You are currently browsing the category archive for the ‘buku’ category.
Salam Palestin,
Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan program Ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS peringkat kebangsaan 2010 bermula 1 hingga 3 Oktober 2010 bertempat di kampung Rusila, Marang, Terengganu. Program tarbawi perdana yang julung kali diadakan sejak sekian lama ini dijangka akan dapat menghimpunkan ribuan jentera pemuda PAS dan pendukung gerakan Islam dari seluruh negara.
Program ijtima’ perdana ini adalah bermatlamat menggerakkan pemuda untuk memahami tanggung jawab membina kekuatan PAS melalui tarbiyah dan sistemnya yang jitu. Ia juga bersempena dengan pindaan perlembagaan PAS terbaru yang telah memberi ruang dan melibatkan jentera pemuda di peringkat kawasan ke dalam program kemuncak parti iaitu muktamar tahunan. Program ijtima’ akan membantu jentera kawasan di seluruh negara untuk memahami dan menilai peranan dan tanggung jawab masing – masing.
Melalui program 3 hari 2 malam ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia mensasarkan kehadiran sekurang – kurangnya 20 orang jentera pemuda setiap kawasan selain jenteranya di peringkat pusat dan negeri. Jangkaan kehadiran lebih 3000 orang jentera pemuda ini pula akan dihangatkan lagi dengan jemputan umum, terutamanya kepada seluruh pemuda PAS seluruh negara yang berminat untuk menyertainya.
Jemputan khas juga disasarkan kepada seluruh pelajar daripada universiti dalam dan luar negara. Tidak ketinggalan, kehadiran peserta daripada Dewan Muslimat, terutama daripada unit NISA’nya dijangka akan memperkasakan lagi program besar ini.
Justeru adalah dijangkakan, program yang akan melibatkan penyertaan hampir keseluruhan kepimpinan utama PAS ini mampu menghimpunkan lebih 5 ribu orang peserta dari seluruh negara.
Sehingga kini, hampir 20 orang pimpinan PAS telah menyatakan kesanggupan untuk bersama pemuda dalam program ijtima’ tersebut. Di antara kehadiran utama yang akan turun menyampaikan amanat dan wasiat tarbawiyah tersebut adalah al Mursyidul Am PAS, Presiden PAS, Timbalan dan Naib – Naib Presiden PAS, Ketua Dewan Ulama, Ketua Pemuda dan Ketua Dewan Muslimat PAS selain kepimpinan tarbiyah utama PAS seperti al fadhil Dato Dr Haron Din dan al fadhil Ustaz Dato Haji Yahya Othman.
Lebih memeriahkan, ijtima tarbawi ini dijangka menerima kunjungan tetamu daripada gerakan Islam daripada timur tengah.
Di antara agenda menarik yang telah disusun untuk memeriahkan dan mengoptimumkan hasil tarbawi melalui program ijtima’ ini adalah siri kuliah talaqqi kitab Tafsir al Tibyan syarah surah al Hujuraat oleh pengarangnya sendiri iaitu Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang. Kitab tersebut yang kini dalam proses ulang cetak sempena program ijtima tersebut telah diberi kata pengantar oleh al fadhil Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat.
Selain itu, program forum, pembentangan, ceramah tarbawi perdana, solat dan bacaan al ma’thurat berjamaah dan lain – lain lagi dijangka akan memeriahkan lagi isi perhimpunan ala mukhayyam perdana tersebut.
Pengarah program ijtima’, Ustaz Haji Azman Shapawi dan Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia yang diberi tugas utama menjayakan program ini ingin merakamkan harapan kepada seluruh jentera pemuda di seluruh negara untuk memastikan kejayaan program ini dengan kehadiran penuh dan komitmen yang tinggi terhadapnya. Semoga Allah memberkati.
Salam Palestin,
Saya baru siap merumikan kata pengantar oleh ayahanda Tuan Guru kepada kitab tafsir surah al Hujuraat karangan Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang. Kini ia dalam proses untuk diulang cetak dengan kata pengantar tersebut yang saya kira akan menambahkan lagi kekuatan kitab tafsir tersebut.
Ayahanda menulisnya dalam tulisan Jawi. Sememangnya saya tak pernah melihat tulisannya dalam bahasa Rumi. Samada Jawi atau bahasa Arabiah. Saya pula jarang menulis tangan kecuali dalam tulisan Rumi. Anda tahukan, semuanya kerana sistem pendidikan yang saya ( anda juga ) dan ayahanda telah lalui adalah berbeza. Masa saya mula bertatih menulis, tulisan Jawi telah dijahanamkan kehadirannya dalam sistem pendidikan kebangsaan oleh UMNO.
Ia dihidupkan untuk dimatikan saja. Diarsenikkan. Tetapi, ia tidak mati kerana ramai pencintanya yang telah dan akan terus mempertahankannya. Tulisan jawi adalah jiwa bangsa Muslim. Oleh kerana UMNO tiada mempertaruhkan diri untuk Islam, maka dalam pemerintahan UMNO, tulisan Jawi terus dipinggirkan dan jika ia mati, dibakar api dengan dikerat – kerat tulangnya adalah lebih baik daripada dikebumikan.
Saya yakin tulisan Jawi akan kembali unggul menyuburkan dan menyejukkan iklim negara yang panas dan berjerebu. Kerajaan Negeri Kelantan telah berusaha menghidupkan penggunaan tulisan Jawi di dalam penguat kuasaan majlis perbandaran dan acara rasmi. Diawalnya, ia kelihatan sukar, tetapi selepas beberapa lama, syarikat – syarikat besar seperti perbankan dan komunikasi mula akur dan mula seronok untuk bersama kerajaan negeri memperkasakan tulisan Jawi.
Anda boleh melihatnya sebaik berkunjung ke bandar Kota Bharu. Saya juga yakin, dengan anugerah Allah melalui pertabalan Tuanku Sultan yang baru yang berjiwa agama, muda dan perkasa kepada negeri Kelantan dan rakyatnya, tulisan Jawi akan terus memacu menuju martabatnya. Memacu ke depan bersama Islam meninggalkan UMNO yang semakin lemah, tanpa arah dan keseorangan.
Ayahanda agak jarang menulis panjang. Dia pernah menulis dan tulisannya dicetak dan dibukukan. Artikelnya acap diterbitkan lewat majalah – majalah ugama. Tetapi itu dulu, di alam mudanya selepas pulang menuntut ilmu di luar negara. Tetapi, mungkin kesibukannya memenuh masa dengan program kuliah ugama, ceramah dan pidato selepas itu telah menjarakkannya daripada dunia penulisan.
Pun begitu, ayahanda kekal sebagai ulat buku. Saya tidak tahu jika ada sehebat ayahanda yang telah mencecah umur 80an yang begitu ketagih membaca. Mungkin ada, tapi saya tidak tahu. Hari ini, jika saya khatam satu buku, mungkin ayahanda telah habiskan 5 buah buku. Sungguh menakjubkan.
Lebih menarik, bingkisan pengajaran yang menarik dan penuh isi oleh ayahanda telah meruntun beberapa orang muridnya yang mahir menulis untuk mula memindahkan ucapannya kepada tulisan yang dibaca. Sekitar 20 tahun lepas, beberapa buku dilancarkan hasil kerja keras anak – anak muridnya yang telah memindahkan koleksi ucapannya daripada kaset – kaset ceramah.
Buku – buku tersebut telah mendapat sambutan hangat daripada segenap lapisan masyarakat.
Kini, Allah terus membekalkan ayahanada dengan pembantu – pembantunya yang hebat. Bukan hanya pemindahan ucapan dan pidatonya, bahkan ayahanda mula ada sesi khas bersama pembantunya melontarkan idea – ideanya yang luas, lalu disalin dan dikarang menjadi artikel yang bagai tulisannya sendiri. Anda mungkin kerap membacanya di dalam akhbar Harakah dan portal maya.
Saya kira ia bermula semasa saudara Haji Anual Bakri Haron menjadi setiausaha politik ayahanda. Selain beliau adalah Ustaz Mohd saiba Yaacob, Hj Wan Nik Yosof dan Ustaz Haji Ahmad Fadhli Shaari. Kesemua adalah pembantu ayahanda di pejabat Menteri Besar.
Dalam era media baru terkini, ‘facebook’ ayahanda telah mendapat sambutan yang cukup hangat terutama di kalangan belia remaja pencinta perjuangan Islam dan keadilan.
Kerana itu, apabila saya ajukan permohonan Dewan Pemuda PAS agar ayahanda menulis sedikit aluan sebagai kata pengantar kepada tafsir surah al Hujuraat karangan Tuan Guru dato Seri Haji Abdul Hadi Awang untuk dipersembahkan di ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS peringkat Kebangsaan di Rusila pada 1 hingga 3 Oktober 2010 nanti, beliau sanggup tetapi kelihatan agak gusar untuk menyiapkannya.
Saya memintanya menulis sendiri walau sedikit. Selepas beberapa kali bertanya, akhirnya ayahanda menghulurkan saya 4 helai kertas yang sarat tulisannya dalam Jawi. Saya pastinya teruja dengan kesediaannya meluang masa untuk menulis agak panjang. Ketika menyerahkannya, dia berkata, “Baca sendirilah”, seolah – olah meminta saya meneliti dan membaiki kekurangan.
Sambil menulis kembali dalam tulisan Rumi untuk cetakan, saya meneliti isi yang dituangkan ayahanda. Ah, sungguh klasik tulisannya, begitu ‘stylo’ isinya. Saya membiarkan tulisan itu kekal 99% dan anda akan menikmatinya sebagaimana saya, jikapun anda tidak dapat menikmati keindahan khat jawi ayahanda.
Anda mungkin terhenti seketika untuk memahami, tetapi anda pasti telahpun mengecapi kepuasan ketika berusaha memahaminya. Keasyikan itu sungguh menghentikan nafas, bahkan matahari pun terpaku menikmati mukjizat nabawiyyah.
Ayahanda cuba melakarkan kehidupan ini sebagai anugerah Yang Maha Esa yang sungguh agung yang mesti dibalas sebagai ‘mengenang budi’. Rasa budi itulah menghasilkan akhlak dalam kehidupan manusia. Surah al Hujuraat sarat dengan pengajaran Allah agar manusia hidup berbudi dan berakhlak.
Tulisnya, “Supaya tidak terus meraba – raba, Allah dengan limpah kurniaNya mengutus para anbiya’ alaihimus salam sejak zaman – berzaman. Dan terakhir ialah nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Di antara tajuk utama yang ditekan oleh para anbiya’ ialah akhlak; Berbudi kepada pihak yang berbudi. Disebut dalam bahasa ugama; Syukur nikmat.”
Kemudian ayahanda merumuskan, “Mengenang budi atau berakhlak mulia adalah sesuatu yang terlalu sukar dilaksana manusia. Mengenang budi bermakna terpaksa korbankan kepentingan diri untuk kebahagiaan orang lain. Sedangkan naluri tamak, mementing diri adalah watak semula jadi manusia sejak alam kebudak – budakan lagi. Abang biasalah bertegang dengan adik – beradik. Kawan sebelah rumah biasa lihat ibu bapa bertegang sesama jiran. Bahkan kerajaan selalu berperang sesama kerajaan. Rakyat menjadi mangsa dan budi akhlak yang kena pijak.”
Ayahanda tidak lupa memperkenalkan pengarang Tafsir al Hujuraat. Tulisnya, ” Al fadhil Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah di antara ulama turun padang. Beliau berguru di universiti – universiti tanah haram dan di timur tengah.”
Kemudian ayahanda memuji kesungguhan pengarang yang telah berusaha mengubati penyakit yang menimpa umat Islam. Katanya, ” Beliau mengkaji punca rohani manusia berpenyakit syirik. Mengapa orang Islam sendiri ketepikan surat kiriman Allah kepada manusia ( al Quran al Karim ) lalu terpedaya dengan pemikiran manusia. Manusia adalah manusia. Ilmu manusia macam orang kampung mahu baiki komputer rosak. Makin rosak dan jahanam!”
Saya menikmati pujian ulama ke atas ulama yang seperjuangan di dalam jihad menegakkan ugama Islam yang syumul di Malaysia. Ia nikmat yang menjadikan saya membenci sesiapa yang cuba mengeruhkan hubungan sesama ulama demi cita – cita politik dan peribadi yang tohor dan gelojoh.
Semoga Allah menjirus kita dengan limpah rahmat bernaung di bawah kepimpinan ulama dan ahli al Quran.
Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang akan bersama pemuda PAS selama 3 hari dalam program Ijtima nanti. Bersamalah kita menadah dan khatam kitab tafsir karangan beliau nanti.
Anda boleh mula mendapatkan buku cetakan terbaru tafsir tersebut dalam program ijtima perdana di kampung Rusila nanti, insya Allah.
Salam Kamunting,
Mengapa kita sukar memperolehi jawaban yang menenangkan? Atau kita asyik salah membuat kesimpulan? Atau kita terpinga – pinga dan keliru apabila berdepan isu dan persoalan yang melanda di depan mata? Atau paling malang, mengapa kita menyalahkan sesuatu yang sememangnya betul?
Ramai ulama memberikan jawaban bahawa ia sebenarnya berpunca daripada dua faktor yang bertentangan. Pertama, kita tidak atau kurang membaca. Kedua, kita terlalu banyak membaca!
Anda tidak membaca anda jahil. Itu jawaban untuk manusia hari ini. Dunia kini bergerak sepantas ilmu yang dikuasai manusia. Oleh kerana ilmu adalah dengan membaca, anda akan terperuk di belakang dalam kotak jahil jika anda gagal untuk membaca . Anda hanya mengharap jawaban daripada angin yang lalu.
Akhirnya anda hidup tertipu. Ditipu oleh diri sendiri yang buta atau oleh orang lain yang suka mengambil kesempatan memangsakan anda. Pendek kata, tiada yang positif daripada kalimah jahil.
Ubat jahil adalah dengan membaca atau berkawan dengan orang yang membaca. Perhatikan berapa ramai orang yang tidak membaca dan dia pula suka berkawan dengan orang yang juga tidak membaca. Perhatikan juga betapa orang yang membaca tidak gemar berkawan dengan orang yang tidak membaca. Jadi, jika anda ingin berkawan dengan orang alim, anda kenalah juga jadi alim dengan membaca. Jika tidak, anda mungkin hanya boleh mendekatinya tetapi dia tidak pun mendekati anda.
Justeru, anda kekal sebagai murid sampai tua. Jika guru anda itu alim yang baik, anda selamat menumpang ilmunya. Jika dia alim yang jahat, anda tak mungkin selamat. Bagaimana anda yang jahil nak selamat jika anda tak tahu pun dia jahat? Hanya yang berilmu tahu gurunya baik atau tidak.
Itu jika si jahil itu mahu jadi murid. Bagaimana jika dia enggan? Tidakkah hanya orang yang mencintai ilmu sahaja yang suka menjadi murid?
Begitulah kesukaran mengubat kejahilan. Justeru adalah tidak sukar untuk mengatakan bahawa orang yang jahil sentiasa sukar memperolehi jawaban yang benar dalam kehidupan dunianya, apatah untuk akhiratnya.
Tetapi, anda perlulah juga sedar bahawa antara faktor sukarnya memperolehi jawaban yang benar adalah kerana terlalu banyak membaca!
Banyak membaca adalah baik. Tetapi jika anda membaca apa sahaja sedang anda gagal membina asas binaan diri yang kukuh, bacaan anda itu pasti akan memberati anda lalu ia menindih atau menggelincirkan anda sama sekali.
Anda membaca itu dan ini, pandangan itu dan ini, jawaban itu dan ini. Akhirnya kepala anda jadi berat dan bersilang – silang. Anda gagal memilih mana satu pilihan yang tepat. Sebabnya anda tak tahu siapa anda sebenarnya. Anda belum membina diri sendiri sebelum menduduki binaan orang lain.
Apa yang anda baca hari ini?
Ya, Allah berfirman, “Bacalah.” Tetapi tidakkah Dia juga menambah, “Dengan nama tuhanMu.” Ertinya, sebagai seorang muslim, anda perlu membina diri dengan sebagai seorang muslim yang tunduk pada kekuasaan dan keesaaanNya. Jika tidak, anda akan melampaui batas!
Ilmu mencipta keegoan melampau jika ia tidak menundukkan. Anda samada tunduk dan tawadu’ atau jadi sombong takbur kerana banyak membaca. Anda enggan kecuali hanya tunduk pada nafsu sendiri yang merasa tahu dan serba tahu.
Dalam surah yang sama ( al Alaq ), Allah berfirman, “Ketahuilah, sesungguhnya manusia itu pasti melampaui batas tatkala mendapati dirinya cukup!”
Orang alim yang banyak membaca egonya hebat. Dia rasa dia tahu itu dan ini. Soalnya, adakah itu yang Allah mahu daripada arahanNya agar hambaNya membaca? Tidakkan?
Membaca hendaklah dengan nama Allah, keranaNya dan untukNya. Allah berfirman lagi selepas itu, “Sesungguhnya kepada tuhanMulah tempat kembali.” Ubat mengelak takbur adalah menginsafi bahawa kepadaNyalah tempat kembali. KepadaNya kembali segala perkara.
Kebanyakan kita membaca sesuka hati mengikut kehendak dan keseronokan diri. Ini tidak banyak membantu walaupun ia baik.
RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam tidak tahu membaca. Apabila baginda disuruh membaca, baginda membaca dan bacaan awal dan akhirnya adalah al Quran. Baginda kemudian dikurniakan ilmu dan hikmat.
Al Quran penuh ilmu. Malangnya kebanyakan manusia seronok menimba ilmu yang bukan dari al Quran atau bersumberkan al Quran. Dia membaca tetapi dia jauh daripada al Quran. Apakah keyakinannya bahawa dia akan selamat daripada ego nafsunya nanti? Dia mungkin berilmu tetapi ilmunya tidak bermanfaat bahkan merosakkannya.
Al Quran hidup di dada orang berilmu yang bertaqwa. Malangnya kita menjauhi buku – buku karangan ulama yang bertaqwa dan leka pula dengan buku – buku yang penulisnya tiada bukti dan petunjuk taqwa. Kepala dan otak kita dipenuhi pandangan dan jawaban daripada mereka yang kering keinsafan dan kontang rasa takut pada tuhan mereka.
Akhirnya kita gagal memperolehi jawaban yang benar yang menenangkan hati kita yang ingin tunduk pada kebenaran sebagai seorang muslim.
Membina diri hendaklah bermula dengan akidah yang benar. Anda perlu melumati ilmu akidah. Dengannya anda akan rasa tenang sungguh untuk berjalan di bumi ini sebab anda akan memandang secara tepat dan tajam. Anda tidak keliru lagi dengan simpang siur di depan.
Membina diri hendaklah bersumberkan al Quran dan al Sunnah. Anda pula mestilah mendapatkannya melalui jalan yang betul untuk mengenal sesuatu itu adalah benar daripada Allah dan rasulNya. Anda perlu sedar bahawa penafsiran kedua – dua sumber itu dipenuhi kekaburan dan kerumitan kerana jauhnya kita daripada guru pertama iaitu RasuluLlah, juga murid – muridnya yang diredhai tuhan, iaitu para sahabat ridhwanuLlahi alaihim.
Ada talian emas yang menghubungi kita kepada ar Rasul. Ia bersanad dengan kekuatan para ulama muktabar yang lahir sepanjang zaman. Ia sehingga mencipta darjah ‘mutawatir‘ yang kesepakatan antara mereka adalah akidah yang tidak boleh ditinggalkan lagi.
Ia ilmu khas Islam dan tidak mungkin wujud kecuali dalam Islam. Ia ilmu ciptaan sifat amanah dan benar.
Anda perlu memahami betapa sumber ilmu yang anda baca mestilah memakai talian emas ini dan mengambil inspirasi ilmu ini. Jika tidak, kita tidak memperolehi apa – apa kecuali padangan otak manusia yang macam kita juga. Lebih kita hanya pada ilmu. Lebih ilmu hanya pada taqwanya.
Perhatikan, orang menyokong mazhab UMNO yang sekular, kebangsaan dan liberal kerana kekuasaannya, keramaiannya, keduitannya atau mungkin keilmuannya. Jika mereka membaca dan memahami al Quran secara betul, mudah sahaja untuk menolak UMNO dengan kesesatannya. Tetapi, bagaimana mereka menbaca? Atau, adakah mereka membaca?
Perhatikan juga orang yang menyokong aliran yang menghina para sahabat RasuluLlah dan keluarganya. Mereka membaca sejarah tetapi mereka gagal menilai bahawa sejarah memerlukan fakta yang tepat. Sejarah adalah cerita dan sirah. Bayangkan sukarnya kita memfaktakan cerita dan khabar hari ini. Bagaimana dengan cerita dan khabar seribu tahun dulu??
Talian emas Islam menolak sekerasnya aliran yang membunuh karektor para sahabat al Rasul dengan tuduhan sebagai pengkhianat. Ia dibuktikan penuh dengan kebatilan, penipuan dan kekhayalan.
Tetapi dek membaca tanpa panduan yang dimestikan, anda mungkin seronok melihat perayaan Karbala yang penuh cerita batil semata – mata anda ingin menunjuk simpati dengan keluarga Al Rasul. Anda akhirnya menangisi cerita karut sebagaimana anda menangisi filem epik.
Manakan sama antara menangisi filem Hisdustan dan filem Gaza!? Fakta Karbala takkan boleh diadun dengan epik Karbala. Fahami ini jika anda ingin selamat dan diredhaiNya.
Saya nyatakan contoh yang sedikit sedangkan di hadapan kita kesalahan dan kegelinciran yang banyak dek kejahilan dan kecelaruan daripada sumber ilmu yang lemah dan lintang pukang.
Kembalilah membaca al Quran, memahaminya dan dekatilah buku – buku yang muktabar penulisnya dan jernih ilmunya. Kelak kita akan mudah membuat kesimpulan daripada pelbagai jawaban yang dibentangkan di hadapan.
Inilah tabiat ideologi perubahan seluruhnya. Maka mengapakah pula Islam dituntut – sedang ia adalah satu risalah yang menyeluruh – menghadkan kerjanya setakat menjaga masjid dan mahkamah syariah sahaja? Bahkan mungkin sehaja masjid dan mahkamah syariah pun akan dipaksa mengikut telunjuk golongan sekular ini ( seperti di negara kita – pent )?
Agama Masihi sendiri yang mengatakan, ” Biarkan hak raja itu untuk raja dan biarkan hak Allah itu untuk Allah” pun apabila memiliki kuasa dan peluang, mereka tidak pula menyerahkan kuasa itu kepada raja, bahkan merekalah yang memegangnya dan menentukan arah kehidupan seluruhnya berdasarkan apa yan mereka imani.
Jika begitulah Masihi, bagaimana pula dengan Islam yang tidak pernah memisahkan antara jasad dan ruh dan tidak pula memisahkan hak di antara raja dan Allah, bahkan menjadikan raja dan hak raja sebagai hak Allah belaka.
Firman Allah: ” Apakah mereka menuntut hukum jahiliyah? Siapakah yang lebih baik hukumnya daripada Allah, bagi orang – orang yang yakin.” – al Maidah:50
Berkata al Ustaz Doktor Muhammad al Bahiy ( al Fikr al Islami al Hadith.. ) ketika mengkritik pendapat Doktor Ali al Raziq dalam bukunya ( al Islam wa Usulul Hukm ) yang menyarankan pemisahan antara ugama dan negara:
( Jawaban beliau adalah berasaskan pemikiran kurun pertengahan yang memisahkan antara fizikal dan rohani penciptaan manusia. Itulah pemikiran yang menerajui orang Eropah masa itu yang akhirnya mendorong kepada pemisahan antara negara dan gereja./
Pemikiran pemisahan ini adalah sama dengan pemikiran golongan falsafah Islam atau Masehi di zaman kurun pertengahan yang mereka warisi daripada pemikiran falsafah lama/Yunan dalam isu ketuhanan dan kemanusiaan./
Pemikiran pemisahan antara ruh dan jasmani manusia di sisi ilmu kajian ilmiah moden hari ini adalah pandangan yang tidak lagi boleh diterima akal yang sihat. Manusia dalam kajian ilmiah hari ini adalah satu, tak boleh dijuzu’ – juzu’kan. Paling terjamin, ia mestilah dipimpin oleh satu qiadah/ kepimpinan./
Pengalaman pembahagian kuasa antara kerajaan dan gereja dulu tidak hanya mencetuskan perselisihan antara keduanya, bahkan telah mengakibatkan salah satu akan menundukkan yang satu lagi. Dan pastinya negaralah yang akan menundukkan gereja dengan kekuatan mereka menguasai massa./
Walaupun pemikiran jenis ini telah terbukti salah di sisi kajian ilmiah dan juga pelaksanaan amali, para penyeru kepada pemikiran ini daripada kalangan pemikir Islam masih terus menganggap ‘penyatuan’ pada manusia dan kepimpinan sebagai mundur! Ini semata – mata kerana ia bersumber daripada pemikiran asas Islam! )
4) Kepentingan wujudnya sebuah negara untuk menjayakan matlamat:
Ini faktor amali yang tidak boleh diingkari lagi, bahawa manusia sejak dulu telah mengetahui keperluan wujudnya sebuah negara atau kuasa politik ( kerajaaan ) untuk menjayakan matlamat tertentu, melaksanakan undang – undang, mengajar dan memelihara ummah daripada kerosakan. Kerana itulah, Khalifah ketiga, Uthman bin Affan telah berkata, ” Sesungguhnya Allah akan mencabut dengan kuasa apa yang tidak boleh dicabut dengan al Quran.” – ( al Bidayah wa an Nihayah )
Apatah di zaman moden ini, sebuah negara itu memegang tampuk seluruh aspek kehidupan di tangannya, suatu yang tidak mungkin dikuasai sepenuhnya oleh mana – mana kerajaan zaman lampau. Mereka menguasai undang – undang, kebudayaan, masyarakat, ekonomi dan lain – lain. Ini adalah antara ciri istimewa kerajaan moden hari ini.
Justeru mana mungkin golongan dakwah dan islah boleh membiarkan negara dikuasai oleh golongan sekular untuk melakukan apa sahaja termasuk dengan senangnya ( kerana mereka memiliki kuasa negara ) meruntuhkan kebaikan dan kebajikan yang telah dibina oleh golongan dakwah dan islah tersebut. Meruntuh pula lebih senang daripada membina.
Sesungguhnya daulah Islam kita dahulu yang diperintah oleh seorang khalifah tertinggi tidaklah mampu menguasai seluruh aspek kehidupan rakyatnya, bahkan kuasanya hanya terhad dalam menguasai bandar dan kota – kota besar sahaja. Adapun ummah di luar seluruhnya , kehidupan mereka dikuasai oleh Islam yang diketuai sebahagian besarnya oleh para ulama.
Pendidikan mereka dikuasai ulama dengan mengajarkan mereka Islam, bahasa, adab, sejarah dan apa sahaja yang mereka mahu.
Undang – undang juga di tangan ulama dengan melaksanakan hukum – hukum ke atas mereka.
Demikian juga urusan fatwa sebagai rujukan dan urusan waqaf dan kebajikan, semuanya dikuasai oleh para ulama yang mengurus politik rakyat setempat ( tanpa gangguan dan tekanan khalifah ).
Ummah tetap berpegang dengan ugamanya saat pemerintah dan negara menyeleweng daripada ugama, bahkan ummah juga terus tetap dengan ugamanya saat negara khalifah rebah dan tewas. Ia terus gagah dengan institusinya itu saat negara khilafah dirundung keruntuhan dan kelemahan.
Tetapi di zaman moden hari ini, kekuatan ummah itu telah beralih dan dikuaai sepenuhnya oleh kerajaan dan negara. Negaralah yang meguasai undang – undang, pendidikan, kesihatan, ketenteraan dan seluruhnya.
Justeru bagaimanakah para pendakwah dan pengislah boleh melaksanakan islah dan pembaikan di saat pemerintah bergerak dari arah yang bertentangan? Kita menghidupkan dan mereka mematikannya, kita mengumpul dan mereka memecahkannya pula?
Bayangkan kita hanyalah rakyat, sedang mereka adalah kuasa!
Inilah sebenarnya yang menjadikan para pengislah dan pengasas gerakan – gerakan Islam terpaksa menempuh peperangan politik dan mereka menuntut islam dengan jalan menegakkan daulah Islamiyah yang akan menjayakan firman Allah:
” Dan orang – orang yang jika kami kurniakan mereka kekuasaan di bumi ini, mereka pasti mendirikan solat, menunaikan zakat, menyeru kepada al makruf dan menahan daripada kemungkaran.” – al Hajj:41
Tiadalah perlu mereka sendiri yang memegang kuasa itu jika mereka telah mendapati orang lain mampu memerintah dengan rukun dan syarat Islam tersebut. Jika pemerintah kini melaksanakan Islam, alangkah eloknya di sisi mereka.
Jika mereka enggan atau tidak bersedia, maka menjadi kewajiban ke atas para pendakwah dan pengislah untuk bangun melaksanakan tuntutan itu. Awalnya hendaklah mereka menyediakan modal insan, jentera fizikal dan ransangan sosial yang akan membantu menjayakan matlamat ( negara Islam ). Ia tak selesai dengan hanya berangan – angan dan berbuih kata.
( sila klik ‘buku’ di bahagian (kategori) di sebelah untuk bacaan siri – siri sebelum ini )
Salam Kamunting,
Sempena kedatangan bulan Rajab yang mulia, saya terjemahkan satu artikel khas oleh asy Syeikh al Qaradhawi berkaitannya. Semoga manfaatnya besar kepada para pembaca blog ini. Saya juga dengan penuh rendah diri memberikan sedikit komentar untuk lebih menjelaskan. Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, blog saya bukanlah blog fiqh Islami. Sekadar melayan rasa perlu. Untuk permasalahan fiqh, rujuklah ke laman yang lebih pakar dan khusus.
Adakah Rajab bulan Allah?
Benarkah bulan Rajab adalah bulan Allah sebagaimana didendangkan di dalam ceramah dan khutbah Jumaat oleh sesetengah pendakwah bahawa ianya dinukilkan daripada hadis nabawy yang berbunyi, ” Rajab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku.”? Apakah hukum meriwayatkan dan menyebarkan hadis yang tidak benar daripada ar Rasul sallaLlahu alaihi wasallam?
Asy Syeikh Dr Yusuf al Qaradhawi menjawab:
Tiada satu pun nas berkenaan bulan Rajab kecuali yang menjelaskan kemuliaannya sebagai salah satu daripada 4 bulan yang haram ( al asyhur ul hurum ) sebagaimana di dalam Al Quran ( at Taubah: 36 ) iaitu Rajab, Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram. Bulan – bulan haram adalah penuh kelebihan.
Tiada satu pun Tihadis yang sahih warid daripada RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam yang menyatakan kelebihan bulan Rajab secara khusus kecuali satu hadis yang hasan: Bahawa RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam paling banyak berpuasa di bulan Syaaban. Lalu baginda ditanya mengenainya. Baginda menjawab, ” Ia ( Syaaban )adalah bulan di antara Rajab dan Ramadhan yang dilalaikan oleh manusia ( kelebihannya ).”
Maka, difahami daripada sabda itu bahawa bulan Rajab mengandungi kelebihan yang telah jelas diingati berbanding Syaaban.
Adapun hadis, ” Rajab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan ummatku.”, maka ia adalah satu hadis yang munkar ( tak dikenali )dan dhoif jiddan ( terlalu lemah ), bahkan kebanyakan ulama hadis menyifatkannya sebagai sebuah hadis maudhu’ ( palsu ).
Tiada harganya daripada sudut ilmiah mahupun ugama.
Demikianlah segala hadis yang diriwayatkan berkaitan bulan Rajab bahawa sesiapa yang solat sekian maka untuknya sekian dan siapa beristighfar ( di bulan Rajab ) sekali maka untuknya sekian, maka itu semua adalah melampau – lampau dan pembohongan ke atas ar Rasul.
Antara tanda nyatanya pendustaan dalam hadis – hadis tersebut ialah wujudnya perihal kelebihan atau ancaman azab yang melampaui batas. Para ulama berkata, sesungguhnya janji manis dengan pahala yang besar atas amalan baik yang kecil dan janji buruk dengan azab yang pedih atas amalan dosa yang kecil adalah antara tanda bahawa ianya adalah hadis yang dusta dan palsu.
Ini sebagaimana dendangan periwayatan palsu bahawa baginda bersabda, “Sesuap yang dimasukkan ke dalam perut orang yang lapar adalah lebih baik daripada membina seribu buah masjid.”
Hadis – hadis yang diriwayatkan mengenai kelebihan bulan Rajab adalah daripada kategori ini. Adalah menjadi kewajiban ulama untuk menyedari kepalsuan hadis – hadis sebegini dan mengingatkan manusia daripadanya.
Telah warid ( datang ) daripada baginda, ” Barang siapa yang meriwayatkan satu hadis yang dia tahu kebohongannya, maka dia termasuk daripada kalangan yang berbohong juga.”
Tetapi biasanya seseorang itu tidak tahu bahawa dia sedang meriwayatkan hadis yang palsu. Justeru adalah menjadi kewajibannya untuk tahu dan mengambil hadis – hadis daripada sumbernya yang betul.
Di sana terdapat kitab – kitab hadis yang muktamad ( dipegang ) dan terdapat kitab – kitab yang khusus menyatakan mengenai hadis – hadis yang lemah dan palsu seperti‘al Maqasid al Hasanah’ oleh as Sakhawi, ‘Tamyiz al Thayyib min al Khabith lima yaduru ‘ala alsinati an nas min al hadith’ oleh Ibn ad Diba’, ‘Kasyf al khafa wa al ilbas..’ oleh al ‘Ajluni dan banyak lagi yang sayugia diketahui oleh para khatib dan penceramah ugama.
Mereka mesti menekuninya sehingga tidak lagi meriwayatkan kecuali hadis – hadis yang dipercayai kesahihannya. Hadis – hadis palsu ini sebenarnya adalah antara penyakit yang meracuni thaqafah Islamiah kita umat Islam. Ia tersebar melalui lidah para penceramah, buku – buku dan cakapan awam sedangkan ia adalah dusta dan anasir perosak dalam agama kita.
Adalah sayugia kita menyucikan dan menjernihkan thaqafah Islamiah kita daripda hadis – hadis jenis ini.
Terjemahan dari laman http://www.qaradawi.net
Komentar:
Telah datang bulan Rajab yang mulia. Menggandakan ibadah di bulan ini adalah digalakkan. Kelebihannya adalah kerana ia termasuk daripada 4 bulan yang haram ( dimuliakan Allah ) sebagaimana disebut di dalam Al Quran. Ia mulia sejak terciptanya langit dan bumi lagi.
Ibadah puasa di bulan ini adalah digalakkan. Ia menjadi muqaddimah kepada sambutan kedatangan Ramadhan al Mubarak. Ia menjadikan kita lebih bersedia untuk menyambut juadah pahala dan rahmat pengampuan tuhan yang lebih besar di bulan tersebut.
Berpuasalah pada hari – hari terpilih seperti Isnin dan khamis dan teruskan sehingga Ramadhan. Tambahkan bacaan Al Quran dan ibadah – ibadah lain. Insya Allah, keselesaan akan lebih terasa di bulan Ramadhan nanti.
Di negara kita, penyebaran hadis – hadis yang palsu dan dusta masih banyak berlaku termasuk hadis – hadis berkaitan kelebihan Rajab. Ia mungkin tanpa disedari disebabkan kejahilan dan kurangnya pendedahan pengajian ilmu hadis di kalangan penceramah ugama. Apapun, ia tetap satu kesalahan besar jika dipandang ringan. Asy Syeikh al Qaradhawi memberi peringatan yang jelas akan bahaya ini dan mencadangkan penyelesaiannya. Justeru setiap kita mesti ambil cakna terutama para ilmuan ugama.
Ayuh, bersegeralah melakukan ketaatan dan kebajikan di bulan mulia ini. Hayatilah juga peristiwa al isra’ wa al mi’raj.
Baca juga: Hukum bertepuk tangan
Fasal 1:
Mengingkari Fikrah Islam Yang Syumul ( menyeluruh )
Mengapakah para ulama Islam mencampurkan politik dengan ugama?
Pemikiran ‘Islam yang syumul’ yang diingkari oleh golongan sekular dan Marxis sebenarkan telah diterima secara sepakat oleh para ulama Islam dan pejuangnya sebagaimana waqi’ yang dapat dilihat hari ini.
Kita saksikan bahawa golongan pembaharu/pengislah di zaman moden ini, bermula daripada Ibnu Abdil Wahhab, al Mahdi, Khairuddin at Tunisi, as Sanusi, al Amir Abdul Qadir dan Jamaluddin al Afghani, seterusnya al Kawakibi, Muhammad Abduh, Syakib Arsalan, Rasyid Ridha, Hasan al Banna di Mesir, juga Ibnu Badis dan rakan – rakannya di Aljeria, Ilal al Fasiy di Maghribi, al Maududi di Pakistan dan lain – lain semuanya telah menerima ‘Islam yang syumul’ dalam akidah dan syariat, dakwah dan daulah serta ugama dan politik.
Bahkan, bukan setakat buah pemikiran, malah mereka sendiri terpaksa menempuh debu – debu politik secara praktikal dan menanggung segala ujian dan kesusahan. Mereka melakukannya kerana 3 sebab utama:
1) Menyeluruhnya pengajaran Islam:
Islam yang disyara’kan Allah, tiada satu pun aspek kehidupan kecuali dinyatakan hukum – hakam dan arahannya. Ia merangkumi setiap aspek kehidupan; jasmani dan rohani, individu dan masyarakat.
Lihat firmanNya: an Nahli: 89. Lihatlah dalam al Baqarah: 183, 178, 180 dan 216 bagaimana Allah mewajibkan perkara – perkara tersebut hanya menggunakan satu perkataan yang sama iaitu ‘diwajibkan’ ( kutiba ) ke atas kamu’.
Perkara – perkara itu adalah puasa ( ibadat ), qisas ( jenayah ), wasiat ( kekeluargaan Islam ) dan peperangan ( politik negara ). Maka bagaimanakah boleh dibayangkan seorang mukmin menerima ibadat puasa sahaja dan menolak yang lain, sedangkan Allah menggunakan kalimah mewajibkan ( kutiba ) yang sama sahaja.
Syariah Islamiyah menghukum setiap perbuatan mukallaf. Tiada satu perbuatan atau kejadian kecuali adalah sahaja hukum syariat yang lima itu berlaku, iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus sebagaimana yang telah diterima pakai oleh ulama usul dan fuqaha daripada segenap kumpulan dan mazhab Islamiyah.
Dalil kesyumulan daripada al Quran: an Nahli: 89 dan Yusuf: 111.
Telah pasti bahawa RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam tidak pernah membiarkan sesuatu perkara yang mendekatkan diri kepada Allah atau menjauhkan diri daripadaNya kecuali akan disuruh atau dilarangNya jua sehinggalah Islam itu menjadi begitu jelas, malamnya seperti siang.
Islam adalah risalah kehidupan seluruhnya. Ia adalah risalah manusiawi, alami dan sepanjang zaman.
Sesiapa yang membaca buku – buku fiqh Islami dalam pelbagai mazhabnya pasti mendapati rangkumannya terhadap seluruh aspek kehidupan. Ia dapat sahaja diperhatikan oleh pelajar baru, apatah para ulama.
2) Islam menolak pemecahan hukum – hakamnya
Agama Islam sedari awal menolak pemecahan hukum – hakamnya kepada bahagian – bahagian yang terpisah – pisah dengan mengambil atau menolak sebahagiannya.
Al Quran secara keras mengingkari Bani Israel yang mengambil jalan ini. Lihat al Baqarah: 85.
Apabila segolongan Yahudi berhasrat memeluk Islam dengan mensyaratkan mereka boleh mengamalkan sebahagian syariat mereka seperti keharaman ( kemuliaan ) hari Sabtu, RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam menolaknya sama sekali. Kerana itulah Allah menurunkan ayatNya: Lihat al Baqarah:208.
Allah memerintahkan RasulNya dengan firmanNya: Lihat al Maidah:49.
Dalam ayat ini Allah mengingatkan rasulNya akan golongan bukan Islam yang mungkin memesongkannya daripada sebahagian hukum Islam. Ia adalah juga arahan ke atas seluruh orang yang memerintah umat Islam selepasnya.
Hakikatnya, pengajaran Islam dan hukum – hakamnya tidak akan memberikan hasil terbaiknya sehinggalah dilaksanakan sepenuhnya. Sebahagiannya mengikat sebahagiannya.
Ia sepertilah kaedah pengubatan yang menyeluruh seperti pengambilan ubat yang pelbagai, sekatan dan pantang serta mengadakan latihan tertentu. Ia mesti dilakukan semuanya. Jika tidak, ia gagal memberi kesan.
3) Kehidupan itu satu, tidak berjuzu’ – juzu’.
Kehidupan adalah satu dan sepadu. Maka kehidupan tidak mungkin jadi baik jika Islam datang hanya untuk menyelesaikan sebahagian aspek sahaja seperti masjid dan kelas – kelas pengajiannya. Aspek – aspek lain ditinggalkan untuk disudahkan oleh mazhab, pemikiran dan falsafah manusiawi.
Mana mungkin Islam menguruskan masjid, sedangkan sistem manusiawi yang sekular menguruskan sekolah, universiti, radio televisyen, mahkamah, teater dan lakonan serta pasar dan jalan raya. Ringkasnya, kehidupan seluruhnya!
Begitulah juga jika hanya urusan rohani sahaja diselia oleh ugama, manakala urusan fizikal, akal dan emosi manusia pula diseliakan oleh negara tanpa ugama, ia pasti gagal.
Manusia itu satu yang tidak boleh dijuzu’ -juzu’kan. Begitulah kehidupan.
Bahkan semua falsafah, ideologi dan fahaman revolusi dan perubahan di dalam sejarah lalu dan juga dunia hari ini menyaksikan bagaimana mereka memiliki acuan pandangan yang menyeluruh. Justeru mereka menolak untuk membelah – belah kehidupan. Mereka tidak hanya menguasai sebahagian dan membiarkan yang lain. Bahkan mereka menguasai semuanya dan mendorongnya kepada falsafah dan ideologi masing – masing.
( Saya teruskan ringkasan buku bacaan saya ini selepas terhenti seketika disebabkan kesibukan menghadapi pilihan raya umum baru – baru ini. Semoga ia menjadi ilmu yang segar untuk dihayati pembaca di blog ini. )
Bab Kedua
Hubungan antara agama dan politik di sisi ulama Islam dan golngan sekular
Apabila kita telah pun memahami maksud ad din dan as siasah sebagaimana di atas, maka bolehlah kita memahami hubungan antara kedua -duanya.
Adakah kedua – duanya saling bertentangan sehingga tak boleh bersama, atau saling berkaitan sehingga tak mungkin dipisahkan antara kedua – duanya, atau lebih merupakan hubungan persefahaman dan persepakatan sebagaimana berpakatnya dua individu yang berbeza fahaman untuk saling hidup bersama?
Pandangan golongan sekular
Golongan ini tidak melihat selain pertentangan dan pemisahan. Agama satu perkara, manakala politik adalah musuhnya. Sumber, tabiat dan tujuan saling berbeza. Agama itu daripada Allah, manakala politik adalah daripada manusia. Agama adalah suci manakala politik adalah kotor. Maka sayugialah ugama dibiarkan untuk ahlinya manakala politik untuk ahlinya jua.
Mereka menolak pemikiran kesyumulan dan kesempurnaan Islam. Mereka mahu akidah tanpa syariat, ibadat tanpa muamalat, dakwah tanpa daulah dan kebenaran tanpa hak.
Mereka ini akhirnya telah membentuk kesan pemikiran dan tindakan bahkan terus menjadikannya tumpuan mereka, antaranya:
1) Mengingkari fikrah kesyumulan Islam.
2) memisahkan ugama daripada politik dan begitulah sebaliknya.
3) Mencerca para pendakwah kepada pelaksanaan syariah Islamiyyah dengan tohmahan dan gelaran ‘Islam politik’.
4) Mendakwa ugama mengikat politik dengan teks nas – nas yang tidak selari dengan maslahat dan kepentingan umat. Justeru umat akan hilang kebaikan yang banyak.
5) Menumpukankan perbahasan mengenai politik antara kejumudan dan kemajuan.
Kita akan membincanginya pada fasal seterusnya, insya Allah.
Salam Kamunting,
Saya telah selesai melakukan intisari terhadap bab pertama daripada buku asy Syaikh Doktor Yusuf al Qaradhawi, Agama dan Politik ( ad din wa as siasah ) yang saya bahagikan kepada 7 siri. Saya melakukannya berdikit – dikit hasil pembacaan dan ruang masa lapang saya itu selama 5 bulan juga lamanya.
Walaupun kadang – kadang agak sukar juga untuk memilih isi – isi yang terpenting daripada buku yang penuh berisi itu, ianya tetap memberikan keseronokan tersendiri kepada saya. Ia menjadi kejap di ingatan saya dan semakin padu kefahaman saya mengenai politik.
Bab pertama daripada 5 bab itu adalah berkisar pengenalan terhadap makna agama dan politik di sisi ulama dan cendekiawan, muslim dan bukan muslim. Penyelongkaran terhadap penggunaan istilah ugama, juga politik khususnya oleh ulama terdahulu telah mencetus rasa kesegaran tersendiri di dalam usaha penggiat politik untuk memahami dengan tekun apa yang termakna di dalam medan siasah cara Islam yang diistilahkan sebagai as siasah asy syar’ieyyah ( politik syara’/Islam ).
Inilah permulaan yang diperlukan oleh setiap kita sebagai muslim yang dibebankan dengan tugas khilafah oleh Sang Pencipta yang mahukan kita mentadbir dunia ini mengikut kehendakNya dan melarang kita membiarkan musuhNya yang menderhaka untuk terus bermaharaja lela merosakkan dunia ini dengan hukum – hakam thaghut dan jahiliyah.
Apa yang menarik adalah kejelasan maksud politik di sisi ulama lampau yang memperjelaskan maksud sebenar daripada sejarah RasuluLLah dan para khulafa’ selepasnya. Politik adalah usaha dan tindakan yang dengannya manusia menjadi dekat kepada kebaikan dan jauh daripada kejahatan. Manusia sentiasa berselisih sesama sendiri demi merebut kebaikan. Perselisihan mencetus penghakiman. Penghakiman yang memberi kebaikan adalah Islam walaupun daripada mana datangnya. Penghakiman yang baik itu pula sukar sekali diperolehi kerana kekurangan semula jadi manusia untuk mengenal kebaikan yang menyeluruh kecuali apabila ia merujuk kepada tuhannya.
Di sinilah datang politik Islam memurnikan medan politik yang penuh kekacauan. Politik adalah ruang dan medan yang tak pernah kosong. Ia sentiasa penuh bahkan bersesakan dengan para pendekarnya. Semuanya karut kecuali pendekar Islam yang bersumberkan politik cara Islam.
Ertinya, hendaklah setiap kita memahami politik dan menjadi penekunnya, bukan sekadar pemerhati dan penonton. Politik membekalkan sejuta kebaikan dan keadilan kepada kehidupan manusia seluruhnya. Islam adalah ugama kebaikan dan keadilan.
Anda juga, melalui nukilan hadis al Rasul, athar dan kata – kata para sahabat, juga tulisan ulama lampau yang dipilih oleh Dr Yusuf al Qaradhawi akan mendapati betapa dekatnya perihal politik dan kehidupan dalam kotak pemikiran dan medan kerja mereka. Anda tak akan merasa terasing dan sendirian lagi di medan politik. Susah senang di medan penuh fitnah ini adalah juga susah senang yang telah lama mereka lalui dengan jayanya. Kita hanyalah penjejak jejak salaf.
Saya menyarankan pembaca yang budiman untuk tidak ketinggalan mengikuti siri – siri seterusnya. Sampai masanya asy Syaikh Doktor Yusuf akan menyapa kewujudan parti – parti politik Islam di seluruh dunia Islam hari ini, termasuk sebutannya mengenai kewujudan parti Islam di tanah air kita, Malaysia. Ia adalah satu hak umat Islam, katanya.
Seperti harapan yang saya sebut di awal usaha ini dulu, siri – siri ini adalah menjadi nilai tambah untuk blog saya ini. Saya harap kekurangan saya dibaiki dan disejukkan dengan isi – isi bernas yang dipetik daripada buku asy Syaikh tersebut.
Untuk bermula dari awal, sila klik kategori ‘buku’. Selamat membaca. Tiada rugi pada mengulangnya.
Siasah di sisi cendekiawan barat
Kita akan sempurnakan perbincangan ini dengan turut membincangkan walaupun sedikit mengenai maksud politik di sisi cendekiawan barat yang sedang menguasai dunia kini, khususnya di era hegemoni Amerika yang juga semacam memaksakan ilmu dan tamadun mereka untuk dianuti oleh seluruh dunia.
Kita tidak boleh mengabaikannya sekalipun kita menolak politik penjajahan dan tamadun penjajahan mereka. Kita beriman dengan kepelbagaian bangsa, ilmu, bahasa, ugama dan politik.
Mahu atau tidak, kita terpaksa akur bahawa sebahagian besar pertubuhan, majlis dan muassasah ilmiah dan pemikiran kita masih terkesan dengan barat sebagai rujukan. Kita banyak mengambil daripada mereka dalam kajian kita tentang sosial, kemanusiaan terutamanya dalam kajian politik.
Kita tumpukan kepada pentakrifan politik di sisi mereka.
Sebenarnya takrif politik di sisi barat saling berbeza berdasarkan haluan dan sudut pandang masing – masing. Politik di sisi golongan liberal tak sama dengan lawannya. Politik di sisi kapitalis yang menjulang hak individu tak sama dengan golongan sosialis yang menumpu kepada hak – hak masyarakat. Begitulah perbezaan yang dilihat di kalangan golongan komunis, ekonomi bebas dan selainnya.
Juga perbezaan yang dapat dilihat di antara golongan ugama yang jumud yang menganggap usaha menolak penyakit dan wabak sebagai menolak takdir tuhan dan golongan perubatan yang menyeru kepada pembaikan kesihatan awam. Malah kumpulan yang masih berpegang dengan kemuliaan akhlak dan ugama yang menentang kebebasan mutlak dan menolak penularan gelaja seks bebas tentunya cukup berbeza pentakrifan mereka mengenai politik dengan golongan yang menghalalkan segala – galanya demi melampiaskan kehendak nafsu buas manusia sehingga menerima perkahwihan sejenis dan pergaulan bebas yang di tolak oleh seluruh ugama.
Kami sebutkan di sini beberapa contoh:
1- Hans Murghantao (?) berkata: Politik adalah perbalahan demi merebut kekuatan dan kuasa.
2- Harold Laswil (?) berkata: Politik adalah kekuasaan dan penguasaan yang menentukan; Siapa menguasai apa? Bila? Dan bagaimana?
3- William Robson (?) berkata: Sesungguhnya ilmu siasah berteras kepada pengajian terhadap kekuasaan ke atas masyarakat, pengajian asas – asasnya, amalan praktiknya, tujuan dan natijahnya.
Semua takrif di atas berkisar mengenai kuasa dan kekuatan.
Jan Bari Dankan (?) mengupas dengan panjang lebar persoalan ‘apakah politik?’ dalam bukunya ‘Ilmu Politik’. Katanya, Penggunaan kalimah politik terbahagi dua iaitu penggunaan secara nau’ieyah dan bukan nau’ieyah ( tertentu dan bukan tertentu ). Bukan khas bermaksud penggunaan kalimah politik yang mudah ditukar dengan kalimah yang seerti dengannya. Contohnya:
1- Penggunaan kalimah politik dalam erti mengurus seperti politik (pengurusan) pengangkutan dan politik ( pengurusan) tenaga.
2- Penggunaan kalimah politik dalam erti strategi seperti politik (strategi) parti dan politik ( strategi ) kerajaan.
3- Penggunaan kalimah politik yang bermaksud penghinaan seperti berfikir secara yang kotor yang membawa kebencian. Ini biasanya dituju kepada seseorang untuk tujuan mencela perbuataannya seperti kata – kata ” Ini politiknya lah.”
Inilah yang saya faham daripada Al Imam Muhammad Abduh di mana beliau dikatakan pernah berkata ” Saya berlindung dengan Allah daripada politik.” Tetapi saya kurang cerap tentang kesahihan kata – kata ini daripadanya.
Dankan menyatakan bahawa penggunaan kalimah politik secara nau’ieyah pula hendaklah dibezakan antara politik dan perkara – perkara lain yang bercampur baur dengannya yang membawa erti yang berbeza seperti teknokrat, politik dan ekonomi dan politik dan akhlak.
Apapun, kalimah politik yang digunakan oleh barat adalah berkisar pada dua tujuan yang asas: Pertama, kekuatan dan penguasaan. Kedua, Kepentingan dan manfaat.
Pada pandangan Islam, tiada tegahan pada menuntut kekuatan tetapi hendaklah ia menjadi alat untuk mendukung kebenaran (al haq). Kekuatan bukan sebagai matlamat. Umat Islam selama – lamanya hendaklah bersama kekuatan kebenaran, bukan kebenaran kekuatan. Kekuatan apabila terpisah daripada kebenaran akan menjadi bahaya yang menggugat golongan yang lemah yang tiada upaya dan daya sebagaimana Allah Ta’ala menggambarkan kejahatan kaum ‘Aad dalam surah Fussilat:15 yang bermaksud:
” Adapun ‘Aad, mereka telah berlaku takabbur di muka bumi tanpa kebenaran. Mereka berkata, siapakah yang lebih kuat daripada kami? Tidakkah mereka lihat bahawa Allah yang menciptakan mereka itu lebih kuat daripada mereka? Dan mereka terus menentang ayat -ayat kami.”
Nabi Hud mengeluarkan mereka daripada kebejatan kekuatan dan menyeru kepada iltizam dengan kebenaran. Apabila mereka ingkar, Allah menghantar azabNya yang pedih.
Adapun kepentingan (maslahat), ia diterima pakai oleh syari’at Islam. Bahkan Allah tidak mensyari’atkan sesuatau hukum kecuali demi kepentingan hambaNya di dunia dan akhirat. Setiap masalah yang keluar daripada maslahat dan menuju kerosakan maka ia bukan daripada syari’at.
Al Maslahatul Mursalah iaitu sesuatu kepentingan yang tiada nas yang menerima atau menolaknya juga termasuk dalam salah satu daripada dalil – dalil syara’ yang diterima pakai, sebagaimana diterangkan oleh Imam Malik dan mazhab – mazhab lain juga.
Tetapi maslahat yang mengikat politik di dalam Islam dan juga percakapan barat itu bukanlah bererti setiap apa yang memberi kelazatan kepada manusia atau bermaksud pengumpulan kepentingan secara peribadi tanpa menghiraukan kerugian orang lain dan melanggar susila dan santun.
Bahkan syara’ menjelaskan maslahat yang dimaksudkan dan mengikatnya dengan matlamat – matlamat syariat yang menjaga ugama, nyawa, akal, keturunan dan harta sebagaimana akan dijelaskan nanti dalam tajuk ‘nas dan maslahat’.
Salam Kamunting,
Rasanya elok juga saya menyertai rakan – rakan daripada kalangan ustaz yang banyak menulis mengenai pendapat – pendapat ulama’ muktabar dalam hukum fiqh Islami bagi membantu dan mendekatkan khalayak pembaca mencapai jawaban dalam hukum agama mengenai sesuatu masalah.
Bezanya laman saya ini bukan laman fiqh Islami sebagai terasnya. Juga, saya sekadar menterjemahkan pendapat ulama’ sepenuhnya tanpa membuat perbandingan dan mengemukakan pendapat sendiri. Cuma, hukum itu adalah pilihan saya. Juga, saya pilih sesuatu isu berdasarkan apa yang saya fikir sesuai untuk umum mengetahuinya.
Maaflah ya, saya tidak bersedia untuk menjadikan laman ini sebagai ruang soal jawab fiqh hukum. Jadi, jangan tanya persoalan hukum jika anda merasa kecewa kalau saya tidak menjawabnya segera. Saya pilih apa yang sesuai untuk dijawab bergantung kesesuaian dan keluasan masa yang ada. Rujuklah ruangan soal jawab ugama yang lebih luas dan terkenal.
Hukum fiqh penuh perbezaan pendapat. Jadi, pendapat pilihan saya ini janganlah menjadi medan pertikaian yang tak perlu. Nak bahas juga, bincang di tempat lain. Saya menghormati semua pendapat yang bertentangan.
Oleh kerana saya terlalu terkesan dengan ketokohan Asy Syaikh Al Qardhawi dan kekuatan ijtihadnya, saya mungkin banyak menterjemahkan pendapat beliau. Berbeza dengan cara saya dalam muzakarah buku ‘ugama dan politik’ karangan beliau yang lebih berbentuk intipati dan ringkasan, saya terjemahkan sepenuhnya tulisan beliau. Ini kerana hukum fiqh berbentuk istidlal dan pendalilan yang amat terperinci dan halus. Saya bimbang ringkasan saya menjauhkan, tidak mendekatkan.
Cuma, saya mungkin membuat ulasan sendiri sekadar perlu di akhirnya. Semoga ada manfaatnya di neraca amal di akhirat nanti. WaLlahu a’lam.
Saya mulakan dengan hukum bertepuk tangan, bersorak dan bersiul.
Hukum bertepuk tangan, bersorak dan bersiul
Tepuk tangan:
Memukul dengan kedua – dua belah tangan yang menghasilkan bunyi yang didengari. Apabila diulang ia boleh menghasilkan bunyi yang tersusun. Dalam bidalan ada disebut, sebelah tangan tak menghasil tepukan ( Bertepuk sebelah tangan ).
Manusia bertepuk tangan dengan beberapa tujuan:
1) Memberi peringatan seperti apabila ingin memasuki rumah seseorang atau ingin mengingatkan tuan rumah atau ahlinya mengenai kehadirannya, lalu dia menepuk tangan.
Inilah yang warid dan datang dalam hadis yang membenarkan wanita yang menjadi makmum dalam solat jamaah ketika mahu mengingatkan imam yang tersalah untuk menepuk kedua tangannya dari belakang saf agar imam sedar dan kembali membetulkan.
Dalam Hadis sahih, ” Barang siapa yang ingin membaiki kesalahan dalam solat hendaklah dia bertasbih ( dengan berkata ‘subhanaLlah‘ ). Sesungguhnya apabila dia berkata demikian, imam akan berpaling kepadanya ( memberi perhatian ). Dan sesungguhnya bertepuk tangan itu adalah khusus untuk wanita.”- Hadis muttafaqun ‘alaihi ( Al Bukhari dan Muslim ) daripada Sahl Ibn Saad sebagaimana dalam Al Lu’lu’ Wal Marjan (243).
Dalam Hadis lain, ” Bertasbih adalah untuk lelaki, manakala bertepuk adalah untuk wanita.”. – Hadis muttafaqun ‘alaihi ( Al Bukhari dan Muslim ) daripada Abi Hurairah sebagaimana dalam Al Lu’lu’ Wal Marjan (1204). Maksudnya, ketika dalam solat.
2) Melahir kegembiraan seperti memukul dengan bantuan kompang atau alatan lain dengan alunan yang tersusun yang menghasilkan bunyi yang berimbang sebagaimana kita saksikan dalam lagu – lagu negara Teluk dan sebagainya.
3) Memuji dan memandang baik terhadap sesuatu perkara sebagaimana kita saksikan para penonton memberi tepukan tangan untuk penyair selepas mendeklamasikan sajak dan syairnya, atau tepukan untuk pemidato yang berjaya menyentuh emosi khalayak pendengar sehingga sebaik saja mereka menyudahkan ucapan, dewan terus bergema dengan tepukan dan sorakan puji – pujian daripada para hadirin.
4) Beribadah. Inilah yang telah dilakukan oleh golongan Arab Quraisy jahiliyyah dan seumpamanya dalam ibadah mereka di Masjidil Haram dengan bersorak dan bersiul. Dan Itulah perbuatan yang diingkari oleh Al Quran di dalam firman Allah yang bermaksud : ” Tiadalah solat/ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ dan tashdiah. ” Al Anfal: 35.
Al Qurtubi berkata: Berkata Ibnu Abbas: Masyarakat Quraisy jahiliyyah melakukan tawaf di Masjidil Haram dengan bertelanjang, bertepukan dan bersiulan. Pada pandangan mereka ia merupakan satu ibadat. Muka’ bererti bersiul, manakala tashdiah bererti bertepuk tangan. Itulah pandangan Mujahid, As Suddi dan Ibnu Umar.
Daripada Qatadah: Muka’ bererti bertepuk dengan tangan, manakala tashdiah bererti bertempik dan bersorak ( ini berbeza dengan pandangan oleh Mujahid tadi ).
Untuk tujuan yang pertama tadi, ia jelas harusnya di sisi syar’. Tiada siapa pun yang membantah. Untuk tujuan yang keempat juga jelas sekali pengharaman dan tegahan ke atasnya kerana ia merupakan pensyariatan ibadah yang tidak pernah diizinkan oleh Allah.
Hukum ini juga diterima pakai ke atas sesetengah golongan ahli sufi yang melakukan perbuatan tadi dalam amalan mereka. Ini seperti kata Al Qurtubi: Ini adalah jawaban ke atas golongan yang jahil daripada golongan sufi yang menari dan bertepuk dalam ibadah mereka. Ia adalah perkara mungkar yang ditolak oleh mereka yang berakal yang bersih daripada kekarutan itu. Pelakunya telah menyerupai/ tasyabbuh dengan perbuatan ibadah kaum musyrikin di Masjidil Haram.
Kami telah sebut pendapat Al ‘Izz Ibnu Abdus Salam dalam bicara hukum menari sekejap tadi ( dalam bukunya – pent ).
Hukum bertepuk dengan tujuan melahir kegembiraan dan memuji.
Berbaki dua perkara iaitu tujuan kedua dan ketiga perbuatan bertepukan seperti yang kami huraikan tadi iaitu dengan tujuan melahirkan kegembiraan dan keseronokan, juga untuk melahirkan rasa kagum dan memandang baik terhadap sesuatu perkara. Apakah hukum syar’ie dan apakah pendapat fiqh semasa mengenainya?
Hakikatnya, saya tidak menemui sebarang dalil yang muhkam dan kata putus daripada Al Quran dan As Sunnah mengenai pengharaman dan tegahan ke atas kedua – keduanya.
Mungkin sesetengah pendapat mengambil dalil daripada ayat dari ayat 35 Surah Al Anfal tadi yang bermaksud: ” Tiadalah solat / ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ dan tashdiah.”
Tetapi ini adalah pengambilan dalil yang bukan pada tempatnya. Ini kerana ayat tersebut adalah tertuju kepada mereka yang melakukan ibadat dengan cara bertepuk sedangkan di sini tujuannya lain yang tiada pengertian ibadah di dalamnya.
Mungkin juga sesetengahnya mengambil dalil daripada Hadis Nabi sallaLlahu alihi wasallam yang bermaksud: ” Sesungguhnya tepukan itu hanyalah untuk wanita.” Sudah nyata larangan lelaki menyerupai wanita. RasuluLlah sendiri telah melaknati lelaki yang menyerupai wanita.
Tetapi adalah jelas dan maklum bahawa hadis tadi warid dan datang khusus mengenai bertepuk di dalam solat. Maka ia tidak boleh menjadi dalil untuk menegah lelaki daripada bertepuk di luar solat. Inilah yang disebut oleh Al Imam Ibnu Hajar Al Haitami. Beliau juga menyebut bahawa larangan menyerupai wanita itu adalah pada perkara yang memang khusus untuk wanita ( seperti jenis pakaian, perhiasan dan seumpamanya – pent ) . Adapun bertepuk, ia bukan perkara khusus wanita sahaja.
Kata beliau: “Dan saya nyatakan di dalam Syarhul Irsyad bahawa ianya makruh… Yang paling sahih dalam perkara ini, ianya halal dan harus.”
Berbaki satu hujah iaitu perbuatan bertepuk adalah amalan bukan islamik. Ia adalah amalan orang barat yang telah dibawa masuk ke dalam masyarakat Islam. Kita dilarang menyerupai orang – orang bukan Islam.
Jawabannya: Sesungguhnya kita dilarang menyerupai mereka di dalam perkara – perkara khusus ugama mereka dan cara ibadat mereka. Adapun perihal duniawi, maka tiada sebarang larangan untuk kita meniru mereka apabila ia bebas daripada larangan syara’ atau kerosakan yang ditegah syara’.
Asy Syaikh Dr Yusuf Al Qaradhawi.
Terjemahan petikan daripada kitab ‘ Fiqhul Lahwi Wat Tarwiih’.
………………………………
Komentar: Saya lebih cenderung untuk menggalakkan hadirin menunjukkan kegembiraan dalam majlis – majlis tertentu dengan cara bertepuk tangan. Antaranya majlis anak – anak PASTI terutama hari penyampaian hadiah dan sukan PASTI. Tepukan memberi ransangan yang baik untuk membina jati diri anak – anak. Saya selalu menyaksikan kejayaan anak – anak tanpa diiringi suasana senyap tanpa tepukan. Sungguh memilukan!
Antaranya, majlis tertentu yang dihadiri khalayak umum termasuk bukan Islam. Ini lebih mengisyaratkan kemudahan dan kemesraan. Jika kita hanya tersenyum ketika mereka bertepuk, ia memberi isyarat perbezaan pada ciri – ciri muslim yang tidak perlu.
Adapun majlis ugama dan politik Islam, laungan takbir tiada penggantinya. Pas melaksanakannya dengan penuh pujian. AlhamduliLlah.
Jadi, jangan segan bersorak, bertepuk dan bertakbir pada himpunan rakyat 100 ribu nanti!! WaLlahu a’lam.
Komen Terbaru