(Ulasan terhadap komentar di FB saya)
Menawan puncak Kinabalu 1
1)
Terima kasih. Tulisan saya, ‘Rebah di kaki gunung Kinabalu’ mengundang kritikan yang begitu luar biasa banyaknya dan begitu luar biasa juga kerasnya. Saya segar menikmatinya seperti menikmati satu hidangan masakan yang luar biasa juga.
Agak malang, kebanyakan anda pula gagal menikmati tulisan saya. Atau, bagi saya, gagal menikmati satu hidangan kritikan saya yang luar biasa itu. Bahkan, bagi saya, hidangan kritikan ‘super fast food’ saya itu lebih luar biasa daripada luar biasaya hidangan kritikan anda itu yang pernah saya rasainya sebelum ini apabila saya menulis dan menimpakan anda dengan kritikan yang tajam-tajam.
Saya menikmatinya kerana saya suka hidangan yang ada rasa pahit. Anda pula gagal menikmatinya kerana anda hanya sukakan yang manis-manis. Pahit itu nikmat. Manis itu memanglah nikmatkan?
Atau, saya segar menikmati kritikan keras anda kerana binaan dalam diri saya ada satu kecantikan. Kecantikan itu adalah ‘menerima takdir Allah’. Adapun anda, sesetengah anda terlalu garang dan gopoh. Orang yang garang, gopoh dan keluh kesah tidak akan menikmati apa-apa yang buruk. Dia hanya mahu ditimpakan kebaikan sahaja. Maka dia kekal gagal mencerap dan mengukuhkan makna ‘beriman pada qada dan qadar’ yang diimaninya sebagai seorang muslim. Bukankah syarah awal bagi makna beriman pada qada dan qadar itu adalah kedua-duanya sekali, baik dan buruk adalah daripada Allah?
Ada kisahnya orang yang garang dan gopoh ini di zaman al Rasul kita yang agung itu. Pada sirah baginda adalah sebaik-baik teladan buat kita. Kita kisahkan nanti, insya Allah.
Bagaimana saya menikmati? Ya, dengannya saya dapat mengenali anda tanpa perlu mengenal nama dan wajah anda. Orang politik seperti saya, apatah saya sebagai seorang pendakwah, begitu mengimpikan untuk mengenali manusia di sekelilingnya. Kewajibannya adalah mengenali dan menguasai waqie dan persekitarannya.
Ramai orang politik rebah, apatah para pendakwah akibat sibuk mempromosi diri dengan menjual gula-gula yang manis-manis, lupa bahawa di hadapannya adalah orang ‘Negori’ yang sukakan pedas, bukan orang ‘Kelate’ yang agaknya, gula terpaksa dicatu angkara merekalah kerana suka sangat menghirup air gula.
Anda pula, dengan kegarangan itu asyik terkandas dalam mengenali saya. Jika anda kenali saya, maka saya adalah anak Nik Abdul Aziz. Anda akan meneka wajah saya, tutur saya, penampilan saya dan saya ini, adakah sama seperti Nik Abdul Aziz itu. Adapun jika anda mengenali pemikiran saya, maka anda tidaklah lagi perlukan Nik Abdul Aziz itu sebagai pengenalan. Saat itu, anda sudah mengenali saya. Jika tidak, anda akan sentiasa terkandas.
Mari perhatikan satu kritikan seorang kenalan daripada ribuan kritikan yang saya ambil daripada satu forum daripada pelbagai forum maya yang berdiskusi mengenai artikel saya. Saya menikmati ini dan saya yakin, dia masih tidak mampu mengenali saya walaupun saya dan dia adalah kawan, saling mengenali sejak belasan tahun yang lalu; (Oleh kerana terlalu pekat, saya cairkannya sikit dalam BM)
‘Bakpo (kenapa) ya jenis gatal mulut sangat kakah (perkakas) ni nak kecek (cakap).. Mu tu setaro (setahap) mana? Kalu tidak kerana bin Nik Aziz.. tak laku gi samah (50 sen) eh. Baru ni pun tak dok tempat nak bertanding.. Gi Rantau Panjang, nga (kena) hambat ko ore (orang) Rantau Panjang. Gi Bachok, nga hambat ko ore Bachok. Gi Kubang Kerian, nga hambat ko ore Kubang Kerian. Mujur Pasir Mas jah (saja) terimanya. Boleh pangkat YB, orang lain tak betul selalu. Mu sapo (siapa) kalu nak banding dengan DSAI? Pacat pun mu tak kenal..’
Garangkan? Dan saya terkekeh-kekeh menikmatinya..
Garang, gopoh, keluh kesah dan seumpamanya adalah sifat-sifat tersedia dalam diri. Ia sering menghijab diri daripada melihat, mendengar dan berfikir. Diri saya tersedia dengan sifat-sifat ini. Jika saya tidak mengawal dan menguruskannya, saya akan rosak. Jika pula saya berjaya mengawal dan menguruskannya, ia sebaliknya akan menghijab dan membenteng saya daripada keburukan, lalu saya selamat. Justeru kenalah saya berusaha mengawalnya dan menguruskannya dengan baik. Begitu saya, begitulah setiap kita.
Apabila saya menulis artikel tersebut dalam nada tajam dan keras, hasrat saya untuk mengenali anda adalah mengatasi hasrat saya untuk mengharapkan sokongan anda. Dan Allah mengurniai saya apa yang saya mahu. Bukankah itu satu pembukaan? Pembukaan adalah nikmat.
Makanya, terima kasih. Adakah anda masih garang? Grrrr..
2)
Adakah artikel saya sekadarnya saja, sekadar mahu mengenali penyokong PR dan BN? Oh tidak, itu adalah sebuah artikel yang benar. Ia adalah satu rembesan politik cara saya.
Saya pernah menulis lebih 4 tahun lepas mengenai politik damai dan politik benar. Ia sehingga kini adalah bendera yang saya kibarkan di medan politik. Ia pilihan hidup saya. Ia bukan bererti saya adalah benar dan saya adalah pendamai. Ia bererti saya mengimpikan sebuah sistem politik yang menyeru dan merajakan kebenaran dan kedamaian. Saya suka ahli politik jenis ini, jenis bercakap benar, jenis berjanji benar, jenis tak suka buat kacau bilau dan jenis tak takut kacau bilau bila menyatakan kebenaran.
Saya tidak berminat politik membina populariti dan membina persepsi murahan. Ia bukan salah, tetapi ia mudah disalah guna. Ia cepat menuju kemenangan, tetapi ia juga cepat luntur dan runtuh. Ia lebih kepada kepalsuan berbanding kepada keaslian.
3)
Saya tidak pun mengatakan kebanyakan anda tidak menerima takdir Allah. Tidak, tetapi saya mempersoal mengapa sesetengah kita tidak faham seruan ke arah menerima takdir Allah oleh presiden PAS. Apabila saya menyeru kepada yang sama, anda datang dengan segala kebengisan mensyarah makna menerima takdir Allah, bahawa menerima keputusan pilihan raya yang penuh penipuan sebagai takdir Allah adalah salah dan bercanggah dengan maksud menerima takdir yang diajar oleh ugama.
Perhatikan kritikan anda, sesetengah anda akibat terlalu berang, bertukaran antara syarah bab takdir dengan syarah bab tawakkal. Berbolot-bolot jadinya. Apabila saya terangkan dan katakan kepada yang menghubungi saya agar kembali dan baca balik apa yang saya tulis, dia tanya, adakah saya tulis itu? Saya kata, ya. Dia kata, oh, saya tak perasan..
Keberangan begitu menghijab..
Kemudian kegarangan itu terus menghijab. Apabila saya kata, jangan gopoh, jangan tiru ‘spring’ tok Arab itu, maka bertalu-talu peluru membedil saya bahawa saya menolak BO505. Saya tembak A, anda berang dan berkata, bodohnya, tembak B pun tak kena! Adoi..
Anak muda yang bersemangat sering gagal mata pelajaran sabar di sekolah. Tetapi mereka tidak memerlukan bimbingan guru untuk lulus mata pelajaran di luar pagar sekolah. Merempit. Merempit adalah pro gopoh dan anti sabar. Dalam dunia politik pun ada politik rempit. Anda tak akan mampu mengejar mereka dan anda tak akan mampu menegur mereka. Apa yang anda perlu lakukan adalah himpunkan mereka dulu. Akhirnya mereka akan ceria bersama ARC. Puji pemuda PAS sikit..
Ustaz Nasrudin Tantawi, ketua saya adalah seorang yang begitu perihatin. Apabila saya dibedal sebagai menolak perhimpunan BO505, dialah yang berusaha menafikan. Maka dia buktikan dengan kehadirannya dalam perhimpunan itu.
Dia tanya dan ajak saya turut serta. Saya kata, “Eloklah anta pergi. Jika orang tanya ana, mengapa tak pergi, ana akan jawab, kp dah pergi. Jika orang tanya anta, mana Nik Abduh, anta jawablah, ni ana dah datang ni! Anta mewakili kawan-kawan yang pergi manakala ana mewakili kawan-kawan yang tak pergi.. Ana pun ‘nak raikan’ kawan-kawan yang kata ana ni tolak BO505. Jadi, tak payahlah ana pergi!”
Dia tersengih dengan jawaban saya. Itulah ustaz Nasrudin, seorang ketua yang hebat bagi saya. Bersusah-susah dia pertahankan saya. Saya pula bersenang-senang berterima kasih padanya.
Kegarangan terus menghijab. Apabila saya membidas culaan PR yang lemah dan kita hiasi secantiknya dengan janji manis oleh ketua PR dan kemudiannya didendang oleh bala tenteranya dengan penuh mulut, kegarangan menjuah bagai petir membakar di langit. Anda ingatkan saya perihal sejarah politik DSAI yang hebat, perihal siang malamnya menjelajah ke seluruh pelusuk negara, perihal tenggelamnya pemuda PAS dalam gerak kerja pilihan raya dan perihal manifesto PR yang hebat dan ‘practicability’. Bukankah bicara antara culaan dan manifesto adalah bicara antara antara dua bilik gerakan yang berbeza. Mengapa asyik tergelincir daripada tajuk? Nasib baik anda tak puji ‘war room’ depan saya demi pertahan DSAI.
Masa saya di tingkatan 6 bawah, kami disuruh guru BM buat sebuah karangan. Bila guru kami mengoreksi dan membacakan nama pelajar yang mendapat pujian, nama saya tidak disebut. Saya rasa pelik sebab biasanya nama saya memang di ataslah bab essei ni. Akhirnya guru saya berpaling kepada saya seraya berkata, “Nik Abduh, saya suka baca karangan awak, tapi tak ada markah. Awak lari dari tajuk!” Haha, perasaan perasan yang memalukan. Saya senyum sumbing hari tu..
Saya di India, tempat saya belajar dulu. Nostalgia lama menerobos masuk dalam ingatan bagai smart phone yang baru ‘on’ roaming yang telah ‘off’ sejak beberapa hari. Macam-macam masuk..
Saya tulis yang isi-isi balik nanti. Salam BO505. Jumpa di Kelantan 12/06/13 insya Allah..
Tinggalkan komen
Comments feed for this article