You are currently browsing the monthly archive for Jun 2009.
Salam Kamunting,
Lama saya tak menulis. Semuanya kerana saya yakin baik saya tak menulis untuk sementara waktu. Hari ini saya fikir sudah masanya saya menulis lagi. Ombak besar sudah kurang memukul, tanda amaran tsunami sudah tiada kelihatan dan suasana kini sudah agak tenang. Bolehlah saya turun mandi..
Bulan ini masuklah tahun ketiga saya menulis di blog saya, ‘masanya memilih jalan yang lurus’. 2 tahun berlalu, blog ini naik dan turun. Naik kerana saya rajin menulis dan turun kerana saya malas menulis. Naik kerana saya menulis yang panas dan turun bila tulisan saya sejuk dan dingin.
Maknanya, pengunjung laman – laman blog sentiasa menagih blog yang sering diperbaharui dan sentiasa gian yang panas – panas. Dua – dua itu saya gagal. Ramai juga sahabat dan kenalan yang marah dan menegur. Itu tanda sayang dan tanda sokongan.
Ada juga yang tak sayang. Jika ada pilihan raya blog, mereka tidak akan undi blog saya. Saya mungkin senasib ‘Penarik Beca’ yang ramai peminat dan ramai juga musuh walaupun jumlah peminat dan musuhnya jauh lebih banyak berbanding saya. Bakaq Haq adalah antara pendorong utama yang menggesa saya menulis blog 2 tahun lepas.
Makanya, saya jaga dia sebagaimana dia jaga saya. Bahasa Bakaq Haq kata, thiqah dan wala’ tahap gaban!! He he..
Menulis adalah minat saya sedari awal. Ia hampir mati seketika semasa saya belajar di India. Saya hanya membaca dan tidak menulis sebab jumlah kami yang belajar di sana tak ramai. Semasa di Maahad Muhammadi dulu, saya sering menulis dalam makalah badan dakwah sekolah. Biasalah, mula – mula teragak – agak dengan tulisan sendiri, tapi bila kawan – kawan puji dan kata baik, saya jadi bersemangat.
Saya masih ingat seorang guru perempuan Bahasa Melayu di Tingkatan 6 yang memeriksa kertas karangan BM kami sekelas memuji tulisan saya. Dia kata tulisan saya adalah terbaik dan paling seronok dibaca. Cuma dia bagi markah rendah saja sebab tulisan saya lari tajuk dan tak pun masuk tajuk! Hu hu..
Hari ini anda tak perlulah puji saya untuk saya rajin menulis. Hentam pun saya tulis..
Puji adalah senjata utama membina keyakinan anak – anak. Pujilah anak – anak dan murid – murid anda. Paling tidak anda akan lihat hidung mereka jadi mancung, taklah kemek lepek kepek macam anda..
Blog telah mengembalikan dan menyuburkan kebolehan dan keinginan saya untuk menulis. Saya berhasrat menulis yang ringan – ringan yang memberi nasihat, menyeru kepada kebaikan dan menyintai kebenaran. Saya hanya ingin bersantai – santai dan rehat – rehat dalam tulisan saya. Itu hasrat awal saya dan begitulah jadinya himpunan tulisan awal saya.
Tetapi saya tidak lagi seperti yang saya sangkakan. Saya fikir saya mampu kekal seperti dulu, tetapi kehidupan memindahkan kita dari satu tempat ke tempat yang lain. Atau, kita terpaksa berpindah dari kehidupan lama kepada kehidupan yang baru.
Kehidupan penuh dengan tuntutan dan desakan. Ia dipenuhi paksaan demi kehidupan yang lebih benar. Dunia ini seperti filem. Palsu tetapi memberi pengajaran. Ada orang meminati filem dan ada orang menyunting pengajaran daripada filem itu. Anda tahu siapa yang beruntung daripada kalangan mereka.
Saya akhirnya diheret untuk menulis yang berat – berat juga. Bermula dengan menulis idea – idea yang agak sukar difahami anak – anak muda yang mula berjinak memahami kehidupan Islami, kemudian mula mengkritik dan menegur figura – figura dan tokoh – tokoh kehidupan sampailah akhirnya saya menembak dan melibas apa saja yang saya fikir perlu dilibas.
Membaca tulisan sendiri adalah seperti taaruf terhadap dalam diri yang sukar dijiwai sesiapa. Tulisan sendiri adalah kawan yang terlalu benar. Tulisan adalah lebih benar dari lidah dan anggota badan. Anda merasai kehebatan diri, juga kebodohan diri.
Begitulah saya setelah 2 tahun di dalam media baru ini. Saya menulis dan anda membaca saya sesudah membaca tulisan saya. AlhamduliLlah, penjengok laman saya semakin bertambah untuk memuji, mengkritik dan menghentam. Semoga semuanya mendapat pahala dari amal perbuatannya. Setidaknya pahala beristighfar daripada keterlanjuran menghentam dan menggodam, juga memuji dan memuja.
Hari ini blog ini dikunjungi oleh purata 1000 pengunjung sehari atau lebih. Selepas hampir sebulan tidak up date, masih ada lebih 500 pengunjung yang sudi dan tak jemu menjengoknya. Saya mohon maaf kerana mengganggu masa emas anda.
Terima kasih atas sokongan.
Salam Kamunting,
Dewan Pemuda PAS Malaysia akan bermuktamar tahunannya hari ini dengan upacara perasmian akan bermula awal malam nanti di Markaz PAS Taman Melewar, Gombak. Ia adalah muktamar tahunannya buat kali yang ke 50.
Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat bermuktamar kepada seluruh perwakilan, juga pemerhati dari seluruh negara yang mewakili Dewan Pemuda PAS negeri – negeri.
Muktamar adalah aplikasi sistem syura yang dianjurkan agama. Syura memberkati perjuangan Islam. Justeru kehadiran anda ke muktamar kali ini, khususnya para perwakilan adalah diberkati Tuhan. Insya Allah, perjuangan Islam akan terus maju ke hadapan membawa sinar kepada kehidupan manusia di dunia ini.
Agama Islam, tenteranya adalah pemuda.
Nabi kita, pembantu kanannya adalah pemuda.
Ashabul Kahfi, contoh sepanjang zaman itu adalah pemuda.
Pemuda adalah kekuatan.
Pemuda adalah peluang.
Pemuda adalah harapan.
Ini adalah penggal terakhir saya dalam Dewan Pemuda PAS Malaysia, insya Allah. Jika diizinkan Tuhan, 2 tahun terakhir ini saya ingin menyumbang yang terbaik daripada saya. Saya gembira di Dewan ini. Sahabat – sahabat di sini hebat – hebat belaka. Bising pun hebat. Senyap pun hebat.
Dewan Ulama PAS Kelantan telah pun mempelawa saya untuk menumpang pada tuah mereka. Saya jadi teruja juga. Dua – dua sayap ini, saya tak tahu, mana satu sayap kanan dan mana satu sayap kiri.
Harapnya berkawan dengan ulama tua adalah sehebat berkawan dengan ulama, profesional dan aktivis muda.
Salahudin pergi, Nasrudin mari.
Selamat bermuktamar!
Komen Terbaru