Fasal 1:

Mengingkari Fikrah Islam Yang Syumul ( menyeluruh )

Mengapakah para ulama Islam mencampurkan politik dengan ugama?

Pemikiran ‘Islam yang syumul’ yang diingkari oleh golongan sekular dan Marxis sebenarkan telah diterima secara sepakat oleh para ulama Islam dan pejuangnya sebagaimana waqi’ yang dapat dilihat hari ini.  

Kita saksikan bahawa golongan pembaharu/pengislah di zaman moden ini, bermula daripada Ibnu Abdil Wahhab, al Mahdi, Khairuddin at Tunisi, as Sanusi, al Amir Abdul Qadir dan Jamaluddin al Afghani, seterusnya al Kawakibi, Muhammad Abduh, Syakib Arsalan, Rasyid Ridha, Hasan al Banna di Mesir, juga Ibnu Badis dan rakan – rakannya di Aljeria, Ilal al Fasiy di Maghribi, al Maududi di Pakistan dan lain – lain semuanya telah menerima ‘Islam yang syumul’ dalam akidah dan syariat, dakwah dan daulah serta ugama dan politik.

Bahkan, bukan setakat buah pemikiran, malah mereka sendiri terpaksa menempuh debu – debu politik secara praktikal dan menanggung segala ujian dan kesusahan. Mereka melakukannya kerana 3 sebab utama:

1) Menyeluruhnya pengajaran Islam:

Islam yang disyara’kan Allah, tiada satu pun aspek kehidupan kecuali dinyatakan hukum – hakam dan arahannya. Ia merangkumi setiap aspek kehidupan; jasmani dan rohani, individu dan masyarakat.

Lihat firmanNya: an Nahli: 89. Lihatlah dalam al Baqarah: 183, 178, 180 dan 216 bagaimana Allah mewajibkan perkara – perkara tersebut hanya menggunakan satu perkataan yang sama iaitu ‘diwajibkan’ ( kutiba ) ke atas kamu’.      

Perkara – perkara itu adalah puasa ( ibadat ), qisas ( jenayah ), wasiat ( kekeluargaan Islam ) dan peperangan ( politik negara ). Maka bagaimanakah boleh dibayangkan seorang mukmin menerima ibadat puasa sahaja dan menolak yang lain, sedangkan Allah menggunakan kalimah mewajibkan ( kutiba ) yang sama sahaja. 

Syariah Islamiyah menghukum setiap perbuatan mukallaf. Tiada satu perbuatan atau kejadian kecuali adalah sahaja hukum syariat yang lima itu berlaku, iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus sebagaimana yang telah diterima pakai oleh ulama usul dan fuqaha daripada segenap kumpulan dan mazhab Islamiyah.

Dalil kesyumulan daripada al Quran: an Nahli: 89 dan Yusuf: 111.

Telah pasti bahawa RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam tidak pernah membiarkan sesuatu perkara yang mendekatkan diri kepada Allah atau menjauhkan diri daripadaNya kecuali akan disuruh atau dilarangNya jua sehinggalah Islam itu menjadi begitu jelas, malamnya seperti siang.

Islam adalah risalah kehidupan seluruhnya. Ia adalah risalah manusiawi, alami dan sepanjang zaman.

Sesiapa yang membaca buku – buku fiqh Islami dalam pelbagai mazhabnya pasti mendapati rangkumannya terhadap seluruh aspek kehidupan. Ia dapat sahaja diperhatikan oleh pelajar baru, apatah para ulama.

2) Islam menolak pemecahan hukum – hakamnya

Agama Islam sedari awal menolak pemecahan hukum – hakamnya kepada bahagian – bahagian yang terpisah – pisah dengan mengambil atau menolak sebahagiannya.

Al Quran secara keras mengingkari Bani Israel yang mengambil jalan ini. Lihat al Baqarah: 85.

Apabila segolongan Yahudi berhasrat memeluk Islam dengan mensyaratkan mereka boleh mengamalkan sebahagian syariat mereka seperti keharaman ( kemuliaan ) hari Sabtu, RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam menolaknya sama sekali. Kerana itulah Allah menurunkan ayatNya: Lihat al Baqarah:208.

Allah memerintahkan RasulNya dengan firmanNya: Lihat al Maidah:49.

Dalam ayat ini Allah mengingatkan rasulNya akan golongan bukan Islam yang mungkin memesongkannya daripada sebahagian hukum Islam. Ia adalah juga arahan ke atas seluruh orang yang memerintah umat Islam selepasnya.

Hakikatnya, pengajaran Islam dan hukum – hakamnya tidak akan memberikan hasil terbaiknya sehinggalah dilaksanakan sepenuhnya. Sebahagiannya mengikat sebahagiannya.

Ia sepertilah kaedah pengubatan yang menyeluruh seperti pengambilan ubat yang pelbagai, sekatan dan pantang serta mengadakan latihan tertentu. Ia mesti dilakukan semuanya. Jika tidak, ia gagal memberi kesan.

3) Kehidupan itu satu, tidak berjuzu’ – juzu’.

Kehidupan adalah satu dan sepadu. Maka kehidupan tidak mungkin jadi baik jika Islam datang hanya untuk menyelesaikan sebahagian aspek sahaja seperti masjid dan kelas – kelas pengajiannya. Aspek – aspek lain ditinggalkan untuk disudahkan oleh mazhab, pemikiran dan falsafah manusiawi. 

Mana mungkin Islam menguruskan masjid, sedangkan sistem manusiawi yang sekular menguruskan  sekolah, universiti, radio televisyen, mahkamah, teater dan lakonan serta pasar dan jalan raya. Ringkasnya, kehidupan seluruhnya!

Begitulah juga jika hanya urusan rohani sahaja diselia oleh ugama, manakala urusan fizikal, akal dan emosi manusia pula diseliakan oleh negara tanpa ugama, ia pasti gagal.

Manusia itu satu yang tidak boleh dijuzu’ -juzu’kan. Begitulah kehidupan.

Bahkan semua falsafah, ideologi dan fahaman revolusi dan perubahan di dalam sejarah lalu dan juga dunia hari ini menyaksikan bagaimana mereka memiliki acuan pandangan yang menyeluruh. Justeru mereka menolak untuk membelah – belah kehidupan. Mereka tidak hanya menguasai sebahagian dan membiarkan yang lain. Bahkan mereka menguasai semuanya dan mendorongnya kepada falsafah dan ideologi masing – masing.