You are currently browsing the category archive for the ‘dunia’ category.

Semoga Allah merahmati Usamah Bin Laden, menghimpunkannya bersama para syuhada’ di jalan Allah di sepanjang zaman, diketuai Hamzah bin Abdul Muttalib radhiaLlahu anhu. Orang yang hidup sepertinya tiada mengingini selain terbunuh syahid di tangan musuh Allah yang ditentangnya habis-habisan.

Semoga Allah mengurniainya kemuncak keinginannya di dunia dan di akhirat. Di dunia, dia mahu Amerika menjadikannya musuh nombor satu dan di akhirat, dia mahu Allah mengasihaninya di tempat yang pertama.

Kematiannya adalah doanya. Saya pasti dan cukup pasti bahawa setiap mujahid di jalan Allah tiada berdoa selain itu. Selain berebut menerkam dan menikam Abu Jahal, mereka juga berbahagia jika diterkam dan ditikam Abu Jahal dan syahid kerana itu. Jika mereka terkulai di katil kesakitan dan keuzuran, mereka menangisi nasib dan ketakutan jika Allah menentukan bahawa mereka gugur di luar medan perang. Itu, sedang Allah tidak lekang dan undur daripada mengasihi setiap hambaNya yang berjuang di jalanNya walau di mana pun kematiannya.

Kemudian, semoga Allah mengampuni Usamah Bin Laden, menutupi dan menghapuskan segala dosanya di dunia. Setiap manusia pulang kepada Allah dengan dosa dan kesalahan, walaupun dia membawa bersamanya berbanjar-banjar kebajikan dan pahala daripada amal dan kehidupannya di dunia. Keterlanjuran adalah milik setiap hamba dan Usamah Bin Laden juga tiada terlepas daripadanya. Tiada siapapun mampu menyucikannya selain tuhannya yang disembahnya, dicintainya dan keranaNyalah beliau gugur di tangan Amerika, musuh Allah dan umat Islam.

Adakah keganasan berakhir dengan kematian Usamah? Tidak! Keganasan hanya berakhir selepas kematian Amerika! Pengganas adalah Amerika. Dan sesiapa yang menuduh Usamah sebagai pengganas, dia hanya memasuki perangkap dan konspirasi tajaan Amerika, demi melepaskan mereka daripada bebanan dan tuduhan sebagai penaja keganasan di dunia. 

Membunuh adalah keganasan. Tetapi, adakah membunuh keganasan adalah keganasan? 

Kejayaan terbesar manusia hari ini adalah keupayaan melepaskan diri daripada perangkap dan konspirasi Amerika untuk menguasai dunia. Jika tidak, dia hanyalah hidup merangkak di bawah telunjuk Amerika. Otaknya adalah otak Amerika. Dia hamba Amerika. Orang Islam dilarang sama sekali selain menjadi hamba Allah. Berfikir cara al Quran dan berjalan di belakang al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam.

Islam adalah ugama keamanan dan keadilan. Islam adalah rahmat untuk sekelian alam. Islam menyeru kepada persaudaraan dan persahabatan sejagat. Kerana itu, seluruh manusia dan anutan mereka bukanlah musuh Islam dan umatnya. Allah menyeru para nabi dan umatnya menjalin keharmonian di antara ugama dan umatnya sampai bila-bila. 

Dakwah? Bukankah dakwah Islam menafikan persahabatan? Tidak. Dakwah adalah seruan untuk jalinan persahabatan yang tulen dan terbuka. Dakwah ialah seruan kepada pembukaan akal dalam semua perkara. Dakwah adalah dengar, lihat, fikir dan putuskanlah secara bebas dan hak. Untuk kamu agama kamu dan untuk kami ugama kami. Tiada kekacauan dan pertembungan apabila manusia benar-benar menghargai akal dan berjalan dengannya.

Jihad? Ya, jihad difardhukan untuk dua perkara besar. Pertama, meneguhkan persaudaraan dan keamanan sesama manusia. Kedua, menyekat kuasa kejahatan daripada meruntuhkan persaudaraan dan keamanan manusia sejagat. Kerana itu, Islam menerima jemputan, bahkan mewajibkan umatnya untuk memerangi keganasan walaupun menimpa orang lain yang tidak beragama dengan agamanya. Itulah sebesar-besar sumbangan Islam demi keamanan seluruh manusia.

Itulah maksud jihad bersenjata. Adapun jihad di dalam maknanya yang lebih luas, maka ia semakin melonjakkan Islam ke persada keadilan dan kerahmatan. Jihad, dalam semua sudut dan medannya adalah seruan Allah ke arah ketamadunan manusia dan kemanusiaan sejagat.

Malaysia ini, jika Islam adalah cara hidupnya, akan menyeru kepada persaudaraan dan persahabatan hatta dengan Amerika dan sekutunya, apatah sesama jiran di Asean dan Asia. Tiada sebab untuk Islam bermusuh dengan Amerika dan rakyatnya. Setiap rakyat Amerika, putih dan hitam, semuanya adalah daripada Adam. Adam adalah datuk rakyat Malaysia. Adam adalah nabi dan nabi diturunkan untuk manusia hidup aman damai bertugas memakmurkan muka bumi dengan ilmu yang dianugerahi Allah.

Yang akan membezakan kita dengan kerajaan kita hari ini adalah kebebasan dari telunjuk Amerika. Kita tidak akan berkata, dunia akan aman dengan terbunuhnya Usamah Bin Laden! Itu Amerika, dan sesiapa yang telah berada di bawah telunjuk Amerika akan berkata seperti Amerika berkata. Tiada beza pada tajwid dan makhrajnya.

Adapun kita, jika kita memerintah secara Islam yang syumul, kita akan berkata, kematian Usamah bukan mengakhiri keganasan, bahkan dibimbangi Amerika akan lebih mengganas. Jika begitu, kegiatan memburu Amerika akan menjadi-jadi. Tindakan ganas daripada golongan yang lemah dan tertindas akan berterusan. Amerika hendaklah kembali kepada akal dan sempadannya, menyantuni manusia dan kebebasan mereka untuk hidup harmoni tanpa penjarahan dan penjajahan ke atas negara-negara berdaulat dan bebas.

Islam adalah ugama yang membenci perang dan pertumpahan darah, mengelaknya dan menggalakkan perdamaian di antara semua pihak. Perang adalah pilihan terakhir sebelum kematian dan kehinaan memerangkap kemuliaan.

Mengapa Usamah membenci Amerika? Jawabannya, kerana seluruh dunia, kecuali Israel, membenci Amerika. Malangnya, kebencian itu hanya tertanam di lubuk jantung setiap negara. Negara-negara miskin ketakutan. Negara-negara kaya dan membangun seperti negara kita terpaksa menumpang untuk kekal kaya dan membangun. 

Usamah Bin Laden keluar daripada kongkongan itu dan melewati sempadannya. Hatinya, lidahnya dan tangannya telah bebas. Kebebasannya untuk berkata dan bertindak menjadikannya kambing hitam untuk Amerika menakut-nakutkan dunia agar jangan sesekali menyanggahnya. Usamah diburu dan segala kerja-kerja keganasan di seluruh dunia, Usamahlah puncanya dan denyut nadinya. Adakah anda, jika anda sejenak berfikir, akan mengiyakannya semudahnya? 

Mari mengenali Usamah Bin Laden. Seorang muslim terpelajar. Kelebihan lain adalah kekayaan miliknya. Akidahnya adalah benar. Ahlus Sunnah wal Jamaah dan menjauhi bidaah. Ibadahnya usah dipertikaikan. Beliau memilih zuhud dan jihad. Adakah ini mudah dalam dunia mujahadah melawan nafsu? Akhlaknya begitu tinggi. Seorang yang lembut jiwa dan kata-katanya, membenci kezaliman dan menjunjung kebenaran. Apa lagi selepas akidah, ibadah dan akhlak? Ya, bagaimana pemikirannya?

Di sinilah ruang yang dipersoalkan ulama Islam. Usamah dikaitkan dengan pemikiran yang melampau terutama di dalam bab jihad menentang kezaliman dan kekufuran. 

Sebelum itu, mari bezakan di antara dua yang perlukan kejelasan. Pertama, pemikirannya dan kedua, tindakannya. 

Adapun tindakannya yang dikaitkan dengan keganasan, maka ia sukar dipastikan. Amerika menuduhnya mengganas di mana-mana, sedangkan beliau hanya berada di Afghanistan (mungkin kadang-kadang menyusup ke Pakistan). Di situlah beliau memulakan jihad dan mengakhirinya. Ulama Islam sepakat bahawa jihad di Afghanistan adalah sah demi menghalau penjajahan Rusia. Oleh kerana kerajaan Afghanistan hari ini adalah kerajaan boneka Amerika dengan tentera Amerika terus menguasai negara tersebut, adalah sukar untuk menafikan hak rakyatnya terus berjihad menghalau Amerika keluar dari negara mereka. Di Afghanistan, bagi akal yang sihat, mereka mudah saja menjawab, siapakah pengganas pertama? Amerika atau Usamah?

Oleh kerana tindakan Usamah di Afghanistan sering dikambing hitamkan oleh Amerika, janganlah anda menghukum Usamah daripada sudut dan dimensi ini. Kita memerlukan lebih maklumat yang benar tanpa mengangkat ‘riwayat-riwawat Israeliyat-Amerikiyat’ ke darjat sahih sebagai hujah dan bukti.

Adapun pemikirannya, maka inilah yang dipertikaikan dan seterusnya ditolak sebahagiannya oleh ulama Islam secara jelas. Bahagian yang ditolak adalah pandangan jihadnya yang melampaui had yang dibenarkan. Melampau di dalam memahami jihad adalah penyakit umat yang diwarisi sejak ratusan tahun hasil kefahaman yang salah terhadap ajaran Islam mengenai jihad.

Kesucian kefardhuan al jihad yang diselubungi pemikiran dan kefahaman yang salah, khususnya pemikiran al Qaedah akhirnya mencetuskan kekalutan di dalam tindakan keganasan sesetengah jentera jihad umat Islam. Kesannya adalah buruk. Tumpahnya darah yang haram ditumpahkan melalui siri-siri pengeboman di tempat awam di seluruh dunia adalah ditolak oleh Islam dan seluruh ulama Islam sepakat menolaknya.

Perang adalah di tempat perang yang disyara’kan, bukan di mana-mana tempat dan masa. Itu kefahaman jihad yang salah dan batil.

Amerika mengambil kesempatan melancarkan perang terhadap umat Islam seluruhnya dengan mengapi-apikan kelibat Usamah Bin Laden sebagai pengganas antarabangsa. Hasilnya, mereka menghalalkan kedatangan mereka di mana-mana, terutama di negara-negara Islam demi memburu dan memerangi Usamah, al Qaedah dan keganasan global. 

Tidakkah Amerika telah menobatkan diri sebagai polis antarabangsa, di sebalik hakikat diri sebagai pengganas antarabangsa? Dunia yang ketakutan dan bisu mengiyakan Amerika. Usamah tidak! 

Selepas anda memahami ini, fahami juga bahawa Amerika sedang memerlukan pengganas baru untuk dikambing hitamkan. Usamah dan pemikirannya yang dipertikaikan itu telah tumpul. Umat Islam semakin memahami jihad yang sebenar dan telah semakin banyak kumpulan pelampau ugama terutama di Mesir mula kembali kepada pemikiran Islam dan jihadnya yang lebih benar dan sah. Amerika tidak suka umat Islam mengenali Islam yang benar (maaf, macam UMNO!). Jihad Palestin oleh HAMAS semakin diterima umat Islam seluruhnya. ia adalah pelaksanaan jihad yang dikawal selia oleh para ulama Islam agar ianya menjadi sebaik-baik contoh kepada maksud jihad bersenjata yang diterima Islam.

Justeru usaha Amerika memadamkan jihad telah gagal!  Usamah perlu dibunuh segera. Sekarang, anda hanya perlu menanti penobatan angkatan pengganas Islam baru oleh Amerika dengan watak dan pakaian baru. Tunggulah, dan haram ke atas anda mengaminkan Amerika sebagaimana itulah pengucapan pemimpin negara kita yang dimamah ketakutan terhadap Amerika itu.

Semoga Allah mengasihani Usamah Bin Laden, penghidup dan peniup jihad Islami menentang Amerika dan Israel. Kerananya umat terus hidup dengan ruh, bukan merangkak di jasad yang kering..

Advertisement

Salam Palestin,

Saat saya menggerakkan anak-anak jari untuk memulakan penulisan ini, saya tahu saya sedang berkongsi dengan seluruh dunia untuk melihat satu hukum karma yang maha pasti itu berlaku di bumi Mesir. Hukum karma pemiliknya adalah Allah. Kerana itu setiap muslim tidak betah menyebutnya, bahkan menamakannya sebagai sunnah Allah di muka bumi. Sunnah Allah bererti ketentuan dan hukum yang tetap daripadaNya.

Antara sunnah Allah yang mudah difahami dan dilihat ialah hukum pergantian atau silih berganti di antara dua yang berlawanan. Baik berganti buruk dan sebaliknya. Zalim berganti adil dan sebaliknya. Mulia berganti hina dan sebaliknya. Pergantian ini tidak berganti sendiri atau semudahnya. Ia mesti memuncak dan klimaks. Tali apabila sudah memuncak tegangannya, ia pun putus. Maka berlakulah pergantian, kental berganti kendur. Gagah berganti lembik.

Tiada malam yang kelam kecuali kemuncaknya adalah fajar nan menyinsing. Tiada panas yang memuncakkan teriknya kecuali bumi berpusing pantas ke sebelah timur meninggalkan matahari menggelongsor ke hujung barat. Begitu Allah memudahkan kita memahami sifir-Nya itu.

Presiden Husni Mubarak sedang cuba berhelah dengan sunnah ini. Sunnah Allah adalah keruntuhan dan kehinaan ke atas setiap penzalim dan thaghut di bumi-Nya. Firaun telah terhumban lemas di Laut Merah. Bani Israel kembali ke tangan keadilan nabi Musa alaihissalam. Semalam, Husni Mubarak, ketika rakyatnya menyerunya keluar dari Mesir di awal perhimpunan, dia melawan dan berusaha untuk tidak terbang melintasi Laut Merah ke Jeddah atau Dubai. Nah, hari ini rakyatnya meminta lebih daripada itu. Husni Mubarak untuk diadili, bukan untuk dihalau lagi. Kini, patungnya telah diangkat di Medan Tahrir ke tali gantung. Maut  untuk penzalim dan thaghut!

Kata seorang penyair agung Tunisia, ‘Satu hari, apabila rakyat mahukan kehidupan (perubahan), maka pasti sekali al qadar (ketentuan tuhan) akan menjawab!’ Maka selepas puluhan tahun, al qadar menjelmakan dirinya, menyambut rakyat Tunisia yang bangkit menuntut kehidupan daripada hangus nyawa putus asa seorang anak mudanya yang dibakar kezaliman Ben Ali yang menjarah di bumi tuhan.

Fajar apabila ia bangkit, ia tidak hanya bangkit di Tunisia. Ia kini bergerak ke Mesir. Kemudian, malam yang kelam sedang menuju pula di Israel, negara haram di bumi Arab. Malam akan memuncak. Apabila fajar membunyikan locengnya, ia enggan kecuali menunggu azan yang akan berkumandang gagah di bumi al Quds.

Kata al imam al Qaradhawi,’Wahai Husni Mubarak, jika pemerintahan itu bagai ghanimah untukmu, maka 30 tahun itu sudah cukup. Jika pemerintahan itu adalah bebanan ke atasmu, maka 30 tahun itu juga sudah cukup. Turunlah kamu!’ Siapakah Husni Mubarak untuk menolak kalam karamah ini?

Kala para mustadhafin di seluruh jemari saraf bumi sedang menanti – nanti keajaiban sunnah Allah ini, kala itulah Allah membeliakkan mata seluruh para penjarah darah dan air mata di bumi-Nya mengarah ke bumi Mesir yang sedang mengumandangkan kalimah ‘La ilaha ilaLlah’ buat membakar sekutu syaitan dan Israel laknatuLlah itu.

Kezaliman memuncak. Kesabaran juga memuncak. Ia kini di medan pertembungan. Adakah anda menyangka kesabaran hujungnya adalah kehancuran? Tidak dan tidak!

Apa pun kesudahan di Mesir itu, Husni Mubarak sudah pun di gerbang neraka ciptaan rakyatnya sendiri. Oh, segala sanjungan berdekad dalam sekelip mata bertukar menjadi rentungan mendekap.

Malaysia apa khabar? Negara yang pernah bandar rayanya dilimpahi puluhan ribu rakyatnya yang berbaju kuning bertulis ‘BERSIH’ menuntut keadilan di dalam perlaksanaan pilihan raya yang dipenuhi penipuan dan penyelewengan. Dan mereka bagaikan anjing kurap sering kali dihalau dengan simbahan air asid daripada melawan kezaliman dan penipuan.

Malaysia apa khabar? Negara yang tak pernah diam dan tenang daripada pembongkaran rasuah kolar putih besar-besaran tetapi bilislah yang ditangkap secara kecil-kecilan pula. Kemudian mereka yang bersih dan mulia dituduh pula dengan rasuah dan kejahatan.

Malaysia apa khabar? Negara yang kadar jenayahnya, gejala sosialnya dan kemiskinan rakyatnya terus mewarnai kehidupan yang semakin menghimpit sedang kekayaan dari hasil mahsul buminya pula hanyalah berlegar di kayangan orang-orang kaya yang bertawaf di sekeliling serambi kuasa kezaliman pemerintahnya.

Sampaikan khabar buat Malaysia bahawa ajal sentiasa mendekat buat kezaliman dan penentang agama Allah. Sampaikanlah salam pula buat Malaysia bahawa ajal kezaliman akan berganti kehidupan penuh mulia buat rakyat dan pencinta keadilan dan keharmonian.

Malaysia bukanlah seiring Mesir yang begitu buruk politik pemerintahnya. Tetapi Husni Mubarak tidaklah perlu menunggu untuk menjadi seperti Firaun untuk segera rebah dipijak rakyatnya sendiri. Kezaliman adalah hantu kehidupan. Hantu itu bukan hanya hantu raya saja, bukan pula sundal di tengah malam saja.

Malaysia hanya ada dua pilihan; Samada pemerintahnya hari ini terus degil dengan keangkuhan menindas pembangkang dan rakyatnya yang menolak gaya hidup menindas dan menipu  atau pemerintahnya segera membaiki kelemahan dan kesalahan dengan politik baru yang lebih adil.

Jika mereka memilih yang pertama, tunggulah keruntuhan dan kekalahan. Bukan Amerika, Israel, Singapura atau Indonesia yang akan datang. Bahkan rakyat seluruhnya akan datang sendiri merombak sistem dan gaya hidup melanun pemerintahnya. Jika mereka berdegil, hukum karma Allah setia menunggu panggilan rakyat yang tertindas.

Jika mereka memilih yang kedua, mereka perlu pula memilih di antara dua; Samada mereka memilih Islam sebagai cara hidup yang diredhai Allah atau mereka hanya memilih untuk kekal menolak Islam yang syumul, tetapi memperbaiki nilai demokrasi yang dianuti. Jika mereka memilih yang pertama, maka berbahagialah rakyat Malaysia dari atas sampailah ke bawah. Jika pula mereka memilih yang kedua, maka nyawa mereka akan lebih panjang dan ketentuan Allah akan bertangguh. Allah sentiasa menunggu untuk masa dan hari-Nya yang pasti.

Mengapa? Kerana pembaikian dan islah adalah jalan ugama. Jika pemerintah menyedari kesalahan dan kesilapan, lalu mereka membaikinya dengan menyempurnakan hak kemanusiaan dan rakyatnya, maka Islam menyambutnya dengan baik dan mereka dengan mudah memikat kembali hati rakyat. Semakin pemerintah membina sistem demokrasi yang menepati kehendak keadilan dan kesaksamaan, semakinlah mereka mendekati tuntutan ugama Islam.

Oleh kerana Islam bersifat tawaran terbuka dan bukan paksaan ke atas manusia di atas premis ujian Allah ke atas anak Adam di muka bumi ini, maka Islam akan subur di bumi yang adil dan tidak mengongkong. Jadi, kedua-dua pemerintah dan rakyat akan terlorong kepada Islam secara semulajadi yang harmoni dan menghiburkan.

Tetapi hak Allah di muka bumi adalah kekal. Tanggung jawab seorang muslim terhadap agamanya adalah kekal. Setiap umat Islam wajib mengangkat agama Allah untuk menjadi hakimnya di dunia ini. Itulah kewajiban khilafah di muka bumi.

Malaysia adalah negara umat Islam. Majoriti rakyatnya yang beragama Islam secara praktikalnya telah menepati lunas sistem demokrasi bahawa yang menguasai majoriti itulah yang berhak memerintah dan menentukan cara pemerintahannya. Justeru seruan ke arah pemerintahan Islam atau membina sebuah negara Islam adalah satu tuntutan yang dibenarkan oleh sistem yang mengagungkan hak majoriti.

Islam adalah pilihan untuk umat manusia tetapi adalah tanggung jawab ke atas umatnya. Setiap muslim, samada daripada PAS, UMNO, PKR atau apa pun, kewajiban menegakkan negara Islam adalah pasti secara fardhu ain ke atas mereka.

Berusaha ke arah itu melalui jalan yang syar’ie akan menyelamatkan mereka daripada murka dan azab Allah di akhirat nanti.

Salam Kamunting,

Jika anda berniat mendermakan sebahagian daripada wang anda untuk Palestin, anda sebenarnya masih tak faham – faham isu Palestin. Palestin bukan soal derma dan sedekah. Palestin adalah jihad dan kewajiban. Tuhan kita berkata, berjihadlah dengan harta dan nyawa kamu..

Wang, bahkan nyawa setiap umat Islam adalah tagihan Allah untuk bumi yang disucikanNya itu. Tiada muslim yang tidak mengambil bahagian di dalam jihad Palestin sepanjang zaman kecuali tuahnya pasti direntap bumi suci itu di akhirat nanti. 

Palestin adalah sebahagian ujian Allah ke atas umat nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Dari tiga bumi suciNya ( tanah haram ) itu, Allah memberi keamanan untuk Makkah dan Madinah, tetapi tidak untuk Palestin. Palestin sentiasa berdarah dan jika ia aman seketika atau lebih lama daripada itu, di sekelilingnya adalah penuh dengan komplot dan konspirasi musuh untuk merampas dan menghancurkannya kembali. 

Ia menjadi rebutan sepanjang zaman untuk umat tiga agama langit yang memiliki kitab samawi masing – masing yang mendakwa sejarah pendudukan dan pemerintahan di situ. Jika tidak kerana Allah menghukum dan memutuskan bahawa bumi haramNya itu adalah milik hambaNya yang bertaqwa yang berada di atas jalanNya yang lurus, iaitu Islam, agama tauhid nabi Ibrahim al hanif alaihissalam, iaitu datuk kepada ketiga – tiga umat tersebut,  maka tiadalah umat Islam memiliki hujjah mutlak untuk memilikinya. 

Mencintai Palestin adalah tanda iman dan taqwa. Kita mesti mencintainya melebihi kecintaan kita kepada tanah air sendiri.

Roda zaman yang berpusing menentukan bahawa bangsa Yahudi telah berjaya merampas dan mendudukinya kini selepas perjuangan lama mereka untuk menguasainya semenjak ribuan tahun dahulu. Selepas mereka menguasainya, impian dan angan – angan mereka begitu memuncak bahawa merekalah anak – anak tuhan yang diberkati segala tindakan mereka.

Hanyalah yang menghantui keyakinan mereka adalah pengetahuan tersembunyi mereka bahawa Palestin ini sebenarnya dan kesudahannya adalah milik  umat yang menjadi musuh nombor satu mereka. Mereka tahu Palestin adalah untuk umat Islam.

Hari ini, saat kita dan seluruh umat Islam cuba membina keyakinan dan azam baru di awal tahun baru hijrah, Palestin dibedil dan dibakar oleh Yahudi, musuh Allah, malaikat, manusia dan seluruh makhluk kecuali syaitan daripada kalangan jin dan manusia.

Negara Israel hari ini yang menghimpunkan bangsa Yahudi sedunia itu tahu bahawa mereka tidak boleh hidup dengan hidupnya Islam. Justeru harapan, azam, keyakinan dan masa depan umatnya harus sentiasa dilumpuhkan dan dipadamkan dengan apa jua senjata dan peralatan. Umat Islam mesti kekal putus asa, putus harapan dan putus hubungan dengan tuhannya. 

Membunuh umat Islam adalah ibadah dan persembahan mereka kepada tuhan mereka yang mereka ciptakan sendiri.

Palestin ceritanya panjang dan akan terus memanjang sehingga kiamat. Bermula keamanan dunia adalah dengan amannya Palestin dan bermula kecelakaan dunia adalah dengan celakanya keadaan di bumi Palestin. Begitulah Allah menetapkan sunnahNya bahawa Palestin adalah ujian kehidupan manusiawi.

Anda mesti tahu dan mesti akur bahawa lecehnya pengetahuan anda tentang Palestin adalah petanda lecehnya anda di sisi perjuangan Islam.

Jangan harapkan negara – negara Arab untuk mengembalikan Palestin. Sehingga semalam pun, mereka tidak mampu menyapu dan membersihkan diri daripada tohmahan bahawa mereka adalah sebahagian konspirasi pengeboman di Genting Gaza. Mereka membisu seperti bisu anak dara yang melakukan zina. Negara Arab yang berzina dengan Israel! Ah, sejak bila mereka menerima kehadiran HAMAS? Apatah mengiktiraf mereka sebagai rakan hidup dan mati? Sedangkan mereka tahu bahawa HAMASlah nyawa dan nadi umat Islam Palestin hari ini.      

Anda hanya perlu meneka, siapakah yang lebih takutkan HAMAS? Israel atau Arab nasionalis syirik itu sendiri?

Jangan pula mengharapkan negara kita.  Negara kita tidak akan menyokong HAMAS sebab HAMAS adalah saudara PAS. Mengharap pemerintah negara bertindak untuk Islam di Palestin adalah seperti mengharapkan perempuan mandul melahirkan anak atau seperti mengharap lelaki yang telah dikasi untuk mensyahwati perempuan.

Dalam dunia yang penuh nifaq dan kekufuran,  harapan adalah terletak di atas bahu sekelompok umat Islam yang berjuang untuk kembali kepada Islam yang sebenar. Harapan dan keyakinan masa depan adalah daripada umat yang bersedia menghidupkan kewajiban berjihad fi sabiliLlah.

Setiap kita mestilah mengambil bahagian melaksanakan kewajiban membebaskan bumi suci Palestin.

Jika 10,000 umat Islam di Malaysia menyimpan RM100.00 setahun untuk perjuangan membebaskan al Masjidil Aqsa daripada cengkaman zionis Yahudi, maka wakil pejuang Islam Palestin yang datang ke negara kita akan pulang ke medan jihad dengan RM1 juta dari rakannya di Malaysia.

RM1 juta itu banyak tetapi ia adalah terlalu kerdil di hadapan bilionan dolar yang dibelanjakan oleh Yahudi dan sekutu Amerikanya untuk menjajah tanah suci itu. RM1 juta itu banyak, tetapi ia adalah sedikit di banding 15 juta umat Islam di negara kita. Atas nama kewajiban ugama, umat Islam di Malaysia semestinya mengeluarkan puluhan juta ringgit untuk perjuangan suci ini.

Sekali lagi, usah mengharap dan berangan wang saku kerajaan nasionalis Melayu akan tumpah walau setitik ke Palestin. Jika ia menitik, ia akan jatuh ke anak mata buat mengaburi pandangan mata. Pemimpin nasionalis Melayu ini pula, bila masa mereka cukup duit? Mata mereka tidak melihat kecuali duit.

Allah tidak menerima RM100.00 yang kita keluarkan itu. Allah menerima taqwa di dada kita. Taqwa kitalah yang akan menggapai Tuhan dan ridhaNya. Ertinya, bukanlah RM1 juta yang perlu kita kumpulkan daripada 10,000 umat Islam di Malaysia, bahkan kita memerlukan sejumlah hambaNya yang bertaqwa yang berjuang di atas jalanNya yang benar. Apabila ada taqwa, adalah wang yang dikeluarkan atas nama kewajiban dan jihad.

100 orang kaya di negara kita yang bertaqwa sudah cukup untuk menghantar RM1 juta atau lebih ke Palestin. 1000 umat Islam daripada masyarakat bandar pertengahan yang bertaqwa sudah cukup untuk menghasilkan RM1 juta untuk Palestin.

Jika setiap kita bertekad untuk menggabungkan diri dalam 10,000 umat Islam negara yang tidur bangunnya adalah untuk Palestin dengan berazam menjadikan perjuangan membebaskan bumi suci itu sebagai sebahagian amal jihadnya di hadapan Allah di padang mahsyar kelak, pastinya kita mampu saja menghantar RM10 juta setiap tahun ke sana.

Ia adalah jumlah yang sedikit. Tetapi bayangkan betapa gembiranya rakyat Palestin, terutama para pejuangnya apabila mendengar jumlah wang sebanyak  itu datang daripada saudara mereka di Malaysia yang menyokong perjuangan mereka. Bayangkan betapa roh jihad mereka akan semakin panas dan membara buat membakar Yahudi laknatuLlah itu.

Saya membubuh angka agar anda tahu bahawa Allah mengurniakan pahalanya dengan angka dan juga berat. Dua rakaat masing – masing di Masjid Nabawy, di Masjidil Haram dan di Masjidil Aqsa adalah bersamaan lebih ratusan ribu rakaat berbanding dua rakaat dan sujud anda di masjid Putra Jaya atau di balaisah di hadapan rumah anda.

Bukan negara – negara umat Islam yang hidup penuh dayus dan nifaq hari ini yang akan membebaskan bumi Palestin daripada penjajahan. Mereka adalah bagai buih – buih yang dilambung ombak tanpa perlu dihirau hitung berapa beratnya.

Sudikah setiap kita untuk mendaftar diri sebagai pejuang Islam untuk pembebasan Palestin? Jika anda sudi, isilah borang dengan tinta taqwa di dada anda.  

Membebaskan diri daripada cengkaman pemerintahan nasionalis Melayu di negara kita juga adalah sebahagian perjuangan jangka panjang membebaskan bumi Palestin. Sudahkah anda membilang wang di saku untuk dihantar kepada pejuangan Islam di dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu?

Kata – kata ini adalah benar. Jangan ada yang mentakzibkannya..

Biarlah perancangan dan segala takhtitaat membebaskan bumi Palestin itu kita serahkan kepada pakarnya, terutama para pejuang di medan. Kita patut mengetahuinya. Yang lebih penting, kita laksanakan kewajiban kita sendiri. Berjihad dengan harta kita untuk Palestin atau dengan harta, nyawa dan segenap kepunyaan untuk membebaskan Malaysia daripada benteng yang memisahkan umat Islam daripada Islam yang sebenar. benteng itu perlu dirobohkan dan benteng itu adalah UMNO.

Apabila UMNO runtuh dan Islam kembali, Palestin adalah di mata negara Malaysia yang kaya, insya Allah.

Salam Kamunting,

Saya belum menulis pasal Syiah apa – apa pun. Hanya sekali saya sentuh, iaitu ketika perang Lubnan – Israel yang terakhir dulu. Saya sebut, usah hiraukan Sunni – Syiah. Mereka adalah tentera tauhid seperti kita tengah menentang sebesar – besar tentera kufur di muka bumi. Saya sebut apa yang disebut oleh Al Qaradhawi masa mengulas isu perang tersebut.

Seawal saya menulis di blog, saya terus diminta menulis mengenai Syiah dalam PAS. Saya katakan, nantilah. Saya tak minat dan saya tak suka campur perihal yang panas – panas, sedang ianya tidaklah sebesar tujuan dan matlamat saya menulis di blog ini. Blog saya adalah untuk PAS dan dakwahnya, selain untuk membaham Islam Hadhari sehingga sesatnya itu tidak lagi difahami secara sesat oleh umat Melayu di negara kita sehingga kedua – duanya jadi sesat. 

AlhamduliLlah, saya fikir saya telah menyumbang sesuatu di blog ini. Saya memiliki peminat yang menjadikan blog saya sebagai bacaan tetapnya ketika berlayar di internet. Ada 10 orang pun cukup, inikan lebih berganda – ganda daripada itu.

Hari ini saya akan sentuh mengenai Syiah. Sentuhan, bukan tamparan. Bukan tamparan, tetapi sentuhan yang mengubati seperti si ibu mengusai rambut si anak yang kepanasan demam, atau sentuhan yang meredakan seperti pak imam lebai mengusap kepala si budak yatim yang kematian sandaran hidupnya.

Saya jadi semacam bila mendengar cerita sekumpulan peminat ( penganut mungkin? ) mazhab Syiah menggunakan nama PAS untuk mengadakan program yang turut mempromosi Syiah dan ajarannya di Kota Bharu baru – baru ini. Kemudian saya lihat ianya diulas pendek oleh timbalan bos saya, Ustaz Nasrudin Tantawi di dalam blognya yang turut meminta saya jangan tak ambil tahu. Ambil tahu dan bertindak.

Saya fikir sebelum saya bertindak, saya tulis dulu. Itu tanda ambil tahu dan tanda akan bertindak, insya Allah.

Syiah cerita lama. Selama cerita Ahlis Sunnah wal Jamaah lebih kurang. Tetapi di Malaysia, ia cerita baru. Ia tak datang ketika mazhab Ahlus Sunnah datang ke Tanah Melayu bersama penyebaran dakwah Islamiyah pada hari pertamanya dulu.

Maka di sisi masyarakat Melayu, ia tiada kesohoran langsung sehinggalah ianya menjadi tersohor mendadak – dadak dan begitu tiba – tiba sekali sebaik selepas revolusi Khomeini di Iran. Macam mudahnya Islam masuk Tanah Melayu dulu, nampaknya mudah juga mazhab Syiah bertapak di Malaysia. Bezanya, ia meresap mudah kepada segelintir umat Melayu, bukan semuanya.

Cumanya tak mudah sangatlah kali ini. Melayukan bangsa jenis mudah – mudah. Mudah berkira macam cerita Pulau Batu Putih. Kalah pun, kira win winlah. Mudah terima macam WPI. Tergadai tanah pun, terima sajalah demi pembangunan. Mudah lupa macam macam – macam dah yang Melayu telah lupa daripada sengsara dek kerakusan ahli politik mereka. Mudah memaaf dan mudah mengangguk. Paling jelas, mudah meniru. Jadi, apa pelik jika Syiah menjadi tersohor dengan begitu tiba – tiba.

Cumanya, kali ini nampaknya taklah mudah sangat. Syiah hanya meresap dan diterima segelintir yang sedikit sekali. Tetapi saya tak kata ia tak bahaya. Syiah bahaya sekali. Ia merosak dan memunahkan akidah suci yang dibawa oleh nabi kita Muhammad sallallahu alaihi wasallam untuk umatnya yang sederhana dan sempurna.

Justeru ia jadi sukar untuk masuk ke Malaysia. Sebab ia melibatkan akidah yang telah difahami lebih awal oleh para ulama dan tok – tok guru di negara kita. Ia sejarah lama. Maka bukan payah untuk mengenali Syiah dan ajarannya. Berlambak di dalam kitab – kitab turath yang lama – lama.

Ia tidak seperti fahaman – fahaman baru seperti sekularisme dan nasionalisme yang memang tidak dibincang panjang – panjang, malah kadang – kadang tak tersebut pun dalam kitab – kitab dahulu kala yang beratus – ratus tahun dulu. Maka ia mudah diterima masyarakat Melayu walaupun akidahnya, apa bezanya dengan Syiah. Sama – sama sesat dan salah. Semuanya jenis Ayah Pin juga.

Syiah payah masuk dan diterima sebab pertahanan telah lama dibina kitab – kitab dan para ulama. Sekularisme mudah masuk dan diterima sebab pertahanan baru dibina oleh kitab – kitab dan para ulama kita. Maka di negara kita, sesat kerana fahaman sekularisme jauh mendahului sesat kerana Syiah dan ajarannya.

Lebih malang, sesetengah yang melawan Syiah di negara kita hari ini mendukung sekularisme pula atau bersekongkol dengannya pula. Sunnah lawan Syiah tu ya. Sunnah lawan sekularisme pun ya. Sekularis lawan Syi’ie buat apa? Sesat lawan sesat bukan bawa hasil hidayah apa – apa pun. 

Syiah menyalahi ajaran Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam perkara – perkara besar yang menyentuh akidah. Ia dimasukkan dalam kelompok ajaran – ajaran sesat yang pernah tumbuh melata dalam sejarah kehidupan umat Islam sepanjang zaman. Kebanyakan ajaran – ajaran sesat ini ghaib ditelan zaman. Setiap masa adalah Allah mengutuskan daripada kalangan hambanya yang beriman para ulama yang bermati -matian menentang kesesatan dan penyelewengan dalam beragama.

Islam agama suci. Ia dijaga tuhannya untuk manusia akhir zaman agar mereka tidak keliru untuk memperolehi hidayat dan petunjuk. Umat ini penuh pancaroba ujian hidupnya di akhir zaman. Justeru ia memerlukan cahaya yang terang bersuluh untuk memudahkannya menggapai petunjuk dalam kegelapan. Maka cahaya itu dijaga sebaiknya. Itulah Islam yang dijanji kesuciannya oleh Allah, tuhan Maha Penyayang.

Justeru apabila lahir ajaran – ajaran yang menyesatkan daripada kalangan umat sendiri, ia segera dilenyapkan. Itulah yang berlaku dalam sejarah. Ada yang datang sekejap dan ada yang lebih lama. Hari ini sekejapnya macam ajaran Ayah Pin. Lama sedikit macam ajaran al Arqam. Lama lagi macam ajaran sekularisme yang dipimpin Pak Lah hari ini. Adakah sekularisme takkan hilang? Tidak, ia akan hilang dilipatan sejarah yang menunggu. Tak sekular tak hilang di dunia. Saudaranya, komunisme dah pun luluh hancur.

Dalam banyak – banyak itu, ajaran Syiah boleh kira paling lama. Ia cukup liat dan sukar dilenyapkan. Ia menjadi nanah yang agak lama untuk disembuhkan daripada umat ini. Macam penyakit dalam tubuh, walau ada ubat, tetapi tak semuanya cepat dan sempat disebutkan, malah kadang – kadang membawa maut.

Mengapa Syiah sukar lenyap? Malah, tapaknya tampak kukuh kembali hari ini?

Jawabnya, kerana ia bersandar pada sandaran yang kukuh sekali dan tumbuh di semaian yang subur sekali.

Sandarannya cinta Ahlul Bait. Cinta ahli keluarga RasuliLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Tapak semaiannya adalah sejarah dan peristiwa penganiayaan terhadap mereka yang begitu menyayatkan hati setiap muslim. Ia tumbuh demi cinta dan pembelaan terhadap keluarga Rasulullah.

Apa anda tahu tentang cinta? Anda tahukan. Cinta itu buta dan cinta itu gila. Cinta itu suci dan cinta itu air mata. Cinta membakar keapian dan cinta menyiram salju kesyahduan.

Samada cinta itu suci atau terlarang, anda ternganga mendengarnya. Hati anda terbakar sekali atau hati anda jadi basah kesyahduan. Tak kiralah cinta nabi Allah Yaakob atau cinta Zulaikha pada nabi Allah Yusuf alaihimassalam. Kedua – dua kisahnya adalah epik kehidupan.

Begitulah Syiah. Daripada rasa cinta dan dendam mereka membina diri dan membakar kesucian. Ia buta dalam cinta. Dalam syiah ada cinta bertompok, kecewa melata, dendam kesumat, benci membara dan tuduh – menuduh. Semua terbakar menjadi akidah yang sia – sia.  

Mazhab berdasarkan sentimen dan perasaan. pemujaan dan pentaqdisan. Mazhab yang pernah kerananya  dulu pernah menjadikannya satu agama seperti Yahudi dan Nasrani. Tidakkah mereka mentaqdiskan Isa dan Musa juga selain keluarga mereka.

Begitulah bayangan ajaran Syiah. Ayat – ayat cinta terlarang, lalu bersujud mereka pada sejadah yang cemar dan jelek.  

Mereka berkembang dalam sejarah menjejerkan rasa dan perasaan ini. Maka ia diterima demi cinta yang didakwa suci dan benar.

Iman boleh kerana sentimen, tetapi ia punah nantinya jika tiada ilmu yang benar dan hakiki.

Di negara kita, anda lihat bagaimana ia masuk. Tidakkah ia bermula dengan hangat revolusi, tetapi kini ia kembali kepada asalnya demi gendang dan paluan yang lebih kuat dan bergelombang. Ia kembali kepada nama – nama Ali, Fatimah, Hasan dan Husain serta nama – nama daripada sebuah keluarga paling suci dalam kehidupan manusia. Pastinya ia menggamit rasa penuh perasaan.

Ia pun tumbuh di negara kita. Hari ini ia adalah mazhab kecil. Mazhab sesat yang kerdil tetapi ia telah bertapak dan apabila ia bertapak ia akan jadi barah yang sukar diubati dan dihilangkan. Rasa cinta dan dendam menarik dengan kuat dan kejap sekali.

Ketika kita kuat, ia tak terhalang. Ketika kita lemah hari ini, bagaimana mudah untuk kita menghalangnya? 

 

Salam Kamunting,

AlhamduliLlah, saya selamat tiba ke tanah air dari perjalanan jauh lebih 24 jam yang meletihkan. Saya berlepas dari United Kingdom pada jam 1 tengahari, dua hari lepas ( jam 9 malam waktu Malaysia ) dan selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail, Kota Bharu  jam 11.30 malam semalam. Perjalanan agak lama kerana transit di Dubai selama 8 jam.

Kerana jadual yang bertembung, saya terpaksa membatalkan tiket dan terlepas peluang bersama YAB ayahanda Dato MB ke negeri Kedah Darul Aman untuk menyertai perhimpunan besar rakyat Kedah meraikan kemenangan gerakan Islam PAS memerintah negeri Kedah dalam pilihan raya umum baru -baru ini. 

Saya hanya mampu mengikuti perhimpunan itu secara live melalui internet bersama sahabat – sahabat di UK walaupun agak terganggu siarannya. Tahniah rakyat Kedah dan semoga Allah memudahkan jalan untuk umat Islam kembali kepada Islam yang menyelamatkan kehidupan manusia di bumi ini. Tiada erti kemenangan jika tiada hidayah dan inayahNya yang bertambah – tambah.

Saya seminggu di United Kingdom, negara yang menjadi impian saya untuk lawati. Pertama, saya belum pernah menjejak kaki di bumi Eropah. Kedua, saya ingin mengenali negara yang pernah menjajah negara saya beratus tahun sehingga berjaya memunahkan dan melahirkan anak Melayu yang  menyanjungi barat sehingga menolak agama sendiri. Mereka kini bertompokan di dalam UMNO.

Saya banyak membaca mengenai barat, tetapi seminggu di sana melumatkan puluhan buku yang saya baca dan menjadikan saya lebih faham. Semestinya dua minggu adalah lebih baik dari seminggu untuk saya lebih memahami dunia barat. Saya harap akan terus memperolehi peluang ke sana lagi. Saya juga mengimpikan untuk sampai ke Amerika, negara boneka Yahudi itu.

Sentiasa kalah dengan kesejukan, saya sentiasa menggigil setiap kali keluar rumah, hotel dan kereta. Saya menumpang di rumah rakan – rakan yang bekerja di sana. AlhamduliLlah, saya mengenali sahabat – sahabat baru yang cukup baik dan mesra sehingga terus mengelopakkan rasa kasih dan sayang yang menghangatkan. Sebahagian mereka seusia saya lebih kurang dan sebahagian lagi jauh lebih muda sehingga saya mula ‘sedar diri’, aku ni dah masuk kategori tua rupa – rupanya.

Semua mereka akan menjadi golongan profesional negara suatu hari nanti. Saya seronok sekali berkenalan setiap hari dan setiap kali menemui mereka. Mereka semua mencintai Islam dan begitu tinggi cita – cita dan perjuangan mereka untuk melihat Islam bangkit kembali di Malaysia. Di bumi Mat Saleh yang telah merosakkan otak orang – orang tua mereka, mereka hidup seperti ikan berenang di laut masin, cekal berpegang teguh dengan Islam yang menyelamatkan kehidupan di bumi.

Dengan berita kemenangan Islam di Malaysia yang masih terlalu segar, sudah pasti perbualan, perbincangan dan borak – borak kami menjadi begitu segar. Daripada yang bekerja dan belajar di Kota London, Manchester, Sheffield dan Dublin di Ireland sehinggalah Aberdeen dan Dundee di Scotland, saya belajar banyak sekali daripada mereka mengenai kebangkitan Islam dan tuntutannya. Mereka menjadi guru saya sebagaimana mereka sudi menamakan saya sebagai guru mereka semasa di sana.

Paling menarik, saya menemui ramai juga yang mengenali saya ( fikrah saya ) melalui blog saya ini. Saya perasan dan perasan itu menyeronokkan.. kan?

Paling menarik, saya sempat berlabuh di Newcastle ( Kota Bharu ). Saya bayar mahal juga untuk masuk dan mengopak habis stadium bola sepak Newcastle tempat Micheal Owen yang saya minati bermain. Kami diberi taklimat hampir dua jam sambil ditunjuki pelbagai bilik dan tempat yang cukup mengkagumkan bagaimana mereka mengurus sukan bola sepak yang kini sudah menjadi ugama baru dunia barat yang kontang.

Mereka seminggu sekali akan masuk stadium menggantikan gereja. Tuhan mereka adalah pemain pujaan mereka, tidak lagi Nabi Isa al Masih.   

Sekejap tadi saya terbaca cadangan oleh pengganti Datuk Khir Toyo yang menerajui negeri termaju di Malaysia untuk menjadikan bola sepak Selangor diurus secara yang begitu profesional. Hah, sampai beginikah Barisan Alternatif? Satu persatu nak kena ajar dan baiki kerosakan di zaman BN.  

Nampaknya kita sudah terlalu lama dibekukan otak oleh BN. Sampailah masa kita berubah dengan berani.

Musafir itu meletihkan, tetapi letih lagi perjuangan ini. Musafir itu menyeronokkan, tetapi seronok lagi perjuangan ini. 

Perjuangan adalah kehidupan seorang musafir di bumi Tuhan.

  

Salam Kamunting,

Selepas peristiwa berdarah di Masjid Merah yang menyaksikan pembunuhan ratusan umat Islam di Pakistan akibat kekejaman dan tindakan ala ‘ budak suruhan Amerika’ oleh presiden Pervez Musharraf Julai lepas, saya menulis sedikit mengenainya ( klik di sini untuk menyatakan kerisauan dan ketakutan yang bakal membakar keamanan di sana. Musharraf dengan sengaja menebuk lubang untuk fitnah yang bakal merebak.

Hari ini beliau menyaksikannya dan seluruh dunia menyaksikan fitnah yang menakutkan itu. Selepas pembunuhan bekas presiden, Benazir Bhutto di tangan pengebom berani mati yang pastinya didesak oleh rasa putus asa dengan kehidupan yang menekan dan menghimpit di sana itu, adakah kita boleh mengandaikan suasana kehidupan di sana akan kembali harmoni dengan cepat? Tidak sama sekali! Api fitnah sedang marak dan ia akan terus bergerak dengan cepat sekali.

Dalam tempoh masa terdekat ini, kita mungkin menyaksikan pembunuhan demi pembunuhan yang mungkin mencecah ratusan atau ribuan mangsa yang tidak berdosa. Semuanya umat Islam, saudara seakidah kita.

Ketidak puasan adalah terhadap Musharraf kerana dialah yang dilihat sebagai punca segala pergolakan di Pakistan. Beliaulah yang diburu. Tetapi tabiat fitnah adalah di luar kawalan. Ia merebak seperti api yang membakar di hutan yang dibantu angin kuat yang datang dari pelbagai arah yang sukar diramal. Apabila Musharraf gagal diburu, fitnah itu senang sahaja menerkam mangsanya yang lain. Dengan ratusan umat Islam terbunuh selepas peristiwa di Masjid Merah itu, semalam ia memuncak dengan pembunuhan bekas presiden yang sedang berusaha dalam kempen pilihan rayanya itu untuk mengembalikan kebebasan yang hilang di tangan Musharraf, diktator yang sentiasa patah tumbuh hilang berganti di dunia Islam yang sedang sakit hari ini.

Fitnah adalah peringatan RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam kepada umatnya di akhir zaman. Fitnah disinonimkan dengan dekatnya kejadian kiamat dan kehancuran dunia untuk selama – lamanya dengan kehadiran alam akhirat yang dijanjikan Tuhan. Peperangan dan pembunuhan menjadi mudah kerana gagalnya manusia mengawal bahang fitnah yang sedang menyala dengan rakus sekali. Ia menjadi lebih dahsyat apabila fitnah itu meruncing di dalam kalangan umat Islam sendiri, seperti yang berlaku di Pakistan, Iraq dan bumi Palestin hari ini. Umat Islam adalah saksi Allah di bumi ini. Itulah peranan yang hilang dalam kehidupan akhir zaman hari ini.

Apabila Nabi ‘rahmatan lil ‘alamin’ itu menyebut dan mengingatkan kita dengan kemunculan fitnah demi fitnah yang melanda dunia akhir zaman ini, maka adakah ianya hanya menjadi sekadar ingatan yang  ditunggu dengan mata terkedip – kedip, atau di sana ada tali yang dihulur dan ada bantuan yang meleraikan kekusutan itu daripada baginda? Ya, sudah pasti baginda memberikan kita penyelesaian dan penawar yang membahagiakan. Baginda adalah rahmat untuk seluruh alam.

Ia adalah kembali kepada Al Quran dan Hadis sepenuhnya. Kembali memilih jalan yang lurus. Setiap detik adalah masanya.. Semalam, hari ini dan setiap masa adalah masanya memilih jalan yang lurus.

Kembali kepada Al Quran dan Hadis Nabawi bererti tunduk kepada kedua – duanya walau apa keadaan sekalipun. Kedua – duanya kesucian itu didatangkan untuk menunjuki, mengarah, menegah, menganugerah dan menghukum manusia, lalu manusia mesti mematuhi dan tunduk kepadanya. Apabila mereka tunduk, maka disitulah terhasilnya penyelesaian yang pada mulanya dilihat rumit dan sukar sekali. Ia tidak sukar di sisi Allah kerana Dialah Pemudah dan Penyukar segala sesuatu. Segala kejadian adalah dengan kehendak dan izinNya. Segala arahan, larangan dan hukumannya adalah demi kebahagian manusia di dunia dan ia pastinya penuh keberkatan, bersambung ke akhirat.

Allah mengharamkan darah setiap muslim. Ucapan kalimah syahadah menjadikan darah yang mengalir dan menadikan kehidupan pengucapnya itu mulia dan dimartabatkan ketuanannya. Atas segala kesalahannya, bunuh dan darah tetap kebal daripada ditumpahkan, sehinggalah si muslim itu melanggar apa yang dikira ‘hak’ yang mesti dibalas setimpalya. Contohnya, bunuh tanpa hak dibalas bunuh jua. Bagaimana digambarkan pembunuhan sesama muslim, sedangkan mereka itu adalah bersaudara? Setiap muslim adalah saudara kepada yang lain.

Begitu sesama muslim, begitulah kita sesama manusia tanpa mengira ugama. Kita daripada bapa yang sama. Maka manusia seluruhnya adalah bersaudara.Sama tetapi dibezakan oleh sesetengah kita yang kufur dengan Allah sebagai tuhannya. Islam melarang pembunuhan sesama manusia tak kira apa ugamanya. Tetapi oleh kerana ikatannya yang sudah menjadi longgar atas sebab kekufuran sesetengah mereka, lalu memutuskan talian kukuh persaudaraan sejati ( persaudaraan Islam lebih kukuh daripada persaudaraan darah dan kemanusiaan), maka tidak peliklah pembunuhan boleh berlaku di antara muslim dan bukan Islam. Perubahan hukum berlaku. Jihad difardhukan demi menjaga kesucian martabat darah muslim yang bersaudara daripada ditumpahkan oleh penderhaka kepada Allah Sang Pencipta.

Justeru pembunuhan Benazir Bhutto adalah haram dan terlarang oleh ugama Islam. Kesalahannya bukan dibayar dan dihukum dengan darah. Bahkan jika beliau bersalah, beliau tidak boleh diISAkan sama sekali sehinggalah dihakimi di mahkamah keadilan Islam. Itulah kemuliaan manusia, apatah jika dia seorang muslim.

Jika beliau bersalah di Pakistan, Abdullah bin Ubay lebih bersalah di Madinah saat hidup bersama RasuluLlah. Beliau melakukan kerja fitnah dan kerosakan yang hampir sekali menggugat kestabilan kerajaan pimpinan baginda sendiri. Isteri baginda difitnah lebih dahsyat daripada fitnah yang menimpa DSAI beberapa tahun lepas di Malaysia. Tetapi hukuman berlaku tanpa pertumpahan darah. Kenapa? Sebab, Abdullah bin Ubay adalah seorang muslim walaupun beliau seorang penipu yang diketahui jelas penipuan syahadahnya.

Apatah jika dilihat kesungguhan Benazir Bhutto pulang berjuang untuk mengembalikan hak dan kebebasan rakyat yang dicabuli oleh Musharraf bertahun – tahun lamanya, maka pastinya beliau dirindui rakyatnya yang hidup tertekan. Semoga Allah mengampuni dosa – dosanya atas kebaikan yang beliau sumbangkan untuk negara dan rakyatnya. Sesungguhnya Allah tiada terhad keluasan keampunanNya.

Begitulah Islam meletak hukuman bagi memastikan kedamaian dan keharmonian dalam dunia Islam. Tiada jihad ke atas sesama muslim sehinggalah berlaku pemberontakan yang membakar kedamaian dan keharmonian itu. Saat itu, darah pemberontak menjadi halal. Ini dunia Islam. Undang – undang sebuah kerajaan Islam.

Di negara kita dan di negara – negara umat Islam hari ini, walaupun ianya diperintah oleh muslim yang berotak penjajah yang menolak ketuanan Al Quran sebagai perlembagaan kehidupan dan negara, hukum ini terus berjalan. Pemberontakan atas alasan ugama sekali pun adalah salah dan terlarang. Teras hikmahnya adalahmengelak pertumpahan darah dan fitnah yang pasti lebih merosakkan dan menghancurkan kehidupan umat Islam. Ini sehinggalah berlaku dan menjadi nyata dan terang kekufuran pihak pemerintah. ‘Kufrun bawah’.

Contoh adalah seperti pemberontakan Sultan Aurengzeb ( digelar Umar Abdul Aziz India ) ke atas ayahandanya sendiri, Raja Akbar ( pembina Taj Mahal ) dengan menangkap, mengurung dan merampas kuasa kerajaan Islam India yang dipenuhi kecemerlangan dan keadilan selepas itu. Aurengzeb mengambil pandangan ulama selepas melihat kezaliman dan ‘kufr bawah’ ayahandanya yang tidak dapat dibendung lagi, lalu ulama memfatwakan keharusannya.

Justeru pemerintah tidak boleh membunuh rakyatnya sesuka hati tanpa hak. Kezaliman pemerintah pula ( hatta jika mereka membunuh sekalipun) mestilah dibalas dengan kesabaran, nasihat dan keberanian yang dipenuhi hikmah yang tinggi. Keharmonian dalam dunia Islam mestilah dijaga agar fitnah yang ditakuti bahangnya itu dielakkan.

Kezaliman wajib ditentang tetapi bukan dengan pertumpahan darah. Hak adalah milik pemerintah sebagai mana ia juga milik rakyat. Yang dizalimi adalah lindungan Allah manakala penzalim adalah teman syaitan dan pembantunya.

Ingat, PAS yang menjadi pembangkang kepada kerajaan pimpinan UMNO sering dituduh sebagai pemberontak di negara umat Islam. Kita menafikan sekeras – kerasnya. PAS mengharamkan penentangan bersenjata di negara sendiri. PAS telah dizalimi dan saatnya yang tertentu, ahlinya ditembak dan dibunuh, lalu tidak diadili seadilnya. Ingat peristiwa Memali yang menyaksikan pembunuhan ala Masjid Merah itu. Pernahkah PAS memfatwakan pembalasan dengan pembunuhan juga. Tidak!

Lihat pula tembakan yang dilepaskan oleh pihak pemerintah yang hampir membunuh dua ahli PAS di Terengganu baru – baru ini yang dikecam semua pihak sebagai zalim, kejam dan dilihat ‘lebih memartabatkan nyawa babi’ ( kebetulan semasa dengan isu babi di Melaka), apakah PAS bertindak melulu dan membalasnya dengan kekerasan juga? Tidak!

Lihat lagi provokasi murahan, bahkan menghinakan oleh pemerintah dengan memanaskan isu perkauman yang cukup merbahaya, adakah PAS melatah? Tidak!

Bahkan hari ini, PAS dilihat menjadi pelindung golongan mustadafin daripada bangsa India yang dizalimi pemimpin mereka yang bejat dan membejat, Datuk Sammy Velu.

Suasana aman dan sentosa di negara kita yang dikecapi seluruh rakyat hari ini, di sebalik penyalah gunaan kuasa oleh pihak pemerintah ( cukup dengan kewujudan Akta ISA dan Akta Polis sebagai bukti) adalah merupakan sumbangan besar PAS dan rakan – rakan pembangkang yang lain. Kerakusan UMNO menggunakan kuasa tanpa bataslah yang ditakuti di negra kita.

Bilang, siapa takutkan PAS? PAS adalah rakan semua. Yang menakutkan MCA, MIC dan komponen BN terhadap PAS adalah UMNO sendiri yang menabur ‘periuk api’ memburuk – burukkan PAS dengan tuduhan yang mengarut dan bohong. Hakikatnya PASlah yang dicari demi perdamaian dan keamanan. Ingat, ketika peristiwa hitam 13 Mei, bangsa Cina di Kelantan yang diperintah oleh PAS masa itulah yang paling rasa aman dan selamat berbanding di negeri lain. Tidakkah mereka hanyalah minoriti yang terlalu kecil di Kelantan yang mudah saja dilanyak? Tetapi PAS adalah sebuah harapan kepada keadilan dan kebenaran di negara ini. Dulu dan hari ini juga. Kemudian, Tidakkah UMNOlah yang mengajak PAS untuk bersatu di bawah payung Perikatan di saat terdesak itu?

Tiadalah tuduhan terhadap PAS selain untuk menghalalkan segala gerak laku zalim dan buruk pemerintah hari ini. Allah memelihara hizbuLlah yang berjuang untukNya daripada fitnah yang melata di bumi muslimin hari ini.

Salam Kamunting,

(1)

Indonesia dilanda gempa bumi lagi dan kita di sini diacu dengan kekuatannya yang dahsyat. Peringatan demi peringatan. Anda ingat semasa kejadian tsunami dulu yang berlaku menjelang penganut Kristian merayakan hari krismasnya, satu ingatan bahawa kemurkaan Allah dijelmakan dengan gempa bumi yang dahsyat itu. Apabila akidah bahawa Allah mempunyai anak dirayakan umat manusia yang ramai dan begitu gemilang sekali di dunia ini, Langit dan bumi menjadi kecut perut ketakutan lalu bergetarlah mereka ketakutan. Berlakulah tsunami yang cukup ganas. Murka Allah pada manusia. ( Lihat surah Maryam: 88-92 )

Gempa terbaru yang dahsyat pula berlaku beriringan kita menyambut Ramadhan. kemurkaan jugakah? Adakah keseronokan menyambut Ramadhan sama seperti keseronokan meraikan khurafat agung membapakan Allah? Tidak, pasti sekali tidak. Jadi, peringatan apa ini?

Inilah peringatan Allah kepada umat yang lalai dan tertipu dengan cara hidup yang menyeleweng. Kita ini menyambut Ramadhan dengan gemilang tetapi dalam kejahilan yang nyata. Ramadhan adalah bulan Al Quran. Tetapi kitalah umat yang redha Al Quran yang disambut itu dijauhkan dan disisihkan daripada kehidupan. Ia hanya untuk dibaca buat mencari pahala bekalan akhirat semata – mata. Tidakkah Al Quran adalah petunjuk di dunia sebelum pahala di akhirat. Bagaimana dibayangkan pahala sedang kita menyisihkan Al Quran?

Allah menyusahkan kita di dunia dalam hikmahnya demi kebahagiaan kita di akhirat. Agar kita kembali ( Lihat Ar Rum;41 ). Tetapi mereka yang leka terus berkata, itulah kejadian alam yang kejam! Maksudnya kejadian Allah yang kejam! Siapa yang kejam selain manusia sendiri.

(2)

Hari ini Turki mengambil tempat di hati umat Islam sedunia. Di Malaysia, Umno dan Pas seperti berebut meraikannya. Bagi Umno, ia menyamai Islam Hadhari. Bagi Pas, itu kejayaan kumpulan Islam meruntuhkan sekular bengap pekat. Bagi Umno, biarlah yang bertudung itu bertudung, yang tak nak itu, tak apa. Yang penting, kejayaan ekonomi. Ada pun agama Islam, itu hak individu membuat pilihan. Nak solat, solatlah. Tak nak, sudahh! Kerajaan apa nak hirau..

Bagi Pas, itulah siasah syar’ieyyah untuk dunia Turki yang kelam di dalam pemerintahan yang telah menjahanamkan khilafah Islamiyyah puluhan tahun lampau. Semuanya agar Islam mendapat hak dalam dunia demokrasi sekular yang dicanangkan. Menonjolkan Islam adalah keruntuhan yang mudah. Itulah pengalaman Najmuddin Erbakan dan parti Refahnya yang dibunuh tentera Turki, wali sekular Turki.

Abdullah Gul akan menjawabnya dalam tindak tanduknya dan perancangannya untuk masa depan gerakannya yang mengkagumkan semua pihak termasuk Amerika dan blok Eropah. Rakyat Turki sudah boleh bergembira apabila Islam kembali merasai sedikit kebebasan. Itulah erti sebuah kemerdekaan yang sebenar bagi masyarakat Islam.

Kita di Malaysia, kerajaan terus berseronok menyekat Islam daripada kembali berkuasa. Merdeka daripada penjajah dan merdeka daripada Islam juga. Bagi Umno, Islam persis penjajah! 

(3)

Sempat juga Khir Toyo mewajibkan 20 rakaat tarawih ke atas rakyatnya di Selangor. Maka wajiblah beliau melaksanakannya 20 rakaat juga dan janganlah berleka dengan majlis berbuka puasa besar – besaran yang akan memangsakan solat tarawih dihujungnya. Kenyang meruntuhkan kekuatan bertarawih 8 rakaat, apatah 20 rakaat. Mufti Perlis dah tegur. Itulah sebaik – baik teguran. Semoga beliau terus baik menegur yang layak ditegur sahaja.

Yang paling kecewa ialah rakyat Selangor sendiri. Bukan kerana 20 rakaat, tetapi terselit di dalamnya larangan menyampaikan tazkirah antara rakaat tarawih. Tok Guru Nik Abdul Aziz telah menyatakan kekesalannya. Saya fikir, di Kelantan beliaulah antara perintis tazkirah di bulan Ramadhan, lalu dimasyhurkan ke seluruh negara.

Nampaknya Umno terus kekal di ranking pertama menjadi pembenci tazkirah di Malaysia. Kerana itu layaklah Umno menjadi celaka di sisi Allah ( lihat Al A’la: 9 -12). Kesian Orang Umno. Semoga kita kekal menjadi pencinta tazkirah. Hadirilah masjid yang ada tazkirah di bulan Ramadhan, nescaya Ramadhan kita akan lebih meriah dengan kecintaan terhadap Islam.

Jika Umno mampu menyekat bloggers di bulan Ramadhan ini, saya tak fikir mereka tidak melaksanakannya. Hujah mereka banyak. Blog menjadikan manusia seperti monyet, kata Khairi. Malangnya mereka tak mampu kerana dunia terbuka adalah akidah mereka jua. Syukurlah. 

(4)

Kalau di Indonesia mereka dikejar gempa yang dahsyat di awal Ramadhan, kita di Malaysia gempar kerana dikejar peluru hidup. Keduanya – duanya menakutkan kerana maut menunggu bila – bila masa. Bezanya gempa bumi itu daripada Allah yang tiada siapa mampu menyekatnya, sedangkan peluru hidup itu daripada Umno yang hanya Allah mampu menyekatnya.

Dulu rakyat Indonesia takutkan Suharto tetapi kini mereka tak takutkan sesiapa kecuali Allah dan kejadianNya itu. Kita pula kini ketakutan pada Pak Lah. Siapa sangka dalam tidurnya dan dalam ilhamnya, peluru hidup boleh dilepaskan sewenang – wenangnya. Nampaknya, sukar diharap ISA akan dimansuhkan..

Saya berkata hanya Allah akan menyekat kezaliman Pak Lah. Allah pula memberi peluang dan tawaran besar – besaran untuk sesiapa antara hambanya yang bersedia memikul amanahNya menyekat atau membuang sahaja Pak Lah dengan pahala yang berganda – ganda. Beramai – ramailah kita berjuang mengalahkan Umno, nescaya Allah menyukai kita. Berbekallah dengan kekuatan yang sebenar. Sebaik – baik bekalan adalah taqwa. Maka carilah ia di bulan Ramadhan.

Saya terus kehairanan, apalah yang Pak Lah cari di bulan Ramadhan ini? 2 hari lepas beliau berbuka puasa di Kelantan. Ramai yang bersamanya. Saya beritahu sahabat dalam kereta semasa bersama – sama ke Machang untuk pelancaran program iftor jama’ie Dewan Pemuda Pas peringkat negeri bahawa orang Umno nampaknya lebih bersedia menyambut Pak Lah turun ke Kelantan daripada menunggu Lailatul Qadr turun. Dekat – dekat pilihan raya ni, sukar dibayangkan betapa besarnya harapan mereka pada Pak Lah. Itulah yang saya rasa dan fikirkan.

Orang Pas yang asyik lawan Umno pula, oleh kerana diajar sejak awal agar pergantungan mereka hendaklah kepada Allah sahaja, mudahlah dibayangkan seronoknya mereka menunggu Lailatul Qadr. Hanya Allah yang akan memilih mereka yang bertuah menemui malam itu. Semoga kita daripada pilihanNya jua. Amin.

(5)

Dan jangan kita lupa saudara kita di bumi Palestin. Juga saudara kita di selatan Thailand atau bumi Patani. Kemudian saudara kita di seluruh dunia, terutama yang tengah merasai keperitan hidup dalam dunia kekufuran dalam derita perang dan kebuluran. Mereka adalah mangsa yang menunggu – nunggu kebebasan yang kita adalah sebahagian yang diharapkannya.

Jangan kita lupa dalam kesenangan kita di sini. Berilah pertolongan dan doakan untuk mereka. Kewajiban kita rupa – rupanya bertimbun – timbun. Moga Allah merahmati kita dalam dosa kita mengabaikannya.

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Jun 2023
I S R K J S A
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
2627282930  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa