You are currently browsing the category archive for the ‘ramadhan’ category.

Salam Palestin,
Mari berfikir untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan al Mubarak;

Pertama, kasihan belas Allah terhadap hambaNya yang terus menzalimi diri dan mudahnya Dia menerima taubat dan keampunan.

Kedua, Peluang demi peluang untuk kita kembali. Di sediakan bumi yang suci, rumah yang suci, bulan yang suci, minggu dan hari yang agung, saat yang mustajab, hati dan akal yang khusyu’ dan tafakkur, lidah yang ringan dan basah, kawan yang soleh dan lain – lain kemudahan untuk kembali kepadaNya.

Ketiga, jauhnya kita dari membaca, memahami dan mengamalkan al Quran, satu – satu kitab dari langit yang kekal di bumi memberi cahaya dan hidayat.

Keempat, lalainya kita dengan kehidupan dan dunia yang menipu dan kita tak pernah serik dan sesal terhadapnya.
Kelima, di mana kita daripada ulama, tempat terpancar hikmat tuhan dalam kehidupan sementara..

Mari memulakan tafakkur untuk bulan Ramadhan yang mulia. Semoga Allah menyampaikan kita ke mihrab Ramadhan. Rindui Ramadhan, nescaya Ramadhan mengaminkan untuk kita dengan izinNya.

Advertisement

Salam Kamunting,

Saya, juga seluruh warga DPP Pengkalan Chepa nak ucapkan selamat hari raya eidul fitri buat seluruh umat Islam, khususnya para pembaca budiman, tak kiralah lelaki dan perempuan, tua dan muda, uda dan dara. Semoga kegembiraan kita adalah kerana kejayaan kita mengisi Ramadhan dengan ibadah, taat dan taqwa kepada Allah. Semoga kegembiraan kita adalah pancaran rasa syukur di atas hidayat yang dikurniaiNya ta’ala.

Semoga kegembiraan kita dikongsi bersama oleh orang – orang yang lemah, miskin dan dizalimi daripada kalangan umat Islam seluruh dunia. Apalah manfaatnya bergembira dalam hambatan amanah yang tak tertunai. Semoga zakat fitrah yang kita tunaikan dengan ikhlas menjadi penyebab kerdil yang mencetuskan kegembiraan di jiwa mereka pada pagi hari raya dan hari – hari mendatang selepasnya.

Semoga kita didampingi al Quran selepas kita telah berusaha untuk mendampinginya sepanjang masa di bulan Ramadhan. Al Quran adalah sumber kekayaan, kekuatan dan kegembiraan bagi jiwa yang benar – benar kembali.

Semoga kita diberkati Lailatul Qadr yang diburu setiap yang beriman kepada Allah dan rasulNya. Semoga Allah memberkati masa kita di dunia ini. Kita adalah masa dan masa adalah kehidupan.

Semoga kita gembira selama – lamanya, dalam susah dan senang juga sempit dan lapang. Semoga Allah mengampuni dosa umat Islam seluruhnya. Amin.

Selamat Hari Raya Eidil Fitri. Maaf zahir dan batin.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar.   

Jemput ke rumah ayahanda di rumah terbuka di kediaman kami di Pulau melaka pada hari raya pertama.

Silakanlah..

Salam Kamunting,

Setiap malam, setiap mukmin sedang meneka – neka dan mencari – cari malam yang agung itu. Ibu kita, Aishah  radhiaLlahu ‘anha sampai bertanyakan RasuluLLah sallallahu alaihi wasallam, apakah doa yang harus dibaca jika beliau merasa – rasakan kehadiran malam lailatul qadar itu. Baginda bersegera memberikan isteri kesayangannya itu dengan doa yang tinggi sekali nilai dan kesannya. Bacalah, “Tuhanku, sesungguhnya engkau maha pemaaf, engkau suka memaafkan, maka maafkanlah aku.”

Bagaimana jika kita saling menghadiahkan doa ini di antara kita suami isteri? Tidakkah hebat merasa – rasakan untuk meniru suasana hangat pemburuan malam agung ini dari rumah keluarga al Rasul?

Apabila masuk sepuluh malam terakhir, Baginda segera menghidupkan malamnya, membangkitkan ahli keluarganya dan mengilas kainnya ( bersungguh – sungguh ) demi memuncakkan perolehan ganjaran dan keberkatan malam agung itu.

Ayuhlah, masih ada masa untuk kita saling berlumba.. 

Jangan diabaikan ibadah iktikaf di masjid. Jangan ditinggalkan sesuatu yang agung daripada nabi kita. Ia untuk kita, jika kita ini solihin, mukminin, muttaqin atau kita mengimpikan gelaran syurgawi itu.

Jikalah kita terlalu sibuk, jangan lupa, seperti kata ayahanda, meniatkannya setiap kali kita masuk masjid untuk menunaikan solat lima waktu. Apabila kita meniatkannya, kita akan merasakan bahawa kita sedang memagari diri kita untuk Allah, tuhan yang maha sabar menanti kehadiran hambaNya. 

Ibadah yang paling berkesan adalah berfikir, bertafakkur, bertadabbur dan beribrah. Ia mengesankan sungguh. Tanpa tafakkur, kita tidak mampu bersyukur. Syukur hendaklah memuncak di malam Syawwal saat kita bertakbir membesarkan Allah ta’ala. Itu arahan al Quran.

Adalah Abu al Darda’ radhiaLlahu anhu seorang sahabi yang banyak beribadah dengan berfikir dan memerhatikan penciptaan Allah azza wajalla dan tanda – tanda kebesaranNya yang nyata. Beliau pernah berkata, “Bertafakkur sesaat adalah lebih baik daripada beribadah semalaman.”

Telah ditanya Ummu al Darda’, “Apakah sebaik – baik amal Abu al Darda’?” Beliau menjawab, “Bertafakkur dan beriktibar.” – (Kedua-duanya adalah riwayat Imam Ahmad dalam kitab al Zuhd).

Justeru, bersegeralah menikmati ibadah berfikir. Berfikir demi mensyukuri nikmatNya.

Basahi pipi untuk mengingati nikmat ini;

1) Kita dijadikan muslim seawal dilahirkan. Bayangkan sebaliknya, sebagaimana jiran kita orang Cina dan India yang berlainan ugama. Alangkah sukarnya hidayat! Alangkah mudahnya Islam kita!!

2) Kita dimudahkan dengan al Quran. Bayangkan sebaliknya, sebagaimana orang kafir. Atau sebagaimana golongan munafik yang masih bermain – main dan bersenda gurau dengan al Quran! Alangkah sukarnya khusyu’. Alangkah mudahnya kita dihadiahkan untuk membaca dan khusyu’ di hadapan al Quran.

3) Kita dilorongkan untuk memilih jalan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Bayangkan jika kita diseronokkan untuk menghina para sahabat yang disucikan hati mereka dengan al Quran! Atau, jika kita diobseskan dengan pandangan yang salah dalam memahami jihad, lalu kita membunuh sesama sendiri, atau mengkafirkan sesama sendiri. Alangkah malangnya hidup dalam Islam yang disesatkan kefahamannya. Alangkah beruntungnya kita didekati ulama yang suci dan sempurna ilmu dan fahamnya terhadap ugama.

Mari berpuasa, bertaqwa dan bersyukur dengan al Quran. Semoga Allah tidak mengharamkan kita dengan Lailatul Qadar.. Aamiin.

Salam Kamunting,

Dia mencipta dan Dia memilih. Dia bebas dengan kehendak dan mahuNya. DiciptaNya langit dan bumi, lalu dilayarkan lewat  samudera masa dalam 12 bulan yang berulang – ulang. DipilihNya 4 daripadanya, lalu dinobatkan kemuliaannya sebagai bulan – bulan yang haram (mulia). Itulah pilihanNya sedari alam tercipta di tangan dan mahuNya.

Ramadhan adalah daripada 12 tetapi bukan daripada 4 yang terpilih oleh mahuNya itu. Ia terpinggir dari arus kemuliaan tetapi ia tiada gusar! Ia menanti dalam sabar dan rindu. Ia merindu dalam cinta dan tasbih. Saatnya nabi agung terutus, saatnya umat agung terbangkit, ia akan menari dan bersuka ria dalam malam tiada terperi.

Di malamnya, satu daripada 30, dari lapis langit ketujuh tersaksilah pada sekelian alam kejadian janji agung yang terkota oleh al Rabbul Jalil. Turun berjejeranlah dan berbanjar – banjarlah para malaikat Allah didepani ‘al Ruuh’   beralunan lunak tasbih dan tahmid, memuji dan memuja pada meraikan dan merayakan turunnya sebuah janji agung daripada empunya semesta alam, Rabbul alamiin.  

Malam itu al Quran turun. Turunlah dari kota Lauh Mahfuz, dari utuh Ummil Kitab, dari sisi arasyNya yang agung. Turunlah ke lapis terbawah daripada langit yang terhias oleh jutaan bintik – bintik bintang bercahaya berkerdipan bagai lampu – lampu neon di majlis perajaan.

Ia malam penuh berkat. Diberkati dan memberkati. Malam Lailatul Qadr. Malam setanding seribu bulan, sejangkau 80 tahun hayat insani. Berimanlah, beramallah di malam terkota janji ganjaran seribu bulan dalam iman dan amal! Bertempiklah, bertakbirlah, manikam janji yang tidak terperi..

Satu malam yang memberkati 30 malam disekelilingnya. Malam – malam Ramadhan yang penuh keberkatan. Dia bertandang kepada kita, tetapi kitalah tetamunya, bukan dia tetamu kita. Dia menjamu dan kita dijamu sepuas – puasnya.

Al Quran turun dari langit diiring Jibril ‘alaihissalam menuju insan teragung, Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam di gua Hira’, gua tauhid dan kebenaran. Bacalah wahai Muhammad, dengan nama Tuhanmu..

Kita di bumi. Al Quran di langit. Ramadhan menarik langit ke bawah dan menolak bumi ke atas. Ramadhan adalah medan masa kita dan al Quran berjabat. Berpeganglah pada tali al Quran sekuat – kuatnya agar kita tidak jatuh ke bumi, ke lembah palsu dan plastik! Atau, al Quran diangkat langit dek tiada yang mengendahinya.

Kallaa!  Tidak sesekali tidak! Inilah umat Muhammad. Tercipta untuk terpilih oleh mahu Empunya alam. Terpilih untuk menjadi pemegang amanah kalamNya yang suci dan yang agung hingga dunia digoncang  janji dan ajal tuannya. Selagi umat Muhammad, selagi itulah al Quran dibaca, ditadabbur dan dilunaskan dalam medan amal dan perjuangan. Dalam hidup dan kehidupan..

Allah, Allah, Allah.. Aku tersyahdu menghirup al QuranMu. Jadikan aku hambaMu. Kerana aku hambaMu.

Selamat berkunjung ke qaryah Ramadhan. Kampung masa yang kudus dan khusyu’ diterangi juntaian neon ayat – ayatNya yang memancar menerangi dunia yang kelam dan gelap.

 

Salam Kamunting,

Selamat Hari Raya Eidul Fitri saya ucapkan untuk semua pembaca. Semoga kita dikurniai segala keberkatan dalam kehidupan daripada Allah, tuhan yang menciptakan kita.

Hari raya sungguh menyeronokkan. Allah mahu hambaNya yang beriman bergembira semuanya.

Hakikat yang Allah mahu kita sedar adalah bahawa hanya yang beriman kepadaNya di dunia ini sahaja yang patut hidup bergembira, sementara yang lain sepatutnya menangis bersedih. Sebabnya, hanya yang beriman yang hidup bersuluh di dunia ini, sedang yang lain meraba – raba tanpa suluhan hidayat. Bolehkah mereka yang meraba di dalam kegelapan ketawa bergembira? 

Para ulama menyatakan antara hikmat golongan miskin juga wajib menunaikan zakat fitrah di hari raya eidul fitri adalah demi mewujudkan rasa seronok memberi di dalam hati mereka selepas asyik dan selalu menerima dan meminta – minta. Orang yang memberi, membantu dan menyumbang akan mengecapi kemanisan dan kemuliaan yang tak akan dirasai dan dikecapi oleh orang yang menerima. Pada hari raya, golongan miskin bergembira kerana mereka juga memberi sebagaimana mereka juga menerima. Mereka tidak merasa tersisih untuk turut bergembira di hari raya.

Slogan kegembiraan adalah ‘Allahu akbar’. Bertakbirlah di malam dan pagi raya sekuat – kuatnya dan sebanyak – banyaknya. Mengapa bertakbir? Supaya setiap muslim sentiasa dalam ingatan mereka bahawa tiada kegembiraan hakiki dalam kehidupan kecuali beroleh hidayat Allah.Justeru besarkanlah Allah. Kemudian, biarlah kerja dakwah dan mengajak kepada Allah itu menjadi satu tugas yang menyeronokkan, bukan membebankan.

Tidakkah membesarkan Allah ( bertakbir ) itu menakutkan sekali di sisi sesetengah umat Islam sendiri? Ah, berseronoklah dalam membesarkan nama tuhanmu..  ( UMNO lebih seronok menggunakan slogan ‘hidup Melayu’ dan meremehkan kalimah ‘Allahu akbar’. Merekalah kelompok muslim yang bacul )

Gembira kita bukan kerana kedatangan Syawal. Gembira kita adalah kerana kedatangan Ramadhan. Kerana kejayaan memperolehi taufik dan hidayat yang pelbagai di sepanjang bulan Ramadhan, kita digalakkan bergembira kerananya di bulan Syawal. Tiada indah Syawal tanpa Ramadhan.

Tidakkah kesedihan di pagi Syawal adalah kerana pemergian Ramadhan? Tetapi ketepikanlah kesedihan itu dan gantikanlah ia dengan kegembiraan kerana Ramadhan tidak pergi kecuali dengan meninggalkanmu sejambak hidayat yang sangat berharga.

Marilah kita mengambil ingatan di Syawal yang mulia ini dengan mengingati hidayat Ramadhan:

1) Ramadhan bulan al Quran – hidup tanpanya adalah hampa walau dipenuhi segala nikmat dan kesenangan. Al Quran adalah ubat dan penawar kecelaruan kehidupan.

2) Ramadhan bulan ketaqwaan – Setiap yang beriman mesti mengimpikan untuk semakin mendekati dan mendampingi tuhannya di setiap masa dan langkah. Tiadalah jalan untuk mendekatiNya selain taqwa. Memperolehi taqwa adalah pemburuan setiap hamba yang beriman.

3) Ramadhan bulan al jihad – Jihad adalah berkerja keras dan bersungguh – sungguh. Jihad adalah berkeringat menahan diri daripada godaan duniawi, berpeluhan melonjakkan diri ke alam samawi  yang lebih tinggi dan bersembur darah mempertahankan iman dan agama. Bermula dengan melawan serakah nafsu dan memuncak dengan melawan musuh Islam dengan segenap harta dan kepunyaan. Setiap muslim adalah mujahid semestinya. Hidupnya dipenuhi episod perjuangan.

4) Ramadhan bulan kesabaran – Sabar adalah sifat paling mulia didamba muslim. Ramadhan menemukan kita dengan keindahan memiliki sifat sabar. Ramadhan menjadikan kita teruja dan kepinginan untuk mencontohi mereka yang bersabar ( as saabirin ). Janji Allah adalah menggiurkan sekali untuk mereka.

5) Ramadhan bulan kebaktian – Berbakti adalah pengenalan diri setiap muslim. Hidup berbakti adalah diari setiap muslim. Seawal kebaktian adalah beriman kepada Allah dan mendirikan solat. Ia memanjang dengan menyumbang segala kepunyaan demi kebahagiaan semua insan dan mkhluk ciptaan Allah. Ramadhan mengajar kita untuk hidup penuh pemurah.

6) Ramadhan bulan kemenangan – Ramadhan mengajar kita bahawa setiap kita adalah pemenang di dunia ini. Kekalahan adalah perjalanan, sementara kemenangan adalah destinasi. Dengan Allah, tiada musuh yang tak akan kalah.

7) Ramadhan bulan puasa dan bulan qiamul lail – Puasa adalah tiang rukun agama. Puasa adalah perisai setiap muslim. Justeru di dalam menempuh badai ujian, setiap muslim harus menjadikan ibadah puasa sebagai senjatanya yang tak lekang. Manakala solat dan beribadah di malam hari adalah cahaya. Kegelapan malam adalah menakutkan. Dalam kegelapan itulah setiap yang bangun beribadah membina keberanian. Mereka kekal dalam kecerahan 24 jam. Ibu malam adalah Lailatul Qadr.

Begitulah ingatan hidayat Ramadhan yang mesti disimpul kejap di dalam ingatan setiap kita.

Hari raya memberikan kita satu kekuatan untuk membina keazaman baru dalam meneruskan kehidupan yang lebih mulia dan bermaruah. Justeru bersamalah menjadikan setiap bulan adalah Ramadhan.

Salam Ramadhan,

Kewajiban semasa kita di bulan Ramadhan ini selain ibadah puasa adalah zakat fitrah. Ia diwajibkan ke atas setiap muslim, samada lelaki atau perempuan, kecil atau besar, merdeka atau hamba, kaya atau miskin. Ia zakat kepala ( individu ) dan bukan zakat harta yang mensyaratkan cukup nisab.

Zakat fitrah wajib ke atas setiap insan muslim yang hidup saat tenggelamnya matahari akhir hari bulan Ramadhan, memasuki bulan Syawal ( malam hari raya ). Ketua keluarga mestilah melaksanakannya atas diri dan anak buah di bawah tanggungannya. Terkecuali adalah si fakir yang tidak mampu menyediakan makanan untuk dirinya sendiri pada hari raya tersebut.  

Ia mesti dilaksanakan bermula malam raya sehinggalah sebelum solat Hari Raya eidil Fitri keesokannya. Ia harus juga dilaksanakan lebih awal sepanjang bulan Ramadhan. Melaksanakannya selepas solat raya akan menghilangkan pahala dan keberkatan zakat fitrah. Melewatkan pelaksanaannya sehingga terbenam matahari hari lebaran itu adalah berdosa. Zakat fitrah tidak akan luput sehinggalah ianya dilaksanakan.

Kadar zakat adalah segantang makanan asasi setempat ( seperti beras ) atau senilainya dengan wang. Oleh kerana keperluan hari raya orang faqir miskin adalah pelbagai sepertilah kita, maka sesetengah ulama hari ini melihat melaksanakannya dengan nilai wang adalah lebih baik.

RasuluLlah menetapkan kewajiban dengan timbangan makanan atas dua faktor ( menurut ulamak ): Pertama, masa itu matawang adalah sukar dan bukan medium utama jual beli masyarakat Arab. Kedua, Nilai wang tidak tetap. Ia mungkin berbeza – beza mengikut masa, tempat dan suasana, sedangkan timbangan makanan adalah tetap. Secupak hari itu mengeyangkan sejumlah yang sama hari ini.

Hikmat diwajibkan zakat fitrah:

Hadis riwayat Abu Daud daripada Ibni Abbas radiaLlahu anhu, dia berkata: RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam telah memfardhukan zakat fitrah sempena bulan Ramadhan demi penyucian terhadap orang yang berpuasa di atas perbuatan lalai dan buruk yang dilakukan sepanjang puasa, juga demi memberi makan kepada golongan miskin. Barang siapa menunaikankannya sebelum solat ( Eidil Fitri ), maka ia adalah zakat yang maqbul. Barang siapa yang menunaikannya selepas itu, maka ia adalah sedekah ( tiada lagi pahala zakat fitrah walaupun terlaksana kewajiban itu ).

Syeikh Dr Yusuf al Qaradhawi berkata:

Sesungguhnya orang yang berpuasa tidak boleh lari daripada mencampur adukkan puasanya dengan perkara – perkara yang lalai dan buruk seperti perbualan kosong dan bohong yang dia ucapkan atau dengarinya, atau melihat pada perkara yang tidak diharuskan untuknya, atau lain – lain seumpamanya.

Allah taala pula menghendaki agar orang yang berpuasa itu hidup dalam keadaan yang bersih sekali. Tiada lalai dan tiada dosa. Dia menghendaki sebuah kehidupan di bulan Ramadhan seolah – olah sebuah kehidupan di syurga yang disegerakan untuk manusia di dunia ini. Apabila dihina atau diperangi, maka dia tidak boleh membalas cercaan dengan cercaan juga, atau keburukan dengan keburukan, bahkan hendaklah dia membalas keburukan itu dengan kebaikan dan dia berkata, ” Sesungguhnya saya tengah berpuasa. Sesungguhnya saya tengah berpuasa.”

Inilah dia kehidupan orang yang berpuasa dengan puasanya. Bukanlah puasa itu hanya dengan menahan diri daripada makan dan minum. Bahkan ia menahan diri daripada kelalaian dan keburukan, kebisingan dan kejahilan, kebodohan dan kenistaan, kepalsuan dan kebatilan.

Inilah yang Allah tuntut daripada mereka yang berpuasa. Tetapi, siapakah antara kita yang berpuasa yang mampu sampai ke martabat tersebut? 

Sesungguhnya orang yang berpuasa selalu sahaja bercakap lalai dan acap kali dia bercakap nista dan bodoh. Justeru datanglah kefardhuan zakat fitrah di hujung Ramadhan demi membersihkan orang yang berpuasa daripada kemungkinan apa yang akan mengeruhkan kejernihan dan campur baur puasanya itu dengan kekotoran tadi.    

Telah diriwayatkan dalam satu hadis: ” Puasa di bulan Ramadhan itu tergantung di antara langit dan bumi, tidak diangkat ke langit kecuali ditunaikan zakat fitrah.”

Maksud tergantung itu adalah bahawa penerimaan Allah terhadap puasa itu tidak sempurna. Ia tidak sempurna sehinggalah dilaksanakan zakat fitrah tersebut. Dari satu sudut ia membersihkan orang yang berpuasa dan dari sudut yang lain ia memberi kenyang kepada golongan miskin.

RasuluLlah telah bersabda dalam hadis yang lain, ” Cukupkan mereka daripada meminta – minta pada hari raya tersebut.” Jangan dibiarkan si miskin walau seteruk mana faqirnya, sebesar mana keperluannya untuk menghulurkan tangannya meminta – minta pada hari lebaran, hari kegembiraan dan keseronokan.

Wajib ke atas kaum muslimin untuk turut menyertakan golongan miskin bersama – sama bergembira di hari raya tersebut. Justeru zakat fitrah diwajibkan. Ia memberikan golongan faqir sebelum mereka meminta, sebelum dia menjatuhkan air mukanya dan sebelum dia menghulurkan tangannya ( sumber: laman web www.qaradawi.net. )

Islam agama persaudaraan:

Allah suka mengembirakan kita dengan pengampunanNya ke atas kesalahan dan kekurangan yang kita lakukan sepanjang ibadah di bulan mulia ini. Justeru kita dituntut untuk mengembirakan fakir miskin dengan menampung kekurangan mereka demi kegembiraan bersama di hari lebaran.

Apabila anda melihat kewajiban dan hikmat pensyariatan zakat fitrah di atas, jelas sekali untuk kita memahami bahawa Islam adalah ugama persaudaraan antara manusia. Ia telah sedia lama wujud sebelum datangnya seruan – seruan dan slogan – slogan yag sama daripada barat atau timur hari ini.

Ini, apatah anda akan terus meneroka kehebatan Islam berbicara pasal kesamaan dan pembelaan terhadap golongan marhain di bawah dalam setiap serunya. Mereka adalah seperti kita jua.

Jadi, mengapa harus kita memperkecilkan ugama sendiri dengan mendewakan ketinggian ideologi munusiawi yang penuh kepincanagan untuk menyusun cara hidup kita?  

Salam Ramadhan,

Awal bulan Ramadhan ini, ayahanda memberi sebuah nilai yang cukup dalam sekali di dalam kuliah Ramadhannya. Ia melekat di jiwa saya sehingga saya langsung menjadikannya tema tazkirah yang saya masih tidak mahu meninggalkannya hingga ke saat ini ketika kita melangkah memasuki pertengahan Ramadhan.

Hikmat itu berbunyi, ini bulan Ramadhan, bukan bulan puasa.

Masyarakat kita memanggilnya bulan puasa. Hakikatnya, ia telah mengurangkan kekuatan penghayatan terhadap bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan bukan sekadar bulan puasa, bahkan ia adalah bulan yang penuh kelebihan yang sungguh gilang gemilang. Jadi, serulah ia dengan dengan nama bulan Ramadan, bukan bulan puasa.

Mari kita sejenak mengenal tuah dikunjungi bulan yang penuh berkat ini.

Bulan Ramadhan dipilih untuk umat nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam secara khusus. Sebelumnya, umat terdahulu mengenal kelebihan hanyalah milik bulan – bulan yang haram ( kemuliaan ) iaitu Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab ( lihat at Taubah: 36). Allah memuliakan bulan – bulan ini semenjak diciptakan langit dan bumi, lantas ia dikenali dan dijaga kemuliaannya oleh para nabi dan umat – umat terdahulu.

Tiada bulan Ramadhan yang dikenali kebesarannya sehinggalah perutusan junjungan besar al Rasul agung kita. Allah mengangkatnya dengan kedatangannya ke muka bumi di akhir zaman ini.

Ia bukanlah kerana kelahiran baginda adalah di bulan Ramadhan, atau kerana apa – apa kejadian bumi – bumian yang mungkin dijulang sejarah dan kebesarannya. Tidak, bahkan ia adalah kerana berlakunya satu kejadian gilang – gemilang di lapis langit atas. Ia adalah kejadian di alam ghaib yang kesannya adalah pencahayaan seluruh alam dunia yang kelam dan gelap. Kerananya dunia ini kembali brcahaya setelah lama kegelapan yang hampir membunuh kemanusiaan dan kehidupan.

Pada bulan Ramadhan al Quran diturunkan ( lihat al Baqarah: 185 ). Ia berlaku pada salah satu malamnya yang penuh gemilang. Allah menamakannya bulan yang penuh barakah ( Lailatim mubarakah. Rujuk ad Dukhaan:3 ) dan bulan yang penuh kemuliaan dan ketinggian ( Lailatul Qadr. Rujuk al Qadr:1 ).

Ia adalah beberapa ayat daripada wahyu pertama yang diturunkan kepada RasuliLlah sallaLlahu alaihi wasallam yang dibawa oleh Jibril alaihis salam di gua Hira’. Bumi diliputi cahayaNya dan Muhammad itu pun bergelar ar Rasul, utusan akhir Allah di muka bumi.

Atau, ia adalah kejadian ghaib yang diceritakan gambarannya secara hebat. Al Quran adalah kalam Allah yang induk. Ia tersimpan lama di Lauh Mahfuz, di Ummil Kitab di lapis langit ketujuh. Saatnya ar Rasul dipersiapkan untuk diutuskan ke muka bumi, Allah dengan hikmatNya yang maha agung mengarahkan perkenan turunnya Al Quran sekaligus 30 juzuk ke lapis langit dunia sebagai persiapan terakhir sebelum diturunkan kepada rasulNya secara berperingkat – peringkat ke dunia selama 23 tahun.

Justeru ia malam penuh keagungan. Bertolak daripada keagungan itu, Allah menjadikannya untuk diingati setiap tahun. Para malaikat diarah turun berbondongan mera’ikannya diketuai ar Ruh ( Jibril alaihis salam ). Ia malam dihuraikan, diputuskan dan ditentukan segala perkara yang besar – besar. Ia malam ditulis dan ditentukan kejadian dalam setahun, menepati segala yang tertulis lama di azali KitabNya yang pertama. Ia malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Allah menghendaki al Quran disyukuri kedatangannya oleh umat Muhammad. Ia nikmat yang tiada lagi yang lebih besar daripadanya. Tanpanya dunia ini adalah kecelakaan. Segala nikmat adalah celaka tanpanya. Harta, wanita, anak buah, pangkat, kedudukan dan segala kenikmatan adalah putus dan abtar. Ia berakhir dengan ajal yang menunggu. Ia kosong sebaik bertandang ke lubang kubur.

Hanya al Quran yang memberkati. Dengannya kekayaan dan kenikmatan menjadi bertambah dan melimpah ruah di lubang kubur dan di hari akhirat. Al Quran memberkati kehidupan dengan isinya yang penuh nilai dan padat. Ia menunjuki kerana ia adalah petunjuk. Ia menjelaskan kerana ia penuh dengan keterangan – keterangan dan kata putus. Al Quran adalah jawaban yang menjawab kehidupan yang penuh persoalan, tekaan, kebuntuan, kekeliruan dan kepenatan. Ia mencetus rasa sejuk dan nyaman. Ia menjadikan kehidupan penuh bahagia, sopan dan teladan.

Bersyukurlah dengan kedatangan al Kitab yang maha agung ini.

Bagaimana kita mensyukurinya? Adakah dengan membaca al Quran banyak – banyak? Atau mendirikan solat yang panjang – panjang bacaannya? Atau bersedekah dengan segala nikmat yang dikurniakan daripada harta, tenaga, ilmu dan segala – galanya? Ya, tetapi Allah maha berhikmah untuk memilih yang lebih baik daripada itu semua. Ia menetapkan satu ibadah khusus yang penuh hikmat dan kebesaran.

Dia berfirman: ” Maka barang siapa yang menyaksikan kedatangan ( anak bulan ) Ramadhan, maka hendaklah ia berpuasa.” Syukurilah kedatangan al Quran dengan melakukan ibadah puasa. Berlaparlah kamu di siang hari. Kekangi dirimu daripada berlaku dosa sepanjang hari di bulan Ramadhan. Sempurnakan puasamu 30 hari dan bertakbirlah kamu di malam kamu melihat kedatangan Syawal.

Apa kaitan al Quran dengan puasa? Tidakkah lapar itu meletihkan? Tidakkah membaca al Quran dalam keletihan adalah tidak mengkhusyu’kan? Tidakkah…

Ya, manusia sukar mengetahui dan menikmati hikmat berpuasa sehinggalah mereka mengerti hakikat diri sendiri ( meminjam kata Syeikh Yusuf al Qaradhawi ).

Mari memerhatikan dua perkara:

Pertama, al Quran diturunkan sebagai petunjuk untuk seluruh manusia ( hudan linnaas. Lihat al Baqarah: 185 ). Ia seperti turunnya hujan untuk dinikmati seluruh makhluk. Tiada manusia tidak mengerti hujan. Tetapi hampir semua manusia tidak mengerti al Quran dan wahyu. Mereka mengkhianati al Quran saat mereka menikmati hujan.   

Justeru siapakah yang menikmati al Quran? Allah mempertegaskan satu golongan manusia yang mengambil al Quran sebagai petunjuk. Mereka adalah golongan yang bertaqwa kepadaNya ( hudan lil muttaqiin. Lihat al Baqarah:2 ).

Al Quran hanya milik golongan bertaqwa. Al Quran menggamit dan memburu golongan yang hatinya berdenyut dengan rasa takut, gerun, yakin, cinta, mengharap dan bertawakkal kepada Allah.

Syukurilah al Quran dengan mengisi dadamu dengan taqwa.

Taqwa itu sukar. Tiada jalan pintas menuju taqwa. Ia adalah istiqamah dan sabar untuk memperolehinya. Sukar, tetapi Allah tidak menghendaki kesukaran buat hambaNya. Allah menghendaki kemudahan untuk hambaNya. Taqwa itu sukar, tetapi Allah mempermudahkannya.

Berpuasalah. Anda akan menikmati rasa taqwa di dada ( Lihat al Baqarah: 183 ). Berpuasalah 30 hari sepanjang bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap daripadaNya. Kecapilah rasa taqwa.

Tiba – tiba al Quran mendatangi anda. Dia mencintai anda dan anda mencintainya.

Ramadhan adalah bulan al Quran sebelum ianya adalah bulan puasa. Ia mahal kerananya, bukan kerana puasa. Puasa hanyalah kenderaan menuju taqwa yang didamba al Quran.

Kedua, manusia berharga kerana unsur ruhnya. Dengannya ia terbang meninggi ke langit meninggalkan segala mahluk di bumi. Ia mencari kebahagiaan abadi di sisi tuhannya. Itulah keadaan mereka yang memahami.

Tetapi manusia sentiasa gagal memahami. Ia merajakan unsur tanah dalam penciptaannya. Ia melupai ruhnya. Lantas manusia menjadi seperti babi menyondol bumi mencari kekenyangan perut dan nafsu. Ia terpenjara di dalam bekas yang membaluti ruh samawinya. Justeru bagaimanakah menyedarkan diri dengan perlakuan kebinatangan ini?   

Allah memberi jawaban terbaik. Kekanglah nafsumu dengan berpuasa. Nafsumu akan menjadi lemah dan letih. Ia menjadi longlai dalam ikatan kejapnya memenjara dirimu. Saat itu ruh menjadi gagah untuk mendongak keluar membawamu ke alam tinggi melepasi lumpur duniawi tempat nafsumu berkubang dan menggelomor.

Dengan berpuasa, anda sedang mensyukuri Allah yang menurunkan al Quran dengan sebaik – baik cara.

Sekarang anda sudah memahami kaitan di antara Ramadhan, al Quran, taqwa dan puasa. Selamat menghayati bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Semoga Allah menunjuki kita sepanjang masa.

( Untuk bersama menikmati Ramadhan di QARYAH RAMADHAN di Kota Bharu, sila ke http://pemudapc.blogspot.com/ )

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Mac 2023
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa