang sedia menanti tumbang diterjang sunnah Allah ke atas penjarah di muka bumi ini.

Salam Palestin,

Jika tak ada ulama masuk UMNO, maka;

1) 100% UMNO adalah buruk. Bagaimana boleh dibayangkan sebuah kumpulan besar masyarakat Islam boleh wujud tanpa tokoh ugama yang mendukung dan menasihati? Mustafa Kamal Ataturk pun perlukan sokongan ulama untuk menjayakan misi kumpulannya. Jadi, tak mungkin UMNO tak ada ulama. UMNO mesti cari ulama. Jika sebaliknya, dulu lagi UMNO dah berkubur.

2) Di manakah ulama jahat ( ulama al su’ ) hendak bersarang? Dalam PAS tak mungkin sebab PAS berjuang untuk Islam yang benar sedang mereka adalah ulama palsu dengan cita – cita palsu. Berseorangan juga tak mungkin sebab ulama jenis ini lahir kerana kepentingan duaniawi yang ditagih. Berseorangan hanya menghalangnya mendapat habuan tesebut. Menubuhkan jamaah sendiri juga tidak mungkin sebab ulama jahat tak boleh bersatu sesama mereka kerana kepentingan diri yang saling bercanggahan, apatah untuk menyatukan masyarakat. Jadi, wujud UMNO yang berkuasa adalah tuah dan syurga buat ulama jenis ini.

3) Susahlah umat Islam untuk mengenali ulama akhirat yang sebenar sebab tanpa perpecahan antara dua golongan ulama ini, sukarlah pengecaman, pengenalan dan pengasingan berlaku. Islam adalah al furqan, datang untuk membelah dan mengasingkan kebaikan daripada kejahatan. Jadi kewujudan ulama jahat dalam kumpulan jahat adalah sunnatuLlah. Begitulah sebaliknya.

4) Hilanglah bisa ulama dalam PAS. Putih zahir di tepi hitam! Orang baik zahir dengan zahirnya orang jahat. Dizahirkan kehebatan dan keabdian Musa alaihissalam dengan dizahirkan kebebalan dan keangkuhan Firaun. Ibrahim vs Namrud. Begitulah dihidupkan watak yang bertentangan sebgai pengenalan. Justeru anda tak nampak bisa ulama PAS sehinggalah anda melihat ‘bisa’ ulama UMNO. Jadi demi wibawa ulama PAS, mestilah dihantar ulama untuk masuk UMNO. Jika UMNO gagal menggoda mereka, banyak syaitan iblis akan datang membantu..

5) Siapa nak mempertahankan kezaliman UMNO dengan fatwa – fatawa yang boleh mengelirukan umat Islam sehingga terus melihat kezaliman sebagai keadilan, lalu mereka menyokongnya? Tun mahathir, siapa nak amin fatwanya menghalalkan judi?! Paling tidak, bila ulama UMNO senyap, orang akan kata judi itu harus sebab kita ini masyarakat majmuk. Misalnya itulah. Jadi, demi kekeliruan umat yang mesti dikekalkan demi kelangsungan kerajaan zalim UMNO, ulama muda atau tua mesti ada dalam UMNO. Tak boleh tak ada. Jika tak ada, dulu lagi UMNO dah tak ada. Tak ada maknanya mati. Mati dalam bahasa kasar disebut mampus! Anda boleh pilih mana satu yang berkenan..

5 sebab yang saya paparkan di atas adalah sebagai menjelaskan betapa kemasukan ulama dalam UMNO bukan satu perkara yang pelik. Bahkan ia adalah keperluan perjalanan sunnah Allah agar pengenalan, pengasingan dan pemisahan terus berlaku dalam ujianNya ke atas umat manusia.  

Yang anda perlu tahu sangat ialah ilmu dan taqwa ulama. Ilmu dan taqwa adalah hujah para ulama, bukan buih mulut, harta, kedudukan dan wajah.

Yang anda perlu tahu ialah ulama umat Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam tak mungkin bersatu di dlam kegelapan dan kezaliman. Jika majoriti ulama menyokong UMNO, ia adalah satu hujjah UMNO adalah benar. Jika 40 ulama masuk UMNO manakala baki 40000 kekal dlaam perjuangan Islam, itu adalah hujjah UMNO adalah karut dan sesat.

Katakan, 40000 itu adalah ulama warisan umat Muhammad, manakala 40 itu adalah ulama warisan Yahudi. Persetan ulama Yahudi dalam umat Muhammad. Teruskan perjuangan dengan kepimpinan ulama yang bertaqwa..

Di dalam Islam, binaan kepercayaan batin di dada seorang muslim terhadap sesuatu adalah lebih penting dan didahulukan daripada perlakuan zahirnya terhadap kepercayaan tersebut. Justeru iman lebih penting daripada Islam sekalipun tiada mungkin wujud iman tanpa rukun Islam yang pertama, iaitu pengakuan zahir lidah dengan syahadah la ilaha illaLlah.  

Seseorang itu tetap muslim ( kerana syahadahnya )sekalipun dia tidak solat atau meminum arak sekiranya dia masih mengimani kewajiban solat dan keharaman arak ke atasnya. Kecacatan pada Islamnya itu ( kerana meninggalkan kewajiban ) menjadikannya bukan seorang yang beriman dengan sebenar – benar iman. Iman belum memasuki dan tetap dadanya.

Dia cacat Islam dan iman. Dia seorang yang fasiq. Orang fasiq boleh dikenali secara mudah kerana ia berkaitan perlakuan zahirnya.

Tetapi segalanya bubar dan runtuh apabila dia tidak percaya dan mengimani kewajiban solat ke atasnya sekalipun dia bersolat lima waktu. Begitulah juga, samada dia minum arak atau tidak, Islam dan imannya gugur dan hancur apabila dia meyakini dan percaya tiada pengharaman arak ke atas dirinya.

Jika dia berterus terang terhadap keingkarannya itu dengan lidahnya, maka dia telah murtad lalu menjadi kufur. Hukuman zahir ke atas si murtad berjalan ke atasnya. Jika dia menyembunyikannya, maka dia adalah munafik peringkat utama, iaitu munafik aqidah yang akan menjahanamkannya di sisi Allah yang maha mengetahui segala – galanya.  

Tiada beza di sisi Allah bagi orang yang ingkar di dalam dadanya samada dia melakukan kewajiban solat atau tidak. Begitu juga amalan – amalan yang lain. Adapun di sisi manusia, ia berbeza disebabkan mereka lemah dan gagal mengetahui erihal hati dan batin.

Orang munafiq sukar dikenali kerana ia berkaitan kepercayaan di dadanya yang bersifat batin.

Tiada hukuman di dunia ke atas sifat nifaq sehinggalah si munafiq itu melakukan kesalahan dan jenayah zahir sebagaimana muslim yang lain.

Justeru walaupun kemunafikan lebih bebas menjalar di dalam masyarakat muslim dengan tertangguhnya hukuman duniawi ke atas gejala buruk batinnya berbanding perlakuan fasiq yang nyata dan mengundang hukuman duniawi, tetapi nifaq yang merosakkan iman di dada itu adalah lebih bahaya dan menakutkan untuk kehidupan masyarakat Islam di dunia dan diri sendiri di akhirat nanti.

Penjelasan ini akan dilihat secara lebih jelas jika sekiranya kita hidup di dalam sebuah Negara Islam. Adapun di dalam negara Malaysia yang menolak hukum – hukum ugama hari ini, kita mungkin sukar memahami kebahayaan nifaq berbanding kefasiqan. 

Lihat saja YB Dato Bung Mukhtar yang dihukum dengan hukuman oleh mahkamah syariah kerana masalah pendaftaran perkahwinan keduanya sedangkan kesalahan zina, bersekedudukan dan pergaulan bebaslah yang sepatutnya  mesti diutamakan hukumannya kerana ia adalah maksiat yang nyata.

Hasilnya, daripada kahwin dua yang begitu susah tatacaranya dan mengaibkan secara rasmi, lebih baik menyimpan 10 perempuan simpanan.

Begitulah apabila ugama Islam ditampal – tampal untuk memperindahkan sistem dan undang – undang  sekular yang saling bertentangan di antara keduanya. Islam menjadi kelihatan hodoh dan zalim di mata manusia dek dipaksa menerima kehendak nafsu dan kemunaqian dalam beragama.

Allah secara jelas menolak kecuali Islam ini hendaklah diambil dan dipakai terima secara menyeluruh. Apabila Allah berkata tidak, maka tiada yang menjadi apabila kataNya dilanggar.

Begitulah UMNO dan itulah UMNO, dulu sehinggalah kini.

Apabila isu judi bola sepak yang baru dilesenkan, disahkan dan dihalalkan oleh kerajaan BN mula panas dan kini menjadi isu utama di negara kita hari ini, kita sebenarnya tidak boleh ketinggalan untuk mengenali da memahami beberapa perkara penting yang menjadi binaan kukuh di dalam kehidupan Islami umat ini.  

Saya ingin berkongsi dengan anda untuk membuat penilaian ke atas perkara – perkara berikut:

1)      Di mana letaknya Islam ketika para pemimpin UMNO menghalalkan judi yang terbaru ini?

Adakah mereka menerima pengharaman Islam terhadap judi tetapi tetap menghalalkannya? Atau, mereka sebenarnya telah ingkar terhadap pengharaman itu di dalam hati lalu menghalalkannya?

Dengan kes – kes pelesenan judi yang tak pernah lekang daripada perlakuan UMNO yang terus menghalalkannya dari dulu sehingga kini dan tiada langsung usaha ke arah menghapuskannya secara total, hampir – hampir kelihatan bahawa para pemimpin besar UMNO seolah – olah beriman dan yakin bahawa judi adalah halal dan mesti dihalalkan permainannya, pendapatannya dan kesannya juga.

Jika ini, maka jelas ia adalah perang terhadap Allah dan hukumnya.  Jika ini, iman UMNO adalah tertanggal, runtuh dan kosong. UMNO dengan itu adalah sekularis totok setotok watak Kamal Ataturk, bapa sekular Turki lampau dan partinya.

Tetapi, jika dilihat kepada watak UMNO daripada sisi terbalik yang bercakap mengenai ugama Islam dan kepentingannya, juga perlaksanaan projek – projek ke arah kemajuan Islam dan juga kelantangan beberapa pemimpinnya yang turut menolak judi dan penghalalannya, maka adalah salah untuk membenarkan telahan bahawa UMNO sebenarnya telah menolak pengharaman judi oleh ugama.

Jika begitu, UMNO dihinggap penyakit nifaq yang jelas. Ia telah menghalalkan judi berkali – kali dan tidak pernah berhenti menghalalkannya. Tetapi ia menutup keberanian dan kejalangannya ke atas agama itu dengan kempen – kempen ke arah kehidupan Islami yang sihat, malah menghidupkan sebahagian syiarnya yang agung seperti pembinaan masjid, pusat pengajian Islam, Tabung Haji dan sebagainya.

Inilah nifaq yang tulen. Ini lidah bercabang yang terhina di dalam beragama. Kita menjadi semakin hampir untuk membenarkan hukuman ini.

Tetapi jika anda masih keliru dan enggan menerima penghukuman nifaq ke atas UMNO disebabkan kekeliruan  dan kesamaran yang masih menghantui, maka tiada lagi buat UMNO selain kefasiqan yang nyata.

Fasiq kerana ia secara terang – terang menghalalkan apa yang diharamkan Allah secara terang – terang juga. Hanya yang menyelamatkan UMNO adalah soal hati dan batinnya yang sukar dibaca  dan sering berubah – ubah di antara patuh dan ingkar.

Fasiq adalah keluar daripada ketaatan secara nyata. Menghalalkan judi dengan melesenkannya sebagai perniagaan untuk mengaut keuntungan adalah keluar daripada ketaatan kepada Allah yang nyata.

Jika anda tetap keliru menghukum UMNO sebagai fasiq dalam kes ini, maka anda sebenarnya keliru terhadap  iman di dada anda sendiri. Adakah anda seorang yang beriman kepada Allah?

Seorang muslim tidak mungkin keliru untuk berperang bagi pihak Allah. Saya adalah daripadanya dengan izin dan rahmatNya. Semoga anda juga.

2)      Apakah sikap dan pendirian kita di dalam isu ini sebagai seorang muslim?

 Jika anda ridha dengan penghalalan judi, maka anda keluar daripada garisan iman dan iman anda tercabut daripada dada. Ini hukum yang pasti. Ridha adalah soal hati. Hanya Allah, kemudian anda yang mengetahui hati anda. Dan, semoga Allah menjauhi kita daripada perbuatan menghalalkan apa yang diharamkan Allah.

Jika anda tidak ridha dengan penghalalan judi oleh UMNO, anda adalah seorang muslim. Tetapi anda bukan lagi seorang yang beriman sehinggalah anda menentang kejahatan UMNO itu dengan kekuatan tangan atau lidah. Itu syarat iman yang benar. Ciri iman adalah menentang kemungkaran dengan tenaga yang ada sebagaimana ianya adalah menyuruh kepada kemakrufan dengan segala hikmah.

Jika anda lemah, maka lawannya dengan hati dengan membenci UMNO. Membenci UMNO adalah iman! Tetapi itulah selemah – lemah iman sebagaimana itulah persabdaan junjungan nabi sallaLlahu alaihi wasallam. Sudikah anda kembali kepada Allah dengan membawa iman yang lemah dan longlai dek takut menyebelahi Allah secara nyata untuk menentang kezaliman UMNO?

Justeru lawanlah UMNO dan kemungkarannya. Lawan dengan tangan jika itu tuntutannya. Atau dengan lidah kerana itulah tuntutan penentangan dalam masyarakat muslim. Kedua – duanya mestilah disertakan dengan kebencian yang nyata terhadap UMNO dan kejalangannya.

Itulah keseronokan beriman pada tahapnya yang benar.

UMNO? UMNO begitulah hukum ke atas mereka sehinggalah mereka menarik balik lesen judi tersebut dan kembali kepada Islam dan pengajarannya yang mesti diimani dan ditaati. Tetapi sayugia diingatkan bahawa UMNO adalah penuh dengan perlanggaran terhadap hukum – hukum Allah dan pengajaranNya. Selepas berpisah daripada judi, UMNO mestilah berpisah daripada kemungkaran ugama yang lain. Di situ UMNO pun berubah.

Orang UMNO? Demi iman, wajib ke atas orang – orang UMNO membantah secara nyata kerana jika sebaliknya kekeliruan akan terus  menyelubungi iman mereka. Mereka dengan demikian, seolah – olah menyokong dan meredhainya. Jika mereka diam, iman mereka sentiasa di dalam kabut fitnah. Menjadi penyokong UMNO pun satu hal, apatah apabila diam terhadap kemungkaran tuannya yang nyata.  

3)      Bagaimana dengan ulama yang mendiam diri?

Merekalah syaitan bisu! Mana ada syaitan yang bisu? Ya, tiada syaitan bisu selain mereka. Mereka adalah manusia syaitani. Mereka bukan pewaris ulama umat nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, tetapi  mereka adalah warisan ulama Yahudi dan Nasrani yang menyelewengkan ugama mereka yang benar.

Ulama yang diam di saat umat memerlukan sikap dan kata – kata mereka, itulah seburuk – buruk orang alim di dunia ini.

Jika anda menemui mereka, jauhi mereka kerana neraka lebih dekat kepada mereka berbanding kita orang awam. Jika anda menjauhi mereka, yakinlah anda sedang mendekati ulama yang benar. Tiada ulama yang benar kecuali berani berkata benar dalam semua perkara yang dalam ilmu dan pengetahuan mereka.

Jika anda bergurukan ulama yang benar dan berani, anda akan turut menjadi benar dan berani dalam iman. Itulah sebaik – baik tuah dalam kehidupan ini.

4)      Adakah UMNO adalah sebuah harapan untuk umat Islam?

Tanyalah iman di dada. Tepuk dan tanya. Bagi saya, jika seratus doktor berusaha mengubati UMNO hari ini, mereka memerlukan seribu doktor pula untuk mengubati mereka pula akibat terkena jangkitan penyakit  UMNO!

Seorang mufti yang sentiasa pelik dan ajaib dalam negara kita pernah menyarankan supaya pengidap jangkitan AIDS hendaklah diasingkan ke sebuah pulau yang terasing agar masyarakat menjadi selamat daripada jangkitan mereka.

Sila anda jawab soalan ini; Bezakan di antara UMNO dan AIDS?

Jika anda gagal menemui perbezaan, sila hantar UMNO ke pulau tersebut. Jika sebaliknya, marilah bersama menghapuskan nyamuk aedes!

Umat Islam tidak memerlukan UMNO untuk keagungan Islam dan kegemilangan mereka.

Salam Kamunting,

Keusahawanan bukanlah bidang yang saya pelajari semasa belajar dulu. Dari kecil sehinggalah habis pengajian saya di Mesir, saya hanya menumpu pada bidang ilmu – ilmu agama, khususnya bidang al Hadis. Makanya, saya mudah didorong untuk berpolitik kerana agama memaksa kita berpolitik.

 Apapun, dari dulu saya minat melihat dan mendengar cerita perniagaan dan keusahawanan. Siapa tak suka dengar cerita duit dan kekayaan?

Semasa di India, saya pernah berlaba besar hasil daripada jualan barangan, terutama kain sari dari sana semasa pulang bercuti. Jadi, boleh acaplah saya pulang bercuti ke tanah air. Tetapi akhirnya, saya ditipu besar pula oleh masyarakat orang bukit atau orang asli dari pergunungan utara India yang datang ke ibu kota New Delhi kononnya membawa hasil kasturi. Ia cerita lucu paling lucu dalam sejarah saya dan kawan – kawan yang belajar di sana. Sampai sekarang, ia menjadi cerita pecah perut di kalangan kami.  

Oleh itu, apabila saya pulang daripada belajar, minat saya itu rupanya telah mempercepatkan sahutan saya untuk menceburi bidang perniagaan. Ini sementelahan saya mula didekati rakan – rakan niaga daripada pelbagai cabang perniagaan. Sesetengahnya sudah pun berjaya dan kaya. Kebanyakannya masih dalam proses mencuba, rebah dan bangun. 

10 tahun lepas, masihlah saya ingat bagaimana saya mula mengeluarkan modal yang agak besar juga daripada simpanan saya untuk memulakan perniagaan. Malangnya, dalam dua kelip mata saja, modal saya hangus berlabakan arang! Dalam tersandar saya mula menyedari betapa perniagaan adalah bidang persaingan hebat yang memerlukan ilmu dan pengetahuan.

Saya mula membaca buku mengenai perniagaan dan asyik sekali mengikuti penerangan, taklimat dan bertanya pasal perniagaan. Ia menyeronokkan.

Kemudian saya keluarkan lagi modal untuk memulakan penerokaan dalam pelbagai aktiviti keusahawanan. Sekali lagi saya terpaku dan terhenti apabila melihat sesetengah perniagaan itu dihiasi kecantikan yang didalamnya adalah penipuan, riba dan transaksi yang dilarang ugama.

Justeru saya mula berhati – hati dan membelek kembali kitab hukum kontemporari yang membuka lembaran jawaban yang baik sekali untuk melihat kepada kesempurnaan perniagaan dalam Islam.

Saya terus mendaki. Saya mula mengecapi keuntungan dan keseronokan. Oleh kerana semuanya nampak manis, saya berniaga dalam pelbagai sektor walaupun pada skala yang kecil. Tetapi malang sekali, keuntungan dan keseronokan yang dikecapi itu kadang – kadang dengan mudahnya direntap dan disentak daripada kita. 

Sifat khianat adalah musuh yang sukar diramal. Khianat sering berlaku dalam lingkungan kawan – kawan sendiri. Khianat lawannya amanah. Amanah tidak diberikan kecuali kepada orang terpercaya. Apabila dia mungkir, berlakulah pengkhianatan yang sukar ditelan. Tetapi anda terpaksa menelannya. Sebabnya ia sebahagian daripada dunia perniagaan. Bahkan dunia kehidupan.

Dunia perniagaan sepertilah dunia politik walaupun ia tidaklah seteruk politik dan ahli politik. Ia bukan kembar, tetapi adik – beradik yang banyak kesamaan. Ia penuh rintangan, kepalsuan dan keganasan.

Ramai yang enggan berpolitik, malah sesetengahnya langsung malas ambil pusing tentang politik. Alasannya politik itu kotor dan dipenuhi pengotor, bahkan mengotorkan persekitaran kehidupan yang bersih dan aman. Tetapi anda tahu, ia adalah sama seperti sikap seorang yang enggan menangkap pencuri dirumah jirannya kerana takut rumahnya dicuri pula.

Ramai, terutama orang Melayu yang enggan berniaga, malah sinis sekali dengan dunia perniagaan. Kerjanya mentertawakan kawan – kawannya yang jatuh dalam perniagaan dan berkata, “Itulah kamu, tak dengar cakap aku.” Lalu dia merasakan dia telah beruntung kerana tidak berniaga. Tetapi anda tahu, memiliki sekumpulan pemangsa seperti inilah yang akan melambatkan kemajuan bangsa dan umat.

Jika anda ingin berkuasa dan adil, anda terpaksa terjun politik. Jika tidak, andalah sebab al Aqsa terus dijajah Yahudi. Jika anda ingin kaya dan pemurah, anda terpaksa terjun ke dunia perniagaan. Jika tidak, andalah sebab umat  mustadh’afin dan faqir di dunia Islam sanggup menukar ugama mereka demi sesuap nasi! Tidak anda menjadi jari jemari yang mematahkan ego penguasa, tidak pula anda menjadi jari jemari yang menyuapi umat yang kelaparan. Yang ada hanyalah angan – angan bahawa anda telah ada iman yang hebat di dada!

Justeru berpolitik dan berniaga adalah kemuliaan. Ia tidak pun kurang sedikit berbanding dunia pendidikan, islah, ibadah dan lain-lain. Bahkan, dunia politik menentang kemungkaran dan kezaliman pemerintah adalah kemuncak jihad di dunia Islam hari ini.

Tiada yang malang apabila anda dikhianati dalam perniagaan. Yang malang adalah mereka yang mengkhianati anda. Mereka menunda kekayaan mereka ke belakang sedang anda hanyalah menarik hela nafas panjang untuk membolot kekayaan yang lebih besar.

Di sebalik kepahitan terpaksa menelan sifat khianat sesama sendiri, anda akan dikurniai rasa agung dalam diri kerana telah dikurniai Allah dengan sifat amanah. Amanah anda teruji dalam perniagaan. Setiap ujian memberikan kepuasan dan keyakinan pada diri sendiri yang tiada tolak bandingnya.

Paling bagus, anda mengenali kawan – kawan yang amanah dan mula belajar mengecami wajah –  wajah yang amanah. Apabila anda memiliki persekitaran amanah yang menyokong anda, sesungguhnya itulah kekayaan yang mendatangi anda daripada jalan yang tidak anda sangkakan. Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, pasti Allah membukanya jalan keluar dan mengurniainya dengan rezeki yang tak terjangkakan. Ia seribu dinar dari bawah bantal amanah dan taqwa.

Sepertilah dalam politik, saya tidak patah untuk mendepani setiap kemungkaran daripada dalam dan luar. Saya berusaha untuk sentiasa dalam memburu sifat benar dan amanah. Kerana ia matlamat saya, sesungguhnya saya telah terdidik untuk menjadi berani dan bersedia. Apabila saya lemah dan letih, saya segera membuangnya daripada terus membebani diri.

Orang khianat biasanya membawa bersama sifat buruk yang lain. Bohong bila bercakap. Degil bila dinasihati. Memfitnah bila menjawab. Yang pasti, mungkir pada janji.

Mula – mula ia mungkir janji dengan anda. Kemudian dia tidak pun merasa bersalah untuk memungkiri janji mereka dengan Allah. Apabila ditanya, mereka menuduh, berdusta dan mendusta.

Saat mereka miskin dan terdesak, mereka berdoa, jika mereka dikurniai Allah dengan rezeki melimpah ruah, pasti mereka akan bersedekah sebanyak – banyaknya dan menjadi daripada kalangan hambaNya yang bersyukur. Tetapi apabila Allah mengurniai mereka apa yang mereka pinta, lalu mereka menjadi kaya dan kembung, tiba – tiba mereka menjadi bakhil dan kedekut (Maksud ayat al Quran). Dengan manusia mereka kedekut sampai hutang pun tak nak bayar, lantas dengan Allah pun mereka boleh kedekut dan mungkir.

Hujah mereka, ini semua usaha mereka. Titik peluh mereka. Cerdik mereka. Itulah aku, Akulah tu, sebab aku.  Seribu ini aku yang usahakan. Seratus ribu ini pun aku. 700 ribu ini pun aku. Sejuta inipun aku. Anda bayangkan betapa jijiknya mereka diresapi sifat – sifat buruk dalam kehidupan.   

Semalam saya membaca tulisan Dr Juanda Jaya, mufti negeri Perlis Indera Kayangan dalam sebuah akhbar harian. Beliau menyelar perniagaan yang menggunakan nama agama atau institusi keagamaan demi membuncitkan perut sendiri dan meninggalkan amanah dan janji. Saya membacanya dua kali. Saya terpana, sedih dan kecewa. 

Saya menyokong tulisan beliau. Kerana itu, saya menulis untuk menyokongnya.

Kemudian saya mendapati sedih dan kecewa saya bukanlah untuk saya. Ia adalah untuk orang lain yang gagal menginsafi diri mereka dalam dunia perniagaan. Adapun saya, saya akan sentiasa bangkit dalam perjuangan. Anda pun tahu, saya hidup untuk memburu sifat amanah dan benar.

Salam Kamunting,

Isu arak yang tengah panas di Selangor hendaklah difahami sebagai isu kawalan penjualan arak, bukan isu pengharaman arak. Arak adalah haram di sisi Islam. Meminum, menjual, mengangkat dan apa – apa yang bersifat  menyokongnya adalah haram dan berdosa besarlah setiap muslim yang melakukannya.

Jika sebuah negara itu penduduknya Islam semuanya, maka tidak boleh ada satu pun kedai yang dibenarkan menjual arak. Undang – undang Islam mengenainya adalah ketat seketat yang dikehendaki Allah, tuhan yang menciptakan arak lalu mengharamkannya ke atas manusia.

Adapun jika sebuah negara umat Islam itu turut didiami bukan Islam yang menghalalkan arak dalam kehidupan mereka, maka hak untuk mendapatkan bekalan arak itu hendaklah diberikan. Oleh kerana wujud ketakutan ianya mempengaruhi kehidupan masyarakat Islam, maka penjualan dan pengedaran arak di kalangan masyarakat bukan Islam hendaklah dikawal oleh kerajaan yang memerintah.

Oleh kerana hampir tiada negara umat Islam hari ini yang tegak tanpa minoriti bukan Islam, maka undang – undang pengawalan penjualan arak haruslah diterima pakai dan hendaklah sentiasa disemak agar ianya memberi dan menepati keadilan dan hak kepada semua rakyat.

Hikmat pengharaman arak adalah terlalu jelas. Allah menyebutnya di dalam al Quran agar ianya jelas dan menutup kekeliruan manusia terhadap pengharamannya. Tidak ada ugama yang tidak mengharamkan arak. Yang menjadikannya halal hanyalah penganut ugama masing – masing bergantung kekuatan mereka mengamalkan ugama mereka.

Di negara kita, arak adalah halal. Kerajaan menjadikannya hasil mahsul ekonomi negara. Sedikit kawalan ke atasnya oleh undang – undang negara adalah sekadar untuk mengesahkannya sebagai halal. Ia seperti undang – undang menyekat zina, riba dan rokok. Barang halal yang terkawal, bukan barang haram yang terkawal.

Justeru dalam Islam, ianya adalah isu menghalalkan yang haram. Ia satu dosa besar dan dibalas kehinaan, murka dan neraka tuhan. Ridha ke atas ketetapan ini juga adalah haram dan teramat besar dosa dan kehinaannya di sisi Allah. Justeru sebarang usaha, seruan dan sokongan ke atas pengharaman dan pengawalannya daripada melegari kehidupan umat Islam di negara kita adalah wajib dan diganjari ridha dan ganjaran Allah. Ia melepaskan kita daripada dosa yang dikembangkan oleh pemerintah Islam yang derhaka kepada Allah.

Ia bukan isu sensitiviti. Ia isu iman. Ia samada syurga atau neraka.

Undang – undang negara mengenai arak hari ini adalah menepati kehendak masyarakat bukan Islam yang langsung membuang hukum agama mereka berkenaan arak. Untuk mereka agama mereka. Tetapi ugama mereka bukan untuk kita. Malangnya, pemerintah negara kita yang mengaku muslim berlaku dan bertindak sebaliknya. Ia kemalangan yang menghinakan umat Islam di negara sendiri.

Oleh kerana PAS adalah gerakan Islam nasional yang berusaha menguasai politik dan kuasa demi pelaksanaan dasar dan polisi Islam yang lebih kukuh dalam negara, maka PAS dilihat mampu, bertanggung jawab dan mesti menggunakan kudratnya untuk memastikan penjualan arak di dalam negara menepati kehendak ugama.

Penguasaan PAS di negeri Kelantan selama hampir 20 tahun telah menyaksikan peraturan ke atas kawalan penjualan arak dilaksanakan. Orang Islam dilarang menjual arak, apatah meminumnya. Kebenaran menjual arak adalah terhad kepada sebilangan premis bukan Islam yang tertentu dengan syarat – syarat yang menjamin penyalah gunaannya yang boleh melibatkan umat Islam.

Selepas lebih 10 tahun perlaksanaan berjalan, masyarakat bukan Islam telah memohon supaya ditambah bilangan premis mereka yang dibenarkan menjual arak kerana bertambahnya kependudukan masyarakat bukan Islam terutama di bandar Kota bharu. Kerajaan telah menyemak balik dan akhirnya meluluskan penambahan koata selepas perundingan yang agak memakan masa kerana ketelitian termasuk soal – soal penyalah gunaan yang dilaporkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Penguat kuasaan kawalan penjualan arak di Kelantan pada awalnya telah mendapat tentangan masyarakat bukan Islam yang bimbang hak dan kebebasan mereka dirampas. MCA pernah berhasrat menganjurkan pesta minum arak terbuka sebagai bantahan ke atas perlaksanaan enakmen tersebut, tetapi akhirnya dibatalkan apabila akur dengan tempelakan YAB Tuan guru yang tidak menghalang, malah menyuruh mereka berpesta minum sampai pecah perut. Ketegasan YAB Menteri Besar Kelantan yang mahukan perlaksanaannya berjalan akhirnya telah diterima baik dan berjalan lancar.

Malah, selepas perlaksanaan berjalan, YAB Tuan Guru menerima panggilan dan ucapan terima kasih dan tahniah yang banyak daripada masyarakat bukan Islam terutama golongan wanita yang mendakwa rumah tangga mereka lebih berseri tanpa arak dan judi yang menghantui suami dan keluarga.

Masyarakat Islam selamat daripada mendekati dan didekati arak dan masyarakat bukan Islam mula belajar budaya hidup sihat tanpa arak melampau dan mula memahami sensitiviti umat Islam terhadapnya. Yang lebih penting, mereka mula mengenali bahawa masyarakat Melayu yang mengharamkan arak adalah jauh lebih menyayangi mereka berbanding masyarakat Melayu ( baca UMNO ) yang menghalalkan arak.

Pengalaman saya sebagai ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menunjukkan bahawa masyarakat Islam dan bukan Islam telah menjadi begitu sensitif dan sering melaporkan kejadian – kejadian pelanggaran samada oleh orang Islam ( terutama remaja ) atau bukan Islam.

Pastinya arak bukan lagi punca dan ancaman besar kerosakan akhlak dan sosial di Kelantan.

Hari ini anda sedang mendengar isu arak kembali geger dan bising di negeri Selangor yang berada di bawah Pakatan Rakyat yang diterajui PKR.

Anda berhak gusar dan bertindak balas. Tetapi dalam politik, adalah baik tarik tali itu terus berlangsung walau selama mana pun. Putus tali tidak menghasilkan keputusan baik yang dikehendaki.

PAS berhak mengkritik sebagai mana DAP juga. Apabila kita berada di dalam Pakatan Rakyat yang bersifat persefahaman di antara parti – parti yang mempunyai dasar yang berlainan, adalah perlu perselisihan sesama sendiri diselesaikan dengan baik.

Perlaksanaan nilai Islam oleh PAS dalam Pakatan Rakyat di Selangor tidak akan semudah di Kelantan, malah kesukarannya mudah pula dilihat. Justeru jalan terbaik ialah berusaha mengurangkan jurang selisih melalui perbincangan yang harmoni dan berterusan. Itu selagi kedua – dua pihak bersetuju begitu.

Mungkin wujud beberapa kesilapan bersifat teknikal daripada PAS. Ia boleh berlaku di mana sahaja dan bila – bila saja kerana kesilapan kecil adalah tanda kita ini manusia, bukan malaikat. MPKB – BRI pernah dicabar di mahkamah oleh pemilik premis muslim yang mencabar peraturan Islam yang dilaksanakan. MBKB-BRI kalah dan terpaksa membayar puluhan ribu ringgit. Tetapi PAS telah menang di dalam politik dan kesungguhan untuk melaksanakan kewajiban di atas pundaknya.   

Daripada kesilapan yang diakuri, berapa banyak sejarah kejayaan yang sudah ditempa daripadanya.

DAP pula harus belajar untuk mengendurkan ketegangan yang tidak perlu. Akur bahawa kawalan penjualan arak adalah hak umat Islam yang terabai. UMNO menggadai dan menjual hak ini sekian lama demi kuasa yang telah menyesatkan mereka. UMNO menjual ugama semurah yang mereka mahu.

Kita akur bahawa banyak hak orang Islam dan hak bukan Islam telah dilenyapkan oleh warga BN selama pemerintahan mereka lebih 50 tahun sejak negara merdeka. Jika kita mahu bertahan lama dalam Pakatan Rakyat, tarik tali itu biarlah tidak putus. Kita sedang belajar untuk menunaikan hak.

Usaha PAS Selangor semestinya perlu disokong semua pihak. Jika ada parti politik merasakan ianya tidak menyebelahi mereka, ia bukanlah parti rakyat kerana kawalan penjualan arak adalah hak rakyat dan mengharmonikan rakyat.  Arak bahayanya tiada yang menyangkalnya. Jika ada, sah dia UMNO ultra, tak kiralah dia PAS atau DAP.

Nak ke jadi UMNO?

Salam Kamunting,

Perang pilihan raya di Manek Urai telah tamat dan PAS berjaya mengekalkan rentak kemenangan yang berterusan dalam siri pilihan raya kecil pasca PRU 12. Kemenangan tipis dengan majoriti hanya 65 undi adalah agak mendebarkan dan mengejutkan. PAS dan UMNO masing – masing terkejut.

Ia adalah kejutan yang boleh berlaku di mana – mana. Para sahabat al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam mengalaminya di medan Uhud dan di medan Hunain. Kejutan itu daripada Allah. Kita menjangkakan kemenangan selesa sehingga petang dan UMNO mengakuinya, tetapi Allah datang di hujung senja dengan kehendakNya. UMNO kalah kerana itulah kesudahan musuh Allah. Kita pula kalah dalam dan dengan strategi kita sendiri. Allah memenangkan agamaNya. Pastinya bukan kita!

Bagi seorang mukmin yang peka dan khusyu’, mengambil ibrah dan pengajaran adalah lebih jitu dan berguna daripada menikmati kemenangan. Kemenangan adalah anugerah dan hadiah, sedang ibrah adalah amanah dan tanggung jawab. Menang di dunia bukan bererti menang di akhirat, sedang mengambil ibrah di dunia pasti beroleh kemenangan di sana.

Uhud mengajar sahabat erti taat dan tidak gelojoh. Hunain mengajar mereka erti berani dan tidak ujub. Itulah yang utama. Daripada ibrah itulah para sahabat membina diri menjadi tentera Allah yang siap siaga memacu perjuangan dan dakwah.

Allah menghendaki kita mengambil ibrah dari Manek Urai melebihi kegelojohan kita untuk menikmati kemenangan darinya.

Saya harap post mortem terhadap keputusan pilihan raya N41 Manek Urai akan menghasilkan jawaban yang tepat demi mengekalkan kita dalam landasan perjuangan.

Faktor rohani hendaklah diutamakan. Itulah makna perjuangan Islam.

Perhatikan persoalan – persoalan berikut:

1) Mengapa begitu mudah pengundi culaan milik kita di Manek Urai menukar undi kepada BN sedangkan Manek Urai adalah kubu kita di selatan sejak dulu? Di mana nilai agama?

2) Mengapa kita bermudah dengan penceramah DAP, tetapi tidak sesama kita? Tidakkah sebelum ini kita mudah dengan DAP dan lebih mudah sesama kita, dan terbukti telah berjaya?

3) Mengapa perselisihan dalaman dihidupkan sepanjang kempen di Manek Urai sehingga media massa dan musuh seronok memainkannya. Itukah kematangan?

4) Kesatuan adalah syarat kemenangan. Adakah kita meraikannya?

5) Mengapa kita gagal membatasi leluasa politik wang UMNO sehingga pengundi tak pun terasa haram menjual undi mereka? Kita di Kelantan, kubu Islam. 

Strategi adalah penting. Tetapi ia bukan bandingan iman di dada. Iman menjadi lemah apabila penyakit hati melanda. Allah melihat hati kita sebelum strategi kita. Apabila iman lemah, tiada yang indah pada strategi. Justeru Allah menegur pada iman, bukan pada strategi.

Kepada anak – anak muda di medan perjuangan, juga di pusat – pusat pengajian, marilah belajar beribrah daripada kejadian hari ini agar kita mantap menyambung tali perjuangan masa depan. Moga kita lebih matang dan bersedia nanti.

PRK tak sama dengan PRU. PAS Kelantan biasanya kalah dalam PRK, tetapi tidak PRU. Kali ini kita menang sebagaimana di Pulai Chondong dulu. Saya yakin Abe Uji mampu memainkan peranan besar membina kembali keyakinan rakyat kepada PAS. Beliau calon yang betul untuk rakyat Manek Urai, insya Allah.

Semoga Kelantan terus membangun bersama Islam.

Salam Kamunting,

1)

Saya menyegerakan penjelasan ini lebih awal daripada niat asal saya untuk menangguhkannya selang beberapa hari lagi. Bagi seorang blogger, adalah sayugia dan menarik untuk memerhatikan tindak balas daripada para pembaca dan masyarakat di luar terhadap apa yang dilontarkannya.

Saya tahu tulisan saya akan masuk akhbar dan menghangatkan dunia blog dan politik. Justeru apabila ia benar – benar terjadi, saya memerlukan sedikit masa untuk melihat, mengukur dan memutuskan sesuatu yang akan lebih mencorakkan apa yang saya inginkan daripada tulisan asal saya. Saya akan gagal jika arus luar menghanyutkan dan memesongkan saya daripada tempat tuju saya.

Saya tidak suka berbicara mengenai arus. Saya tidak beriman dengan arus kerana saya dilarang beriman dengan arus. Kuasa rakyat, Makkal Sakti atau apa nama yang bersifat arus, itu bukan makanan kegemaran saya.

Saya akan berbicara tentang sesuatu yang mencipta arus itu. Saya akan berbicara mengenai angin. Anginlah yang mencipta arus dan gelombang. Saya tidak beriman dengan angin juga. Tetapi saya akan meredah mencari punca angin. Di situ saya menemui apa yang saya inginkan.

Saya menemui Allah. Allah mencipta angin dan Allahlah yang mengarahkan angin mencipta arus dan gelombang. Allahlah tuhan saya. Saya beriman dengan Allah yang satu. Dalam gelombang jenis mana pun, saya mahu tenang. Allahlah sumber ketenangan saya dan seluruh pembaca yang inginkan ketenangan yang benar dan abadi.

Justeru saya tidak akan fana dan luluh dalam gelombang kuasa rakyat atau kemarahan dan ridha rakyat. Rakyat hanyalah mainan pemimpin. Pemimpin adalah angin. Pemimpinlah yang mencetuskan kuasa rakyat dan mengemudi halanya. Dalam kebangunan dan kejatuhan sesebuah negara, pemimpin digunakan Allah untuk menentukan kejayaan dan kehancurannya.

Allah mengarahkan pemuka – pemuka negara melakukan kebaikan dan keadilan. Jika mereka melakukannya, Allah perteguhkan negara tersebut dengan keadilan dan keamanan.  Jika pemuka – pemuka itu engkar, malah melakukan kefasiqan dan kezaliman, Allah pasti menghancurkan negara itu sehancurnya. Ia berpindah dari gelap menuju gelap atau lebih gelap lagi.

Saya bercakap mengenai pemimpin. Rakyat perlukan pemimpin yang benar dan jujur. Kemudian dia mesti berani dan amanah. Jika seorang pemimpin mencetuskan arus, maka arus itu biarlah benar, berguna dan dinikmati hasilnya.  

Semalam saya dihubungi ayahanda dari Kota suci Makkah. Saya tengah menulis pasal bola sepak dan tahniah saya pada pasukan Kelantan dan Selangor yang telah menyajikan permainan yang bagus dalam perlawanan akhir piala FA.

Saya pastinya tersentak. Saya tahu saja apa isinya perbualan nanti. AlhamduliLlah, ia mengesankan walaupun perbualan hanyalah sekitar dua tiga minit. Saya gembira dihubungi kerana saya dapat menjelaskan beberapa perkara yang saya fikir perlu.

Ayahanda menegur dan meminta saya tulis lagi agar kekeliruan dipadamkan. Jangan tinggalkan kekeruhan bertapak lama. Saya kata ya, saya akan tulis dan segera tulis sebagaimana ayahanda mahu.

Pastinya tulisan kedua ini lebih ringan bebanannya. Saya dapat lampu hijau daripada ayahanda. Sebelumnya, saya hanya memohon lampu hijau daripada Allah.  Anda akan lihat bagaimana ketenangan mengalir dalam tulisan saya. Saya lebih yakin.

Selang beberapa jam, belum pun saya mula menulis, saya diberitahu bahawa sekumpulan insan sedang bergembira kerana hal Nik Abduh telah selesai. Ayahandanya telah mengarahnya berhenti buat cerita! Saya tersentak lagi. Wah, ada insan yang begitu teliti pekerjaannya sehingga dia tahu isi perbualan saya dengan ayahanda!

Sekarang anda tahu betapa saya sedang menempuh jalan yang sukar. Anda tahu saya perlukan keberanian yang sudah lama saya pohon daripada Tuhan saya. Betapa saya sering menangis memohon keberanian daripada Allah. Mengapa saya harus mendiam diri, takut dan dilanda kecewa sendirian? Dalam blog ini, saya sering menyeru agar jangan bersedih, berani kerana benar dan pelbagai dorongan ugama, tetapi saya sendiri kelu dan bisu di hadapan kebenaran yang mesti saya sampaikan kepada ayahanda. Saya melukut di hadapan pembohongan dan pemalsuan yang dipaksakan ke atas orang yang saya kasihi.

Sehingga saya tiba – tiba diberikan keberanian itu. Ia melanda – landa datang. Allah memperkenalkan saya jalan dan masanya. Saya kenal diri saya. Saya mampu mengesan, dengan izinNya bahawa sesuatu itu daripada nafsu atau daripada suluhan taufikNya. Ini untuk saya dan diri saya. Justeru saya mulakan dengan nama Allah. Anda pun telah membacanya.

AlhamduliLlah, dalam seketika sahaja saya dihujani tahniah. Ia tidaklah mengujakan saya sehinggalah saya menerima ucapa terima kasih daripada seorang yang saya sayangi. Dia guru saya dan guru ratusan ribu ahli PAS seluruh negara. Saya bertanya adakah saya telah mengganggu dan merosakkan jamaah? Jawabannya tidak. Ia dinikmati oleh mereka yang cintakan keharmonian dan para ulama yang saya maksudkan daripada tulisan saya.

Akhirnya, keberanian turut melanda mereka yang faham tetapi takut dan bersimpati daripada kalangan guru dan sahabat saya. Mereka berjanji untuk turut bersama. Saya bersyukur kerana saya sedang mencetuskan keberanian untuk semua. Kekuatan saya bertambah – tambah dan Allah memberikan saya ketenangan yang saya perlukan saat ini. 

Anda bacalah komentar para penjengok blog ini. Ia berbaur antara puji dan keji. Inilah suara rakyat. Inilah suara yang saya mahukan setiap pemimpin bersimpati dan bertanggung jawab ke atas mereka. Mereka memuji dan mencela dalam arus yang diciptakan ke atas mereka. Justeru arus mestilah benar agar mereka tiada tertipu oleh pemimpin.

Sekarang masanya saya menjelaskan..

2)

Saya dengan sengajanya memilih perkataan ‘pembantu – pembantu ayahanda’ dan menjadikannya umum. Saya tembak terus kerana saya mahu semua orang kena. Semua mereka yang merasakan masing – masing adalah pembantu ayahanda. Saya mahu mereka bertanya, adakah aku yang dimaksudkan?

Pastinya mereka yang tidak pernah bercakap dan menyumbang idea kepada ayahanda mengenai isu – isu politik yang saya maksudkan akan merasakan mereka terkeluar. Keluarlah anda. Sesungguhnya Allah membalas pekerjaan anda dengan kebaikan yang melimpah daripadaNya.

Saya kenal kebanyakan pembantu ayahanda. Mereka inilah kaki dan tangan ayahanda yang telah banyak menyumbang dan berkorban. Daripada Abang Lah pemandu ayahanda yang telah berkhidmat sedari saya kecil sehinggalah YB Dato Ahmad Yaacob, Timbalan Menteri Besar Kelantan, ada ratusan pembantu ayahanda samada di pejabat PAS Kelantan, di pejabat SUK dan di luarnya.

Saya hormati mereka dan saya tabik mereka. Kerja dan bantuan mereka mengatasi saya. Saya hanyalah seorang anak yang menjadi pembantu dalam soal – soal kekeluargaan. Ayahanda pernah meminta saya menjadi Setiausaha Akhbarnya. Saya mohon derhaka. Ayahanda pernah bertanya tahun lepas, di kawasan mana saya mahu bertanding? Saya mohon derhaka. Ayahanda pernah meminta saya menjadi Pegawai Peribadi di DUNnya. Saya mohon derhaka. Ayahanda akur kerana dia tahu maksud dan bebanannya ke atas saya.

Saya mahu kekal sebagai pembantu di rumah. Saya meyakini kekuatan para pembantu ayahanda di luar. Saya tidak banyak masuk campur walaupun kadang – kala bonda bersungut mengenai beberapa pembantu yang dilihat gagal berperanan.

Kepada mereka saya doakan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Adapun maksud saya adalah para pembantu yang membantu dalam isu politik. Mereka ramai, mungkin berpuluh – puluh. Semua mereka adalah benar dan betul. Kerana jasa merekalah ayahanda jadi perkasa dalam dunia politik Islam dan tanah air. 

Pekerjaan bodoh hanyalah satu. Dan atas pekerjaan yang satu inilah saya menyerang dengan panas. Apabila anda memuji saya, ia tak pun meredakan kemarahan saya. Apabila anda memaki saya, ia tak pun memarakkan kemarahan saya. Saya kekal panas sehinggalah ayahanda dibebaskan daripada kerja – kerja bohong, bodoh dan jahat ini.

Ayahanda adalah ayah saya. Darah dan dagingnya mengalir di tubuh saya. Jika anda berjutaan memerangi saya, anda tak akan mampu memisahkan di antara darah dan daging kami. Saya mempertahankan ayahanda sebagaimana saya mempertahankan saya.

Saya enggan melihat kepanasan ayahanda disebabkan pembohongan dan pemalsuan. Saya enggan melihat mendung di langit perjuangan Islam. Saya enggan melihat kekecewaan daripada hukuman yang salah dan palsu.

3)

Yang menghubungkan kita dengan langit adalah al Quran dan al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. Apabila baginda wafat, para ulama adalah pewaris. Ulama mewarisi ilmu, iman dan taqwa. Itulah legasi kenabian. Al Quran adalah punca ilmu yang benar. Ia dijaga kekuasaannya sehingga qiamat. Allah mempersiapkan para ulama dengan ilmu, iman dan taqwa demi kelangsungan perjuangan menegakkan kekuasaan al Quran ke atas manusia.

Ulama adalah cahaya yang menyinari kehidupan. Ketika PAS kesakitan, Allah mencetuskan idea kepimpinan ulama. Ia memberkati kebangkitan PAS. Allah bekalkan kita dengan para ulama yang menerajui dan menyatukan kekuatan.

Jika anda ingin berubah, berubahlah dalam kesatuan yang telah dibina para ulama. Jika anda ingin pembaharuan, bergeraklah bersama mereka.

Jangan tukarkan makanan dari langit dengan bawang putih dan bawang merah semata – mata anda sudah jemu dengan makanan syurga. Jangan tiru Bani Israel!

Ulama menyatukan kita sedang sesetengah anda memecahkan di antara ulama. Inilah kerja bodoh! Pemberi komen bernama MuhaiminSulam kata, tukarkan bodoh kepada jahat!

Saya memaksudkan mereka ini dan saya memaksudkan kerja seperti ini. Saya tidak memaksudkan kerja mereka yang lain walaupun ada lagi yang lain.

Saya menulis kerana ia sedang mengancam kesatuan dan ketenangan. Bukan saya, bahkan semua merasa tidak tenteram. Saya menyerang dipuncanya agar anda tahu puncanya. Apabila anda menguasai puncanya anda akan kembali dengan ketenangan dan kekuatan.

4)

Saya nukilkan perbualan saya dan ayahanda pasal idea Unity Government dan Pakatan RakyatSaya kemukakan titik persamaan dan perbezaan. Jawaban ayahanda adalah di sebalik yang anda perolehi di luar. Saya kata ayahanda menerima hujah keharusan itu.

Saya tak kata ayahanda dah setuju dibentuk kerajaan bersama BN. Saya tak tanya pun adakah dia setuju atau tidak. Itu tidak penting. Ia tidak mengganggu apa yang saya mahukan daripada jawabannya itu.

Anda dan surat khabar hanya mentafsirnya. Jika anda mahu tafsiran terbaik, tanya dia sendiri. Saya tidak memerlukan jawaban itu.

Ingat, saya bukan mendodoi Unity Government  di sini. Nak berhujah, cari di tempat lain. Saya hanya mahu anda faham mengapa wujud percanggahan di antara sebelum dan selepas pertemuan itu? Mengapa sejuk sesudah panas? Saya memberitahu anda sebabnya. Sebabnya adalah pekerjaan bodoh itu.

Kerja bodoh bukan menolak Unity Government. Kerja bodoh ialah memahamkan maksudnya dengan maksud yang tak benar dengan tujuan yang tak benar di sisi ugama.

Jika anda mahu lawan, cukup anda buktikan bahawa saya telah berbohong tentang kewujudan kerja bodoh itu. Jika anda sangsi, usah percaya dan usah bohongi. Saya menulis kepada pembaca di blog saya yang yakin bahawa saya tidak berbohong. Kepada mereka saya mahu memberikan rasa tenang dan yakin.

Saya juga menulis untuk disampaikan kepada pembantu – pembantu itu agar bertaubat. Kerja kamu itu sia – sia di sisi tuhan walau kamu digilai manusia dan haiwan pun.

Kemudian saya tambahkan perencah. Wujud mereka ( pembantu ) yang berang sesudah ayahanda tersenyum lebar di JKR 10 selepas pertemuan di antara anggota Majlis Syura. Mereka gagal memisahkan di antara ulama.

Jika anda mahu lawan, cukup anda buktikan saya bohong. Tidak wujud keberangan itu. Jika tidak, anda melibas pedang di angin, lalu mendakwa tubuh saya telah putus seribu.

Saya perhatikan seni hujahan anda. Tumpul dan rapuh. Saya jentik, terbang bagai abu di hujung rokok. Sila datang kepada saya di luar, mari bersabung. Saya tunjukkan anda seni berhujah yang digemari agama dan malaikat.

5)

Saya berpegang sebagai mana ahli PAS berpegang. Pakatan Rakyat adalah sebaik – sebaik temuan dan alternatif hari ini. Tulisan saya sebelum ini menyokong DSAI sebagai peneraju jika ianya disepakati. Hujah agama membenarkan. Tulisan saya sebelum ini menolak pakatan dengan BN, apatah masuk BN. Sehingga BN bersetuju untuk berubah, hukum agama mengambil tempat.

Saya menyeru kepada pembukaan. Jangan tutup apa yang Allah mahu ianya terbuka. Anda akan bernafas lebih lega dan harmoni. Anda akan lebih gagah melangkah.

Ini siasah syar’ieyah.  Dua tuan guru ini adalah pakar ilmu ini. Apabila mereka bertelagah saya tak rimas pun. Saya tahu mereka akan bertemu dan bersetuju. Saya diberitahu TGHH dinasihat untuk tidak berjumpa ayahanda ketika panasnya, tetapi beliau enggan. Beliau tahu ayahanda akan reda. Reda dan ridha dengan temuan ilmu dan hujah. Itulah yang berlaku.

Tetapi, kerja – kerja bodoh mengambil tempat. Mereka inilah batu api. Batu api inilah satu kerja dosa besar yang merosakkan jamaah dan ummah. Atas kerja bodoh inilah saya doakan Allah membalas mereka di dunia agar mereka kembali sedar dan bertaubah.

Itu hikmah Allah membalas di dunia. Anda alim, ingat ayat itu. Anda jahil, tanya orang alim. Jangan meracau tak tentu pasal marahkan saya menamakan sesetengah manusia sebagai ulama ‘mi celup’. Apa tak adakah di dunia ini orang jahil yang mengaku alim? 

Macam peniaga makanan kesihatan dalam MLM. Habis kursus sebulan pasal produk, mereka keluar bersyarah macam seorang doktor. Anda marahkah jika saya namakan mereka doktor ‘mi celup’?

Saya belajar ugama. Maka saya tahu saya bukan taraf ulama. Saya tahulah siapa ulama yang benar dan palsu. Saya ada neracanya mengenal kaca dan permata. Kerana itu saya mempertahankan ulama yang saya kenali dan akui ilmu, iman dan taqwa mereka.

Mereka di hadapan anda. Menyayangi ulama adalah iman. Memusuhi ulama adalah perang terhadap Allah. Ingat al hadis itu. Justeru jangan mencetuskan kebencian dan kerenggangan di antara awam dan ulama, apatah memecahkan saf para ulama.

Jangan lupa blog saya. Doakan saya terus mampu menulis demi perjuangan meruntuhkan kekuasaan BN durjana.

Salam Kamunting,

Di meja makan di bahagian dapur di rumah ayahanda yang saya masih kekal tinggal bersama sedari kelahiran dulu, selalulah saya bersembang dengan ayahanda pasal macam – macam hal kehidupan yang biasanya akan panas dan panjang bila ianya berulamkan politik dan perjuangan.

Terbaru saya lontarkan kepadanya hujahan para ulama daripada buku yang saya baca mengenai keabsahan seorang muslim untuk hadir dan turut sama menjawat dan memerintah di dalam sebuah kerajaan yang bukan Islam. 

Saya sebutkan kepada ayahanda bagaimana para ulama mengambil bahagian cerita Nabi Yusuf alaihissalam menjawat jawatan sebagai menteri kewangan di dalam sebuah kerajaan syirik Mesir kuno sebagai hujah utama dan vital yang membenarkan penawaran untuk turut membantu pemerintahan bukan negara Islam.

Syarat terpenting yang menjadi pemutus ialah jemputan kepada jawatan itu mestilah dalam kemuliaan dan kekuatan. Mereka meminta dan kita berhak memutus, bukan mereka. Kemudian kita tidak diikat dengan syarat – syarat yang menghalang unsur keadilan Islam untuk ditegakkan. Masuk dengan kemuliaan sebagaimana Nabi Yusuf dijemput untuk turut mempersembahkan kebijaksanaan dan keadilannya ke atas rakyat dalam pemerintahan tersebut.

Saya kemukakan untuk memukaddimahkan perbincangan mengenai kerajaan Pakatan Rakyat dan Unity Government yang dicadangkan sebagai alternatif kepada kerajaan BN hari ini sedang merasai kepedihan dihimpit kemarahan rakyat yang melata. 

Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua – duanya bukan daripada jenis negara Islam. Maka menerima kerajaan mana pun, hujahnya ada dan hujah itu terpakai dengan syarat ketat sebagaimana yang digariskan ugama tersebut.

Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan – jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”

Saya memiliki banyak cerita menarik di sebalik apa yang anda tahu mengenai ayahanda. Komennya di atas bukankah mencetuskan persoalan ini di benak anda, bukankah Tok Guru lantang menolak Unity Government? Bukankah Tok Guru berang dengan cadangan Tuan Guru Hj Hadi ini?

Biar saya bagitahu anda, ayahanda hidup dengan hujah. Itulah makanan berkhasiat yang memanjang dan memberkati umurnya. Bila hujah ugama itu ada, bagaimana ayahanda akan tolak mentah – mentah?

Justeru fahami ini bahawa ‘Unity Government’ yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu – pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga -lagakan di antara TGNA dan TGHH.

Mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan, sedang telah sesatlah segala usaha mereka di sisi tuhan. Semoga Allah membalasi mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!

Bukankah anda dapat lihat bagaimana semacam ayahanda menghentam ‘kerajaan campuran’ bukan unity Government? Bukankah selepas pertemuan kurang sepuluh mata bersama TGHH, ayahanda tidak lagi menyerang. Ertinya sesuatu yang baru dan meyakinkan telah diperolehinya daripada TGHH. Itulah yang disembunyikan secara sengaja daripadanya.

Di mana pergi pembantu – pembantu ayahanda yang sesat pekerjaan mereka itu di sisi tuhan!? Semoga Allah melaga- lagakan di antara mereka pula di dunia ini agar mereka segera bertaubat!

Modus Operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama PAS di JKR 10 beberapa bulan lepas, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya. Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH. Mereka gagal selepas mereka yakin berjaya. Allah menggagalkan usaha jahat mereka.

Ayahanda seorang yang hebat. Antara kehebatannya adalah ‘husnuzhan’ dengan semua orang. Semua orang boleh hidup di sekelilingnya.  Pembantu, pengampu, pencacai dan sesiapa pun. Tolak babi dan anjing! Tuhan membalas atas pekerjaan masing – masing.

Adapun penghormatan ayahanda terhadap TGHH, maka ia adalah penghormatan yang gagal diperolehi kecuali oleh para ulama. Ayahanda sering memuji TGHH. Saya pernah mendengarnya menakjubi ucapan TGHH di Parlimen yang dibacanya di dalam Harakah sedang masa itu suasana panas isu muzakarah masih memuncak. Sesetengah pembantu ayahanda merasa iri dan hasad selepas penghormatan itu gagal menempati diri mereka.

Bagaimana mereka akan memperolehinya, sedang mereka hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa mereka pun ulama juga dengan istilah – istilah ugama yang dihafal, bukan difaqihi?

Dunia ulama adalah penuh disiplin. Taqwa adalah disiplin terbaik. Taqwa adalah milik ulama, bukan milik orang yang mengaku ulama atau ulama mini sekali pun. Kita tidak mampu merebutinya kerana ia adalah kurniaan khas daripada Allah. Kita hanya mampu meminta daripadaNya.

Menghampiri proses pemilihan menjelang Muktamar PAS nanti, anda sedang menyaksikan usaha daripada pelbagai sudut dan penjuru, jauh dan dekat oleh sesetengah yang mungkin saja saya sifatkan sebagai sekumpulan ‘pejuang nafsu’ yang tersusun untuk memisahkan di antara ulama yang disayangi rakyat.

Ayahanda digunakan. Inilah calon restuan Tuan Guru Nik Abdul Aziz! Inilah calon restuan Kelantan!Bukankah sebelum ayahanda berangkat ke Mekah, beliau secara jelas mengumumkan untuk tidak berpihak dan menyatakan keenggananya bersuara, bimbang ia mengganggu emosi ahli PAS di dalam kebebasan memilih?   

Di mana adab? Di mana kesetiaan? Di mana sifat malu?

Masihkah anda mahu hanyut dalam dunia politik yang kotor hatta dalam PAS? Jika begitu, sayalah musuh anda!

Salam Kamunting,

Mendidik adalah satu tugas yang besar. Ia adalah permulaan pembinaan setiap insan, samada ia terus kekal sebagai manusia yang diciptakan dengan segala kelebihan, atau ia akan beralih dan bertukar menjadi seburuk – buruk kejadian di alam ini dengan terbentuknya sifat – sifat kebinatangan yang melampaui binatang dan haiwan sendiri.

Mendidik adalah satu tugas besar dan langsung setiap al rasul ( Lihat al Jumuah 2 ). Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam diutuskan kepada kaumnya yang buta huruf. Baginda yang buta huruf membacakan untuk kaumnya ayat – ayat al Quran, mendidik dan menyucikan jiwa dan mengajar mereka memahami al kitab dan al hikmah.

Pendidikan adalah ilmu warisan para anbiya’. Ia penuh hikmah dan penuh rahsia yang merungkai kekusutan di dalam memahami manusia.

Ia adalah warisan yang wajib diwarisi. Dengannya setiap insan menjaga dirinya dan diri ahli keluarganya. Dengannya seorang ketua menjaga anak buahnya dan dengannyalah sebuah negara menjaga rakyatnya. Ia adalah kewajiban. Kewajiban mendidik dan kewajiban mengambil pendidikan itu daripada al rasul.

Mendidik diri hendaklah dengan ilmu. Anda akan gagal mendidik diri jika anda tidak merujuk kepada petunjuk dan ilmu agama.

Mendidik anak – anak juga hendaklah dengan ilmu. Anda akan gagal jika anda memandai – mandai mendidik tanpa merujuk kepada panduan agama.

Hari ini, sesetengah kita bukan setakat memandai – mandai mendidik, bahkan tidak pun mendidik diri apatah mendidik anak – anak. Bukankah ini musibah dan dosa?

Mendidik anak – anak adalah kewajiban yang berat. Anak – anak lahir dalam serba tak tahu. Ia jahil tanpa ilmu dan tanpa akal yang sempurna untuk segera berilmu. Ia bertatih mengenal kehidupan sebelum perlu mengorak langkah gagah mengenal kewajiban.

Adakah anda menyangka betapa mudahnya manusia mengenal kehidupan, kemudian kewajiban? Lihat berapa ramai manusia yang lemah dan berputus asa. Mereka tidak mengenal kehidupan. Lihatlah pula betapa ramai lagi yang berseronok dalam noda kehidupan. Mereka gagal mengenali kewajiban dan matlamat kehidupan.

Justeru haruslah setiap kita menginsafi kelekaan kita di dalam mendidik anak – anak.

Pokok pangkal pendidikan anak – anak adalah menetapkan jiwa mereka dalam keadaan bersih sebersih asal kelahirannya. Sebersih alam fitrah kejadian yang memperakui diri sebagai hamba tuhannya dan tunduk persis tunduknya sang hamba pada tuannya. Menetapkan jiwa dan raga untuk terus kekal putih bersih sebagai seorang muslim semenjak di dalam kandungan ibunya dan saat kelahirannya.

Manusia adalah ruh dari sisi tuhannya. Ia mengenal tuhannya sebagaimana malaikat di langit mengenal tuhannya. Kemudian ia dihantar ke bumi yang jauh, lalu dimasukkan ke dalam satu lembaga dan bekas daripada tanah dan daripada air mani di dalam rahim si ibu.

Berlaku pertemuan di antara dua alam yang berbeza. Alam atas yang kudus dan alam bawah yang tandus. Ia terjerat di dalam  tubuh daripada tanah duniawi.

Apabila kelahiran berlaku, berlakulah pertembungan secara langsung di antara dua yang berbeza. Ruh meronta – ronta untuk terbang tinggi menuju alamnya yang kudus dan suci menyembah tuhannya, tetapi ia ditarik dan direntap kuat kadang – kadang untuk kekal menggelupur di lumpur duniawi yang kotor dan penuh noda derhaka, enggan dan takabbur.  

Kelahiran mewajibkan tarbiyah dan pendidikan. Ia proses menyelamat teragung.

Ruh mesti diselamatkan daripada noda duniawi yang menghimpitnya. Kesemujadiannya dilitupi alam baru yang serba baru. Anak yang lahir ilmunya bermula dengan kosong. Untuk mula menempuh alam yang baru ini, tubuh yang lemah itu bergantung sepenuhnya kepada kesemulajadiannya yang asal.

Ia secara fitrah mencari makanannya dari tetek ibunya. Ia menangis kuat melarikan diri daripada kedagangan dan kesunyiannya di alam baru ini. Ia diam dan segera nyeyak di dalam dakapan hangat ibunya. Apabila ia celik melihat dunia, ia dibekalkan rasa kasih dan sayang kepada orang yang sentiasa mendodoi dan menjaganya. Ibu dan ayah. Atau penjaganya.

Daripada ibu dan ayahnya ia mula berilmu dan terdidik. Dengan ilmunya itu ia mula mengesot, merangkak, bertatih dan kemudian berjalan. Ia membesar dengan ilmu dan pendidikan awalnya itu.

Bagaimana jika ia mendapat ilmu yang salah? Kemudian pendidikannya juga salah?

Ya, apabila ia salah ilmu dan salah didikannya, ia bertukar daripada kesemulajadiannya. Ruhnya menjadi liar dan sumbang. Ia bertukar wajah kerana ia dijamu makanan yang meracuninya. Makanan ruh seasalnya adalah zikruLlah. Ia melonjakkan nilai keinsanannya. Kini ia dijauhkan daripada zikrullah dan diganti makanan duniawi daripada isi perut yang membuncit, alunan bunyian syaitani, pinar pandangan panahan iblisi dan pelbagai rencam habuan nafsu.

Daripada fitrahnya yang muslim dan mukmin, ia bertukar menjadi Yahudi, Nasrani, Majusi dan bermacam – macam kefasiqan, kemunafikan dan kederhakaan terhadap tuhannya sendiri.

Inilah nilai pendidikan. Inilah harga sebuah kelekaan dan kecuaian.

Allah melepaskan anak – anak kita yang kecil itu daripada bebanan dan taklif. Ia tiada hak dan kekuatan untuk memikulnya kerana akalnya masih muda remaja untuk mula memikirkan tanggung jawab kehidupannya.

Bagaimana manusia boleh dilepaskan di dunia yang serba menipu dan penuh makar ini? Bukankah ia pasti menjerat dan membunuh?

Ya, si anak dilepaskan tetapi Allah mengembalikan hak pengawalannya ke atas pundak kita, ayah dan ibu. Kita diwajibkan membina pagar dan kawalan agar si anak membesar bebas dalam pagarNya ( kalaiLlah ). Ia jinak dalam bebasnya. Ia kembali selepas pergi. Ia enggan bebas daripada tuhannya walau pun ia dibebaskan sebebasnya.

Mendidik anak – anak adalah proses menjinakkannya untuk kekal hidup bertuankan tuhannya yang telah menciptakannya dan melepaskannya ke dunia dari langitNya yang kudus.

Anda jangan memarahi saya atau memperlekehkan saya jika saya bermati – matian mengingatkan anda tentang bahaya sistem pendidikan nasional hari ini. anda seharusnya kembali berfikir untuk menilai kembali hukuman anda ke atas saya.

Anda buktikan kepada saya bahawa majoriti anak – anak yang mencecah usia akil baligh ( 15 tahun hijriyah atau 14 tahun lebih masihiyyah ) telah berjaya kekal dalam iman dan ketundukan kepada Allah. Mereka telah bersedia menjadi muslim yang patuh dengan kewajiban solat 5 waktu.

Buktikan! Buktikanlah!! Atau anda akan malu dan tersipu – sipu jika anda memiliki iman, atau wajah anda akan merah padam dengan kemarahan dan kedegilan jika anda seorang yang sombong dan takabbur apabila melihat statistik daripada analisa dan kaji selidik yang sahih daripada pelbagai pihak dan sumber yang beriman yang membuktikan bahawa anak – anak Melayu seusia itu masih kekal tak solat dan tak tahu pun untuk solat dalam peratus tinggi mencecah 80%!!

Dari umur 7 tahun ( umur galakan ugama untuk anak – anak diajar untuk solat ) sehingga umur 10 tahun ( umur galakan ugama agar anak – anak dipukul jika lalai daripada solat ), kemudian memasuki umur 15 tahun ( umur taklif ), anak – anak dibentuk diri dan syakhsiyahnya oleh sistem pendidikan negara. 9 tahun dididik dan mereka keluar tanpa solat!!

Sistem apa ini?

Berat sangatkah solat 5 waktu?

Bodoh sangatkah anak kita?

Degil sangatkah anak kita?

Jahil sangatkah guru kita?

Atau,

Ianya adalah kerana sistemnya yang bersifat jahiliyah?!

Solat pada hari pertama adalah berat, pada hari kedua adalah ringan dan pada hari ketiga adalah manis.

Siapakah di antara kita mahu menghukum bahawa anak – anak kita akan kekal bodoh dan degil sehinggalah umurnya sampai 30 tahun??

Siapakah mahu menghina guru dengan menghukum bahawa anak – anak tak solat adalah kerana guru yang jahil dan malas?

Saya tegaskan bahawa sistem negara adalah sistem sekular yang syirik dan jahiliyah. Sistem pendidikan negara adalah anak yang patuh dan tunduk pada sistem induknya. Justeru ia adalah sistem yang syirik, jahiliyah dan korup.

Ia dicipta oleh otak – otak yang sekular, derhaka dan syirik yang berlegar di serambi kuasa negara.

Apabila kami orang yang terlibat dalam dunia politik secra langsung bercakap pasal ahli – ahli Parlimen UMNO dan ahli – ahli mereka di Dewan Negara, kami akan membahagikan mereka kepada dua kumpulan. Kumpulan yang lekat solat 5 waktunya dan kumpulan yang songlap 5 waktunya. Anda pasti terkejut seperti kami untuk mendapati bahawa natijahnya seumpama natijah kaji selidik ke atas anak – anak 15 tahun tahun di atas!!      

Kita menyalahkan kerajaan. Mereka memaksa kita menerima sistem yang buruk dan jahat ini. Tidak semua kita mampu menghantar anak – anak ke sekolah ugama swasta yang tawaran sistemnya lebih Islamik dan benar yang lebih menyelamat dan menjamin agama anak – anak kita.

Kita pasti beruntung dalam keterpaksaan itu jika anak – anak kita memperolehi guru – guru yang benar – benar berperanan menampal segala kebobrokan sistem yang zalim ini dengan usaha gigih mereka.

Tetapi itu adalah kewajiban orang lain. Ia langsung tidak mengangkat kewajiban kita sendiri.

Anak – anak adalah amanah dan tanggung jawab. Selepas anak – anak pulang dari sekolah, andalah sekolahnya yang pertama. Jangan anda sekularis sebagaimana sistem sekular negara.

Jika tidak, andalah penyebab sebelum sistem itu! Semoga Allah memelihara kita.

” Tuhanku, jadikanku pendiri solat, juga zuriatku. Tuhan kami, terimalah doa kami.” – al Ayat.

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

September 2017
I S R K J S A
« Jun    
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
252627282930  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa