You are currently browsing the category archive for the ‘Ibrahim’ category.
i)
Pada pertengahan bulan Mac 2011 baru-baru ini, saya telah berlepas ke tanah suci Mekah dan telah selamat mengerjakan ibadah umrah bersama rombongan program Umrah Tarbawi anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat yang diketuai Ketua Pemudanya, Ustaz Nasrudin bin Hassan Tantawi. Seperti biasa, rombongan kami juga telah menziarahi masjid nabawi di tanah suci Madinah. Program selama dua minggu yang disertai oleh hampir enam puluh orang peserta itu telah mencapai matlamat dan kejayaan sebagaimana dirancangkan.
Ibadah sunat umrah adalah ibarat kembar kepada ibadah haji yang difardhukan ke atas setiap muslim. Ia samalah seperti kembarnya ibadat solat sunat kepada kefardhuan solat lima waktu atau ibadah bersedekah kepada kefardhuan ibadah zakat atau ibadah puasa sunat kepada kefardhuan puasa di bulan Ramadhan. Kesemuanya menambahkan kehangatan setiap muslim untuk melaksanakan ibadah rukun-rukun Islam yang lima itu dengan penuh adab dan khusyu’.
Seperti ibadah haji, ibadah umrah memestikan seorang muslim itu berangkat ke tanah suci menuju kaabah, rumah pertama yang dibina untuk ibadah kepada Allah. Dia mestilah berniat ihram dengan kaum lelaki hanya memakai kain putih tanpa jahitan, tidak melakukan beberapa pantang larang tertentu, tawaf di kaabah, saie di antara bukit Safa dan Marwah seterusnya menyudahkan ibadah unik itu dengan melakukan tahallul dengan menggunting atau mencukur rambutnya.
Allah menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang melaksanakan ibadah umrah. Ia menghapuskan dosa-dosa lepas selain ia begitu kuat dan kudus untuk membersih dan membina kembali hati dan iman setiap muslim dengan semangat untuk mengubah diri kepada lebih baik sekembalinya ke tanah air.
Pensyariatan ibadah haji dan umrah adalah penuh dengan hikmah ketuhanan. Melalui ibadah ini, umat Islam akan dipancarkan secara langsung dengan sejarah umat tauhid yang memanjang daripada kisah penerokaan awal nabi Ibrahim ribuan tahun yang lalu serta isteri dan anak kecilnya alaihimussalam ke atas bumi Mekah. Perjuangan besar baginda menegakkan tauhid dan menolak ketuhanan berhala dan syirik yang telah banyak menyesatkan umat manusia sepanjang zaman akan membuka minda dan menambat hati setiap muslim untuk menginsafi dan mensyukuri kelebihan menjadi seorang muslim yang benar.
Samada di Mekah atau Madinah, iman setiap muslim menjadi bertambah hangat apabila melihat kesan sejarah peninggalan sirah al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam yang menjadi rasul terakhir dari langit yang menyahut doa tertangguh ribuan tahun nabi Ibrahim agar zuriatnya diselamatkan Allah melalui perutusan seorang rasul agung yang akan menyinari alam dengan risalah tauhid dan iman. Seorang peserta umrah memberitahu saya, sepanjang berada di Masjidil Haram, beliau telah sempat menghabiskan buku sirah ‘Fiqhul Harakah’ karangan Tuan Guru Dato Haji Abdul Hadi Awang. Beliau menjelaskan betapa terkesannya dirinya apabila mampu merasa-rasakan kehadiran RasuluLlah melalui kisah-kisah sirah baginda yang dipaparkan melalui buku tersebut.
Di antara kelebihan lain yang paling dirasai oleh pengunjung BaitiLlah al Haram yang datang dari seluruh pelusuk dunia ialah suasana kesatuan umat Islam yang diikat kukuh oleh kesatuan tauhid dan kiblat. Penghayatan terhadap kelebihan ini sebenarnya mampu menjadi pemangkin yang paling berkesan untuk umat Islam melangkah lebih gagah di dalam membina kembali kekuatan mereka yang telah hilang dek kealpaan sendiri.
Begitulah seimbas hikmah pensyariatan ibadah haji dan umrah. Allah memaksa kita meninggalkan tanah air, keluarga dan kesibukan diri menjalani kehidupan duniawi untuk mengosongkan masa sepenuhnya berteleku di depan kaabah menghitung kembali kehidupan yang penuh cubaan dan cabaran yang mungkin menghijab kita daripada melihat kehidupan lebih baik yang telah dijanjikan Allah untuk umat terbaik ini.
ii)
Rombongan kami disebabkan kelewatan mendapatkan visa umrah telah terpaksa menukar jadual penerbangan dan terpaksa melalui Bangkok dan Kaherah sebelum masuk ke Jeddah. Ia agak memenatkan dan saya sendiri disapa demam dek kejutan udara sejuk walaupun hanya sepuluh jam berada di Kaherah.
Dunia arab sedang melalui tempo perubahan politik yang begitu tegang dan panas. Perubahan demi perubahan yang sedang mengasak hari ini melalui kebangkitan rakyat menentang pemerintah mereka nampaknya akan menjadi petanda ke arah kehidupan dan kemajuan tamadun arab dan Islam yang lebih baik. Sebelum ini, negara-negara arab dilihat begitu beku, lemah dan degil sehingga umat Islam seluruh dunia gagal memberikan keyakinan dan harapan kepada mereka untuk memimpin kebangkitan.
Semasa singgah di Mesir walaupun sekejap, sekilas mendengar perbualan rakyatnya daripada pekerja-pekerja di lapangan terbang Kaherah sehinggalah peniaga kedai kopi di tepi masjid Husain di sebelah universiti al Azhar, saya dapat mengagak betapa rakyat Mesir yang terkenal berani telah menjadi semakin berani dan yakin. Beban puluhan tahun ditutup mata dan telinga dan ditekup mulut nampaknya gagal menjadikan hamba pemerintahan kuku besi kebangsaan arab sebagaimana Firaun berjaya memperhambakan Bani Israel di dalam sejarah Mesir kuno melalui tekanan dan penindasan yang berterusan.
Saluran-saluran tv negara arab dan akhbarnya pula nampaknya berlumba-lumba untuk menjadi jaguh kepada perubahan yang berlaku. Mereka 24 jam melaporkan segala perkembangan politik terutamanya di Libya, Yaman, Bahrain dan terbaru di Syria. Malah, mereka seperti menjadi pendorong kuat kepada apa-apa saja perubahan tsunami politik yang sedang melanda dunia arab sekarang.
Negara Arab Saudi kelihatannya berjaya mengawal kemarahan rakyatnya daripada merebak walaupun berlaku perhimpunan kecil menuntut perubahan. Walaupun begitu, Raja Abdullah nampaknya berusaha keras meredakan penularan kebangkitan rakyat di dunia arab dengan melakukan beberapa pembaharuan ekonomi dan politik. Ia mungkin bersifat kosmetik, tetapi sepertilah di negara kita Malaysia, negara Arab Saudi yang lebih mengecapi keharmonian dan kestabilan ekonomi berbanding negara-negara arab lain mungkin selamat untuk tempoh tertentu daripada ancaman kebangkitan rakyat.
Perubahan didorong oleh tindak balas terhadap kezaliman yang melampau dan berterusan. Seperti kata hukama kita, pemerintahan itu boleh kekal bersama kekufuran, tetapi ia tidak mungkin kekal bersama kezaliman. Negara-negara barat yang kufur lebih menikmati kestabilan dalam politiknya kerana keadilan yang diusahakan mereka. Tetapi mereka juga akan rebah suatu hari nanti kerana pastinya tiada kezaliman yang lebih besar selain menolak ketuanan Allah di muka bumi ini. Kerana itu, kita umat Islam diutuskan untuk membawa keadilan sejati dan benar dan kita dijanjikan kemenangan yang sejati.
Salam Palestin,
Jikalah musim haji itu hanya menjadi milik jutaan para bakal haji, milik para hujjaj yang kini sedang mara menuju kaabah, baituLlah al haram untuk menyempurnakan manasik al haj beberapa hari lagi itu, maka apa perlu kita menyambut hari raya haji?
Apa erti hari raya haji atau eid al adhha kalau tidak kerana musim haji juga adalah milik kita, milik bilionan umat Islam di seluruh dunia jua?
Haji milik mereka, khususnya pemilik haji yang mabrur. Adapun musim haji, ia adalah milik semua. Allah jadikannya untuk semua hamba – hambaNya yang mencariNya di dunia yang gelap dan kelam ini.
Musim haji bukan sekadar saat cahaya yang memancar – mancar dari kaabah, atau suara memanggil – manggil dari tanah al haram, bahkan ia bagai lorong terhampar permaidani daripada jaluran warna – warna pelangi yang bersinar buat perjalanan indah seluruh umat Islam menuju Allah yang esa.
Rasainya sekarang, kerana ia telah pun bermula semenjak 1 Zulhijjah lagi, dan ia akan terus bersinar sehinggalah 10 Zulhijjah. 10 hari yang sempurna. Itulah sebaik – baik hari dalam setahun. Itulah gandingan 10 malam terakhir di bulan Ramadhan, sebaik – baik malam dalam setahun. Kecapilah kesyahduannya hari ini sebagaimana anda sering rasainya di malam – malam hujung Ramdhan al mubarak.
Maksud hadis sahih riwayat asy syaikhan daripada Ibni Abbas,sabda RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam; “Tiada satu hari pun yang segala amalan soleh di dalamnya lebih disukai Allah lebih daripada amalan soleh yang dikerjakan di dalam hari – hari 10 ini ( iaitu 10 hari pertama Zulhijjah ). Lalu baginda ditanya; Sehinggakan berjihad wahai RasulaLlah? Baginda mejawab; Ya, walaupun berjihad, kecualilah seorang lelaki yang keluar dari rumahnya dengan diri dan hartanya ke medan, lalu beliau tidak lagi pulang ( mati syahid ).”
Allah menghadiahkan kita dengan perayaan kedua iaitu eid al adhha atau hari raya korban bersempena dengan peristiwa agung pengorbanan besar yang ditunjukkan datuk kita nabi Ibrahim demi menggapai semi cinta Allah yang murni. Peristiwa ini adalah antara manasik haji akhir para hujjaj di kota Makkah yang dilaksanakan sebagai mengingati apa yang telah dilakukan oleh datuk kita itu. Allah lalu memperkenankannya untuk diingati oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia agar cerita pengorbanan demi menagih cinta tuhan itu terus hidup di dalam sanubari umat Islam.
Pipi si anak tersayang disembam ke bumi lalu pisau diangkat sambil leher dilurut demi melaksanakan upacara penyembelihan agung! Lalu Allah berseru, “Wahai Ibrahim, sungguh engkau telah membenarkan mimpimu itu..” Allah menerima cinta Ibrahim, lalu “Dan kami menebusnya dengan sembelihan (kibasy) yang agung.” – Ash shaaffaat; 22-27
Mengingati cerita agung ini tidak akan sempurna sehinggalah kita membongkar kisah datuk kita nabi Ibrahim alaihissalam yang memulakan sejarah kota Makkah. Jika anda melihat dan memerhati manasik al haj, anda tidak mungkin mampu menghayatinya sehinggalah anda memahami sejarah perjuangan datuk kita itu.
Datuk kita, sepertilah nabi kita, Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam adalah ikutan yang sempurna;
Maksud firman Allah; Sesungguhnya untuk kamu pada Ibrahim dan mereka yang bersamanya adalah menjadi ikutan yang baik..” – al Mumtahanah;4
Demikian ringkasan yang harus kita hayati daripada pensyariatan ibadah haji. Janganlah kita menduga bahawa perihal haji itu hanya milik para bakal haji sahaja. Bahkan Allah tidak pernah mengabaikan keindahannya buat seluruh hambanya yang beriman untuk mengecapi kemanisannya.
Bersama menyelongkar hikmat haji, bersama menghidup 10 hari di bulan Zulhijjah dengan amalan – amalan solehah dan Selamat Hari Raya Haji al mubarak.
Salam Kamunting,
Datuk kita, Ibrahim ‘alaihissalam adalah seorang rasul. Baginda diutuskan ke bumi oleh Allah taala ribuan tahun yang lampau, satu jarak masa yang panjang yang penuh teka teki dalam mengenal sejarah ketamadunan manusia. Pengkisahan al Quran tentang datuk kita ini begitu banyak membantu pengkaji sejarah mengenali perjalanan kehidupan dan tamadun manusia sebelum dan selepasnya.
Salah satu mukjizat al Quran adalah sejarahnya yang benar, hidup dan sarat pedoman.
Bukanlah perjalanan datuk kita itu sealkisah dengan perjalanan sejarah cucunya Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Nabi Ibrahim sampai wafatnya hidup tanpa penyokong yang ramai. Berbeza sekali dengan cucunya yang agung, nabi kita yang mana di Hajjat al wada’ di hujung hayatnya telah berjaya untuk bersama lebih 100 ribu sahabatnya yang bersiap siaga menggempur demi dakwah dan perjuangannya.
Datuk kita pernah membisikkan pada isteri kecintaannya bahawa tiada di dunia yang menyembah Allah yang esa hari ini selain hanya mereka berdua! Ah, bagaimana mampu dibayangkan kemuliaan datuk kita ini apabila Allah memilih mereka berdua untuk bercerita mengenai manusia seluruhnya pada masa itu. Inilah seorang insan yang berjalan di bumi dan Allah hanya memerhatikannya tanpa jutaan manusia yang lain.
Jutaan manusia adalah buih dan sampah yang hanyut dan hilang, sedang datuk kitalah yang kekal dan berguna untuk menyambung hayat manusiawi. Syirik adalah kebatilan yang sifatnya adalah lenyap tanpa kesan. Tauhidlah yang kekal berguna buat kehidupan manusiawi.
Allah menguji datuk kita dengan pelbagai ujian dan Allah meluluskannya dengan izin dan kekuatanNya jua. Dalam hidup tanpa pengikut dan pendukung yang ramai, baginda dilantik oleh Allah menjadi imam kepada seluruh manusia.
Baginda diuji untuk mendepani ayahnya, pengukir dan penjual patung berhala. Baginda diuji untuk berhadapan dengan raja Namrud yang maha zalim. Baginda juga dicampakkan ke lubang api yang besar. Pelbagai ujian melanda baginda sehinggalah ia memuncak dengan sebuah pengorbanan yang tak terfikir oleh kita apabila Allah menuntutnya menyembelih anak kecintaannya sendiri, Ismail alaihis salam.
Baginda tanpa ragu dan syak telah melaksanakannya dengan jayanya. Datuk kita adalah hamba Allah yang agung.
Allah sentiasa memuji datuk kita dengan puji – pujian yang menghangatkan iman di dada untuk kita terus mencontohinya. Allah berfirman:
“Sesungguhnya untuk kamu adalah contoh yang baik pada diri nabi Ibrahim dan orang – orang bersamanya ketika mana mereka berkata kepada kaum mereka, sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah. Kami kufur terhadap kamu dan nyatalah perseteruan dan kebencian di antara kami dan kamu..” – al ayat (al Mumtahanah:4).
Banyak – banyak pedoman daripada datuk kita Ibrahim alaihissalam, pernyataan tauhidlah yang paling utama. Sesungguhnya semua cerita mengenai Ibrahim adalah pedoman yang akan menyuluhi hidup kita.
Ibadah haji adalah kefardhuan yang dikaitkan dengan sejarah agung datuk kita. Di musim haji, para jemaah haji akan diajak mengenang pengorbanan hebat datuk kita. Sementara kita di tanah air tidak dibenarkan selain untuk bersama mengingati datuk kita juga. Hari raya korban adalah kisah Ibrahim alaihissalam yang berjaya melepasi ujian agung tuhannya.
Jika anda mengikuti sirah datuk kita, kita akan menemui beberapa pedoman yang hebat, antaranya:
1) Berani 2) Sentiasa mencari kebenaran 3) berkata benar 4) tidak menghiraukan hiruk pikuk kata nista dan persepsi buruk manusia 5) sabar 6) bertaubat 7) tidak mengharap pujian manusia.
Hari ini adalah hari terakhir kita berhari raya korban. Marilah bersama mendukung ajaran nabi Ibrahim alaihissalam.
Jangan takut berkata benar. Jangan hirau persepsi manusia. Jangan takut kehilangan jika berganti kebenaran. Sentiasa mengajak manusia menginsafi kebenaran dan menikmati manisnya.
Jika anda ditanya, tak takut kalahkah? Jawablah, Islam adalah kemenangan. Jika Islam, ia takkan kalah!
Komen Terbaru