You are currently browsing the category archive for the ‘kuala terengganu’ category.

Salam Kamunting,

Bukan susah pun  untuk pasukan Malaysia menang ke atas pasukan bola sepak Brazil. Kita hanya perlukan satu senjata yang ampuh. Rasuahkan pengadil!

Kitakan negara kaya. Setakat RM50 jutalah katakan, demi kegemilangan bola sepak negara, takkanlah kita tak boleh keluarkan sejumlah itu dari perbendaharaan negara untuk merasuah seseorang yang pasti boleh memberikan kemenangan kepada pasukan negara kita. Pengadil itu pasti akan menyertai kita dengan melayangkan kad merah ke atas 4 pemain ( 3 Melayu, satu Cina! ) Brazil yang pemain kita cederakan. Kemudian batalkan semua  jaringan gol oleh Kaka atau Robinho dengan alasan off side atau foul atau sebagainya. Pada minit – minit akhir pun boleh, asalkan Malaysia kita dihadiahkan sepakan penalti setelah pemain Brazil dijatuhkan di luar petak penalti. Kemudian jika tendangan itu tersasar, ulanginya sehingga masuk GOLL!

Soal FIFA nak pecat pengadil, itu soal lain. Jadi pengadil sampai mati pun, dia takkan dapat wang sebanyak itu. Soal kemenangan itu ditarik balik, itu soal lain juga. Depan hari kita menang lagi, sebab kita banyak duit dan kita korbankannya demi kegemilangan negara.

Bukan kata Malaysia, Perak pun boleh kalahkan Brazil. Israel guna bom, kita guna rasuah. Israel membunuh beribu – ribu manusia, kita menghidupkan beribu – ribu manusia dengan rasuah!  Israel zalim, kita adil.

Anda sedih dengan apa berlaku di negeri Perak hari ini? Juga esok?

Ya, semua yang menyanggah perumpamaan di atas pasti akan sedih dengan apa yang menimpa negeri Perak.

Dalam politik Malaysia, SPR adalah pengadil. Apabila SPR menyebelahi parti politik kerajaan dan menolak parti pembangkang, anda tentu tahu SPR telah curang dalam kerja dan amanah negara keatasnya. Tiada yang menjadikan mereka curang selain rasuah. Rasuah jawatan, harta, wanita, persahabatan dan macam – macam.

Kalau ahli politik boleh makan rasuah, mengapa SPR tak boleh. Mereka semua manusia. Binatang tak makan rasuah sebab sunnah tuhan ke atas kehidupan liar mereka, tiada rasuah diistilahkan. Bila manusia makan rasuah, mereka bukanlah binatang. Mereka manusia binatang yang lebih liar dan lebih hina daripada binatang. Jika mereka mayat, mereka bertukar jadi zombi!

Anda baca buku ‘La Tahzan’ karangan seorang ulama masyhur itu? Baca tak?

Jika belum, beli dan baca. Saya telah membacanya dalam teks asal Arabiyyahnya. Ayahanda juga telah membacanya sebab saya telah membacanya setelah saya mengambil buku itu daripadanya setelah dibacanya buku itu.

Jika anda telah membacanya, maka amalkannya.

Apa? ‘La Tahzan’. Jangan bersedih!

“Jangan bersedih! Sesungguhnya Allah bersama kita.”

“Maka bersabarlah ( wahai Muhammad ). Sesungguhnya janji Allah adalah benar. Dan janganlah orang – orang yang tidak yakin ( dengan janji tuhan itu ) meremehkanmu ( dan mendorongmu untuk tidak tetap dan thabat di atas suruhan dan laranganNya. )” – Akhir al Rum.

Jika anda menyokong pasukan Brazil, anda bersedihkah Brazil kalah dengan cara itu? Jika anda menyokong pasukan Malaysia, anda bergembirakah Malaysia menang cara itu? Tidakkan?

Jika anda yakin rakyat sedang berubah untuk menolak rasuah dan pemimpin rasuah, yakinlah kita pembangkang sedang berada di laluan tepat menuju kemenangan. Rakyat bersama kita dan kita bersama rakyat. Kuala Terengganu masih segar menjadi sumber kekuatan.

Jika rakyat pun menolak kita, janganlah juga anda bersedih. Jika tidak, anda termasuk dalam kalangan orang – orang yang tidak yakin dengan janjiNya. ( rujuk ayat di atas. )

Jangan bersedih. Kesedihan melambatkan kerja kita. Kerja kita adalah dakwah ilaLlah.

Salam Kamunting,

Seorang politikus di Malaysia sering diumpamakan bagai katak dek kesukaannya melompat parti. Kemudian segelintir mereka pula ada yang diumpamakan bagai sang tupai akibat dicekup BPR dan polis dek pecah amanah, rasuah dan pelbagai jenayah lagi. Kedua – dua pelabelan ini adalah buruk dan tidak disukai empunya diri.

Jarang sekali lompatan kijang diterjemahkan dalam perumpamaan. Ia merujuk kepada lompatan yang hebat dan aksi menarik. Di Kelantan, ia sinonim dengan skuad bola sepak negeri Kelantan. Tetapi oleh kerana skuad Kelantan ini sering beraksi lemah dan tidak konsisten, peminat agak malu – malu menjaja nama kijang untuk pasukan mereka itu.

Dalam dunia politik negara, jarang berlaku anggota parti kerajaan melompat parti kepada parti pembangkang. Yang biasa berlaku adalah lompatan anggota daripada pembangkang kepada parti yang memerintah. Oleh kerana lompatan itu sering diiringi dengan perolehan habuan harta dan pangkat, sang pelompat itu pasti akan dilabel dengan perumpamaan yang buruk – buruk. Antaranya katak.

Sementelahan pula pemerintah negara telah diterima umum sebagai pemerintah yang zalim, korup dan penuh penyakit, maka umum menerima perbuatan melompat parti sebagai satu aktiviti buruk dunia politik tanah air.

Selepas pilihan raya umum ke 12 tahun lepas yang menyaksikan arasy pemerintahan kerajaan BN goncang dengan kekalahan yang besar, tiba – tiba cerita lompat parti menjadi buah mulut awam, bahkan menjadi harapan yang diimpikan rakyat. Mereka berlopongan menanti aksi lompat daripada parti pemerintah berlaku, bahkan kalau boleh lompat itu biarlah tinggi – tinggi dan beramai – ramai.

Inilah lompatan kijang. Lompatan yang hebat kerana ia akan menyebabkan kerajaan semasa yang zalim runtuh dan diganti kerajaan baru yang dipercayai kecondongannya untuk melaksanakan keadilan sejagat.

Tetapi ia tidak berlaku. Hampir tiada pemimpin peringkat tertinggi BN melompat tinggi untuk aksi hijrah agung dan tiada wakil – wakil rakyat BN melompat beramai – ramai untuk bersama parti – parti dalam Pakatan Rakyat yang menguasai beberapa negeri dalam persekutuan Malaysia.

Harapan menjadi kendur. Seorang pemimpin kanan PAS telah dengan berani mencetus kemarahan awam apabila meminta rakyat menerima hakikat bahawa menukar kerajaan dengan aksi lompat adalah sukar sekali. Paling parah, ia diibarat bagai angan – angan mat jenin.

Itu telah berlalu dan perasaan sukar itu terpaksa ditelan.

Ia payah berlaku di seluruh negara. Hanya Kelantan yang biasa sangat menyaksikan lompatan kijang dalam persada politik tempatan. Penghijrahan ahli UMNO kepada PAS adalah biasa sejak dulu. Hasilnya, selepas 12 tahun diperintah BN, PAS kembali menguasai Kelantan dan kekal hingga kini menghampiri tempoh 20 tahun. Sebabnya, lompatan kijang terus berlaku di sana – sini di Kelantan.

Saya dikhabarkan dalam tempoh terdekat ini, satu angka mencecah ribu daripada pemuda UMNO Kelantan akan melakukan aksi lompatan kijang meninggalkan UMNO berama – ramai untuk masuk PAS. Jika ini berlaku, ia pasti hebat untuk menyusuri aksi lompatan kijang anak – anak muda dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu baru – baru ini yang menyaksikan UMNO tumbang di hampir seluruh saluran peti undi golongan muda. Wah, tahniah!

Kekal dalam kegelapan atau berhijrah daripada kegelapan kepada kegelapan adalah aksi duniawi yang biasa dilihat. Tiada apa yang hebat. Ia mainan nafsu dan keseronokan sementara yang dialpakan akibatnya. Itulah manusia kebanyakan di dunia ini.

Adapun kekal dalam cahaya atau hijrah daripada kegelapan kepada cahaya, maka ia adalah sesuatu yang hebat. Kekal dalam cahaya adalah cerita kemanisan hasil kesabaran dan istiqamah, manakala bergerak kepada cahaya daripada kegelapan pula adalah cerita kemanisan hasil keberanian dan pengorbanan. 

UMNO gelap kerana diselubungi kezaliman. Nabi kita sallaLlahu alaihi wasallam mengumpamakan kezaliman itu adalah bagai kegelapan yang berlapis – lapis. Oleh kerana UMNO jenis tak pakai ajaran nabi, maka mereka tidak sedar segala kezaliman yang mereka lakukan itu menambahkan lagi pekat kegelapan yang menyelubungi mereka.

Oleh kerana kegelapan malam itu menjadi sarang maksiat dan keseronokan noda dan dosa, ramai manusia yang tidak kisah untuk terus kekal dalam gelap, bahkan terjun ke dalamnya dek keseronokan duniawi yang ada padanya. Demikian, tidakkah kita diminta berlindung dengan Allah daripada kegelapan malam apabila ia merangkak?

Apabila melakukan kezaliman sudah mula sendat di jiwa dan mula menjadi kemanisan dan keseronokan, maka ia telah sampai ke kemuncak yang paling ditakuti. Tidak ada lagi yang boleh memalingkannya ke belakang untuk kembali. Ia dirundung ketagihan untuk terus berlaku zalim. Bagaimana ingin kembali? Atau lompat?

Bagai asap keretek yang disedut ke dalam. Ia tersedak di paru – paru dan di jiwa juga dek kegelapan perkhabaran yang dibawanya. Samada anda berhenti menyedutnya atau dengan terus mencuba keseronokannya, anda akan ditimpa ketagihan asap yang menjadikan anda pasrah dan rela mati demi mempertahankan asap gulita itu. Saat itu anda telah kelam di kemuncak yang ditakuti junamannya. Bagaimana ingin kembali?

Bagaimana lompat kijang?

Kita ini manusia. Manusia diciptakan dengan keajaiban dan kesempurnaan ciptaan tanganNya. Antara keajaiban ciptaan tuhan dalam dirinya adalah kesediaan hati jantungnya untuk kembali walau apa keadaannya. Antara kesempurnaan nikmat tuhan di luar dirinya untuknya adalah pintu kembali yang terbentang luas selama – lamanya sebelum matinya.

Hati jantung yang berdegup – degup dalam pencariannya terhadap al haq dan pintu taubat yang terbentang luas menanti kembalinya.

Setiap manusia disapa rahmat tuhan sepanjang masa dan pada detiknya ia bagai satu ketukan yang menyedarkan. Samada manusia meladeninya dengan baik dan menyungguhinya, lalu dia menikmati sapaanNya itu dengan penuh laba, atau dia membiarkannya berlalu pergi tanpa terima kasih, lalu dia terus dijunamkan ke lubang kesesatan yang lebih dalam. 

Manusia memilih untuk dirinya sendiri.

Manusia jarang bersyukur dan jarang sekali mengaku salah. Dosanya menyombong tinggi mengatasi tunduk bongkok pahalanya. Jika dia kembali dan bertaubat, itulah kemuliaan manusia yang dipuji tuhan dan dibenci iblis.

Hari ini kita menyaksikan beberapa aksi lompat daripada parti pemerintah kepada pembangkang berlaku. Mula berlaku. Ia ditunjangi kesedaran untuk menolak kezaliman dan kebobrokan dalam politik pemerintah. Ia baru. Seperti kata saudara Roslan SMS, lanskap politik negara sedang dilukis semula.

Jika benar bagai dikata, hujan telah serik dan katak sepi melompat. Dahan mula kering dan patah, tupai acap jatuh ke tanah. Semoga kijang keluar hutan memperaga aksinya.

Salam Kamunting,

Saya perasan nombor plat kereta Honda Elysion saya semasa tiba di Kuala Terengganu pada hari penamaan calon 6 Januari lepas. PAS 17.  Saya lantas tunjuk ‘eksen’ pada rakan – rakan, ” 17 Januari ini milik PAS, insya Allah.” Ego saya dengan cerianya disambut ramai – ramai dengan ulangan ucapan, “insya Allah.” Rasanya ada yang bertakbir, Allahu akbar.

Allah berfirman, ” Tiadalah kemenangan kecuali daripada sisiNya jua, Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Allahu akbar waliLlahil hamd. PAS diisytiharkan menang dalam pilihan raya kecil P.036 Kuala Terengganu pada hari ini 17 Januari 2009 dengan majoriti agak selesa.

Kemenangan adalah kemanisan segera beriman kepada Allah di dunia ini. Ia membenarkan janji Allah yang telah benar semenjak azalinya di hadapan mata makhluknya di dunia ini sebelum akhiratNya. Ia menambah iman dan menjirus kesejukan di dada setiap mukmin yang berjuang di jalanNya.

” Perangilah mereka habis – habisan, pasti Allah mengenakan azabNya terhadap mereka dengan tangan – tangan kamu dan menghinakan mereka, lalu Allah memenangkan kamu ke atas mereka dan mengubati dada kaum yang beriman dan menghilangkan kemarahan di hati mereka ( terhadap kejahatan musuh Allah ) dan Allah menerima taubat sesiapa yang Dia kehendaki. Allahlah Tuhan Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.” – at Taubah: 14-15.

( Ayat ini diturunkan kepada kaum musyrikin yang menentang Allah dan rasulNya di Mekah. Tidakkah inilah apa yang dirasai kaum munafikin yang memerangi agama Allah daripada didaulatkan di negara sendiri sepanjang zaman? )

Apabila saya khabarkan kegembiraan ini kepada ayahanda sekejap tadi, dia segera berpesan, sujudlah dua rakaat dan jangan sesekali menghina UMNO yang telah kalah. Nanti musuh bingkas dengan kemarahan lalu berlaku kejam dan zalim sebagaimana biasanya.

Ya, UMNO tetap harimau liar yang tercedera.

Tahniah untuk semua pejuang PAS yang telah berjuang behabisan dan bermatian di sana. Di hadapan kamulah diriku terasa kerdil.

Tahniah untuk semua penyokong PAS yang telah turut menyumbang demi kemenangan Islam di Malaysia. PAS menambah kerusi di Parlimen dengan merampas kerusi UMNO.

Tahniah untuk seluruh pengundi di Parlimen Kuala Terengganu yang telah mengundi PAS. Undi anda besar tagangannya di hadapan Allah nanti insya Allah. Itulah saksi berani anda menolak jahiliyah dan menerima Islam.

Saya yakin, doa kita untuk Kuala Terengganu sentiasa beriringan doa kita untuk Palestin. Itulah lunaknya mengecapi kemenangan ini.

Ayuh berhimpun di Kota Bharu 23 Januari ini. Dewan Pemuda PAS Kawasan Pengkalan Chepa akan berusaha mengumpulkan RM10 ribu untuk Palestin. Untuk kamu wahai saudaraku pejuang HAMAS..

Ayuh, beralih dari medan jihad kecil di Kuala Terengganu kepada medan jihad yang lebih besar yang bersimbah darah di bumi Palestin. Allah menghancurkan kamu wahai Yahudi laknatuLlah..

Bersama titipkan tahniah anda untuk kemenangan di Kuala Terengganu di ruang komentar.

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Mei 2024
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa