Salam Kamunting,

(1)

Indonesia dilanda gempa bumi lagi dan kita di sini diacu dengan kekuatannya yang dahsyat. Peringatan demi peringatan. Anda ingat semasa kejadian tsunami dulu yang berlaku menjelang penganut Kristian merayakan hari krismasnya, satu ingatan bahawa kemurkaan Allah dijelmakan dengan gempa bumi yang dahsyat itu. Apabila akidah bahawa Allah mempunyai anak dirayakan umat manusia yang ramai dan begitu gemilang sekali di dunia ini, Langit dan bumi menjadi kecut perut ketakutan lalu bergetarlah mereka ketakutan. Berlakulah tsunami yang cukup ganas. Murka Allah pada manusia. ( Lihat surah Maryam: 88-92 )

Gempa terbaru yang dahsyat pula berlaku beriringan kita menyambut Ramadhan. kemurkaan jugakah? Adakah keseronokan menyambut Ramadhan sama seperti keseronokan meraikan khurafat agung membapakan Allah? Tidak, pasti sekali tidak. Jadi, peringatan apa ini?

Inilah peringatan Allah kepada umat yang lalai dan tertipu dengan cara hidup yang menyeleweng. Kita ini menyambut Ramadhan dengan gemilang tetapi dalam kejahilan yang nyata. Ramadhan adalah bulan Al Quran. Tetapi kitalah umat yang redha Al Quran yang disambut itu dijauhkan dan disisihkan daripada kehidupan. Ia hanya untuk dibaca buat mencari pahala bekalan akhirat semata – mata. Tidakkah Al Quran adalah petunjuk di dunia sebelum pahala di akhirat. Bagaimana dibayangkan pahala sedang kita menyisihkan Al Quran?

Allah menyusahkan kita di dunia dalam hikmahnya demi kebahagiaan kita di akhirat. Agar kita kembali ( Lihat Ar Rum;41 ). Tetapi mereka yang leka terus berkata, itulah kejadian alam yang kejam! Maksudnya kejadian Allah yang kejam! Siapa yang kejam selain manusia sendiri.

(2)

Hari ini Turki mengambil tempat di hati umat Islam sedunia. Di Malaysia, Umno dan Pas seperti berebut meraikannya. Bagi Umno, ia menyamai Islam Hadhari. Bagi Pas, itu kejayaan kumpulan Islam meruntuhkan sekular bengap pekat. Bagi Umno, biarlah yang bertudung itu bertudung, yang tak nak itu, tak apa. Yang penting, kejayaan ekonomi. Ada pun agama Islam, itu hak individu membuat pilihan. Nak solat, solatlah. Tak nak, sudahh! Kerajaan apa nak hirau..

Bagi Pas, itulah siasah syar’ieyyah untuk dunia Turki yang kelam di dalam pemerintahan yang telah menjahanamkan khilafah Islamiyyah puluhan tahun lampau. Semuanya agar Islam mendapat hak dalam dunia demokrasi sekular yang dicanangkan. Menonjolkan Islam adalah keruntuhan yang mudah. Itulah pengalaman Najmuddin Erbakan dan parti Refahnya yang dibunuh tentera Turki, wali sekular Turki.

Abdullah Gul akan menjawabnya dalam tindak tanduknya dan perancangannya untuk masa depan gerakannya yang mengkagumkan semua pihak termasuk Amerika dan blok Eropah. Rakyat Turki sudah boleh bergembira apabila Islam kembali merasai sedikit kebebasan. Itulah erti sebuah kemerdekaan yang sebenar bagi masyarakat Islam.

Kita di Malaysia, kerajaan terus berseronok menyekat Islam daripada kembali berkuasa. Merdeka daripada penjajah dan merdeka daripada Islam juga. Bagi Umno, Islam persis penjajah! 

(3)

Sempat juga Khir Toyo mewajibkan 20 rakaat tarawih ke atas rakyatnya di Selangor. Maka wajiblah beliau melaksanakannya 20 rakaat juga dan janganlah berleka dengan majlis berbuka puasa besar – besaran yang akan memangsakan solat tarawih dihujungnya. Kenyang meruntuhkan kekuatan bertarawih 8 rakaat, apatah 20 rakaat. Mufti Perlis dah tegur. Itulah sebaik – baik teguran. Semoga beliau terus baik menegur yang layak ditegur sahaja.

Yang paling kecewa ialah rakyat Selangor sendiri. Bukan kerana 20 rakaat, tetapi terselit di dalamnya larangan menyampaikan tazkirah antara rakaat tarawih. Tok Guru Nik Abdul Aziz telah menyatakan kekesalannya. Saya fikir, di Kelantan beliaulah antara perintis tazkirah di bulan Ramadhan, lalu dimasyhurkan ke seluruh negara.

Nampaknya Umno terus kekal di ranking pertama menjadi pembenci tazkirah di Malaysia. Kerana itu layaklah Umno menjadi celaka di sisi Allah ( lihat Al A’la: 9 -12). Kesian Orang Umno. Semoga kita kekal menjadi pencinta tazkirah. Hadirilah masjid yang ada tazkirah di bulan Ramadhan, nescaya Ramadhan kita akan lebih meriah dengan kecintaan terhadap Islam.

Jika Umno mampu menyekat bloggers di bulan Ramadhan ini, saya tak fikir mereka tidak melaksanakannya. Hujah mereka banyak. Blog menjadikan manusia seperti monyet, kata Khairi. Malangnya mereka tak mampu kerana dunia terbuka adalah akidah mereka jua. Syukurlah. 

(4)

Kalau di Indonesia mereka dikejar gempa yang dahsyat di awal Ramadhan, kita di Malaysia gempar kerana dikejar peluru hidup. Keduanya – duanya menakutkan kerana maut menunggu bila – bila masa. Bezanya gempa bumi itu daripada Allah yang tiada siapa mampu menyekatnya, sedangkan peluru hidup itu daripada Umno yang hanya Allah mampu menyekatnya.

Dulu rakyat Indonesia takutkan Suharto tetapi kini mereka tak takutkan sesiapa kecuali Allah dan kejadianNya itu. Kita pula kini ketakutan pada Pak Lah. Siapa sangka dalam tidurnya dan dalam ilhamnya, peluru hidup boleh dilepaskan sewenang – wenangnya. Nampaknya, sukar diharap ISA akan dimansuhkan..

Saya berkata hanya Allah akan menyekat kezaliman Pak Lah. Allah pula memberi peluang dan tawaran besar – besaran untuk sesiapa antara hambanya yang bersedia memikul amanahNya menyekat atau membuang sahaja Pak Lah dengan pahala yang berganda – ganda. Beramai – ramailah kita berjuang mengalahkan Umno, nescaya Allah menyukai kita. Berbekallah dengan kekuatan yang sebenar. Sebaik – baik bekalan adalah taqwa. Maka carilah ia di bulan Ramadhan.

Saya terus kehairanan, apalah yang Pak Lah cari di bulan Ramadhan ini? 2 hari lepas beliau berbuka puasa di Kelantan. Ramai yang bersamanya. Saya beritahu sahabat dalam kereta semasa bersama – sama ke Machang untuk pelancaran program iftor jama’ie Dewan Pemuda Pas peringkat negeri bahawa orang Umno nampaknya lebih bersedia menyambut Pak Lah turun ke Kelantan daripada menunggu Lailatul Qadr turun. Dekat – dekat pilihan raya ni, sukar dibayangkan betapa besarnya harapan mereka pada Pak Lah. Itulah yang saya rasa dan fikirkan.

Orang Pas yang asyik lawan Umno pula, oleh kerana diajar sejak awal agar pergantungan mereka hendaklah kepada Allah sahaja, mudahlah dibayangkan seronoknya mereka menunggu Lailatul Qadr. Hanya Allah yang akan memilih mereka yang bertuah menemui malam itu. Semoga kita daripada pilihanNya jua. Amin.

(5)

Dan jangan kita lupa saudara kita di bumi Palestin. Juga saudara kita di selatan Thailand atau bumi Patani. Kemudian saudara kita di seluruh dunia, terutama yang tengah merasai keperitan hidup dalam dunia kekufuran dalam derita perang dan kebuluran. Mereka adalah mangsa yang menunggu – nunggu kebebasan yang kita adalah sebahagian yang diharapkannya.

Jangan kita lupa dalam kesenangan kita di sini. Berilah pertolongan dan doakan untuk mereka. Kewajiban kita rupa – rupanya bertimbun – timbun. Moga Allah merahmati kita dalam dosa kita mengabaikannya.