You are currently browsing the category archive for the ‘Islam’ category.

Salam Palestin,

Alhamdulillah, saya mendapat maklumat daripada sumber yang terpercaya bahawa mengikut tinjauan yang baru saja diadakan, majoriti peniaga dan masyarakat non muslim di Kota Bharu sudah cukup selesa dengan peraturan kedai gunting dan salon yang mengasingkan antara lelaki dan perempuan sebagaimana disyaratkan MPKB.

Para peniaga non muslim merasa lebih beruntung kerana hampir semua pengunjung wanita Islam akan melanggani perkhidmatan mereka dengan selesa tanpa ragu-ragu dengan kehadiran kaum lelaki. Jika sebaliknya, mereka mungkin mengalami kemerosotan pelanggan wanita Islam.

Bahkan, mereka juga sebagaimana yang telah dinyatakan oleh YB Dato Takiyudin Hasan, exco kerajaan negeri semalam, merasa lebih selesa apabila keluarga dan wanita mereka akan melanggani pusat kecantikan tersebut tanpa kaum lelaki yang kehadiran mereka sedikit pun tidak dianggap satu keperluan di premis berikut (kecuali gatal sangat mahu didandan rambut mereka oleh wanita.).

Perlu difahami, peraturan ini bukanlah undang-undang Islam, tetapi peraturan sivil yang berlandaskan panduan syariat ugama.

Agama Islam menyeru kepada keselamatan dan kehormatan wanita. Ia menyeru kepada usaha mencegah eksploitasi wanita dan menutup ruang-ruang ke arah maksiat dan kemungkaran. Adalah jelas berdasarkan kajian lapangan di seluruh negara, pusat-pusat kecantikan wanita sering menjadi topeng kepada operasi dan kegiatan eksploitasi dan tidak bermoral terhadap wanita.

Sesuai dengan masyarakat Kelantan yang majoriti besarnya adalah muslim, di samping masyarakat non muslimnya yang begitu tahu, menghormati dan selesa dengan peraturan-peraturan ‘Islamik’ yang diperkenalkan, adalah wajar sekali peraturan seperti di atas dijadikan panduan dan kajian ke arah melahirkan masyarakat madani/sivil yang menghormati martabat kaum wanita.

Malang sekali bagi sesetengah pihak, muslim atau bukan muslim, yang menjadikannya sebagai bahan perlecehan dan serangan atas nama hak-hak asasi dan kebebasan. Isteri mana selesa melihat suaminya diusap tangan wanita?

Ini, apatah lagi, wanita non muslim di Kelantan juga sudah cukup selesa dengan pengharaman premis judi dan penghadan penjualan arak di Kelantan. Mereka perlukan suami yang bertanggung jawab, tidak pulang ke rumah lewat malam, mabuk dan berang terhadap mereka dan anak-anak di rumah.

Bukankah ini satu kehidupan yang aman dan sejahtera? Bukankah inilah transformasi dan reformasi masyarakat sivil yang gemilang?

Walau bagaimanapun, saya amat sukacita jika ianya dibincangkan secara sihat. Mana tahu, ia semakin membuka mata kita untuk melihat kesempurnaan panduan agama Islam yang semakin diterima dengan baik hari ini. Usaha penambahbaikan amat dialu-alukan.

Sehingga kini, tiada yang menentangnya kecuali yang keras kepalanya, luar dan dalam.

Salam al Quds,

Ramai bertanya saya, sesetengahnya dalam rasa tidak puas hati, mana satu nak pakai antara dua jawaban yang diberi oleh pimpinan PAS pasal muzakarah antara pas dan umno, boleh atau tidak boleh? 

Saya senyum, teringatkan jawaban spontan saya di Sarawak beberapa hari lepas dalam satu majlis ceramah di hadapan khalayak muslim dan bukan muslim yang menyambut pelawaan TPM Tan Sri Muhyidin Yasin untuk umno dan PAS bermuzakarah. Saya kata, ‘Bagitahu umno, kami tengah sibuk bermuzakarah dengan rakyat sekarang ini. Kalau umno nak bermuzakarah, tunggulah lepas pilihanraya.’ 

Ucapan saya ketika panas tengah terik di sebuah restoran di pekan Batu Niah itu disambut tepukan gemuruh oleh kebanyakan hadirin yang rata-ratanya bukan muslim daripada pelbagai suku kaum di Sarawak yang tampak gembira dengan kehadiran PAS di bumi kenyalang itu. 

Keesokannya, seorang kawan memberitahu saya, ‘Ustaz, tadi saya dengar ayahanda ustaz jawab, muzakarah boleh diadakan sebelum pilihanraya. Ustaz jawab semalam, kena lepas pilihanraya. Ini dah bercanggah ustaz!’ 

Saya terkekeh-kekeh. Memang rasa tergamam, tapi ia agak melucukan. Saya jawab, ‘Pakailah mana-mana pun. Kalau jadi mana-mana tu, kira ya. Kalau tak jadi mana-mana pun, kira ya jugak. Muzakarah ni, dah puluhan tahun. Masa timbul, ia akan ditenggelamkan. Masa tak timbul, ia akan ditimbulkan. Begitulah politik apabila kita mencari kesepakatan antara dua yang berbeza, apatah ianya memang sangat berbeza. Adakah ianya satu proses yang mudah?’

Maksud jawaban saya, kita tunggu apa kata hujung pimpinan kita. Sebab, kedua-duanya adalah boleh. Nak muzakarah boleh, samada lepas atau sebelum pilihanraya. Atau, tak nak muzakarah pun boleh, sebelum atau selepasnya.

Semalam, kita menerima keputusan parti untuk tidak mengadakan muzakarah dengan umno.

Selama-lamanyakah? Pastinya tidak. Pintu muzakarah adalah pintu ugama. Tidak boleh ditutup. Dalam seni politik pemerintahan, ia tak pernah ditutup selama-lamanya. Hatta saat sebelum dua kerajaan bertempur dalam medan perang pun, muzakarah masih berperanan. Jadi, ia boleh saja dibuka jika ditutup itu tidak diperlukan lagi. Begitu sebaliknya.

Adakah saya atau PAS tidak serius? 

Tidak. Bahkan saya dan PAS amat serius. Tetapi, mari saya yakinkan anda bahawa keputusan parti adalah penentu di tahap mana kita perlu berada. Maksud saya, dalam isu yang boleh dan tak bolehnya adalah satu kemungkinan seperti isu muzakarah ini, jika anda sepuluh orang, anda akan bertelagahan menentukan yang terbaik. Jadi, saat itu, keputusan majoriti diperlukan. Dalam Islam, pandangan majoriti pada perkara yang dibenar oleh ugama adalah diutamakan. Hatta seorang ketua, dia dimestikan tunduk pada suara majoriti syuranya, kecuali syura memberinya pilihan untuk tidak akur.

Apa tujuan muzakarah? Sudah tentu, tujuannya adalah agar ditemukan yang benar daripada yang salah. Atau, dijelaskan yang kabur dan keliru. Apa pula tujuan dipisahkan dan dijelaskan kebenaran daripada kesalahan dan kebatilan? Sudah tentu, agar kebenaran diterima. Atau, setidak-tidaknya menjadi jelas di sisi orang-orang yang mahukan kebenaran, siapakah yang tunduk pada kebenaran dan siapakah pula yang degil mempertahankan kebatilan. 

Apa pula hasil hujungnya? Sudah tentu, hasilnya adalah penyatuan di antara dua yang bertelagah atau setidak-tidaknya, mendekatkan di antara dua yang bertelagah itu. Dalam konteks politik semasa, menyatukan atau mendekatkan PAS dan umno. Ada anda fikir, ada lagi tujuan dan hasil lain yang dimatlamatkan lebih besar daripada kedua-dua yang saya sebutkan tadi? Saya yakin, tiada lagi.

Maknanya, matlamat besar muzakarah adalah besar. Ia adalah penyatuan PAS dan umno atau mendekatkan di antara kedua-duanya. Tidakkah ini suatu yang besar? Saya tidak fikir, dalam konteks penyatuan umat Islam, ada yang akan mengatakan bahawa penyatuan kedua-dua parti yang bertelagah ini adalah isu kecil, sekecil kisah penyatuan atau penggabungan di antara bank dan institusi kewangan yang bertujuan mengukuhkan kedudukan perniagaan mereka.

Sekarang, anda tahu bahawa saat kita berbicara mengenai muzakarah PAS dan umno, kita sedang berbicara mengenai suatu yang besar untuk umat. Dan mencapai sesuatu yang besar untuk umat Islam sudah tentu besar jugalah cabarannya. Sesuatu yang besar cabarannya, sudah tentu memerlukan kekuatan yang besar untuk memikul cabaran itu. 

Daripada titik ini, anda tahu bahawa apa yang paling gagah untuk memikul cabaran itu adalah sifat sabar. Sabar menempuh dan sabar menunggu hasil.

Perhatikan, mudahkah;

1) memahamkan umat bahawa kesatuan hendaklah di atas tali Islam?

2) memahamkan umat bahawa penyatuan di atas selain Islam adalah tertolak oleh ugama dan sedikit pun tidak bermakna?

3) memahamkan umat dengan Islam yang benar dan sah, di saat Islam yang dipalsukan dijaja merata-rata oleh musuh kuffar dan para munafikin?

4) menolak pemimpin-pemimpin yang berkuasa yang  degil dan enggan untuk tunduk kepada kebenaran?

5) menemukan dan menerima pemimpin yang benar-benar ikhlas sebagai peneraju penyatuan, sedang para munafik ugama begitu tamak dan haloba untuk kekal memimpin?

6) mendidik umat seluruhnya agar tunduk kepada kebenaran dan Islam?

Dan banyak lagi persoalan yang bertimpa-timpa apabila kita bercakap soal penyatuan umat. Mudahkah semua itu?

Kita perlukan kekuatan. Ia bukan mustahil, tetapi ia bukan dalam masa yang singkat untuk diperolehi.

Muzakarah adalah satu jalan ke arah itu. Kerana itu, ia sukar. Bahkan jika berlaku, ia bukan boleh selesai dengan hanya satu muzakarah. Bahkan pula, muzakarah yang pertama boleh saja mencetuskan konflik yang lebih meruncingkan, tidak seperti mana yang diharapkan.

Jadi, adakah anda fikir, jika anda sempit dada, anda boleh memyatukan umat? Tidak, andalah pelambat yang melambatkan. Hanya orang politik, atau ‘individu umat’ yang gagah saja boleh mengorak ke arah penyatuan umat yang diimpikan, iaitu bersatu di atas tali ugama yang kukuh.

Kemudian, soalan akhir, adakah dalam suasana bahang pilihanraya yang semakin panas, saat pertembungan di antara dua gergasi demokrasi sudah tidak dapat dibendung lagi, adakah anda fikir kalimah ‘muzakarah’ tidak akan terdedah dan diisukan sebagai bahan kempen pilihanraya semata-mata?

Sudah pasti ia begitu terdedah kepada manipulasi tidak sihat. Ia bukan saat yang kondusif untuk bicara panjang pasal muzakrah. Justeru parti PAS, demi menjaga daerah suci daripada tercemar, memilih untuk tidak bersedia bermuzakarah dengan umno. Ia soal masa dan politik, bukan soal hukum.

Anda hanya perlu ikhlas dan sabar. Masa akan tiba, Islam akan menang. Saat itu, kebatilan lebur dan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya akan hidup bersatu di bawah keadilan Islam, insya Allah. 

i)

Pada pertengahan bulan Mac 2011 baru-baru ini, saya telah berlepas ke tanah suci Mekah dan telah selamat mengerjakan ibadah umrah bersama rombongan program Umrah Tarbawi anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat yang diketuai Ketua Pemudanya, Ustaz Nasrudin bin Hassan Tantawi. Seperti biasa, rombongan kami juga telah menziarahi masjid nabawi di tanah suci Madinah. Program selama dua minggu yang disertai oleh hampir enam puluh orang peserta itu telah mencapai matlamat dan kejayaan sebagaimana dirancangkan.

Ibadah sunat umrah adalah ibarat kembar kepada ibadah haji yang difardhukan ke atas setiap muslim. Ia samalah seperti kembarnya ibadat solat sunat kepada kefardhuan solat lima waktu atau ibadah bersedekah kepada kefardhuan ibadah zakat atau ibadah puasa sunat kepada kefardhuan puasa di bulan Ramadhan. Kesemuanya menambahkan kehangatan setiap muslim untuk melaksanakan ibadah rukun-rukun Islam yang lima itu dengan penuh adab dan khusyu’.

Seperti ibadah haji, ibadah umrah memestikan seorang muslim itu berangkat ke tanah suci menuju kaabah, rumah pertama yang dibina untuk ibadah kepada Allah. Dia mestilah berniat ihram dengan kaum lelaki hanya memakai kain putih tanpa jahitan, tidak melakukan beberapa pantang larang tertentu, tawaf di kaabah, saie di antara bukit Safa dan Marwah seterusnya menyudahkan ibadah unik itu dengan melakukan tahallul dengan menggunting atau mencukur rambutnya.

Allah menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang melaksanakan ibadah umrah. Ia menghapuskan dosa-dosa lepas selain ia begitu kuat dan kudus untuk membersih dan membina kembali hati dan iman setiap muslim dengan semangat untuk mengubah diri kepada lebih baik sekembalinya ke tanah air.

Pensyariatan ibadah haji dan umrah adalah penuh dengan hikmah ketuhanan. Melalui ibadah ini, umat Islam akan dipancarkan secara langsung dengan sejarah umat tauhid yang memanjang daripada kisah penerokaan awal nabi Ibrahim ribuan tahun yang lalu serta isteri dan anak kecilnya alaihimussalam ke atas bumi Mekah. Perjuangan besar baginda menegakkan tauhid dan menolak ketuhanan berhala dan syirik yang telah banyak menyesatkan umat manusia sepanjang zaman akan membuka minda dan menambat hati setiap muslim untuk menginsafi dan mensyukuri kelebihan menjadi seorang muslim yang benar.

Samada di Mekah atau Madinah, iman setiap muslim menjadi bertambah hangat apabila melihat kesan sejarah peninggalan sirah al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam yang menjadi rasul terakhir dari langit yang menyahut doa tertangguh ribuan tahun nabi Ibrahim agar zuriatnya diselamatkan Allah melalui perutusan seorang rasul agung yang akan menyinari alam dengan risalah tauhid dan iman. Seorang peserta umrah memberitahu saya, sepanjang berada di Masjidil Haram, beliau telah sempat menghabiskan buku sirah ‘Fiqhul Harakah’ karangan Tuan Guru Dato Haji Abdul Hadi Awang. Beliau menjelaskan betapa terkesannya dirinya apabila mampu merasa-rasakan kehadiran RasuluLlah melalui kisah-kisah sirah baginda yang dipaparkan melalui buku tersebut.

Di antara kelebihan lain yang paling dirasai oleh pengunjung BaitiLlah al Haram yang datang dari seluruh pelusuk dunia ialah suasana kesatuan umat Islam yang diikat kukuh oleh kesatuan tauhid dan kiblat. Penghayatan terhadap kelebihan ini sebenarnya mampu menjadi pemangkin yang paling berkesan untuk umat Islam melangkah lebih gagah di dalam membina kembali kekuatan mereka yang telah hilang dek kealpaan sendiri.

Begitulah seimbas hikmah pensyariatan ibadah haji dan umrah. Allah memaksa kita meninggalkan tanah air, keluarga dan kesibukan diri menjalani kehidupan duniawi untuk mengosongkan masa sepenuhnya berteleku di depan kaabah menghitung kembali kehidupan yang penuh cubaan dan cabaran yang mungkin menghijab kita daripada melihat kehidupan lebih baik yang telah dijanjikan Allah untuk umat terbaik ini.

ii)

Rombongan kami disebabkan kelewatan mendapatkan visa umrah telah terpaksa menukar jadual penerbangan dan terpaksa melalui Bangkok dan Kaherah sebelum masuk ke Jeddah. Ia agak memenatkan dan saya sendiri disapa demam dek kejutan udara sejuk walaupun hanya sepuluh jam berada di Kaherah.

Dunia arab sedang melalui tempo perubahan politik yang begitu tegang dan panas. Perubahan demi perubahan yang sedang mengasak hari ini melalui kebangkitan rakyat menentang pemerintah mereka nampaknya akan menjadi petanda ke arah kehidupan dan kemajuan tamadun arab dan Islam yang lebih baik. Sebelum ini, negara-negara arab dilihat begitu beku, lemah dan degil sehingga umat Islam seluruh dunia gagal memberikan keyakinan dan harapan kepada mereka untuk memimpin kebangkitan.

Semasa singgah di Mesir walaupun sekejap, sekilas mendengar perbualan rakyatnya daripada pekerja-pekerja di lapangan terbang Kaherah sehinggalah peniaga kedai kopi di tepi masjid Husain di sebelah universiti al Azhar, saya dapat mengagak betapa rakyat Mesir yang terkenal berani telah menjadi semakin berani dan yakin. Beban puluhan tahun ditutup mata dan telinga dan ditekup mulut nampaknya gagal menjadikan hamba pemerintahan kuku besi kebangsaan arab sebagaimana Firaun berjaya memperhambakan Bani Israel di dalam sejarah Mesir kuno melalui tekanan dan penindasan yang berterusan. 

Saluran-saluran tv negara arab dan akhbarnya pula nampaknya berlumba-lumba untuk menjadi jaguh kepada perubahan yang berlaku. Mereka 24 jam melaporkan segala perkembangan politik terutamanya di Libya, Yaman, Bahrain dan terbaru di Syria. Malah, mereka seperti menjadi pendorong kuat kepada apa-apa saja perubahan tsunami politik yang sedang melanda dunia arab sekarang.

Negara Arab Saudi kelihatannya berjaya mengawal kemarahan rakyatnya daripada merebak walaupun berlaku perhimpunan kecil menuntut perubahan. Walaupun begitu, Raja Abdullah nampaknya berusaha keras meredakan penularan kebangkitan rakyat di dunia arab dengan melakukan beberapa pembaharuan ekonomi dan politik. Ia mungkin bersifat kosmetik, tetapi sepertilah di negara kita Malaysia, negara Arab Saudi yang lebih mengecapi keharmonian dan kestabilan ekonomi berbanding negara-negara arab lain mungkin selamat untuk tempoh tertentu daripada ancaman kebangkitan rakyat.

Perubahan didorong oleh tindak balas terhadap kezaliman yang melampau dan berterusan. Seperti kata hukama kita, pemerintahan itu boleh kekal bersama kekufuran, tetapi ia tidak mungkin kekal bersama kezaliman. Negara-negara barat yang kufur lebih menikmati kestabilan dalam politiknya kerana keadilan yang diusahakan mereka. Tetapi mereka juga akan rebah suatu hari nanti kerana pastinya tiada kezaliman yang lebih besar selain menolak ketuanan Allah di muka bumi ini. Kerana itu, kita umat Islam diutuskan untuk membawa keadilan sejati dan benar dan kita dijanjikan kemenangan yang sejati.

Salam Palestin,

Jika mereka bertanya saya, apakah yang paling manis sepanjang 8 tahun saya sebagai ahli majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI)? Saya akan menjawab, bersama menikmati usaha-usaha ke arah memantapkan perlaksanaan Islam di perbandaran Kota Bharu bersama para ahli majlis dan pegawai kerajaan di peringkat atasan dan bawahan yang begitu ikhlas, konsisten dan tanpa menghiraukan penat dan lelah.

Jika pula mereka bertanya saya, apakah yang paling pahit dan mengecewakan pula? Saya akan menjawab, ketika bungkam dan hilang kata-kata memerhati kerenah segelintir ahli majlis dan pegawai kerajaan juga, atas dan bawah yang begitu lunak cakapannya, lebat hujahnya dan bersimpang siur liatnya untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar!

Paling manis, bila saya turut menyumbang buah fikir dan turut menyertai perlaksanaan program dan projek yang baik dan berguna untuk warga MPKB dan rakyat Kelantan umumnya. Paling pahit, bila keengganan itu berlaku di depan saya dan saya mendapati diri saya kalah dan akur. Di tahun-tahun terakhir, ia begitu mendorong dan menekan saya untuk melepaskan jawatan lebih awal. Itu pastinya salah, tetapi itulah yang saya alami dan cuba memeranginya.

Akhirnya, tercipta juga satu sebab yang membolehkan saya
mengundur diri secara berhemat dan tanpa ditegur lagi. Saya masih mengharapkan daripadaNya agar tindakan saya itu tepat untuk saya dan agama saya.

Menyeru ke arah perlaksanaan syariat Islam yang syumul adalah perjuangan yang benar dan tiada yang benar selainnya di dunia ini. Melaksanakan tuntutan syariat yang dikandung kalimat mulia ‘amar makruf nahi mungkar’ juga adalah perjuangan yang benar dan kesukarannya sebenarnya bertambah-tambah pula.

Kala itu, yang berjaya adalah yang ikhlas hatinya, betul jalannya dan bersungguh kerjanya. Perjuangan Islam selalu songsang, tak menjadi rentak dan tarinya buat mereka yang terpasung kotak fikirnya daripada akidah yang benar, terpalit hatinya dengan lumpur duniawi dan tersadung kakinya daripada jalan yang lurus. Jika mereka sejahtera di situ, mereka masih tersisih sehinggalah mereka memacu dan memecut bersama para pejuang lain yang sentiasa segar dan istiqamah berlumba-lumba dan pintas-memintas menuju ridha Allah.

Islam adalah al Quran. al Quran adalah petunjuk dan nasihat. Jika ia tiada berkesan dan sememangnya sebahagian manusia keras dan buta hatinya daripada mendengar al Quran, maka al Quran memerlukan kuasa dan tongkat untuk menyuruh dan menghalang manusia. Apa-apa yang gagal dicabut dengan nasihat akan dicabut dengan kuasa.

Semasa baginda al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam di Kota Mekah selama 13 tahun memimpin dakwah dengan al Quran di tangannya, baginda mampu menarik sekitar 300 orang warga Mekah mendengar nasihat dan wasiat al Quran. Kemudian apabila baginda kembali memasuki Mekah 10 tahun kemudiannya, dengan al Quran di tangannya dan pedang juga di tangannya, baginda dengan tempoh yang terlalu segera telah berjaya menarik puluhan ribu rakyat kota Mekah dan sekitarnya untuk mendengar nasihat dan wasiat al Quran.

Pedang itu bukan buat memenggal leher seganasnya dan sejarahnya, tetapi cukuplah ia berisyarat, akulah teman setia al Quran. Demi tuhan, al Quran dan kuasa adalah bersaudara lagaknya. Bukankah kalam suci dan kuasa itu milik dan sifat Allah?

Justeru perjuangan membalut, menyeri dan menabal al Quran dengan tampuk kuasa adalah kerja nabi dan kerja perjuangan suci sepanjang zaman. Selagi Allah kekal hidup menjaga al Quran, selagi itulah al Quran ditawafi para pejuangnya yang kekal berjuang dan terbang syahid!

Janganlah Islam ini dikerjakan oleh mereka yang meletakkan kuasa di parlimen dan menyimpan al Quran di dalam almari, mengasingkannya daripada kehidupan sementara menunggu kehadiran majlis perarakan maulidur rasul.

Justeru ia perjuangan.

Kemudian, sesudah anda memiliki kuasa, maka mengurus kuasa adalah perjuangan juga. Ia fasa selepas fasa.

Zahirnya, kuasa pertama adalah apabila anda memiliki isteri, kemudian anak-anak. Jika mereka lari daripada nasihat al quran, anda masih memiliki kuasa. Dengan kuasa, anda mampu mengembalikan mereka ke jalan Allah. Itulah sesempurna Tindakan dalam mengurus kuasa.

Kemudian kehidupan melebar dan menjadi semakin melebar. Jika anda masih kekal berjuang memburu kuasa di Putra Jaya demi kecintaan mencantumkan al Quran dengan kuasa, maka anda telah pun memiliki selaras kuasa di Kelantan. Kecil tetapi besar. Sempit tetapi luas.

Marilah berdansa bersama kuasa dan al Quran. Kata al Quran, ajaklah rakyat Kelantan mendirikan solat lima waktu dan sembahlah Allah di rumah, di kedai, di kampung dan di bandar. Kemudian, carilah rezeki yang halal, tunaikanlah zakat dan bantulah orang-orang miskin dan lemah. Buatlah kebajikan, serulah kepada kebaikan dan cegahlah kemungkaran dan kemaksiatan.

Caranya? Nasihatlah dengan al Quran dan gunakan kuasa yang Allah kurniakan. Caranya? RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam adalah sebaik-baik ikutan. Hasilnya? Akan bertambah ramailah umat Muhammad terarah dan berada di jalan yang lurus dan diredhai Allah. Hasilnya? Akan kecewalah musuh-musuh tuhan daripada kalangan jin dan manusia. Itulah buah-buah manis tuaian perjuangan.

MPKB-BRI dengan kuasa sebuah kerajaan tempatan di bawah kerajaan negeri Kelantan telah melakukannya. Anda tidak akan mendapati perniagaan dan aktiviti terlarang agama di premis yang berdaftar dan diluluskan. Bahkan, wujud peraturan-peraturan kecil dan garis panduan yang berusaha menyekat sesuatu aktiviti yang secara mudah mendorong kepada keburukan dan haram.

Anda akan melihat kesungguhan MPKB-BRI memasuki medan kemasyarakatan demi menganjurkan kebajikan dan tolong-menolong yang memberi manfaat. Bahkan, agensi-agensi kerajaan negeri yang lain turut berganding bahu melibatkan diri memeriahkan usaha-usaha kebajikan yang dianjurkan ugama.

20 tahun adalah potret masa yang memisahkan Kelantan dan Kota Bharu daripada negeri-negeri lain dan perbandarannya yang begitu jauh ketinggalan. Pencapaian ini, adakah anda mahu menafikannya?

Sebelum anda menunjuki saya pusat-pusat pelacuran dan gambar-gambar bogel pelacur Kelantan, mari saya perkenalkan anda dengan apa yang anda telah ketahui.

Adakah bandar Madinah di zaman al Rasul bebas maksiat? Tidakkan? Bagaimana dunia ini bebas maksiat sedangkan dosa itu sentiasa melekat di badan, apatah di hati. Bukankah keimanan kita adalah bahawa hanya al Rasul sahaja yang maksum dan bebas dosa dengan izin tuhannya?

Bukankah nabi pernah melaksanakan hudud yang membawa erti telah berlaku maksiat zina di Madinah? Bukankah nabi pernah menyebut kepinginnya untuk membakar rumah-rumah yang kaum lelakinya tidak keluar untuk solat berjamaah bersama baginda yang bererti seruannya diingkari juga di Madinah? Bukankah nabi pernah mencela peniaga di pasarnya yang menipu dalam perniagaan?

Jika begitu, terlaksanakah atau berjayakah amar makruf dan nahi mungkar di Kota Madinah? Jangan berkata tidak! Sesungguhnya nabi dan zamannya adalah kemilau kehidupan yang memancar-mancar sebagai panduan sepanjang zaman.

Amar makruf bererti kebebasan melaksanakan kebaikan dan kemanfaatan yang disepakati bersama. Nahi mungkar bererti mencegah kemungkaran yang dilakukan secara terbuka dan dibenarkan. Kemungkaran mestilah dihimpit dan ditolak keluar sehingga ia tidak mengganggu masyarakat dengan kebusukannya.

Jika anda terpaksa menyamar dan bersusah payah menyelongkar, itu tandanya kemaksiatan telah terpinggir dan hidup ketakutan sehingga menyepi di ruang gelap.

Di Kuala Lumpur dan di bandar-bandar lain maksiat adalah halal dan haram. Terang dan cerah. Terbuka dan tertutup. senyap dan bising. Anda boleh memilih. Selera nafsu serakah adalah berbeza. Neraka seleranya berbeza juga.

Di Kota Bharu, tugas mengharamkan sarang dan pusat yang mudah mendorong aktiviti maksiat dan haram berjaya dilaksanakan pada kadar yang hampir sempurna. Lihatlah, betapa sukarnya menyimpulkan samada aktiviti karaoke, biliard, snoker, alatan syisya, tinju siam dan seumpamanya perlu dibuka atau disempitkan laluannya. Semuanya kerana kebimbangan dan wujud bukti penyalah gunaan yang membawa kepada aktiviti haram dan merosakkan.

Jika begitu, lebih-lebih lagilah pembanterasan terhadap aktiviti halal dan terbuka pelacuran, judi, arak dan sebagainya.

Tinggal lagi, bagaimana dengan aktiviti maksiat yang tidak berdaftar dan berlaku secara sembunyi dan haram di sisi undang-undang?

Anda usahlah berbangga kerana berjaya membuktikan Kelantan tidak bebas dan bersih maksiat selepas 20 tahun memerintah dengan nama Islam dengan mendedahkan pusat-pusat maksiat yang yang tak pernah pun diberi lesen itu.

PAS tak pernah pun menafikan kesungguhan kerajaan pusat memburu dadah, arak, judi dan pelacuran haram. Itu nahi mungkar yang disokong.

Apa yang PAS canggah adalah bagaimana kerajaan pusat boleh meluluskan pusat dan aktiviti yang mendorong maksiat dan kejahatan secara terbuka dan halal pula?

Mengapa kuasa dimandulkan? Tidakkah kuasa itu hak dan milik Allah yang dikurniakan kepada manusia untuk membantu al Quran di dalam kekuasaannya ke atas manusia agar mereka selamat dan sejahtera?

Jadi, jika kerajaan pusat yang memiliki kekuatan 100 kali ganda kuasa berbanding kerajaan Kelantan pun tak mampu mengisytiharkan kejayaan membanteras pelbagai aktiviti haram tersebut, maka bayangkanlah kesukaran kerajaan Kelantan juga.

Fahami ini jika anda seorang yang berakal, insaf dan takutkan murka Allah.

Sesudah anda memahami ini, ketahuilah kekuatan dan kuasa sebenar adalah pada diri sendiri. Kita menyebutnya sebagai sumber manusia. Atau modal insan. Dalam menyeru kemakrufan dan mencegah kemungkaran, keberkesanan terlalu bergantung kepada iman di dada dan dorongannya yang kuat untuk melaksanakan tugas dan amanah Allah ke atas hambaNya.

Jika saya dibenar bercakap lantang, saya akan lahirkan rasa bangga dengan rakan-rakan di MPKB yang begitu ikhlas dan bersungguh-sungguh melaksanakan misi kerajaan negeri untuk membangun bersama Islam.

Tetapi demi keadilan dan keinsafan, saya terkadang menjadi kecewa dan muak dengan segelintir warganya, ahli majlis dan pegawai MPKB yang tidak pun membantu kemeriahan berkerja, bahkan mengusutkan dan melambatkan kerja-kerja benar dan disukai Allah.

Paling menyayatkan, mereka berhujah semacam mereka ini pakar di dalam siasah syar’eiyah pula. Semoga Allah menemukan kita dengan penyelesaian.

Kawan saya, seorang doktor pulang dari ibadah haji beberapa bulan lepas. Bukan buah tamar dan kismis, tetapi sebuah buku dalam teks Arab telah dihadiahkan kepada saya tulisan seorang ulama terkenal, Doktor Salman al Audah bertajuk ‘Terima Kasih Wahai Musuhku’.

Isinya tentu menarik. Saya masih belum membacanya kerana dalam telaah beberapa kitab lain.

Terima kasih sahabatku. Terima kasih juga wahai musuhku. Tak kiralah syeikh-syeikh Firaun yang telah tumbang di Mesir itu atau syeh-syeh Quraish yang sedia menanti tumbang diterjang sunnah Allah ke atas penjarah di muka bumi ini.

Salam Palestin,

Saat saya menggerakkan anak-anak jari untuk memulakan penulisan ini, saya tahu saya sedang berkongsi dengan seluruh dunia untuk melihat satu hukum karma yang maha pasti itu berlaku di bumi Mesir. Hukum karma pemiliknya adalah Allah. Kerana itu setiap muslim tidak betah menyebutnya, bahkan menamakannya sebagai sunnah Allah di muka bumi. Sunnah Allah bererti ketentuan dan hukum yang tetap daripadaNya.

Antara sunnah Allah yang mudah difahami dan dilihat ialah hukum pergantian atau silih berganti di antara dua yang berlawanan. Baik berganti buruk dan sebaliknya. Zalim berganti adil dan sebaliknya. Mulia berganti hina dan sebaliknya. Pergantian ini tidak berganti sendiri atau semudahnya. Ia mesti memuncak dan klimaks. Tali apabila sudah memuncak tegangannya, ia pun putus. Maka berlakulah pergantian, kental berganti kendur. Gagah berganti lembik.

Tiada malam yang kelam kecuali kemuncaknya adalah fajar nan menyinsing. Tiada panas yang memuncakkan teriknya kecuali bumi berpusing pantas ke sebelah timur meninggalkan matahari menggelongsor ke hujung barat. Begitu Allah memudahkan kita memahami sifir-Nya itu.

Presiden Husni Mubarak sedang cuba berhelah dengan sunnah ini. Sunnah Allah adalah keruntuhan dan kehinaan ke atas setiap penzalim dan thaghut di bumi-Nya. Firaun telah terhumban lemas di Laut Merah. Bani Israel kembali ke tangan keadilan nabi Musa alaihissalam. Semalam, Husni Mubarak, ketika rakyatnya menyerunya keluar dari Mesir di awal perhimpunan, dia melawan dan berusaha untuk tidak terbang melintasi Laut Merah ke Jeddah atau Dubai. Nah, hari ini rakyatnya meminta lebih daripada itu. Husni Mubarak untuk diadili, bukan untuk dihalau lagi. Kini, patungnya telah diangkat di Medan Tahrir ke tali gantung. Maut  untuk penzalim dan thaghut!

Kata seorang penyair agung Tunisia, ‘Satu hari, apabila rakyat mahukan kehidupan (perubahan), maka pasti sekali al qadar (ketentuan tuhan) akan menjawab!’ Maka selepas puluhan tahun, al qadar menjelmakan dirinya, menyambut rakyat Tunisia yang bangkit menuntut kehidupan daripada hangus nyawa putus asa seorang anak mudanya yang dibakar kezaliman Ben Ali yang menjarah di bumi tuhan.

Fajar apabila ia bangkit, ia tidak hanya bangkit di Tunisia. Ia kini bergerak ke Mesir. Kemudian, malam yang kelam sedang menuju pula di Israel, negara haram di bumi Arab. Malam akan memuncak. Apabila fajar membunyikan locengnya, ia enggan kecuali menunggu azan yang akan berkumandang gagah di bumi al Quds.

Kata al imam al Qaradhawi,’Wahai Husni Mubarak, jika pemerintahan itu bagai ghanimah untukmu, maka 30 tahun itu sudah cukup. Jika pemerintahan itu adalah bebanan ke atasmu, maka 30 tahun itu juga sudah cukup. Turunlah kamu!’ Siapakah Husni Mubarak untuk menolak kalam karamah ini?

Kala para mustadhafin di seluruh jemari saraf bumi sedang menanti – nanti keajaiban sunnah Allah ini, kala itulah Allah membeliakkan mata seluruh para penjarah darah dan air mata di bumi-Nya mengarah ke bumi Mesir yang sedang mengumandangkan kalimah ‘La ilaha ilaLlah’ buat membakar sekutu syaitan dan Israel laknatuLlah itu.

Kezaliman memuncak. Kesabaran juga memuncak. Ia kini di medan pertembungan. Adakah anda menyangka kesabaran hujungnya adalah kehancuran? Tidak dan tidak!

Apa pun kesudahan di Mesir itu, Husni Mubarak sudah pun di gerbang neraka ciptaan rakyatnya sendiri. Oh, segala sanjungan berdekad dalam sekelip mata bertukar menjadi rentungan mendekap.

Malaysia apa khabar? Negara yang pernah bandar rayanya dilimpahi puluhan ribu rakyatnya yang berbaju kuning bertulis ‘BERSIH’ menuntut keadilan di dalam perlaksanaan pilihan raya yang dipenuhi penipuan dan penyelewengan. Dan mereka bagaikan anjing kurap sering kali dihalau dengan simbahan air asid daripada melawan kezaliman dan penipuan.

Malaysia apa khabar? Negara yang tak pernah diam dan tenang daripada pembongkaran rasuah kolar putih besar-besaran tetapi bilislah yang ditangkap secara kecil-kecilan pula. Kemudian mereka yang bersih dan mulia dituduh pula dengan rasuah dan kejahatan.

Malaysia apa khabar? Negara yang kadar jenayahnya, gejala sosialnya dan kemiskinan rakyatnya terus mewarnai kehidupan yang semakin menghimpit sedang kekayaan dari hasil mahsul buminya pula hanyalah berlegar di kayangan orang-orang kaya yang bertawaf di sekeliling serambi kuasa kezaliman pemerintahnya.

Sampaikan khabar buat Malaysia bahawa ajal sentiasa mendekat buat kezaliman dan penentang agama Allah. Sampaikanlah salam pula buat Malaysia bahawa ajal kezaliman akan berganti kehidupan penuh mulia buat rakyat dan pencinta keadilan dan keharmonian.

Malaysia bukanlah seiring Mesir yang begitu buruk politik pemerintahnya. Tetapi Husni Mubarak tidaklah perlu menunggu untuk menjadi seperti Firaun untuk segera rebah dipijak rakyatnya sendiri. Kezaliman adalah hantu kehidupan. Hantu itu bukan hanya hantu raya saja, bukan pula sundal di tengah malam saja.

Malaysia hanya ada dua pilihan; Samada pemerintahnya hari ini terus degil dengan keangkuhan menindas pembangkang dan rakyatnya yang menolak gaya hidup menindas dan menipu  atau pemerintahnya segera membaiki kelemahan dan kesalahan dengan politik baru yang lebih adil.

Jika mereka memilih yang pertama, tunggulah keruntuhan dan kekalahan. Bukan Amerika, Israel, Singapura atau Indonesia yang akan datang. Bahkan rakyat seluruhnya akan datang sendiri merombak sistem dan gaya hidup melanun pemerintahnya. Jika mereka berdegil, hukum karma Allah setia menunggu panggilan rakyat yang tertindas.

Jika mereka memilih yang kedua, mereka perlu pula memilih di antara dua; Samada mereka memilih Islam sebagai cara hidup yang diredhai Allah atau mereka hanya memilih untuk kekal menolak Islam yang syumul, tetapi memperbaiki nilai demokrasi yang dianuti. Jika mereka memilih yang pertama, maka berbahagialah rakyat Malaysia dari atas sampailah ke bawah. Jika pula mereka memilih yang kedua, maka nyawa mereka akan lebih panjang dan ketentuan Allah akan bertangguh. Allah sentiasa menunggu untuk masa dan hari-Nya yang pasti.

Mengapa? Kerana pembaikian dan islah adalah jalan ugama. Jika pemerintah menyedari kesalahan dan kesilapan, lalu mereka membaikinya dengan menyempurnakan hak kemanusiaan dan rakyatnya, maka Islam menyambutnya dengan baik dan mereka dengan mudah memikat kembali hati rakyat. Semakin pemerintah membina sistem demokrasi yang menepati kehendak keadilan dan kesaksamaan, semakinlah mereka mendekati tuntutan ugama Islam.

Oleh kerana Islam bersifat tawaran terbuka dan bukan paksaan ke atas manusia di atas premis ujian Allah ke atas anak Adam di muka bumi ini, maka Islam akan subur di bumi yang adil dan tidak mengongkong. Jadi, kedua-dua pemerintah dan rakyat akan terlorong kepada Islam secara semulajadi yang harmoni dan menghiburkan.

Tetapi hak Allah di muka bumi adalah kekal. Tanggung jawab seorang muslim terhadap agamanya adalah kekal. Setiap umat Islam wajib mengangkat agama Allah untuk menjadi hakimnya di dunia ini. Itulah kewajiban khilafah di muka bumi.

Malaysia adalah negara umat Islam. Majoriti rakyatnya yang beragama Islam secara praktikalnya telah menepati lunas sistem demokrasi bahawa yang menguasai majoriti itulah yang berhak memerintah dan menentukan cara pemerintahannya. Justeru seruan ke arah pemerintahan Islam atau membina sebuah negara Islam adalah satu tuntutan yang dibenarkan oleh sistem yang mengagungkan hak majoriti.

Islam adalah pilihan untuk umat manusia tetapi adalah tanggung jawab ke atas umatnya. Setiap muslim, samada daripada PAS, UMNO, PKR atau apa pun, kewajiban menegakkan negara Islam adalah pasti secara fardhu ain ke atas mereka.

Berusaha ke arah itu melalui jalan yang syar’ie akan menyelamatkan mereka daripada murka dan azab Allah di akhirat nanti.

Kehidupan ini keajaibannya sungguh hidup, sentiasa segar dan begitu membuak-buak keinginannya untuk mempamerkan kehebatannya itu. Tahukah anda kepada siapakah dipamerkan keajaibannya itu? Kepada manusia bukan?

Adakah anda fikir bahawa dunia haiwan begitu asyik memperagakan belang mukjizatnya kepada alam tumbuhan? Atau, semesta langit dan segala isinya pula begitu menonjol-nonjolkan keajaibannya agar bumi, gunung-ganang dan lautan tersengih-sengih malu untuk berlumba-lumba menunjukkan kehebatan masing-masing pula?Tidak bukan?

Hakikatnya, tiada keajaiban apapun di antara sesama mereka. Mereka semua adalah satu. Alam yang menakjubkan akal manusia.

Interaksi kehidupan ini hanyalah dengan akal. Alam ini seluruhnya semacam begitu berpakat dan berkerja untuk menyerbu ke arah akal, lalu berusaha menggayakan segala-gala kemukjizatannya di hadapannya. Alam ini seolah-olah mahu akal mengakui keajaibannya, lalu tunduk berkata, alangkah hebatnya engkau wahai alam!

Begitulah kita manusia mengandaikan dengan akal kita tingkah laku alam dan kehidupan ini. Tetapi adakah benar begitu, bahawa alam raya ini seluruhnya bersatu padu berpakat mengarah kekuatannya kepada kita? Tidak bukan? Kerana, jika benar, sudah pastilah ia menunjukkan bahawa alam ini juga mempunyai akal untuk merancang sebagaimana kita juga merancang dengan akal kita. Adakah alam ini, segala juzuk dan komponennya memiliki akal? Ah, tidak bukan? Tidakkah akal hanyalah manusia sahaja yang memilikinya?

Justeru bagaimana alam ini berinteraksi dengan kita tanpa akal? Kemudian, adakah manusia telah tunduk dan kalah kepada alam dan kehidupan ini dek kekuatan dan kemukjizatannya? Tidak juga bukan? Bukankah manusialah yang merajai dan menguasai teraju alam raya ini? Bagaimana boleh manusia dikira kalah kepada alam ini sedangkan manusia telah membuktikan bahawa mereka telah berjaya mempergunakan segala isi alam ini untuk kesenangan dan keselesaan hidup mereka.

Nah, jika begitu, di sebalik keajaiban alam ini, ada lagi yang lebih menakjubkan berbanding mereka. Ya, akal itu lebih mukjizat daripada alam ini. Menakjubkan, manusia yang kerdil belum pernah lagi kalah kepada alam! Akal sungguh menakjubkan sekali.

Begitulah hebatnya ciptaan bernama akal. Tetapi malang lain pula menimpa pemilik akal ini. Di sebalik kekaguman terhadap diri sendiri, manusia gagal pula mengetahui bagaimana akal tiba-tiba wujud di dalam dirinya. Bagaiman dia  begitu menguasai alam ini, tetapi dia tidak pernah pula boleh mendakwa bahawa dialah pemilik alam ini sebagaimana dia juga terpaksa akur bahawa akal pada dirinya itu bukanlah ciptaan dan miliknya jua.

Sekarang lihatlah suasana kelam yang menerjah manusia untuk mengenali alam dan kehidupan. Dalam kekuasaan akal, terpampang kelemahan dan kekerdilan akal yang memalukan sekali!

Dalam perbincangan lepas, anda telah tahu bahawa tiada lagi selepas akal untuk menafsirkan kehidupan dan menjawab segala kegelapan agung ini selain agama. Agama yang bermaksud maklumat dan khabar langsung daripada pencipta alam raya ini. Dalam erti, selepas alam ini tunduk kepada kekuasaan akal, akal pula tunduk pula kepada kekuasaan agama. Agama pemiliknya adalah Allah, pencipta segala.

Adakah anda ingin bertanya saya, siapa pula yang berkuasa ke atas Allah? Tidak perlu bukan? Bagaimana boleh ditaakulkan pencipta segala akan dikuasai pula oleh makhluk ciptaannya itu? Mustahil. Sekarang, agama datang dengan satu solusi dan jawaban yang memuktamadkan pencarian yang paling sukar.

Yang tinggal hanyalah pembuktian bahawa agama adalah benar-benar satu hakikat, bukan sekadar dakwaan dan dongengan semata-mata. Justeru di hadapan hanyalah dua persimpangan; samada agama itu bohong, maka manusia terus menerus tenggelam di dalam kegelapan yang berterusan mencari hakikat kehidupan, ataupun agama itu benar, maka manusia terpaksa tunduk kepada saranan agamanya. Tunduk sang abdi kepada kehendak tuannya adalah hakikat paling hakiki.

Justeru al Quran yang menjadi kitab terakhir dari langit kepada manusia, juga nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam yang menjadi utusan terakhir dari langit telah begitu tekun meyakinkan manusia dengan hujjah dan pembuktian yang pelbagai demi membenarkan dakwaan bahawa ugama adalah benar dan merupakan jawaban muktamad kepada pencarian yang menyeksakan.

Oleh kerana akal adalah raja yang diiktiraf kekuasaannya di dalam kehidupan raya ini, maka agama tidak datang kecuali untuk mencabar dan menundukkan akal agar tunduk jua kepada kekuasaan yang lebih tinggi iaitu Allah.

Justeru tidak beriman kepada Allah kecuali akal yang tunduk mengaku dan bersaksi secara sedar dan tahu bahawa Allahlah tuhan yang satu yang di tanganNya segala aturan alam. Selagi akal enggan tunduk, selagi itulah agamanya, jika dia mendakwa beragama, adalah bohong.

Di sinilah telah nyata sekali bahawa akal adalah tunjang kepada taklif dan ujian Allah ke atas manusia. Akal juga menjadi paksi yang berputar di sekelilingnya segala pergerakan alam. Alam ini menyanyikan lagu taklif Ilahi ke atas makhluknya bernama manusia. Semuanya secara semulajadi akur dan tunduk,  sukarela atau secara paksa, kepada Allah sang pencipta segala. Allah menggerakkan seluruh alam raya untuk melorongkan jalan buat manusia mengenalNya dengan kekuatan akal yang memiliki kekuasaan dan keajaiban yang sungguh luar biasa itu.

Manusia pula dibiarkan untuk bebas hidup tanpa sekatan yang mengikat keinginannya untuk menguasai alam sekehendaknya. Ia dibiarkan untuk menentukan arah tuju hidupnya sendiri tanpa paksaan untuk tunduk kepada tuhannya. Sudah pasti, untuk menemui jalan yang benar, manusia berdepan kesukaran dan halangan yang terlalu banyak menghalang.

Tetapi kekuatan manusia adalah di luar upaya makhlukNya yang lain. Manusia dikurniai Akal untuk memandu kehidupan. Dengan perutusan para rasul dan al kitab, cukuplah sajian Allah untuk manusia mula memasuki medan ujian yang getir dan agung.

Manusia dibeban taklifkan dan diuji untuk menemui jalan menuju tuhannya dengan kekuatan akal yang dibekali cahaya al Quran dan al rasul. Hikmah Ilahiyah telah menentukan bahawa Allah menghijab diriNya daripada dikesani manusia kecuali melalui akal yang akan mengesan dan mengenali tuhannya melalui petunjuk-petunjuk Ilahi yang telah disediakan Allah kepada Allah untuk manusia di dunia ini.

Sekarang anda mestilah memahami bahawa; Pertama, Hidup ini adalah medan ujian ke atas manusia untuk menemui dan menyembah tuhannya secara sukarela. Kedua, seluruh makhluk kecuali manusia dan jin telah tunduk dan menyembah tuhan mereka secara semulajadi tanpa dibebankan dengan taklif dan ujian sebagaimana manusia. Ketiga, manusia tidak dapat mengenali tuhannya dengan pandangan mata kasar dan panca indera lainnya kerana ia adalah sebahagian daripada proses ujian Allah ke atasnya.

Keempat, manusia hanya mampu mengesan tuhannya melalui akal dan fitrah yang dimilikinya. Kelima, akal manusia pula, di dalam perjalanan mencari tuhannya akan dibantu oleh cahaya petunjuk al Quran. Keenam, manusia juga akan mengenali tuhannya melalui mukjizat yang berlaku ke atas para anbiya’ dan karamah para aulia’. Ketujuh, Alam ciptaan Allah dihadapkan ke hadapan manusia agar dengannya, mereka menyaksikan kewujudan, kekuasaan dan keagungan Allah sebagai tuhan yang mesti disembah.

Justeru anda kini semakin memahami hikmah kewujudan akal dan peranan besarnya di dalam hikmah kewujudan alam. Tanpa memerlukan ketekunan lain, anda sudah pun menemui keseronokan baru di dalam penerokaan memahami agama Islam iaitu betapa agama Islam dan akal bagaikan tercipta untuk hidup bersaudara!

(Artikel ini adalah untuk kolum ‘Agama dan Kehidupan’ akhbar Siasah)

Kehidupan ini penuh rahsia. Kerana itu, ia sentiasa mendebarkan sebagaimana ia juga begitu mengujakan saat  ia dibongkar atau ia meljelmakan sendiri hakikat dirinya. Kerana itu juga, manusia terus seronok untuk terus hidup. Bukan lagi kerana perutnya, tetapi kerana akalnya terus lapar mencari hakikat dan rahsia kehidupan.

Itu manusia. Jika haiwan, maka debaran atau keterujaan itu tiada pada mereka. Sebabnya, tiada rahsia yang terhijab di sisi mereka untuk dibongkar dan dinikmati. Mereka tidak lebih selain sebahagian daripada kehidupan dan alam yang mengelilingi manusia. Maksudnya, haiwan itu sendiri adalah rahsia.

Semua sama kecuali manusia. Sebab yang disepakati adalah satu, manusia memiliki suatu ‘wujud’ yang pelik dan rahsia sekali pengenalannya. Dia memiliki akal. Dengannya ia berbeza dari segala di dunia ini. Akal ini melonjakkan manusia untuk menjadi tuan kepada dunia ini. Dunia tercatur pergerakannya oleh akal yang hebat ini. Itulah kehebatan akal. Ia menguasai dunia dengan membongkar rahsia dunia.

Bayangkan, jika bumi ini tanpa akal dan manusia, adakah anda boleh meneka siapakah raja di bumi ini? Harimau atau kancil? Mana satu pun, kedua – duanya hanyalah membangunkan dunia hutan rimba. Tak akan ada Menara Warisan!

Tetapi malang adalah rakan kemanusiaan. Rahsia alam terus kejap. Semakin akal membongkar, semakin alam menari bersama kunci-kunci kerahsiaannya. Dan haiwan, makhluk yang menjadi sebahagian alam yang mengelilingi manusia itu terus menerus menjadi penonton kehidupan, melihat manusia bersilat menerjang badai kerahsiaan yang semakin menyombong.

Saat manusia bergembira dapat melihat bumi dari planet Marikh, haiwan tak pun ambil pusing. Bukanlah kerana haiwan itu sudah pun melihatnya, tetapi kerahsiaan yang baru terbongkar itu bukanlah suatu kerahsiaan di sisi mereka. Mereka telah pun memiliki hakikat kerahsiaan yang tidak memerlukan pembongkaran demi pembongkaran. Bagaimana?

Tahukah manusia siapa yang menganugerahkan mereka akal yang bergeliga itu? Kemudian, mengapa akal itu kekal di dalam diri mereka dan tak pun mengalir masuk ke dalam otak anjing atau kucing kesayangan saat mereka membelai dan memeluknya?

Dalam membelek – belek teori moden barat, ada yang menjawab, akal terhasil daripada proses pemakanan yang panjang yang dilalui manusia. Ertinya akal itu terhasil melalui usaha nenek moyang terdahulu yang bodoh dungu. Jambatan evolusi akhirnya melahirlah manusia baru dengan akal yang hebat!

Jika begitu, namakan makanan manusia dahulu yang tidak dimakan oleh nenek moyang kepada haiwan hari ini, lalu tersadunglah haiwan daripada memiliki akal yang ajaib buat menyaingi akal manusia? Jika begitu, senaraikan makanan terpilih dan suapkannya kepada haiwan hari ini dan kita bersama melihat perubahan otak cicitnya 100 tahun atau 1000 tahun akan datang walau dengan sedikit anjakan. Jika begitu, suapkan manusia dengan makanan haiwan gajah dan kita saksikan adakah dia kemudiannya menjadi manusia berotak gajah?

Maksudnya, adakah manusia hari ini bersedia untuk eksperimen seperti ini? Atau, ia tidak lebih selain jenaka ilmiah? Justeru adakah kita mampu hidup dengan jawaban-jawaban yang bersifat zhan, sangkaan dan andaian yang jauh daripada hakikat dan kepastian itu?

Begitulah manusia, di sebalik keterujaan mengecapi kehidupan yang dibangunkan oleh akal mereka, mereka terus buntu untuk membina keyakinan yang pasti mengenai kehidupan. Jika akal sendiri pun mereka gagal menafsirkan hakikatnya, bagaimanakah boleh mereka terus mendabik dada untuk hanya bergantung pada akal yang bergantung pula kepada keajaiban mata, telinga dan panca indera lainnya?

Jadi, tidakkah manusia terlalu memerlukan sokongan lain di samping akalnya? Ya, demi kehidupan yang lebih bermakna dengan ilmu dan keyakinan yang benar terhadap hakikat kehidupan, akal memerlukan rakan yang membantu.  Tetapi apakah yang lebih gagah daripada akal? Berjalanlah sampai menjejak pucuk dunia atau koreklah lubang sampai menerobos perut bumi atau binalah tangga sampai mencakar dada langit, anda tidak akan menemui sebarang apapun yang lebih ajaib daripada akal kecuali satu. Satu itu bukan harta, bukan pangkat, bukan A dan bukan juga Z. Satu itu adalah agama. Agama yang bermaksud wahyu atau berita dari alam ghaib.

Agama itu wujud dan wujudnya adalah lebih wujud daripada akal. Ia lebih menempati dan lebih dekat di dalam diri manusia. Ada manusia berusaha menolaknya, tetapi tidak pernah dan tidak akan ada manusia yang berjaya menolaknya daripada kehidupan.

Para rasul membawa ugama semenjak sekian lama sepanjang sejarah kehidupan manusia dan ada di antara mereka yang mati dibunuh kerananya. Tetapi agama tidak pernah mampu dibunuh  dan dikuburkan. Kini, walaupun selepas lebih seribu tahun dunia bergerak tanpa rasul yang diutus dari alam ghaib, agama terus hidup dan mustahil manusia mampu meramal kematian untuk ugama.

Agama lebih ajaib daripada akal. Ketamadunan manusia dibina oleh jutaan akal yang wujud di dalam diri jutaan manusia. Tetapi manusia bertamadun sepanjang zaman dibina oleh agama dari dalam diri sekelompok kecil insan bergelar al rasul. Akal membina dunia manakala agama pula membina manusia. Manakah yang lebih menakjubkan?

Tetapi malang bagi agama (Hakikatnya, malang bagi manusia). Manusia melayan ugama seperti anjing kurap. Semata-mata kerana ianya datang daripada bukan diri mereka, tetapi al rasul, maka ia ditentang habis-habisan. Mereka mendakwa ianya ghaibiyyat yang bersifat khayalan dan dongengan, lalu mereka menolak agama.

Malang buat manusia. Tidakkah agama telah memperkenalkan dirinya dengan aneka kerahsiaan yang dibongkar, sedang manusia tak pun mampu membongkar rahsia wujud akal sendiri yang diagungkannya itu? Walhal, agama jugalah yang telah membuka kunci rahsia hakikat akal untuk manusia memahami hakikat diri.

Agama berkata atau berfirman; Akal adalah tunjang taklif. Akal begitu khas dicipta untuk manusia menerima beban kehidupan ciptaan Allah di bumi. Manusia dinobat sebagai khalifah kepada pencipta alam untuk mentadbir bumi dan melaksanakan kehendakNya. Akal adalah senjata. Senjata khusus milik khalifah Allah di muka bumi.  

Tetapi, justeru manusia enggan menerima amanah agung ini, segala – galanya menjadi payah buat agama menempatkan diri di celah kehidupan duniawi ini. Yang kabur disembah, manakala yang terang dibutakan.

Dr Said Ramadhan al Buti, seorang cendekiawan besar muslim menggambarkan, jika taklif Ilahi itu menuntut manusia agar beriman bahawa ‘matahari itu wujud’, nescaya akan ada manusia yang bangkit untuk menafikannya dengan pelbagai hujah yang dicipta sambil berkata, matahari itu wujudnya hanyalah khayalan! Semata – semata kerana ianya taklif Ilahi, segala yang jelas dan hakikat dibalik-balikkan sehingga tampak kabur, khayal dan batil.

Maka beruntunglah mereka yang menabalkan ugama sebagai raja kehidupan dan akal sebagai pengawalnya.

( Artikel ini disiarkan untuk kolum Agama Dan kehidupan akhbar Siasah/4 )

Agama adalah ajaran yang berbicara pasal ketuhanan. Berbicara pasal sang pencipta segala. Jika tidak, ia sekadar ideologi dan pemikiran manusia.

Apapun, jika seseorang itu menolak kuasa ketuhanan dan enggan lagi berbicara pasal tuhan, maka walaupun dia tidak dianggap seorang beragama, tetapi dia tetap juga dikira bertuhan. Dia sendiri sebenarnya telah menjadi tuhan. Ini kerana tuhan, selain bermaksud pencipta, ia juga bermaksud kuasa tertinggi dalam kehidupan.

Oleh kerana dia tidak dapat melihat selain kekuasaan hebat akal dan nafsunya atau manusia lain, maka dia telah menjadikan diri sendiri atau manusia sebagai tuhan yang dipuja dan  disembahnya. Dialah tuhan atau dia telah bertuhankan manusia lain. Jadi, atheisme sebenarnya juga satu ugama walaupun ia dianggap ajaran yang menentang ugama. Ugama jenis ini begitu menjalar di zaman ini yang bertuhankan sains dan akal.

Dulu, manusia dan khalayak begitu terpimpin oleh orang yang berkuasa. Raja menundukkan rakyat sehingga dianggap tuhan. Jika raja itu lebih rasional, maka pemikiran falsafah pula yang akan menundukkan raja dan rakyat sehinggakan apa yang mereka hidang, itulah yang diimani oleh raja dan rakyat. Ahli falsafah adalah ‘raja’ di dalam memperkenalkan tuhan, kuasa atas yang paling berkuasa. Mereka memanggilnya ‘Sebab Yang Pertama’ atau ‘Akal Yang Pertama’ atau ‘Penggerak yang Pertama’. Itulah nama – nama kepada Allah yang mereka perkenalkan.

Begitu tuhan diperkenalkan. Bagaimana? Ahli falsafah meneropong langit dan semesta kehidupan dengan otak dan kudrat diri, lalu segala bahan mentah yang diperolehi itu dicampur hadamkan di dalam mesin hukum dan sifir akal yang mereka bangunkan, kemudian mereka merumuskan hasil dan menjadikannya ilmu yang pasti di dalam mengenal tuhan yang satu. Hakikatnya, mereka tidak memetik atau menggugurkan kecuali buah sangkaan, teka-tekaan dan kekeliruan. Itu dulu.

Kini, manusia mula bebas dari raja yang mengongkong atau ahli falsafah yang berputar-putar pada khayalan dan andaian. Manusia hari ini dijajah kuasa baru iaitu otak sendiri. Mereka diserang ketaajuban terhadap penemuan akal terhadap pengetahuan dan sains. Akal berkembang begitu pesat dan drastik meneroka alam ilmiah, sains, rasional dan taakul. Raja mundur dan ahli falsafah terundur ke belakang, lalu akal menjadi raja baru dan tuhan baru. Tiada tuhan selain akal.

Tetapi, dari dulu sampai kini, ada kewujudan lain atau kuasa lain yang kekal mempengaruhi dan menguasai manusia mengenal kehidupan dan ia akan terus berlangsung hinggalah hujung dunia. Ia adalah kewujudan kuasa agama dan  ahli hikmah agama. Iaitu golongan yang berfikir berlandaskan ugama yang dibawa insan bergelar al rasul  atau utusan tuhan.

Sebenarnya ajaran ketuhanan falsafah lahir hasil pertembungan dengan ajaran nabi dan ugama. Agama para nabi yang bersifat menyusun kehidupan manusia agar tunduk hanya kepada hukum tuhan di bumi ini telah begitu menekan kehidupan golongan elit dan berkuasa yang ingin bebas dari ugama dan hukumnya. Maka lahirlah senjata dan serangan yang menolak kepimpinan para nabi. Pemikiran falsafah begitu berkuasa di sisi pembenci ugama al rasul suatu ketika dahulu.

Nah, jika begitulah dulu, lihatlah pula hari ini betapa wujud kesamaan yang tidak boleh ditolak bahawa lahirnya pemikiran yang bertuhankan otak dan sains kini tidak lebih selain akibat pertembungan di antara mereka dan ajaran nabi juga.

Titik pemisah pertembungan yang tak berkesudahan ini hanyalah berputar pada satu noktah yang kekal. Satu golongan merajakan akal sehingga menolak kekuasaan wahyu dan utusan langit, manakala satu golongan lagi menjadikan akal dan wahyu saling bergandingan memperkenalkan kehidupan.

Kemudian, beza di antara ahli falsafah dulu dan golongan atheis hari ini adalah golongan pertama menerima kewujudan kuasa tertinggi yang ghaib sebagai tuhan dan mereka memerah akal (tanpa bantuan wahyu) untuk memperkenalkan dan menamakannya, manakala golongan kedua menolak kewujudan kuasa tertinggi yang ghaib sebagai tuhan dan mereka juga memerah akal untuk menafikan kewujudannya.

Justeru pemikiran atheisme begitu menjalar dan berkuasa pada zaman moden ini kerana sifatnya yang merajakan akal dan sains berbanding pemikiran falsafah lama yang masih gelap daripada penerokaan sains dan kemodenan.

Ahli falsafah menggunakan akal semata – mata, lalu mereka mendakwa melihat Allah yang kelam. Ahli sains atheis menggunakan mata dan teropong sains, lalu mereka mendakwa Allah tiada. Nanti anda akan melihat bagaimana ahli hikmat ugama menggunakan akal dan wahyu, lalu mereka melihat Allah pada zatNya yang hakiki.

Sekarang mari kita perhatikan bagaimana pertempuran di antara golongan beragama dan anti agama ini sebenarnya begitu tertumpu di dua medan utama. Pertama, dalam mengithbatkan (menetapkan) samada dunia ini telah diciptakan oleh sang pencipta ataupun ianya terjadi sendiri tanpa pencipta. Kedua, dalam mengithbatkan samada alam ghaib yang di luar jangkauan panca indera itu wujud ataupun sebaliknya.

Dalam tulisan lepas saya telah tunjukkan secara sepintas bagaimana pemikiran yang melihat alam ini terjadi sendiri tanpa pencipta telah ditolak oleh hukum akal yang manusia gunakan sendiri. Hukum ‘sebab musabab’ adalah rukun kepada pergerakan dan solusi akal bahawa sesuatu itu tidak akan terjadi tanpa sebab yang menyebabkannya. Apabila manusia beranggapan alam ini terjadi sendiri tanpa penyebabnya, maka dia sebenarnya telah membunuh akalnya sendiri. Maksudnya, dia gila.

Adapun pemikiran dan kepercayaan bahawa kewujudan hanyalah apa – apa yang boleh dikesan oleh panca indera dan mempercayai kewujudan alam ghaib adalah bertentangan dengan akal, maka ia juga ditolak dan dinafikan oleh akal dengan hujah yang gagah. Maksudnya, jika pun anda tidak menoleh kepada wahyu, akal anda sendiri akan mampu mengesan betapa lemahnya hujah mereka yang menolak kewujudan alam ghaib.

Tidakkah di hadapan kita terjadi kejadian dan peristiwa yang tidak dapat dilihat selain kesannya. Anda melihat kipas berpusing dan anda tahu ia adalah kesan yang disebabkan oleh arus elektrik yang mengalir. Adakah anda melihatnya atau semata – mata kerana tidak melihatnya, maka anda berhujah bahawa kipas itu telah berpusing sendiri tanpa sebab?!

Usahkan elektrik, angin ribut, panas sejuk, manis tawar dan macam – macam lagi, adakah anda telah melihatnya untuk mempercayai kewujudannya? Atau anda hanya melihat kesannya sahaja, lalu mempercayai wujudnya ia?

Arakian, tercernalah kewujudan alam ghaib di sebalik wujud alam syahadah dan zahir di dalam kehidupan ini. Menolaknya samalah seperti menolak wujud akal pula.

Mari ikut saya memasuki kelas enam sebuah sekolah rendah. Kita ikuti pembelajaran seorang guru ‘smart’ yang cuba mengajar hakikat kewujudan di hadapan muridnya termasuk seorang pelajar ‘keturunan’ Ibrahim alaihissalam

Guru itu bertanya,’Adakah kamu melihat saya?’ Para murid menjawab,’Ya.’ Guru itu pun lantas berkata, ‘Jika begitu, saya ada.’ Dia lalu bertanya lagi,’Adakah kamu melihat papan hitam ini?’ Mereka menjawab,’Ya.’ Guru itu segera merumus, ‘Jika begitu, papan hitam itu wujud. Adakah kamu melihat almari itu?’ Mereka menjawab,’Ya.’ Guru itu merumus lagi,’Jika begitu, almari itu ada,’ Sang guru lalu bertanya lagi,’Adakah kamu melihat Allah?’ Para murid menjawab,’Tidak.’ Tanpa berlengah guru itu berkata,’Jika begitu, Allah sebenarnya tidak ada!’ Tiba – tiba salah seorang pelajar genius berdiri lalu bertanya, ‘Adakah kamu semua melihat akal cikgu?’ Seluruh rakannya menjawab,’Tidak.’ Maka sang genius berkata,’Jika begitu, cikgu tiada akal!’

Tetapi ramai manusia terus memuja akal sampai hilang akal. Jika begitu, anda sedang menyaksikan betapa menolak ugama adalah seburuk-buruk hasil yang dituai manusia dalam kehidupan ini. Perbincangan kita semakin memasuki ruang tauhid insya Allah.

(Artikel ini adalah untuk kolum akhbar Siasah/3)

Tiada siapa pun mampu menolak agama daripada kehidupannya. Agama telah terbina di dalam diri manusia semenjak ia lahir ke dunia. Ia adalah faktor utama yang telah membentuk diri dan kehidupannya. 

Mengapa? Kerana agama bermaksud kepercayaan yang terbentuk di dalam dirinya mengenai kehidupan. Selagi manusia hidup selagi itulah dia memiliki kepercayaan, atau kepercayaan memiliki dirinya! Wujudkah manusia dengan anggota tubuh, akal, nafsu dan perasaan, tiba – tiba dia berjalan di bumi tanpa kepercayaan apa – apa yang terbina di dalam dirinya?

Katakan, jika dia menolak Allah, tuhan yang satu, maka dia akan percaya kepada tuhan – tuhan lain yang tidak esa dan satu. Jika dia juga menolak segala tuhan dan menjadi seorang atheis, maka itulah pula ugamanya. Dialah tuhan kerana dia tidak percaya kecuali pada kebolehan dan kekuasaan diri, nafsu dan akalnya sendiri. Jika dia tunduk dan sujud kepada seseorang, maka dia telah mempercayai manusia lain sebagai tuhan pula. Bukankah Firaun dianggap tuhan oleh kaumnya?

Begitu agama terbentuk. Bila anda lapar, anda akan berfikir tentang nasi yang mengeyangkan. Jika anda sakit, anda akan mencari ubat yang menyembuhkan. Jika anda buntu, anda akan berputar mencari penyelesaian.

Begitulah agama. Ia hasil kelaparan, kesakitan dan kebuntuan di dalam diri. Ahli hikmah berkata, agama adalah jawaban untuk kekusutan yang melanda di dalam diri terhadap persoalan; Dari mana kita? Kenapa kita di sini? Dan ke mana kita selepas ini? Tiga soal yang menjadikan diri manusia kelaparan, kesakitan dan buntu jika tiada ubat yang menenangkannya. Justeru bermulalah pelayaran akal manusia mencari kepastian dan jawaban kepada kehidupan ini.

Maka manusia, kehidupan dan ugama tak mungkin terpisah. Jika ada yang mengira agama sebagai candu masyarakat, maka dialah pembawa candu itu. Kepercayaannya itu adalah candu baru yang dijajanya di dalam masyarakat. Bahkan, kepercayaan bahawa tiada tuhan yang mencipta adalah seburuk – buruk candu yang ditawarkan untuk manusia.

Bagi mereka, semuanya adalah semulajadi dengan maksud semuanya berlaku sendiri tanpa tuhan yang menentukan. Terjadi sendiri, tersusun sendiri, terarah sendiri, terjawab sendiri, terindah sendiri dan semuanya berlaku sendiri dan secara semulajadi tanpa sentuhan apa – apa kuasa!

Ini setelah mereka sendiri percaya bahawa mereka tidak akan wujud tanpa ibu yang mengandung. Simpang siur kenderaan di jalan raya tak mungkin terurus baik kecuali oleh undang – undang jalan raya yang dikawal rapi. Anak – anak tidak akan berjaya kecuali melalui petunjuk guru. Sebuah istana tidak mungkin indah dan tersergam kecuali dengan sentuhan puluhan pakar yang mengilhamkan nilai dan estetika.

Nah, semuanya bersebab dan mereka telah begitu beriman dengan faktor sebab musabab bahawa sesuatu yang berlaku tanpa arahan, petunjuk dan undang – undang, maka ia akan menyebabkan kucar – kacir dan kerosakan yang besar.

Tiba – tiba, apabila mereka mendongak dan melihat ke langit dan bumi serta isinya yang begitu tersusun dan begitu indah dan hebat, mereka lantas berkata, semua ini berlaku secara sendiri tanpa pencipta, tanpa penyusun, tanpa kehendak dan tanpa sebab! Bukankah mereka sendiri dan apa yang mereka imani itu juga adalah sebahagian daripada alam raya ini? Bukankah inilah pembunuhan kepada akal? Tidakkah merekalah  sebenarnya candu yang telah membunuh sebahagian manusia yang dirasuk kefahaman ini? Mereka menolak agama semata – mata untuk beriman pula dengan seburuk – buruk kepercayaan dan seburuk – buruk agama.

Justeru kemuncak pemikiran manusia adalah ketika mereka berfikir mengenai alam dan kehidupan raya yang begitu agung dan misteri ini. Mereka bermatian mengilham dan mencipta, tetapi di hadapan mereka adalah satu kehendak dan ciptaan alam raya yang begitu mengkagumkan. Mereka bermatian merancang dan menyusun, tetapi di hadapan mereka adalah satu hasil perancangan dan penyusunan kehidupan raya yang maha halus dan seni. Mereka terdesak untuk bertanya, siapakah empunya zat pencipta dan penyusun yang maha agung ini?

Para ahli hikmah berkata, kemuncak adalah apabila kita mengenal akidah dan kepercayaan agama sesuatu kaum terhadap tuhan mereka. Sesiapa mengenal akidah sesuatu kaum terhadap tuhan mereka, maka dia telah mengenal sebahagian besar isi agama mereka. Daripada pengenalan mereka terhadap tuhan mereka itulah, maka berjalanlah hukum dalam kehidupan mereka dalam membina neraca kebaikan dan keburukan, juga mengenal manfaat dan mudarat.

Ada dua golongan yang menjadi tuan dan raja di dalam memperkenalkan ugama. Pertama, ahli falsafah pemikiran dan kedua, ahli hikmah agama. Beza antara keduanya adalah golongan falsafah pemikiran akan bergerak meneroka melalui akalnya dalam mengenal tuhan tanpa ikatan ugama dan kewajiban ibadah dan muamalah yang terpaksa dipegang oleh ahli hikmah ugama.

Hasilnya adalah kemalangan bagi golongan falsafah yang terpaksa memerah otak untuk bercakap perihal tuhan Allah yang terhijab itu tanpa bantuan apa – apa. Maka lahirlah ketuhanan dengan gambaran dan hasil khayalan yang tak terjangkau oleh otak para pengikut mereka. Bagaimana digambarkan apa yang dicapai oleh Plato misalnya, bahawa Allah tidak boleh disifatkan sebagai ada kerana sifat ada menarik sifat tiada yang perlu dibersihkan daripada Allah. Maka Allah tidak boleh dikatakan ada kerana dia tak boleh tiada!

Aliran Aristotle pula berkata, Allah itu ada secara azali, abadi dan sempurna sekali tetapi tiada awal dan akhir, tiada perbuatan dan tiada kehendak kerana semua itu adalah kekurangan yang mesti dibersihkan daripada Allah. Tuhan hanya layak untuk mengecapi  kebahagiaan kerana kesempurnaan dan kekekalannya tanpa kehancuran.

Begitulah pemikiran seagung – agung otak yang dipuja manusia. Malang, sehinggakan sebahagian mereka sendiri meyakini bahawa Plato sendiri gagal untuk menggambarkan apa yang dia gambarkan mengenai sifat tuhan Allah yang dikenalinya itu!

Kita tinggalkan mereka kerana sentuhan ketuhanan dalam aliran falsafah di sini adalah sekadar untuk menggambarkan bagaimana penat dan tumpulnya manusia untuk berfikir mengenal Allah tanpa bantuan apa – apa daripada empunya zatnya sendiri iaitu Allah yang maha esa.

Adapun golongan kedua iaitu ahli hikmah agama atau golongan agamawan yang berbicara mengenai ketuhanan, maka mereka lebih berdisiplin dalam penggunaan akal kerana bergantung dan berpetunjuk melalui ajaran ugama yang dibawa oleh para rasul yang meninggalkan juga kitab – kitab daripada langit kepada umatnya. Walau bagaimanapun oleh kerana agama – agama langit dan juga yang memiliki kitab suci itu banyak, maka pengenalan terhadap Allah juga berbeza bergantung kepada keaslian ajaran agama itu dan kepalsuannya.

Kita akan melihat bagaimana Allah memperkenalkan diriNya dan kembali kepada asal perbincangan mengenai hak agama untuk menjadi idaman manusia di dalam membina kehidupan terbaik mereka terutama di zaman moden kini yang sedang dilanda ombak ganas kebendaan yang menghanyutkan.

(Artikel ini adalah untuk kolum akhbar Siasah/2)

Tiada siapa fasih untuk bercakap mengenai kehidupan. Segala jenis kehidupan. Kerana tiada siapa pun boleh mendefinasikan kematian, lawan kehidupan yang boleh memperkenalkan kehidupan itu secara jelas dan kejap. Justeru manusia asyik berbalahan mengemudi kehidupan sendiri, apatah meladeni kehidupan lain di sekelilingnya semenjak dahulu sampailah bila – bila pun.

Kita datang daripada tiada. Daripada kosong, lalu menjadi ada dan hidup. Titik ilmu kita bermula di situ. Kemudian kita akan tiada dan mati, lalu titik ilmu berakhir di situ. Kita menjadi tanah setanah – tanahnya. Kita mati kutu di situ tanpa petunjuk satu pun untuk memperkenalkan kehidupan dan kematian kita yang tercetus sekitar 70 tahun perjalanan masa!

Jika ada manusia perkasa melayarkan enjin dan kuasa otak fikirnya buat meneropong apa yang sebelum air maninya atau apa yang selepas tanahnya, dia pasti akan keluar dan kembali dengan kebingungan,  kebuntuan dan kalah. Atau, jika dia enggan mengalah lalu menghunus ego dan keras kepalanya lalu menjawab itu dan ini, maka dia tidak akan lebih selain menyumbang sangkaan, teka – teki dan keraguan yang menambahkan sesat dan pesong manusia seluruhnya.

Itulah kehidupan 70 tahun kita yang penuh rahsia yang disirat kejap. Bayangkan bagaimana jika disumbat otak ini untuk memikirkan berjenisan lagi kehidupan lain yang berbilionan banyaknya di alam semesta ini. Yang lahir hari ini dan sedia mati esok seperti episod hidup sesetengah serangga yang merayap halus di bumi atau yang telah lahir wujud dan hidup semenjak jutaan tahun dulu dan entah bila hujung hayatnya akan menyembah lantai kematian. Bayangkan betapa terbebannya akal ini untuk memikirkan.

Berfikirlah berat – berat. Atau, berfikirlah ringan – ringan. Ah, kebanyakan manusia memilih jalan yang kedua. Enggan menerima kesukaran dalam kehidupan. FirmanNya: “Dan Kami tunjukkan manusia dua jalan. Maka dia enggan mendaki yang sukar.” – al Balad: 10-11

Sekarang, anda lihatlah pada manusia dan kehidupan. Ada seribu satu tafsiran mengenai kehidupan dan manusia memilih sesuka hati dan sekehendak mereka jugalah jika mahu menukarkannya pada bila – bila masa sahaja. Masing – masing ada pegangan, cara dan matlamat untuk dikejar sepanjang hidup sebelum mati itu tiba – tiba datang menyentap tanpa tawar – menawar dan belas kasihan lagi. Hidup adalah realiti yang mesti dikecapi dan mati adalah bagai hantu!

Mari melihat permainan manusia mengejar kelazatan hidup atau mari melihat manusia membina syurga sendiri. Jika mahu hidup mewah, wang dan harta adalah sandaran dan bekalan. Jika tidak, anda dibebani hutang lalu menjadi buruan dan ketakutan. Jika mahu kuat dan tersohor, kuasa adalah sandaran dan tongkat. Jika tidak, anda akan rebah dan terhina sekali. Jika mahu kedudukan dan dihormati, sokongan dan anak buah adalah sandaran dan tiang. Jika tidak, anda akan ditendang dan dicemuh.

Harta itu sedikit. Kuasa itu terhad. Sokongan itu akan hilang. Jika manusia merebuti harta, kuasa, kedudukan dan sokongan, mereka akan saling bertembungan, lalu wujudlah persengketaan dan peperangan. Syurga yang diidam, neraka yang terhidang.

FirmanNya: “Adakah manusia akan memiliki apa saja yang diidamkannya? ( Tidak ) Maka milik Allahlah akhirat dan dunia ini.” – al Najm: 24-25

Kehidupan di dunia ini terlalu kecil untuk dijadikan syurga. Ia terlalu besar pula untuk disusun atur dengan kehendak sendiri. Ia begitu jauh untuk menjadi milik kita. Dunia ini, kita dimiliki lebih mudah difahami daripada kita memiliki. Kita diumbang – ambing oleh satu ketentuan yang begitu teguh dan pasti.

Inilah hasil dan akibat ‘berfikirlah ringan – ringan’. Inilah hasil keseronokan, bersenda gurau dan bermain – main di sekeping papan di tengah – tengah lautan luas dan ganas. Kehidupan ini selalu saja memuntahkan laharnya yang kejam untuk membunuh segala harapan.

Tetapi lahar kehidupan tidak kejam mutlak. Ia memang membakar tetapi rupanya ia turut membajai kehidupan di depan. Ia rahsia dan bagai umur yang memanjangkan kehidupan untuk dihuni kebenaran dan kekudusan. 

Manusia, daripada kesakitan yang dialami dan ujian yang ditempuhi akan turut dikurniai ruang, buah – buah dan  masa untuk kembali berfikir. Merenung jauh dan jauh ke dalam. ‘Berfikirlah berat – berat’. Ia satu desakan yang tidak boleh ditolak mentah – mentah lagi. Ia lahir bersama kehidupan yang penuh rahsia dan hijab ini.

Manusia layak berfikir berat – berat. Ia bukan haiwan binatang untuk berfikir mudah – mudah dan ringan – ringan. Manusia bukan binatang yang hidup untuk memakan dan dimakan! Manusia hidup untuk menyumbang kepada kehidupan.

Akhirnya, manusia mula berfikir dan bercakap mengenai hakikat kehidupan. Manusia mencuba – cuba memerhati kehidupan dan apa yang mengelilinginya. Mereka mula mengesani kewujudan yang gagal disentuh panca indera, tetapi dikesan oleh hati, akal dan rasa. Ia mengesan tanda dan menanda kesan. Kesan menjadi begitu bernilai untuk mengenal hakikat.

Nasi lebih dikenal pada kesan kenyangnya, bukan putih lembutnya. Lembu lebih dikenal pada tanda tapak kaki dan tahinya, bukan wajah dan susuknya. Manusia lebih dikenali pada kesan akhlak dan ilmunya, bukan pada rupa paras dan jasadnya. Kesan adalah isi. Isi adalah hakikat. Hakikat itulah jawaban yang pasti betul.

Di sini, manusia tiba – tiba menemui satu kewujudan yang sedia wujud bersama kehidupan. Ia dikendong kehidupan dan kehidupan menjadi cantik jika dihiasinya. Malangnya, ia biasa saja dikotori atau ditinggalkan dek kegalakan dan kealpaan manusia.

Kewujudan itu adalah ugama. Tahukah anda bila ugama mencipta sejarah kewujudannya? Ya, ia wujud semenjak manusia dikesan kewujudannya. Bila? Manusia dan ugama akan saling bergandingan menjawabnya untuk kita.

Ugama bukan lahir dari akal. Akal itu melahirkan pemikiran. Agama bukan pemikiran. Ia datang dari luar akal. Ia didatangkan untuk membantu akal ketika akal buntu dan terdampar. Ia datang bersama komponennya yang di luar hasilan akal. Ia datang bersama perutusan nabi dan kitab, wahyu dan mukjizat serta makrifat dan alam ghaib. Ia bersifat perutusan daripada satu kuasa yang agong yang menguasai kehidupan alam raya.

Itulah ugama. Saya akan menulis mengenai kehidupan ini dan ugama ini. Selepas harta, kuasa, pangkat, wanita, kedudukan, kesihatan dan sokongan yang menjadi idaman, bagaimanakah jika kita mula melihat ugama sebagai idaman yang lebih baik daripada semua itu? Agama adalah manisan kehidupan. Marilah mengenal kehidupan melalui jalan ugama.

( Artike ini untuk kolum akhbar Siasah )

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Mei 2024
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa