You are currently browsing the category archive for the ‘pendidikan’ category.

Salam Palestin,

Akhbar Utusan Malaysia beberapa hari lepas melaporkan kajian oleh Jakim menunjukkan kadar keruntuhan rumah tangga rakyat Malaysia yang agak tinggi akibat perkahwinan yang tidak mampu bertahan lama dan terdedah kepada perceraian awal yang agak membimbangkan.

Kajian terakhir menunjukkan lebih 30% pasangan bercerai dalam tempoh 5 tahun pertama perkahwinan dan hampir 45% perceraian adalah berpunca daripada kegagalan pasangan melaksanakan tanggung jawab selain msalah akhlak, kewangan, seksual dan campur tangan orang ketiga.

Kita sudah pasti terpanar dengan hasil kajian yang ditunjukkan dan ia sungguh menyedihkan. Ia cukup untuk menggambarkan betapa perkahwinan yang diharapkan mampu mencetus pembaikan, ketenangan dan penyelesaian terbaik dan berkesan kepada isu – isu penyakit masyarakat dan negara rupa – rupanya masih ditahap yang lemah dan membimbangkan.

Tiada yang terlalu indah selain perkahwinan di antara dua mempelai yang menyatukan kehidupan manusia secara semulajadi dan fitrah. Ia sebahagian daripada agama dan pengajarannya. Islam menjadikan perkahwinan sebagai sebahagian dari jalan menyempurnakan ugama dan kehidupan seseorang muslim di dunia ini.

Kesempurnaan itu bermaksud pasangan yang berkahwin itu telah menyelamatkan diri masing – masing daripada fitnah dunia yang besar yang boleh memporak perandakan ugama dan kehidupannya, selain membantu masyarakat dan negara membina kehidupan yang aman dan harmoni melalui ikatan kekeluargaan yang akan saling mempercayai, bersatu dan berkerjasama di antara mereka.

Hampir – hampir pembinaan negara itu bermula daripada rumah tangga yang bahagia, bukan individu yang berjaya. Bagaimanakah boleh digambarkan kehebatan dan kejayaan individu tanpa kehadiran institusi kekeluargaan yang menyokongnya? 

Tetapi, apabila kita dikhabarkan dengan hasil kajian yang menunjukkan sebaliknya, bahawa perkahwinan juga turut mencetus kegawatan kepada negara, maka bagaimanakah kita mampu menerimanya dengan tenang dan tanpa kebimbangan.   

Perceraian diharuskan agama sebagai jalan keluar kepada perkahwinan yang gagal untuk diteruskan dan diharapkan kejayaannya. Tetapi apabila kadarnya menjadi begitu tinggi sehingga mencabar perkahwinan itu sendiri (sebanyak 135,136 perkahwinan didaftarkan pada 2009, manakala 27,116 kes perceraian pula direkodkan pada tahun yang sama), maka ia memberikan setidak – tidaknya dua gambaran yang agak menakutkan;

Pertama, perceraian itu sudah tidak lagi boleh dianggap sebagai jalan penyelesaian, bahkan telah mencipta perpecahan di dalam institusi masyarakat dan masa depan anak – anak yang muram dan gelap.  

Kedua, perkahwinan pula bukan lagi dilihat sesuatu yang jernih dan kebal untuk pembinaan kehidupan impian, bahkan ia bagai menempuh gelombang badai yang memeritkan atau perjudian yang ditakuti akibatnya.

Istana perkahwinan kelihatannya telah dicerobohi musuh yang akan meruntuhkannya dari dalam.  

Jika ini keadaannya, sesuatu yang besar mestilah dilakukan oleh semua pihak, terutama pihak kerajaan yang memiliki kekuatan yang mantap untuk mengatasinya, selain masyarakat sendiri yang berperanan wajib membaiki secara bersama.

Mengapa pasangan muda hari ini gagal mempertahankan kemanisan yang mereka dambakan sepanjang umur remaja mereka? Bukankah umur muda remajalah menjadi tanah subur untuk kalimat cinta memekar dan tumbuh? Justeru cinta itulah yang memimpin mereka untuk mengimpikan keindahan abadi dalam kehidupan duniawi ini sehingga sebahagiannya menjadi abdi kepada cinta jenis ini?

Saya ingin berkongsi pendapat, semoga setiap yang bertanggung jawab dapat meletakkan satu ukuran yang benar sebelum merumuskan tindakan yang tetap dengan menilai keutamaan dan menimbangkan di antara beberapa natijah yang penting. Dengannya gerak kerja akan lebih bekesan.

Perkahwinan bertindak menyempurnakan kecacatan individu. Ia begitu mengubah cara hidup seseorang. Ia meransang rasa tanggung jawab dalam kehidupan dan kesediaan untuk memikul tanggung jawab. Maka kehidupan akan menjadi lebih sempurna kerana kehidupan hanya bermakna apabila amanah dan tanggung jawab dilestarikan.

Tetapi apabila perkahwinan gagal berfungsi sebagai pelengkap kesempurnaan, kita patut melihat kepada beberapa faktor;

Pertama, institusi perkahwinan yang gagal difahami. Berkahwin bukan berkawan. Ia lebih daripada itu. Tetapi perhatikan, ramai pasangan muda sering memilih ini, “Kami berkahwin kerana kami rasa begitu serasi semasa berkawan.” Tahukah mereka bahawa keserasian semasa berkawan tak akan sama dengan keserasian perkahwinan.

Islam menolak pengenalan dan penilaian melalui persahabatan yang lama sebelum perkahwinan walaupun melalui ikatan pertunangan. Ia menghapuskan rasa hormat, malu dan saling mengharap di antara pasangan. Ia menerima dan menolak tanpa rasa tanggung jawab yang sebenar. Penilaian sebelum perkahwinan adalah lemah dan palsu lantas bergantung kepadanya pasti akan melemahkan dan menggagalkan harapan menggunung selepas perkahwinan. Pasangan akan saling tuduh – menuduh di atas janji dan pengenalan rapuh sebelum perkahwinan. 

Pengenalan sebenar institusi perkahwinan mestilah disertai tanggung jawab untuk membaiki dan membina. Ia hanya teguh setelah perkahwinan berlaku. Akad nikah diperkenalkan agama sebagai janji pertama dan ikatan yang kuat simpulannya. Ia mesti difahami setiap pasangan bahawa akad itu menuntut kita bersedia menerima kekurangan dan kelebihan masing – masing. Tiada tuduh – menuduh mungkir janji terhadap pengenalan lama yang terjadi sebelum perkahwinan.

Kesediaan menerima ‘seadanya’ pasangan masing – masing adalah kunci kepada pembinaan dan pembaikian mahligai perkahwinan. Sifat – sifat terpuji akan segera memekar dan sifa – sifat buruk segera terlerai satu demi satu. Berkenalan selepas perkahwinan adalah bagai satu proses mencantumkan dua denyut nadi, nyawa, tubuh, diri dan ruh menjadi satu. Ia satu seni dan sesuatu yang seni memerlukan penghayatan yang lebih dan lebih telitinya. Dalam setiap diri ada seni. Jelmakan kemuncak seni anda di sini selepas seni pada mengenal Allah dan raulNya.   

Bukanlah pengenalan pra perkahwinan itu buruk, tetapi keburukan adalah apabila perkahwinan digantungkan dan digadaikan kepadanya. Di situlah kerosakan dan keretakan mudah berlaku.

Sekarang perhatikan sebab – sebab perceraian yang melanda bagai api yang membakar di sebalik majlis perkahwinan yang meriah sekali. Ketika berlaku khilaf dan selisih di antara pasangan, di mana hilangnya rasa hormat, rasa malu dan rasa tanggung jawab masing – masing? Ya, ia telah hilang dalam seribu janji yang berlaku sebelum janji sebenar di saat lafaz akad nikah dimeteraikan.

Anak – anak muda hari ini gagal memahami hakikat dan makna perkahwinan. Mereka berbicara pasal keseronokan menimang nafsu sedang agama mengajar mereka untuk berseronok menimang tanggung jawab dan membina kesempurnaan hidup. 

Kedua, generasi baru yang lemah binaannya. Inilah faktornya. Kadar perceraian yang tinggi adalah petanda generasi anak muda yang lemah binaan tubuhnya. Ia bermula daripada kegagalan mereka membina diri. Kesannya tampak jelas pada cara mereka membina rumah tangga pula.

Hari ini kita berbicara secara serius mengenai modal insan. Mengapa? Bukan kerana kita tidak pernah sedar kepentingannya, tetapi kerana kita telah gagal membinanya semenjak sekian lama. Dan hari ini pun, saat kita berbicara lantang mengenainya, kita belum pun menemui caranya yang sebenar dan selamat kecuali mereka yang dikasihi Allah.

Sistem pendidikan kebangsaan negara kita masih terlalu lemah. Pemusatan kepada kekuatan jasmani yang dicapai melalui aspek – aspek lahiriah yang banyak melampaui kekuatan rohani yang seharusnya memimpin kekuatan lahiriah tadi. Asyik kita melihat kejayaan lahiriah kita membutakan kita daripada melihat kepunahan isi dan nurani dalam yang sentiasa menjadi pembunuh kejayaan zahiriah kita itu. 

Generasi muda harapan di menara gading sedang terlibat dalam jenayah, maksiat, budaya kuning dan syirik. Apatah lagilah jika dikira anak – anak muda yang terbantut pendidikan awal mereka lalu terbiar tanpa tangan tanggung jawab yang dihulur buat menyelamatkan mereka daripada kecundang dalam dunia jenayah, dadah, arak dan zina.

Ini kenyataan yang sedang kita hadapi secara bersama.

Setiap mereka telah dan akan mendirikan rumah tangga. Samada lelaki atau perempuan, anda boleh bayangkan betapa sukarnya kita memberi harapan untuk kejayaan mereka membina istana perkahwinan yang teguh.

Dalam tubuh mereka tiada agama yang lurus, iman yang sempurna, jiwa yag khusyu’ dan ilmu yang bermanfaat. Mereka berbekal segulung ijazah dan wang yang banyak untuk membina perkahwinan. Cukupkah itu untuk menimang anak dan tanggung jawab?

Di sini, harapan adalah sukar sehinggalah kita bersedia menerima perubahan besar di dalam sistem pendidikan dan segala sistem hidup yang menyempurnakan syakhsiyah diri anak – anak muda harapan bangsa. Daripada situ, kita pasti boleh kembali gembira untuk melihat ikatan perkahwinan yang menjanjikan kedamaian dalam kehidupan manusia, bukan membimbangi keretakan dan kehancuran rumah tangga.

Ketiga, Persekitaran yang lemah dan tidak membantu. Ia tambah menyukarkan apabila istana perkahwinan yang baru dibina berhadapan dengan persekitaran yang tidak membatu meneguhkannya. Perhatikan pada kehidupan ibu bapa, mertua dan keluarga sendiri yang lemah dengan mementingkan dan membanggakan status zahir dan meninggalkan ugama. Lihat persekitaran kawan – kawan yang berlumba dan menuntut penonjolan bermewah – mewah dalam membina rumah tangga dan lihatlah juga pada kehidupan umum hari ini yang begitu mengagungkan duniawi dan dosa.    

Dengan jiwa dan binaan diri yang lemah, persekitaran kehidupan yang kotor hari ini telah begitu merempuh istana perkahwinan yang dibina setiap hari di negara kita.

Jadi, ketika kita berbicara mengenai perkahwinan dan pembinaan rumah tangga kekal bahagia, kita akan dapati bahawa ianya memerlukan satu penyelesaian yang menyeluruh yang begitu menuntut kehadiran kekuatan dan kekuasaan untuk mengubah kebiasaan dan kelaziman yang telah berakar umbi dalam kehidupan. Keruntuhan rumah tangga yang baru saja dibina jelas memberi petunjuk bahawa arus jahat terlalu ganas untuk menjahanamkan perkahwinan baru untuk berakar umbi.

Tetapi menuntut pemerintah negara menyedari kesilapan dan kesalahan mereka tetap sukar. Pemerintah yan terlalu berkuasa seperti di negara kita terlalu ego dan sombong untuk mengakui kesilapan.

Justeru, selepas gandingan mendesak dan memburu kerajaan dimantapkan, hendaklah sentiasa ada jentera – jentera islah dan pembinaan dalam masyarakat seperti para ulama, madrasah, masjid dan pertubuhan – pertubuhan bukan kerajaan untuk memainkan peranan membina institusi keluarga yang bahagia dan diredhai Allah. 

Salam Kamunting,

Pilihan raya kecil Hulu Selangor meninggalkan satu polemik yang terus dipanjangkan sehingga hari ini iaitu perihal berpolitik di dalam masjid, boleh atau tidak? Halal atau haram?

Apabila pihak istana yang menjadi payung kepada ugama di negara kita turut campur tangan, ianya mestilah dipandang serius supaya satu ketetapan bersama dipersetujui oleh parti – parti politik yang terlibat dengan masjid dan ugama Islam. Jika tidak, ia akan mencipta suasana muram dan keluh kesah di kalangan masyarakat Islam yang masjid adalah tumpuan kehidupan beragama mereka.

Mungkin untuk mencapai itu adalah susah dan sukar kerana perbezaan politik yang ketara di antara dua parti utama umat Islam iaitu PAS dan UMNO. Tetapi demi keharmonian masjid sebagai tempat ibadah dan penyatuan, usaha perlu digandakan oleh pihak di atas dan hasilnya pasti ada pada tahap dan masanya.

Jauhnya beza golongan Sunni dan Syiah tidak menghalang usaha taqrib yang cuba mendekatkan di antara mereka. Ia sukar tetapi wacana itu mesti wujud dan diteruskan demi hujjah dan keterangan sesama umat Islam.

Saya yakin berdasarkan titah Sultan Selangor bahawa larangan itu bermaksud suasana cerca – mencerca, tuduh – menuduh dan tuding – menuding terhadap individu ahli politik di dalam masjid yang boleh mencetuskan rasa kurang senang dan perpecahan di kalangan anggota jamaah masjid. Oleh kerana ia melibatkan isu – isu politik dan kepartian, maka wujudlah larangan berpolitik di dalam masjid.

Saya kira ia larangan kepada keadaan yang khas dan semacam itulah arahan yang datang dari hampir seluruh istana di Malaysia termasuk Istana Kelantan. Keadaan yang khas adalah apabila ianya membabitkan serangan terhadap individu dan parti – parti politik.

Politik adalah daripada Islam. Pertama, kerana Islam adalah menyeluruh pengajarannya. Maka adalah terlalu dangkal memisahkan politik daripada agama sedang ia adalah meliputi sebahagian besar kehidupan mnusia. Kedua, politik bermaksud, pada faham yang paling awal, pengurusan kuasa. Kuasa di rumah sampailah negara dan masyarakat antarabangsa. Maka adalah terlalu pelik jika Islam dipisahkan daripada kuasa kerana ugama tiada mungkin dapat ditegakkan tanpa kuasa. Ketiga, politiklah yang menggerakkan kewajiban agung umat iaitu berjihad di jalan Allah. Ia dimulakan oleh pemerintah atau imam. Bagaimana dibayangkan imam dan pemerintah tanpa kuasa dan politik?

Banyak lagi sebab dan kerana..

Jika begitulah pentingnya politik di dalam Islam dan jika begitu mudah sekali kita mengenali kepentingan masjid di dalam Islam, maka bagaimana kita boleh membayangkan satu suasana kehidupan Islami yang memisahkan di antara masjid dan politik?

Anda berhak bertanya mufti kerajaa negeri Perak, mengapa ketika kita telah sama – sama bersetuju memecat selipar di tangga sebelum mamasuki masjid, dia pula turut memecat politik ditangga masjid kerana baginya politik sekotor selipar?

Anda berhak bertanya beliau yang merupakan mufti pengharam politik yang paling banyak bercakap politik itu, mengapa beliau mengamalkan Islam yang begitu sukar itu untuk difahami, malah memalukan sekali memahami Islam seperti itu?

Anda berhak bertanya kerana kesukaran itulah yang memecah – belahkan umat itu memahami Islam yang benar dan asli. Tidakkah beliau sedar bahawa senjata utama barat semenjak ratusan tahun dulu untuk memecah – belahkan kesatuan umat adalah dengan menyebarkan faham politik suku ugama suku?

Begitu contoh dan gambaran bagaimana jika larangan berpolitik di dalam masjid difahami secara yang salah, maka ia akan menambahkan parah dan kesakitan yang menimpa umat hari ini.

Kita membiarkan media cetak dan elektronik dikuasai tentera iblis menyebarkan faham sekular mereka dalam saat kita turut mengharamkan masjid milik kita daripada bercakap, bahkan mesti diam dan membisu!

Tidak mungkin inilah fahaman istana yang menjadi payung agama dan negara.

Tetapi inilah fahaman UMNO yang cuba menggunakan dan berselindung di sebalik istana.

PAS dan UMNO, di sinilah garis pemisahan yang menyusahkan di antara mereka. PAS menegakkan asas beragama manakala UMNO bermatian meruntuhkan asas dan membina di atasnya tiang kepalsuan dan kekhurafatan.

Politik tak sama dengan parti. Ibrahim Ali berpolitik dan masuk parlimen tanpa perlukan parti. Tetapi sebuah kekuatan politik takkan berlaku tanpa sebuah kesatuan parti yang menggerak dan menjayakan matlamat perjuangannya. Sekadar melompat meniru katak, tiadalah nilainya dalam membela umat dan agama.

Saya menyeru kepada dua;

1) Memahamkan UMNO bahawa memisahkan politik daripada ugama adalah haram. Begitulah memisahkan masjid daripada politik.

2) Memahamkan segelintir para ustaz dan pejuang PAS bahawa mencerca, menuduh dan menyerang individu di dalam masjid adalah tidak beradab, tidak berhikmah dan tiada untungnya untuk perjuangan. Dakwah tanpa hikmah ibarat hidangan nasi tanpa lauk. Hasilnya, tutuplah kedai makan anda. Takkan datang pengunjung.

Istana boleh memainkan peranan yang maha mulia ini.

Masjid adalah syiar kesatuan umat menuju Allah. Takkan sampai kepada Allah ahli masjid yang salah memahami pengajaran ugamanya. Ajaran UMNO takkan menyampaikan rakyat Malaysia kepada ridha Allah.

Salam Kamunting,

Menanti tahun baru tidaklah lebih utama daripada mengurus masa yang sedang mengulit diri di hujung bulan haram Zulhijjah ini. Hari ini mestilah lebih baik dari semalam. Walaupun ia terlalu sukar dipenuhi, ia tetap sebagai penguat dan pemangkin kepada peningkatan diri dan kehidupan pada esok hari. Ia hikmah yang cukup mulia dan menakutkan diri daripada diulit kelalaian.

Ingin saya melukiskan beberapa perihal yang mungkin sesuai untuk dikongsi di blog ini. Ia sekadar menghangatkan diri untuk lebih bersedia melangkah ke masa depan yang penuh soal dan tanya..

1) Pelajar – pelajar di Maahad Tahfiz NikmatiLlah, Pulau Melaka yang saya dan keluarga NikmatiLlah kendalikan semenjak beberapa tahun lalu kini sedang menghabiskan hari – hari akhir pengajian mereka sebelum cuti hujung tahun Masehi. Mereka akan bercuti sekadar 2 minggu sebelum sekolah kembali dibuka untuk sesi baru nanti.

Setiap hujung tahun, kami akan ransangkan mereka dengan kewajiban menghafaz ayat – ayat al Quran sekali ganda daripada kebiasaan upaya mereka. Kami ransang mereka dengan habuan kewangan yang tidaklah banyak, tetapi cukup mengembirakan mereka apabila memperolehinya atas usaha giat mereka menghafaz kitabaLLah. Di zaman khalifah Umar radhiallahu anhu, beliau sering menghadiahkan para huffaz dengan ganjaran kewangan khusus dengan tujuan memuliakan mereka di sisi masyarakat.

Semalam saya gembira beberapa pelajar telah melepasi target yang disasarkan oleh guru mereka. Anak sulung saya, Nik Ahmad Shah Waliyullah juga telah melepasinya. Begitu juga adiknya, Nik Mush’ab Umairi yang saya lihat telah berusaha untuk lebih rajin dan bersedia untuk tahun baru nanti. Saya rasa sungguh rasa gembira untuknya dan kawan – kawannya.

Semoga Maahad Tahfiz kami dan seluruh sekolah tahfiz di Malaysia kita terus berjaya mencapai matlamat besar melahirkan anak – anak kecil yang huffaz sebelum terus gemilang mencipta nama sebagai muslim berilmu demi negara Malaysia tercinta.    

2) Maahad Tahfiz NikmatiLlah bercita – cita besar untuk lahir sebagai sekolah ugama swasta yang mengenakan yuran pengajian paling rendah di dalam negara. Ia laluan yang sukar, tetapi kami sungguh beremosi untuk itu. Pusat – pusat pengajian ugama yang diasaskan oleh para sahabat daripada jamaah Tabligh begitu bersungguh merealisasikannya dan mereka telah berjaya. Saya mahu lebih berjaya daripada mereka.

Sekurang – kurangnya saya telah berpuas hati apabila berjaya pada awal tahun lepas untuk mengurangkan yuran pengajian berbanding tahun – tahun sebelumnya. Ia berlaku di saat sekolah – sekolah lain giat pula menaikkan yuran kerana kos kehidupan yang semakin meningkat.

Anda tahu mengapa kami berjaya? Ya, kepercayaan anda dan masyarakat kepada usaha kami, lalu andalah penderma yang budiman yang sentiasa menderma untuk sekolah kami. Kami menyantuni kepercayaan anda dan masyarakat dengan menggunakan derma itu sebaik – baiknya.

AlhamduliLlah, di awal tahun nanti, melalui sedikit penglibatan kami, pihak HPA yang diasaskan oleh Tuan haji Ismail akan membuka cawangan RFCnya yang pertama di Kelantan. Maahad Tahfiz NikmatiLlah, insya Allah akan turut mengecapi sedikit keuntungan daripada perniagaan tersebut.

Jadi, jomlah makan di RFC nanti. Ingat RFC ingat MANHAL!  

3) Antara usaha yang saya lakukan dengan bersungguh – sungguh untuk Maahad Tahfiz NikmatiLlah adalah menggerakkan perniagaan berkonsepkan sumbangan untuk dana sekolah. Ia adalah konsep konvensional dan kecil – kecilan yang dimodenkan pengurusannya supaya ia memberi keuntungan yang besar daripada rangkaian perniagaan yang luas.

Saya mulakan dengan perniagaan Saffron Integrated Marketing (SIM) beberapa tahun lepas. Ia agak sukar di awalnya sehingga hampir rebah. Tetapi berkat keyakinan dan kesungguhan, ia akhirnya mencapai kejayaan yang besar. Di dalam SIM, saya hanya mengetuainya sebagai penasihat dan pemegang amanah.

Kini di atas sebab – sebab yang mungkin telah difahami ramai, saya dan 4 lagi jamaah pengasas telah menubuhkan dan menggerakkan syarikat baru iaitu Tok Guru Nutraceuticals Marketing (TGNM) dengan menggunakan jenama TG. Ia telah memulakan operasinya awal November lalu dan telah mendapat sambutan yang agak menghiburkan dan meyakinkan saya bahawa saya telah melangkah dengan kaki kanan, dengan izin Allah.

Saya akan menulis khas mengenai perniagaan ini dan bagaimana ia menjana kemasukan besar kepada dana sekolah di samping menjawab beberapa persoalan yang berkaitan mengenai konsep perniagaan ini. Mungkin saya akan menulisnya selepas majlis makan pagi pada awal tahun Hijriyyah nanti bersama ayahanda di kediaman kami di Pulau Melaka bersama stokis – stokis seluruh negara yang telah mendaftar. Ia dibuat sempena majlis penyampaian sumbangan yang pertama untuk sekolah – sekolah ugama terpilih yang akan disampaikan oleh ayahanda sendiri. Ayahanda telah menyatakan persetujuan dan gembira seperti dulunya. Ini dan semua perancangan didahulukan dengan INSYA ALLAH.

Mungkin saya perlu minta maaf bahawa majlis ini adalah khusus untuk para stokis sahaja. Ruang tamu rumah tidak mampu untuk dibuka kepada umum. Insya Allah, saya akan cuba dapatkan perkenan ayahanda untuk majlis kedua yang lebih besar dan meriah.    

Semuanya demi kemajuan sekolah – sekolah ugama seluruh Malaysia melalui perniagaan kami yang akan mencipta kejutan demi kejutan dengan persembahan rangkaian produk muslim bermutu tinggi. Tak percaya, tunggu Januari nanti dengan beberapa produk baru yang ‘boom’ , insya Allah.

4) Dunia politik saya agak panas tahun ini. Blog saya melonjak kerana beberapa tulisan saya yang agak anti – establishment. Daripada acap menerima pujian sebelumnya, saya acap pula menerima cemuhan kali ini.

Apabila saya perhatikan, saya dapati di dalam blog kini, tiada lagi yang bersih daripada serangan. Justeru di saat ramai yang luka, anda pun patut luka. Apatah jika yang luka itu guru anda, anda mesti turut sama luka kerana mempertahankannya.

TGHH dan TGNA telah luka dan saya luka kerana mempertahankan mereka. Hah, seronok pula rasanya. Saya bukan jenis orang yang menyembunyi diri apabila melihat gurunya luka. Murid dan pembantu jenis apa ini??

Anda telah mengenali saya. Sikap saya hari ini rasanya begitulah ianya sejak dulu. Saya tidak beriman pada persepsi. Persepsi adalah umbang ambing politik manusia, bukan politik datuk saya Nabi Ibrahim alaihissalam, juga ikutan saya, nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Persepsi yang benar adalah pada ridha Allah. Ia bukan persepsi binaan politik semasa hari ini. Ia persepsi binaan malaikat Allah. Hebat kita di sisi malaikat, hebatlah kita pada dunia persepsi yang hakiki dan benar. Jika tidak, persepsi adalah nahas! 

5) Menanti bilah – bilah hari menuju tahun baru adalah keinsafan. Helaian demi helaian amalan kita di dunia ini diminitkan dan menunggu masa untuk diterima dan disahkan. Dunia semakin tua dan sentiasa acap mengulangi kesilapan yang sama. Ia tidak lagi sedar kerana ia telah tua dan telah nyanyuk untuk mengerti erti sebuah iktibar dan keinsafan.

Semua kita semakin tua. Seorang ahli akhirat akan semakin terungkai daripada tubuhnya ikatan – ikatan duniawi dan tali – tali akhirat semakin galak memegangnya dengan kuat. Dia semakin mencintai akhirat dan menggilainya. Dunia semakin jauh meninggalkannya dan dia tidak akan berpaling lagi kepadanya.

Adapun ahli dunia, tali – tali duniawi terus mengikatnya dengan lebih kuat. Dunia menagih hutangnya yang belum langsai. Kezaliman dan kemusnahan yang dilakukannya menghambatnya sehingga sukar sekali tali – tali akhirat untuk mengikatnya. Ketika akhirat memanggil – manggilnya, dia terus menjengah pada dunianya yang penuh soal dan tanya.

Dia ingin mempertahan diri di hadapan dunia yang akan lebur, sedang akhirat menunggunya dengan cemeti dan belenggu azab dan kepedihan.

Allah, kembalikanlah kami kepada kehidupan saat Engkau melahirkan kami di awal dunia kami dulu..  

Salam Kamunting,

Mendidik adalah satu tugas yang besar. Ia adalah permulaan pembinaan setiap insan, samada ia terus kekal sebagai manusia yang diciptakan dengan segala kelebihan, atau ia akan beralih dan bertukar menjadi seburuk – buruk kejadian di alam ini dengan terbentuknya sifat – sifat kebinatangan yang melampaui binatang dan haiwan sendiri.

Mendidik adalah satu tugas besar dan langsung setiap al rasul ( Lihat al Jumuah 2 ). Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam diutuskan kepada kaumnya yang buta huruf. Baginda yang buta huruf membacakan untuk kaumnya ayat – ayat al Quran, mendidik dan menyucikan jiwa dan mengajar mereka memahami al kitab dan al hikmah.

Pendidikan adalah ilmu warisan para anbiya’. Ia penuh hikmah dan penuh rahsia yang merungkai kekusutan di dalam memahami manusia.

Ia adalah warisan yang wajib diwarisi. Dengannya setiap insan menjaga dirinya dan diri ahli keluarganya. Dengannya seorang ketua menjaga anak buahnya dan dengannyalah sebuah negara menjaga rakyatnya. Ia adalah kewajiban. Kewajiban mendidik dan kewajiban mengambil pendidikan itu daripada al rasul.

Mendidik diri hendaklah dengan ilmu. Anda akan gagal mendidik diri jika anda tidak merujuk kepada petunjuk dan ilmu agama.

Mendidik anak – anak juga hendaklah dengan ilmu. Anda akan gagal jika anda memandai – mandai mendidik tanpa merujuk kepada panduan agama.

Hari ini, sesetengah kita bukan setakat memandai – mandai mendidik, bahkan tidak pun mendidik diri apatah mendidik anak – anak. Bukankah ini musibah dan dosa?

Mendidik anak – anak adalah kewajiban yang berat. Anak – anak lahir dalam serba tak tahu. Ia jahil tanpa ilmu dan tanpa akal yang sempurna untuk segera berilmu. Ia bertatih mengenal kehidupan sebelum perlu mengorak langkah gagah mengenal kewajiban.

Adakah anda menyangka betapa mudahnya manusia mengenal kehidupan, kemudian kewajiban? Lihat berapa ramai manusia yang lemah dan berputus asa. Mereka tidak mengenal kehidupan. Lihatlah pula betapa ramai lagi yang berseronok dalam noda kehidupan. Mereka gagal mengenali kewajiban dan matlamat kehidupan.

Justeru haruslah setiap kita menginsafi kelekaan kita di dalam mendidik anak – anak.

Pokok pangkal pendidikan anak – anak adalah menetapkan jiwa mereka dalam keadaan bersih sebersih asal kelahirannya. Sebersih alam fitrah kejadian yang memperakui diri sebagai hamba tuhannya dan tunduk persis tunduknya sang hamba pada tuannya. Menetapkan jiwa dan raga untuk terus kekal putih bersih sebagai seorang muslim semenjak di dalam kandungan ibunya dan saat kelahirannya.

Manusia adalah ruh dari sisi tuhannya. Ia mengenal tuhannya sebagaimana malaikat di langit mengenal tuhannya. Kemudian ia dihantar ke bumi yang jauh, lalu dimasukkan ke dalam satu lembaga dan bekas daripada tanah dan daripada air mani di dalam rahim si ibu.

Berlaku pertemuan di antara dua alam yang berbeza. Alam atas yang kudus dan alam bawah yang tandus. Ia terjerat di dalam  tubuh daripada tanah duniawi.

Apabila kelahiran berlaku, berlakulah pertembungan secara langsung di antara dua yang berbeza. Ruh meronta – ronta untuk terbang tinggi menuju alamnya yang kudus dan suci menyembah tuhannya, tetapi ia ditarik dan direntap kuat kadang – kadang untuk kekal menggelupur di lumpur duniawi yang kotor dan penuh noda derhaka, enggan dan takabbur.  

Kelahiran mewajibkan tarbiyah dan pendidikan. Ia proses menyelamat teragung.

Ruh mesti diselamatkan daripada noda duniawi yang menghimpitnya. Kesemujadiannya dilitupi alam baru yang serba baru. Anak yang lahir ilmunya bermula dengan kosong. Untuk mula menempuh alam yang baru ini, tubuh yang lemah itu bergantung sepenuhnya kepada kesemulajadiannya yang asal.

Ia secara fitrah mencari makanannya dari tetek ibunya. Ia menangis kuat melarikan diri daripada kedagangan dan kesunyiannya di alam baru ini. Ia diam dan segera nyeyak di dalam dakapan hangat ibunya. Apabila ia celik melihat dunia, ia dibekalkan rasa kasih dan sayang kepada orang yang sentiasa mendodoi dan menjaganya. Ibu dan ayah. Atau penjaganya.

Daripada ibu dan ayahnya ia mula berilmu dan terdidik. Dengan ilmunya itu ia mula mengesot, merangkak, bertatih dan kemudian berjalan. Ia membesar dengan ilmu dan pendidikan awalnya itu.

Bagaimana jika ia mendapat ilmu yang salah? Kemudian pendidikannya juga salah?

Ya, apabila ia salah ilmu dan salah didikannya, ia bertukar daripada kesemulajadiannya. Ruhnya menjadi liar dan sumbang. Ia bertukar wajah kerana ia dijamu makanan yang meracuninya. Makanan ruh seasalnya adalah zikruLlah. Ia melonjakkan nilai keinsanannya. Kini ia dijauhkan daripada zikrullah dan diganti makanan duniawi daripada isi perut yang membuncit, alunan bunyian syaitani, pinar pandangan panahan iblisi dan pelbagai rencam habuan nafsu.

Daripada fitrahnya yang muslim dan mukmin, ia bertukar menjadi Yahudi, Nasrani, Majusi dan bermacam – macam kefasiqan, kemunafikan dan kederhakaan terhadap tuhannya sendiri.

Inilah nilai pendidikan. Inilah harga sebuah kelekaan dan kecuaian.

Allah melepaskan anak – anak kita yang kecil itu daripada bebanan dan taklif. Ia tiada hak dan kekuatan untuk memikulnya kerana akalnya masih muda remaja untuk mula memikirkan tanggung jawab kehidupannya.

Bagaimana manusia boleh dilepaskan di dunia yang serba menipu dan penuh makar ini? Bukankah ia pasti menjerat dan membunuh?

Ya, si anak dilepaskan tetapi Allah mengembalikan hak pengawalannya ke atas pundak kita, ayah dan ibu. Kita diwajibkan membina pagar dan kawalan agar si anak membesar bebas dalam pagarNya ( kalaiLlah ). Ia jinak dalam bebasnya. Ia kembali selepas pergi. Ia enggan bebas daripada tuhannya walau pun ia dibebaskan sebebasnya.

Mendidik anak – anak adalah proses menjinakkannya untuk kekal hidup bertuankan tuhannya yang telah menciptakannya dan melepaskannya ke dunia dari langitNya yang kudus.

Anda jangan memarahi saya atau memperlekehkan saya jika saya bermati – matian mengingatkan anda tentang bahaya sistem pendidikan nasional hari ini. anda seharusnya kembali berfikir untuk menilai kembali hukuman anda ke atas saya.

Anda buktikan kepada saya bahawa majoriti anak – anak yang mencecah usia akil baligh ( 15 tahun hijriyah atau 14 tahun lebih masihiyyah ) telah berjaya kekal dalam iman dan ketundukan kepada Allah. Mereka telah bersedia menjadi muslim yang patuh dengan kewajiban solat 5 waktu.

Buktikan! Buktikanlah!! Atau anda akan malu dan tersipu – sipu jika anda memiliki iman, atau wajah anda akan merah padam dengan kemarahan dan kedegilan jika anda seorang yang sombong dan takabbur apabila melihat statistik daripada analisa dan kaji selidik yang sahih daripada pelbagai pihak dan sumber yang beriman yang membuktikan bahawa anak – anak Melayu seusia itu masih kekal tak solat dan tak tahu pun untuk solat dalam peratus tinggi mencecah 80%!!

Dari umur 7 tahun ( umur galakan ugama untuk anak – anak diajar untuk solat ) sehingga umur 10 tahun ( umur galakan ugama agar anak – anak dipukul jika lalai daripada solat ), kemudian memasuki umur 15 tahun ( umur taklif ), anak – anak dibentuk diri dan syakhsiyahnya oleh sistem pendidikan negara. 9 tahun dididik dan mereka keluar tanpa solat!!

Sistem apa ini?

Berat sangatkah solat 5 waktu?

Bodoh sangatkah anak kita?

Degil sangatkah anak kita?

Jahil sangatkah guru kita?

Atau,

Ianya adalah kerana sistemnya yang bersifat jahiliyah?!

Solat pada hari pertama adalah berat, pada hari kedua adalah ringan dan pada hari ketiga adalah manis.

Siapakah di antara kita mahu menghukum bahawa anak – anak kita akan kekal bodoh dan degil sehinggalah umurnya sampai 30 tahun??

Siapakah mahu menghina guru dengan menghukum bahawa anak – anak tak solat adalah kerana guru yang jahil dan malas?

Saya tegaskan bahawa sistem negara adalah sistem sekular yang syirik dan jahiliyah. Sistem pendidikan negara adalah anak yang patuh dan tunduk pada sistem induknya. Justeru ia adalah sistem yang syirik, jahiliyah dan korup.

Ia dicipta oleh otak – otak yang sekular, derhaka dan syirik yang berlegar di serambi kuasa negara.

Apabila kami orang yang terlibat dalam dunia politik secra langsung bercakap pasal ahli – ahli Parlimen UMNO dan ahli – ahli mereka di Dewan Negara, kami akan membahagikan mereka kepada dua kumpulan. Kumpulan yang lekat solat 5 waktunya dan kumpulan yang songlap 5 waktunya. Anda pasti terkejut seperti kami untuk mendapati bahawa natijahnya seumpama natijah kaji selidik ke atas anak – anak 15 tahun tahun di atas!!      

Kita menyalahkan kerajaan. Mereka memaksa kita menerima sistem yang buruk dan jahat ini. Tidak semua kita mampu menghantar anak – anak ke sekolah ugama swasta yang tawaran sistemnya lebih Islamik dan benar yang lebih menyelamat dan menjamin agama anak – anak kita.

Kita pasti beruntung dalam keterpaksaan itu jika anak – anak kita memperolehi guru – guru yang benar – benar berperanan menampal segala kebobrokan sistem yang zalim ini dengan usaha gigih mereka.

Tetapi itu adalah kewajiban orang lain. Ia langsung tidak mengangkat kewajiban kita sendiri.

Anak – anak adalah amanah dan tanggung jawab. Selepas anak – anak pulang dari sekolah, andalah sekolahnya yang pertama. Jangan anda sekularis sebagaimana sistem sekular negara.

Jika tidak, andalah penyebab sebelum sistem itu! Semoga Allah memelihara kita.

” Tuhanku, jadikanku pendiri solat, juga zuriatku. Tuhan kami, terimalah doa kami.” – al Ayat.

Salam Kamunting,

Anak – anak adalah kurniaan dan nikmat yang tiada terperikan. Ia bagaikan nyawa yang disambung – sambungkan untuk merentas masa di dunia ini. Ia menyambung dan meneruskan harapan, cita – cita dan perjuangan setiap kita. Tiadalah yang lebih menggembirakan selain melihat segala harapan yang tinggi menjadi kenyataan.

Justeru anak – anak yang soleh dan berjaya adalah kurniaan agung untuk hamba – hambaNya yang soleh. Para anbiya’ menikmati kurniaan ini di tangga yang pertama ( lihat Aali Imran: 34 ). Mereka dikurniakan zuriat yang sebahagiannya juga telah dilantik menjadi al rasul yang menyambung tugas mereka melakar cita – cita dakwah dan tauhid.

Anak – anak juga adalah amanah. Kerana setiap manusia adalah terbeban dan tergadai dengan tanggung jawab masing – masing. Kerana setiap manusia terikat dengan hasil usahanya sendiri di dunia ini. Maka melorongkan anak – anak yang masih kecil dan mentah itu menjadi tanggung jawab dan amanah ke atas setiap kita yang tiada terperikan juga.

Mendidik anak – anak adalah kewajiban yang besar. Kerana tugas besar seorang al rasul, tugas mendidik mereka sedari kecil disandang sendiri oleh Allah daripada ibu bapa mereka ( lihat Taha:39-41 ). Maka bayangkan bagaimana setiap anak terlalu terkesan dan terbekas atas acuan pendidikan yang mereka terima. Jika baik, baiklah mereka. Jika gagal, gagallah mereka. Kita menentukan mati hidup mereka di dunia ini.

Ia adalah amanah yang sukar dan berat untuk ditanggung. Namun ia juga adalah kurniaan dan nikmat yang tiada terperikan.

Mari medidik anak – anak. Biar mereka tumbuh sesegarnya, lalu kemudiannya berbuah selebatnya dan dinikmati sesedapnya.

Mendidik tentunya sukar. Tetapi ia dimudahkan dengan qudwah dan petunjuk di hadapan daripada ar Rasul sallaLlahu alaihi wa sallam sendiri. Kemudian para sahabat dan mereka yang telah berjaya daripada kalangan hamba – hambaNya yang soleh. Pastinya, jika anda mengabaikan qudwah dan petunjuk ini, lalu meredah jalan sendiri, atau membiarkan mereka terheret ke laluan yang serong, anda sememangnya menempa kesusahan dan malapetaka yang besar.

Lahir anak – anak yang degil, derhaka, kurang ajar, lemah dan putus asa, lalu menjadi mangsa dadah dan sosial tak terubat. Saat itu, nikmat dan kurniaan bertukar menjadi kecelakaan yang tak terperi pula jadinya.

Semuanya kerana didikan yang salah. Didikan yang tak sempurna pun adalah salah. Didikan menuntut kesempurnaan pada segala ruang dan lingkupnya. Ia tiada galang gantinya.

Di Malaysia, seburuk – buruk pendidikan adalah pendidikan yang diterapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Kenapa?

Kerana seburuk – buruk ilmu adalah ilmu sekular. Pendidikan negara adalah sekular. Dunia untuk dunia. Akhirat nantinya di akhirat. Itu jika akhirat itu ada.

Terdidik di dalam didikan sekular adalah sebab terbesar meruntuhkan binaan diri anak -anak muslim menjadi rapuh, punah dan binasa.

Jika anda memberi harapan kepada j-QAF atau KAFA, anda adalah mangsa awal sekularisme dan mangsa kepada sebuah harapan bertulang rapuh sebelum anak – anak anda sendiri menjadi mangsa ke seterusnya ( hanyalah guru yang benar dan soleh sebagai penyelamat ).

Perhatikan, saat anak -anak mencecah umur 15 tahun, saat umur getir ini, saat persimpangan ini, kerajaan dan anda bersibuk untuk melihat jumlah dan peratus A yang tinggi dalam peperiksaan.

Di mana anda saat Allah mengumumkan peperikasaanNya yang pertama? ‘A’ kah solat lima waktu yang fardhu itu? Bukankah 15 tahun itu adalah persimpangan syurga dan neraka untuk anak – anak?

Ramai mana ibu bapa yang bergembira dengan kejayaan anak – anak memperolehi A, sedang ia disambut di serambi neraka? Anaknya tak pun solat. Ayahnya tak pun mengendahkan!

Anda tunggulah sampai kiamat untuk kerajaan BN – UMNO bertanya anda, adakah anak anda telah solat sempurna lima waktu? Tunggulah sampai kiamat!

Semoga Allah menjauhi kita daripada BN – UMNO yang penuh kejahatan dan penyakit. Semoga anak – anak kita terselamat daripada BN – UMNO yang penuh makar dan perancangan jahat.

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Mei 2024
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa