You are currently browsing the category archive for the ‘seni’ category.

Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim bin Lokman adalah seorang selebriti terkenal tanah air. Baru-baru ini, di dalam program ‘Himpunan 30 Ribu Pemuda PAS’ anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat di Kedah, beliau telah mengejutkan dunia politik tanah air dengan mengisytiharkan penyertaannya ke dalam perjuangan PAS selepas menyerahkan borang keahlian kepada menteri besar negeri Kedah, YAB Dato Seri Ustaz Azizan bin Abdul Razak.

Sebelum itu, Bob Lokman sebenarnya telah melakukan suatu tindakan yang lebih besar di dalam hidupnya yang juga telah mengejutkan dunia hiburan tanah air dengan  melakukan ‘hijrah paling profesional’ iaitu melangkah ke gerbang besar paling penting dalam kehidupan manusia iaitu gerbang taubat.

Pintu taubat seperti dikisahkan oleh nabi kita Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam, keluasannya adalah memanjang dari timur hingga ke barat. Luas yang tiada taranya. Ia pula dibuka terus tanpa ditutup sehinggalah hari kiamat. Setiap manusia masing-masing akan menempuh kiamat kecilnya sendiri iaitu mati. Selagi kiamat tidak berlaku atau maut tiada menjemput, selagi itulah anak Adam berhak berjalan memasuki pintu taubat.

Taubat adalah nikmat dan rahmat yang agung. Nikmat kerana pentaubat akan menikmati suatu kehidupan baru yang sungguh kudus dan menenangkan yang tiada lagi kecapan manis semanis melangkah dan bersimpuh di gerbang taubat. Rahmat kerana betapa kasih,  sabar dan lapangnya Allah menerima kembali hambaNya walaupun telah begitu jauh hanyut dilambung badai maksiat dan dosa sepanjang hidupnya.

Tetapi seluas mana gerbang taubat, selama mana ianya terbuka dan seindah mana tamannya, tidak ramai manusia melihatnya sebagai destinasi yang mesti dituju. Justeru setiap kali ada yang menuju dan memasukinya, maka dia akan menjadi begitu penting dan diraikan. Penting kerana dia akan menjadi sandaran buat yang lain mengenali gerbang ini. Diraikan kerana ahli taubat sebelumnya akan segera mengerumuninya, mendengar daripadanya pengalaman pahit dan menakutkan saat hanyut dibawa arus jahiliyah yang sentiasa lahap menyambar mangsanya yang lalai. Maka mereka saling kuat menguat untuk terus mengagumi nikmat dan rahmat taubat yang dikurniakan Allah kepada para hambaNya yang terpilih.

Saya sempat berjabat tangan dengannya dalam majlis perhimpunan pemuda PAS yang sungguh hebat itu, tetapi tiada tuah masa untuk lebih mengenalinya. Beribu anak muda begitu kepingin untuk bergambar dengannya atau sekurang-kurangnya bersalaman dengannya. Saya melihat suasana kasih sayang dan kemeriahan yang begitu menenangkan jiwa. Bob Lokman telah berjaya menjadikan kehadiran dan penampilannya pada hari tersebut begitu menarik keyakinan anak-anak muda terhadap kebenaran perjuangan PAS memperjuangkan Islam yang syumul.

Apa pun, menarik juga, melalui temuramah dengan beliau yang disiarkan oleh beberapa akhbar dan laman web yang memberikan gambaran ringkas pengalaman beliau melalui kehidupannya sebagai seorang insan seni sehinggalah beliau tiba dan menemui pintu taubat dengan izin Allah, untuk saya menitipkan beberapa butiran yang berguna untuk kita kongsikan bersama. Jika Bob Lokman membaca titipan ini, harapnya beliau dapat menyempurnakan lagi pengalaman berharga ini untuk dinikmati bersama oleh kita.

Beliau memberikan sekurang-kurangnya tiga sebab penting penghijrahannya. Pertama, pembukaan akal yang dialaminya semasa beliau jatuh sakit. Kedua, keperitan hidup berkeluarga yang goyah akibat keruntuhan tahap kesihatan dan kewangannya. Ketiga, kematian mengejut rakan karib beliau. Ketiga-tiga faktor tersebut telah memberinya pembukaan akal, masa dan peluang yang lumayan untuk beliau mula berfikir secara lebih serius dan tenang mengenai kehidupan dunia yang begitu singkat dan terumbang-ambing ini.

Cuba kita perhatikan, kesemuanya adalah musibah yang melanda yang ditakuti kehadirannya oleh setiap kita. Tetapi takdir Allah siapa dapat menahan. Dunia dan kehidupan adalah milikNya dan Dialah pemandu dan pengaturnya. Jika begitu, bagaimana seharusnya kita melayani kekuasaan agung ini?

Jika setiap musibah yang ditakuti dan dibenci kehadirannya itu dikira sebagai satu kezaliman dan penganiayaan, maka sungguh manusia dan dunia sedang diatur oleh seorang tuhan yang zalim! Jika begitu, dalam sekelip mata, manusia akan hilang keyakinannya untuk menempuh kehidupan yang berani dan bermaruah. Mengapa harus menjadi insan mulia jika kemuliaan itu dipasung oleh kehendak tuhan yang zalim dan tiada mengenal peraturan yang adil?

Perhatikan bagaimana orang yang ditimpa musibah kesakitan, kehilangan dan kesedihan, kemudian dia merasakan dirinya telah dianiaya dan tidak diadili dengan benar oleh kehidupan atau takdir atau tuhannya, dia akan ditimpa pula oleh seburuk-buruk penyakit di dalam diri iaitu barah putus asa.

Apabila seseorang mula berputus asa dalam menempuh kehidupan, dia akan melakukan dua tindakan yang semakin malang; hidup berdendam terhadap kehidupan atau lebih malang, dia membunuh diri. Apabila dia menyimpan dendam, dia tidak lagi sedih untuk melakukan kejahatan seterusnya seperti mencuri, merompak, menipu, minum alkohol dan sebagainya. Baginya, apa untung hidup bermaruah jika tuhan telah tidak adil terhadapnya.

Kemuncaknya, jika dia terus buntu dan tiada lagi harapan walau sebesar hama, dia akan membunuh diri. Dan anda tahu betapa buruknya membunuh diri hatta di sisi mereka yang enggan menerima kewujudan hari pembalasan.

Akidah kita umat Islam, Allah adalah tuhan yang maha adil. Dengan kekuasaanNya yang mutlak, siapa yang dapat menghalangNya melakukan apa saja termasuk kezaliman? Tetapi Allah mengharamkan ke atasNya berlaku zalim. Dia adalah maha adil seadilnya. Maka Allah adalah zat yang paling sempurna sifatnya.

Kerana itu, segala perbuatan Allah dalam segala kejadian alam yang tersaksi dan terlindung adalah diselubungi hikmah yang mendalam. Hikmah penuh siratan keadilan yang tersaksi dan terlindung juga.

Manusia hanya mahukan kesenangan dan keseronokan nafsu nafsi sahaja. Dia meninggalkan akal, ruh, fitrah, jiwa raga dan hati sanubari yang mendiami kamar kemuliaan di dalam dirinya untuk membiarkan nafsu buasnya merajai dirinya mengaut segala apa keinginannya. Apabila dia gagal memperolehinya, apatah ditimpa pula dengan bala dan musibah, nafsunya mula memberontak seperti orang gila mencabar kehidupan di sekelilingnya.

Kita, sepertilah Bob Lokman, tiada mengingini selain kesihatan, kemewahan, kebahagiaan dan kenikmatan berpanjangan. Tetapi bayangkan betapi kehendak Allah adalah melampaui segalanya. Dia melingkari kehidupan dengan kerahmatanNya agar sang hamba mendapat kenikmatan yang tak tergambar oleh nafsunya yang kerabunan sifatnya itu.

Sekarang tiba masanya Allah memberikan akal dan hati untuk mengambil peranan nafsu yang dirajakan oleh manusia. Kesakitan, kehilangan orang tersayang dan porak peranda kehidupan adalah peperangan terhadap nafsu. Nafsu terdampar lemah dan kesakitan. Saat itu akal dan fitrah hati mengambil alih teraju diri. Manusia dan Bob Lokman mula melihat dari ruang pandang yang baru dan segar.

Ada dunia baru yang sungguh harmoni dan menenangkan. Ia disendal dua tiang kukuh yang membentuk gerbang besar bernama taubat. Ia perjalanan yang sukar. Tetapi kesukaran diiring kemudahan apabila ianya di jalan Allah.

Begitulah keadilan Ilahi. Rahmat Allah melampaui kemurkaanNya. Allah tiada berlaku zalim, tetapi manusialah yang sentiasa menzalimi dirinya. Jika hijab ghaflah dan lalai telah tersingkap, manusia tiada ingin selain bersujud di bawah duli tuhan.

Sungguh bagus untuk terus mendengar daripada saudara Bob Lokman. Tazkirah adalah tentera Allah, seperti kata para hukama’. Bagaimana pula beliau boleh bersama PAS? Beliau memberitahu, tetapi ruang ini terhad untuk saya mengulas. Anda bolehlah ke blog saya untuk tambahan santai yang berguna.

(Artikel ini adalah untuk kolum ‘agama dan kehidupan’ akhbar Siasah)

Advertisements

Salam Kamunting,

Karnival Jom Heboh anjuran Media Prima semakin merapat dan menjengah gerbang Negeri Kelantan yang tertutup untuknya sejak sekian lama. Esok, wajah manis dua mempelai, TV3 dan peminatnya yang ramai itu akan ditemukan dalam upacara karnival kekeluargaan dan riadhah yang dijangka hangat dan mungkin, terhangat.

Ia ibarat kata sebuah kisah cinta terlara Isabela. Cinta yang terhadang oleh dua faham yang berbeza yang menjauhkan. Ia termangu di balik palang – palang yang keras, mengintai harapan dan cahaya yang mungkin membias dari celah – celah rimbunan usaha yang terus dibugari demi cinta yang lama bersemi.

Cinta adalah rasa hangat yang mendebarkan. Ia memaksa – maksa, mendesak – desak lewat hujung jemari yang halus pula. Janganlah disekat atau dibiar pergi dan biarlah ia dibiar bermain – main walau sekadar menyewah tinggi di angkasa yang bebas.

Manusia dan hiburan adalah perihal rasa suka dan cinta. Cinta itu terlalu semulajadi. Ia lahir bersama kelahiran. Sebarang kelahiran. Hiburan pula seperti gelanggang yang lapang, atau kolam yang luas. Di situ cinta akan berlari – lari atau berenang – renang sesuka sekehendaknya. Ia mahu segar dan ketawa ceria di dalam diri kerana diri tanpa cinta adalah mati.

Justeru anda tahu mengapa setelah begitu bertahun – tahun disekat, ia tidak hilang, reput atau mati. Ia termangu dan tersendat di balik palang yang menyendak itu. TV3 mahu datang dan peminatnya di Kelantan mahu berbaris – baris menyambut di kepala gerbang Kota Kelantan yang utuh binaannya.

Tetapi ia terhalang oleh halangan yang semulajadi juga. Sungguh dan paling semulajadi sekali. Itu tarik – menarik, tawar – menawar dan ulang – alik yang menghidupkan kehidupan dan menghijaukan kesemulajadian fitrah dan matlamat kehadiran langit dan bumi sekeliannya!

Anda tahu apa itu dakwah? Apa itu amar makruf nahi mungkar? Apa itu agama, wahyu, kerasulan dan ketuhanan? Itulah penyepuh yang menyinarkan kehidupan duniawi yang melalaikan.

Begini, bola sepak itukan, sejenis cinta bukan sembarangan jenis cintanya bukan? Ia hiburan yang menyesakkan perhimpunan dan menggegakkan dunia, jika dibiarkan, ia akan merempuh matahari dan bulan. Ia menyondol tanah dan menerjun di api. Tiada lagi maghrib dan isya’. Tiada lagi selain sengketa, bertumbuk dan kepanasan yang membakar. Masa itu, tiada lagi hiburan bukan?

Justeru biarkanlah ia menyesakkan, menggegakkan dan menggegarkan, tetapi biarlah matahari dan bulan itu kekal di orbitnya masing – masing agar kesemulajadiannya menghangatkan cinta itu. Itulah hiburan namanya, kawan. Gariskan garisan untuknya. Ini sempadan padangnya. Ini sempadan masanya dan ini sempadan suhunya.

Atau begini, membeli – belah itukan, itupun sejenis cinta, pada kaum hawa pula bukanlah main – main dan sembarangan jenis cintanya bukan? Ia seperti selendang buat genre seni cinta milik wanita yang anggun lagi menyerikan, jika dibiarkan, ia akan pula menjadi hiburan yang paling menyusahkan dan memitamkan otak sang lelaki sekeliannya. Waduh, ia boleh mengganas lalu memecahkan celengan bambu, mesin – mesin pintar di bank – bank, malah berupaya meruntuhkan gedung – gedung dan kota – kota membeli – belah sehingga terpaksa dibina lagi gedung – gedung dan kota – kota membeli – belah yang baru pula jadinya. Wanita sedia mengganas demi cintanya yang itu!

Saat itu, ia bukan lagi hiburan bukan? Kawan, cinta apa sampai membina istana hutang – hutangan? Ah, lari saja ke hutan ke pondok buruk dan bercinta saja dengan hutan.

Berhiburlah meneman cinta membeli – belah sang kekasih anda itu. Tapi gariskan garisan. Biarkan cinta itu berhibur dalam ruangnya yang semulajadi, yang membina dan merimbun di kedamaian hidup.

Begitulah tarik – menarik, tawar – menawar dan ulang – alik yang semulajadi. Begitulah dakwah. Begitulah amar makruf nahi mungkar, agama, wahyu, kerasulan dan ketuhanan.

Begitulah bermulanya perihal Karnival Jom Heboh, bagaimana ia berakar umbi. Bagaimana ia kemudiannya tersadai di muka muara sungai tanpa upaya memasuki bandar Kota Bharu yang telah menjenamakan dirinya sebagai sebuah bandar raya Islam.

Kota Bharu adalah sebuah bandar raya akhlak. Ia adalah rimbunan pohon hijau yang lahir dari akar dan batangnya yang gagah dan dibajai akidah. Ia setiap waktu menggugurkan buahannya dan menghembuskan harumannya ke serata rakyat dan kehidupan.

Sebuah bandar yang mesra langit. Mengaku untuk menjunjung langit dan menadah wahyunya. Justeru ia mengajak rakyatnya kepada mendirikan solat, membayar zakat harta, menyuruh kemakrufan dan menegah kemungkaran. Bagi Allahlah kesudahan sebarang perkara dan keputusan.

Pesta – pestaan seperti Jom Heboh bukanlah salah dan terlarang. Keramaian adalah fitrah yang disukai dan seharusnya dibangunkan kekuatannya agar ia memberi impak positif dan bermanfaat kepada masyarakat. Keramaian melahirkan kasih sayang, tanggung jawab, kebersamaan, keserataan dan tolong – menolong. Ia mampu memecahkan kesunyian yag membosankan, kekosongan yang mendorong kejahatan dan kejauhan yang menggamit keresahan dan ketakutan.

Di Kelantan, hiburan adalah rancak. Lihat saja bola sepak. Ia bagai pesta mingguan di stadium Sultan Muhammad IV. Lihat pula pesta hiburan dan dikir barat yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan swasta. Lihat juga pasar malam, expo – expo dan pasaraya – pasarayanya yang besar dan jenuh. Atau, pergilah ke pantai – pantainya yang sesak pengunjung di hujung minggu.

Tetapi ia bukan jenis pesta Jom Heboh versi lama yang baru dijanjikan penambah baikannya kali ini. Dulu, pihak penganjur membinanya tanpa agama sebagai rujukan. Ia hiburan yang sebahagian isinya adalah terlarang. Ilmuan ugama dalam dan luar kerajaan telah memfatwakan pengharamannya, namun ia menjadi ibarat sampah yang dikuis ke longkang.

Justeru ia dihalang daripada memasuki Kelantan.

Dan mudah anda membayangkan bagaimana ia mencetus kemarahan golongan yang tidak memakai ugama sebagai pakaiannya dan dakwah sebagai kenderaannya dari seluruh ceruk rantau, terutama daripada pemuka – pemuka politik di Kuala Lumpur. Dan anda tahu betapa sukarnya kerajaan Negeri Kelantan mempertahankan prinsipnya dalam menjawab fitnah yang begitu mudah membakar dan merebak dalam kemarau ilmu dan iman rakyat, selain berpulas otak memerah idea mencipta hiburan alternatif  yang mampu bersaing sedang koceknya pula tidaklah sendat dan padat sebagaimana pihak kerajaan pusat dan jentera – jenteranya yang dieksploitasikan sesuka hati.

Tetapi agama adalah tuntutan semulajadi. Segagah mana mereka menentang ugama, ketahanan agama adalah lebih unggul daripada itu. Sejauh mana mereka diheret nafsu dan keegoan mempertahankan jarimah dan maksiat itu, jauh lagi para pencinta ugama melangkah masuk menentang maksiat itu. Inilah tarik – menarik yang menjadi sunnah perjuangan dan kehidupan.

Kesudahan yang baik adalah harapan yang diidamkan dalam sebuah masyarakat muslimah. Dakwah selalu dikunjungi keinsafan dan kesedaran daripada setiap muslim. Masa adalah pintu taubat dan kembali yang luas terbentang menggamit mereka yang kehausan.

Apabila pihak TV3 begitu menunjukkan kesungguhan untuk menjayakan karnival Jom Hebohnya di Kelantan kali ini, pintu itu dibuka ( sememangnya jangan ditutup ) untuk tawar – menawar dan ulang – alik. Kerajaan Kelantan menggariskan garisan dan panduan dan pihak tv3 bersedia mencadangkan alternatif  lewat garis – garis itu.

Apabila ada kesedaran untuk bersama agama, adalah pertemuan sesama muslim, bahkan sesama manusia. Kerajaan Kelantan adalah sebuah negeri yang sentiasa terbuka dan untuk mereka yang terbuka juga. TV3 usah mengikut resmi UMNO, keras kerak dalam hangit ego dan sombong terhadap dakwah kepada yang benar dan iman. 

Rumah terbuka bukan bererti terbuka untuk semua sekali. Ia khas untuk para pengunjung yang memahami sudi dan budi tuannya.

Justeru rakyat Kelantan tetap menerima sekatan ke atas program Jom Heboh sedari dulu oleh kerajaannya yang berdakwah untuk umat. Kerajaan dan rakyat Kelantan tidak menutup tetapi menunggu. Menunggu sehingga wujud pencerahan terhadap konsep sebuah konsert atau karnival atau keramaian yang lebih menguntungkan pembinaan masyarakat yang madani dan islamik.

Hiburan adalah untuk gamitan cinta di dalam hati. Cinta itu rencam merencamkan hiburan untuknya. Cinta gila mendesak hiburan yang gila – gila. Rakyat Kelantan telah siap untuk menolak genre cinta yang merosakkan jiwa dan iman.

Selamat datang Jom Heboh TV3 ke bandar Kota Bharu. Semoga bandar ini menunaskan semi perubahan kepada seluruh persembahan anda di seluruh negara.

Salam Kamunting,

 

Tahniah PAS!

Di masa susah kaulah kawan

Di mana susah kaulah di depan

Untuk  yang lemah kaulah sandaran yang gagah

Untuk yang duka kaulah penawar dan penenang

Dalam ribut dan taufan kaulah tunjang

Dalam gelora dan gelap kaulah menara dan cahaya

Tiada dagang bersamamu

Tiada cemas di belakangmu

Dirimu ada kekuatan

Dirimu adalah kekuatan

Kekuatan jadi mulia bersamamu

kelemahan jadi bacul di hadapanmu

Tahniah PAS!

Musuh tidak nampak kecualimu

Musuh tidak marah kecualimu

Musuh tidak takut kecualimu

Keranamu kebatilan menjadi lebur

Keranamu kezaliman menjadi berantakan

Keranamu kejahilan menjadi hilang

Kaulah kelibat di medan

Kaulah syakhsiyah dalam kembara

Kaulah figura keramaian

Kawan dan musuh menakjubimu

Dia dan mereka menyanjungimu

Aku dan kami mencintaimu

Tahniah PAS!

Beginikah Allah memuliakanmu?

Salam Kamunting,

1- Cerita olok – olok tanpa ubah suai:

Suatu hari di pagi raya di rumah terbuka MB Kelantan..

“Tok guru, HINDRAF datang ramai sekali bising – bising di luar.” royat seorang jong kako.

“Oo, biarkan mereka masuk. Raya pun buat demo juga ko?” Tanya tok guru.

“Mereka laungkan ‘Bebaskan Nik Adli dari ISA’. Mereka buat replika besar Tok Guru dan Nik Adli sekali.” Sampuk budak Unit Amal di sebelah.

“Oh, terima kasih atas sokongan mereka. Ini baru betul, bising – bising di pagi raya. Mereka nak bertakbir pun boleh saja.” jawab Tok Guru ceria sekali sambil bergerak nak menyambut HINDRAF.

“Ayah, replika tu?” Aku tersengih – sengih tanya pandangan. Tak dak pulak replika aku.. blogger..

“Mereka Hindu. Budaya mereka begitu. Tak tengok ke masa belajar kat India dulu?” Jawab ayah, selamba rock je.

“Replika ayah tu? Besar tu!” aku memuncung mulut ala ‘carburator dung’..

“Duh bagi tahu mereka dekat balik nanti, replika tu tak payah dipacak – pacak kat mana – mana. Islam tak suka cara tu. Kalau mereka tanya kenapa, jawab, orang Melayu Islam tak boleh berlebih – lebih buat semacam patung. Kalau mereka tanya lagi kenapa, jawab, balik tanya Gobalalah. Gobala tahu jawaban tu.  Dia tahu banyak pasal Islam sebab dia dah lama kenal PAS.” Ayah bersyarah. Suruh aku pulak..

“Jangan bagi mereka terasa hati. Banyak duit mereka habis tu nak tunjuk simpati pada kita, AlhamduliLlah” Tambah ayahku mengajar berhikmah. Nasib baik, aku nak rembat je.. Aku sokong 3M. 2M pun sokong.. apatah 2TG!

( jawaban ayah aku tu sebenarnya jawaban aku la. Nama lagi cerita olok – olok. )  

2) Cerita benar dengan ubah suai:

Suatu hari di pagi raya di rumah terbuka PM Malaysia:

“Datuk Seri, HINDRAF datang ramai sekali menjerit – jerit bising – bising di luar. Bangang betul!” Kata seorang tuke kipah.

“Haa, HINDRAF? Tak pa laa. Pak Lah bagi masuk. Aduh, nak apa lagi? Samy Velu dah aku pecat dah..? Mata Pak Lah tercelik luas – luas tanda sedar, tak tidur.

“Mereka laungkan ‘Bebaskan HINDRAF dari ISA’. Mereka junjung replika besar Anwar dan Azizah.” Sampuk mek puteri UMNO di sebelah tuke kipah.

“Mengapa sungguh tak beradab sekali HINDRAF ini. Pembangkang memang tak jaga sopan santun budaya rakyat Malaysia!”

“Guna ISA tu yang lagi tak beradab!” Tiba – tiba tersembur peluru nyaring dari belakang. “Opss, Zaid Ibrahim kata, bukan saya.” Muhyidin Yasin menutup mulut, tersasul pulak. Pecah dahh..

“Tengok tu, dengan Najib pun mereka tak bersalam. Huh, Anwar dah jadi patung dipuja – puja pula. Ini bukan budaya kita! Dah lah gitu, membazirkan wang saja” Jampuk Ali Rustam sambil menyinsing lengan melihat jam tangan baru. Rosmah bagi.. Harga taklah sampai sejuta pun.. 

“Aa aaa, ini haram li zaatihi nih! Yang sembah tugu negara tu haram li ghairihi saja. Niat baik tak apa laa.” Seorang ahli Majlis Ulama UMNO mengeluarkan fatwa pertama selepas dilantik semalam!

Moral cerita: Buat baik dibalas baik, buruk dibalas buruk. Demontrasi adalah isi demokrasi. ISA adalah jenayah rimba. Hapuskan ISA. Jangan jadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Hormati budaya sesama kita. UMNO mabuk lautan lupa daratan.  Ulama UMNO adalah terompah kayu. Elak perpecahan sesama sendiri. Bersatu teguh bercerai roboh. Islam adalah penyelesaian. Sentiasa mencari jalan hikmah. Replika besar manusia hendaklah dijauhi demi menutup jalan syirik. Sokong komen Dato Presiden. Sokong nasihat Dr Asri. Tahniah Unit Amal!

( Malam ni free sikit. Asah bakat berkarat. Skrip ni lulus tak untuk IKIM.FM? )

Salam Kamunting,

Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam ( MPKB-BRI ) akan menyambut ulang tahun ke 3 perisytiharan bandar Kota Bharu sebagai sebuah bandar raya Islam bersempena tahun melawat Kelantan 2008 bermula Ogos hingga Oktober 2008 ini.

Beberapa program besar dan menarik akan diadakan dengan tujuan memberi kesedaran dan menarik sokongan semua pihak ke arah menjayakan matlamat menjadikan Kota Bharu benar – benar memenuhi ciri – ciri sebuah bandar Islam menjelang 2015 akan datang.

Antara yang dicadangkan untuk hiburan dan kesukaan remaja terutamanya adalah konsert rock yang akan melibatkan beberapa artis terkemuka tanah air. Ella, Mas Idayu dan artis perempuan lain tidak akan dijemput untuk konsert terbuka ini.

Dalam mesyuarat jawatan kuasa induk Sekretariat Bandar Raya Islam yang dipengerusikan YB Dato Hj Takiyudin bin Hasan itu, saya menyokong cadangan tersebut yang disetujui sebulat suara oleh mesyuarat.

Saya tak tahu sangat apa rock rock ni. Yang saya tahu muziknya kuat, bising dan rasa celaru. Itu telinga sayalah. Tapi peminat rock mungkin lain. Sesetengah lagu nasyid pun saya rasa serabut.

Tapi, dengar ikut corong IKIM tu, ada beberapa lagu yang sungguh sedap sekali dihayati nyanyiannya. Saya tak tahu pula siapa penyanyinya. Garau macam Ramli Sarip atau M nasir. Kot Dhuat79 tak tahulah saya..

Saya sokong bukan kerana saya minat dan nak pergi tonton. Masa Mawi datang dulu, ayahanda pergi, saya tak pergi. Dia pergi ada mesej. Oleh kerana mesejnya sudah cukup, saya tak perlu pergi lagi apatah saya tak ada rasa minat pun. Jumpa Mawi, saya nak bersalamlah sebab dulu tak ketemuan..

Saya rasa confirm Amy Search dalam senarai pertama yang akan dijemput. Ini mungkin saya kena pergi sebab saya jemputnya datang ke Kelantan dulu. Paling tidak saya kena bersalam awal dengannya. Daftar diri untuk makluman.

Nak jemput siapa lagi? Ada cadangan daripada anda? Kalau boleh sebut lagu apa yang bagus – bagus..

Jika anda tak setuju konsert rock rohani ni, bolehlah nyatakan di sini. Saya pun rasa seriau semacam dengan nama ‘rock rohani’ ni.. Rock jasmani mudahlah saya faham..

 

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

September 2017
I S R K J S A
« Jun    
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
252627282930  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa