You are currently browsing the category archive for the ‘zakat’ category.

Salam Kamunting,

Selamat Hari Raya Eidul Fitri saya ucapkan untuk semua pembaca. Semoga kita dikurniai segala keberkatan dalam kehidupan daripada Allah, tuhan yang menciptakan kita.

Hari raya sungguh menyeronokkan. Allah mahu hambaNya yang beriman bergembira semuanya.

Hakikat yang Allah mahu kita sedar adalah bahawa hanya yang beriman kepadaNya di dunia ini sahaja yang patut hidup bergembira, sementara yang lain sepatutnya menangis bersedih. Sebabnya, hanya yang beriman yang hidup bersuluh di dunia ini, sedang yang lain meraba – raba tanpa suluhan hidayat. Bolehkah mereka yang meraba di dalam kegelapan ketawa bergembira? 

Para ulama menyatakan antara hikmat golongan miskin juga wajib menunaikan zakat fitrah di hari raya eidul fitri adalah demi mewujudkan rasa seronok memberi di dalam hati mereka selepas asyik dan selalu menerima dan meminta – minta. Orang yang memberi, membantu dan menyumbang akan mengecapi kemanisan dan kemuliaan yang tak akan dirasai dan dikecapi oleh orang yang menerima. Pada hari raya, golongan miskin bergembira kerana mereka juga memberi sebagaimana mereka juga menerima. Mereka tidak merasa tersisih untuk turut bergembira di hari raya.

Slogan kegembiraan adalah ‘Allahu akbar’. Bertakbirlah di malam dan pagi raya sekuat – kuatnya dan sebanyak – banyaknya. Mengapa bertakbir? Supaya setiap muslim sentiasa dalam ingatan mereka bahawa tiada kegembiraan hakiki dalam kehidupan kecuali beroleh hidayat Allah.Justeru besarkanlah Allah. Kemudian, biarlah kerja dakwah dan mengajak kepada Allah itu menjadi satu tugas yang menyeronokkan, bukan membebankan.

Tidakkah membesarkan Allah ( bertakbir ) itu menakutkan sekali di sisi sesetengah umat Islam sendiri? Ah, berseronoklah dalam membesarkan nama tuhanmu..  ( UMNO lebih seronok menggunakan slogan ‘hidup Melayu’ dan meremehkan kalimah ‘Allahu akbar’. Merekalah kelompok muslim yang bacul )

Gembira kita bukan kerana kedatangan Syawal. Gembira kita adalah kerana kedatangan Ramadhan. Kerana kejayaan memperolehi taufik dan hidayat yang pelbagai di sepanjang bulan Ramadhan, kita digalakkan bergembira kerananya di bulan Syawal. Tiada indah Syawal tanpa Ramadhan.

Tidakkah kesedihan di pagi Syawal adalah kerana pemergian Ramadhan? Tetapi ketepikanlah kesedihan itu dan gantikanlah ia dengan kegembiraan kerana Ramadhan tidak pergi kecuali dengan meninggalkanmu sejambak hidayat yang sangat berharga.

Marilah kita mengambil ingatan di Syawal yang mulia ini dengan mengingati hidayat Ramadhan:

1) Ramadhan bulan al Quran – hidup tanpanya adalah hampa walau dipenuhi segala nikmat dan kesenangan. Al Quran adalah ubat dan penawar kecelaruan kehidupan.

2) Ramadhan bulan ketaqwaan – Setiap yang beriman mesti mengimpikan untuk semakin mendekati dan mendampingi tuhannya di setiap masa dan langkah. Tiadalah jalan untuk mendekatiNya selain taqwa. Memperolehi taqwa adalah pemburuan setiap hamba yang beriman.

3) Ramadhan bulan al jihad – Jihad adalah berkerja keras dan bersungguh – sungguh. Jihad adalah berkeringat menahan diri daripada godaan duniawi, berpeluhan melonjakkan diri ke alam samawi  yang lebih tinggi dan bersembur darah mempertahankan iman dan agama. Bermula dengan melawan serakah nafsu dan memuncak dengan melawan musuh Islam dengan segenap harta dan kepunyaan. Setiap muslim adalah mujahid semestinya. Hidupnya dipenuhi episod perjuangan.

4) Ramadhan bulan kesabaran – Sabar adalah sifat paling mulia didamba muslim. Ramadhan menemukan kita dengan keindahan memiliki sifat sabar. Ramadhan menjadikan kita teruja dan kepinginan untuk mencontohi mereka yang bersabar ( as saabirin ). Janji Allah adalah menggiurkan sekali untuk mereka.

5) Ramadhan bulan kebaktian – Berbakti adalah pengenalan diri setiap muslim. Hidup berbakti adalah diari setiap muslim. Seawal kebaktian adalah beriman kepada Allah dan mendirikan solat. Ia memanjang dengan menyumbang segala kepunyaan demi kebahagiaan semua insan dan mkhluk ciptaan Allah. Ramadhan mengajar kita untuk hidup penuh pemurah.

6) Ramadhan bulan kemenangan – Ramadhan mengajar kita bahawa setiap kita adalah pemenang di dunia ini. Kekalahan adalah perjalanan, sementara kemenangan adalah destinasi. Dengan Allah, tiada musuh yang tak akan kalah.

7) Ramadhan bulan puasa dan bulan qiamul lail – Puasa adalah tiang rukun agama. Puasa adalah perisai setiap muslim. Justeru di dalam menempuh badai ujian, setiap muslim harus menjadikan ibadah puasa sebagai senjatanya yang tak lekang. Manakala solat dan beribadah di malam hari adalah cahaya. Kegelapan malam adalah menakutkan. Dalam kegelapan itulah setiap yang bangun beribadah membina keberanian. Mereka kekal dalam kecerahan 24 jam. Ibu malam adalah Lailatul Qadr.

Begitulah ingatan hidayat Ramadhan yang mesti disimpul kejap di dalam ingatan setiap kita.

Hari raya memberikan kita satu kekuatan untuk membina keazaman baru dalam meneruskan kehidupan yang lebih mulia dan bermaruah. Justeru bersamalah menjadikan setiap bulan adalah Ramadhan.

Salam Ramadhan,

Kewajiban semasa kita di bulan Ramadhan ini selain ibadah puasa adalah zakat fitrah. Ia diwajibkan ke atas setiap muslim, samada lelaki atau perempuan, kecil atau besar, merdeka atau hamba, kaya atau miskin. Ia zakat kepala ( individu ) dan bukan zakat harta yang mensyaratkan cukup nisab.

Zakat fitrah wajib ke atas setiap insan muslim yang hidup saat tenggelamnya matahari akhir hari bulan Ramadhan, memasuki bulan Syawal ( malam hari raya ). Ketua keluarga mestilah melaksanakannya atas diri dan anak buah di bawah tanggungannya. Terkecuali adalah si fakir yang tidak mampu menyediakan makanan untuk dirinya sendiri pada hari raya tersebut.  

Ia mesti dilaksanakan bermula malam raya sehinggalah sebelum solat Hari Raya eidil Fitri keesokannya. Ia harus juga dilaksanakan lebih awal sepanjang bulan Ramadhan. Melaksanakannya selepas solat raya akan menghilangkan pahala dan keberkatan zakat fitrah. Melewatkan pelaksanaannya sehingga terbenam matahari hari lebaran itu adalah berdosa. Zakat fitrah tidak akan luput sehinggalah ianya dilaksanakan.

Kadar zakat adalah segantang makanan asasi setempat ( seperti beras ) atau senilainya dengan wang. Oleh kerana keperluan hari raya orang faqir miskin adalah pelbagai sepertilah kita, maka sesetengah ulama hari ini melihat melaksanakannya dengan nilai wang adalah lebih baik.

RasuluLlah menetapkan kewajiban dengan timbangan makanan atas dua faktor ( menurut ulamak ): Pertama, masa itu matawang adalah sukar dan bukan medium utama jual beli masyarakat Arab. Kedua, Nilai wang tidak tetap. Ia mungkin berbeza – beza mengikut masa, tempat dan suasana, sedangkan timbangan makanan adalah tetap. Secupak hari itu mengeyangkan sejumlah yang sama hari ini.

Hikmat diwajibkan zakat fitrah:

Hadis riwayat Abu Daud daripada Ibni Abbas radiaLlahu anhu, dia berkata: RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam telah memfardhukan zakat fitrah sempena bulan Ramadhan demi penyucian terhadap orang yang berpuasa di atas perbuatan lalai dan buruk yang dilakukan sepanjang puasa, juga demi memberi makan kepada golongan miskin. Barang siapa menunaikankannya sebelum solat ( Eidil Fitri ), maka ia adalah zakat yang maqbul. Barang siapa yang menunaikannya selepas itu, maka ia adalah sedekah ( tiada lagi pahala zakat fitrah walaupun terlaksana kewajiban itu ).

Syeikh Dr Yusuf al Qaradhawi berkata:

Sesungguhnya orang yang berpuasa tidak boleh lari daripada mencampur adukkan puasanya dengan perkara – perkara yang lalai dan buruk seperti perbualan kosong dan bohong yang dia ucapkan atau dengarinya, atau melihat pada perkara yang tidak diharuskan untuknya, atau lain – lain seumpamanya.

Allah taala pula menghendaki agar orang yang berpuasa itu hidup dalam keadaan yang bersih sekali. Tiada lalai dan tiada dosa. Dia menghendaki sebuah kehidupan di bulan Ramadhan seolah – olah sebuah kehidupan di syurga yang disegerakan untuk manusia di dunia ini. Apabila dihina atau diperangi, maka dia tidak boleh membalas cercaan dengan cercaan juga, atau keburukan dengan keburukan, bahkan hendaklah dia membalas keburukan itu dengan kebaikan dan dia berkata, ” Sesungguhnya saya tengah berpuasa. Sesungguhnya saya tengah berpuasa.”

Inilah dia kehidupan orang yang berpuasa dengan puasanya. Bukanlah puasa itu hanya dengan menahan diri daripada makan dan minum. Bahkan ia menahan diri daripada kelalaian dan keburukan, kebisingan dan kejahilan, kebodohan dan kenistaan, kepalsuan dan kebatilan.

Inilah yang Allah tuntut daripada mereka yang berpuasa. Tetapi, siapakah antara kita yang berpuasa yang mampu sampai ke martabat tersebut? 

Sesungguhnya orang yang berpuasa selalu sahaja bercakap lalai dan acap kali dia bercakap nista dan bodoh. Justeru datanglah kefardhuan zakat fitrah di hujung Ramadhan demi membersihkan orang yang berpuasa daripada kemungkinan apa yang akan mengeruhkan kejernihan dan campur baur puasanya itu dengan kekotoran tadi.    

Telah diriwayatkan dalam satu hadis: ” Puasa di bulan Ramadhan itu tergantung di antara langit dan bumi, tidak diangkat ke langit kecuali ditunaikan zakat fitrah.”

Maksud tergantung itu adalah bahawa penerimaan Allah terhadap puasa itu tidak sempurna. Ia tidak sempurna sehinggalah dilaksanakan zakat fitrah tersebut. Dari satu sudut ia membersihkan orang yang berpuasa dan dari sudut yang lain ia memberi kenyang kepada golongan miskin.

RasuluLlah telah bersabda dalam hadis yang lain, ” Cukupkan mereka daripada meminta – minta pada hari raya tersebut.” Jangan dibiarkan si miskin walau seteruk mana faqirnya, sebesar mana keperluannya untuk menghulurkan tangannya meminta – minta pada hari lebaran, hari kegembiraan dan keseronokan.

Wajib ke atas kaum muslimin untuk turut menyertakan golongan miskin bersama – sama bergembira di hari raya tersebut. Justeru zakat fitrah diwajibkan. Ia memberikan golongan faqir sebelum mereka meminta, sebelum dia menjatuhkan air mukanya dan sebelum dia menghulurkan tangannya ( sumber: laman web www.qaradawi.net. )

Islam agama persaudaraan:

Allah suka mengembirakan kita dengan pengampunanNya ke atas kesalahan dan kekurangan yang kita lakukan sepanjang ibadah di bulan mulia ini. Justeru kita dituntut untuk mengembirakan fakir miskin dengan menampung kekurangan mereka demi kegembiraan bersama di hari lebaran.

Apabila anda melihat kewajiban dan hikmat pensyariatan zakat fitrah di atas, jelas sekali untuk kita memahami bahawa Islam adalah ugama persaudaraan antara manusia. Ia telah sedia lama wujud sebelum datangnya seruan – seruan dan slogan – slogan yag sama daripada barat atau timur hari ini.

Ini, apatah anda akan terus meneroka kehebatan Islam berbicara pasal kesamaan dan pembelaan terhadap golongan marhain di bawah dalam setiap serunya. Mereka adalah seperti kita jua.

Jadi, mengapa harus kita memperkecilkan ugama sendiri dengan mendewakan ketinggian ideologi munusiawi yang penuh kepincanagan untuk menyusun cara hidup kita?  

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Mei 2024
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa