You are currently browsing the category archive for the ‘Agama’ category.

Salam Palestin,

Alhamdulillah, saya mendapat maklumat daripada sumber yang terpercaya bahawa mengikut tinjauan yang baru saja diadakan, majoriti peniaga dan masyarakat non muslim di Kota Bharu sudah cukup selesa dengan peraturan kedai gunting dan salon yang mengasingkan antara lelaki dan perempuan sebagaimana disyaratkan MPKB.

Para peniaga non muslim merasa lebih beruntung kerana hampir semua pengunjung wanita Islam akan melanggani perkhidmatan mereka dengan selesa tanpa ragu-ragu dengan kehadiran kaum lelaki. Jika sebaliknya, mereka mungkin mengalami kemerosotan pelanggan wanita Islam.

Bahkan, mereka juga sebagaimana yang telah dinyatakan oleh YB Dato Takiyudin Hasan, exco kerajaan negeri semalam, merasa lebih selesa apabila keluarga dan wanita mereka akan melanggani pusat kecantikan tersebut tanpa kaum lelaki yang kehadiran mereka sedikit pun tidak dianggap satu keperluan di premis berikut (kecuali gatal sangat mahu didandan rambut mereka oleh wanita.).

Perlu difahami, peraturan ini bukanlah undang-undang Islam, tetapi peraturan sivil yang berlandaskan panduan syariat ugama.

Agama Islam menyeru kepada keselamatan dan kehormatan wanita. Ia menyeru kepada usaha mencegah eksploitasi wanita dan menutup ruang-ruang ke arah maksiat dan kemungkaran. Adalah jelas berdasarkan kajian lapangan di seluruh negara, pusat-pusat kecantikan wanita sering menjadi topeng kepada operasi dan kegiatan eksploitasi dan tidak bermoral terhadap wanita.

Sesuai dengan masyarakat Kelantan yang majoriti besarnya adalah muslim, di samping masyarakat non muslimnya yang begitu tahu, menghormati dan selesa dengan peraturan-peraturan ‘Islamik’ yang diperkenalkan, adalah wajar sekali peraturan seperti di atas dijadikan panduan dan kajian ke arah melahirkan masyarakat madani/sivil yang menghormati martabat kaum wanita.

Malang sekali bagi sesetengah pihak, muslim atau bukan muslim, yang menjadikannya sebagai bahan perlecehan dan serangan atas nama hak-hak asasi dan kebebasan. Isteri mana selesa melihat suaminya diusap tangan wanita?

Ini, apatah lagi, wanita non muslim di Kelantan juga sudah cukup selesa dengan pengharaman premis judi dan penghadan penjualan arak di Kelantan. Mereka perlukan suami yang bertanggung jawab, tidak pulang ke rumah lewat malam, mabuk dan berang terhadap mereka dan anak-anak di rumah.

Bukankah ini satu kehidupan yang aman dan sejahtera? Bukankah inilah transformasi dan reformasi masyarakat sivil yang gemilang?

Walau bagaimanapun, saya amat sukacita jika ianya dibincangkan secara sihat. Mana tahu, ia semakin membuka mata kita untuk melihat kesempurnaan panduan agama Islam yang semakin diterima dengan baik hari ini. Usaha penambahbaikan amat dialu-alukan.

Sehingga kini, tiada yang menentangnya kecuali yang keras kepalanya, luar dan dalam.

Salam Palestin,

Seseorang yang dilahirkan sebagai seorang muslim merupakan satu anugerah Allah untuk dirinya. Ia tidak akan begitu bersusah payah mengenal tuhannya sebagaimana non muslim.

Kelahirannya sebagai seorang muslim itu juga adalah satu ganjaran besar Allah kepada kedua ibu bapanya yang istiqamah dengan iman dan Islam sepanjang hayat mereka. Dengan itu, menjadi mudahlah bagi mereka untuk mendidik anak-anak kepada Islam. Anak-anak adalah amanah yang diperlu dijaga, tidak dikhianati dan akan ditanya Allah nanti.

Oleh kerana ia satu anugerah agung daripada Allah, adalah pelik dan tidak logik jika anugerah itu dianggap satu paksaan ke atasnya untuk memeluk Islam.

Bukankah Islam itu agama fitrah yang lahir bersama kelahiran dirinya?

Bukankah Islam itu saudara akalnya yang turut membesar, matang dan baligh bersama tumbesaran fizikalnya?

Bukankah ibu bapanya yang muslim sentiasa di sisinya menjadi tiang yang gagah untuknya bergantung dan meminta pertolongan?

Justeru seorang muslim semenjak lahir tidak berhak menukar ugamanya atau murtad. Ia adalah satu penderhakaan dan penghinaan terhadap tuhannya, ugamanya, ibu bapanya dan juga masyarakat. Ia telah sengaja mendatangkan kesusahan dan fitnah terhadap ugama Islam dan penganutnya.

Jika dia keliru dan was-was dengan ugamanya akibat sebab-sebab peribadi dan tertentu yang boleh menyebabkannya menyimpang daripada landasan istiqamah masyarakat Islam di sekelilingnya, maka dia mestilah merujuk atau dirujuk kepada masyarakatnya itu yang diwajibkan oleh ugama untuk berperanan dan bergandingan menjaga ugama dan iman setiap individu muslim di kalangan mereka.

Islam adalah ugama hujjah akal dan diperkuatkan pula dengan petunjuk al Quran yang penuh keterangan menakjubkan yang menjadi mukjizat agung kehidupan. Maka ruang syaitan adalah tertutup rapat untuk memurtadkan individu muslim dalam sebuah masyarakat muslim.

Jika dia masih enggan tunduk kepada kebenaran dan bersedia murtad daripada ugamanya, maka dia sebenarnya adalah pemberontak terhadap Allah, al rasul, ugama dan masyarakatnya. Demi kelangsungan martabat dan kemuliaan masyarakat muslim yang menjunjung Islam sebagai nikmat tertinggi, syariat Islam akan mengancamnya dan mengenakan hukuman keras ke atas kemurtadan. Ia adalah hukuman hudud yang telah nyata daripada Allah sendiri. Hukuman ugama, bukan hanya hukuman daripada masyarakat.

Dia akan ditahan, kemudian diberi peluang masa untuk belajar, bertanya, berhujah dan berfikir bersama ulama berwibawa yang dikira mampu membuka segala kekusutan yang melanda dirinya. Ia mungkin ditahan dan diberi peluang berbulan-bulan, bahkan bertahun sehingga keputusan akhir dibuat. Jika dia sedar, maka dengan izin Allah dia akan bertaubat dan dibebaskan dengan sambutan lega masyarakat. Jika sebaliknya, maka hukum Allah adalah paling adil dan layak ke atasnya. Perbincangan lanjut boleh didapati dalam bab hukum murtad di tempatnya.

Pernyataan di atas secara jelas menunjukkan bahawa ayat ‘tiada paksaan dalam berugama’ adalah merujuk kepada hak non muslim untuk kekal dalam ugama mereka sebebas-bebasnya. Itu satu hak yang Allah berikan kepada manusia untuk memilih ugama masing-masing. Tiada pemerintah muslim yang berkuasa atau sesiapa pun boleh memaksa non muslim untuk memeluk ugama Islam.

TETAPI, jika Allah telah membuat pilihan (menjadikan manusia dilahirkan sebagai muslim), maka manusia itu tidak hak untuk melanggar pilihan Allah ke atasnya.

Bagaimana dibayangkan seorang muslim dipaksa untuk menjadi muslim? Bukankah dia itu telah muslim?

Bagaimana dibayangkan haknya untuk menukar ugama? Bukankah itu melanggar hak Allah dan hak maruah ibu bapanya juga? Bagaimana dianggap hak jika ia melanggar hak yang lain??

Adapun seorang muslim yang murtad di negara bukan Islam dan di luar masyarakat Islam, maka tiada hukuman murtad ke atasnya di dunia, tetapi dia tetap dilaknat Allah sehinggalah dia bertaubat. Dia tidak akan diburu di dunia oleh masyarakat Islam. Kekurangan bantuan sosial ke atas ugamanya menjadikan hukuman duniawi adalah tidak terpakai untuknya.

Kemudian, bagaimana seorang bukan Islam jika dia memeluk Islam? Bukankah itu melanggar hak ugama asalnya dan masyarakat non muslim? Mengapa Islam melarang di sini dan membenarkan di sana?

Carilah jawabannya. Ia pasti menyeronokkan untuk lebih berilmu. Tetapi bukan di sinilah. Saya berhenti di sini dulu. Jika diizin, saya tulis lagi.

Bersama menyintai ugama Islam. Ugama terbaik dan terpilih dari tuhan pencipta alam. Allahu akbar wa liLlahil Hamd..

Salam al Quds,

Ramai bertanya saya, sesetengahnya dalam rasa tidak puas hati, mana satu nak pakai antara dua jawaban yang diberi oleh pimpinan PAS pasal muzakarah antara pas dan umno, boleh atau tidak boleh? 

Saya senyum, teringatkan jawaban spontan saya di Sarawak beberapa hari lepas dalam satu majlis ceramah di hadapan khalayak muslim dan bukan muslim yang menyambut pelawaan TPM Tan Sri Muhyidin Yasin untuk umno dan PAS bermuzakarah. Saya kata, ‘Bagitahu umno, kami tengah sibuk bermuzakarah dengan rakyat sekarang ini. Kalau umno nak bermuzakarah, tunggulah lepas pilihanraya.’ 

Ucapan saya ketika panas tengah terik di sebuah restoran di pekan Batu Niah itu disambut tepukan gemuruh oleh kebanyakan hadirin yang rata-ratanya bukan muslim daripada pelbagai suku kaum di Sarawak yang tampak gembira dengan kehadiran PAS di bumi kenyalang itu. 

Keesokannya, seorang kawan memberitahu saya, ‘Ustaz, tadi saya dengar ayahanda ustaz jawab, muzakarah boleh diadakan sebelum pilihanraya. Ustaz jawab semalam, kena lepas pilihanraya. Ini dah bercanggah ustaz!’ 

Saya terkekeh-kekeh. Memang rasa tergamam, tapi ia agak melucukan. Saya jawab, ‘Pakailah mana-mana pun. Kalau jadi mana-mana tu, kira ya. Kalau tak jadi mana-mana pun, kira ya jugak. Muzakarah ni, dah puluhan tahun. Masa timbul, ia akan ditenggelamkan. Masa tak timbul, ia akan ditimbulkan. Begitulah politik apabila kita mencari kesepakatan antara dua yang berbeza, apatah ianya memang sangat berbeza. Adakah ianya satu proses yang mudah?’

Maksud jawaban saya, kita tunggu apa kata hujung pimpinan kita. Sebab, kedua-duanya adalah boleh. Nak muzakarah boleh, samada lepas atau sebelum pilihanraya. Atau, tak nak muzakarah pun boleh, sebelum atau selepasnya.

Semalam, kita menerima keputusan parti untuk tidak mengadakan muzakarah dengan umno.

Selama-lamanyakah? Pastinya tidak. Pintu muzakarah adalah pintu ugama. Tidak boleh ditutup. Dalam seni politik pemerintahan, ia tak pernah ditutup selama-lamanya. Hatta saat sebelum dua kerajaan bertempur dalam medan perang pun, muzakarah masih berperanan. Jadi, ia boleh saja dibuka jika ditutup itu tidak diperlukan lagi. Begitu sebaliknya.

Adakah saya atau PAS tidak serius? 

Tidak. Bahkan saya dan PAS amat serius. Tetapi, mari saya yakinkan anda bahawa keputusan parti adalah penentu di tahap mana kita perlu berada. Maksud saya, dalam isu yang boleh dan tak bolehnya adalah satu kemungkinan seperti isu muzakarah ini, jika anda sepuluh orang, anda akan bertelagahan menentukan yang terbaik. Jadi, saat itu, keputusan majoriti diperlukan. Dalam Islam, pandangan majoriti pada perkara yang dibenar oleh ugama adalah diutamakan. Hatta seorang ketua, dia dimestikan tunduk pada suara majoriti syuranya, kecuali syura memberinya pilihan untuk tidak akur.

Apa tujuan muzakarah? Sudah tentu, tujuannya adalah agar ditemukan yang benar daripada yang salah. Atau, dijelaskan yang kabur dan keliru. Apa pula tujuan dipisahkan dan dijelaskan kebenaran daripada kesalahan dan kebatilan? Sudah tentu, agar kebenaran diterima. Atau, setidak-tidaknya menjadi jelas di sisi orang-orang yang mahukan kebenaran, siapakah yang tunduk pada kebenaran dan siapakah pula yang degil mempertahankan kebatilan. 

Apa pula hasil hujungnya? Sudah tentu, hasilnya adalah penyatuan di antara dua yang bertelagah atau setidak-tidaknya, mendekatkan di antara dua yang bertelagah itu. Dalam konteks politik semasa, menyatukan atau mendekatkan PAS dan umno. Ada anda fikir, ada lagi tujuan dan hasil lain yang dimatlamatkan lebih besar daripada kedua-dua yang saya sebutkan tadi? Saya yakin, tiada lagi.

Maknanya, matlamat besar muzakarah adalah besar. Ia adalah penyatuan PAS dan umno atau mendekatkan di antara kedua-duanya. Tidakkah ini suatu yang besar? Saya tidak fikir, dalam konteks penyatuan umat Islam, ada yang akan mengatakan bahawa penyatuan kedua-dua parti yang bertelagah ini adalah isu kecil, sekecil kisah penyatuan atau penggabungan di antara bank dan institusi kewangan yang bertujuan mengukuhkan kedudukan perniagaan mereka.

Sekarang, anda tahu bahawa saat kita berbicara mengenai muzakarah PAS dan umno, kita sedang berbicara mengenai suatu yang besar untuk umat. Dan mencapai sesuatu yang besar untuk umat Islam sudah tentu besar jugalah cabarannya. Sesuatu yang besar cabarannya, sudah tentu memerlukan kekuatan yang besar untuk memikul cabaran itu. 

Daripada titik ini, anda tahu bahawa apa yang paling gagah untuk memikul cabaran itu adalah sifat sabar. Sabar menempuh dan sabar menunggu hasil.

Perhatikan, mudahkah;

1) memahamkan umat bahawa kesatuan hendaklah di atas tali Islam?

2) memahamkan umat bahawa penyatuan di atas selain Islam adalah tertolak oleh ugama dan sedikit pun tidak bermakna?

3) memahamkan umat dengan Islam yang benar dan sah, di saat Islam yang dipalsukan dijaja merata-rata oleh musuh kuffar dan para munafikin?

4) menolak pemimpin-pemimpin yang berkuasa yang  degil dan enggan untuk tunduk kepada kebenaran?

5) menemukan dan menerima pemimpin yang benar-benar ikhlas sebagai peneraju penyatuan, sedang para munafik ugama begitu tamak dan haloba untuk kekal memimpin?

6) mendidik umat seluruhnya agar tunduk kepada kebenaran dan Islam?

Dan banyak lagi persoalan yang bertimpa-timpa apabila kita bercakap soal penyatuan umat. Mudahkah semua itu?

Kita perlukan kekuatan. Ia bukan mustahil, tetapi ia bukan dalam masa yang singkat untuk diperolehi.

Muzakarah adalah satu jalan ke arah itu. Kerana itu, ia sukar. Bahkan jika berlaku, ia bukan boleh selesai dengan hanya satu muzakarah. Bahkan pula, muzakarah yang pertama boleh saja mencetuskan konflik yang lebih meruncingkan, tidak seperti mana yang diharapkan.

Jadi, adakah anda fikir, jika anda sempit dada, anda boleh memyatukan umat? Tidak, andalah pelambat yang melambatkan. Hanya orang politik, atau ‘individu umat’ yang gagah saja boleh mengorak ke arah penyatuan umat yang diimpikan, iaitu bersatu di atas tali ugama yang kukuh.

Kemudian, soalan akhir, adakah dalam suasana bahang pilihanraya yang semakin panas, saat pertembungan di antara dua gergasi demokrasi sudah tidak dapat dibendung lagi, adakah anda fikir kalimah ‘muzakarah’ tidak akan terdedah dan diisukan sebagai bahan kempen pilihanraya semata-mata?

Sudah pasti ia begitu terdedah kepada manipulasi tidak sihat. Ia bukan saat yang kondusif untuk bicara panjang pasal muzakrah. Justeru parti PAS, demi menjaga daerah suci daripada tercemar, memilih untuk tidak bersedia bermuzakarah dengan umno. Ia soal masa dan politik, bukan soal hukum.

Anda hanya perlu ikhlas dan sabar. Masa akan tiba, Islam akan menang. Saat itu, kebatilan lebur dan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya akan hidup bersatu di bawah keadilan Islam, insya Allah. 

i)

Pada pertengahan bulan Mac 2011 baru-baru ini, saya telah berlepas ke tanah suci Mekah dan telah selamat mengerjakan ibadah umrah bersama rombongan program Umrah Tarbawi anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat yang diketuai Ketua Pemudanya, Ustaz Nasrudin bin Hassan Tantawi. Seperti biasa, rombongan kami juga telah menziarahi masjid nabawi di tanah suci Madinah. Program selama dua minggu yang disertai oleh hampir enam puluh orang peserta itu telah mencapai matlamat dan kejayaan sebagaimana dirancangkan.

Ibadah sunat umrah adalah ibarat kembar kepada ibadah haji yang difardhukan ke atas setiap muslim. Ia samalah seperti kembarnya ibadat solat sunat kepada kefardhuan solat lima waktu atau ibadah bersedekah kepada kefardhuan ibadah zakat atau ibadah puasa sunat kepada kefardhuan puasa di bulan Ramadhan. Kesemuanya menambahkan kehangatan setiap muslim untuk melaksanakan ibadah rukun-rukun Islam yang lima itu dengan penuh adab dan khusyu’.

Seperti ibadah haji, ibadah umrah memestikan seorang muslim itu berangkat ke tanah suci menuju kaabah, rumah pertama yang dibina untuk ibadah kepada Allah. Dia mestilah berniat ihram dengan kaum lelaki hanya memakai kain putih tanpa jahitan, tidak melakukan beberapa pantang larang tertentu, tawaf di kaabah, saie di antara bukit Safa dan Marwah seterusnya menyudahkan ibadah unik itu dengan melakukan tahallul dengan menggunting atau mencukur rambutnya.

Allah menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang melaksanakan ibadah umrah. Ia menghapuskan dosa-dosa lepas selain ia begitu kuat dan kudus untuk membersih dan membina kembali hati dan iman setiap muslim dengan semangat untuk mengubah diri kepada lebih baik sekembalinya ke tanah air.

Pensyariatan ibadah haji dan umrah adalah penuh dengan hikmah ketuhanan. Melalui ibadah ini, umat Islam akan dipancarkan secara langsung dengan sejarah umat tauhid yang memanjang daripada kisah penerokaan awal nabi Ibrahim ribuan tahun yang lalu serta isteri dan anak kecilnya alaihimussalam ke atas bumi Mekah. Perjuangan besar baginda menegakkan tauhid dan menolak ketuhanan berhala dan syirik yang telah banyak menyesatkan umat manusia sepanjang zaman akan membuka minda dan menambat hati setiap muslim untuk menginsafi dan mensyukuri kelebihan menjadi seorang muslim yang benar.

Samada di Mekah atau Madinah, iman setiap muslim menjadi bertambah hangat apabila melihat kesan sejarah peninggalan sirah al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam yang menjadi rasul terakhir dari langit yang menyahut doa tertangguh ribuan tahun nabi Ibrahim agar zuriatnya diselamatkan Allah melalui perutusan seorang rasul agung yang akan menyinari alam dengan risalah tauhid dan iman. Seorang peserta umrah memberitahu saya, sepanjang berada di Masjidil Haram, beliau telah sempat menghabiskan buku sirah ‘Fiqhul Harakah’ karangan Tuan Guru Dato Haji Abdul Hadi Awang. Beliau menjelaskan betapa terkesannya dirinya apabila mampu merasa-rasakan kehadiran RasuluLlah melalui kisah-kisah sirah baginda yang dipaparkan melalui buku tersebut.

Di antara kelebihan lain yang paling dirasai oleh pengunjung BaitiLlah al Haram yang datang dari seluruh pelusuk dunia ialah suasana kesatuan umat Islam yang diikat kukuh oleh kesatuan tauhid dan kiblat. Penghayatan terhadap kelebihan ini sebenarnya mampu menjadi pemangkin yang paling berkesan untuk umat Islam melangkah lebih gagah di dalam membina kembali kekuatan mereka yang telah hilang dek kealpaan sendiri.

Begitulah seimbas hikmah pensyariatan ibadah haji dan umrah. Allah memaksa kita meninggalkan tanah air, keluarga dan kesibukan diri menjalani kehidupan duniawi untuk mengosongkan masa sepenuhnya berteleku di depan kaabah menghitung kembali kehidupan yang penuh cubaan dan cabaran yang mungkin menghijab kita daripada melihat kehidupan lebih baik yang telah dijanjikan Allah untuk umat terbaik ini.

ii)

Rombongan kami disebabkan kelewatan mendapatkan visa umrah telah terpaksa menukar jadual penerbangan dan terpaksa melalui Bangkok dan Kaherah sebelum masuk ke Jeddah. Ia agak memenatkan dan saya sendiri disapa demam dek kejutan udara sejuk walaupun hanya sepuluh jam berada di Kaherah.

Dunia arab sedang melalui tempo perubahan politik yang begitu tegang dan panas. Perubahan demi perubahan yang sedang mengasak hari ini melalui kebangkitan rakyat menentang pemerintah mereka nampaknya akan menjadi petanda ke arah kehidupan dan kemajuan tamadun arab dan Islam yang lebih baik. Sebelum ini, negara-negara arab dilihat begitu beku, lemah dan degil sehingga umat Islam seluruh dunia gagal memberikan keyakinan dan harapan kepada mereka untuk memimpin kebangkitan.

Semasa singgah di Mesir walaupun sekejap, sekilas mendengar perbualan rakyatnya daripada pekerja-pekerja di lapangan terbang Kaherah sehinggalah peniaga kedai kopi di tepi masjid Husain di sebelah universiti al Azhar, saya dapat mengagak betapa rakyat Mesir yang terkenal berani telah menjadi semakin berani dan yakin. Beban puluhan tahun ditutup mata dan telinga dan ditekup mulut nampaknya gagal menjadikan hamba pemerintahan kuku besi kebangsaan arab sebagaimana Firaun berjaya memperhambakan Bani Israel di dalam sejarah Mesir kuno melalui tekanan dan penindasan yang berterusan. 

Saluran-saluran tv negara arab dan akhbarnya pula nampaknya berlumba-lumba untuk menjadi jaguh kepada perubahan yang berlaku. Mereka 24 jam melaporkan segala perkembangan politik terutamanya di Libya, Yaman, Bahrain dan terbaru di Syria. Malah, mereka seperti menjadi pendorong kuat kepada apa-apa saja perubahan tsunami politik yang sedang melanda dunia arab sekarang.

Negara Arab Saudi kelihatannya berjaya mengawal kemarahan rakyatnya daripada merebak walaupun berlaku perhimpunan kecil menuntut perubahan. Walaupun begitu, Raja Abdullah nampaknya berusaha keras meredakan penularan kebangkitan rakyat di dunia arab dengan melakukan beberapa pembaharuan ekonomi dan politik. Ia mungkin bersifat kosmetik, tetapi sepertilah di negara kita Malaysia, negara Arab Saudi yang lebih mengecapi keharmonian dan kestabilan ekonomi berbanding negara-negara arab lain mungkin selamat untuk tempoh tertentu daripada ancaman kebangkitan rakyat.

Perubahan didorong oleh tindak balas terhadap kezaliman yang melampau dan berterusan. Seperti kata hukama kita, pemerintahan itu boleh kekal bersama kekufuran, tetapi ia tidak mungkin kekal bersama kezaliman. Negara-negara barat yang kufur lebih menikmati kestabilan dalam politiknya kerana keadilan yang diusahakan mereka. Tetapi mereka juga akan rebah suatu hari nanti kerana pastinya tiada kezaliman yang lebih besar selain menolak ketuanan Allah di muka bumi ini. Kerana itu, kita umat Islam diutuskan untuk membawa keadilan sejati dan benar dan kita dijanjikan kemenangan yang sejati.

Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim bin Lokman adalah seorang selebriti terkenal tanah air. Baru-baru ini, di dalam program ‘Himpunan 30 Ribu Pemuda PAS’ anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat di Kedah, beliau telah mengejutkan dunia politik tanah air dengan mengisytiharkan penyertaannya ke dalam perjuangan PAS selepas menyerahkan borang keahlian kepada menteri besar negeri Kedah, YAB Dato Seri Ustaz Azizan bin Abdul Razak.

Sebelum itu, Bob Lokman sebenarnya telah melakukan suatu tindakan yang lebih besar di dalam hidupnya yang juga telah mengejutkan dunia hiburan tanah air dengan  melakukan ‘hijrah paling profesional’ iaitu melangkah ke gerbang besar paling penting dalam kehidupan manusia iaitu gerbang taubat.

Pintu taubat seperti dikisahkan oleh nabi kita Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam, keluasannya adalah memanjang dari timur hingga ke barat. Luas yang tiada taranya. Ia pula dibuka terus tanpa ditutup sehinggalah hari kiamat. Setiap manusia masing-masing akan menempuh kiamat kecilnya sendiri iaitu mati. Selagi kiamat tidak berlaku atau maut tiada menjemput, selagi itulah anak Adam berhak berjalan memasuki pintu taubat.

Taubat adalah nikmat dan rahmat yang agung. Nikmat kerana pentaubat akan menikmati suatu kehidupan baru yang sungguh kudus dan menenangkan yang tiada lagi kecapan manis semanis melangkah dan bersimpuh di gerbang taubat. Rahmat kerana betapa kasih,  sabar dan lapangnya Allah menerima kembali hambaNya walaupun telah begitu jauh hanyut dilambung badai maksiat dan dosa sepanjang hidupnya.

Tetapi seluas mana gerbang taubat, selama mana ianya terbuka dan seindah mana tamannya, tidak ramai manusia melihatnya sebagai destinasi yang mesti dituju. Justeru setiap kali ada yang menuju dan memasukinya, maka dia akan menjadi begitu penting dan diraikan. Penting kerana dia akan menjadi sandaran buat yang lain mengenali gerbang ini. Diraikan kerana ahli taubat sebelumnya akan segera mengerumuninya, mendengar daripadanya pengalaman pahit dan menakutkan saat hanyut dibawa arus jahiliyah yang sentiasa lahap menyambar mangsanya yang lalai. Maka mereka saling kuat menguat untuk terus mengagumi nikmat dan rahmat taubat yang dikurniakan Allah kepada para hambaNya yang terpilih.

Saya sempat berjabat tangan dengannya dalam majlis perhimpunan pemuda PAS yang sungguh hebat itu, tetapi tiada tuah masa untuk lebih mengenalinya. Beribu anak muda begitu kepingin untuk bergambar dengannya atau sekurang-kurangnya bersalaman dengannya. Saya melihat suasana kasih sayang dan kemeriahan yang begitu menenangkan jiwa. Bob Lokman telah berjaya menjadikan kehadiran dan penampilannya pada hari tersebut begitu menarik keyakinan anak-anak muda terhadap kebenaran perjuangan PAS memperjuangkan Islam yang syumul.

Apa pun, menarik juga, melalui temuramah dengan beliau yang disiarkan oleh beberapa akhbar dan laman web yang memberikan gambaran ringkas pengalaman beliau melalui kehidupannya sebagai seorang insan seni sehinggalah beliau tiba dan menemui pintu taubat dengan izin Allah, untuk saya menitipkan beberapa butiran yang berguna untuk kita kongsikan bersama. Jika Bob Lokman membaca titipan ini, harapnya beliau dapat menyempurnakan lagi pengalaman berharga ini untuk dinikmati bersama oleh kita.

Beliau memberikan sekurang-kurangnya tiga sebab penting penghijrahannya. Pertama, pembukaan akal yang dialaminya semasa beliau jatuh sakit. Kedua, keperitan hidup berkeluarga yang goyah akibat keruntuhan tahap kesihatan dan kewangannya. Ketiga, kematian mengejut rakan karib beliau. Ketiga-tiga faktor tersebut telah memberinya pembukaan akal, masa dan peluang yang lumayan untuk beliau mula berfikir secara lebih serius dan tenang mengenai kehidupan dunia yang begitu singkat dan terumbang-ambing ini.

Cuba kita perhatikan, kesemuanya adalah musibah yang melanda yang ditakuti kehadirannya oleh setiap kita. Tetapi takdir Allah siapa dapat menahan. Dunia dan kehidupan adalah milikNya dan Dialah pemandu dan pengaturnya. Jika begitu, bagaimana seharusnya kita melayani kekuasaan agung ini?

Jika setiap musibah yang ditakuti dan dibenci kehadirannya itu dikira sebagai satu kezaliman dan penganiayaan, maka sungguh manusia dan dunia sedang diatur oleh seorang tuhan yang zalim! Jika begitu, dalam sekelip mata, manusia akan hilang keyakinannya untuk menempuh kehidupan yang berani dan bermaruah. Mengapa harus menjadi insan mulia jika kemuliaan itu dipasung oleh kehendak tuhan yang zalim dan tiada mengenal peraturan yang adil?

Perhatikan bagaimana orang yang ditimpa musibah kesakitan, kehilangan dan kesedihan, kemudian dia merasakan dirinya telah dianiaya dan tidak diadili dengan benar oleh kehidupan atau takdir atau tuhannya, dia akan ditimpa pula oleh seburuk-buruk penyakit di dalam diri iaitu barah putus asa.

Apabila seseorang mula berputus asa dalam menempuh kehidupan, dia akan melakukan dua tindakan yang semakin malang; hidup berdendam terhadap kehidupan atau lebih malang, dia membunuh diri. Apabila dia menyimpan dendam, dia tidak lagi sedih untuk melakukan kejahatan seterusnya seperti mencuri, merompak, menipu, minum alkohol dan sebagainya. Baginya, apa untung hidup bermaruah jika tuhan telah tidak adil terhadapnya.

Kemuncaknya, jika dia terus buntu dan tiada lagi harapan walau sebesar hama, dia akan membunuh diri. Dan anda tahu betapa buruknya membunuh diri hatta di sisi mereka yang enggan menerima kewujudan hari pembalasan.

Akidah kita umat Islam, Allah adalah tuhan yang maha adil. Dengan kekuasaanNya yang mutlak, siapa yang dapat menghalangNya melakukan apa saja termasuk kezaliman? Tetapi Allah mengharamkan ke atasNya berlaku zalim. Dia adalah maha adil seadilnya. Maka Allah adalah zat yang paling sempurna sifatnya.

Kerana itu, segala perbuatan Allah dalam segala kejadian alam yang tersaksi dan terlindung adalah diselubungi hikmah yang mendalam. Hikmah penuh siratan keadilan yang tersaksi dan terlindung juga.

Manusia hanya mahukan kesenangan dan keseronokan nafsu nafsi sahaja. Dia meninggalkan akal, ruh, fitrah, jiwa raga dan hati sanubari yang mendiami kamar kemuliaan di dalam dirinya untuk membiarkan nafsu buasnya merajai dirinya mengaut segala apa keinginannya. Apabila dia gagal memperolehinya, apatah ditimpa pula dengan bala dan musibah, nafsunya mula memberontak seperti orang gila mencabar kehidupan di sekelilingnya.

Kita, sepertilah Bob Lokman, tiada mengingini selain kesihatan, kemewahan, kebahagiaan dan kenikmatan berpanjangan. Tetapi bayangkan betapi kehendak Allah adalah melampaui segalanya. Dia melingkari kehidupan dengan kerahmatanNya agar sang hamba mendapat kenikmatan yang tak tergambar oleh nafsunya yang kerabunan sifatnya itu.

Sekarang tiba masanya Allah memberikan akal dan hati untuk mengambil peranan nafsu yang dirajakan oleh manusia. Kesakitan, kehilangan orang tersayang dan porak peranda kehidupan adalah peperangan terhadap nafsu. Nafsu terdampar lemah dan kesakitan. Saat itu akal dan fitrah hati mengambil alih teraju diri. Manusia dan Bob Lokman mula melihat dari ruang pandang yang baru dan segar.

Ada dunia baru yang sungguh harmoni dan menenangkan. Ia disendal dua tiang kukuh yang membentuk gerbang besar bernama taubat. Ia perjalanan yang sukar. Tetapi kesukaran diiring kemudahan apabila ianya di jalan Allah.

Begitulah keadilan Ilahi. Rahmat Allah melampaui kemurkaanNya. Allah tiada berlaku zalim, tetapi manusialah yang sentiasa menzalimi dirinya. Jika hijab ghaflah dan lalai telah tersingkap, manusia tiada ingin selain bersujud di bawah duli tuhan.

Sungguh bagus untuk terus mendengar daripada saudara Bob Lokman. Tazkirah adalah tentera Allah, seperti kata para hukama’. Bagaimana pula beliau boleh bersama PAS? Beliau memberitahu, tetapi ruang ini terhad untuk saya mengulas. Anda bolehlah ke blog saya untuk tambahan santai yang berguna.

(Artikel ini adalah untuk kolum ‘agama dan kehidupan’ akhbar Siasah)

Salam Palestin,

Sempena kedatangan bulan mulia, Rabiulawal 1432, saya berhasrat untuk menitipkan beberapa butiran penting mengenai nabi kita, Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Inilah bulan di mana umat Islam seluruh dunia akan memenuhkan masa mereka untuk bersama-sama mengingati kelahiran baginda yang tiada lagi kelahiran seagung kelahirannya.

Justeru keraian yang menyatukan umat Islam ini amatlah wajar dihargai dan dimanfaatkan. Ia hendaklah disusun dan diprogramkan dengan kaedah yang betul pada syariatnya dan besar pula pada hasil dan kesannya untuk kita semua. 

Amatlah rugi, di saat umat Islam yang begitu lemah dan terpecah-pecah kesatuannya, dengan mereka bersedia untuk menitipkan masa kosong mereka dan disatukan oleh bulan yang mulia ini, jika kita tidak berkerja pula untuk menjadikannya satu kuasa pencetus kepada perubahan yang mesti umat Islam lakukan.

Ini kerana RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam telah menduduki kemuncak kejayaan umat manusia sepanjang zaman di dalam membina tamadun dan nilai kemanusiaan yang tinggi. Menjadi umatnya adalah nikmat tak terperi yang tidak merasainya kecuali mereka yang diharamkan daripada menikmati kebahagiaan sejati di dunia ini.

Baginda adalah nabi. Nabi adalah utusan Allah yang menghubungkan bumi dengan langit. Kenabian adalah pemecah tembok alam ghaib yang asyik mengurung manusia di alam zahir yang begitu sempit. Tanpanya manusia hanya menjadi pakar buat menujum masa depan dan menjadi penglipur lara mengisah zaman lampau yang kelam. Baginda mengobori akal dengan memandunya merentasi jalur-jalur kejahilan yang memaksa manusia hidup merajakan tuhan sementara bernama nafsu dan syahwat. Akal kemanusian akhirnya dibawa menemui Allah dan itulah saat manusia mula mengenali kebahagian dan kehidupan yang hakiki. 

Dengan berbekalkan wahyu dan pengarahan langsung daripada Allah, RasuluLlah akhirnya berjaya mengetuai perubahan dan membina halaman baru untuk kehidupan manusia yang begitu cemerlang. Kota Madinah terbina selepas belasan tahun baginda berjuang memecahkan tembok kejahilan, kezaliman dan kedegilan manusia untuk kekal menikmati kehidupan di jurang kemurkaan dan neraka Allah. Di Madinah, walaupun 10 tahun adalah pendek tempohnya, para sahabat baginda telah dilumatkan dengan pengajaran-pengajaran yang bertindak cemerlang sebagai obor yang menerangi kehidupan dan sebagai penawar yang menyembuh kesakitan.

Lahirlah selepas baginda para sahabatnya yang telah bersedia untuk misi menyambung misi kenabian. Mereka segera keluar dari kota Madinah dengan kepayahan memendam rasa cinta kepada bumi rahmat dan keadilan demi memenuhi amanah agung RasuluLlah agar agamanya segera berkembang sampai ke kaki matahari di timur dan barat. 

Akhirnya, dunia bersinar dengan nikmat Islam. Manusia berpindah daripada kegelapan kepada daerah cahaya yang gemilang. Sehingga hari ini dan sampailah kiamat, cahaya Islam terus menerangi dan menjadi pilihan untuk manusia mencapai kebahagiaan hakiki dalam kehidupan.

Atas nikmat agung yang dibawa oleh baginda yang telah begitu mengubah haluan kehidupan jahiliyah manusia itulah, baginda dicintai manusia. Cinta terhadap RasuluLlah adalah cinta yang terlalu agung dalam sekelian cinta manusia. 

Baginda bukan sekadar menjadi tumpuan cinta manusia bernyanyi dan bertasbih di sekelilingnya, bahkan bagindalah guru yang mengajar makna cinta. Intinya, cinta duniawi ditakuti kehilangannya. Maka ia berakhir dengan kesedihan dan kehancuran. Cinta Allah diharapkan dan dinantikan pertemuannya. Maka ia akan kekal dan terus mekar selama-lamanya. Cinta duniawi sentiasa menjunam ke bawah, sedang cinta Allah sentiasa memuncak menuju puncak. Justeru sebarang cinta tanpa nilai agama adalah bohong dan hina sekali.

Cinta kepada RasuluLlah adalah benar dan syar’ie. Tiada yang berusaha menanam bibit cinta terhadap baginda kecuali akan turut dicintai Allah dan diganjari dengan pahala yang banyak. Allah menjadikan cinta al rasul sebagai syarat kesempurnaan keimanan seseorang hambaNya. Jadi, bayangkanlah betapa besarnya nilai cinta terhadap RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.

Mengapa cinta kepada RasuluLlah dijadikan syarat kesempurnaan, bahkan kesahihan iman seseorang kepada tuhannya? Tidakkah mencintai Allah itu sudah mencukupi?

Mari kita perhatikan tiga hikmah berikut; Pertama, pendakwa iman dan cinta kepada Allah adalah ramai dan dipenuhi pembohongan. Kaum Yahudi dan Nasrani misalnya adalah contoh klasik cinta palsu kepada Allah. Justeru menurut Islam, pemisah iman dan kufur bukanlah pada pengakuan beriman kepada Allah, bahkan pada perakuan beriman kepada kerasulan Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. 

Walau pun ketuhanan Allah itu diperakui ramai manusia, tetapi mereka tetap memerlukan ilmu yang benar, asli dan hakiki untuk mengenaliNya. Jika tidak, manusia, walaupun mengakui ketuhanan Allah, akan terus meraba-raba dalam menyembah Allah yang kabur pengenalanNya. Justeru keimanan kepada kerasulan al Rasul adalah syarat dan pemisah yang akan memastikan Allah itu dikenali daripada sumber yang betul. Cinta al rasul pula adalah sebahagian cabang dan syarat iman.

Kedua, cinta al rasul akan menjadi neraca kepada cinta manusia sesama manusia. Cinta kepada Allah adalah esa. Cinta Allah adalah kerana hakNya sebagai tuhan yang mencipta segala dan mengurniai makhluknya dengan kenikmatan hidup. Ia cinta tanpa bandingan dan tiruan.

Adapun cinta sesama manusia, maka ia atas dasar saling melengkapi dan memerlukan. Bukan cinta namanya jika hanya bertepuk sebelah tangan. Itu azab namanya. Kemudian, manusia sering terjerumus ke lembah cinta buta yang melanggar batas dan merosakkan nilai murni kalimah cinta. Ia disebabkan kegagalan manusia mengukur dan memagar ruang dan laman cinta yang berbuah dan bermanfaat sesama mereka.

Justeru agama Islam meletakkan satu neraca dan garisan untuk cinta itu bersemi, tumbuh dan mekar dengan semburan harumannya yang menghangatkan kebahagiaan hidup. Cinta RasuluLlah itulah neraca kepada segala cinta. Dengan melihat kelebihan-kelebihan yang menghiasi baginda, maka sesiapa yang memiliki sebahagiannya wajarlah dicintai dan kecintaan itu pasti menghasilkan buah yang manis. Antaranya, mencintai ibu bapa dan para guru. Bukankah nabi kita adalah bapa dan guru mithali? 

Ketiga, cinta al rasul adalah permulaan dan pemacu kepada kewajiban taat kepadanya. Ia adalah pelorongan kepada kewajiban yang paling utama selepas beriman kepada kerasulan, iaitu kewajiban mentaatinya. Inilah kewajiban yang menjadikan ramai manusia yang terkandas di medan ujian Allah. 

Taat adalah sukar. Manusia sering berbangga dan ego dengan segala kelebihan dan kekuasaan dalam dirinya. Mereka tidak akan taat dan tunduk kecuali kerana terpaksa dan terlalu lemah untuk melawan. Semata-mata beriman kepada RasuluLlah bukan satu kesukaran berbanding sukarnya mentaati baginda selepas itu.

Oleh kerana ketaatan kepada al rasul adalah wajib, maka ia mestilah dipupuk secara semulajadi yang akan mendatangkan kesan yang mujarab. Memekarkan sebab-sebab yang mendorong manusia untuk begitu mencintai nabi adalah senjata paling berkesan untuk memaksa manusia mentaati RasuluLah. Bukankah pemabuk cinta akan mendengar dan menuruti apa saja demi mencapai redha orang dicintainya?

Jika kita memahami hikmah -hikmah pensyariatan cinta al rasul di atas, jelaslah kepada kita betapa cinta al rasul itu adalah kelebihan yang menarik pelbagai kelebihan lagi selepasnya. Hangatkanlah cinta al rasul di bulan kelahiran nabi agung ini.

( Artikel ini adalah untuk kolum ‘Agama Dan Kehidupan’ akhbar Siasah )

(Bahagian pertama menjelaskan kejahilan adalah faktor pertama mengapa akal manusia gagal berfungsi di dalam mengenal Allah)

Kedua, kesombongan. Maksud firman Allah: ‘Dan berkatalah orang-orang yang tidak yakin terhadap hari pertemuan dengan Kami (hari akhirat); ‘Kalaulah diturunkan para malaikat ke atas kami atau kami dapat melihat tuhan kami.’ Demi sesungguhnya mereka telah begitu sombong daripada dalam diri mereka dan mereka telah begitu melampau sekali. Pada hari mereka benar-benar melihat para malaikat (hari kiamat), tiadalah lagi berita gembira buat mereka yang melakukan jenayah.’ al Furqan; 21-22

Ayat ini juga menjelaskan mereka yang menuntut melihat Allah di dunia sebagai golongan yang tidak percaya kepada hari kiamat. Ini disebabkan kesombongan yang menguasai diri mereka sehingga menutup akal dan hati daripada melihat hakikat dunia yang terhijab daripada dunia malaikat. Apabila mereka benar-benar telah melihat malaikat di hari akhirat nanti, maka ia adalah berita buruk buat mereka. Itulah hari kiamat yang pernah mereka dustakan. Alangkah beruntungnya jika mereka membuang kesombongan..

Ketiga, penyelewengan. Maksud firman Allah: ‘Dan berkatalah Firaun; ‘Wahai Haman, binalah untukku sebuah menara yang tinggi agar aku dapat sampai ke pintu-pintu, iaitu pintu-pintu langit agar aku dapat melihat tuhan Musa. Dan sesungguhnya aku menganggapnya sebagai seorang pendusta.’ Demikianlah dihiasi untuk Firaun (agar memandang baik) keburukan amalannya dan dia telah disekat daripada jalan (yang benar). Dan tiadalah tipu daya Firaun selain membawa kerugian.’ al Ghafir; 36-37

Ayat ini secara jelas menyatakan bahawa Firaun telah disekat dan diselewengkan daripada menemui jalan mengenali Allah disebabkan oleh kesalahannya sendiri di dalam menetapkan jalan untuk mencari dan mengenali Allah iaitu dengan berpandukan mata kasarnya dan kekuatan fizikal. Ini disebabkan Firaun telah tertipu dengan amalannya sendiri yang disangkanya benar belaka, sedangkan amalannya adalah buruk dan menyeleweng. Jikalah Firaun mendengar daripada pengajaran nabi Musa..

Keempat, kezaliman. Allah telah menceritakan tentang kaum Yahudi ketika mereka meminta daripada nabi Musa alaihissalam untuk melihat Allah sebagai syarat untuk beriman. Maksud firman Allah: ‘Dan ingatlah ketika kamu berkata; ‘Wahai Musa, kami tidak akan beriman denganmu sehinggalah kami dapat melihat Allah secara terang-terangan’, lalu kerana itu kamu telah disambar halilintar, sedang kamu menyaksikannya.’ al Baqarah;55 

Dalam ayat lain Allah menjelaskan lagi maksudnya: ‘ Golongan ahli kitab telah meminta daripadamu (wahai Musa) agar kamu turunkan ke atas mereka sebuah kitab daripada langit. Maka sesungguhnya mereka sebelum itu telah meminta daripada Musa suatu yang lebih besar daripada itu. Mereka berkata,’Tunjukkan kepada kami Allah itu secara nyata.’ Maka (kerana itu) mereka telah disambar petir dengan sebab kezaliman mereka sendiri.’ al Nisa’ 153.

Hujung ayat di atas menjelaskan betapa permintaan mereka untuk melihat Allah itu sebenarnya bukanlah lahir daripada keinsafan dan keadilan, bahkan ianya lahir daripada kezaliman diri mereka terhadap kebenaran yang telah nyata di hadapan mereka. Jikalah mereka melayani rasul dan kebenaran itu dengan penuh keadilan..

Keempat-keempat faktor di atas adalah penyakit yang melanda manusia. Ia menyebabkan manusia gagal mengoptimumkan penggunaan akal yang begitu perkasa itu untuk melihat kewujudan Allah dengan begitu mudah. Jahil, takabbur, seleweng dan zalim terhadap kebenaran telah menghalang akal daripada berkerja untuk tuannya sebagaimana fungsi asalnya. Apabila seseorang itu ditimpa penyakit, maka banyak perkara menjadi terkandas dan gagal. Segala keputusan dan hukumannya sering kali salah dan merugikan.

Justeru apabila manusia menolak untuk memperakui kewujudan tuhan yang satu yang menciptakan segala-galanya, maka ia bukan bermula daripada kegagalan akal yang disediakan oleh al khaliq untuk setiap anak Adam, bahkan ia disebabkan penyakit yang perlu diubati daripada terus membantutkan peranan akal. Adalah teramat malang untuk menolak wujud bakteria yang begitu halus itu semata-mata kerana kegagalan mata untuk melihatnya sebagaimana malangnya menolak kebesaran matahari berbanding bumi semata-mata kerana mata melihatnya lebih kecil.

Begitulah Allah. Dia terlalu agung dan tinggi (al Azim, al Aliy) untuk diukur oleh mata dan terlalu halus dan seni (al Latif) untuk dikuasai mata dan seluruh panca indera. Segala pengenalan terhadapNya hendaklah dengan akal.

Sebagai contoh, cuba lihat televisyen di hadapan anda. Kemudian letakkan jari menyentuh kelopak mata anda. Bukankah mata anda melihat jari itu lebih besar daripada televisyen tersebut? Tetapi anda berkeras dan yakin bahawa televisyen itulah yang lebih besar. Sekarang anda menolak pandangan mata anda. Kenapa? Kerana anda lebih meyakini akal dan anda bersedia sepenuhnya untuk melihat dan berhukum dengan akal.

Kalau dalam kehidupan seharian pun kita secara mudah menolak hukum panca indera, mengapa manusia terus berkeras menggunakannya untuk melihat Allah? Begitulah Allah mempertegaskan kepada kita bahawa penyakitlah punca keengganan itu.

Sekarang kita perlu menetapkan satu jalan yang benar menuju Allah agar kita boleh berjalan dengan penuh keseronokan dan tidak lagi terkeluar daripada landasan yang akan menyesatkan.

Ketahuilah bahawa Allah telah menjadikan tanda-tanda kebesanNy yang bertebaran di dalam kehidupan ini sebagai satu-satunya jalan mengenaliNya. Tanda-tanda itu disebut sebagai ‘al aayaat’. Kemudian untuk mengesannya, tiada cara dan alatan lain selain akal, fikir dan ilmu. Itulah syarat yang utama.

Ini kerana manusia akan mengesan tanda-tanda tersebut dengan akalnya. Dengan akal terus berfikir dan memerhati, manusia akan mengenal tuan yang mencetuskan tanda-tanda tersebut. Kemudian jika tanpa ilmu, manusia akan gagal mengesan kewujudan tanda-tanda tersebut, apatah mengenal tuannya. Jadi segala-galanya menuntut akal untuk berfungsi; menuntut ilmu, melihat tanda dan seterusnya memerhati dan merumuskan.

Allah mencabar manusia (lihat al Ahqaf;4), setelah mempertegaskan penciptaanNya, agar mereka membawakan kitab terdahulu atau walau sedikit daripada peninggalan ilmu manusia yang menunjukkan bahawa ada zat selainNya yang telah menciptakan bumi ini. Cabaran ini pasti sekali tidak mungkin mampu dijawab oleh manusia. Kenapa? Kerana selagi manusia menambah ilmu, selagi itulah Allah muncul sebagai tuhan yang menciptakan alam ini. 

Begitu ilmu membantu akal untuk berfikir dan berkerja mengesan tanda-tanda kekuasaan Allah taala di alam ciptaanNya ini.

Di mana tanda-tanda ini dapat dilihat? Ya, Allah telah menempatkannya di dalam tiga tempat; Pertama, di alam raya ini. Kedua, di dalam kitab al Quran sendiri. Ketiga, di dalam mukjizat para nabi dan karamah para aulia’.

Anda memerhatikan keagungan pelbagai ciptaan di bumi dan langit dan bagaimana ia bergerak dan hidup. Kekaguman terhadap keunikan ciptaan itu akan memperlihatkan kepada anda tanda-tanda yang meyakinkan bahawa ia telah terhasil daripada ciptaan tuhan yang maha berkuasa. Kemudian apabila anda membaca al Quran dan kebenaran segala isinya yang menerangkan pelbagai dan sungguh berbisa itu, anda akan terus terpanar dan fana di hadapan zatNya yang maha agung. 

Begitu juga Allah mempermudahkan untuk manusia melihat kekuasanNya dengan memperagakan pelbagai mukjizat dan karamah para nabi dan aulia’Nya yang terhasil melalui carikan adat, sebab dan kebiasaan yang menunjukkan bahawa ia tidak mungkin berlaku kecuali Allahlah penyebabnya yang tidak dapat dilihat.

Justeru ketika manusia hari ini begitu beriman dan taasub dengan kehebatan akal dan ilmu yang ada di sisi mereka, maka tiada uzur lagi buat manusia mengenepikan peranan akalnya itu untuk mencari dan menemui penciptanya yang maha agung.

(Artikel ini adalah untuk kolum ‘agama dan kehidupan’ akhbar Siasah)

Salam Palestin.

Selamat datang ke Himpunan 30 Ribu Pemuda PAS. Saya mendoakan kejayaan cemerlang program perdana anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat yang akan berlangsung seharian di Kompleks PAS Kedah pada Sabtu ini, 19 Febuari 2011 bersamaan 16 Rabiul Awwal 1432 Hijriah.

Tahniah saya ucapkan kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah yang menjadi tulang belakang dan penggerak utama program besar ini yang tidak mungkin berjaya kecuali dengan semangat juang yang tinggi yang ditunjukkan oleh anak-anak muda Islam yang mahukan cita-cita agama menjadi realiti dan terlaksana.

Kepada seluruh anak-anak muda yang telah lama bersiap siaga memasang niat dan azam untuk bergerak dari semua arah menuju ke destinasi jihad dan kemenangan, saya ucapkan syabas, tahniah dan doa yang berterusan agar kalian dirahmati Allah dengan kesihatan, keselamatan dan keseronokan menikmati apa yang tidak dinikmati oleh selain para pejuang Islam yang ikhlas untuk ugamanya.

Semua tahu kalian tidak diupah dan dibayar untuk ke sana. Jika kalian dibayar, itu tidak lebih dari sumbangan ikhlas para pejuang lain yang menginginkan seluruh anak-anak muda daripada segenap pelusuk dan aras agar berhimpun seteguhnya di dalam majlis zikruLlah yang agung nanti. Mereka tidak mengharapkan apa-apa selain apa yang kalian juga inginkan; ganjaran besar daripada Allah, tuhan agama Islam yang diredhainya untuk kita umat Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam.

Bergeraklah dengan hati yang murni, tulus dan luhur. Hayatilah setiap detik suasana yang akan terhidang. Lihatlah rakan-rakan pejuang yang ramai. Dengar amanat dan takbir yang meninggikan kalimat suci demi kemenangan ugama dan umat.

Saya begitu teruja untuk bersama dengan kalian anak-anak muda. Semoga saya juga dapat menikmati apa yang Allah sediakan untuk para pencinta ugamaNya di dunia perjuangan ini.

Saya dimaklumkan kesanggupan rasmi kehadiran seluruh anak muda seluruh negara direkodkan telah mencecah lebih 20 ribu orang. Antara yang melebihi atau menghampiri seribu orang setiap negeri. Ini pastinya didahului negeri Kedah yang menjangkakan kehadiran mencecah 1000 orang setiap kawasan!! Nah, itu tidak lagi dikira warga pejuang tua dan anak muda sukarela yang tidak direkodkan!!

Dan jangan lupa kesanggupan para pejuang muslimat yang turut sama menyahut panggilan jihad menuju perhimpunan besar ini. Adakah anda sangsi dengan rekod berani dan istiqamah para muslimat PAS? Jika begitu, anda belum mengenal mereka dengan sebenar-benarnya.

Inilah perhimpunan kesatuan umat di atas tali Allah. Penghiasnya
adalah anak-anak muda yang hangat sekali semangat perjuangan
mereka. Semoga roh jihad yang sentiasa ditiup oleh para ulama dan para pejuang yang istiqamah akan melangsaikan segala tanggung jawab dan kewajiban yang tertangguh dek kealpaan dan kelalaian masa lalu.

Ayuhlah, rakan-rakan. Bergeraklah ke medan juang. Kita bina negara dengan reka bentuk nabi kita, ikutan kita sepanjang zaman. Allahu Akbar!!

Salam Palestin,

Saat saya menggerakkan anak-anak jari untuk memulakan penulisan ini, saya tahu saya sedang berkongsi dengan seluruh dunia untuk melihat satu hukum karma yang maha pasti itu berlaku di bumi Mesir. Hukum karma pemiliknya adalah Allah. Kerana itu setiap muslim tidak betah menyebutnya, bahkan menamakannya sebagai sunnah Allah di muka bumi. Sunnah Allah bererti ketentuan dan hukum yang tetap daripadaNya.

Antara sunnah Allah yang mudah difahami dan dilihat ialah hukum pergantian atau silih berganti di antara dua yang berlawanan. Baik berganti buruk dan sebaliknya. Zalim berganti adil dan sebaliknya. Mulia berganti hina dan sebaliknya. Pergantian ini tidak berganti sendiri atau semudahnya. Ia mesti memuncak dan klimaks. Tali apabila sudah memuncak tegangannya, ia pun putus. Maka berlakulah pergantian, kental berganti kendur. Gagah berganti lembik.

Tiada malam yang kelam kecuali kemuncaknya adalah fajar nan menyinsing. Tiada panas yang memuncakkan teriknya kecuali bumi berpusing pantas ke sebelah timur meninggalkan matahari menggelongsor ke hujung barat. Begitu Allah memudahkan kita memahami sifir-Nya itu.

Presiden Husni Mubarak sedang cuba berhelah dengan sunnah ini. Sunnah Allah adalah keruntuhan dan kehinaan ke atas setiap penzalim dan thaghut di bumi-Nya. Firaun telah terhumban lemas di Laut Merah. Bani Israel kembali ke tangan keadilan nabi Musa alaihissalam. Semalam, Husni Mubarak, ketika rakyatnya menyerunya keluar dari Mesir di awal perhimpunan, dia melawan dan berusaha untuk tidak terbang melintasi Laut Merah ke Jeddah atau Dubai. Nah, hari ini rakyatnya meminta lebih daripada itu. Husni Mubarak untuk diadili, bukan untuk dihalau lagi. Kini, patungnya telah diangkat di Medan Tahrir ke tali gantung. Maut  untuk penzalim dan thaghut!

Kata seorang penyair agung Tunisia, ‘Satu hari, apabila rakyat mahukan kehidupan (perubahan), maka pasti sekali al qadar (ketentuan tuhan) akan menjawab!’ Maka selepas puluhan tahun, al qadar menjelmakan dirinya, menyambut rakyat Tunisia yang bangkit menuntut kehidupan daripada hangus nyawa putus asa seorang anak mudanya yang dibakar kezaliman Ben Ali yang menjarah di bumi tuhan.

Fajar apabila ia bangkit, ia tidak hanya bangkit di Tunisia. Ia kini bergerak ke Mesir. Kemudian, malam yang kelam sedang menuju pula di Israel, negara haram di bumi Arab. Malam akan memuncak. Apabila fajar membunyikan locengnya, ia enggan kecuali menunggu azan yang akan berkumandang gagah di bumi al Quds.

Kata al imam al Qaradhawi,’Wahai Husni Mubarak, jika pemerintahan itu bagai ghanimah untukmu, maka 30 tahun itu sudah cukup. Jika pemerintahan itu adalah bebanan ke atasmu, maka 30 tahun itu juga sudah cukup. Turunlah kamu!’ Siapakah Husni Mubarak untuk menolak kalam karamah ini?

Kala para mustadhafin di seluruh jemari saraf bumi sedang menanti – nanti keajaiban sunnah Allah ini, kala itulah Allah membeliakkan mata seluruh para penjarah darah dan air mata di bumi-Nya mengarah ke bumi Mesir yang sedang mengumandangkan kalimah ‘La ilaha ilaLlah’ buat membakar sekutu syaitan dan Israel laknatuLlah itu.

Kezaliman memuncak. Kesabaran juga memuncak. Ia kini di medan pertembungan. Adakah anda menyangka kesabaran hujungnya adalah kehancuran? Tidak dan tidak!

Apa pun kesudahan di Mesir itu, Husni Mubarak sudah pun di gerbang neraka ciptaan rakyatnya sendiri. Oh, segala sanjungan berdekad dalam sekelip mata bertukar menjadi rentungan mendekap.

Malaysia apa khabar? Negara yang pernah bandar rayanya dilimpahi puluhan ribu rakyatnya yang berbaju kuning bertulis ‘BERSIH’ menuntut keadilan di dalam perlaksanaan pilihan raya yang dipenuhi penipuan dan penyelewengan. Dan mereka bagaikan anjing kurap sering kali dihalau dengan simbahan air asid daripada melawan kezaliman dan penipuan.

Malaysia apa khabar? Negara yang tak pernah diam dan tenang daripada pembongkaran rasuah kolar putih besar-besaran tetapi bilislah yang ditangkap secara kecil-kecilan pula. Kemudian mereka yang bersih dan mulia dituduh pula dengan rasuah dan kejahatan.

Malaysia apa khabar? Negara yang kadar jenayahnya, gejala sosialnya dan kemiskinan rakyatnya terus mewarnai kehidupan yang semakin menghimpit sedang kekayaan dari hasil mahsul buminya pula hanyalah berlegar di kayangan orang-orang kaya yang bertawaf di sekeliling serambi kuasa kezaliman pemerintahnya.

Sampaikan khabar buat Malaysia bahawa ajal sentiasa mendekat buat kezaliman dan penentang agama Allah. Sampaikanlah salam pula buat Malaysia bahawa ajal kezaliman akan berganti kehidupan penuh mulia buat rakyat dan pencinta keadilan dan keharmonian.

Malaysia bukanlah seiring Mesir yang begitu buruk politik pemerintahnya. Tetapi Husni Mubarak tidaklah perlu menunggu untuk menjadi seperti Firaun untuk segera rebah dipijak rakyatnya sendiri. Kezaliman adalah hantu kehidupan. Hantu itu bukan hanya hantu raya saja, bukan pula sundal di tengah malam saja.

Malaysia hanya ada dua pilihan; Samada pemerintahnya hari ini terus degil dengan keangkuhan menindas pembangkang dan rakyatnya yang menolak gaya hidup menindas dan menipu  atau pemerintahnya segera membaiki kelemahan dan kesalahan dengan politik baru yang lebih adil.

Jika mereka memilih yang pertama, tunggulah keruntuhan dan kekalahan. Bukan Amerika, Israel, Singapura atau Indonesia yang akan datang. Bahkan rakyat seluruhnya akan datang sendiri merombak sistem dan gaya hidup melanun pemerintahnya. Jika mereka berdegil, hukum karma Allah setia menunggu panggilan rakyat yang tertindas.

Jika mereka memilih yang kedua, mereka perlu pula memilih di antara dua; Samada mereka memilih Islam sebagai cara hidup yang diredhai Allah atau mereka hanya memilih untuk kekal menolak Islam yang syumul, tetapi memperbaiki nilai demokrasi yang dianuti. Jika mereka memilih yang pertama, maka berbahagialah rakyat Malaysia dari atas sampailah ke bawah. Jika pula mereka memilih yang kedua, maka nyawa mereka akan lebih panjang dan ketentuan Allah akan bertangguh. Allah sentiasa menunggu untuk masa dan hari-Nya yang pasti.

Mengapa? Kerana pembaikian dan islah adalah jalan ugama. Jika pemerintah menyedari kesalahan dan kesilapan, lalu mereka membaikinya dengan menyempurnakan hak kemanusiaan dan rakyatnya, maka Islam menyambutnya dengan baik dan mereka dengan mudah memikat kembali hati rakyat. Semakin pemerintah membina sistem demokrasi yang menepati kehendak keadilan dan kesaksamaan, semakinlah mereka mendekati tuntutan ugama Islam.

Oleh kerana Islam bersifat tawaran terbuka dan bukan paksaan ke atas manusia di atas premis ujian Allah ke atas anak Adam di muka bumi ini, maka Islam akan subur di bumi yang adil dan tidak mengongkong. Jadi, kedua-dua pemerintah dan rakyat akan terlorong kepada Islam secara semulajadi yang harmoni dan menghiburkan.

Tetapi hak Allah di muka bumi adalah kekal. Tanggung jawab seorang muslim terhadap agamanya adalah kekal. Setiap umat Islam wajib mengangkat agama Allah untuk menjadi hakimnya di dunia ini. Itulah kewajiban khilafah di muka bumi.

Malaysia adalah negara umat Islam. Majoriti rakyatnya yang beragama Islam secara praktikalnya telah menepati lunas sistem demokrasi bahawa yang menguasai majoriti itulah yang berhak memerintah dan menentukan cara pemerintahannya. Justeru seruan ke arah pemerintahan Islam atau membina sebuah negara Islam adalah satu tuntutan yang dibenarkan oleh sistem yang mengagungkan hak majoriti.

Islam adalah pilihan untuk umat manusia tetapi adalah tanggung jawab ke atas umatnya. Setiap muslim, samada daripada PAS, UMNO, PKR atau apa pun, kewajiban menegakkan negara Islam adalah pasti secara fardhu ain ke atas mereka.

Berusaha ke arah itu melalui jalan yang syar’ie akan menyelamatkan mereka daripada murka dan azab Allah di akhirat nanti.

Kehidupan ini keajaibannya sungguh hidup, sentiasa segar dan begitu membuak-buak keinginannya untuk mempamerkan kehebatannya itu. Tahukah anda kepada siapakah dipamerkan keajaibannya itu? Kepada manusia bukan?

Adakah anda fikir bahawa dunia haiwan begitu asyik memperagakan belang mukjizatnya kepada alam tumbuhan? Atau, semesta langit dan segala isinya pula begitu menonjol-nonjolkan keajaibannya agar bumi, gunung-ganang dan lautan tersengih-sengih malu untuk berlumba-lumba menunjukkan kehebatan masing-masing pula?Tidak bukan?

Hakikatnya, tiada keajaiban apapun di antara sesama mereka. Mereka semua adalah satu. Alam yang menakjubkan akal manusia.

Interaksi kehidupan ini hanyalah dengan akal. Alam ini seluruhnya semacam begitu berpakat dan berkerja untuk menyerbu ke arah akal, lalu berusaha menggayakan segala-gala kemukjizatannya di hadapannya. Alam ini seolah-olah mahu akal mengakui keajaibannya, lalu tunduk berkata, alangkah hebatnya engkau wahai alam!

Begitulah kita manusia mengandaikan dengan akal kita tingkah laku alam dan kehidupan ini. Tetapi adakah benar begitu, bahawa alam raya ini seluruhnya bersatu padu berpakat mengarah kekuatannya kepada kita? Tidak bukan? Kerana, jika benar, sudah pastilah ia menunjukkan bahawa alam ini juga mempunyai akal untuk merancang sebagaimana kita juga merancang dengan akal kita. Adakah alam ini, segala juzuk dan komponennya memiliki akal? Ah, tidak bukan? Tidakkah akal hanyalah manusia sahaja yang memilikinya?

Justeru bagaimana alam ini berinteraksi dengan kita tanpa akal? Kemudian, adakah manusia telah tunduk dan kalah kepada alam dan kehidupan ini dek kekuatan dan kemukjizatannya? Tidak juga bukan? Bukankah manusialah yang merajai dan menguasai teraju alam raya ini? Bagaimana boleh manusia dikira kalah kepada alam ini sedangkan manusia telah membuktikan bahawa mereka telah berjaya mempergunakan segala isi alam ini untuk kesenangan dan keselesaan hidup mereka.

Nah, jika begitu, di sebalik keajaiban alam ini, ada lagi yang lebih menakjubkan berbanding mereka. Ya, akal itu lebih mukjizat daripada alam ini. Menakjubkan, manusia yang kerdil belum pernah lagi kalah kepada alam! Akal sungguh menakjubkan sekali.

Begitulah hebatnya ciptaan bernama akal. Tetapi malang lain pula menimpa pemilik akal ini. Di sebalik kekaguman terhadap diri sendiri, manusia gagal pula mengetahui bagaimana akal tiba-tiba wujud di dalam dirinya. Bagaiman dia  begitu menguasai alam ini, tetapi dia tidak pernah pula boleh mendakwa bahawa dialah pemilik alam ini sebagaimana dia juga terpaksa akur bahawa akal pada dirinya itu bukanlah ciptaan dan miliknya jua.

Sekarang lihatlah suasana kelam yang menerjah manusia untuk mengenali alam dan kehidupan. Dalam kekuasaan akal, terpampang kelemahan dan kekerdilan akal yang memalukan sekali!

Dalam perbincangan lepas, anda telah tahu bahawa tiada lagi selepas akal untuk menafsirkan kehidupan dan menjawab segala kegelapan agung ini selain agama. Agama yang bermaksud maklumat dan khabar langsung daripada pencipta alam raya ini. Dalam erti, selepas alam ini tunduk kepada kekuasaan akal, akal pula tunduk pula kepada kekuasaan agama. Agama pemiliknya adalah Allah, pencipta segala.

Adakah anda ingin bertanya saya, siapa pula yang berkuasa ke atas Allah? Tidak perlu bukan? Bagaimana boleh ditaakulkan pencipta segala akan dikuasai pula oleh makhluk ciptaannya itu? Mustahil. Sekarang, agama datang dengan satu solusi dan jawaban yang memuktamadkan pencarian yang paling sukar.

Yang tinggal hanyalah pembuktian bahawa agama adalah benar-benar satu hakikat, bukan sekadar dakwaan dan dongengan semata-mata. Justeru di hadapan hanyalah dua persimpangan; samada agama itu bohong, maka manusia terus menerus tenggelam di dalam kegelapan yang berterusan mencari hakikat kehidupan, ataupun agama itu benar, maka manusia terpaksa tunduk kepada saranan agamanya. Tunduk sang abdi kepada kehendak tuannya adalah hakikat paling hakiki.

Justeru al Quran yang menjadi kitab terakhir dari langit kepada manusia, juga nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam yang menjadi utusan terakhir dari langit telah begitu tekun meyakinkan manusia dengan hujjah dan pembuktian yang pelbagai demi membenarkan dakwaan bahawa ugama adalah benar dan merupakan jawaban muktamad kepada pencarian yang menyeksakan.

Oleh kerana akal adalah raja yang diiktiraf kekuasaannya di dalam kehidupan raya ini, maka agama tidak datang kecuali untuk mencabar dan menundukkan akal agar tunduk jua kepada kekuasaan yang lebih tinggi iaitu Allah.

Justeru tidak beriman kepada Allah kecuali akal yang tunduk mengaku dan bersaksi secara sedar dan tahu bahawa Allahlah tuhan yang satu yang di tanganNya segala aturan alam. Selagi akal enggan tunduk, selagi itulah agamanya, jika dia mendakwa beragama, adalah bohong.

Di sinilah telah nyata sekali bahawa akal adalah tunjang kepada taklif dan ujian Allah ke atas manusia. Akal juga menjadi paksi yang berputar di sekelilingnya segala pergerakan alam. Alam ini menyanyikan lagu taklif Ilahi ke atas makhluknya bernama manusia. Semuanya secara semulajadi akur dan tunduk,  sukarela atau secara paksa, kepada Allah sang pencipta segala. Allah menggerakkan seluruh alam raya untuk melorongkan jalan buat manusia mengenalNya dengan kekuatan akal yang memiliki kekuasaan dan keajaiban yang sungguh luar biasa itu.

Manusia pula dibiarkan untuk bebas hidup tanpa sekatan yang mengikat keinginannya untuk menguasai alam sekehendaknya. Ia dibiarkan untuk menentukan arah tuju hidupnya sendiri tanpa paksaan untuk tunduk kepada tuhannya. Sudah pasti, untuk menemui jalan yang benar, manusia berdepan kesukaran dan halangan yang terlalu banyak menghalang.

Tetapi kekuatan manusia adalah di luar upaya makhlukNya yang lain. Manusia dikurniai Akal untuk memandu kehidupan. Dengan perutusan para rasul dan al kitab, cukuplah sajian Allah untuk manusia mula memasuki medan ujian yang getir dan agung.

Manusia dibeban taklifkan dan diuji untuk menemui jalan menuju tuhannya dengan kekuatan akal yang dibekali cahaya al Quran dan al rasul. Hikmah Ilahiyah telah menentukan bahawa Allah menghijab diriNya daripada dikesani manusia kecuali melalui akal yang akan mengesan dan mengenali tuhannya melalui petunjuk-petunjuk Ilahi yang telah disediakan Allah kepada Allah untuk manusia di dunia ini.

Sekarang anda mestilah memahami bahawa; Pertama, Hidup ini adalah medan ujian ke atas manusia untuk menemui dan menyembah tuhannya secara sukarela. Kedua, seluruh makhluk kecuali manusia dan jin telah tunduk dan menyembah tuhan mereka secara semulajadi tanpa dibebankan dengan taklif dan ujian sebagaimana manusia. Ketiga, manusia tidak dapat mengenali tuhannya dengan pandangan mata kasar dan panca indera lainnya kerana ia adalah sebahagian daripada proses ujian Allah ke atasnya.

Keempat, manusia hanya mampu mengesan tuhannya melalui akal dan fitrah yang dimilikinya. Kelima, akal manusia pula, di dalam perjalanan mencari tuhannya akan dibantu oleh cahaya petunjuk al Quran. Keenam, manusia juga akan mengenali tuhannya melalui mukjizat yang berlaku ke atas para anbiya’ dan karamah para aulia’. Ketujuh, Alam ciptaan Allah dihadapkan ke hadapan manusia agar dengannya, mereka menyaksikan kewujudan, kekuasaan dan keagungan Allah sebagai tuhan yang mesti disembah.

Justeru anda kini semakin memahami hikmah kewujudan akal dan peranan besarnya di dalam hikmah kewujudan alam. Tanpa memerlukan ketekunan lain, anda sudah pun menemui keseronokan baru di dalam penerokaan memahami agama Islam iaitu betapa agama Islam dan akal bagaikan tercipta untuk hidup bersaudara!

(Artikel ini adalah untuk kolum ‘Agama dan Kehidupan’ akhbar Siasah)

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Mei 2024
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa