You are currently browsing the category archive for the ‘solat’ category.
Salam Kamunting,
Mendidik adalah satu tugas yang besar. Ia adalah permulaan pembinaan setiap insan, samada ia terus kekal sebagai manusia yang diciptakan dengan segala kelebihan, atau ia akan beralih dan bertukar menjadi seburuk – buruk kejadian di alam ini dengan terbentuknya sifat – sifat kebinatangan yang melampaui binatang dan haiwan sendiri.
Mendidik adalah satu tugas besar dan langsung setiap al rasul ( Lihat al Jumuah 2 ). Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam diutuskan kepada kaumnya yang buta huruf. Baginda yang buta huruf membacakan untuk kaumnya ayat – ayat al Quran, mendidik dan menyucikan jiwa dan mengajar mereka memahami al kitab dan al hikmah.
Pendidikan adalah ilmu warisan para anbiya’. Ia penuh hikmah dan penuh rahsia yang merungkai kekusutan di dalam memahami manusia.
Ia adalah warisan yang wajib diwarisi. Dengannya setiap insan menjaga dirinya dan diri ahli keluarganya. Dengannya seorang ketua menjaga anak buahnya dan dengannyalah sebuah negara menjaga rakyatnya. Ia adalah kewajiban. Kewajiban mendidik dan kewajiban mengambil pendidikan itu daripada al rasul.
Mendidik diri hendaklah dengan ilmu. Anda akan gagal mendidik diri jika anda tidak merujuk kepada petunjuk dan ilmu agama.
Mendidik anak – anak juga hendaklah dengan ilmu. Anda akan gagal jika anda memandai – mandai mendidik tanpa merujuk kepada panduan agama.
Hari ini, sesetengah kita bukan setakat memandai – mandai mendidik, bahkan tidak pun mendidik diri apatah mendidik anak – anak. Bukankah ini musibah dan dosa?
Mendidik anak – anak adalah kewajiban yang berat. Anak – anak lahir dalam serba tak tahu. Ia jahil tanpa ilmu dan tanpa akal yang sempurna untuk segera berilmu. Ia bertatih mengenal kehidupan sebelum perlu mengorak langkah gagah mengenal kewajiban.
Adakah anda menyangka betapa mudahnya manusia mengenal kehidupan, kemudian kewajiban? Lihat berapa ramai manusia yang lemah dan berputus asa. Mereka tidak mengenal kehidupan. Lihatlah pula betapa ramai lagi yang berseronok dalam noda kehidupan. Mereka gagal mengenali kewajiban dan matlamat kehidupan.
Justeru haruslah setiap kita menginsafi kelekaan kita di dalam mendidik anak – anak.
Pokok pangkal pendidikan anak – anak adalah menetapkan jiwa mereka dalam keadaan bersih sebersih asal kelahirannya. Sebersih alam fitrah kejadian yang memperakui diri sebagai hamba tuhannya dan tunduk persis tunduknya sang hamba pada tuannya. Menetapkan jiwa dan raga untuk terus kekal putih bersih sebagai seorang muslim semenjak di dalam kandungan ibunya dan saat kelahirannya.
Manusia adalah ruh dari sisi tuhannya. Ia mengenal tuhannya sebagaimana malaikat di langit mengenal tuhannya. Kemudian ia dihantar ke bumi yang jauh, lalu dimasukkan ke dalam satu lembaga dan bekas daripada tanah dan daripada air mani di dalam rahim si ibu.
Berlaku pertemuan di antara dua alam yang berbeza. Alam atas yang kudus dan alam bawah yang tandus. Ia terjerat di dalam tubuh daripada tanah duniawi.
Apabila kelahiran berlaku, berlakulah pertembungan secara langsung di antara dua yang berbeza. Ruh meronta – ronta untuk terbang tinggi menuju alamnya yang kudus dan suci menyembah tuhannya, tetapi ia ditarik dan direntap kuat kadang – kadang untuk kekal menggelupur di lumpur duniawi yang kotor dan penuh noda derhaka, enggan dan takabbur.
Kelahiran mewajibkan tarbiyah dan pendidikan. Ia proses menyelamat teragung.
Ruh mesti diselamatkan daripada noda duniawi yang menghimpitnya. Kesemujadiannya dilitupi alam baru yang serba baru. Anak yang lahir ilmunya bermula dengan kosong. Untuk mula menempuh alam yang baru ini, tubuh yang lemah itu bergantung sepenuhnya kepada kesemulajadiannya yang asal.
Ia secara fitrah mencari makanannya dari tetek ibunya. Ia menangis kuat melarikan diri daripada kedagangan dan kesunyiannya di alam baru ini. Ia diam dan segera nyeyak di dalam dakapan hangat ibunya. Apabila ia celik melihat dunia, ia dibekalkan rasa kasih dan sayang kepada orang yang sentiasa mendodoi dan menjaganya. Ibu dan ayah. Atau penjaganya.
Daripada ibu dan ayahnya ia mula berilmu dan terdidik. Dengan ilmunya itu ia mula mengesot, merangkak, bertatih dan kemudian berjalan. Ia membesar dengan ilmu dan pendidikan awalnya itu.
Bagaimana jika ia mendapat ilmu yang salah? Kemudian pendidikannya juga salah?
Ya, apabila ia salah ilmu dan salah didikannya, ia bertukar daripada kesemulajadiannya. Ruhnya menjadi liar dan sumbang. Ia bertukar wajah kerana ia dijamu makanan yang meracuninya. Makanan ruh seasalnya adalah zikruLlah. Ia melonjakkan nilai keinsanannya. Kini ia dijauhkan daripada zikrullah dan diganti makanan duniawi daripada isi perut yang membuncit, alunan bunyian syaitani, pinar pandangan panahan iblisi dan pelbagai rencam habuan nafsu.
Daripada fitrahnya yang muslim dan mukmin, ia bertukar menjadi Yahudi, Nasrani, Majusi dan bermacam – macam kefasiqan, kemunafikan dan kederhakaan terhadap tuhannya sendiri.
Inilah nilai pendidikan. Inilah harga sebuah kelekaan dan kecuaian.
Allah melepaskan anak – anak kita yang kecil itu daripada bebanan dan taklif. Ia tiada hak dan kekuatan untuk memikulnya kerana akalnya masih muda remaja untuk mula memikirkan tanggung jawab kehidupannya.
Bagaimana manusia boleh dilepaskan di dunia yang serba menipu dan penuh makar ini? Bukankah ia pasti menjerat dan membunuh?
Ya, si anak dilepaskan tetapi Allah mengembalikan hak pengawalannya ke atas pundak kita, ayah dan ibu. Kita diwajibkan membina pagar dan kawalan agar si anak membesar bebas dalam pagarNya ( kalaiLlah ). Ia jinak dalam bebasnya. Ia kembali selepas pergi. Ia enggan bebas daripada tuhannya walau pun ia dibebaskan sebebasnya.
Mendidik anak – anak adalah proses menjinakkannya untuk kekal hidup bertuankan tuhannya yang telah menciptakannya dan melepaskannya ke dunia dari langitNya yang kudus.
Anda jangan memarahi saya atau memperlekehkan saya jika saya bermati – matian mengingatkan anda tentang bahaya sistem pendidikan nasional hari ini. anda seharusnya kembali berfikir untuk menilai kembali hukuman anda ke atas saya.
Anda buktikan kepada saya bahawa majoriti anak – anak yang mencecah usia akil baligh ( 15 tahun hijriyah atau 14 tahun lebih masihiyyah ) telah berjaya kekal dalam iman dan ketundukan kepada Allah. Mereka telah bersedia menjadi muslim yang patuh dengan kewajiban solat 5 waktu.
Buktikan! Buktikanlah!! Atau anda akan malu dan tersipu – sipu jika anda memiliki iman, atau wajah anda akan merah padam dengan kemarahan dan kedegilan jika anda seorang yang sombong dan takabbur apabila melihat statistik daripada analisa dan kaji selidik yang sahih daripada pelbagai pihak dan sumber yang beriman yang membuktikan bahawa anak – anak Melayu seusia itu masih kekal tak solat dan tak tahu pun untuk solat dalam peratus tinggi mencecah 80%!!
Dari umur 7 tahun ( umur galakan ugama untuk anak – anak diajar untuk solat ) sehingga umur 10 tahun ( umur galakan ugama agar anak – anak dipukul jika lalai daripada solat ), kemudian memasuki umur 15 tahun ( umur taklif ), anak – anak dibentuk diri dan syakhsiyahnya oleh sistem pendidikan negara. 9 tahun dididik dan mereka keluar tanpa solat!!
Sistem apa ini?
Berat sangatkah solat 5 waktu?
Bodoh sangatkah anak kita?
Degil sangatkah anak kita?
Jahil sangatkah guru kita?
Atau,
Ianya adalah kerana sistemnya yang bersifat jahiliyah?!
Solat pada hari pertama adalah berat, pada hari kedua adalah ringan dan pada hari ketiga adalah manis.
Siapakah di antara kita mahu menghukum bahawa anak – anak kita akan kekal bodoh dan degil sehinggalah umurnya sampai 30 tahun??
Siapakah mahu menghina guru dengan menghukum bahawa anak – anak tak solat adalah kerana guru yang jahil dan malas?
Saya tegaskan bahawa sistem negara adalah sistem sekular yang syirik dan jahiliyah. Sistem pendidikan negara adalah anak yang patuh dan tunduk pada sistem induknya. Justeru ia adalah sistem yang syirik, jahiliyah dan korup.
Ia dicipta oleh otak – otak yang sekular, derhaka dan syirik yang berlegar di serambi kuasa negara.
Apabila kami orang yang terlibat dalam dunia politik secra langsung bercakap pasal ahli – ahli Parlimen UMNO dan ahli – ahli mereka di Dewan Negara, kami akan membahagikan mereka kepada dua kumpulan. Kumpulan yang lekat solat 5 waktunya dan kumpulan yang songlap 5 waktunya. Anda pasti terkejut seperti kami untuk mendapati bahawa natijahnya seumpama natijah kaji selidik ke atas anak – anak 15 tahun tahun di atas!!
Kita menyalahkan kerajaan. Mereka memaksa kita menerima sistem yang buruk dan jahat ini. Tidak semua kita mampu menghantar anak – anak ke sekolah ugama swasta yang tawaran sistemnya lebih Islamik dan benar yang lebih menyelamat dan menjamin agama anak – anak kita.
Kita pasti beruntung dalam keterpaksaan itu jika anak – anak kita memperolehi guru – guru yang benar – benar berperanan menampal segala kebobrokan sistem yang zalim ini dengan usaha gigih mereka.
Tetapi itu adalah kewajiban orang lain. Ia langsung tidak mengangkat kewajiban kita sendiri.
Anak – anak adalah amanah dan tanggung jawab. Selepas anak – anak pulang dari sekolah, andalah sekolahnya yang pertama. Jangan anda sekularis sebagaimana sistem sekular negara.
Jika tidak, andalah penyebab sebelum sistem itu! Semoga Allah memelihara kita.
” Tuhanku, jadikanku pendiri solat, juga zuriatku. Tuhan kami, terimalah doa kami.” – al Ayat.
Salam Kamunting,
Anak – anak adalah kurniaan dan nikmat yang tiada terperikan. Ia bagaikan nyawa yang disambung – sambungkan untuk merentas masa di dunia ini. Ia menyambung dan meneruskan harapan, cita – cita dan perjuangan setiap kita. Tiadalah yang lebih menggembirakan selain melihat segala harapan yang tinggi menjadi kenyataan.
Justeru anak – anak yang soleh dan berjaya adalah kurniaan agung untuk hamba – hambaNya yang soleh. Para anbiya’ menikmati kurniaan ini di tangga yang pertama ( lihat Aali Imran: 34 ). Mereka dikurniakan zuriat yang sebahagiannya juga telah dilantik menjadi al rasul yang menyambung tugas mereka melakar cita – cita dakwah dan tauhid.
Anak – anak juga adalah amanah. Kerana setiap manusia adalah terbeban dan tergadai dengan tanggung jawab masing – masing. Kerana setiap manusia terikat dengan hasil usahanya sendiri di dunia ini. Maka melorongkan anak – anak yang masih kecil dan mentah itu menjadi tanggung jawab dan amanah ke atas setiap kita yang tiada terperikan juga.
Mendidik anak – anak adalah kewajiban yang besar. Kerana tugas besar seorang al rasul, tugas mendidik mereka sedari kecil disandang sendiri oleh Allah daripada ibu bapa mereka ( lihat Taha:39-41 ). Maka bayangkan bagaimana setiap anak terlalu terkesan dan terbekas atas acuan pendidikan yang mereka terima. Jika baik, baiklah mereka. Jika gagal, gagallah mereka. Kita menentukan mati hidup mereka di dunia ini.
Ia adalah amanah yang sukar dan berat untuk ditanggung. Namun ia juga adalah kurniaan dan nikmat yang tiada terperikan.
Mari medidik anak – anak. Biar mereka tumbuh sesegarnya, lalu kemudiannya berbuah selebatnya dan dinikmati sesedapnya.
Mendidik tentunya sukar. Tetapi ia dimudahkan dengan qudwah dan petunjuk di hadapan daripada ar Rasul sallaLlahu alaihi wa sallam sendiri. Kemudian para sahabat dan mereka yang telah berjaya daripada kalangan hamba – hambaNya yang soleh. Pastinya, jika anda mengabaikan qudwah dan petunjuk ini, lalu meredah jalan sendiri, atau membiarkan mereka terheret ke laluan yang serong, anda sememangnya menempa kesusahan dan malapetaka yang besar.
Lahir anak – anak yang degil, derhaka, kurang ajar, lemah dan putus asa, lalu menjadi mangsa dadah dan sosial tak terubat. Saat itu, nikmat dan kurniaan bertukar menjadi kecelakaan yang tak terperi pula jadinya.
Semuanya kerana didikan yang salah. Didikan yang tak sempurna pun adalah salah. Didikan menuntut kesempurnaan pada segala ruang dan lingkupnya. Ia tiada galang gantinya.
Di Malaysia, seburuk – buruk pendidikan adalah pendidikan yang diterapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Kenapa?
Kerana seburuk – buruk ilmu adalah ilmu sekular. Pendidikan negara adalah sekular. Dunia untuk dunia. Akhirat nantinya di akhirat. Itu jika akhirat itu ada.
Terdidik di dalam didikan sekular adalah sebab terbesar meruntuhkan binaan diri anak -anak muslim menjadi rapuh, punah dan binasa.
Jika anda memberi harapan kepada j-QAF atau KAFA, anda adalah mangsa awal sekularisme dan mangsa kepada sebuah harapan bertulang rapuh sebelum anak – anak anda sendiri menjadi mangsa ke seterusnya ( hanyalah guru yang benar dan soleh sebagai penyelamat ).
Perhatikan, saat anak -anak mencecah umur 15 tahun, saat umur getir ini, saat persimpangan ini, kerajaan dan anda bersibuk untuk melihat jumlah dan peratus A yang tinggi dalam peperiksaan.
Di mana anda saat Allah mengumumkan peperikasaanNya yang pertama? ‘A’ kah solat lima waktu yang fardhu itu? Bukankah 15 tahun itu adalah persimpangan syurga dan neraka untuk anak – anak?
Ramai mana ibu bapa yang bergembira dengan kejayaan anak – anak memperolehi A, sedang ia disambut di serambi neraka? Anaknya tak pun solat. Ayahnya tak pun mengendahkan!
Anda tunggulah sampai kiamat untuk kerajaan BN – UMNO bertanya anda, adakah anak anda telah solat sempurna lima waktu? Tunggulah sampai kiamat!
Semoga Allah menjauhi kita daripada BN – UMNO yang penuh kejahatan dan penyakit. Semoga anak – anak kita terselamat daripada BN – UMNO yang penuh makar dan perancangan jahat.
Komen Terbaru