You are currently browsing the monthly archive for Februari 2009.

Salam Kamunting,

PAS menyertai pilihan raya dan aktif bergerak dalam sistem demokrasi barat acuan Malaysia hari ini dengan dua matlamat besar. Pertama adalah dengan matlamat islah atau memperbaiki kehidupan rakyat melalui islah politik dan pemerintahan terutamanya. Kedua adalah dengan matlamat menukar pemerintahan sedia ada dengan kerajaan baru yang lebih baik.

Matlamat yang kedua pula akan terhenti secara langsung jika matlamat pertama tercapai. Matlamat pertama dikira tercapai apabila pemerintahan sedia ada, seperti BN hari, telah secara jelas menunjukkan kesediaan dan keazaman untuk melakukan keadilan yang dituntut dan membuktikannya melalui gerakan islah ke arah itu.

Oleh kerana PAS memperjuangkan ketuanan Islam ( HakimiyyatuLlah ) secara mutlak dan murni, maka maksud keadilan itu hendak ditafsirkan secara Islam sebagaimana pengajaran junjungan besar Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Keadilan dalam Islam hanya berlaku dengan mengembalikan hak kekuasaan dan pemerintahan duniawi ini kepada Allah, tuhan pemilik semesta alam.

Justeru kerajaan BN hari ini dikira absah apabila ia bersedia menerima Islam sebagai cara hidup untuk negara Malaysia. Saat itu, tiada hujjah lagi untuk PAS dan semua umat Islam untuk meruntuhkan dan menukarkannya dengan kerajaan yang baru walaupun dengan alasan membentuk kerajaan ‘Islam’ alternatif yang lebih baik.

Dalam Islam, ketaatan kepada pemerintahan Islam adalah sesuatu yang besar. Ia di tempat ketiga selepas ketaatan kepada Allah dan al Rasul. Sebarang usaha menumbangkannya adalah jenayah besar yang dicela, bahkan berhak mendapat hukuman berat.

Jika matlamat pertama itu gagal dicapai iaitu apabila berlaku keingkaran berterusan daripada pemerintah sedia ada untuk berubah, bahkan berterusan melakukan kezaliman ke atas rakyat dan memuncak dengan penolakan terhadap sistem Islam sebagai cara hidup, maka matlamat kedua mestilah diteruskan. Kerajaan sedia ada tiada keabsahan untuk kekal memerintah umat Islam yang dimestikan untuk tunduk kepada kekuasaan sistem Islam yang diredhai Allah.

Ia adalah jihad dan perjuangan yang sah dan fardhu walaupun terpaksa menempuh kesukaran dan halangan serta menuntut pengorbanan ke atas nyawa, harta dan segenap kepunyaan. Perjuangan adalah tuntutan agama manakala ujian adalah sunnah Allah ke atasnya.

Di atas landasan inilah PAS bergerak. Ia jatuh bangun sebagai sebuah parti politik dan berjuang di medan politik yang luas capaiannya dalam sistem demokrasi negara. PAS tidak memilih untuk menjadi sebuah pertubuhan NGO yang agak sempit laluan dan capaiannya.

PAS melalui muqabalah dan muzakarah dengan pemerintah BN hari ini konsisten menawarkan penyelesaian yang lebih mudah. BN mesti bergerak ke arah islah diri yang dituntut agama. PAS pasti menghulur tangan. Tiada cela. Apa yang ada hanyalah pujian daripada syara’.

Tetapi BN yang diterajui UMNO hari ini, walau dalam cedera dan parah tetap konsisten di dalam memelihara kezaliman dan menternak dan memugarinya. Usah kata Islam, nak jaga demokrasi tajaan sendiri pun tak mampu ( meminjam kata ayahanda ). Muqabalah walaupun tiada hujungnya, tetapi ia telah berjaya menjulang Islam di dalam menegakkan hujahnya di hadapan kezaliman dan pemukanya.

Allah menyeru kepada muqabalah di antara Musa alaihissalam dengan Firaun laknatuLlah. Hasilnya adalah penentangan Firaun yang bertambah – tambah. Hasil yang diredhaiNya adalah tertegaknya hujah Musa di hadapan Firaun sebelum kehancurannya.

Justeru PAS mengekalkan arah perjuangannya menuju kedua – dua matlamat tersebut. Ia samada BN yang diterajui UMNO menerima dakwah Islam dan PAS, lalu PAS menghulur tangan ‘baiah’nya dan membangun bersama, atau BN diruntuhkan pemerintahannya dan dicabut kekuasaannya melalui sistem demokrasi negara yang menerima pemindahan kuasa secara aman dan saksama.   

Lebih 50 tahun PAS berjuang, adakah PAS telah memperolehi kemenangan? Adakah kekuasaan sementara dan terhad di Terengganu dan terbaru di Perak adalah kemenangan yang dimaksudkan? Atau ianya satu kekalahan yang menandakan kesalahan PAS di dalam berjuang? Atau adakah itu hukuman Allah kerana bersekongkol dengan DAP yang bukan Islam ideologinya? Kemudian adakah PAS sanggup menggadai prinsip agama demi kekuasaan?

Jika anda membaca dan mendengar perbahasan semasa, anda akan dipukul atau terpukul dengan persoalan – persoalan yang bersifat ‘tasykik‘ yang mencetuskan keraguan di medan perjuangan. Lebih pilu dan menyayatkan apabila ianya ditimbulkan oleh mereka yang turut menggelarkan diri sebagai pejuang Islam atau pengamat perjuangan Islam.

Advertisement

Salam Kamunting,

Walaupun anda orang Perak, anda tak boleh memilih perak  menggantikan emas.

Walaupun orang sibuk sangat berkerumun merebut perak, anda pasti akan rugi jika disibukkan juga dengan gelagat ramai meninggalkan emas.

Kalau berlumba nak dapat perak, anda bukanlah seorang atlit. Anda mungkin hanya seorang pengampu raja yang mesti diberi emas setiap kali masuk gelanggang.

Sebut kata raja, maka emas adalah untuknya walaupun ‘smash’nya asyik tersangkut di jaring atau keluar gelanggang. 

Anda samada memilih emas atau mengurniakannya kepada yang sememangnya berhak ke atasnya.

Hari ini, kita sedang mengikuti krisis di negeri Perak. Krisis politik, krisis perlembagaan, krisis raja, krisis Melayu dan paling tidak disebut, krisis nilai.

Saya bertanya ayahanda, adakah ini sama seperti krisis mageran di Kelantan dahulu? Ayahanda menjawab, di Kelantan, ia dibuat – buat. Bakar tayar, bakar balai polis, kemudian isytihar darurat untuk rampas Kelantan. Ibrahim Ali adalah kepala pengat! Semacam ayahanda ingin melebihkan krisis di negeri Perak berbanding di Kelantan. Pada signifikannya.

Paling berbeza di antara dua krisis tersebut ialah anda sendiri. ‘Anda’ dulu adalah orang tua – tua. ‘Anda’ sekarang adalah anak – anak muda yang berpendidikan dan berilmu. Yang muda – muda dulu ramainya hanyalah kaki wayang yang hanyut dalam dunia cinta Hisdustan dan Tamil. Hari ini, anak – anak muda adalah kaki blog dan kaki demontrasi menentang kemungkaran politik dan kerajaan.

Dunia ini tempat krisis. Di syurga tak ada krisis lagi. Di neraka, krisis antara penghuninya dilayan tamat dengan masing – masing disimbah azab panas yang bertambah – tambah. Adapun di dunia tempat kita duduk ini, krisis sentiasa berlaku dan ia sebahagian kehidupan. Kehidupan berlangsung dengan wujudnya krisis.

Jika tangan manusia tidak melakukannya, tangan Allah pula melakukannya. Krisis kemarau, krisis banjir dan tanah runtuh, malah krisis macam – macam wabak penyakit yang di luar tangan manusia. Kita dihidupkan dengan krisis dan dipaksa berkrisis.

Jika anda memahami ini, anda sebagai seorang muslim pastinya akan lebih mudah menerima hakikat bahawa dalam krisis itu ada hikmat. Ada jawaban yang anda perlukan dalam kehidupan anda. Justeru anda tidak boleh menempelaknya sebagai buruk atau membelakanginya demi kesucian diri. Allah menciptakannya dan setiap ciptaan Allah penuh dengan hikmah  dan kebenaran yang tersembunyi dan nyata.

Jika anda menguasainya, anda akan memperolehi hikmah dan kebenaran itu. Jika anda gagal menguasainya, anda akan kempunan dan kehilangan pedoman dalam kehidupan. Justeru anda perlu bijak berhadapan dengan krisis. Jika anda mahu menang, anda mesti masuk berlawan dulu. Jika anda mengisytihar menang sebelum berlawan, anda akan ditertawakan. Jika anda menawan sebuah empayar pun, orang akan kata, itu empayar haram di perintah oleh bapak menteri haram yang makan gaji haram!

Sebenar – benarnya anda masa itu menghina diri sendiri dengan membunuh diri sendiri di hadapan khalayak semata – mata untuk membuktikan bahawa anda berani membunuh diri!

Di negeri Perak yang sedang berkrisis sekarang, anda hanya perlu menilai dan membezakan di antara tiga perkara. Apakah yang benar dan bagaimana kebenaran itu dijulang pejuangnya. Anda tak boleh dan jangan sesekali mengenal kebenaran melalui orang. Kenali orang melalui kebenaran yang telah anda kenali.

Ertinya, anda perlu melihat kepada tiga. Kebenaran, pejuangnya dan bagaimana ia dibawa.

Jika kebenaran ditemui bersama UMNO, UMNOlah sedang memperjuang kebenaran. Bagaimana ia memperjuangkannya, itu soal ketiga yang tidak akan merosakkan yang pertama walaupun ia boleh memberi kesan kepada yang kedua.

Jika kebenaran ditemui bersama PAS, PASlah pejuang kebenaran. Bagaimana ia diperjuangkan, itu soal ketiga yang terpisah yang tidak akan mengganggu kebenaran.

Jangan nilai kebenaran pada tindakan memboikot majlis angkat sumpat, kekal bertahan di rumah MB atau berdemo dan berbaringan di atas jalan raya. Itu cara menjunjung kebenaran. Itu mungkin betul dan mungkin salah caranya. Ia mungkin menambah manis atau mungkin menambah masin. Ia tetap gulai kambing untuk santapan.

Jangan pula menilai kebenaran pada upacara gilang – gemilang di istana, dipancar langsung di kaca tv atau diulas manis 24 jam. Itu cara menjunjung kebenaran yang didakwa. Ia tetap batil jika ianya sah batil.

Telanjangkanlah kebenaran atau pakaikannya dengan emas berlian, ia adalah kebenaran yang tidak memerlukan apa – apa pun untuk ia kekal benar. Kenapa? Kebenaran itu daripada Allah. Ia tunjang dan neraca di bumi dan dengannya bumi kekal bergerak dan berlayar di peredaran masa.

Adapun pejuangnya, ia adalah perlakuan manusia dan makhluk. Gagah mana makhluk itu, kentallah ia mendakap kebenaran dan cantiklah ia membawa kebenaran.

Bola tetap bola. Jika ia di kaki Ronaldo, cantiklah ia menerjah gawang! Tapi jika ia di kaki pondan atau kaki rasuah, stadium pun runtuh ditagur penonton!

Ia bukan soal PAS atau UMNO. PAS sudah terbukti benar dan UMNO sudah terbukti batil dalam neraca syariah dan ugama. PAS sudah terbukti benar dan UMNO sudah terbukti batil dalam nerana kemanusian dan keadilan. Di Perak, ia bukan soal PAS atau UMNO.

Ia soal siapa berhak memerintah dan mentadbir negeri Perak daripada sudut kesahihan undang – undang yang termaktub. Kalau BN, BNlah. Kalau PR, Prlah. Jangan anda membodoh diri dengan neraca sendiri yang salah.

PAS dan UMNO bukan krisis di Perak yang tengah bermula. PAS dan UMNO adalah krisis negara. Ia telah lama dan matahari kebenaran telah pun tegak di atas kepala.

Semua tahu kerajaan PR adalah sah semasa ia mengangkat sumpah memerintah negeri Perak selepas menang dalam pilihan raya umum tahun lepas. Hari ini, hak itu telah ditarik dan dilucutkan. Malangnya, ia berlaku secara luar tabi’ie dan penuh kekeliruan. Ia dibayangi komplot politik murahan dan jelik. YAB Nizar dihalau dari pejabatnya. Krisis berlaku. Kedua – dua pihak yang bertentangan masing – masing mendakwa kebenaran.

Apabila kebenaran menjadi pertikaian dan mula kelihatan samar, anda perlu merujukkannya kepada neraca yang benar. Itulah singgahsana tempat kebenaran bertakhta. Jangan rujukkannya kepada Israel atau Amerika. Di situ tempat kebatilan dipakaikan tatahan berlian. Jangan rujukkannya kepada UMNO atau PAS. Mereka adalah orang dalam kandang. Mereka bukan hakim dan tak boleh dilantik sebagai hakim pun.

Carilah nabi Daud alaihis salam jika anda berebut kambing! Dialah hakim yang adil. Itu, inikan pula berebut kerajaan!

Negara kita negara undang – undang. Semua kita terikat dengan undang – undang. Jika anda hanya inginkan dunia, nyahkan undang – undang al Quran. Jika anda inginkan dunia dan akhirat, letakkan undang – undang al Quran yang benar itu di hadapan undang – undang negara yang dipaksakan ke atas kita di dunia ini.

Kita adalah rakyat atau pemerintah atau raja. Raja, pemerintah dan rakyat perlu akur bahawa mereka perlu tunduk pada undang – undang dan perlembagaan negara. Orang PAS tak boleh melaksanakan hukum potong tangan ke atas pencuri kerana undang – undang negara melarang hukum al Quran itu dilaksanakan. Tiada cela daripada Allah pada perkara yang dipaksakan.

Rakyat hari ini bukan seperti rakyat dulu. Rakyat yang berilmu dan meraikan ilmu.

Pemerintah hari ini bukan seperti pemerintah dahulu kala. Ia dipilih dan diangkat oleh rakyat. Ia dipecat dan dijatuhkan rakyat.

Raja hari ini bukan lagi raja zaman purba kala. Raja dulu titahnya adalah undang – undang. Raja hari ini undang – undang mengatur titahnya.  

Begitu semangat negara kita dibetuk di hari kita merdeka daripada penjajahan barat. Sesiapa yang melanggar undang – undang, dia salah dan mesti dihukum. Jika anda melindunginya, anda adalah pengkhianat negara. Samada anda rakyat atau pemerintah atau raja.

Begitulah semangat kebenaran dijulang. Ia mudah.

Tetapi di negara kita ada kepayahan. Jika negeri Perak sedang mengalami krisis perlembagaan, maka negara kita sedang mengalami krisis kehakiman. Dahlah undang – undang pun penuh cacat dan cela, para hakim pun dicalit cacat dan cela. Samada sistem kehakiman itu dicemari oleh para hakim sendiri atau ianya dicekik oleh pemerintah BN hari ini, krisis kehakiman akan tetap mewarnai penghakiman ke atas negeri Perak yang sedang berkrisis.

Justeru kita dihadapkan dengan krisis yang lebih besar. Krisis nilai dalam kehidupan.

Kita perlukan guru yang mengajar kita nilai kehidupan. Ia bukan raja atau pemerintah. Guru kita adalah orang – orang yan berilmu di antara kita.

Saya menyarankan anda mengambil kira pandangan para ulama, para pengamal undang – undang, para politikus dan ilmuan lain yang bersih dan berjuang di medan perjuangan yang luas. Mereka guru yang akan memimpin kita kepada nilai hidup yang membahagiakan. Negara kita akan kembali sentosa dengan pemartabatan nilai dalam kehidupan. 

Kita hadapi krisis di negeri Perak seadilnya. Biar pun perak kita terlepas, asalkan emas kita miliki. Kebenaran adalah emas dalam kehidupan. Kebenaran adalah nilai kehidupan sebagaimana emas adalah nilai mengukur wang dan harta.

Syurga tiada krisis di dalamnya. Jika kita ingin selamat daripada krisis, kita mestilah jadi ahli syurga sebelum masuk syurga lagi. Ia hanya milik seorang muslim yang tunduk pada kebenaran tuhanNya.

Salam Kamunting,

 

Tahniah PAS!

Di masa susah kaulah kawan

Di mana susah kaulah di depan

Untuk  yang lemah kaulah sandaran yang gagah

Untuk yang duka kaulah penawar dan penenang

Dalam ribut dan taufan kaulah tunjang

Dalam gelora dan gelap kaulah menara dan cahaya

Tiada dagang bersamamu

Tiada cemas di belakangmu

Dirimu ada kekuatan

Dirimu adalah kekuatan

Kekuatan jadi mulia bersamamu

kelemahan jadi bacul di hadapanmu

Tahniah PAS!

Musuh tidak nampak kecualimu

Musuh tidak marah kecualimu

Musuh tidak takut kecualimu

Keranamu kebatilan menjadi lebur

Keranamu kezaliman menjadi berantakan

Keranamu kejahilan menjadi hilang

Kaulah kelibat di medan

Kaulah syakhsiyah dalam kembara

Kaulah figura keramaian

Kawan dan musuh menakjubimu

Dia dan mereka menyanjungimu

Aku dan kami mencintaimu

Tahniah PAS!

Beginikah Allah memuliakanmu?

Salam Kamunting,

Bukan susah pun  untuk pasukan Malaysia menang ke atas pasukan bola sepak Brazil. Kita hanya perlukan satu senjata yang ampuh. Rasuahkan pengadil!

Kitakan negara kaya. Setakat RM50 jutalah katakan, demi kegemilangan bola sepak negara, takkanlah kita tak boleh keluarkan sejumlah itu dari perbendaharaan negara untuk merasuah seseorang yang pasti boleh memberikan kemenangan kepada pasukan negara kita. Pengadil itu pasti akan menyertai kita dengan melayangkan kad merah ke atas 4 pemain ( 3 Melayu, satu Cina! ) Brazil yang pemain kita cederakan. Kemudian batalkan semua  jaringan gol oleh Kaka atau Robinho dengan alasan off side atau foul atau sebagainya. Pada minit – minit akhir pun boleh, asalkan Malaysia kita dihadiahkan sepakan penalti setelah pemain Brazil dijatuhkan di luar petak penalti. Kemudian jika tendangan itu tersasar, ulanginya sehingga masuk GOLL!

Soal FIFA nak pecat pengadil, itu soal lain. Jadi pengadil sampai mati pun, dia takkan dapat wang sebanyak itu. Soal kemenangan itu ditarik balik, itu soal lain juga. Depan hari kita menang lagi, sebab kita banyak duit dan kita korbankannya demi kegemilangan negara.

Bukan kata Malaysia, Perak pun boleh kalahkan Brazil. Israel guna bom, kita guna rasuah. Israel membunuh beribu – ribu manusia, kita menghidupkan beribu – ribu manusia dengan rasuah!  Israel zalim, kita adil.

Anda sedih dengan apa berlaku di negeri Perak hari ini? Juga esok?

Ya, semua yang menyanggah perumpamaan di atas pasti akan sedih dengan apa yang menimpa negeri Perak.

Dalam politik Malaysia, SPR adalah pengadil. Apabila SPR menyebelahi parti politik kerajaan dan menolak parti pembangkang, anda tentu tahu SPR telah curang dalam kerja dan amanah negara keatasnya. Tiada yang menjadikan mereka curang selain rasuah. Rasuah jawatan, harta, wanita, persahabatan dan macam – macam.

Kalau ahli politik boleh makan rasuah, mengapa SPR tak boleh. Mereka semua manusia. Binatang tak makan rasuah sebab sunnah tuhan ke atas kehidupan liar mereka, tiada rasuah diistilahkan. Bila manusia makan rasuah, mereka bukanlah binatang. Mereka manusia binatang yang lebih liar dan lebih hina daripada binatang. Jika mereka mayat, mereka bertukar jadi zombi!

Anda baca buku ‘La Tahzan’ karangan seorang ulama masyhur itu? Baca tak?

Jika belum, beli dan baca. Saya telah membacanya dalam teks asal Arabiyyahnya. Ayahanda juga telah membacanya sebab saya telah membacanya setelah saya mengambil buku itu daripadanya setelah dibacanya buku itu.

Jika anda telah membacanya, maka amalkannya.

Apa? ‘La Tahzan’. Jangan bersedih!

“Jangan bersedih! Sesungguhnya Allah bersama kita.”

“Maka bersabarlah ( wahai Muhammad ). Sesungguhnya janji Allah adalah benar. Dan janganlah orang – orang yang tidak yakin ( dengan janji tuhan itu ) meremehkanmu ( dan mendorongmu untuk tidak tetap dan thabat di atas suruhan dan laranganNya. )” – Akhir al Rum.

Jika anda menyokong pasukan Brazil, anda bersedihkah Brazil kalah dengan cara itu? Jika anda menyokong pasukan Malaysia, anda bergembirakah Malaysia menang cara itu? Tidakkan?

Jika anda yakin rakyat sedang berubah untuk menolak rasuah dan pemimpin rasuah, yakinlah kita pembangkang sedang berada di laluan tepat menuju kemenangan. Rakyat bersama kita dan kita bersama rakyat. Kuala Terengganu masih segar menjadi sumber kekuatan.

Jika rakyat pun menolak kita, janganlah juga anda bersedih. Jika tidak, anda termasuk dalam kalangan orang – orang yang tidak yakin dengan janjiNya. ( rujuk ayat di atas. )

Jangan bersedih. Kesedihan melambatkan kerja kita. Kerja kita adalah dakwah ilaLlah.

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Februari 2009
I S R K J S A
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
232425262728  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa