You are currently browsing the monthly archive for Ogos 2012.
Mimpi Merdeka
Kita berjaya keluarkan mereka dari negara kita kerana kita ingin merdeka daripada dunia barat.
Mereka berjaya keluarkan al Quran daripada kita kerana mereka ingin merdeka daripada umat Islam.
Kita isi kemerdekaan kita dengan telunjuk penjajah agar kita maju seperti mereka.
Mereka isi kemerdekaan kita dengan warna mereka agar kita rabun melihat warna warni kemajuan tamadun kita sendiri.
Semalam kita bangga melihat diri kita. Semalam mereka bangga melihat mereka dalam diri kita.
Hari ini, kita terjaga daripada mimpi merdeka 55 tahun.
Hari ini, mereka sedar kita bukan lagi mimpi mereka.
Kita umat al Quran, umat pilihan, umat terbaik dan umat kejayaan.
Kita diutus memerdekakan manusia daripada kejahatan manusia dengan mengabdi diri pada tuhan yang esa.
Selamat menyambut hari kemerdekaan negara.
Islam pasti menepati janji. Janji adalah janji Tuhan.
Syeikh Dr Solah Abdul Fatah al Khalidi menyebut hadis ini sebagai SAHIH, merujuk kepada tahqiq kitab di bawah. Mari memahami..
روى إسحاق وأحمد بن منيع عن معاذ بن جبل رضي الله عنه، عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال:
ألا إن رحى الإسلام دائرة، فدوروا مع الكتاب حيث دار، ألا وإن السلطان والكتاب سيفترقان، فلا تفارقوا الكتاب، ألا إنه سيكون عليكم أمراء، إن أطعتموهم أضلوكم، وإن عصيتموهم قتلوكم! قالوا: فكيف نصنع يا رسول الله؟ قال: كما صنع أصحاب عيسى بن مريم.. حملوا على الخشب ونشروا بالمناشير! موت في طاعة الله خير من حياة في معصية الله!!
ــ (المطالب العالية بزوائد المسانيد الثمانية لابن حجر تحقيق الأعظمي ، 4: 267-268).
“Ketahuilah, sesungguhnya roda Islam terus berpusing (berdepan penentangan musuh). Maka hendaklah kamu berpusing bersama al kitab (al Quran) di mana saja ia berpusing.
Ketahuilah, sesungguhnya penguasa dan al kitab akan berpisah. Maka janganlah kamu berpisah daripada al kitab (al Quran).
Ketahuilah, suatu masa kamuakan diperintah oleh para penguasa yang jika kamu taati mereka, mereka akan sesatkan kamu. Jika kamu melawan mereka, mereka akan membunuh kamu.
Sahabat bertanya: Ya RasulaLlah, bagaimana harus kami lakukan saat itu?
Baginda menjawab: Jadilah sepertimana pengikut-pengikut nabi Isa alaihissalam. Mereka dipasung pada tiang-tiang dan dihiris dengan gergaji (tetapi mereka kekal beriman dan menolak taat pada penguasa). Mati di jalan Allah adalah lebih baik daripada hidup dalam maksiat kepada tuhan pencipta.”
Ini sebuah hadis yang indah. Ia pesanan jelas daripada baginda al Rasul صلى الله عليه وسلم agar umatnya
1) Terus bersama dan berpegang pada al Quran di saat para penguasa negara mula mengikut nafsu dan meninggalkan pengajaran al Quran.
2) Sanggup mati demi mempertahankan hak untuk berlindung hidup dengan al Quran.
3) Kehinaan hidup dalam maksiat dan kemuliaan mati dalam perjunagna di jalan Allah.
Semoga Allah memuliakan kita dengan perjuangan Islam.
(Hadis ini walau bagimanapun menerima kritikan pada sanadnya. Ada yang melihatnya sebagai hadis Dhaif. والله اعلم )
Tazkirah Ramadhan 30 saat (12)
Ramadhan adalah sebuah madrasah tarbiah ruhiyyah dari langit. Tempoh pengajiannya sebulan. Hari ini kita hampir menyempurnakannya. Adakah kejayaan menyempurnakan bilangan dan tempoh pendek itu diiringi kejayaan memperolehi ijazah dari Allah? Itulah harapan setiap kita.
Pakaian graduasi bercirikan tiga sulaman yang indah; Rabbaniah, insaniah dan menyebar kebaikan dan menentang kemungkaran.
Adapun rabbaniah (الربانية), maka ia adalah niat yang ikhlas pada ibadah puasa di siang hari. Tidak makan, tidak minum, tidak menyetubuhi isteri dan tidak mendekati syahwat dan maksiat. Hanya Allah yang tahu. Walaupun boleh disembunyikan daripada manusia, kita tetap bertahan demi arahan Allah.
Inilah sulaman yang paling indah. Ikhlas dan fokus menuju keredhaan Allah. Kita telah banyak belajar memahami ikhlas. Manusia tak diperlukan, hanya Allahlah tumpuan utama. Al Shomadiyyah (الصمدية)
Adapun sulaman insaniah (الانسانية), maka ia terpancar pada islah diri menuju Allah dan islah diri dalam kehidupan bermasyarakat. Puasa adalah kenderaan menuju taqwa. Dengan taqwa, jalan menuju Allah terbentang jelas. Hati menjadi medan islah, pembaikan dan pembinaan, bukan lagi pembinaan luaran dan fizikal yang sementara, menggoda dan palsu. Manakala hati menjadi mulia dan bersih, ia memancarkan sifat-sifat terpuji dan budiman.
Ia mencintai kehidupan kurniaan Allah. Ia menjadi pemurah dan ingin berbakti kepada kehidupan dan masyarakat. Maka ia melihat peranannya yang besar membina kemanusiaan yang sebenar. Maka kebaktian menjadi tarikannya. Ringan tulangnya membantu dan memberi kepada masyarakat dan seluruh kehidupan.
Inilah sulaman yang mengagumkan. Islah diri menuju Allah dengan berbakti kepada kehidupan adalah kelahiran baru manusia. Manusia yang jarang dilihat, tetapi sayugia sekali lahir hanya dari madrasah ini.
Adalah sulaman menyebar kebaikan dan menentang kemungkaran (نشر الخير ومجاهدة الشر), maka ia adalah matlamat kebangkitan umat nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Umat diutus untuk amar makruf dan nahi mungkar. Sifat rabbaniah dan insaniah di atas menjadi pakaian yang sesuai untuk umat nabi menjadi saksi kekuatan mereka melaksanakan tugas dan amanah agung khilafah di muka bumi. Bulan Ramadhan bagai lampu terang benderang menyuluhi kehebatan umat Islam ini.
Itulah taqwa yang didamba di bulan ini. Taqwa adalah asas islah, pembinaan dan kebangkitan umat manusia. Dan ia hanya milik umat Muhammad صلى الله عليه وسلم.
Taqwa adalah melaksanakan arahan dan menjauhi larangan. Ahli taqwa akur pada kebenaran dan al haq lalu menunaikannya, menolak kemungkaran dan menjauhinya. Mereka takutkan Allah, tuhan yang tiada satupun yang tersembunyi daripadaNya.
Ahli taqwa bekerja dan beramal dengan kitab Allah. Mereka menghalalkan dan mengharamkan mengikut kata al Quran. Mereka tidak mengkhianati amanah, tidak rela dalam kehinaan, tidak derhaka dan tidak memutuskan hubungan, menyambung orang yang memutuskan, tidak menyakiti jirannya dan memaafkan orang yang menzalimi diri mereka. Kebaikan diharapkan daripada mereka manakala kejahatan tiada datang daripada mereka.
Begitulah cerita taqwa. Hanya orang beriman memiliki sifat ini. Begitulah Ramadhan, sebuah madrasah intensif dengan silibus suci daripada langit. Semoga kta semua lulus cemerlang.
Selamat Hari Raya Eidul fitri..
Ada Hudud Di Malam Lailatul Qadr
1) Hukum jenayah Hudud dibezakan daripada hukum jenayah yang lain kerana sebutannya secara jelas di dalam al Quran. Ia tiada campur tangan akal manusia bagi menentukannya demi kemaslahatan dan kebaikan manusia. Ia hukuman langsung daripda Allah.
Oleh kerana agama itu adalah demi kemaslahatan manusia, maka sebutan hudud yang jelas di dalam al Quran memberi makna bahawa hukum hudud itu penuh dengan kebaikan dan kemaslahatan untuk manusia di dunia dan akhirat.
Ini adalah iman orang yang beriman kepada al Quran. Kejelasan kebaikan dan kemaslahatan hukum itu mungkin dilihat melalui penjelasan al Quran sendiri, ataupun dibiarkan saja manusia menerokainya degan akal mereka agar pengkajian dan pengamatan itu menjadi satu kecantikan dalaman dan ibadah berfikir yang menyeronokkan dan menenangkan iman.
Justeru penjelasan mengenai hukum hudud akan menghasilkan suatu yang pasti iaitu keindahan hukum jenayah Islam. Tiada sebarang pernyataan al Quran terhadap sesuatu kecuali telah ditemui ketepatan, kebenaran dan kebaikannya untuk kehidupan manusia.
Walaupun ramai yang masih gagal melihatnya, tetapi telah terbukti semakin ramai pula yang mula melihat kembali kegelojohan awal dan akhirnya, akur dengan kehebatan hukum Islam yang sentiasa memperagakan kesyumulan, kesempurnaan, kesederhanaan dan kehadirannya di zaman moden ini, bahkan di sepanjang zaman.
2) Perlu difahami bahawa segala hukum Allah di dunia adalah untuk mendidik dan mengembalikan manusia kepadaNya dengan taubat. Jika dia tetap enggan kembali dan taubat, maka hukum tersebut berguna untuk orang lain meneladani dan menginsafinya. Kesakitan di dunia bukan kesakitan di akhirat. Di dunia, kita menjadi sedar dan insaf, lalu kembali. Di akhirat nanti, hukuman dan kesakitan sudah tidak berguna lagi. Tiada lagi pintu taubat.
Hatta kejadian bala tuhan di dunia seperti tsunami dan gempa, ia masih menonjolkan kebaikan agar manusia kembali kepada Allah dan tidak lalai. Begitulah hukuman Allah ke atas sesuatu, contohnya hukum hudud yang disebut jelas oleh Allah di dalam al Quran, ia mengandungi seribu hikmat demi kemaslahatan dan kebaikan manusia di dunia dan akhirat juga.
Perhatikan sebagai contoh, dunia tahu bahawa arak dan zina adalah satu keburukan yang besar yang mengundang pelbagai masalah masyarakat dan kehidupan. Tetapi manusia barat dan dunia bukan Islam gagal menyekatnya kerana nafsu yang tak terhalang. Justeru mereka membiarkannya, bahkan berusaha menjustifikasikan kebaikannya dengan pelbagai nama, lambang dan helah. Tetapi lihatlah kerosakan yang berlaku kerana keduanya tidak dapat dibendung lagi. Manusia hilang keturunan, maruah, akal dan sering berperang dek hati menjadi keras kerana fungsi akal yang kalah kepada gejolak nafsu.
Allah mengetahui kesukaran manusia membendung penyakit ini. Dengan iman kepada keburukannya sekalipun, umat Islam akan tetap berselisih mengenai hukuman ke atasnya. Di situlah al Quran campur tangan dengan menetapkan beberapa hukum dan hukum itulah dinamakan hudud.
Zina yang jelas dan cukup bukti sebagaimana tuntutan al Quran dihududkan. Zina yang samar pembuktiannya dihukum takzirkan, iaitu diserah kepada undang-undang negara dan hakim memutuskannya. Apabila hudud terlaksana, pesalah yang dihukum dan masyarakat yang melihatnya akan merasai hukuman Allah sedang berlaku dan saat itu, ketakutan dan hubungan dengan ugama menjadi hidup dan segar di dalam sanubari dan jiwa yang beriman. Mereka tidak berdendam dan kecewa kerana mahkamah hanya melaksanakan ketetapan tuhan yang maha adil dan penyayang.
3) Berbalik kepada dakwah dan seruan kepada hukum hudud, ia perlu difahami melalui beberapa dimensi;
Pertama, ia adalah satu kewajiban agar masyarakat Islam kembali kepada hukum Allah. Ia dinyatakan secara jelas di dalam al Quran bahawa umat Islam tiada pilihan lain ke atas sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah. Sebarang perlanggaran merupakan perlanggaran terhadap iman dan merosakkannya.
Justeru menyeru pemerintah Islam agar melaksanakan hukuman Islam adalah kewajiban umat. Ia adalah pernyataan dan tanda iman seseorang kepada kekuasaan Allah. Pemerintah dan umat adalah berdosa jika mereka saling menyembunyikannya, malah melebihkan hukuman akal manusia ke atas hukum Allah.
Kedua, ia adalah demi kemaslahatan dan kesejahteraan negara yang ditimpa pelbagai masalah kronik disebabkan jenayah masyarakat yang tak terbendung seperti zina, curi, arak dan lain-lain. Ia bukan hanya merosakkan ugama, bahkan masyarakat hidup dalam ketakutan akibat jenayah curi, rompak, bunuh, buang bayi dan pelbagai lagi yang begitu menular.
Telah terbukti di dalam sejarah perlaksanaan undang-undang sepanjang zaman, hukum hudud Islam dapat menyelesaikan masalah masyarakat dengan mudah, konsisten dan membina sekali.
Justeru perlu difahami bahawa seruan kepada perlaksanaan hukum hudud adalah satu jalan terbaik ke arah pembinaan sebuah negara moden yang lebih dinamik dan harmoni untuk semua lapisan masyarakat.
Ketiga, ia adalah sejajar dan bersekali dengan kewajiban seruan kembali kepada Islam yang syumul dan sempurna. Keadilan dan kehebatan Islam hanya terserlah dengan sempurna apabila Islam dilaksanakan sepenuhnya di dalam semua aspek kehidupan.
Islam memperagakan kehebatannya melalui sentuhan ajaibnya di dalam seluruh medan dan genre kehidupan. Ia memperkenalkan kekuatan dan keadilannya di dalam aspek sosial, pendidikan, sains, ekonomi, politik, undang-undang, hiburan, kesihatan, bahasa, kesusasteraan, hubungan antara kaum sehinggalah hubungan diplomatik dan politik dunia yang bergerak laju. Hukuman hudud mengambil salah satu sudut pembinaan itu iaitu pembinaan masyarakat melalui pengubatan ke atas jenayah masyarakat yang mesti dihalang daripada merebak dan merosakkan kemajuan fizikal dan spiritual negara.
Justeru adalah salah sama sekali jika seruan kepada hukuman jenayah hudud Islam itu dilihat secara bersendirian tanpa seruan kepada aspek kesempurnaan Islam yang lain, seolah-olah Islam itu kesempurnaannya hanyalah pada hukum hudud semata-mata. Ia salah sebagaimana juga salahnya seruan ke arah keadilan Islam tanpa memasukkan elemen keadilan undang-undang Islam di dalam seruan tersebut.
Keempat, ia bukan seruan yang meliputi rakyat non muslim. Walaupun hukum hudud adalah untuk keadilan sejagat di dunia ini, tetapi tiada elemen paksaan ke atas rakyat bukan Islam. Sebagaimana mereka tidak dipaksa masuk Islam, solat, puasa dan sebagainya, begitulah mereka tidak boleh dipaksa dengan ketetapan hukum hudud yang bukan hanya disyarakkan untuk kebaikan di dunia, malah untuk maksud kejayaan di akhirat dan bertujuan menguji ketundukan iman setiap muslim juga.
Justeru hukuman kesalahan jenayah berkaitan hendaklah ditentukan oleh negara dalam hukum sivil yang diterima mereka. Malah, mereka pula diberi hak untuk menerima hukum hudud tersebut atau sebaliknya dan berbeza hukuman dengan masyarakat Islam. Masyarakat Islam pula tiada pilihan selain berhukum dengan hukuman ugama mereka.
4) Berhadapan tentangan pelbagai pihak terhadap perlaksanaan hukum hudud, samada oleh kelompok ‘berpenyakit’ daripada kalangan umat Islam sendiri atau daripada majoriti non muslim yang masih keliru, beberapa kefahaman awal perlu diterapkan agar dapat memudahkan lagi ke arah penyelesaian berjangka pendek dan panjang.
Pertama, kekeliruan umat Islam terhadap hukum hudud adalah berpunca daripada kefahaman dan penyakit sekularisme barat yang membarah secara jelas selepas penjajahan barat ke atas negara-negara umat Islam. Ia bukan hanya isu umat Islam di Malaysia, bahkan ia adalah isu umat Islam sejagat yang secara terang menolak sistem dan hukum Islam di dalam pemerintahan.
Maka penentangan umat berpenyakit ini bukanlah suatu yang pelik. Penyakit yang dibawa penjajah barat ini memerlukan rawatan penuh kesabaran dan hikmat. Tetapi ia bukanlah suatu yang baru. Bukankah Islam itu sendiri adalah ubat dan penawar? Seorang doktor sentiasa berwibawa untuk mengubati penyakit yang dipakarinya. Islam adalah pakar di dalam semua penyakit manusia.
Dakwah ke arah hukum hudud terus dilaksanakan bersekali dakwah ke arah perlaksanaan Islam yang syumul dan komprehensif. Tanpa henti dan tanpa ketakutan. Hasilnya, daripada suara minoriti pejuang Islam, hari ini sambutan dan keinginan umat Islam untuk kembali kepada hukum Islam semakin kuat dan mencipta majoriti dengan izin Allah.
Hanya pemerintah negara yang menjadi punya penyebaran penyakit sekularisme sahaja yang masih berperanan aktif menolak hukum hudud. Ia hanyalah cerita pencuri yang enggan hukuman berat ke atas pencuri dilaksanakan. Ia mudah difahami.
Kedua, untuk lebih berwibawa dan mudah diterima, seruan ke arah perlaksanaan hukum hudud perlulah diselarikan dengan seruan ke arah penyelesaian Islam yang menyeluruh terhadap segala masalah negara. Aspek keadilan Islam melalui hukuman jenayah hudud akan lebih mudah difahami jika jalan penyelesaian Islam di dalam aspek-aspek lain turut diketengahkan.
Justeru perbincangan penyelesaian Islam haruslah melampaui perbincangan berlegar hudud semata-mata. Para pendakwah mestilah mesra di dalam berbicara mengenai penyelesaian Islam di dalam aspek ekonomi, sosial, pendidikan, hiburan dan pelbagai lagi. Mereka perlukan menonjolkan kehebatan pensyariatan zakat, waqaf, ekonomi tanpa riba, kemartabatan wanita, sosial tanpa pergaulan bebas, kekeluargaan, kesenian, hiburan Islam dan lain-lain lagi. Islam perlu ditonjolkan dengan alternatif daripadanya yang menarik.
Dengan itu, seruan ke arah perlaksanaan hukum hudud akan lebih difahami dengan baik dan memikat hati masyarakat samada muslim atau non muslim sekalipun.
Ketiga, adalah SALAH menerima seruan sesetengah pihak daripada kalangan cerdik pandai moden muslim agar seruan ke arah perlaksanaan hukum hudud diketepikan atau ditangguhkan atau dibekukan terlebih dahulu, sebaliknya diketengahkan aspek kebaikan dan keadilan umum Islam agar lebih memikat semua pihak.
Seruan ke arah ini mengajak para pendakwah agar menumpukan kepada maqasid syar’iyah atau matlamat umum pensyariatan hukum Islam yang adil. Menurut gelombang ini, oleh kerana hukuman hudud penuh kontroversi, mengundang perdebatan dan sukar diterima oleh dunia moden hari ini, wajarlah penbincangan, bahkan perlaksanaan ini diketepikan terlebih dahulu dan ditumpukan seruan kita kepada perbincangan mengenai keadilan umum Islam di dalam politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.
Seruan ini ditolak dari tiga sudut;
3.1 Ia bukan daripada sunnah dakwah para rasul. RasuluLlah صلى الله عليه وسلم sendiri tidak merujuk di dalam seruan dakwah baginda kepada persoalan mudah dan payah. Baginda bermula dengan seruan akidah tauhid, satu seruan yang paling sukar diterima masyrakat jahiliyah berbanding seruan ke arah keadilan sosial, akhlak dan hak kekeluargaan.
Persoalan mendahulukan yang mudah ke atas yang payah hanyalah melibatkan teknik untuk menarik perhatian ke arah memahami Islam yang syumul dan ia sesekali tidak membantutkan, melengahkan, membekukan dan menangguhkan seruan ke arah Islam yang syumul, samada mudah difahami atau sebaliknya.
Ertinya, dakwah kepada Islam mestilah berjalan serentak agar mudah difahami dan tidak mengelirukan.
3.2 seruan ke arah Islam mestilah jelas dan terang. Adalah salah disembunyikan aspek yang berat dan sukar demi menarik sokongan masyarakat, terutama daripada kalangan non muslim kepada Islam. Dakwah jenis ini akan menyebabkan Islam difahami secara salah.
Akan wujud kelompok yang memuji Islam dalam aspek teryentu sahaja seperti soal hak-hak asasi dan kebebasan, tetapi mencela Islam di dalam soal-soal lain yang gagal difahami kerana diketepikan perbincangannya seperti hukum faraid yang membezakan pewarisan harta antara lelaki dan perempuan, penghadan pergaulan antara jantina dan juga persoalan hukum hudud.
Keadaan mungkin menjadi parah jika mereka rasa tertipu saat memberikan sokongan kepada Islam kerana penerangan keadilan Islam yang terpilih dan mudah sahaja.
3.3 sebagaimana seruan dakwah kepada keadilan hukum hudud mestilah diteruskan, begitu juga perlaksanaannya mestilah dilakukan setelah kekuasaan pemerintahan diperolehi tanpa ditangguh dan dibekukan.
Kerana itu, walaupun hudud masih disangsikan di negeri-negeri lain, tetapi ia mesti dilaksanakan di Kelantan selepas sokongan rakyat dan kekuasaan penuh diperolehi. Menanti sehingga seluruh rakyat Malaysia menerima hukum ini adalah kesalahan dan perlanggaran terhadap hak Allah yang mewajibkan hukumanNya dilaksanakan sebgai bukti iman dan ketaatan hambaNya kepadaNya.
Para ulama memperincikan persoalan ini dengan dalil yang jelas bahawa hukum hudud tidak boleh ditangguhkan perlaksanaannya saat tiba masanya. Apapun, artikel ringkas ini tidak akan memperincikannya di sini.
Keempat, kekeliruan non muslim terhadap perlaksanaan hukum hidup bukanlah suatu yang sukar difahami.
Perhatikan sebab-sebab berikut secara ringkas. Pertama, pengetahuan mereka mengenai Islam sendiri agak rendah. Justeru mereka memerlukan masa yang lebih lumayan untuk diberikan penjelasan. Kedua, maklumat mereka mengenai undang-undang Islam terlalu naif, apatah parti pemerintah muslim sendiri tidak pernah memartabatkan undang-undang Islam dalam sistem pemerintahan negara. Malah, sebaliknya gambaran negatif pula yang diberikan. Ketiga, kekeliruan mereka bahawa sebuah negara Islam akan membawa kesan buruk kepada kebebasan dan keadilan terhadap masyarakat non muslim. Keempat, kalangan umat Islam yang berpenyakit terutama pemerintah sering menakut-nakutkan mereka dengan isu negara Islam. Kelima, dunia dakwah terhadap non muslim dan dialog antara agama di negara kita agak ketinggalan dan kurang digerakkan secara lebih padu dan sistematik.
Justeru adalah salah untuk mengatakan bahawa selama-lamanya masyarakat non muslim akan menolak hukum hudud yang tidak pun melibatkan mereka. Ia hanya ketakutan sementara yang boleh diatasi melalui penerangan yang berterusan dan sistematik.
5) PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang menerajui seruan ke arah perlaksanaan hukum Islam yang menyeluruh, termasuk hukum hudud berhadapan isu-isu berkaitan dan perlu membina pendirian yang jelas mengenainya agar dimanfaati dengan baik oleh seluruh rakyat.
Pertama, seruan ke arah perlaksanaan hukum Islam adalah secara demokratik. Rakyat dan kuasa undi merekalah yang akan menentukan masa depan perlaksanaan syariah di negara kita. Ini adalah cara dan seruan yang sah di sisi undang-undang negara dan sistem demokrasinya.
Kedua, PAS, di dalam seruannya ke arah perlaksanaan hukum hudud, bersandar teguh kepada hukum ugama yang mewajibkan umat Islam hidup berpandukan hukum syariat demi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Justeru asas seruan PAS cukup gagah, jelas dan wajib. Ia sesekali bukan seruan sekadar menarik undi politik, bahkan ia adalah kewajiban dan amanah dakwah.
Ketiga, Seluruh umat Islam, apatah jentera dakwah masyarakat wajib menyokong dan bersama PAS menyeru kepada perlaksanaan hukum Islam yang menyeluruh. PAS menginsafi sesetengah kelompok dakwah yang masih meragui kesungguhan PAS yang sejak sekian lama berjuang ke arah Islam yang syumul dan terus berharap agar mereka meredakan pertikaian yang tidak bermanfaat tersebut.
Keempat, umno mestilah menyedari bahawa mereka begitu ketinggalan di dalam usaha dakwah kembali kepada Islam. Mereka bertanggung jawab melemahkan keinginan umat untuk kembali kepada Islam. Penentangan dan sekatan-sekatan yang berterusan membuktikan mereka berdolak-dalih, bahkan mengambil jalan berlawanan dengan aspirasi umat yang ingin kembali kepada ugama.
Kelima, DAP yang masih menentang perlaksanaan hukum hudud samada secara keras atau lembut, bukanlah penyebab utama terbantutnya usaha ke arah perlaksanaan sistem undang-undang Islam. Hubungan PAS dengan DAP di dalam Pakatan Rakyat telah banyak membantu PAS meyakinkan non muslim dengan kebenaran dan keadilan hukum Islam. Jika secara rasminya mereka masih menolak, tetapi ramai di antara mereka (non muslim) yang mula menerima dan tidak menentang perlaksanaannnya ke atas masyarakat Islam.
Justeru pertikaian dengan DAP bukanlah suatu yang di luar jangkaan PAS. Di atas premis inilah, PAS membina jambatan perbincangan dengan masyarakat non muslim. Umno berusaha membakarnya.
Keenam, penyebab utama, di samping sebab-sebab lain, lambatnya penerimaan masyarakat terhadap hukum hudud adalah umno. Daripada kata-kata buruk terhadap hukum-hukum Islam oleh para pemimpinnya sehinggalah amaran bertulis oleh Tun Dr Mahathir kepada kerajaan negeri Kelantan suatu ketika dulu, semua itu memberi kesan negatif yang menakutkan masyarakat untuk menerima hukum dan syariat Islam secara menyeluruh.
Ketujuh, PAS akan terus menyeru kepada perlaksanaan syariat Islam yang menyeluruh. Ia adalah keadilan, kesaksamaan dan keharmonian yang diimpikan oleh rakyat seluruh negara. Jika majoriti umat Islam dan walau sedikit daripada non muslim berjaya memberi sokongan majoriti kepada PAS, maka ia adalah pembuka pintu besar kepada kedaulatan Islam di negara tercinta. Umno sepatutnya merasa malu dengan sikap mereka sendiri yang mencemarkan kesucian syariat Islam.
Hari ini, sokongan kepada perlaksanaan hukum hudud dan syariat Islam semakin bertambah. Anak-anak muda dan generasi baru mula melihat keindahan Islam yang tidak dapat dihalang lagi. Paling menarik, masyarakat non muslim, di sebalik kehangatan perbincangan, semakin terbuka untuk bertanya dan berbicara mengenai Islam dan kesaksamaan syariatnya.
Adapun Karpal Singh itu, maka ia adalah.. adapun Tun Dr Mahathir itu..
Apa beza? Ya, ugama bezanya. Saya tidak bertanya soal ugama. Saya tanya soal penentangan mereka terhadap hukum hudud.
Justeru hujah-hujah yang dihulurkan kepada Karpal Singh, itulah yang dihulurkan buat Tun Mahathir. Jika Karpal Singh terus menentang, apa bezanya dengan Tun? Bahkan apa bezanya dengan umno? Bahkan lagi, perhatikan, selama mana DAP menentang hudud, udara keruh berjerebu itu akan dihirup segamaknya oleh umno.
Siapa boleh menghalang PAS? Allah bersama orang-orang yang membantu ugamaNya. Jika anda mahu bersama Allah, maka PAS sentiasa mahu bersama Allah. Mengapa kita harus berbeza? Undilah PAS untuk hukum hudud, hukum Islam, syariat Islam dan keadilan Islam yang agung.
26 Ramadhan 1433/15 Ogos 2012
Tazkirah Ramadhan 30 saat (11)
Sepuluh Akhir Ramadhan 2
7) Allah merahmati manusia. Diciptakannya untuk mencapai kemuncak kemuliaan, bukan menghumbankannya ke lembah hina. Bukankah ditunjukkan kehebatan Adam alaihissalam di hadapan para malaikat, lalu disuruh bersujud kepadanya tanda penghormatan kepada makhluknya yang terbaik? Justeru rahmat Allah ke atas manusia hadir sepanjang masa, apatah saat manusia mencari-cari dan kelemasan.
8) Ada malaikat yang sentiasa berdoa demi kebahagiaan manusia, bahkan membantu mereka menempuh kesusahan dengan izin tuhannya. Kemudian ada insan maksum yang dihantar tuhan ke pelusuk mana manusia tinggal. Mereka para nabi رضوان الله عليهم yang sering diperteguhkan dengan rakan-rakan, bahkan paling jitu, dengan kitab-ktab langit yang suci yang tak tersentuh kekotoran dan tangan iblis. Jalan lurus terbentang jelas dan hidayat tuhan memancar terang, manakala pintu taubat ibarat bunga-bunga taman yang menggamit keindahan dan keterujaan.
9) Dia berfirman saat Adam عليه السلام diturunkan ke bumi; “Maka jika sekiranya datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka barang siapa yang mengikut petunjukKu, tiadalah lagi ketakutan menimpa ke atas mereka dan tiadalah mereka itu bersedih lagi.” – al Baqarah: 38. Itu janji tuhan. Maka pertarungan menentang iblis, nafsu, kejahatan dan pendukungnya di bumi ini bukanlah keseorangan dan terbiar bagai menanti ketewasan dan penyesalan.
10) Kemuliaan manusia adalah pada pancaran akalnya. Akal bersinar dengan pengaruh ilmu yang diperolehinya. Sebagaimana ilmu bawahan duniawi menyinarkan laluan hidup duniawi dan membina tamadun agung di dunia, begitulah ilmu atas dan akhirat mencerahkan laluan menuju kehidupan akhirat. Nabi adalah bapa ilmu dan hikmat, manakala al Quran adalah ilmu dan hikmat juga. Justeru al Quran adalah kurniaan atas dan langit yang paling penting menyuluh manusia memasuki kubur. Begitulah nabi yang membaca dan mensyarah al Quran dan al hikmah.
11) Difardhukan ibadah solat 5 waktu sebagai pencegah tarikan nafsu melakukan kejahatan. Dengan solat, ingatan kepada Allah dan akhirat kekal di dalam hati. Manusia solat akan berhenti melakukan kejahatan atau jika terlanjur, penyesalan dan ketakutan meliputi diri, lalu beristighfar dan memohon taubat. Begitu seluruh rukun yang lima. Ia mendidik hati dengan kemuliaan dan cinta kepada kerahmatan dan ketinggian.
12) Janganlah lupa ibadah puasa! Terkhusus ia untuk pertarungan menentang dan seterusnya mendidik nafsu agar boleh diurus dengan baik. Nafsu dilemahkan dengan kelaparan bernizam dan bersistem 30 hari berturutan. Ia tempoh terhangat meredakan asakan nafsu dan pengembalian ruh ke medan penguasaan terhadap diri setiap mukmin.
13) Al Quran turun di bulan Ramadhan membantu ruh dengan suluhan akal yang murni dengan ajaran al Quran yan penuh hidayat dan hikmat. Justeru penantian lailatul qadr adalah kesungguhan memuncak bagi hambaNya yang beriman.
Selamat memburu malam lailatul qadr yang agung. Semoga Allah merahmati sampai ke syurgaNya. Aamin..
Tazkirah Ramadhan 30 saat (10)
10 Akhir Ramadhan
1) Di dunia ini, semua makhluk adalah daripada tanah. Tanah adalah unsur yang mengumpulkan sifat-sifat nafsu dan keserakahan. Ia terserlah jelas dalam cara hidup haiwan. Kerana itu kita biasa menamakannya nafsu kebinatangan.
2) Manusia juga dicipta daripada tanah. Maka sifat-sifat kebinatangan dikandung tubuhnya. Manusia menjadi jahat kerana nafsunya. Dan manusia bertambah jahat, bahkan sehingga lebih buruk daripada binatang kerana mereka memiliki kurniaan akal yang tiada pada binatang. Dengan akal yang dibiar mengikut kehendak nafsu, manusia bervariasi melakukan kerosakan dan kejahatan sehingga tak tergambar dalam kehidupan haiwan di hutan.
3) Sebelum kurniaan akal, binaan manusia berbeza daripada binatang dan semua kejadian di bumi dengan unsur kedua, iaitu unsur ruh. Ruh bukan dari bumi, bahkan dari langit, hidup bersama para malaikat menyembah tuhan di langit. Malaikat Jibril diberi nama al Ruh al Amin, sebagai satu pengenalan kepada hakikat kehidupan makhluk tuhan di langit. Ruh memiliki sifat-sifat ketinggian dan memburu kemuliaan.
4) Dengan ruh, manusia membina dan membaiki diri. Ia mengenal tuhan seasal tanah airnya di langit, sebelum dihantar ke bumi, ke sangkar tanah manusiawi. Ia akan melonjak mencari kemuliaan, bermimpi untuk menyembah tuhan sebagaimana malaikat Allah. Bahkan, dengan akal yang memandu dengan ilmu kurniaan Allah, manusia mampu melonjak dan terbang di medan ubudiyah mengatasi kehebatan para malaikat Allah. Justeru perlumbaan manusia di medan ruhani menuju tuhan amat terbuka dan dipenuhi contoh-contoh dan al mathal al a’la yang hebat.
5) Justeru pertembungan tidak dapat dielakkan. Nafsu dan ruh saling tarik menarik. Manusia acap tersadung, bahkan rebah di jalan mencari hakikat kehidupan. Ia adalah hikmat penciptaan manusia. Manusia diuji agar memenangi perlawanan agung sepanjang zaman. Perlawanan yang menjadi tunjang ciptaan langit dan bumi oleh Allah tuhan pencipta.
6) Nafsu lebih terkedepan memenangi pertembungan ini. Antara sebabnya, gelanggang adalah bumi dan tanah. Nafsu daripada tanah. Maka ia memiliki sebab-sebab penguasaan yang lebih baik. Ia seperti menjadi tuan rumah sebuah pertarungan. Godaan-godaan dunia begitu mendominasi berbanding godaan akhirat yang sukar dikesan. Maka keghairahan nafsu di dunia ini begitu sukar dibendung kecuali ruh memiliki kekuatan dan bukaan baru yang mampu melonjakkannya dan melepaskannya dari pengaruh dan kekangan nafsu.
Bagaimana ruh manusia memenangi perlawanan ini?
Bersambung..
Tazkirah Ramadhan 30 saat (9)
Dua Kerosakan Umat Hari Ini (2)
Kerosakan pemikiran umat Islam yang telah memesongkan cara berfikir mereka tersebut telah meruntun kepada kerosakan seterusnya yang lebih parah iaitu;
Kedua, kerosakan akhlak umat Islam.
Islam bukan sekadar akidah dan pemikiran yang hanya tertanam di dalam diri tanpa membina dan dan mewarnai kehidupan manusia di alam nyata. Malah, binaan akidah dan pemikirannya adalah dengan tujuan mengarah dan menyusun kehidupan manusia.
RasuluLlah menerima wahyu, membacanya dan membina generasi awal selama
lebih 20 tahun. Tempoh lama itu, walaupun dengan kehendak Allah ia boleh dipendekkan semahuNya, adalah dengan satu hikmat besar iaitu sebagai satu penyediaan qudwah dari rasulNya itu untuk umat manusia sehingga kiamat. Baginda berada di atas singgahsana akhlak yang tinggi dengan sifat-sifat kemuliaan yang perlu digapai dan ditiru oleh umatnya.
Adalah pelik dan sukar dibayangkan, umat yang bernabikan manusia qudwah, tiba-tiba menonjolkan wajah kehidupan yang begitu buruk akhlaknya. Tetapi itulah hakikat yang terlihat daripada kehidupan umat Islam hari ini.
Daripada pemerintah negara umat Islam yang terkedepan dengan isu-isu pembaziran wang negara, salah guna kuasa, rasuah, penindasan dan pengkhianatan sampailah di peringkat rakyat bawahan dengan isu-isu kekotoran, dadah, zina dan sebagainya, adalah begitu jelas ia telah menjadi kerosakan besar yang agak kritikal.
Mengapa? Ya, ia adalah kesan kerosakan yang pertama iaitu kerosakan pemikiran umat Islam yang bertunas daripada akidah mereka yang telah longgar dan goyang.
Kerana itu, umat Islam terpinga-pinga dan teragak-agak untuk mengambil penyelesaian cara Islam di dalam menangani isu dan masalah masyarakat. Ia pastinya berpunca dari keyakinan bahawa Islam bukanlah satu penyelesaian untuk penyakit-penyakit di zaman moden hari ini.
Setelah kita memahami dua kerosakan besar ini, kita mestilah dapat mengagak betapa sukarnya mengubati kedua-dua penyakit umat ini.
Ia memerlukan kesabaran dan kerahmatan yang tinggi, ilmu dan kebijaksanaan yang tinggi serta usaha dan jihad yang tinggi juga. Para pendakwah dan pejuang di medan islah masyarakat perlulah memiliki sifat-sifat tersebut demi menjayakan misi besar membina umat Islam yang baru dan berjaya.
Di antara faktor yang begitu membantu ialah melakukan kerja dakwah dan islah secara berjamaah dan saling bekerja sama di samping mengelak pertembungan dan kekhilafan yang tidak diperlukan. Juga, saling menyokong usaha baik walaupun bukan daripada usaha kumpulan kita.
Tazkirah ringkas ini adalah sebagai sentuhan agar kita saling bertafakur di bulan Ramadhan yang mulia ini. Selamat menempuh 10 terakhir Ramadhan dengan penuh kejayaan..
Dua Kerosakan Umat Hari Ini
Tazkirah Ramadhan 30 saat (8)
Ada dua kerosakan besar yang menimpa ke atas masyarakat Islam hari ini. Kerosakan ini secara jelas berpunca daripada tempoh lama ratusan tahun umat Islam berada di dalam kepungan penjajahan barat ke atas dunia Islam yang secara fizikalnya, telah berakhir dengan perisytiharan kemerdekaan oleh negara-negara umat Islam tersebut.
Tetapi kemerdekaan fizikal itu bukanlah mengubati segala penyakit yang telah menjalar ke segenap urat nadi umat. Ia memerlukan tempoh yang tidak pendek untuk para pengislah (muslih) daripada kalangan pejuang umat untuk membaik pulih kerosakan tersebut. Dua kerosakan besar yang mengundang pelbagai masalah umat itu ialah:
Pertama, kerosakan pemikiran umat Islam.
Islam membina pemikiran atau ideologi Islam. Pemikiran Islam lahir secara begitu mendasar daripada akidah Islam yang terbina daripada keimanan terhadap Allah, kitab dan rasulNya. Akidah yang bertunjangkan kepercayaan kepada perkara-perkara ghaib, hidup sesudah mati dan hari pembalasan itu telah membentuk pemikiran hidup umat Islam yang suci, sempurna dan membangunkan kehidupan sebenar manusiawi.
Apabila berlaku penjajahan ratusan tahun barat ke atas umat Islam yang saat itu, telah dilalaikan oleh kebendaan dan kezaliman para penguasa, mereka berusaha untuk menukar dan memurtadkan umat Islam. Tetapi akidah tauhid begitu bersebati di dalam jiwa dan nadi umat Islam. Mereka gagal di situ tetapi tidak di dalam memastikan umat Islam lemah selama-lamanya.
Justeru mereka begitu bersedia melancarkan serangan pemikiran (الغزو الفكري) yang merosakkan pandangan umat Islam terhadap kehidupan, malah terhadap ugama mereka sendiri.
Akhirnya, dalam tempoh beberapa kurun, mereka mampu melahirkan generasi umat Islam yang tidak lagi membangunkan pemikiran mereka berasaskan akidah yang suci. Lahir kerosakan pemikiran yang dahsyat seperti;
1) Islam adalah ugama akhirat dan memberi manfaat untuk akhirat sahaja. Urusan dunia adalah milik ilmu akal yang menolak akidah Islam yang dilihat menolak logik akal dan ilmu manusia yang sentiasa berkembang.
2) Islam tidak mencampuri urusan politik dan pemerintahan. Sebarang usaha mempolitikkan Islam atau mengIslamkan persada politik dianggap satu jenayah terhadap kesucian ugama. Islam terlalu suci untuk bicara soal hiruk-pikuk politik yang kotor.
3) Hukum-hakam di dalam al Quran tidak lagi sesuai kerana begitu ketinggalan zaman. Jika dilaksanakan, ia adalah fitnah terhadap ugama dan kezaliman terhadap manusia moden.
4) Demi kemajuan, umat Islam mestilah menerima cara barat yang telah maju dan moden sekali kehidupan mereka walaupun umat Islam terpaksa mengorbankan nilai-nilai murni agama dan kehidupan umat Islam sendiri. Itu adalah bayaran terhadap sebuah kehidupan yang lebih baik dan mampu menyaingi barat.
5) Pendidikan jasmani dan kemajuannya lebih penting daripada pendidikan rohani dan kemajuannya. Apa-apa bentuk ibadah dan riadhah rohani dikira salah dan perlu ditinggalkan jika ia bertentangan dengan logik akal dan kemajuan fizikal.
Itu adalah contoh kerosakan pemikiran umat Islam hari ini yang secara jelas telah menolak Islam sebagai sebuah ugama kehidupan di dunia dan akhirat, rohani dan jasmani, hari ini dan akan datang, malah satu-satunya agama yang sempurna dan menyeluruh.
bersambung..
Komen Terbaru