You are currently browsing the category archive for the ‘taqwa’ category.

Salam Palestin,

Jika tak ada ulama masuk UMNO, maka;

1) 100% UMNO adalah buruk. Bagaimana boleh dibayangkan sebuah kumpulan besar masyarakat Islam boleh wujud tanpa tokoh ugama yang mendukung dan menasihati? Mustafa Kamal Ataturk pun perlukan sokongan ulama untuk menjayakan misi kumpulannya. Jadi, tak mungkin UMNO tak ada ulama. UMNO mesti cari ulama. Jika sebaliknya, dulu lagi UMNO dah berkubur.

2) Di manakah ulama jahat ( ulama al su’ ) hendak bersarang? Dalam PAS tak mungkin sebab PAS berjuang untuk Islam yang benar sedang mereka adalah ulama palsu dengan cita – cita palsu. Berseorangan juga tak mungkin sebab ulama jenis ini lahir kerana kepentingan duaniawi yang ditagih. Berseorangan hanya menghalangnya mendapat habuan tesebut. Menubuhkan jamaah sendiri juga tidak mungkin sebab ulama jahat tak boleh bersatu sesama mereka kerana kepentingan diri yang saling bercanggahan, apatah untuk menyatukan masyarakat. Jadi, wujud UMNO yang berkuasa adalah tuah dan syurga buat ulama jenis ini.

3) Susahlah umat Islam untuk mengenali ulama akhirat yang sebenar sebab tanpa perpecahan antara dua golongan ulama ini, sukarlah pengecaman, pengenalan dan pengasingan berlaku. Islam adalah al furqan, datang untuk membelah dan mengasingkan kebaikan daripada kejahatan. Jadi kewujudan ulama jahat dalam kumpulan jahat adalah sunnatuLlah. Begitulah sebaliknya.

4) Hilanglah bisa ulama dalam PAS. Putih zahir di tepi hitam! Orang baik zahir dengan zahirnya orang jahat. Dizahirkan kehebatan dan keabdian Musa alaihissalam dengan dizahirkan kebebalan dan keangkuhan Firaun. Ibrahim vs Namrud. Begitulah dihidupkan watak yang bertentangan sebgai pengenalan. Justeru anda tak nampak bisa ulama PAS sehinggalah anda melihat ‘bisa’ ulama UMNO. Jadi demi wibawa ulama PAS, mestilah dihantar ulama untuk masuk UMNO. Jika UMNO gagal menggoda mereka, banyak syaitan iblis akan datang membantu..

5) Siapa nak mempertahankan kezaliman UMNO dengan fatwa – fatawa yang boleh mengelirukan umat Islam sehingga terus melihat kezaliman sebagai keadilan, lalu mereka menyokongnya? Tun mahathir, siapa nak amin fatwanya menghalalkan judi?! Paling tidak, bila ulama UMNO senyap, orang akan kata judi itu harus sebab kita ini masyarakat majmuk. Misalnya itulah. Jadi, demi kekeliruan umat yang mesti dikekalkan demi kelangsungan kerajaan zalim UMNO, ulama muda atau tua mesti ada dalam UMNO. Tak boleh tak ada. Jika tak ada, dulu lagi UMNO dah tak ada. Tak ada maknanya mati. Mati dalam bahasa kasar disebut mampus! Anda boleh pilih mana satu yang berkenan..

5 sebab yang saya paparkan di atas adalah sebagai menjelaskan betapa kemasukan ulama dalam UMNO bukan satu perkara yang pelik. Bahkan ia adalah keperluan perjalanan sunnah Allah agar pengenalan, pengasingan dan pemisahan terus berlaku dalam ujianNya ke atas umat manusia.  

Yang anda perlu tahu sangat ialah ilmu dan taqwa ulama. Ilmu dan taqwa adalah hujah para ulama, bukan buih mulut, harta, kedudukan dan wajah.

Yang anda perlu tahu ialah ulama umat Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam tak mungkin bersatu di dlam kegelapan dan kezaliman. Jika majoriti ulama menyokong UMNO, ia adalah satu hujjah UMNO adalah benar. Jika 40 ulama masuk UMNO manakala baki 40000 kekal dlaam perjuangan Islam, itu adalah hujjah UMNO adalah karut dan sesat.

Katakan, 40000 itu adalah ulama warisan umat Muhammad, manakala 40 itu adalah ulama warisan Yahudi. Persetan ulama Yahudi dalam umat Muhammad. Teruskan perjuangan dengan kepimpinan ulama yang bertaqwa..

Advertisement

Salam Kamunting,

Saya, juga seluruh warga DPP Pengkalan Chepa nak ucapkan selamat hari raya eidul fitri buat seluruh umat Islam, khususnya para pembaca budiman, tak kiralah lelaki dan perempuan, tua dan muda, uda dan dara. Semoga kegembiraan kita adalah kerana kejayaan kita mengisi Ramadhan dengan ibadah, taat dan taqwa kepada Allah. Semoga kegembiraan kita adalah pancaran rasa syukur di atas hidayat yang dikurniaiNya ta’ala.

Semoga kegembiraan kita dikongsi bersama oleh orang – orang yang lemah, miskin dan dizalimi daripada kalangan umat Islam seluruh dunia. Apalah manfaatnya bergembira dalam hambatan amanah yang tak tertunai. Semoga zakat fitrah yang kita tunaikan dengan ikhlas menjadi penyebab kerdil yang mencetuskan kegembiraan di jiwa mereka pada pagi hari raya dan hari – hari mendatang selepasnya.

Semoga kita didampingi al Quran selepas kita telah berusaha untuk mendampinginya sepanjang masa di bulan Ramadhan. Al Quran adalah sumber kekayaan, kekuatan dan kegembiraan bagi jiwa yang benar – benar kembali.

Semoga kita diberkati Lailatul Qadr yang diburu setiap yang beriman kepada Allah dan rasulNya. Semoga Allah memberkati masa kita di dunia ini. Kita adalah masa dan masa adalah kehidupan.

Semoga kita gembira selama – lamanya, dalam susah dan senang juga sempit dan lapang. Semoga Allah mengampuni dosa umat Islam seluruhnya. Amin.

Selamat Hari Raya Eidil Fitri. Maaf zahir dan batin.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar.   

Jemput ke rumah ayahanda di rumah terbuka di kediaman kami di Pulau melaka pada hari raya pertama.

Silakanlah..

Salam Kamunting,

Setiap malam, setiap mukmin sedang meneka – neka dan mencari – cari malam yang agung itu. Ibu kita, Aishah  radhiaLlahu ‘anha sampai bertanyakan RasuluLLah sallallahu alaihi wasallam, apakah doa yang harus dibaca jika beliau merasa – rasakan kehadiran malam lailatul qadar itu. Baginda bersegera memberikan isteri kesayangannya itu dengan doa yang tinggi sekali nilai dan kesannya. Bacalah, “Tuhanku, sesungguhnya engkau maha pemaaf, engkau suka memaafkan, maka maafkanlah aku.”

Bagaimana jika kita saling menghadiahkan doa ini di antara kita suami isteri? Tidakkah hebat merasa – rasakan untuk meniru suasana hangat pemburuan malam agung ini dari rumah keluarga al Rasul?

Apabila masuk sepuluh malam terakhir, Baginda segera menghidupkan malamnya, membangkitkan ahli keluarganya dan mengilas kainnya ( bersungguh – sungguh ) demi memuncakkan perolehan ganjaran dan keberkatan malam agung itu.

Ayuhlah, masih ada masa untuk kita saling berlumba.. 

Jangan diabaikan ibadah iktikaf di masjid. Jangan ditinggalkan sesuatu yang agung daripada nabi kita. Ia untuk kita, jika kita ini solihin, mukminin, muttaqin atau kita mengimpikan gelaran syurgawi itu.

Jikalah kita terlalu sibuk, jangan lupa, seperti kata ayahanda, meniatkannya setiap kali kita masuk masjid untuk menunaikan solat lima waktu. Apabila kita meniatkannya, kita akan merasakan bahawa kita sedang memagari diri kita untuk Allah, tuhan yang maha sabar menanti kehadiran hambaNya. 

Ibadah yang paling berkesan adalah berfikir, bertafakkur, bertadabbur dan beribrah. Ia mengesankan sungguh. Tanpa tafakkur, kita tidak mampu bersyukur. Syukur hendaklah memuncak di malam Syawwal saat kita bertakbir membesarkan Allah ta’ala. Itu arahan al Quran.

Adalah Abu al Darda’ radhiaLlahu anhu seorang sahabi yang banyak beribadah dengan berfikir dan memerhatikan penciptaan Allah azza wajalla dan tanda – tanda kebesaranNya yang nyata. Beliau pernah berkata, “Bertafakkur sesaat adalah lebih baik daripada beribadah semalaman.”

Telah ditanya Ummu al Darda’, “Apakah sebaik – baik amal Abu al Darda’?” Beliau menjawab, “Bertafakkur dan beriktibar.” – (Kedua-duanya adalah riwayat Imam Ahmad dalam kitab al Zuhd).

Justeru, bersegeralah menikmati ibadah berfikir. Berfikir demi mensyukuri nikmatNya.

Basahi pipi untuk mengingati nikmat ini;

1) Kita dijadikan muslim seawal dilahirkan. Bayangkan sebaliknya, sebagaimana jiran kita orang Cina dan India yang berlainan ugama. Alangkah sukarnya hidayat! Alangkah mudahnya Islam kita!!

2) Kita dimudahkan dengan al Quran. Bayangkan sebaliknya, sebagaimana orang kafir. Atau sebagaimana golongan munafik yang masih bermain – main dan bersenda gurau dengan al Quran! Alangkah sukarnya khusyu’. Alangkah mudahnya kita dihadiahkan untuk membaca dan khusyu’ di hadapan al Quran.

3) Kita dilorongkan untuk memilih jalan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Bayangkan jika kita diseronokkan untuk menghina para sahabat yang disucikan hati mereka dengan al Quran! Atau, jika kita diobseskan dengan pandangan yang salah dalam memahami jihad, lalu kita membunuh sesama sendiri, atau mengkafirkan sesama sendiri. Alangkah malangnya hidup dalam Islam yang disesatkan kefahamannya. Alangkah beruntungnya kita didekati ulama yang suci dan sempurna ilmu dan fahamnya terhadap ugama.

Mari berpuasa, bertaqwa dan bersyukur dengan al Quran. Semoga Allah tidak mengharamkan kita dengan Lailatul Qadar.. Aamiin.

Salam Kamunting,

1)

Kita memasuki fasa kedua bulan Ramadhan, fasa maghfirah. Allah mengeratnya kepada 3 bahagian agar kita merasa mudah dan tidak sukar menyempurnakan 30 hari berlapar dan bersabar di bulan penuh keberkatan ini. Permulaan setiap fasa akan memberikan nafas dan kesegaran untuk terus maju mengejar hikmah dan janji al Rabbul Jalil.

Ramadhan adalah sekolah orientasi intensif. Ia menyuci dosa dan noda setahun, sebagaimana tugasnya solat lima waktu, solat jumaat, umrah antara umrah dan juga ibadat haji yang menyucikan dosa di antara mereka. Manusia adalah makhluk yang berdosa dan disuruh membersihkan dosa untuk hidup suci dan tenang dengan kelebihan kurniaanNya.

Apabila tubuh menjadi suci, ia melonjakkan ruh ke langit dan ke atas unsur maddi dan jasmaniah. Ia akan memburu kehidupan malaikat yang berebut – rebut mendamba diri menyembah tuhan. Di bulan Ramadhan, pendambanya akan menjauhi perbuatan – perbuatan bersifat nafsu, duniawi dan haiwani. 

Oleh kerana penyucian diri diikat dengan kawalan terhadap keinginan nafsu dan gelojaknya, maka puasa diikat pula dengan kesabaran. Puasa adalah sabar. Justeru RasuluLlah menggelar Ramadhan sebagai ‘bulan sabar’. Agama adalah sabar melakukan ketaatan dan sabar menahan diri daripada maksiat. Hakikatnya, sabar adalah senjata segala senjata di dalam menempa kejayaan hidup.

Puasa mendorong kita merasakan nikmat yang dilupakan. Nikmat sihat, segar, kenyang dan kaya. Lapar mengubah haluan berfikir pada kebiasaan. Kebiasaan itu melupakan dan mengalpakan kita daripada kewajiban dan kebenaranMengingati nikmat melahirkan syukur. Syukur adalah buah ranum tuaian taqwa. Di hujung Ramadhan dan di awal malam Syawwal dan di paginya juga, kita dikerah untuk bertakbir membesarkan Allah. Tujuannya, la’allakum tasykurun – moga kamu menjadi hambaNya yang bersyukur!

Hamba yang bersyukur, yang lahir daripada sifat taqwa akan tahu dan bersedia untuk hidup berbakti sesama manusia. Penyucian diri berakhir dengan kesungguhan untuk hidup berbakti sesama insan.

Sekarang anda melihat bagaimana mudahnya puasa mengubah kita, bahkan mengubah kehidupan masyarakat Islam!

Justeru anda bayangkan jika ditiadakan ibadah puasa!? Maksudnya, jika kita mengabaikan ibadah puasa!? Apabila kita kehilangan hikmah, kita dipalang akibat!

2)

Semalam kita menyambut hari kemerdekaan negara ke 52. Moleknya, ia jatuh di bulan Ramadhan. Lawanya, ia jatuh pada 10 Ramadhan. 10 Ramadhan adalah tarikh bersejarah umat Islam/Arab mengalahkan Israel dalam perang moden menentang Yahudi, penceroboh kemanusiaan. Jika kita mahu bersandar pada tuah dan syukur, kita ikatkan ketiga – tiga nikmat itu, – merdeka, Ramadhan dan kemenangan Islam – lalu kita berkata, MERDEKA!

Sesungguhnya kita mahu bebas dengan Islam daripada penjajahan nafsu dan musuh!

Merdeka adalah nikmat tak terperi. Ketika negara melaungkan kemerdekaan 52 tahun yang lepas, betapa banyaknya air mata yang menitis kegembiraan. Kisah – kisah duka penjajahan bangsa asing sememangnya cukup menjadikan hati kita anak merdeka menjadi lembut dan insaf. 

Hari Kemerdekaan negara adalah sah untuk dirayakan. Allah mengingatkan Bani Israel dengan nikmat kemerdekaan daripada cengkaman Firaun dan kerajaannya yang zalim. Lihat al Baqarah:49.

Apabila RasuluLlah melihat Bani Israel berpuasa pada hari mereka mengingati pembebasan Allah terhadap mereka daripada buruan Firaun yang ditenggelamkan dalam lautan yang dalam, Baginda turut berpuasa dan menyaran umatnya berpuasa dan berkata, kita lebih layak mengingati sejarah itu daripada mereka!

Yahudi berpuasa demi itu, tetapi mereka lupa betapa merekalah yang mengkufuri nikmat itu apabila merekalah yang mula – mula menyembah lembu selepas pembebasan itu, sebaik ditinggalkan Musa alaihissalam selama 40 hari untuk menemui tuhannya!

Mensyukuri kemerdekaan, awal dan akhirnya adalah mentauhidkan Allah, bukan berdegar – degar dengan laungan kemerdekaan dengan mensyirikkanNya dengan sesuatu daripada makhlukNya.

Sekularisme adalah lembu yang disembah hari ini. Jauhilah syirik! Jangan jadi Bani Israel!

3)

Malam 31 Ogos baru – baru ini saya dijemput untuk menyambut detik 12 malam di Dataran Shah Alam. Saya menjadi panel forum bersama YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Ustaz Riduan Mohd Nor. Forum diselangi dengan persembahan muzik dan nyanyi – nyanyian oleh bekas Band Rock Abang Man Jack entah apa…

Saya agak terpaku juga sebab ia suasana baru dengan approach baru dan sensasi juga dengan audien terdiri daripada anak – anak muda ‘couple’ yang agak ramai yang datang ke dataran untuk ‘bergalak’ sebagaimana zaman UMNO dulu – dulu. Ucapan saya agak telor pelat juga, macam berjalan di atas titian rumah air di Sabah dan Serawak. Hah, sukar sekali pak!

Peliknya, selepas forum dan sambutan tamat, beberapa anak muda ‘couple’ datang kepada saya untuk bergambar! Mereka nampak gembira pula. Saya pula yang tersengih – sengih beri possing, takut – takut masuk majalah Mangga!  Harap – harap menjadilah dan ada kesanlah progaram yang bagus untuk mendekati mereka itu.

Tahniah pemuda Shah Alam. Well done..

Selamat bertamu di rehal al Quran!

Salam Kamunting,

Dia mencipta dan Dia memilih. Dia bebas dengan kehendak dan mahuNya. DiciptaNya langit dan bumi, lalu dilayarkan lewat  samudera masa dalam 12 bulan yang berulang – ulang. DipilihNya 4 daripadanya, lalu dinobatkan kemuliaannya sebagai bulan – bulan yang haram (mulia). Itulah pilihanNya sedari alam tercipta di tangan dan mahuNya.

Ramadhan adalah daripada 12 tetapi bukan daripada 4 yang terpilih oleh mahuNya itu. Ia terpinggir dari arus kemuliaan tetapi ia tiada gusar! Ia menanti dalam sabar dan rindu. Ia merindu dalam cinta dan tasbih. Saatnya nabi agung terutus, saatnya umat agung terbangkit, ia akan menari dan bersuka ria dalam malam tiada terperi.

Di malamnya, satu daripada 30, dari lapis langit ketujuh tersaksilah pada sekelian alam kejadian janji agung yang terkota oleh al Rabbul Jalil. Turun berjejeranlah dan berbanjar – banjarlah para malaikat Allah didepani ‘al Ruuh’   beralunan lunak tasbih dan tahmid, memuji dan memuja pada meraikan dan merayakan turunnya sebuah janji agung daripada empunya semesta alam, Rabbul alamiin.  

Malam itu al Quran turun. Turunlah dari kota Lauh Mahfuz, dari utuh Ummil Kitab, dari sisi arasyNya yang agung. Turunlah ke lapis terbawah daripada langit yang terhias oleh jutaan bintik – bintik bintang bercahaya berkerdipan bagai lampu – lampu neon di majlis perajaan.

Ia malam penuh berkat. Diberkati dan memberkati. Malam Lailatul Qadr. Malam setanding seribu bulan, sejangkau 80 tahun hayat insani. Berimanlah, beramallah di malam terkota janji ganjaran seribu bulan dalam iman dan amal! Bertempiklah, bertakbirlah, manikam janji yang tidak terperi..

Satu malam yang memberkati 30 malam disekelilingnya. Malam – malam Ramadhan yang penuh keberkatan. Dia bertandang kepada kita, tetapi kitalah tetamunya, bukan dia tetamu kita. Dia menjamu dan kita dijamu sepuas – puasnya.

Al Quran turun dari langit diiring Jibril ‘alaihissalam menuju insan teragung, Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam di gua Hira’, gua tauhid dan kebenaran. Bacalah wahai Muhammad, dengan nama Tuhanmu..

Kita di bumi. Al Quran di langit. Ramadhan menarik langit ke bawah dan menolak bumi ke atas. Ramadhan adalah medan masa kita dan al Quran berjabat. Berpeganglah pada tali al Quran sekuat – kuatnya agar kita tidak jatuh ke bumi, ke lembah palsu dan plastik! Atau, al Quran diangkat langit dek tiada yang mengendahinya.

Kallaa!  Tidak sesekali tidak! Inilah umat Muhammad. Tercipta untuk terpilih oleh mahu Empunya alam. Terpilih untuk menjadi pemegang amanah kalamNya yang suci dan yang agung hingga dunia digoncang  janji dan ajal tuannya. Selagi umat Muhammad, selagi itulah al Quran dibaca, ditadabbur dan dilunaskan dalam medan amal dan perjuangan. Dalam hidup dan kehidupan..

Allah, Allah, Allah.. Aku tersyahdu menghirup al QuranMu. Jadikan aku hambaMu. Kerana aku hambaMu.

Selamat berkunjung ke qaryah Ramadhan. Kampung masa yang kudus dan khusyu’ diterangi juntaian neon ayat – ayatNya yang memancar menerangi dunia yang kelam dan gelap.

 

Salam Kamunting,

Tak kiralah samada pemimpin kita itu ulama atau profesional, yang penting dia bertaqwa. Jika taqwanya tercarik dengan sebab perlakuannya, kita pilih yang lain.

Pemimpin kita mesti bertaqwa. Mesti pula lebih taqwanya daripada kita pada andaian dan penelitian kita. Sebab, kita ini adalah umat taqwa. Taqwa adalah pencarian kita di dunia yang tertinggi. Taqwa adalah bekalan kita yang  satu – satunya ke akhirat nanti. Maka pemimpin kita hendaklah orang yang boleh menunjuki kita kepada taqwa.

Justeru pemimpin kita mestilah taqwanya lebih baik daripada kita. Suluhannya lebih tajam melihat ke depan, lalu pimpinan dan panduannya jadi mudah, tepat dan tak terpesong. Barulah kita jadi pengikut yang selamat, untung dan tak rugi.

Lihat ayat 74 surah al Furqan. Allah mengajar kita bagaimana memohon daripadaNya. Jika rajin, bacalah daripada ayat 63 sampai habis surah itu. Fahami bagaimana Tuhan kita merencana untuk kita hambaNya yang disayangiNya.

Kita diminta olehNya untuk memohon daripadaNya agar menjadi imam atau pemimpin kepada umat yang bertaqwa. Seawalnya adalah dikurniai isteri dan zuriat yang sejuk mata memandang dek taqwa yang menyelubungi kehidupan sekeluarga. Bolehkah dibayangkan perkenan Allah untuk doa suami yang buruk perangai untuk memiliki keluarga taqwa?

Itulah jenis pemimpin idaman kita. Dia memimpin di dunia untuk kehidupan kita di akhirat. Dalam Islam, memilih pemimpin tanpa taqwa, walaupun rencam kebolehannya, adalah kerugian. Kerugian yang besar.

Sebabnya, kita terlalu memerlukan pemimpin. Kita perlukan nabi yang memimpin. Sahabat nabi yang memimpin. Pewaris nabi yang memimpin. Kita buta tanpa pemimpin. Kita hari ini, begitulah manusia sejak dahulu kala lagi.

Adalah Bani Israel, pemimpin mereka adalah para nabi. Itu perkhabaran nabi kita untuk kita agar kita mengenali wibawa pemimpin. Kerana itu mereka telah menjadi bangsa pilihan. Apabila mereka membohongi dan membunuh para nabi, mereka dilaknat dan disumpah menjadi bangsa terkutuk.

Kemudian kita datang untuk menjadi bangsa pilihan pula. Kerana kita dipimpin oleh sebaik – baik nabi. Nabi penghulu segala nabi.

Nabi adalah bapa taqwa. Tiada nabi, tiadalah taqwa. Begitu sifat taqwa memuncak nilainya dalam kepimpinan Islam. Nabi mewariskan taqwa untuk kita meneruskan kepimpinan pilihan di dunia ini.

*******

Ya, taqwa. Mudah atau payah, kita kena cari pemimpin bertaqwa. kalau rasa pemimpin bertaqwa tak penting, tak payah baca surah al Furqan. Eloknya, tak payah baca al Quran langsung. Jenis tak lekat ajaran!

Ya, memang susah nak cari pemimpin bertaqwa. Sebabnya, taqwa itu memang susah nak dapat. Sebabnya kerana taqwa itu diperolehi hanya dengan ilmu. Ilmu pula hendaklah diiktiraf Allah sebagai ilmu yang berguna. Ilmu yang berguna ialah ilmu yang membawa kepada taqwa!

Yang bertaqwa hanyalah yang berilmu. Yang berilmu tanpa iman dan taqwa adalah tidak berilmu. Sekadar antah, disisih beras dan nasi.

Semua ilmu boleh memandu kepada taqwa. Ilmu adalah kurniaan agung daripada Allah kepada manusia.

Mereka kata, ulama ialah yang ilmu wahyunya adalah rasmi. Ada sijil. Mereka kata, profesional adalah yang ilmu akalnya adalah rasmi. Ada sijil. 

Jika begitu dipakai guna, maka samada pemimpin kita itu seorang ulama atau profesional, dia mampu untuk menjadi pemimpin bertaqwa. Sebab, samada ilmu itu naqli (wahyu) atau aqli (akal), ia boleh mencetus taqwa.

Kata saja begini, ulama apabila bertaqwa adalah profesional. Juga, profesional apabila bertaqwa adalah ulama. Titik temu adalah taqwa. Taqwa itu isi profesionalisme. Taqwa itu isi ulamaisme. Begitu tafsiran dan istilah ugama. 

Terbaru, ayahanda kata, jika Namrud itu profesional, dia pasti terima Ibrahim alaihissalam! Saya tambah, jika Obama itu profesional, dia pasti terima Islam!

Jika anda enggan memahami agama dengan tafsiran ugama, anda akan merapu – rapu dalam membuat kesimpulan. Jika anda  mengira si kafir adalah profesional, anda jahil. Ulama pun tidak, profesional pun tidak!

*******

Kemudian, mari saya bimbing anda kepada sesuatu yang lebih ke puncak.

Banyak – banyak ilmu, ilmu manakah yang terbaik dan terpilih?

Banyak – banyak ilmu, ilmu manakah merupakan kurniaanNya yang teragung?

Jawabannya adalah ilmu wahyu. Kenapa? Sebabnya ilmu wahyu adalah lebih cepat kepada  taqwa. Ia lebih cepat menuju Allah dan mengenaliNya.

Justeru para nabi dikurniai ilmu wahyu. Ia milik nabi tanpa kongsi. Ilmu wahyu mesti daripada nabi. Kemudian ia  dipindah milik kepada manusia yang dipilihNya untuk memperolehi kurniaan agungNya. Lihat asy Syura:52.

Nabi sallallaahu alaihi wasallam bersabda dalam hadis Sahih: “Barang siapa yang dikehendaki Allah dengan kebaikan (yang banyak dan agung), pasti Allah menjadikannya faqih dalam ugama.” Agama adalah wahyu.

Ilmu wahyu, nabilah juara di depan. Ilmu aqli, tak semestinya nabi menjuarai. Kerana itu nabi bersabda, “Kamu lebih tahu perihal urusan duniawi kamu,” saat para sahabat mengadu kebun tamar yang kurang mengeluarkan hasil apabila cadangan awal nabi dipraktiskan.

Justeru anda akan menemui seorang  miskin buta huruf di pedalaman jauh yang menangis di tengah malam kerana takutkan tuhannya. Dia tiada memiliki selain secubit ilmu wahyu yang diajar oleh guru ugama lepasan pondok ( yang tiada memiliki ilmu duniawi rasmi ) yang telah memperkenalkannya dengan tuhannya.

Tetapi anda boleh melihat seorang profesor di menara gading yang bertambunan sijil – sijil ilmu aqlinya, hari – hari kerjanya adalah menentang Allah dan rasulNya! Dia memiliki segalanya kecuali ilmu wahyu!

Setitik ilmu wahyu mungkin saja mencipta taqwa. Seluas lautan ilmu aqli pula tak mungkin mencipta taqwa kecuali selepas dititikkan dengan ilmu wahyu.   

Ilmu naqli ( wahyu ) tidak memerlukan ilmu aqli sedang ilmu aqli memerlukan ilmu naqli untuk menuju tuhan.

Ilmu aqli membimbing anda mengenali wujud tuhan yang satu. Ilmu naqli menyudahkannya dengan berkata, yang satu itu adalah Allah!

*******

Mari membaca dan memahami sebahagian surah Fathir yang menjadi rujukan perihal ilmu,ulama dan taqwa.

Ayat 27 dan 28, Allah mengarahkan kita mengkaji dan memerah akal untuk memahami kemukjizatan alam semesta ciptaanNya. Hasilnya adalah ilmu yang mencetus taqwa! ” Sesungguhnya hanya yang takut pada Allah adalah ulama ( ilmuan ).”

Tetapi perhatikan awal ayat, “Tidakkah kamu lihat bahawa Allah…”  Taqwa hanya terhasil apabila si pengkaji itu terlebih dahulu mengenal Allah. Jika tidak, dia pasti dalam kebingungan dan kehairanan sendirian tanpa jawaban melihat kehebatan alam semesta.

Anda mungkin mendengar bagaimana ramainya ahli sains barat dan timur  hanya memeluk Islam selepas mereka mengenali Allah daripada pembacaan al Quran atau diperkenalkan oleh ulama Islam! Sebelum itu, bukankah mereka buntu?

Lihat, titikan ilmu wahyu menjadikan segalanya adalah emas!

Jangan berhenti di ayat 28, sehinggalah anda melihat ayat berikutnya.

Lihat pula ayat berikutnya, dari ayat 29 hingga 32. Allah memperincikan perihal manusia yang bertaqwa.

Dalam 4 ayat ini, Allah menyebut ‘KitabuLlah‘ ( al Quran ) sebanyak 3 kali!

Selepas penegasan bahawa taqwa itu milik para ulama ( hatta ulama sains ), Allah mengembalikan kita kepada nikmat membaca dan memahami al Quran ( ayat 29 ). Kemudian, Allah mempertegaskan al Quran sebagai sumber kebenaran dan al haq ( ayat 31 ). Akhirnya Allah memberitahu kita kepada siapakah al Quran itu diwarisi daripada al Rasul ( ayat 32) dan siapakah yang terbaik daripada mereka. Mereka yang menjuarai berpegang dengan al Quran disifatkan sebagai telah memperolehi kurniaan yang agung!

Begitulah taqwa. Ia bermula dengan al Quran dan berakhir dengan al Quran. Ditengahnya adalah segala ilmu aqli dan naqli yang saling memperkenalkan kita dengan tuhan, lalu mencetus taqwa.

Selepas anda memahami ini, bolehlah anda memahami saya ketika saya sering mengajak anda menjadikan ulama al Quran sebagai pemimpin.

Saya bermaksud bahawa kepimpinan mestilah ditunjangi taqwa. Kemuncak taqwa adalah apabila anda memahami kitab Allah sepenuhnya. Anda mesti memahami bahasa Arabiah sebaiknya kerana al Quran diturunkan dalam bahasa Arabiah sepenuhnya. Sebahagian keindahan al Quran adalah pada memahami bahasa itu. Sebahagian lagi adalah pada memahami ilmunya yang khusus seperti ulum tafsir, ulum hadis (penafsir al Quran yang pertama selepas al quran sendiri ), fiqh dan usulnya, selain kemuncaknya, iaitu ilmu merawat hati yang sakit dan mensejahterakannya.

Tidakkah memimpin manusia adalah memimpin hatinya? Dunia ini hancur rosak selepas hati manusia rosak. Dunia ini sejahtera apabila hati manusia telah sejahtera.

Siapa anda untuk berani berkata ulama al Quran tidak boleh memimpin dalam iklim politik negara hari ini? Siapa anda untuk berani mempertikaikan imej dan watak ulama tradisional?

Seperti saya sebutkan di atas, jika anda melihat pemimpin anda telah tercarik sifat taqwanya dengan penyakit – penyakit hati seperti cintakan dunia, cintakan jawatan, bohong, dengki, politik wang, rasuah politik, politik cantas, memfitnah dan sebagainya, tukarlah saja pemimpin sedemikian jika ada yang lebih baik.

Jika tiada, malanglah kita. Berdoakan semoga Allah mengurniakan kita pemimpin yang baik – baik yang memandu kita menuju Allah.

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Jun 2023
I S R K J S A
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
2627282930  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa