Salam Kamunting dan salam Ramadhan,

Saya keluar hospital 3 hari lepas setelah 4 hari dimasukkan ke wad 10 HRPZ Kota Bharu. Sebelumnya saya sudah tak bermaya beberapa hari di rumah kerana keletihan yang agak teruk. Ia ujian di bulan Ramadhan yang belum pernah saya lalui. Saya masih keletihan dan hari ini saya mula kembali berpuasa selepas rehat lebih seminggu. Harapnya kekuatan saya bertambah baik agar saya mampu untuk terus melaksanakan ibadah puasa sepanjang Ramadhan ini.

Kesihatan adalah nikmat yang tak terperi. Ia bagai kehidupan itu sendiri. Kita tidak akan menikmati kehidupan tanpa kesihatan yang baik. Kerana itu, saya hampir – hampir karam di awal Ramadhan ini. Bagaimana harus saya berseronok beribadah di bulan mulia ini tanpa kesihatan yang baik?

Badan saya terasa panas. Bila kipas berpusing, kulit saya terasa sengal – sengal kesejukan. Bila saya tarik selimut, kerimasan pula melanda – landa. Kemudian hidung saya seperti kehilangan petunjuknya. Semuanya berbau hamis, hapak, hanyir dan entah apa lagi. Saya terasa loya dan mula muntah – muntah. Masa berbuka puasa, juadah berbuka yang beraneka seperti hanya satu rasa, tawar dan meloyakan.

Semasa di hospital, lebih 10 botol air dimasukkan ke dalam tubuh tetapi saya terus rasa loya dan mual. Lebih seminggu saya dihimpit kesempitan. Saya terganggu dengan mimpi dan igauan yang membosankan. Saya keluh kesah tak mampu melelapkan mata. Buruk lagi, saya seperti lupa berada di bulan Ramadhan. Bila saya mengambil makanan, saya tawarkan kepada rakan di sebelah. Bila mereka senyum dan berkata, puasa, barulah saya sedar berada di bulan Ramadhan.

Akhirnya kesihatan saya beransur – ansur pulih. Terima kasih para doktor dan terima kasih rakan – rakan yang mendoakan. Pasti saya tak lupa jasa isteri saya yang bersama – sama saya sepanjang masa memberi apa yang saya tak terfikirkan. Kelembutan itu satu kekuatan. Hari ini saya dah terasa kesihatan menyapa tubuh saya. Saya rasa sihat dan terasa mahu bersalam dengannya.

Saya mengalami luka – luka dalam perut. Pada hari akhir di hospital, doktor mengesahkan saya juga diserang denggi. Tapi, keadaan dah baik.

Cukuplah kesakitan itu sebagai pengajaran dan ibrah Ramadhan saya tahun ini. Saya terasa ketinggalan. Ruginya tertinggal. Semoga Allah mengampuni saya dan kita semua. Sudah lama saya tak tadarus Al Quran.