You are currently browsing the monthly archive for Februari 2011.

Salam Palestin,

Sempena kedatangan bulan mulia, Rabiulawal 1432, saya berhasrat untuk menitipkan beberapa butiran penting mengenai nabi kita, Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Inilah bulan di mana umat Islam seluruh dunia akan memenuhkan masa mereka untuk bersama-sama mengingati kelahiran baginda yang tiada lagi kelahiran seagung kelahirannya.

Justeru keraian yang menyatukan umat Islam ini amatlah wajar dihargai dan dimanfaatkan. Ia hendaklah disusun dan diprogramkan dengan kaedah yang betul pada syariatnya dan besar pula pada hasil dan kesannya untuk kita semua. 

Amatlah rugi, di saat umat Islam yang begitu lemah dan terpecah-pecah kesatuannya, dengan mereka bersedia untuk menitipkan masa kosong mereka dan disatukan oleh bulan yang mulia ini, jika kita tidak berkerja pula untuk menjadikannya satu kuasa pencetus kepada perubahan yang mesti umat Islam lakukan.

Ini kerana RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam telah menduduki kemuncak kejayaan umat manusia sepanjang zaman di dalam membina tamadun dan nilai kemanusiaan yang tinggi. Menjadi umatnya adalah nikmat tak terperi yang tidak merasainya kecuali mereka yang diharamkan daripada menikmati kebahagiaan sejati di dunia ini.

Baginda adalah nabi. Nabi adalah utusan Allah yang menghubungkan bumi dengan langit. Kenabian adalah pemecah tembok alam ghaib yang asyik mengurung manusia di alam zahir yang begitu sempit. Tanpanya manusia hanya menjadi pakar buat menujum masa depan dan menjadi penglipur lara mengisah zaman lampau yang kelam. Baginda mengobori akal dengan memandunya merentasi jalur-jalur kejahilan yang memaksa manusia hidup merajakan tuhan sementara bernama nafsu dan syahwat. Akal kemanusian akhirnya dibawa menemui Allah dan itulah saat manusia mula mengenali kebahagian dan kehidupan yang hakiki. 

Dengan berbekalkan wahyu dan pengarahan langsung daripada Allah, RasuluLlah akhirnya berjaya mengetuai perubahan dan membina halaman baru untuk kehidupan manusia yang begitu cemerlang. Kota Madinah terbina selepas belasan tahun baginda berjuang memecahkan tembok kejahilan, kezaliman dan kedegilan manusia untuk kekal menikmati kehidupan di jurang kemurkaan dan neraka Allah. Di Madinah, walaupun 10 tahun adalah pendek tempohnya, para sahabat baginda telah dilumatkan dengan pengajaran-pengajaran yang bertindak cemerlang sebagai obor yang menerangi kehidupan dan sebagai penawar yang menyembuh kesakitan.

Lahirlah selepas baginda para sahabatnya yang telah bersedia untuk misi menyambung misi kenabian. Mereka segera keluar dari kota Madinah dengan kepayahan memendam rasa cinta kepada bumi rahmat dan keadilan demi memenuhi amanah agung RasuluLlah agar agamanya segera berkembang sampai ke kaki matahari di timur dan barat. 

Akhirnya, dunia bersinar dengan nikmat Islam. Manusia berpindah daripada kegelapan kepada daerah cahaya yang gemilang. Sehingga hari ini dan sampailah kiamat, cahaya Islam terus menerangi dan menjadi pilihan untuk manusia mencapai kebahagiaan hakiki dalam kehidupan.

Atas nikmat agung yang dibawa oleh baginda yang telah begitu mengubah haluan kehidupan jahiliyah manusia itulah, baginda dicintai manusia. Cinta terhadap RasuluLlah adalah cinta yang terlalu agung dalam sekelian cinta manusia. 

Baginda bukan sekadar menjadi tumpuan cinta manusia bernyanyi dan bertasbih di sekelilingnya, bahkan bagindalah guru yang mengajar makna cinta. Intinya, cinta duniawi ditakuti kehilangannya. Maka ia berakhir dengan kesedihan dan kehancuran. Cinta Allah diharapkan dan dinantikan pertemuannya. Maka ia akan kekal dan terus mekar selama-lamanya. Cinta duniawi sentiasa menjunam ke bawah, sedang cinta Allah sentiasa memuncak menuju puncak. Justeru sebarang cinta tanpa nilai agama adalah bohong dan hina sekali.

Cinta kepada RasuluLlah adalah benar dan syar’ie. Tiada yang berusaha menanam bibit cinta terhadap baginda kecuali akan turut dicintai Allah dan diganjari dengan pahala yang banyak. Allah menjadikan cinta al rasul sebagai syarat kesempurnaan keimanan seseorang hambaNya. Jadi, bayangkanlah betapa besarnya nilai cinta terhadap RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.

Mengapa cinta kepada RasuluLlah dijadikan syarat kesempurnaan, bahkan kesahihan iman seseorang kepada tuhannya? Tidakkah mencintai Allah itu sudah mencukupi?

Mari kita perhatikan tiga hikmah berikut; Pertama, pendakwa iman dan cinta kepada Allah adalah ramai dan dipenuhi pembohongan. Kaum Yahudi dan Nasrani misalnya adalah contoh klasik cinta palsu kepada Allah. Justeru menurut Islam, pemisah iman dan kufur bukanlah pada pengakuan beriman kepada Allah, bahkan pada perakuan beriman kepada kerasulan Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. 

Walau pun ketuhanan Allah itu diperakui ramai manusia, tetapi mereka tetap memerlukan ilmu yang benar, asli dan hakiki untuk mengenaliNya. Jika tidak, manusia, walaupun mengakui ketuhanan Allah, akan terus meraba-raba dalam menyembah Allah yang kabur pengenalanNya. Justeru keimanan kepada kerasulan al Rasul adalah syarat dan pemisah yang akan memastikan Allah itu dikenali daripada sumber yang betul. Cinta al rasul pula adalah sebahagian cabang dan syarat iman.

Kedua, cinta al rasul akan menjadi neraca kepada cinta manusia sesama manusia. Cinta kepada Allah adalah esa. Cinta Allah adalah kerana hakNya sebagai tuhan yang mencipta segala dan mengurniai makhluknya dengan kenikmatan hidup. Ia cinta tanpa bandingan dan tiruan.

Adapun cinta sesama manusia, maka ia atas dasar saling melengkapi dan memerlukan. Bukan cinta namanya jika hanya bertepuk sebelah tangan. Itu azab namanya. Kemudian, manusia sering terjerumus ke lembah cinta buta yang melanggar batas dan merosakkan nilai murni kalimah cinta. Ia disebabkan kegagalan manusia mengukur dan memagar ruang dan laman cinta yang berbuah dan bermanfaat sesama mereka.

Justeru agama Islam meletakkan satu neraca dan garisan untuk cinta itu bersemi, tumbuh dan mekar dengan semburan harumannya yang menghangatkan kebahagiaan hidup. Cinta RasuluLlah itulah neraca kepada segala cinta. Dengan melihat kelebihan-kelebihan yang menghiasi baginda, maka sesiapa yang memiliki sebahagiannya wajarlah dicintai dan kecintaan itu pasti menghasilkan buah yang manis. Antaranya, mencintai ibu bapa dan para guru. Bukankah nabi kita adalah bapa dan guru mithali? 

Ketiga, cinta al rasul adalah permulaan dan pemacu kepada kewajiban taat kepadanya. Ia adalah pelorongan kepada kewajiban yang paling utama selepas beriman kepada kerasulan, iaitu kewajiban mentaatinya. Inilah kewajiban yang menjadikan ramai manusia yang terkandas di medan ujian Allah. 

Taat adalah sukar. Manusia sering berbangga dan ego dengan segala kelebihan dan kekuasaan dalam dirinya. Mereka tidak akan taat dan tunduk kecuali kerana terpaksa dan terlalu lemah untuk melawan. Semata-mata beriman kepada RasuluLlah bukan satu kesukaran berbanding sukarnya mentaati baginda selepas itu.

Oleh kerana ketaatan kepada al rasul adalah wajib, maka ia mestilah dipupuk secara semulajadi yang akan mendatangkan kesan yang mujarab. Memekarkan sebab-sebab yang mendorong manusia untuk begitu mencintai nabi adalah senjata paling berkesan untuk memaksa manusia mentaati RasuluLah. Bukankah pemabuk cinta akan mendengar dan menuruti apa saja demi mencapai redha orang dicintainya?

Jika kita memahami hikmah -hikmah pensyariatan cinta al rasul di atas, jelaslah kepada kita betapa cinta al rasul itu adalah kelebihan yang menarik pelbagai kelebihan lagi selepasnya. Hangatkanlah cinta al rasul di bulan kelahiran nabi agung ini.

( Artikel ini adalah untuk kolum ‘Agama Dan Kehidupan’ akhbar Siasah )

(Bahagian pertama menjelaskan kejahilan adalah faktor pertama mengapa akal manusia gagal berfungsi di dalam mengenal Allah)

Kedua, kesombongan. Maksud firman Allah: ‘Dan berkatalah orang-orang yang tidak yakin terhadap hari pertemuan dengan Kami (hari akhirat); ‘Kalaulah diturunkan para malaikat ke atas kami atau kami dapat melihat tuhan kami.’ Demi sesungguhnya mereka telah begitu sombong daripada dalam diri mereka dan mereka telah begitu melampau sekali. Pada hari mereka benar-benar melihat para malaikat (hari kiamat), tiadalah lagi berita gembira buat mereka yang melakukan jenayah.’ al Furqan; 21-22

Ayat ini juga menjelaskan mereka yang menuntut melihat Allah di dunia sebagai golongan yang tidak percaya kepada hari kiamat. Ini disebabkan kesombongan yang menguasai diri mereka sehingga menutup akal dan hati daripada melihat hakikat dunia yang terhijab daripada dunia malaikat. Apabila mereka benar-benar telah melihat malaikat di hari akhirat nanti, maka ia adalah berita buruk buat mereka. Itulah hari kiamat yang pernah mereka dustakan. Alangkah beruntungnya jika mereka membuang kesombongan..

Ketiga, penyelewengan. Maksud firman Allah: ‘Dan berkatalah Firaun; ‘Wahai Haman, binalah untukku sebuah menara yang tinggi agar aku dapat sampai ke pintu-pintu, iaitu pintu-pintu langit agar aku dapat melihat tuhan Musa. Dan sesungguhnya aku menganggapnya sebagai seorang pendusta.’ Demikianlah dihiasi untuk Firaun (agar memandang baik) keburukan amalannya dan dia telah disekat daripada jalan (yang benar). Dan tiadalah tipu daya Firaun selain membawa kerugian.’ al Ghafir; 36-37

Ayat ini secara jelas menyatakan bahawa Firaun telah disekat dan diselewengkan daripada menemui jalan mengenali Allah disebabkan oleh kesalahannya sendiri di dalam menetapkan jalan untuk mencari dan mengenali Allah iaitu dengan berpandukan mata kasarnya dan kekuatan fizikal. Ini disebabkan Firaun telah tertipu dengan amalannya sendiri yang disangkanya benar belaka, sedangkan amalannya adalah buruk dan menyeleweng. Jikalah Firaun mendengar daripada pengajaran nabi Musa..

Keempat, kezaliman. Allah telah menceritakan tentang kaum Yahudi ketika mereka meminta daripada nabi Musa alaihissalam untuk melihat Allah sebagai syarat untuk beriman. Maksud firman Allah: ‘Dan ingatlah ketika kamu berkata; ‘Wahai Musa, kami tidak akan beriman denganmu sehinggalah kami dapat melihat Allah secara terang-terangan’, lalu kerana itu kamu telah disambar halilintar, sedang kamu menyaksikannya.’ al Baqarah;55 

Dalam ayat lain Allah menjelaskan lagi maksudnya: ‘ Golongan ahli kitab telah meminta daripadamu (wahai Musa) agar kamu turunkan ke atas mereka sebuah kitab daripada langit. Maka sesungguhnya mereka sebelum itu telah meminta daripada Musa suatu yang lebih besar daripada itu. Mereka berkata,’Tunjukkan kepada kami Allah itu secara nyata.’ Maka (kerana itu) mereka telah disambar petir dengan sebab kezaliman mereka sendiri.’ al Nisa’ 153.

Hujung ayat di atas menjelaskan betapa permintaan mereka untuk melihat Allah itu sebenarnya bukanlah lahir daripada keinsafan dan keadilan, bahkan ianya lahir daripada kezaliman diri mereka terhadap kebenaran yang telah nyata di hadapan mereka. Jikalah mereka melayani rasul dan kebenaran itu dengan penuh keadilan..

Keempat-keempat faktor di atas adalah penyakit yang melanda manusia. Ia menyebabkan manusia gagal mengoptimumkan penggunaan akal yang begitu perkasa itu untuk melihat kewujudan Allah dengan begitu mudah. Jahil, takabbur, seleweng dan zalim terhadap kebenaran telah menghalang akal daripada berkerja untuk tuannya sebagaimana fungsi asalnya. Apabila seseorang itu ditimpa penyakit, maka banyak perkara menjadi terkandas dan gagal. Segala keputusan dan hukumannya sering kali salah dan merugikan.

Justeru apabila manusia menolak untuk memperakui kewujudan tuhan yang satu yang menciptakan segala-galanya, maka ia bukan bermula daripada kegagalan akal yang disediakan oleh al khaliq untuk setiap anak Adam, bahkan ia disebabkan penyakit yang perlu diubati daripada terus membantutkan peranan akal. Adalah teramat malang untuk menolak wujud bakteria yang begitu halus itu semata-mata kerana kegagalan mata untuk melihatnya sebagaimana malangnya menolak kebesaran matahari berbanding bumi semata-mata kerana mata melihatnya lebih kecil.

Begitulah Allah. Dia terlalu agung dan tinggi (al Azim, al Aliy) untuk diukur oleh mata dan terlalu halus dan seni (al Latif) untuk dikuasai mata dan seluruh panca indera. Segala pengenalan terhadapNya hendaklah dengan akal.

Sebagai contoh, cuba lihat televisyen di hadapan anda. Kemudian letakkan jari menyentuh kelopak mata anda. Bukankah mata anda melihat jari itu lebih besar daripada televisyen tersebut? Tetapi anda berkeras dan yakin bahawa televisyen itulah yang lebih besar. Sekarang anda menolak pandangan mata anda. Kenapa? Kerana anda lebih meyakini akal dan anda bersedia sepenuhnya untuk melihat dan berhukum dengan akal.

Kalau dalam kehidupan seharian pun kita secara mudah menolak hukum panca indera, mengapa manusia terus berkeras menggunakannya untuk melihat Allah? Begitulah Allah mempertegaskan kepada kita bahawa penyakitlah punca keengganan itu.

Sekarang kita perlu menetapkan satu jalan yang benar menuju Allah agar kita boleh berjalan dengan penuh keseronokan dan tidak lagi terkeluar daripada landasan yang akan menyesatkan.

Ketahuilah bahawa Allah telah menjadikan tanda-tanda kebesanNy yang bertebaran di dalam kehidupan ini sebagai satu-satunya jalan mengenaliNya. Tanda-tanda itu disebut sebagai ‘al aayaat’. Kemudian untuk mengesannya, tiada cara dan alatan lain selain akal, fikir dan ilmu. Itulah syarat yang utama.

Ini kerana manusia akan mengesan tanda-tanda tersebut dengan akalnya. Dengan akal terus berfikir dan memerhati, manusia akan mengenal tuan yang mencetuskan tanda-tanda tersebut. Kemudian jika tanpa ilmu, manusia akan gagal mengesan kewujudan tanda-tanda tersebut, apatah mengenal tuannya. Jadi segala-galanya menuntut akal untuk berfungsi; menuntut ilmu, melihat tanda dan seterusnya memerhati dan merumuskan.

Allah mencabar manusia (lihat al Ahqaf;4), setelah mempertegaskan penciptaanNya, agar mereka membawakan kitab terdahulu atau walau sedikit daripada peninggalan ilmu manusia yang menunjukkan bahawa ada zat selainNya yang telah menciptakan bumi ini. Cabaran ini pasti sekali tidak mungkin mampu dijawab oleh manusia. Kenapa? Kerana selagi manusia menambah ilmu, selagi itulah Allah muncul sebagai tuhan yang menciptakan alam ini. 

Begitu ilmu membantu akal untuk berfikir dan berkerja mengesan tanda-tanda kekuasaan Allah taala di alam ciptaanNya ini.

Di mana tanda-tanda ini dapat dilihat? Ya, Allah telah menempatkannya di dalam tiga tempat; Pertama, di alam raya ini. Kedua, di dalam kitab al Quran sendiri. Ketiga, di dalam mukjizat para nabi dan karamah para aulia’.

Anda memerhatikan keagungan pelbagai ciptaan di bumi dan langit dan bagaimana ia bergerak dan hidup. Kekaguman terhadap keunikan ciptaan itu akan memperlihatkan kepada anda tanda-tanda yang meyakinkan bahawa ia telah terhasil daripada ciptaan tuhan yang maha berkuasa. Kemudian apabila anda membaca al Quran dan kebenaran segala isinya yang menerangkan pelbagai dan sungguh berbisa itu, anda akan terus terpanar dan fana di hadapan zatNya yang maha agung. 

Begitu juga Allah mempermudahkan untuk manusia melihat kekuasanNya dengan memperagakan pelbagai mukjizat dan karamah para nabi dan aulia’Nya yang terhasil melalui carikan adat, sebab dan kebiasaan yang menunjukkan bahawa ia tidak mungkin berlaku kecuali Allahlah penyebabnya yang tidak dapat dilihat.

Justeru ketika manusia hari ini begitu beriman dan taasub dengan kehebatan akal dan ilmu yang ada di sisi mereka, maka tiada uzur lagi buat manusia mengenepikan peranan akalnya itu untuk mencari dan menemui penciptanya yang maha agung.

(Artikel ini adalah untuk kolum ‘agama dan kehidupan’ akhbar Siasah)

Salam Palestin,

Jika mereka bertanya saya, apakah yang paling manis sepanjang 8 tahun saya sebagai ahli majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI)? Saya akan menjawab, bersama menikmati usaha-usaha ke arah memantapkan perlaksanaan Islam di perbandaran Kota Bharu bersama para ahli majlis dan pegawai kerajaan di peringkat atasan dan bawahan yang begitu ikhlas, konsisten dan tanpa menghiraukan penat dan lelah.

Jika pula mereka bertanya saya, apakah yang paling pahit dan mengecewakan pula? Saya akan menjawab, ketika bungkam dan hilang kata-kata memerhati kerenah segelintir ahli majlis dan pegawai kerajaan juga, atas dan bawah yang begitu lunak cakapannya, lebat hujahnya dan bersimpang siur liatnya untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar!

Paling manis, bila saya turut menyumbang buah fikir dan turut menyertai perlaksanaan program dan projek yang baik dan berguna untuk warga MPKB dan rakyat Kelantan umumnya. Paling pahit, bila keengganan itu berlaku di depan saya dan saya mendapati diri saya kalah dan akur. Di tahun-tahun terakhir, ia begitu mendorong dan menekan saya untuk melepaskan jawatan lebih awal. Itu pastinya salah, tetapi itulah yang saya alami dan cuba memeranginya.

Akhirnya, tercipta juga satu sebab yang membolehkan saya
mengundur diri secara berhemat dan tanpa ditegur lagi. Saya masih mengharapkan daripadaNya agar tindakan saya itu tepat untuk saya dan agama saya.

Menyeru ke arah perlaksanaan syariat Islam yang syumul adalah perjuangan yang benar dan tiada yang benar selainnya di dunia ini. Melaksanakan tuntutan syariat yang dikandung kalimat mulia ‘amar makruf nahi mungkar’ juga adalah perjuangan yang benar dan kesukarannya sebenarnya bertambah-tambah pula.

Kala itu, yang berjaya adalah yang ikhlas hatinya, betul jalannya dan bersungguh kerjanya. Perjuangan Islam selalu songsang, tak menjadi rentak dan tarinya buat mereka yang terpasung kotak fikirnya daripada akidah yang benar, terpalit hatinya dengan lumpur duniawi dan tersadung kakinya daripada jalan yang lurus. Jika mereka sejahtera di situ, mereka masih tersisih sehinggalah mereka memacu dan memecut bersama para pejuang lain yang sentiasa segar dan istiqamah berlumba-lumba dan pintas-memintas menuju ridha Allah.

Islam adalah al Quran. al Quran adalah petunjuk dan nasihat. Jika ia tiada berkesan dan sememangnya sebahagian manusia keras dan buta hatinya daripada mendengar al Quran, maka al Quran memerlukan kuasa dan tongkat untuk menyuruh dan menghalang manusia. Apa-apa yang gagal dicabut dengan nasihat akan dicabut dengan kuasa.

Semasa baginda al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam di Kota Mekah selama 13 tahun memimpin dakwah dengan al Quran di tangannya, baginda mampu menarik sekitar 300 orang warga Mekah mendengar nasihat dan wasiat al Quran. Kemudian apabila baginda kembali memasuki Mekah 10 tahun kemudiannya, dengan al Quran di tangannya dan pedang juga di tangannya, baginda dengan tempoh yang terlalu segera telah berjaya menarik puluhan ribu rakyat kota Mekah dan sekitarnya untuk mendengar nasihat dan wasiat al Quran.

Pedang itu bukan buat memenggal leher seganasnya dan sejarahnya, tetapi cukuplah ia berisyarat, akulah teman setia al Quran. Demi tuhan, al Quran dan kuasa adalah bersaudara lagaknya. Bukankah kalam suci dan kuasa itu milik dan sifat Allah?

Justeru perjuangan membalut, menyeri dan menabal al Quran dengan tampuk kuasa adalah kerja nabi dan kerja perjuangan suci sepanjang zaman. Selagi Allah kekal hidup menjaga al Quran, selagi itulah al Quran ditawafi para pejuangnya yang kekal berjuang dan terbang syahid!

Janganlah Islam ini dikerjakan oleh mereka yang meletakkan kuasa di parlimen dan menyimpan al Quran di dalam almari, mengasingkannya daripada kehidupan sementara menunggu kehadiran majlis perarakan maulidur rasul.

Justeru ia perjuangan.

Kemudian, sesudah anda memiliki kuasa, maka mengurus kuasa adalah perjuangan juga. Ia fasa selepas fasa.

Zahirnya, kuasa pertama adalah apabila anda memiliki isteri, kemudian anak-anak. Jika mereka lari daripada nasihat al quran, anda masih memiliki kuasa. Dengan kuasa, anda mampu mengembalikan mereka ke jalan Allah. Itulah sesempurna Tindakan dalam mengurus kuasa.

Kemudian kehidupan melebar dan menjadi semakin melebar. Jika anda masih kekal berjuang memburu kuasa di Putra Jaya demi kecintaan mencantumkan al Quran dengan kuasa, maka anda telah pun memiliki selaras kuasa di Kelantan. Kecil tetapi besar. Sempit tetapi luas.

Marilah berdansa bersama kuasa dan al Quran. Kata al Quran, ajaklah rakyat Kelantan mendirikan solat lima waktu dan sembahlah Allah di rumah, di kedai, di kampung dan di bandar. Kemudian, carilah rezeki yang halal, tunaikanlah zakat dan bantulah orang-orang miskin dan lemah. Buatlah kebajikan, serulah kepada kebaikan dan cegahlah kemungkaran dan kemaksiatan.

Caranya? Nasihatlah dengan al Quran dan gunakan kuasa yang Allah kurniakan. Caranya? RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam adalah sebaik-baik ikutan. Hasilnya? Akan bertambah ramailah umat Muhammad terarah dan berada di jalan yang lurus dan diredhai Allah. Hasilnya? Akan kecewalah musuh-musuh tuhan daripada kalangan jin dan manusia. Itulah buah-buah manis tuaian perjuangan.

MPKB-BRI dengan kuasa sebuah kerajaan tempatan di bawah kerajaan negeri Kelantan telah melakukannya. Anda tidak akan mendapati perniagaan dan aktiviti terlarang agama di premis yang berdaftar dan diluluskan. Bahkan, wujud peraturan-peraturan kecil dan garis panduan yang berusaha menyekat sesuatu aktiviti yang secara mudah mendorong kepada keburukan dan haram.

Anda akan melihat kesungguhan MPKB-BRI memasuki medan kemasyarakatan demi menganjurkan kebajikan dan tolong-menolong yang memberi manfaat. Bahkan, agensi-agensi kerajaan negeri yang lain turut berganding bahu melibatkan diri memeriahkan usaha-usaha kebajikan yang dianjurkan ugama.

20 tahun adalah potret masa yang memisahkan Kelantan dan Kota Bharu daripada negeri-negeri lain dan perbandarannya yang begitu jauh ketinggalan. Pencapaian ini, adakah anda mahu menafikannya?

Sebelum anda menunjuki saya pusat-pusat pelacuran dan gambar-gambar bogel pelacur Kelantan, mari saya perkenalkan anda dengan apa yang anda telah ketahui.

Adakah bandar Madinah di zaman al Rasul bebas maksiat? Tidakkan? Bagaimana dunia ini bebas maksiat sedangkan dosa itu sentiasa melekat di badan, apatah di hati. Bukankah keimanan kita adalah bahawa hanya al Rasul sahaja yang maksum dan bebas dosa dengan izin tuhannya?

Bukankah nabi pernah melaksanakan hudud yang membawa erti telah berlaku maksiat zina di Madinah? Bukankah nabi pernah menyebut kepinginnya untuk membakar rumah-rumah yang kaum lelakinya tidak keluar untuk solat berjamaah bersama baginda yang bererti seruannya diingkari juga di Madinah? Bukankah nabi pernah mencela peniaga di pasarnya yang menipu dalam perniagaan?

Jika begitu, terlaksanakah atau berjayakah amar makruf dan nahi mungkar di Kota Madinah? Jangan berkata tidak! Sesungguhnya nabi dan zamannya adalah kemilau kehidupan yang memancar-mancar sebagai panduan sepanjang zaman.

Amar makruf bererti kebebasan melaksanakan kebaikan dan kemanfaatan yang disepakati bersama. Nahi mungkar bererti mencegah kemungkaran yang dilakukan secara terbuka dan dibenarkan. Kemungkaran mestilah dihimpit dan ditolak keluar sehingga ia tidak mengganggu masyarakat dengan kebusukannya.

Jika anda terpaksa menyamar dan bersusah payah menyelongkar, itu tandanya kemaksiatan telah terpinggir dan hidup ketakutan sehingga menyepi di ruang gelap.

Di Kuala Lumpur dan di bandar-bandar lain maksiat adalah halal dan haram. Terang dan cerah. Terbuka dan tertutup. senyap dan bising. Anda boleh memilih. Selera nafsu serakah adalah berbeza. Neraka seleranya berbeza juga.

Di Kota Bharu, tugas mengharamkan sarang dan pusat yang mudah mendorong aktiviti maksiat dan haram berjaya dilaksanakan pada kadar yang hampir sempurna. Lihatlah, betapa sukarnya menyimpulkan samada aktiviti karaoke, biliard, snoker, alatan syisya, tinju siam dan seumpamanya perlu dibuka atau disempitkan laluannya. Semuanya kerana kebimbangan dan wujud bukti penyalah gunaan yang membawa kepada aktiviti haram dan merosakkan.

Jika begitu, lebih-lebih lagilah pembanterasan terhadap aktiviti halal dan terbuka pelacuran, judi, arak dan sebagainya.

Tinggal lagi, bagaimana dengan aktiviti maksiat yang tidak berdaftar dan berlaku secara sembunyi dan haram di sisi undang-undang?

Anda usahlah berbangga kerana berjaya membuktikan Kelantan tidak bebas dan bersih maksiat selepas 20 tahun memerintah dengan nama Islam dengan mendedahkan pusat-pusat maksiat yang yang tak pernah pun diberi lesen itu.

PAS tak pernah pun menafikan kesungguhan kerajaan pusat memburu dadah, arak, judi dan pelacuran haram. Itu nahi mungkar yang disokong.

Apa yang PAS canggah adalah bagaimana kerajaan pusat boleh meluluskan pusat dan aktiviti yang mendorong maksiat dan kejahatan secara terbuka dan halal pula?

Mengapa kuasa dimandulkan? Tidakkah kuasa itu hak dan milik Allah yang dikurniakan kepada manusia untuk membantu al Quran di dalam kekuasaannya ke atas manusia agar mereka selamat dan sejahtera?

Jadi, jika kerajaan pusat yang memiliki kekuatan 100 kali ganda kuasa berbanding kerajaan Kelantan pun tak mampu mengisytiharkan kejayaan membanteras pelbagai aktiviti haram tersebut, maka bayangkanlah kesukaran kerajaan Kelantan juga.

Fahami ini jika anda seorang yang berakal, insaf dan takutkan murka Allah.

Sesudah anda memahami ini, ketahuilah kekuatan dan kuasa sebenar adalah pada diri sendiri. Kita menyebutnya sebagai sumber manusia. Atau modal insan. Dalam menyeru kemakrufan dan mencegah kemungkaran, keberkesanan terlalu bergantung kepada iman di dada dan dorongannya yang kuat untuk melaksanakan tugas dan amanah Allah ke atas hambaNya.

Jika saya dibenar bercakap lantang, saya akan lahirkan rasa bangga dengan rakan-rakan di MPKB yang begitu ikhlas dan bersungguh-sungguh melaksanakan misi kerajaan negeri untuk membangun bersama Islam.

Tetapi demi keadilan dan keinsafan, saya terkadang menjadi kecewa dan muak dengan segelintir warganya, ahli majlis dan pegawai MPKB yang tidak pun membantu kemeriahan berkerja, bahkan mengusutkan dan melambatkan kerja-kerja benar dan disukai Allah.

Paling menyayatkan, mereka berhujah semacam mereka ini pakar di dalam siasah syar’eiyah pula. Semoga Allah menemukan kita dengan penyelesaian.

Kawan saya, seorang doktor pulang dari ibadah haji beberapa bulan lepas. Bukan buah tamar dan kismis, tetapi sebuah buku dalam teks Arab telah dihadiahkan kepada saya tulisan seorang ulama terkenal, Doktor Salman al Audah bertajuk ‘Terima Kasih Wahai Musuhku’.

Isinya tentu menarik. Saya masih belum membacanya kerana dalam telaah beberapa kitab lain.

Terima kasih sahabatku. Terima kasih juga wahai musuhku. Tak kiralah syeikh-syeikh Firaun yang telah tumbang di Mesir itu atau syeh-syeh Quraish yang sedia menanti tumbang diterjang sunnah Allah ke atas penjarah di muka bumi ini.

Salam Palestin.

Selamat datang ke Himpunan 30 Ribu Pemuda PAS. Saya mendoakan kejayaan cemerlang program perdana anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat yang akan berlangsung seharian di Kompleks PAS Kedah pada Sabtu ini, 19 Febuari 2011 bersamaan 16 Rabiul Awwal 1432 Hijriah.

Tahniah saya ucapkan kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah yang menjadi tulang belakang dan penggerak utama program besar ini yang tidak mungkin berjaya kecuali dengan semangat juang yang tinggi yang ditunjukkan oleh anak-anak muda Islam yang mahukan cita-cita agama menjadi realiti dan terlaksana.

Kepada seluruh anak-anak muda yang telah lama bersiap siaga memasang niat dan azam untuk bergerak dari semua arah menuju ke destinasi jihad dan kemenangan, saya ucapkan syabas, tahniah dan doa yang berterusan agar kalian dirahmati Allah dengan kesihatan, keselamatan dan keseronokan menikmati apa yang tidak dinikmati oleh selain para pejuang Islam yang ikhlas untuk ugamanya.

Semua tahu kalian tidak diupah dan dibayar untuk ke sana. Jika kalian dibayar, itu tidak lebih dari sumbangan ikhlas para pejuang lain yang menginginkan seluruh anak-anak muda daripada segenap pelusuk dan aras agar berhimpun seteguhnya di dalam majlis zikruLlah yang agung nanti. Mereka tidak mengharapkan apa-apa selain apa yang kalian juga inginkan; ganjaran besar daripada Allah, tuhan agama Islam yang diredhainya untuk kita umat Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam.

Bergeraklah dengan hati yang murni, tulus dan luhur. Hayatilah setiap detik suasana yang akan terhidang. Lihatlah rakan-rakan pejuang yang ramai. Dengar amanat dan takbir yang meninggikan kalimat suci demi kemenangan ugama dan umat.

Saya begitu teruja untuk bersama dengan kalian anak-anak muda. Semoga saya juga dapat menikmati apa yang Allah sediakan untuk para pencinta ugamaNya di dunia perjuangan ini.

Saya dimaklumkan kesanggupan rasmi kehadiran seluruh anak muda seluruh negara direkodkan telah mencecah lebih 20 ribu orang. Antara yang melebihi atau menghampiri seribu orang setiap negeri. Ini pastinya didahului negeri Kedah yang menjangkakan kehadiran mencecah 1000 orang setiap kawasan!! Nah, itu tidak lagi dikira warga pejuang tua dan anak muda sukarela yang tidak direkodkan!!

Dan jangan lupa kesanggupan para pejuang muslimat yang turut sama menyahut panggilan jihad menuju perhimpunan besar ini. Adakah anda sangsi dengan rekod berani dan istiqamah para muslimat PAS? Jika begitu, anda belum mengenal mereka dengan sebenar-benarnya.

Inilah perhimpunan kesatuan umat di atas tali Allah. Penghiasnya
adalah anak-anak muda yang hangat sekali semangat perjuangan
mereka. Semoga roh jihad yang sentiasa ditiup oleh para ulama dan para pejuang yang istiqamah akan melangsaikan segala tanggung jawab dan kewajiban yang tertangguh dek kealpaan dan kelalaian masa lalu.

Ayuhlah, rakan-rakan. Bergeraklah ke medan juang. Kita bina negara dengan reka bentuk nabi kita, ikutan kita sepanjang zaman. Allahu Akbar!!

Mengenal Allah adalah fokus utama agama Islam. Tanpanya agama dan kehidupan menjadi kosong dan tanpa ruh. Segala amal perbuatan tanpa ruh adalah terbuang dan sia-sia. Pada hari akhirat kelak, segala amalan yang baik-baik, tetapi tanpa ruh akan menjadi debu-debu yang berterbangan. 

Ruh kehidupan adalah Allah, tuhan pencipta segala. Allahlah cahaya petala langit dan bumi. Dialah pemula kehidupan, pengurnia rezeki, pencetus keindahan dan penawar kedukaan. Jadi, apalah erti sebuah kehidupan tanpa mengenal Allah?

Justeru mengenal Allah, dorongannya kuat, natijahnya agung, manakala perjalanannya mengasyikkan dan menghiburkan sekali. Mereka yang terlorong memasuki medan juang mengenal Allah adalah mereka yang paling beruntung perniagaannya dan paling menikmati hidupnya itu. Manakala mereka yang berusaha dan berkerja di dunia tanpaNya, maka mereka tidak mendakwa selain dusta, palsu dan sesal yang berpanjangan.

Maka marilah sentiasa bermula dengan mengenal Allah. Berpagilah setiap hari melihat kehidupan ini dengan harapan melihat Allah yang bertebaran keagunganNya di segenap pelusuk alam. Bertasbihlah dan bertahmidlah memujiNya. Rasailah kebesaranNya dan bertakbirlah mengagungkan zatNya yang maha besar.

Jika anda mengikuti perbincangan di kolum ini ( rujuk blog saya untuk ulangan ) sedari awal, anda sebenarnya telah dilorongkan untuk memahami secara jelas dan mudah betapa akal kita begitu mudah untuk duduk berteleku dan begitu tekun untuk mencari dan mengenali Allah. Wajah sentiasa berkerut untuk bertanya, siapakah Engkau? Atau jika telah mengenaliNya, akal akan terus mengasak, ah, sungguh Engkaulah tuhan yang selayaknya dipuja dan disembah oleh seluruh kehidupan ini.

Telah dijelaskan bahawa akal adalah tunjang kepada taklif dan ujian Allah ke atas manusia di dunia ini. Ertinya Allah telah menentukan bahawa akallah yang akan memulakan tugas untuk melaksanakan kewajiban taklif tersebut. Tidakkah anda dapati bahawa segala kewajiban yang diwajibkan agama akan didahului dengan syarat utama bahawa seseorang muslim itu hendaklah berakal atau disebut ‘akil baligh’? 

Jadi, kewajiban pertama akal adalah mengenali Allah kerana dengannya manusia akan menerima taklif tersebut secara faham dan akur. Ia adalah tuntutan dan matlamat penciptaannya oleh tuhannya.

Sebelum kita melihat bagaimana akal berkerja secara semulajadi untuk mengenali Allah, kita perlu faham bahawa oleh kerana kewajiban ini adalah yang paling utama ke atas akal, maka sudah tentu Allah telah memudahkan laluan untuk akal memahaminya. Adalah sukar, bahkan mustahil difahami bahawa Allah sengaja memayahkan manusia memahami kewajiban dan taklif ini sehinggakan mereka kembali kepada Allah selepas mati dalam keadaan kebingungan  dan terkial-kial kerana langsung tidak mengetahui hakikat dan tujuan penciptaannya di dunia dahulu.

Tetapi tidakkah anda telah menyaksikan kejadian sebaliknya? Manusia hari ini seperti langsung tidak mengetahui dan tidak menghiraukan tujuan dan matlamat Allah menciptakan mereka, sebaliknya masing-masing membawa diri untuk memahami kehidupan, seterusnya membina sendiri matlamat masing-masing. Akhirnys kita melihat satu hakikat yang jelas, kekufuran di dunia ini jauh mendahului ketundukan dan keimanan kepada Allah.

Mengapa terjadi demikian? Hakikatnya, Allah telah menjelaskan kepada manusia melalui al Quran dan rasulNya bahawa hal sedemikian berlaku adalah kerana kesalahan manusia sendiri. Kesan kesalahan itulah yang menyebabkan manusia sering menolak untuk menerima segala keterangan dan bukti yang dihadapkan di hadapannya.

Manusia berkeras untuk mengenal Allah dengan cara mereka, bukan dengan cara yang telah ditetapkan Allah sendiri secara mesti. Mengenal Allah adalah dengan akal, tetapi manusia berkeras bahawa selagi mereka tidak melihat Allah dengan panca indera mereka, maka selagi itulah mereka enggan untuk beriman dan tunduk kepada perintah tuhannya. Jika begitu, tidakkah anda dapat memerhatikan bagaimana mungkin kita akan sampai ke Singapura dengan mengambil laluan menuju kota Bangkok?

Anda tanyalah non muslim di sebelah anda, mengapa mereka enggan memeluk Islam? Anda akan diberikan tiga jawaban mudah dan kesemuanya adalah gambaran kepada kesalahan-kesalahan yang ada di dalam diri mereka yang akan dijelaskan selepas ini.

Pertama, kerana mereka tidak melihat Allah. Hampir semua agama selain Islam menyembah tuhan yang dilihat walaupun dalam tafsiran yang pelbagai yang membayangkan keretakan dan belahan yang saling mendedahkan hakikat kepalsuan agama-agama tersebut. Mengapa begitu? Kerana mereka memaksakan diri sendiri untuk tidak memperakui selain apa yang diakui oleh mata dan telinag sahaja. 

Justeru Allah hilang daripada pertimbangan mereka kerana Allah itu termasuk urusan ghaibiyat. Ketika muslim menyembah Allah yang paling hakiki kewujudannya, mereka pula menuduh muslim sebagai penyembah waham dan dongengan!?

Kedua, kerana mereka enggan menerima taklif dan bebanan agama Islam yang bercanggah dengan kehendak nafsu mereka seperti solat lima waktu, puasa dan berjihad di jalan Allah. Ertinya mereka segera memuktamadkan pencarian pra matang bahawa kehendak nafsu hendaklah diutamakan. Dalam erti yang lain, mereka mengenepikan akal. Bolehkah anda bayangkan bahawa mereka akan menemui Allah dengan nafsu sebagai ganti akal? Mustahil bukan?

Ketiga, kerana mereka melihat umat Islam lemah dan mereka lebih maju dan berilmu berbanding umat Islam. Ertinya, ketika menilai Islam , mereka menjadikan umatnya sebagai neraca pada benar atau palsunya ugama Islam. Sudah pasti ia adalah satu pertimbangan yang ditolak akal. Ia seperti menolak untuk membeli kereta Honda dengan alasan pemandunya selalu mabuk!

Mengapa pula manusia bertindak sedemikian yang tidak mendatangkan apa-apa selain kerugian dan malapetaka buat diri sendiri? Mengapa begitu sukar untuk manusia mengenal hakikat kebenaran agama Islam sedangkan Islam dan akal adalah bagaikan bersaudara rapatnya?

Ya, sekarang mari melihat jawaban al Quran yang bangkit menerangkan kepada manusia bahawa segala kecelaruan adalah disebabkan oleh mereka sendiri secara sengaja. Said Hawa di dalam bukunya, ‘ALLAH’ menjelaskan empat faktor manusia terbias daripada mengenali Allah;

Pertama, kejahilan. Maksud firman Allah: ‘Dan berkatalah orang-orang yang tidak tahu (jahil); ‘Kalaulah Allah dapat bercakap dengan kami atau datang kepada kami satu tanda kebesaranNya.’ Begitulah orang-orang terdahulu sebelum mereka juga berkata sama seperti kata-kata mereka. Hati mereka sama saling tak tumpah. Sungguh kami telah terangkan ayat-ayat kebesaran kepada orang-orang yang yakin.’ al Baqarah;118

Ayat ini menyifatkan mereka yang menuntut untuk melihat Allah sebagai mereka yang jahil. Ia juga menjelaskan bahawa golongan ini terus wujud dari dulu sehingga sekarang. Maka jelas sekali mereka gagal memanfaatkan kuasa akal mereka dek kejahilan yang berpunca daripada dalm diri mereka sendiri. Kalaulah mereka mencari ilmu..

+-1050 patah perkataan

Sent from my iPad

Salam Palestin,

Saat saya menggerakkan anak-anak jari untuk memulakan penulisan ini, saya tahu saya sedang berkongsi dengan seluruh dunia untuk melihat satu hukum karma yang maha pasti itu berlaku di bumi Mesir. Hukum karma pemiliknya adalah Allah. Kerana itu setiap muslim tidak betah menyebutnya, bahkan menamakannya sebagai sunnah Allah di muka bumi. Sunnah Allah bererti ketentuan dan hukum yang tetap daripadaNya.

Antara sunnah Allah yang mudah difahami dan dilihat ialah hukum pergantian atau silih berganti di antara dua yang berlawanan. Baik berganti buruk dan sebaliknya. Zalim berganti adil dan sebaliknya. Mulia berganti hina dan sebaliknya. Pergantian ini tidak berganti sendiri atau semudahnya. Ia mesti memuncak dan klimaks. Tali apabila sudah memuncak tegangannya, ia pun putus. Maka berlakulah pergantian, kental berganti kendur. Gagah berganti lembik.

Tiada malam yang kelam kecuali kemuncaknya adalah fajar nan menyinsing. Tiada panas yang memuncakkan teriknya kecuali bumi berpusing pantas ke sebelah timur meninggalkan matahari menggelongsor ke hujung barat. Begitu Allah memudahkan kita memahami sifir-Nya itu.

Presiden Husni Mubarak sedang cuba berhelah dengan sunnah ini. Sunnah Allah adalah keruntuhan dan kehinaan ke atas setiap penzalim dan thaghut di bumi-Nya. Firaun telah terhumban lemas di Laut Merah. Bani Israel kembali ke tangan keadilan nabi Musa alaihissalam. Semalam, Husni Mubarak, ketika rakyatnya menyerunya keluar dari Mesir di awal perhimpunan, dia melawan dan berusaha untuk tidak terbang melintasi Laut Merah ke Jeddah atau Dubai. Nah, hari ini rakyatnya meminta lebih daripada itu. Husni Mubarak untuk diadili, bukan untuk dihalau lagi. Kini, patungnya telah diangkat di Medan Tahrir ke tali gantung. Maut  untuk penzalim dan thaghut!

Kata seorang penyair agung Tunisia, ‘Satu hari, apabila rakyat mahukan kehidupan (perubahan), maka pasti sekali al qadar (ketentuan tuhan) akan menjawab!’ Maka selepas puluhan tahun, al qadar menjelmakan dirinya, menyambut rakyat Tunisia yang bangkit menuntut kehidupan daripada hangus nyawa putus asa seorang anak mudanya yang dibakar kezaliman Ben Ali yang menjarah di bumi tuhan.

Fajar apabila ia bangkit, ia tidak hanya bangkit di Tunisia. Ia kini bergerak ke Mesir. Kemudian, malam yang kelam sedang menuju pula di Israel, negara haram di bumi Arab. Malam akan memuncak. Apabila fajar membunyikan locengnya, ia enggan kecuali menunggu azan yang akan berkumandang gagah di bumi al Quds.

Kata al imam al Qaradhawi,’Wahai Husni Mubarak, jika pemerintahan itu bagai ghanimah untukmu, maka 30 tahun itu sudah cukup. Jika pemerintahan itu adalah bebanan ke atasmu, maka 30 tahun itu juga sudah cukup. Turunlah kamu!’ Siapakah Husni Mubarak untuk menolak kalam karamah ini?

Kala para mustadhafin di seluruh jemari saraf bumi sedang menanti – nanti keajaiban sunnah Allah ini, kala itulah Allah membeliakkan mata seluruh para penjarah darah dan air mata di bumi-Nya mengarah ke bumi Mesir yang sedang mengumandangkan kalimah ‘La ilaha ilaLlah’ buat membakar sekutu syaitan dan Israel laknatuLlah itu.

Kezaliman memuncak. Kesabaran juga memuncak. Ia kini di medan pertembungan. Adakah anda menyangka kesabaran hujungnya adalah kehancuran? Tidak dan tidak!

Apa pun kesudahan di Mesir itu, Husni Mubarak sudah pun di gerbang neraka ciptaan rakyatnya sendiri. Oh, segala sanjungan berdekad dalam sekelip mata bertukar menjadi rentungan mendekap.

Malaysia apa khabar? Negara yang pernah bandar rayanya dilimpahi puluhan ribu rakyatnya yang berbaju kuning bertulis ‘BERSIH’ menuntut keadilan di dalam perlaksanaan pilihan raya yang dipenuhi penipuan dan penyelewengan. Dan mereka bagaikan anjing kurap sering kali dihalau dengan simbahan air asid daripada melawan kezaliman dan penipuan.

Malaysia apa khabar? Negara yang tak pernah diam dan tenang daripada pembongkaran rasuah kolar putih besar-besaran tetapi bilislah yang ditangkap secara kecil-kecilan pula. Kemudian mereka yang bersih dan mulia dituduh pula dengan rasuah dan kejahatan.

Malaysia apa khabar? Negara yang kadar jenayahnya, gejala sosialnya dan kemiskinan rakyatnya terus mewarnai kehidupan yang semakin menghimpit sedang kekayaan dari hasil mahsul buminya pula hanyalah berlegar di kayangan orang-orang kaya yang bertawaf di sekeliling serambi kuasa kezaliman pemerintahnya.

Sampaikan khabar buat Malaysia bahawa ajal sentiasa mendekat buat kezaliman dan penentang agama Allah. Sampaikanlah salam pula buat Malaysia bahawa ajal kezaliman akan berganti kehidupan penuh mulia buat rakyat dan pencinta keadilan dan keharmonian.

Malaysia bukanlah seiring Mesir yang begitu buruk politik pemerintahnya. Tetapi Husni Mubarak tidaklah perlu menunggu untuk menjadi seperti Firaun untuk segera rebah dipijak rakyatnya sendiri. Kezaliman adalah hantu kehidupan. Hantu itu bukan hanya hantu raya saja, bukan pula sundal di tengah malam saja.

Malaysia hanya ada dua pilihan; Samada pemerintahnya hari ini terus degil dengan keangkuhan menindas pembangkang dan rakyatnya yang menolak gaya hidup menindas dan menipu  atau pemerintahnya segera membaiki kelemahan dan kesalahan dengan politik baru yang lebih adil.

Jika mereka memilih yang pertama, tunggulah keruntuhan dan kekalahan. Bukan Amerika, Israel, Singapura atau Indonesia yang akan datang. Bahkan rakyat seluruhnya akan datang sendiri merombak sistem dan gaya hidup melanun pemerintahnya. Jika mereka berdegil, hukum karma Allah setia menunggu panggilan rakyat yang tertindas.

Jika mereka memilih yang kedua, mereka perlu pula memilih di antara dua; Samada mereka memilih Islam sebagai cara hidup yang diredhai Allah atau mereka hanya memilih untuk kekal menolak Islam yang syumul, tetapi memperbaiki nilai demokrasi yang dianuti. Jika mereka memilih yang pertama, maka berbahagialah rakyat Malaysia dari atas sampailah ke bawah. Jika pula mereka memilih yang kedua, maka nyawa mereka akan lebih panjang dan ketentuan Allah akan bertangguh. Allah sentiasa menunggu untuk masa dan hari-Nya yang pasti.

Mengapa? Kerana pembaikian dan islah adalah jalan ugama. Jika pemerintah menyedari kesalahan dan kesilapan, lalu mereka membaikinya dengan menyempurnakan hak kemanusiaan dan rakyatnya, maka Islam menyambutnya dengan baik dan mereka dengan mudah memikat kembali hati rakyat. Semakin pemerintah membina sistem demokrasi yang menepati kehendak keadilan dan kesaksamaan, semakinlah mereka mendekati tuntutan ugama Islam.

Oleh kerana Islam bersifat tawaran terbuka dan bukan paksaan ke atas manusia di atas premis ujian Allah ke atas anak Adam di muka bumi ini, maka Islam akan subur di bumi yang adil dan tidak mengongkong. Jadi, kedua-dua pemerintah dan rakyat akan terlorong kepada Islam secara semulajadi yang harmoni dan menghiburkan.

Tetapi hak Allah di muka bumi adalah kekal. Tanggung jawab seorang muslim terhadap agamanya adalah kekal. Setiap umat Islam wajib mengangkat agama Allah untuk menjadi hakimnya di dunia ini. Itulah kewajiban khilafah di muka bumi.

Malaysia adalah negara umat Islam. Majoriti rakyatnya yang beragama Islam secara praktikalnya telah menepati lunas sistem demokrasi bahawa yang menguasai majoriti itulah yang berhak memerintah dan menentukan cara pemerintahannya. Justeru seruan ke arah pemerintahan Islam atau membina sebuah negara Islam adalah satu tuntutan yang dibenarkan oleh sistem yang mengagungkan hak majoriti.

Islam adalah pilihan untuk umat manusia tetapi adalah tanggung jawab ke atas umatnya. Setiap muslim, samada daripada PAS, UMNO, PKR atau apa pun, kewajiban menegakkan negara Islam adalah pasti secara fardhu ain ke atas mereka.

Berusaha ke arah itu melalui jalan yang syar’ie akan menyelamatkan mereka daripada murka dan azab Allah di akhirat nanti.

Kehidupan ini keajaibannya sungguh hidup, sentiasa segar dan begitu membuak-buak keinginannya untuk mempamerkan kehebatannya itu. Tahukah anda kepada siapakah dipamerkan keajaibannya itu? Kepada manusia bukan?

Adakah anda fikir bahawa dunia haiwan begitu asyik memperagakan belang mukjizatnya kepada alam tumbuhan? Atau, semesta langit dan segala isinya pula begitu menonjol-nonjolkan keajaibannya agar bumi, gunung-ganang dan lautan tersengih-sengih malu untuk berlumba-lumba menunjukkan kehebatan masing-masing pula?Tidak bukan?

Hakikatnya, tiada keajaiban apapun di antara sesama mereka. Mereka semua adalah satu. Alam yang menakjubkan akal manusia.

Interaksi kehidupan ini hanyalah dengan akal. Alam ini seluruhnya semacam begitu berpakat dan berkerja untuk menyerbu ke arah akal, lalu berusaha menggayakan segala-gala kemukjizatannya di hadapannya. Alam ini seolah-olah mahu akal mengakui keajaibannya, lalu tunduk berkata, alangkah hebatnya engkau wahai alam!

Begitulah kita manusia mengandaikan dengan akal kita tingkah laku alam dan kehidupan ini. Tetapi adakah benar begitu, bahawa alam raya ini seluruhnya bersatu padu berpakat mengarah kekuatannya kepada kita? Tidak bukan? Kerana, jika benar, sudah pastilah ia menunjukkan bahawa alam ini juga mempunyai akal untuk merancang sebagaimana kita juga merancang dengan akal kita. Adakah alam ini, segala juzuk dan komponennya memiliki akal? Ah, tidak bukan? Tidakkah akal hanyalah manusia sahaja yang memilikinya?

Justeru bagaimana alam ini berinteraksi dengan kita tanpa akal? Kemudian, adakah manusia telah tunduk dan kalah kepada alam dan kehidupan ini dek kekuatan dan kemukjizatannya? Tidak juga bukan? Bukankah manusialah yang merajai dan menguasai teraju alam raya ini? Bagaimana boleh manusia dikira kalah kepada alam ini sedangkan manusia telah membuktikan bahawa mereka telah berjaya mempergunakan segala isi alam ini untuk kesenangan dan keselesaan hidup mereka.

Nah, jika begitu, di sebalik keajaiban alam ini, ada lagi yang lebih menakjubkan berbanding mereka. Ya, akal itu lebih mukjizat daripada alam ini. Menakjubkan, manusia yang kerdil belum pernah lagi kalah kepada alam! Akal sungguh menakjubkan sekali.

Begitulah hebatnya ciptaan bernama akal. Tetapi malang lain pula menimpa pemilik akal ini. Di sebalik kekaguman terhadap diri sendiri, manusia gagal pula mengetahui bagaimana akal tiba-tiba wujud di dalam dirinya. Bagaiman dia  begitu menguasai alam ini, tetapi dia tidak pernah pula boleh mendakwa bahawa dialah pemilik alam ini sebagaimana dia juga terpaksa akur bahawa akal pada dirinya itu bukanlah ciptaan dan miliknya jua.

Sekarang lihatlah suasana kelam yang menerjah manusia untuk mengenali alam dan kehidupan. Dalam kekuasaan akal, terpampang kelemahan dan kekerdilan akal yang memalukan sekali!

Dalam perbincangan lepas, anda telah tahu bahawa tiada lagi selepas akal untuk menafsirkan kehidupan dan menjawab segala kegelapan agung ini selain agama. Agama yang bermaksud maklumat dan khabar langsung daripada pencipta alam raya ini. Dalam erti, selepas alam ini tunduk kepada kekuasaan akal, akal pula tunduk pula kepada kekuasaan agama. Agama pemiliknya adalah Allah, pencipta segala.

Adakah anda ingin bertanya saya, siapa pula yang berkuasa ke atas Allah? Tidak perlu bukan? Bagaimana boleh ditaakulkan pencipta segala akan dikuasai pula oleh makhluk ciptaannya itu? Mustahil. Sekarang, agama datang dengan satu solusi dan jawaban yang memuktamadkan pencarian yang paling sukar.

Yang tinggal hanyalah pembuktian bahawa agama adalah benar-benar satu hakikat, bukan sekadar dakwaan dan dongengan semata-mata. Justeru di hadapan hanyalah dua persimpangan; samada agama itu bohong, maka manusia terus menerus tenggelam di dalam kegelapan yang berterusan mencari hakikat kehidupan, ataupun agama itu benar, maka manusia terpaksa tunduk kepada saranan agamanya. Tunduk sang abdi kepada kehendak tuannya adalah hakikat paling hakiki.

Justeru al Quran yang menjadi kitab terakhir dari langit kepada manusia, juga nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam yang menjadi utusan terakhir dari langit telah begitu tekun meyakinkan manusia dengan hujjah dan pembuktian yang pelbagai demi membenarkan dakwaan bahawa ugama adalah benar dan merupakan jawaban muktamad kepada pencarian yang menyeksakan.

Oleh kerana akal adalah raja yang diiktiraf kekuasaannya di dalam kehidupan raya ini, maka agama tidak datang kecuali untuk mencabar dan menundukkan akal agar tunduk jua kepada kekuasaan yang lebih tinggi iaitu Allah.

Justeru tidak beriman kepada Allah kecuali akal yang tunduk mengaku dan bersaksi secara sedar dan tahu bahawa Allahlah tuhan yang satu yang di tanganNya segala aturan alam. Selagi akal enggan tunduk, selagi itulah agamanya, jika dia mendakwa beragama, adalah bohong.

Di sinilah telah nyata sekali bahawa akal adalah tunjang kepada taklif dan ujian Allah ke atas manusia. Akal juga menjadi paksi yang berputar di sekelilingnya segala pergerakan alam. Alam ini menyanyikan lagu taklif Ilahi ke atas makhluknya bernama manusia. Semuanya secara semulajadi akur dan tunduk,  sukarela atau secara paksa, kepada Allah sang pencipta segala. Allah menggerakkan seluruh alam raya untuk melorongkan jalan buat manusia mengenalNya dengan kekuatan akal yang memiliki kekuasaan dan keajaiban yang sungguh luar biasa itu.

Manusia pula dibiarkan untuk bebas hidup tanpa sekatan yang mengikat keinginannya untuk menguasai alam sekehendaknya. Ia dibiarkan untuk menentukan arah tuju hidupnya sendiri tanpa paksaan untuk tunduk kepada tuhannya. Sudah pasti, untuk menemui jalan yang benar, manusia berdepan kesukaran dan halangan yang terlalu banyak menghalang.

Tetapi kekuatan manusia adalah di luar upaya makhlukNya yang lain. Manusia dikurniai Akal untuk memandu kehidupan. Dengan perutusan para rasul dan al kitab, cukuplah sajian Allah untuk manusia mula memasuki medan ujian yang getir dan agung.

Manusia dibeban taklifkan dan diuji untuk menemui jalan menuju tuhannya dengan kekuatan akal yang dibekali cahaya al Quran dan al rasul. Hikmah Ilahiyah telah menentukan bahawa Allah menghijab diriNya daripada dikesani manusia kecuali melalui akal yang akan mengesan dan mengenali tuhannya melalui petunjuk-petunjuk Ilahi yang telah disediakan Allah kepada Allah untuk manusia di dunia ini.

Sekarang anda mestilah memahami bahawa; Pertama, Hidup ini adalah medan ujian ke atas manusia untuk menemui dan menyembah tuhannya secara sukarela. Kedua, seluruh makhluk kecuali manusia dan jin telah tunduk dan menyembah tuhan mereka secara semulajadi tanpa dibebankan dengan taklif dan ujian sebagaimana manusia. Ketiga, manusia tidak dapat mengenali tuhannya dengan pandangan mata kasar dan panca indera lainnya kerana ia adalah sebahagian daripada proses ujian Allah ke atasnya.

Keempat, manusia hanya mampu mengesan tuhannya melalui akal dan fitrah yang dimilikinya. Kelima, akal manusia pula, di dalam perjalanan mencari tuhannya akan dibantu oleh cahaya petunjuk al Quran. Keenam, manusia juga akan mengenali tuhannya melalui mukjizat yang berlaku ke atas para anbiya’ dan karamah para aulia’. Ketujuh, Alam ciptaan Allah dihadapkan ke hadapan manusia agar dengannya, mereka menyaksikan kewujudan, kekuasaan dan keagungan Allah sebagai tuhan yang mesti disembah.

Justeru anda kini semakin memahami hikmah kewujudan akal dan peranan besarnya di dalam hikmah kewujudan alam. Tanpa memerlukan ketekunan lain, anda sudah pun menemui keseronokan baru di dalam penerokaan memahami agama Islam iaitu betapa agama Islam dan akal bagaikan tercipta untuk hidup bersaudara!

(Artikel ini adalah untuk kolum ‘Agama dan Kehidupan’ akhbar Siasah)

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Februari 2011
I S R K J S A
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa