You are currently browsing the monthly archive for September 2007.

Salam Kamunting dan salam Ramadhan,

Saya keluar hospital 3 hari lepas setelah 4 hari dimasukkan ke wad 10 HRPZ Kota Bharu. Sebelumnya saya sudah tak bermaya beberapa hari di rumah kerana keletihan yang agak teruk. Ia ujian di bulan Ramadhan yang belum pernah saya lalui. Saya masih keletihan dan hari ini saya mula kembali berpuasa selepas rehat lebih seminggu. Harapnya kekuatan saya bertambah baik agar saya mampu untuk terus melaksanakan ibadah puasa sepanjang Ramadhan ini.

Kesihatan adalah nikmat yang tak terperi. Ia bagai kehidupan itu sendiri. Kita tidak akan menikmati kehidupan tanpa kesihatan yang baik. Kerana itu, saya hampir – hampir karam di awal Ramadhan ini. Bagaimana harus saya berseronok beribadah di bulan mulia ini tanpa kesihatan yang baik?

Badan saya terasa panas. Bila kipas berpusing, kulit saya terasa sengal – sengal kesejukan. Bila saya tarik selimut, kerimasan pula melanda – landa. Kemudian hidung saya seperti kehilangan petunjuknya. Semuanya berbau hamis, hapak, hanyir dan entah apa lagi. Saya terasa loya dan mula muntah – muntah. Masa berbuka puasa, juadah berbuka yang beraneka seperti hanya satu rasa, tawar dan meloyakan.

Semasa di hospital, lebih 10 botol air dimasukkan ke dalam tubuh tetapi saya terus rasa loya dan mual. Lebih seminggu saya dihimpit kesempitan. Saya terganggu dengan mimpi dan igauan yang membosankan. Saya keluh kesah tak mampu melelapkan mata. Buruk lagi, saya seperti lupa berada di bulan Ramadhan. Bila saya mengambil makanan, saya tawarkan kepada rakan di sebelah. Bila mereka senyum dan berkata, puasa, barulah saya sedar berada di bulan Ramadhan.

Akhirnya kesihatan saya beransur – ansur pulih. Terima kasih para doktor dan terima kasih rakan – rakan yang mendoakan. Pasti saya tak lupa jasa isteri saya yang bersama – sama saya sepanjang masa memberi apa yang saya tak terfikirkan. Kelembutan itu satu kekuatan. Hari ini saya dah terasa kesihatan menyapa tubuh saya. Saya rasa sihat dan terasa mahu bersalam dengannya.

Saya mengalami luka – luka dalam perut. Pada hari akhir di hospital, doktor mengesahkan saya juga diserang denggi. Tapi, keadaan dah baik.

Cukuplah kesakitan itu sebagai pengajaran dan ibrah Ramadhan saya tahun ini. Saya terasa ketinggalan. Ruginya tertinggal. Semoga Allah mengampuni saya dan kita semua. Sudah lama saya tak tadarus Al Quran. 

Salam Kamunting,

(1)

Indonesia dilanda gempa bumi lagi dan kita di sini diacu dengan kekuatannya yang dahsyat. Peringatan demi peringatan. Anda ingat semasa kejadian tsunami dulu yang berlaku menjelang penganut Kristian merayakan hari krismasnya, satu ingatan bahawa kemurkaan Allah dijelmakan dengan gempa bumi yang dahsyat itu. Apabila akidah bahawa Allah mempunyai anak dirayakan umat manusia yang ramai dan begitu gemilang sekali di dunia ini, Langit dan bumi menjadi kecut perut ketakutan lalu bergetarlah mereka ketakutan. Berlakulah tsunami yang cukup ganas. Murka Allah pada manusia. ( Lihat surah Maryam: 88-92 )

Gempa terbaru yang dahsyat pula berlaku beriringan kita menyambut Ramadhan. kemurkaan jugakah? Adakah keseronokan menyambut Ramadhan sama seperti keseronokan meraikan khurafat agung membapakan Allah? Tidak, pasti sekali tidak. Jadi, peringatan apa ini?

Inilah peringatan Allah kepada umat yang lalai dan tertipu dengan cara hidup yang menyeleweng. Kita ini menyambut Ramadhan dengan gemilang tetapi dalam kejahilan yang nyata. Ramadhan adalah bulan Al Quran. Tetapi kitalah umat yang redha Al Quran yang disambut itu dijauhkan dan disisihkan daripada kehidupan. Ia hanya untuk dibaca buat mencari pahala bekalan akhirat semata – mata. Tidakkah Al Quran adalah petunjuk di dunia sebelum pahala di akhirat. Bagaimana dibayangkan pahala sedang kita menyisihkan Al Quran?

Allah menyusahkan kita di dunia dalam hikmahnya demi kebahagiaan kita di akhirat. Agar kita kembali ( Lihat Ar Rum;41 ). Tetapi mereka yang leka terus berkata, itulah kejadian alam yang kejam! Maksudnya kejadian Allah yang kejam! Siapa yang kejam selain manusia sendiri.

(2)

Hari ini Turki mengambil tempat di hati umat Islam sedunia. Di Malaysia, Umno dan Pas seperti berebut meraikannya. Bagi Umno, ia menyamai Islam Hadhari. Bagi Pas, itu kejayaan kumpulan Islam meruntuhkan sekular bengap pekat. Bagi Umno, biarlah yang bertudung itu bertudung, yang tak nak itu, tak apa. Yang penting, kejayaan ekonomi. Ada pun agama Islam, itu hak individu membuat pilihan. Nak solat, solatlah. Tak nak, sudahh! Kerajaan apa nak hirau..

Bagi Pas, itulah siasah syar’ieyyah untuk dunia Turki yang kelam di dalam pemerintahan yang telah menjahanamkan khilafah Islamiyyah puluhan tahun lampau. Semuanya agar Islam mendapat hak dalam dunia demokrasi sekular yang dicanangkan. Menonjolkan Islam adalah keruntuhan yang mudah. Itulah pengalaman Najmuddin Erbakan dan parti Refahnya yang dibunuh tentera Turki, wali sekular Turki.

Abdullah Gul akan menjawabnya dalam tindak tanduknya dan perancangannya untuk masa depan gerakannya yang mengkagumkan semua pihak termasuk Amerika dan blok Eropah. Rakyat Turki sudah boleh bergembira apabila Islam kembali merasai sedikit kebebasan. Itulah erti sebuah kemerdekaan yang sebenar bagi masyarakat Islam.

Kita di Malaysia, kerajaan terus berseronok menyekat Islam daripada kembali berkuasa. Merdeka daripada penjajah dan merdeka daripada Islam juga. Bagi Umno, Islam persis penjajah! 

(3)

Sempat juga Khir Toyo mewajibkan 20 rakaat tarawih ke atas rakyatnya di Selangor. Maka wajiblah beliau melaksanakannya 20 rakaat juga dan janganlah berleka dengan majlis berbuka puasa besar – besaran yang akan memangsakan solat tarawih dihujungnya. Kenyang meruntuhkan kekuatan bertarawih 8 rakaat, apatah 20 rakaat. Mufti Perlis dah tegur. Itulah sebaik – baik teguran. Semoga beliau terus baik menegur yang layak ditegur sahaja.

Yang paling kecewa ialah rakyat Selangor sendiri. Bukan kerana 20 rakaat, tetapi terselit di dalamnya larangan menyampaikan tazkirah antara rakaat tarawih. Tok Guru Nik Abdul Aziz telah menyatakan kekesalannya. Saya fikir, di Kelantan beliaulah antara perintis tazkirah di bulan Ramadhan, lalu dimasyhurkan ke seluruh negara.

Nampaknya Umno terus kekal di ranking pertama menjadi pembenci tazkirah di Malaysia. Kerana itu layaklah Umno menjadi celaka di sisi Allah ( lihat Al A’la: 9 -12). Kesian Orang Umno. Semoga kita kekal menjadi pencinta tazkirah. Hadirilah masjid yang ada tazkirah di bulan Ramadhan, nescaya Ramadhan kita akan lebih meriah dengan kecintaan terhadap Islam.

Jika Umno mampu menyekat bloggers di bulan Ramadhan ini, saya tak fikir mereka tidak melaksanakannya. Hujah mereka banyak. Blog menjadikan manusia seperti monyet, kata Khairi. Malangnya mereka tak mampu kerana dunia terbuka adalah akidah mereka jua. Syukurlah. 

(4)

Kalau di Indonesia mereka dikejar gempa yang dahsyat di awal Ramadhan, kita di Malaysia gempar kerana dikejar peluru hidup. Keduanya – duanya menakutkan kerana maut menunggu bila – bila masa. Bezanya gempa bumi itu daripada Allah yang tiada siapa mampu menyekatnya, sedangkan peluru hidup itu daripada Umno yang hanya Allah mampu menyekatnya.

Dulu rakyat Indonesia takutkan Suharto tetapi kini mereka tak takutkan sesiapa kecuali Allah dan kejadianNya itu. Kita pula kini ketakutan pada Pak Lah. Siapa sangka dalam tidurnya dan dalam ilhamnya, peluru hidup boleh dilepaskan sewenang – wenangnya. Nampaknya, sukar diharap ISA akan dimansuhkan..

Saya berkata hanya Allah akan menyekat kezaliman Pak Lah. Allah pula memberi peluang dan tawaran besar – besaran untuk sesiapa antara hambanya yang bersedia memikul amanahNya menyekat atau membuang sahaja Pak Lah dengan pahala yang berganda – ganda. Beramai – ramailah kita berjuang mengalahkan Umno, nescaya Allah menyukai kita. Berbekallah dengan kekuatan yang sebenar. Sebaik – baik bekalan adalah taqwa. Maka carilah ia di bulan Ramadhan.

Saya terus kehairanan, apalah yang Pak Lah cari di bulan Ramadhan ini? 2 hari lepas beliau berbuka puasa di Kelantan. Ramai yang bersamanya. Saya beritahu sahabat dalam kereta semasa bersama – sama ke Machang untuk pelancaran program iftor jama’ie Dewan Pemuda Pas peringkat negeri bahawa orang Umno nampaknya lebih bersedia menyambut Pak Lah turun ke Kelantan daripada menunggu Lailatul Qadr turun. Dekat – dekat pilihan raya ni, sukar dibayangkan betapa besarnya harapan mereka pada Pak Lah. Itulah yang saya rasa dan fikirkan.

Orang Pas yang asyik lawan Umno pula, oleh kerana diajar sejak awal agar pergantungan mereka hendaklah kepada Allah sahaja, mudahlah dibayangkan seronoknya mereka menunggu Lailatul Qadr. Hanya Allah yang akan memilih mereka yang bertuah menemui malam itu. Semoga kita daripada pilihanNya jua. Amin.

(5)

Dan jangan kita lupa saudara kita di bumi Palestin. Juga saudara kita di selatan Thailand atau bumi Patani. Kemudian saudara kita di seluruh dunia, terutama yang tengah merasai keperitan hidup dalam dunia kekufuran dalam derita perang dan kebuluran. Mereka adalah mangsa yang menunggu – nunggu kebebasan yang kita adalah sebahagian yang diharapkannya.

Jangan kita lupa dalam kesenangan kita di sini. Berilah pertolongan dan doakan untuk mereka. Kewajiban kita rupa – rupanya bertimbun – timbun. Moga Allah merahmati kita dalam dosa kita mengabaikannya.

Salam Kamunting dan salam Ramadhan,

Kita telah memasuki bulan Ramadhan yang penuh keberkatan, kebaikan, kesuburan dan kelebihan. Semuanya adalah kerana Al Quran yang diturunkan pada bulan ini dari Lauh Mahfuz yang tersimpan lama di lapis langit ketujuh ke langit dunia sebagai persiapan terakhir untuk diturunkan oleh Jibril alaihis salam kepada Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wa sallam atau ia diturunkan ayat pertamanya di Gua Hira’ sebagai perisytiharan kerasulan nabi kita sebagai nabi akhir zaman yang membawa sinar cahaya agung.

Memasuki Ramadhan bererti kita memulakan ibadat besar yang disyariatkan Allah ke atas manusia iaitu berpuasa. Puasa di bulan Ramadhan adalah ibadah khas dan istimewa untuk umat Muhammad yang tidak disyariatkan ke atas umat terdahulu. Tujuannya adalah tujuan pelaksanaan ibadah besar yang lain seperti solat, zakat dan haji. Tujuannya adalah untuk mengingati Allah sebagai tuhan yang mesti disembah, ditaati dan dicintai.

Allah mempelbagaikan ibadah dan cara melutut dan bersujud di haadapannya agar kita seronok, gembira dan tidak jemu – jemu dengan kepelbagaian itu. Jika hanya solat, bayangkan kesempitan dan kejemuan yang pasti kita akan rasai. Ya, masanya kita berduyun ke masjid, kalanya kita bangkit menyendiri di tengah malam, ketikanya kita melayani si faqir miskin dengan rasa rahmat dan kesian belas, saatnya kita terbang jauh ke Makkah sana dan musimnya kini kita hanya perlu berlapar menahan diri daripada kebiasaan.

Lihatlah kepelbagaian itu. Berlapar itu pun ibadah! Tak makan dan lapar itu pun  bererti ingatkan Allah! Masa suci Allah dan segala puji bagiNya yang telah melayan kita dengan layanan seorang pencipta agung yang maha tahu kelemahan dan kesukaan hambaNya.

Mengapa mesti berpuasa untuk menyambut Al Quran? Ya, mari kita menadah jawaban daripada Allah sendiri yang telah mensyariatkan puasa untuk Al Quran itu. Allah menurunkan Al Quran untuk semua manusia sebagai petunjuk ( hudal linnaas ). Tetapi Allah memberi khabar betapa manusia menolak tawaran kasih sayangNya itu. Mereka beralasan sejuta untuk membelakangi petunjuk Allah. Maka siapakah yang mengambil petunjuk Al Quran itu dengan menerima dan menyambutnya dengan penuh kegembiraan?Tiada selain mereka yang bertaqwa kepadaNya ( hudal lilmuttaqiin ).

Hanya manusia yang bertaqwa! Orang yang tidak bertaqwa tidak meletakkan Al Quran ditempatnya yang tinggi dan sebenar. Ia samada mereka menentangnya atau menolaknya atau melupakannya atau tidak beramal dan berpetunjuk dengannya. Al Quran mesti diimani semuanya dan diterima semuanya dalam kehidupan duniawi. Jika tidak, kita dikira gagal. Gagal bererti tiadanya taqwa dalam diri!

Sekarang bayangkan tuntutan memiliki taqwa. Ahli al Quran syaratnya taqwa di dalam diri. Kita membohongi Allah jika kita mendakwa menyambut dan menyayangi al Quran sedang kita tidak bertaqwa keadaNya. Kita dimusuhi al Quran sedang kita beranggapan al Quran membela kita di hari akhirat. Puncanya kita mendakwa memiliki apa yang kita tidak mampu membayarnya!

Oh, alangkah sukarnya memiliki taqwa. Taqwalah sifat yang diburu pencinta akhirat sepanjang zaman. Mereka mengimpikannya kerana merekalah yang cukup tahu kelebihannya. Tuhanku, tunjukilah daku jalan menuju taqwaMu. Aku ingin memeluk Al QuranMu dalan cintaku. Janganlah aku diseret jauh daripada mensyukuri rahmat belasMu dalam kitabMu. TaqwaMu ku dambakan..

Allah menjawab, ” Wahai orang – orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu  berpuasa sebagai mana diwajibkan ke atas orang – orang yang terdahulu semoga kamu bertaqwa.”

Bulan ini kita diminta mera’ikan kedatangan Al Quran dengan menyambutnya di malam Lailatil Qadr. Meninggalkan sambutan  ini adalah sial yang tak sudah – sudah. Menyambutnya tanpa bekalan taqwa yang siap siaga di dalam tubuh adalah penipuan dan pembohongan terhadap Al Quran dan Allah. Taqwa adalah ketandaan menerima Al quran. Sukarnya taqwa diperolehi. Allah maha mengetahui kesukaran hambaNya. Dia mempermudahkannya. Berpuasalah 30 hari, nescaya taqwa datang sesegeranya. Jika di sana ada jalan pintas, inilah jalannya. 

Di malam berlakunya Lailatul Qadr, bertemulah dua cinta suci. Cinta hamba dan cinta Al Quran. Bayangkan betapa Al Quran akan memberi kita apa yang kita dambakan daripada petunjuknya. Keluarlah kita dari Ramadhan dengan bekalan taqwa, isi sebuah Al Quran.

Selamat berpuasa demi pendambaan sebuah taqwa suci.

( Jauhi Umno di bulan Ramadhan. Jika anda menduga Umno melorong ke jalan taqwa, itulah seburuk – buruk impian. Umno musuh Al Quran dan Al Quran musuh Umno. Umno tak pernah mengimpikan kemerdekaan Al Quran pada hari mereka merdeka dulu dan kini jua. Barua Yahudi di Negara tercinta )

Salam Kamunting,

Ramadhan adalah betul – betul bulan Al Quran. Ia seperti digerakkan dan dijulang tinggi kelebihannya semata – mata untuk menghangatkan suasana sambutan manusia ke atas kedatangan Al Quran. Bahawa Al Quran perlu disedari kewujudannya, kekuatannya, kekuasaannya dan kemestiannya dalam kehidupan manusia. Allah menjaga Al Quran demi cucuran rahmatNya yang berterusan ke atas manusia. Allah merahmati manusia dengan memasak Al Quran di dalam jiwa mereka.

Apa Al Quran? Ia kalamuLlah. Bila? Lamanya ia di sisi Allah tersimpan di Lauh Mahfuz di langit tertinggi di Ummil Kitab. Di alam ghaib di luar capaian seluruh makhluk kecualiNya. Ia alam yang suci tanpa noda derhaka dan laknat seperti di dunia ini. Alam yang tidak mengerti selain tunduk pada kekuasaan dan ketuhananNya. Ia bersemadi di situ demi menunggu masanya arahan bertitah.

Turunlah aduhai Suhuf Ibrahim. Turunlah aduhai Taurat, Injil, Zabur dan turunlah semuanya ke dunia menunjuki manusia pilihan ke jalan yang lurus. Turunlah.. Sesungguhnya penurunanmu adalah petanda masanya yang semakin tiba untuk giliran kitab agung pula memukau duniawi dengan suluhan sinarnya yang menunjuki.

Satu malam yang penuh berkat, penuh kebaikan, kesuburan, kehangatan rahmat dan keridhaanNya akhirnya tiba. Ia saat manusia agung sallaLlahu alaihi wasallam telah disiapkan sepenuhnya untuk membawa risalah suci ke dunia terakhir sebelum qiamat melanda dan meledakkan kehancuran agung. Malam firman agung disahut para malaikat yang bersedia lamanya mendengar perintah dan titah.

Keluarlah aduhai Al Quran dari persemadianmu dan turunlah dalam syahdu malam ke langit dunia dengan para malaikat berpesta – pestaan menyambut kehangatan malam yang penuh berkat, kebaikan, kesuburan dan rahmat agung. Mana Ar Ruuh? Mana Jibriil? Bersiaplah engkau menjunjung titah agung. Kenalilah insan agung bernama Muhammad sallaLahu alaihi wasallam, tempat pendaratan wahyu suci di dunia yang hancur. Dadanya negeri tadahan wahyu.

Itulah malam Lailatul Qadr. Itulah malam Lailatim Mubarakah. Malam ketentuanNya yang penuh berkat. Padanya diterangkan dan dibezakan segala apa yang dikehendakiNya. Ia malam yang digandakan kehebatannya. Satu malam yang terlebih baik dari seribu malam lainnya. Malam sebaik amal manusia terberkat umurnya! Sejahteralah malam itu daripada sebarang kejahatan dan keburukan sehinggalah fajar menyinsing.

Malam Lailatul Qadr adalah malam segala malam dalam bulan segala bulan yang diturunkan padanya kitab segala kitab dalam bahasa segala bahasa ke atas manusia segala manusia untuk umat segala umat.

Adakah anda menemui saat seindah ini? Adakah anda mengimpikan saat kerahmatan lebih daripada ini? Adakah anda mampu menyisih diri dari saat malam yang digilai para pencinta Ilahi ini?

Nah, segala – galanya adalah tentang  Al Quran. Di dunia ini, semuanya adalah makhluk kecuali Al Quran. Ia penghubung langit dan bumi. Ia menyuluh dari alam ghaib yang maha luas tak bertepi. Tanpanya gelap gelitalah bumi. Tanpanya laknat celakalah kehidupan di bumi. Tiada lagi erti sebuah kehidupan manusia 60 tahun. Ia sesingkat 60 hari kehidupan serangga yang melata atau 60 jam nyawa sang kelkatu yang terabai tanpa syukur dan budi. Apalah makna 60 tahun sekadar bertatih pada umur dunia berjuta – juta tahun yang tetap menggamit kehancuran jua.

Allah menghendaki hambaNya bersyukur dan menikmati nikmat dan rahmatNya. KehendakNya adalah rahmat. KetentuanNya adalah rahmat. Alam ini adalah rahmatNya. Allah adalah rahmat seluruhnya.

Allah memuliakan Ramadhan untuk kita. Al Quran adalah hidangan terhidang. Syukurilah kedatangannya. Berimanlah dengan kekuasaan mutlaknya ke atas kehidupan. Bacalah ia. Fahamilah ia. Tafakkurlah pada sentuhannya. Tadabburlah pada ayat – ayatnya. Beramallah dengannya dan berserulah ke arahnya.

Berelaklah diri dari melupainya atau melekainya. Jauhilah segala seruan yang melalaikan diri daripadanya. Selamat berpuasa. Pada puasa ada hikmat agung.

( Seburuk – buruk seruan adalah seruan Umno. Jauhi Umno di bulan Ramadhan. Kata ayahanda, Umno adalah barua Yahudi! )

Salam Kamunting, 

Peristiwa berdarah di Batu buruk semalam nampaknya mendalam parutnya nanti. sila baca komen para pembaca di harahdaily. Saya sempat menelefon sahabat di Terengganu yang turut terlibat. Walaupun gambaran sebenar masih kabur, saya fikir berhak menulis untuk beberapa kesimpulan mudah dan nyata.

Anda tafsirkan, selepas mendengar peristiwa di atas, apakah maksud demokrasi dalam kepala pemerintah negara? Ceramah belum berlaku, gas dan tembakan telah dilepaskan!? Apabila permit ceramah tidak dikeluarkan ( jika betul?), tindakannya polis diarah mengganas!? Bagaimana digambarkan sekatan jalan raya diadakan bermula sebelum maghrib lagi semata – mata untuk menghalang orang ramai ke tempat ceramah, lalu mengganggu keseluruhan perjalanan orang ramai?

Maksudnya, di mana kedudukan rakyat yang membangkang kerajaan di sisi kerajaan yang memerintah hari ini? Adakah mereka di kelas kedua layanannya? Jika ini, apakah ini maksud demokrasi yang di pakai Malaysia? Jika ini, apakah demokrasi kita ini di terima dunia sebelum di terima Islam? Jika ini, inikah sebahagian ‘pendekatan’ hadhari untuk memperkenalkan Islam terbaik oleh negara?

Peluru hidup adalah untuk membunuh. Membunuh satu nyawa adalah membunuh manusia seluruhnya. Menyelamatkan satu nyawa adalah menghidupkan manusia seluruhnya. Itu nilai nyawa yang diajar oleh Allah. Nyawa manusia ( Nyawa babi di Melaka bagaimana? ). Jika begini kelakuan pemerintah di Batu Buruk itu, adakah nyawa babi lebih selamat daripada nyawa manusia di negara hadhari ini? Mungkin ini kesimpulan kasar dan bias tetapi tunjukkan kesimpulan yang lebih lunak daripada gambaran yang kita perolehi daripada peristiwa kejam dua rakyat pembangkang yang ditembak semudah itu dalam peristiwa semalam? Ya, mungkin kita sedikit terubat jika kerajaan memohon maaf dan menghukum diri sendiri!

Tetapi,  mohonlah dahulu kemaafan kepada keluarga, bahkan rakyat seluruhnya atas peristiwa berdarah di Memali 22 tahun lampau. Kita menuntut keikhlasan dan keberanian daripada pemerintah kita yang sinonim dengan kelakuan munafik dan penakut menghadapi tentangan rakyat.

Pembangkang, terutama golongan Islam yang menentang pelaksanaan Islam dalam kerangka hadhari yang menyesatkan sentiasa berhadapan tentangan dan halangan yang tidak bermoral dan di luar peri kemanusiaan daripada pihak pemerintah. Polis dipaksa menjadi musuh pembangkang sehingga melupakan tugasan mereka memelihara keamanan. Jabatan Agama Islam terutama di Selangor dipaksa menjadi musuh para pendakwah di masjid berbanding menjadi pembanteras maksiat dan. Jentera kerajaan digunakan sepenuhnya tanpa rasa malu dan bersalah untuk menyekat kemaraan pembangkang menguasai minda rakyat.

Kita seperti diseret untuk menerima hakikat ( baca khurafat ) bahawa kerajaan hari ini mustahil ditukar dan ditumbangkan. Kita menolaknya lalu kita diugut dan ditakutkan hatta dengan tembakan peluru hidup. Demokrasi sebenarnya sudah tiada. Ia senang sahaja ditukarkan di sisi pemerintah yang sudah pun cukup berani untuk menukar nama ugama Islam sendiri.

Peperangan adalah untuk menguasai rakyat. Samada rakyat mendengar dan menerima kebenaran yang dibawa pembangkang atau rakyat akur sahaja dengan kepalsuan dan tipu daya pemerintah. Kemudian samada rakyat bangkit dan menjadi berani berubah atau rakyat kekal hidup dalam ketakutan dan putus asa. 

Saya asalnya berhasrat menyatakan rasa simpati pada babi – babi yang diputuskan untuk dihapuskan di Melaka itu. Apa dosa babi? Apa hina babi sehingga diputus untuk dibunuh begitu sahaja sebab terlebih zuriat? Allah tidak menghina babi tetapi Allah menghina pemakan daging babi. Kita sering hilang arah dalam tindakan kita sedang kita ini berakal untuk meminpin kehidupan seluruh makhluk di dunia ini.

Tetapi, apabila nyawa manusia pun telah begitu murah di sisi pemerintah kita, apa faedahnya lagi saya bersungguh – sungguh nak menilai nyawa seekor babi? Tidak peliklah komentar di Harakahdaily menyumpah seranah kerajaan atas perbuatan kejam mereka.. babi! babi! babi!

Sebabnya rakyat melihat kerajaan memerintah rakyat seperti memerintah babi!! Tindak balasnya, rakyat membabikan kerajaan. Babi memerintah babi!!

Inilah dunia kotor kita. Kerajaan liat untuk membersih diri. Semoga pejuang Islam terus membersih diri. Selamat menyambut Ramadhan al mubarak. Doakanlah kesembuhan untuk mangsa kezaliman Umno yang telah lama didoakan kehancurannya. Allah pasti menerima doa mereka yang dizalimi.  

Islam adalah penuh isi. Isinya semuanya berguna. Gunanya adalah untuk manusia kekal sebagai manusia sebagaimana ia diciptakan seawal kejadiannya. Kejadiannya adalah sebagai sebaik – baik ciptaan oleh tuhan pencipta di alam ciptaannya. Jika manusia tidak mengekalkannya, maka ia boleh bertukar menjadi seburuk – buruk dan sehina – hina makhluk di mata penciptanya.

Deminya Islam diturunkan. Islam adalah Al Quran dan RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Al Quran adalah isi yang sempurna pengajarannya sedang RasuluLlah adalah pembaca, pengajar dan pendidik manusia yang menerima Al Quran sebagai petunjuknya. Maka ia adalah Islam yang bermaksud sebuah kesempurnaan. Sebabnya, Al Quran adalah kalam Allah dalam surah – surah yang dibacakan ke atas hambaNya yang diciptakan. RasuluLlah pula adalah utusanNya dari langit yang sengaja disucikan daripada noda demi sebuah pengajaran, qudwah dan ikutan yang sempurna.

Tiada yang mengenal manusia selain Allah. Dia menciptakan manusia dan alam yang mengelilinginya dan mempengaruhinya. Manusia tewas kepada apa yang mempengaruhinya dalam hidupnya. Ia terumbang ambing di antara unsur baik dan unsure jahat yang mengasak kehidupannya. Hasilnya, lahir insan yang begitu tinggi peribadinya dan lahir juga insan yang begitu rendah peribadinya. Kemudian bayangkanlah betapa luasnya ruang yang menjarakkan antara lapisan – lapisan di antara kedua – duanya yang menjadi petunjuk kemulian dan kehinaan manusia.

Bagaimana manusia mampu hidup dalam dunia yang serba asing ini? Manusia hanya bertahan hidup 70 tahun dalam kehidupan raya yang umurnya telah melangkau juta – juta tahun. Banjaran Titiwangsa itu telah menyaksikan datuk kita yang pertama menjejak Tanah Melayu ini beribu tahun dulu sedang kita ini mujurlah sempat melihat Tok Janggut  pada potret syahidnya yang mulia. Mana ilmu kita yang ‘tinggi’ itu untuk mengenal erti kehidupan semesta raya ini?

Manusia karam dalam kegelapan kejahilan. Mereka mewarisi kejahilan temurun jauh ke depan mendahului pusaka ilmu yang sedikit. Di mana harus dimulakan ilmu ini? Pastinya ia mesti bermula dari mula iaitu dari mula Adam alaihis salam diciptakan atau dari mula beruk kera ‘datuk Darwin’ diciptakan. Inilah ilmu pertama yang didambakan setiap kita iaitu dari mana kita, mengapa kita di sini dan ke mana kita selepas ini? Siapa Darwin untuk menjawab soalan ini? Adakah dia disemat sakti untuk kembali ke perut ibunya untuk menyelami kehidupan di alam rahim lalu menerobos laluan malaikat ke alam ruh sebelum ditiupkan ke rahim ibu? Itukah Darwin dalam pengenalannya?

Maksudnya adalah pencarian dalam kegelapan. Berani yang membuta tuli. Apa ertinya selain kesesatan yang bertambah dan kekalahan yang mengecewakan.

Tetapi manusia tidak dibiarkan begitu selamanya. Ada tangan yang menghulur. Ada pertolongan yang tiba. Ada keajaiban yang hebat. Maka lahir manusia yang tidak dilihat kekecewaannya lantaran pengetahuannya yang hebat mengenai kehidupan. Dia hidup dalam dunia yang benar. Pegangannya benar. Pendiriannya benar. Cakapannya benar. Tindakannya benar dan ajakannya adalah benar. Benar adalah kebenaran dan kebenaran itulah al haq. Al haq adalah mutiara kehidupan dan tiangnya.

Mengapa lahir manusia seperti ini dalam kelam duniawi ini? Itulah kerana keajaiban yang dimaksudkan. Kerana pertolongan yang tiba dari pencipta manusia yang mengetahui segalanya mengenai manusia. Dialah Allah tuhan yang menciptakan segalanya. Tiada sesiapa sebelum dan selepasNya.

Allah memberi kita sinar yang memancar. Dialah cahaya langit dan bumi. Sinar itulah  Al Quran dan tubuh qudwah sallaLlahu alaihi wasallam.

Al Quran adalah isi yang penuh. Di dalamnya pengajaran yang penuh kebenaran yang berguna. RasuluLlah adalah utusanNya. Baginda membacanya, mengajarnya dan menyucikan manusia daripada kelam kejahilan dan dosa.

Manusia adalah ruh yang dibalut tanah. Ruh adalah dari sisi Allah, diturunkan lalu ditiupkan ke dalam kerangka dari tanah yang diuji kesempunaannya sebagai ciptaan terbaik. Manusia adalah ruh langit yang bertandang buat sementara di bumi ini.

Ia mulia kerana ia adalah dari sisi Allah. Maka, mengenali ruh adalah sebaik – baik ilmu untuk manusia. Allah memberi kita ilmu yang sedikit tetapi mencukupi untuk mengenal diri dan kehidupan secara yang benar dan membahagiakan.

Jika kita memahami ini, kita akan lebih mudah untuk mengerti mengapa ilmu pendidikan hati dan jiwa menjadi begitu penting dan mesti. Tarbiyyah adalah inti pengajaran Al Quran yang melengkapkan pengajaran akidah dan syariat. Kita bergerak dan berfikir pada laluan dan lenggok hati yang berbagai – bagai. Di situlah jatuh bangun mausia berterusan.

Salam Kamunting,

Pada hari Allah memulakan penciptaan langit dan bumi, telah Dia tentukan perjalanan makhluknya yang bernama ‘masa’ itu beredar dalam pusingan 12 bulan setahun. Dia mencipta apa yang Dia mahu dan Dia memilih apa yang Dia mahu. Maka Dia memilih daripada 12 itu 4 bulan, lalu dijadikannya bulan haram ( mulia ).

Itulah bulan Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab. Nabi – nabi datang menyeru manusia memuliakannya dan menjadikannya bulan yang diingati untuk menawar kebajikan dan menahan kerosakan. Itulah antara ilmu kenabian yang diwarisi umat jahiliyyah sebelum kedatangan nabi akhir zaman sallaLlahu alaihi wasallam. Mereka mengerjakan ibadah haji di Mekah dan memuliakannya dengan perbuatan yang baik – baik, bahkan ‘membersih’ diri dengan mengelak diri daripada perbuatan yang buruk.

Begitulah Allah menetapkan kemulian bulan – bulan yang 4 ini. RasuluLlah diutuskan sebagai nabi akhir zaman dalam masyarakat jahiliyyah yang memuliakan bulan – bulan ini dengan pegangan jahiliyyah yang menyeleweng. Baginda mempertegaskan kemuliaan bulan – bulan tersebut tetapi menolak amalan – amalan yang bercanggah dengan syariatnya.

Kedatangan RasuluLlah adalah kemuncak penciptaan di dunia. Lahirnya seorang hamba yang menghiasi suasana indah perayaan ibadah dan ketundukan alam semesta kepada tuhan yang mencipta. Baginda memimpin perjalanan seluruh alam mengabdi diri kepada Allah. Lahir bersama baginda adalah umatnya yang terpilih. Umat Muhammad menjadi umat terpilih selepas Allah menolak Bani Israel sebagai umat pilihan selepas penderhakaan mereka terhadap Allah dan rasulNya.

Untuk umat ini Allah memilih beberapa kemuliaan yang melonjakkan keagungan mereka di sisiNya. Ramadhan adalah satu daripadanya. Ia adalah bulan mulia kelima untuk umat Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Ia tidak dinamakan bulan yang haram ( mulia ) tetapi ia adalah bulan yang penuh berkat. Ia berkat dengan kemuncak satu malamnya yang penuh berkat dengan penurunan Al Quran dari langit ke dunia ini. Ia adalah malam Lailatul Qadr.

Allah menghendaki umat Muhammad merayakan malam ini dengan persembahan ibadat paling istimewa kepadaNya tanda kesyukuran yang tidak terhingga atas nikmat Al Quran. Ia perayaan selama sebulan yang berterusan. Di bulan yang mulia inilah Allah memfardhukan ibadah puasa yang menjadi ketandaan orang – orang yang kembali kepadaNya.

Bersama kita menyambut Ramadhan dengan penuh rasa syukur dan azam yang tinggi untuk beribadah di dalamnya. Allahlah dipohon segala kekuatan.

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

September 2007
I S R K J S A
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa