You are currently browsing the category archive for the ‘istizkariyyah’ category.

i)

Pada pertengahan bulan Mac 2011 baru-baru ini, saya telah berlepas ke tanah suci Mekah dan telah selamat mengerjakan ibadah umrah bersama rombongan program Umrah Tarbawi anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat yang diketuai Ketua Pemudanya, Ustaz Nasrudin bin Hassan Tantawi. Seperti biasa, rombongan kami juga telah menziarahi masjid nabawi di tanah suci Madinah. Program selama dua minggu yang disertai oleh hampir enam puluh orang peserta itu telah mencapai matlamat dan kejayaan sebagaimana dirancangkan.

Ibadah sunat umrah adalah ibarat kembar kepada ibadah haji yang difardhukan ke atas setiap muslim. Ia samalah seperti kembarnya ibadat solat sunat kepada kefardhuan solat lima waktu atau ibadah bersedekah kepada kefardhuan ibadah zakat atau ibadah puasa sunat kepada kefardhuan puasa di bulan Ramadhan. Kesemuanya menambahkan kehangatan setiap muslim untuk melaksanakan ibadah rukun-rukun Islam yang lima itu dengan penuh adab dan khusyu’.

Seperti ibadah haji, ibadah umrah memestikan seorang muslim itu berangkat ke tanah suci menuju kaabah, rumah pertama yang dibina untuk ibadah kepada Allah. Dia mestilah berniat ihram dengan kaum lelaki hanya memakai kain putih tanpa jahitan, tidak melakukan beberapa pantang larang tertentu, tawaf di kaabah, saie di antara bukit Safa dan Marwah seterusnya menyudahkan ibadah unik itu dengan melakukan tahallul dengan menggunting atau mencukur rambutnya.

Allah menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang melaksanakan ibadah umrah. Ia menghapuskan dosa-dosa lepas selain ia begitu kuat dan kudus untuk membersih dan membina kembali hati dan iman setiap muslim dengan semangat untuk mengubah diri kepada lebih baik sekembalinya ke tanah air.

Pensyariatan ibadah haji dan umrah adalah penuh dengan hikmah ketuhanan. Melalui ibadah ini, umat Islam akan dipancarkan secara langsung dengan sejarah umat tauhid yang memanjang daripada kisah penerokaan awal nabi Ibrahim ribuan tahun yang lalu serta isteri dan anak kecilnya alaihimussalam ke atas bumi Mekah. Perjuangan besar baginda menegakkan tauhid dan menolak ketuhanan berhala dan syirik yang telah banyak menyesatkan umat manusia sepanjang zaman akan membuka minda dan menambat hati setiap muslim untuk menginsafi dan mensyukuri kelebihan menjadi seorang muslim yang benar.

Samada di Mekah atau Madinah, iman setiap muslim menjadi bertambah hangat apabila melihat kesan sejarah peninggalan sirah al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam yang menjadi rasul terakhir dari langit yang menyahut doa tertangguh ribuan tahun nabi Ibrahim agar zuriatnya diselamatkan Allah melalui perutusan seorang rasul agung yang akan menyinari alam dengan risalah tauhid dan iman. Seorang peserta umrah memberitahu saya, sepanjang berada di Masjidil Haram, beliau telah sempat menghabiskan buku sirah ‘Fiqhul Harakah’ karangan Tuan Guru Dato Haji Abdul Hadi Awang. Beliau menjelaskan betapa terkesannya dirinya apabila mampu merasa-rasakan kehadiran RasuluLlah melalui kisah-kisah sirah baginda yang dipaparkan melalui buku tersebut.

Di antara kelebihan lain yang paling dirasai oleh pengunjung BaitiLlah al Haram yang datang dari seluruh pelusuk dunia ialah suasana kesatuan umat Islam yang diikat kukuh oleh kesatuan tauhid dan kiblat. Penghayatan terhadap kelebihan ini sebenarnya mampu menjadi pemangkin yang paling berkesan untuk umat Islam melangkah lebih gagah di dalam membina kembali kekuatan mereka yang telah hilang dek kealpaan sendiri.

Begitulah seimbas hikmah pensyariatan ibadah haji dan umrah. Allah memaksa kita meninggalkan tanah air, keluarga dan kesibukan diri menjalani kehidupan duniawi untuk mengosongkan masa sepenuhnya berteleku di depan kaabah menghitung kembali kehidupan yang penuh cubaan dan cabaran yang mungkin menghijab kita daripada melihat kehidupan lebih baik yang telah dijanjikan Allah untuk umat terbaik ini.

ii)

Rombongan kami disebabkan kelewatan mendapatkan visa umrah telah terpaksa menukar jadual penerbangan dan terpaksa melalui Bangkok dan Kaherah sebelum masuk ke Jeddah. Ia agak memenatkan dan saya sendiri disapa demam dek kejutan udara sejuk walaupun hanya sepuluh jam berada di Kaherah.

Dunia arab sedang melalui tempo perubahan politik yang begitu tegang dan panas. Perubahan demi perubahan yang sedang mengasak hari ini melalui kebangkitan rakyat menentang pemerintah mereka nampaknya akan menjadi petanda ke arah kehidupan dan kemajuan tamadun arab dan Islam yang lebih baik. Sebelum ini, negara-negara arab dilihat begitu beku, lemah dan degil sehingga umat Islam seluruh dunia gagal memberikan keyakinan dan harapan kepada mereka untuk memimpin kebangkitan.

Semasa singgah di Mesir walaupun sekejap, sekilas mendengar perbualan rakyatnya daripada pekerja-pekerja di lapangan terbang Kaherah sehinggalah peniaga kedai kopi di tepi masjid Husain di sebelah universiti al Azhar, saya dapat mengagak betapa rakyat Mesir yang terkenal berani telah menjadi semakin berani dan yakin. Beban puluhan tahun ditutup mata dan telinga dan ditekup mulut nampaknya gagal menjadikan hamba pemerintahan kuku besi kebangsaan arab sebagaimana Firaun berjaya memperhambakan Bani Israel di dalam sejarah Mesir kuno melalui tekanan dan penindasan yang berterusan. 

Saluran-saluran tv negara arab dan akhbarnya pula nampaknya berlumba-lumba untuk menjadi jaguh kepada perubahan yang berlaku. Mereka 24 jam melaporkan segala perkembangan politik terutamanya di Libya, Yaman, Bahrain dan terbaru di Syria. Malah, mereka seperti menjadi pendorong kuat kepada apa-apa saja perubahan tsunami politik yang sedang melanda dunia arab sekarang.

Negara Arab Saudi kelihatannya berjaya mengawal kemarahan rakyatnya daripada merebak walaupun berlaku perhimpunan kecil menuntut perubahan. Walaupun begitu, Raja Abdullah nampaknya berusaha keras meredakan penularan kebangkitan rakyat di dunia arab dengan melakukan beberapa pembaharuan ekonomi dan politik. Ia mungkin bersifat kosmetik, tetapi sepertilah di negara kita Malaysia, negara Arab Saudi yang lebih mengecapi keharmonian dan kestabilan ekonomi berbanding negara-negara arab lain mungkin selamat untuk tempoh tertentu daripada ancaman kebangkitan rakyat.

Perubahan didorong oleh tindak balas terhadap kezaliman yang melampau dan berterusan. Seperti kata hukama kita, pemerintahan itu boleh kekal bersama kekufuran, tetapi ia tidak mungkin kekal bersama kezaliman. Negara-negara barat yang kufur lebih menikmati kestabilan dalam politiknya kerana keadilan yang diusahakan mereka. Tetapi mereka juga akan rebah suatu hari nanti kerana pastinya tiada kezaliman yang lebih besar selain menolak ketuanan Allah di muka bumi ini. Kerana itu, kita umat Islam diutuskan untuk membawa keadilan sejati dan benar dan kita dijanjikan kemenangan yang sejati.

Advertisement

Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim bin Lokman adalah seorang selebriti terkenal tanah air. Baru-baru ini, di dalam program ‘Himpunan 30 Ribu Pemuda PAS’ anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat di Kedah, beliau telah mengejutkan dunia politik tanah air dengan mengisytiharkan penyertaannya ke dalam perjuangan PAS selepas menyerahkan borang keahlian kepada menteri besar negeri Kedah, YAB Dato Seri Ustaz Azizan bin Abdul Razak.

Sebelum itu, Bob Lokman sebenarnya telah melakukan suatu tindakan yang lebih besar di dalam hidupnya yang juga telah mengejutkan dunia hiburan tanah air dengan  melakukan ‘hijrah paling profesional’ iaitu melangkah ke gerbang besar paling penting dalam kehidupan manusia iaitu gerbang taubat.

Pintu taubat seperti dikisahkan oleh nabi kita Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam, keluasannya adalah memanjang dari timur hingga ke barat. Luas yang tiada taranya. Ia pula dibuka terus tanpa ditutup sehinggalah hari kiamat. Setiap manusia masing-masing akan menempuh kiamat kecilnya sendiri iaitu mati. Selagi kiamat tidak berlaku atau maut tiada menjemput, selagi itulah anak Adam berhak berjalan memasuki pintu taubat.

Taubat adalah nikmat dan rahmat yang agung. Nikmat kerana pentaubat akan menikmati suatu kehidupan baru yang sungguh kudus dan menenangkan yang tiada lagi kecapan manis semanis melangkah dan bersimpuh di gerbang taubat. Rahmat kerana betapa kasih,  sabar dan lapangnya Allah menerima kembali hambaNya walaupun telah begitu jauh hanyut dilambung badai maksiat dan dosa sepanjang hidupnya.

Tetapi seluas mana gerbang taubat, selama mana ianya terbuka dan seindah mana tamannya, tidak ramai manusia melihatnya sebagai destinasi yang mesti dituju. Justeru setiap kali ada yang menuju dan memasukinya, maka dia akan menjadi begitu penting dan diraikan. Penting kerana dia akan menjadi sandaran buat yang lain mengenali gerbang ini. Diraikan kerana ahli taubat sebelumnya akan segera mengerumuninya, mendengar daripadanya pengalaman pahit dan menakutkan saat hanyut dibawa arus jahiliyah yang sentiasa lahap menyambar mangsanya yang lalai. Maka mereka saling kuat menguat untuk terus mengagumi nikmat dan rahmat taubat yang dikurniakan Allah kepada para hambaNya yang terpilih.

Saya sempat berjabat tangan dengannya dalam majlis perhimpunan pemuda PAS yang sungguh hebat itu, tetapi tiada tuah masa untuk lebih mengenalinya. Beribu anak muda begitu kepingin untuk bergambar dengannya atau sekurang-kurangnya bersalaman dengannya. Saya melihat suasana kasih sayang dan kemeriahan yang begitu menenangkan jiwa. Bob Lokman telah berjaya menjadikan kehadiran dan penampilannya pada hari tersebut begitu menarik keyakinan anak-anak muda terhadap kebenaran perjuangan PAS memperjuangkan Islam yang syumul.

Apa pun, menarik juga, melalui temuramah dengan beliau yang disiarkan oleh beberapa akhbar dan laman web yang memberikan gambaran ringkas pengalaman beliau melalui kehidupannya sebagai seorang insan seni sehinggalah beliau tiba dan menemui pintu taubat dengan izin Allah, untuk saya menitipkan beberapa butiran yang berguna untuk kita kongsikan bersama. Jika Bob Lokman membaca titipan ini, harapnya beliau dapat menyempurnakan lagi pengalaman berharga ini untuk dinikmati bersama oleh kita.

Beliau memberikan sekurang-kurangnya tiga sebab penting penghijrahannya. Pertama, pembukaan akal yang dialaminya semasa beliau jatuh sakit. Kedua, keperitan hidup berkeluarga yang goyah akibat keruntuhan tahap kesihatan dan kewangannya. Ketiga, kematian mengejut rakan karib beliau. Ketiga-tiga faktor tersebut telah memberinya pembukaan akal, masa dan peluang yang lumayan untuk beliau mula berfikir secara lebih serius dan tenang mengenai kehidupan dunia yang begitu singkat dan terumbang-ambing ini.

Cuba kita perhatikan, kesemuanya adalah musibah yang melanda yang ditakuti kehadirannya oleh setiap kita. Tetapi takdir Allah siapa dapat menahan. Dunia dan kehidupan adalah milikNya dan Dialah pemandu dan pengaturnya. Jika begitu, bagaimana seharusnya kita melayani kekuasaan agung ini?

Jika setiap musibah yang ditakuti dan dibenci kehadirannya itu dikira sebagai satu kezaliman dan penganiayaan, maka sungguh manusia dan dunia sedang diatur oleh seorang tuhan yang zalim! Jika begitu, dalam sekelip mata, manusia akan hilang keyakinannya untuk menempuh kehidupan yang berani dan bermaruah. Mengapa harus menjadi insan mulia jika kemuliaan itu dipasung oleh kehendak tuhan yang zalim dan tiada mengenal peraturan yang adil?

Perhatikan bagaimana orang yang ditimpa musibah kesakitan, kehilangan dan kesedihan, kemudian dia merasakan dirinya telah dianiaya dan tidak diadili dengan benar oleh kehidupan atau takdir atau tuhannya, dia akan ditimpa pula oleh seburuk-buruk penyakit di dalam diri iaitu barah putus asa.

Apabila seseorang mula berputus asa dalam menempuh kehidupan, dia akan melakukan dua tindakan yang semakin malang; hidup berdendam terhadap kehidupan atau lebih malang, dia membunuh diri. Apabila dia menyimpan dendam, dia tidak lagi sedih untuk melakukan kejahatan seterusnya seperti mencuri, merompak, menipu, minum alkohol dan sebagainya. Baginya, apa untung hidup bermaruah jika tuhan telah tidak adil terhadapnya.

Kemuncaknya, jika dia terus buntu dan tiada lagi harapan walau sebesar hama, dia akan membunuh diri. Dan anda tahu betapa buruknya membunuh diri hatta di sisi mereka yang enggan menerima kewujudan hari pembalasan.

Akidah kita umat Islam, Allah adalah tuhan yang maha adil. Dengan kekuasaanNya yang mutlak, siapa yang dapat menghalangNya melakukan apa saja termasuk kezaliman? Tetapi Allah mengharamkan ke atasNya berlaku zalim. Dia adalah maha adil seadilnya. Maka Allah adalah zat yang paling sempurna sifatnya.

Kerana itu, segala perbuatan Allah dalam segala kejadian alam yang tersaksi dan terlindung adalah diselubungi hikmah yang mendalam. Hikmah penuh siratan keadilan yang tersaksi dan terlindung juga.

Manusia hanya mahukan kesenangan dan keseronokan nafsu nafsi sahaja. Dia meninggalkan akal, ruh, fitrah, jiwa raga dan hati sanubari yang mendiami kamar kemuliaan di dalam dirinya untuk membiarkan nafsu buasnya merajai dirinya mengaut segala apa keinginannya. Apabila dia gagal memperolehinya, apatah ditimpa pula dengan bala dan musibah, nafsunya mula memberontak seperti orang gila mencabar kehidupan di sekelilingnya.

Kita, sepertilah Bob Lokman, tiada mengingini selain kesihatan, kemewahan, kebahagiaan dan kenikmatan berpanjangan. Tetapi bayangkan betapi kehendak Allah adalah melampaui segalanya. Dia melingkari kehidupan dengan kerahmatanNya agar sang hamba mendapat kenikmatan yang tak tergambar oleh nafsunya yang kerabunan sifatnya itu.

Sekarang tiba masanya Allah memberikan akal dan hati untuk mengambil peranan nafsu yang dirajakan oleh manusia. Kesakitan, kehilangan orang tersayang dan porak peranda kehidupan adalah peperangan terhadap nafsu. Nafsu terdampar lemah dan kesakitan. Saat itu akal dan fitrah hati mengambil alih teraju diri. Manusia dan Bob Lokman mula melihat dari ruang pandang yang baru dan segar.

Ada dunia baru yang sungguh harmoni dan menenangkan. Ia disendal dua tiang kukuh yang membentuk gerbang besar bernama taubat. Ia perjalanan yang sukar. Tetapi kesukaran diiring kemudahan apabila ianya di jalan Allah.

Begitulah keadilan Ilahi. Rahmat Allah melampaui kemurkaanNya. Allah tiada berlaku zalim, tetapi manusialah yang sentiasa menzalimi dirinya. Jika hijab ghaflah dan lalai telah tersingkap, manusia tiada ingin selain bersujud di bawah duli tuhan.

Sungguh bagus untuk terus mendengar daripada saudara Bob Lokman. Tazkirah adalah tentera Allah, seperti kata para hukama’. Bagaimana pula beliau boleh bersama PAS? Beliau memberitahu, tetapi ruang ini terhad untuk saya mengulas. Anda bolehlah ke blog saya untuk tambahan santai yang berguna.

(Artikel ini adalah untuk kolum ‘agama dan kehidupan’ akhbar Siasah)

Salam Palestin,

Saat saya menggerakkan anak-anak jari untuk memulakan penulisan ini, saya tahu saya sedang berkongsi dengan seluruh dunia untuk melihat satu hukum karma yang maha pasti itu berlaku di bumi Mesir. Hukum karma pemiliknya adalah Allah. Kerana itu setiap muslim tidak betah menyebutnya, bahkan menamakannya sebagai sunnah Allah di muka bumi. Sunnah Allah bererti ketentuan dan hukum yang tetap daripadaNya.

Antara sunnah Allah yang mudah difahami dan dilihat ialah hukum pergantian atau silih berganti di antara dua yang berlawanan. Baik berganti buruk dan sebaliknya. Zalim berganti adil dan sebaliknya. Mulia berganti hina dan sebaliknya. Pergantian ini tidak berganti sendiri atau semudahnya. Ia mesti memuncak dan klimaks. Tali apabila sudah memuncak tegangannya, ia pun putus. Maka berlakulah pergantian, kental berganti kendur. Gagah berganti lembik.

Tiada malam yang kelam kecuali kemuncaknya adalah fajar nan menyinsing. Tiada panas yang memuncakkan teriknya kecuali bumi berpusing pantas ke sebelah timur meninggalkan matahari menggelongsor ke hujung barat. Begitu Allah memudahkan kita memahami sifir-Nya itu.

Presiden Husni Mubarak sedang cuba berhelah dengan sunnah ini. Sunnah Allah adalah keruntuhan dan kehinaan ke atas setiap penzalim dan thaghut di bumi-Nya. Firaun telah terhumban lemas di Laut Merah. Bani Israel kembali ke tangan keadilan nabi Musa alaihissalam. Semalam, Husni Mubarak, ketika rakyatnya menyerunya keluar dari Mesir di awal perhimpunan, dia melawan dan berusaha untuk tidak terbang melintasi Laut Merah ke Jeddah atau Dubai. Nah, hari ini rakyatnya meminta lebih daripada itu. Husni Mubarak untuk diadili, bukan untuk dihalau lagi. Kini, patungnya telah diangkat di Medan Tahrir ke tali gantung. Maut  untuk penzalim dan thaghut!

Kata seorang penyair agung Tunisia, ‘Satu hari, apabila rakyat mahukan kehidupan (perubahan), maka pasti sekali al qadar (ketentuan tuhan) akan menjawab!’ Maka selepas puluhan tahun, al qadar menjelmakan dirinya, menyambut rakyat Tunisia yang bangkit menuntut kehidupan daripada hangus nyawa putus asa seorang anak mudanya yang dibakar kezaliman Ben Ali yang menjarah di bumi tuhan.

Fajar apabila ia bangkit, ia tidak hanya bangkit di Tunisia. Ia kini bergerak ke Mesir. Kemudian, malam yang kelam sedang menuju pula di Israel, negara haram di bumi Arab. Malam akan memuncak. Apabila fajar membunyikan locengnya, ia enggan kecuali menunggu azan yang akan berkumandang gagah di bumi al Quds.

Kata al imam al Qaradhawi,’Wahai Husni Mubarak, jika pemerintahan itu bagai ghanimah untukmu, maka 30 tahun itu sudah cukup. Jika pemerintahan itu adalah bebanan ke atasmu, maka 30 tahun itu juga sudah cukup. Turunlah kamu!’ Siapakah Husni Mubarak untuk menolak kalam karamah ini?

Kala para mustadhafin di seluruh jemari saraf bumi sedang menanti – nanti keajaiban sunnah Allah ini, kala itulah Allah membeliakkan mata seluruh para penjarah darah dan air mata di bumi-Nya mengarah ke bumi Mesir yang sedang mengumandangkan kalimah ‘La ilaha ilaLlah’ buat membakar sekutu syaitan dan Israel laknatuLlah itu.

Kezaliman memuncak. Kesabaran juga memuncak. Ia kini di medan pertembungan. Adakah anda menyangka kesabaran hujungnya adalah kehancuran? Tidak dan tidak!

Apa pun kesudahan di Mesir itu, Husni Mubarak sudah pun di gerbang neraka ciptaan rakyatnya sendiri. Oh, segala sanjungan berdekad dalam sekelip mata bertukar menjadi rentungan mendekap.

Malaysia apa khabar? Negara yang pernah bandar rayanya dilimpahi puluhan ribu rakyatnya yang berbaju kuning bertulis ‘BERSIH’ menuntut keadilan di dalam perlaksanaan pilihan raya yang dipenuhi penipuan dan penyelewengan. Dan mereka bagaikan anjing kurap sering kali dihalau dengan simbahan air asid daripada melawan kezaliman dan penipuan.

Malaysia apa khabar? Negara yang tak pernah diam dan tenang daripada pembongkaran rasuah kolar putih besar-besaran tetapi bilislah yang ditangkap secara kecil-kecilan pula. Kemudian mereka yang bersih dan mulia dituduh pula dengan rasuah dan kejahatan.

Malaysia apa khabar? Negara yang kadar jenayahnya, gejala sosialnya dan kemiskinan rakyatnya terus mewarnai kehidupan yang semakin menghimpit sedang kekayaan dari hasil mahsul buminya pula hanyalah berlegar di kayangan orang-orang kaya yang bertawaf di sekeliling serambi kuasa kezaliman pemerintahnya.

Sampaikan khabar buat Malaysia bahawa ajal sentiasa mendekat buat kezaliman dan penentang agama Allah. Sampaikanlah salam pula buat Malaysia bahawa ajal kezaliman akan berganti kehidupan penuh mulia buat rakyat dan pencinta keadilan dan keharmonian.

Malaysia bukanlah seiring Mesir yang begitu buruk politik pemerintahnya. Tetapi Husni Mubarak tidaklah perlu menunggu untuk menjadi seperti Firaun untuk segera rebah dipijak rakyatnya sendiri. Kezaliman adalah hantu kehidupan. Hantu itu bukan hanya hantu raya saja, bukan pula sundal di tengah malam saja.

Malaysia hanya ada dua pilihan; Samada pemerintahnya hari ini terus degil dengan keangkuhan menindas pembangkang dan rakyatnya yang menolak gaya hidup menindas dan menipu  atau pemerintahnya segera membaiki kelemahan dan kesalahan dengan politik baru yang lebih adil.

Jika mereka memilih yang pertama, tunggulah keruntuhan dan kekalahan. Bukan Amerika, Israel, Singapura atau Indonesia yang akan datang. Bahkan rakyat seluruhnya akan datang sendiri merombak sistem dan gaya hidup melanun pemerintahnya. Jika mereka berdegil, hukum karma Allah setia menunggu panggilan rakyat yang tertindas.

Jika mereka memilih yang kedua, mereka perlu pula memilih di antara dua; Samada mereka memilih Islam sebagai cara hidup yang diredhai Allah atau mereka hanya memilih untuk kekal menolak Islam yang syumul, tetapi memperbaiki nilai demokrasi yang dianuti. Jika mereka memilih yang pertama, maka berbahagialah rakyat Malaysia dari atas sampailah ke bawah. Jika pula mereka memilih yang kedua, maka nyawa mereka akan lebih panjang dan ketentuan Allah akan bertangguh. Allah sentiasa menunggu untuk masa dan hari-Nya yang pasti.

Mengapa? Kerana pembaikian dan islah adalah jalan ugama. Jika pemerintah menyedari kesalahan dan kesilapan, lalu mereka membaikinya dengan menyempurnakan hak kemanusiaan dan rakyatnya, maka Islam menyambutnya dengan baik dan mereka dengan mudah memikat kembali hati rakyat. Semakin pemerintah membina sistem demokrasi yang menepati kehendak keadilan dan kesaksamaan, semakinlah mereka mendekati tuntutan ugama Islam.

Oleh kerana Islam bersifat tawaran terbuka dan bukan paksaan ke atas manusia di atas premis ujian Allah ke atas anak Adam di muka bumi ini, maka Islam akan subur di bumi yang adil dan tidak mengongkong. Jadi, kedua-dua pemerintah dan rakyat akan terlorong kepada Islam secara semulajadi yang harmoni dan menghiburkan.

Tetapi hak Allah di muka bumi adalah kekal. Tanggung jawab seorang muslim terhadap agamanya adalah kekal. Setiap umat Islam wajib mengangkat agama Allah untuk menjadi hakimnya di dunia ini. Itulah kewajiban khilafah di muka bumi.

Malaysia adalah negara umat Islam. Majoriti rakyatnya yang beragama Islam secara praktikalnya telah menepati lunas sistem demokrasi bahawa yang menguasai majoriti itulah yang berhak memerintah dan menentukan cara pemerintahannya. Justeru seruan ke arah pemerintahan Islam atau membina sebuah negara Islam adalah satu tuntutan yang dibenarkan oleh sistem yang mengagungkan hak majoriti.

Islam adalah pilihan untuk umat manusia tetapi adalah tanggung jawab ke atas umatnya. Setiap muslim, samada daripada PAS, UMNO, PKR atau apa pun, kewajiban menegakkan negara Islam adalah pasti secara fardhu ain ke atas mereka.

Berusaha ke arah itu melalui jalan yang syar’ie akan menyelamatkan mereka daripada murka dan azab Allah di akhirat nanti.

Salam Palestin,

Semalam, 20 Oktober 2010 genaplah 20 tahun pemerintahan kerajaan negeri Kelantan di bawah PAS. Dengan dasar ‘Membangun Bersama Islam’ yang menjadi slogan yang sentiasa segar di hati rakyat dan pemerintah, kini negeri Kelantan dengan megahnya memperkenalkan Islam sebagai al deen dan al daulah ( agama dan negara ) kepada rakyat Malaysia, bahkan seluruh dunia sekeliannya.

Malam tadi, kerajaan negeri mengadakan majlis ulang tahun sempena 20 tahun pentadbiran yang berasaskan Islam itu dengan kehadiran Sultan Kelantan yang baru, Sultan Muhammad keV yang sudi mencemar duli untuk bersama menjadikannya besar dan dipahat dalam sejarah Kelantan yang bersinar.  

Jika BN yang menawan kerajaan pusat dengan angkuh memperlekeh kehadiran kerajaan Islam di Kelantan sejak dulu dengan menekan dan menindas rakyatnya melalui sekatan dan halangan termasuklah yan terbaru dengan menahan royalti petrolium untuk kerajaan Kelantan yang bernilai berbilion ringgit, Allah tidak pernah meninggalkan rakyat Kelantan.  Hidup kekal panjang di bawah pentadbiran Islam adalah nikmat tak terperi, tak ternilai oleh buakan minyak yang keluar dari perut negeri Kelantan yang menjadi rebutan dan bahan bakar sifat tamak haloba kerajaan ‘orang minyak’ di Putra Jaya.

Di Putra Jaya, mereka memerintah rakyat dan al Quran dengan otak mereka. Di Kelantan, al Quran memerintah otak pemerintah dan  pemerintah memerintah sallaLlahu alaihi wasallam rakyat dengan al Quran. Di Putra Jaya, Allah ditinggalkan di masjid besi sedang di Kelantan, Allah disujudi di segenap tanah dan bucu.

Di Putra Jaya, Datin Seri Rosmah Mansor berjaya menghina dan meletakkan nama nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam di belahan dada terdedah pada busana peragaan wanita muslim yang terhina oleh ugama, sedang di Kelantan, wanitanya mengajar anak – anak mereka mencintai dan menjulang ajaran Rasulullah  sallaLlahu alaihi wasallam yang menjadi qudwah pemerintahan Meteri Besarnya.

Jika tidak kerana kuasa yang terhad, pastinya Kelantan akan lebih memecut ke depan meninggalkan Putra Jaya juh di belakang. Jika tidak kerana sekatan dan halangan terhadap hak sendiri, sudah pasti rakyat Kelantan akan menerima yang lebih baik daripada kerajaan PAS Kelantan. Jika tidak kerana tekanan dan ikatan, barang pasti keharuman pemerintahan kerajaan Kelantan akan lebih semerbak sampai ke Selat Tebrau dan puncak Kinabalu. Dan, jika tidak kerana fitnah dan tohmahan yang menjijikkan, semestinya Putra Jaya telahpun dimiliki PAS.

Tetapi Allah menghendaki untuk rakyat Kelantan apa yang dimahuNya. Hari ini, kewajiban kita adalah mensyukuri nikmatNya yang agung dan kita mesti mempertahankan nikmat ini daripada dirampas secara kejam dan zalim oleh penguasa yang zalim.

Marilah mari bersama mengingati kebesaran nikmat Allah ke atas kita;

1) Kitalah kerajaan yan mengharamkan riba di saat manusia beriman dengan keajaiban ekonomi berasaskan riba. Akhirnya, selepas berdegil beberapa tahun, kerajaan pusat tunduk kepada tuntutan rakyat untuk membuka ruang aktiviti ekonomi tanpa riba dengan menggalakkan bank – bank membuka jendela perbankan tanpa riba.

2) Kitalah kerajaan yang berjaya mengangkat darjat wanita Islam dengan galakan memakai pakaian Islam yang menutup aurat dan meluluskan enakmen berkaitannya untuk premis – premis perniagaan. Malangnya, Datin Seri Rosmah masih keras hatinya, lalu menguasai Perdana Menteri untuk terus menghina wanita Islam dengan memperagakan wanita Islam yang menghina RasuluLLah sallaLlahu alaihi wasallam sendiri.

3) Kitalah kerajaan yang berjaya mengangkat darjat wanita dengan memberi mereka, sebagai contoh, hak cuti bersalin selama 60 hari. Akhirnya selepas kekal bebal dan pekak beberapa tahun, kerajaan pusat akur untuk menurut kerajaan negeri dan hari ini, mereka menambah sehingga 90 hari kerana keinginan menurut cara negara – negara maju. Tidakkah jika Kelantan adalah sebuah negara, Kelantan telah lama menjadi negara maju?

4) Kitalah kerajaan yang berjaya mengubah wajah pendidikan Islam terhadap anak – anak bangsa pewaris negara. Sistem pendidikan Yayasan Islam Kelantan terus unggul dengan kelahiran pelajar – pelajar cemerlang di dalam akademik setiap tahun selain mendadaknya sambutan rakyat Malaysia terhadap sekolah – sekolah menengah tahfiz dan terkini, tahfiz sains yang dipelopori kerajaan negeri Kelantan. 

5) Kitalah kerajaan yang berjaya memperkenalkan konsep ‘negeri berkebajikan’ dengan membantu rakyat miskin yang kesusahan dengan sistem yang lebih terancang dan terjamin dan tidak hanya bersifat kosmetik, tampalan dan subsidi seperti kejayaan sistem Ladang Rakyat dan Kifalah.

6) Kitalah kerajaan yang berjaya memperkenalkan diri sebagai kerajaan solat. Mendirikan solat adalah kewajiban kerajaan, bukan hanya individu. Justeru lihatlah wajah kerajaan Kelantan. Tidakkah anda melihat Menteri Besar bersama rakyatnya sedang bersolat dan menadah tangan?

Itulah sebahagian contoh yang menjadi obor untuk dilihat dan dikecapi oleh rakyat. Ia sukar dilaksanakan diawalnya dek sekatan, fitnah dan tohmahan, tetapi dengan dan demi perjuangn yang suci, Allah memenangkan hamba – hambaNya dengan keberanian dan keyakinan.

Bersyukur adalah sebaik – sebaik persembahan hamba kepada tuhannya. Sebaik – baik rasa syukur adalah mempertahankan kerajaan negeri Kelantan untuk terus maju bersama Islam. Semoga sambutan 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan akan terus membakar semangat pejuang untuk terus membangunkan Kelantan dengan Islam yang syumul.

Salam Palestin,

Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan program Ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS peringkat kebangsaan 2010 bermula 1 hingga 3 Oktober 2010 bertempat di kampung Rusila, Marang, Terengganu. Program tarbawi perdana yang julung kali diadakan sejak sekian lama ini dijangka akan dapat menghimpunkan ribuan jentera pemuda PAS dan pendukung gerakan Islam dari seluruh negara.

Program ijtima’ perdana ini adalah bermatlamat menggerakkan pemuda untuk memahami tanggung jawab membina kekuatan PAS melalui tarbiyah dan sistemnya yang jitu. Ia juga bersempena dengan pindaan perlembagaan PAS terbaru yang telah memberi ruang dan melibatkan jentera pemuda di peringkat kawasan ke dalam program kemuncak parti iaitu muktamar tahunan. Program ijtima’ akan membantu jentera kawasan di seluruh negara untuk memahami dan menilai peranan dan tanggung jawab masing – masing.

Melalui program 3 hari 2 malam ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia mensasarkan kehadiran sekurang – kurangnya 20 orang jentera pemuda setiap kawasan selain jenteranya di peringkat pusat dan negeri. Jangkaan kehadiran lebih 3000 orang jentera pemuda ini pula akan dihangatkan lagi dengan jemputan umum, terutamanya kepada seluruh pemuda PAS seluruh negara yang berminat untuk menyertainya.

Jemputan khas juga disasarkan kepada seluruh pelajar daripada universiti dalam dan luar negara. Tidak ketinggalan, kehadiran peserta daripada Dewan Muslimat, terutama daripada unit NISA’nya dijangka akan memperkasakan lagi program besar ini.

Justeru adalah dijangkakan, program yang akan melibatkan penyertaan hampir keseluruhan kepimpinan utama PAS ini mampu menghimpunkan lebih 5 ribu orang peserta dari seluruh negara.

Sehingga kini, hampir 20 orang pimpinan PAS telah menyatakan kesanggupan untuk bersama pemuda dalam program ijtima’ tersebut. Di antara kehadiran utama yang akan turun menyampaikan amanat dan wasiat tarbawiyah tersebut adalah al Mursyidul Am PAS, Presiden PAS, Timbalan dan Naib – Naib Presiden PAS, Ketua Dewan Ulama, Ketua Pemuda dan Ketua Dewan Muslimat PAS selain kepimpinan tarbiyah utama PAS seperti al fadhil Dato Dr Haron Din dan al fadhil Ustaz Dato Haji Yahya Othman.

Lebih memeriahkan, ijtima tarbawi ini dijangka menerima kunjungan tetamu daripada gerakan Islam daripada timur tengah.

Di antara agenda menarik yang telah disusun untuk memeriahkan dan mengoptimumkan hasil tarbawi melalui program ijtima’ ini adalah siri  kuliah talaqqi kitab Tafsir al Tibyan syarah surah al Hujuraat oleh pengarangnya sendiri iaitu Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang. Kitab tersebut yang kini dalam proses ulang cetak sempena program ijtima tersebut telah diberi kata pengantar oleh al fadhil Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat.

Selain itu, program forum, pembentangan, ceramah tarbawi perdana, solat dan bacaan al ma’thurat berjamaah dan lain – lain lagi dijangka akan memeriahkan lagi isi perhimpunan ala mukhayyam perdana tersebut.

Pengarah program ijtima’, Ustaz Haji Azman Shapawi dan Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia yang diberi tugas utama menjayakan program ini ingin merakamkan harapan kepada seluruh jentera pemuda di seluruh negara untuk memastikan kejayaan program ini dengan kehadiran penuh dan komitmen yang tinggi terhadapnya. Semoga Allah memberkati.

Salam Palestin,

Saya baru siap merumikan kata pengantar oleh ayahanda Tuan Guru kepada kitab tafsir surah al Hujuraat karangan Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang. Kini ia dalam proses untuk diulang cetak dengan kata pengantar tersebut yang saya kira akan menambahkan lagi kekuatan kitab tafsir tersebut.

Ayahanda  menulisnya dalam tulisan Jawi. Sememangnya saya tak pernah melihat tulisannya dalam bahasa Rumi. Samada Jawi atau bahasa Arabiah. Saya pula jarang menulis tangan kecuali dalam tulisan Rumi. Anda tahukan, semuanya kerana sistem pendidikan yang saya ( anda juga ) dan ayahanda telah lalui adalah berbeza. Masa saya mula bertatih menulis, tulisan Jawi telah dijahanamkan kehadirannya dalam sistem pendidikan kebangsaan oleh UMNO.

Ia dihidupkan untuk dimatikan saja. Diarsenikkan. Tetapi, ia tidak mati kerana ramai pencintanya yang telah dan akan terus mempertahankannya. Tulisan jawi adalah jiwa bangsa Muslim. Oleh kerana UMNO tiada mempertaruhkan diri untuk Islam, maka dalam pemerintahan UMNO, tulisan Jawi terus dipinggirkan dan jika ia mati, dibakar api dengan dikerat – kerat tulangnya adalah lebih baik daripada dikebumikan.

Saya yakin tulisan Jawi akan kembali unggul menyuburkan dan menyejukkan iklim negara yang panas dan berjerebu. Kerajaan Negeri Kelantan telah berusaha menghidupkan penggunaan tulisan Jawi di dalam penguat kuasaan majlis perbandaran dan acara rasmi. Diawalnya, ia kelihatan sukar, tetapi selepas beberapa lama, syarikat – syarikat besar seperti perbankan dan komunikasi mula akur dan mula seronok untuk bersama kerajaan negeri memperkasakan tulisan Jawi.  

Anda boleh melihatnya sebaik berkunjung ke bandar Kota Bharu. Saya juga yakin, dengan anugerah Allah melalui pertabalan Tuanku Sultan yang baru yang berjiwa agama, muda dan perkasa kepada negeri Kelantan dan rakyatnya, tulisan Jawi akan terus memacu menuju martabatnya. Memacu ke depan bersama Islam meninggalkan UMNO yang semakin lemah, tanpa arah dan keseorangan.  

Ayahanda agak jarang menulis panjang. Dia pernah menulis dan tulisannya dicetak dan dibukukan. Artikelnya acap diterbitkan lewat majalah – majalah ugama. Tetapi itu dulu, di alam mudanya selepas pulang menuntut ilmu di luar negara. Tetapi, mungkin kesibukannya memenuh masa dengan program kuliah ugama, ceramah dan pidato selepas itu telah menjarakkannya daripada dunia penulisan.

Pun begitu, ayahanda kekal sebagai ulat buku. Saya tidak tahu jika ada sehebat ayahanda yang telah mencecah umur 80an yang begitu ketagih membaca. Mungkin ada, tapi saya tidak tahu. Hari ini, jika saya khatam satu buku, mungkin ayahanda telah habiskan 5 buah buku. Sungguh menakjubkan.

Lebih menarik, bingkisan pengajaran yang menarik dan penuh isi oleh ayahanda telah meruntun beberapa orang muridnya yang mahir menulis untuk mula memindahkan ucapannya kepada tulisan yang dibaca. Sekitar 20 tahun lepas, beberapa buku dilancarkan hasil kerja keras anak – anak muridnya yang telah memindahkan koleksi ucapannya daripada kaset – kaset ceramah.

Buku – buku tersebut telah mendapat sambutan hangat daripada segenap lapisan masyarakat.

Kini, Allah terus membekalkan ayahanada dengan pembantu – pembantunya yang hebat. Bukan hanya pemindahan ucapan dan pidatonya, bahkan ayahanda mula ada sesi khas bersama pembantunya melontarkan idea – ideanya yang luas, lalu disalin dan dikarang menjadi artikel yang bagai tulisannya sendiri. Anda mungkin kerap membacanya di dalam akhbar Harakah dan portal maya.

Saya kira ia bermula semasa saudara Haji Anual Bakri Haron menjadi setiausaha politik ayahanda. Selain beliau adalah Ustaz Mohd saiba Yaacob, Hj Wan Nik Yosof dan Ustaz Haji Ahmad Fadhli Shaari. Kesemua adalah pembantu ayahanda di pejabat Menteri Besar.    

Dalam era media baru terkini, ‘facebook’ ayahanda telah mendapat sambutan yang cukup hangat terutama di kalangan belia remaja pencinta perjuangan Islam dan keadilan.

Kerana itu, apabila saya ajukan permohonan Dewan Pemuda PAS agar ayahanda menulis sedikit aluan sebagai kata pengantar kepada tafsir surah al Hujuraat karangan Tuan Guru dato Seri Haji Abdul Hadi Awang untuk dipersembahkan di ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS peringkat Kebangsaan di Rusila pada 1 hingga 3 Oktober 2010 nanti, beliau sanggup tetapi kelihatan agak gusar untuk menyiapkannya.

Saya memintanya menulis sendiri walau sedikit. Selepas beberapa kali bertanya, akhirnya ayahanda menghulurkan saya 4 helai kertas yang sarat tulisannya dalam Jawi. Saya pastinya teruja dengan kesediaannya meluang masa untuk menulis agak panjang. Ketika menyerahkannya, dia berkata, “Baca sendirilah”, seolah – olah meminta saya meneliti dan membaiki kekurangan.

Sambil menulis kembali dalam tulisan Rumi untuk cetakan, saya meneliti isi yang dituangkan ayahanda. Ah, sungguh klasik tulisannya, begitu ‘stylo’ isinya. Saya membiarkan tulisan itu kekal 99% dan anda akan menikmatinya sebagaimana saya, jikapun anda tidak dapat menikmati keindahan khat jawi ayahanda.

Anda mungkin terhenti seketika untuk memahami, tetapi anda pasti telahpun mengecapi kepuasan ketika berusaha memahaminya. Keasyikan itu sungguh menghentikan nafas, bahkan matahari pun terpaku menikmati mukjizat nabawiyyah. 

Ayahanda cuba melakarkan kehidupan ini sebagai anugerah Yang Maha Esa yang sungguh agung yang mesti dibalas sebagai ‘mengenang budi’. Rasa budi itulah menghasilkan akhlak dalam kehidupan manusia. Surah al Hujuraat sarat dengan pengajaran Allah agar manusia hidup berbudi dan berakhlak.

Tulisnya, “Supaya tidak terus meraba – raba, Allah dengan limpah kurniaNya mengutus para anbiya’ alaihimus salam sejak zaman – berzaman. Dan terakhir ialah nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Di antara tajuk utama yang ditekan oleh para anbiya’ ialah akhlak; Berbudi kepada pihak yang berbudi. Disebut dalam bahasa ugama; Syukur nikmat.”

Kemudian ayahanda merumuskan, “Mengenang budi atau berakhlak mulia adalah sesuatu yang terlalu sukar dilaksana manusia. Mengenang budi bermakna terpaksa korbankan kepentingan diri untuk kebahagiaan orang lain. Sedangkan naluri tamak, mementing diri adalah watak semula jadi manusia sejak alam kebudak – budakan lagi. Abang biasalah bertegang dengan adik – beradik. Kawan sebelah rumah biasa lihat ibu bapa bertegang sesama jiran. Bahkan kerajaan selalu berperang sesama kerajaan. Rakyat menjadi mangsa dan budi akhlak yang kena pijak.”

Ayahanda tidak lupa memperkenalkan pengarang Tafsir al Hujuraat. Tulisnya, ” Al fadhil Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah di antara ulama turun padang. Beliau berguru di universiti – universiti tanah haram dan di timur tengah.”

Kemudian ayahanda memuji kesungguhan pengarang yang telah berusaha mengubati penyakit yang menimpa umat Islam. Katanya, ” Beliau mengkaji punca rohani manusia berpenyakit syirik. Mengapa orang Islam sendiri ketepikan surat kiriman Allah kepada manusia ( al Quran al Karim ) lalu terpedaya dengan pemikiran manusia. Manusia adalah manusia. Ilmu manusia macam orang kampung mahu baiki komputer rosak. Makin rosak dan jahanam!”

Saya menikmati pujian ulama ke atas ulama yang seperjuangan di dalam jihad menegakkan ugama Islam yang syumul di Malaysia. Ia nikmat yang menjadikan saya membenci sesiapa yang cuba mengeruhkan hubungan sesama ulama demi cita – cita politik dan peribadi yang tohor dan gelojoh.

Semoga Allah menjirus kita dengan limpah rahmat bernaung di bawah kepimpinan ulama dan ahli al Quran.

Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang akan bersama pemuda PAS selama 3 hari dalam program Ijtima nanti. Bersamalah kita menadah dan khatam kitab tafsir karangan beliau nanti.

Anda boleh mula mendapatkan buku cetakan terbaru tafsir tersebut dalam program ijtima perdana di kampung Rusila nanti, insya Allah.

Salam Palestin,

Itu soalannya yang segera terpacul dari mulutnya sebaik saya menghubunginya kembali selepas beberapa kali saya missed call panggilannya semalam. Saya kaget sekejap kerana pada telahan saya dia pasti akan terus bertanya pasal sumbangan yang saya janjikan beberapa minggu lepas untuk misi ke Gaza awal Ogos nanti.

Saya hanya bersedia dengan jawaban untuk itu, bagaimana nak bermadah dan berhelah, saya belumpun buka mulut untuk cari derma dan sumbangan untuk misi jihad itu, sedang hari untuk kumpulan pejuang Palestin Malaysia di bawah kelolaan Cikgu Abdul Hamid Teras Melayu bertolak itu sudah semakin dekat. Tapi lain pula yang Ustaz Norazli Musa Taliban Qandahari terjahkan ke lubang telinga saya. Dia tanpa lapik berlapik bertanya, “Anta sokong perpaduan dengan UMNOkah?”

Saya sengaja melambat – lambatkan permainan, mengacah – ngacah mencari peluang untuk tidak menjawab dalam kaget dan terkejut. “Sapa kata?”, saya buat – buat tak tahu. “Itu ada masuk akhbar, ada orang bagitahu.” Jawabnya. Lagi saya putar, menggelicik, “Anta dah di Gaza ko?”  Ko adalah ke  dalam bahasa Melayu bersurat. Saya memang payah sebut ke. Bila acu cuba tra sebut ke, terasa macam berlakon drama tv pulak. Keras dan terasa letar di lidah bila sebut kalimah semudah itu. Huh, memang sah penangan budu, kata ore Kelate yang tak jemu – jemu mempromosi kehebatan budu, nama dan rasanya sekali yang sungguh menjelirakan.

Dua hari lepas seorang kawan saya bagitahu bahawa ada Mat Saleh hubungi rakannya nak import budu ke Eropah dengan syarat ia dikilangkan di kilang bertaraf HACCP! Budu Kelantan lebih sedap dari budu bilis Jepun, katanya. Saya lalu dengan segera terfikir, mungkinkah budu ‘dikuarantin’ HACCP nanti akan mengubah ko kepada ke?

“Belum lagi. Dah dekat dah. Hah, Macam mana, dapat tak sumbangan? Hah, betulkah anta sokong perpaduan?” Hah, tengok, tengok. Dia dah keliru dengan acahan saya. Masanya saya merembat ke arah gol!

“Percayalah akhbar tu..” Goolll!

Saya lihat tiga akhbar yang ada di hadapan saya yang menyiarkan pandangan dan jawaban saya terhadap soalan para wartawan yang menyerbu saya sebaik selesai menyerbu ayah saya sebaik selesai upacara perasmian restoran makanan segera Radix Fried Chicken ( RFC ) cawangan Kubang Kerian baru – baru ini. Seorang kawan menelifon saya sebaik membaca liputan. “Mereka siar hok demo, tapi berita RFC tak masuk pulak. Katanya mereka marahkan RFC sebab tak jamu mereka ayam goreng masa tu. Hanya bagi air! Mereka boikot RFC!” Leter kawan saya. Huh, dulu KFC. Sekarang RFC pun nak kena boikot juga ko ( ke )?

Saya lihat Utusan. Baik saja. Lihat Sinar, panjang juga ulasannya. Baik saja. Tengok Berita. Hah, ‘Anak Nik Aziz Sokong Perpaduan UMNO PAS’! Saya baca isinya. Lebih kurang Utusan dan Sinar. Hanya tajuk yang betul – betul karut.

Seperti biasa, saya bermula dengan enggan. Tanya saja ayah. Diakan ada, jawaban dia lebih bagus. Jawaban dia jawaban saya. Itulah bahasa saya dengan rakan wartawan. Tetapi makin dienggan, makinlah mereka mengasak. Akhirnya kenalah saya jawab juga. Begitulah kehidupan, memberi dan menerima.  

Saya pernah bertanya ayah saya, bolehkah saya bertemu Najib, atau Pak Lah, atau Tun Mahathir atau siapa saja yang besar – besar? Dia jawab, kenapa tidak boleh? Saya kata, nanti orang marah? Dia kata, kenapa takut orang? Saya kata, mereka lihat itu sensitif? Dia kata, maklumkan dulu pada ketua. Saya kata, pada ayah? Dia kata, tak perlu. Cukup maklum pada ketua pemuda.

Maksudnya, elakkan kekeliruan. Adapun berjumpa, bermuqabalah, bermesra, bertegang leher atau berbincang, cacat dan tohorlah pemikiran politik jika asyik menahan dan menegah diri dari bertemu sesiapapun.

Itulah inti yang saya tipkan untuk rakan wartawan. Itulah tip dari sumber segar al Quran.

Cuma, yang menghalang saya bertemu mereka ialah; Satu, saya tiada apa – apa. Siapalah saya dibanding mereka. Dua, saya bukan ahli Parlimen. Jikalah saya ahli Parlimen, akan saya terkam bilik Najib!

Salam Palestin,

Saya bertuah kerana dapat turut sama menyertai perhimpunan kempen anti judi – semua jenis judi – bersama ribuan rakyat Malaysia terutama anak – anak muda di perkarangan Masjid Negara petang semalam anjuran Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) yang disertai oleh lebih 60 NGO dan parti – parti politik negara.

Hampir 10 orang pimpinan diketuai cikgu Mohd Azmi Abdul Hamid, selaku pengerusi GMJ dan ustaz Nasrudin Hasan Tantawi, ketua pemuda PAS Pusat telah memberikan ucapan penuh semangat yang menggambarkan kehendak dan rasa hati rakyat Malaysia pelbagai kaum dan ugama yang mahukan kerajaan bertegas mengharamkan industri judi yang telah merencatkan, malah menjahanamkan pembangunan negara dan keharmoniannya.

Antara yang menyentuh hati saya ialah ucapan ringkas saudara Suhaizan Kaiat, setiausaha GMJ yang menyifatkan perhimpunan tersebut adalah impian yang ditunggu – tunggu oleh para isteri dan anak – anak yang menjadi mangsa pukulan, belasahan dan deraan para suami dan ayah yang ketagihan judi yang menjadikan mereka sebagai mangsa melepaskan kekecewaan dan kegilaan berjudi.

Judi adalah najis. Najis adalah tahi, tegas Ustaz Norazli Taliban yang mengikat katanya dengan ayat al Quran yang menamakan arak, judi dan semua aktiviti menikam nasib sebagai najis yang menjadi lubang besar tempat syaitan berkubang. Adalah memalukan kita umat Islam yang terpaksa melancarkan kempen khas dan bersungguh – sungguh semata – mata untuk mengajak rakyat, apa lagi kerajaan sendiri daripada bermain – main dengan tahi. Kerajaan yang menganjurkan dan membenarkan judi adalah kerajaan tahi!

Semua tahu bahawa selain judi, dadah, arak, zina dan riba juga adalah aktiviti yang menjahanamkan negara dan masyarakat. Tiada siapa yang enggan mengakuinya kecuali dia adalah bebal, degil dan iblisi otak dan akalnya. Kerajaan kita turut mengakui hakikat ini. Malangnya hanya tindakan yang memisahkan mereka daripada kehendak dan kemahuan rakyat yang lebih ikhlas dan tekad.

Dadah dan arak merosakkan akal. Judi dan riba merosakkan harta, manakala zina merosakkan keturunan dan maruah manusia. Daripadanya nyawa, malah ugama akan melayang. Agama Islam diturunkan dengan hukum syariah yang berperanan untuk menjaga kemaslahatan ugama, nyawa, akal, harta, maruah dan keturunan. Syariah Islam menjadikan segala aktiviti buruk di atas sebagai kepala – kepala maksiat yang berperanan besar meruntuhkan kemanusian dan ugama.

Tetapi, anda harus bertanya, mengapa kerajaan hanya mampu mengisytiharkan dadah sebagai najis? Kemudian mengisytiharkannya sebagai musuh nombor 1 negara ini? 

Tidakkah arak juga membunuh sebagaimana dadah? Begitu juga judi, zina dan riba. Kemalangan dan kematian di jalan raya berkait rapat dengan pengambilan alkohol? Bunuh diri disebabkan gagal berjudi? Bunuh bayi disebabkan zina? Pembunuhan tragis oleh along disebabkan riba yang bertambunan?? Tidakkah semua itu adalah isu dan gejala buruk yang sedang menghantui negara yang sukar dibendung?

Mengapa kerajaan hanya membeliak mata melihat dadah, tetapi memejam rapat dan membuta terhadap arak, judi, zina dan riba?

Mari menilai dan meneliti 3 faktor di bawah, lalu anda akan tahu mengapa rantaian nifaq dan sifat talam dua muka sedang membelit penyelesaian penuh pembohongan oleh kerajaan kita;

Pertama, kerana dadah telah dinafikan daripada menjadi hasil mahsul negara oleh masyarakat antarabangsa. Seluruh dunia menerima bahawa aktiviti dadah besar – besaran mampu mencabar dan memporak perandakan kerajaan yang memerintah, bukan akan membantu menguatkannya.

Justeru mengharamkan dadah adalah untuk menyelamatkan pemerintah semasa di peringkat yang pertama berbanding untuk menyelamatkan rakyat. Hanya slogan yang dipilih bahawa ia adalah musuh nombor 1 rakyat, walaupun hakikatnya ia adalah musuh nombor 1 pemerintah semasa!

Sama seperti komunis dulu. Ia dicanang sebagai musuh rakyat. Benar, tetapi yang lebih benar, ia adalah musuh pemerintah semasa yang takut digulingkan. Maka komunis dicincang sehancurnya. Kerajaan selamat daripada komunis, manakala rakyat kekal tidak selamat di bawah kerajaan yang semakin berkuku besi. 

Samalah juga halnya Pakatan Rakyat yang sedang mendekati Putra jaya hari ini. Ia cuba dijadikan musuh utama rakyat, kalaulah mereka mampu. Malangnya rakyat semakin bersama Pakatan Rakyat. Mereka gagal meyakinkan rakyat. Justeru kuku mereka mula menumpul dan sukar sekali diasah menjadi tajam.

Adapun arak, judi, zina dan riba maka ia adalah sebaliknya. Hasil mahsulnyanya adalah sah dan diterima masyarakat antarabangsa hari ini kerana begitulah dorongan seluruh kerajaan dunia yang memerintah. Kehasilannya tidak menggugat negara malah dengannya mereka menjajah ranyat dan mencandui mereka agar lalai dan bergantung kepada kerajaan yang memerintah.

Kotornya industri arak, zina, judi dan riba sedikitpun tidak mampu dikekang. Mengapa? Kerana kerajaan sendiri yang menjaga dan menyuburkannya. Jika begitu, bagaimana suara kecil rakyat yang sedar dan insaf mampu didengari?

Kedua, kerana dadah bukan makanan dan kebanggaan orang – orang kaya, ternama dan pencatur politik di dalam negara. Dadah adalah makanan orang yang putus asa, malas dan paling melata di kalangan golongan miskin. Bahkan ia adalah senjata untuk membunuh rakyat.

Adapun arak, riba, judi dan perempuan, ia adalah lambang kebanggaan, prestij, kebesaran dan kedudukan golongan ternama dan VIP dunia. Lihat saja arak yang mahal – mahal terhidang di majlis – majlis keegoan. Apatah wanita – wanita penjamu nafsu serakah golongan atasan. Industri judi dikuasai golonga kaya dan berhati binatang manakala riba terus melata mengangkat golongan kapitalis memeras dan memerah peluh dan air mata rakyat marhain.

Justeru bagaimana anda boleh membayangkan kerajaan mampu membendung dan menyekat industri buruk ini sedang mereka terpaksa berdepan golongan kaya yang telah mengangkat mereka untuk menaiki takhta pemerintahan. Atau lebih sinis, bagaimana dibayangkan kerajaan mampu mengharamkan industri buruk ini sedang mereka terpaksa melawan kehendak mereka sendiri?

Tidakkah kerajaan seluruh dunia hari ini adalah kerajaaan syirik yang menyembah nafsu dan manusia sendiri?   

Paling menakjubkan adalah faktor yang ketiga! Dadah tiada dalam al Quran sedangkan judi, arak, riba dan zina disebut terang – terangan di dalamnya. Apa yang tidak disebut di dalam al Quran, ia menjadi begitu penting dan besar! Apa yang disebut secara jelas di dalamnya, maka ia menjadi tidak penting pula!

Bayangkan bagaimana apabila manusia bermain di kubang syaitan, mereka dibutakan, dipekakkan dan dibengangkan daripada melihat al Quran walaupun mereka membacanya. Nah, anda lihat kerajaan kita menamakan dadah sebagai najis sedang Allah menamakan arak dan judi sebagai najis. Arak masih menjadi minuman hidangan kerajaan di dalam penerbangan MAS untuk rakyatnya! Sungguh menyayatkan..

Lihat bagaimana syaitan iblis menterbalikkan kefahaman hamba – hambanya untuk terus membelakangi al Quran.

Ingat, hanya manusia yang beriman akan kekal beriman bahawa apa yang besar di sisi Allah maka besarlah ia di sisi mereka. Begitulah sebaliknya.

Setelah anda memahami fakta di atas bahawa penyelesaian yang dicari untuk menyekat industri dan budaya berjudi ( juga arak, zina dan riba ) adalah buntu, bersifat nifaq, olok – olok dan hanyalah tarik tali kerajaan untuk mengabui mata rakyat sedangkan mereka tidak dapat tidak kecuali mempertahankannya demi survival mereka sendiri, sekarang mari saya tunjukkan anda kepada sesuatu yang lebih mengakar dan mendasar dalam memahami kemelut penyelesaian di atas. Hasilnya anda akan melihat satu penyelesaian yang tuntas dan berisi sekali.

Senjata utama syaitan adalah putus asa. Apabila putus asa menerobos masuk ke dalam jiwa anak Adam, maka syaitan akan berpesta sakan kerana dengannya segala kejahatan akan menerpa masuk dan memunahkan iman.

Bunuh diri adalah kemuncak putus asa. Manusia dimomok dirinya adalah sial, hina dan tiada lagi harga dan nilai, lalu ia membunuh diri sendiri. Bunuh diri adalah semudah cara syaitan menghantar manusia ke lubang neraka dan kemurkaan Allah. Bagaimana Allah boleh memaafkan orang yang langsung tidak mengerti penciptaan agung dan hebatNya terhadap makhluk bernama mausia? 

Putus asa seterusnya adalah putus asa terhadap rahmat Allah. Syaitan mendorong manusia untuk merasai kedagangan diri dan jauhnya mereka daripada Allah dan rahmatNya. Lalu hilang daripada mereka kehadiran rahmat, taubat, keampunan dan cinta Allah. Hasilnya mereka putus asa untuk kembali kepada Allah.

Terbentanglah sebab – sebab remeh dan memalukan yang disusun untuk menjadi alasan untuk tidak kembali kepada Allah.

Tanya mereka, mengapa enggan masuk Islam? Perhatikan jawaban mereka; 1) Tak boleh makan babi, sedangkan Allah hidangkan mereka ribuan lagi yang boleh dimakan! 2) Enggan bertudung, sedangkan bertudung hanyalah pakaian tambahan terhadap apa yang mereka telah pakai! Bukan kelambu, saji, bakul dan kesusahan yang perlu dipikul tanggung! 3) Payah solat 5 waktu, sedangkan mereka masih ada 23 jam lagi untuk meneruskan kehidupan dan banyak lagi kepayahan yang lebih besar yang sanggup pula mereka lakukan. 4) Umat Islam sendiri pemalas dan jahat, sedangkan kejahatan mereka itu takkan mampu mengambus kebaikan dan tuah syahadah yang dia lafazkan. Juga, kejahatan wujud di mana – mana di dunia ini, bukan hanya berlegar di kalangan umat Islam sahaja. Juga, mengapa memandang kepada keburukan jelata, sedang Islam dipenuhi contoh – contoh penganutnya yang berakhlak mulia melampaui keajaiban di kalangan ulama dan ilmuannya!

Setelah anda memahami penyakit putus asa sepintas di atas, mari saya tunjukkan bagaimana tindakan, atau katakan penyelesaian yang dicanangkan kerajaan Malaysia untuk membendung kejahatan judi, juga zina, arak dan riba hanya bersifat syaitani yang menghulurkan talian putus asa di hati sanubari pemerintah hari ini.

Mereka hilang keyakinan dan putus asa untuk mengharamkan barah – barah tersebut kerana takut: 1) Hilang punca pendapatan. 2) Hilang sokongan dunia kuffar. 3) Hilang kekuatan diri dan sokongan orang – orang kaya. 4) Dianggap tidak bertamadun. 5) Dilabel fundamentalis atau pengganas.

Itulah otak dan idea syaitan! Tidakkah Allah menjanjikan kekayaanyang melimpah ruah buat penegak amar makruf nahi mungkar? Tidakkah Allah menjanjikan sokonganNya sendiri dan juga sokongan orang – orang mukmin yang setia? Tidakkah dengan bersam Allah diri menjadi kuat manakala orang – orang miskin pula akan menjadi bala tentera yang setia membela? Tidakkah Islamlah yang memperkenalkan dunia ini dengan tamadun baru yang bersih, indah dan harmoni? Dan tidakkah menjadi agamawan itu indah dan menjadi impian setiap manusia beriman? 

Ertinya syaitan menguasai suasana dan menjerat pemerintah untuk takut bertindak melalui terhakisnya keyakinan untuk kembali kepada Allah dan rahmatNya.

Sebenarnya selain dadah, arak, judi, riba dan zina dikira sebagai barah negara, anda perlu faham bahawa pemerintah juga adalah barah negara. Virus bawaannya adalah jenis HIV yang merosakkan sistem kekuatan diri umat Islam yang menjadikan mereka putus asa dengan rahmat Allah.

Tulisan ini berhasrat untuk memahamkan anda bahawa musuh utama kita adalah sifat putus asa. Oleh kerana pemerintah itulah yang menjaja penyelesaian yang diuntai tali putus asa, maka pemerintahlah musuh utama negara. Oleh kerana pemerintah itu UMNO, maka UMNOlah musuh utama negara.

Ia bermaksud musuh nombor 1 negara adalah UMNO. Bukan dadah, bukan arak, bukan jud dan bukan riba. Itu semua hanyalah kerosakan daripada sel – sel kanser yang telah rosak kromosom dan DNAnya. UMNOlah penyebabnya yang mencetus suasana kotor yang merosakkan sel – sel sihat kehidupan rakyat Malaysia.

Ketika kempen anti judi dilancarkan oleh GMJ, haruslah difahamkan hakikat bahawa ianya adalah peperangan yang besar melawan establishment yang tidak mungkin berjaya kecuali jika ianya digerakkan bermula dengan menggegar umbinya yang didalang pemerintahan UMNO.

Salam Palestin,

Misi Flotila bantuan kemanusian Palestin yang digerakkan kumpulan aktivis keamanan sedunia masih menemui jalan buntu untuk memasuki Gaza. Israel mara dengan kesombongan dan kekejamannya. Tetapi, misi tersebut telah melihat satu lorong cahaya yang telah ditemui, kemudian diterokai para pejuang intifadah Palestin lebih 20 tahun yang lepas.

Lorong yang menerobos masuk ke liang dan pembuluh di benak bangsa Yahudi yang dihimpit ketakutan. Kita selalu menjangka mereka gagah dan kuat, tetapi hakikatnya adalah sebaliknya. Mereka terlalu takut dan pengecut.

Si pemberani hanya menyerang lawan setaranya. Menyerang aktivis keamanan daripada pelbagi ugama dan kepercayaan yang tiada memiliki selain rasa belas dan kemanusian dalam fitrah diri adalah tanda kebaculan dan ketakutan yang sukar dibendung. Ketakutan itulah yang akhirnya menutup akal dan logik Yahudi oleh bertindk secara betul.

Maka kegerunan dan kebaculan itulah yang menjadi barah buat Yahudi dan negara haram Israel. Bagi kita umat Islam, Allah telah mewahyukannya sejak lebih seribu tahun dahulu. Tetapi ia ditinggalkan umat yang telah membelakangi al Quran. Mereka pula menjadi takut dan bacul terhadap Yahudi.

Apabila gerakan intifadah yang digerakkan oleh HAMAS menemui lompang besar ini, mereka hanya memerlukan anak – anak batu yang dipecah – pecahkan menggunakan batu – batu yang lebih besar, lalu dilontar dan direjam ke arah bala askar Yahudi oleh anak – anak muda, bahkan anak – anak kecil Palestin yang masih hingusan.

Akhirnya persenjataan yang berteknologi tinggi di tangan Yahudi tumpas dan lebur di tangan si pemberani para pejuang intifadah. Yahudi mula goncang dan kerana kuatnya goncangan itu, Amerika turut menerima kegoncangan dan ia amat kuat sekali. HAMAS kemudiannya, kehadirannya tidak dapat disekat – sekat lagi. Ia telah menggenggam ulu hati bangsa Yahudi yang penakut. Ia telah menjajah hati dan sanubari Yahudi itu.

Aktivis Flotila menemuinya hari ini. Adakah anda menyangka mereka menjadi takut selepas melihat kematian dan darah yang berhamburan di dek dan dinding kapal itu? Tidak, mereka akan mula ketagih untuk datang lagi kepada Yahudi yang ketakutan itu, lebih daripada datang kepada Gaza yang dihuni para pendekar dan pahlawan berani mati! Mereka seronok bermain darah dengan Yahudi.

Jika anda pernah terkena semburan gas pemedih mata di anjung Masjid Negara, anda akan tahu bagaimana si pemberani akan menjadi ketagih untuk terus berdemo menentang kezaliman dan kebaculan.

Tetapi misi Flotila juga adalah memalukan. Memalukan umat Islan sedunia yang terpaksa melihat keberanian yang seawalnya dimiliki para pejuag intifadah itu kini dimiliki pula oleh kumpulan aktivis kemanusiaan dan keamanan sedunia. Adapun, negara – negara Islam sedunia, mereka terus dibuai ketakutan dan kebingungan. Sungguh memalukan. Sungguh membingungkan!   

Jika ada penawar yang boleh mengubati, maka ia adalah dari kerana para aktivis muslim yang turut sama menyertai misi besar ini. Negara kita turut disertai oleh para aktivis dan pejuang yang telah ditatah kerakyatan Palestin di isi sanubari mereka. Merekalah pejuang yang benar dalam iman dan keyakinan mereka terhadap Allah dan janjiNya, insya Allah.

Satu hari, dengan izin Allah, darah rakyat Malaysia akan turut bersimbah di perjalanan, kemudian di bumi, kemudian di anjung masjid al Aqsa. Saat itu, tiada perayaan yang lebih besar buat kita selain berbondongan mengiringi syuhada’ Malaysia ke syurga tuhan.

Darah adalah bayaran tuntutan al Aqsa, bukan tuntutan Yahudi. Al Aqsa menuntut darah bersimbah di buminya dan kerananya pintu al Aqsa akan terbuka buat kita. Kita atau anak kita akan bersujud nanti di mihrab para anbiya’ sebagaimana kita telah sujud kepada Allah di Masjidil Haram dan Masjid al Nabawiy hari ini.

Ketahui olehmu bahawa janji tuhan tiada akan berubah. Al Aqsa adalah milik umat Islam. Kita melepaskannya kerana kita telah     melepaskan al Quran dari genggaman kita. Kita lalu terburai dan terhumban dari kapal yang pecah dan karam. Kerana kekuatan yang telah hilang, akhirnya Yahudi datang sebagaimana angkatan iblis sebelumnya datang untuk menjajah al Aqsa.

Al Quran mengajar kita untuk memiliki kesatuan kerana dengannya datanglah kekuatan dan keberanian. Dengan kedua – duanya, Yahudi akan lari dan lari ketakutan dan saat itu giliran kita pula memburu mereka.

Semoga seruan al Aqsa memudahkan kesukaran kita untuk bersatu sesama kita. Jika tidak al Aqsa, apa lagi?

Di dalam Islam, binaan kepercayaan batin di dada seorang muslim terhadap sesuatu adalah lebih penting dan didahulukan daripada perlakuan zahirnya terhadap kepercayaan tersebut. Justeru iman lebih penting daripada Islam sekalipun tiada mungkin wujud iman tanpa rukun Islam yang pertama, iaitu pengakuan zahir lidah dengan syahadah la ilaha illaLlah.  

Seseorang itu tetap muslim ( kerana syahadahnya )sekalipun dia tidak solat atau meminum arak sekiranya dia masih mengimani kewajiban solat dan keharaman arak ke atasnya. Kecacatan pada Islamnya itu ( kerana meninggalkan kewajiban ) menjadikannya bukan seorang yang beriman dengan sebenar – benar iman. Iman belum memasuki dan tetap dadanya.

Dia cacat Islam dan iman. Dia seorang yang fasiq. Orang fasiq boleh dikenali secara mudah kerana ia berkaitan perlakuan zahirnya.

Tetapi segalanya bubar dan runtuh apabila dia tidak percaya dan mengimani kewajiban solat ke atasnya sekalipun dia bersolat lima waktu. Begitulah juga, samada dia minum arak atau tidak, Islam dan imannya gugur dan hancur apabila dia meyakini dan percaya tiada pengharaman arak ke atas dirinya.

Jika dia berterus terang terhadap keingkarannya itu dengan lidahnya, maka dia telah murtad lalu menjadi kufur. Hukuman zahir ke atas si murtad berjalan ke atasnya. Jika dia menyembunyikannya, maka dia adalah munafik peringkat utama, iaitu munafik aqidah yang akan menjahanamkannya di sisi Allah yang maha mengetahui segala – galanya.  

Tiada beza di sisi Allah bagi orang yang ingkar di dalam dadanya samada dia melakukan kewajiban solat atau tidak. Begitu juga amalan – amalan yang lain. Adapun di sisi manusia, ia berbeza disebabkan mereka lemah dan gagal mengetahui erihal hati dan batin.

Orang munafiq sukar dikenali kerana ia berkaitan kepercayaan di dadanya yang bersifat batin.

Tiada hukuman di dunia ke atas sifat nifaq sehinggalah si munafiq itu melakukan kesalahan dan jenayah zahir sebagaimana muslim yang lain.

Justeru walaupun kemunafikan lebih bebas menjalar di dalam masyarakat muslim dengan tertangguhnya hukuman duniawi ke atas gejala buruk batinnya berbanding perlakuan fasiq yang nyata dan mengundang hukuman duniawi, tetapi nifaq yang merosakkan iman di dada itu adalah lebih bahaya dan menakutkan untuk kehidupan masyarakat Islam di dunia dan diri sendiri di akhirat nanti.

Penjelasan ini akan dilihat secara lebih jelas jika sekiranya kita hidup di dalam sebuah Negara Islam. Adapun di dalam negara Malaysia yang menolak hukum – hukum ugama hari ini, kita mungkin sukar memahami kebahayaan nifaq berbanding kefasiqan. 

Lihat saja YB Dato Bung Mukhtar yang dihukum dengan hukuman oleh mahkamah syariah kerana masalah pendaftaran perkahwinan keduanya sedangkan kesalahan zina, bersekedudukan dan pergaulan bebaslah yang sepatutnya  mesti diutamakan hukumannya kerana ia adalah maksiat yang nyata.

Hasilnya, daripada kahwin dua yang begitu susah tatacaranya dan mengaibkan secara rasmi, lebih baik menyimpan 10 perempuan simpanan.

Begitulah apabila ugama Islam ditampal – tampal untuk memperindahkan sistem dan undang – undang  sekular yang saling bertentangan di antara keduanya. Islam menjadi kelihatan hodoh dan zalim di mata manusia dek dipaksa menerima kehendak nafsu dan kemunaqian dalam beragama.

Allah secara jelas menolak kecuali Islam ini hendaklah diambil dan dipakai terima secara menyeluruh. Apabila Allah berkata tidak, maka tiada yang menjadi apabila kataNya dilanggar.

Begitulah UMNO dan itulah UMNO, dulu sehinggalah kini.

Apabila isu judi bola sepak yang baru dilesenkan, disahkan dan dihalalkan oleh kerajaan BN mula panas dan kini menjadi isu utama di negara kita hari ini, kita sebenarnya tidak boleh ketinggalan untuk mengenali da memahami beberapa perkara penting yang menjadi binaan kukuh di dalam kehidupan Islami umat ini.  

Saya ingin berkongsi dengan anda untuk membuat penilaian ke atas perkara – perkara berikut:

1)      Di mana letaknya Islam ketika para pemimpin UMNO menghalalkan judi yang terbaru ini?

Adakah mereka menerima pengharaman Islam terhadap judi tetapi tetap menghalalkannya? Atau, mereka sebenarnya telah ingkar terhadap pengharaman itu di dalam hati lalu menghalalkannya?

Dengan kes – kes pelesenan judi yang tak pernah lekang daripada perlakuan UMNO yang terus menghalalkannya dari dulu sehingga kini dan tiada langsung usaha ke arah menghapuskannya secara total, hampir – hampir kelihatan bahawa para pemimpin besar UMNO seolah – olah beriman dan yakin bahawa judi adalah halal dan mesti dihalalkan permainannya, pendapatannya dan kesannya juga.

Jika ini, maka jelas ia adalah perang terhadap Allah dan hukumnya.  Jika ini, iman UMNO adalah tertanggal, runtuh dan kosong. UMNO dengan itu adalah sekularis totok setotok watak Kamal Ataturk, bapa sekular Turki lampau dan partinya.

Tetapi, jika dilihat kepada watak UMNO daripada sisi terbalik yang bercakap mengenai ugama Islam dan kepentingannya, juga perlaksanaan projek – projek ke arah kemajuan Islam dan juga kelantangan beberapa pemimpinnya yang turut menolak judi dan penghalalannya, maka adalah salah untuk membenarkan telahan bahawa UMNO sebenarnya telah menolak pengharaman judi oleh ugama.

Jika begitu, UMNO dihinggap penyakit nifaq yang jelas. Ia telah menghalalkan judi berkali – kali dan tidak pernah berhenti menghalalkannya. Tetapi ia menutup keberanian dan kejalangannya ke atas agama itu dengan kempen – kempen ke arah kehidupan Islami yang sihat, malah menghidupkan sebahagian syiarnya yang agung seperti pembinaan masjid, pusat pengajian Islam, Tabung Haji dan sebagainya.

Inilah nifaq yang tulen. Ini lidah bercabang yang terhina di dalam beragama. Kita menjadi semakin hampir untuk membenarkan hukuman ini.

Tetapi jika anda masih keliru dan enggan menerima penghukuman nifaq ke atas UMNO disebabkan kekeliruan  dan kesamaran yang masih menghantui, maka tiada lagi buat UMNO selain kefasiqan yang nyata.

Fasiq kerana ia secara terang – terang menghalalkan apa yang diharamkan Allah secara terang – terang juga. Hanya yang menyelamatkan UMNO adalah soal hati dan batinnya yang sukar dibaca  dan sering berubah – ubah di antara patuh dan ingkar.

Fasiq adalah keluar daripada ketaatan secara nyata. Menghalalkan judi dengan melesenkannya sebagai perniagaan untuk mengaut keuntungan adalah keluar daripada ketaatan kepada Allah yang nyata.

Jika anda tetap keliru menghukum UMNO sebagai fasiq dalam kes ini, maka anda sebenarnya keliru terhadap  iman di dada anda sendiri. Adakah anda seorang yang beriman kepada Allah?

Seorang muslim tidak mungkin keliru untuk berperang bagi pihak Allah. Saya adalah daripadanya dengan izin dan rahmatNya. Semoga anda juga.

2)      Apakah sikap dan pendirian kita di dalam isu ini sebagai seorang muslim?

 Jika anda ridha dengan penghalalan judi, maka anda keluar daripada garisan iman dan iman anda tercabut daripada dada. Ini hukum yang pasti. Ridha adalah soal hati. Hanya Allah, kemudian anda yang mengetahui hati anda. Dan, semoga Allah menjauhi kita daripada perbuatan menghalalkan apa yang diharamkan Allah.

Jika anda tidak ridha dengan penghalalan judi oleh UMNO, anda adalah seorang muslim. Tetapi anda bukan lagi seorang yang beriman sehinggalah anda menentang kejahatan UMNO itu dengan kekuatan tangan atau lidah. Itu syarat iman yang benar. Ciri iman adalah menentang kemungkaran dengan tenaga yang ada sebagaimana ianya adalah menyuruh kepada kemakrufan dengan segala hikmah.

Jika anda lemah, maka lawannya dengan hati dengan membenci UMNO. Membenci UMNO adalah iman! Tetapi itulah selemah – lemah iman sebagaimana itulah persabdaan junjungan nabi sallaLlahu alaihi wasallam. Sudikah anda kembali kepada Allah dengan membawa iman yang lemah dan longlai dek takut menyebelahi Allah secara nyata untuk menentang kezaliman UMNO?

Justeru lawanlah UMNO dan kemungkarannya. Lawan dengan tangan jika itu tuntutannya. Atau dengan lidah kerana itulah tuntutan penentangan dalam masyarakat muslim. Kedua – duanya mestilah disertakan dengan kebencian yang nyata terhadap UMNO dan kejalangannya.

Itulah keseronokan beriman pada tahapnya yang benar.

UMNO? UMNO begitulah hukum ke atas mereka sehinggalah mereka menarik balik lesen judi tersebut dan kembali kepada Islam dan pengajarannya yang mesti diimani dan ditaati. Tetapi sayugia diingatkan bahawa UMNO adalah penuh dengan perlanggaran terhadap hukum – hukum Allah dan pengajaranNya. Selepas berpisah daripada judi, UMNO mestilah berpisah daripada kemungkaran ugama yang lain. Di situ UMNO pun berubah.

Orang UMNO? Demi iman, wajib ke atas orang – orang UMNO membantah secara nyata kerana jika sebaliknya kekeliruan akan terus  menyelubungi iman mereka. Mereka dengan demikian, seolah – olah menyokong dan meredhainya. Jika mereka diam, iman mereka sentiasa di dalam kabut fitnah. Menjadi penyokong UMNO pun satu hal, apatah apabila diam terhadap kemungkaran tuannya yang nyata.  

3)      Bagaimana dengan ulama yang mendiam diri?

Merekalah syaitan bisu! Mana ada syaitan yang bisu? Ya, tiada syaitan bisu selain mereka. Mereka adalah manusia syaitani. Mereka bukan pewaris ulama umat nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, tetapi  mereka adalah warisan ulama Yahudi dan Nasrani yang menyelewengkan ugama mereka yang benar.

Ulama yang diam di saat umat memerlukan sikap dan kata – kata mereka, itulah seburuk – buruk orang alim di dunia ini.

Jika anda menemui mereka, jauhi mereka kerana neraka lebih dekat kepada mereka berbanding kita orang awam. Jika anda menjauhi mereka, yakinlah anda sedang mendekati ulama yang benar. Tiada ulama yang benar kecuali berani berkata benar dalam semua perkara yang dalam ilmu dan pengetahuan mereka.

Jika anda bergurukan ulama yang benar dan berani, anda akan turut menjadi benar dan berani dalam iman. Itulah sebaik – baik tuah dalam kehidupan ini.

4)      Adakah UMNO adalah sebuah harapan untuk umat Islam?

Tanyalah iman di dada. Tepuk dan tanya. Bagi saya, jika seratus doktor berusaha mengubati UMNO hari ini, mereka memerlukan seribu doktor pula untuk mengubati mereka pula akibat terkena jangkitan penyakit  UMNO!

Seorang mufti yang sentiasa pelik dan ajaib dalam negara kita pernah menyarankan supaya pengidap jangkitan AIDS hendaklah diasingkan ke sebuah pulau yang terasing agar masyarakat menjadi selamat daripada jangkitan mereka.

Sila anda jawab soalan ini; Bezakan di antara UMNO dan AIDS?

Jika anda gagal menemui perbezaan, sila hantar UMNO ke pulau tersebut. Jika sebaliknya, marilah bersama menghapuskan nyamuk aedes!

Umat Islam tidak memerlukan UMNO untuk keagungan Islam dan kegemilangan mereka.

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Jun 2023
I S R K J S A
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
2627282930  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa