You are currently browsing the category archive for the ‘ulama’ category.

Salam Palestin,

Saya terlewat dua hari. Baru sekejap tadi jengok Malaysian Insider cari berita pasal Prof Dr Abdul Aziz Bari kritik Yang Berhormat Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang untuk ke sekian kalinya.

Tapi dah ada tiga berita rupanya. Kelmari dulu beliau kritik lalu semalam dikritik pula oleh para pemimpin PAS dan hari ini beliau datang lagi mempertahankan kritikannya itu. Ini saya tulis ini kira himpun yang tiga-tiga tu jadi satu.

Terima kasih Prof Aziz kerana kritik. Tahniah Dewan Pemuda PAS Wilayah kerana ‘mengamuk’ dan terima kasih sekali lagi kepada Prof Aziz kerana melarang mereka yang muda-muda itu daripada mengamuk. Antara pantang larang orang-orang akademik ialah tidak boleh mengamuk. Mengamuk tanda tidak akademik dan ilmuan. Nasib baik mereka dah habis belajar di universiti. Jika tidak Prof Aziz akan anggap mereka mahasiswa yang tidak akademik dan berilmu.

Di universiti sekarang, yang terlebih mengamuk ialah kumpulan pro pembangkang. Adapun mahasiswa yang pro kerajaan mereka tidak buat perangai mengamuk. Mereka pada sisi pandang Prof Aziz Bari adalah lebih akademik dan ilmuan. Inilah masalah pembangkang, asyik melahirkan penyokong yang mudah mengamuk. Tak puas hati sikit mengamuk. Dikritik sikit, mengamuk. Mengkritik pun mengamuk.

Tapi saya pula ucap tahniah pada rakan-rakan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Bukan hanya kerana mempertahankan balik presiden mereka, tapi kerana mereka dianggap pengamuk oleh Prof Aziz. Saya tak fikir mereka rasa mereka sedang mengamuk semasa tindakan mempertahan itu berlaku. Hanya apabila Prof Aziz kata jangan mengamuk, baru mereka sedar tindakan mereka adalah amukan kepada Prof Aziz di mata Prof Aziz sendiri.

Jadi tindakan mereka cukup berkesan sehingga dianggap satu amukan oleh seorang bertaraf ilmuan dan akademik. Itu bukan calang-calang. Jadi saya fikir kena ucap tahniah kepada rakan-rakan saya itu. Saya sendiri memang tak boleh mengamuk dah. Dah dua hari terlewat. Mengamuk bukan boleh buat-buat, apatah main tangguh-tangguh.

Untuk pengetahuan, baru- baru ini saya tengok di TV ramai orang mengamuk di Mesir dan Tunisia. Hasilnya tumbanglah kedua-dua kerajaan yang sedia ada. Dengar kata, kerajaan tersebut sebelum itu tak suka rakyatnya mengamuk, malah menyekatnya. Nampaknya, mengamuk ini tidak disukai oleh orang-orang akademik seperti Prof Aziz Bari dan kerajaan yang zalim seperti Husni Mubarak.

Tetapi di sisi orang-orang berilmu di medan kehidupan dan perjuangan, oleh kerana sifat amuk itu berakar semulajadi dan tabie sifatnya, apatah di kalangan orang-orang Melayu mengikut kata orang putih, mereka telah menjadikannya satu aset penting memacu perjuangan dan kejayaan. Di Mesir tadi contohnya, amukan rakyat marhaen dan anak-anak muda itu telah disusun dan ditarsyidkan dengan sempurna oleh orang-orang berilmu yang berbakti di medan kehidupan dan perjuangan. Dikatakan, para ulama banyak memainkan peranan besar mengurus kerja-kerja tarsyid terhadap amukan rakyat tersebut sehingga membuahkan hasil yang diinginkan oleh semua termasuk Prof Aziz sendiri, iaitu kemenangan menumbangkan kezaliman. Para ulama tersebut walau bagaimanapun, sepertilah tuan guru presiden, biasanya dianggap lembap, kurang strategi dan terlalu ukhrawi dan kurang duniawi.

Mungkin kerana itulah saya gembira dengan ‘amukan’ pemuda Wilayah itu. Ini kerana mereka mengamuk mempertahankan ulama. Oleh kerana ulama ini kerja besarnya adalah tarsyid dan mengurus kebangkitan umat, maka saya yakin pemuda Wilayah, bahkan seluruh pemuda PAS akan sentiasalah amukan mereka itu terurus dengan baik kerana sentiasa diurus para ulama yang dipertanggung jawab oleh Allah untuk mengurus umat Islam sampai bila-bila selagi tak kiamat.

Tapi, Prof Aziz Bari tak boleh mengamuk. Pertama beliau tak suka orang mengamuk, maka mana boleh dia memgamuk? Kedua, jika beliau mengamuk tak ada ulama atau sesiapa pun boleh uruskan dia. Lihat saja dua tahun lepas, beliau telah mengamuk dan amukannya tak henti-henti sehingga datang mursyidul am PAS mengarahkan sebuah muktamar tergempar parti PAS untuk ‘menyelesaikan’ amukan Prof Aziz itu. Susah habis segala orang bila amukan tiada tarsyid berlaku.

Mungkin Prof Aziz Bari tak merasa pun dia mengamuk pada masa itu, tetapi saya dan ramai melihat dia telah mengamuk. Samalah seperti Prof Aziz anggap pemuda PAS Wilayah mengamuk hari ini sedangkan mereka tak rasa pun mereka sedang mengamuk.

Untuk pengetahuan, orang mengamuk secara umumnya memang tak sedar dia mengamuk. Kita hanya boleh melarang orang mengamuk selama mana kita sendiri tidak dalam dunia amukan.

Kemudian, Prof Aziz Bari nampaknya begitu bersyukur PAS kalah di Beting Maro, Sarawak dalam pilihan raya negeri itu baru-baru ini. Agak lama beliau tidak memiliki peluru buat membedil tuan guru presiden. Bayangkan jika PAS menang, peluru itu pasti bertukar menjadi peluru plastik. Prof Aziz akan bungkam atau jika dia mahu menembak juga dia akan berkata, sepatutnya PAS menang di dua atau tiga kerusi yang ditandinginya atau PAS sepatutnya bertanding di seluruh DUN majoriti Islam! Ha, keplastikan sangat peluru itukan. Maka mari bersyukur PAS kalah di Beting Maro..

Kemudian, Prof nampaknya terus mengagumi dan meratapi pemergian almarhum Dato Fadhil Nor. Seolah-olah beliau berkata, oh, kalaulah almarhum masih hidup, bla bla..

Saya pula lain. Bagi saya nasib baik beliau telah pergi menemui kekasihnya yang hakiki itu. Kerana ‘jikalah’ beliau hidup, siapa pula akan memimpin Pakatan Rakyat? Fadhil Nor atau Anwar? Saya naik bimbang pula bahawa Prof Aziz pada masa itu akan menghentam Anwar pula semacam RPK lakukan atau mencincang lumat almarhum Dato Fadhil Nor sambil berkata, “Kamu ni menyusahkan, sepatutnya kamu telah mati 10 tahun lepas lagi.” Bahasa orang mengamuk mana boleh agak?

Jadi, bagi saya, ketiadaan almarhum yang telah dipilih awal oleh Allah itu adalah kebaikan untuk semua. DSAI selesa memimpin PR dan Prof Aziz pula selesa melibas sana sini, wassana wassini.

Akhirnya, bagi saya, presiden PAS adalah liabiti jika;

Pertama, jika beliaulah yang telah mengumumkan Baru Bian sebagai bakal Ketua Menteri Sarawak dalam PRN Sarawak baru-baru ini yang telah menyebabkab PBB memperolehi undi swing Melayu Melanau Islam di sana dengan mudah dan percuma yang menyebabkan PAS apatah PKR sendiri kehilangan banyak undi.

Kedua, jika beliaulah yang mendesak MB Kelantan agar mengekalkan
larangan premis jualan untuk judi loteri yang mencetuskan kemarahan DAP, MCA, kaki judi dan sebahagian non muslim lelaki (wanita mana suka suami berjudi?).

Ketiga, jika beliau tidak suka Prof Aziz Bari mengkritiknya.

Jika tidak, maka tidaklah. Jadi, nasihat saya, teruslah mengkritik dan teruslah mengamuk. Kedua-duanya adalah bukan liabiliti buat PAS dan para ulama rabbani.

Advertisements

Salam Palestin,

Saya baru siap merumikan kata pengantar oleh ayahanda Tuan Guru kepada kitab tafsir surah al Hujuraat karangan Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang. Kini ia dalam proses untuk diulang cetak dengan kata pengantar tersebut yang saya kira akan menambahkan lagi kekuatan kitab tafsir tersebut.

Ayahanda  menulisnya dalam tulisan Jawi. Sememangnya saya tak pernah melihat tulisannya dalam bahasa Rumi. Samada Jawi atau bahasa Arabiah. Saya pula jarang menulis tangan kecuali dalam tulisan Rumi. Anda tahukan, semuanya kerana sistem pendidikan yang saya ( anda juga ) dan ayahanda telah lalui adalah berbeza. Masa saya mula bertatih menulis, tulisan Jawi telah dijahanamkan kehadirannya dalam sistem pendidikan kebangsaan oleh UMNO.

Ia dihidupkan untuk dimatikan saja. Diarsenikkan. Tetapi, ia tidak mati kerana ramai pencintanya yang telah dan akan terus mempertahankannya. Tulisan jawi adalah jiwa bangsa Muslim. Oleh kerana UMNO tiada mempertaruhkan diri untuk Islam, maka dalam pemerintahan UMNO, tulisan Jawi terus dipinggirkan dan jika ia mati, dibakar api dengan dikerat – kerat tulangnya adalah lebih baik daripada dikebumikan.

Saya yakin tulisan Jawi akan kembali unggul menyuburkan dan menyejukkan iklim negara yang panas dan berjerebu. Kerajaan Negeri Kelantan telah berusaha menghidupkan penggunaan tulisan Jawi di dalam penguat kuasaan majlis perbandaran dan acara rasmi. Diawalnya, ia kelihatan sukar, tetapi selepas beberapa lama, syarikat – syarikat besar seperti perbankan dan komunikasi mula akur dan mula seronok untuk bersama kerajaan negeri memperkasakan tulisan Jawi.  

Anda boleh melihatnya sebaik berkunjung ke bandar Kota Bharu. Saya juga yakin, dengan anugerah Allah melalui pertabalan Tuanku Sultan yang baru yang berjiwa agama, muda dan perkasa kepada negeri Kelantan dan rakyatnya, tulisan Jawi akan terus memacu menuju martabatnya. Memacu ke depan bersama Islam meninggalkan UMNO yang semakin lemah, tanpa arah dan keseorangan.  

Ayahanda agak jarang menulis panjang. Dia pernah menulis dan tulisannya dicetak dan dibukukan. Artikelnya acap diterbitkan lewat majalah – majalah ugama. Tetapi itu dulu, di alam mudanya selepas pulang menuntut ilmu di luar negara. Tetapi, mungkin kesibukannya memenuh masa dengan program kuliah ugama, ceramah dan pidato selepas itu telah menjarakkannya daripada dunia penulisan.

Pun begitu, ayahanda kekal sebagai ulat buku. Saya tidak tahu jika ada sehebat ayahanda yang telah mencecah umur 80an yang begitu ketagih membaca. Mungkin ada, tapi saya tidak tahu. Hari ini, jika saya khatam satu buku, mungkin ayahanda telah habiskan 5 buah buku. Sungguh menakjubkan.

Lebih menarik, bingkisan pengajaran yang menarik dan penuh isi oleh ayahanda telah meruntun beberapa orang muridnya yang mahir menulis untuk mula memindahkan ucapannya kepada tulisan yang dibaca. Sekitar 20 tahun lepas, beberapa buku dilancarkan hasil kerja keras anak – anak muridnya yang telah memindahkan koleksi ucapannya daripada kaset – kaset ceramah.

Buku – buku tersebut telah mendapat sambutan hangat daripada segenap lapisan masyarakat.

Kini, Allah terus membekalkan ayahanada dengan pembantu – pembantunya yang hebat. Bukan hanya pemindahan ucapan dan pidatonya, bahkan ayahanda mula ada sesi khas bersama pembantunya melontarkan idea – ideanya yang luas, lalu disalin dan dikarang menjadi artikel yang bagai tulisannya sendiri. Anda mungkin kerap membacanya di dalam akhbar Harakah dan portal maya.

Saya kira ia bermula semasa saudara Haji Anual Bakri Haron menjadi setiausaha politik ayahanda. Selain beliau adalah Ustaz Mohd saiba Yaacob, Hj Wan Nik Yosof dan Ustaz Haji Ahmad Fadhli Shaari. Kesemua adalah pembantu ayahanda di pejabat Menteri Besar.    

Dalam era media baru terkini, ‘facebook’ ayahanda telah mendapat sambutan yang cukup hangat terutama di kalangan belia remaja pencinta perjuangan Islam dan keadilan.

Kerana itu, apabila saya ajukan permohonan Dewan Pemuda PAS agar ayahanda menulis sedikit aluan sebagai kata pengantar kepada tafsir surah al Hujuraat karangan Tuan Guru dato Seri Haji Abdul Hadi Awang untuk dipersembahkan di ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS peringkat Kebangsaan di Rusila pada 1 hingga 3 Oktober 2010 nanti, beliau sanggup tetapi kelihatan agak gusar untuk menyiapkannya.

Saya memintanya menulis sendiri walau sedikit. Selepas beberapa kali bertanya, akhirnya ayahanda menghulurkan saya 4 helai kertas yang sarat tulisannya dalam Jawi. Saya pastinya teruja dengan kesediaannya meluang masa untuk menulis agak panjang. Ketika menyerahkannya, dia berkata, “Baca sendirilah”, seolah – olah meminta saya meneliti dan membaiki kekurangan.

Sambil menulis kembali dalam tulisan Rumi untuk cetakan, saya meneliti isi yang dituangkan ayahanda. Ah, sungguh klasik tulisannya, begitu ‘stylo’ isinya. Saya membiarkan tulisan itu kekal 99% dan anda akan menikmatinya sebagaimana saya, jikapun anda tidak dapat menikmati keindahan khat jawi ayahanda.

Anda mungkin terhenti seketika untuk memahami, tetapi anda pasti telahpun mengecapi kepuasan ketika berusaha memahaminya. Keasyikan itu sungguh menghentikan nafas, bahkan matahari pun terpaku menikmati mukjizat nabawiyyah. 

Ayahanda cuba melakarkan kehidupan ini sebagai anugerah Yang Maha Esa yang sungguh agung yang mesti dibalas sebagai ‘mengenang budi’. Rasa budi itulah menghasilkan akhlak dalam kehidupan manusia. Surah al Hujuraat sarat dengan pengajaran Allah agar manusia hidup berbudi dan berakhlak.

Tulisnya, “Supaya tidak terus meraba – raba, Allah dengan limpah kurniaNya mengutus para anbiya’ alaihimus salam sejak zaman – berzaman. Dan terakhir ialah nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Di antara tajuk utama yang ditekan oleh para anbiya’ ialah akhlak; Berbudi kepada pihak yang berbudi. Disebut dalam bahasa ugama; Syukur nikmat.”

Kemudian ayahanda merumuskan, “Mengenang budi atau berakhlak mulia adalah sesuatu yang terlalu sukar dilaksana manusia. Mengenang budi bermakna terpaksa korbankan kepentingan diri untuk kebahagiaan orang lain. Sedangkan naluri tamak, mementing diri adalah watak semula jadi manusia sejak alam kebudak – budakan lagi. Abang biasalah bertegang dengan adik – beradik. Kawan sebelah rumah biasa lihat ibu bapa bertegang sesama jiran. Bahkan kerajaan selalu berperang sesama kerajaan. Rakyat menjadi mangsa dan budi akhlak yang kena pijak.”

Ayahanda tidak lupa memperkenalkan pengarang Tafsir al Hujuraat. Tulisnya, ” Al fadhil Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah di antara ulama turun padang. Beliau berguru di universiti – universiti tanah haram dan di timur tengah.”

Kemudian ayahanda memuji kesungguhan pengarang yang telah berusaha mengubati penyakit yang menimpa umat Islam. Katanya, ” Beliau mengkaji punca rohani manusia berpenyakit syirik. Mengapa orang Islam sendiri ketepikan surat kiriman Allah kepada manusia ( al Quran al Karim ) lalu terpedaya dengan pemikiran manusia. Manusia adalah manusia. Ilmu manusia macam orang kampung mahu baiki komputer rosak. Makin rosak dan jahanam!”

Saya menikmati pujian ulama ke atas ulama yang seperjuangan di dalam jihad menegakkan ugama Islam yang syumul di Malaysia. Ia nikmat yang menjadikan saya membenci sesiapa yang cuba mengeruhkan hubungan sesama ulama demi cita – cita politik dan peribadi yang tohor dan gelojoh.

Semoga Allah menjirus kita dengan limpah rahmat bernaung di bawah kepimpinan ulama dan ahli al Quran.

Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang akan bersama pemuda PAS selama 3 hari dalam program Ijtima nanti. Bersamalah kita menadah dan khatam kitab tafsir karangan beliau nanti.

Anda boleh mula mendapatkan buku cetakan terbaru tafsir tersebut dalam program ijtima perdana di kampung Rusila nanti, insya Allah.

Salam Palestin,

Wujudnya ulama yang menyokong kerajaan sekular yang beragama Islam bukanlah suatu yang pelik dan baru. Sejak aliran pemeritahan sekular di negara umat Islam pasca penjajahan barat ke atas negara Islam bertapak, golongan ulama penyokong inilah yang banyak membantu ke arah ketahanan dan penerusan aliran ini sehingga hari ini, walau pun wujud faktor – faktor lain yang mungkin lebih besar.

Di negara – negara Arab, kebangkitan perjuangan ke arah Islam yang syumul yang dipelopori oleh gerakan al Ikhwan al Muslimun dan jamaah – jamaah Islam yang lain banyak direncat kemajuannya oleh fatwa, hukum, pandangan dan penentangan daripada segolongan ulama yang terus menyokong pemerintahan sekular di negara mereka. 

Mereka menjadi sebab besar kekeliruan umat dan rakyat di dalam memahami perjuangan Islam, bahkan di dalam memahami agama Islam yang benar dan asli.

Sebelum rakyat tewas, ulama ini telah tewas lebih awal. Mereka gagal berperanan kerana mereka sendiri memiliki tubuh yang cacat dan terencat di sana sini. Era penjajahan yang panjang mewariskan Islam yang semakin terpinggir daripada arus depan dan atas. Pengajaran dan pendidikan Islam yang merupakan nadi kekuatan umat telah menjadi mangsa serangan musuh yang dirancang rapi untuk dirosakkan sehingga ke akar umbinya. 

Maka lahirlah di muka depan umat sebuah Islam dalam maknanya yang tidak asli, layu  dan jauh daripada pejuang dan pendukungnya yang benar. Inilah Islam yang didokong oleh ulama jenis tadi dan merekalah yang mendodoinya sehingga para pemerintah sekular muslim menjadikan mereka sebagai tongkat yang memeberi mereka kekuatan untuk terus menjadi penguasa yang batil ke atas umat Islam sehingga kini.

Mereka ini cukup untuk digolongkan dalam dua aliran;

Pertama, aliran nifaq dan penipu yang hidup untuk dunia. Inilah golongan yang menjual agama dengan kehidupan dunia. Apabila didesak dan ditanya mengapa mereka sanggup membelakangi kebenaran, mereka tidak segan untuk menjawab bahawa kami hanya mahu cari makan, kami mahu keselesaan sebagaimana orang lain, kami memilih untuk menjauhi pertembungan dan kemudharatan dan kami sudah diberi kedudukan baik untuk menyebarkan Islam (Islam yang cacat)!

Ulama al su’. Ulama jahat. Inilah nama yang dilabelkan ugama ke atas golongan ulama jenis ini yang sering diperingatkan oleh Allah dan rasulNya sallaLlahu alaihi wasallam dengan azab yan pedih daripada sisi Allah kerana menyembunyikan kebenaran dan meredhai kemungkaran di hadapan mereka.

Kedua, aliran lemah dan jahil mengenai perjuangan Islam dan dakwah. Dalam denyut dan nada yang ikhlas untuk ugama, mereka menyeru kepada Islam sedangkan mereka sebenarnya memimpin dan menunjuk kepada kesamaran dan kekeliruan. Ia bermula daripada kefahaman mereka sendiri terhadap Islam, dakwah dan perjuangan yang cetek dan lemah.

Mereka mengenali Islam dan mempelajarinya di luar lingkungan praktikal perjuangan, sedang ugama ini mestilah difahami dan dihidupkan di dalam dunianya, acuannya yang ditetapkan Allah. Acuan Allah.

Aliran kedua ini bukanlah seburuk aliran pertama yang telah rosak keikhlasan dan telah membesar kerakusan mereka terhadap habuan duniawi yang diterima. Aliran ini walau bagaimanapun adalah penyakit yang perlu dirawati dan rawatannya adalah rumit kerana ia melibatkan kumpulan pemuka ugama yang kepada merekalah tergadai kepercayaan umat dan ke atas merekalah tanggung jawab memimpin umat ini.

Sekarang saya perturunkan beberapa inti dan persoalan, yang menjadikan aliran ini terus gagal untuk bersama dalam kelompok perjuangan Islam yang syumul yang berjalan di atas sunnah al Rasul yang jelas dan terang benderang;

1) Perihal sekularisme: Aliran ini walaupun memahami bahaya sekularisme tetapi masih meladeninya dan menganggap ia bukan bahana besar umat dan boleh diubati dengan mudah melalui nasihat dan teguran terhadap pemerintah. Justeru mereka kekal mendukung pemerintah sekular dengan harapan mampu mengislamkan mereka.

Sebaliknya, aliran perjuangan Islam memutuskan bahawa sekularisme adalah punca utama kejatuhan umat Islam dan ia menjadi senjata ampuh musuh untuk menghancurkan tamadun Islam dan umatnya. Justeru gerakan Islam melihat bahawa kebangkitan Islam dan kemajuannya tidak mungkin tercapai sehinggalah faham sekularisme ini dicabut dari akar umbinya dengan menukar pemerintahan negara kepada pemerintah Islam yang tulen dan syumul.   

2)  Perihal faham kebangsaan: Aliran ini melihat semangat kebangsaan adalah tidak bertentangan dengan Islam. Melayu adalah Islam dan Islam adalah Melayu. Maka kedua – duanya berkepentingan bersama. Justeru apabila pemerintah menjadikan kebangsaan sebagai dasar pemerintahan, mereka mempertahankannya dan melihatnya sebagai kemenangan untuk Islam.

Sebaliknya, aliran perjuangan Islam yang syumul melihat faham nasionalisme adalah umpan penjajah yang dilepaskan ke seluruh dunia Islam untuk menjauhkan mereka daripada Islam yang bersifat sejagat dan juga untuk memecah – belahkan kesatuan umat Islam sedunia agar menjadi lumpuh dan kekal tewas selama – lamanya. Justeru memerangi fahaman ini dengan menukarkannya dengan fahaman Islam yang menyeluruh, sejagat dan sederhana di sisi perjuangan Islam adalah kewajiban yang mesti dilaksanakan. Oleh kerana pemerintahan semasa umat mendukung dan membenih fahaman ini, maka mereka wajar ditukar dengan pemerintahan Islam yang sebenar.

3) Perihal teguran dan jihad terhadap pemerintah: Aliran ini melihat pemerintahan umat Islam hari ini mestilah ditaati sebagaimana arahan Allah dan rasulNya. Sebarang perlanggaran terhadap ugama seperti kezaliman, rasuah dan sebagainya hendaklah diselesaikan melalui nasihat dan teguran yang tidak menjejaskan tiang pemerintahan. Gerakan menjatuh dan menukar pemerintahan dengan apa cara sekalipun adalah bertentangan dengan Islam dan disifatkan sebagai penderhakaan terhadap ugama.

Sebaliknya, aliran perjuangan Islam melihat bahawa pemerintahan Islam yang zalim dan keluar daripada tuntutan agama berhak dan mesti ditukar jika mereka terus dan enggan berubah. Kesalahan hanya berlaku jika usaha itu membawa kepada pertumpahan darah yang disengajakan seperti menghalakan senjata ke arah pemerintah. Islam mengharamkan pertumpahan darah sesama ummat syahadah.         

Dalam konteks sistem demokrasi negara, jatuh bangun pemerintahan adalah tanpa pertumpahan darah, bahkan hanya melalui undi dan suara majoriti. Justeru menukar kerajaan zalim seperti kerajaan negara Malaysia yang sekular dan penuh penjarahan terhadap hak rakyat adalah jihad yang syar’ie dan wajib.

4) Perihal dakwah dan perjuangan Islam: Aliran ini menafsirkan kalimah ‘hikmah’ dalam berdakwah dengan tafsiran yang berbeza dengan aliran perjuangan Islam. Mereka dilihat lebih memilih jalan kompromi demi menjaga hati pemerintah dan demi memperolehi tempat dan jawatan yang mengekalkan mereka dalam enjin pemerintahan. Bagi mereka, kekal dalam kerajaan dan mengelak pertembungan dengan mereka adalah hikmah besar untuk kebaikan Islam.

Ini di sisi aliran perjuangan Islam adalah tafsiran yang mencacatkan pengertian hikmah dan perlaksanaannya. Di sinilah kedua – dua aliran tersebut bertembung.       

5) Perihal jamaah Islam: Aliran ini melihat bahawa jamaah Islam adalah setiap umat yang menyeru kepada al makruf dan menegah kemungkaran walaupun  mereka tidak terikat dengan mana – mana kumpulan Islam yang terikat dengan peraturan dan syarat jama’ie. Justeru keperluan untuk menyokong atau mendukung jamaah – jamaah Islam adalah tidak perlu selagi mereka berkerja untuk Islam juga. Taat kepada pemerintah adalah kerana pemerintah adalah jamaah Islam juga.

Sebaliknya, aliran perjuangan Islam terlalu mementingkan kewujudan jamaah Islam yang dilengkapi peraturan, ciri, syarat dan visi perjuangan yang membawa umat Islam yang hanyut tanpa khilafah yang menaungi mereka hari ini ke arah kehidupan Islami yang tunduk dan wala’ kepada pemimpin Islam di dalam jamaah sehinggalah kelahiran khilafah yang baru. Kesempurnaan Islam adalah pada mengikat diri pada jamaah Islam yang syumul.

Inilah 5 inti dan isu terpilih yang memisahkan dan membezakan ulama aliran ini dengan aliran perjuangan Islam yang dipelopori gerakan – gerakan Islam di serata dunia. Ia bermula dan berpunca daripada kefahaman yang berbeza terhadap Islam dan tuntutannya selain perbezaan pada kedalaman dan keluasan lingkaran praktikal Islami yang dilalui oleh kedua – dua aliran tersebut.

Tan Sri Hj Harussani Hj Zakaria mewakili golongan ini. Beliau aliran kedua daripada aliran ulama yang sentiasa memberikan ketaatan dan mendukung pemerintahan sedia ada walaupun beliau tahu betapa sekularnya pemerintahan kerajaan Malaysia.

Di Mesir misalnya, anda akan sentiasa menemui ulama jenis ini dengan ilmu dan sumbangan yang tidak kecil dan tidak boleh diketepikan untuk kemajuan Islam, tetapi mereka sering menjadi penghalang kepada gerakan Islam yang syumul di dalam membina keyakinan dan kefahaman terhadap ummah ke arah kemenangan Islam yang diimpikan.

Beliau bukan aliran pertama yang jelas kerosakan dan kejahatannya. Tumpukan senjata tajam anda pada ulama UMNO yang mengangguk dan sujud pada ketua mereka di dalam UMNO walaupun sampai mengharuskan judi, rasuah dan kezaliman yang berleluasa.

Gagal membezakan di antara dua aliran inilah yang akhirnya mencetuskan kata nista, hukuman dan terjahan yang salah dan tidak boleh diterima akibatnya. Islam sentiasa diawasi oleh ilmu, disiplin, adab dan hak yang mesti dijaga dan diraikan. Jika tidak, perjuangan Islam akan sentiasa dimasuki unsur yang akan mencemari sifatnya yang qudwah dan sederhana.

Selepas anda memahami pada tahap ini, anda boleh dengan mudah untuk memahami mengapa orang yang turut menyumbang kepada kemajuan Islam di Malaysia seperti Tan Sri Hj Harussani Hj Zakaria dan seumpamanya sering berbeza dengan aliran perjuangan Islam dalam beberapa isu pokok seperti;

1- Pendiriannya untuk menyokong rampasan kuasa di Perak.

2- Sikapnya untuk melihat perpaduan Melayu tanpa syarat di antara PAS dan UMNO.

3- Ketegasannya dalam beberapa isu yang menyentuh pemerintah dan kekendurannya di dalam beberapa isu yang lain.

4- Kejelasannya di dalam menganggap kesultanan mesti ditaati kerana peranannya sebagai ulul amri minkum.

5- Sikapnya yang lebih meraikan kerajaan pusat walaupun melihat kebaikan pemerintahan Islam di Kelantan dan negeri – negeri Pakatan Rakyat.

6- Ketakutannya terhadap terhapusnya Islam dengan terhapusnya ketuanan Melayu ( Melayu adalah UMNO dan UMNO adalah Melayu. PAS? )

Teruskanlah dengan isu – isu lain yang akan sentiasa lahir. Anda akan melihat perbezaan pendapat yang mengelirukan umat Islam melalui pandangan ulama seperti beliau yang akan menyanggah pandangan perjuangan Islam.

Sudah pasti, kefahaman Islam yang jelas daripada tafsiran dan pengajaran ulama Islam yang muktabar yang menyeru kepada Islam yang syumul akan menolak pandangan aliran kedua ulama kerajaan di atas yang berpunca daripada kecetekan memahami Islam dan tuntutan semasanya.

Tan Sri Hj Harussani mestilah diingatkan dengan kesilapannya, memasuki ruang yang bukan dalam bidang dan kepakarannya yang telah menjebakkan beliau ke dalam kancah pertentangan yang merosakkan reputasinya sebagai ulama yang pernah cemerlang dan dihormati kerana ketegasannya dalam isu – isu tertentu walaupun tidak disenangi pemerintah.

Beliau harus malu untuk memikul tanggung jawab yang telah mengelirukan umat Islam yang di luar kemampuannya, selain mengheret perdebatan sesama ulama dan umat Islam yang tidak perlu ke arah pembinaan sebuah negara yang lebih baik.

PAS ada hak yang jelas dalam politik Islam. Ia lahir sejak sebelum merdeka dalam dunia politik tanah air. Berikan laluan untuk PAS mendapat sokongan umat tanpa menambahkan kekeliruan yang menguntungkan musuh perjuangan. Inilah bahasa saya untuk Tan Sri. WaLlahu a’lam.

Salam Palestin,

Jika tak ada ulama masuk UMNO, maka;

1) 100% UMNO adalah buruk. Bagaimana boleh dibayangkan sebuah kumpulan besar masyarakat Islam boleh wujud tanpa tokoh ugama yang mendukung dan menasihati? Mustafa Kamal Ataturk pun perlukan sokongan ulama untuk menjayakan misi kumpulannya. Jadi, tak mungkin UMNO tak ada ulama. UMNO mesti cari ulama. Jika sebaliknya, dulu lagi UMNO dah berkubur.

2) Di manakah ulama jahat ( ulama al su’ ) hendak bersarang? Dalam PAS tak mungkin sebab PAS berjuang untuk Islam yang benar sedang mereka adalah ulama palsu dengan cita – cita palsu. Berseorangan juga tak mungkin sebab ulama jenis ini lahir kerana kepentingan duaniawi yang ditagih. Berseorangan hanya menghalangnya mendapat habuan tesebut. Menubuhkan jamaah sendiri juga tidak mungkin sebab ulama jahat tak boleh bersatu sesama mereka kerana kepentingan diri yang saling bercanggahan, apatah untuk menyatukan masyarakat. Jadi, wujud UMNO yang berkuasa adalah tuah dan syurga buat ulama jenis ini.

3) Susahlah umat Islam untuk mengenali ulama akhirat yang sebenar sebab tanpa perpecahan antara dua golongan ulama ini, sukarlah pengecaman, pengenalan dan pengasingan berlaku. Islam adalah al furqan, datang untuk membelah dan mengasingkan kebaikan daripada kejahatan. Jadi kewujudan ulama jahat dalam kumpulan jahat adalah sunnatuLlah. Begitulah sebaliknya.

4) Hilanglah bisa ulama dalam PAS. Putih zahir di tepi hitam! Orang baik zahir dengan zahirnya orang jahat. Dizahirkan kehebatan dan keabdian Musa alaihissalam dengan dizahirkan kebebalan dan keangkuhan Firaun. Ibrahim vs Namrud. Begitulah dihidupkan watak yang bertentangan sebgai pengenalan. Justeru anda tak nampak bisa ulama PAS sehinggalah anda melihat ‘bisa’ ulama UMNO. Jadi demi wibawa ulama PAS, mestilah dihantar ulama untuk masuk UMNO. Jika UMNO gagal menggoda mereka, banyak syaitan iblis akan datang membantu..

5) Siapa nak mempertahankan kezaliman UMNO dengan fatwa – fatawa yang boleh mengelirukan umat Islam sehingga terus melihat kezaliman sebagai keadilan, lalu mereka menyokongnya? Tun mahathir, siapa nak amin fatwanya menghalalkan judi?! Paling tidak, bila ulama UMNO senyap, orang akan kata judi itu harus sebab kita ini masyarakat majmuk. Misalnya itulah. Jadi, demi kekeliruan umat yang mesti dikekalkan demi kelangsungan kerajaan zalim UMNO, ulama muda atau tua mesti ada dalam UMNO. Tak boleh tak ada. Jika tak ada, dulu lagi UMNO dah tak ada. Tak ada maknanya mati. Mati dalam bahasa kasar disebut mampus! Anda boleh pilih mana satu yang berkenan..

5 sebab yang saya paparkan di atas adalah sebagai menjelaskan betapa kemasukan ulama dalam UMNO bukan satu perkara yang pelik. Bahkan ia adalah keperluan perjalanan sunnah Allah agar pengenalan, pengasingan dan pemisahan terus berlaku dalam ujianNya ke atas umat manusia.  

Yang anda perlu tahu sangat ialah ilmu dan taqwa ulama. Ilmu dan taqwa adalah hujah para ulama, bukan buih mulut, harta, kedudukan dan wajah.

Yang anda perlu tahu ialah ulama umat Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam tak mungkin bersatu di dlam kegelapan dan kezaliman. Jika majoriti ulama menyokong UMNO, ia adalah satu hujjah UMNO adalah benar. Jika 40 ulama masuk UMNO manakala baki 40000 kekal dlaam perjuangan Islam, itu adalah hujjah UMNO adalah karut dan sesat.

Katakan, 40000 itu adalah ulama warisan umat Muhammad, manakala 40 itu adalah ulama warisan Yahudi. Persetan ulama Yahudi dalam umat Muhammad. Teruskan perjuangan dengan kepimpinan ulama yang bertaqwa..

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

September 2017
I S R K J S A
« Jun    
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
252627282930  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa