Salam Kamunting dan salam Ramadhan,

Kita telah memasuki bulan Ramadhan yang penuh keberkatan, kebaikan, kesuburan dan kelebihan. Semuanya adalah kerana Al Quran yang diturunkan pada bulan ini dari Lauh Mahfuz yang tersimpan lama di lapis langit ketujuh ke langit dunia sebagai persiapan terakhir untuk diturunkan oleh Jibril alaihis salam kepada Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wa sallam atau ia diturunkan ayat pertamanya di Gua Hira’ sebagai perisytiharan kerasulan nabi kita sebagai nabi akhir zaman yang membawa sinar cahaya agung.

Memasuki Ramadhan bererti kita memulakan ibadat besar yang disyariatkan Allah ke atas manusia iaitu berpuasa. Puasa di bulan Ramadhan adalah ibadah khas dan istimewa untuk umat Muhammad yang tidak disyariatkan ke atas umat terdahulu. Tujuannya adalah tujuan pelaksanaan ibadah besar yang lain seperti solat, zakat dan haji. Tujuannya adalah untuk mengingati Allah sebagai tuhan yang mesti disembah, ditaati dan dicintai.

Allah mempelbagaikan ibadah dan cara melutut dan bersujud di haadapannya agar kita seronok, gembira dan tidak jemu – jemu dengan kepelbagaian itu. Jika hanya solat, bayangkan kesempitan dan kejemuan yang pasti kita akan rasai. Ya, masanya kita berduyun ke masjid, kalanya kita bangkit menyendiri di tengah malam, ketikanya kita melayani si faqir miskin dengan rasa rahmat dan kesian belas, saatnya kita terbang jauh ke Makkah sana dan musimnya kini kita hanya perlu berlapar menahan diri daripada kebiasaan.

Lihatlah kepelbagaian itu. Berlapar itu pun ibadah! Tak makan dan lapar itu pun  bererti ingatkan Allah! Masa suci Allah dan segala puji bagiNya yang telah melayan kita dengan layanan seorang pencipta agung yang maha tahu kelemahan dan kesukaan hambaNya.

Mengapa mesti berpuasa untuk menyambut Al Quran? Ya, mari kita menadah jawaban daripada Allah sendiri yang telah mensyariatkan puasa untuk Al Quran itu. Allah menurunkan Al Quran untuk semua manusia sebagai petunjuk ( hudal linnaas ). Tetapi Allah memberi khabar betapa manusia menolak tawaran kasih sayangNya itu. Mereka beralasan sejuta untuk membelakangi petunjuk Allah. Maka siapakah yang mengambil petunjuk Al Quran itu dengan menerima dan menyambutnya dengan penuh kegembiraan?Tiada selain mereka yang bertaqwa kepadaNya ( hudal lilmuttaqiin ).

Hanya manusia yang bertaqwa! Orang yang tidak bertaqwa tidak meletakkan Al Quran ditempatnya yang tinggi dan sebenar. Ia samada mereka menentangnya atau menolaknya atau melupakannya atau tidak beramal dan berpetunjuk dengannya. Al Quran mesti diimani semuanya dan diterima semuanya dalam kehidupan duniawi. Jika tidak, kita dikira gagal. Gagal bererti tiadanya taqwa dalam diri!

Sekarang bayangkan tuntutan memiliki taqwa. Ahli al Quran syaratnya taqwa di dalam diri. Kita membohongi Allah jika kita mendakwa menyambut dan menyayangi al Quran sedang kita tidak bertaqwa keadaNya. Kita dimusuhi al Quran sedang kita beranggapan al Quran membela kita di hari akhirat. Puncanya kita mendakwa memiliki apa yang kita tidak mampu membayarnya!

Oh, alangkah sukarnya memiliki taqwa. Taqwalah sifat yang diburu pencinta akhirat sepanjang zaman. Mereka mengimpikannya kerana merekalah yang cukup tahu kelebihannya. Tuhanku, tunjukilah daku jalan menuju taqwaMu. Aku ingin memeluk Al QuranMu dalan cintaku. Janganlah aku diseret jauh daripada mensyukuri rahmat belasMu dalam kitabMu. TaqwaMu ku dambakan..

Allah menjawab, ” Wahai orang – orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu  berpuasa sebagai mana diwajibkan ke atas orang – orang yang terdahulu semoga kamu bertaqwa.”

Bulan ini kita diminta mera’ikan kedatangan Al Quran dengan menyambutnya di malam Lailatil Qadr. Meninggalkan sambutan  ini adalah sial yang tak sudah – sudah. Menyambutnya tanpa bekalan taqwa yang siap siaga di dalam tubuh adalah penipuan dan pembohongan terhadap Al Quran dan Allah. Taqwa adalah ketandaan menerima Al quran. Sukarnya taqwa diperolehi. Allah maha mengetahui kesukaran hambaNya. Dia mempermudahkannya. Berpuasalah 30 hari, nescaya taqwa datang sesegeranya. Jika di sana ada jalan pintas, inilah jalannya. 

Di malam berlakunya Lailatul Qadr, bertemulah dua cinta suci. Cinta hamba dan cinta Al Quran. Bayangkan betapa Al Quran akan memberi kita apa yang kita dambakan daripada petunjuknya. Keluarlah kita dari Ramadhan dengan bekalan taqwa, isi sebuah Al Quran.

Selamat berpuasa demi pendambaan sebuah taqwa suci.

( Jauhi Umno di bulan Ramadhan. Jika anda menduga Umno melorong ke jalan taqwa, itulah seburuk – buruk impian. Umno musuh Al Quran dan Al Quran musuh Umno. Umno tak pernah mengimpikan kemerdekaan Al Quran pada hari mereka merdeka dulu dan kini jua. Barua Yahudi di Negara tercinta )