You are currently browsing the monthly archive for Jun 2008.

Salam Kamunting,

Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam ( MPKB-BRI ) akan menyambut ulang tahun ke 3 perisytiharan bandar Kota Bharu sebagai sebuah bandar raya Islam bersempena tahun melawat Kelantan 2008 bermula Ogos hingga Oktober 2008 ini.

Beberapa program besar dan menarik akan diadakan dengan tujuan memberi kesedaran dan menarik sokongan semua pihak ke arah menjayakan matlamat menjadikan Kota Bharu benar – benar memenuhi ciri – ciri sebuah bandar Islam menjelang 2015 akan datang.

Antara yang dicadangkan untuk hiburan dan kesukaan remaja terutamanya adalah konsert rock yang akan melibatkan beberapa artis terkemuka tanah air. Ella, Mas Idayu dan artis perempuan lain tidak akan dijemput untuk konsert terbuka ini.

Dalam mesyuarat jawatan kuasa induk Sekretariat Bandar Raya Islam yang dipengerusikan YB Dato Hj Takiyudin bin Hasan itu, saya menyokong cadangan tersebut yang disetujui sebulat suara oleh mesyuarat.

Saya tak tahu sangat apa rock rock ni. Yang saya tahu muziknya kuat, bising dan rasa celaru. Itu telinga sayalah. Tapi peminat rock mungkin lain. Sesetengah lagu nasyid pun saya rasa serabut.

Tapi, dengar ikut corong IKIM tu, ada beberapa lagu yang sungguh sedap sekali dihayati nyanyiannya. Saya tak tahu pula siapa penyanyinya. Garau macam Ramli Sarip atau M nasir. Kot Dhuat79 tak tahulah saya..

Saya sokong bukan kerana saya minat dan nak pergi tonton. Masa Mawi datang dulu, ayahanda pergi, saya tak pergi. Dia pergi ada mesej. Oleh kerana mesejnya sudah cukup, saya tak perlu pergi lagi apatah saya tak ada rasa minat pun. Jumpa Mawi, saya nak bersalamlah sebab dulu tak ketemuan..

Saya rasa confirm Amy Search dalam senarai pertama yang akan dijemput. Ini mungkin saya kena pergi sebab saya jemputnya datang ke Kelantan dulu. Paling tidak saya kena bersalam awal dengannya. Daftar diri untuk makluman.

Nak jemput siapa lagi? Ada cadangan daripada anda? Kalau boleh sebut lagu apa yang bagus – bagus..

Jika anda tak setuju konsert rock rohani ni, bolehlah nyatakan di sini. Saya pun rasa seriau semacam dengan nama ‘rock rohani’ ni.. Rock jasmani mudahlah saya faham..

 

Salam Kamunting,

Saya diminta mengulas perihal apa yang teman – teman dalam Dewan Pemuda PAS Selangor telah lakukan sehingga berkocak juga ‘ketenangan’ yang tengah dinikmati dan diimpikan selalu dalam Pakatan Rakyat.

Soalan mereka kepada saya bukan banyak pun. Soalan biasa kepada seorang yang bergelar ustaz macam saya. Berhikmahkah cara itu? Ya, ada satu lagi soalan lain yang mungkin sekadar membayangkan keresahan bahawa ketenangan dalam Pakatan Rakyat itu mungkin tak akan bertahan lama. Bunyi soalan, bagaimana nak layan dan memahamkan mereka ( regu dalam PR )?

Saya jawab begini, hikmah itu cara melaksanakan hukum. Bincang dan fahami hukum dulu.

Tuhan berkata, ” Serulah ( berdakwahlah ) kepada jalan tuhanMu dengan hikmah dan peringatan yang baik.”

Allah menyuruh kita berdakwah. Wajib berdakwah. Dakwah itu adalah seruan kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan melarang daripada yang mungkar. Tuhan berkata, ” Dan hendaklah ada ( wajib ) daripada kalangan kamu satu kumpulan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan melarang daripada yang mungkar.”

Kemudian Dia menyuruh lagi. Laksanakan hukum tersebut dengan cara berhikmah dan peringatan yang baik. Oleh kerana ia juga suruhan, maka cara itu pun jadi wajib. Wajib berdakwah secara berhikmah.

Justeru tak berdakwah adalah salah dan berdakwah secara tidak berhikmah adalah salah juga.

Bila Dia menyuruh, maka suruhanNya adalah dengan al haq dan berhikmat. Bila Dia melarang, maka laranganNya adalah dengan al haq dan berhikmah juga. Dua – dua itu adalah demi maslahat hambaNya.

Apa itu kebaikan, makruf dan  mungkar yang wajib didakwah kepada dan daripadanya itu? Mudah sahaja. Ada tersebut di dalam al Quran dan al Hadis. Jika tidak dinyata secara khusus dan jelas, cukuplah fitrah yang suci ( dengan iman ) mengenalinya.

Makruf ertinya dikenali kebaikannya oleh fitrah yang suci. Mungkar ertinya tidak dikenali dan diingkari kebaikannya oleh fitrah yang suci. 

Justeru kewajiban setiap muslim adalah memilih, menyeru dan menyuruh manusia kepada yang baik serta menolak dan melarang daripada yang yang tidak baik.

Kemudian, apa itu secara hikmah dan peringatan yang baik?

Ia soal kebijaksanaan. Ia soal menggunakan akal dan petunjuk akal.

Sebijak – bijak akal ialah akal Nabi sallaLlahu alaihi wasallam. Sebab utamanya adalah kerana ia adalah akal yang ditunjuki wahyu dan dimaksumi daripada kesalahan.

Maka hikmah yang pertama adalah dengan meniru dakwah cara Baginda. Susahkah diperolehi? Mudah sahaja. Tiada perihal yang dihikayatkan di dunia ini melebihi hikayat Baginda dan sirah kehidupannya.

Justeru jangan anda memahami hikmah itu bermaksud otak aku atau otak engkau! Cara aku dan cara engkau! Jikalah begitu, hancur luluhlah dakwah di jalan Allah.

Hikmah bermaksud cara dakwah seperti dakwah nabi kita sallaLlahu alaihi wasallam. Cedok daripada sirah dan petunjuknya menggunakan akal anda yang diberi petunjuk.

Jikalah cara berdakwah itu diserahkan kepada akal semata – mata, pasti akan saling bercakaranlah sesama kita, akan saling tuduh – menuduhlah sesama kita, akan saling lebih – melebihlah antara kita dan akan saling label – melabellah sesama kita tanpa petunjuk yang menunjuki. Kita sudah ada nabi, keluarganya, para sahabatnya dan para ulama yang penuh bijaksana.

Sekarang, saya bertanya anda, adakah jenis hiburan yang ditentang oleh Dewan Pemuda PAS Selangor itu samar – samar hukumnya?

Saya yakin hukumnya jelas di sisi setiap muslim yang berpetunjuk dengan al Quran dan al Hadis dan yang fitrahnya suci juga. Ia adalah perkara mungkar. Hukumnya wajib ditegah.

Kemudian bagaimanakah cara menegahnya? Adakah cara menghantar memorandum bantahan itu berhikmah atau tidak? Kenakah ia dalam suasana semasa yang memerlukan pertimbangan paling baik? 

Saya tinggalkan anda di sini. Bukan kerana tak berjawaban atau tak mahu memberikan anda jawaban. Saya hanya mahu tegaskan bahawa hikmah itu kesucian dalam petunjuk nabawy dan akal yang rasyid. Allah memberkati akal yang beriman kepadaNya.

Tetapi saya tidak mungkin meninggalkan mereka yang menolak, membangkang, meremehkan dan ‘menghukum’ tindakan DPP Selangor itu sebagai tidak berhikmah. Bagaimana mungkin saya membiarkan mereka begitu sahaja sehinggalah saya memperolehi jawaban yang saya perlukan demi cara dakwah yang yang ‘lebih betul’ daripada mereka. 

Saya ingin bertanya mereka, dimanakah dalil yang digali daripada petunjuk ar Rasul bahawa cara DPP Selangor itu tidak berhikmah? Atau jika tiada, bagaimanakah hujahan akal yang rasyid  yang begitu diberkati untuk menafikan dan menolak lilitan hikmah pada menghantar memorandum bantahan itu?

Anda hanya ada tiga, iaitu tangan, lidah dan hati dalam menentang kemungkaran. Pancarkan hikmah di tangan atau lidah anda melebihi hikmah di tangan dan lidah DPP Selangor.

Jika anda berhikmah sekadar dengan hati, nyahlah anda daripada persada perjuangan. Perjuangan cukup memeritkan jika bersandar pada iman yang lemah. Ia bukan sekadar melemahkan, bahkan menyesatkan.

Sekadar berkongsi pengalaman, saya pernah menyertai demontrasi membantah majlis makan malam di sebuah hotel terkemuka di Kota Bharu anjuran pegawai PTN Kelantan yang diseliti majlis nyanyian oleh seorang artis wanita popular kurang 10 tahun yang lepas. Ia dihadiri ratusan orang yang kebanyakannya adalah pemuda – pemuda Islam yang penuh semangat anti kemungkaran. Berlaku penangkapan dan saya sempat menyelit dicelah keramaian melarikan diri ( takut le ) selepas memberikan selibas ucapan ‘ganas’. Kejadian disiarkan sebagai tajuk utama sebuah akhbar perdana keesokannya.

Ayahanda adalah MB. Kami berdemontrasi menentang tindakan pegawai kerajaan yang ayahanda adalah ketuanya. Selepas pulang daripada ‘persembunyian’ beberapa hari kemudian, ayahanda menyapa, “Inilah kerja anak muda yang ayah suka.” Wow, aku dapat markah!

AlhamduliLlah, Pegawai PTN belajar banyak daripada tindakan berani kami dan kami belajar pula erti berhikmah dalam dakwah.

Hikmah bukan bererti lembut. Hikmah itu lembut dan keras.

PAS adalah sebuah gerakan Islam. Kerjanya bergerak dan menggerakkan ke arah keagungan Islam. Ia bergerak menyatukan umat Islam di dalam Islam. Keagungan adalah dengan bersatu di dalam Islam. Kerja PAS adalah dakwah dan geraknya adalah gerak dakwah. Hikmah terbesar di dalam PAS adalah istiqamah. Ia tidak layu ketika rakan – rakannya layu. Ia bertahan ketika diasak dan ia bergerak ketika ruang diberi.

Yakini, selagi istiqamah pakaian PAS, hikmah adalah jahitannya. 

Dari blog penarik beca, saya klik ke blog FT. Saya dapati beliau menyudahkan komennya terhadap DPP Selangor dengan tulisnya, PAS, kad persembahan markah kalian masih sifar.

Faisal, saya yakin Allah tidak sekedekut anda untuk memberi markah kepada teman – teman saya di Selangor dan saya yakin Allah tidak sepemurah anda untuk memberi markah kepada abang Roslan Aziz.

Saya temui hikmah itu dalam al Quran. Dan jikalah anda membaca al Quran sebagaimana anda membaca Hizbullah, itu pun mencukupi..

 

Salam Kamunting,

Dalam tulisan saya terdahulu pasal ‘kewujudan’ anasir Syiah dalam PAS, saya menyebut dua tiga perkara. Saya tandakan Tanah Melayu kita ini adalah bumi muslim Ahlus Sunnah Wal Jamaah berdasarkan galur sejarah kedatangan Islam ke sini. Maka, jadilah kita orang Melayu menikmati Islam yang benar tanpa bersumbat dan berserabut dengan mazhab – mazhab sesat yang lain seperti Syiah dan selainnya.

Ahlus Sunnah Wal Jamaah dianuti majoriti besar umat Islam di dunia ini. Ia mengumpulkan dan menyatukan pelbagai kelompok dan mazhab umat Islam yang pelbagai. Ia menjadi garis penentu di antara hidayat dan kesesatan di antara kumpulan – kumpulan yang berkumpul di atas nama Islam.

Apabila sebahagian kumpulan Syiah yang sesat itu diterima sebagai benar, maka ia pun segeralah diterima pakai di dalam mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Namanya kekal Syiah juga. Syiah yang betul dan diterima.

Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah himpunan hidayat tertinggi yang dikongsi para ulama Islam yang telah menerima Islam melalui pewarisan yang penuh rapi dan disiplin. Islam diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya melalui garis putih yang memuncak sinarnya. 

Islam dijaga serapinya agar ia sampai ke hujungnya pada hari kehancuran dunia dalam keadaan selamat dan asli untuk diterima oleh umat Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam yang terakhir sebelum kejadian qiamat besar.

Adalah mustahil untuk umat manusia menjaga keaslian sesuatu ajaran yang terpaksa menempuh perjalanan masa ribuan tahun tanpa dimasuki dan dicalari unsur – unsur luar yang pasti  mencacatkannya. Justeru hari ini, tiada lagi yang asli daripada ajaran, pemikiran dan agama terdahulu dalam sejarah ketamadunan manusia.

Agama Yahudi dan Nasrani adalah antara contoh agama besar yang terpaksa bertarung dengan kecacatan dan unsur luar yang merosakkan terus keasliannya, lantas dinyahkan daripada menjadi petunjuk samawi yang betul dan benar.

Tiada lagi yang asli hari ini daripada ajaran terdahulu. Kalau ada, maka ia adalah satu mukjizat agung yang tak terfikirkan. Ia mukjizat kerana ia di luar kemampuan dan kuasa manusia untuk menjaganya kecuali ia mestilah daripada Tuhan yang menciptakan langit, bumi dan sekeliannya. Tuhan yang menguasai segala – galanya. Tuhan ar Rabb, tuhan al Ilah. Yang diakuri dan Yang disembah.

Anda tahukan bahawa ia adalah al Quran, sumber pertama kepada agama al Islam. Tiada lagi yang asli kecuali al Quran. Ia mukjizat agung di hadapan manusia yang kerdil dan lemah. Maka tiada yang asli daripada ajaran dan ugama kecuali al Islam. Islam ugama suci dan asli.

Asli bukan kerana kita yang menjaganya. Yang menjaganya adalah Allah sendiri. Allah menjamin penjagaan al Quran daripada sisiNya sendiri. Ini tersebut dan bertakhta di dalam al Quran.

Bagaimana Allah menjaganya?

Pertama, Allah mengutuskan untuk dan bersama al Quran penghulu segala anbiya’. Dia nabi yang maksum daripada kesalahan. Dia membaca al Quran agar dihafazi dan dijaga bacaannya satu persatu agar ianya menjadi kitab ‘tanpa syak’ ( la raiba fihi ). Dia mengajar dan mensyarahkan maksud al Quran ( as sunnah atau al hikmah ) kepada generasi pertamanya ( sahabat ) agar difahami sebaik – baiknya maksud dan kehendak Allah sendiri yang menurunkannya. Dia mendidik dan menyucikan jiwa mereka daripada kesyirikan, syubhat dan syahwat agar mereka nantinya menjadi pewaris unggul yang melorongkan ugama suci ini kepada generasi yang seterusnya.

Kedua, Allah membekalkan untuk al Quran dan as Sunnah dengan pewaris unggul daripada kecintaan dan harapan nabiNya itu, iaitu para sahabat raddhiaLlahu anhum. Begitulah seterusnya sehinggalah kesaktian ini kekal terjaga melalui persaksian nabawi bahawa 300 tahun pertama adalah generasi unggul yang menjadi saksi sepanjang zaman terhadap keaslian dan kejituan al Quran.

Ketiga, Allah dengan hikmatNya yang agung menambahkan sengat dan bisa keaslian kitabNya dengan keupayaan umat Islam dalam tempoh emas itu untuk menjadi bangsa celik huruf pertama di dunia. Menulis dan membaca adalah perisai seterusnya selepas aqal dan iman yang bersih dan suci.

Katakanlah, selepas semuanya tertera dalam kitab yang ditulis dan disalin, bolehkan ugama ini dinyahkan daripada menjadi sumber yang asli dan ajaran yang asli juga? Aqal yang akur akan berkata, tidak sama sekali!

Keempat, Allah membekalkan untuk umat ini dengan sekumpulan pejuang daripada ummat nabiNya yang hidup dan mati mereka adalah untuk Islam dan al haq. Merekalah para ulama dan merekalah para mujahidin yang benar dan berani. Merekalah untuk sepanjang zaman berkerja keras dan memerah mujahadah menjaga keaslian ugama daripada penyelewengan penyeleweng dan takwilan mereka yang menyesatkan.

Dalam dunia Islam yang kelam hari ini, Islam tetap dengan cahayanya yang bersinar – sinar untuk terus memberi petunjuk dan memimpin ke arah kejayaan dan kebahagian umat manusia.

Inilah disiplin Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Disiplin yang mencipta sistem yang bersifat mukjizat.

Islam adalah al Quran melalui nabi, kemudian para sahabat, kemudian para tabi’ie dan para ulama muktabar selepas mereka. Ia adalah sistem rapi yang disadur unsur amanah, adil, benar dan kemukjizatan. Allah menetapkannya sebagai ‘laluan sutera’ menuju al Quran sebagai rujukan yang asli, suci dan benar. Tiada kegelinciran dan penyelewengan kecuali dihapuskan oleh sistem ciptaanNya ini.

Pelanggaran terhadap sistem ini akan merosakkan Islam dan rujukannya. Ia akan menghanyutkan Islam dalam nafsu manusiawi yang penuh kekotoran dan kecelaan.

Menerima al Quran dan menolak nabinya, jadilah seperti si Kasim Ahmad dan labu labi kesesatannya.

Menerima nabi dan menolak sahabatnya, jadilah seperti Syiah dengan cinta bertompok dendam melatanya.  

Sekarang anda mesti memahami bagaimana kesesatan Syiah bermula. Bermula sesatnya daripada pangkal dan terasnya. Allah bekalkan penyebaran ugama ini dengan ribuan para sahabat nabi yang mulia yang sengaja diciptakan dan dipilih dengan hikmat rabbaniNya untuk menjadi pewaris agama yang pertama daripada nabiNya.

Syiah menidakkan mereka. Syiah menyempitkan laluan dengan mengerat – ngerat para sahabat dengan api kebencian, permusuhan, dendam, cercaan dan  pelaknatan.

Mencerca para sahabat, termasuk para sahabat agung adalah ketandaan yang sukar dihapuskan daripada mazhab Syiah.

Apabila seribu sahabat menjadi seratus, bayangkan bagaimana kerosakan di dalam pembinaan sumber keaslian Islam.

Apabila Abu Hurairah yang dikenali sebagai periwayat terbanyak sumber ugama daripada nabinya dicincang lumat – lumat oleh Syiah, maka bayangkan bagaimana sempitnya jalan yang dibuka untuk Islam dan umatnya menerima yang asli daripada nabinya. Justeru Syiah terpelanting jauh daripada menerima keabsahan sebagai mazhab yang benar dan diterima Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Di sisi Sunni, rujukan selepas al Quran adalah kitab hadis Bukhari dan Muslim ( sesahih – sahih kitab selepas al Quran ) yang mengumpulkan hadis – hadis terpilih dan terbaik keasliannya daripada nabinya. Syiah menolaknya. Anda bayangkan berapa jaraknya jauh Ahlus Sunnah dan Syiah?

Anda mungkin bertanya, tidakkah Syiah membina rujukannya dengan sistemnya sendiri? Saya jawab, ya. Yang penting, ia takkan sama. Bila tak sama, ia sukar bertemu.

Anda bertanya lagi, bagaimana boleh ada daripada kumpulan Syiah yang diterima Ahlus Sunnah? Saya jawab, sebab mereka tak sama sesama mereka dan sebahagiannya mendekati kita dalam perkara – perkara besar dan akidah. Maka mereka diterima.

Soalan tambahan anda mungkin, tidakkah rujukan mereka tak sama dengan kita? Bagaimana mereka boleh dekat dengan kita? Saya jawab, ya. Bahkan, rujukan dan pengajaran mereka sesama mereka pun tak sama. Selagi Allah dan al Rasul itu di tempat pertama, adalah pendekatan yang didambakan. Adalah persamaan yang ditemui.

Mereka menerima sebahagian sahabat dan para tabi’ien selepasnya. Mereka menerima Ahlul Bait. Di situlah ada pertemuan. 

Soalan besar anda, jadi Syiah bukan kafir? Saya jawab, selagi mereka ahli syahadah ( menerima Allah dan rasul sebagaimana kita ahlus Sunnah ) mereka bukan kafir. UMNO sesat dengan ideologi kebangsaannya. Sesat tak mesti menjunamkan terus ke lembah kekufuran.

Gelap itu macam – macam. Redup, suram, kelam, malap, hitam. UMNO biru gelap. Bila ada hadhari, ia jadi biru gelap pekat. Kufur itu yang hitam terus tanpa tanda putih. Mungkinkah sebahagian UMNO jenis ini, hanya Allah yang tahu, atau Dia memberitahu kita.

Cerah pun macam – macamkan? Kalaulah cerah kita seputih bulan mengambang, itulah iman yang hebat daripada kurniaanNya.

Tidakkah ada fatwa mengkufurkan Syiah? Ya, ada kumpulan Syiah sampai ke sudut itu. Justeru tidak benar meranapkan dan menghumban Syiah dalam satu lembah.

Begitulah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Ia bertapak di Tanah Melayu sedari awalnya tanpa gangguan ajaran – ajaran lain termasuk Syiah.

Syiah terkeluar akibat penolakannya terhadap sistem rabbani yang memandu ke jalan yang asli dan lurus. Justeru ia digolongkan sebagai sebahagian kumpulan Islam yang sesat.

Saya berhasrat menulis mengenai PAS-Syiah dan usaha taqrib antara sunni-syiah selepas ini, insya Allah.

Salam Kamunting,

Minggu ini saya melalui beberapa perkara yang agak menyeronokkan. Ia menyegarkan diri dengan keazaman dan rasa syukur yang diimpikan setiap muslim. Setiap kita menginginkan kekuatan yang diperbaharui demi menampal dan menutup segala kelemahan dan kesalahan yang sentiasa tak lekang daripada diri yang lemah ini. Kita hanyalah seorang hamba abdi yang lemah walau apa pun kita.

Jumaat lepas saya bersama isteri tercinta menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur untuk terus ke Klang. Kami hanya berada di sana kurang lebih satu jam menyudahkan beberapa urusan tanda tangan dan tunjuk ajar awalan untuk terus keluar memasuki laluan besar bertol dan terus meluncur laju balik ke Kelantan dengan kereta baru PAS 17.

Saya mengahwini isteri saya, Puan Farah binti Abdul Fatah dalam usianya mencecah 17 tahun. PAS pula mengahwini saya dalam usia saya dilahirkan. Kami dikurniakan 7 orang anak dengan 5 putera dan 2 puteri. Semuanya handsome macam saya dan cute macam isteri saya.

Ini kali pertama selepas 13 tahun usia perkahwinan, saya berjalan jauh dengan kereta dengan hanya ditemani isteri. Ia sungguh menyenangkan dan menenangkan. Perjalanan jauh itu terasa dekat sekali. Dapatlah kami berangan – angan yang bukan – bukan dalam membina dan meniti kehidupan kurniaan tuhan yang penuh ujian ini. Tiada yang mengganggu perjalanan indah itu selain Pak Lah yang telah menaikkan harga minyak. Sialan punya PM!

Isteri yang solehah, kenderaan yang selamat, rumah yang luas dan jiran yang baik adalah antara pesanan al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam untuk setiap kita agar kehidupan di dunia ini diberkati tuhan hendaknya. Isteri yang solehah sentiasa di tempat yang pertama.

Selang beberapa hari, saya menyambut kepulangan ayahanda bonda dan keluarga daripada menunaikan ibadat umrah di Mekah. Semenjak selepas pilihan raya 2004, ayahanda tidak keluar negara demi menumpukan perhatian kepada kerajaan Negeri Kelantan yang dihimpit kesukaran akibat kemenangan majoriti tipis yang cukup merimaskan semua pejuang kebenaran. Kemenangan besar kurnianNya dalam PRU ke 12 baru – baru betul – betul seperti mencabut duri – duri halus dalam diri. Dunia menjadi lapang kembali.

Ayahanda tampak ceria sekali. Beliau mensyukuri kesihatannya yang baik sekali semasa berada di sana. Antara yang menarik dan ringan – ringan ialah pertemuan kali kedua Amy Search dengan ayahanda di Masjid Nabawy. Nampaknya Amy Seach dah lupakan saya agaknya! Alam telah meyakinkan kita mesti kembali..

Ayahanda sentiasa menakjubkan. Keesokannya beliau terus masuk pejabat selepas menziarahi Yang Berhormat Dato TMB, Ustaz Ahmad bin Yaakob di rumahnya yang sedang berehat akibat serangan jantung sebaik sebelum ayahanda berlepas ke tanah suci. Ustaz Ahmad Yaakob adalah anak kepada seorang tuan guru yang menjadi timbalan dan pembantu kanan ayahanda selepas Dato Abdul Halim Abdul Rahman.

Ayahanda sering memuji keberkesanannya menjalankan tugas. Beliau seorang yang wara’ dan cukup berakhlak. Kita jarang menemui pemimpin yang dipuji akhlak dan sifat wara’nya oleh rakyat. Ustaz ahmad Yaakob menikmati kelebihan ini selepas ayahanda. Semoga Allah mengurniainya kesihatan yang baik untuk kekal membantu ayahanda dan menyumbang untuk perjuangan Islam.

Kemudian, semalam genaplah setahun saya menulis di laman ‘masanya memilih jalan yang lurus’ ini. Setahun sebagai ‘blogger’ adalah cukup mencabar juga. Maka saya jadi begitu berbesar hati atas kejayaan untuk terus istiqamah menulis di ruang blog ini.

Saya mula memberanikan diri memasuki dunia blog ini dengan ketakutan gagal untuk sentiasa up date blog ini. Anda akan dikunjungi dan anda akan mengecewakan jika gagal memberikan yang baru kepada pengunjung yang ‘klik’ ke blog anda. Saya nyatakan keresahan ini dalam tulisan pertama saya pada 12 Jun 2007 lepas di samping menggariskan beberapa matlamat yang saya impikan daripada pembinaan blog ini.

Terima kasih kepada saudara waejo jiwo kelate dan penarik beca yang menjadi pendorong utama saya untuk turut bergelar blogger. Terima kasih juga kepada sahabat bloggers yang lain yang telah turut menyumbang kepada pengenalan blog saya di dunia maya ini. Saya tidak mampu menyebut nama – nama mereka semuanya di sini. Semoga anda semua diganjari tuhan dengan sebaik – baik ganjaran.

Kini saya menikmati sokongan daripada pelbagai pihak. Hari ini blog saya dikunjungi antara 300 sehingga 500 orang sehari. Dua posting saya meletup sehingga dikunjungi hampir 2000 orang pada hari- hari pertamanya iaitu perihal lawatan muhibah hari raya saya dan beberapa sahabat pemuda PAS Pusat ke rumah Amy Search. Satu lagi adalah artikel terbaru saya pasal Ezam masuk UMNO.

Ia agak menarik dan unik kerana satunya adalah pasal hijrah insan dari dunia kelam seni suara menuju dunia cerah dan hidayat, manakala satu lagi adalah pasal hijrah insan harapan dari dunia cerah kepada dunia yang sentiasa kelam dan gelap pekat.

Sehingga kini, kira – kira selepas lebih setengah tahun berlalu, hampir setiap hari ada saja klik ke posting Amy Search itu. Ia telah dikunjungi oleh hampir 10,000 pembaca! Memang glamour sungguh ikon dunia galmour itu. Semoga Allah merahmati ‘kembali’ Amy Search.

Antara artikel yang cukup mengesankan dan mendapat sokongan dan takziah adalah perihal kekanda saya, Ustaz nik Adli, mangsa kekejaman akta ISA terlaknat itu. Saya menulis dengan air mata dan ramai memberitahu mereka membacanya dengan air mata juga. Artikel itu pernah disiarkan dalam akhbar Harakah sebagaimana beberapa artikel saya yang lain.

Agar perjuangan menghapuskan akta rimba ini kekal di benak pemikiran saya dan anda, saya abadikannya dengan memulakan artikel saya dengan ucapan ‘salam Kamunting’.

Ini adalah posting saya ke 88, hampir mencapai matlamat saya untuk menulis 100 artikel di tahun pertama ini.

Doakan semoga saya diberi kekuatan untuk berdakwah dan berhubung dengan anda semua melalui medium dakwah terbaru ini. Selagi blog ini mampu menyumbang untuk Islam, mengapa perlu kita keluar daripadanya.

Nampaknya saya menyempurnakan setahun bersama blog ini dengan merempuh angin lintang. Beberapa sahabat melenting nampaknya. Saya kena sudahkan komen saya pasal kumpulan Syiah yang ada di Malaysia. Kemudian mungkin kena tunggu lama untuk dengar komentar yang serius dan panas.

Tepatnya, saya menulis mengenainya selepas pilihan raya. Masa yang tepat untuk islah dalaman. Tak tulis, kena tulis. Tulis, panjang pula ceritanya.

Salam Kamunting,

Saya bukanlah mahir untuk mengulas perihal kenaikan harga minyak dan keadaan gawat ekonomi negara yang seperti sudah di luar cengkaman dan telunjuk Pak Lah sendiri. Lagi pun jika diulas, mungkin saya akan terbawa – bawa dengan rentak panas baran dan hilang pertimbangan seperti kebanyakan pengulas dan penulis yang lain.

Keadaan ekonomi negara bagi saya sama saja bacaan dan firasatnya dengan keadaan politik negara. Bukanlah kenaikan harga minyak sesuatu yang tak terjangkakan. Sedikit ilmu dan maklumat terdahulu sudah cukup untuk kita mengandaikan apa yang akan berlaku pada wang di saku kita yang semakin mudah hangus dijilat kenaikan suhu barang – barang keperluan di kedai.

Ekonomi negara kita rapuh sangat. Entah apa sahaja yang Yahudi lakukan di sektor ekonomi dan kewangan dunia yang hanya hidup terumbang – ambing di atas tapak dan oksigen spekulasi, negara kita berkocak – kocak dan jadi terhoyong – hayang. 50 tahun merdeka, kita masih kempunan memperolehi kekuatan sendiri.

Pemimpin politik negara macam budak – budak bola sepak hari ini. Makin hari makin tak menjadi. Makin diharap makin tak boleh diharap. Bahkan bagi saya, bola sepak negara tak maju bukan kerana budak – budak bola sangat. Semuanya kerana bodoh dan bangang ahli – ahli politik negara. Kadang – kadang saya yakin, saya lebih tahu untuk memajukan bola sepak negara berbanding Dato Seri Anuar Musa dan kelompok politik bengal bingalnya itu. Tak percaya?

Saya hanya fikir pasal kemiskinan yang terus dan bakal terus melanda kehidupan rakyat jelata di bawah. Sukarnya kehidupan yang mereka terpaksa lalui ekoran kenaikan harga minyak dan kos sara hidup yang tak menentu.

Pak Lah tersenyum lebar lepas umumkan kenaikan harga minyak. Saya tak faham apa yang dia fikirkan dan jangkakan untuk rakyatnya. Jika beginilah Pak Lah, saya fikir apa bezanya pemimpin negara yang lain yang rekodnya lebih buruk daripada beliau.

Dalam ilmu yang saya pelajari, tiada yang paling berhantu selain kuasa. Kuasa memunahkan manusia. Kerana itu Nabi kita sallaLlahu alaihi wasallam melarang memberi dan menerima kuasa kecuali kepada mereka yang layak dan ahli. Jika tidak, kuasa menghantui dan anda pun jadi hantu. Hantu itu jin. Sebahagian jin adalah iblis. 

Sebahagian pemimpin kita dah jadi macam jin dan sesetengahnya lagi betul – betul dah jadi iblis. Dalam rakyat menangis, mereka masih berhilai ketawa.

Semuanya kerana kuasa yang mereka miliki.

UMNO dah lama berkuasa sehingga mereka perasan memilikinya sebagai satu anugerah, kesempatan dan hak. Ia bukan lagi suatu amanah yang dijaga dan bukan lagi satu kekuatan yang diharapkan.

Kita semua telah yakin bahawa politik dan ekonomi negara betul – betul tak terkawal. Negara digoncang – goncang oleh ‘pemain’ luar yang mengambil dan mengintai kesempatan.

Tetapi, kerana lena dalam kuasa, pemimpin negara tak rasa apa – apa pun.

Biarkanlah mereka. Mereka jenis hantu iblis yang bengal bingal. Jika anda memang tak ada kerja lain, bolehlah saja anda mencurah nasihat dan teguran di daun keladi.

Saya hanya fikir pasal kesempitan rakyat. Saya hanya fikir bagaimana membebaskan mereka daripada hidup ditindas dan ditipu.

Saya hanya fikirkan bagaimana memahamkan mereka bahawa mereka mampu berubah dan mesti berubah. Bahawa berubah adalah sebahagian kehidupan dan kehidupan adalah dengan berubah. Kaku adalah mati dan berkulat.

Pemimpin ke neraka dan rakyat juga ke neraka. Pemimpin ke neraka kerana kezaliman mereka. Rakyat ke neraka pun kerana kezaliman sendiri, bukan kerana kezaliman pemimpin yang menzalimi mereka.

Rakyat patut masuk syurga kerana dizalimi. Tetapi bagaimana masuk syurga jika mereka pun menzalimi diri sendiri? Dengan sebab kezaliman dan penindasan pemerintah, Allah mahu mereka berubah dan kembali. Mereka tak pun berubah dan tak pun kembali. Mereka menzalimi diri sendiri.

Saya hanya fikirkan bagaimana untuk kita berubah bersama – sama. Tanpa rakyat, kita tak mampu mengubah negara kita, walaupun kita mampu melawan dan melawan.

Begitulah dakwah. Begitulah nabi sallaLlahu alaihi wasallam diutuskan ke dunia. Betullah, dakwah itu sukar sekali. Kita hanya menumpang nabi kita di medan ini. 

 

 

 

   

Fasal 1:

Mengingkari Fikrah Islam Yang Syumul ( menyeluruh )

Mengapakah para ulama Islam mencampurkan politik dengan ugama?

Pemikiran ‘Islam yang syumul’ yang diingkari oleh golongan sekular dan Marxis sebenarkan telah diterima secara sepakat oleh para ulama Islam dan pejuangnya sebagaimana waqi’ yang dapat dilihat hari ini.  

Kita saksikan bahawa golongan pembaharu/pengislah di zaman moden ini, bermula daripada Ibnu Abdil Wahhab, al Mahdi, Khairuddin at Tunisi, as Sanusi, al Amir Abdul Qadir dan Jamaluddin al Afghani, seterusnya al Kawakibi, Muhammad Abduh, Syakib Arsalan, Rasyid Ridha, Hasan al Banna di Mesir, juga Ibnu Badis dan rakan – rakannya di Aljeria, Ilal al Fasiy di Maghribi, al Maududi di Pakistan dan lain – lain semuanya telah menerima ‘Islam yang syumul’ dalam akidah dan syariat, dakwah dan daulah serta ugama dan politik.

Bahkan, bukan setakat buah pemikiran, malah mereka sendiri terpaksa menempuh debu – debu politik secara praktikal dan menanggung segala ujian dan kesusahan. Mereka melakukannya kerana 3 sebab utama:

1) Menyeluruhnya pengajaran Islam:

Islam yang disyara’kan Allah, tiada satu pun aspek kehidupan kecuali dinyatakan hukum – hakam dan arahannya. Ia merangkumi setiap aspek kehidupan; jasmani dan rohani, individu dan masyarakat.

Lihat firmanNya: an Nahli: 89. Lihatlah dalam al Baqarah: 183, 178, 180 dan 216 bagaimana Allah mewajibkan perkara – perkara tersebut hanya menggunakan satu perkataan yang sama iaitu ‘diwajibkan’ ( kutiba ) ke atas kamu’.      

Perkara – perkara itu adalah puasa ( ibadat ), qisas ( jenayah ), wasiat ( kekeluargaan Islam ) dan peperangan ( politik negara ). Maka bagaimanakah boleh dibayangkan seorang mukmin menerima ibadat puasa sahaja dan menolak yang lain, sedangkan Allah menggunakan kalimah mewajibkan ( kutiba ) yang sama sahaja. 

Syariah Islamiyah menghukum setiap perbuatan mukallaf. Tiada satu perbuatan atau kejadian kecuali adalah sahaja hukum syariat yang lima itu berlaku, iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus sebagaimana yang telah diterima pakai oleh ulama usul dan fuqaha daripada segenap kumpulan dan mazhab Islamiyah.

Dalil kesyumulan daripada al Quran: an Nahli: 89 dan Yusuf: 111.

Telah pasti bahawa RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam tidak pernah membiarkan sesuatu perkara yang mendekatkan diri kepada Allah atau menjauhkan diri daripadaNya kecuali akan disuruh atau dilarangNya jua sehinggalah Islam itu menjadi begitu jelas, malamnya seperti siang.

Islam adalah risalah kehidupan seluruhnya. Ia adalah risalah manusiawi, alami dan sepanjang zaman.

Sesiapa yang membaca buku – buku fiqh Islami dalam pelbagai mazhabnya pasti mendapati rangkumannya terhadap seluruh aspek kehidupan. Ia dapat sahaja diperhatikan oleh pelajar baru, apatah para ulama.

2) Islam menolak pemecahan hukum – hakamnya

Agama Islam sedari awal menolak pemecahan hukum – hakamnya kepada bahagian – bahagian yang terpisah – pisah dengan mengambil atau menolak sebahagiannya.

Al Quran secara keras mengingkari Bani Israel yang mengambil jalan ini. Lihat al Baqarah: 85.

Apabila segolongan Yahudi berhasrat memeluk Islam dengan mensyaratkan mereka boleh mengamalkan sebahagian syariat mereka seperti keharaman ( kemuliaan ) hari Sabtu, RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam menolaknya sama sekali. Kerana itulah Allah menurunkan ayatNya: Lihat al Baqarah:208.

Allah memerintahkan RasulNya dengan firmanNya: Lihat al Maidah:49.

Dalam ayat ini Allah mengingatkan rasulNya akan golongan bukan Islam yang mungkin memesongkannya daripada sebahagian hukum Islam. Ia adalah juga arahan ke atas seluruh orang yang memerintah umat Islam selepasnya.

Hakikatnya, pengajaran Islam dan hukum – hakamnya tidak akan memberikan hasil terbaiknya sehinggalah dilaksanakan sepenuhnya. Sebahagiannya mengikat sebahagiannya.

Ia sepertilah kaedah pengubatan yang menyeluruh seperti pengambilan ubat yang pelbagai, sekatan dan pantang serta mengadakan latihan tertentu. Ia mesti dilakukan semuanya. Jika tidak, ia gagal memberi kesan.

3) Kehidupan itu satu, tidak berjuzu’ – juzu’.

Kehidupan adalah satu dan sepadu. Maka kehidupan tidak mungkin jadi baik jika Islam datang hanya untuk menyelesaikan sebahagian aspek sahaja seperti masjid dan kelas – kelas pengajiannya. Aspek – aspek lain ditinggalkan untuk disudahkan oleh mazhab, pemikiran dan falsafah manusiawi. 

Mana mungkin Islam menguruskan masjid, sedangkan sistem manusiawi yang sekular menguruskan  sekolah, universiti, radio televisyen, mahkamah, teater dan lakonan serta pasar dan jalan raya. Ringkasnya, kehidupan seluruhnya!

Begitulah juga jika hanya urusan rohani sahaja diselia oleh ugama, manakala urusan fizikal, akal dan emosi manusia pula diseliakan oleh negara tanpa ugama, ia pasti gagal.

Manusia itu satu yang tidak boleh dijuzu’ -juzu’kan. Begitulah kehidupan.

Bahkan semua falsafah, ideologi dan fahaman revolusi dan perubahan di dalam sejarah lalu dan juga dunia hari ini menyaksikan bagaimana mereka memiliki acuan pandangan yang menyeluruh. Justeru mereka menolak untuk membelah – belah kehidupan. Mereka tidak hanya menguasai sebahagian dan membiarkan yang lain. Bahkan mereka menguasai semuanya dan mendorongnya kepada falsafah dan ideologi masing – masing.

 

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Jun 2008
I S R K J S A
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa